Tun Dr Mahathir ketika menyampaikan
ucapan di Pentas Pemuda Bersama Calon-Calon Barisan Nasional di Alor
Setar, Kedah baru-baru ini. - UTUSAN/Kamal Basir
*****
Kemunculan Dr. Mahathir bersama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali pada majlis penamaan calon anak ketiganya, Datuk Paduka Mukhriz yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam membuatkan ramai penyokong BN bersorak, teruja dan mengambil kesempatan bersalam serta beramah mesra di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Kedah, pada Sabtu lalu.
"Kami masih sayangkan Tun (Dr Mahathir) dan harap bersama-sama kami untuk melihat Kedah berubah," kata seorang lelaki yang agak berusia sambil memegang bendera BN. Malahan, bekas Perdana Menteri Malaysia Ke-4 itu secara berseloroh sempat menyapa lelaki itu mengenai bendera itu yang sepatutnya dibawa oleh anak muda.
"Apa nama itu? Hang punya baju ada nama, saya tak ada pun. Baguihlah lagu tu sebab orang lain boleh kenal siapa kita," kata Dr. Mahathir kepada seorang anak muda yang begitu bersemangat bertemu dengan seorang negarawan.
Penulis amat mengakui dan kagum karisma Dr. Mahathir. Beliau umpama madu yang pasti menjadi daya tarikan rakyat jelata. Ke mana-mana pun beliau pergi, pasti disenangi oleh rakyat untuk mendekati personaliti negarawan apatah lagi dalam kempen PRU-13.
Pemimpin-pemimpin yang berkarisma amat diperlukan untuk melakukan "transformasi" atau perubahan dalam struktur organisasi yang pernah melalui zaman kemelesetan dan juga transformasi pemikiran individu dalam sesuatu organisasi.
Dr. Mahathir mempunyai karakter itu dan gaya kepimpinan transformational yang didokong selama ini adalah corak kepimpinan yang berupaya untuk melakukan perubahan-perubahan sedemikian. Perlu difahami bahawa pemimpin karismatik adalah bersifat dominan, berkeyakinan diri dan memiliki keyakinan yang kuat ke atas kebenaran moral pada kepercayaan mereka. Mereka berjuang untuk mencipta kesenangan dan kejayaan, mengkomunikasikan visi dan memotivasikan pengikut-pengikutnya.
Kehadiran Dr. Mahathir di negeri kelahirannya amat dialu-alukan apatah lagi kegembiraan pengundi terpancar di DUN Ayer Hitam, DUN Kota Siputeh dan Parlimen Jerlun. Kelibat beliau di kawasan ini tidak asing kerana dahulunya sebahagian daripada Parlimen Kubang Pasu.
Kalau dilihat dari aspek geo-politiknya, Kubang Pasu adalah daerah paling utara di Kedah yang bersempadan dengan Thailand di bahagian utara, Padang Terap di timur dan Kota Setar di Selatan. Kubang Pasu juga bersempadan dengan Perlis dan Selat Melaka di bahagian Barat. Keluasan Daerah Kubang Pasu adalah 945.97 km persegi.
Daerah Kubang Pasu meliputi dua kawasan Parlimen iaitu Parlimen Kubang Pasu dan Parlimen Jerlun, manakala DUN pula terdiri daripada DUN Jitra, DUN Bukit Kayu Hitam, DUN Ayer Hitam dan DUN Kota Siputeh. Terdapat 21 mukim di dalam pentadbiran Daerah Kubang Pasu, antaranya Mukim Ah, Mukim Jerlun, Mukim Keplu, Mukim Pering, Mukim Putat, Mukim Padang Perahu, Mukim Sanglang, Mukim Bukit Tinggi, Mukim Jitra, Mukim Kubang Pasu, Mukim Malau, Mukim Naga, Mukim Tunjang, Mukim Jeram, Mukim Binjal, Mukim Gelong, Mukim Hosba, Mukim Pelubang, Mukim Sungai Laka, Mukim Temin dan Mukim Wang Tepus.
Ketika di DUN Ayer Hitam baru-baru ini, penulis sempat bersembang dengan seorang pakcik, Hashim Mohd. Zain yang mengatakan, kehadiran Che Det (Mahathir) amat disenangi dan mampu membawa kemenangan kepada calon Ayer Hitam (Mukhriz) selain dua calon lain (Kota Seputeh dan Jerlun).
"Depa (rakyat Kedah) mahu projek-projek untuk rakyat biasa saja. Tak perlu pun projek besaq-besaq. Yang itu biaq pi la. Yang penting projek untuk rakyat seperti petani, pekebun, penjaja dan nelayan tak dibiaq begitu saja nooo.
"Che Det baguih sebab ada juga tinggalkan (projek rakyat) untuk rakyat biasa saja sewaktu jadi Perdana Menteri. Tengok di Langkawi, Jitra, Kubang Pasu dan Changlun pun dah nampak jelas," kata Pak Hashim.
Kehadiran Dr. Mahathir mempunyai aura tersendiri. Beliau umpama individu yamh mempunyai sifat kendiri amat tinggi dan dianugerahkan dengan kualiti peribadi yang menjadi contoh kepada orang lain. Beliau berkemampuan menonjolkan keyakinan diri, sifat dominasi, mempunyai hala tuju dan berkemampuan secara psikologi untuk menghubungkan matlamat dengan idea-idea kepada pengikut-pengikutnya. Lihat sahaja dalam ceramah-ceramah politik yang disampaikan oleh Dr. Mahathir sendiri. Sentiasa penuh dan padat dengan orang ramai.
Pemimpin besar seperti ini mempunyai pengaruh luar biasa ke atas pengikut-pengikutnya sehingga mereka sanggup memperhambakan diri untuk memenuhi tujuan dan aspirasi moral. Kepimpinan karismatik ini kerap muncul dalam suasana krisis sebagai individu penyelamat. Jika mereka berjaya, kepimpinan karismatik ini menghasilkan transformasi tetapi adakalanya ia membawa akibat negatif atau memudaratkan (ada juga rakyat dan pemimpin politik yang tidak bersetuju).
Sebab itu, pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang masih bertungkus-lumus untuk memastikan mereka ini dilihat sebagai seorang pemimpin berkarisma.
Terdapat dua unsur utama yang menghasilkan perhubungan karismatik antara pemimpin dan pengikut-pengikutnya. Mahathir mempunyai unsur itu iaitu yang pertama dinyatakan sebagai kebolehan, minat dan tret-tret personal yang mana ia membawa suatu tarikan kepada pengundi-pengundi.
Bagi unsur kedua pula adalah keinginan yang kuat pada pengikutnya untuk mengenali pemimpin mereka. Pemimpin karismatik juga mempunyai kuasa rujukan tinggi. Ini jelas dilihat pendirian dan pandangan Dr. Mahathir masih kukuh, konsisten dan selari dengan kehendak parti BN, UMNO dan kerajaan walaupun bukan selalunya, Dr. Mahathir memberikan pandangan terhadap penyelesaian yang tepat tetapi ada kalanya pandangan yang kritis dalam menghadapi krisis.
Atas faktor itu, bayang-bayang Dr. Mahathir pun sekarang ditakuti dan dibimbangi parti pembangkang disebabkan nilai karisma negarawan itu masih kuat dirasai oleh rakyat jelata sejak dulu dan kini.
Penulis sendiri memerhati semangat Dr. Mahathir tidak pernah luntur dan sudah menjadi kebiasaan untuk beliau turut berkempen bagi memastikan BN terus memerintah untuk penggal akan datang dan selama-lamanya. Moga roh perjuangan Che Det diberkati dan dibalas oleh pengundi-pengundi di Kedah dan negara ini secara keseluruhannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan