27 April 2013

'Individu mirip Anwar terlalu muda'

KUALA LUMPUR 25 April - Usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa individu yang dikatakan mirip wajahnya bagi menafikan pembabitan beliau dalam isu video seks bukan sahaja tidak dipercayai rakyat malah turut tidak diyakini pemimpin DAP dan Pas.
Bekas Setiausaha Sulitnya, Anuar Shaari berkata, keraguan itu timbul apabila individu tersebut yang dikenali sebagai Narong Raksa Khet, 40, dilihat terlalu muda berbanding Anwar.
"Oleh itu, 'pelanduk dua serupa' berkenaan diarahkan pulang ke Thailand oleh Anwar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 20 April lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal membawa saksi yang didakwa mirip Ketua Umum PKR itu berhubung skandal video seks yang dikaitkan dengan beliau dalam majlis di Yayasan An Nahdhoh, Kubang Semang, Pulau Pinang.
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin pula mendakwa, peguam yang membawa saksi dari Thailand itu ditahan polis di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Menurut Anuar, Pas tetap dengan pendirian Majlis Syura Ulama iaitu menolak Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang besar pada pilihan raya umum akan datang melalui perjanjian sulit bersama DAP.
Katanya, kepimpinan DAP dan Pas menganggap Anwar sebagai 'liabiliti politik' ekoran isu moral, pluralisme dan stigma dakwaan biseksual yang dihadapinya.
"Sekarang Anwar dilihat seperti cacing kepanasan apabila diberitahu tentang perjanjian sulit Pas dan DAP yang tidak akan melantik beliau sebagai Perdana Menteri," katanya.

Tiada ulasan: