KUALA LUMPUR 30 Ogos - Setiausaha Agung UMNO,
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar tindakan Pas yang sengaja
membuat tafsiran salah mengenai peribahasa Inggeris better the devil
you know than the angel you don't yang digunakan bekas Perdana Menteri,
Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai politik dangkal pembangkang,
beliau berkata, pemimpin Pas sebenarnya memahami maksud sebenar
peribahasa tersebut tetapi sengaja diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu
dalam pengertian yang salah demi untuk mengelirukan fikiran masyarakat.
"Saya amat kesal dan terkilan dengan sikap pembangkang yang sengaja
membuat tafsiran salah. Barangkali Pas sudah ketandusan isu sehingga
pepatah Inggeris yang digunakan Dr. Mahathir dimanipulasi sebagai agenda
propaganda untuk memburukkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional.
"Tulisan Dr. Mahathir bukan bermaksud menyamakan syaitan dengan
malaikat sebagaimana dimanipulasi pembangkang. Maksud peribahasa itu
lebih baik kita berurusan dengan orang dikenali daripada bersekongkol
dengan pihak tidak dikenali," katanya dalam satu kenyataan di sini hari
ini.
Minggu lalu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar
Jamaluddin mendakwa kononnya kenyataan berkias bekas Perdana Menteri itu
bertentangan dengan akidah Islam yang mewajibkan setiap muslim percaya
dan beriman kepada malaikat.
Pada masa sama, pemimpin Pas menyifatkan syaitan yang dimaksudkan Dr.
Mahathir itu adalah UMNO sambil mendakwa haram bagi orang ramai memberi
sokongan kepada syaitan pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut Tengku Adnan, penggunaan peribahasa itu oleh Dr. Mahathir
dalam tulisannya bukan bermaksud memberi pengertian secara khusus tetapi
ia merupakan satu sindiran terhadap perilaku masyarakat agar mereka
dapat membezakan antara kepimpinan BN dengan pakatan pembangkang.
"Tambahan pula, rekod BN sebagai sebuah kerajaan yang
bertanggungjawab terbukti apabila rakyat merasai kesejahteraan dan
keamanan di bawah pentadbiran BN sejak merdeka berbanding sikap
pembangkang yang terserlah lebih cenderung ke arah negatif daripada
melakukan kebaikan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan