MALAYSIA kini berada di tangga ke-12 dalam
senarai kemudahan urus niaga; nombor 25 dalam indeks kompetitif, di
tempat kesembilan sebagai destinasi pelancongan utama; pelindung
pelaburan keempat terbaik; dan nombor satu untuk kemudahan kredit.
Ini bukan sahaja meletakkan negara mengatasi negara maju seperti
Jepun, Jerman, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Sweden dan
Itali malahan lebih baik daripada Thailand, China, Bahrain, Itali dan
India.
Sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar lima peratus
juga berjaya dilepasi pada kadar semasa 5.2 peratus, lebih baik daripada
KDNK Singapura, AS mahupun Korea, di samping pengiktirafan Malaysia
sebagai pusat kewangan Islam ulung dunia.
Kadar pengangguran semasa pula cuma sekitar tiga peratus sahaja
berbanding 9.7 peratus di AS, sementara pelaburan swasta meningkat 22
peratus dan Indeks komposit Bursa Malaysia pula mencecah 1,600 mata atas
kepercayaan pelabur seluruh dunia.
Malaysia juga mempunyai hutang pada kadar 53.7 peratus berbanding
KDNK tetapi jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan AS
(73.6 peratus), Singapura (105.7 peratus) dan Jepun yang mencecah 219
peratus.
Defisit fiskal pula pada kadar 4.5 peratus sahaja, jauh lebih baik
daripada India, Sepanyol, AS, UK dan Jepun, malahan kerajaan akan cuba
merendahkan lagi kadar itu kepada tiga peratus kelak.
Walaupun masih banyak fitnah dan suara sumbang yang menuduh negara
dalam keadaan begitu teruk kini, fakta-fakta tersebut membuktikan
kedudukan ekonomi negara kukuh dan berjaya hasil usaha pentadbiran
bijaksana para pemimpin sejak 55 tahun negara merdeka.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh dalam mengemukakan
usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 antara lain menetapkan
sokongan para perwakilan terhadap program transformasi inklusif yang
dilaksanakan secara saksama untuk semua kaum.
Sokongan turut dinyatakan terhadap falsafah pembangunan negara dan
Model Baharu Ekonomi (MBE); Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dan
Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang memberi kesan positif
kepada ekonomi bumiputera; serta sokongan padu untuk pelbagai program
rakyat di bawah jenama 1Malaysia.
Usul itu turut menyeru pengukuhan agenda bumiputera melalui pusat
sehenti di peringkat nasional dan wilayah untuk syarikat bumiputera
serta menggesa syarikat milik kerajaan (GLC) melaksanakan agenda
pembangunan ekonomi bumiputera dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar
program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sahaja.
Tidak dilupakan, pendapatan tinggi dan peluang kerja untuk golongan
muda dalam sektor awam mahupun swasta di samping memperkasakan skim
pembiayaan mikro yang terbukti banyak membantu usahawan bumiputera.
Idris yang juga Pengerusi Mara menegaskan, Malaysia kini telah
menjadi satu 'jenama' dan dunia memperakui ekonomi negara ditadbir
dengan baik oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) selama ini.
"Kita telah mencipta nama tersendiri. Kerana negara ditadbir dengan
baik, rakyat juga kini hidup sejahtera khususnya melihat kepada
kemampuan rakyat berbelanja.
"Sekitar RM1 bilion dibelanjakan rakyat setiap tahun dalam
mengerjakan umrah, anak-anak mampu dihantar belajar di luar negara,
boleh beli kereta, bina rumah dan menjalankan ibadah korban sehinggakan
boleh dihantar kepada penduduk Islam di negara lain," katanya.
Selain bantuan rakyat dalam aspek pendidikan, kesihatan, perumahan
dan banyak lagi, beliau menjelaskan Perdana Menteri turut melancarkan
Indeks Kesejahteraan baru-baru ini yang merangkumi aspek kehidupan
seperti nilai-nilai murni, alam sekitar, perpaduan, tangani kemiskinan
dan sebagainya.
Walaupun dunia telah mengakui kecekapan pentadbiran kerajaan, beliau
berharap rakyat sendiri menyedari fakta tersebut melihat angka dan fakta
sebenar kerana angka-angka tersebut tidak boleh menipu.
"Perbandingan melalui angka-angka itu jelas menunjukkan prestasi
pentadbiran ekonomi negara, jadi tak guna terus menjaja kononnya negara
kita teruk sangat.
"Kadar pertumbuhan, pengangguran, KDNK, semua tunjuk perkara sama,
kita dalam keadaan baik dan mungkin lebih baik daripada sesetengah
negara-negara utama lain," ujarnya.
Tambahnya, pegangan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara juga telah
bertambah hasil pelbagai program oleh Teraju dan agensi kerajaan yang
lain.
Namun, beliau mengingatkan rakyat agar memahami sebarang bentuk
perancangan dan program akan mengambil masa untuk menampakkan hasil.
"Projek-projek besar yang digerakkan menunjukkan komitmen kerajaan
terhadap agenda ekonomi bumiputera tidak boleh dipertikai lagi, tetapi
semua itu memakan masa untuk menunjukkan hasil yang diharapkan.
"Bagaimanapun, agenda bumiputera juga tidak boleh berjalan tanpa
pembangunan dalam ekonomi negara, kedua-duanya perlu selari dan kerana
itu kita bukan sekadar menekankan ekonomi bumiputera sahaja," tegasnya.
Walaupun kerajaan menyatakan komitmen untuk terus membantu ekonomi
bumiputera, Idris berharap usahawan bumiputera sendiri mempunyai
komitmen untuk berjaya atau semuanya akan sia-sia.
Berkaitan peranan GLC, beliau berpendapat warga korporat tidak boleh
disalahkan kerana dilihat kurang bersungguh-sungguh membantu agenda
ekonomi bumiputera.
"Mungkin mereka tidak begitu nampak perkara itu sebagai fokus utama,
tidak boleh salahkan mereka. Kita akan berjumpa dan cakap dengan mereka
agar agenda ini boleh dijadikan antara objektif utama GLC kelak.
"Kerana itu saya sebut perkara ini dalam usul tadi (semalam) untuk
lebihkan peranan GLC. Jika ekonomi bumiputera menjadi antara objektif
utama, ditambah dengan program CSR lagi, semua akan lebih baik,"
jelasnya.
Beliau juga menyatakan keyakinan bumiputera mampu menjadi usahawan
berjaya selagi ikhlas sepenuhnya menjadi usahawan tulen, berdisiplin,
bersatu hati dan mengurangkan sikap-sikap negatif.
"Halangan itu di mana-mana pun ada. Janganlah mahu kerja senang
sahaja, makan bahagian kecil dalam projek tetapi tidak mahu kerjakan
projek itu sendiri, perlu ikhlas dan kerja kuat.
"Sudah jelas ramai usahawan bumiputera yang berjaya kerana mereka ini
ada disiplin, kompetitif dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan
semata-mata," katanya.
Beliau turut menyelar pihak yang mengatakan ekonomi Malaysia tidak
inklusif melihatkan begitu ramai 'taikun-taikun' bukan bumiputera yang
mengungguli senarai individu terkaya negara.
"Kalau kita tidak inklusif, tak mungkin begitu ramai bilionair bukan
bumiputera. Bila menyebut agenda ekonomi bumiputera, mungkin ada
sikit-sikit isu perkauman dimainkan tetapi bukan bumiputera yang dinamik
pasti bersedia berurus niaga dengan usahawan bumiputera.
"Mungkin kerana rakyat tidak diberikan makluman secukupnya
sehinggakan ramai lagi yang mempercayai tuduhan dan penipuan kononnya
pentadbiran ekonomi negara begitu teruk selama ini," ujarnya.
Idris turut mencadangkan lebih banyak usaha digerakkan dalam
menunjukkan fakta sebenar kepada rakyat terutamanya dalam menyampaikan
bukti ekonomi negara telah lama ditadbir dengan baik pemimpin BN.
"Kita kena tunjuk perkembangan jangka panjang, selain kejayaan,
tunjukkan krisis pada 1970-an, 80-an, 90-an, 2000 dan krisis ekonomi
terbaru semuanya melibatkan faktor luaran sedangkan ekonomi dalam negara
tetap kukuh.
"Asasnya balik kepada pembangunan ekonomi, jika ada pertumbuhan, ada
kerja dan ada duit. Dengan pembangunan lebih lima peratus setahun itulah
kerajaan boleh gerakkan bermacam program untuk kesejahteraan rakyat dan
kini semua itu telah diperakui dunia," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan