DETIK 12.00 malam tadi, bermulalah sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55
negara kita - Malaysia. Sebelum tiba detik itu, pelbagai kumpulan
masyarakat menantikan saat-saat kemunculan tarikh 31 Ogos itu dengan
pelbagai acara sambutan.
Kali ini agak berbeza dengan sambutan tahun-tahun terdahulu kerana
pihak penyokong anti kerajaan Barisan Nasional beriya-iya juga
mengadakan majlis sambutan. Tetapi acara sambutan mereka agak berlainan
daripada biasa.
Penganjur Himpunan Janji Demokrasi terus berdegil apabila mengadakan
dua sambutan kemerdekaan di dua tempat berlainan dengan acara yang
berbeza.
Mereka mengadakan perhimpunan di Jalan Sultan (dekat Jalan Petaling)
dan di Dataran Merdeka - kedua-dua lokasi di tengah-tengah pusat Kuala
Lumpur.
Mereka kata tiada banner, sebarang sticker (pelekat), atau ucapan
pada perhimpunan itu, cuma Pak Samad (A. Samad Said) akan menyampaikan
puisi sahaja. Tetapi bagaikan sudah dijangka, situasi berlainan yang
berlaku.
Penganjur himpunan itu hanya boleh memberi jaminan perhimpunan itu diadakan dalam keadaan harmoni dan aman.
Sebenarnya pihak polis tidak memberikan kebenaran kepada pihak
penganjur mengadakan sambutan menjelang Merdeka di lokasi berkenaan
kerana gagal mematuhi syarat permohonan mengadakan perhimpunan aman.
Jadi perhimpunan itu adalah haram.
Tetapi penganjur sudah mencanangkan dalam media baru bahawa mereka
tetap boleh menganjurkan sambutan Janji Demokrasi di tepi pancutan air
di Dataran Merdeka pada jam 10 hingga 12 malam tadi.
Sedangkan kawasan sekitar Dataran Merdeka ditutup pada malam tadi
untuk persiapan upacara perarakan Hari Kemerdekaan Ke-55 yang akan
berlangsung hari ini.
Sebab itu sambutan Ambang Kemerdekaan diadakan di Stadium Nasional
Bukit Jalil. Bayangkan keadaan orang ramai di Dataran Merdeka malam tadi
yang biasanya menyambut Ambang Merdeka di situ.
Apa maksud penganjur dan peserta himpunan Janji Demokrasi ini yang
kononnya mahu turut menyambut hari kemerdekaan, tetapi mereka mengenakan
pakaian atau apa sahaja yang berwarna kuning.
Yang jelas hasrat mereka - walaupun tidak menggunakan nama Bersih
tetapi tuntutan mereka masih sama iaitu mengulangi gesaan agar kerajaan
menunaikan tiga janji demokrasi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13).
Mereka menuntut kerajaan melunaskan janji demokrasi antaranya
mempertahankan keluhuran perlembagaan, mendukung hak sivil dan kebebasan
bersuara; mansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan media; dan
memberi jaminan pilihan raya yang bersih dan adil.
Walau himpunan haram itu dianjurkan oleh badan bukan kerajaan tetapi
kita boleh nampak siapa dan parti mana di belakang penganjur Janji
Demokrasi.
Demokrasi di negara kita sudah terbukti sejak Malaysia merdeka 55
tahun lalu. Sebanyak 12 kali PRU diadakan dan ada pasang surut sokongan
pengundi yang memilih sistem demokrasi untuk menentukan siapa dan parti
mana yang diberi mandat memerintah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Sepanjang tempoh 55 tahun itu juga, parti-parti seperti Pas, USNO,
Berjaya, PBS, DAP dan PKR mendapat kepercayaan rakyat melalui demokrasi.
Tinggal lagi kini yang Pas, DAP dan PKR tidak mahu terima hakikat
ialah kegagalan dan kelemahan mereka mentadbir negeri-negeri yang
diterajui masing-masing.
Kalau pengurusan dan pentadbiran negeri kelam-kabut, banyak
penyelewengan dan skandal serta isu-isu manisfesto PRU-12 yang tidak
ditunaikan, mengapa salahkan pihak lain yang telah menjalankan proses
demokrasi.
Lihat pemimpin-pemimpin Pas, DAP dan PKR yang tidak boleh dikritik - mana hak kebebasan bersuara dalam demokrasi?
Terbaharu, baru sekarang Menteri Besar Selangor berkata manifesto
bekalan air percuma 20 meter padu pertama bukan satu perjanjian.
Senang-senang pemimpin PKR itu cuci tangan.
Semakin jelas alasan dan pembohongan bagaikan menjadi mainan
kata-kata dan ia bukan janji yang mesti ditepati oleh pemimpin
pembangkang.
Fikirlah siapa yang memperbodohkan rakyat melalui janji demokrasi dan siapa yang memegang kata-kata janji ditepati.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-55.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan