KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pembangkang diyakini tidak mampu menandingi
kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang berupaya mengotakan janji
kepada rakyat setelah 55 tahun mentadbir negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, apa yang
dilakukan pembangkang adalah menabur janji tetapi tidak melaksanakannya
biarpun telah diberi mandat selama empat tahun memerintah di empat
negeri.
Jelas beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,
pembangkang perlu sedar pemerintahan mereka di negeri-negeri itu
diperoleh setelah landasan dan asas kukuh dibina BN walaupun perkara
tersebut tidak pernah diakui mereka.
"Apa yang pembangkang lakukan ialah tabur janji, memburuk-burukkan
dan tidak langsung menyatakan kebaikan yang dilakukan kerajaan.
"Mana mungkin DAP dapat memerintah Pulau Pinang kalau landasan ke
arah itu tidak begitu kukuh," kata Shafie kepada pemberita selepas
menghadiri majlis Penghayatan Hari Kemerdekaan ke-55 di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Timbalannya, Datuk Joseph Entulu; Ketua
Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad; Timbalan Ketua
Setiausaha, Datuk Nursiah Arshad dan Datuk Yusoff Dohab; Setiausaha
Bahagian Kanan Khidmat Pengurusan kementerian, Zaniah Ahmad serta Ketua
Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Juzilman Basir.
Mohd. Shafie berkata, ketaksuban ideologi politik pembangkang telah
mengatasi kepentingan rakyat dan negara sehingga menafikan segala
kebaikan yang dilaksanakan kerajaan.
"Sepatutnya kepentingan rakyat dan negara mengatasi ideologi politik
atau agenda peribadi. Mereka perlu terima hakikat banyak janji yang
kerajaan tunaikan selama 55 tahun, tetapi mereka tidak mahu mengakuinya
kerana itu akan mengganggu-gugat pemerintahan mereka," katanya.
Mengulas mengenai pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini,
beliau berkata, pembangunan luar bandar diharap turut diambil kira bagi
memastikan prasarana di kawasan itu dapat ditingkatkan.
"Saya harap kita dapat melengkapkan agenda transformasi luar bandar
termasuk pembangunan modal insan supaya kejayaan di kawasan itu dapat
dilakukan dengan lebih baik," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan