WALAUPUN pembahagian kerusi antara
anggota-anggota pakatan pembangkang masih belum diputuskan secara rasmi
namun Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengesahkan kelmarin
bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding lebih banyak kerusi
berbanding DAP dan Pas.
Kenyataan yang dibuat oleh Mustafa pada sidang akhbar di ibu pejabat
Pas itu mengesahkan pandangan beberapa pihak sebelum ini yang menegaskan
bahawa Pas tidak akan bertanding lebih banyak kerusi berbanding PKR.
Lebih daripada itu ia juga sekali gus menafikan hasrat Pas untuk
menjadi dominan dalam pakatan pembangkang memandangkan kerusi yang bakal
mereka tandingi jauh lebih rendah berbanding PKR.
Namun apa yang melucukan dalam kenyataannya, Mustafa berkata, Pas
tetap akan menjadi tulang belakang kepada PR (Pakatan Rakyat).
Persoalannya, bagaimanakah Pas hendak menjadi tulang belakang kepada
pakatan pembangkang kalau kerusi yang ditandingi pun kurang daripada
PKR.
Dan apakah Pas begitu yakin jumlah kerusi yang akan dimenangi oleh
mereka dalam pilihan raya umum nanti lebih banyak daripada PKR.
Penulis bersetuju kalau kenyataan tulang belakang ini merujuk kepada
pengundi dan penyokong Pas kerana tanpa sokongan mereka, PKR tidak akan
ke mana. Malahan pengundi dan penyokong Pas lah yang berduyun-duyun
menghadiri ceramah PKR, tanpa mereka sudah pasti ceramah berkenaan tidak
seramai mana.
Selain itu ahli dan penyokong Pas juga mempunyai gerakan jentera pilihan raya yang jauh lebih hebat berbanding PKR.
Tetapi malangnya, Pas tidak mempertimbangkan kelebihan yang ada
kepada mereka, sebaliknya lebih rela PKR menjadi dominan biar pun parti
tersebut bergelumang dengan pelbagai masalah.
Tahniahlah kepada penyokong Pas kerana dalam pilihan raya umum nanti
mereka akan bertungkus lumus bukannya untuk memastikan Pas menjadi
tonggak pemerintahan jika pembangkang memerintah sebaliknya akan
menjulang pemimpin parti lain sebagai ketua.
Pada sidang akhbar itu, Mustafa turut memberitahu, Pas juga dijangka
mendapat tujuh kerusi Parlimen baru di Sarawak. Mungkin inilah yang
dimaksudkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini
bahawa Pas akan bertanding di kawasan yang rakan dalam pakatan tidak
berani berbuat demikian.
Memanglah PKR dan DAP lebih bijak daripada Pas kerana mereka tidak
mahu membazirkan tenaga dan masa dengan bertanding di kawasan yang boleh
disifatkan masa hari penamaan calon pun sudah kalah.
Namun Pas mungkin hendak menunjukkan keberanian tidak bertempat apabila rela berbuat demikian.
Bagaimanapun pengumuman Mustafa mengenai penguasaan kerusi PKR dalam
pilihan raya nanti sudah jelas membuktikan bahawa segala isu mengenai
hukum hudud dan negara Islam yang kini begitu rancak diperkatakan oleh
pemimpin Pas dan DAP hanyalah sandiwara politik Pas.
Kalau Pas tidak dominan dalam pakatan pembangkang, kalau Pas tidak
memenangi kerusi lebih banyak daripada PKR dan DAP, apakah mungkin
mereka mampu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam itu?
Pendirian DAP dalam perkara berkenaan sudah jelas manakala pendirian
PKR pula semua orang boleh menjangkakan pihak mana yang akan disokong
oleh parti tersebut.
Bukankah Angkatan Muda Keadilan (AMK) sudah menyanggah Pas dalam isu
hukum hudud ini? Itu belum lagi mengambil kira bagaimana pemimpin PKR
mahu semu anggota pakatan pembangkang berpegang kepada Buku Jingga yang di dalamnya langsung tidak menyebut soal hukum hudud dan negara Islam.
Apatah lagi sudah ada cakap-cakap bahawa PKR akan membuka laluan
kepada DAP untuk bertanding di kerusi miliknya yang mempunyai majoriti
pengundi Cina.
Semua ini menunjukkan bahawa Pas hakikatnya hanya alat dalam pakatan
pembangkang untuk meraih undi rakyat dan jenteranya akan 'diperkudakan'
untuk memastikan kemenangan calon PKR dan DAP.
Jika Pas tidak boleh menjadi tulang belakang maka tidak payahlah
parti itu bercakap soal memperjuangkan Islam lagi kerana semua itu
hanyalah retorik. Begitulah juga penceramah-penceramah bebas yang
menyokong Pas janganlah begitu mendabik dada dalam ceramah-ceramah
mereka mengatakan Pas parti Islam manakala UMNO adalah parti sekular dan
sesat.
Kenyataan ini dibuat oleh seorang penceramah popular ketika mengulas
penyertaan ulama muda dalam UMNO dan beliau menyifatkan ulama-ulama
berkenaan bergelumang dengan najis apabila sertai UMNO.
Apa yang kita mahu tanya kepada penceramah berkenaan sejauh manakah
beliau yakin bahawa Pas adalah parti Islam? Pas akan bertanding kerusi
kurang daripada PKR dan DAP, dengan keadaan itu bolehkah ia
memperjuangkan Islam?
Kalau beliau menganggap UMNO parti sekular, bagaimana pula dengan Pas
yang berkawan dengan parti sekular? Perjuangan Pas sekarang adalah
negara berkebajikan dan bukannya negara Islam, inilah faktanya.
Pas akan bertanding kerusi kurang daripada PKR dan akan menang kerusi
lebih rendah daripada DAP, oleh itu tidak perlulah Pas hendak
memperjuangkan apa-apa agenda parti itu. Sebaliknya mereka perlu menjadi
'pak turut' yang setia dengan mematuhi apa sahaja kehendak dan
perancangan politik PKR dan DAP.
Tidak payah lagi berbangga dengan sejarah perjuangan Islam yang
dipelopori oleh ulama-ulama ketika Pas ditubuhkan pada tahun 1951 kerana
semua itu sudah ditinggalkan dan hanya sekadar catatan sejarah.
Ia memandangkan matlamat Pas sekarang hanyalah mahu merebut kuasa
politik bersama PKR dan DAP. Daripada sebuah parti yang cukup digeruni
suatu ketika dulu, Pas kini dilihat hanyalah sebuah parti yang tidak
mempunyai apa-apa kekuatan.
Sebab itulah Pas bersedia membenarkan PKR terus dominan dalam pakatan pembangkang dan tidak berani menyanggah tindak tanduk DAP.
Kini berdasarkan kenyataan Mustafa penyokong-penyokong Pas mempunyai
dua pilihan dalam pilihan raya umum nanti, pertama, mereka menyokong
pakatan pembangkang atau memberi isyarat kepada kepimpinan Pas untuk
'kembali ke pangkal jalan'.
Ia kerana kalau mereka terus mahu menyokong pakatan tersebut yang
akan untung bukan Pas tetapi PKR yang pemimpin-pemimpinnya sudah banyak
menyusahkan pakatan dengan pelbagai isu dan DAP yang terang-terang
menentang hukum hudud dan perjuangan negara Islam Pas.
Dalam keadaan ini penyokong Pas akan menjadi seperti lebai malang, menang sorak kampung tergadai.
Tetapi kalau mereka membuat pilihan kedua iaitu menghantar isyarat
kepada kepimpinan Pas dengan tidak menyokong pakatan pembangkang, ia
akan berupaya mengembalikan Pas sebagai sebuah parti Islam sebenar
dengan ulama kembali menjadi tonggak penentu perjalanan politik Pas.
Apa pun sama-samalah kita tunggu pengumuman rasmi jumlah kerusi yang
ditandingi oleh PKR,DAP dan Pas, namun isyarat awal sudah diterima Pas
tidak akan jadi tulang belakang sebaliknya mungkin berada di posisi
'orang lain makan isi, dia makan tulang'.
/hwa: utusan.com.my | 2/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan