PERSATUAN Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong)
sentiasa menuntut hak yang keterlaluan dan sukar dilakukan oleh kerajaan
terutama menjelang pilihan raya umum.
Dong Zong terlalu kuat kerana media massa khususnya berbahasa Cina
memainkan isu dan sentimen pendidikan kaum Cina untuk meraih populis
dalam kempen pilihan raya malah menolak kebaikan dilakukan kerajaan.
Mereka sedia maklum bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dulu
berlaku adil kepada semua kaum untuk menikmati taraf pendidikan.
Meskipun pelbagai sekolah vernakular wujud dengan kurikulum, falsafah
negara dan pedagogi, sistem, struktur organisasi dan kewangan diberi
status urus tadbir sendiri tetapi desakan sama rata dari aspek sistem
persekolahan, bahasa pengantar, sukatan pelajaran, kokurikulum,
kemudahan prasarana, tenaga pengajar dan jenis sekolah menjadi idea dan
hakikat mendesak pemerintah.
Bangsa ambilan ini menyedari hanya pendidikan dapat meraih empayar
ekonomi dan pembangunan menyeluruh di negara ini. Pada ketika perpaduan
Melayu di hujung tanduk angkara politik tidak matang, mereka pula
mendapat manfaat hasil perpecahan dan persengketaan orang Melayu
sendiri.
Sistem persekolahan hanya ada satu di kebanyakan negara di dunia
malah tidak wujud Sekolah Jenis Kebangsaan Melayu atau penamaan taboo
Melayu seperti Bukit Melayu, Restoran Melayu, Jalan Melayu, Bank Melayu,
premis dan bangunan Melayu dan segala macam nama sinonim dengan kaum
sendiri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri
Pelajaran telah menjalankan pelbagai usaha dan memberi maklumat untuk
menyakinkan masyarakat Tionghua bahawa kerajaan tetap membantu dan tidak
pernah mengabaikan sekolah vernakular malah sekolah jenis Cina paling
banyak mendapat limpahan manfaat kerajaan.
Gendang tuntutan dan asakan makin rancak selepas Dong Zong berjaya
mendapat kelulusan pembinaan sekolah menengah Cina swasta, sekolah
Menengah Chong Hwa di Kuantan, Pahang dan terbaru mendesak kerajaan
meluluskan sekolah menengah Cina swasta cawangan Segamat.
Tambahan mereka menuntut Bahasa Mandarin menjadi pengantar dan bahasa
nasional dalam masyarakat majmuk. Sedangkan masih ramai dalam kalangan
masyarakatnya tidak mahir bertutur dan tidak menggunakan bahasa
kebangsaan dalam majlis bersifat formal apalagi program anjuran pihak
swasta dan perniagaan langsung tidak memperlihatkan jati diri
warganegara ini.
Kaum-kaum lain juga ada hak membela kepentingan dan kebajikan
masing-masing, biarpun masyarakat Melayu dilihat mengalah tetapi nilai
tolak ansur dan kekitaan menjadi kepercayaan penganut agama Islam yang
melarang umatnya berlaku zalim selagi orang bukan Islam masih taat pada
pemerintah yang adil.
Kaum ambilan perlu rasional dan waras dalam menuntut hak dengan
kembali membaca sejarah dan perlembagaan negara serta kontrak sosial
bahawa kerajaan ada tanggungjawab terhadap kepentingan kaum lain baik di
Sarawak dan Sabah mahupun Orang asli dan masyarakat pedalaman yang
masih jauh ketinggalan dalam pendidikan.
Oleh itu, kerajaan tidak perlu gentar dengan tuntutan kaum ambilan
ini kerana pengundi bijak menilai parti yang menepati janji dan menjaga
keharmonian hidup masyarakat majmuk.
/hwa: utusan.com.my | 3/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan