NAJIB Tun Razak bersama isteri,
Rosmah Mansor menyampaikan duit raya kepada golongan miskin sempena
majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid At-Taqwa, Paroi, Seremban,
Negeri Sembilan, semalam. Turut sama Mohamad Hasan (tengah) dan isteri,
Raja Salbiah Tengku Nujumudin (dua, kiri). - UTUSAN/ABD RAZAK AID
*****
SEREMBAN 2 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari
ini menjelaskan bahawa falsafah dan prinsip beliau mengurus tadbir
negara ini adalah berpaksikan kepada al-Quran dan sunah.
Kata Perdana Menteri, falsafah yang dipraktikkan tersebut adalah
lebih baik daripada teori Barat kerana ia berpaksikan kepada prinsip dan
semangat berteraskan kepada agama.
''Kita mesti memperjuangkan berdasarkan agama dan syariah. Kita mesti
jaga negara, akal, ilmu, keturunan, harta, keamanan dan kelima-lima
tuntutan agama, yang mana menjadi landasan yang diperjuangkan oleh
kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama
rakyat di Masjid At-Taqwa, Paroi dekat sini.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar,
Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku
Nujumudin serta beberapa menteri dan pemimpin negeri.
Kata Perdana Menteri lagi, rakyat jangan tertipu dengan pihak yang
kononnya memperjuangkan Islam tetapi sering gagal mengotakan janji.
''Perjuangan kita jelas kerana kita ada agenda dan pengisian. Bila
kita lakukan sesuatu, kita fikir jauh ke hadapan dan bukan bersikap
populis, janji itu dan ini, tetapi belum tentu janji itu boleh dibuat,"
ujar beliau.
Najib turut memberitahu, dalam agenda kewangan, pelaburan dan ekonomi
sahaja jelas menunjukkan bahawa negara ini berada dalam prestasi yang
amat baik berbanding negara lain.
''Ada negara di mana kadar pengangguran dalam kalangan orang mudanya
sehingga 45 peratus. Di Sepanyol, mungkin mereka boleh menang dalam
Kejohanan Bola Sepak Euro, meskipun kita kalah dalam bola sepak, tetapi
kita boleh dikatakan jaguh dalam bidang pentadbiran ekonomi negara.
''Sebab itulah, bila kita menegakkan prinsip keadilan sosial, kita
akan dapat melihat ekonomi negara kita melalui pertumbuhan yang baik dan
rakyat pula mendapat pembelaan yang sebaik mungkin daripadanya," kata
beliau.
Beliau menjelaskan, kejayaan yang dicapai negara ketika ini bukan
diuji setahun dua, tetapi terbukti sejak mencapai kemerdekaan lagi.
''Setiap Perdana Menteri yang memimpin negara ini ada budi dan
jasanya, saya hanya menyambung sahaja dan akan membawa negara ini ke
mercu kejayaan berdasarkan kepada sokongan padu daripada rakyat,"
tegasnya.
Mengenai bajet yang akan dibentangkan pula, Najib berkata, akan ada lebih banyak faedah untuk dinikmati rakyat.
Pada majlis tersebut, Najib turut menyampaikan sumbangan dan bantuan
kepada fakir miskin, orang kurang upaya serta ibu tunggal dengan jumlah
peruntukan sebanyak RM85,000.
Beliau juga meluangkan masa mendengar tazkirah Ramadan yang
disampaikan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk
Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al Maliki selepas solat maghrib dan solat
sunat tarawih.
/hwa: utusan.com.my | 3/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan