22 November 2009

Husam letak jawatan?

Utusan - 22/11/09
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my
KOTA BHARU 21 Nov. – Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dikatakan mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan yang merupakan satu lagi episod yang menggambarkan perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.
Namun hasrat itu tidak dipersetujui oleh Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Aziz sebaliknya memberikan cuti selama lima hari bermula hari ini kepada Husam yang juga exco kanan kerajaan negeri untuk berehat dan menenangkan fikiran.
Tindakan Husam untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan yang dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.
Abdul Ariffahmi yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan menantu Nik Abdul Aziz.
Namun Pas Kelantan melalui Setiausaha Badan Perhubungannya, Mohd. Zaki Ibrahim berkata, perkara itu hanya khabar angin dan mereka tidak mahu mencampuri isu yang dihadapi Nik Abdul Aziz kerana menyifatkan ia tidak ada kena-mengena dengan politik.
Sumber memberitahu, hasrat Husam untuk berundur telah dikemukakannya kepada Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan pada pertemuan empat mata Selasa lalu.
“Husam bertemu dengan Nik Abdul Aziz untuk menjelaskan bahawa beliau tidak terlibat atau menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku dalam PMBK dan penjelasan itu diterima, tetapi hasratnya untuk meletakkan jawatan ditolak.
“Nik Abdul Aziz telah mengumumkan Husam cuti selama lima hari bermula hari ini pada mesyuarat Badan Perhubungan Pas Kelantan di kediaman rasminya, JKR 10 pagi tadi. Beliau (Husam) tidak hadir pada mesyuarat ini,” kata sumber itu kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini, sebuah portal berita melaporkan Husam mendakwa wujud konspirasi untuk menyingkirkan beliau daripada pentadbiran kerajaan negeri dengan mencetuskan perbalahan di antara beliau dengan Nik Abdul Aziz.
Malah khabar angin menyatakan bahawa Mursyidul Am Pas itu sedang menimbangkan untuk menggugurkan Husam daripada barisan Exco Kelantan ekoran isu pemecatan Syed Azidi Syed Abdul Aziz sebagai Pengarah Perhubungan Korporat PMBK minggu lalu.
Syed Azidi yang lebih dikenali dengan laman blognya Kickdefella, pula dilihat sebagai antara orang kanan Husam.
Sumber itu berkata, dalam tempoh cuti tersebut, Husam juga akan menjalani pembedahan tulang belakang selepas ditangguhkan sejak dua bulan lalu.
“Husam sebelum ini beberapa kali menyatakan kesediaannya untuk berundur sekiranya beliau menjadi liabiliti kepada parti.
“Tetapi khidmat beliau masih diperlukan dalam membantu Nik Abdul Aziz mentadbir negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Zaki menafikan perkara tersebut dan menyifatkannya sebagai khabar angin.
Katanya, Pas Kelantan tidak mahu mencampuri isu berkaitan yang dihadapi Nik Abdul Aziz kerana menyifatkan ia tidak ada kena-mengena soal politik.
“Ia khabar angin sahaja dan jika benar sudah tentu dalam mesyuarat hari ini ada dibincangkan (perkara ini).
“Kita tidak pernah membincangkan soal ini, sebaliknya ia masalah pentadbiran yang boleh diselesaikan sendiri Tok Guru (Nik Aziz) selaku Menteri Besar,” katanya.
/...

21 November 2009

PAS Kelantan Tidak Mahu Campur Isu Berkaitan Nik Aziz

Bernama - 21 November, 2009 15:06 PM
KOTA BAHARU, 21 Nov (Bernama) -- PAS Kelantan tidak mahu mencampuri isu berkaitan yang dihadapi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menyifatkan ia tidak ada kena mengenai soal politik.
Setiausaha Badan Perhubungannya Mohd Zaki Ibrahim berkata parti itu yakin Nik Aziz mampu menyelesaikan sendiri isu berkaitan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan menunaikan haji ke Tanah Suci.
"PAS Kelantan tidak pernah membincangkan soal ini kerana ia bukan perkara politik sebaliknya ia masalah pentadbiran yang boleh diselesaikan sendiri Tok Guru (Nik Aziz) selaku Menteri Besar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat badan perhubungan parti itu di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini, pada Sabtu.
Mesyuarat itu dipengerusikan Nik Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan tetapi enggan menemui pemberita atas alasan kesihatan.
Mengenai khabar angin Abdul Ariffahmi meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK dan juga peletakan jawatan seorang Exco kanan kerajaan negeri seperti yang dilaporkan dalam blog tertentu, beliau berkata: "Ia khabar angin sahaja dan jika benar sudah tentu dalam mesyuarat hari ini ada dibincangkan (perkara ini).
"Pada mesyuarat itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Husam Musa tidak hadir dan dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital atas sebab kesihatan.
/...

20 November 2009

SPR belanja RM200,365 untuk pilihan raya DUN Kota Siputeh

Utusan - 20/11/2009 5:28pm
KUALA LUMPUR 20 Nov. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membelanjakan RM200,365 semasa mengendalikan pemilihan wakil rakyat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah pada pilihan raya umum yang lalu.
Perkara itu dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludddin Md. Said di Mahkamah Tinggi di sini petang ini semasa berhujah dalam permohonan untuk menangguhkan pilihan raya kecil kerusi DUN tersebut.
Permohonan itu dikemukakan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh dan Datuk Abu Hassan Sarif bukan lagi wakil rakyat kawasan itu.
Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan demikian setelah mendapati Abu Hassan gagal menghadiri dua sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.
/...

Tag RFID untuk jemaah haji Malaysia

Bernama - 20/11/09
PETALING JAYA: Malaysia memperkenalkan penggunaan tag yang boleh mengesan lokasi individu semasa menunaikan haji atau umrah di Tanah Suci, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Pihak berkuasa Masjidil Haram kini mula memantau keberkesanan sistem itu yang menggunakan aplikasi teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) untuk memastikan sama ada ia sesuai diguna oleh jemaah haji sepanjang melakukan ibadat di Tanah Suci.
"Syarikat Senstek dengan kerjasama syarikat TH Travel & Services tahun ini mengeluarkan 10,000 tag berteknologi RFID kepada 5,000 jemaah haji," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat tentang projek itu yang dinamakan "E-Hajj Pilgrimage Tracking Sistem" di Kelana Jaya di sini hari ini.
Pengerusi Senstek Sendirian Berhad (Senstek), Tan Sri Dr Ahmad Zaharudin Idrus, berkata jika aplikasi pengurusan data seumpama itu berjaya meyakinkan kerajaan Arab Saudi dan jemaah dari negara lain, projek itu dapat diperluas dalam tempoh satu hingga dua tahun.
"Tag itu juga sesuai digunakan jemaah dari seluruh dunia. Keseluruhannya jika berjaya dan dapat mengatasi masalah yang timbul, dalam setahun dua lagi kita boleh luaskan penggunaan aplikasi ini," katanya.
Beliau berkata, kini perbincangan dengan negara lain turut diadakan dan ada negara jiran yang menunjukkan minat terhadap sistem pengurusan data seperti itu.Mashitah berkata, teknologi RFID bermula apabila jemaah mendaftar di Kompleks Tabung Haji, semua data tentang pengenalan, bagasi dan lokasi akan direkodkan dan perkara yang sama dilakukan sebaik tiba di hotel di Makkah.
"Jemaah turut merekodkan data mereka ketika dalam kenderaan mahupun bas sepanjang perjalanan mengerjakan haji dan kesemua maklumaat itu disimpan seterusnya dihantar secara langsung ke pangkalan data di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, pengumpulan data secara teratur melalui aplikasi itu boleh mengurangkan risiko jemaah tertukar atau kehilangan bagasi di samping proses pengumpulan data itu sendiri dapat dilakukan lebih cepat, teratur dan tepat.Pada tahun 2007, Senstek pernah mencuba aplikasi itu yang menggunakan MM-chip iaitu cip multi-band antena terkecil hasil pemerolehan teknologi negara ke atas 400 jemaah dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Senstek adalah anak syarikat Kumpulan-Industri Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia I (MIGHT) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
/...

Perit ibu dukung anak ke sekolah setiap hari berbaloi

Kosmo! - 20/11/09

SITI NORFARAH didukung ibunya, Norhaida untuk diletakkan di atas motosikal di Besut, Terengganu semalam.
*****
BESUT - Kecekalan seorang ibu yang sanggup mendukung anaknya yang cacat ke sekolah setiap hari sejak enam tahun lalu tidak sia-sia apabila anak sulungnya itu memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.
Walaupun cacat kerana menghidap penyakit Osteogenesis Imperfecta iaitu sejenis penyakit kerapuhan tulang, Siti Norfarah Hanim, 12, tidak mudah mengalah hingga akhirnya mencipta kejayaan itu.
Siti Norfarah adalah antara 40 orang pelajar Sekolah Kebangsan Tengku Mahmud II di sini yang mendapat 5A dan diraikan dalam satu majlis di sekolah itu.
Ketika nama Siti Norfarah diumumkan untuk ke pentas bagi mengambil slip keputusan, dia bersama ibunya, Norhaida Harun, 38, dilihat berlinangan air mata kegembiraan.
Bagi Norhaida, hanya pelajaran yang mampu diberikan kepada anaknya itu memandangkan dirinya tidak mampu untuk menyediakan harta yang banyak untuk kehidupan pada masa depan.
Katanya, setiap pagi sebelum ke sekolah, Siti Norfarah akan dibekalkan dengan sedikit makanan kerana tidak mampu berjalan ke kantin dan dia bernasib baik kerana seorang rakan sekelasnya, Nurul Alia Rosdi secara sukarela membantu anaknya semasa di dalam kelas.
Sementara itu, di Pasir Mas, Kelantan, Muhammad Nabil Mohd. Nasir, 12, yang mengalami kecacatan pada kaki kiri dan kedua-dua tangannya sejak dilahirkan turut berjaya meraih 5A dalam UPSR.
"Ini hadiah untuk ibu saya yang bersusah payah mendukung saya ketika menghantar dan mengambil saya sekolah setiap hari," katanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 1, Pasir Mas.
/...

Kunta Kinte: Orang Melayu kini takut pertahan hak

BH (Rencana) - 20/11/09

Keistimewaan Bumiputera dijamin perlembagaan perlu diperjuang.

*****
APABILA pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock mati jatuh bangunan, Kunta Kinte tengok satu Malaysia sangat sedih, simpati dan marah. Bukan main punya simpati dan protes sampai ada pembesar Islam yang pegang colok dan lilin dalam upacara 'vigil' (tafakur) mereka.
Apabila tahanan India mati dalam lokap atau lari dari lokap dan terjun sungai, reaksi yang sama terjadi. Satu Malaysia marah lalu dibuat tunjuk perasaan dan dituntut tubuh suruhanjaya penyiasat.
Apabila seorang wanita India mati minum racun pasal dukacita saudara kandungnya mati ditembak polis, ada pembesar pembangkang berbangsa India cuba buat usul di Parlimen.
Tapi bila seorang pemuda Melayu di Perlis, Mohamad Taufik Noorzan, 21, dikatakan mengamuk dan cuba serang polis dengan pisau ditembak mati, Kunta Kinte tengok macam tak ada apa-apa yang berlaku.
Banyak lagi contoh macam tu. Belum kira lagi cerita tanah Melayu kena ambil kemudian dibuat pembangunan untuk semua bangsa. Rumah Melayu kena runtuh dan macam-macam lagi. Jadi Kunta Kinte kena kata Kunta Kinte hairan. Budak-budak sekarang kata 'konfius'.
Adakah orang Melayu tak peduli? Adakah orang Melayu apati? Adakah orang Melayu tak berani? Adakah Melayu bangsa suka membisu dan menyepi? Atau adakah Yang Berhormat Melayu hanya makan gaji dan isi tembolok sendiri? Kunta Kinte bertanya lagi.
Apakah nyawa pemuda Melayu kurang berharga daripada nyawa seorang pembantu politik Cina atau seorang India yang disyaki pencuri kereta? Kunta Kinte tak berani jawab pasal kalau dulu-dulu bukan macam ini. Dulu orang Melayu berani bersuara. Orang Melayu gigih pertahan hak bangsa dan hak negara.
Jadi apa Kunta Kinte nak kata? Kunta Kinte kata tahniah kepada orang Cina dan India kerana berani dan berjaya guna media massa yang mereka milik dan yang tidak mereka milik untuk mempertahan hak dan kebajikan kaum mereka.
Tahniah kepada orang Cina dan India kerana berjaya dapatkan simpati dan empati semua kaum sampai setiap kecelakaan yang timpa kaum mereka digambarkan macam tragedi negara.
Cuma Kunta Kinte nak ulang tanya, di mana pembesar Melayu, politikus Melayu, pembentuk pendapat umum Melayu, cendekiawan Melayu dan NGO Melayu apabila orang Melayu maut ditembak polis dan tahanan Melayu mati dalam lokap? Atau apabila harta pusaka Melayu dan tanah rizab Melayu diambil alih atas nama pembangunan, tetapi kemudian dibolot oleh mereka yang berduit?
Adakah mereka berasa nyawa dan harta orang Melayu lebih murah harganya daripada nyawa dan harta orang Cina dan India? Kunta Kinte tidak mahu pertikai tindak tanduk orang Cina dan India. Itu hak mereka. Kalau mereka pandai dan mereka berani tuntut hak mereka, patut sangatlah mereka berjaya, jadi senang dan terbela.
Yang Kunta Kinte rasa wajib Kunta Kinte pertikai adalah ketakutan orang Melayu hendak pertahan hak mereka. Tak apalah kalau ada orang Melayu rasa nyawa orang mengamuk dan tahanan polis tak penting sangat.
Tapi apa halnya dengan hak orang Melayu dan Bumiputera Sarawak dan Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan. Adakah nak pertahankan apa yang hak dalam perlembagaan pun takut? Atau pembesar Melayu, politikus Melayu, pembentuk pendapat umum Melayu, cendekiawan Melayu dan penggiat NGO Melayu tak baca pun Perlembagaan Persekutuan.
Jadi kalau tak baca macam mana nak tahu yang Perlembagaan Persekutuan bagi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong jaga hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak? Kalau baca Artikel 153 kita tentu tahu yang Perlembagaan Persekutuan bagi tanggungjawab kepada Raja kita jaga hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam macam-macam bidang.
Misalnya mengadakan kuota untuk kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa, pendidikan, latihan dan pemberian lesen.
Tapi kalau tak baca, jadilah kita macam si Luncai yang terjun ke sungai dengan labu-labunya. Atau menang bersorak, kampung tergadai. Anak di rumah mati kelaparan, kera di hutan disusukan. Lembu yang empunya susu, sapi yang dapat nama.
/...

Penjenayah disanjung, polis disinggung

Utusan (Rencana) - 20/11/09
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
pengarang@utusan.com.my
ADA saja tindakan anggota polis yang tidak disenangi pihak tertentu. Apabila kadar jenayah meningkat, polis disalahkan dan dituduh tidak buat kerja. Polis dilabel makan gaji buta. Mereka juga dikatakan tidak peka.
Apabila ada penjenayah ditembak mati, lain pula cerita. Polis dikatakan membunuh dengan niat. Polis dituduh menyalahgunakan kuasa. Lebih teruk lagi tindakan polis dikaitkan dengan perkauman.
Tetapi jika polis yang ditembak mati oleh penjenayah atau polis terkorban dalam gerakan membanteras jenayah, tidak ada siapa peduli.
Tiada siapa yang membangkitkan kaum atau bangsa apa si penjenayah yang menyebabkan anggota polis itu terkorban atau tercedera. Tiada siapa juga mencadangkan supaya ditubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat kematian anggota polis.
Seperti yang ditegaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak ada siapa yang simpati, jauh sekali mahu menghulurkan bantuan.
Paling-paling pun ayat yang terlontar daripada mulut kumpulan tertentu adalah: ''Oleh kerana dia (anggota yang terkorban) memilih untuk menjadi polis, maka ditembak penjenayah adalah takdir.''
Tidak pula mereka mengaitkan takdir dengan pilihan orang tertentu untuk bergelumang dengan jenayah sehingga rekod jenayah yang dicatatkan boleh saja dijadikan siri ensiklopedia.
Adakah di paras itu ukuran rasa hormat dan penghargaan rakyat negara ini terhadap tugas anggota polis? Adakah sebegitu adab rakyat Malaysia - penjenayah disanjung, anggota keselamatan disinggung?
Secetek itukah pemikiran kalangan rakyat negara ini sehingga tindakan polis dinilai berasaskan kaum dan bukannya alasan munasabah setiap das 'tindakan' yang dilepaskan?
Begitu juga dengan kes kematian penjenayah dalam tahanan. Jika melibatkan kaum tertentu, pantas anggota polis atau petugas penjara dituduh sebagai pembunuh. Seolah-olah apabila penjenayah itu terdiri daripada kaum tertentu maka niat polis tidak lain tidak bukan semata-mata untuk menamatkan riwayat hidup mereka?
Hakikatnya persepsi yang mengaitkan tindakan polis dengan penjenayah yang tercedera atau mati ditembak berasaskan kaum cukup untuk menggambarkan sejauh mana rakyat di negara ini saling percaya mempercayai.
Dan selepas lebih 50 tahun merdeka masih ada tanggapan seperti itu menunjukkan hubungan antara kaum masih rapuh. Lebih bahaya lagi apabila kerapuhan itu diserlahkan dalam usaha pihak berkuasa membanteras jenayah. Sedangkan proses membersihkan negara daripada jenayah hakikatnya tidak mengenal kaum dan tidak pernah ada batas atau sempadannya.
Bukankah sepatutnya kefahaman yang mesti ada dalam pemikiran rakyat Malaysia begini bentuknya - jika anggota polis terkhilaf dalam tindakannya sehingga membawa kematian di pihak penjenayah, ia bukan kerana perkauman.
Kekhilafan itu semestinya didorong oleh kelalaian di pihak polis itu sendiri dan bukannya kerana bangsa seseorang atau kumpulan penjenayah yang terlibat.
Secara asasnya, tugas polis itu sendiri berhadapan dengan jenayah dan penjenayah. Justeru mempertahankan diri sendiri dan orang lain adalah 'senjata' utama mereka. Jika ada yang terkorban dalam proses tersebut, perlu diteliti puncanya. Mengaitkan tindakan tersebut dengan kaum tertentu sahaja bukan jawapan malah ia mengundang bahaya yang boleh memporak-perandakan negara.
/...

'Ulama boleh tegur pemimpin dengan adab'

KUALA LUMPUR: Ulama boleh menegur pemerintah dan juga pemimpin dengan cara yang beradab, kata Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.
“Kita perlu ada adab intelektual, kita tidak boleh melanggar adab dalam kita menegur ulil amri semata-mata dikuasai oleh kebebasan bersuara. Kembali kepada arus perdana dan beradab dengan ulil amri.
“Kerangka arus perdana dimaksudkan adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah, itu tidak berubah,” katanya pada sesi rakaman Al-Kulliyah terbitan TV3, di sini, malam tadi.
Dua lagi ahli panel adalah bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan pensyarah Jabatan al-Quran dan Hadis Universiti Malaya, Dr Fuzi Deraman.
Pada sesi soal jawab, Mohd Asri mempertahankan tindakannya mempersoalkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menahannya kerana mengajar agama tanpa tauliah, walaupun tindakan itu dianggap sesetengah pihak tidak beradab.
“Dalam kes saya ditangkap (Jais), ulil amri pusat kata lain, tetapi ulil amri negeri pula kata lain. Malah ulil,ulil,ulil amri lain pula kata lain. Jika ada perbezaan pendapat dan ingin berbahas jangan pula dianggap sesat,” katanya.
/...

Terengganu terus ungguli UPSR 2009

BH - 20/11/09
3,664 atau 15.3 peratus daripada 23,944 murid peroleh semua A; meningkat satu peratus.
KUALA LUMPUR: Terengganu terus mengungguli pencapaian cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila 3,664 atau 15.3 peratus daripada 23,944 murid memperoleh semua A dengan peningkatan sebanyak satu peratus berbanding 14.4 peratus membabitkan 3,408, tahun lalu.
Pengarah Pelajaran Terengganu, Ariffin Embong, berkata pencapaian itu membolehkan Terengganu mengungguli pencapaian cemerlang dalam UPSR untuk tahun kesembilan berturut-turut.
Beliau berkata, 2,288 atau 9.6 peratus murid memperoleh 4A/6A+1B manakala 5ABC/7ABC seramai 10,528 atau 44 peratus. Sementara itu, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Wak, berkata 2,725 atau 10.98 peratus calon mendapat 5A dan 7A, meningkat berbanding 10.90 peratus tahun lalu.
Di KOTA BHARU: Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Abdul Rahman, berkata 5,259 atau 14.31 peratus daripada 37,025 calon mendapat 5A dan 7A, iaitu peratus kecemerlangan tertinggi dalam tempoh enam tahun.
Di JOHOR BAHRU: Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin, berkata 6,283 atau 10.13 peratus daripada 62,401 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, meningkat berbanding 9.64 peratus tahun lalu, 8.64 peratus (2007), 7.56 peratus (2006) dan 6.03 peratus (2005).
Di SEREMBAN: Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Jamali Salam, berkata 2,343 calon memperoleh keputusan cemerlang 5A dan 7A, meningkat berbanding 2,225 calon pada tahun lalu.
Di ALOR SETAR: Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Rahman, berkata 3,742 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran, meningkat 0.67 peratus berbanding 3,482 calon pada tahun lalu. Di KANGAR: Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat, berkata 439 atau 9.53 peratus daripada 4,607 calon mendapat A dalam semua subjek, meningkat berbanding hanya 8.74 peratus tahun lalu.
Di KUANTAN: Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Hamid Abu Bakar, berkata 3,225 atau 11.79 peratus daripada 27,346 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, meningkat 0.41 peratus berbanding 11.38 peratus tahun lalu.
Di MELAKA: Pengarah Pelajaran Melaka, Isa Abu, berkata 1,411 daripada 15,187 calon mendapat 5A dan 7A, manakala 10,087 calon atau 66.41 peratus mencapai penguasaan minimum Gred A, B dan C bagi semua subjek.
Di KUCHING: Pengarah Pelajaran Sarawak, Datuk Dr Julaihi Bujang, berkata 1,995 daripada 45,728 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, tetapi peratus kelulusan menurun 0.68 peratus berbanding tahun lalu.
Di IPOH: Pengarah Pelajaran Perak, Mohd Radzi Abd Jabar, berkata 3, 937 daripada 44,856 calon mendapat 5A dan 7A, merosot 8.78 peratus berbanding tahun lalu.
Di KOTA KINABALU: Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Sabah, Md Nor Md Sharif, berkata 911 calon mendapat A dalam semua subjek, merosot 4.6 peratus berbanding tahun lalu.
Di GEORGETOWN: Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad, berkata 3,177 daripada 26,259 calon mendapat gred A dalam semua subjek diduduki, manakala 17,638 calon lulus semua mata pelajaran.
/...

Keputusan UPSR 2009: Terengganu kekal cemerlang

Utusan - 20/11/09
KUALA TERENGGANU 19 Nov. - Terengganu mengekalkan kecemerlangan apabila muncul negeri terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) buat tahun kesembilan berturut-turut.
Daripada 23,944 calon, sebanyak 3,664 mendapat semua A (15.3 peratus) iaitu peningkatan sebanyak 1 peratus berbanding tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, nilai gred purata juga meningkat kepada 2.22 mengatasi pencapaian tahun lepas dan nasional iaitu 2.33 manakala keputusan minimum C turut meningkat sebanyak 68.8 peratus berbanding tahun lepas sebanyak 68.6 peratus.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak khususnya Pengarah Pelajaran Negeri, Arifin Embong yang bekerja keras dalam memastikan Terengganu terus mencapai kecemerlangan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapan sebelum bertolak menunaikan haji di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, hari ini.
Sementara itu, Ariffin dalam sidang akhbar di pejabatnya kemudian berkata, beberapa mata pelajaran yang diduduki calon Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) turut menunjukkan peningkatan peratus mendapat A.
Katanya, antara mata pelajaran tersebut ialah Sains, Matematik, Bahasa Melayu 1, Bahasa Melayu 2 dan Bahasa Cina.
Beliau percaya peningkatan keputusan negeri ini dalam peperiksaan tersebut turut dibantu melalui penggunaan buku elektronik (e-Book) yang dibekalkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.
“Melihat kepada keputusan tahun ini kebanyakan sekolah luar bandar menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun lalu,” katanya.
/...

SK Tengku Mahmud paling ramai dapat 5A

Utusan - 20/11/09
BESUT 19 Nov. - Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud (SKTM) di sini mengulangi kecemerlangannya apabila muncul sekolah paling ramai calonnya memperoleh 5A dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
Pegawai Pelajaran Daerah, Baharuddin Ibrahim berkata, seramai 79 atau 47.02 peratus daripada 168 pelajar sekolah itu berjaya memperoleh 5A yang mencatatkan peningkatan sebanyak tujuh orang berbanding 72 orang tahun lalu.
Katanya, ia diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja iaitu 47 daripada 140 pelajarnya memperoleh 5A.
''SK Tengku Mahmud II pula muncul sekolah ketiga mencatatkan pelajar paling ramai dapat 5A iaitu 40 orang daripada 101 calon yang mengambil peperiksaan itu,'' katanya di sini hari ini.
Menurutnya, lain-lain sekolah yang mencatatkan bilangan paling ramai memperoleh 5A ialah SK Kampung Baharu dan SK Pusat Jerteh dengan masing-masing mencatatkan 34 orang.
Selain itu, SK Padang Luas (27 orang), SK Kerandang dan SK Kuala Besut masing-masing 23 orang, SK Permaisuri Nur Zahirah (21 orang) dan SK Tembila (20 orang).
Sementara itu, bagi peratus lulus semua mata pelajaran, Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Maarif dan SRAB Ittifakiah berjaya mencatatkan kelulusan 100 peratus.
SKTM pula mencatatkan kelulusan 95.83 peratus diikuti SK Bukit Jeruk (90.20 peratus) dan SK Kampung Raja (89.29 peratus).
Sementara itu, semua pelajar SKTM yang memperolehi 5A tahun ini menerima sumbangan hamper daripada bekas guru besar sekolah itu, Abd. Fatah Salleh semasa mengambil slip keputusan masing-masing.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Wan Ariff Rashiddin Wan Yusof memberitahu, pihaknya bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran bagi meraikan kejayaan yang dicapai oleh sekolah itu.
/...

19 November 2009

Kiswa baru diserah kepada penjaga Kaabah

Bernama - 19/11/09
MEKAH: Bersempena bermulanya ibadah haji tidak lama lagi, kiswa baru sudah diserahkan kepada penjaga Kaabah paling tua pada satu upacara khas petang Rabu, demikian dilaporkan akhbar harian berbahasa Inggeris Arab Saudi Aran News hari ini.
Kain sutera asli berwarna hitam seberat 670kg dan berharga AS$4.5 juta (AS$1 = RM3.38) itu dihiasi ayat-ayat suci al-Quran yang ditenun menggunakan 150kg emas serta perak. Ia berukuran 658 meter persegi dan mengandungi 47 keping kain, yang setiap satu berukuran 14 meter panjang dan 95sm lebar, kata akhbar itu.
Aran News melaporkan bahawa Pengerusi Majlis Penjaga Dua Masjid Suci SheikhSaleh ibn Abdul Rahman Al-Hussain menyerahkan kain itu kepada Sheikh Abdul Aziz ibn Abdullah Al-Shaibi di kilang kiswa di sini.
Sejak dibina 74 tahun lalu oleh Raja Abdul Aziz, setiap tahun, kilang itu menghasilkan kiswa yang menggunakan kepakaran warga Saudi sendiri. Akhbar itu menyebut bahawa sebuah beg kecil yang diperbuat daripada baldu hijau yang berlakarkan ayat-ayat suci al-Quran daripada emas serta perak dan mengandungi kunci Kaabah, juga diserahkan kepada Sheikh Abdul Aziz.Keluarga Al-Shaibi mewarisi tugas menjaga kiswa dan mencuci Kaabah sejak Nabi Muhamamd (SAW) menyerahkan kuncinya kepada mereka.
Sheikh Abdul Aziz berkata, pada 8 Zulhijjah 8 (25 November) iaitu apabila jemaah haji berhimpun di Mina, kiswa sedia ada akan diganti dengan yang baru.Akhbar itu juga memetik Ketua Suruhanjaya Haji dan Umrah, Dewan Perdagangan dan Industri Mekah Saad Al-Qurashi sebagai berkata jumlah warga Saudi dan bukan Saudi domestik yang akan mengerjakan ibadat haji pada tahun ini menurun dengan ketara.
"Jumlah jemaah domestik berkurangan sebanyak 70 peratus pada tahun ini, berbanding tahun lalu "Setakat hari ini, kira-kira 68,000 permit haji telah dikeluarkan kepada jemaah.
Ini termasuk kepada ekspatriat dan mereka yang datang dari negara jiran," katanya.
Al-Qurashi berkata, 1.7 juta visa haji telah dikeluarkan kepada jemaah dariluar negara.
/...

Malaysia gesa segera hentikan tindakan permusuhan terhadap Arab Saudi

Bernama - 19/11/2009 5:35pm
KUALA LUMPUR 19 Nov. — Malaysia menggesa segera hentikan semua tindakan permusuhan terhadap Kerajaan Arab Saudi, dan mengutuk semua bentuk campur tangan yang menyokong kumpulan pemberontak Houthi,
kata Datuk Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri berkata: “Kami mengutuk keras tindakan keganasan yang dilakukan oleh kumpulan pemberontak Houthi di sepanjang sempadan Arab Saudi.
"Tindakan kejam ini, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan ke atas orang awam, amat tidak wajar,” katanya dalam kenyataan empat perenggan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Najib berkata Kuala Lumpur mengiktiraf hak mutlak Riyadh untuk mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayahnya dan melindungi keselamatan rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
"Rakyat Malaysia menyatakan sokongan padu kami kepada rakyat dan negara Arab Saudi dalam mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan, keselamatan tanah air dan cara hidup mereka,” katanya.
/...

Ketokohan Najib menyerlah pada sidang kemuncak APEC

Bernama - 19/11/2009 6:41pm
SINGAPURA 19 Nov. - Baru lapan bulan Datuk Seri Najib Tun Razak memimpin kerajaan Malaysia, namun Perdana Menteri Keenam Malaysia itu sudahpun menyerlahkan ketokohannya di peringkat antarabangsa, dengan penguasaan kukuh dalam isu-isu ekonomi dan antarabangsa.
Ramai yang menyifatkan beliau sebagai “Bintang pada APEC”.
Pada mesyuarat para pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang baru sahaja berlalu di Singapura, bukan sahaja langkah-langkah berani beliau meliberalisasikan ekonomi Malaysia membuka mata ramai dan disambut baik, Najib turut membuat impak kukuh di kalangan komuniti perniagaan semasa dialog perniagaan APEC.
Pada sidang kemuncak CEO (ketua pegawai eksekutif) APEC yang dihadiri 1,500 pemimpin perniagaan serantau dan antarabangsa, Pengerusi Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei, Datuk Paduka Timothy Ong, yang mempengerusikan dialog itu menyatakan Najib telah “mendapat markah tinggi semasa bersama para perwakilan”.
“Penyampaian beliau sangat berkualiti, yakin dan penyampai yang mahir,” kata Ong selepas Perdana Menteri menyampaikan pandangan beliau pada dialog yang bertemakan “Adakah Krisis Global Sudah Benar-benar Berakhir?” "Beliau juga pandai berjenaka,” kata Ong mengenai Najib, 56, yang mendapat pendidikan British, anak perdana menteri kedua Malaysia, Tun Razak Hussein, yang menghadiri mesyuarat APEC buat pertama kali sebagai Perdana Menteri.
/...

Jangan politikkan ibadah haji, kata Liga Islam Sedunia

Bernama - 19/11/2009 7:05pm
MEKAH 19 Nov. — Rabitah al-A”lami al-Islami (Liga Islam Sedunia) meminta umat Islam yang kini sudah pun berada di tanah suci Mekah untuk mengerjakan haji supaya tidak mempolitikkan ibadah itu sehingga menimbulkan kekecohan.
Setiausaha Agungnya, Abdullah Abdul Mohsin Al-Turki berkata, umat Islam hendaklah mengerjakan haji mengikut sunnah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan jangan sekali-kali mempunyai maksud yang lain apabila mengerjakan haji.
"Laksanakanlah haji sepertimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan jangan mencampur-adukkan dengan tujuan lain seperti fahaman politik sehingga menimbulkan masalah kepada umat Islam yang lain dan boleh merosakkan haji,” katanya ketika berucap merasmikan seminar Haji peringkat Asia Tenggara di sini Rabu malam.
/...

Pencapaian UPSR meningkat - Alimuddin

Bernama - 19/11/2009 3:54pm
PUTRAJAYA 19 Nov — Pencapaian keseluruhan calon-calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun ini mengalami peningkatan berbanding tahun lepas.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini telah meningkat sebanyak 1 peratus berbanding 2008.
"Pencapaian keseluruhan nilai GPN telah meningkat sebanyak 1 peratus tahun ini. Pencapaian Cemerlang (semua A) telah meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding dengan 9.19 peratus pada tahun lepas dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.
"Pencapaian Baik (minimum C) pula meningkat kepada 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan sebanyak 0.47 peratus. Manakala pencapaian lemah (semua E) telah menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus pada tahun lepas dengan perbezaan 0.02 peratus,” katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini hari ini.
Beliau berkata pencapaian calon-calon luar bandar walaupun masih ketinggalan berbanding dengan pencapaian calon-calon bandar pada keseluruhannya juga semakin baik.
"Pada keseluruhannya, jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar semakin dapat dirapatkan. Hal ini dapat dilihat daripada penguncupan beza antara bandar dan luar bandar bagi kesemua ukuran pencapaian calon pada tahun ini berbanding tahun lepas,” katanya.
Perbezaan jumlah murid cemerlang luar bandar dan bandar pada tahun ini mengalami penguncupan sebanyak 3.64 peratus berbanding dengan 4.22 peratus pada tahun lepas.
Sementara perbezaan pencapaian baik di antara murid bandar dan luar bandar mengalami penguncupan sebanyak 5.55 peratus berbanding dengan 6.25 peratus pada tahun lepas.
Daripada segi mata pelajaran, Bahasa Tamil telah menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi iaitu sebanyak 3.6 peratus dan juga Matematik yang meningkat sebanyak 4.2 peratus, katanya.
Pada tahun ini, sebanyak 506, 620 calon menduduki UPSR manakala pada tahun lepas sebanyak 507, 320 calon.
/...

PKR Bahagian Kuala Krai bubar

Utusan - 18/11/09
KUALA KRAI 18 Nov. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Kuala Krai semalam dibubarkan apabila beberapa pemimpin bahagian dan cawangannya mengumumkan keluar parti itu.
Pemangku Ketua bahagian itu, M. Amavasamy bersama barisan jawatankuasa termasuk Ketua Pemuda, Naib Ketua Wanita serta empat Ketua Cawangan dalam bahagian itu terlibat dalam pembubaran itu.
Serentak itu, Kelab Penyokong Pas Parlimen Kuala Krai turut ditutup apabila barisan kepimpinannya yang rata-rata terdiri daripada orang yang sama turut meletakkan jawatan.
M. Amavasay berkata, tindakan tersebut diambil selepas mereka hilang kepercayaan terhadap kerajaan Pas Kelantan dan PKR kerana gagal memperjuangkan nasib kaum India di negeri itu.
Kata beliau, pihaknya percaya kira-kira 1,500 ahli PKR di bahagian itu akan turut mengikuti langkah kepimpinan bahagian tersebut untuk keluar parti.
"Saya sebagai Ketua Kelab Penyokong Pas Kelantan dan Ketua PKR bahagian telah menerima banyak aduan daripada rakyat di kawasan Parlimen ini, tetapi tidak ada satu pun yang dapat diselesaikan oleh kerajaan Pas Kelantan,'' katanya pada sidang akhbar di Kampung Baru Keroh di sini semalam.
/...

Kes Kota Siputeh Iktibar Kepada Wakil Rakyat BN - Muhyiddin

Bernama - 17/11/09
Daripada Elmi Rizal Alias

ROME, 17 Nov (Bernama) -- Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) perlu mengambil iktibar daripada kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh berikutan kegagalan wakil rakyatnya menghadiri sidang Dewan tanpa kebenaran.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kecewa dengan sikap wakil rakyat terbabit, berkata setiap daripada mereka yang terpilih itu, perlu bertanggungjawab menunaikan tugas masing-masing untuk menghadiri sidang DUN.
"Saya kecewa... saya tidak mahu membuat apa-apa andaian kerana dalam situasi genting sekarang, kita perlukan wakil rakyat di peringkat nasional dan DUN, mengambil berat kehadiran dalam dewan.
"Itu sebahagian tanggungjawab utama kerana kalau tidak, semua masalah yang dihadapi pengundi tidak mungkin dapat dibawa ke sidang DUN," katanya kepada wartawan Malaysia sebelum menyampaikan pernyataan negara sempena Sidang Kemuncak Jaminan Bekalan Makanan Dunia di sini, Selasa.Semalam, Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah kosong, menyatakan Datuk Abu Hassan Sarif bukan lagi wakil rakyat BN berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan dewan secara berturut-turut tanpa kebenaran speaker.
Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin turut memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil di kerusi DUN Kota Siputeh.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata sebagai wakil rakyat, mereka perlu melaksanakan tugas mereka sepenuh hati dan tidak boleh mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai wakil rakyat.
Menyatakan bahawa kehadiran mereka dalam sidang dewan bukan sahaja untuk memenuhi korum, beliau berkata: "Kalau kita malas dan tidak memberikan perhatian mengenai kehadiran, tidak bersuara dan tidak memberikan pandangan tentang isu masyarakat dan negara.
"Kita tidak dapat diberikan penghargaan oleh pengundi, kesannya esok kepada kita. Ini harus menjadi ikhtibar kepada semua wakil rakyat (BN)," katanya.
Beliau berkata Umno dan BN bersedia menghadapi pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh sekiranya rayuan terhadap kekosongan kerusi berkenaan ditolak oleh mahkamah.
"Apa strategi yang disusun adalah untuk memastikan kita berjaya dan mengambilkira semua perkara dan atas dasar itu, kita yakin bersedia sepanjang masa untuk menghadapi pilihan raya kecil itu," katanya.
/...

18 November 2009

Bekas Setiausaha Sulit Anwar buat laporan pembelian saham RM8.5j

Kosmo! - 18/11/09
ANUAR menunjukkan dokumen pembelian saham di Bukit Aman semalam.
*****
KUALA LUMPUR - Demi mencari kebenaran, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis berhubung isu pembelian saham oleh Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang didakwa bernilai RM8.5 juta.
Anuar Saari yang datang menaiki sebuah kereta Honda Accord hitam dari Melaka hadir di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di Bukit Perdana di sini kira-kira pukul 11.45 pagi.
Beliau turut membawa bersama beberapa dokumen penting termasuk baucar pembelian saham yang mencecah RM2 juta yang didakwanya kelihatan seperti asal.
Bagaimanapun, Anuar enggan mendedahkan bila dan bagaimana beliau mendapat dokumen itu kepada media, sebaliknya menegaskan hanya memberi maklumat itu kepada polis.
Beliau juga akan menamakan beberapa orang berkaitan pembelian saham itu termasuk Anwar kerana perkara itu berlaku pada 1992 hingga 1994 ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.
Ketika ditemui sebelum membuat laporan itu, Anuar memberitahu, keputusan tersebut dilakukan tanpa paksaan mana-mana pihak.
"Saya bukanlah orang yang berhak untuk menentukan sama ada dokumen yang diperoleh ini tulen atau tidak, sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat.
/...

Minum Bersama

Utusan - 18/11/09

NAJIB Tun Razak dan Anwar Ibrahim menikmati minuman masing- masing sambil diperhatikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di bilik rehat bangunan Parlimen, semalam. – Utusan/Zurkarnain Mohd. Saidin.
*****
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam meluangkan masa bertemu ahli-ahli Parlimen termasuk daripada parti pembangkang.
Keterbukaan Najib terserlah apabila beliau minum serta berbual dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim biar pun Ketua Pembangkang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinannya banyak melakukan serangan peribadi dan tohmahan terhadap Perdana Menteri.
Pertemuan dalam suasana mesra itu turut menarik perhatian ahli-ahli Parlimen yang lain.
/...

Kenali PM di Facebook

Utusan - 18/11/09
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com
KUALA LUMPUR 17 Nov. – Laman Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja berperanan sebagai platform untuk rakyat menyuarakan pandangan bahkan memberi peluang kepada semua pihak mengenali pemimpin nombor satu negara itu secara mendalam.
Hanya dengan klik ke alamat www.facebook.com/najibrazak, pengunjung boleh berkongsi maklumat peribadi Perdana Menteri yang jarang diketahui oleh masyarakat.
Dalam laman sosial itu, beliau mendedahkan pelbagai aktiviti yang dilakukan daripada menghadiri mesyuarat dan bekerja sehinggalah menonton perlawanan bola sepak membabitkan pasukan kegemarannya Manchester United, makan ikan patin dan mengunjungi kedai buku.
Antara aktiviti beliau yang dipaparkan untuk tatapan pengunjung:
“Keluarga saya, membaca di Hatchards, London – sebuah kedai buku paling tua di United Kingdom (UK), bola sepak dan kemahiran Cristiano Ronaldo, golf dan Tiger Woods, menjamu selera di Lafite and Shook, bertemu orang baru, fotografi, berjalan dalam hutan dan kapal terbang.”
Dengan pengunjung laman Facebook, Najib turut berkongsi minatnya terhadap penyanyi dan muzik pilihan beliau seperti Ronan Keating - When You Say Nothing At All; Harry Belafonte - Jamaica Farewell dan Ben E. King - Save The Last Dance.
Najib turut menamakan filem-filem yang menjadi pilihannya iaitu Gladiator, A Few Good Men dan yang menampilkan aktor Denzel Washington termasuklah Deja Vu.
Saluran televisyen kegemaran beliau pula adalah CNN, History Channel, Discovery Channel dan National Geographic.
Perdana Menteri turut berkongsi dua petikan oleh Colin Powell yang menjadi kegemarannya iaitu “ambil serius mengenai kerja anda tapi jangan terlalu serius dengan diri anda” serta “jangan tergesa-gesa bertindak terhadap sesuatu perkara, ia kebiasaannya dilihat lebih baik pada hari berikutnya.”
Mengenai dirinya, Najib menulis: “Kehidupan saya sangat sibuk tetapi saya sukakannya. Pada masa lapang saya fokus kepada makan tengah hari bersama keluarga pada hari Ahad, menonton televisyen bersama anak-anak dan bercuti.
“Paling banyak mempengaruhi saya ialah arwah ayah saya, Allahyarham Tun Abdul Razak. Tetapi saya mengagumi kemahiran pidato dan sikap tidak mudah mengalah Sir Winston Churchill, Nelson Mandela kerana pengorbanan beliau dan tidak pernah gentar dengan kesusahan dan John F. Kennedy.”
Sementara itu dalam laman blog www.1malaysia.com.my, Perdana Menteri teruja untuk memaklumkan mengenai penyertaannya dalam Facebook.
Katanya, sebagaimana blog 1Malaysia dan penyertaannya dalam Twitter, beliau akan menggunakan Facebook untuk menyampaikan pemikiran dan aktiviti kepada setiap lapisan rakyat.
“Di samping memaklumkan status terbaru, saya juga akan berkongsi pautan foto Flickr, video daripada You Tube dan maklumat berhubung kegemaran peribadi saya seperti masakan dan aktiviti masa lapang kegemaran saya.
“Silalah berkunjung ke laman Facebook saya bila-bila anda ada kelapangan, silalah berikan pandangan anda bagaimana saya boleh menjadikannya lebih baik lagi,” katanya.
/...

Selamat Menduduki Peperiksaan STPM & SPM 2009

Semoga lulus dengan Cemerlang untuk masa depan yang Gemilang!
PELAJAR Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya, sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Peperiksaan SPM dan STPM bermula hari ini di seluruh negara. - Foto Sairien Nafis (BH)

Hentikan program realiti

Utusan - 17/11/09
Oleh YULPISMAN ASLI
utusanpahang@utusan.com.my
KUANTAN 17 Nov. - Program realiti seperti Sehati Berdansa, Akademi Fantasia dan Mentor wajar dihentikan kerana ia menggalakkan pembaziran di kalangan masyarakat.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang, Abu Samah Shabudin berkata, kewujudan program-program seumpama itu juga hanya menguntungkan stesen televisyen dan syarikat telekomunikasi terbabit.
Sedangkan katanya, budaya berbelanja tidak seharusnya mendorong masyarakat atau pengguna melakukan pembaziran terutama dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu sekarang.
"Pada saya program seperti ini menjurus kepada pembaziran kerana ibu bapa terpaksa menambah nilai kad prabayar telefon bimbit bagi membolehkan anak-anak mereka turut serta. Keadaan seperti ini perlu dihentikan," katanya .
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Seminar Memperkasakan Pengguna Peringkat Negeri Pahang 2009 anjuran bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) cawangan Pahang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Dewan Kompleks Wisma Belia Indera Mahkota di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Biro Kepenggunaan Puspanita Kebangsaan, Profesor Puan Sri Dr. Rohaty Mohd. Mazjub.
Dalam ucapannya, Abu Samah turut mengingatkan pengguna khususnya wanita yang sering dijadikan objek oleh syarikat-syarikat pengiklanan supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik dan teknik digunakan bagi melariskan produk.
"Di Pahang, setakat ini kita menerima sebanyak 284 aduan sehingga Oktober 2009, berkaitan isu penipuan perkhidmatan, perkhidmatan perbankan, aktiviti jualan langsung dan barangan tiruan," katanya.
Beliau turut menyifatkan pengguna di negeri ini masih lagi mempunyai tahap kesedaran rendah mengenai hak mereka apabila setakat ini hanya 179 kes tuntutan difailkan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Sementara itu. Dr. Rohaty berkata, pilihan di tangan pengguna sama ada mahu terus bermewah dan mengumpul hutang atau berbelanja mengikut kemampuan disebabkan kos sara hidup yang semakin melonjak khususnya di bandar-bandar besar.
"Apa yang dikesali, sikap biar papa asal bergaya masih menebal di kalangan pengguna di Malaysia. Sebagai pengguna kita seharusnya sentiasa beringat dan membuat tabungan sedapat yang mungkin," katanya
Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran seminar tersebut memberi banyak manfaat kepada pengguna khususnya wanita yang sebenarnya perancang ekonomi bagi sesebuah institusi keluarga.
"Jika amalan berhati-hati tidak diamalkan, setiap pengguna berpotensi terjerat ke dalam perangkap amalan peniaga yang kurang beretika dan kerap tertipu tanpa disedari," katanya.
/...

17 November 2009

Malaysia Boleh Capai Pertumbuhan 6 Peratus Pada 2012, Kata Bank Dunia

Bernama - 17/11/09
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia yang kini mula menunjukkan petanda pemulihan daripada kelembapan global kembali kepada kadar pertumbuhan purata berpotensinya pada enam peratus menjelang 2012, hasil daripada pembaharuan struktur berani yang dilaksanakan oleh kerajaan.
"Kami menjangkakan momentum pembaharuan di Malaysia meningkat dan ini akan menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti yang lebih besar dan dinamik baharu dalam ekonomi yang disokong oleh peningkatan ekonomi global," kata pakar ekonomi kanan Jabatan Asia Pasifik Bank Dunia, Philip Schellekens.
"Juga terdapat peranan lebih besar bagi sektor swasta untuk meningkatkan asas ekonomi pendasar bagi pertumbuhan Malaysia," katanya yang merujuk kepada inisiatif liberalisasi dalam bahagian seperti pasaran modal serta perbankan dan kewangan yang mula membuahkan hasil.
Bank Dunia menjangka pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia berkembang kira-kira 4.1 peratus tahun depan, yang lebih tinggi berbanding penguncupan 2.3 peratus tahun ini, katanya kepada pemberita selepas seminar mengenai "Malaysia: Perkembangan Terkini Produktiviti dan Pelaburan" yang dianjurkan oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dan Bank Dunia di sini, Selasa.
Bagaimanapun, kesan positif penuh ke atas ekonomi bergantung kepada bagaimana kerajaan melaksanakan dengan efektif pembaharuan struktur itu, katanya.
Beliau berkata Malaysia semakin pulih daripada krisis ekonomi yang menjejaskan terutamanya sektor pembuatan.
Keseluruhannya, ekonomi domestik berjaya bertahan meskipun kadar pengangguran meningkat sedikit.
"Dari setiap segi, walaupun ini merupakan satu daripada kejatuhan eksport paling buruk dalam sejarah Malaysia, ekonomi masih kekal berdaya tahan dari segi asas, tidak seperti semasa krisis kewangan Asia pada 1997/98," katanya.
Malaysia berkedudukan baik untuk menyertai pemulihan ekonomi global berikutan sokongan permintaan yang meningkat di China dan seluruh rantau ini serta keadaan yang bertambah baik di negara-negara maju, kata Schellekens.
Mengenai sasaran kerajaan untuk mencapai purata KDNK tahunan 5.4 peratus sehingga 2020, beliau berkata: "Saya rasa ia realistik dengan syarat kerajaan boleh menggerakkan pelbagai inisiatif yang diumumkan untuk mencergaskan semula ekonomi."
"Kadar pertumbuhan mungkin lebih tinggi sekiranya peranan sektor boleh digiatkan semula," katanya yang menyebut bahawa bahagian pelaburan swasta kepada KDNK sebelum krisis 1997/98 pada kira-kira 30 peratus turun kepada 10-12 peratus.
Beliau berkata dua ramuan penting bagi meningkatkan lagi pertumbuhan ialah tenaga kerja berkemahiran tinggi dan keupayaan syarikat tempatan untuk menguasai inovasi teknologi.
/...

Hanya Tujuh Laman Web Dapat Penilaian Lima Bintang - Sidek Hassan

Bernama - 17 November, 2009
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Hanya tujuh laman web atau 0.65 peratus daripada 1,192 portal dan laman web kendalian kementerian serta agensi kerajaan yang disenaraikan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) memperoleh penilaian lima bintang, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Beliau berkata maklumat daripada laporan "Penilaian Laman Web dan Portal Kerajaan Malaysia 2009" itu ternyata amat mengecewakan kerana ia jelas menggambarkan angka laman web yang mendapat kualiti tinggi adalah sangat kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan.
"Semua ketua jabatan perlu melakukan sesuatu bagi memulihkan imej mereka dan mendapatkan semula keyakinan rakyat."
"Saya harap hasil laporan MDEC ini diambil serius oleh mereka yang berkenaan dan saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa arahan memandangkan mereka ini bukannya golongan tidak cerdik, jadi sepatutnya mereka faham sendiri tentang tanggungjawab mereka," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar "Perubahan 1Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan Dalam Talian: Amalan Utama Untuk Berubah" di sini Selasa.
Beliau berkata laman web yang mendapat pengiktirafan lima bintang itu ialah laman web kendalian Kementerian Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pejabat Kerajaan Negeri Selangor dan portal myGovernment.
"Hasil laporan itu juga sebenarnya satu cabaran kepada mereka jika tujuh laman web ini boleh mendapat penilaian lima bintang, jadi kenapa selebihnya tidak boleh mendapatkan pengiktirafan sama," katanya.
Mohd Sidek berharap agar kementerian dan agensi yang belum mencapai tahap membanggakan diminta untuk mencari jalan bagi menambah baik kandungan laman web kendalian mereka.
Beliau berkata antara kriteria diambilkira oleh MDEC untuk mendapat pengiktirafan itu ialah keupayaan laman web itu diakses oleh pengguna, menyediakan capaian dalam dwibahasa untuk memudahkan pengguna berurusan dan selalu dikemaskini.
"Usaha penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan yang berfokuskan pelanggan bukan saja perlu bermatlamatkan yang terbaik saja, tapi perlu manfaatkan teknologi serta dilaksanakan secara inovatif.
"Transformasi dalam perkhidmatan awam perlu dilaksanakan seberapa segera dan teratur memandangkan sektor awam adalah sektor kritikal dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan boleh mencapai sasaran ditetapkan," katanya.
/...

Tegah terima tajaan haji

Utusan - 17/11/09
Oleh NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my
MUFTI dan tokoh agama sepakat tidak boleh menunaikan haji menerusi tajaan jika mempunyai unsur-unsur rasuah, menimbulkan syak wasangka dan fitnah serta ada niat lain.
  • Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut menegaskan walaupun dibolehkan, beliau berharap semua pihak sedar bahawa langkah terbaik untuk mengerjakan haji ialah dengan menggunakan wang sendiri.
  • Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tiada masalah jika seseorang itu ingin menunaikan haji menerusi wang tajaan dengan syarat ia tidak mempunyai unsur-unsur rasuah.
  • Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dusuki Ahmad berkata, persoalan sama ada boleh atau tidak seseorang itu menunaikan haji dengan wang tajaan adalah bergantung kepada niat kedua-dua belah pihak.

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Individu berjawatan tidak boleh menerima tajaan daripada mana-mana pihak untuk menunaikan haji jika langkah berkenaan akan menimbulkan fitnah dan syak wasangka.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, individu terbabit juga perlu memastikan tajaan itu tidak dibuat semata-mata kerana mereka ada kuasa disebabkan memegang jawatan dalam kerajaan atau mana-mana organisasi.
“Komen saya ini bukan berniat menyentuh mana-mana pihak, tetapi mengikut hukum syarak seseorang itu boleh ditaja untuk mengerjakan haji dengan syarat pihak yang menaja tiada kepentingan dan langkah ini tidak membawa fitnah, syak wasangka atau keraguan.
“Walaupun perkara ini dibolehkan, saya berharap semua pihak sedar bahawa langkah terbaik untuk mengerjakan haji ialah menggunakan wang sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini timbul kontroversi apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengaku beliau ditaja pihak tertentu untuk menunaikan haji dengan kos RM65,000 dan mendapat layanan bertaraf ‘VVIP’.
Ekoran kenyataan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung perkara berkenaan.
Disebabkan timbul pelbagai polemik, Nik Abdul Aziz membatalkan hasratnya berlepas ke Mekah pada Rabu ini.
Menurut Nooh, sebaik-baiknya, individu yang ingin ditaja untuk menunaikan haji adalah daripada kalangan orang miskin yang tidak berkemampuan untuk mengeluarkan belanja bagi mengerjakan ibadat itu.
“Tajaan ini sepatutnya bagi menolong orang miskin. Ia tidak boleh dilakukan bagi membantu golongan berada kerana ia tidak berfaedah, sama seperti mencurah garam ke dalam laut,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tiada masalah jika seseorang itu ingin menunaikan haji menerusi wang tajaan dengan syarat ia tidak mempunyai unsur-unsur rasuah.
“Tak apa dari segi syarak untuk mana-mana pihak menaja kita bagi menunaikan haji.
“Tetapi kita harus memastikan tiada unsur rasuah dan pihak yang melakukan ini tidak mempunyai niat lain,” ujarnya.
Mengulas isu sama, bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dusuki Ahmad berkata, persoalan sama ada boleh atau tidak seseorang itu menunaikan haji dengan wang tajaan adalah bergantung kepada niat kedua-dua belah pihak.
“Kita mesti mengetahui niat orang yang menerima tajaan dan juga pihak yang menaja.
“Apakah tujuan penajaan ini? Jika ia bermaksud tidak baik dengan niat mencapai keuntungan keduniaan, ini sudah tentu tidak dibolehkan kerana ia bertentangan dengan tujuan sebenar ibadat haji,” katanya.

/...

16 November 2009

Muslimat mahu Pas tambah kerusi DUN dan Parlimen wanita

Bernama - 16/11/2009
KOTA BHARU 16 Nov. — Dewan Muslimat Pas mahu pucuk pimpinan parti itu mengkaji semula desakan memperuntukkan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen diwakili wanita pada pilihan raya akan datang.
Ketuanya, Nuridah Salleh berkata, langkah itu perlu memandangkan ramai wanita berpendidikan tinggi dan layak wajar diberi tempat dalam pentadbiran mengikut kesesuaian masing-masing.
Beliau berkata, kebolehan anggota Dewan Muslimat dalam bidang pentadbiran ketika ini tidak kurang hebat berbanding dengan lelaki dan ia berbeza dengan sebelum ini.
"Dewan Muslimat Pas Pusat akan meneruskan desakan itu supaya pucuk pimpinan dapat memenuhi kehendak dan kemahuan anggota dewan itu sejak sekian lama,” katanya kepada pemberita pada Seminar Penggubalan Dasar Wanita Mawaddah Kelantan, di Pantai Cahaya Bulan, dekat sini, hari ini.
/...

Asia akan alami kemajuan pesat di abad ke-21, kata Dr.Mahathir

Bernama - 16/11/2009
KUALA LUMPUR 16 Nov. — Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyuarakan keyakinannya yang negara-negara Asia akan mengalami kemajuan cukup pesat dalam abad ke-21 ini.
Katanya beliau menjangka Asia akan terus berkembang maju dan menguasai dunia pada abad ke-21 kerana rantau ini dilihat menjadi tumpuan dunia sejak sekian lamanya.
"Dengan populasi lebih tinggi di Asia, produktiviti lebih baik, kualiti semakin meningkat, innovasi dan daya reka cipta yang tinggi, anda dapat lihat pertumbuhan Asia dengan ketara pada abad ke-21,” katanya dalam syarahan khas beliau mengenai “Asia dan Abad Ke-21” pada Siri Syarahan Tokoh-tokoh Terkemuka Asia-Eropah di sini hari ini.
/...

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Utusan - 16/11/09
BUKAN tujuan Awang menafikan kemasukan warga Afrika ke negara ini. Ia bagus buat ekonomi, terutamanya yang datang untuk menuntut di universiti swasta dan awam atau menjadi pegawai dagang di syarikat-syarikat tempatan.
Namun kadar jenayah yang dilapor dilakukan oleh warga benua itu juga semakin meningkat. Ia turut mencetuskan masalah sosial yang ketara, terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan mereka.
Akhbar Awang telah saban kali menyiarkan berita-berita dan laporan khas mengenai kegiatan negatif mereka, namun kebanjiran warga itu ke negara ini nampaknya semakin bertambah.
Sekali lagi bukan niat Awang mahu menafikan hak mereka untuk datang ke negara ini, tapi pihak berkuasa harus melakukan saringan ketat ke atas kemasukan mereka ke negara ini.
Dilaporkan pada tahun lalu daripada sejumlah 110,805 warga Afrika yang masuk ke Malaysia, hampir 6,000 dikatakan tidak keluar semula dari negara ini.
Ke mana perginya mereka kita tidak pasti? Isu-isu jenayah yang sering kita dengar membabitkan warga asing ini adalah penipuan, samun serta mengumpan wanita tempatan menghantar dadah ke luar negara.
Awang berharap paparan sekali lagi laporan khas akhbar ini (Lihat muka 4), akan membuka mata pihak berkuasa.
Awang – Mata dan telinga rakyat.
/...

Jadikan SwissCash iktibar kepada pelabur nak cepat kaya

Utusan (Rencana) - 16/11/09
SUATU ketika dahulu, negara digemparkan dengan skim pelaburan SwissCash yang menjanjikan keuntungan dividen pelaburan 300 peratus dalam tempoh 15 bulan. Skim ini yang lebih dikenali sebagai skim Ponzi (dikenali sebegini atas nama Charles Ponzi yang mula menggunakan teknik penipuan ini di Amerika Syarikat pada awal tahun 1920-an) telah mengakibatkan beribu-ribu pelabur tertipu dengan modus operandinya melalui pelaburan Internet.
Skim ini telah membawa kepada campur tangan pihak berkuasa iaitu Suruhanjaya Sekuriti (SC) kerana boleh mengakibatkan kerugian yang amat besar kepada pelabur-pelaburnya dalam tempoh jangka masa panjang.
Modus operandinya ialah membayar dividen dengan jumlah yang besar seperti dijanjikan kepada pelabur-pelabur awalnya untuk menarik pelabur-pelabur baru tetapi apabila telah menarik sebegitu banyak wang daripada pelabur-pelabur, keuntungan yang dijanjikan tidak dibayar.
Wang yang dilabur hangus sebegitu sahaja. Inilah taktik licik skim pelaburan Ponzi yang bukan sahaja dijalankan di negara kita bahkan di luar negara. Ambil sahaja contoh terbaru skim penipuan Ponzi yang dilakukan oleh Bernard Madoff yang mengakibatkan anggaran kerugian hampir AS$65 bilion.
Pada umumnya, seseorang pelabur pastinya tertarik dengan keuntungan dividen yang tidak mampu ditawarkan oleh mana-mana bank dan institusi kewangan di pasaran semasa. Sesiapa sahaja yang mendengar cerita dari rakan-rakan dan sanak saudara yang telah melabur dan memperolehi dividen keuntungannya pasti terpengaruh dengannya.
Maka, tidak menghairan apabila 80 peratus pelabur skim ini merupakan golongan profesional dan cerdik pandai lelaki. Golongan inilah merupakan sasaran skim pelaburan sebegini kerana mereka merupakan golongan banyak wang dan sering memikirkan cara untuk mendapatkan keuntungan yang terbaik.
Bahkan, skim ini menggunakan modus operandi melalui Internet agar senang mengabui mata pihak berkuasa. Teknik sebegini juga boleh mempengaruhi golongan profesional yang rata-rata mahir dalam penggunaan teknologi maklumat.
Setiap pelabur tidak kira latar belakang pendidikan mestilah mengetahui beberapa asas pelaburan. Pertama, mereka seharusnya mengetahui jenis pelaburan tersebut. Adakah pelaburan tersebut merupakan pelaburan yang samar-samar dan tidak diketahui di manakah wang yang dilaburkan akan digunakan oleh skim tersebut?
Kedua, di dalam perniagaan, tidak ada pelaburan yang mampu memberi jaminan seratus peratus keuntungan ke atas pelaburan yang dibuat. Setiap pelaburan pastinya adanya risiko keuntungan dan kerugian. Jika pelaburan itu memberi jaminan keuntungan tanpa adanya risiko kerugian, bermakna ia bukannya satu perniagaan dan pelaburan biasa. Perniagaan yang menjanjikan keuntungan sebegini ialah “perniagaan luar biasa” seperti mengedar dadah, pelacuran dan perjudian.
Ketiga, persoalan kenapakah pengendali skim pelaburan itu sendiri tidak melabur sedangkan diketahui bahawa keuntungannya adalah terjamin? Apa gunanya mereka mengutip wang daripada orang lain jika mereka sendiri boleh mendapat keuntungan yang amat besar? Alasan bahawa mereka memerlukan wang sebagai modal merupakan satu alasan yang biasa diungkapkan tetapi tidak patut diterima bulat-bulat.
Maka, apabila Suruhanjaya Sekuriti mengumumkan bahawa wang pelaburan SwissCash sebanyak RM30 juta akan dipulangkan semula kepada 3,000 pelabur bukan sahaja membawa berita gembira kepada pelabur-pelabur berkenaan tetapi juga patut dijadikan iktibar kepada sesiapa sahaja yang ingin membuat pelaburan.
Skim sebegini akan sentiasa mempelbagaikan modus operandi mereka, dan kita pastinya tidak pernah lupa dengan skim Pak Man Telo yang telah menipu begitu ramai pelabur di Malaysia pada awal tahun 1990.
Di negara kita, begitu banyak cara melabur yang boleh digunakan meskipun keuntungan tidak sebegitu tinggi berbanding dengan pelaburan skim SwissCash tetapi ia masih lagi kompetitif dan lebih selamat. Di tambah lagi, pada masa sekarang, adanya sistem kewangan Islam, pelabur-pelabur seharusnya mengambil peluang ini untuk membuat pelaburan melalui instrumen kewangan Islam.
Tidak kurang pentingnya ialah pelaburan emas yang merupakan satu lagi instrumen pelaburan yang telap inflasi. Oleh sebab itulah, pada masa sekarang, banyak negara mengesyorkan agar mata wang kertas ditukar kepada mata wang dinar emas yang mana emas sentiasa mempunyai nilai yang tinggi.
Apa yang penting di sini, seseorang bakal pelabur mestilah memahami selok belok sesuatu pelaburan dan juga elakkan daripada sifat ingin cepat mendapatkan keuntungan dalam tempoh jangka masa pendek.
Sifat ingin cepat kaya, tamak dan tidak sabar serta inginkan keuntungan yang besar serta-merta sebenarnya boleh membawa kepada malapetaka kerugian yang amat besar dalam tempoh jangka masa panjang.
/...

Program Pementasan Pemuda UMNO perjelas tuduhan liar pembangkang

Utusan - 16/11/09
HULU SELANGOR 15 Nov. - Pergerakan Pemuda UMNO mengambil langkah mengadakan Program Pementasan Pemuda di seluruh negeri ini bagi mendekatkan parti itu kepada rakyat.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, program sedemikian juga akan dilaksanakan bagi memberi penjelasan kepada rakyat untuk menangkis fitnah dan tuduhan liar yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap UMNO.
"Kita akan bawa para pemidato yang dilantik khusus bagi menyampaikan maklumat dan penerangan yang jelas kepada rakyat.
"Melalui program sedemikian, kita akan beri penjelasan yang menyeluruh terhadap fitnah dan tuduhan liar yang dibuat selama ini terhadap UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program Pementasan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor di Batang Kali di sini malam tadi.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd. Idris Abu Bakar; Timbalannya, Mohd. Isa Abu Bakar; Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Mahmud Karim; dan Timbalan Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor, T. Mugalan.
Menurut Khairy, dalam usaha untuk merampas kembali negeri Selangor daripada tangan pembangkang rakyat perlu diberi penjelasan sewajarnya berhubung segala fitnah dan tuduhan liar yang dilemparkan terhadap UMNO.
Katanya, menerusi program tersebut, rakyat dapat menerima maklumat secara terus dan jelas daripada pucuk pimpinan parti.
"Pada pilihan raya umum lepas, mungkin ada beberapa perkara yang 'tidak kena' dengan UMNO khususnya Barisan Nasional (BN).
"Justeru, UMNO kini perlu berubah, sahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk turun bersama rakyat," jelasnya.
Program pementasan ini akan diadakan di semua 22 bahagian UMNO di negeri ini dan Hulu Selangor adalah yang kedua dianjurkan selepas Shah Alam.
/...

Puteri UMNO sasar 50 peratus ahli baru

Utusan - 16/11/09
KUANTAN 15 Nov. - Proses pendewasaan di kalangan ahli Puteri UMNO menyaksikan pergerakan itu kehilangan 25,000 orang ahli pada tahun lalu, apabila mereka yang berusia 35 tahun secara automatik bertukar menjadi ahli Wanita UMNO.
Sehubungan itu, bagi memastikan kesinambungan perjuangan pergerakan tersebut, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin menyasarkan pertambahan 50 peratus ahli baru atau lebih 160,000 orang menjelang Mei 2010.
Menurut Rosnah, pertambahan keahlian juga merupakan Petunjuk Prestasi Utama (PKI) pergerakan itu yang telah ditetapkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO baru-baru ini.
Justeru katanya, bagi memenuhi sasaran tersebut, beliau mahu semua bahagian Puteri UMNO melipat gandakan usaha menambah bilangan keahlian yang kini berjumlah 328,000 orang.
"Saya tahu, ia bukan satu perkara mudah yang hendak dicapai terutama berdasarkan kepada suasana politik sekarang.
"Namun di atas komitmen ahli-ahli Puteri untuk bergerak sebagai satu pasukan, saya rasa cabaran ini dapat digalas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Prihatin Puteri UMNO Paya Besar dan pengisytiharan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Felda Hilir 1 sebagai keluarga angkat pergerakan itu, dekat sini hari ini.
/...

Penasihat Ekonomi: Anwar kukuhkan kedudukan Azmin

Utusan - 16/11/09
SHAH ALAM 15 Nov. - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedia menjadi Penasihat Ekonomi Selangor dilihat sebagai senjata halus bagi mengukuhkan kedudukan Naib Presiden parti itu, Azmin Ali di negeri tersebut.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman berkata, strategi itu diatur setelah percaturan untuk melantik Azmin selaku Ketua Perhubungan PKR Sabah ditolak mentah-mentah oleh ahli-ahli parti di negeri tersebut.
Jelas beliau, Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu kemudian dilantik sebagai Ketua Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan bagi menggantikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
''Jawatan Menteri Besar Selangor adalah satu platform yang amat baik untuk masa depan politik Azmin di Selangor .
''Maka itu pelantikan sebagai penasihat ekonomi adalah langkah percaturan pertama di Selangor sama seperti apa yang dilakukan oleh Anwar di Sabah terhadap Datuk Dr. Jeffrey Kitingan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Mohamad Satim, jawatan itu juga sebagai lanjutan daripada strategi baru Anwar iaitu melancarkan serangan peribadi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hingga memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.
Katanya, jika ekonomi Selangor hancur sudah pasti ekonomi negara turut hancur menyebabkan rakyat menderita dan memberontak menuntut keadilan.
Bagi Anwar, dakwa beliau, jika ini berlaku, suasana itu amat bagus untuk melancarkan gerakan mengambil alih kuasa dan terus menutup kes liwat yang melibatkan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
''Kita juga melihat jawatan penasihat ekonomi itu hanya satu alasan kerana Anwar bimbang dengan ketidakstabilan kuasa politik di Selangor iaitu antara PKR-Pas serta isu ADUN dari PKR keluar parti seperti wakil rakyat Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah baru-baru ini.
''Justeru itu, Anwar terpaksa mengambil alih beberapa peranan politik dari Abdul Khalid walaupun Anwar hanya memiliki ijazah dalam bidang Pengajian Melayu berbanding Menteri Besar dalam jurusan ekonomi," katanya.
Mohamad Satim juga percaya, jawatan penasihat itu untuk kepentingan politik Anwar sama seperti cara dan taktik beliau semasa berada dalam UMNO dulu.
Ekoran itu beliau pasti, Anwar akan membuat pengumuman untuk memberi 'gula-gula' kepada rakyat Selangor bagi menarik perhatian mereka sekali gus mengalih pandangan terhadap kes liwatnya.
/...

14 November 2009

Jentera Lotus F1 Racing lulus ujian kemalangan dalaman

H.Metro - 14/11/09
KUALA LUMPUR: Pasukan Lotus F1 Racing Malaysia mencatat satu lagi kejayaan memberangsangkan dalam persediaan pasukan itu menjelang penampilan pertama pada perlumbaan Grand Prix Formula Satu Dunia (F1) 2010 apabila lulus ujian pertama bagi impak kemalangan dalaman.
Menurut pasukan itu menerusi satu kenyataan hari ini, ujian itu dilakukan ke atas bahagian tepi dan kotak muncung hadapan kereta yang dilakukan bagi mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).Dalam ujian kesan impak kotak muncung hadapan kereta itu, sebahagian besar muncung hadapan itu mengalami kerosakan namun bahagian garisan putih menegak pada kotak itu yang sememangnya perlu kukuh masih kekal bertahan tanpa terjejas selepas ujian.
Ujian kemalangan rasmi dan mandatori FIA biasanya dilakukan selepas chasis akhir sesebuah kereta F1 itu sudah lengkap dipasang. Hasil daripada ujian dalaman itu melonjak semangat pasukan Lotus F1 Racing untuk meneruskan kerja-kerja pembangunan teknikal pasukan.
Ujian itu juga berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan oleh pasukan sebelum menjalani ujian pra-musim di Litar Sepang Februari depan sebelum membuat penampilan pertama pada perlumbaan pembukaan F1 Dunia 2010 di Bahrain pada Mac.
Pasukan Lotus F1 Racing disahkan oleh FIA menjadi salah sebuah pasukan yang menyertai perlumbaan F1 musim 2010 pada September lalu.
/...

Henti bai’ah talak tiga

Utusan - 14/11/09
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 13 Nov. – Pucuk pimpinan Pas mahu amalan bai’ah talak tiga yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dihentikan serta-merta kerana ia bukan arahan parti selain boleh menjatuhkan martabat kaum wanita.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, sejak Pas menyertai pilihan raya beberapa dekad lalu, parti tersebut tidak pernah ada bai’ah seumpama itu melainkan bai’ah rasmi yang dibaca bagi memastikan calon wakil rakyat tidak mengkhianati parti.
Beliau berkata, bai’ah rasmi itu hanya menyebut mengenai laknat Allah terhadap mereka yang khianat terhadap perjuangan parti dan langsung tidak menyatakan selain daripada itu.
“Jawatankuasa Pas Pusat tidak pernah bersetuju dan merestui bai’ah yang seperti ini dan selama ini pun kita menganggap bakal calon wakil rakyat kita menggunakan bai’ah rasmi yang disediakan.
“Atas sebab ini juga Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang minta saya lakukan siasatan supaya isu yang telah mengundang persepsi negatif rakyat terhadap Pas ini dapat diselesaikan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi menjelaskan isu bai’ah talak tiga di ibu pejabat Agung Pas di sini hari ini.
/...

13 November 2009

Tindakan Anwar sabotaj

Utusan - 13/11/09
Oleh Saiful Haizan Hasam
saiful.hasam@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 12 Nov. – Strategi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyerang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dianggap sebagai satu usaha untuk mensabotaj ekonomi negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussain berkata, tindakan mereka itu akan menyebabkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara terhakis.
Sedangkan kata beliau, kerajaan telah bertindak pantas untuk menangani masalah ekonomi global dengan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi, meliberalisasi pelbagai sektor dan menyatukan rakyat melalui gagasan 1Malaysia.
“Semua ini untuk memulihkan ekonomi negara supaya rakyat kembali mendapat pekerjaan yang sewajarnya untuk mereka menyara hidup keluarga dan anak-anak yang masih di bangku sekolah.
“Namun apabila wujud usaha yang digerakkan Anwar dan sekutunya untuk menyerang kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan, sudah tentu ia akan menyebabkan keyakinan pelabur terhakis dan mereka tidak akan menanam modal di negara kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di Parlimen hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mengenai keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi PKR yang dipengerusikan Anwar awal minggu ini.
Menurut Zulkifli, pada mesyuarat tersebut Anwar menasihati ahli-ahli mengenai strategi baru untuk melancarkan serangan peribadi terhadap Perdana Menteri.
Mengenai imej negara dari sudut ekonomi, Awang Adek berkata, pelbagai tindak tanduk pembangkang sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 menyebabkan sebuah akhbar di Jerman baru-baru ini melabelkan Malaysia sebagai mempunyai masalah yang sama dengan Thailand.
“Masalah kita dan Thailand adalah politik yang tidak berkesudahan, jika ada tulisan sebegitu dalam akhbar negara asing, siapa yang nak datang melabur.
“Usaha menarik pelabur asing sekarang bukannya tugas yang mudah kerana kita perlu bersaing dengan negara-negara lain yang juga giat melakukan perkara sama,” katanya.
Awang Adek melahirkan rasa sedih kerana perancangan yang menyebabkan ekonomi negara menjadi mangsa dilakukan oleh rakyat negara ini sendiri, bukannya oleh pihak asing.
Lebih-lebih lagi, katanya, ia digerakkan oleh Anwar yang merupakan bekas Menteri Kewangan yang sepatutnya arif dengan kesan buruk tindakannya.
“Ini sesuatu yang amat tidak adil kepada rakyat, mereka semua (Anwar dan pemimpin pembangkang) mempunyai duit simpanan yang banyak tapi rakyat ada apa? Rakyat hanya menang sorak tapi kampung tergadai, inilah yang sedang berlaku sekarang.
“Dalam suasana ekonomi dunia yang amat mencabar dan kerajaan giat berusaha untuk memastikan negara mampu bersaing di arena ekonomi global, tiba-tiba ada orang kita sendiri yang ‘sekat kaki’ dan mewujudkan halangan dan rintangan, bagaimana kita nak berjaya,” tegas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, perancangan Anwar itu mungkin disebabkan beliau kini berada dalam situasi ‘buku bertemu ruas’ dengan gandingan Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, walaupun pada mulanya rakyat mempunyai rasa sangsi dengan pelbagai pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan, mereka kini mula merasakan angin perubahan yang sedang berlaku.
/...

Kerajaan Selangor gagal bantu rakyat

Utusan - 13/11/09
SHAH ALAM 12 Nov. - Kerajaan negeri Selangor didakwa gagal melaksanakan pembangunan dan membantu rakyat di kawasan kampung sebaliknya mereka lebih banyak berpolitik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Ismail Sani berkata, pentadbiran kerajaan negeri tidak menyelesaikan permasalahan rakyat sejak mula mentadbir pada Mac tahun lalu.
Katanya, sepanjang tempoh mentadbir, kerajaan negeri sehingga ke peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidak membuat apa-apa perubahan kecuali dalam soal menukar individu untuk mengisi jawatan dalam JKKK.
"Apa kerajaan negeri hari ini buat kepada pembangunan kampung di Selangor kerana banyak rungutan diterima bahawa kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa di kawasan mereka.
"Sebagai contoh, dalam soal balai raya, kerajaan negeri tidak pernah bantu. Yang bantu ialah Kerajaan Pusat melalui peruntukan yang disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP).
"Jadi, soalnya mana peruntukan kerajaan negeri, kenapa peruntukan negeri tidak disalurkan untuk masyarakat di kampung. Apa kerajaan negeri buat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam soalan tambahan kepada Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Asli dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari ketika sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Ismail yang mewakili Barisan Nasional (BN) berkata, sehingga ke hari ini perhatian kerajaan
negeri di kawasan kampung lebih banyak melibatkan pengambilalihan balai raya tetapi tidak menjalankan usaha-usaha pembaikan ke atas bangunan berkenaan.
/...

Hasan Ali nafi arah Jais tangkap Dr Asri

Bernama - 13/11/09
SHAH ALAM: Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, hari ini menafikan beliau mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menangkap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah pada 1 November lalu. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu, juga menjelaskan pihak Istana, pejabat Menteri Besar dan pejabat Exco lain tidak terbabit dengan penahanan itu.
Beliau berkata, tangan ghaib yang didakwa wujud dalam kes tangkapan Mohd Asri itu merujuk kepada Peraturan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor (2003) dan Peraturan Tauliah (2008).
"Tiada tangan ghaib dari Istana, Pejabat Menteri Besar atau pejabat Exco (yang mengarahkan Mohd Asri ditangkap). “Tangan ghaib yang dimaksudkan ialah Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Peraturan Tauliah," katanya pada sesi penggulungan Bajet 2010 kerajaan negeri Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini. Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib mendakwa wujud tangan ghaib dalam kes penahanan Mohd Asri ketika menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah di sebuah banglo di Taman Seri Ukay pada 1 November lalu.
Hasan berkata, pegawai penguatkuasa Jais tidak membawa sebarang senjata ketika menahan Mohd Asri dan tangkapan itu juga dibuat secara berhemat serta berbudi bahasa. Katanya, pegawai penguatkuasa Jais terpaksa meminta bantuan 20 anggota polis sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan kerana ketika itu ada kira-kira 100 jemaah lain yang tidak memberi kerjasama.
"Dakwaan Mohd Asri dilayan seperti pengganas dan penjenayah tidak benar. Malah penguatkuasa tidak membawa gari tetapi hanya mengiringi Mohd Asri ke balai polis," katanya.
Hasan mengakui Peraturan Tauliah ada menyebut ulama dan mufti boleh dikecualikan dari syarat berkenaan tetapi perkataan “boleh” itu juga boleh menjurus kepada “tidak boleh”, bergantung kepada Jawatankuasa Tauliah.
/...

Khalid diberi peringatan lisan berhubung isu bai’ah

Utusan - 13/11/2009 2:59pm
KUALA LUMPUR 13 Nov. - Amalan bai'ah talak tiga yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pas Shah Alam Khalid Samad tidak dipersetujui dan direstui oleh pucuk pimpinan Pas kerana ia merendah-rendahkan kaum wanita.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya telah memberi peringatan secara lisan kepada Khalid berhubung tindakannya itu.
Beliau berkata, ini adalah kes yang pertama dan tidak pernah berlaku sejak Pas bertanding dalam pilihan raya di negara ini.
/...

Nik Aziz batal hasrat tunai ibadat haji

Utusan - 13/11/2009 3:09pm
KOTA BHARU 12 Nov. - Menteri Besar, Datuk Abdul Aziz Nik Mat hari ini membatalkan hasratnya menunaikan ibadat haji ekoran berita penajaannya ke Mekah disiarkan pihak media . Berita tersebut diumumkan semasa beliau menyampaikan kuliah mingguan di sini hari ini.
Katanya, laporan tersebut sengaja diperbesar-besarkan.
Beliau sebelum ini beranggapan tindakannnya menerima penajaan itu tidak salah selagi tidak melanggar peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimana pun semalam, SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tersebut dan menurut sumber sekiranya terdapat unsur-unsur rasuah dan salah laku dalam kes itu, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya.
/...

Pas amal bai'ah sumpah setia laknat

Bernama - 13/11/2009 4:38pm
KUALA LUMPUR 13 Nov. — Pas mengakui ia hanya mengamalkan bai”ah sumpah setia laknat bukannya amalan bai”ah talak tiga seperti yang dinyatakan oleh Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.
Beliau berkata, amalan yang dilakukan sejak sekian lama itu adalah bertepatan dengan dasar Pas yang memperjuangkan Islam di samping menunjukkan yang mereka sedia dilaknat sekiranya mengkhianati perjuangan Islam.
"Pas ada cara sendiri, kita guna tradisi dalam Islam. Bai”ah kita adalah ikrar setia dalam perjuangan. Pas buat benda ni sebelum pilihan raya lagi, sewaktu kita dipilih sebagai calon.
"Walaupun kita (Jawatankuasa Pas Pusat) tak setuju apa yang dilakukan oleh Khalid, tetapi kita hormati pendirian beliau. Mungkin itu pilihan dia untuk tunjukkan kesetiaan kepada parti,” katanya pada sidang media berhubung isu bai”ah di ibu pejabat Pas di sini hari ini.
Khalid baru-baru ini telah mendedahkan mengenai wujudnya amalan bai”ah dalam kalangan calon wakil rakyat parti itu yang dikehendaki melafazkan akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing sekiranya keluar parti.
/...

12 November 2009

Pas rahsiakan baiah

BH- 12/11/09
Oleh Zanariah Abd Mutalib
bhnews@bharian.com.my
Pengakuan Prof Madya Dr Zaitun Abu Bakar (gambar) - isteri Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

KUALA LUMPUR: Sumpah taat setia atau baiah jatuh talak tiga terhadap isteri wakil rakyat Pas yang mengkhianati parti adalah rahsia dalaman parti itu, kata Prof Madya Dr Zaitun Abu Bakar - isteri Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
"Saya tak pernah menghadiri majlis itu, kerana ia adalah rahsia dalaman parti. Saya tidak tahu apakah ungkapan yang dibaca, tapi suami saya memberitahu mereka perlu mengangkat tangan dan melafazkan baiah itu," katanya.
Pensyarah sebuah universiti swasta di sini itu, berkata sepanjang pengetahuannya, Khalid mengangkat baiah sebanyak lima kali dengan kali pertama ketika bertanding atas tiket Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Krai pada 1986.
"Bagaimanapun, baiah talak tiga suami saya itu dilakukan buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu. Saya tak tahu sama ada wakil rakyat lain pun buat perkara sama," katanya.
Zaitun yang dihubungi Berita Harian, semalam, berkata beliau tidak takut dengan tindakan suaminya melafazkan baiah talak tiga itu kerana percaya Khalid tidak akan mengkhianati parti.
"Saya tidak takut... dia bukannya nak tukar parti... dia serius dan mengambil berat mengenai hal itu.
"Sebab itu dia mempertaruhkan sesuatu yang berharga... itu adalah antara dia dan Allah," katanya ketika ditanya sama ada beliau sedar mengenai kesan baiah itu yang mengakibatkan talak tiga jatuh dengan sendirinya ke atasnya jika Khalid melompat parti.
Kelmarin, Khalid mempertahankan kenyataannya sebelum ini berhubung kewujudan amalan baiah talak tiga dalam Pas, yang dinafikan pucuk pimpinan parti itu.
Ditanya sama ada isteri wakil rakyat Pas lain pernah menghadiri majlis baiah itu, Zaitun berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan sesama mereka.
Beliau juga berkata, baiah talak tiga diperkenalkan bagi menghalang wakil rakyat melompat parti kerana ada percubaan "membeli" Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas di Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 yang ketika itu hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di negeri itu.

/...

11 November 2009

Dua langkah lonjak IT

Utusan - 11/11/09
DALAM usaha menyediakan komponen teknologi utama kepada rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menekankan dua langkah:
  • Terus mengukuhkan infrastruktur komunikasi negara yang canggih menghubungkan 1.2 juta isi rumah dan premis perniagaan menggunakan gentian optik.
    Jaringan jalur lebar berkelajuan tinggi itu akan membolehkan mereka disambungkan dengan Internet berkelajuan tinggi antara 10 megabait sesaat hingga 1 gigabait sesaat.
  • Merancang mewujudkan sebuah pusat praktikal teknologi maklumat (IT) mirip model pusat perisian Infosys ternama di Bangalore, India. Melalui pusat ini, siswazah lepasan IT dapat mengikuti latihan kemahiran tinggi sebelum menceburi bidang pekerjaan dengan gaji lumayan.
PUTRAJAYA 10 Nov. – Malaysia sedang merancang untuk mewujudkan sebuah pusat praktikal teknologi maklumat (IT) mirip model pusat perisian Infosys ternama di Bangalore, India.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menerusi pusat berkenaan, para siswazah lepasan IT akan mengikuti kemahiran tinggi di situ sebelum menceburi bidang pekerjaan dengan gaji lumayan.
“Pusat yang sedang kita rancang ini seakan-akan mirip model Infosys di Bangalore.
“Para siswazah (IT) kita pergi mengikuti latihan praktikal di pusat ini sebelum terjun ke dunia pekerjaan dengan gaji lumayan.
“Kita akan mulakan dengan mendirikannya di satu lokasi yang akan dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Pengasas Infosys Technology Ltd, N.R. Narayana Murthy yang juga anggota IAP MSC Malaysia memulakan syarikatnya di India pada 1981 dengan modal RM865 (AS$250) dan menukarkannya menjadi sebuah syarikat teknologi maklumat dan perundingan berbilion-bilion dolar.
Infosys di bawah Murthy merupakan satu kisah kejayaan klasik India dengan pendapatan tahunan bagi tahun kewangan 2007 melebihi RM10.72 bilion (AS$3.1 bilion) dan permodalan pasaran sebanyak RM103.8 bilion (AS$30 bilion), menjadikannya salah sebuah syarikat IT terbesar di India.
Syarikat-syarikat IT India berupaya mewujudkan 11.3 juta pekerjaan setahun dan ini sukar ditandingi, malah oleh satu lagi kuasa ekonomi saingannya, China sekalipun.
Bangalore, ibu negeri Karnataka dirujuk sebagai Lembah Silikon India dan merupakan 35 peratus daripada eksport perisian India.
/...

10 November 2009

Hasan Ali terima surat tunjuk sebab

Bernama - 10/11/09
SHAH ALAM: Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, berkata beliau telah menerima surat tunjuk sebab daripada Jawatankuasa Disiplin parti itu semalam, dipercayai berhubung kenyataannya yang bercanggah dengan pendirian parti.
"Perkara itu bukanlah susah sangat nak dijawab. Saya tidak ada kebimbangan, benda ini biasa," katanya kepada pemberita selepas tamat persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas tuduhan yang dikenakan kepadanya kerana menganggap ia soal dalaman Pas.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini dilaporkan berkata Hasan diberi tempoh 14 hari untuk membela diri terhadap semua tuduhan terhadapnya dan akan dikenakan tindakan jika gagal berbuat demikian.
Hasan tidak menolak surat tunjuk sebab itu ada kaitan dengan kenyataan beliau seperti isu penjualan arak dan kritikan terbuka terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) kerajaan pakatan pembangkang di Selangor.
Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, berkata tuduhan terhadap beliau itu bukan perkara besar atau luar biasa kerana kesalahan itu tidak membabitkan jenayah atau salah guna kuasa sebaliknya kerana membuat kenyataan yang tidak selari dengan peraturan parti.
/...

Tiga ADUN BN Selangor saman Selcat

Utusan - 10/11/09
SHAH ALAM 9 Nov. - Tiga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini hari ini memfailkan saman terhadap Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) bagi mengisytiharkan jawatankuasa itu tidak sah.
Saman pemula oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Raja Ideris Raja Ahmad, 65; ADUN Morib, Hasiman Sidom, 48; dan ADUN Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun, 48, itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Balvinder Singh Kenth di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pukul 11.30 pagi.
Mereka menamakan Pengerusi Selcat, Teng Chang Khim dan enam ahli jawatankuasanya; Haniza Mohamed Talha, Mohamed Azmin Ali, Saari Sungib, Edward Lee Poh Lin, Sulaiman Abdul Razak dan Ismail Sani sebagai defendan.
Turut disenaraikan tiga lagi defendan iaitu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Setiausaha DUN Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor.
Mengikut afidavit sokongan yang diikrarkan oleh ketiga-tiga plaintif, mereka mendakwa gabungan memerintah DUN Selangor bertindak secara mala fide (niat jahat) dalam meluluskan usul untuk prosiding-prosiding Selcat.
Dakwa mereka, Selcat digunakan secara tidak adil dan salah di sisi undang-undang sebagai alat untuk memalu, memfitnah dan mencela pegawai-pegawai awam serta ahli-ahli kerajaan negeri daripada BN.
Mereka turut mendakwa Chang Khim berada dalam tiga kedudukan yang masing-masing mempunyai kepentingan bercanggah iaitu sebagai Pengerusi Selcat, Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor serta Speaker DUN.
Sehubungan itu, pihak plaintif memohon perintah-perintah:
l Deklarasi bahawa komposisi Selcat tidak membayangkan imbangan antara parti-parti dalam DUN sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 72(1) Peraturan-Peraturan Tetap DUN Selangor.
l Deklarasi bahawa Selcat telah bertindak melanggar Peraturan 75 Peraturan-Peraturan Tetap dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dalam menjalankan pendengaran terbuka dengan membenarkan penyiaran laporan mengenai prosiding sebelum laporan rasmi dibentangkan.
l Deklarasi bahawa defendan pertama diletak dalam posisi bertentangan sebagai pengerusi Selcat yang menyebabkan prosiding Selcat adalah batal dan tidak sah kerana bercanggah dengan prinsip-prinsip keadilan asasi.
l Deklarasi alternatif bahawa prosiding dan fungsi Selcat telah melanggar perkara-perkara yang dirizabkan oleh Peraturan-Peraturan Tetap dan Perlembagaan Negeri Selangor bagi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan DUN Selangor.
l Deklarasi alternatif bahawa perkara-perkara yang dibincangkan oleh Selcat telah melampaui batas perkara-perkara yang dirujuk secara nyata kepadanya oleh DUN Selangor dan prosiding itu terbatal dan tidak sah kerana bercanggah dengan Peraturan 73(4) Peraturan-Peraturan Tetap.
l Deklarasi bahawa DUN Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk melulus atau menggubal kesalahan-kesalahan jenayah dalam bentuk Enakmen Penghinaan Dewan (Negeri Selangor) 2009.
l Deklarasi bahawa penubuhan Selcat dan prosiding-prosiding yang dilakukan adalah terbatal dan tidak sah serta tidak mempunyai sebarang kesan.
Ketiga-tiga defendan hadir ditemani tiga peguam, Datuk V. Sithambaram, Kamarul Hisham Kamarudin dan Balvinder Singh serta kira-kira 30 penyokong mereka.
Pada 15 Julai lalu, Selcat menggantung bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo selama setahun dan menarik balik semua keistimewaannya sebagai wakil rakyat.
Keputusan itu dibuat selepas beliau gagal hadir sidang siasatan awam Selcat pada Mac lalu berhubung penggunaan wang penajaan oleh Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) selain didakwa mengeluarkan kenyataan menghina jawatankuasa itu dalam media.
Turut digantung oleh Selcat ialah empat ADUN BN iaitu Datuk Warno Dogol (Sabak Bernam), Datuk Mohd. Idris Abu Bakar (Hulu Bernam), Mohd. Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Marsum Paing (Dengkil) kerana kesalahan menghina Selcat dalam media.
/...

Kalimah Allah dan cebisan al-Quran di tokong Cina

Bernama - 10/11/2009 6:25pm
PULAU PINANG 10 Nov. — Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menemui kertas mentera mempunyai kalimah Allah dan cebisan al-Quran di empat tokong Cina yang disyaki menjalankan amalan pemujaan dan nombor ramalan.
Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JHEAIPP, Azmah Abdullah berkata, operasi dari 9 pagi hingga 3 petang itu dijalankan berdasarkan maklumat orang awam.
"Kami menjalankan siasatan terperinci sebelum mengambil tindakan bagi memastikan tiada orang Islam yang terlibat dengan unsur-unsur pemujaan dan amalan syirik yang bertentangan dengan akidah.
"Dalam operasi ini kami telah temui kertas doa mentera dengan tulisan jawi dan mempunyai kalimah Allah, juga terdapat cebisan al-Quran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
/...