27 April 2013

Siapa PM: Presiden Pas sindir rakan sekutu?

KUALA TERENGGANU 25 April - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sanggup melupakan hasratnya menjadi Perdana Menteri memandangkan terdapat pihak-pihak tertentu yang terlalu takut sekiranya beliau memegang jawatan nombor satu negara itu.
Dalam kenyataan yang dilihat seperti menyindir rakan sekutunya dalam pembangkang itu, Abdul Hadi menegaskan, beliau sebaliknya rela menjadi rakyat biasa sekiranya pembangkang berjaya menguasai Putrajaya kelak.
Walau bagaimanapun, katanya, buat masa ini, soal siapa yang bakal dilantik menjadi Perdana Menteri dalam kalangan pakatan pembangkang tidak penting.
"Ada orang takut saya jadi Perdana Menteri, tak apa, saya tak jadi Perdana Menteri kalau orang takut sangat. Saya ke laut tak apa, jadi juragan pukat jerut.
"Jadi, wakil rakyat pantau Perdana Menteri tengok dia buat betul ke tidak. Kita nak menang dulu pakatan rakyat (pembangkang)," katanya.
Abdul Hadi yang mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 berkata demikian sewaktu berceramah di Markas Pas Batu Rakit, dekat sini malam tadi.
Kenyataan Abdul Hadi itu menimbulkan banyak persoalan terutama 'pihak tertentu' yang dimaksudkan itu.
Dalam masa sama, kenyataan tersebut juga semakin memperlihatkan perpecahan pembangkang dalam soal penentuan jawatan paling penting itu.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mencanangkan kepada umum seolah-olah beliau merupakan calon Perdana Menteri pembangkang termasuk dalam dakwaan terbaharu akan mengangkat sumpah jawatan itu sehari selepas pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.
Dalam ceramah di Kampung Teluk Sena, Lambor Kiri, Parit, Perak 22 April lalu, Anwar berkata: "Mereka umum (kemenangan) lewat 2 pagi, jadi tidak boleh angkat sumpah sebab Yang di-Pertuan Agong sudah tidur, kena buat esoknya.
"Lepas (angkat sumpah) itu, TV3 dan RTM datang beratur nak temuramah. Saya kata pergi belakang dulu, kasi pengajaran sikit."

Tiada ulasan: