Lagu keramat, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat ciptaan Johari Salleh terus dinyanyikan oleh para perwakilan dengan penuh bersemangat setiap kali Perhimpunan Agung UMNO.
*****
SETIAP kali berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO, lagu keramat, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat
akan sentiasa berkumandang di setiap penjuru Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) dan dinyanyikan dengan penuh semangat oleh para perwakilan.
Mula diperdengarkan secara umum pada Perhimpunan Agung UMNO 1985 di
PWTC, lagu itu merupakan hasil ciptaan sepenuhnya komposer terkenal yang
juga bekas Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Johari Salleh.
Namun di sebalik semua itu, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa
ilham untuk menghasilkan lagu itu datangnya daripada isteri bekas
Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Menurut Johari, segalanya bermula apabila Siti Hasmah yang lama
dikenalinya sejak bertugas di RTM, menghubunginya melalui telefon
kira-kira tiga minggu sebelum Perhimpunan Agung UMNO 1985.
"Saya masih ingat ayatnya. Dalam nada lembut dan ceria, beliau secara
kiasan menyatakan bahawa MCA dan MIC sudah memiliki lagu rasmi tetapi
UMNO masih belum ada.
"Tanpa berfikir panjang, saya katakan kepadanya usah bimbang. Saya
akan uruskan segera dan anggaplah segalanya sudah selesai," katanya
kepada S2.
Mencipta lagu itu jelasnya tidaklah sukar memandangkan beliau
sememangnya memiliki studio sendiri. Menurutnya, lagu itu hanya
memerlukan kira-kira dua jam untuk disiapkan.
"Untuk proses rakaman, saya menggunakan kakitangan syarikat saya
sendiri iaitu, Josal Music Sdn. Bhd. Tidak hanya kakitangan Melayu,
malah kakitangan Cina dan India turut menyanyikan lagu itu," katanya.
Selepas seminggu menerima panggilan daripada Siti Hasmah, Johari
berkata, beliau menyerahkan salinan lagu itu kepada Setiausaha Agung
UMNO ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid di bangunan Parlimen.
"Lantas lagu itu diperdengarkan kepada barisan kepimpinan UMNO
termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dewan
Bankuasi, Bangunan Parlimen. Setelah dimainkan dua atau tiga kali, hanya
dalam tempoh setengah jam, kesemua mereka mampu menyanyikan lagu itu
dengan baik sambil melihat lirik lagu tersebut di tangan masing-masing.
"Semangatnya sukar digambarkan. Saya berbangga dengan lagu itu kerana
Tun Mahathir turut menyebut nama saya ketika berucap pada Perhimpunan
Agung UMNO 1985 sebagai pencipta lagu UMNO. Apatah lagi sehingga kini,
lagu itu terus dinyanyikan dan diambil semangatnya," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan