Najib Tun Razak
*****
Alhamdulillah, segala rasa syukur dipanjatkan
kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, lantaran dengan rahmatnya jua, kita
rakyat Malaysia berpeluang meraikan ulang tahun kemerdekaan negara buat
kali yang ke-55.
Sudah lebih lima puluh tahun, dengan berpayungkan piagam asas
nasional, yakni Perlembagaan Persekutuan serta berpandukan ideologi
kebangsaan Rukun Negara, Malaysia dan rakyatnya telah bertatih dan
bertapak membangunkan sebuah negara bangsa.
Maka, berteraskan muafakat dan kerjasama daripada semua pihak, hari
ini saya boleh melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa kemerdekaan yang
telah dicapai lebih lima dekad yang lalu, hasil perjuangan bapa-bapa
pengasas negara kita yang datang daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan
latar belakang ini, akan terus utuh.
Begitulah, perpaduan nasional yang bertunjangkan kepelbagaian akan
kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional. Dari sudut kemakmuran
nasional pula, ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik
dijalankan kerajaan bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat
dirasai oleh semua.
Ternyata, kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya kejayaan
bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik. Oleh kerana
itu, di bawah payung Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi
bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP (Program Transformasi
Kerajaan) dan ekonomi melalui ETP (Program Transformasi Ekonomi) tetapi
juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar.
Sesungguhnya, langkah berani pihak kerajaan melaksanakan Program
Transformasi Politik bagi mengimbangkan kebebasan individu dan
keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan lagi demokrasi di
Malaysia, sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan
nasional.
Malaysia merupakan bukti dan manifestasi janji ditepati dan harapan
yang dipenuhi. Bagi memahami kebenaran dari kenyataan di atas, setiap
seorang daripada kita perlu kembali kepada susur galur sejarah.
Hakikatnya pun, kita mencapai kemerdekaan di tengah-tengah pemberontakan
bersenjata Parti Komunis Malaya dalam suasana di mana survival kita
sebagai sebuah negara berbilang bukan sahaja daripada segi kaum, bahkan
juga agama dan bahasa, pernah disangsikan oleh masyarakat dunia.
Terakam dalam kamar peristiwa, selama 55 tahun kita berjaya melangkau
jangkaan serta telahan yang dibuat pelbagai pihak termasuk di kalangan
warganegara sendiri. Terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi
bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu
dikekalkan apatah lagi ditambah baik, adalah meleset sama sekali.
Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa
kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan
terancam. Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara
pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih
separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, dengan bergantung
kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan ekonomi bersifat
pelbagai.
Malah, dewasa ini, berkembang pula sebagai negara berpendapatan
sederhana tinggi berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara
maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kelak. Insya-Allah.
Sepanjang detik yang berlari, kita telah menggantikan kebimbangan
dengan harapan, kita telah mencipta sebuah negara di mana yang penting
adalah kemahuan dan kesanggupan untuk bekerja keras. Juga, di mana, anak
seorang petani, pekebun kecil, buruh dan nelayan berjaya menjadi
usahawan serta profesional. Pucuk pangkalnya, kita telah mencipta sebuah
negara sehingga anak-anak Malaysia boleh mendambakan masa depan yang
lebih baik.
Semuanya ini, merupakan nikmat daripada perancangan penuh teliti dan
pelaksanaan amat berkesan oleh pihak kerajaan yang telah diberi mandat
mentadbir semenjak kemerdekaan diperoleh. Walau apa pun, kejayaan yang
dikecapi bukan sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpeluk tubuh,
sebaliknya ia harus menjadi mangkin menuju sinar yang lebih terang
benderang pada hari muka.
Oleh itu, dua tahun yang lalu, kita melancarkan fasa pertama Dasar
Transformasi Nasional, iaitu Pelan Transformasi Kerajaan dengan tujuh
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Tujuh NKRA bagi fasa pertama
tersebut, akan tamat menjelang akhir tahun ini.
Sehubungan dengan itu, kerajaan akan melangkah ke hadapan dengan
pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa Ke-2 atau GTP-2 yang
bakal melonjakkan lagi kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi.
GTP-2 juga akan menyaksikan penglibatan masyarakat yang lebih meluas
sekali gus pembabitan yang lebih bermakna daripada pertubuhan bukan
kerajaan yakni NGO dan sektor korporat.
Namun, segala usaha dan prakarsa yang dilakukan akan hanya tinggal
sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh semua segmen
masyarakat.
Kesimpulannya, sekarang kita berada pada satu kala masa yang amat
monumental bagi Malaysia. Di sana-sini, rakyat boleh melihat perubahan
ketara bukan sahaja di peringkat individu hatta di peringkat keluarga
dan komuniti.
Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala
janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya.
Dari itu, saya ingin sama-sama berpesan, bahawa janganlah kita sampai
mempunah binasa apa yang telah bersusah payah dipupuk dan dicipta.
Janganlah sesekali pula, diporak-peranda harmoninya watan yang telah
sekian lama terbina. Moga-moga Tuhan memberi perlindungan dan
melimpahkan rahmat-Nya.
Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-55.
Dirgahayu Malaysiaku. Dirgahayu Malaysiaku.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan