4 November 2010

DAP P. Pinang tidak hiraukan pandangan rakyat – Cheng Guan

UM - 4/11/10

Mukadimah
BANTAHAN oleh lebih 200 anak jati negeri ini di depan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana ia adalah hasil dua tahun kesengsaraan rakyat di bawah pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang.

Corak pemerintahan berterusan ala diktator di bawah pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang ‘cakap tak serupa bikin’ itu bukan sahaja mendapat tentangan orang Melayu di Pulau Pinang, malah ia turut disertai kaum lain di negeri ini.

Senario tersebut berlaku kerana kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat sering tidak menghiraukan pandangan rakyat, yang jelas ia telah jauh menyimpang daripada komitmen yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan (gambar) memberitahu wartawan Utusan Malaysia, NURUL HUDA HASSAN, fenomena yang bukan memeranjatkan itu akan sentiasa berlaku kerana Pulau Pinang kini diperintah oleh King Of Spin.

UTUSAN: Apa yang menyebabkan rakyat Pulau Pinang bangkit membuat bantahan di depan DUN kelmarin?

CHENG GUAN: Banyak perkara yang menyumbang kepada insiden tersebut dan yang pasti rakyat kini sudah terseksa dengan pemerintahan Guan Eng yang ‘cakap tak serupa bikin’ dan hanya tahu memutar belit semua perkara sepanjang masa.

Kalau kita lihat yang datang kelmarin, semuanya mempunyai masalah berlainan yang berlaku di tempat masing-masing dan ia juga bukan sesuatu yang dibuat-buat, mereka kini terasa sangat sengsara, tidak seperti dulu.

Malah, mereka berbuat demikian selepas segala macam cara digunakan tetapi kerajaan DAP Pulau Pinang ini tidak berbuat apa-apa sehingga membangkitkan kemarahan mereka yang sudah dipendam sejak sekian lama.

Adakah ini berkaitan dengan janji yang diberikan dalam manifesto PRU Ke-12 mereka?

CHENG GUAN: Sudah tentu. Inilah yang terjadi apabila kita pandai sangat buat janji, cakap sana sini ikut sedap mulut sahaja dan apabila memerintah semua benda pun tak boleh nak buat.

Dulu janji, lepas menang sahaja terus mahu hapuskan tol Sungai Nyior tetapi sekarang tak buat apa-apa pun dan mahu salahkan Kerajaan Pusat pula, mereka ini memang tidak bertanggungjawab.

Bukan main lantang memberitahu, yang mereka buat apa pun akan fikir tentang rakyat, tapi apa berlaku sekarang semua yang mereka buat membebankan rakyat, tarif air barulah, malah tempat letak kereta hujung minggu pun masih kena bayar.

Kenapa ia boleh jadi begini?

CHENG GUAN: Apa lagi, sebab Pulau Pinang sekarang ini diperintah oleh King Of Spin, First Class Showman, siapa pun tak boleh lawan, apa dia mahu buat semua ikut suka dia sahaja... ‘aku suka’ dia kata.

Kawan-kawan dia Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas pun tak boleh buat apa, itu semua jadi kuli dia sahaja sebab tak berani mahu bantah atau apa-apa pun dengan dia, diktator memang macam itu.

Dia pandai main wayang sama semua orang, sini lain dengan orang ini lain pula dia buat dan pada masa sama, apa pun tak berani nak mengaku salah, semua benda kalau boleh dia mahu pusing.

Bila perkara seumpama ini berterusan berlaku, apa kesannya kepada Pulau Pinang?

CHENG GUAN: Tidak ada insiden ini pun ia sudah memberi kesan kepada Pulau Pinang sejak King Of Spin memerintah, pelabur pun takut nak masuk sini, dia sebenarnya apa pun tak buat sebab tiada masa.

Macam mana mahu ada masa, semua benda pun dia mahu buat dan disebabkan itu Pulau Pinang sudah macam huru-hara. Pergi luar negara dalam setahun tak tahulah berapa kali, tapi hasil apa pun tidak ada.

Dia pun selalu cakap kebebasan media tetapi dia sebenarnya yang mengawal media, siapa yang tidak tulis baik-baik mesti kena ‘pinggir’ macam New Straits Times dan Utusan Malaysia atau kena minta maaf seperti akhbar China Press.

Apa yang rakyat Pulau Pinang perlu buat, takkan hendak biarkan demonstrasi ini dijadikan satu budaya pula?

CHENG GUAN: Rakyat perlu hantar balik Guan Eng ke Melaka, rakyat perlu segera sedar, dia bukan orang sini jadi tidak tahu apa-apa tentang negeri ini kerana di kemudian hari yang rugi rakyat juga.

Guan Eng masih mempunyai mentaliti pembangkang dan sebab itu ini semua berlaku dan demonstrasi ini pun ikut cara dia jugalah masa dulu-dulu, sana sini bising, itu tak betul ini tak betul, sekarang rakyat ikut sahajalah.

Kalau mahu cerita memang banyak tetapi saya berharap semua yang berlaku akan perlahan-lahan mula membuka mata rakyat negeri ini kerana kita tidak mahu Pulau Pinang dilabel sedemikian rupa, kita mahu hidup aman damai.

/hwa: utusan.com.my/

'Jangan terpedaya hasutan'

UM - 4/11/10


MOHD. Shafie Apdal (dua dari kanan) menyampaikan surat pelantikan kepada wakil jawatankuasa kemajuan projek Felcra Kampung Bambangan di Sandakan, semalam. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Juzilman Basir (kanan).

SANDAKAN 3 Nov. - Ahli Barisan Nasional (BN) khususnya pengundi di kawasan Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab menjelang hari pengundian esok.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, semua ahli BN harus berpegang teguh kepada prinsip kesetiaan dan perjuangan parti.

"Kadangkala banyak tipu helah akan berlaku di sepanjang perjalanan, itulah, inilah akan diceritakan tetapi yang penting kita turun tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian penubuhan jawatankuasa kemajuan projek Felcra Kampung Bambangan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohd. Shafie turut meluangkan masa melawat rumah penduduk di situ.

Menurutnya, semua ahli parti komponen BN harus kuat dan tidak terpengaruh dengan cubaan pihak tertentu untuk memecahbelahkan BN.

Katanya, berdasarkan gambaran awal dan sokongan yang diterima beliau yakin BN akan beroleh kemenangan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi.

"Jadi saya berharap agar ahli-ahli kita khususnya penyokong BN berpegang, berpaut dengan kesetiaan kepada parti kita dan perjuangan kita," katanya.

Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak yang menyatakan Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi sebagai gambaran pilihan raya umum akan datang, Shafie berkata, ia tidak benar.

"Ini merupakan pilihan raya kecil setempat dan ia berbentuk satu pilihan raya yang agak tempatan di mana masyarakat di sini tidak banyak membangkitkan tentang isu nasional.

"Sebahagian besar isu yang ditimbulkan melibatkan isu tempatan seperti masalah rumah, elektrik dan jalan raya, jadi ini bukanlah satu gambaran masa depan nanti," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keadaan cuaca yang tidak menentu, beliau berharap semua jentera BN bersedia dan menyediakan kemudahan pengangkutan yang baik bagi memastikan semua pengundi dapat turun mengundi.

/hwa: utusan.com.my/

200 ahli PKR Wangsa Maju sertai UMNO

UM - 4/11/10

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Sokongan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin merosot apabila kira-kira 200 ahlinya bertindak keluar parti secara beramai-ramai hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh ahli PKR Cabang Wangsa Maju di sini dengan diketuai oleh bekas Ketua Cabang berkenaan, Mohd. Nasir Hassim yang telah 11 tahun berada dalam parti itu.

Menurut Mohd. Nasir, tindakan tersebut diambil bersama ahli yang lain ekoran hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap pucuk pimpinan tertinggi parti terutamanya Penasihat PKR.

"Kami sekarang sudah muak dengan perangai dan tindakan Anwar yang bertindak untuk kepentingan peribadi dan bukannya berjuang mengikut kehendak asal parti.

"Beliau dan pemimpin parti juga mendiamkan diri apabila sesuatu isu berkaitan kepentingan orang Melayu dan negara dipersoalkan rakan dari pakatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan 200 borang keahlian UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Shafie Abdullah.

Mohd. Nasir berkata, beliau dan 200 rakannya mengambil keputusan untuk menyertai UMNO sebagai ahli biasa dan akan membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kelak.

"Kami akan berjuang habis-habisan untuk merampas kembali Wangsa Maju daripada pembangkang dan saya menjangkakan ramai lagi ahli yang akan mengikut jejak kami meninggalkan PKR," katanya

Sementara itu, Shafie berkata, beliau mengalu-alukan keputusan Mohd. Nasir dan rakan-rakannya untuk menyertai UMNO.

Beliau berkata, UMNO menerima kesemua mereka dengan hati terbuka dan berharap lebih ramai lagi akan mengikut jejak langkah mereka keluar PKR.

"Saya berharap dengan penyertaan ahli baru tersebut akan memperkasakan lagi UMNO Bahagian Wangsa Maju untuk merampas kembali kawasan ini," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Politik wang: Zahid Hamidi tempelak Nik Aziz

UM - 4/11/10

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menempelak tindakan Pas yang gemar menuduh Barisan Nasional (BN) mengamalkan politik wang tetapi pada masa yang sama menghalalkan pula pemberian wang tunai kepada Orang Asli di Galas.

Sambil menyelar tindakan tersebut, beliau berkata Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah contoh ulama politik yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai tujuan politik, termasuk melemparkan fitnah terhadap UMNO dan BN bagi menutup aktiviti sendiri.

"Apa yang berlaku sekarang ialah mengata orang dia yang lebih, Pas menuduh UMNO dan BN membeli undi tetapi Nik Abdul Aziz sendiri memberikan wang kepada Orang Asli di Galas ketika kempen pilihan raya sedang rancak berjalan.

"Menepuk air didulang, terpercik ke muka sendiri. Itulah yang berlaku pada Pas kini," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat Laksamana Pertama kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Orang Asli selepas mengislamkan mereka pada Majlis Mesra Rakyat di Pos Sandrop, Lojing, Gua Musang, semalam.

Pada program yang dianjurkan sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas itu juga, sebanyak 75 sijil penyertaan projek perumahan berkelompok turut diserahkan kepada masyarakat Orang Asli di situ.

Ditanya sama ada UMNO akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tersebut beliau berkata, perkara itu terserah kepada Orang Asli itu sendiri.

"Saya fikir biarlah perkara ini dilapor oleh penerima itu sendiri. Kita tidak mahu campur urusan SPRM kerana kami yakin badan itu bukan sahaja memperoleh bukti tetapi juga mempunyai saksi-saksi yang boleh diketengah untuk cegah apa yang dilakukan oleh Pas," katanya.

Mengenai 'fatwa' terbaru Pas yang mengharamkan setiap penerima bantuan kerajaan negeri yang dipimpin pembangkang memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, ia bukti Pas terdesak.

Menurut Ahmad Zahid, penipuan itu tidak akan kekal lama kerana dalam tempoh yang panjang rakyat sedar bahawa 'fatwa' tersebut tidak berasas.

"Dulu banyak terpapar kain rentang yang dipasang oleh Pas menyeru orang ramai ambil apa sahaja yang UMNO bagi tetapi undi perlu diberi kepada Pas, kenapa yang dulu boleh dan sekarang tidak boleh pula," soalnya.

/hwa: utusa.com.my/

Pemberian wang tetap dianggap sogokan

UM - 4/11/10

GUA MUSANG 3 Nov. - Tidak kira apa pun tafsiran yang dibuat oleh Pas, apa yang pasti mengikut Seksyen 10 (A), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi wang kepada Orang Asli boleh dianggap sebagai sogokan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata, mengikut tafsiran undang-undang, pemberian wang kepada pengundi yang boleh mendorong mereka mengundi adalah rasuah atau membeli undi yang diletakkan di bawah tajuk sogokan dalam seksyen berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, SPR telah memberi penerangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan terpulang kepada badan tersebut untuk mengambil langkah seterusnya.

"Jadi apa yang saya sebutkan itu dalam konteks undang-undang. Kalaulah pihak berkenaan mahu mentafsirkan wang zakat atau bantuan apa sahaja itu adalah namanya alasan.

"Tapi undang-undang mengatakan begitu. Dalam pertukaran wang daripada satu tangan ke satu tangan dan kalau orang yang menerima wang ialah pengundi di kawasan itu tetapi kalau yang menerima bukan pengundi tidak menjadi masalah.

"Dalam undang-undang, jika wang yang diterima oleh pengundi berdaftar dalam kawasan yang mana pilihan raya berlaku dan ia diberi atas nama sesiapa sahaja atas nama parti atau calon ke maksudnya jelas memang boleh dirujuk dalam seksyen itu," tegasnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada beberapa pemuda Orang Asli selepas mengislamkan mereka pada Majlis Mesra Rakyat bersama Menteri Besar di Pos Sandrop kelmarin.

Ia merupakan sebahagian program sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan esok.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan kira-kira 75 sijil penyertaan projek perumahan berkelompok kepada masyarakat Orang Asli di situ.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan calon Pas bagi pilihan raya berkenaan, Dr. Zulkefli Mohamed.

Wan Ahmad berkata, sehingga petang ini, SPR belum menerima apa-apa laporan mengenai pemberian itu dan kalau ada sekali pun ia tidak mempunyai hak untuk melakukan siasatan.

"Macam saya kata tadi, alasan apa atau tujuan apa sekali pun. Video pun sudah menunjukkan jelas jadi terserah kepada orang lainlah, terserah kepada SPRM mahu ambil tindakan atau tidak.

"SPR cuma memberi nasihat dan undang-undang mahu menerimanya atau tidak terpulang. Dalam negara kita bukan SPR yang buat siasatan," tambahnya.

/hwa: utusan.com.my/

Fatwa baru Pas terdesak

UM - 4/11/10

GUA MUSANG 3 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fatwa baru yang dikeluarkan oleh Pas semalam menunjukkan parti itu kini kian terdesak dalam menarik sokongan orang ramai terhadap perjuangannya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Pas boleh mengeluarkan fatwa secara bermusim terutama semasa pilihan raya tetapi mesti bertanggungjawab dengan tindakan mereka yang jelas menyalahgunakan agama apabila sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum untuk kepentingan politik.

Katanya, Pas bagaimanapun tidak akan berhenti daripada bertindak sedemikian kerana bukan sekali, malah sudah berkali-kali pemimpin mereka mengeluarkan fatwa yang boleh mengelirukan rakyat semata-mata bagi mendapatkan sokongan.

"Saya fikir, sudah sampai masa dan ketika rakyat membuat penilaian yang bijaksana bahawa apa yang dilakukan oleh Pas sebenarnya bukan sahaja menyalahi hukum tetapi memperdayakan rakyat,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Tengku Muhammad Fakhry Petra di sini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) di Galas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Muhyiddin mengulas tindakan Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Muhammad Zain Abdul Rahman di Teluk Panglima Garang, Selangor semalam yang menegaskan, penerima bantuan kerajaan negeri Selangor haram menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang.

Muhammad Zain mendakwa, memberi sokongan kepada BN adalah menyalahi tuntutan agama kerana ia membelakangkan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas yang didakwanya sebuah kerajaan yang adil.

Mengulas isu sama dalam ucapannya sebelum itu, Muhyiddin berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas itu menunjukkan parti tersebut cukup terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat sehingga sanggup memutar-belitkan agama.

Beliau melahirkan kebimbangan dengan tindakan para pemimpin Pas apabila sewenang-wenangnya membuat fatwa untuk diselewengkan termasuk dakwaan menyokong Pas masuk syurga dan mendapat pahala.

Hakikatnya, kata Timbalan Perdana Menteri, soal dosa, pahala, syurga dan neraka adalah ketentuan Allah semata-mata.

Sehubungan itu katanya, rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan fitnah, fatwa dan tohmahan yang dilemparkan oleh parti pembangkang itu kerana Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh BN tidak pernah membangkitkan persoalan sedemikian dalam membawa pembangunan dan menyalurkan bantuan kepada mana-mana pihak termasuk ahli Pas sendiri.

Beliau mengambil contoh pembinaan sekolah yang dibuat oleh kerajaan BN di mana anak-anak pemimpin Pas juga boleh belajar tanpa sebarang sekatan, hatta mendapat bantuan persekolahan yang disediakan sekiranya mereka layak.

Jelasnya, pembangunan yang dibuat oleh kerajaan adalah untuk memenuhi kehendak duniawi setiap rakyat tanpa mengetepikan kepentingan akhirat dengan membina masjid dan banyak lagi pengisian program keagamaan.

"Kalau dibandingkan 20 tahun Pas memerintah Kelantan, saya nak cabar Pas berapa banyak masjid yang dia bina berbanding BN atau UMNO. Segala yang dibuat oleh kerajaan adalah tuntutan fardu kifayah untuk memakmurkan negara dan rakyat," katanya.

Ditanya tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan wang tunai kepada masyarakat Orang Asli selepas pengislaman mereka di Lojing kelmarin, katanya, beliau menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat.

"Bagi saya, itu perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang. Sama ada pihak berkuasa nak bertindak, itu terserah kepada mereka," katanya.

Mengenai peluang BN di Galas dan Batu Sapi, Muhyiddin percaya, BN akan mencapai kemenangan selepas segala gerakan dilakukan bagi meyakinkan rakyat tentang kemampuan Kerajaan Pusat untuk membawa kemajuan kepada negara bagi faedah bersama.

"Kita berdoa kepada Allah SWT selepas kita berusaha dengan begitu gigih, tidak mengira penat dan lelah, siang dan malam, tak cukup tidur, tak cukup makan dengan niat ikhlas untuk menolong rakyat, Tuhan akan memakbulkan doa itu," katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan pengundi supaya keluar beramai-ramai bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi esok dan tidak perlu bimbang kerana polis telah memberi jaminan keselamatan adalah terkawal.

"Kita harap suasana esok adalah baik dan mereka yang berhak mengundi, keluarlah mengundi," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Lebih 200 keluar SAPP, sertai UMNO

UM - 4/11/10


ALIAS Rahmad Benjamin (dua kiri) menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Musa Aman di Batu Sapi, Sandakan, semalam.

SANDAKAN 3 Nov. - Lebih 200 ahli Parti Maju Sabah (SAPP) diketuai anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Allahyarham Piting Ali, Zulkifli Piting bertindak keluar parti itu hari ini untuk menyertai UMNO.

Kumpulan tersebut yang kebanyakannya dari cawangan SAPP Kampung Istimewa di sini turut berikrar memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN).

Borang penyertaan mereka ke dalam UMNO diserahkan oleh Penyelaras SAPP kampung tersebut, Alias Rahmad Benjamin kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menyifatkan penyertaan keluarga Allahyarham Piting ke dalam BN khususnya UMNO dapat memperkuat parti itu dan BN di Batu Sapi.

''Saya gembira dan memuji tindakan anak-anak dan keluarga Allahyarham Piting yang menyedari adalah satu kerugian sekiranya mereka berada dalam pembangkang,'' katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Musa menjelaskan, Allahyarham Piting merupakan sahabat baik beliau yang sama-sama berjuang dalam politik termasuk di era pemerintahan bapa kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Mustapa Datu Harun.

Sementara itu, Zulkifli berkata, dia dan rakan-rakannya sudah hilang kepercayaan terhadap SAPP dan mahu meneruskan perjuangan politik mereka bersama-sama BN menerusi UMNO.

"Kami juga berikrar untuk menyokong dan membantu memberi kemenangan kepada calon BN pada pilihan raya kecil ini," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Anwar tidak selesa dengan imej Hadi

UM - 4/11/10

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyisihkan Pas adalah kerana beliau tidak dapat menerima imej berserban dan berjubah yang ditonjolkan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin ketika mendedahkan perkara itu berkata, mereka yang pernah bersama-sama PKR seperti beliau memang tahu bahawa Anwar cukup tidak selesa dengan keterampilan Abdul Hadi yang ala 'Taliban' itu.

"Saya berharap kepimpinan Pas dapat lihat bahawa mereka sedang mempercaturkan nasib umat Islam dan agamanya bila berterusan bersekongkol dengan Anwar.

"Takkan mereka tidak dapat melihat lagi sandiwara Anwar? Kalau Konspirasi 16 September pun Anwar boleh bohong mereka bulat-bulat, apa lagi bukti yang mereka mahu?

"Kalau sudah dibuktikan Pas hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh Anwar pun masih lagi terkial-kial nak menari ikut rentak Anwar, saya tidak tahu apa lagi yang kepimpinan parti ini mahu buktikan?'' kata beliau dalam blognya http://zul4kulim.blogspot.com di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Pas sebenarnya boleh bergerak sendirian tanpa perlu mengharapkan sokongan PKR dan DAP.

"Tepuk dada tanyalah iman. Pas sebuah parti yang besar, keahlian ramai, jentera mantap dan petugas yang sangat komited.

"Pas boleh berdiri sendiri tanpa Anwar apatah lagi Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan anak lelakinya. Percayalah, selagi kita memenuhi syarat untuk mendapat bantuan Allah, pasti Allah akan membantu kita," katanya.

Dalam pada itu, mengulas nasihat bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin baru-baru ini bahawa sudah sampai masanya Anwar bersara daripada dunia politik, Zulkifli berkata, Penasihat PKR itu seharusnya menerima nasihat berkenaan dengan hati terbuka.

"Berlapang dadalah. Mungkin sudah takdir Allah jawatan Perdana Menteri bukan milik Anwar. Menjadi Perdana Menteri bukanlah segala-galanya di muka bumi ini, fikirkan dan renungkanlah nasihat Dr. Asri ini,'' katanya.

Jelas Zulkifli, beliau sendiri telah beberapa kali menasihati Anwar supaya bermuhasabah diri dan menyelesaikan masalah peribadi yang sedang dihadapinya.

"Saya telah lihat sendiri bagaimana Anwar sanggup menggadai agama dengan mengheret saya ke hadapan Lembaga Disiplin kafir untuk membicarakan saya dalam isu kalimah Allah.

"Saya juga melihat depan mata saya bagaimana Anwar sanggup mengetepikan persahabatan dengan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru) selama 30 tahun hanya untuk membodek Kit Siang dan anak lelakinya.

"Maka saya lihat beliau bukan lagi Anwar yang kita kenal atau apakah Allah sekadar mahu umat Islam melihat warna sebenar beliau. Wallahualam, saya pun tak tahu," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Siapa bakal kuasai DUN Galas?

UM - 4/11/10


Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan helikopter untuk membawa peti undi ke pusat pengundian Orang Asli pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas, Gua Musang, semalam.

GUA MUSANG 3 Nov. - Kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berakhir malam tadi dan esok seramai 11,553 pengundi akan keluar mengundi bagi menentukan siapa yang bakal mereka pilih sebagai wakil rakyat baru kawasan itu.

Pilihan raya itu menyaksikan pertarungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff dengan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamed.

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Chek Hashim Sulaima daripada Pas pada 27 September lalu kerana barah usus.

Ini merupakan penyertaan pertama Abdul Aziz yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang dalam pilihan raya manakala ketiga bagi Dr. Zulkefli. Beliau sebelum ini tewas dalam dua pilihan raya yang disertainya iaitu dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008 bagi merebut kerusi Parlimen Gua Musang.

DUN Galas yang dianggap kubu kuat BN dirampas oleh Pas melalui Allahyarham Chek Hashim pada pilihan raya umum 2008 selepas Allahyarham menewaskan calon BN, Saufi Deraman dengan majoriti 646.

Galas merupakan salah satu kerusi dalam Parlimen Gua Musang yang diwakili Tengku Razaleigh Hamzah yang dilantik Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN tersebut. Dua lagi kerusi di DUN berkenaan ialah Paloh dan Nenggiri yang kedua-duanya milik BN.

Daripada 11,553 pemilik yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas, seramai 7,125 orang atau 61.67 peratus pengundi Melayu, Cina (2,317 orang atau 20.06 peratus), India (185 orang atau 1.60 peratus), Orang Asli (1,839 orang atau 16.35 peratus), bumiputera Sarawak (10 orang atau 0.09 peratus) dan lain-lain (27 orang atau 0.23 peratus.

Bagi melancarkan proses pengundian hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 13 daerah mengundi yang mempunyai 25 saluran.

Suruhanjaya itu juga turut menyediakan dua buah helikopter dan empat kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan proses pengundian di kawasan pedalaman berjalan lancar.

Kemudahan logistik itu disediakan memandangkan keadaan jalan di empat daripada enam daerah mengundi melibatkan Orang Asli yang sukar dihubungi menggunakan kenderaan biasa.

Keempat-empat daerah itu ialah Belatin dengan 160 pengundi, Balar (232 pengundi), Bihai (278 pengundi) dan Hau (254 pengundi).

Sepanjang 10 hari kempen berlangsung, selain program rumah ke rumah, kedua-dua parti turut mengadakan pelbagai program bagi meraih sokongan. Bagaimanapun berbanding Pas, BN hanya mengadakan ceramah secara kecil-kecilan.

Bagi membantu Pas berkempen, hampir kesemua pemimpin kanan parti pembangkang turun ke Galas termasuklah Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anak beliau yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Turut serta berkempen ialah Ahli Parlimen Lembah Klang, Nurul Izzah yang juga anak Anwar; Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Meng dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Daripada segi isu pula, BN memaparkan mengenai perkara-perkara yang bakal dilaksanakan di kawasan tersebut dan kenapa pentingnya parti itu kembali menguasai DUN Galas. Parti pembangkang pula terus membangktikan isu-isu nasional.

Pilihan Raya Kecil DUN Galas merupakan pilihan raya kecil kedua yang diadakan di Kelantan sejak selepas pilihan raya umum 2008. Sebelum ini BN dan Pas 'bertembung' di kerusi DUN Manek Urai yang menyaksikan Pas mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 65 undi.

Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Galas dijangka diketahui pukul 8 malam, esok.

/hwa: utusan.com.my/

Kerajaan Pas Kelantan berniat tidak baik - TPM

UM - 4/11/10

GUA MUSANG 3 Nov. - Tindakan kerajaan Pas Kelantan yang sering membangkitkan masalah tanah ketika Kerajaan Pusat mahu menjalankan projek pembangunan untuk rakyat, jelas membuktikan wujud niat yang tidak baik di kalangan pemimpin mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, motifnya semata-mata menimbulkan rasa sangsi dan syak wasangka bahawa Kerajaan Pusat enggan membela rakyat Kelantan.

Sedangkan pada hakikatnya beliau berkata, Kerajaan Pusat tidak pernah mensesiakan nasib rakyat negeri ini malah mereka sentiasa dibantu melalui projek-projek pembangunan yang dibawa.

''Oleh itu saya meminta rakyat tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan seperti ini. Persoalannya apabila kita mahu jalankan projek pembangunan kerajaan Pas Kelantan kata masalah tanah tidak selesai. Apa maknanya ini?

''Bagi saya ini niat yang tidak baik. Mereka sebenarnya mahu menimbulkan rasa sangsi di kalangan rakyat dengan mengatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) berbohong," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemimpin bersama rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Gua Musang di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah; Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ; timbalannya, Dr. Awang Adek Hussin dan calon BN, Abdul Aziz Yusoff.

Muhyiddin berkata, selama ini kerajaan Pusat sentiasa membantu Kerajaan Pas Kelantan bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat pembelaan sewajarnya.

''Misalnya dalam isu bekalan air bersih kepada penduduk Kelantan, kita telah menyalurkan bantuan dalam bentuk pinjaman mudah kepada kerajaan Pas Kelantan sebanyak RM700 juta.

''Kerajaan Pas Kelantan tidak mempunyai wang dan dalam masa sama air pula semakin kotor. Akhirnya mereka berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Beliau berkata, penyaluran bantuan itu adalah atas nama rakyat kerana Kerajaan Pusat tidak mahu rakyat Kelantan menggunakan atau minum air kotor.

''Ini adalah salah satu contoh. Sebenarnya banyak lagi masalah yang dihadapi oleh Pas tidak dapat diselesaikan kerana masalah kewangan. Dari segi kewangan mereka tidak ada kemampuan," katanya lagi.

/hwa: utusan.com.my/

Clinton kagum kejayaan ekonomi Malaysia

UM - 4/11/10


Hillary Clinton (kiri) berucap pada majlis kerjasama antara Malaysia Airline System Bhd. dengan syarikat Amerika Syarikat di di Skypark Terminal Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, semalam.

SUBANG 3 Nov. - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton hari ini melahirkan kekaguman terhadap keupayaan Malaysia mengukuhkan kembali ekonominya selepas dilanda krisis kewangan sejagat.

''Saya kagum dengan pertumbuhan tinggi ekonomi Malaysia yang mampu mengharungi cabaran dengan baik di sebalik turut terjejas dengan krisis ekonomi sejagat.

''Malaysia berjaya kembali dengan kukuh (berkembang tinggi) pada tahun ini,'' katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi sangat diperlukan setiap negara tetapi bentuk pertumbuhan adalah penting dalam memastikan ekonomi mereka kekal mapan.

''Keseimbangan pertumbuhan dalam jangka panjang dan terangkum perlu untuk mengekalkan kemakmuran dan mengelakkan krisis berulang.'' kata isteri mantan Presiden AS, Bill Clinton.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis mengukuhkan kerjasama antara Malaysia Airlines Systems Bhd. (MAS) dengan syarikat-syarikat AS seperti Boeing, Pratt and Whitney dan General Electrics (GE) di sini hari ini.

Hadir sama di majlis itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, Pengerusi MAS, Tan Sri Munir Majid dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz.

Tambah Clinton, cabaran yang di hadapi oleh kepimpinan dan rakyat Malaysia terus meletakkan negara di landasan yang betul dengan pertumbuhan kukuh adalah sangat hebat.

Katanya, Malaysia dan AS mempunyai tujuan yang sama dengan Presiden Barack Obama meletakkan sasaran ke arah menggandakan eksport untuk lima tahun akan datang.

''Kedua-dua negara (Malaysia dan AS) mempunyai asas yang kukuh bagi mengeratkan hubungan ekonomi dengan syarikat pembuatan AS telah melabur sehingga AS$15 bilion (RM46.65 bilion) dan membuka peluang pekerjaan kepada 166,000 rakyat Malaysia.

''Apa yang dilakukan oleh Malaysia dibuktikan oleh ekonomi dinamik dengan membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kemiskinan telah memberikan peluang kepada setiap rakyat memenuhi impian mereka,'' jelasnya yang menamatkan lawatan tiga harinya ke Malaysia hari ini.

Clinton berkata, ia telah menyebabkan AS menerima dengan hati terbuka keputusan Malaysia untuk menyertai perbincangan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik (TPP) yang bakal mempromosi dan berkongsi kejayaan meluaskan pasaran dan membuka peluang pekerjaan kepada negara-negara peserta.

Mengenai perjanjian antara MAS dan syarikat-syarikat AS, Clinton berkata, ia adalah penting kerana MAS akan membeli 50 enjin buatan Pratt and Whitney.

''Perjanjian ini memberi banyak manfaat terutama dalam mencipta pekerjaan berkemahiran dan upah yang tinggi kepada kedua-dua negara.

''Enjin Pratt and Whitney akan dibina dengan kelengkapan dibuat di Georgia, AS, manakala penyelenggaraan enjin akan dilakukan di Malaysia oleh pekerja terlatih tempatan,'' katanya.

Sementara itu, Munir berkata, MAS berbangga dapat bekerjasama dengan Boeing, Pratt and Whitney dan GE yang merupakan tulang belakang kepada operasi syarikat penerbangan itu.

''Kami merupakan syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan penuh pertama di dunia menggunakan B737-800 dengan rekaan dalaman Boeing Sky dan enjin Pratt and Whitney digunakan untuk pesawat A330-300.

''MAS akan mula menerima pesawat A330 pada April 2011, dan kami berpuas hati dengan prestasi enjin Pratt and Whitney serta yakin dengan prestasi enjin yang baru nanti,'' katanya.

/hwa: utusan.com.my/

3 November 2010

Majlis Raja-Raja benteng kebal pertahan Islam, hak orang Melayu

BH - 3/11/10

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

SEKALI lagi Raja-Raja Melayu menzahirkan kegusaran mereka dengan perkembangan terkini tanah air, khususnya dalam kalangan ahli politik yang sejak kebelakangan ini dilihat berlumba-lumba meraih simpati sesetengah pihak sehingga sanggup membelakangkan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Kali ini kegusaran baginda dibuat tanpa berselindung dengan nada yang jelas sambil memperingatkan khalayak ramai norma yang sudah dipersetujui dan terbukti membawa negara kepada kemakmuran sehingga hari ini.

Raja-Raja Melayu bukan hanya simbol untuk dikenang. Baginda memainkan fungsi yang amat besar dalam sistem perundangan negara. Baginda adalah payung negara. Kegusaran yang dizahirkan melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja itu mempunyai pelbagai maksud yang tersurat dan tersirat. Setiap rakyat perlu meneliti kembali teguran yang dizahirkan itu.

Sebelum ini, Sultan Johor Sultan Ibrahim menzahirkan keprihatinan baginda dengan perkembangan terkini sesetengah kaum yang menuntut hak mereka tidak selari dengan apa yang dipersetujui sebelum ini. Institusi Raja-Raja Melayu sudah menzahirkan kegusaran mengenai tuntutan segelintir pihak memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Baginda Sultan Johor menyifatkan golongan berkenaan sebagai dangkal dan tidak meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan yang akan merosakkan keharmonian kaum di negara ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Abdul Aziz juga mengingatkan rakyat Malaysia mengenai pentingnya menjaga hubungan antara kaum dengan tidak terlalu mendesak seolah-olah rakyat minoriti di negara ini dizalimi. Sudah acap kali Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan baginda terhadap trend masyarakat ketika ini dan mengajak rakyat kembali kepada semangat yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah juga tidak ketinggalan menyuarakan isu ini. Rakyat seharusnya memahami apa yang ingin dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu dan bukan berselindung di sebalik hak sama rata dalam erti kata begitu luas dan tersasar daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Keistimewaan orang Melayu sebenarnya mempunyai susur galur sejarah yang jitu sehinggakan ia diabsahkan dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Keistimewaan orang Melayu itu juga sebenarnya tidak menghalang hak kaum lain berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Inilah toleransi yang dicapai antara kaum di kalangan pemimpin pelbagai kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum sebelum merdeka sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu mengingatkan kita.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi sehinggakan peruntukan Perlembagaan berhubung perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidaklah boleh diluluskan pindaannya tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Ini bermakna sebarang hasrat yang ingin diusulkan bagi meminda perkara tertentu mestilah terlebih dulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentang di Parlimen. Perkara 159 ini bukan saja menghalang pindaan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa terlebih dulu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja, apatah lagi sekiranya langsung tidak menghiraukan ataupun melanggar peruntukan Perlembagaan.

Antara perkara yang berkaitan ialah Perkara 153. Perkara 153 adalah peruntukan yang panjang mencakupi hal ehwal berkaitan perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain.

Begitu juga Yang di-Pertuan Agong boleh memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, dana siswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain.

Malah dalam mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan universiti, kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat itu, adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada kerajaan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri yang difikirkan munasabah dan kerajaan hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Semua hak yang dinyatakan di atas adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sendiri dan sekiranya hak-hak itu termasuklah hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak mendapat biasiswa dan kemasukan ke menara gading hendak dipinda, persetujuan Majlis Raja-Raja perlulah diperoleh sebelum pindaan itu dibuat. Sekiranya ia dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja, pindaan itu akan menjadi tidak sah. Jika pindaan pun tidak dibenarkan tanpa perkenan Raja-Raja Melayu, apatah lagi tidak menghiraukan keistimewaan itu ataupun membuat perkara yang bertentangan dengan keistimewaan itu.

Begitulah besarnya peranan Raja-Raja Melayu sebagai pelindung kepada hak istimewa Islam dan pribumi di Malaysia. Raja-Raja Melayu adalah payung yang melindungi kepentingan Islam dan orang Melayu. Tidak hairanlah sejak kebelakangan ini Raja-Raja Melayu mula menzahirkan tanggungjawab berperlembagaan baginda mempertahankan hak istimewa Islam dan orang Melayu. Raja-Raja Melayu adalah benteng terakhir dalam mempertahankan agama Islam dan hak istimewa Melayu di Malaysia.

Berbalik kepada titah ucapan baginda Raja Raja Melayu itu, jelaslah sebarang tindakan yang melanggar Perkara 153 memerlukan perkenan daripada Majlis Raja Raja. Sekiranya tidak diperoleh, tindakan yang dibuat itu sudah pasti menjadi tindakan yang tidak berperlembagaan.

Raja-Raja Melayu sudah bersuara. Rakyat segenap lapisan hendaklah mengambil berat titah ucapan Raja Raja Melayu itu yang mempertahankan hak orang Melayu dan kedudukan istimewa agama Islam.

Janganlah mempersoalkan lagi keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu serta kedudukan tinggi agama Islam dalam negara kita. Ia sudah tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah dihormati.

Sebagai undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan ini mestilah dipertahan dan diberi penghayatannya. Pihak kerajaan juga perlu akur dengan kedudukan ini. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga ketika menjelaskan Gagasan 1Malaysia dengan nada yang tegas menyatakan setiap rakyat perlu menerima Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

Gagasan 1Malaysia adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh lari daripada undang-undang tertinggi itu. Malah tanggungjawab berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong amatlah jelas seperti sumpah baginda dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang berikrar mempertahankan Islam pada setiap masa. Jelaslah Raja-Raja Melayu amat prihatin dengan apa yang dilalui oleh negara ketika ini yang semakin hari semakin menyisihkan sejarah dan aspirasi datuk nenek kita sewaktu menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Melupai sejarah akan hanya menghakis jati diri kebangsaan. Memahami sejarah akan menambahkan lagi sikap tolak ansur dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

/hwa: bharian.com.my/

PAS terdesak beli undi masyarakat Orang Asli

BH - 3/11/10

NIK AZIZ memberi wang kepada penduduk Orang Asli sambil diperhatikan Dr Zulkefli (tiga dari kanan) ketika berkempen di Kampung Sendrod, Lojing dekat Pos Brooke, petang kelmarin.

Oleh Zulkofli Jamaludin, Ismail Mat, Nazura Ngah, Norliza Wasilan, Haspaizi Mohd Zain, Ramli Ibrahim, Nor Hazwani Hamat, Paya Linda Yahya dan Mohd Fakri Awang Lah
bhnews@bharian.com.my


Nik Aziz beri wang kepada penduduk sekitar Pos Brooke

GUA MUSANG: Tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, memberi sejumlah wang kepada penduduk Orang Asli di Lojing petang kelmarin, dilihat sebagai usaha terdesak PAS membeli undi masyarakat pribumi itu.

Kejadian itu berlaku di Kampung Sendrod dekat Lojing, ketika Nik Aziz menyertai kempen bersama calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed di penempatan Orang Asli sekitar Pos Brooke.

Beliau dilihat menyerahkan wang berkenaan yang dihulurkan petugas PAS di sisinya untuk disampaikan kepada penduduk Orang Asli, selepas mengetuai pengislaman tiga penduduk pribumi di situ.

Pada majlis sama, Nik Aziz mengambil peluang menyampaikan pampasan daripada Tabung Kifalah kepada beberapa penduduk Orang Asli yang kematian ahli keluarga masing-masing.

Tinjauan Berita Harian mendapati, jentera Barisan Nasional (BN) dan PAS bersaing kuat meraih sokongan di Kampung Sendrod yang menempatkan 380 penduduk daripada 58 keluarga.

Berbanding kampung dan penempatan Orang Asli lain, PAS menempatkan jentera pilihan rayanya yang menginap di situ untuk mengendalikan pelbagai aktiviti kempen, sama seperti jentera BN.

Mengulas tindakan itu, Timbalan Setiausaha (Operasi) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Noordin Che Ngah, berkata mana-mana pihak yang mempunyai bukti mengenai pembelian undi, wajar melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Dalam hal ini, tanggungjawab SPR adalah mengendalikan pilihan raya serta daftar pemilih. Kalau ada pihak yang mempunyai fakta (mengenai pembelian undi) mereka boleh membawanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

"Selain itu, Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan membenarkan sebarang salah laku sepanjang perjalanan pilihan raya boleh difailkan di mahkamah selepas keputusan pilihan raya yang berlangsung diwartakan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Noordin berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati mempunyai tempoh 21 hari untuk memfailkan petisyen berkenaan di mahkamah, selepas keputusan diwartakan antara 10 hingga 15 hari dari tarikh pengundian.

"SPR sendiri pernah dipetisyen berhubung proses pengendalian pilihan raya. Apabila dipetisyenkan, mahkamah akan membuat keputusan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

/hwa: bharian.com.my/

Calon BN janji kesejahteraan rakyat Galas

UM - 3/11/10


Abdul Aziz Yusoff berdialog dengan kaum wanita Kampung Baru Hulu mengenai masalah setinggan di kampung tersebut pada kempen Pilihan Raya Kecil DUN Galas, Gua Musang, semalam.

GUA MUSANG 2 Nov. - Selepas menamatkan lapan hari berkempen dan bertemu hampir semua pengundi di Galas, calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff (gambar), 49, telah memahami rintihan dan keperluan masyarakat kawasan itu.

Abdul Aziz berkata, masa yang diluangkan itu amat bererti untuk beliau mengambil setiap input sebagai persediaannya jika dipilih menjadi wakil rakyat di situ dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Khamis ini.

Katanya, perancangan sudah ada untuk membantu semua penduduk Galas tidak kira Melayu, Cina, India atau Orang Asli.

Justeru, menurut beliau, penduduk Galas perlu membuka ruang dan memberi peluang kepadanya berkhidmat kepada rakyat serta berjanji bekerja tanpa mengira waktu demi kesejahteraan rakyat.

"Saya merayu kepada semua pengundi agar memberi peluang kepada saya agar semua masalah penduduk yang diluahkan selama tempoh berkempen ini dapat kita selesaikan.

"Saya ada perancangan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menjelang hari terakhir kempen, Abdul Aziz terus menggiatkan usaha meraih undi dengan berjumpa seramai mungkin pengundi.

Bagi Abdul Aziz, soal letih tidak ada dalam kamus hariannya sejak 24 Oktober lalu apabila diberi tanggungjawab untuk merampas kembali kerusi DUN Galas dari Pas.

"Sambutan yang saya terima cukup positif, saya sampaikan mesej bahawa saya ingin berkhidmat untuk mereka sebaik mungkin.

"Jadi saya minta mereka memberi saya peluang untuk membuktikannya," katanya ketika ditemui.

Setiap kali berkempen, hubungan rapat yang terjalin antara Abdul Aziz dan pengundi di Galas dapat dilihat apabila hampir setiap orang yang ditemui amat mengenalinya.

Jelasnya, semua kaum yang ada di sini boleh menaruh harapan terhadapnya untuk membela nasib mereka terutama gagasan 1Malaysia akan menjadi pendorong kepadanya untuk berlaku adil pada setiap masa.

"Saya mewakili semua kaum. Tiada yang terlepas daripada bantuan saya kerana Gua Musang sejak dulu lagi memang dihuni oleh masyarakat berbilang bangsa.

"Saya tidak akan pilih kasih, tidak kisahlah jika jumlah satu kaum itu lebih banyak berbanding kaum lain asalkan mereka memerlukan sesuatu maka saya sedia mencari jalan penyelesaian," tambahnya.

/hwa: utusan.com.my/

Hasrat serah 'wang judi' tidak kesampaian

UM - 3/11/10


Norman Zahalan menunjukkan 'wang judi' yang dipulangkan oleh warga emas dan fakir miskin di pekarangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 2 Nov. - Hasrat Pemuda UMNO mahu menyerahkan kembali 'wang judi' kerajaan negeri yang diberikan kepada fakir miskin sempena Ramadan lalu, tidak kesampaian kerana pelbagai kerenah ditetapkan untuk tujuan itu.

Ketuanya, Norman Zahalan berkata, selain tiada wakil kerajaan negeri yang mahu menerima wang tersebut, mereka juga diminta menyerahkan wang tersebut kepada pejabat-pejabat daerah yang terlibat.

"Kami juga diminta mengisi borang tertentu bagi memudahkan proses penyerahan itu pada masa akan datang," katanya selepas berjumpa dengan wakil kerajaan negeri di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Menurutnya, RM30,000 telah diserahkan oleh warga emas dan fakir miskin kepada UMNO negeri kerana mereka tidak mahu menerima sumbangan yang datang daripada sumber judi.

Terdahulu, suasana semasa proses hendak memulangkan wang tersebut juga tegang apabila 'sesi rundingan' antara Norman dengan dua wakil kerajaan DAP Pulau Pinang berlaku pertengkaran.

Dua wakil kerajaan DAP Pulau Pinang yang terlibat masing-masing merupakan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri (TKM) I, Datuk Mansor Othman dan TKM II, P. Ramasamy iaitu Rezal Huzairi dan M. Satees.

Malah, Norman turut mengalami kesukaran memasuki kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Lebuh Light di sini.

Namun setelah meminta beberapa kali kepada wakil kerajaan DAP Pulau Pinang, beliau akhirnya dibenarkan masuk.

Bagaimanapun, hasratnya untuk menyerahkan wang yang dipulangkan warga emas dan fakir miskin itu tidak dihiraukan kerana didakwa tidak mengikut prosedur yang betul.

Norman menyifatkan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang sering melaungkan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), sebagai tidak bertanggungjawab.

"Saya hanya pemegang amanah kepada duit ini, jadi hari ini saya mewakili mereka mahu memulangkannya kepada kerajaan negeri, tetapi mereka tak nak terima pula.

"Sebelum ini mereka selalu sangat tanya bila kita nak serahkan duit ini tetapi apabila kita hendak beri balik, mereka tak mahu pula, macam-macam pula kerenah mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau bercadang meminta wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyerahkan wang tersebut kepada kerajaan DAP Pulau Pinang apabila DUN bersidang semula minggu depan.

/hwa: utusan.com.my/

Taktik kotor Pas haramkan rakyat sokong BN

UM - 3/11/10

SHAH ALAM 2 Nov. - Pas diselar kerana menggunakan taktik kotor dalam mengukuhkan cita-cita politik mereka apabila mengeluarkan 'fatwa' mengharamkan setiap penerima bantuan kerajaan negeri memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, tindakan sedemikian tidak bertanggungjawab kerana memberi bantuan kepada mereka yang layak merupakan tanggungjawab kerajaan negeri tanpa mengambil kira latar belakang mahupun fahaman politik.

Katanya, jika Pas mengeluarkan fatwa itu, bagaimana pula dengan rakyat termasuk pemimpin Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP sendiri yang sebelum ini menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh UMNO.

"Bagi saya ini merupakan satu fatwa bodoh yang dibuat oleh Pas untuk mengelirukan rakyat dengan mempermainkan hukum agama bagi mencapai cita-cita politik sempit mereka.

"Kalau nak diikutkan fatwa Pas ini, maknanya ramai rakyat di negeri ini berdosa kerana ketika BN mentadbir kerajaan negeri sebelum ini, kita beri bantuan kepada seluruh rakyat tetapi pada Pilihan Raya Umum Ke-12, rakyat memilih PKR, DAP dan Pas sehingga mereka berjaya mentadbir Selangor hari ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Muhammad Zain Abdul Rahman yang menyatakan adalah haram setiap rakyat yang menerima bantuan daripada kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, memberikan sokongan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Muhammad Zain berucap pada majlis penyerahan cek bantuan pembangunan pendidikan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Selangor fasa kedua di Madrasah Darul Mujahidin, Telok Panglima Garang di Kuala Langat hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang berpendapat, PKR cuba mencari populariti murahan apabila mendakwa bantuan Kerajaan Pusat kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) sebanyak RM95 juta seperti diumumkan pada Bajet 2011 adalah atas usaha pakatan pembangkang.

Katanya, jika kerajaan negeri pimpinan PKR benar-benar ikhlas membantu membangunkan SAR, mereka sepatutnya sudah pun melakukannya dengan memberi sumbangan besar bagi kemajuan institusi itu.

Malah, katanya, usaha yang sama boleh dilakukan oleh kerajaan negeri dengan menaikkan elaun guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh Selangor kepada RM800 sebulan seperti dilakukan Kerajaan Pusat.

"Sebelum ini, Kerajaan Pusat membayar RM500 elaun guru-guru KAFA dan kerajaan negeri bayar RM360 sebulan. Jika mereka benar-benar mahu membantu kebajikan guru KAFA, mereka sepatutnya menaikkan elaun guru ini pada kadar yang sama.

"Namun kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa untuk membantu SAR dan guru-guru KAFA ini," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Adakah Pas mahu memperdaya Orang Asli?

UM - 3/11/10

GUA MUSANG 2 Nov. - Tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan sijil pengiktirafan tanah kepada penduduk Orang Asli di Pos Sendrod, Lojing, semalam menimbulkan tanda tanya sama ada ia bertujuan memperdayakan mereka atau sebaliknya.

Persoalan itu timbul selepas sijil tersebut didapati hampir sama dengan sijil dikeluarkan kerajaan Pas Kelantan kepada Peserta Berpenempatan Dalam Ladang Rakyat Limau Kasturi, tiga tahun lalu.

Malah setelah dibandingkan kedua-dua sijil berkenaan tidak banyak perbezaan, cuma pada sijil yang diserahkan kepada Orang Asli itu diletakkan perkataan pengiktirafan.

Kedua-dua sijil itu juga ditandatangani oleh individu yang sama iaitu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Justeru, tidak hairan langkah terbaru Pas itu menimbulkan persoalan kerana kedua-dua projek itu dilihat mempunyai persamaan terutama dari segi pengeluaran sijil.

Dalam isu Ladang Rakyat Limau Kasturi, kerajaan Pas Kelantan telah didakwa melakukan penipuan apabila mereka gagal menempatkan peserta yang terpilih walaupun projek itu telah dilancarkan tiga tahun lalu.

Ia projek kerajaan Pas Kelantan bagi menempatkan semula penduduk miskin dalam satu kawasan baru dan mereka yang terpilih diberikan sebidang tanah ladang beserta tapak rumah.

Perkara itu didedahkan oleh salah seorang peserta terpilih Rozali Rodin, 37, yang kini tinggal di Kampung Lepan Jaya di sini.

Dalam pertemuan bersama Utusan Malaysia dan Pergerakan Wanita UMNO di kediamannya kelmarin, Rozali memberitahu, dia dan 300 yang lain menerima sijil tersebut dalam satu majlis pada 2007.

Majlis penyerahan itu, kata Rozali, disempurnakan sendiri oleh Nik Abdul Aziz yang juga merupakan Mursyidul Am Pas.

"Sebagai orang miskin seperti saya, sudah tentu saya gembira diberikan tanah ladang dan tapak rumah. Namun segala-galanya tipu belaka apabila sehingga sekarang saya masih belum menerima arahan untuk tinggal di kawasan itu.

"Saya hanya dapat sijil yang tidak laku ini sahaja," ujarnya sambil menunjukkan sijil tersebut.

Justeru, seperti mana kata blog bngalas, apa yang dialami Rozali dalam isu Ladang Rakyat Limau Manis serupa dengan tawaran tanah kepada penduduk Orang Asli di Pos Sendrod.

"Adakah ini tipu helah yang sama dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap penduduk Kampung Lepan Jaya kepada penduduk Orang Asli Pos Sendrod?" kata penulis blog itu lagi.

Mengikut blog berkenaan, Pas berjanji menyediakan tanah seluas 40 hektar sebagai penempatan berkelompok tanah Pos Sendrod.

Tanah itu dikatakan akan dirizab dan digazetkan sebagai tanah untuk Orang Asli mengikut Undang-Undang Tanah Negeri dan Kanun Tanah Negara.

Di bawah fasa pertama, projek itu melibatkan penempatan seramai 61 keluarga Orang Asli yang akan ditempatkan ke Petak A dan 13 keluarga ke Petak B.

/hwa: utusan.com.my/

Pas keluarkan ‘fatwa baru’

UM - 3/11/10

KUALA LANGAT 2 Nov. – Pas yang sering mengeluarkan ‘fatwa baru’ bagi kepentingan politik parti itu, hari ini menegaskan, penerima bantuan daripada kerajaan negeri haram menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Fatwa itu dinyatakan secara terbuka oleh Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Muhammad Zain Abdul Rahman ketika berucap pada majlis Penyerahan Cek Bantuan Pembangunan Pendidikan Sekolah Agama Rakyat Selangor Fasa Kedua di Madrasah Darul Mujahidin, Telok Panglima Garang di sini hari ini.

Tegasnya, memberi sokongan kepada BN adalah menyalahi tuntutan agama kerana ia membelakangkan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas yang didakwanya sebuah kerajaan yang adil.

Menurutnya, bantuan yang diberi sama ada melibatkan pendidikan, kebajikan dan sebagainya merupakan sumbangan ikhlas kerajaan negeri untuk membantu rakyat dan sewajarnya mereka membalas dengan memilih semula ketiga-tiga parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

“Bantuan yang diberikan kepada rakyat pada hari ini datangnya daripada sebuah kerajaan yang adil.

“Jika bantuan diberikan, maka adalah wajar rakyat menyokong kerajaan negeri hari ini pada pilihan raya umum nanti.

“Kalau ada orang terima bantuan daripada kerajaan negeri, hukumnya haram kalau mereka sokong UMNO,” katanya di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta lebih 50 pelajar madrasah berkenaan.

Sementara itu, Abdul Khalid ketika berucap juga cuba mengelirukan rakyat dengan menyatakan langkah Kerajaan Pusat memberi bantuan RM95 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dalam Bajet 2011 adalah usaha pakatan pembangkang yang memperjuangkan isu berkenaan selama ini.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga terpaksa mengumumkan kenaikan elaun bulanan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) daripada RM500 kepada RM800 sebulan termasuk elaun imam kepada RM750 sebulan.

“Kita sudah memberi banyak bantuan kepada SAR sebelum ini, dahulu peruntukan untuk SAR tidak pernah disebut dalam bajet Kerajaan Persekutuan, sekarang mereka sebut.

“Boleh jadi mereka sebut kerana malu, segan atau rasa takut kedudukan mereka tergugat,” ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Anwar tidak mungkin bersara hanya disebabkan nasihat bekas mufti

UM - 3/11/10

SERI KEMBANGAN 2 Nov. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bersara dari dunia politik semata-mata atas nasihat bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Anwar pastinya akan membuat keputusan atas pertimbangan politik beliau sendiri.

"Kalau kita faham mengapa dia masih begitu berminat, ini kerana dia mempunyai cita-cita yang masih belum kesampaian iaitu menjadi Perdana Menteri dan menguasai Putrajaya.

''Tapi, apa-apa pun, itu hak beliau dan pandangan bekas mufti Perlis juga adalah pendapatnya sendiri. Saya tidak boleh komen atas pandangan orang lain,'' katanya.

Semalam, bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin berkata, sudah tiba masanya Anwar Ibrahim bersara daripada dunia politik kerana banyak rentak politiknya dilihat semakin sumbang.

Menurut Mohd. Asri, Anwar perlu menerima hakikat bahawa zamannya akan beransur pergi dan tidak mungkin generasi baru terus bertahan untuk melihat reka bentuk cerita politiknya yang sama.

"Berilah peluang untuk beliau berundur dengan aman. Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi. Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar," kata Mohd. Asri dalam entri terbaru di blognya http://drmaza.com yang bertajuk Politik Kita Memerlukan Anjakan Baru.

/hwa: utusan.com.my/

2 November 2010

Anwar tidak pernah ikhlas dengan Pas

UM - 2/11/10

PULAU PINANG 1 Nov. – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah jujur dan ikhlas dengan Pas dalam perjuangan politik meskipun berada dalam satu pakatan.

Keadaan itu boleh dilihat dalam setiap mesyuarat perhubungan negeri apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering meracuni pemikiran para pemimpin parti itu supaya tidak bergantung kepada Pas untuk mencapai sebarang objektif.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah mendedahkan dalam setiap mesyuarat, Anwar sering mengingatkan mereka supaya berjuang demi kepentingan PKR semata-mata, bukan untuk rakan lain dalam pakatan iaitu Pas dan DAP.

Menurutnya, Pas bagi Anwar tidak penting dan perlu bergantung kepada PKR untuk bertahan dalam politik.

“Dalam mukadimah mesyuarat perhubungan negeri setiap bulan, Anwar mesti balun Pas dulu seperti Pas tidak penting dan ketandusan idea, hanya bergantung pada isu yang dimainkan PKR.

“Mereka tidak pernah jujur dengan Pas, dari dulu lagi mereka tidak percaya Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Ahli Parlimen Bayan Baru yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendedahkan, Anwar pernah menasihatkannya supaya tidak memberi ruang kepada Pas.

Anwar menganggap Pas tidak mempunyai peranan penting di Pulau Pinang, justeru, para pemimpinnya tidak perlu diberikan jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Aminah memberitahu, para pemimpin Pas mungkin tidak menyedari perkara itu kerana Anwar merupakan seorang yang pandai bermuka-muka.

/hwa: utusan.com.my/

Isu tawar wang: SPR serah kepada polis, SPRM

UM - 2/11/10

GUA MUSANG 1 Nov. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan mengenai laporan Pas menawarkan wang tunai sehingga RM250 kepada pengundi luar supaya pulang mengundi di Galas, 4 November ini.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung laporan tersebut.

"Setakat ini kita tidak mendapat sebarang laporan mengenainya, begitu juga pihak polis. Benda macam itu kita kena ada bukti.

"Bagaimanapun, kita serahkan kepada polis dan SPRM untuk menjalankan siasatan sekiranya ada orang yang membuat aduan," katanya kepada pemberita selepas melawat proses pembuangan undi pos melibatkan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman bahawa parti itu akan membayar sehingga RM250 kepada 1,557 pengundi luar yang berdaftar di Galas.

Bayaran tersebut, dakwa Abdul Halim bukan rasuah, sebaliknya semata-mata untuk menampung perbelanjaan pengundi luar yang bakal pulang menunaikan tanggungjawab mereka nanti.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, perkara tersebut bagaimanapun perlu dibuktikan terlebih dahulu.

"Biar polis dan SPRM buat siasatan," katanya yang turut menyatakan rasa berpuas hati dengan proses kempen menjelang hari pengundian nanti.

Katanya, SPR tidak menerima sebarang laporan mengenai insiden tidak diingini setakat ini, malah wakil Pas yang memantau proses pembuangan undi pos di IPD menyifatkan proses pengundian amat telus.

Semalam, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tawaran wang tunai oleh Pas itu boleh disifatkan sebagai sogokan dan ia menyalahi Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Jelasnya, seksyen itu melarang sebarang aktiviti menyogok pengundi melalui apa jenis tawaran sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi tujuan membeli undi.

"Pas berkemungkinan terpaksa berdepan dengan petisyen pilihan raya jika calon Barisan Nasional (BN) tidak berpuas hati dengan keputusan pengundian 4 November ini," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Kerajaan Pas berbohong - Ku Li

UM - 2/11/10


TENGKU Razaleigh Hamzah bersama Datuk Mustapha Mohamad serta calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusoff menjulang Piala Malaysia selepas meraikan pemain Kelantan pada Piala Malaysia di Dataran Kesedar, Gua Musang, semalam.

GUA MUSANG 1 Nov. - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa Kerajaan Pas Kelantan berbohong apabila menuduhnya menghilangkan dokumen penting berkaitan masyarakat Orang Asli di negeri ini ketika kerajaan campuran Kelantan di antara Parti Melayu Semangat 46 dan Pas berpecah kira- kira 14 tahun lalu.

Tegas beliau, ia adalah rekaan semata-mata malah hal ehwal mengenai Orang Asli tidak pernah dibincang dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang mewakili kedua-dua parti ketika itu.

Jelasnya, beliau sendiri yang berusaha memberikan tanah kepada mereka melalui kuasa pegawai daerah yang menguruskan tanah mengikut dasar kerajaan negeri bukannya melalui parti.

"Benda ini tidak betul. Saya pun hairan kenapa orang yang mewakili parti Islam berbohong macam itu kerana kita tidak pernah bincang soal Orang Asli.

"Orang Asli ada di Gua Musang jadi saya bertanggungjawab tetapi tidak pernah dibincangkan dalam Angkatan Perpaduan Ummah malah orang yang tuduh itu tidak pernah berada dalam posisi itu.

''Tetapi tidak apalah, tuduhan itu tidak betul, biarlah mereka jawab," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sebelum ini, Penasihat Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika membuat tuduhan berkenaan ke atas Tengku Razaleigh menganggap Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) itu sebagai pengkhianat.

Tuduhan tersebut merupakan serangan peribadi terhadap Tengku Razaleigh meskipun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mengeluarkan kenyataan untuk tidak berbuat demikian.

Selain itu, dalam siri kempennya Pas telah memulakan serangan peribadi terutama dalam butir-butir ucapan yang diberikan oleh penceramah pembangkang.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, Barisan Nasional (BN) akan tetap meneruskan kempen secara berhemah dan tidak akan menyerang balik dengan cara yang sama.

Tegasnya, jentera pilihan raya BN akan meneruskan langkah mengutamakan perjuangan dasar parti dan tidak akan menyerang peribadi sesiapa pun.

"Kita tidak akan serang peribadi sesiapa walaupun saya ada menerima risalah menuduh calon Pas tetapi saya tidak mahu ini dilakukan malah saya mendapat maklumat ia daripada kalangan parti mereka sendiri.

"Bagaimanapun kita tetap tidak akan menyerang atau menuduh sesiapa kerana apa yang mahu kita serang hanya dasar kerajaan negeri," tambahnya.

/hwa: utusan.com.my/

Parti politik digesa hormati peringatan raja-raja Melayu

UM - 2/11/10

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) menggesa semua parti politik menghormati titah raja-raja Melayu yang bimbang mengenai trend politik semasa dan isu perkauman.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, apa yang disuarakan raja-raja Melayu itu amat relevan dengan keadaan semasa dan menunjukkan betapa keadaan sekarang memerlukan perhatian yang mendalam oleh semua pemimpin politik.

"Memang akan ada pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan terhadap keadaan yang berlaku itu sehingga menghancurkan segala yang telah dikecapi demi kuasa dan kepentingan politik.

"Tetapi kita harus ingat apa yang dititahkan raja-raja Melayu itu seharusnya dijadikan sempadan kepada kita semua," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas titah raja-raja Melayu kelmarin yang melahirkan rasa bimbang terhadap trend politik semasa dan isu-isu perkauman yang berlaku sejak kebelakangan ini yang seharusnya dipandang serius oleh semua pihak.

Beliau berkata, bagi UMNO, parti itu akan sentiasa mengambil perhatian titah raja-raja Melayu itu dan berusaha ke arah mengamalkan perjuangan politik yang bertepatan dengan matlamat parti.

"UMNO sememangnya sinonim dengan raja-raja Melayu. UMNO bukan dilahirkan di tepi jalan tetapi di istana, jadi apa yang disuarakan institusi raja di negara ini akan menjadi satu peringatan buat UMNO juga," katanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, raja-raja Melayu berhak menyuarakan kebimbangan tentang isu perpaduan rakyat yang kini banyak didalangi unsur-unsur hasutan sedangkan tiada undang-undang tegas diambil.

Katanya, perbuatan itu bukan sahaja harus ditangani oleh pemimpin UMNO tetapi juga semua pemimpin di dalam BN.

"Kontrak sosial kita harus ditegakkan semula. Sebagai permulaan orang Melayu perlu bersatu hati semula dan menerima hakikat kekuatan bilangan mereka yang besar di negara ini," katanya

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, semua pihak wajar menjadikan nasihat raja-raja Melayu itu sebagai pengajaran dan panduan untuk memimpin masyarakat dan tidak tersasar daripada perjuangan yang sebenar..

"Semua pihak yang berkecimpung dalam dunia politik sama ada BN atau parti pembangkang seharusnya bersyukur dengan apa yang telah dicapai dan mengelakkan menyentuh isu-isu sensitif," katanya.

Katanya, UMNO dan semua parti komponen BN sentiasa bersedia bekerjasama untuk memastikan tiada pihak yang tidak bertanggungjawab membangkitkan isu sensitif di negara ini terutama tentang perkauman.

Naib Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam pula berkata, parti-parti komponen BN tidak berhasrat untuk membangkitkan isu-isu sensitif demi kebaikan bersama.

Katanya, apa yang disuarakan oleh raja-raja Melayu itu seharusnya diberi perhatian mendalam oleh semua parti komponen BN dan juga rakyat Malaysia.

''Setiap kaum di negara ini mempunyai hak tersendiri dan setiap orang harus menghormatinya dan tidak perlu mempertikaikan hak kaum lain.

''Hanya langkah ini membantu masyarakat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan damai serta membantu mengukuhkan lagi semangat perpaduan di kalangan generasi muda akan datang,'' katanya

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong pula berkata, pandangan raja-raja Melayu tersebut seharusnya dipandang serius pihak parti politik di negara ini.

"Apa yang penting bagi kita semua adalah keharmonian kaum yang perlu dijaga sepanjang masa. Kita harus memandang serius apa yang diperkatakan dan peringatan oleh raja-raja Melayu itu," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Elak budaya robot - Najib

UM - 2/11/10

PUTRAJAYA 1 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kakitangan awam menjauhi 'budaya automasi' atau bersikap seperti robot sebaliknya berfikiran kritis dan konstruktif semasa bekerja.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sejajar dengan usaha transformasi negara melalui produktiviti kerja, setiap kakitangan awam perlu mencari penyelesaian secara kreatif dan inovatif.

Justeru, kata beliau, semua ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan perlu secara berterusan membudayakan inovasi di dalam persekitaran kerja dan berusaha melakukan yang terbaik.

''Saya mahu melihat keberkesanan satu mekanisme yang boleh menggalakkan setiap warga kementerian berkongsi idea-idea kreatif dan bernas bagi memudahkan tugasan seharian supaya lebih efisien dan efektif.

''Keadaan ini seharusnya memberikan impak yang positif kepada perkhidmatan kerajaan sekali gus membawa kepada kepuasan rakyat," katanya ketika berucap semasa sambutan Hari Inovasi Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Najib berkata, proses membudayakan inovasi bukan hanya memfokus kepada ruang yang sempit melibatkan penghasilan kerja semata-mata sebaliknya perlu dilihat daripada pelbagai aspek kerja seorang penjawat awam.

Sehubungan itu, beliau yakin dengan membudayakan inovasi, kementerian tersebut dapat meningkatkan lagi daya saing dan nilai tambah terhadap penghasilannya.

/hwa: utusan.com.my/

‘Dolar seperti tisu tandas’– Dr. M

UM - 2/11/10


TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD Bekas Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Penggunaan dinar emas perlu dipertimbangkan oleh semua kerajaan negara dunia kerana kestabilan nilainya berbanding penggunaan mata wang yang tidak menentu naik turunnya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah menggunakan dinar emas sebagai ganti mata wang utama seperti dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pelbagai transaksi juga boleh menghentikan perang mata wang

Katanya, dolar AS kini sudah tidak bernilai seperti mana beberapa tahun dahulu dan penggunaan mata wang kertas juga tiada lagi sehebat sebelum krisis ekonomi pada tahun 1997/98 dan penggunaan dinar emas adalah jalan penyelesaian terbaik.

“Mata wang AS kini boleh dianggap sebagai tisu tandas kerana nilainya semakin menyusut dan tidak berharga berbanding emas yang diterima di semua negara dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Pertama Mengenai Riba di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata bekas Perdana Menteri itu, dinar emas tidak sesuai untuk digunakan dalam urus niaga runcit seperti mana hasrat Kerajaan Kelantan yang mahu menggunakan dinar emas dalam transaksi jual beli.

Mengulas lanjut kata beliau, penyusutan nilai dolar AS pada ketika ini menjadi satu masalah yang cukup besar kepada negara-negara yang menyimpan dan bergantung kepada nilai mata wang itu.

“Jika setiap negara menurunkan nilai mata wangnya, pasti akan ada perang mata wang dan sudah tentu, menyumbang kepada krisis,” katanya.

Beliau tetap berpegang bahawa emas mempunyai nilai kukuh dan merupakan nilai yang lebih baik berbanding mata wang.

“Mata wang tidak ada sokongan kecuali dicari oleh orang ramai. Sekiranya negara-negara mula menurunkan nilai mata wang mereka, akan berlaku kekecohan dalam perdagangan antarabangsa,” kata Dr. Mahathir.

Terdahulu dalam ucaptamanya, negara-negara Islam mesti membangunkan pengurusan sistem kewangan Islam yang berhemat. Ia mesti lebih baik berbanding sistem kewangan konvensional sedia ada, yang mampu menampung kejutan dan tidak dimanipulasi penyangak.

Dengan peserta industri mencari jalan untuk mencergaskan kewangan, sistem kewangan global sendiri amat memerlukan pengurusan yang sempurna, katanya.

“Saya jangka kewangan Islam akan berkembang, tetapi cabarannya ialah pengurusan berhemat dan sistem yang lebih baik. Jangan ikut sistem konvensional yang berurusan dalam segala bidang,” katanya.

Antara gesaan beliau kepada negara Islam ialah menggunakan dinar emas sebagai alternatif, bagi mengurangkan pergantungan terhadap dolar AS sebagai mata wang global untuk perdagangan.

/hwa: utusan.com.my/

Tiga rakyat Malaysia terima Anugerah Endeavour

UM - 01/11/10

PUTRAJAYA 1 Nov. - Tiga rakyat Malaysia akan menerima Anugerah Endeavour Australia Asia yang membolehkan mereka menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan menjalankan penyelidikan di negara tersebut.

Mengumumkan demikian hari ini, Perdana Menteri Australia, Julia Gillard berkata, pemberian anugerah berprestij itu merupakan sokongan daripada kerajaannya untuk membantu pelajar Malaysia di Australia.

"Dalam soal pendidikan, kita ada hubungan dan kerjasama yang amat baik dengan 23,000 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di Australia.

"Pelbagai kerjasama dilakukan dan kita mahu mengukuhkan hubungan sedia ada dengan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra di sini.

Gillard yang tiba malam tadi adalah dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke negara ini. Beliau berlepas pulang petang ini.

Anugerah Endeavour merupakan biasiswa yang diberikan oleh kerajaan Australia kepada pelajar antarabangsa untuk tujuan pelajaran dan penyelidikan dalam pelbagai bidang di Australia.

Pada Januari lalu, Dr. Jegajeeva Rao dari Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) telah dipilih sebagai rakyat Malaysia pertama menerima biasiswa bernilai RM630,500 melalui Anugerah Endeavour.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Malaysia mahu bekerjasama dengan Australia untuk memajukan pendidikan dan latihan vokasional di negara ini.

"Pendidikan vokasional di Malaysia masih ketinggalan dan kita mahu bekerjasama dengan pihak Australia dalam bidang ini.

"Kita mempunyai kerjasama yang baik melalui universiti kedua-dua negara dan kita mahu menandatangani MoU dalam bidang pendidikan dan pengajian tinggi," katanya.

/hwa: utusan.com.my/