KEMERDEKAAN sekiranya dicerakinkan seperti yang dikatakan Pendita
Za'aba adalah memerdekakan jiwa dalam konteks hari ini. Kita bukan lagi
dalam dunia kolonial secara fizikal atau mudah berasa gundah dan takut
setiap kali mengambil atau menikmati khazanah negara kerana adanya kuasa
luar yang menjajah kita.
Itulah hujah pembuka Bicara oleh Ketua Penyelidik Ekonomi
Syariah Antarabangsa Kewangan Islam, Profesor Madya Dr. Asyraf Wajdi
ketika disoal mengenai "Memahami Erti Merdeka dalam Konteks Masa Kini".
Merujuk pada kata-kata Za'aba, Dr. Asyraf turut mengingatkan, bahawa
ancaman terhadap bangsa merdeka kini menjelma dalam bentuk penjajahan
dalam bentuk fikiran dan budaya.
"Kita bukan lagi berjiwa merdeka sekiranya berjiwa perhambaan dan
malangnya, walaupun sudah 50 tahun merdeka, kadang-kadang pemikiran kita
masih terjajah," katanya.
Selain isu penjajahan minda, perkara utama yang menjadi cabaran
terutama umat Islam di negara ini dalam konteks menjadi umat contoh,
adalah cabaran untuk mengangkat martabat Islam sebagai agama yang
syumul.
Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail,
umat Islam di Malaysia selaku umat merdeka harus membuktikan kepada
dunia, bahawa Islam bukan agama keganasan.
"Oleh itu, tanggungjawab memerdekakan negara dalam konteks agama
adalah satu kewajipan dan tidak patut ada di kalangan kita membiarkan
negara, agama Islam dan bangsa kita terus dijajah," katanya.
Shahlan dan Dr. Asyraf menjawab demikian ketika disoal Amin Idris, hos program Bicara terbitan TV Al Hijrah yang bersiaran secara langsung, baru-baru ini.
Merujuk pada kepentingan Islam sebagai asas kepada pembinaan jati
diri bangsa merdeka, Dr. Asyraf mengingatkan pada kata-kata Saidina Umar
Al Khattab yang berpesan, sebagai umat yang diberi kehormatan oleh
Allah dengan Islam, maka sesiapa yang mencari selain daripada Islam,
pasti akan menempah kehinaan Allah.
Shahlan pula merujuk pada Antropologi Islam terkenal, Ibu Khaldun
yang menyebut: "Mana-mana bangsa yang pernah dijajah kuasa penakluk,
akan mudah merasa kagum kepada apa sahaja yang dilakukan penjajah,
hingga mereka sanggup memuji-muji kehebatan penjajah walaupun jelas
merosakkan bangsa sendiri. Justeru katanya, generasi masa kini perlu
peka dan memahami erti kemerdekaan secara lebih halus.
"Kita berdepan generasi baharu yang tidak pernah merasai tentang
susah payah memerdekakan negara. Masalah jurang generasi juga harus kita
tangani dengan betul supaya kita mampu melaksanakan konsep menghayati
erti kemerdekaan dengan betul," jelasnya.
Shahlan turut mengingatkan generasi masa kini agar berwaspada kerana
penjajahan moden kini tidak datang melalui serangan bersenjata,
sebaliknya diserapkan melalui pelbagai ideologi pasca moden.
"Kita diserang dengan pemikiran pluralisme, liberalisme dan feminisme
hingga anak muda hari ini keliru kerana ideologi ini menyerap akibat
keadaan politik yang berpecah-belah," katanya.
Ditanya mengenai keutamaan dalam menghayati 55 tahun kemerdekaan
negara, Dr. Asyraf menjelaskan, rakyat negara ini harus yakin untuk
membina jati diri melalui acuan sendiri tanpa dipengaruhi telunjuk orang
luar.
"Kita mesti melakukan perubahan dan pendekatan setiap zaman mengikut
keutamaan waktu, dan kita harus ingat pada zaman Tun Abdul Razak, kita
sudah bangkit menggunakan acuan kita sendiri melalui Dasar Afirmatif,
walaupun pada waktu itu ia dipertikaikan banyak pihak," katanya.
Menurutnya, sejarah awal kemerdekaan wajar dijadikan iktibar. Isu
konflik kaum pada 1969 membuktikan, dasar pecah dan perintah yang
ditinggalkan penjajah menciptakan pelbagai jurang yang sensitif kepada
rakyat pelbagai kaum di negara ini terutama dalam isu ekonomi.
"Pada 1970, kadar kemiskinan tegar negara adalah 49.3 peratus
manakala peratusan kemiskinan tegar mengikut kaum pula, bumiputera 65
peratus, Cina 26 peratus dan India 39 peratus. Jurang ini pencetus
konflik kaum," katanya.
Jelas Dr. Aysraf lagi, isu ekonomi mencetuskan rasa tidak senang,
tidak puas hati, dan prasangka perkauman. Namun akhirnya isu ini
ditangani dengan kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
"Kini dari 49.3 peratus kemiskinan tegar pada 1970, DEB berjaya
menurunkan angka itu pada kadar yang sangat rendah pada 2011, dengan
angka kemiskinan tegar hanya berada di paras 3.5 peratus," katanya.
Selain isu mengawasi ancaman penjajahan moden serta memahami
pencapaian sepanjang 55 tahun merdeka, Shahlan turut mengingatkan
generasi masa kini untuk memahami dan menghayati Perlembagaan negara.
Katanya, Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan,
justeru kedudukan itu perlu dihormati dan digunakan sebaik mungkin
berdasarkan peruntukkan yang termaktub, dan rakyat harus sedar kini
terdapat sekumpulan orang yang mahu membina Perlembagaan berdasarkan
tafsiran mereka sendiri.
"Apabila Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan, ia
menyumbang dan tidak menghalang kepada kemajuan negara yang
beraspirasikan sistem pendidikan, sistem kewangan malah perundangan,"
katanya.
Dengan tegas Shahlan mengingatkan, dalam apa jua keadaan, kata kunci
bagi mengisi dan mempertahankan kemerdekaan negara agar lebih terjamin
pada masa akan datang, tentunya berpaksikan pada perpaduan rakyat.
"Kita tahu polemik perkauman tidak akan mendatangkan apa-apa, marilah
kita bersatu padu dan bersedia untuk bermuzakarah untuk terus
mengekalkan perpaduan ini kerana generasi hari ini mesti menghormati
usaha generasi terdahulu yang sudah berkorban untuk mendapatkan
kemerdekaan negara," jelasnya.
/hwa: utusan.com.my | 311/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan