OGOS merupakan bulan yang penting dalam kalendar negara. Sambutan
Hari Kemerdekaan disambut dalam bulan ini dan berkesinambungan ke
September di mana kita memperingati Hari Malaysia pada 16 September.
Ia adalah detik apabila sekali lagi rakyat Malaysia pelbagai bangsa
dan keturunan memikirkan sejenak betapa pentingnya Merdeka dan
pengertiannya kepada semua rakyat Malaysia.
Kedatangan 31 Ogos tahun ini menandakan kita akan menyambut kelahiran
negara untuk kali ke-55. Dalam meraikan perayaan bulan merdeka, rakyat
Malaysia dapat menyemarakkan semula semangat patriotik mereka yang amat
penting dalam pembinaan perpaduan untuk sebuah negara yang berbilang
kaum seperti negara kita.
Menyemai kebanggaan pada bendera Jalur Gemilang penting dalam
pembinaan negara. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan Jalur
Gemilang kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada
negara. Menganjurkan kempen Cintakan Bendera Kita di sekolah-sekolah,
di kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman
tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya.
Bagi generasi muda, Hari Kebangsaan membawa ingatan kegigihan dan
perjuangan menentang zaman penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan.
Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa
yang dicapai selama ini. Bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya
yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan
sebelum ini menunjukkan walaupun kebanyakan anak muda kita mempunyai
semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati
sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.
Bagi mereka hari kemerdekaan hanya merupakan cuti am di mana mereka
berpeluang bersantai. Oleh itu, lebih banyak usaha harus diambil untuk
menerangkan dan menjadikan mereka lebih menghargai erti sebenar hari
kemerdekaan.
Tatkala rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa tidak lama lagi akan
menyambut satu lagi ulang tahun kemerdekaan kita, izinkan saya
menekankan sekali lagi tentang asas yang membawa kita bersama iaitu
prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Rukun Negara digubal
pada 1970 dan menetapkan untuk mencapai satu bentuk konsensus minimum
dengan mengambil kira aspirasi nasional di kalangan pelbagai masyarakat
di Malaysia tanpa mengira kedudukan geografi atau latar belakang etnik
mereka.
Rukun Negara adalah panduan kita untuk pembinaan negara dan perlu
dihormati oleh semua. Ia adalah satu wawasan bersama untuk perpaduan
nasional. Prinsip-prinsip itu perlu sentiasa dipertahankan dan diamalkan
supaya kita tidak mengambil mudah kestabilan, keamanan dan keharmonian
yang kita kecapi setakat ini.
Ramai yang mengambil mudah isu perpaduan. Ia bukanlah satu
perkembangan yang sihat dalam sebuah negara berbilang bangsa, pelbagai
agama dan pelbagai budaya seperti Malaysia, usaha berterusan mesti
dibuat oleh semua rakyat untuk mengukuhkan perpaduan.
TAN SRI LEE LAM THYE, Ahli Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan