KHOO Boo Soon menunjukkan dokumen
kerajaan negeri Pulau Pinang semasa mengadakan sidang akhbar di
Georgetown, Pulau Pinang, semalam.
*****
PULAU PINANG 3 Ogos - Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa mengelirukan
rakyat apabila mengklasifikasi projek pembangunan di lereng bukit
sebagai 'projek istimewa'.
Bekas Pemangku Pengarah Jabatan Perancangan Bandar, Majlis
Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Khoo Boo Soon berkata, definisi yang
diberikan kerajaan negeri itu menyebabkan penduduk tidak memahami apa
yang berlaku di kawasan tempat tinggal mereka.
Jelasnya, sesebuah pembangunan boleh diklasifikasi sebagai projek
istimewa apabila ia melibatkan pembinaan infrastruktur awam seperti
jalan raya dan pengangkutan atau membabitkan isu keselamatan negara.
Beliau berkata, meskipun status tanah ditukar kepada kediaman melalui
Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 (RSNPP 2020) atau ia
sememangnya zon kediaman dalam Pelan Dasar Perancangan dan Kawalan
Pembangunan MPPP 1996, ia tidak boleh mendapat kelulusan pembangunan
secara automatik.
"Ia masih perlu diperiksa dengan ketat oleh jabatan teknikal
berkaitan sebelum kelulusan diberi dalam bentuk permit perancangan oleh
MPPP.
"Sehubungan itu, projek istimewa tidak sepatutnya digunakan sebagai
laluan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan kelulusan kepada
projek pembangunan di lereng bukit walaupun ia melebihi ketinggian 76
meter dan kecerunan melebihi 25 darjah," katanya pada sidang akhbar di
sini hari ini.
Boo Soon pernah berkhidmat sebagai Perancang Bandar pada 1993 dan
memegang tugas Pemangku Pengarah Jabatan Perancangan Bandar MPPP dari
Januari hingga Mac 2010.
Bagaimanapun beliau bersara awal disebabkan masalah kesihatan.
Dalam pada itu, Boo Soon menegaskan, MPPP berhak menolak sebarang
permohonan projek istimewa sekiranya mendapati ia tidak menepati syarat
ditetapkan dalam RSNPP 2020.
Menurutnya, selain itu, MPPP diberikan kuasa di bawah Akta
Perancangan Bandar dan Desa 1976 untuk mengambil tindakan sedemikian
demi kebaikan penduduk Pulau Pinang.
"Kerajaan BN sebelum ini pernah menolak kelulusan sebuah projek yang
dikendalikan pemaju di Jalan Sultan Ahmad Shah pada 2003 selepas
mendapat bantahan orang ramai," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan negeri berkemungkinan disaman pemaju jika
membatalkan projek pembangunan di lereng bukit, Boo Soon berkata,
berdasarkan Kanun Tanah Negara dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 197,
PBT tidak mudah disaman oleh pemaju.
Sehubungan itu, Boo Soo menggesa MPPP tidak menyembunyikan fakta
sebenar tentang keadaan lereng bukit di negeri itu daripada orang ramai
dan harus membatalkan semua projek istimewa yang dibantah penduduk.
/hwa: utusan.com.my | 4/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan