28 Jun 2013

NGO pro DAP bidas KM P. Pinang



PULAU PINANG 26 Jun - Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) yang mempunyai hubungan rapat dengan DAP membidas tindakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang seolah-olah memperlekehkan titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah sebagai 'skrip' yang disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Rahmad Isahak berkata, kenyataan tersebut amat keterlaluan kerana Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP seperti menidakkan Perlembagaan Persekutuan apabila terus mempertahankan undi popular yang diperoleh pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Menurutnya, kenyataan Guan Eng yang masih menyifatkan BN sebagai kerajaan minoriti menunjukkannya tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf pembentukan sesebuah kerajaan berdasarkan jumlah kerusi dimenangi dalam pilihan raya umum.
"Guan Eng sepatutnya cermin diri sendiri dahulu sebelum keluarkan kenyataan sedemikian.
"Kenyataannya amat keterlaluan. Ini bukan drama atau sandiwara yang perlu dibuat skrip," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng mendakwa titah Seri Paduka dalam majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-13 telah disediakan oleh BN.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebelum ini mendakwa PRU-13 adalah 'yang paling kotor' dalam sejarah negara dan pembangkang sepatutnya layak membentuk kerajaan baharu berdasarkan undi popular.
Rahmad memberitahu, Yang di-Pertuan Agong merupakan payung negara yang membela semua kaum dan etnik dan tidak seharusnya titah Seri Paduka dipersenda.
"Jika demikian sikap Guan Eng, saya tidak hairan sekiranya pembangkang berjaya memerintah negara, sistem institusi raja-raja Melayu akan terhakis," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa 28JUN

Analisis: Pertembungan getir di Kuala Besut



Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
KUALA TERENGGANU - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pastinya bakal merasai suasana sambutan Aidilfitri lebih awal atau lebih panjang tahun ini, jika pilihan raya kecil (PRK) diadakan dalam bulan Ramadan atau Syawal.
Kerusi DUN berkenaan ditakdirkan kosong semula hanya selepas lebih sebulan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berlalu apabila penyandangnya, Dr. A Rahman Mokhtar,55, meninggal dunia pagi semalam dan PRK akan diadakan dalam temph 60 hari.
Seminggu sebelum meninggal, Allahyarham yang begitu disenangi penduduk masih meneruskan tugasan akhirnya dengan menyertai sidang Dewan Undangan Negeri biarpun menyedari kesihatannya sudah cukup kritikal ketika itu namun disembunyi kepada umum.
Malah beliau masih ingin mencari kesempatan akhir untuk menemui rakyat di kawasannya dalam satu majlis meraikan kemenangan Barisan Nasional ketika sepatutnya sudah menerima rawatan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dengan pengawasan penuh oleh pakar.
Sudah menjadi resam agak 'kejam' dalam politik apabila saat seorang wakil rakyat tenat dan disusuli kematian, soal PRK akan lebih diperkatakan umum.
Pemergian Allahyarham yang memaksa berlakunya PRK pertama selepas PRU-13, merancak permainan politik dengan gendangan yang terus bergema dan tidak berkesudahan di negara ini selepas pilihan raya umum apabila terus diheret berpanjangan oleh pembangkang yang merasa mereka berhak menang.
Sama ada anda berasa cukup jelak, cuak dengan sinario permainan para pemimpin politik yang berterusan mengejar kuasa kini yang mencetuskann fenomena jauh lebih membimbangkan berbanding jerebu, anda terpaksa menerima keadaan ini.
DUN Kuala Besut meliputi kawasan lingkaran pantai dan pulau.
Allahyarham anak Pulau Perhentian dan mengakhiri hayatnya sebagai pemimpin di kawasan tanah besar dan pulau yang mempunyai tautan kuat dengan kehidupannya selama dua penggal.
Jika disorot seimbas lalu, sememangnya Kuala Besut boleh dianggap kawasan kubu UMNO dengan rekod pencapaian PRU 2004 memperlihatkan ia menguasai 60 peratus undi manakala 61 peratus pada 2008 dan 58 peratus dalam PRU 2013.
Penguasaan UMNO ternyata kekal pada tahap seimbang sepanjang tiga penggal PRU di kawasan yang pengundi Melayunya mencecah hampir 99 peratus namun semua itu bersandarkan perjalanan
PRU-13 dan sebahagian rekod khidmat Allahyarham
Kuala Besut di kawasan tradisional Melayu dilihatkan sebagai salah satu medan pertembungan sebenar antara dua parti, UMNO dan Pas untuk menentukan pengaruh di kalangan kaum yang diwakili, bukannya Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.
PRK kali ini cukup besar maknanya bagi kedua-dua parti di negeri ini walaupun tidak merubah apa-apa di peringkat negara dan dibayangkan menjadi cukup getir kerana bakal menentukan masa depan kerajaan BN di negeri ini yang cuma kekal berkuasa selepas PRU dengan kelebihan dua kerusi.
UMNO mesti mengekalkan kelebihan itu untuk memastikan kerajaan tidak goyah dan dalam keadaan tidak menentu kerana jika kedudukan kerusi seimbang 16-16, buat pertama kalinya kedudukan DUN akan tergantung tanpa sokongan majoriti.
Ini pula kesempatan paling berharga buat Pas yang masih ghairah mengimpikan untuk kembali berkuasa setelah disingkirkan rakyat setelah sepenggal diberi kepercayaan dan cuma memerlukan tambahan sekitar 8 peratus undi untuk memenangi majoriti mudah.
Parti itu juga telah mengemukakan petisyen bagi membantah keputusan bagi kerusi DUN Kuala Besut dan Kuala Berang yang memuncakkan lagi harapan mereka.
Kekosongan yang berlaku mempercepatkan semula peluang Pas untuk kembali berkuasa tanpa perlu menunggu sepenggal lagi kerana jika berupaya menguasai Kuala Besut, kemungkinan DUN boleh dibubarkan dan membuka ruang pilihan raya semula di peringkat negeri.
Ini bagaikan pertembungan antara hidup dan mati dengan kedua-dua belah pihak pastinya akan berhempas pulas dengan mengumpulkan kekuatan jentera parti dari seluruh negara untuk memastikan kemenangan.
PKR kali bukan sekadar suatu pertembungan yang mungkin melebarkan lagi perpecahan umat Islam dan Melayu malah menentukan nasib negeri dan rakyat Terengganu. - UTUSAN ONLINE
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa 28JUN

PM sertai dialog Global 2013 di Tanzania



Daripada RAMLI ABDUL KARIM
DAR ES SALAAM 27 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Tanzania bermula esok untuk menghadiri program dwitahunan Dialog Perkongsian Pintar Global 2013 (Global 2013) di sini.
Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke luar negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan juga penyertaan pertamanya sebagai Perdana Menteri dalam dialog itu di Afrika setelah ia dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi penganjuran Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) pada 1995.
Perdana Menteri yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Julius Nyerere pada pukul 10 malam esok (3 pagi Sabtu, waktu Malaysia) akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya yang turut bertanggungjawab terhadap Tanzania dan Uganda, Ismail Salam berkata, Najib akan mengambil bahagian dalam empat sesi program tersebut iaitu dua sesi dialog dan dua sesi perbincangan kumpulan pemikir.
Selain itu, menurutnya, sepanjang berada di sini, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan hubungan dua hala dengan beberapa ketua kerajaan dari Afrika termasuk menemui Presiden Sri Lanka, Mahindra Rajapaksa dan Presiden Uganda, Yoweri Museveni.
"Pembabitan Malaysia dalam dialog ini akan menunjukkan komitmen kita untuk mengemukakan isu-isu antarabangsa khususnya yang berkaitan dengan kepentingan Afrika.
"Penyertaan Perdana Menteri dalam dialog ini juga akan membantu merapatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Tanzania," katanya kepada media Malaysia dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Global 2013 bertemakan Memanfaatkan Teknologi untuk Transformasi Sosioekonomi Afrika dianjurkan oleh organisasi Perkongsian Komanwel untuk Pengurusan Teknologi (CPTM) dan kerajaan Tanzania.
Kali terakhir negara dari benua Afrika menganjurkan dialog itu ialah di Munyonyo, Uganda pada 2009 sebelum disusuli Putrajaya, Malaysia pada 2011. - UTUSAN ONLINE
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa 28JUN

26 Jun 2013

Exco Kesihatan Terengganu Dr. A. Rahman meninggal dunia

KUALA TERENGGANU 26 Jun - Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar (gambar) meninggal dunia setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira seminggu lalu akibat komplikasi paru-paru berair.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut dilaporkan stabil semalam bagaimanapun menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 10.18 pagi ICU HSNZ dan jenazahnya dijangka dikebumikan di Kuala Besut petang ini.
Beliau meninggalkan balu, Azizah N. Omar dan empat orang anak, Mohd. Zaihan, Mohd. Razhan, Mohd. Zaffuan dan Nurul Najihah.
A. Rahman yang dilahirkan 22 Mac 1958 di Kampung Pulau Perhentian, Besut merupakan pemegang ijazah kedoktoran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kemudian menyambung pelajaran ke Kolej Kesihatan Umum Universiti Of Philippines di Manila dan telah dilantik menjadi Exco kerajaan negeri sejak 2008. - UTUSAN

AL FATIHAH

TAKZIAH buat keluarga
DR. HAJI A. RAHMAN MOKHTAR
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
(ADUN Kuala Besut/Setiausaha UMNO Bahagian Besut)
yang kembali ke Rahmatullah pada 26 Jun 2013 Jam 10.18 Pagi.
Al Fatihah buat Arwah. Amin.
daripada
Admin #Demi Maruah

25 Jun 2013

Watikah kepada Yang di-Pertuan Agong

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan watikah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Persidangan Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat, pagi ini. - Foto Yazit Razali, Jun 25, 2013 11:36 am

Mengiringi YANG di-Pertuan Agong

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Persidangan Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali, Jun 25, 2013 10:29 am

Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional

PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika sediang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, malam tadi. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. - Foto Izhari Ariffin, Jun 25, 2013 8:10 am

Pas akui Pusat banyak bantu bangunkan Bandar Baru Tunjong

KOTA BHARU 23 Jun - Kerajaan Pas Kelantan mengakui Kerajaan Pusat telah memainkan peranan besar dalam membantu membangunkan Bandar Baru Tunjong, di sini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, bantuan Kerajaan Pusat itu terbukti melalui pembinaan pelbagai bangunan dan kompleks jabatan serta agensi kerajaan di situ.
"Ini merupakan satu kerjasama yang baik telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengisi pembangunan di Bandar Baru Tunjong ini," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembangunan mega, Lagenda Tunjong dan pelancaran Jualan Che Siti Village Mall bernilai RM1.2 bilion.
Projek pembangunan Bandar Baru Tunjong telah dilancarkan oleh Kerajaan Pas Kelantan pada Oktober 2005, namun sehingga kini tidak memberikan sebarang impak kecuali projek-projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat di kawasan tersebut.
Antara projek yang dilaksanakan Kerajaan Pusat di kawasan berkenaan adalah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) berharga RM143.7 juta; Jabatan Pelajaran Negeri (RM31.5 juta); Jabatan Audit Negeri Kelantan (RM13.7 juta); Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (RM9.7 juta); Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri (RM13.2 juta) dan Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Kelantan (RM21 juta).
Sementara itu, mengulas mengenai projek Lagenda Tunjong dan Che Siti Village Mall, Ahmad berkata, projek berkenaan menelan belanja RM1.2 billion itu akan dilaksanakan oleh syarikat Sara Timur Sdn. Bhd. dengan kerjasama kerajaan negeri.
Katanya, projek berkenaan yang merangkumi pembinaan seperti pusat beli belah, kondominium, hotel mewah serta pelbagai lagi kompenen lain akan melalui tujuh fasa dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
Katanya lagi, pelaksanaan projek-projek di Bandar Baru Tunjong itu telah membuktikan pembangunan sedang berjalan rancak di negeri ini.

Serlah sikap hipokrit pembangkang


KUALA LUMPUR 23 Jun - Sikap hipokrit pakatan pembangkang akan terserlah jika kesemua 89 Ahli Parlimennya hadir mengangkat sumpah di Dewan Rakyat esok sebagai mengiktiraf mereka sebagai wakil rakyat.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, mereka sepatutnya berasa malu untuk hadir dalam majlis tersebut sedangkan terus-menerus menganjurkan perhimpunan haram demi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dituduh satu penipuan.
Jelas beliau, mereka perlu bersikap konsisten apabila bersetuju untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat, maka segala bentuk perancangan untuk menggulingkan kerajaan wajar dihentikan.
"Apabila mereka bersetuju mengangkat sumpah esok, maka jadilah Ahli Parlimen yang bertanggungjawab. Suarakan apa yang tidak puas hati di Dewan Rakyat yang memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada mereka.
"Itu sebenarnya lebih baik daripada terpekik-terlolong di jalan raya kerana langsung tidak membawa apa-apa faedah. Dalam konteks kita mengamalkan demokrasi tanpa putus-putus sejak merdeka, sepatutnya Ahli Parlimen tunjukkan kematangan dalam menguruskan demokrasi itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kesemua Ahli Parlimen parti itu akan mengangkat sumpah di Parlimen esok, sekali gus menafikan dakwaan bahawa mereka akan memboikot majlis itu.
Kenyataan itu sekali gus diselar banyak pihak kerana Anwar tetap meneruskan perhimpunan haram bagi membantah keputusan PRU-13.
Dalam pada itu, Pensyarah Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, tindakan pembangkang itu seperti serampang dua mata dalam keadaan mereka membantah tetapi bersetuju untuk menjadi Ahli Parlimen.
Sehubungan itu, kata beliau, rakyat perlu sedar bahawa tindakan mereka itu hanya untuk memuaskan hati bagi menafikan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
"Kalau mereka angkat sumpah, tiada apa lagi yang perlu dipertikai. Jika mahu membantah keputusan pilihan raya, kemuka petisyen di mahkamah tidak perlu mengadakan tunjuk perasaan.
"Kita tidak faham apa rasional golongan itu berbuat demikian, adakah bertujuan untuk mengelirukan rakyat atau sekadar hobi mengganggu-gugat keamanan negara bagi memberikan tekanan kepada kerajaan agar tunduk kepada mereka, walhal itu tidak mungkin akan berlaku," katanya.
Tambah beliau, Ahli Parlimen pembangkang diingatkan untuk meneruskan agenda pembangunan negara dan menunaikan amanah rakyat sekiranya telah menerima hakikat dengan mengangkat sumpah esok.
"Rakyat boleh pertikaikan apa tujuan mereka menganjurkan perhimpunan tetapi bersetuju menjadi Ahli Parlimen.
"Keamanan dan kemajuan negara perlu diteruskan, jalankan tugas dan amanah yang telah diberikan rakyat," katanya.

24 Jun 2013

Agenda pluralisme agama di sebalik perhimpunan haram

KUALA LUMPUR 21 Jun - Perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang di sini esok didakwa mempunyai agenda tersembunyi pihak asing yang ingin mengembangkan fahaman pluralisme agama di negara ini.
Ketua Penerangan Minda Pondok, Harun Yahya berkata, kegagalan pakatan pembangkang menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu turut mengakibatkan fahaman pluralisme agama sukar disebarkan secara meluas khususnya dalam kalangan umat Islam.
"Umat Islam diminta jangan menghadiri perhimpunan haram esok sebab perbuatan itu seperti memberi sokongan kepada golongan yang memperjuangkan agenda pluralisme agama.
"Kita perlu ingat UMNO sememangnya konsisten tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam tetapi Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendirian sebaliknya
''UMNO sebagai tunjang belakang Barisan Nasional (BN) sentiasa komited dalam mempertahankan kesucian agama Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Harun mengulas kedegilan pihak pembangkang untuk meneruskan penganjuran perhimpunan haram di Padang Merbok di sini esok walaupun tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Beliau turut mengecam Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa kerana mengeluarkan kenyataan kononnya peserta yang terkorban ketika menyertai perhimpunan haram itu sebagai mati syahid.
Tegasnya, hanya orang Islam yang terkorban dalam perjuangan mempertahankan ketauhidan Allah SWT dan kesucian agama layak dianggap mati syahid.
"Bagaimana boleh mati syahid sedangkan Pas bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahya memberitahu, perhimpunan haram tersebut hanya bertujuan memenuhi kehendak politik pihak tertentu.
Jelas beliau, keangkuhan pakatan pembangkang menolak kemenangan BN pada PRU-13 telah menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat khususnya sesama umat Islam.
"Terimalah apa sahaja yang diputuskan oleh rakyat dan jika tidak berpuas hati, tunggu sahaja keputusan mahkamah terhadap petisyen yang dibuat," katanya.
Aminuddin turut menyatakan kebimbangannya tentang campur tangan pihak asing yang didakwa membantu dari segi kewangan bagi menjayakan perhimpunan haram tersebut.

Pemikiran Husam sudah berkecamuk, terpesong

KUALA LUMPUR 21 Jun - Dakwaan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa kononnya peserta yang terkorban sewaktu menyertai perhimpunan Blackout 505 esok sebagai mati syahid, jelas menunjukkan pemikirannya yang berkecamuk dan terpesong sehingga sanggup mempergunakan agama demi kepentingan politik.
Penasihat Madrasah Bab al-Khausar, Shahbudin Embun berkata, kenyataan Husam yang cuba menyamakan situasi di negara ini dengan keadaan di negara Arab juga amat mengarut dan tidak masuk akal sama sekali.
"Saya hendak tanya dia, ayat al-Quran, hadis atau ijmak ulama mana yang dia ambil untuk merujuk kenyataan seperti itu? Buku apa yang dia baca sehingga boleh mengatakan sesiapa yang terkorban dalam perhimpunan itu adalah bersifat jihad kepada fisabilillah?.
"Dia cuba hendak memanipulasi semangat rakyat. Dia juga cuba melakukan sebagaimana ulama terkenal Yusof Qardawi memfatwakan bahawa sesiapa yang berjuang di Syria adalah jihad kepada Allah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Husam seperti dilaporkan dalam Harakahdaily Ahad lalu berkata, peserta yang terkorban ketika menyertai perhimpunan terakhir Blackout 505 di Padang Merbok di sini dianggap sebagai mati syahid.
Bagaimanapun kenyataan Husam itu bertentangan dengan pandangan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang mahu ahli parti mematuhi pendirian serta nasihat Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa tiada paksaan untuk mereka menyertai perhimpunan Blackout 505.
Shahbudin berkata, tindakan Husam untuk cuba menyamakan situasi di Malaysia dengan Arab Spring yang berlaku di beberapa negara Arab adalah sesuatu yang dangkal.
"Isu sekarang adalah mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan tidak ada kena-mengena dengan pemerintah negara ini.
"Jadi kita minta orang muda tidak terpengaruh dengan kenyataan dangkal seperti itu kerana jika mereka mati, mereka mati sia-sia bukan untuk apa-apa," katanya.

Anwar didesak letak jawatan

KUALA LUMPUR 21 Jun - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak meletak jawatan kerana telah hilang kelayakan sebagai seorang pemimpin.
Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan berkata, Anwar adalah seorang pengecut kerana mengadakan pertemuan dengan pihak di Indonesia bagi mendapatkan sokongan dan mencampuri urusan pentadbiran negara selain membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
‘‘Beliau harus menerima hakikat bahawa pembangkang telah tewas pada PRU-13 lalu dan rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN).
‘‘Anwar perlu meletakkan jawatan seperti yang telah dikatakan iaitu jika gagal menuju ke Putrajaya, beliau akan meletak jawatan," katanya dalam sidang akhbar pada majlis penyampaian cek sumbangan untuk 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.
Dana kira-kira RM70,000 itu disumbangkan oleh PPP Wilayah Persekutuan, pejabat Timbalan Perdana Menteri serta Unit Pelaksanaan dan Pelarasan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Menurut Chandrakumanan, Anwar perlu berhenti mengelirukan fikiran rakyat bahawa beliau mempunyai mandat untuk mentadbir negara.
“Beliau adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan bagaimana anda boleh mengatakan mempunyai 51 peratus undi popular serta boleh kalah? Adakah undang-undang kita mengikut undi popular? Tidak.
“Undang-undang kita mengikut majoriti kerusi yang telah dimenangi di Parlimen. Itu yang diikuti dan merupakan demokrasi kita. Jadi, jangan memutarbelit dengan mengelirukan rakyat, pembangkang telah menang dan BN menipu rakyat," ujarnya.

Jelaskan siapa Rohizam, kaitan dengan cubaan sogok Sirul RM3 juta?

KUALA LUMPUR 21 Jun - Berikut kenyataan penuh bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ruslan Kasim berhubung dakwaan bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman mengenai cubaan pembangkang menyogok keluarga Koperal Sirul Azhar Umar dengan wang tunai berjumlah RM3 juta.
Pendedahan Rahimi yang disiarkan Buletin Utama TV3 malam semalam menyatakan pembangkang cuba menawarkan wang tunai itu kepada keluarga Sirul dan sebagai balasan, bekas anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK) tersebut perlu membuat pengakuan palsu berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Saya menyokong kenyataan Rahimi semalam dan saya minta Azmin Ali perjelaskan siapakah Rohizam dari Sri Gombak yang pergi melawat Sirul pada 17 Februari lalu. Saya juga ingin bertanya betulkah Azmin yang telah mendorong Rohizam untuk buat lawatan tersebut.
Kita juga mendesak pihak polis siasat mengenai tawaran RM3 juta untuk sogok Sirul buat pengakuan palsu bagi fitnah Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya.
Azmin tidak perlu melatah kerana ini adalah pertanyaan daripada masyarakat, sebagai seorang wakil rakyat, pengundi beliau perlu tahu apa yang beliau lakukan di kawasannya.

21 Jun 2013

SESI BAHARU PARLIMEN



Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah memberi taklimat media sebagai persediaaan pembukaan sesi baharu Parlimen mulai Isnin ini - Foto:Bernama