Najib Tun Razak bersalaman dengan
orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan
Berkumpulan Enam Bahagian UMNO Selatan Kedah di Kompleks Rakan Muda
Baling, Kedah, semalam. - BERNAMA
*****
BALING 30 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak menegaskan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan
diadakan pada bila-bila masa dari sekarang adalah penentu kepada
kesinambungan hidup UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam arena politik
negara.
Sehubungan itu, menurut beliau, mahu tidak mahu ahli UMNO dan BN
perlu bersatu tenaga bagi membuktikan kepada rakyat hanya parti tersebut
mampu menggalas tanggungjawab memimpin dan mentadbir negara dengan
baik.
Malah katanya, ahli dan pemimpin parti juga harus belajar daripada
pengalaman dan tidak mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum lalu
yang menyebabkan beberapa negeri jatuh ke tangan pembangkang.
"Saya amat mengharapkan semangat untuk kita berjuang kali ini adalah
habis-habisan. Marilah kita jadikan ia sebagai satu ikatan dan azimat
kepada kita semua.
"Saya tidak mahu lagi mendengar politik adu domba antara kita, tidak
mahu lagi mendengar politik sesama puak. Kita tidak mahu lagi dalam
kamus kita, ada yang merajuk apatah lagi yang sanggup mengkhianati
parti," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan
Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian Kedah Selatan di Kompleks Rakan Muda,
Batu 42 di sini hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang juga Timbalan
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Menurut Najib, semua UMNO bahagian kini perlu memastikan pemimpin dan
ahli-ahlinya kembali kepada perjuangan asal dengan meletakkan parti
sebagai keutamaan.
"Kita sudah cakap berulang kali, sampai berbuih dan sudah habis reng
(tenaga). Sekarang, sudah sampai masanya untuk kita kukuhkan ikrar.
Marilah kita berjanji kepada parti bahawa akan memastikan kemenangan
tercapai," katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pemimpin parti bertindak lebih
matang dengan meletakkan agenda parti sebagai keutamaan berbanding
kepentingan individu.
"Janganlah kita hanya bercakap di sana dan sini bahawa sudah bersatu
tetapi bersyarat. Sepatutnya kalau sayang parti, tidak ada syaratnya.
Siapa yang dipilih pucuk pimpinan, kita sokong," katanya.
Dalam pada itu, Najib secara berseloroh juga berkata, beliau dapat
mengenali karakter seseorang pemimpin dengan menilai cara mereka
bersalam dengannya.
"Bila saya salam dengan pemimpin itu, saya boleh baca. Apatah lagi saya bersalam dan genggam tangannya.
"Siapa yang mahu jadi calon, bila saya sebut calon boleh menang,
semua rasa dia calonnya. Namun, hakikatnya semua kena terima, sesetengah
daripada kita memang boleh menang, sesetengah tidak. Tetapi kalau kita
sayang kepada parti, redalah, kalau dipilih, syukur, kalau tidak sila
teruskan demi perjuangan parti," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengajak ahli UMNO berfikir dan bertindak secara matang serta dewasa.
Katanya, pemikiran sedemikian bersesuaian dengan taraf usia negara
yang sudah mencapai kemerdekaan selama 55 tahun serta sinonim dengan
usia UMNO sendiri yang kini mencecah 66 tahun.
"Bila kita menyebut angka 55 dan 66 tahun, bererti Malaysia ini
merupakan sebuah negara yang sudah matang. Begitu juga dengan UMNO, pada
takrif dan definisi tersebut bererti sepatutnya parti kita lebih matang
dan dewasa kerana sudah 66 tahun," katanya.
Najib menambah, ciri-ciri kematangan itu juga boleh digunakan dalam
membuat keputusan penting dalam hidup seperti memilih kerajaan atau
pemimpin.
"Bila mencapai usia matang, sepatutnya membawa erti kita sudah
mempunyai pengalaman hidup yang luas. Kita juga perlu mempunyai ilmu
yang mendalam, cara berfikir yang masak dan bijak membuat pertimbangan,"
katanya.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan