27 April 2013

Guan Eng takut terus disiasat

Tan Tuan Tat, Lim Guan Eng
*****
KUALA LUMPUR 25 April - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memanipulasi isi kandungan surat Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana takut ROS meneruskan siasatan terhadap aduan oleh ahli-ahli DAP mengenai penipuan dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada 15 Disember 2012.
Bekas Ketua Cawangan DAP Sungai Pelek, Tan Tuan Tat mendakwa, sandiwara sama turut dimainkan bapanya, Lim Kit Siang apabila menangis sebaik sahaja membaca surat ROS itu.
“Guan Eng berbohong mengenai isi kandungan surat ROS dan tindakan Kit Siang menangis bila membaca surat ROS adalah taktik kotor mereka.
“Mereka takut jika ROS meneruskan siasatan terhadap aduan-aduan yang dibuat oleh ahli DAP mengenai penipuan dalam pemilihan CEC pada 15 Disember lalu," katanya di sini hari ini.
Tuan Tat mendakwa, pihaknya baharu mengenal pasti 753 perwakilan DAP yang berhak hadir dan mengundi tetapi tidak diberi notis jemputan mesyuarat pemilihan itu.
Beliau berkata, pihaknya juga masih belum mengenal pasti berapakah jumlah perwakilan yang tidak sah dan dibenarkan hadir serta berhak mengundi semasa pemilihan CEC itu.
“Guan Eng dan bapanya takut jika rahsia mengenai muslihat itu terbongkar, ia turut melibatkan pemimpin lain dalam pemilihan tersebut.
“Guan Eng dan Kit Siang mengetahui sekiranya 753 perwakilan dibenarkan hadir dan mengundi, keputusan CEC akan memihak kepada Teng Chang Khim (1,905 undi), Nga Kor Ming (1,828 undi), Chow Kon Yeow (1,739 undi), Boo Cheng Hai (1,711 undi), Lim Kit Siang (1,607 undi), Ngeh Koo Ham (1,577 undi), Lim Guan Eng (1,576 undi) dan Karpal Singh (1,411 undi)," katanya.
Dakwa Tuan Tat, bagi mengelak ROS terus menjalankan siasatan dan perkara itu terbongkar, Guan Eng bertindak ‘menyerang’, memutar belit dan membuat tuduhan palsu mengenai fakta dalam surat yang diberikan ROS.
“Ini adalah satu penganiayaan dilakukan oleh Guan Eng dan Kit Siang terhadap calon-calon yang bertanding seperti Teng, Ng, Chow, Boo serta Ngeh dalam pemilihan CEC," katanya.

Tiada ulasan: