10 November 2011

Kepemimpinan Najib dipuji

  NAJIB   diiringi Muhyiddin bersalaman dengan orang ramai yang menyambut kepulangannya dari tanah suci  Makkah selepas mengerjakan haji di Kompleks Bunga Raya KLIA, semalam.
NAJIB diiringi Muhyiddin bersalaman dengan orang ramai yang menyambut kepulangannya dari tanah suci Makkah selepas mengerjakan haji di Kompleks Bunga Raya KLIA, semalam.

Arab Saudi beri penghormatan luar biasa terhadap Malaysia di Istana Mina


SEPANG: Raja Arab Saudi Raja Abdullah Aziz Al-Saud memandang tinggi terhadap Malaysia dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malah baginda, yang juga pengawas Masjidil Haram turut menyatakan sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan Najib dalam mentadbir negara.
Baginda bertitah demikian kepada Najib melalui perbualan telefon antara baginda yang berada di Riyadh dan Najib yang berada di Istana Tetamu Mina jam 7.45 malam Isnin lalu, selama 25 minit.
Najib dalam ucapannya sebaik tiba dari tanah suci di Kompleks Bunga Raya KLIA di sini, semalam, berkata: “Ini menunjukkan kerajaan Arab Saudi khususnya Raja Abdullah yang juga Custodian of the Holy Mosque dan seluruh kepimpinan Islam kerajaan Arab Saudi memandang tinggi kepada Malaysia dan kerajaan kita.”

Najib berkata, sokongan itu menunjukkan kepimpinan Malaysia berada pada landasan yang betul dan benar, dan ini menguatkan lagi semangat pemimpin negara untuk terus berjuang.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bondanya, Tun Rahah Mohamad Noah serta rombongan tiba dengan pesawat khas jam 3.25 petang, dan disambut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Perdana Menteri juga berkata, Malaysia turut diberi penghormatan luar biasa oleh kerajaan Arab Saudi ketika beliau berada di sana bagi menunaikan ibadah haji.
“Malam tadi, saya adalah ketua kerajaan pertama dapat berjumpa dengan Putera Mahkota yang baru, Putera Naif (Abdul Aziz) dalam satu pertemuan yang berlangsung sejam setengah,” katanya mengenai Putera Naif yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi.

Katanya, tidak pernah dalam sejarah, Malaysia diberi penghargaan apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diberi penghormatan memberikan ucapan dalam bahasa Arab di Istana Mina dan mendapat pujian tinggi semua yang hadir.

Najib juga melahirkan penghargaan kepada Muhyiddin kerana menjalankan pentadbiran dengan begitu baik sepanjang beliau tiada di dalam negara.

Perdana Menteri berterima kasih kepada mereka yang menyambut ketibaan beliau dan isteri dan berkata: “Alhamdulillah, kami selesai melakukan ibadah haji dan mudah-mudahan Allah menerima ibadah kami dan menerimanya sebagai haji mabrur.

“Maka dengan ini, kita akan meneruskan perjuangan kita dengan semangat dan kekuatan serta keimanan untuk memastikan matlamat dan cita-cita kita akan tercapai,” katanya. – BERNAMA.

/hwa: bharian.com.my | 10/11/11

Balik Menunai Haji 2011

9 NOV. 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mengaminkan doa sejurus tiba dari mengerjakan ibadat haji di tanah suci Mekah ketika tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Turut sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. - Bernama

Haji 2011

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertemu Timbalan Gabenor Wilayah Makkah, Dr Abdulaziz Al Khedheiri di bilik orang kenamaan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah sebelum berlepas kembali ke tanah air, awal pagi ini. Perdana Menteri dan rombongan berada di Arab Saudi untuk menunaikan haji. - Foto BERNAMA
Nov 9, 2011 4:41 pm

Musim haji tahun ini berjaya – TPM Arab Saudi


Jemaah haji berdoa di Jabar Rahmah, Padang Arafah, sebelum menuju ke Mina. – REUTERS

MINA 9 Nov. – Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Naif menggambarkan perjalanan haji pada tahun ini sebagai kejayaan paling gemilang berbanding musim-musim haji sebelum ini.

Naif yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri berkata, situasi antarabangsa telah berubah dan timbul kebimbangan sesetengah pihak akan mengeksploitasi ibadah haji untuk mencetuskan kekacauan, tetapi syukur kepada Allah, perkara itu tidak berlaku.

Beliau bercakap pada satu majlis malam tadi untuk meraikan para pegawai pasukan keselamatan haji di ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri di Mekah.

“Hakikatnya kita perlu mengucapkan terima kasih kepada semua jemaah haji kerana mereka telah membuktikan mereka adalah orang Islam yang menunaikan kewajipan agama mereka dan mereka semua telah memberi kerjasama,” ujar Putera Mahkota itu, menurut laporan Arab News.

Kata Naif, pihak berkuasa hanya mahu memastikan seluruh umat Islam dapat menunaikan ibadah haji dengan lancar dan tanpa masalah.

“Kita tidak melihat negara asal jemaah atau mana-mana isu politik.

“Kita melihat mereka sebagai jemaah haji dan Islam, dan kerana itu kita menyediakan apa jua kemudahan yang membolehkan mereka menunaikan haji dengan selesa, selamat, dalam keadaan sihat dan aman,” kata Naif. – Agensi

/hwa: utusan.com.my | 10/11/11

Malaysia miliki ramai pemimpin ikon



KUALA LUMPUR 9 Nov. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dianugerahkan BrandLaureate Legendary Brand ICON Leadership Award 2011, di sini malam tadi.

Turut menerima anugerah utama pada majlis anjuran BrandLaureate tersebut adalah Pengerusi Berjaya Corp., Tan Sri Vincent Tan (The BrandLaureate Man of the Year) dan Pengerusi K&N Kenanga Holdings Bhd., Datuk Noor Zakiah (The BrandLaureate Woman of the Year).

Presiden The BrandLaureate, Dr. KK Johan berkata, terdapat ramai pemimpin yang hebat di dunia hari ini tetapi antara mereka yang layak digelar ikon adalah sedikit.

‘‘Ikon bermaksud tahap tertinggi dalam sesuatu bidang, berani mengambil risiko dan mengubah budaya pemikiran untuk menjadi lebih baik.

‘‘Sejarah telah membuktikan pemenang hari ini memiliki keunikan luar biasa dalam bidang masing-masing dan berada di kelas tersendiri,’’ katanya di dalam ucapan pembukaan majlis penyampaian anugerah tersebut malam ini.

Turut hadir pada malam tersebut adalah 37 pemenang lain dan dimeriahkan lebih 500 orang tetamu.

Antara penerima anugerah kategori The BrandLaureate Premier adalah Pengerusi Top Glove Corp. Bhd., Tan Sri Lim Wee Chai dan Presiden Public Bank Bhd., Tan Sri Teh Hong Piow.

Sementara itu Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Bhd., (PNB) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman telah dianugerahkan The BrandLaureate Most Eminent.

Manakala Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd., (TNB) Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh dianugerahkan the BrandLaureate Transformational Corporate Leader.

Turut memenangi anugerah yang sama adalah Pengarah Urusan Bank Islam Bhd., Datuk Seri Zukri Samat dan Pengarah Urusan Kumpulan, Proton Holdings Bhd., Datuk Seri Syed Zainal Abidin Mohamed Tahir.

/hwa: utusan.co.my | 10/11/11

Gabungan pembangkang belum sah!




PENDAFTAR Pertubuhan Malaysia (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman masih seperti penampilannya semasa di Jabatan Imigresen dahulu suka berterus terang.

Meskipun kenyataan yang dikeluarkan beliau pahit untuk ditelan pihak tertentu namun itulah fakta yang dipegang oleh bekas Ketua Pengarah Imigresen itu.

Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di Presint Diplomatik, Putrajaya semalam, Abdul Rahman mengulas mengenai dakwaan pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, PKR dan Pas baru-baru ini bahawa mereka mengesyaki terdapat ‘muslihat politik’ apabila ROS enggan meluluskan permohonan pendaftaran mereka untuk menjadi satu parti.

Bagi Abdul Rahman, adalah penting untuk ROS menjelaskan kedudukan sebenar isu ini setelah begitu bersungguh-sungguh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, Ketua Pemuda DAP,

Anthony Loke dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Dr. Hatta Ramli menyerang ROS pada satu sidang akhbar di lobi Parlimen 3 November lalu.

UTUSAN: Benarkah dakwaan pakatan pembangkang bahawa ROS sengaja tidak mahu mendaftarkan ‘Pakatan Rakyat’ kerana takut mereka akan menjadi satu entiti yang kuat untuk mencabar Barisan Nasional (BN)?

ABDUL RAHMAN: Realitinya ke arah sistem dua parti ini bermakna BN dianggotai 14 parti dan pakatan pembangkang disertai tiga parti iaitu DAP, PKR dan Pas. Cuma pembangkang di negara ini belum buat sebarang pendirian kepada sistem dua parti ini.

Sistem ini ada baik dan buruknya. Kalau bercakap tentang sistem ini, ia hanya ada di Amerika Syarikat iaitu Demokrat atau Republikan. Kalau pergi ke United Kingdom, Singapura atau Indonesia pun tidak ada sistem ini. Yang ada, hanyalah banyak parti dan buat gabungan semasa berlangsungnya pilihan raya sahaja.

Pilihan raya seterusnya, mereka buat gabungan lain pula. Ramai sarjana politik kata demokrasi masih baru di Malaysia. Dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula kata pakatan perlu mendaftar dengan ROS sebagai satu entiti politik.

Ini kerana mereka selalu dilihat melanggar peraturan kempen pilihan raya, terutama berhubung isu penggunaan logo. Logo parti yang tidak bertanding dilarang dipasang atau digunakan untuk berkempen kerana ia menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pembangkang kata terdapat muslihat politik apabila ROS enggan meluluskan permohonan pendaftaran mereka menjadi satu parti.

Mereka ini (pakatan pembangkang) tidak bersungguh-sungguh sangat pun ke arah itu (gabungan). Yang mereka kata Datuk Zaid Ibrahim (bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR dan AJK Biro Politik PKR) hantar permohonan tu tidak ada apa-apa pun.

Dia (Saifuddin) sendiri pun tak faham bahawa bila Datuk Zaid tidak lagi jadi ahli PKR (pada 14 November 2010 setelah umumkan keluar daripada PKR) dan tidak ada kedudukan lagi dalam parti itu, maka permohonan itu terbatal dengan sendirinya.

Bila tak faham, dia bising pada press (surat khabar). ROS tak boleh bagi kelulusan sebab individu yang memohon (untuk dibentuk gabungan) itu sudah meletak jawatan.

Cuma kita akui, ‘buruknya ROS’ sebab kita tak nasihatkan dia (pakatan pembangkang) dalam keadaan dia tak faham bahawa apabila Datuk Zaid keluar sahaja, kedudukan permohonan itu sudah menjadi tiga kedudukan.

Maksudnya yang pertama ialah kalau kita luluskan, kita sebenarnya luluskan kepada Datuk Zaid kerana dialah pemohon. Ini bermakna, kelulusan kepada Datuk Zaid tetapi kalau kita bagi, jadi bodohlah kita sebab kita tahu dia bukan lagi ahli PKR.

Yang kedua, kita tolak sahaja permohonan itu. Tetapi bila tolak nanti, pembangkang akan kata ‘kami nak buat rayuan pada menteri’. Sedangkang realitinya, permohonan itu sudah tidak ada locus standi.

Kepada pakatan pembangkang ini ialah semuanya buruk ROS sebab tak luluskan permohonan mereka namun hakikatnya Saifuddin, Dr. Hatta dan Anthony masih bicarakan berkisar permohonannya yang dahulu.

Agaknya motif apa pembangkang berbuat begitu?

Dia dok bising sebab saya tak luluskan. Yang saya pula tak luluskan sebab tidak ada apa yang saya nak luluskan sebab pemohon itu sudah tidak ada dalam PKR. Mereka juga kata saya selalu main politik sebab kononnya dengan mudah pula luluskan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang diketuai Datuk Zaid. KITA ini cuma ditukar nama daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dan bukannya satu parti baru.

Tetapi Saifuddin mendakwa mereka sudah lantik Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar untuk teruskan usaha Datuk Zaid itu, benarkah?

Mereka ada dakwa bahawa Datuk Kamaruddin telah datang dan kononnya saya tak mahu terima. Eh! takkanlah seorang Ahli Parlimen datang saya boleh tolak macam itu sahaja. Ini cerita baru yang ditimbulkan Saifuddin. Saya sudah check dengan jabatan saya, memang tak pernah Datuk Kamaruddin datang untuk hantar permohonan yang baru.

Andai kata ada permohonan daripada pakatan pembangkang untuk bentuk gabungan seperti BN, boleh dibenarkan?

Kalau dengan gabungan tiga parti sahaja, ROS boleh luluskan. Malah, kalau nak buat parti asing-asing seperti sekarang pun tak ada masalah. PKR dengan gabungan tujuh ahli pun boleh dibentuk, inikan pula DAP, PKR dan Pas nak bentuk gabungan, silakan.

Pada pandangan Datuk kenapa mereka masih tak mahu bentuk gabungan?

Sebenarnya mereka ada masalah pada peringkat akar umbi. Masih bercakaran sesama sendiri. Kalau kita luluskan pun, mereka akan bermasalah.

Itu sebabnya mereka ‘main kat luar’ sahaja. Tambah lagi, permohonan yang pertama pun ‘dah ghaib’. Pas ke, DAP ke, PKR ke...mereka ini memang tak serius pun.

Ada kemungkinan juga sebab pembangkang di Sabah dan Sarawak tak mahu sertai mereka?

Ikutkan... di sana pun tak hebat mana pun. Contohnya parti SUPP tidak sehebat mana. Yang hebat pun katakanlah di Sarawak iaitu SNAP, tapi SNAP pun tidak boleh buat apa pun sebab sudah tujuh tahun naik turun mahkamah. Sekarang pun masih mencabar keputusan ROS.

Proses itu masih berlangsung di mahkamah dan sudah masuk tujuh tahun, tak boleh ke mana lagi. Nanti mati macam itu sahajalah. Mereka tak mahu buat parti baru tapi nak cabar di mahkamah.

Jadi, macam mana ROS nak tamatkan polemik pembangkang ini?

Kalau betul-betul berani, kemukakanlah permohonan. Kenapa nak bising-bising di luar. Saya sudah check dengan staf saya, memang Datuk Kamaruddin tak pernah datang ke ROS.

Cuma, saya persoalkan di sini, mereka (pembangkang) ini ada ramai bijak pandai dari kalangan peguam. ‘Bergasak’ sana sini dalam mahkamah. Tapi mengapa tidak buat apa-apa. Seperti sidang akhbar pada 3 November lepas, janganlah buat-buat tak faham.

Pesan saya kepada mereka walaupun politik ini isu nak dapatkan kuasa tapi janganlah kita lupa perkara-perkara asas. Ini tidak! untuk kita dapatkan kuasa, atas nama kuasa, kita bohong orang. Tak bolehlah macam itu.

/hwa: utusan.com.my | 10/11/11

9 November 2011

Rewang Korban Perdana

8 NOV. 2011: Peneroka Felda, Md. Jalil Maslan, 60, (berkopiah) menerangkan kaedah menoreh getah kepada sekumpulan wartawan yang membuat liputan sempena majlis Seranta Serancangan bersama Media Edisi Khas Rewang Korban Perdana di Felda Tun Ghafar, Hutan Percha, Alor Gajah, Melaka. - Utusan/GAIE UCHEL

'Guerbang Jie' meriah di Masjid Nujie


Penulis bersama penuntut Malaysia dari Beijing Language and Culture University dan Beijing Foreign Studies University merakamkan kenangan bersama umat Islam pelbagai etnik di China selepas solat sunat Aidiladha di Masjid Nujie, Beijing.

KELMARIN, lebih 20 juta umat Islam di China meraikan Hari Raya Aidiladha atau disebut dalam bahasa Cina 'Guerbang Jie' secara sederhana tetapi penuh dengan kesyukuran.

Di daerah-daerah yang secara tradisional penduduknya beragama Islam seperti di wilayah barat Qinghai, Gansu dan Yunnan, Kawasan Autonomi Hui Ningxia dan Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, beribu-ribu Muslimin membanjiri masjid-masjid di seluruh China untuk menunaikan solat Aidiladha dan melakukan ibadah korban.

Meskipun Aidiladha disambut lewat sehari daripada umat Islam di Malaysia yang merayakannya pada 6 November, bagi umat Islam di China - tradisi merayakan Aidiladha adalah sebagai satu kejayaan bagi jutaan Muslimin yang menunaikan ibadah haji di Mekah. Pada masa sama, ia mengingatkan tanggungjawab setiap Muslimin agar saling bantu-membantu kepada mereka yang memerlukan dan menyucikan diri dengan memberikan sedekah.

Lebih penting adalah penghayatan daripada peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang diperintahkan oleh Allah SWT supaya mengorbankan putera baginda, Nabi Ismail a.s.

Menjadi salah seorang penduduk Beijing, saya sebenarnya tidak terkecuali menempuh 'pahit-manis' pengalaman menyambut Aidiladha sebatang kara di China - negara yang diperintah Parti Komunis China.

Pahit kerana ini merupakan pengalaman pertama kali saya menyambut Aidiladha tanpa keluarga di sisi selain 'kejutan budaya' meraikan Aidiladha ekoran perbezaan budaya antara Malaysia dan China - meskipun kita meraikan hari raya yang sama.

Pun begitu, ada juga manisnya kerana saya dapat bersama-sama ribuan umat Islam dari hampir sebahagian besar pelosok dunia yang turut mengambil kesempatan menunaikan solat Aidiladha di Masjid Nujie yang terletak di Daerah Xicheng, yang merupakan masjid tertua di Beijing.

Sejarah menarik tentang Masjid Nujie, ia dibangunkan pada tahun 996 Masehi sewaktu China berada di bawah pemerintahan Dinasti Song dan reka bentuk masjid ini amat unik kerana seni binanya memperlihatkan ciri-ciri budaya dan kesenian Cina.

Justeru, sekali pandang Masjid Nujie kelihatan seperti bangunan-bangunan lama Cina yang lain namun kaligrafi dan tulisan Arab yang memenuhi seluruh ruangan masjid itu menyerlahkan identitinya sebagai sebuah rumah ibadah muslimin.

Masjid Nujie menyimpan banyak lipatan sejarah perkembangan awal Islam ke China bahkan di masjid ini jugalah masih tersimpan naskhah tulisan tangan dua ulama tersohor pada zaman pemerintahan Kublai Khan tentang sejarah awal Islam di China.

Catatan sejarah menyebut, sewaktu Kublai Khan yang berbangsa Mongol memerintah China, kerajaannya yang dikenali sebagai Dinasti Yuan mengamalkan dasar pemerintahan memihak kepada umat Islam.

'Kehebatan' sejarah yang disimpan Masjid Nujie inilah yang memungkinkan masjid ini menjadi destinasi tarikan pelancong . Ini turut diakui oleh Muhammad Saddique, 24, dari Pakistan yang merupakan penuntut di Peking University, Beijing.

''Saya lebih suka solat Aidiladha malah solat Jumaat di Masjid Nujie berbanding masjid di Kedutaan Pakistan yang terletak di Daerah Chaoyang kerana keagungan sejarah dan seni bina masjid ini," katanya yang telah empat tahun menetap di Beijing.

Benar, Masjid Nujie bukan sekadar menjadi tempat 'berhimpun' Muhammad dan rakan senegaranya atau bagi penuntut Malaysia dari Beijing Language and Culture University dan Beijing Foreign Studies University atau pelancong dari Indonesia, Singapura dan pelancong-pelancong dari Barat.

Lebih menarik dari semua itu, Masjid Nujie sebenarnya adalah tempat 'bersatunya' penduduk Islam di China yang tidak terbatas kepada etnik Hui yang mewakili 20 peratus penduduk Islam di China semata-mata tetapi juga etnik Uyghur, Kazak, Tartar, Salar, Dongxiang, Tajik, Uzbek dan Baoan.

Malah, bumbung Masjid Nujie ini juga tidak terkecuali 'menyatukan' orang Islam Han yang membentuk majoriti penduduk di negara China dengan etnik-etnik Islam minoriti. Kesempatan meraikan Aidiladha dengan mereka, satu hal yang saya sedari - wajah suku etnik Islam ini ternyata berbeza dengan wajah-wajah orang Cina. Mungkin kerana darah campuran yang mengalir dalam tubuh mereka.

Keunikan ini menjadikan umat Islam di China sebagai suatu kelompok etnik yang istimewa dengan identiti, budaya, dan cara hidup yang unik - satu pengalaman baru yang saya timba pada sambutan Aidiladha di negara ini.

/hwa: utusan.com.my | 9/11/11

PM dan rombongan berlepas pulang dari Arab Saudi

9/11/2011 11:45am

JEDDAH 9 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rombongannya berlepas dari Arab Saudi untuk kembali ke tanah air awal hari ini.

Pesawat yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta rombongan itu berlepas dari terminal Royal Pavilion Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di sini kira-kira pukul 1 pagi (6 pagi waktu Malaysia).

Antara yang berada di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan ialah Timbalan Gabenor Wilayah Mekah Dr. Abdulaziz Al Khedheiri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Duta Besar Malaysia di Arab Saudi, Prof Datuk Syed Omar Al-Saggaf; Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohd Khalid Abdul Razak serta beberapa barisan pemimpin Lembaga Tabung Haji.

Najib bersama rombongan beliau, yang antara anggotanya termasuk bondanya, Tun Rahah Mohamad Noah serta adiknya, Datuk Mohamed Nazim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, tiba di Arab Saudi pada 31 Oktober lepas untuk menunaikan ibadah haji.

Rabu lepas, Najib dan Rosmah sempat meluangkan masa mengunjungi ibu pejabat Tabung Haji di bangunan Hotel Abraj Al Janadiriah di sini, dan beramah mesra dengan para jemaah haji Malaysia yang menginap di hotel berkenaan.

Isnin lepas, Najib bersama pemimpin Islam yang lain yang berada di tanah suci untuk mengerjakan ibadah haji, diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi Putera Mahkota Naif Abdul Aziz. - Bernama

/hwa: utusan.com.my | 9/11/11

Kebiadapan pertikai ibadah korban cabar orang Melayu

Oleh Razak Ghows
bhnews@bharian.com.my
2011/11/09

Sikap tak hormati kepercayaan agama, sensitiviti kaum boleh gugat keharmonian negara

RATA-RATA orang Melayu di negara ini berasa kian tercabar. Bukan saja hak Melayu dipertikaikan golongan tertentu, amalan agama pun mula dicampuri pihak lain.

Golongan ini dilihat semakin berani ‘menjaga tepi kain’ orang Melayu. Mereka cuba mengambil kesempatan daripada keterbukaan dan toleransi dengan mempertikaikan cara umat Islam melaksanakan hukum Allah sempena Aidiladha.

Ibadah korban bukan amalan yang baru dilaksanakan, ia juga bukan adat atau budaya. Ia adalah perintah diturunkan Allah SWT ke atas umatnya mengambil sempena peristiwa Korban oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.

Selepas itu timbul pula kenyataan Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) mengenai ibadah korban yang dilaksanakan umat Islam pada Aidiladha. Mereka mahukan umat Islam tidak meneruskan amalan korban di kawasan terbuka.

Dalam hubungan ini, kita hairan kenapa PAS tidak mengeluarkan kenyataan bagi membantah tindakan pihak tertentu itu berhubung amalan korban di negara ini. Sebagai anggota pakatan pembangkang, PAS diharap memainkan peranan menasihati rakan politiknya agar tidak mudah memberi pandangan mengenai isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Persoalannya, kenapa tatkala kita tidak pernah mempertikaikan cara mereka m elakukan ibadah, mereka cuba mencampuri urusan ibadah orang Islam?

Selama ini ibadah korban sememangnya dilakukan di tempat dikhaskan, iaitu di pekarangan masjid atau di tanah lapang atau taman permainan di sebelah masjid.

Tidak pernah pula ibadah korban dilakukan di kompleks beli-belah atau tempat awam di mana terdapat ramai penganut agama lain, jadi tidak timbul soal ia dilakukan di tempat terbuka dalam erti kata dipamerkan kepada orang bukan Islam.

Biasanya hanya orang Islam saja hadir sama ada untuk membantu menyembelih dan melapah atau menyaksikan korban yang dilakukan itu. Islam tidak harus dipersalahkan jika secara kebetulan ada orang bukan Islam. Mereka mungkin berada di situ atas pilihan sendiri dan tiada sesiapa menjemput mereka berada pada majlis korban berkenaan.

Pengerusi Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Bakar, berkata mana-mana pihak sekali pun tidak harus mempertikaikan ibadah korban itu kerana ia dilakukan mengikut syariat.

“Korban itu untuk orang Islam dan agama Islam mengingatkan kita supaya melakukan ibadah berkenaan,” katanya.

Sementara itu Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berpendapat pihak tertentu sengaja mengambil kesempatan mengutuk amalan itu dengan tujuan menghina.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam diharamkan mempertikaikan cara orang lain beribadah, justeru tidak wajar bagi pihak lain mempersoalkan cara orang Islam.

Begitu juga apabila penganut agama Hindu meraikan Thaipusam dengan berarak melalui jalan raya utama di setiap bandar di negara ini dan masyarakat Cina merayakan pesta tanglung sementara penganut Taoisme merayakan pesta hantu. Pada perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali pula, mereka bermain mercun sehingga ke tengah malam.

Masyarakat Melayu bersikap toleran dan tidak mencampuri urusan ibadah mereka kerana memahami itu adat dan kepercayaan agama masing-masing.

Sejak merdeka lagi kita sudah menyaksikan pelbagai kaum mengamalkan adat dan agama masing-masing dan hidup dalam keadaan harmoni dan aman.

Kepelbagaian inilah mencorakkan kehidupan majmuk di negara ini. Ia menjadi inti pati yang sepatutnya dihormati semua pihak. Dalam masyarakat majmuk, agama lain perlu menghormati hak agama Islam seperti umat Islam juga kena menghormati hak dan kebebasan rakyat bukan Islam di negara ini.

Selain mempertikaikan amalan dalam agama Islam itu, pihak tertentu juga kini hebat mempertahankan perjuangan membela golongan homoseksual dan lesbian menerusi penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011.

Sebelum ini terdapat banyak laporan mengenai usaha memurtadkan orang Islam. Pelbagai usaha dibuat mereka untuk mengancam dan mengganggu-gugat orang Melayu dan Islam di negara ini, yang mendorong kepada penganjuran Himpunan Sejuta Umat Islam yang mendesak kerajaan menggubal Akta Murtad dengan seberapa segera yang boleh.

Melihat perkembangan ini dan beberapa ancaman lain terhadap umat Islam akhir-akhir ini, kerajaan tidak boleh terus mendiamkan diri. Kerajaan selaku pihak berkuasa harus mengambil tindakan menegur persatuan atau individu yang cuba mengancam keharmonian dinikmati rakyat selama ini.

Mereka tidak boleh dibiarkan mengeluarkan kenyataan sesuka hati tanpa teguran atau tindakan. Tanpa tindakan, ia boleh menimbulkan salah tanggapan apa saja boleh dilakukan atas nama kebebasan atau dasar liberal dan tentunya ia tidak sihat bagi keharmonian negara.

/hwa: bharian.com.my | 9/11/11

8 November 2011

Benarkah umat Islam semakin lemah?

DALAM khutbah sempena Aidiladha, kelmarin Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al Sheikh telah memberikan peringatan kepada umat Islam supaya tidak diperalatkan sehingga menyebabkan rakyat dan pemimpin bertelagah.

Ia adalah satu peringatan yang tepat pada masanya ketika umat Islam di seluruh dunia sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut.

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negara-negara Islam di Asia Barat yang satu demi satu terjerumus dalam lembah huru-hara akibat campur tangan pihak asing.

Atas nama demokrasi, hak asasi dan keadilan, pihak-pihak asing dengan mudah memberi bantuan ketenteraan kepada puak pemberontak yang menyokong agenda mereka untuk menjatuhkan pemimpin Islam yang mereka tidak sukai.

Bermula dengan Iraq pada tahun 2003, negara-negara Islam yang pemimpinnya dilihat tegas menentang 'penjajahan baru' yang cuba dilakukan oleh negara-negara barat terus menjadi sasaran untuk ditumbangkan.

Bersandarkan kepada slogan keramat, 'Kuasa Rakyat', satu demi satu negara Islam dilanda pergolakan politik dalaman yang akhirnya menyebabkan mereka terjebak dalam huru-hara dan kacau bilau.

Agenda pihak asing untuk melemahkan pemimpin dan negara Islam menjadi begitu mudah apabila ada antara umat Islam sendiri bersedia menjadi 'kuda tunggangan' mereka kononnya atas nama memperjuangkan demokrasi dan menegakkan keadilan.

Tetapi persoalannya, apakah yang berlaku kepada negara Islam tersebut selepas agenda pihak asing untuk menyingkirkan pemimpin yang mereka tidak disukai sudah berjaya?

Jawapannya mudah, tiada apa-apa, sebaliknya sehingga ke hari ini kestabilan politik dan keamanan masih lagi menjadi sekadar mimpi sedangkan pihak-pihak asing yang terlibat sudah pun meninggalkan mereka.

Ini kerana pihak asing berkenaan bukannya jujur dan ikhlas untuk membela nasib umat Islam yang didakwa tertindas sebaliknya hanya mahu memastikan tidak ada mana-mana pemimpin atau negara Islam yang kuat.

Sebab itulah Sheikh Abdul Aziz dalam khutbahnya mengingatkan, ''Umat Islam perlu menyelesaikan masalah sesama mereka menerusi dialog, tanpa meminta campur tangan musuh dan berjaga-jagalah terhadap mereka yang mahu mencetuskan pertelagahan antara kamu.''

Sama ada hendak diakui atau tidak, masalah perpaduan di kalangan umat Islam turut berlaku di negara ini.

Perbezaan dan pegangan politik berlainan ideologi terus menjadi 'tembok pemisah' yang seolah-olah begitu sukar untuk dirobohkan selama-lama berpuluh-puluh tahun.

Ada sahaja hujah yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu apabila kita bercakap soal menyatukan ummah di negara ini. Pelbagai usaha yang dilakukan terus menemui jalan buntu kerana segala tindakan lebih berlandaskan kepada 'nafsu politik'.

Keadaan itu telah memungkinkan umat Islam di negara ini dilihat bukan lagi kelompok yang perlu digeruni atau perlu diambil kira sebelum sesuatu tindakan dilakukan.

Ia kerana mereka memahami di dalam kelompok umat Islam itu sendiri berlaku pecah belah dan sukar untuk mencapai sepakat. Malah ia menjadi lebih buruk apabila ada kelompok orang Islam itu bersedia meletakkan perhitungan politik mengatasi segala-galanya.

Lanjutan itu, apa sahaja yang pendirian atau keputusan yang dibuat biar pun demi kepentingan umat Islam ia akan dilakukan dengan mengambil kira apa kata sekutu politik mereka.

Buktinya lihat sahaja apa yang berlaku kepada perhimpunan menentang murtad di Shah Alam dan bantahan ke atas anjuran program mempromosikan seks bebas, Seksualiti Merdeka.

Berapa kerat sangat umat Islam yang benar-benar bersedia untuk melakukan bantahan itu? Mungkin ada sesetengahnya mempunyai urusan tetapi bagaimana dengan penyokong parti-parti politik tertentu yang cukup terkenal dengan sikap mereka suka berhimpun?

Jika mereka boleh menghabiskan masa-masa berjam-jam mendengar ceramah politik yang sudah tentulah isi kandungannya mencerca sesama Islam, kenapakah apabila menyentuh soal berkaitan kepentingan Islam mereka tidak boleh hadir beramai-ramai?

Kenapakah terlalu susah untuk hadir ke acara mempertahankan kesucian Islam tetapi begitu mudah turun ke jalanan memperjuangkan hak demi mendapat kuasa duniawi?

Malahan perpaduan umat Islam juga dilihat semakin rapuh di negara ini apabila sesetengah kelompok yang menganggap diri mereka ulama atau disanjung oleh pengikut-pengikut mereka sebagai 'tok guru' tidak memainkan peranan sebenar-benarnya.

Masih ada yang masih dengan pemikiran jumud dan dikuasai politik sempit apabila menganggap mereka sahaja yang memperjuangkan Islam sebenar manakala puak yang tidak sehaluan dengan mereka dituduh menolak Islam.

Sebahagian ulama dan tok guru ini akan membuat pendirian atau memberi pandangan berlandaskan kepada kecenderungan politik, akibatnya umat Islam terus berpecah-belah.

Pada hari memperingati wukuf baru-baru ini, ada antara mereka ini sanggup mencerca sesama Islam biar pun hakikatnya ia adalah saat terbaik untuk kita mengeratkan silaturahim.

Semua ini hakikatnya boleh dianggap satu tindakan yang akan merapuhkan lagi perpaduan antara umat Islam. Berpolitik biarlah ada batasnya dan jangan kerana nafsu politik dan 'gilakan kuasa' maka perpaduan Islam pun dipertaruhkan.

Ingatlah Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayah 86 yang bermaksud;

''Mereka itulah orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat.

''Justeru itu, mereka tidak akan diringankan azab (pada hari Kiamat) dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (untuk menghindari azab itu).''

Justeru sempena Aidiladhah yang mulia ini, umat Islam perlu menghayati erti pengorbanan sebenar-benarnya. Janganlah kita hanya menghadiri majlis-majlis korban tanpa mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di sebalik ibadah tersebut.

Peringatan Sheikh Abdul Aziz Al Sheikh itu pula perlu dijadikan panduan kerana beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik sebaliknya atas tanggungjawab sebagai Mufti Arab Saudi yang melihat kedudukan umat Islam kini yang semakin lemah.

Sesungguhnya Islam itu agama yang lengkap dan telah berjaya menyatukan umatnya daripada kalangan semua bangsa, setelah cahaya petunjuk sampai ke mereka.

Oleh itu jika kita semua benar-benar patuh kepada ajaran Islam dengan berlandaskan apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis maka sudah pasti umat Islam akan menjadi kelompok yang terkuat dan digeruni di mana sahaja termasuk di Malaysia.

Namun pada masa ini, akui sahaja umat Islam semakin lemah kerana mudah diperalatkan atas nama menegakkan demokrasi, berpecah-belah kerana berbeza mazhab dan dilaga-lagakan demi kepentingan politik merebut kekuasaan, kesudahannya, kita bagaikan buih-buih di pantai, banyak namun tidak memiliki apa-apa kekuatan.

/hwa: utusan.com.my | 8/11/11

Perjuangan 'kosong' Seksualiti Merdeka

Oleh Shamrahayu A Aziz
bhnews@bharian.com.my
2011/11/08

Falsafah hak asasi, kebebasan dan demokrasi utama keselamatan negara

SALAM Aidiladha. Semoga pembaca mendapat rahmat dan hidayah seperti mana mereka yang berjaya menjadi tetamu Allah. Jiwa saya sangat tersentuh dengan isu Seksualiti Merdeka sempena bulan haji umat Islam.
Amat malang, tiada langsung rasa sensitiviti itu. Sudah tentu Seksualiti Merdeka jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan juga agama lain. Ia juga mencemar kedaulatan undang-undang negara.
Mereka bercakap mengenai hak bersuara, tetapi tidak menyebut tanggungjawab mereka ketika melaksanakan hak bersuara. Mereka menyebut mengenai hak berkumpul, tetapi tidak menyebut mengenai kemoralan
Ia bertentangan dengan nilai dan tradisi negara. Ia menolak nilai moral yang mengawal peribadi dan persembahan sahsiah manusia. Ia menidakkan sensitiviti majoriti warga Malaysia. Saya tidak perlu menghuraikannya – pembaca sudah maklum dan golongan ini juga sudah sedia maklum.

Saya tidak pasti apa sebenarnya yang menyuntik keberanian golongan ini untuk bersuara besar. Namun, pada pengamatan saya, ia adalah akibat daripada sifat toleransi pihak majoriti, mungkin juga kelekaan pihak majoriti atau mungkin juga sikap ambil mudah, sehingga membiarkan perkara ini membuak di khalayak.

Ia juga mungkin berpunca daripada sokongan yang disuarakan orang kuat undang-undang negara seperti Badan Peguam Malaysia. Saya juga pernah membaca sokongan Pesuruhjaya SUHAKAM mengenai ini.

Sokongan juga diperoleh daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hak asasi peringkat negara dan juga antarabangsa, seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Amnesty International.
Daripada apa yang saya dapati, prinsip utama perjuangan golongan ini ialah hak asasi, kebebasan dan demokrasi. Ia merangkumi prinsip kesamarataan, kebebasan bersuara dan hak untuk dihormati sebagai golongan minoriti.

Saya mencari piawaian dan kayu pengukur kepada falsafah hak asasi, kebebasan dan konsep demokrasi golongan ini. Tujuan saya ialah untuk berhujah secara ilmiah tanpa bersangka buruk.

Malangnya apa yang saya dapati hanyalah hujah kosong yang tidak mempunyai sandaran kukuh dalam falsafah hak asasi, kebebasan dan demokrasi itu sendiri. Saya dapati golongan ini hanya mengambil kira bahagian dokumen antarabangsa yang menyokong tindakan atau perjuangan mereka.

Mereka sewenang-wenang meminggirkan peruntukan yang tidak menyokong mereka. Sebagai contoh, mereka hanya mengetengahkan hak kesamarataan, tetapi tidak memberi, walau sedikit, perhatian kepada pengecualian yang dibenarkan oleh hak asasi itu sendiri.

Mereka bercakap mengenai hak untuk bersuara, tetapi mereka tidak menyebut mengenai tanggungjawab mereka ketika melaksanakan hak bersuara. Mereka menyebut mengenai hak berkumpul, tetapi tidak menyebut mengenai kemoralan.

Mereka bercakap mengenai hak minoriti, tetapi tidak menghormati hak majoriti seperti kehendak demokrasi itu sendiri.

Suka saya berkongsi dengan pembaca bahawa falsafah berkaitan hak asasi, kebebasan dan demokrasi itu mahukan kita mengambil kira keselamatan negara, keselamatan awam, ketenteraman awam, kesihatan awam, kemoralan awam dan juga hak dan kebebasan orang lain.

Saya bukan sesuka hati mencipta mengenai nilai, falsafah atau kayu pengukur hak, kebebasan dan demokrasi ini. Ia disebut secara harfiah dalam Perkara 18, 19, 21 dan 22 dokumen antarabangsa, International Covenant on Civil and Political Rights, iaitu instrumen yang sering dirujuk dan dijadikan hujah oleh golongan ini.

Pendek kata golongan ini hanya mengambil kira apa saja yang memberi manfaat kepada mereka. Mereka secara sewenang-wenang menolak apa yang bertentangan dengan kehendak dan manfaat mereka. Tindakan ini tidak adil kepada prinsip dan falsafah hak, kebebasan dan demokrasi itu sendiri. Secara ilmiah, ini adalah satu manipulasi atau ia mungkin juga satu penipuan kepada masyarakat.

Satu perkara lagi ialah penyokong Seksualiti Merdeka memberi perhatian kepada amalan di negara lain. Tetapi, malangnya mereka menerima amalan itu tanpa mengambil kira atau mempersoalkan sama ada amalan di negara bertentangan dengan konsep dan falsafah sebenar berkaitan hak asasi, kebebasan dan demokrasi, seperti mana kehendak dokumen antarabangsa itu sendiri.

Begitu juga dengan resolusi berkaitan yang diluluskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tidakkah golongan ini sedar bahawa amalan dan resolusi itu bertentangan dengan prinsip hak asasi, kebebasan dan demokrasi yang diperkenalkan PBB sendiri.

Walaupun golongan ini percaya Barat meneraju hak asasi, kebebasan dan demokrasi, kita tahu dan percaya, merekalah juga penceroboh hak asasi, kebebasan dan demokrasi terbesar dunia. Adakah golongan ini tidak sedar? Mustahil bukan?

Jika kita lihat Perlembagaan Persekutuan, konsep kesamarataan tidak mutlak – wujud pengecualian yang dibenarkan undang-undang. Mengenai kebebasan bersuara, kita juga mempunyai sekatannya.

Jika kita bercakap mengenai hak berkumpul, hadnya juga cukup jelas. Dalam konteks Seksualiti Merdeka, apa yang kita ada dalam Perlembagaan dan apa yang kita amalkan selama ini adalah selari dengan peruntukan instrumen antarabangsa.

Tetapi, ia berbeza dengan amalan negara Barat yang menceroboh hak asasi. Malangnya golongan ini menganggap Barat itu benar. Justeru, kepada penyokong Seksualiti Merdeka, celiklah dan lihatlah kepada falsafah sebenar, jangan dicontohi mereka yang secara terang-terang mencemari hak asasi, kebebasan dan demokrasi.

Penulis ialah Timbalan Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa (UIA)


/hwa: bharian.com.my | 8/11/11

Perhimpunan Agung UMNO 2011 amat penting

PUTRAJAYA 6 Nov. - Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini amat penting bagi menyiapkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perhimpunan tersebut merupakan medan penting bagi memastikan UMNO betul-betul bersedia menghadapi pilihan raya akan datang.

‘‘Saya yakin ucapan dasar Presiden akan berkisar tentang persiapan PRU13, ia pilihan raya yang penting untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus menjadi parti pemerintah.

‘‘UMNO mungkin menerima pukulan yang hebat jika kita tidak bersedia,” katanya kepada pemberita pada majlis ibadah korban sempena Aidiladha peringkat Parlimen Putrajaya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, sehingga kini tidak ada cadangan untuk mengehadkan laporan media pada persidangan tersebut seperti diuar-uarkan sesetengah pihak.

‘‘Selain taklimat Presiden yang selalunya diadakan secara tertutup, bahagian mesyuarat lain tidak akan ditutup untuk liputan media,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2011 akan dimulakan dengan persidangan antarabangsa yang akan membincangkan isu-isu politik dunia.

/hwa: utusan.com.my | 8/11/11

257 penyokong Pas Kelantan sertai UMNO

TANAH MERAH 6 Nov. - Seramai 257 penyokong Pas di negeri ini menyertai UMNO selepas kecewa dengan kepimpinan Pas yang didakwa hanya pandai menabur janji tetapi tidak tahu melaksanakannya.

Sebanyak 187 daripada mereka adalah penyokong Pas dari Kampung Bechah Peleting, Pondok Lama dan Banggol Pisang Galadi di sini, yang menyertai UMNO dan menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dalam satu majlis di Kampung Banggol Pisang Gala di sini malam semalam.

Dalam majlis berasingan, seramai 70 nelayan tradisional pantai di Kuala Kemayan juga mengisytiharkan keluar Pas dan menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kuala Kemasin, Bachok hari ini.

Sementara itu, wakil tiga penduduk kampung terlibat, Kamaruddin Abdullah, 53, berkata, dia bosan dengan tindakan Pas yang hanya bijak berjanji tetapi tidak mengotakannya.

"Sudah 20 tahun saya berada dalam Pas, tetapi semasa menghadapi kesukaran apabila seorang anak terpaksa masuk hospital kerana menghidap leukemia, Pas hanya berkata 'insya-Allah'.

"Setiap kali saya minta bantuan, jawapan yang sama saya terima. Usia saya pula semakin meningkat dan anak-anak memerlukan pelbagai perkara antaranya persekolahan dan pekerjaan yang Pas tidak dapat sediakan," katanya.

Zahari Hussin, 37, pula berkata, dia tidak melihat sebarang perubahan di kampungnya sejak Pas memerintah Kelantan lebih 20 tahun lalu kerana masih tiada kemudahan malah sesetengah tempat belum mempunyai lampu jalan.

Sementara itu, Abdullah Ghani, 53, berkata, dia tidak pernah mendapat perhatian sepanjang menjadi ahli parti tersebut kecuali diminta menghadiri ceramah.

Ikmal Hisham semasa berucap pada majlis tersebut berkata, rakyat mampu membawa perubahan sekiranya mereka mengambil keputusan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Sementara itu, wakil nelayan tradisional pantai Kuala Kemayan, Azlan Mamat berkata, mereka akan berusaha menarik lebih ramai nelayan di Kampung Kemayan, Pantai Senok dan Kuala Kemasin memberi sokongan kepada UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, kerajaan Pas Kelantan tidak pernah memberikan bantuan kepada golongan tersebut biarpun rata-rata mereka hidup dalam kemiskinan.

"Wakil rakyat Pas hanya turun padang menemui nelayan ketika pilihan raya dan selepas itu tidak lagi nampak muka untuk beramah mesra dengan golongan miskin seperti kami.

"Kerajaan Persekutuan pula sentiasa menyalurkan bantuan termasuk pukat, sampan dan enjin bot serta elaun saraan hidup RM200 setiap bulan dan ia sewajarnya memberi kesedaran kepada semua nelayan untuk tidak lagi memberi kemenangan kepada Pas," katanya.

Seorang lagi nelayan, Ramli Awang, 45, berkata, hanya kepimpinan UMNO setempat yang gigih menyalurkan perkhidmatan kepada rakyat sedangkan wakil rakyat Pas seolah-olah berpeluk tubuh dan tidak pernah menghargai sokongan rakyat sebelum ini.

Katanya, elaun sara hidup bulanan yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan amat bernilai kepada semua nelayan Kelantan terutama pada musim tengkujuh.

Sementara itu, Awang Adek berkata, hasil perkhidmatan yang telus dan ikhlas akhirnya menyedarkan penyokong Pas untuk berpihak kepada UMNO kerana mereka sebenarnya turut diabaikan oleh pemimpin Pas terutama ketika mereka benar-benar memerlukan bantuan.

/hwa: utusan.com.my | 8/11/11

Pembangkang tawarkan IPF jawatan


Yusof Haniff menyampaikan sumbangan wang tunai kepada golongan miskin di Selangor pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) Selangor di Wisma IPF, Seri Kembangan, semalam.

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) hari ini mendedahkan, pembangkang cuba memancing mereka untuk menyertai pakatan itu dengan menawarkan pelbagai jawatan kepada pucuk pimpinan parti.

Presidennya, M. Sambanthan berkata, sejak beberapa bulan lalu, pembangkang menawarkan tempat untuk bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

"Ingin saya tegaskan bahawa kami bukanlah parti yang mengejar jawatan dan mudah dipergunakan untuk kepentingan politik.

"IPF bukanlah gila jawatan. Lihat contoh yang ditunjukkan oleh bekas Presiden, Tan Sri M.G. Pandithan yang berjuang selama 18 tahun, baru mendapat jawatan Senator," katanya pada Majlis Rumah Terbuka dan Penyerahan Sumbangan Deepavali di Wisma IPF, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Yusoff Hanif; Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk K.K. Eswaran; Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan dan Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Serdang, Datuk Yap Pion Hon.

Kata Sambanthan, sebagai 'anak didik, Pandithan, mereka akan meneruskan prinsip perjuangan parti itu tanpa mengharapkan sebarang jawatan kerana ingin membela nasib kaum India walaupun mengakui perjuangan tersebut penuh berliku.

"Kami sentiasa diuji. Apa yang menyedihkan, ada pihak tertentu yang menyamar sebagai wakil IPF untuk mendapat peruntukan yang diberikan oleh BN Serdang kepada kami. Namun semua cabaran itu menguatkan lagi semangat ahli IPF," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 8/11/11

Sikap membisu PKR sesuatu yang ajaib – Ibrahim

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menyelar sikap Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masih membisu tanpa sebarang pendirian berhubung isu program mempromosikan seks bebas Seksualiti Merdeka 2011.

Katanya, adalah merupakan sesuatu yang pelik dan ajaib bagi parti itu apabila mereka mengambil langkah berdiam diri terhadap isu berkenaan.

“PKR sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan berhubung pelbagai isu sehingga perkara yang bukan menjadi isu pun ‘dibisingkan’ oleh mereka.

“Namun, mengapa isu sebesar ini tidak diambil pusing oleh parti berkenaan?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas sikap membisu PKR berhubung penganjuran program yang menjadi perhatian umum itu.

Tambah Ibrahim, tindakan PKR tersebut mencerminkan sikap sebenar mereka yang hipokrit dalam perjuangan.

Selain itu, Ibrahim menegaskan bahawa kenyataannya semasa sidang Dewan Rakyat baru-baru ini yang menyifatkan program Seksualiti Merdeka 2011 cuba mempromosikan budaya ‘binatang’ dalam kalangan rakyat telah dimanipulasi oleh pihak tertentu.

“Saya bukan menyamakan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) ini sebagai binatang tetapi perbuatan mereka itu sebenarnya yang saya maksudkan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Johor (Gabung), Abdullah Md. Yusof turut mempersoalkan tindakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan.

“Ini bukan soal politik tetapi kepentingan rakyat negara ini. Jangan hanya mahu berpolitik sepanjang masa tetapi senyap membisu apabila berhadapan dengan isu ini,” katanya.

Tambah Abdullah, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyalahkan UMNO berhubung perkara itu juga boleh dipertikaikan

“Semua pihak sepatutnya memainkan peranan dalam menangani isu-isu sebegini dan bukannya saling tuding- menuding,” ujarnya.

/hwa: utusan.com.my | 8/11/11

3 November 2011

Kebolehan Malaysia Bantu Jemaah Haji Tidak Dapat Ditandingi - Najib

Daripada Abdul Aziz Harun

MEKAH, 2 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri berkata sokongan kerajaan yang kuat serta pengurusan yang cekap oleh pihak yang bertanggungjawab, menjadikan urusan umat Islam di Malaysia untuk mengerjakan ibadah haji menjadi amat mudah serta efisien, dan kehebatannya itu tidak dapat ditandingi negara lain di dunia.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia disebabkan kecekapan kerajaan serta pihak terbabit dalam mencari peluang serta usaha keras menghimpun dana, khusus bagi menambah lagi kemampuan dalam membantu umat Islam mengerjakan ibadah haji.

Katanya keistimewaan Lembaga Tabung Haji ialah ia dapat menyediakan urusan haji yang amat baik, apabila para jemaah mendapat pulangan nilai perbelanjaan yang tinggi, serta penyediaan makanan, penginapan, pengangkutan, kaunseling, perubatan dan sebagainya, juga diuruskan dengan teramat baik.

"Di samping itu, nilai subsidi 20 peratus (diberikan kerajaan kepada jemaah) daripada kos sebenar yang ditanggung jemaah muasassah, iaitu kira-kira RM4,300, merupakan nilai yang amat bermakna kepada mereka, tahniah kepada Tabung Haji atas urusan yang dapat sambutan positif dari jemaah haji," katanya dalam satu persidangan akhbar di ibu pejabat Tabung Haji di sebuah hotel di sini, Rabu.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri bersama rombongannya yang termasuk bonda Najib, Tun Rahah Mohamad Noah dan adiknya, Datuk Mohamed Nazim serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sini pada kira-kira pukul 9.30 pagi, disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Muasassah Asia Tenggara Zuher Abdul Hamid.

Najib berkata kerajaan berusaha memudahkan umat Islam di Malaysia melakukan haji menerusi kaedah yang boleh dilaksanakan dengan bilangan yang ramai, dan menurutnya hubungan baik negara dengan kerajaan Arab Saudi membolehkan Malaysia sentiasa mendapat pertimbangan sewajarnya dalam perkara itu.

"Sebab itu apabila mangkat Putera Mahkota Arab Saudi Sultan Abdel-Aziz al-Saud baru-baru ini, saya sendiri ambil keputusan untuk datang menziarah, bersama Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan), untuk memperlihat betapa berat pandangan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap hubungan kita yang sangat akrab dengan kerajaan Arab Saudi," katanya.

Menurutnya sikap jemaah haji Malaysia serta pengurusan ibadah haji yang baik mendapat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi, sehingga ia sentiasa mendapat pujian banyak pihak di sini.

Perdana Menteri berharap rekod pencapaian yang baik dari segi pengurusan ibadah dan sikap jemaah haji dari Malaysia yang ditunjukkan di sini, dapat dikekalkan.

Sementara itu Najib berkata Malaysia juga seharusnya mencari peluang-peluang perniagaan di sini, termasuk dalam pemerolehan ekuiti dan juga projek-projek jangka panjang.

"Tapi peluang tidak semestinya terbatas kepada Tanah Haram sahaja, tapi mesti menjangkau secara global, asalkan ia patuh kepada prinsip syariah, maka Tabung Haji, atau syarikat-syarikat, perlu juga cari peluang di tempat-tempat lain di Arab Saudi, tidak boleh membataskan kepada tanah haram sahaja, kerana perspektif itu tidak akan menguntungkan," katanya.

Perdana Menteri kemudiannya dibawa menemui kumpulan Imam dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), yang mendapat penajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Sementara itu, Rosmah mengambil peluang untuk melawat bilik rawatan di hotel Janadiriah, sebelum menyertai Najib untuk menikmati jamuan bersama dengan beberapa jemaah haji yang terpilih.

Kedua-dua mereka kemudiannya beramah mesra dengan beberapa jemaah haji di surau sebelum berlepas pulang ke hotel penginapan pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

/hwa: bernama.com.my | 3/11/11

Tawaf

2 NOV. 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor malam tadi bertawaf sebagai memulakan ibadah umrah yang menjadi sebahagian daripada tertib haji di Baitul Al-Haram, Mekah. - Foto Ihsan Tabung Haji

Kehebatan negara tiada tandingan - PM


Najib Tun Razak berucap kepada jemaah ketika mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji di Mekah, semalam. - BERNAMA

MEKAH 2 Nov. - Perdana Menteri berkata, sokongan kerajaan yang kuat serta pengurusan yang cekap oleh pihak yang bertanggungjawab, menjadikan urusan umat Islam di Malaysia untuk mengerjakan ibadah haji menjadi amat mudah serta efisien dan kehebatannya itu tidak dapat ditandingi negara lain di dunia.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia disebabkan kecekapan kerajaan serta pihak terbabit dalam mencari peluang serta usaha keras menghimpun dana, khusus bagi menambah lagi kemampuan dalam membantu umat Islam mengerjakan ibadah haji.

Beliau berkata, keistimewaan Lembaga Tabung Haji ialah ia dapat menyediakan urusan haji yang amat baik apabila jemaah mendapat pulangan nilai perbelanjaan yang tinggi serta penyediaan makanan, penginapan, pengangkutan, kaunseling, perubatan dan sebagainya.

"Di samping itu, nilai subsidi 20 peratus (diberikan kerajaan kepada jemaah) daripada kos sebenar yang ditanggung jemaah muasassah iaitu kira-kira RM4,300 merupakan nilai yang amat bermakna kepada mereka, tahniah kepada Tabung Haji atas urusan yang dapat sambutan positif dari jemaah haji," katanya dalam satu persidangan akhbar di Ibu Pejabat Tabung Haji di sebuah hotel di sini, hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri bersama rombongannya yang termasuk bonda Najib, Tun Rahah Mohamad Noah dan adiknya, Datuk Mohamed Nazim serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di sini pada kira-kira pukul 9.30 pagi, disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Muasassah Asia Tenggara, Zuher Abdul Hamid.

Najib berkata, kerajaan berusaha memudahkan umat Islam di Malaysia melakukan haji menerusi kaedah yang boleh dilaksanakan dengan bilangan yang ramai.

Menurutnya, hubungan baik negara dengan kerajaan Arab Saudi membolehkan Malaysia sentiasa mendapat pertimbangan sewajarnya dalam perkara itu.

"Sebab itu, apabila mangkat Putera Mahkota Arab Saudi, Sultan Abdel-Aziz al-Saud baru-baru ini, saya sendiri ambil keputusan untuk datang menziarah, bersama Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan) untuk memperlihat betapa berat pandangan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap hubungan kita yang sangat akrab dengan kerajaan Arab Saudi," katanya.

Menurutnya, sikap jemaah haji Malaysia serta pengurusan ibadah haji yang baik mendapat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi sehingga ia sentiasa mendapat pujian banyak pihak di sini.

Perdana Menteri berharap rekod pencapaian yang baik dari segi pengurusan ibadah dan sikap jemaah haji dari Malaysia yang ditunjukkan di sini dapat dikekalkan.

Sementara itu, Najib berkata, Malaysia juga seharusnya mencari peluang-peluang perniagaan di sini, termasuk dalam pemerolehan ekuiti dan juga projek jangka panjang.

"Tapi peluang tidak semestinya terbatas kepada Tanah Haram sahaja, tapi mesti menjangkau secara global, asalkan ia patuh kepada prinsip syariah, maka Tabung Haji atau syarikat perlu juga cari peluang di tempat lain di Arab Saudi, tidak boleh membataskan kepada tanah haram sahaja kerana perspektif itu tidak akan menguntungkan," katanya.

Perdana Menteri kemudiannya dibawa menemui kumpulan imam dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang mendapat penajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Sementara itu, Rosmah mengambil peluang untuk melawat bilik rawatan di Hotel Janadiriah sebelum menyertai Najib untuk menikmati jamuan bersama dengan beberapa jemaah haji yang terpilih.

Kedua-dua mereka kemudiannya beramah mesra dengan beberapa jemaah haji di surau sebelum berlepas pulang ke hotel penginapan pada kira-kira pukul 12 tengah hari. - BERNAMA

/hwa: utusan.com.my | 3/11/11

Seksualiti Merdeka 2011 cuba promosi budaya ‘binatang’ – Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hari ini menyifatkan program Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam hingga 13 November ini cuba mempromosikan budaya ‘binatang’ di kalangan rakyat.

Ini kerana tegasnya, matlamat program itu yang menghalalkan hubungan sejenis bukan sahaja haram di sisi Islam, malah ditolak oleh agama lain yang dianuti rakyat negara ini.

“Adalah jelas program ini cuba melaksanakan agenda asing atas nama hak asasi manusia dan demokrasi untuk mempengaruhi akhlak generasi muda dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada usaha kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu mempromosikan program Seksualiti Merdeka 2011 melalui laman web www.seksualitimerdeka.org.

Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari itu ialah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Ibrahim menambah, kerajaan serta pertubuhan berkaitan agama perlu bertindak dan memberi teguran kepada NGO yang menyokong program itu kerana ia jelas melanggar Perlembagaan Negara.

Katanya lagi, NGO terbabit juga tidak sepatutnya melayani tuntutan program itu, walaupun atas nama hak asasi manusia kerana adalah jelas matlamatnya tidak munasabah dan bertentangan dengan prinsip moral serta agama.

“Tindakan tegas ke atas pihak yang berada di belakang program ini perlu diambil kerana ia melanggar Perlembagaan dan mengganggu-gugat kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 3/11/11

Seksualiti Merdeka: Perkasa desak Ambiga didakwa


Irwan Fahmi Ideris (baju hitam) menyerahkan memorandum bantahan terhadap Program Seksualiti Merdeka 2011 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mendesak pihak berkuasa khususnya Jabatan Peguam Negara supaya mengambil tindakan mendakwa Datuk S. Ambiga kerana sikapnya yang semakin melampau apabila menyokong program Seksualiti Merdeka 2011.

Ketua Wiranya, Irwan Fahmi Ideris berkata, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu perlu dikenakan tindakan tegas kerana telah melakukan banyak perkara yang boleh memecah-belahkan perpaduan dan mengugat ketenteraman awam.

"Pihak Peguam Negara perlu mendakwa Ambiga jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai membuat siasatan. Sudah lebih 100 hari dia terlibat menganjurkan perhimpunan haram Bersih, Ambiga masih lagi bebas.

"Ambiga cuba membangkitkan kemarahan orang ramai khususnya kaum Melayu.

"Tindakan Ambiga ini sudah melampau apabila menyokong pula hubungan sejenis dan seks bebas yang jelas bertentangan dengan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Negara sebagai agama rasmi Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menyerahkan memorandum bantahan terhadap Program Seksualiti Merdeka 2011 anjuran kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu kepada Ketua Polis Negara (KPN) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Memorandum itu diterima oleh Penolong Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf yang mewakili Tan Sri Ismail Omar.

Program Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam hingga 13 November ini akan dirasmikan oleh Ambiga malam ini.

Ia dipromosikan melalui laman web www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.

Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari ini ialah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan beberapa aktiviti seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.

Menurut Irwan Fahmi, memorandum bantahan diserahkan hari ini meminta PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas dengan membatalkan semua permit yang telah dan sedang diproses bagi menghalang aktiviti program itu.

"Dengan membenarkan program ini berlangsung, secara tidak langsung Malaysia telah bersedia menerima golongan rakyat yang berfikiran bahawa hubungan sejenis adalah hak asasi mereka, sedangkan perbuatan seks luar tabii adalah dilarang bukan sahaja oleh agama Islam, malah agama-agama lain di negara ini," ujarnya.

Sementara itu, Ramli ketika ditemui memberitahu, beliau akan menyerahkan memorandum tersebut kepada KPN untuk menentukan tindakan lanjut yang akan diambil.

/hwa: utusan.com.my | 3/11/11

2 November 2011

Produk keluaran PDK akan diedarkan JKM

Besut - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu akan membantu memasarkan produk dihasilkan oleh pelajar Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negeri.

Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar, berkata tinjauan pihaknya mendapati pelbagai produk berjaya dihasilkan oleh PDK yang berkualiti dan mampu dipasarkan untuk kegunaan orang ramai.
Katanya, beliau tertarik dengan usaha PDK Bandar Jerteh yang berjaya menghasilkan produk sabun untuk kegunaan pelajarnya membasuh tangan yang kini digunakan secara meluas dan boleh dipasarkan kepada umum.
"Sabun yang dibuat sendiri oleh pengurusan dan pelajar PDK Bandar Jerteh itu berkualiti dan JKM akan membantu memasarkannya untuk kegunaan dalam negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat PDK Bandar Jerteh di sini, semalam.

Beliau berkata, sabun untuk kegunaan membasuh tangan itu akan diedarkan ke setiap PDK seluruh negeri di samping pejabat agensi JKM serta kegunaan di pusat pemindahan mangsa banjir untuk kegunaan seharian dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau berkata produk lain yang berjaya dihasilkan PDK seperti makanan sampingan dadih dengan pelbagai rasa, produk kraftangan seperti anyaman dan jahitan, akan turut dipasarkan dan dipamerkan di peringkat kebangsaan. - BERNAMA

/hwa: bharian.com.my | 2/11/11

USM jayakan misi ke Bangladesh


Sekumpulan doktor dan jururawat dari USM Kampus Kesihatan yang menyertai misi kemanusiaan pembedahan sumbing bibir dan lelangit di Hospital Komuniti Dacca , Bangladesh baru-baru ini.

KOTA BHARU 1 Nov. – Misi Kemanusiaan Pembedahan Kanak-kanak Sumbing Bibir dan Lelangit Universiti Sains Malaysia (USM) dan Mercy Malaysia ke Bangladesh tercapai apabila 68 kanak-kanak dan remaja miskin di negara itu berjaya menjalani pembedahan di Hospital Komuniti Dacca baru-baru ini.

Kejayaan itu memberi makna cukup besar kepada anggota misi yang dimulakan sejak 2005 dan telah berjaya memulihkan kecacatan sumbing bibir dan lelangit hampir 300 kanak-kanak dan remaja miskin di negara berkenaan.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM Kampus Kesihatan, Prof. Ahmad Sukari Abdul Halim memberitahu, kejayaan tersebut cukup menggembirakan ibu bapa kanak-kanak berkenaan setelah melihat wajah anak mereka kembali normal.

“Melihat kepada kehidupan mereka, tidak mungkin ibu bapa kanak-kanak terbabit mampu mendapatkan rawatan untuk ‘mengembalikan’ wajah anak mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya sekembali daripada menyertai misi berkenaan.

Beliau yang mengetuai sekumpulan pakar perubatan USM Kampus Kesihatan dalam misi itu berkata, kejayaan pembedahan itu diharap akan mengubah kehidupan anak-anak terbabit pada masa hadapan.

“Mereka juga akan mendapat pekerjaan di samping rasa selesa bergaul dengan orang ramai setelah tidak lagi cacat seperti sebelum ini,” jelasnya.

Menurut beliau, kejayaan tersebut hasil kerjasama Hospital Komuniti Dacca yang merupakan sebuah hospital amal bagi membantu keluarga miskin terpilih mendapatkan pembedahan tersebut secara percuma.

“Jumlah awal melibatkan lebih 80 orang, tetapi setelah disaring, mereka yang berisiko seperti pesakit jantung dan sebagainya terpaksa ditolak. Hanya 68 orang berusia antara setahun hingga 16 tahun boleh dibedah dan kerja-kerja itu terpaksa dilakukan dalam tempoh lima hari.

“Dengan hanya tiga doktor pakar, dua pakar bius dan tiga jururawat, kami membedah purata 18 orang sehari, enam orang bagi setiap doktor,” jelasnya.

Ahmad Sukari berkata, pembedahan itu cukup mencabar kerana lazimnya, di Malaysia ia hanya dilakukan sehingga pukul 4 atau 5 petang, tetapi dalam misi tersebut pembedahan berlarutan sehingga pukul 8 malam.

“Cabaran lain yang terpaksa dihadapi ialah apabila berlaku bekalan elektrik terputus, walaupun cuma selama dua tiga minit, tetapi pembedahan sedang dijalankan dan kami terpaksa menggunakan lampu suluh. Ketika itu kami benar-benar menggunakan segala kepakaran yang dimiliki supaya pesakit mendapat hasil terbaik daripada pembedahan tersebut,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, USM Kampus Kesihatan memperuntukkan kira-kira RM31,000 setahun untuk menjayakan misi tersebut, manakala perbelanjaan selebihnya hasil sumbangan orang ramai yang disalurkan kepada Mercy Malaysia.

/hwa: utusan.com.my | 2/11/11

1 November 2011

Najib, Rosmah berlepas ke Arab Saudi tunai ibadah haji


NAJIB Tun Abdul Razak dan isteri, Rosmah Mansor mengaminkan doa sebelum berlepas menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci Mekah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam. Turut hadir Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta beberapa menteri Kabinet. - BERNAMA

SEPANG 31 Okt. - Lebih 1,000 orang membanjiri Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, untuk menghantar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan ibadah haji ke tanah suci Mekah.

Najib yang akan berada di Mekah sehingga 9 November ini ditemani isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan adiknya Datuk Mohamed Nazim Tun Razak.

Rombongan Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah terlebih dahulu sebelum berangkat ke Mekah bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Beberapa menteri Kabinet turut kelihatan antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamad.

/hwa: utusan.com.my | 1/11/11

PBB iktiraf kejayaan Malaysia

BARU-baru ini saya menyertai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-66 di New York, Amerika Syarikat.

Terdapat lebih kurang 400 orang perwakilan dari lebih 200 negara dan pemerhati dari badan-badan profesional dan agensi PBB dalam persidangan berkenaan.

Dalam perbincangan oleh kumpulan Jawatankuasa Kedua (Second Commitee) yang bertajuk Eradication of poverty and other developments issues ia tertumpu kepada pelbagai usaha negara-negara anggota PBB dalam membasmi kemiskinan.

Untuk sekian kalinya diingatkan bahawa kemiskinan bukan sekadar masalah ekonomi, tetapi sekali gus merupakan masalah sosial dan politik serta moral dan etika. Kemiskinan mengancam kestabilan politik sesebuah negara yang berkait rapat dengan keresahan sosial.

Ini mengingatkan kita kepada hadis nabi yang memberi amaran bahawa kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran.

Senada dengan itu, perwakilan Singapura memetik tokoh falsafah Inggeris, George Bernard Shaw, yang pernah berkata bahawa - the greatest of all evil and the worst of crimes is poverty (kemiskinan adalah syaitan yang paling jahat dan jenayah yang paling buruk).

Sehubungan itu, maka semua perwakilan sepakat bahawa langkah-langkah membasmi kemiskinan dianggap sebagai cabaran paling hebat yang dihadapi dunia sekarang. Sebenarnya masalah ini lama disedari oleh PBB. Usaha-usaha pembasmian kemiskinan dijadikan salah satu program utama PBB yang dirangkumkan dalam agenda Millennium Development Goals (Matlamat Pembangunan Alaf Baru).

Langkah konkrit ke arah pencapaian matlamat itu dirumuskan dalam World Summit for Social Development (Sidang Kemuncak Dunia untuk Pembangunan Sosial) pada 1995. Berikutan itu dirangka Rancangan Sepuluh Tahun pertama yang diikuti dengan Rancangan Sepuluh Tahun kedua dengan rujukan Second UN Decades for the Eradication of Peverty (2008-2017) yang sedang berjalan sekarang.

Rancangan Sepuluh Tahun tersebut mengandungi pelbagai program di bawah seliaan PBB untuk dilaksanakan di serata dunia pada peringkat negara, rantau dan antarabangsa. Termasuk dalam pelbagai program itu adalah pengumpulan pelbagai data tentang kemiskinan. Data yang diperoleh tentu amat berguna untuk memantau kejayaan dan kegagalan usaha membasmi kemiskinan.

Tidak kurang pentingnya adalah bahawa data berkenaan akan memberi gambaran atau "realiti" kemiskinan yang sekali gus mengingatkan pemimpin-pemimpin masyarakat dunia tentang kegawatan masalah berkenaan.

Pemantauan tahunan mengenai status pencapaian (kejayaan dan kegagalan) usaha membasmi kemiskinan itu dilakukan sekurang-kurangnya melalui dua mekanisme iaitu laporan tahunan Setiausaha Agung yang dibentangkan kepada Perhimpunan Agung dan laporan perwakilan setiap negara mengenai status usaha-usaha pembasmian kemiskinan di negara masing-masing yang sekali gus merupakan reaksi atau penilaian terhadap laporan Setiausaha Agung.

Laporan Setiausaha Agung untuk Perhimpunan Agung tahun ini mencatatkan bahawa bilangan penduduk dunia yang berada di bawah garis kemiskinan berkurangan daripada 1.8 bilion pada 1990 kepada 1.4 bilion pada 2005.

(Mereka yang berada di bawah garis kemiskinan itu ditakrifkan sebagai pendapatan hariannya kurang daripada US$1.25 atau kurang daripada RM4). Tetapi jika garis kemiskinan itu diukur berdasarkan pendapatan dua dolar Amerika sehari, maka bilangan penduduk miskin di dunia sekarang ialah 2.5 bilion.

Gambaran ini akan semakin muram jika diambil kira kenaikan harga bahan makanan di serata dunia sejak hujung 2010. Laporan daripada negara-negara anggota disampaikan dalam bentuk kenyataan oleh jurucakap perwakilan masing-masing dalam sidang Jawatankuasa Kedua.

Di samping berfalsafah atau berteori mengenai kemiskinan, hampir seluruh perwakilan mengulangi kenyataan bahawa kemiskinan adalah satu fenomena yang sangat kompleks yang berpunca daripada pelbagai sebab. Punca itu termasuklah keterbatasan peluang memperoleh pelbagai sumber yang diperlukan untuk satu kehidupan yang berhemah.

Semua itu saling kait berkait dengan keterbatasan peluang pekerjaan, perumahan, pemakanan, pendidikan dan kesihatan. Dengan demikian wujudlah satu lingkaran yang menyebabkan usaha-usaha membasmi kemiskinan itu menjadi semakin kompleks.

Perwakilan atau jurucakap setiap negara melaporkan kejayaan atau kegagalan masing- masing dalam usaha membasmi kemiskinan ini. Kadar pencapai pelbagai negara anggota PBB dalam pembasmian itu sudah tentu itu berbeza-beza.

Negara yang mengaku kurang pencapaiannya akan memberi pelbagai sebab dan alasan termasuk menuduh pihak-pihak lain waima PBB sendiri atau malapetaka dan bencana alam. Sementara, negara-negara yang mendakwa telah mencapai kejayaan lebih tinggi kadarnya akan memberi fatwa atau formula.

Singapura umpamanya merujuk tiga prasyarat yang diperlukan untuk membasmi kemiskinan itu: pendidikan, pelaksanaan dasar-dasar membantu golongan yang kurang bernasib baik dan kerjasama serantau dan antarabangsa yang perlu ditingkatkan.

Pada keseluruhannya gambaran diberikan oleh kebanyakan perwakilan adalah bahawa jurang antara yang kaya dan yang miskin telah semakin melebar, baik dalam sesebuah negara, begitu juga antara satu negara dengan negara lain. Namun begitu Malaysia boleh berbangga kerana termasuk antara negara yang berjaya membasmi kemiskinan melalui pelbagai program sejak mencapai kemerdekaan.

Kejayaan Malaysia ini diakui sendiri oleh Setiausaha Agung PBB dalam laporan tahunannya. Laporan tersebut secara khusus merujuk Malaysia, Thai, Vietnam dan China sebagai empat negara Asia yang mencapai kejayaan ketara dalam usaha pembasmian kemiskinan sejak 20 tahun lalu. Kejayaan tersebut dikaitkan dengan kepesatan pertumbuhan ekonomi sepanjang masa 20 tahun itu dalam empat negara tersebut.

Pengiktirafan yang diberikan oleh Laporan Rasmi Setiausaha Agung PBB tersebut telah saya tegaskan lagi sewaktu membentangkan prestasi Malaysia dalam usaha membasmi kemiskinan ini. Secara khusus saya menyebut bahawa kadar kemiskinan tegar di Malaysia pada masa ini hanyalah 0.3% (tidak sampai satu peratus daripada seluruh penduduk). Semua itu adalah berkat kemajuan pembangunan ekonomi Malaysia sejak 30 tahun lalu.

Saya laporkan juga bahawa Malaysia turut menyumbang kepada negara-negara lain dalam usaha pembasmian kemiskinan melalui Malaysia Technical Cooperation Programme (MTCP) yang dilancarkan dalam September 1980.

Program MTCP ini memberi tumpuan kepada pembinaan sumber tenaga manusia melalui pelbagai latihan dan kursus. Seramai lebih 20,000 peserta daripada 130 negara membangun mengikuti program tersebut. Semua itu bermakna bahawa kalau di suatu masa dahulu Malaysia adalah negara penerima bantuan negara luar, maka MTCP membuktikan bahawa Malaysia sudah mencapai status negara pemberi bantuan.

Apakah rahsia kejayaan kita itu? Jawabnya - politik stabil dan pemerintahan yang cekap. Dan semuanya itu akan dilanjutkan dengan pelbagai program transformasi, termasuk Transformasi Pembangunan Luar Bandar seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu.

/hwa: utusan.com.my | 1/11/11

Pilihan raya penentu hidup mati negara

KHABAR 'angin sepoi-sepoi bahasa' mengatakan seorang pemimpin sebuah parti di Putrajaya tidak berpuas hati dengan keputusan kepimpinan pusatnya dalam beberapa hal.

Antaranya, ketiadaan pendirian yang teguh dalam isu serbuan JAIS ke atas sebuah gereja. Ini sehinggakan ketua parti yang masih tercari-cari sokongan pengundi itu berasa cuak dengan sikap yang kurang tegas partinya. Namun tidak ada kepastian sejauh mana kemuncak rasa kurang senangnya.

Tetapi di satu sudut lain dari hari ke hari, lawannya daripada parti kerajaan BN tetap sibuk seperti biasa. Melayan kerenah orang ramai yang singgah di Pusat Khidmat Parlimen Putrajaya di Presint Diplomatik. Setiap kali kemunculannya seminggu sekali setiap Jumaat di Putrajaya, pasti akan ada bantuan dan sokongan yang diberikan kepada warga Putrajaya - tidak kira ia besar atau kecil.

"Saya percaya Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula hujung bulan ini adalah yang terakhir sebelum negara menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13," kata Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ditemui Utusan Malaysia di Presint Diplomatik Jumaat lepas, beliau yang juga Setiausaha Agung BN menjangkakan pilihan raya itu adalah yang paling sengit dalam sejarah negara sejak merdeka 54 tahun ini.

Kerana itu, beliau yang mempertahankan kerusi Parlimen Pusat Pentadbiran Persekutuan itu sejak dua penggal lepas melihat pilihan raya tersebut menjadi penentu hidup atau mati negara ini.

"Apa yang saya lihat dan mungkin juga ia dikongsi oleh ramai rakan kita di luar sana ialah pentadbiran pembangkang di empat negeri yang diperintah mereka sejak 2008 tidak sempurna. Apa yang dijanjikan kepada rakyat tidak dilaksanakan.

"Sebab itu selaku parti pemerintah, kita mesti mempertahankan mandat ini sehingga 'ke titisan darah terakhir'. Jangan menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Saya menaruh keyakinan ucapan dasar Presiden UMNO pada perhimpunan parti yang bermula pada 29 November ini akan berkisar kepada soal menghadapi pilihan raya dengan fokus kepada calon BN yang boleh memenangi hati rakyat," kata beliau.

Atas sebab inilah, Tengku Adnan mahu para pemimpin dan ahli UMNO dan BN berusaha mematahkan segala fitnah dan tohmahan parti pembangkang terhadap pemimpin negara dan kerajaan. Ini kerana sikap berdiam diri di kalangan ahli-ahli UMNO akan hanya melemahkan parti.

"Jika kita mengambil sikap berdiam diri ia akan memberi gambaran seolah-olah fitnah dan tohmahan itu benar. Selama beberapa tahun ini UMNO diserang, dihina, dikatakan korup, dipijak tetapi kita masih berdiam diri seperti takut membela kebenaran parti sendiri," katanya.

Dalam konteks ini, Tengku Adnan memberitahu, penubuhan Pas hanyalah untuk memecah-belahkan orang Melayu. Pas ditubuhkan oleh bekas ahli-ahli UMNO yang kecewa apabila kalah dalam pertandingan bagi merebut jawatan dalam parti. Ketika itu Ahmad Fuad dan rakan-rakannya berikrar menumbangkan UMNO dan bukannya berkhidmat untuk rakyat dan menegakkan Islam.

"Mereka berikrar di mana ada UMNO di situ mereka akan tubuhkan cawangan Pas. Jadi, saya harap rakyat terutamanya ahli-ahli UMNO jangan mudah terpengaruh dengan dakyah Pas," katanya.

Kepada Pas, kata dua Tengku Adnan ialah: "Jangan pesongkan akidah umat Islam, daripada apa yang dibongkarkan oleh Zulkifli Nordin 'hudud itu adalah hudud Pas, bukannya hudud Islam'. UMNO menentang Pas untuk memastikan akidah umat Islam tidak dipesongkan."

Dalam hal ini, beliau berharap pemimpin dan ahli UMNO berhenti mempergunakan parti untuk kepentingan diri sendiri.

"Masalah-masalah yang dibangkitkan di peringkat bahagian perlu diselesaikan dengan cara yang terbaik. Tiada gunanya wujud masalah di bahagian yang sebenarnya hanya memberi ruang kepada parti pembangkang untuk menikam kita. Kita tidak mahu kelemahan itu datang daripada dalam UMNO atau BN sendiri," kata beliau.

Tengku Adnan turut menarik perhatian mengenai tindak tanduk anasir yang sanggup memfitnah dan mengeluarkan kata-kata mengaibkan dengan mengaitkan setiap musibah sebagai satu pembalasan.

Katanya, sebagai umat Islam yang tahu dan sedar hukum-hakam sewajarnya tragedi buruk yang menimpa setiap anggota dalam masyarakat tidak disimpulkan sebagai satu pembalasan.

"Separuh daripada keimanan adalah kebersihan hati selain kebersihan rumah dan sekitar tetapi saya sedih apabila mendapat cubaan dari Allah SWT, ada pihak mengaitkan ia sebagai hukuman kerana melakukan rasuah. Astagfirullah, sedangkan rumah itu saya diami lebih dari 20 tahun yang mana sebelum terlibat dalam politik lagi. Malangnya, apabila saya ditimpa musibah mereka melemparkan fitnah," bidasnya.

Tengku Adnan percaya dan penuh yakin Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membawa perubahan memantapkan parti sekali gus perlu diterjemahkan dengan kebangkitan semangat oleh ahli-ahlinya.

"Pelbagai usaha diambil. Perlembagaan dipinda. UMNO ubahsuai pemilihan parti supaya kembali kepada asal, malah lebih baik daripada asal kerana kini tidak perlu kuota dan pencalonan. Semua perubahan ini dibuat oleh Perdana Menteri bagi memastikan UMNO sentiasa relevan dan dekat pada perjuangan menjuarai rakyat," kata beliau.

Mengenai persiapan Pilihan Raya-Ke 13, beliau berkata, sekiranya hilang kuasa, UMNO tidak boleh mentafsir apa yang disuarakan. Oleh itu UMNO sebagai parti teras BN, mesti mantap dan kembali mendapat sokongan rakyat.

Tengku Adnan mahu rakyat membuat penilaian terhadap rekod BN yang berjaya menerajui negara ini selama lebih 50 tahun dengan baik. Kemajuan yang dibawa oleh kerajaan BN ternyata berjaya memberi keselesaan kepada rakyat.

"Rakyat perlu menilai rekod baik BN selama ini dan terus memberi peluang kepada parti itu untuk meneraju dan memajukan negara. Jangan bertindak ikut emosi sehingga 'membakar kelambu' hanya kerana seekor nyamuk," katanya.

/hwa: utuasan.com.my | 1/11/11

Demonstrasi bantah kerajaan DAP


SERAMAI 200 belia mengadakan demonstrasi meminta kerajaan negeri membina litar lumba motosikal yang berarak ke Komtar, Georgetown, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN/MALINDA ABDUL MALIK

GEORGETOWN 31 Okt. – Pergerakan lalu lintas di beberapa jalan utama di bandar ini hampir lumpuh selama sejam berikutan tindakan kira-kira 200 belia yang menaiki motosikal mengadakan demonstrasi membantah pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Dengan memakai baju T berwarna kuning yang tertera perkataan ‘Selamatkan Pulau Pinang, LGE (Lim Guan Eng) Rasis’, mereka dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan corak pentadbiran Setiausaha Agung DAP itu yang seolah-olah meminggirkan golongan belia dengan tidak menyediakan kemudahan riadah mencukupi.

Demonstrasi bermula kira-kira pukul 12.30 tengah hari di depan Pasar Chowrasta, Jalan Penang di sini dengan para peserta berarak menuju Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang sejauh satu kilometer.

Mereka kemudian mengelilingi Komtar sebanyak tiga kali sambil melaungkan kata-kata ‘Selamatkan Pulau Pinang’, ‘Selamatkan Mat Rempit’ dan ‘Kami Mahu Litar Lumba’.

Mereka seterusnya bergerak ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di Lebuh Light di sini sebaik anggota-anggota polis tiba di Komtar bagi mengawal keadaan.

Di depan DUN, kumpulan berkenaan berhimpun hampir 15 minit.

Bagaimanapun, keadaan yang pada mulanya terkawal bertukar kecoh apabila beberapa peserta demonstrasi bertindak kasar dan ingkar dengan arahan polis supaya bersurai.

Seramai lima orang ditahan termasuk Pengasas Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga), Sabaruddin Ahmad.

Mereka ditahan kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit dan tidak mematuhi arahan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya menganggarkan seramai 200 orang menyertai perhimpunan tersebut.

“Seramai 100 anggota polis termasuk Unit Tindakan Ringan (LSF) dikerah berkawal di Komtar dan DUN sebaik menyedari kehadiran kumpulan ini.

“Buat masa ini, kita menahan lima orang untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ng Wei Aik mendakwa perhimpunan di depan DUN bertujuan menarik perhatian orang ramai dengan memainkan isu perkauman.

“Kebanyakan peserta perhimpunan ini terdiri daripada samseng jalan raya untuk membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.

“Polis kena ambil tindakan tegas ke atas mereka dan jangan hanya tangkap dua atau tiga orang saja sedangkan ramai lagi yang menyertai perhimpunan ini,” ujarnya.

Sejak DAP mentadbir Pulau Pinang pada 2008, tidak kurang 50 demonstrasi telah diadakan oleh pelbagai pihak bagi membantah corak pentadbiran Guan Eng.

Antara demonstrasi besar yang pernah dianjurkan adalah bantahan terhadap penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 14 Mac 2008 membabitkan kira-kira 3,000 orang, bantahan oleh penduduk Kampung Buah Pala pada 2009, Perhimpunan Sedaq pada 5 Februari 2010 dan perarakan lebih 1,500 orang di Komtar dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai lalu.

Demonstrasi terhadap Guan Eng juga membabitkan pelbagai cara aneh yang dilakukan oleh para peserta termasuk menghantar hadiah keranda, kek hitam, bunga hitam dan pakaian dalam wanita.

/hwa: utusan.com.my | 1/11/11