11 Julai 2010

Berakhirkah kuasa politik Melayu?

MM (Rencana) - 11/07/10

PADA 1946, UMNO ditubuhkan, ketika itu semua orang Melayu boleh dianggap berada dibawah payung parti berkenaan. Namun penyatuan itu tidak lama apabila terwujud Pas pada tahun 1951 selepas berlaku perpecahan di dalam UMNO, ertinya orang Melayu sudah berpecah kepada dua kumpulan.

Buat seketika pertelingkahan politik di kalangan orang Melayu hanya berkisar kepada dua parti ini sahaja, satu pihak menyokong UMNO dan satu pihak lagi menyokong Pas tetapi hakikatnya Melayu sudah berpecah. Penyatuan antara kedua-dua partinya hanya berlaku seketika pada awal tahun 70-an sebelum Pas sekali lagi membawa diri. Melayu kembali berpecah.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila berlaku lagi krisis dalam UMNO. Kali ini ia mewujudkan penubuhan Parti Melayu Semangat 46 (S46), walaupun tidak lama berada dalam persada politik tanah air namun kehadiran S46 turut memecahkan undi Melayu.

Bagaimanapun keadaan agak tenang seketika apabila S46 dibubarkan dan ramai kembali kepada UMNO tetapi pertarungan politik antara parti itu dengan Pas berterusan.

Ketika UMNO dan Pas masih lagi teraba-raba mencari titik pertemuan, tercetus pula krisis ketiga dalam UMNO yang 'melahirkan' Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Berbanding perpecahan-perpecahan Melayu sebelum ini, kewujudan PKR ternyata semakin melemahkan kuasa politik Melayu. Orang Melayu yang sudah terbahagi kepada dua puak kini menjadi tiga puak dan ia belum lagi mengambil kira puak keempat iaitu atas pagar.

Akhirnya, walaupun menjadi penduduk majoriti di negara ini, kuasa politik Melayu semakin lemah. Malangnya kelemahan itu tidak menguntungkan UMNO, Pas mahupun PKR, sebaliknya parti-parti bukan Melayu yang lain.

Apa yang berlaku di Pulau Pinang dan di Perak (selama 11 bulan) seharusnya memberi kesedaran kepada orang Melayu bahawa kuasa politik mereka boleh lenyap bila-bila masa atau kalau pun mempunyai jawatan, mereka perlu mengikut telunjuk orang lain kerana kekurangan jumlah kerusi.

Di Pulau Pinang, walaupun DAP berkongsi kuasa bersama-sama dengan Pas dan PKR tetapi DAP tidak pernah peduli perasaan orang-orang Melayu dalam kedua-dua parti tersebut. Sebab itulah pelbagai tindakan dilakukan termasuk merobohkan kampung-kampung orang Melayu.

Begitu juga di Perak, walaupun sedikit sebanyak orang-orang Melayu di dalam Pas dan PKR membantu kemenangan calon DAP sehingga mereka mampu memiliki kerusi terbanyak di negeri itu, tetapi ketika menjadi kerajaan negeri, DAP tidak pernah mengambil kira pandangan Pas dan PKR. Menteri Besar yang dilantik hanya mengikut sahaja apa yang DAP arahkan.

Sedangkan kalau UMNO dan Pas bekerjasama mewujudkan kerajaan perpaduan, senario 'mengikut telunjuk' tersebut tidak akan berlaku. Ini memandangkan UMNO mempunyai 28 kerusi dan Pas enam kerusi menjadikan jumlah keseluruhannya 34 kerusi.

Di Kedah, walaupun Pas memerintah tetapi talian hayat kerajaan negeri tetap bergantung kepada tiga ADUN bukan Melayu daripada PKR.

Di Selangor, Menteri Besarnya, bukan sahaja bergantung kepada DAP untuk terus kekal sebagai kerajaan negeri malahan harus mendapat sokongan ADUN bukan Melayu dalam PKR untuk kekal berkuasa.

Kecuali di Kelantan dan Terengganu yang bakal terus menyaksikan pertarungan antara parti-parti orang Melayu, di negeri-negeri lain, kuasa politik Melayu semakin berkurangan.

Berikutan perpecahan yang berlaku kuasa politik orang Melayu di Parlimen juga semakin lemah. UMNO yang diharapkan menjadi sandaran orang Melayu semakin 'nipis' jumlah kerusinya di Parlimen. Parti itu hanya menguasai 78 kerusi. Kita tidak boleh berharap bahawa kepentingan Melayu akan turut dikongsi oleh semua ahli Parlimen Pas kerana sebahagian besar mereka lebih taksub 'memuja' Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kelompok ini agenda mereka hanya ingin mendapat kuasa bersama-sama DAP. Kesudahannya UMNO bergantung kepada ahli Parlimen bebas yang keluar PKR dan sedikit sokongan daripada Pas agar agenda Melayu tidak diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP.

Namun persoalannya sekarang, apakah akan berlaku dalam pilihan raya umum akan datang.

Pelbagai analisis dan kajian yang dibuat oleh sesetengah pihak berkecuali (non partisan) mendapati, kuasa politik Melayu tidak mustahil akan luntur daripada persada politik tanah air.

''Masih ramai ahli politik Melayu leka dan tidak sedar bahawa ada bahaya yang sedang menanti dalam pilihan raya umum akan datang. Situasi ini jika dibiarkan boleh memungkinkan kuasa politik Melayu akan berakhir.

''Jika ini terjadi ia bukan sahaja akan merugikan UMNO semata-mata tetapi juga Pas di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta ahli politik PKR yang masih kukuh idealismenya dalam perjuangan untuk bangsa, agama dan negara," kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada penulis ketika dihubungi.

Persefahaman

Sememangnya, ketika orang Melayu masih belum mampu mencapai persefahaman hatta dalam soal mempertahankan hak orang Melayu dan umat Islam sekali pun, parti-parti politik bukan Melayu bukan sahaja semakin mengukuh cengkaman mereka di sesetengah negeri dan kawasan malahan mula mengatur gerakan membuat tuntutan demi tuntutan untuk kepentingan kaum mereka.

Seperti mana kata seorang lagi pemimpin UMNO, walaupun mereka sedari ada kalanya tuntutan mereka adalah melampau dan boleh menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan orang Melayu tetapi mereka tidak mempedulikannya. Mereka ingin menonjolkan diri menjadi juara kepada kaum sendiri.

Puak-puak ini amat memahami bahawa politik Melayu berada di dalam keadaan lemah.

Walaupun terdapat tiga parti politik yang diterajui orang Melayu tetapi mereka tidak mampu bersatu hati. Ini berbeza dengan amalan politik parti-parti bukan Melayu, mereka akan sepakat dalam soal berkaitan kaum mereka.

Tetapi orang Melayu, kalau UMNO bercakap soal kepentingan Melayu, sebahagian puak-puak di dalam Pas dan PKR akan menuduh UMNO rasis dan mengamalkan politik perkauman tetapi mereka tidak pula menyerang parti-parti bukan Melayu yang memperjuangkan hak kaum mereka secara keterlaluan.

Ketika ini pembangkang yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Pas begitu yakin bahawa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), mereka akan menguasai Putrajaya dan sudah ada congak dibuat bahawa beberapa negeri lagi akan jatuh ke tangan mereka.

BN terutamanya UMNO tidak boleh merasa selesa bahawa negeri yang mereka pegang sekarang akan berkekalan. Apa yang terjadi kepada Selangor adalah contoh terbaik. Tidak mustahil keadaan ini boleh berlaku di negeri-negeri lain pula seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, jika UMNO terus leka.

Hakikatnya, kita menghormati proses demokrasi yang mana rakyat memilih siapa yang mereka mahukan tetapi persoalannya apakah akan berlaku kepada kuasa politik orang Melayu? Mampukah PKR yang pemimpinnya terlalu kemaruk kuasa mengimbangkan kekuatan DAP? atau mampukah Pas bersuara bagi membolehkan mereka menjadi dominan dalam pakatan pembangkang?

Bagaimana pula dengan UMNO, beranikah parti itu mengambil semula kerusi-kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu tetapi sebelum ini diserahkan kepada komponen BN yang lain untuk bertanding atas dasar setiakawan? Mampukah UMNO dan Pas menambah kerusi dalam Parlimen bagi memastikan suara orang Melayu dan umat Islam terus kedengaran dan hak mereka tidak diperkotak-katikkan?

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah memberikan isyarat mengenai bahaya yang menanti orang Melayu kalau mereka terus berpecah dari segi kuasa politik, begitu juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah berkali-kali mengingatkan bahawa kuasa politik yang dipegang orang Melayu mungkin hilang jika mereka berpecah-belah.

Mengekalkan kuasa politik Melayu bukanlah bermakna kita hendak menganiaya atau mengetepikan hak kaum lain. Selama 53 tahun memerintah Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi tonggak kekuatannya sudah membuktikan bahawa nasib kaum bukan Melayu sentiasa dipelihara dan terbela.

Pengekalan kuasa politik Melayu juga bertujuan untuk memastikan kaum bukan Melayu tidak terjebak dalam permainan politik sempit yang boleh memudaratkan keharmonian di negara ini.

Mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa masa depan kuasa politik Melayu bergantung sepenuhnya kepada UMNO dan Pas. Orang Melayu tidak boleh berharap kepada PKR. Bagi pemimpin-pemimpin PKR mereka akan melakukan apa sahaja asalkan boleh mendapat undi. Cukuplah kedua-dua parti itu bertelagah sejak hampir 60 tahun lalu.

Masanya sudah tiba untuk dua parti besar itu seperti mana kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mencari 'kemuncak persamaan' bagi membolehkan mereka duduk semeja berbincang dalam usaha memastikan kuasa politik Melayu tidak lenyap dalam pilihan raya umum akan datang.

Sekali lagi mungkin akan ada di kalangan pemimpin dan ahli Pas yang akan mendakwa bahawa semua ini agenda untuk menakut-nakutkan orang Melayu atau lebih tepat lagi bagi menyelamatkan kuasa politik UMNO yang dikatakan semakin berkurangan.

Tidak kisah untuk bertelagah berebut kerusi dalam pilihan raya tetapi janganlah sikap 'berlawanan' dalam pilihan raya itu turut diseret ketika kita berhadapan dengan persoalan untuk mempertahankan hak orang Melayu dan umat Islam.

Orang Melayu perlu sedar dan bangkit untuk menyedari bahawa kuasa politik mereka semakin terancam, jika mereka terus bertelagah dalam soal politik. Sama ada UMNO mahupun Pas mereka perlu sedar kalau kuasa politik itu hilang, kedua-duanya akan rugi. Oleh itu mereka harus berusaha sedaya upaya mencari titik persamaan bagi memastikan di dalam pilihan raya umum nanti kuasa politik Melayu tidak hanya menjadi bahan sejarah!

/hwa: utusan.com.my

8 Julai 2010

FELDA jadi contoh ikutan negara Islam

BH - 2010/07/08
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shamshul Kamal Amaruddin

NAJIB menyampaikan Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) kepada Pengurus Rancangan FELDA Keledang Kota Tinggi, Abd Rozak Ahmad Marzuki (tiga dari kiri) pada pelancaran Hari Peneroka 2010 di Trolak, semalam.


Organisasi sosioekonomi terbesar terbabit pembangunan

SUNGKAI: Datuk Seri Najib Razak semalam menghuraikan pencapaian dan kejayaan FELDA selepas ditubuhkan sejak 54 tahun lalu termasuk kejayaan besar menggerakkan mobiliti sosial di negara ini khususnya kepada kira-kira 1.6 juta keluarga peneroka yang hanya bermula dengan penerokaan hutan di Lurah Bilut, Pahang.

Perdana Menteri berkata, FELDA kini menjadi organisasi sosioekonomi terbesar yang terbabit dalam pembangunan negara sehingga menjadi contoh serta ikutan kepada negara Islam dan negara membangun lain.

Katanya, selain ladang komersial bernilai RM10 bilion dan wang tunai RM1.3 bilion yang dimiliki ketika tidak termasuk wang pelbagai anak syarikatnya, FELDA mempelbagaikan pelaburan termasuk dalam bidang hartanah dan pasaran saham dengan nilainya kini meningkat berkali ganda dan memperoleh keuntungan lumayan jika dijual.

Sebagai contoh, FELDA membeli beberapa saham terpilih yang disenaraikan di Bursa Malaysia termasuk Maybank dan Malaysia International Shipping Corporation (MISC) pada harga RM844 juta yang kini harganya meningkat lima kali ganda dan memungkinkan agensi itu memperoleh RM4.6 bilion jika menjualnya sekarang.

Jika difikirkan keadaan Lurah Bilut dulu (tanah hutan rimba yang diteroka), tentu tiada siapa dapat membayangkan FELDA boleh membina menara pencakar langit di sebelah Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Nilai pasaran hartanah di situ yang dibeli FELDA pada 2008 adalah RM935 kaki persegi dan sudah melonjak kepada RM1,500 kaki persegi..hari ini, jika kita mahu jual bangunan itu senang-senang boleh untung RM300 juta, katanya ketika merasmikan sambutan Hari Peneroka 2010, di Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) Kampus Tun Abdul Razak di sini yang dihadiri kira-kira 10,000 peneroka dari seluruh negara, semalam.

Najib berkata, FELDA membuat pelaburan jangka panjang termasuk di Amerika Utara terutama di Kanada dan Connecticut, Amerika Syarikat bagi menembusi pasaran global dalam usaha meningkatkan pemasaran sawit dan produk dihasilkan daripadanya di peringkat antarabangsa yang membantu meningkatkan lagi harga komoditi itu.

Beliau berkata, kejayaan dan keuntungan FELDA dan Koperasi Permodalan FELDA (KPF) hasil kepelbagaian pelaburan itu membolehkan agensi itu mengeluarkan zakat bernilai RM26.29 juta tahun lalu, bertambah RM4.93 juta atau 23.07 peratus berbanding RM21.36 juta pada 2008.

Katanya, keuntungan itu juga membolehkan FELDA mengeluarkan pinjaman tanpa faedah berjumlah RM603 juta kepada 19,546 pemohon di bawah Skim Pinjaman Pembesaran Rumah bagi membolehkan peneroka dan keluarga meningkatkan kualiti hidup dan tinggal di rumah lebih selesa.

Najib juga berkata, FELDA sudah membelanjakan RM2.4 bilion untuk program tanaman semula sawit dan getah yang dijangka mula mengeluarkan hasil tahun depan.

Najib juga mengumumkan pemberian duit raya atau dividen kepada 112,535 peneroka di 317 rancangan FELDA di seluruh negara yang jumlahnya akan diumumkan pada minggu pertama Ramadan.
/hwa: bharian.com.my

Cubaan tanam kebencian institusi Melayu

UM - 08/07/10

KUALA LUMPUR 7 Julai - Tindakan pembangkang serta sebuah akhbar berbahasa Inggeris mempolitikkan isu pembinaan Istana Negara tanpa melaporkan fakta sebenar bertujuan menanam kebencian masyarakat terhadap institusi Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha terancang itu jelas terbukti apabila pembangkang mula menggelarkan istana yang sepatutnya menjadi lambang kedaulatan negara sebagai 'istana air mata'.

"Saya fikir mereka sedang menuju ke arah mewujudkan budaya kebencian kepada institusi Melayu yang secara tradisinya telah wujud sekian lama bagi memayungi rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Secara tidak langsung ia bertujuan mewujudkan kebencian terhadap orang Melayu. Melalui kebencian ini mereka berharap rakyat bukan Melayu akan menolak kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sebuah akhbar arus perdana berbahasa Inggeris dan pembangkang melaporkan maklumat salah mengenai pembayaran gaji pekerja asing yang terbabit dalam pembinaan Istana Negara.

Sebelum ini, bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Ezam Mohd. Noor mendakwa, pihak yang terbabit dalam mempolitikkan isu Istana Negara berniat jahat dan meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat dengan segera.

Menurut Ahmad Zahid, walaupun strategi dan niat pembangkang itu sudah jelas tetapi masih ramai masyarakat Melayu yang tidak sedar dan bersikap sambil lewa mengenai perkara itu.

"Memang benar Istana Negara bukan hak milik Melayu tetapi raja-raja yang bersemayam di dalamnya ialah raja Melayu yang menjadi lambang kedaulatan kita. Niat jahat ini perlu dipatahkan kerana ia boleh menjejaskan keharmonian negara ini," jelasnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pembinaan Istana Negara tidak harus dilihat dari segi kos semata-mata, sebaliknya ia adalah lambang keagungan negara yang wajib dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia.

/hwa: utusan.com.my

Anwar didakwa bankrap idea

UM - 08/07/10

KUALA LUMPUR 7 Julai - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerang kredibiliti individu-individu yang membuat dakwaan berkaitan hubungan parti itu dengan Raja Petra Kamaruddin merupakan taktik 'basi' beliau untuk mengalih tumpuan daripada isu berkenaan.

Bekas Setiausaha Sulitnya, Anuar Shaari berkata, sikap berdolak-dalik Anwar juga menunjukkan beliau bankrap idea dan gugup untuk berhadapan dengan isu dakwaan penglibatan PKR dalam menaja kehidupan Raja Petra dan penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam di London.

"Saya sendiri dituduh Anwar menerima upah oleh pihak tertentu bagi mengeluarkan kenyataan berkaitan isu terbabit. Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu.

"Sering kali Anwar mengambil langkah mengalih perhatian daripada menjawab isu pokok dengan menyerang kredibiliti mereka yang mendedahkan kepincangan beliau. Taktik itu sudah basi dan saya cabar beliau supaya memberi penjelasan mengenai perkara itu,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai sikap Anwar yang dilihat cuba berdolak-dalik mengenai dakwaan penglibatan PKR dalam menaja kehidupan Raja Petra yang juga pengendali portal Malaysia Today dan Balasubramaniam di London.

Menurut laporan akhbar hari ini, Anwar ketika ditanya mengenai tuduhan itu bagaimanapun tidak menjawabnya secara langsung sebaliknya mempersoalkan kredibiliti individu-individu yang membuat dakwaan tersebut.

Seperti mencabar pihak berkuasa, Anwar turut memperlekehkan keupayaan pihak polis dengan mengatakan beliau sendiri akan berjumpa dengan Raja Petra sekiranya berkesempatan ke London pada masa depan.

Baru-baru ini, gambar Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, Raja Petra, Balasubramaniam dan dua individu lain disiarkan di laman web Malaysia-instinct.com.

Dipercayai gambar itu dirakamkan di United Kingdom kerana kedua-dua individu berkenaan berada di negara tersebut. Pada 30 Jun lalu, laman web Malaysia Today menyiarkan gambar Raja Petra bersama Zaid.

Bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Senator Ezam Mohd. Noor menjelaskan bahawa sandiwara Anwar telah sampai ke titik penamat dan pemimpin pembangkang itu tidak perlu berdolak-dalik lagi.

"Sudah cukup beliau membuang masa rakyat dan negara dengan berdolak-dalik dalam banyak perkara. Raja Petra dan Balasubramaniam tidak ada nafsu sebesar Anwar untuk rosakkan imej pemimpin negara," katanya.

Bagi Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, sikap berdolak-dalik Anwar jelas menunjukkan sikapnya yang selama ini suka berpura-pura dan tidak menghormati orang lain terutama pihak berkuasa negara ini.

Dalam hal kunjungan beliau ke Amerika Syarikat (AS) katanya, Anwar menyalahkan laporan Utusan Malaysia tetapi pada masa yang sama beliau langsung tidak menafikan telah meminta maaf kepada pemimpin Yahudi kerana kenyataannya yang dilihat anti-Yahudi.

"Begitu juga dalam kes Raja Petra dan Balasubramaniam, bukanlah perkara mustahil jika penempatan kedua-dua individu itu dirancang dan diketahui oleh Anwar lantaran peranan mereka untuk memburuk-burukkan imej negara serta bertindak sebagai pelobi Anwar.

"Oleh kerana kertas siasatan mengenai individu dan parti politik yang menaja Raja Petra telah dibuka, maka Puteri UMNO menggesa supaya siasatan segera dan menyeluruh dilaksanakan supaya pihak-pihak yang kurang ajar dan berlagak bijak itu dapat dihadapkan ke muka pengadilan,'' tambahnya.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui Malaysia Today.

Balasubramaniam pula menghilangkan diri ke luar negara selepas memberi dua perakuan sumpah berbeza berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

/hwa: utusan.com.my

MRSM Felda di Trolak terbesar dan termoden - Najib

UM - 08/07/2010

TANJUNG MALIM 7 Julai - Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) Kampus Tun Abdul Razak, di Trolak dekat sini merupakan MRSM termoden dan terbesar pernah dibina, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, institusi pendidikan pertama di tanah rancangan Felda itu bernilai RM123 juta dan ia jauh lebih mahal berbanding kos pembinaan MRSM lain iaitu sekitar RM80 juta.

"Sebanyak 80 peratus daripada pelajar di MRSMF ini merupakan anak peneroka dan tempat ini akan dijadikan pusat program pembelajaran 'International Baccalaureate' (IB) untuk membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara.

"IB merupakan peperiksaan peringkat global dan ia akan memberi peluang kepada anak-anak peneroka Felda menjadi pelaku global," katanya pada majlis perasmian MRSMF Kampus Tun Abdul Razak dekat sini hari ini.

Pembinaan MRSMF yang merupakan maktab ke-37 Mara adalah atas cetusan minda Perdana Menteri sendiri.

Ekoran saranan Najib itu, termeterai Perjanjian Kerjasama Antara Mara dan Felda pada 30 Mac 2007 dan MRSMF itu merupakan MRSM kelima dibina di Perak.

MRSMF Kampus Tun Abdul Razak dibina di atas tanah seluas 25 hektar dan siap sepenuhnya pada 2009. Pengambilan pertama 200 pelajar perintis dibuat pada 2008 yang ditempatkan sementara di beberapa MRSM lain.

Institusi pendidikan itu dilengkapi pelbagai kemudahan serba moden bertaraf universiti termasuk dewan kuliah, dewan besar, dewan makan, makmal, blok kediaman pelajar, perpustakaan, mini stadium dan surau.

Kewujudan MRSMF Kampus Tun Abdul Razak merupakan satu lagi mercu tanda kebanggaan lebih 1.6 juta warga Felda di seluruh negara.

/hwa: utusan.com.my

Suara Keadilan tetap disaman RM200 juta

UM - 08/07/10


NAJIB Tun Razak menyampaikan replika cek kepada penerima Anugerah Usahawan Tani Felda kepada Amarullah Sudin sambil diperhatikan oleh Shafie Apdal dan Dr. Yusof Noor di MRSM Felda Kampus Tun Razak di Trolak, semalam.


TANJUNG MALIM 7 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memutuskan 'berjumpa' Suara Keadilan di mahkamah berikutan kegagalan akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu meminta maaf kerana menyiarkan artikel bertajuk Felda Bangkrap.

Keputusan meneruskan saman RM200 juta itu turut disokong lebih 10,000 peneroka yang hadir menyambut Hari Peneroka di Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) Trolak dekat sini.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu diambil berikutan notis saman dihantar oleh Felda kepada pihak yang membuat tuduhan yang tidak berasas sebelum ini telah cukup tempoh seminggu.

Pada perhimpunan itu, beliau bertanya sebanyak tiga kali kepada para peneroka yang menghadiri sambutan tersebut "nak kita teruskan (saman), tidak?" dan disahut jawapan "teruskan" daripada hadirin.

"(Kalau begitu) Kita tetap akan teruskan tindakan mahkamah. Dah cukup tempoh seminggu, Hari Peneroka ini kebetulan cukup tempoh seminggu. Suara perhimpunan kita hari ini kata, jumpa di mahkamah nanti," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab dan Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurut Najib, Felda perlu terus dipertahankan sebagai organisasi yang telah banyak berjasa dan tidak boleh tunduk kepada tuduhan pihak tidak bertanggungjawab menyatakannya bankrap.

Najib berkata, seseorang atau sesebuah organisasi tidak boleh menjadi bankrap hanya kerana 'dilabelkan' oleh pihak tertentu.

"Apa makna kalau seorang itu bankrap, atau sesebuah organisasi bankrap? Kalau bankrap seseorang manusia itu barang kali manusia itu tinggal pakai baju singlet, seluar pendek, selipar Jepun, rumah telah dilelong oleh bank. Itu peringkat individu.

"Kalau peringkat gunakan prinsip akaun sebagai sebuah organisasi bererti bahawa hutang kita lebih besar daripada aset kita sehingga kita tidak boleh membayar hutang dan orang yang memberi pinjam itu memohon melalui mahkamah untuk membankrapkan kita.

"Itu definasi bankrap sebuah perniagaan dari prinsip akaun undang -undang negara," tegasnya.

Perdana Menteri turut melahirkan kehairanannya dengan dakwaan akhbar milik pembangkang tersebut memandangkan Felda kini mempunyai aset wang tunai kira-kira RM1.3 bilion.

"Macam mana mereka kata Felda bankrap, kalaulah dari segi wang tunai hari ini Felda ada RM1.3 bilion dan simpanan-simpanan tetap lain. Ini tak termasuk dalam syarikat-syarikat Felda," katanya.

Selain itu, katanya, organisasi tersebut juga telah melabur dengan membeli saham berjumlah RM844 juta tetapi kini harganya melambung naik lima kali ganda dengan nilai RM4 bilion.

Tambah beliau, ladang-ladang komersial milik Felda yang berharga RM2.5 bilion jika dijual mampu mencapai nilai RM10 bilion.

"Kita gunakan wang tunai ini untuk apa? Untuk kita menentukan kepentingan jangka panjang kita agar terbela dan terjamin. Apabila kita buat pelaburan di Kanada dan Amerika Syarikat, kerana apa? Kita nak menembusi pasaran mereka untuk mempengaruhi pasaran antarabangsa.

"Ini supaya minyak sawit kita dan produk-produk hiliran kita akan lebih laku. Kalau lebih laku, harga sawit lebih tinggi, kalau harga sawit tinggi, peneroka dapat pendapatan lebih.

"Kita melabur, kita bukan joli katak. Kita bukan songlap duit, kita melabur, melabur untuk kesejahteraan peneroka," kata beliau.

Pada masa sama, Najib berkata, Felda juga menggunakan RM2.4 bilion untuk tujuan projek tanaman semula bagi memastikan hasilnya lebih tinggi.

"Lagi, kita belanja untuk menolong pembangunan kesejahteraan sosial peneroka umpamanya pinjaman tanpa riba terbaik di dunia, RM40,000 pada setiap peneroka yang buat pinjaman baik pulih rumah.

"Perubahan yang besar telah berlaku melalui Felda sebab kerajaan tak beri sumbangan pada Felda, Felda guna wang sendiri," katanya.

Jelasnya, sebanyak RM603 juta dikeluarkan sebagai pinjaman kepada peneroka oleh Felda yang ingin membaik pulih rumah mereka.

Felda juga, kata beliau, turut melakukan pelaburan yang bijak apabila membina menara baru di sebelah Menara Berkembar Petronas berikutan harga sekaki persegi tanah di kawasan itu kini meningkat daripada RM930 kepada RM1,500.

"Kita buat begitu kerana apa? Kerana ini imej kita, orang akan bertambah yakin dan ini juga satu bentuk pelaburan. Hari ini kalau kita jual bangunan itu senang-senang dapat RM300 juta, 10 tahun lagi, mungkin RM1 bilion, RM2 bilion untung," katanya.

Najib turut membangkitkan persoalan, sekiranya Felda benar-benar bankrap, organisasi tersebut tidak wajib membayar zakat sedangkan usaha tersebut dilakukan setiap tahun di negeri-negeri.

/hwa: www.utusan.com.my

Harakah diberi tujuh hari jawab surat tunjuk sebab

BH - 2010/07/08

Oleh Haika Khazi

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tempoh tujuh hari mulai kelmarin kepada akhbar rasmi PAS, Harakah, menjawab surat tunjuk sebab berhubung pelbagai isu berkaitan syarat penerbitan termasuk kegagalan menghantar lapan salinan bagi setiap keluaran akhbar itu.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam, berkata kegagalan akhbar berkenaan menjelaskan surat tunjuk sebab itu dengan memuaskan boleh menyebabkan permohonan permit penerbitannya yang tamat semalam menemui masalah.

Beliau berkata, surat tunjuk sebab itu diserahkan kepada Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya, yang diarah menghadiri sesi pertemuan dengan pegawai KDN di kementerian itu, Isnin lalu.

Mahmood berkata Harakah diberi tempoh tujuh hari mulai kelmarin, untuk menjawab surat tunjuk sebab termasuk mengenai isu kegagalan mereka menghantar lapan salinan bagi setiap keluaran kepada KDN.

Pihak Harakah perlu menjawab surat tunjuk sebab itu secepat mungkin kerana permit penerbitannya sudah tamat hari ini (semalam).

Kita mungkin tidak menyambung permit penerbitan Harakah sekiranya mereka gagal memberikan jawapan yang memuaskan, katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Akhbar, sebelum ini melaporkan permit Suara Keadilan yang diterbitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum diperbaharui selepas tamat tempoh pada 30 Jun lalu.

Ia kerana KDN masih mengkaji penjelasan surat tunjuk sebab yang dihantar dan rekod lampau akhbar berkenaan yang mencetuskan kontroversi menerusi laporan bertajuk FELDA Bangkrap sebelum ini.

Mahmood juga menafikan KDN menyerbu kilang Angkatan Edaran di Shah Alam, kilang yang mencetak Harakah untuk mencari akhbar tanpa permit Era Keadilan milik PKR, pagi semalam seperti dilaporkan media.

Mahmood berkata, sehingga kini beliau belum menerima sebarang maklumat berhubung operasi KDN menyerbu kilang terbabit.

Saya rasa itu cuma khabar angin yang sengaja ditimbulkan kerana setahu saya KDN tidak melakukan apa-apa serbuan hari ini (semalam), katanya.

Beliau ketika diminta mengulas laporan portal pembangkang semalam yang mendakwa pegawai KDN menyerbu kilang berkenaan untuk mencari akhbar Era Keadilan yang dipercayai diterbitkan tanpa permit di situ, pada jam 10.30 pagi, semalam.
/hwa: www.bharian.com.my

Bukti PKR taja Raja Petra

Bernama -2010/07/08

KUALA LUMPUR: Bukti yang mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) membiayai perbelanjaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin (RPK) di London sudah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Katanya, beliau sudah menyerahkan bahan bukti itu iaitu kandungan e-mel kepada Nazri dan beliau sendiri sedia disoal siasat oleh polis berhubung perkara itu.

Saya sudah bagi dokumen itu kepada Nazri. Bukti itu nanti akan didedahkan pada masa sesuai dan menteri pun saya percaya dia sedia disiasat polis dan saya pun bersedia jika polis nak jumpa (saya) dan bincang," katanya, di sini semalam.

Sabtu lalu, Nazri berkata kerajaan mempunyai bukti Raja Petra, yang melarikan diri ke luar negara, dibiayai oleh PKR di London.

Zahrain berkata, beliau berharap kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan terperangkap dengan permainan politik PKR khususnya yang membabitkan isu Raja Petra dan penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Sehubungan itu, beliau memuji keputusan SPRM baru-baru ini untuk tidak menghantar pegawainya ke London bagi mengambil keterangan Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Tahniah kepada SPRM kerana tidak pergi ke London jumpa Balasubramaniam. Kita pun tahu kalau pergi pun apa yang Balasubramaniam akan dedah sebenarnya adalah kata-kata atau skrip yang sudah dibuat oleh peguam.

Sebenarnya peguam ini ialah peguam PKR yang rapat dengan Anwar," katanya.

Zahrain juga menggesa Anwar dan Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa mempunyai hubungan baik dengan kedua-duanya supaya meminta Balasubramaniam dan Raja Petra pulang ke Malaysia.

Kalau mereka ini adalah pemimpin negara bertanggungjawab, mereka harus meminta kedua-dua mereka pulang ke Malaysia dan berdepan dengan sesiapa saja," kata Zahrain.
/hwa: www.bharian.com.my

7 Julai 2010

Anwar berdolak-dalikisu Raja Petra

UM - 07/07/10

KUALA LUMPUR 6 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat cuba berdolak-dalik mengenai dakwaan penglibatan parti itu dalam menaja kehidupan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin di London.

Ditanya mengenai tuduhan itu, Anwar tidak menjawabnya secara langsung sebaliknya mempersoalkan kredibiliti individu-individu yang membuat dakwaan tersebut seperti bekas Setiausaha Sulitnya, Anuar Shaari.

Seperti mencabar pihak berkuasa, Anwar memperlekehkan keupayaan pihak polis dengan mengatakan beliau sendiri akan berjumpa dengan Raja Petra sekiranya berkesempatan ke London pada masa depan.

"Apa masalahnya, kita (PKR) lindungi (Raja Petra) di mana? Orang yang bercakap ini (Anuar) berapa banyak upah yang dia terima?" soalnya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Anuar meminta kerajaan menyiasat kaitan PKR dalam menaja kehidupan Raja Petra yang kini bersembunyi di London ekoran pertemuan beberapa pemimpin parti itu dengan pengendali portal berkenaan baru-baru ini.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada Sabtu lalu menyatakan kerajaan mempunyai bukti Raja Petra dibiayai oleh PKR.

Anwar menambah, polis sepatutnya menumpukan perhatian kepada usaha membanteras aktiviti jenayah dalam negara.

"Satu Malaysia tahu dia (Raja Petra) di mana, dia muncul di tempat awam di London (selama) berbulan-bulan, polis masih cari," ujarnya.

/hwa: www.utusan.com.my

Anwar, Zaid perlu perjelaskan

UM - 07/07/10

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 6 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai hubungan parti itu dengan pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Bekas wakil rakyat PKR, Wee Choo Keong berkata, jika mereka tidak menjelaskan pendirian berhubung perkara itu, anggapan boleh dibuat yang PKR bersekongkol dengan Raja Petra memburukkan nama negara.

Tegasnya, sebagai pemimpin dan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, Anwar dan Zaid sepatutnya tidak perlu didesak untuk berbuat demikian.

"Mereka berdua perlu jelaskan hubungan PKR dengan Raja Petra dan P. Balasubramaniam iaitu siapa yang menaja kedua-duanya untuk hidup dengan selesa di United Kingdom.

"Jika tiada kaitan langsung, sepatutnya pujuk mereka berdua pulang untuk mengadili apa yang mereka dakwa selama ini. Ia sebenarnya beri tanggapan buruk kepada rakyat bahawa PKR nampak seperti bersekongkol dengan mereka berdua memburukkan nama negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bebas Wangsa Maju itu diminta mengulas gambar Zaid, Raja Petra, Balasubramaniam dan dua individu lain yang disiarkan di laman web Malaysia-instinct.com semalam.

Dipercayai, gambar itu dirakamkan di United Kingdom kerana kedua-dua individu berkenaan berada di negara tersebut.

Pada 30 Jun lalu, laman web Malaysia Today menyiarkan gambar Raja Petra bersama Zaid.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui Malaysia Today.

Balasubramaniam pula menghilangkan diri ke luar negara selepas memberi dua perakuan sumpah berbeza berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Choo Keong mempersoalkan adakah PKR mahu ahlinya dan seluruh rakyat negara ini berterusan menganggap parti itu dalang utama di sebalik kegiatan Raja Petra dan Balasubramaniam.

Selain itu, beliau juga mendesak kerajaan bersikap proaktif untuk membawa pulang kedua-dua individu yang dikehendaki itu untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

"Memang ada halangan tetapi percayalah tetap ada caranya. Persoalan masih lagi timbul siapa dan pihak manakah yang menaja mereka berdua kerana semua sudah sedia maklum bahawa kos hidup di United Kingdom amat tinggi," katanya.

Bekas Ketua Penerangan Keadilan Nasional (kini PKR), Ruslan Kassim pula menyelar Raja Petra dan Balasubramaniam yang disifatkan sebagai dayus dan bacul kerana memburukkan negara, tetapi pada masa sama tidak berani untuk diadili.

"Berani kerana benar, kena bertanggungjawab terhadap setiap dakwaan yang dibuat, jangan baling batu tetapi sembunyikan tangan. Kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

"Berdasarkan kepada gambar yang begitu mesra itu, jelas membuktikan bahawa Raja Petra dan Subramaniam mendokong dan didokong oleh PKR," katanya.

Ruslan yang kini Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) juga menyifatkan Anwar dan Zaid sebagai pemimpin licik yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan peribadi.

"Anwar apabila berada di pentas negara ini bercakap berdegar-degar bahawa beliaulah pejuang kaum, Islam dan penentang segala usaha merosakkan negara ini. Tetapi hakikat adalah sebaliknya, jelaskan pendirian jangan berdiam diri (dalam isu Raja Petra dan Balasubramaniam)," katanya.
/hwa: www.utusan.com.my

Karpal tidak wajar bangkit dasar negara Islam

UM - 07/07/10

KOTA BHARU 6 Julai - Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak wajar membangkitkan soal dasar negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas kerana kepimpinan pakatan pembangkang telah bersetuju untuk tidak membincangkan perbezaan yang wujud di antara parti-parti terbabit secara terbuka.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kesepakatan itu telah diputuskan pada konvensyen pakatan pembangkang yang pertama pada 19 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, tumpuan utama pada masa sekarang adalah untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan sebuah negara yang adil.

"Gagasan bersama (pakatan pembangkang) sememangnya wujud, saya sendiri sebagai Penolong Setiausaha Agung terlibat. Kita komited dengan kesepakatan dan kesefahaman, tanpa menyentuh isu yang berbeza, ia telah diputuskan pada konvensyen pakatan dahulu.

"Untuk berlaku adil, kenapa tidak Karpal dan Pas wujudkan sebuah negara yang adil, adil ikut kaca mata Pas dan DAP. Bagi Pas sebuah negara yang adil adalah negara yang mengamalkan dasar Islam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran dan Pertunjukkan Ular di Muzium Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal yang menyatakan Pas perlu menghormati DAP berhubung pendirian parti itu menolak konsep negara Islam.

Takiyuddin yang juga Exco Kerajaan Kelantan berkata, pada masa sekarang, Pas tidak lagi membangkitkan isu penubuhan negara Islam secara 'keras' kerana memberikan penekanan kepada konsep keadilan.

"Isu negara Islam kita tidak bangkitkan secara keras, yang penting bagi kita adalah keadilan. Ucaptama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar agung lalu bertemakan 'adil untuk semua'.

"Contoh negara adil atau Islam adalah Kelantan, selepas 20 tahun memerintah, kita diterima oleh semua kaum malah bukan Islam juga melihat kepimpinan Pas di sini bukan satu masalah yang besar," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

Yahudi kuasai 42% Tebing Barat

UM - 07/07/10

TEL AVIV 6 Julai - Pendatang haram Yahudi dan pertubuhan mereka menguasai kira-kira 42 peratus daripada kawasan tanah di Tebing Barat, walaupun kawasan penempatan haram Yahudi hanya menguasai satu peratus daripada wilayah Palestin tersebut.

Pertubuhan hak asasi manusia Israel, B'tselem dalam laporannya hari ini berkata, meskipun kira-kira 66 peratus daripada kawasan penempatan haram ditakrifkan sebagai terletak di atas 'tanah kerajaan', namun tanah itu diperuntukkan bagi penempatan haram menerusi manipulasi dalam mentafsirkan semua undang-undang relevan di Tebing Barat.

Laporan berjudul By Hook and by Crook: Israel's Settlement Policy in the West Bank mendapati, dengan mengambil alih tanah tersebut, mereka yang bertanggungjawab terhadap penempatan haram Yahudi telah memperalatkan 'undang-undang antarabangsa dan tempatan, arahan tentera Israel dan undang-undang Israel sendiri secara sinis'.

Israel mendakwa rumah-rumah penempatan Yahudi dibina di Tebing Barat dibina di tanah milik kerajaan.

Bagaimanapun B'tselem berkata, pihaknya membandingkan data daripada Pentadbiran Sivil Israel bagi Tebing Barat dengan gambar-gambar dari udara dan mendapati 21 peratus dari kawasan binaan di penempatan haram itu terletak di tanah persendirian milik Palestin.

Laporan B'tselem itu berdasarkan laporan dan dokumen rasmi kerajaan, termasuk peta tentera dan Pentadbiran Sivil, laporan pengawal kewangan kerajaan dan pangkalan data yang didirikan oleh bekas pegawai di Kementerian Pertahanan Israel, Brigadier Baruch Spiegel.

Kementerian Kehakiman telah diminta mengulas mengenai laporan itu, menurut B'tselem.

Namun, pihak kementerian menjawab bahawa kerajaan tidak akan mengulas mengenai laporan itu 'kerana ia berunsur politik'. - dpa

6 Julai 2010

Ahli baru UMNO perlu lalui proses penelitian

UM - 06/07/10

KUALA LUMPUR 5 Julai - Penelitian terhadap latar belakang ahli UMNO yang baru perlu dilakukan di peringkat cawangan dan bahagian sebelum diterima menganggotai parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, walaupun pada dasarnya seseorang itu mendaftar untuk menjadi ahli UMNO kerana meyakini perjuangannya, penelitian perlu juga dilakukan.

Katanya, mustahil seseorang itu menyertai parti yang tidak disukainya dan pada masa sama sukar juga mengenal pasti sama ada ahli-ahli berkenaan mengundi Barisan Nasional (BN) atau parti lain pada pilihan raya.

"Ada juga yang menyertai UMNO setelah kecewa tidak diberi tempat dalam parti yang disertai sebelumnya atau sudah tidak lagi meyakini kepimpinan parti berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir semalam yang mendakwa terdapat ahli-ahli parti pembangkang di Perak yang menggunakan taktik menyertai UMNO dengan tujuan memecah-belahkan parti itu.

Pihak tersebut dakwa Zambry, berbuat demikian kerana terdesak setelah ceramah politik mereka tidak mendapat sambutan manakala UMNO semakin mendapat sokongan rakyat.

Menurut Shafie, sekiranya terdapat ahli yang tidak setia dengan perjuangan parti, tindakan drastik seperti memecatnya perlu dilakukan oleh Lembaga Disiplin UMNO.

"Kesetiaan ahli kepada parti boleh dilihat sekiranya dia memberi ceramah dan sama-sama menyokong calon parti dalam pilihan raya atau menyumbang untuk kebaikan parti," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee mengingatkan supaya kepimpinan UMNO seluruh negara berhati-hati ketika memilih ahli baru.

"Kita mahukan ahli UMNO yang berkualiti sehingga boleh mempertahankan perjuangan parti dan bukan menjadi gunting dalam selimut.

"Sekiranya tindak tanduk seseorang ahli itu mirip perjuangan pembangkang maka adalah wajar tindakan memecatnya diambil dengan segera," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

Kenyataan Karpal penghinaan untuk Pas

UM - 06/07/10

KUALA LUMPUR 5 Julai - Kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh menolak konsep negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas boleh disifatkan sebagai perbuatan menyimbah tuba dalam politik Pas.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kenyataan Karpal itu boleh dianggap satu penghinaan yang bukan sahaja dirasai oleh kepimpinan Pas terutamanya Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi juga orang Melayu dan umat Islam secara keseluruhannya.

''Kita bersimpati dengan apa yang dilakukan oleh DAP ke atas Pas kerana jelaslah ia memaparkan sikap DAP yang mula menunjukkan wajah sebenar apabila memperolehi sedikit kuasa.

''Selama ini Pas sanggup menggadaikan perjuangan negara Islam dan menukarkannya kepada negara berkebajikan kerana ingin berbaik dengan DAP tetapi DAP hanya 'bermain wayang' sehingga melakukan penghinaan kepada Pas seperti mana dilakukan oleh Karpal

''Mereka lupa atau sengaja melupakan bahawa Pas juga banyak menyumbang kepada kejayaan politik mereka termasuk menjadi 'pengikut' kepada pemerintahan DAP di Perak sewaktu pemerintahan sementara di negeri itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan terbaru Karpal yang menyatakan Pas perlu menghormati DAP berhubung pendirian parti itu menolak konsep negara Islam.

Reezal Merican seterusnya berkata, apa yang berlaku ini, hanya membayangkan sikap perkauman dan mega prasangka DAP kepada mana-mana parti politik yang mewakili kaum lain.

''Ini juga membayangkan cakap-cakap 'kepimpinan Khalifah Umar' di dalam DAP sebagai omong kosong dan mainan politik yang memualkan.

''Apa pun, Pas tidak layak dilayan sedemikian hina oleh DAP. Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam; menidakkan niat 'negara Islam' Pas adalah dengan sendiri menidakkan - peranan parti tersebut selama ini,'' katanya.

Sehubungan itu kata Reezal Merican, Pemuda UMNO mengajak kepimpinan Pas terutamanya Dewan Pemudanya untuk melihat kerangka politik secara lebih produktif demi masa depan rakyat khususnya umat Islam yang menjadi popularasi terbanyak di negara ini.

''Sebab itu kita menyambut baik saranan Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang mahu mengkaji semula kerjasama dengan DAP jika parti berkenaan tidak menghormati dasar Pas.

''Walaupun Pemuda UMNO dan Pas berada dalam spektrum ideologi berbeza namun kita dan Pas mempunyai 'kemuncak persamaan' yang lebih wajar dihargai dan dikongsi,'' katanya.
/hwa: www.utusan.com.my

5 Julai 2010

Bukti pemimpin PKR, Raja Petra bersubahat

UM - 05/07/10


Muhyiddin Yassin menunjukkan cakera padat (CD) lagu Warisan Batu Pahat yang dilancarkannya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat, semalam. Turut hadir Dr. Mohd. Puad Zarkashi (kanan) dan Ja'affar Hashim (kiri). - BERNAMA


BATU PAHAT 4 Julai - Hubungan baik Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan pengendali portal antikerajaan, Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin membuktikan parti tersebut bersubahat dengan lelaki yang sedang diburu pihak berkuasa itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebab itu Zaid setakat ini tidak bersedia untuk tampil menafikan hubungan mereka.

"Kalau Zaid nak nafi dia patutnya tampil ke depan mengatakan saya tiada kena mengena, kalau dia tak nafikan, maknanya dia memang ada hubungan dengan Raja Petra dan kita semua tahu apa tujuan dan maksud perkara itu," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kerajaan mempunyai bukti Raja Petra yang kini tinggal di London telah dibiayai oleh PKR.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga meminta Zaid memberi penjelasan kepada rakyat tentang hubungannya dengan Raja Petra.

Muhyiddin berkata, gambar antara Zaid dengan Raja Petra baru-baru ini juga menunjukkan dengan jelas hubungan PKR dan Raja Petra yang sehingga kini melarikan diri daripada pihak berkuasa.

/hwa: www.utusan.com.my

Hasrat Anwar tukar Penasihat Undang-Undang negeri dibimbangi

UM - 05/07/2010

SABAK BERNAM 4 Julai - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menukar Penasihat Undang-Undang negeri dibimbangi hanya bertujuan untuk memberikan peluang pekerjaan kepada kroni-kroninya.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, lebih membimbangkan jika Anwar berhasrat memberikan jawatan itu kepada peguam yang mewakilinya demi untuk membalas jasa mereka.

Katanya, walaupun Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sedar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri memperuntukkan jawatan Penasihat Undang-Undang mestilah diisi oleh pegawai kerajaan, mereka seolah-olah tidak mempedulikan perkara itu.

Dakwanya, sekarang ini pun ada peguam yang mewakili PKR yang telah dilantik menjadi peguam panel kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

''Kita tahu banyak kalangan peguam yang berada di pihak PKR dan taktik menukar Penasihat Undang-Undang Negeri adalah untuk memberi ganjaran kepada kroni mereka,'' katanya di sini hari ini.

/hwa: www.utusan.com.my

Kenyataan Nasruddin bukan pendirian Pas

UM - 05/07/10

KUALA LUMPUR 4 Julai – Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan bahawa parti itu sedia mengkaji hubungan dengan DAP bukanlah keputusan rasmi parti berkenaan.

Menurutnya, kenyataan tersebut kemungkinan hanya mewakili Dewan Pemuda Pas Pusat atau sekadar pandangan peribadi Nasruddin semata-mata.

“Apa sahaja kenyataan oleh ahli parti dalam pakatan hanya menjadi pandangan peribadi melainkan ia sebuah keputusan yang dikeluarkan peringkat tertinggi parti itu sendiri.

“Setiap pendirian rasmi oleh Pas, DAP atau PKR adalah berlandaskan kesepakatan yang telah dicapai di konvensyen yang telah diadakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

/hwa: www.utusan.com.my

Perubahan UMNO mesti pantas

UM - 05/07/10

BATU PAHAT 4 Julai - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu perubahan dalam parti itu dilakukan dengan lebih pantas dan tidak boleh perlahan seperti manusia yang berjalan 'lenggang lenggok yang longlai'.

Beliau berkata, perubahan tersebut penting agar seiring dengan transformasi kerajaan dan sebagai persediaan UMNO menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, perubahan landskap politik kini menuntut perubahan dijalankan dengan pantas supaya UMNO dilihat masih relevan seiring perkembangan zaman.

''Walaupun transformasi yang kerajaan lakukan bergerak pantas, ia tidak seiring perubahan politik UMNO yang perlahan seperti lenggang lenggok yang longlai.

''Perubahan UMNO mesti cepat, soal yang penting adalah masa tidak menyebelahi kita, masa sudah agak terhad dan terbatas.

''Risiko hari ini adalah kita tak boleh rasa selesa, biasa dan keadaan sebegini tak boleh dibiarkan. Ini ancaman bagi kedudukan kita,'' katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; timbalannya, Ayub Jamil dan naib ketua bahagian itu, Ja'affar Hashim.

Muhyiddin berkata, perubahan yang terlalu perlahan dikhuatiri menimbulkan persepsi seolah-olah UMNO belum bangkit daripada 'tsunami' politik pada pilihan raya umum lalu sehingga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat lebih lantang menyuarakan perjuangan membela nasib orang Melayu.

Beliau menggesa usaha yang lebih agresif dijalankan dalam menambah bilangan ahli, jumlah pendaftar pemilih dan mencari jalan bagi mengatasi tanggapan silap terhadap UMNO.

Tambahnya, masalah dalaman parti juga tidak boleh dibiarkan berlarutan hanya kerana tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan yang telah dibuat, sebaliknya hubungan dalam parti perlu diperkukuhkan.

"Johor menjadi tumpuan parti lawan. Pembangkang sudah namakan siapa yang akan bertanding dan di kawasan mana. Mereka juga cuba membangkitkan kebencian terhadap kerajaan," katanya.

Sementara itu, ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong, beliau berkata, perjuangan membela nasib orang Melayu dan mendapatkan hak untuk kaum itu seperti termaktub dalam Perlembagaan, tidak boleh dianggap sebagai satu isu perkauman.

"DAP tuduh yang saya ultra Melayu. Mereka tanya saya Melayu dulu atau Malaysia dulu. Saya jawab Melayu dulu.

"Jika saya tanya Lim Kit Siang, Cina dulu atau Malaysia dulu. Semua orang tahu DAP adalah parti perkauman," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

Ahli UMNO jangan rasa bersalah pertahankan hak Melayu

UM - 05/07/10

SEPANG 4 Julai - Orang Melayu khususnya ahli UMNO diingatkan supaya lebih berani membuat tuntutan terhadap hak-hak mereka secara berterus terang tanpa berlindung di sebalik kata-kata yang tersirat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, masyarakat Melayu tidak seharusnya terus bersikap terlalu defensif sehinggakan kadang-kala rasa bersalah untuk membangkitkan sesuatu perkara yang jelas adalah hak mereka.

''Apa salahnya buat tuntutan secara tersurat dan mengapa mahu rasa defensif kerana kita kena ingat UMNO adalah adalah milik orang Melayu dan diakui merupakan tunjang kepada Barisan Nasional (BN).

''Hakikatnya dalam negara demokrasi, kita tahu kita yang paling ramai tetapi malangnya kita berpecah maka kuasa majoriti mudah terlepas dan golongan lain mengambil kesempatan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sepang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Suhaimi Mohd. Ghazali yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sepang.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, apabila kuasa politik orang Melayu terhakis, maka golongan lain mula membuat tuntutan masing-masing.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak orang Melayu bangkit dan ia tumbuh bagaikan cendawan.

Katanya, para pemimpin NGO beranggapan UMNO sudah tidak lagi mampu ke depan untuk berhadapan dengan isu tersebut.

Malah jelas Mukhiz, terdapat beberapa pemimpin Pas sendiri bertanya kepada beliau mengapa UMNO kini kelihatan 'tidak bertaring' seperti dahulu.

''Oleh itu, kita kena dengar rintihan dan memahami di mana kekuatan kita, UMNO diperlukan bagi menjaga kepentingan orang Melayu dan ini kita tidak boleh kompromi.

''Jangan tertipu dengan dakyah-dakyah bahawa UMNO adalah bersifat perkauman kerana kalau itu yang difikirkan maka kita akan menjadi serba salah," katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata, tugas-tugas bagi memperkukuhkan dasar 1Malaysia serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) boleh diserahkan kepada BN manakala UMNO perlu meneruskan kerja-kerja untuk memartabatkan orang Melayu.

''Sekiranya hak golongan majoriti sempurna diperjuangkan, insya-Allah sokongan tidak hanya dibuat terhadap orang Melayu malah untuk semua pihak, jika tidak dilakukan secara langsung ia akan dibuat melalui parti-parti komponen," katanya.

Sementara itu beliau berkata, kepimpinan parti sedar tentang kepentingan konsep parti menguasai kerajaan seperti yang sering dibangkitkan oleh para pemimpin UMNO di peringkat akar umbi.

''Meskipun ada pihak tertentu yang berasa runsing dengan dasar-dasar kerajaan sejak kebelakangan ini, kita tetap yakin dengan janji yang telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

Empat perkara nilai sikap rakyat terhadap UMNO

UM - 05/07/10

PEKAN 4 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat perkara yang boleh mempengaruhi sikap rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, keempat-empat perkara tersebut perlu dinilai oleh pemimpin dan ahli UMNO untuk menentukan tahap penerimaan rakyat kepada parti itu.

Menurutnya, perkara pertama adalah kepuasan rakyat terhadap kepimpinan parti di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan nasional mengenai sesuatu program yang dijalankan.

''Perkara kedua ialah bagaimana kepimpinan negeri menguruskan soal permohonan tanah, sama ada tanah yang mahu diteroka atau geran hak milik tanah sementara (TOL).

''Bagi parti pula, kepimpinan daripada peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian akan dinilai oleh masyarakat bagaimana mereka mentadbir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Perdana Menteri memberitahu, perkara terakhir adalah peranan wakil rakyat yang dipilih sama ada mereka disenangi pengundi atau sebaliknya.

Menurut Najib, jika pemimpin dan ahli parti gagal dalam keempat-empat perkara tersebut dan tidak mencapai kepuasan rakyat, UMNO dan BN berhadapan masalah besar apabila tiba pilihan raya.

''Justeru saya menyeru semua pemimpin parti tidak kira di peringkat akar umbi mahupun bahagian melaksanakan tanggungjawab mereka demi kepentingan rakyat," tegasnya.

Pada penggulungan itu juga, beliau menggesa semua cawangan dan bahagian mempermudahkan urusan pendaftaran ahli baru yang ingin menyertai UMNO.

Tegasnya, soal pendaftaran ahli tidak dibuat secara bermusim sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti yang boleh menarik minat orang ramai menyertai UMNO.

Terdahulu, mesyuarat itu meluluskan usul menyokong Perdana Menteri yang membuat keputusan tidak meluluskan lesen perjudian sempena Piala Dunia 2010.

Usul yang dikemukakan Pengerusi Biro Agama UMNO Bahagian Pekan, Mohd. Arippin Daud itu tetap mempertahankan keputusan Kabinet tersebut walaupun terdapat pihak tertentu yang mendesak supaya meluluskan lesen tersebut.

/hwa: www.utusan.com.my

4 Julai 2010

Nik Aziz akui wujud perpecahan dalam PAS

BM - 04/07/10

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad dan S Anand Kumar
bminggu@bharian.com.my
2010/07/04

Saran tiada pertandingan jawatan dalam muktamar tahun depan

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam mengakui wujudnya perpecahan dalam parti itu apabila meminta agar tidak diadakan sebarang pertandingan merebut jawatan tertinggi termasuk tiga sayap parti itu pada pemilihan Muktamar PAS tahun depan.

Dalam kenyataan yang disuarakan tidak sampai sebulan selepas Muktamar PAS ke-56 bulan lalu, Nik Aziz memberi alasan nasihatnya itu bagi mengelak perpecahan di kalangan ahli dan pengikut PAS.

Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya mengesyorkan agar pemilihan diadakan secara perbincangan ataupun melalui syura dan bukannya dengan meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi kepimpinan parti itu dalam Muktamar ke-57 nanti.

“Kehendak saya, seboleh-bolehnya tidak usah bertanding...cuma kita berpakat secara syura. Namun kalau hendak dilakukan bertanding juga, jangan keluar daripada garisan (berlaku perbalahan), tak molek.

“Luahan hati seorang tua (sudah lama dalam PAS) seperti saya, tidak mahu melihat berlaku perpecahan dalam parti. Tapi kalau hendak buat juga...boleh kerana perkara itu halal dalam parti,” katanya selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas, Sekolah Menengah Ugama (A) Sullamiah, Bunut Payong, dekat sini, semalam.

Beliau diminta mengulas cadangannya ketika berucap dalam majlis berkenaan yang meminta supaya tidak diadakan pertandingan dalam parti.

Kemelut dalaman PAS timbul pada 2009, apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin lain menyokong penubuhan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan seteru parti itu, UMNO, atas matlamat untuk membela nasib orang Islam di negara ini.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib, berkata setiap pemimpin parti yang dipilih akar umbi untuk memegang sebarang jawatan sentiasa bersikap jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa mengejar cita-cita tinggi.

Harun berkata, beliau risau akan mengundang persepsi negatif di kalangan segelintir pihak sekiranya pemilihan kepemimpinan tertinggi PAS diadakan secara perbincangan ataupun melalui syura.

“Setakat ini saya tidak melihat berlakunya perpecahan dalam PAS..., jika hendak buat pemilihan menerusi perbincangan ataupun melalui syura..., nanti takut pula ada pihak yang membuat pelbagai andaian,” katanya.

“Setiap pemimpin yang dipilih pada Muktamar PAS sentiasa bertanggungjawab menjalankan tugas masing-masing malah mereka (pemimpin) mahu memberikan khidmat terbaik kepada ahli parti dan juga masyarakat.

“Bagaimanapun, terpulang kepada Majlis Syura PAS untuk membuat keputusan mengenai pemilihan kepemimpinan parti pada Muktamar ke-57 nanti,” katanya.
/hwa: www.bharian.com.my

Giatkan daftar pengundi Melayu

MM - 04/07/10

KOTA TINGGI 3 Julai - Ahli-ahli UMNO di peringkat bahagian digesa mempergiatkan lagi usaha untuk mendaftarkan para pengundi baru terutamanya di kalangan masyarakat Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sehingga kini, masih terdapat seramai 1.9 juta orang Melayu daripada 4.3 juta rakyat yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sebilangan daripada mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi itu terdiri daripada ahli UMNO.

"Usaha untuk mendaftarkan golongan ini sebagai pengundi perlu dipertingkatkan di setiap bahagian termasuk mengadakan kerjasama dengan pertubuhan kerajaan dan menggunakan kaedah baru seperti pendaftaran secara online," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara, di Felda Bukit Besar, dekat sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, antara faktor utama menyebabkan golongan berkenaan tidak mendaftar sebagai pengundi kerana beranggapan ia bukan suatu keperluan yang mendesak dan tidak begitu penting.

Beliau berkata, selain itu ada juga di antara mereka yang mengalami kesukaran untuk mendaftar ekoran tempat tinggal yang jauh, selain ingin melakukannya pada saat-saat akhir.

"Dalam hal ini kita perlu menggerakkan usaha di setiap bahagian di seluruh negara untuk mendaftarkan golongan ini sebagai pengundi. Kita perlu mendampingi mereka.

"Kita juga akan bertemu parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain dan mahu mereka turut menggiatkan usaha kerana ada di antara mereka tidak begitu agresif seperti parti pembangkang," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

Ada bukti PKR biayai Raja Petra

MM - 04/07/10

PADANG RENGAS 3 Julai – Kerajaan mempunyai bukti mengatakan Raja Petra Kamaruddin dibiayai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata, bukti-bukti menunjukkan PKR membiayai pengendali laman web Malaysia Today tersebut kini sedang disiasat selanjutnya.

‘‘Memang betul, saya ada bukti, duit dihantar (kepada Raja Petra). Saya ada bukti tunjuk hantar RM500,000, dia (Raja Petra) terima RM470,000. RM30,000 lagi habis ke mana saya tak tahu,” katanya selepas merasmikan program Kempen Kesihatan Gaya Hidup Sihat sempena ulang tahun ke-10 Kelab Senaman Klinik Kesihatan di sini hari ini.

Ditanya apakah kerajaan akan bertindak terhadap PKR, Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata: ‘‘Kita kena tengok dulu (siasat) apa kesalahan dilakukan tetapi kita memang ada bukti menunjukkan dia hantar duit kepada Raja Petra.”

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bersedia memberi jaminan terhadap keselamatan Raja Petra jika pengendali portal itu benar-benar takut untuk pulang ke tanah air bagi memberi keterangan.

/hwa: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Zaid perlu jelas hubungan dengan Raja Petra

MM - 04/07/10

HULU TERENGGANU 3 Julai - Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim perlu memberi penjelasan kepada rakyat apa hubungannya dengan pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jika Zaid seorang yang bertanggungjawab, beliau akan memberi penjelasan terhadap persoalan itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kementeriannya tidak akan menjalankan siasatan ke atas Zaid berhubung perkara itu tetapi menambah, pemimpin PKR itu mungkin akan dipanggil memberi penjelasan sekiranya bertanggungjawab melindungi Raja Petra.

"Dia (Zaid) tak boleh disiasat, kalau dia bertanggungjawab dia kena beri penjelasan. Sekarang jadi tanda tanya, saya tak ada bukti dan tak ada laporan bagaimana Raja Petra keluar dari negara kita.

"Dalam laporan buku Imigresen pun tak menunjukkan dia dah keluar dan keduanya, pasportnya dah diserahkan. Jadi, apa pasport yang digunakan kita tak tahu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Kuala Berang di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kemungkinan Zaid akan disiasat berikutan pertemuannya dengan Raja Petra di United Kingdom seperti yang disiarkan akhbar semalam sehingga boleh menimbulkan persepsi PKR mungkin terlibat menyembunyikan pengendali blog terbabit, daripada pihak berkuasa.

Semalam, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir yang membangkitkan perkara itu berkata, gambar berkenaan yang disiarkan laman web Malaysia Today tiga hari lalu boleh dijadikan petunjuk penting bahawa PKR mungkin terlibat melindungi Raja Petra daripada dibawa ke muka pengadilan.

Hishammuddin seterusnya menjelaskan, kerajaan bersedia untuk membawa balik Raja Petra namun perlu ada kerjasama dan persefahaman dengan kerajaan UK terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau membayangkan, usaha itu mungkin melalui jalan sukar kerana berdasarkan keadaan sekarang, kerajaan UK tidak akan berbuat demikian.

"Sekarang ini jelas mereka tak akan beri kerjasama untuk serahkan Raja Petra kepada kita, baru semalam kita tengok pemimpin-pemimpin Keadilan (PKR) bergambar bersama," ujarnya.

/hwa: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Serah semula jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri

UM - 04/07/10

KEMAMAN 3 Julai - Tiga Naib Presiden UMNO akan mengemukakan usul bagi membolehkan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri di lima buah negeri diserahkan kembali kepada kepimpinan parti di negeri-negeri berkenaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan tersebut diusulkan ekoran keadaan UMNO di lima buah negeri tersebut iaitu Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan kembali pulih dan semakin mantap.

Bagaimanapun, katanya, penyerahan semula jawatan berkenaan memerlukan sedikit masa bagi membolehkan perbincangan dilakukan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Secara tidak rasminya kita telah mengadakan perbincangan dengan Presiden dan Naib Presiden tentang perkara ini namun memandangkan jawatan ini telah diserahkan kepada kita sebelum ini untuk dipertanggungjawabkan, jadi kena tunggu keputusan pimpinan tertinggi UMNO.

"Melihat kepada kepimpinan negeri-negeri yang terlibat saya yakin mereka dapat mengemudi dan menyatukan semula ahli-ahli parti apabila sampai masa jawatan ini diserahkan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman 2010 di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini.

/hwa: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm

1 Julai 2010

Khalid kini ‘turun pangkat’ jadi pegawai tadbir – Ramlah

UM - 01/07/2010

SHAH ALAM 30 Jun – Tugas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini seolah-olah seperti seorang pegawai tadbir selepas kuasa politiknya diserahkan kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Malah boleh dikatakan kedudukan beliau kini mungkin boleh dilihat seperti Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang semua orang tahu hanya memegang jawatan tetapi segala keputusan dibuat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pendapat umum itu dilontarkan Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam yang melihat Abdul Khalid tidak lagi mempunyai kuasa mutlak kerana segala keputusan pentadbirannya pasti akan mendapat campur tangan Azmin dan sudah tentu Anwar.

Beliau berkata, Abdul Khalid kini seolah-olah seperti sudah ‘diturunkan pangkat’ menjadi orang nombor tiga di belakang Azmin dan Anwar walaupun masih menjadi Menteri Besar.

‘‘Memang selepas ini pasti berlaku transformasi dalam pemerintahan di Selangor kerana Azmin berpengalaman dalam politik manakala Abdul Khalid orang korporat.

‘‘Pelantikan Azmin juga mungkin dilakukan oleh Anwar untuk mengukuhkan kuasa PKR di Selangor yang memang bermasalah.

‘‘Tetapi dalam satu kapal pasti tidak boleh ada lebih daripada satu nakhoda kerana perbezaan pendapat dan keputusan boleh berlaku,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengakui, Anwar sebagai ‘pemerintah utama’ di Selangor walaupun Abdul Khalid menjadi Menteri Besar manakala Azmin menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri.

Kata Khalid, ia memandangkan kedua-dua mereka perlu patuh dan mendengar segala nasihat dan pandangan Anwar memandangkan beliau adalah Penasihat PKR dan Penasihat Ekonomi Selangor.

/hwa: www.utusan.com.my

Nik Aziz cabar Karpal buktikan dasar Islam Pas salah

BERNAMA - 01/07/2010

KOTA BHARU 30 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mencabar Karpal Singh supaya membuktikan konsep negara Islam acuan Pas yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun adalah salah.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, menganggap kenyataan Pengerusi DAP, Kar pal Singh yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam Pas jika pakatan pembangkang dapat menguasai pentadbiran negara sebagai kenyataan peribadi.

Nik Aziz berkata, Pas akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam pakatan pembangkang termasuk DAP.

Katanya, jika terdapat suara-suara sumbang yang lahir daripada pemimpin parti pakatan pembangkang yang mencurigai hasrat Pas itu, ia merupakan pendapat peribadi.

"Selagi mereka (yang tidak bersetuju dengan dasar Pas itu) tidak dapat membuktikan dasar Islam yang kami laksanakan ini salah, kami akan terus perjuangkan dasar ke arah pembentukan negara Islam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal Singh dalam temu bual bersama sebuah portal berita yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan Pas sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

Ia merupakan pendapat peribadi Karpal sendiri bukannya daripada DAP dan setakat ini tidak ada pihak yang dapat membuktikan konsep perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas itu salah, kata Nik Aziz.

Bagaimanapun setakat ini Nik Aziz berkata, beliau tidak nampak DAP secara terus-terang menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh Pas, cuma yang ada suara-suara sumbang beberapa kerat pemimpinnya dari luar.

Mengenai pengeluaran lesen minuman keras di negeri ini, beliau mengakui kerajaan negeri ada mengeluarkan lesen premis perniagaan untuk menjual minuman keras di kalangan bukan Islam di negeri ini.

"Kerajaan hanya mengurus atur lesen premis penjualan minuman arak kepada bukan Islam, tetapi tetap tidak membenarkan orang Islam minum minuman keras itu.

"Kita juga tetap tidak mengeluarkan lesen untuk premis perjudian kerana judi diharamkan oleh semua agama," katanya. - Bernama

/hwa: www.utusan.com.my

1,567 anak peneroka Felda miliki PhD

UM - 01/07/2010

KUALA LUMPUR 30 Jun - Seramai 1,567 anak peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mendapat pendidikan di peringkat doktor falsafah (PhD).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, bilangan itu sebahagian daripada 76,415 anak peneroka Felda yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

"Daripada jumlah ini, 27,160 orang memiliki ijazah pertama dan sarjana manakala bakinya 47,688 mendapat pendidikan di peringkat diploma," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr. Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau bertanyakan bilangan anak peneroka Felda berumur 20 tahun dan ke atas serta pencapaian akademik tertinggi mereka.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, terdapat di kalangan anak peneroka yang ditawarkan kursus peringkat diploma di Universiti Limkokwing dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara.

"Ada juga yang mengikuti kursus Jurutera Pelatih Penyelenggaraan Pesawat dan Juruteknik Pelatih Rendah yang diselia Malaysia Airlines System Bhd. (MAS)," katanya.

Tambah beliau, anak peneroka yang mendapat keputusan akademik kurang cemerlang turut ditawarkan tempat di Kolej Felda dan kolej luar seperti Pusat GiatMara dan Institut Kemahiran Negara bagi mendapat sijil kemahiran.

"Sehingga sekarang, 29,243 anak peneroka Felda telah dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran," katanya.

/hwa: www.utusan.com.my

Anwar 'pujuk' tokoh Yahudi

UM - 01/07/2010

KUALA LUMPUR 30 Jun - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh Yahudi disahkan mengunjungi Amerika Syarikat (AS) pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut selepas dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu APCO Worldwide, baru-baru ini.

Kunjungan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke Washington itu didedahkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post, kelmarin.

Diehl dalam tulisannya bertajuk Flirting with zealotry in Malaysia (Bermain dengan kefanatikan di Malaysia) menyatakan bahawa Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk Pengerusi Jawatankuasa Luar Negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.

Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

"Kenapa saya perlu menggunakannya jika hal itu menyebabkan begitu banyak salah faham? Saya harus lebih berhati-hati." kata Anwar seperti dipetik oleh Diehl yang merupakan timbalan pengarang untuk halaman pengarang The Washington Post.

Kenyataan Anwar itu turut didedahkan oleh blog AnwarIbrahimDot Com selain berpuluh-puluh blog lain di negara ini.

Pada 4 Mei lalu, laman web berhaluan kanan AS, melalui tulisannya dalam 'The New Ledger', sebuah penerbitan Internet Amerika yang menyiarkan pendapat golongan penyokong sistem kapitalis dan konservatif, Rachel Motte berkata, Anwar telah membuang kawan lamanya di Washington dan menjadikan kontrak APCO Worldwide sebagai asas untuk mereka cipta teori konspirasi mengenai penguasaan Yahudi, rancangan Zionis dan kegiatan subversif di Malaysia.

Dalam tulisan bertajuk 'The Reversal of Anwar Ibrahim', Motte mendakwa Anwar, yang dianggapnya sebagai ahli politik berbisa dan berkarisma menjadi punca munculnya semangat anti-Yahudi di Malaysia.

Katanya, ini bukan kali pertama "beliau mengambil jalan ini" dan Anwar "mempunyai sejarah menggigit Yahudi (sikap prejudis atau bermusuh dengan Yahudi) apabila keadaan memerlukannya berbuat demikian.

Dalam lawatan ke AS itu juga, Anwar dilaporkan menemui beberapa tokoh politik Parti Demokrat yang diharap dapat membetulkan salah faham tentang isu 'antisemitik' yang telah dilemparkan kepadanya berkaitan kritikan beliau terhadap syarikat perunding perhubungan awam APCO di Dewan Rakyat baru- baru ini.

Antara tokoh Parti Demokrat yang ditemui beliau ialah bekas Setiausaha Pertahanan, Sir William Cohen, Ahli Kongres AS, Keith Maurice Ellison dan Timbalan Setiausaha Untuk Negara Asia Timur dan Pasifik, Kurt Campbell.

Pada Mac lalu, Anwar dilaporkan pernah meminta pertolongan Campbell supaya kerajaan AS campur tangan dalam kes liwatnya.

Namun dalam pertemuan terbaru dengan Campbell, Anwar turut menyatakan kekecewaan dengan kerajaan Presiden Barack Obama yang tidak bersungguh-sungguh membantunya.

"Kami kecewa. Kami menjangkakan kerajaan Presiden Obama melakukan lebih baik daripada Presiden George W. Bush dalam memberi sokongan kepada kumpulan yang mempecayai kebebasan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang (sekular)", kata Anwar kepada agensi berita antarabangsa AFP.

Selain bertemu dengan tokoh Yahudi di Washington, Anwar turut diberi peluang berucap di Woodrow Wilson International Center anjuran Woodrow Wilson International Center for Scholars yang dipengerusikan oleh Lee Herbert Hamilton, salah seorang kenalan Anwar dalam International Crisis Group (ICG).

Woodrow Wilson International Center merupakan pusat antarabangsa yang diambil dari nama bekas Presiden Demokrat AS ke-28, Thomas Woodrow Wilson.

Wilson dianggap simbol 'keagungan Yahudi' kerana semasa pemerintahannya, beliau mengesahkan Deklarasi Balfour yang membenarkan Israel menubuhkan 'negara' di Palestin serta mencerca kumpulan yang dilabel anti-Yahudi.

Dalam ucapan bertajuk 'Islam and Democracy in Southeast Asia' (Islam dan Demokrasi di Asia Tenggara), Anwar dengan tegas menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan mengkritik kerajaan Malaysia yang tidak bertoleransi terhadap penggunaan kalimah Allah.

''Tindakan melarang orang bukan Islam memanggil tuhan mereka dengan apa nama sekali pun adalah gila dan mengarut. Keputusan ini hanya dibuat oleh sebuah kerajaan yang tidak berpandangan jauh, bersifat perkauman, tiada bertolak ansur dan tidak demokratik," katanya.

Anwar turut mengulangi kecamannya itu ketika diwawancara oleh agensi berita AFP.

Malahan Anwar juga secara lantang mengkritik dasar Islam sederhana yang diamalkan oleh Malaysia dengan berkata;

''Apa yang anda maksudkan dengan negara Islam sederhana? Adakah ia bermaksud anda boleh ditahan tanpa dibicarakan, menafikan kebebasan asas, anda boleh memberi layanan buruk dan mendiskriminasi penganut agama minoriti?''

/hwa: www.utusan.com.my