MOHAMAD Fatmi Che Salleh (dua kanan)
bersalaman dengan ahli Persatuan Tentera Tidak Berpencen Malaysia di
Kota Bharu, semalam.
*****
Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh mendakwa, sejak memerintah, kerajaan Pas Kelantan telah menyembunyikan pelbagai perkara daripada pengetahuan rakyat.
Beliau berkata, sebagai contoh, sejak menjadi kerajaan pada tahun 1990, Pas telah menubuhkan Tabung Serambi Mekah bertujuan memohon sumbangan sama ada secara rasmi ataupun tidak.
"Timbul persoalan ke mana perginya hasil kutipan tabung berkenaan dan apa telah terjadi sejak diwujudkan 23 tahun lalu. Apa tujuan tabung ini ditubuhkan, adakah untuk rakyat ataupun untuk pemimpin sendiri? Pas perlu jelaskan semua ini kepada rakyat.
"Untuk apa tabung ini, siapa punya, berapa yang telah dikumpulkan, berapa telah dibelanjakan. Semua ini tidak pernah dijelaskan. Bayangkan sudah 23 tahun, sumbangan ini pastinya telah mencecah jutaan ringgit. Guna untuk apa sebenarnya sumbangan ini?" katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohamad Fatmi yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kota Bharu menambah, Pas cuba mengalih pandangan tentang isu penggondolan bukit di Hulu Kelantan yang sehingga hari ini masih tidak dijelaskan kepada rakyat.
"Ke mana balak-balak ini dijual, siapa yang dapat duit hasil daripada jualan itu, sama ada kerajaan negeri, Pas ataupun pemimpin sendiri? Semua itu harus dijelaskan kepada rakyat. Jangan cuba alihkan pandangan dengan cuba mencipta isu royalti yang sememangnya sudah tidak relevan lagi," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua sudah sedia maklum kerajaan Pusat selama ini telah memberikan wang ihsan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) untuk rakyat negeri ini.
"Jumlah yang diberikan ini juga (dinyatakan) secara terbuka yang mana rakyat boleh mengetahui berapa yang telah dibelanjakan oleh kerajaan Pusat untuk wang ihsan ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan