AIDILFITRI bukan sahaja masa untuk meraikan
kejayaan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga masa untuk bertemu
saudara-mara, rakan-taulan dan sahabat handai. Kesempatan pada
Aidilfitri selalunya digunakan untuk menziarah sama ada yang dekat
mahupun jauh.
Apabila berziarah, terutama saudara-mara dan rakan-taulan yang sudah
lama tidak bersua tentunya banyak kisah yang dikongsi. Daripada hal
berkaitan keluarga hingga membawa kepada isu-isu masyarakat termasuk
politik.
Kesempatan berhari raya di rumah seorang sepupu di Kampung Teloi Tua
di Batu Lima, Sik, Kedah baru-baru ini turut menyajikan cerita
tersendiri. Kampung ini yang terletak di tepi jalan utama antara Sik
dengan Baling tidak ada apa yang istimewa.
Ia yang berjiran dengan Felda Teloi Timur, hanya sebuah kampung biasa
yang kini sedikit sebanyak turut mendapat manfaat daripada pembangunan
yang dirancang oleh kerajaan.
Aidilfitri di kampung itu juga sama dengan kampung-kampung lain di
Kedah. Kemeriahannya sedikit terjejas oleh perbezaan politik yang
menghakis semangat muafakat dan kejiranan di kalangan penduduknya.
Itu realiti politik di Kedah dengan penduduk di setiap kampung,
mukim, daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pecah dua iaitu
penyokong UMNO dan Pas.
Begitu juga di Kampung Teloi Tua yang terletak dalam Parlimen Sik.
Penduduknya ada yang menyokong UMNO dan ramai juga yang pro-Pas.
Tetapi dalam pilihan raya umum lalu iaitu pada 2008,
pengundi-pengundi di Sik yang seramai 40,538 orang termasuk penduduk
Kampung Teloi Tua memilih calon Pas sebagai wakil mereka di Parlimen.
Calon Pas, Che Uda Cik Nik yang lebih dikenali sebagai Cikgu Uda
menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Osman Desa dengan majoriti
481 undi.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11, Parlimen Sik dimenangi calon BN, Datuk Dr. Wan Azmi Wan Ariffin dengan majoriti 319 undi.
Sebelum itu pada PRU-10 ia dimenangi Sasterawan Negara, Datuk Shahnon
Ahmad yang menewaskan Allahyarham Tan Sri Abdul Hamid Othman.
Tetapi apa yang mahu dikongsi di sini bukan soal siapa menang atau
masalah perpecahan di kalangan penduduk kampung atau tentang pengaruh
Pas di Kedah. Tetapi tentang kesan besar apabila seorang pemimpin turun
padang dan melihat dari dekat masalah rakyat.
Kunjungan ke rumah sepupu tersebut di Kampung Teloi Tua itu merupakan
rutin yang dilakukan setiap kali Aidilfitri. Jika tahun lalu dan
tahun-tahun sebelumnya, sepupu yang terkenal dengan panggilan Pak Lang
Ji itu pasti akan menghentam kerajaan dan menghentam BN, tetapi kali ini
berbeza.
Malah sikap sebahagian penduduk di Kampung Teloi Tua (jika tidak
semua) terhadap kerajaan juga berbeza. Selepas dirisik dan diselidik,
rupanya ia antara kesan daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak ke kawasan itu pada 29 Julai lalu.
Pak Lang Ji dengan bangga dan tanpa segan-silu bercerita mengenai pengalamannya dapat bersalaman dengan Perdana Menteri.
Lalu ditebak soalan, sudah dapat bersalam dengan Perdana Menteri
masih marah juga? Pak Lang Ji sambil tersenyum simpul menjawab: "Tak
marah lagi dah."
Malah dia suami isteri yang sebelum ini merupakan antara penyokong
tegar Pas sudah berubah sikap terhadap BN. Itu kesannya lawatan Perdana
Menteri ke Sik baru-baru ini.
Kesan yang bakal memberi petanda positif kepada BN di Parlimen Sik
yang 92.93 peratus pengundinya ialah Melayu, 5.24 peratus Siam dan 1.84
peratus kaum- kaum lain.
Perubahan yang berlaku pada keluarga Pak Lang Ji selepas lawatan
Najib itu mungkin dianggap kecil dan tidak signifikan pada sesetengah
pemimpin.
Tetapi bagi kawasan seperti Sik yang kemenangan dan kekalahan
dipisahkan oleh angka yang sangat kecil, perubahan sokongan seorang
pengundi seperti Pak Lang Ji boleh membawa erti yang besar.
Usaha yang dirintis oleh Najib sama ada di Kedah mahupun di
negeri-negeri lain itu perlu disusul dengan baik oleh pemimpin-pemimpin
setempat.
Jangan biarkan angin perubahan yang baru bertiup dan hati yang mula
terbuka kembali tertutup hanya kerana kegagalan pemimpin akar umbi
meneruskan usaha yang telah dirintis oleh pucuk pimpinan.
Jangan biarkan apa yang dirintis dan diusahakan Perdana Menteri itu
menjadi sia-sia disebabkan pemimpin akar umbi tidak prihatin dan malas
turun padang.
Bagi rakyat bawahan seperti penduduk di Kampung Teloi Tua dan di
daerah pedalaman seperti Sik yang majoritinya adalah penoreh getah,
mereka tidak mengharapkan pemimpin makan dan tidur dengan mereka.
Cukuplah sesekali-sekala dapat bersua dan bersapa sambil bertanya akan masalah yang dihadapi.
Biarpun belum tentu masalah itu dapat diatasi, tetapi cukup jika
pemimpin terbabit sudi memasang telinga mendengar apa yang diluahkan
sambil menganggukkan kepala tanda faham.
Itu yang dilakukan oleh Najib. Kesannya penentang tegar BN seperti Pak Lang Ji lembut hati dan mula beralih arah.
Bagi rakyat, dapat bertemu, bersalaman dan berkata-kata biarpun hanya
satu perkataan dengan pemimpin amat bermakna. Sebab itu, para pemimpin
akar umbi perlu mendekati rakyat sepanjang masa.
Jangan hanya ketika lawatan Perdana Menteri mereka menonjolkan muka
dengan harapan akan dipilih menjadi calon. Tetapi selepas itu terus
menghilangkan diri mencari laba hingga rakyat lupa kewujudan mereka.
/hwa: utusan.com.my | 31//8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan