8 Ogos 2010

Anti perpaduan Islam

UM (Rencana) - 8/8/10

AWANG sudah lama tidak menjenguk laman portal berita The Malaysian Insider. Baru-baru ini ketika tergerak juga hati untuk melayari portal tersebut, hati Awang seperti disiat-siat.

Portal tersebut dengan sengaja dan secara selektif memberikan ruang yang banyak kepada komen pembaca yang anti-kerajaan untuk menghentam dan menghina Mufti Perak, Harussani Zakaria berhubung isu perpaduan umat Islam.

Ini termasuk komen pembaca bukan Melayu yang turut mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh, kononnya atas nama keterbukaan dan kebebasan media.

Awang tidak faham mengapa seorang ulama yang menggesa kepada perpaduan umat Islam termasuk bagi membina persefahaman parti-parti politik Islam dan Melayu, diserang sedemikian rupa.

Belum pernah rasanya ulama dan mufti yang banyak berjasa dan disegani, diperlakukan seperti itu. Semua ini boleh terjadi di tanah air ini yang majoriti penduduknya umat Islam dan Islam adalah agama rasmi.

Ada seorang kenalan bertanyakan kepada Awang apakah The Malaysian Insider bersikap neutral dalam hal ini. Soalan itu bagaimanapun dijawabnya sendiri - tidak.

''Saya kira The Malaysian Insider mengambil sikap untuk sama-sama memprovokasi sikap anti perpaduan. Hampir keseluruhan reaksi yang disiarkan, memperlekehkan Harussani dan idea permuafakatan UMNO-Pas.

''Saya pernah beberapa kali memberikan pandangan positif melalui ruangan komen pembaca portal tersebut tetapi tidak disiarkan," kata kenalan itu.

Awang tidak terkejut. Sebab itulah ramai yang curiga dengan The Malaysian Insider, portal pro pembangkang yang dikatakan anti Melayu dan Islam.

Apa pun, Awang mengucapkan tahniah kepada Harussani atas keberaniannya terus mempromosi perpaduan Islam di sebalik cabaran besar yang dihadapi termasuk dihina golongan berfikiran jumud serta taksub kepada politik sempit. Pada Awang, beliau adalah tokoh perpaduan Islam yang sejati. Sejarah akan membuktikannya.

/hwa: utusan.com.my

Apa jasa Pas?

UM (Rencana) - 8/8/10

AWANG hairan apabila Pas berterusan mendakwa UMNO tidak Islam atau kurang Islam setiap kali memperkatakan soal Islam. Padahal UMNOlah parti paling berjasa kepada perkembangan syiar Islam di negara ini.

UMNO jugalah yang paling ke hadapan dalam mempertahankan kesucian Islam. Terbaru dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh agama lain. UMNO turut menjadi parti Islam di negara ini membina paling banyak masjid, sekolah agama, universiti termasuk universiti Islam, memperkenalkan Tabung Haji dan pelbagai instrumen Islam dalam sistem perbankan dan insurans.

Peranan aktif Malaysia dalam dunia Islam yang diperakukan oleh masyarakat antarabangsa, juga adalah atas dasar UMNO. Kesederhanaan pendekatan UMNO membolehkan ramai bukan Islam di negara ini memeluk Islam terutama ketika era kepimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Rekod pencapaian itu belum mampu ditandingi Pas yang lebih banyak retorik. Bahkan UMNO terlebih dahulu merintis kerjasama dengan parti-parti kaum dan agama lain berdekad-dekad lebih awal berbanding Pas yang baru setahun jagung.

Ramai masih ingat betapa pemimpin Pas ghairah melabel bukan Islam sebagai kafir. UMNO yang berbaik-baik dengan parti bukan Islam ditentang serta dituduh kafir. Bukan setakat itu sahaja, UMNO konsisten memerangi ekstremisme agama dan menjadi pelindung terbaik kepada penganut agama lain.

Dasar UMNO juga membolehkan kaum minoriti di peringkat awal kemerdekaan berkongsi kuasa. Kaum minoriti juga boleh menguasai ekonomi, adalah atas kemurahan hati kepimpinan Melayu di bawah UMNO.

Selain itu, Malaysia dijadikan model negara Islam termasuk oleh negara rantau Arab adalah kerana pengurusan yang cemerlang. Sebab itu, Awang hairan apabila ramai pemimpin Pas menolak idea permuafakatan dengan UMNO kononnya kerana parti itu kurang Islam dan meletakkan banyak syarat.

Anehnya Pas tidak menetapkan sebarang batasan kepada DAP dalam kerjasama mereka, malah asyik tunduk kepada parti tersebut yang secara terbuka menentang gagasan negara Islam. Pada Awang, Pas menjadi parti paling dayus meskipun menggunakan nama Islam. Paling menjijikkan apabila ada pemimpin angkuh seperti Mahfuz Omar yang suka menghina orang Islam lain. Pedulikan golongan seperti itu, yang suatu hari akan menangis keinsafan kerana merekalah sebenarnya yang mengkhianati perjuangan Islam.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, mana-mana golongan yang menolak dan menyulitkan usaha ke arah perpaduan, akan menerima pembalasan. Rasulullah sendiri adalah pejuang perpaduan yang tidak meletakkan syarat dan batasan dalam usaha murninya. Meskipun baginda mendokong permuafakatan dengan penganut agama lain, namun teras kepimpinan baginda adalah mendahulukan perpaduan sesama umat Islam.

/hwa: utusan.com.my

Bersatu atas semangat Ramadan

UM - 8/8/10

IPOH 7 Ogos – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berharap, kehadiran Ramadan dapat dijadikan ruang terbaik kepada orang Melayu merapatkan hubungan seterusnya mewujudkan perpaduan yang utuh.

Beliau berkata, sekiranya masyarakat Islam benar-benar menghayati hikmah bulan yang mulia ini, mereka akan bersedia untuk menghilangkan perasaan angkuh, bongkak dan ego masing-masing.

Malah katanya, puasa bukan sahaja dapat melahirkan manusia yang tawaduk tetapi menyekat mereka melakukan perbuatan yang dilarang.

‘‘Dengan puasa akan menjadikan orang itu bertakwa. Jika benar-benar menghayati hikmah Ramadan, kita mampu tundukkan keangkuhan, kesombongan dan keegoan yang selama ini membelenggu kita,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Harussani, hanya orang yang tidak faham falsafah di sebalik keberkatan Ramadan akan kekal dengan sikap mereka itu.

‘‘Setiap yang mengaku dirinya orang Islam, wajib taat kepada perintah Allah. Dalam Islam ada peraturan hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia dan hubungan dengan alam.

‘‘Kita wajib patuh kepada Allah kerana Dia Yang Maha Esa. Apa sahaja yang diperintah, wajib kita taati dan apa yang dilarang harus dijauhi, semuanya untuk kebaikan Islam.

‘‘Umat Islam diikat dengan tali persaudaraan, kita diperintah berjemaah ketika solat untuk meningkatkan silaturrahim sesama Islam, maka timbul kasih sayang dan perpaduan,” katanya.

Dalam masa sama, Harussani turut menasihati umat Islam di negara ini supaya tidak menjadikan Ramadan sebagai bulan pesta makanan.

‘‘Sekarang ada yang mengamalkan fahaman lain macam bila melihat Ramadan bukan lagi untuk beribadat, membentuk manusia menjadi insan yang bertakwa tetapi menyambut kedatangannya sebagai satu pesta makanan.

‘‘Siang puasa tetapi malam, meraikan dengan pelbagai makanan seperti di pasar-pasar Ramadan dan hotel-hotel. Maknanya, kita bukan lagi berbuka untuk melahirkan rasa kesyukuran dan menginsafi kelaparan orang miskin tetapi terlalu banyak makan,” ujar beliau.

/hwa: utusan.com.my

Hak istimewa Melayu: Pakatan tiada pendirian

UM - 8/8/10

MUAR 7 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, percanggahan pendirian berhubung hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di antara Pas dan DAP membuktikan pakatan pembangkang tidak mempunyai kata sepakat yang boleh diterima oleh rakyat.

Tegas beliau, terserah kepada rakyat untuk menilai pertembungan pendirian tersebut kerana di satu pihak menyanjung Perlembagaan Negara manakala satu pihak lagi mempunyai pendirian bertentangan dengan semangat perlembagaan berkenaan.

"Kalau atas dasar itu agak sukar bagi rakyat hendak menerima mereka kerana dalam satu pakatan tidak bersepakat dan mempunyai pendirian berbeza,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Nilai Murni dan Cegah Jenayah Peringkat Kebangsaan 2010 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh di sini hari ini.

Timbalan Presiden UMNO itu mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyatakan Pas berpendapat, hak dan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera yang merupakan penduduk majoriti di negara ini perlu dikekalkan termasuk dasar pemberian diskaun dalam pemilikan hartanah.

Abdul Hadi berkata, ia kerana majoriti penduduk yang miskin adalah kaum bumiputera dan mereka sememangnya berhak mendapat hak dan keistimewaan tersebut.

Kenyataan Abdul Hadi itu adalah bagi mengulas cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua daripada DAP yang mahu kerajaan memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor.

Muhyiddin berkata, kenyataan Abdul Hadi itu dibuat merujuk kepada pandangan DAP dan sebab itu parti-parti dalam pakatan pembangkang mempunyai pendirian berbeza-beza yang amat ketara.

Bagaimanapun beliau memuji kenyataan Abdul Hadi tersebut yang disifatkannya sebagai amat tepat kerana sejajar dengan Perlembagaan Negara.

"Saya berpendapat apa yang dikatakan oleh Haji Abdul Hadi itu amat tepat, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kerana beliau pastinya telah merujuk kepada perlembagaan di mana hak keistimewaan orang Melayu perlu kita pertahankan," katanya.

Sementara itu, pada Majlis Penyerahan Bantuan Makanan kepada Masjid dan Surau di kawasan Pagoh, Muhyiddin menyeru agar umat Islam bersatu di bawah payung UMNO bagi memastikan hak dan kedudukan umat Islam di negara ini sentiasa terjamin.

"Dalam soal perpaduan ummah terutamanya umat Melayu yang kini dilihat goyah, ada kelompok yang cuba membeza-bezakannya kerana fahaman politik dan mereka membuat tuntutan dan tekanan kerana kita dikatakan tidak sekukuh dahulu.

"Saya antara orang pertama yang menyahut seruan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria agar umat Islam bersatu kerana menyahutnya sahaja sudah mendapat pahala tetapi orang yang menolaknya tidak sedar bahawa apa yang mereka lakukan itu tidak selari dengan tuntutan agama agar umat Islam bersatu," katanya.

Justeru, beliau memberitahu, umat Islam perlu beristiqomah untuk menghadapi pelbagai situasi dan keadaan sama ada pada waktu senang atau susah supaya umat Islam sentiasa terus bersatu.

Pada majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan sumbangan RM2,000 kepada setiap 45 masjid dan RM1,000 kepada setiap 134 surau di kawasan Pagoh sempena Ramadan.

/hwa: utusan.com.my

MPM anggap Selangor ‘kerajaan derhaka’

UM - 8/8/10

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dianggap sebagai sebuah ‘kerajaan derhaka’ ekoran kejadian memalukan pada satu majlis yang dirasmikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah bulan lalu.

Setiausaha Agung Majlis Permuafakatan Melayu (MPM), Dr. Hasan Mad berkata, kejadian yang menyaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak menghadiri majlis bertaraf nasional itu ekoran kegagalan Khalid memaklumkannya kepada baginda juga ibarat tindakan membelakangi institusi raja-raja Melayu.

Hasan berkata, Khalid selain itu perlu menasihati dan mengarahkan para pegawai kerajaan negeri supaya memastikan majlis itu didatangi lebih ramai hadirin untuk bersama-sama meraikannya dengan Tuanku Nur Zahirah.

“Kesudian Raja Permaisuri Agong untuk mencemar duli hadir merasmikan majlis itu menandakan ia satu acara nasional yang layak dihadiri baginda.

“Adalah satu tindakan derhaka oleh kerajaan negeri Selangor dengan membelakangi institusi diraja negara apabila tidak menasihati baginda Sultan Selangor sehingga menyebabkan baginda tidak hadir,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Hasan mengulas tindakan kerajaan Selangor yang memohon mengadap Raja Permaisuri Agong bagi meminta maaf ekoran insiden memalukan ketika baginda berkenan menyempurnakan majlis perasmian Festival Lagu-Lagu Islam Antarabangsa di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam.

Pada kejadian 4 Julai lalu, Sultan Sharafuddin tidak hadir kerana gagal dimaklumkan mengenai kehadiran Tuanku Zahirah sementara hanya kira-kira 200 pengunjung mengisi stadium berkapasiti 5,000 orang itu.

Selain itu, Khalid sendiri serta ahli exco kerajaan negeri juga tidak hadir pada majlis tersebut.

Justeru, kata Hasan, Khalid perlu menyerahkan semua gelaran yang diperolehinya seperti ‘Tan Sri’ kerana ia dikurniakan oleh institusi raja-raja Melayu di negara ini.

“Khalid telah dengan sengaja mengajar rakyat Selangor untuk biadab terhadap institusi tertinggi negara dan beliau harus ingat bahawa tanpa campur tangan institusi diraja, beliau tidak terpilih sebagai menteri besar,” tegasnya.

/hwa: utusan.com.my

AS diminta henti campuri kes Anwar

UM - 8/8/10

ROMPIN 7 Ogos – UMNO mahu pihak tertentu di luar negara menghentikan usaha mereka mencampuri perundangan negara kerana Malaysia memiliki sistem perundangan yang baik.

Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, mereka sewajarnya menghormati undang-undang dan sistem yang ada pada sesebuah negara seperti mereka menghormati undang-undang di negara sendiri.

“Malaysia tidak akan tunduk pada gesaan seperti ini kerana kita mempunyai sistem kehakiman dan perundangan sendiri yang begitu baik dan tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Program Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) peringkat wilayah Kuantan di Bandar Tun Razak di Muadzam Shah dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al-Gore dan bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz yang mahu kerajaan Amerika campur tangan dalam kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ahmad berkata, negara luar terutamanya Amerika Syarikat (AS) tidak layak untuk membuat keputusan bagi kes ini.

“Ini kerana hanya mahkamah di negara ini yang layak membuat keputusan,” tegasnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, masyarakat dan negara luar juga perlu mengkaji bahawa pengadu kes liwat iatu Mohd. Saiful Bukhari Azlan juga berhak diberi keadilan sewajarnya.

/hwa: utusan.com.my

Pemuda Pas ingatkan Tony Pua

UM - 8/8/10

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua diingatkan supaya tidak mendahului majlis mesyuarat pakatan pembangkang dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mencetus kontroversi apatah lagi menyentuh kepentingan bumiputera.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, sepatutnya Tony merujuk isu itu kepada majlis mesyuarat pakatan pembangkang memandangkan ia merupakan mekanisme terbaik bagi membuat keputusan sebarang berkaitan isu seperti itu.

‘‘Walau apa pun kenyataan Tony ini adalah kenyataan peribadi beliau dan bukan mewakili suara atau kenyataan pakatan pembangkang. Sama jugalah seperti kenyataan Karpal Singh berkait dengan isu negara Islam,’’ katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan Abdul Hadi bahawa hak dan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera yang merupakan penduduk majoriti di negara ini perlu dikekalkan termasuk dasar pemberian diskaun dalam pemilikan hartanah.

Abdul Hadi berkata, ini kerana majoriti penduduk yang miskin adalah kaum bumiputera dan mereka sememangnya berhak mendapat hak serta keistimewaan tersebut.

Isu itu mula tercetus apabila Tony mencadangkan agar kerajaan memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor dalam satu kenyataan akhbar, 26 Julai lalu.

Nasrudin dalam pada itu berkata, Dewan Pemuda Pas mengambil pendirian yang sama dengan presiden parti iaitu hak keistimewaan orang Melayu serta bumiputera termasuk dasar pemberian diskaun dalam pemilikan hartanah perlu dikekalkan.

Sebagai sayap terpenting parti, beliau berkata, Dewan Pemuda sudah tentu akan memberi sokongan penuh terhadap pendirian Abdul Hadi berhubung isu berkenaan

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, Islam adalah penyelesaian terbaik dalam apa jua masalah termasuk isu berkaitan dengan tanah dan pemilikan harta.

/hwa: utusan.com.my

Bukti Selangor ditunggangi DAP

UM - 8/8/10

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Insiden yang menyaksikan keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di Shah Alam tanpa disambut oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membuktikan kerajaan negeri itu kini ditunggangi DAP yang bersifat anti-Perlembagaan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, perkara itu terjadi kerana DAP tidak menghormati perkara termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi budaya dan protokol meletakkan institusi diraja negara di tempat tertinggi.

“Kalau dia (Kerajaan Negeri Selangor) faham Perlembagaan, dia mesti tahu kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan Raja Permaisuri Agong.

“Kerana itu kita lihat kerajaan Selangor kini sebenarnya ditunggangi DAP yang anti-Perlembagaan dengan tidak menghormati institusi diraja negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada program Roadshow Gelombang Selamatkan Selangor di Ampang, dekat sini semalam.

Selain Noh, turut menyampaikan ceramah pada malam itu ialah bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor dan bekas Naibnya, Muhammad Zahid Md. Arip.

Noh mengulas insiden pada Festival Lagu-Lagu Islam Antarabangsa di Shah Alam pada 4 Julai lalu yang menyaksikan keberangkatan tiba Tuanku Zahirah tidak disambut dan diiringi Sultan Sharafuddin yang tidak hadir.

Ia berlaku kerana Khalid dan pentadbiran kerajaan negeri gagal memaklumkan Sultan Sharafuddin mengenai persetujuan Raja Permaisuri Agong untuk hadir ke acara tersebut di atas jemputan kerajaan negeri sendiri.

/hwa: utusan.com.my

7 Ogos 2010

Kekalkan hak istimewa bumiputera

UM - 7/8/10

MARANG 6 Ogos - Pas berpendapat, hak dan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera yang merupakan penduduk majoriti di negara ini perlu dikekalkan termasuk dasar pemberian diskaun dalam pemilikan hartanah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia kerana majoriti penduduk yang miskin adalah kaum bumiputera dan mereka sememangnya berhak mendapat hak dan keistimewaan tersebut.

"(Beri) kepada siapa yang berhak, majoriti adalah yang berhak kerana majoriti yang miskin adalah bumiputera, yang bukan bumiputera tidak lah besar (jumlah) jika dibandingkan bumiputera," katanya selepas majlis pelancaran buku bertajuk Taktik dan Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin, hasil karya beliau sempena Jubli Perak Maahad Darul al-Quran di Rusila di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua agar kerajaan memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor.

Kenyataan itu mendorong Pergerakan Pemuda UMNO Selayang dan Gombak membuat laporan polis semalam, supaya pihak berkuasa melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas mengenainya.

Ahli Parlimen DAP itu dikatakan menimbulkan provokasi dan mencabar Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 153 dan boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, pada masa yang sama, kaum lain yang miskin juga wajib mendapat hak dan pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.

Menurutnya, ketika keistimewaan kaum bumiputera dijaga dan dibela, kaum lain tidak boleh diabaikan atau dizalimi.

"Realiti yang ada dalam negara kita, majoriti rakyat terutama yang miskin adalah bumiputera, jadi sebab itu kita kena lihat majoriti rakyat yang alami masalah kemiskinan.

"Dalam masa yang sama, kita wajib bela kaum lain yang miskin. Bukan bermakna kita jaga majoriti tapi kita abaikan kaum lain, kita tak boleh menzalimi kaum lain ketika kita membela kaum sendiri," katanya.

Abdul Hadi menjelaskan, buat masa ini, tindakan Tony itu belum dibincangkan di peringkat kepimpinan pakatan pembangkang dan kenyataan itu dianggapnya lebih bersifat peribadi.

"Kita kena bincang di peringkat pakatan pembangkang, pandangan itu mungkin lebih bersifat peribadi," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my

Anwar makin terdesak mohon bantuan AS

UM - 7/8/10

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menyifatkan kerjaya politik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin berkubur.

Ini kerana, katanya, Anwar yang kini menghadapi pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan terpaksa mengemis sokongan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore dan bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz supaya kerajaan AS campur tangan dalam kes liwatnya itu.

Menurutnya, hanya orang yang lemas di laut akan sanggup melakukan apa sahaja asalkan boleh sampai ke tebing atau destinasi tertentu untuk menyelamatkan dirinya.

“Oleh sebab itu, Anwar berusaha mencari helah supaya perbicaraan kes liwatnya ditangguh beberapa kali dan berkemungkinan berlarutan sehingga dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Malaysia tidak akan tunduk terhadap campur tangan negara luar berhubung kes liwat membabitkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, desakan seperti itu tidak wajar kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan mempunyai undang-undang serta sistem perundangan yang dilaksanakan dengan baik.

Sebelum itu, akhbar Asian Wall Street Journal dipetik sebagai melaporkan kenyataan Al Gore dan Wolfowitz yang mahu kerajaan AS campur tangan dalam kes liwat Anwar yang kini dalam proses perbicaraan di mahkamah.

Syed Ali berkata, Al Gore dan Wolfowitz yang merupakan rakan karib Anwar adalah tokoh Yahudi berpengaruh yang tiada hak untuk campur tangan dalam sistem perundangan negara ini.

“Anwar seolah-olah sudah tahu hayat politiknya semakin berakhir, oleh sebab itu dalam keadaan terdesak dia dilaporkan terpaksa meminta pertolongan sahabat Yahudi dalam kes pertuduhan liwatnya,” katanya.

Tindakan sedemikian juga katanya, merupakan muslihat Anwar bagi membolehkan beliau melemparkan pelbagai tuduhan dan provokasi kepada kerajaan dengan harapan rakyat menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dalam hal itu, jelasnya, bukan sesuatu yang pelik jika Anwar juga tergamak menjadi alat kepada pihak luar asalkan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri tercapai.

“Sistem perundangan yang ada di negara ini hanya akan dilihat baik oleh Anwar jika sesuatu keputusan itu memihak atau memberi keuntungan kepada pihak pembangkang,” katanya.

/hwa: utusan.com.my

6 Ogos 2010

Melayu perlu bersatu

UM - 6/8/10


Sultan Sharafuddin Idris Shah menurunkan tandatangan sambil disaksikan oleh Abdul Khalid Ibrahim dan Mohammed Khusrin Munawi sebagai simbolik perasmian Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 7 Shah Alam, semalam.


  • Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita dengan anasir-anasir yang cuba mencabar institusi agama Islam.
  • Antaranya ialah ajaran sesat, penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam, penyalahgunaan masjid, penglibatan remaja dengan dadah, vandalisme, mat rempit dan gejala sosial.
  • Baginda mengingatkan umat Islam terutama orang Melayu agar bersatu untuk mempertahankan agama dan bangsa.
  • SHAH ALAM 5 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah hari ini melahirkan rasa dukacita dengan anasir-anasir yang cuba mencabar institusi agama Islam hari ini.

    Baginda bertitah, antaranya ialah ajaran sesat, penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam, penyalahgunaan masjid, penglibatan remaja dengan dadah, vandalisme, mat rempit dan gejala sosial.

    Justeru baginda mengingatkan umat Islam terutama orang Melayu agar bersatu untuk mempertahankan agama dan bangsa.

    ‘‘Beta amat berharap agar usaha-usaha dipertingkatkan bagi mengatasi masalah ini dan beta percaya pendidikan adalah penawar utamanya.

    ‘‘Oleh itu agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat swasta perlu menjayakan program agama dan pendidikan moral kepada kakitangannya.

    ‘‘Pertubuhan politik dan bukan kerajaan (NGO) pula berusaha mencari titik pertemuan ke arah perpaduan dengan menjadikan pendidikan sebagai agenda perubahan,” titah baginda.

    Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika merasmikan Sekolah Rendah Agama Integrasi Sesyen 7 di sini hari ini.

    Baginda turut berkenan mengisytiharkan nama baru sekolah tersebut sebagai Sekolah Rendah Agama Integrasi Dato’ Mufti Yusof Sahabuddin sempena nama Mufti Selangor yang pertama.

    Ia bagi mengenang jasa dan mengiktiraf sumbangan Allahyarham dalam pembangunan Islam di negeri ini.

    Hadir sama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Muhammed Khusrin Munawi.

    Dalam pada itu, baginda mengingatkan JAIS dan mereka yang bertanggungjawab dengan pembangunan pendidikan agama di negeri ini agar sentiasa berwaspada dan memastikan para guru dan pendidik agama Islam terdiri daripada mereka yang berpengetahuan, berkelayakan dan mempunyai tauliah.

    Titah baginda, ini bagi mengelakkan penyelewengan dan kekeliruan di kalangan pelajar yang akhirnya boleh merosakkan masyarakat Islam di negeri ini.

    ‘‘Beta menitahkan supaya perkara ini dipandang serius dan tindakan yang tegas perlu diambil kepada mereka yang melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” tegas baginda.

    /hwa: utusan.com.my

    Hulu Selangor: Pembangkang perlu hormati keputusan mahkamah

    UM - 6/8/10

    SUNGAI SIPUT 5 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pembangkang menghormati keputusan mahkamah yang mengesahkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), P.Kamalanathan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

    Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri meminta mereka menghentikan dakyah yang mengatakan kemenangan BN adalah atas faktor rasuah.

    Tegas beliau, keputusan pengundi kawasan pilihan raya kecil itu memilih Kamalanathan adalah tepat berdasarkan kepercayaan bahawa BN parti pembela rakyat.

    ‘‘Ini (keputusan mahkamah) harus dihormati, jadi tutuplah cerita itu, yang penting wakil kita yang terpilih iaitu Kamalanathan tidak lagi diganggu oleh masalah yang ada di mahkamah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Agrofest Perak 2010 di Ladang Infoternak di sini hari ini.

    Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

    Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Mohamed yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya hari ini membenarkan permohonan Kamalanathan membatalkan petisyen yang difailkan pencabarnya, Datuk Zaid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat.

    Zaid melalui petisyen yang difailkan 24 Mei lalu, memohon supaya mahkamah mengisytiharkan keputusan pilihan raya kecil pada 25 April itu sebagai batal dan tidak sah kerana mendakwa terdapat perbuatan rasuah dalam bentuk sogokan dan janji oleh BN kepada para pengundi.

    Menurut Muhyiddin, keputusan mahkamah itu tidak harus dipertikaikan kerana BN sejak dahulu mengamalkan cara politik yang bersih.

    ‘‘Kita mengikut undang-undang yang ada dalam pilihan raya, kita bersandar kepada Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan akur kepada apa yang telah ditetapkan oleh SPR dalam apa sahaja pilihan raya sama ada kecil atau besar.

    ‘‘Disebabkan itu, tidak sepatutnya timbul cabaran di mahkamah kerana kita tahu keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Hulu Selangor adalah tepat, mereka memilih BN atas dasar keyakinan kepada BN,” katanya.

    Sementara itu, ketika berucap merasmikan majlis tersebut Muhyiddin berkata, peningkatan jumlah penduduk setiap tahun dan kini melebihi 28 juta orang meletakkan keperluan pengeluaran hasil pertanian menjadi satu kemestian.

    Malah Timbalan Perdana Menteri berkata, peningkatan taraf hidup rakyat bukan sahaja memerlukan kuantiti hasil pertanian yang sangat banyak tetapi juga produk berkualiti yang mementingkan aspek keselamatan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

    /hwa: utusan.com.my

    Saya kecewa sikap pemimpin pembangkang Melayu - Pak Ali

    UM - 6/8/10

    PULAU PINANG 5 Ogos - Dia mahu bersemuka dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dengan hanya satu niat iaitu ingin mendapat penjelasan daripada mulut pemimpin itu sendiri mengenai beberapa isu khususnya melibatkan orang Melayu.

    Ini kerana, Ali Ahmad Ariff, 63, sudah putus asa untuk mengharapkan pemimpin-pemimpin Melayu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang seolah-olah tidak langsung mahu membela nasib bangsa sendiri.

    Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Ali menjelaskan, beberapa tindakan kerajaan negeri sejak kebelakangan ini seperti merobohkan gerai penjaja Melayu dan mengusir penduduk kampung Melayu sepatutnya ditangani lebih berhemah, bukannya secara menindas.

    "Saya mahu berjumpa dia (Guan Eng) secara baik, ikhlas, nak tahu daripada dia sendiri kenapa nasib orang Melayu Pulau Pinang seperti tidak dibela.

    "Nak harapkan pemimpin-pemimpin Melayu PKR dan Pas jauh sekali, mereka sendiri tidak turun padang membantu atau datang berbincang dengan mangsa sebelum tindakan diambil oleh kerajaan negeri.

    "Saya berniat ikhlas. Kalau nak cari publisiti, sudah tentu saya jumpa Ketua Menteri di majlis-majlis yang dipenuhi ramai tetamu, bukan di tempat tertutup," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini hari ini.

    Pada Isnin lalu, Pak Ali menepuk bahu kiri Guan Eng berikutan tidak puas hati dengan Ketua Menteri itu yang didakwa bersikap rasis dan menindas orang Melayu di negeri ini.

    Dalam kejadian di tempat letak kereta orang kenamaan (VIP) di tingkat dua Menara Komtar, Pak Ali menunggu Guan Eng sejak pukul 3 petang.

    Warga emas tersebut yang bekerja sendiri dan tinggal di kawasan Datuk Keramat di sini dikatakan sempat berbual dan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Guan Eng sebelum insiden menepuk bahu berlaku.

    Menceritakan semula kejadian berkenaan, Pak Ali memberitahu, dia menunggu hampir empat jam sebelum Guan Eng muncul.

    Menurutnya, sebaik nampak kelibat Guan Eng, dia terus menuju ke arah Setiausaha Agung DAP itu dan meluahkan perasaannya.

    "Kami bertikam lidah kira-kira setengah jam. Dia (Guan Eng) memberikan alasan bahawa segala tindakan kerajaan seperti yang saya sebutkan bukan daripada arahannya.

    "Saya juga menafikan saya keliru dan meracau-racau seperti yang didakwanya. Saya tahu serta sedar apa yang saya cakap dan lakukan," tegasnya.

    /hwa: utusan.com.my

    Kemenangan Kamalanathan sah

    UM - 6/8/10

    KUALA LUMPUR 5 Ogos - ''Saya P. Kamalanathan. Saya adalah MP (Ahli Parlimen) Hulu Selangor.'' Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh Kamalanathan, 45, sejurus selepas Mahkamah Pilihan Raya di sini mengisytiharkan beliau telah dipilih secara sah dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor yang berlangsung pada 25 April lalu.

    Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Azahar Mohamed hari ini selepas menolak dengan kos, petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim, 59.

    Dalam petisyen itu, Zaid menuntut perisytiharan bahawa keputusan pilihan raya kecil kawasan itu sebagai batal dan tidak berkesan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (EOA) atas dakwaan berlaku perbuatan rasuah dan sogokan yang begitu berleluasa.

    Hakim Azahar memutuskan demikian semasa membenarkan bantahan awal Kamalanathan untuk membatalkan petisyen Zaid dengan alasan ia remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah selain gagal mengenal pasti kepada siapa sogokan itu diberi.

    Menurut hakim tersebut, petisyen itu ditolak kerana Zaid selaku pempetisyen gagal menyediakan butiran penting yang mencukupi untuk menamakan individu-individu yang kononnya telah dipengaruhi ataupun yang telah mendorong amalan sogokan seperti yang didakwa beliau.

    Dalam penghakiman bertulis setebal 27 muka surat itu, Hakim Azahar berkata, beliau terikat dengan prinsip undang-undang yang diguna pakai oleh Mahkamah Persekutuan ketika memutuskan petisyen pilihan raya calon Pas, Mohammad Nazri Din lawan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang memenangi kerusi Parlimen Kubu Gajah, Perak pada 2008.

    Memetik prinsip tersebut, ujar beliau, Mahkamah Persekutuan memutuskan menolak petisyen berkenaan disebabkan Mohammad Nazri selaku pempetisyen gagal mengenal pasti identiti kumpulan yang didakwa melakukan rasuah.

    Beralih kepada petisyen di hadapan beliau pula, menurutnya, apabila terdapat dakwaan mengenai perbuatan memberi sogokan, maka pihak yang mendakwa itu perlu membekalkan butiran tambahan bagi membolehkan individu berkenaan menyediakan pembelaan.

    Ini kerana, tegas beliau, Mahkamah Persekutuan telah menyatakan bahawa dakwaan rasuah dan sogokan mesti disertakan fakta yang lengkap misalnya kepada siapa ia diberi dan siapa yang menerimanya sehingga mendorong pengundi menukar fikiran untuk mengundi parti lawan.

    ''Saya telah meneliti dan memang benar petisyen tersebut mengandungi pelbagai dakwaan berhubung amalan sogokan. Bagaimanapun ia tidak menyebut nama-nama orang yang terlibat secara spesifik yang kononnya telah didorong atau mendorong amalan sogokan oleh Kamalanathan mahupun 'ejen' beliau.

    ''Saya berpendapat identiti mereka tidak dijelaskan dan Zaid sendiri tidak tahu siapakah pihak yang dimaksudkannya,'' ujar hakim.

    Hakim Azahar berkata, ketiadaan fakta tersebut telah menyebabkan petisyen Zaid, cacat sehinggakan tidak membolehkan ia didengar menerusi perbicaraan penuh.

    Beliau juga menyifatkan, cara dakwaan tersebut dibuat seolah-olah pempetisyen ''serkap jarang sahaja''.

    Pada 24 Mei lalu, Zaid yang tewas di tangan Ketua Penerangan MIC itu yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi.

    Selain Kamalanathan selaku responden pertama, Zaid menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan; dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing selaku responden kedua serta ketiga.

    Responden kedua dan ketiga diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan terdiri daripada Azizan Md. Arshad, Suzana Atan, Mohd. Azhar Mohd. Yusof dan Norhisham Ismail.

    Kamalanathan pula diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Mohd. Hafarizam Harun.

    Zaid bagaimanapun tidak kelihatan di mahkamah hari ini. Dia diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar, Azahar Azizan Harun, Ang Hean Leng dan Leong Sher How.

    /hwa: utusan.com.my

    5 Ogos 2010

    Kabinet arah henti debat Allah

    UM - 5/8/10


    Muhyiddin Yassin diiringi Azman Shah Haron dan Maznah Mazlan semasa Majlis Makan Malam MEF di sebuah hotel di Subang, Selangor, malam tadi.


    PUTRAJAYA 4 Ogos - Kabinet hari ini mengarahkan semua pihak termasuk parti pembangkang dan komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak lagi mendebatkan isu penggunaan kalimah Allah secara terbuka.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan berpendapat bahawa isu tersebut tidak elok didebatkan demi menjaga keharmonian dan perpaduan di negara ini.

    Dalam hal ini, kata beliau, kerajaan berpandangan ia boleh mencetuskan situasi tidak sihat dan menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

    ''Isu ini ada hubung-kait dengan keputusan mahkamah, jadi jangan bicarakan soal di mahkamah. Sebaik mungkin kita tak nak debatkan sebab tidak ada hasil dan kebaikan yang diperoleh.

    ''Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Jemaah Menteri sudah putuskan pendirian kerajaan sudah muktamad bahawa kita tidak mahu sama ada dalam pembangkang atau komponen (BN) menyoalkan isu yang ada hubung-kait dengan hukum dan keputusan di mahkamah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Muhyiddin berkata, beliau sedar ada pihak suka melakukan perkara yang boleh menimbulkan perasaan benci dan persengketaan untuk menggugat kesejahteraan antara kaum di Malaysia.

    ''Memang ada orang suka debat, timbulkan isu ini tapi kerajaan BN yang bertanggungjawab tak mahu ia timbul, walaupun belum selesai tapi elok ambil sikap begini," katanya.

    Menurutnya, ada pihak yang tidak senang melihat negara ini dalam keadaan aman dengan sengaja cuba membangkitkan semula isu kalimah Allah.

    Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mahu isu berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Herald diselesaikan segera.

    MCA juga berpendirian bahawa mereka tidak sependapat dengan DAP untuk mendesak kerajaan menarik balik larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

    /hwa: utusan.com.my

    Tuduhan FELDA bankrap hanya untuk pancing undi peneroka : Yusof Noor

    Bernama - 5/8/10

    2010/08/05

    KUALA TERENGGANU: Tuduhan kononnya FELDA bankrap ditimbulkan oleh pihak yang tidak bermoral bertujuan semata-mata ingin memancing undi masyarakat peneroka, kata pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

    Menurut beliau, tuduhan tidak bertanggungjawab itu turut memberi masalah kepada FELDA sehingga terpaksa menjelaskan perkara sebenar kepada rakan niaga dari negara luar.

    "Rakan niaga kita di luar negara dari India, Pakistan, China, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, bila dengar perkara demikian mereka rasa pelik, mereka bertanya. Jadi kita terpaksa jelaskan apa yang berlaku," katanya kepada pemberita di sini semalam.

    Beliau berkata dakwaan kononnya FELDA bankrap tidak benar sama sekali malah FELDA kini antara agensi yang terbaik berbanding dengan organisasi lain.

    "Pihak pengurusan tidak lihat penguncupan dalam pendapatan FELDA. Pendapatan purata FELDA untuk perniagaan teras kita iaitu sektor perladangan dan perniagaan lain yang memberi pendapatan tambahan yang dijalankan, terus mantap," katanya.
    /hwa: bharian.com.my

    MB Kedah mengaku beli 5 Toyota Camry

    UM - 5/8/10

    ALOR SETAR 4 Ogos - Kerajaan negeri lebih mempercayai kereta import sebagai kenderaan rasmi apabila membeli kereta Toyota Camry bagi menggantikan Proton Perdana V6.

    Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengakui, pihaknya telah membeli sebanyak lima buah kereta Toyota Camry bagi kegunaan Exco dan pegawai kanannya.

    Beliau yang tidak menyatakan kos pembelian itu berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana kereta Proton Perdana V6 yang digunakan sebelum ini sudah uzur.

    Beliau mendakwa, kerajaan Pusat juga sudah tidak menggunakannya lagi pada masa ini.

    "Kalau tak boleh pakai, kita beli hak ini (Toyota Camry) pula," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Temasya Sukan Sungai 2010 Kali Ke-79 di Tanjung Chali di sini hari ini.

    Menurut Azizan, pihaknya hanya akan menggunakan kereta keluaran Proton itu sekiranya syarikat pengeluar kereta tempatan tersebut memberi jaminan bahawa ia bagus.

    "Dulu betullah kata Proton itu bagus. Sekarang Proton mengaku dia dah tak boleh buat apa dah. Kecuali pihak Proton mengatakan dia bagus, kita pakailah," katanya.

    Pada 1 Mei tahun lalu, kerajaan negeri dilaporkan akhirnya memilih untuk tetap membeli kereta Perdana V6 Executive sebagai kereta rasmi Exco dan pegawai kanannya menggantikan kereta jenama sama yang telah rosak.

    Azizan dilaporkan berkata, beberapa kereta lama yang digunakan sebelum ini telah rosak dan perlu digantikan.

    Sebelum itu, kerajaan negeri pernah dilaporkan akan menggantikan kereta Proton Perdana V6 Executive dengan jenama lain sekiranya keadaan kewangan mengizinkan, namun selepas mengadakan rundingan dengan wakil Proton Edar Sdn. Bhd, pada Disember 2008, mereka mempertimbangkan untuk terus menggunakan kereta jenama sama.

    /hwa: utusan.com.my

    Rakyat diminta nilai moral Mohamad Nizar

    UM - 5/8/10

    PUTRAJAYA 4 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat menilai sendiri moral ketua pembangkang Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang terus membuat kecoh semasa menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

    Menurutnya, perbuatan Mohamad Nizar itu jelas membuktikan sikap Pas dan DAP yang tidak menghormati keputusan penghakiman mahkamah yang tidak berpihak kepada mereka apabila Barisan Nasional (BN) dapat menerajui tampuk pemerintahan.

    Katanya, insiden seperti itu tidak akan timbul lagi jika mereka menghormati ketertiban dalam Dewan dengan mematuhi arahan Speaker.

    "Dalam DUN apabila Speaker kata berhenti, janganlah buat. Apa jawatan kita dalam Dewan, kita sama sahaja. Jadi kenalah patuh, apabila ingkar Speaker ada hak keluarkan kita dari Dewan.

    "Mereka sepatutnya menghormati sistem demokrasi berparlimen dan undang-undang, apakah mereka tidak ada nilai moral yang tinggi, apakah itu menunjukkan lemah pendirian mereka atas soal prinsip seperti ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Muhyiddin mengulas kekecohan yang dicetuskan oleh Mohamad Nizar di dalam sidang DUN Perak semalam selepas beliau diarah keluar dan digantung daripada menghadiri sidang.

    /hwa: utusan.com.my

    Guan Eng gagal fahami perjuangan PDRM

    UM - 5/8/10

    KUALA LUMPUR 4 Ogos - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disifatkan sebagai seorang yang dangkal dan mempunyai fikiran cetek kerana mengusulkan cadangan agar Cawangan Khas polis ditutup.

    Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Setiausaha Agung DAP itu juga tidak memahami dan menghayati perjuangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara keseluruhan.

    Oleh yang demikian, katanya, Guan Eng sepatutnya berhenti daripada terus mengecam dan mengeluarkan pelbagai cadangan yang boleh merosakkan imej PDRM.

    "Sebagai sayap perisikan PDRM, Cawangan Khas berperanan memantau unsur subversif dan ancaman militan dalam masyarakat. Ia bukan sesuatu yang kecil malah melibatkan keselamatan dan kestabilan negara.

    "Jika peranan sebesar ini pun dianggap mainan dan tidak penting, Guan Eng jelas sekali gagal memahami dan menghayati perjuangan PDRM keseluruhannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Kelmarin, akhbar berbahasa Inggeris, The Star memetik kenyataan Guan Eng yang mempersoalkan kepentingan Cawangan Khas di negara ini dan mahukan agar unit khas berkaitan trauma dan serangan yang menguruskan hal keganasan seksual ditubuhkan.

    Ketua Menteri itu dilaporkan berkata, adalah lebih baik jika anggota Cawangan Khas ditukarkan kepada Unit Keganasan dan Jenayah Seksual kerana ia memberi nilai yang lebih kepada kewangan negara selain menganggapnya sebagai penggunaan sumber yang lebih baik.

    Cadangan itu dibuat Guan Eng ketika berucap menutup Persidangan Mengarus Perdana Gender: Keadilan Untuk Semua di sebuah hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, Ahad lepas.

    Reezal menambah, fokus dan perhatian Guan Eng selaku Ketua Menteri sepatutnya terarah kepada usaha melaksanakan pelbagai janji perubahan yang selalu diucapkannya di negeri itu.

    "Malangnya, banyak masa beliau dihabiskan untuk mencari salah orang lain. Apakah ini kaedah menutup kelemahan dan kepincangan pentadbirannya sendiri?

    "Selepas merosakkan hubungan dengan Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), apakah ini strategi barunya untuk merosakkan hubungan dengan PDRM pula? Apa pun, saya percaya majoriti rakyat mempunyai rasa percaya dan berterima kasih dengan sumbangan Cawangan Khas dan PDRM," katanya.

    Sementara itu, Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) turut bersetuju dengan kenyataan Reezal yang menyifatkan Guan Eng tidak memahami secara mendalam peranan polis apabila mencadangkan pembubaran Cawangan Khas.

    Presidennya, Shafie Bakri ketika dihubungi berkata, apa yang dilontarkan Guan Eng itu adalah satu pemikiran kebudak-budakan.

    /hwa: utusan.com.my

    4 Ogos 2010

    Dewan kecoh lagi, Nizar diarah keluar

    UM - 4/8/10


    Mohamad Nizar Jamaluddin tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker mengarahnya keluar kerana melanggar peraturan pada persidangan DUN di Ipoh, semalam.

    IPOH 3 Ogos - Kedegilan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pas-Pasir Panjang) yang terus melakukan kekecohan menyebabkan beliau diarah keluar dan digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Mohamad Nizar yang diberi laluan membahaskan usul Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2010 telah menjadikan DUN sebagai pentas politik apabila meneruskan 'ceramahnya' sehingga lebih sejam dan hanya berhenti selepas diarah keluar, itu pun setelah kira-kira 15 minit diminta berbuat demikian.

    Walaupun sudah diberi amaran banyak kali oleh Speaker, Datuk R. Ganesan supaya duduk, Mohamad Nizar langsung tidak menghiraukannya dan tidak memberi peluang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain membahaskan usul tersebut.

    'Kedegilan' Mohamad Nizar itu menyebabkan Datuk Ramly Zahari (BN-Manong) mengusulkan supaya ADUN Pasir Panjang itu dihalau dan digantung selama sehari dan usul tersebut diterima oleh Ganesan yang banyak bersabar dengan tingkah laku Ketua Pembangkang itu.

    Harapan rakyat untuk melihat sidang DUN kali ini berjalan lancar juga tidak kesampaian apabila semua ADUN pakatan pembangkang keluar meninggalkan Dewan mengikut Mohamad Nizar.

    Ini kali ketiga pakatan pembangkang memboikot sidang DUN Perak sejak mereka kehilangan pemerintahan kerajaan negeri.

    Terdahulu, sidang DUN dilihat berjalan dengan lancar walaupun kekecohan sudah tercetus semasa Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menjawab soalan lisan daripada Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu).

    Kekecohan itu berlaku selepas Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) menggunakan kamera iaitu antara alat yang dilarang digunakan oleh ahli Dewan dan enggan menyerahkannya selepas diminta berbuat demikian oleh Ganesan.

    Selepas itu, persidangan masih diteruskan walaupun acap kali pemimpin pembangkang terutama Kor Ming, Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) dan Thomas Su Keong (DAP-Pasir Pinji) 'mengganggu' sesi soal jawab menyebabkan hanya tujuh daripada 36 soalan dapat dijawab.

    Namun, sebaik Zambry selesai membentangkan usul Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2010, Mohamad Nizar yang dilihat banyak berdiam diri semasa sesi soal jawab, mula menunjukkan 'belangnya' apabila diberi peluang untuk membahaskan usul tersebut.

    Kelancangan Mohamad Nizar mengutuk kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) termasuk menggelarkan BN sebagai pengecut kerana mengadakan sidang DUN selama sehari menyebabkan sidang itu semakin 'panas' sehingga Zambry turut mencabar beliau untuk berdebat satu lawan satu.

    Ganesan juga dilihat gagal mengawal persidangan dengan baik kerana tidak bersikap tegas terhadap Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri itu.

    /hwa: utusan.com.my

    3 Ogos 2010

    Kerajaan Selangor mohon maaf kepada Raja Permaisuri Agong

    UM - 3/8/10

    SHAH ALAM 2 Ogos - Kerajaan Negeri Selangor akan menghadap Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah bagi memohon maaf terhadap insiden memalukan yang berlaku ketika baginda hadir merasmikan acara Festival Lagu-Lagu Islamik Antarabangsa 4 Julai lalu.

    Menurut laporan akhbar The Malay Mail hari ini, antara insiden memalukan itu termasuk kegagalan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menjemput ketibaan Seri Paduka pada acara tersebut.

    Selain itu, hanya kira-kira 200 pengunjung hadir pada festival yang diadakan di Stadium Tertutup Melawati yang mampu memuatkan 5,000 orang penonton itu.

    Lebih memburukkan keadaan apabila kerajaan negeri turut gagal memaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kehadiran Raja Permaisuri Agong ke acara tersebut.

    Pengurus Besar Pelancongan Selangor, Noorul Ashikin Mohd. Din berkata, kerajaan negeri sedang menunggu pihak istana bagi memaklumkan tarikh untuk pihaknya menghadap Seri Paduka bagi menjelaskan perkara itu.

    Beliau berkata, pihaknya yang diketuai Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong akan menghadap Tuanku Nur Zahirah nanti.

    Noorul Ashikin berkata, pihaknya tidak dapat bertemu dengan baginda lebih awal memandangkan jadual ketat Raja Permaisuri Agong sebelum ini.

    Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, Abdul Khalid sebelum ini telah mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor ekoran insiden tersebut.

    Katanya, kerajaan negeri telah membincangkan perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

    /hwa: utusan.com.my

    Mangsa kebakaran terima bantuan JKM

    UM - 3/8/10


    Idris Jusoh (kanan) menyampaikan bantuan malapetaka JKM bernilai RM25,000 kepada mangsa kebakaran, Wan Muhammad Wan Omar di Kampung Kubang Bemban, Besut, kelmarin.

    BESUT 2 Ogos - Pasangan warga emas yang tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Bemban dekat sini lebih sebulan lalu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam.

    Bantuan malapetaka JKM berjumlah RM25,000 itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh yang menziarahi mereka.

    Wan Muhammad Wan Omar, 75, menerima bantuan itu dengan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang membantu meringankan beban kehidupannya dan keluarga.

    Turut hadir pada majlis ringkas itu ialah Pegawai JKM Besut, Dalila Md Nasir beserta beberapa pegawai JKM Besut.

    Dalam kejadian pada 23 Jun lalu, pesara guru itu bersama isteri, Wan Habsah Wan Ibrahim, 65, serta adiknya, seorang orang kurang upaya (OKU), Wan Rokiah, 65, terselamat.

    Bagaimanapun Wan Rokiah mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan dan lebam-lebam di kedua-dua bahagian kaki akibat terjatuh di tangga sebelum diselamatkan oleh jiran.

    Ekoran kejadian itu, mereka kerugian kira-kira RM100,000 tetapi masih bernasib baik apabila penduduk kampung berjaya mengalihkan sebuah kereta yang sebelum itu diletakkan di tepi rumah.

    Sebelum kejadian, Wan Muhammad dikatakan berada di dalam sebuah bilik rumah itu untuk menunaikan solat manakala isterinya sedang menonton televisyen di bahagian dapur.

    Selepas selesai solat, dia terdengar bunyi beberapa letusan kecil dari ruang tamu rumah itu lalu bergegas keluar dan terlihat percikan api pada wayar elektrik di dinding sebelum marak.

    /hwa: utusan.com.my

    Tokoh agama minta Nik Aziz buang ego

    UM - 3/8/10

    PENGKALAN KUBOR 2 Ogos - Dua tokoh agama di negeri ini mendesak Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya membuang ego dan dendam untuk menyatukan UMNO dan Pas demi perpaduan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

    Mudir Pondok Pak Krau, Mohamad Zainal Abidin Awang dan Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah yang juga ahli Pas berpendapat, tiada sebab untuk Menteri Besar itu terus menghalang perpaduan antara kedua-dua parti berkenaan ketika umat Islam diancam daripada pelbagai sudut.

    Mohamad Zainal Abidin berkata, usaha untuk menyatukan kedua-dua parti tersebut di meja rundingan harus dilakukan secepat mungkin memandangkan kekuatan orang Melayu hampir pupus berdasarkan senario politik masa kini.

    Beliau berkata, Nik Abdul Aziz wajib menerima perpaduan dengan UMNO kerana parti tersebut sentiasa mendukung Islam dan tidak pernah menghalang perkembangan agama suci itu, malah menggalakkan rakyat di negara ini mengamalkannya.

    "Kenapa Pas tidak boleh bersatu dengan UMNO, atas alasan apa? Jika dibandingkan UMNO dengan Pas, UMNO lebih banyak membangunkan Islam, lihat sahaja di negeri ini, siapa yang buat masjid, sekolah, hospital dan jalan raya.

    "Kita kena betulkan persepsi, Pas bukan Islam, Islam bukan Pas. Kalau mereka benar-benar mendokong Islam, Nik Abdul Aziz perlu menyokong usaha perpaduan dengan UMNO tidak kira apa cara sekali pun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan mencadangkan supaya Pas dan UMNO melupakan persengketaan melalui satu pelan damai demi perpaduan umat Islam di negara ini.

    Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz dalam reaksinya menolak cadangan tersebut dengan memberikan alasan perbezaan dasar di antara kedua-dua parti itu tetapi pada masa yang sama mempertahankan kerjasama Pas dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) biar pun berbeza cita-cita.

    Mohamad Zainal Abidin berkata, pada masa ini tidak timbul mengenai dasar UMNO atau Pas kerana agenda yang lebih penting ialah penyatuan umat Islam dan orang Melayu.

    "Kita lihat di akhbar dan televisyen setiap hari ada tuntutan untuk menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu. Kita harus sedar bahawa umat Islam sedang diancam, hanya perpaduan dapat menyelamatkan kita daripada terus ditekan oleh musuh Islam," katanya.

    Abdullah pula berkata, mengikut hukum Islam, menolak perpaduan seseorang itu boleh menjadi fasik kerana Allah dan Rasulullah mewajibkan umat Islam bersatu padu.

    "Dalam konteks negara ini, perpaduan terbahagi kepada tiga iaitu pertama, menzahirkan ketuanan dan keistimewaan Melayu; kedua, perpaduan semua kaum seperti konsep 1Malaysia dan ketiga, perpaduan kesamarataan.

    "Perpaduan yang ketiga tidak boleh diterima kerana dalam Perlembagaan negara telah termaktub hak-hak keistimewaan orang Melayu hasil pengorbanan orang Melayu sebelum merdeka, jadi kita tidak boleh terikut-ikut cara DAP yang akan menghancurkan umat Islam dan Melayu.

    "Oleh itu, saya menyeru kepada Nik Abdul Aziz dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya menerima perpaduan dengan UMNO demi umat Islam dan orang Melayu. Hari ini tiada lagi perbezaan dasar di antara Pas dengan UMNO," katanya.

    /hwa: utusan.com.my

    2 Ogos 2010

    UMNO bahagian diarah tubuh pasukan khas daftar pemilih

    UM - 2/8/10

    KUALA LUMPUR 1 Ogos - Kesemua 191 UMNO bahagian telah diarah menubuhkan pasukan khas daftar pemilih bagi memastikan individu yang mencapai umur 21 tahun didaftarkan sebagai pengundi.

    Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu merupakan arahan terbaru Datuk Seri Najib Tun Razak yang disampaikan kepadanya sebelum Perdana Menteri berangkat ke luar negara untuk bercuti pada Rabu lalu.

    "Penubuhan pasukan khas yang dibentuk di bawah pimpinan ketua bahagian ini berperanan untuk memastikan sesiapa yang dianggap layak, didaftarkan sebagai pemilih.

    "Ini sesuatu yang ditekankan oleh Presiden parti dan sebelum berangkat ke luar negara baru-baru ini beliau telah menyebut kepada saya untuk memperingatkan supaya setiap bahagian mempunyai satu pasukan yang khusus," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan 2010 di sini hari ini.

    Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Dr. Mohd. Shafei Abdullah.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, penubuhan pasukan khas itu penting kerana walaupun pelbagai inisiatif telah dibuat sebelum ini, jumlah yang berjaya didaftarkan sedikit berbanding dicatatkan oleh pembangkang.

    "Saya hendak menimbulkan soal ini kerana walaupun inisiatif untuk mendaftarkan pemilih sudah dilakukan tetapi nampaknya pihak di sebelah sana (pembangkang) lebih cergas daripada kita.

    "Mereka tidak berhenti berusaha menambah daftar pemilih dengan jumlahnya meningkat setiap bulan.

    "Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menawarkan RM1 bagi seorang pemilih yang didaftarkan dan UMNO menawarkan lebih besar daripada itu. Jadi, saya harap soal pendaftaran pemilih ini akan dapat diberi perhatian yang berterusan sepanjang masa," katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin turut menggesa usaha yang sama dilakukan bagi meningkatkan bilangan orang Melayu dan bumiputera yang mendaftar sebagai ahli UMNO.

    "Dengan keahlian yang lebih besar, maka lebih mudah untuk kita menjalankan aktiviti-aktiviti bagi membela nasib orang Melayu dan bumiputera di negara kita," ujarnya.

    Sementara itu, Muhyiddin turut menggariskan lima langkah penting yang perlu dibuat setiap cawangan, bahagian, badan perhubungan negeri dan UMNO pusat bagi memulihkan kembali sokongan rakyat terhadap parti itu.

    "Ini membabitkan usaha mewujudkan perpaduan di kalangan kepimpinan di semua peringkat dan memastikan pentadbiran dan program yang dilaksana benar-benar berkesan bagi menarik sokongan kumpulan sasaran," katanya.

    "Tiga langkah lain adalah mewujudkan kerjasama erat dengan parti komponen Barisan Nasional (BN), tumpuan bagi menyelesaikan masalah masyarakat setempat dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan serta mengambil langkah segera menangkis tohmahan yang ditimbul parti lawan," katanya.

    /hwa: utusan.com.my

    Tony Pua cabar Perlembagaan Persekutuan

    UM - 2/8/10

    KUALA LUMPUR 1 Ogos - Cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua supaya kerajaan Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera untuk membeli hartanah komersial dan mewah di negeri itu disifatkan sebagai mencabar Perlembagaan Persekutuan.

    Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ia membuktikan pendirian DAP tidak menghormati perkara-perkara yang dipersetujui oleh pemimpin terdahulu.

    "Saya fikir ini sebagai ketidakadilan dan juga usaha menjejaskan kepentingan bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan.

    "Jika kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim menerima cadangan itu, peluang bumiputera yang bergantung kepada diskaun tersebut untuk memiliki aset di negeri itu akan terjejas," katanya semalam.

    Beliau mengulas cadangan Tony Pua kepada kerajaan Selangor supaya memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera untuk membeli hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu.

    Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin mendedahkan, statistik pada 2007 menunjukkan pemilikan bangunan oleh orang Melayu masih rendah iaitu cuma 15.7 peratus dan hartanah komersial pula hanya sekitar 29.2 peratus.

    Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, dakwaan Tony Pua bahawa tindakan itu bertujuan mengatasi masalah hartanah yang dibeli dengan harga diskaun itu dijual semula oleh orang tengah dengan harga lebih mahal, sebagai alasan semata-mata.

    "Kalau benar hendak mengatasi masalah itu, perlu dikemukakan cadangan yang lebih konkrit dan tidak perlu pemansuhan pemberian diskaun itu secara keseluruhan," katanya.

    Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizzuddin Noh berkata, Selangor kini seolah-olah terdesak kerana menghadapi masalah kekurangan dana disebabkan polisi tindakan pentadbirannya.

    "Slogan Selangor Negeri Kebajikan menyebabkan mereka terpaksa membuat peruntukan yang besar dalam perbelanjaan.

    "Oleh itu, cadangan Tony Pua dilihat sebagai cara terdesak kerajaan negeri mendapatkan sumber kewangan secara cepat," katanya.

    Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula menyifatkan cadangan itu sebagai sesuatu yang berbahaya dan berbentuk provokasi.

    "Kami di MBM meminta ahli politik berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan lebih-lebih lagi yang menyentuh isu sensitif.

    "Cadangan itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang ahli politik dan beliau seharusnya berfikir panjang terlebih dahulu," katanya.

    /hwa: utusan.com.my

    Perkasa bukan rasis - Ibrahim

    UM - 02/08/2010


    Khairy Jamaluddin menunjukkan isyarat bagus kepada Ibrahim Ali semasa sesi perdebatan Persidangan Tahunan Pimpinan Mahasiswa Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.


    KUALA LUMPUR 1 Ogos - Presiden Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali hari ini menyangkal tuduhan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa beliau seorang yang rasis.

    Sebaliknya, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, tindakannya mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan Islam hanya semata-mata memastikan ia tidak diganggu-gugat pihak lain.

    Katanya, beliau dan Perkasa terpaksa berbuat demikian kerana telah wujud beberapa golongan yang secara terbuka 'berani' membuat permintaan bertentangan dengan semangat serta prinsip Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

    "Adakah saya bertindak mempertahankan hak ini saya digelar rasis. Saya bukan rasis. Selama ini pun saya tidak pernah mempersoalkan hak kaum lain seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan malah jika terdapat dasar untuk membantu orang bukan bumiputera saya akan sokong.

    "Sebagai contoh, pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar cemerlang untuk semua kaum. Dasar ini saya sokong cuma saya tidak senang jika ada pihak mempersoalkan biasiswa Mara kepada pelajar Melayu. Mara adalah institusi orang Melayu yang wajib dipertahankan," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sesi dialog politik pada Persidangan Tahunan Pimpinan Mahasiswa Malaysia 2010 di sini, hari ini.

    Selain Ibrahim dan Khairy, sesi dialog tersebut turut disertai oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

    Sesi dialog selama lebih sejam itu panas dengan hujah-hujah daripada ketiga-tiga ahli panel selain soalan daripada para peserta.

    Ibrahim berkata, JPA dan Mara adalah dua isu yang berbeza dan seharusnya pihak yang mempertahankan Mara tidak sewenang-wenangnya digelar perkauman.

    "1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan seperti Malaysian Malaysia tetapi ia tertakluk kepada semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan," katanya.

    Dalam pada itu, Ibrahim berkata, sekiranya beliau seorang rasis sudah tentu ada pihak akan membuat laporan polis terhadapnya kerana sengaja membangkitkan isu-isu perkauman.

    "Hakikatnya sejak dahulu lagi tiada pihak yang membuat laporan polis terhadap saya. Ini satu fakta dan sekiranya ada pihak kurang percaya mereka boleh periksa di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman," ujarnya.

    Ibrahim berkata, sehingga kini beliau masih mempunyai ramai rakan yang terdiri daripada kaum India dan Cina.

    Dalam pada itu, beliau mendakwa Pemuda UMNO di bawah kepimpinan Khairy lemah kerana gagal menangani isu-isu besar yang berbangkit secara berkesan.

    "Sebagai contoh kes skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) serta beberapa isu berkaitan dengan kepentingan umum. Di mana suara Pemuda?" soalnya.

    Sementara itu, Khairy dalam sesi selepas itu berkata, tiada laporan polis tidak semestinya Ahli Parlimen Pasir Mas itu tidak boleh dilabel sebagai rasis.

    "Bukan bermakna tiada laporan polis Ahli Parlimen Pasir Mas tidak boleh dikatakan rasis," katanya.

    Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, keistimewaan Melayu bukan disebabkan hak-hak istimewa yang dinikmati seperti mana peruntukan Perlembagaan.

    Sebaliknya, beliau berkata, kehebatan Melayu adalah bergantung kepada kemampuan mereka bersaing dalam semua bidang.

    "Inilah keistimewaan Melayu pada kaca mata saya. Keistimewaan Melayu terletak kepada kemampuan untuk bersaing dan mencapai kejayaan dan bukannya disebabkan hak-hak istimewa yang dinikmati," katanya.

    /hwa: utusan.com.my

    TPM: Jangan rombak asas pembinaan negara

    UM - 02/08/2010


    Muhyiddin Yassin bersama Rais Yatim turut mengibarkan bendera kebangsaan ketika tiba pada majlis pelancaran Kempen Jalur Gemilang 2010 sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-53 di Stadium Utama, Kangar, Perlis, semalam. Turut sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.


    KANGAR 1 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat jangan cuba merombak asas-asas pembinaan negara dengan mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum.

    Tegas beliau, setiap rakyat harus belajar daripada pengalaman bahawa perbuatan melampau yang mengguris perasaan mana-mana kaum boleh menjejaskan keharmonian, keamanan dan kestabilan politik negara.

    "Jangan hanya kerana kepentingan politik yang sempit, atau kecenderungan untuk mencari populariti, ada di kalangan kita sanggup memperjudikan keharmonian kaum dan masa depan negara," katanya.

    Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada perasmian Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-53 di Stadium Utama di sini malam ini.

    Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan menteri-menteri Kabinet.

    Kira-kira 20,000 warga Perlis memenuhi stadium tersebut bagi meraikan pelancaran kempen berkenaan.

    Muhyiddin menambah, rakyat perlu memperkukuhkan asas-asas pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat dengan menyemarakkan perasaan saling hormat menghormati sesama kaum.

    "Saya percaya, dengan pengalaman hidup dalam sebuah negara berbilang kaum yang aman dan harmoni sejak sekian lama, rakyat di negara kita dapat menghargai nilai-nilai perpaduan dan keharmonian," katanya.

    Sehubungan itu, beliau berharap, melalui sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini, lebih banyak usaha dilakukan oleh agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan swasta untuk memperkukuhkan nilai-nilai perpaduan di kalangan rakyat.

    "Saya amat mengalu-alukan peranan pelbagai pihak membantu kerajaan memperkukuhkan perpaduan melalui pelbagai program yang bermanfaat," jelasnya.

    Muhyiddin percaya dengan adanya usaha berterusan oleh pelbagai pihak dapat mempertahankan asas-asas negara yang dibina di atas prinsip persefahaman, toleransi dan hormat menghormati antara kaum di negara ini.

    /hwa: utusan.com.my

    MBE tetap pertahan hak Melayu

    UM - 02/08/2010

    KUALA LUMPUR 1 Ogos - Orang Melayu diminta mengubah persepsi negatif kononnya projek pembangunan Kampung Baru di sini yang akan dilaksanakan di bawah kerangka Model Baru Ekonomi (MBE) tidak akan menguntungkan kaum itu.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, persepsi sedemikian adalah salah kerana MBE sentiasa mempertahankan kepentingan orang Melayu.

    Sehubungan itu, beliau berharap UMNO Wilayah Persekutuan mengambil daya usaha untuk memberikan penerangan kepada orang Melayu bagi memperbetulkan persepsi kononnya MBE tidak mempertahankan kepentingan kaum itu.

    ''Salah satu projek besar yang akan dilaksanakan di bawah kerangka MBE adalah pembangunan Kampung Baru.

    ''Kita tidak rela melihat Kampung Baru 'berkarat ' di bawah bayangan menara berkembar tertinggi di dunia. Ini seolah-olah menggambarkan betapa jauhnya terkebelakang orang Melayu di ibu kota," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam kata-kata aluan buku cenderamata sempena Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan 2010 yang dirasmikan oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Najib yang juga Presiden UMNO menegaskan, Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur merupakan medan hadapan dalam menjayakan konsep 1Malaysia kerana ia adalah tempat tumpuan pelbagai kaum di negara ini.

    ''Saya juga mahu melihat UMNO Wilayah Persekutuan mengambil tanggungjawab penting dalam mempromosikan konsep ini kerana ia adalah perkakasan utama kita dalam memenangi hati rakyat pelbagai kaum di ibu kota.

    ''Konsep '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' merupakan falsafah negara yang akan memacu kita menjadi sebuah negara bangsa Malaysia yang makmur dan harmoni," ujarnya.

    Najib turut menekankan keazaman besar beliau untuk melihat UMNO Wilayah Persekutuan kembali bertenaga dan terus relevan dalam persada politik negara yang dibuktikan dengan pelantikan Muhyiddin bagi mengetuai badan perhubungan negeri itu.

    ''UMNO Wilayah Persekutuan memainkan peranan yang amat strategik dari segi geopolitik negara kerana keadaan sosiopolitik di ibu kota ini akan mempengaruhi seluruh negara," katanya.

    Untuk memastikan hasrat itu tercapai, tegasnya, UMNO Wilayah Persekutuan perlu melakukan transformasi yang besar dalam semua pendekatan yang akan dilaksanakannya.

    ''Sekiranya kita tidak melakukan transformasi maka bagaimanakah kita boleh mengubah nasib kita.

    ''Moto UMNO Wilayah Persekutuan iaitu 'Dekat, Khidmat, Pikat' memang cantik bunyinya, tetapi hendaklah juga cantik pelaksanaannya," kata Najib.

    /hwa: utusan.com.my

    Pelabur asing tidak ada wang untuk melabur - Dr. Mahathir

    UM - 02/08/2010

    KUALA LUMPUR 1 Ogos - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini disebabkan pelabur asing seperti dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak mempunyai wang untuk dilaburkan.

    Bekas Perdana Menteri memberitahu, pelabur terbabit juga memerlukan wang yang mereka ada untuk dilaburkan di dalam negara sendiri berikutan keadaan ekonomi yang semakin teruk terutama di Eropah dan AS.

    ''Keadaan ekonomi Eropah dan AS amat terjejas berikutan krisis kewangan yang melanda negara terbabit sehingga ramai rakyatnya tidak mempunyai pekerjaan.

    ''Kebanyakan pelabur terpaksa menumpukan kepada pelaburan di dalam negara masing-masing kerana ia amat diperlukan di sana, ini bermakna mereka tidak akan membuat pelaburan besar di negara lain,'' katanya.

    Beliau yang merupakan Pengerusi The Loaf berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan cawangan keempat The Loaf di IOI Boulevard di Puchong dekat sini hari ini.

    Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pengarah Urusan The Loaf, Jiro Suzuki.

    Dr. Mahathir mengulas mengenai Malaysia mencatat kejatuhan FDI sebanyak 81 peratus tahun lalu kepada AS$1.38 bilion (RM4.22 bilion) berbanding AS$7.31 bilion (RM23.39 bilion) pada 2008 yang merupakan rekod terburuk dialami negara sejak 15 tahun lalu.

    Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengkaji bagi meningkatkan pelaburan dalam negeri seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain.

    Sementara itu, mengenai The Loaf, Dr. Mahathir memberitahu, kedai roti premium berasaskan resipi Jepun itu menerima banyak permohonan untuk memfrancais jenama kedai tersebut termasuk dari Singapura dan Indonesia.

    ''Memang menjadi hasrat The Loaf untuk memfrancais perniagaan tetapi masanya belum tiba, memandangkan pihak pengurusan perlu mendapatkan data yang tertentu bagi memastikan ia akan memberi keuntungan mencukupi.

    ''The Loaf perlu memastikan bahawa jenama ini mampu menarik pelanggan setiap masa dan dapat mencatatkan keuntungan yang maksimum, bagi memastikan setiap kedai francais yang dibuka akan dapat keuntungan sewajarnya,'' katanya.

    Beliau memberitahu, usaha untuk memfrancais The Loaf akan dibuat secepat mungkin selepas semua data dan jenama itu mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada pelanggan.

    Dr. Mahathir memberitahu, adalah tidak rasional untuk The Loaf mengendalikan semua cawangannya dan cara terbaik ialah melalui francais yang dilakukan pada masa yang sesuai.

    The Loaf juga akan membuka cawangan kelima di Bangsar sebelum akhir tahun ini.

    /hwa: 02/08/2010