DUA anggota Angkatan Tentera Malaysia
memeriksa peralatan pancaragam ketika keluar dari sebuah hotel selepas
menarik diri daripada menyertai istiadat perbarisan sambutan Hari
Kemerdekaan peringkat negeri Selangor di Shah Alam, semalam.
*****
SHAH ALAM 30 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan
ke-55 peringkat negeri Selangor tercemar apabila Kerajaan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Selangor membelakangkan peranan Sultan Selangor, Sultan
Sharafuddin Idris Shah.
Tidak seperti tradisi sebagaimana dilakukan termasuk tahun lalu, pada
tahun ini Sultan Selangor langsung tidak dimaklumkan serta dijemput
menghadiri majlis sambutan itu yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan
di sini malam ini.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani
yang mengesahkan perkara itu berkata, sehingga petang ini, baginda tidak
dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan negeri mengenai sambutan
berkenaan yang dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
serta barisan Exconya.
Sebaliknya, beliau memberitahu, Sultan Sharafuddin hanya dijemput
berangkat hadir pada majlis tahlil serta bacaan Yasin sempena
kemerdekaan negara yang diadakan di Masjid Negeri di sini pada Jumaat
ini.
"Sehingga saat ini, pihak Istana Selangor tidak menerima jemputan
daripada kerajaan negeri untuk majlis itu. Baginda juga tidak pernah
dimaklumkan mengenai sambutan tersebut.
"Sambutan itu adalah anjuran rasmi kerajaan negeri untuk rakyat
Selangor. Maka, adalah wajar baginda dimaklumkan mengenainya," katanya
kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Majlis sambutan yang menggunakan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa:
Terima Kasih Rakyat, Selangorku Terus Maju' itu turut dihadiri oleh
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut diberi ruang
untuk berucap.
Utusan Malaysia difahamkan sebelum ini, penganjuran majlis sambutan
kemerdekaan peringkat negeri akan dimaklumkan kepada Sultan Selangor
namun ia bergantung kepada keputusan baginda sama ada menghadirinya atau
sebaliknya.
Dalam pada itu, difahamkan anggota ketiga-tiga cabang Angkatan
Tentera Malaysia dan pasukan polis telah menarik diri daripada menyertai
istiadat perbarisan sambutan itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Hotel Quality di sini petang ini
mendapati anggota pasukan keselamatan berkenaan sedang giat mengemas
kelengkapan mereka untuk meninggalkan hotel berkenaan.
Difahamkan tindakan itu dibuat kerana pihak penganjur telah membuat
perubahan konsep sambutan di saat-saat akhir selain ia tidak disertai
Sultan Sharafuddin.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan