12 Julai 2012

Anwar cuba tegakkan 'benang basah'

KUALA TERENGGANU 10 Julai - Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang membidas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan nasib orang Melayu di Pulau Pinang adalah lebih baik daripada di Kedah dan Terengganu.
Menurut beliau, kenyataan Anwar itu umpama menegakkan 'benang yang basah' dan ia dibuat semata-mata untuk mengambil hati pemimpin DAP di negeri tersebut.
Katanya, memang sangat tidak adil untuk membandingkan nasib orang Melayu yang berada di bawah pimpinan parti itu dengan di Terengganu yang dipimpin oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Di Terengganu umpamanya, kita (orang Melayu) merencana, mengurus dan membuat keputusan sendiri. Tapi, bolehkah orang Melayu di sana (Pulau Pinang) buat macam apa yang kita buat sekarang ini?
"Atas sebab itulah saya cakap, nasib orang Melayu Pulau Pinang sebenarnya boleh diibaratkan seperti 'mentimun dan durian', digolek terluka, menggolek pun terluka. Itulah keadaannya selagi negeri itu masih lagi di bawah pimpinan DAP," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang enggan membandingkan nasib orang Melayu dengan orang Cina di negeri itu, sebaliknya membuat perbandingan tersebut dengan di Kedah dan Terengganu.
Anwar membuat kenyataan itu ketika menyampaikan amanat semasa Konvensyen Pilihan Raya Umum PKR Pulau Pinang kelmarin yang berlangsung dalam suasana hambar apabila dihadiri oleh kira-kira 200 orang sahaja.
Dalam pada itu, Tengku Putera berkata, Anwar perlu sedar kenyataan yang membandingkan nasib orang Melayu di Pulau Pinang dengan di tempat lain boleh mengundang kemarahan kaum tersebut.
"Jadi, janganlah cuba untuk pertahankan 'benang yang basah' lagi kerana semua orang tahu apa yang berlaku di sana (Pulau Pinang)," ujar beliau.
/hwa: utusan.com.my | 11/7/12 

Sikap hipokrit, cauvinis DAP perlu jadi amaran kepada Melayu

KUALA LUMPUR 10 Julai - Sikap DAP yang disifatkan sebagai rasis, hipokrit dan cauvinis oleh bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim baru-baru ini perlu menjadi amaran kepada masyarakat terutama orang Melayu.
Pengasas Utama Pertubuhan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia, Datuk Seri Jaafar Shaari berkata, parti tersebut dilihat memang seperti itu dari dulu lagi.
"DAP mengatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) rasis sedangkan mereka lebih rasis dan hipokrit. UMNO dan BN tidak rasis yang mana mereka telah berjaya membangunkan negara dengan kerjasama antara semua kaum.
"Saya menyeru kepada orang Melayu yang masih dalam DAP untuk tidak berterusan menjadi seperti 'boneka' mereka. Nilai dan lihat semula segala tindakan dan pendirian yang telah dibuat oleh DAP selama ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tulisan Tunku Aziz dalam akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times, Sabtu lalu.
Tunku Aziz berkata, sepanjang hampir empat tahun bersama DAP, beliau sudah dapat mengetahui di mana arah sebenar perjuangan parti itu.
Tambah Jaafar, penyertaan orang Melayu dalam DAP juga dilihat bagi menunjukkan mereka satu parti yang tidak rasis.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman berkata, sikap itu tidak memberi manfaat kepada negara dan rakyat yang berbilang kaum.
"Sekiranya dibiarkan berterusan, ia boleh membawa kepada kemarahan kaum-kaum lain dan jika lebih teruk lagi akan berlakunya kebencian di antara kaum. Perkara sebegini perlu dielakkan sama sekali.
"Kita tidak mahu keamanan dan kemajuan yang dinikmati rakyat dan negara terjejas ekoran bermulanya dengan kebencian yang boleh menjadi lebih teruk sekiranya tidak dikawal," jelas beliau.
Katanya, DAP juga sering mengatakan lebih demokrasi, adil dan sebagainya namun sebaliknya adalah berbeza.
Roslan berkata, rakyat sendiri perlu menilai dan menolak parti yang mempunyai sifat sebegitu agar rakyat negara yang berbilang kaum dan agama terus menikmati kehidupan sejahtera.
/hwa: utusan.com.my | 11/7/12 

Rakyat nilai sendiri sikap tamak DAP

KUALA LUMPUR 10 Julai - Sikap tamak dan taksub pembangkang akan dinilai sendiri oleh rakyat Malaysia terutama apabila DAP dikatakan mahu bertanding sehingga 90 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hasrat DAP yang mahu menampakkan ia sebagai parti dominan dalam pembangkang pasti sukar diterima sekutunya iaitu Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Saya mahu tengok bagaimana mereka (DAP) boleh dapat persetujuan Pas dan PKR dalam soal ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pembahagian kuota kerusi pembangkang yang menetapkan Pas dan PKR masing-masing bertanding hanya di 66 kerusi sedangkan DAP dikatakan mahu bertanding sehingga 90 kerusi pada PRU-13.
Hasrat DAP itu dilihat bakal menjadikan parti tersebut sebagai parti dominan dalam pakatan pembangkang.
Hishammuddin berkata, sikap pembangkang terutama DAP itu amat berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mementingkan semangat setiakawan dan adil sesama sendiri.
"Inilah beza mereka (pembangkang) dengan kita (BN) yang telah menjalin hubungan konsisten dan seadil mungkin dalam parti," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 11/7/12

11 Julai 2012

Elak berpuak laksana tugas

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2012/07/11

 Najib diiringi Jamil Khir (kiri) beramah mesra dengan penghulu/penggawa pada majlis Penutupan Seminar Memperkasakan Institusi Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia, di PWTC, semalam.
*****
Kuala Lumpur: Penghulu dan penggawa diingatkan menjadi pemimpin yang adil dan saksama tanpa berpuak dalam melaksanakan tugas masing-masing, serta memastikan bantuan kerajaan sampai kepada kumpulan sasar.

Sebagai tali penghubung antara pemerintah dan rakyat, mereka berperanan memastikan pelaksanaan dasar transformasi negara sampai kepada akar umbi dengan setiap anggota masyarakat menikmati manfaatnya.

Datuk Seri Najib Razak berkata, mereka juga sepatutnya rapat dengan wakil rakyat dan memaklumkan sebarang keperluan setempat yang belum dilaksanakan melalui Majlis Tindakan Daerah, supaya perubahan dapat dilakukan.

Program capai matlamat
“Jika tali penghubung ini dapat merasai denyut nadi rakyat, mesra rakyat, tahu mententeramkan keadaan jika timbul masalah rakyat dan menyelesaikannya, maka, dulu, sekarang dan selama-lamanya rakyat akan menyokong kerajaan.

““Kita tidak mahu apabila kerajaan ada niat yang baik dan rancangan bermanfaat tetapi sistem penyampaiannya tidak sampai kepada golongan sasar... kalau sampai pun, tidak sepenuhnya.

“Tugas penghulu/penggawa ialah memastikan tujuan program mencapai matlamatnya,” katanya berucap menutup Seminar Memperkasakan Institusi Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Yang Dipertua Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia, Ahmad Fuad Zainal Abidin.

Najib turut menasihati penghulu/penggawa supaya tidak berpuak-puak atau mengutamakan geng.

Peruntukan RM500,000

“Jangan sampai ada rakyat buat petisyen hendak menukar penghulu/penggawa sebab dia tidak ambil berat dan sokong orang tertentu saja... ini biasa saya dengar,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia, meningkat berbanding RM200,000 sebelum ini, bagi membolehkan kesatuan berkenaan menjalankan program di seluruh negara.

Mengenai permintaan kesatuan supaya Elaun Luar penghulu/penggawa dinaikkan, Najib memberi jaminan akan membawa perkara ke mesyuarat Kabinet hari ini selain merujuknya kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
 
/hwa: bharian.com.my | 10/7/12 

Generasi muda mula nilai keupayaan BN

Kuala Lumpur: Persepsi rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) kini semakin baik berbanding 2008 meskipun kerap dilemparkan dengan pelbagai fitnah oleh pembangkang.

Dengan pelbagai inisiatif dirangka, generasi muda kini mula dapat menilai kesungguhan kerajaan yang begitu prihatin mencorakkan masa depan negara yang lebih meyakinkan.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, berkata perubahan persepsi itu adalah hasil program transformasi politik, kerajaan dan ekonomi sehingga hasil dirasai sendiri oleh rakyat.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berpendapat majoriti rakyat kini sedar mengenai pelbagai program berbentuk sosial dilaksanakan kerajaan BN sehingga sukar bagi pembangkang menafikannya.

Tingkat taraf hidup

Program itu termasuklah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia), Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) dan Menu Rakyat 1Malaysia yang kian dekat di hati rakyat.

“Program meningkatkan taraf hidup, kebajikan dan keselesaan rakyat yang jelas seperti inilah yang dimahukan semua rakyat, khususnya pengundi di luar bandar.

“Bagi pengundi di bandar pula, selain menikmati hasil program itu, turut menghargai ketelusan pemimpin yang mendengar masalah mereka dan berusaha mencari penyelesaian,” katanya.

Sivamurugan berkata, banyak usaha dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tinjauan mesra di seluruh negara untuk mendapatkan maklum balas rakyat dan hasilnya, persepsi negatif terhadap BN sudah terhakis.

Golongan atas pagar

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir, namun golongan atas pagar dilihat masih berhati-hati untuk memilih parti mana yang mampu mewakili mereka untuk meneruskan pembangunan dan bukannya menabur pelbagai janji kosong.

“Walaupun dalam diam, mereka menilai apa yang dibuat oleh kerajaan BN dan apa juga yang dibuat kerajaan pembangkang sepanjang pemerintahan sejak 2008. Saya boleh mengandaikan BN boleh mendapat balik sokongan daripada pengundi protes pada 2008,” katanya.

Katanya, dengan gerak kerja berterusan Perdana Menteri dan timbalannya, BN mampu menarik sokongan pengundi atas pagar, apatah lagi jika kesungguhan yang sama ditunjukkan juga oleh segenap lapisan pemimpin BN.

Kajian sokongan belia

Sementara itu, Presiden Majlis Belia FELDA, Anuar Abd Manaf, berkata menerusi kajian sokongan yang dilaksanakan pihaknya mendapati lebih 60 peratus belia di seluruh negara kini menyokong BN.

“Persepsi buruk dilemparkan pembangkang kononnya kerajaan BN zalim, menindas rakyat dan mengabaikan rakyat, termasuk belia ternyata tidak dapat mempengaruhi mereka kerana belia sendiri sudah merasai satu demi satu hasil usaha kerajaan BN, baik ke atas diri mereka mahupun keluarga mereka,” katanya.
 
/hwa: bharian.com.my | 10/7/12 

1Murid 1Sukan 1Malaysia

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) melakukan senamrobik bersama murid di Sekolah Wawasan USJ 15 di Subang Jaya selepas melancarkan Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan, hari ini. Senamrobik itu dilakukan serentak di 10,000 sekolah di seluruh negara dan turut dicatat dalam Malaysia Book of Records. - Foto BERNAMA
Jul 10, 2012 11:45 am

Penghulu, penggawa perlu adil kepada rakyat - PM

KUALA LUMPUR 10 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pemimpin termasuk para penghulu dan penggawa bersikap adil kepada rakyat dan bukan hanya mementingkan orang di sekeliling mereka.
Beliau berkata, langkah itu wajar diberi perhatian bagi memastikan tiada pihak yang merasakan diri mereka terpinggir akibat perbuatan tersebut. - UTUSAN
/hwa: utusan.com.my | 10/7/12 

Polis gagalkan cubaan amuk

PUTRAJAYA 9 Julai - Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini, kecoh apabila seorang lelaki dan wanita dikatakan mengamuk sambil melibas pedang samurai sehingga menyebabkan orang ramai dan penjawat awam lari bertempiaran menyelamatkan diri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, kedua-dua suspek berjumpa anggota polis bantuan yang mengawal pintu masuk kompleks itu untuk meminta kebenaran masuk ke pejabat Perdana Menteri.
“Apabila tidak dibenarkan, dengan tiba-tiba lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi itu mengeluarkan pedang samurai sebelum mengacukan kepada anggota polis bantuan bertugas.
“Kedua-dua mereka terus bergerak sehingga ke kawasan blok B1 sebelum mengamuk dengan memecahkan cermin beberapa kereta yang berdekatan dengan blok itu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Utusan Malaysia difahamkan, lelaki yang tidak berbaju itu dikatakan memberitahu mahu menggulingkan kerajaan dan bertakbir beberapa kali.
Kejadian itu menyebabkan orang ramai dan penjawat awam tidak dapat memasuki bangunan tersebut apabila pintu pagarnya ditutup oleh pihak polis bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Serentak itu, Chin Wah berkata, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dikejarkan ke tempat kejadian.
“Anggota-anggota MPV yang sampai cuba memujuk, tetapi diserang oleh kedua-dua suspek dan mereka kemudian ditembak oleh anggota polis berkenaan.
“Suspek perempuan cedera di paha kanan manakala lelaki pula di bahagian tangan dan ari-ari bahagian kiri," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditangkap dan dihantar ke hospital untuk rawatan dan butir-butir suspek serta motif kejadian dalam siasatan.
“Suspek lelaki disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid pada sidang akhbar di pejabatnya berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dikenali sebagai Khalil Afandi Hamid, 47, manakala suspek wanita adalah Muhdalina Ahmad, 28.
Katanya, kedua-dua suspek yang menganggur itu dikatakan mengenali satu sama lain sejak seminggu lalu dan Muhdalina adalah bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Kami juga dimaklumkan bahawa lelaki terbabit memiliki seorang anak manakala suspek perempuan mempunyai dua anak," katanya.
Ketika ditanya adakah kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan jaringan pengganas, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan polis.
“Begitu juga dengan dakwaan suspek adalah seorang penulis blog yang dikatakan mengutuk pihak berkuasa," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 10/7/12 

Siapa sebenar 'serabut perut'?

DAKWAAN Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam keadaan 'serabut perut' kerana dari sehari ke sehari belum mahu membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan boleh dianggap 'lawak yang tidak kelakar di tengah malam.'
Dalam satu majlis di Shah Alam beberapa hari lalu, Menteri Besar Kelantan itu berhujah, ''Lepas sehari, sehari ditangguh tentu ada sesuatu, masalah apa kita tak tahu yang pasti dia (Najib) serabut perut." Dan selain itu Nik Abdul Aziz menganggap pakatan pembangkang mencapai kemenangan moral kerana UMNO tidak berani membubarkan Parlimen.
Apa yang lebih melucukan, Nik Abdul Aziz berkata, 'ketakutan' UMNO itu disebabkan "kebangkitan rakyat yang semakin ramai menyokong Pakatan Rakyat…Ini membuktikan kesedaran dan gelombang perubahan itu wujud."
Itulah kata-kata Nik Abdul Aziz penuh yakin kepada anak-anak Kelantan di perantauan pada majlis berkenaan.
Oleh kerana Nik Abdul Aziz juga ahli politik maka tidak salah untuk beliau membuat andaian politik dalam isu berkenaan. Tetapi pada masa yang sama kita juga berhak untuk menilai dan mengkaji siapa sebenarnya yang berada dalam keadaan 'serabut perut', pemimpin pembangkang atau Perdana Menteri?
Berikut penulis paparkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepimpinan pembangkang yang boleh memberikan kesempatan kepada kita untuk menilai siapa sebenarnya 'serabut perut'.
l Siapa dominan dalam pembangkang? - Dalam keghairahan Pas menyatakan Najib 'serabut perut' untuk membubarkan Parlimen, apakah Pas benar-benar jujur untuk mengakui bahawa pembahagian kerusi dalam pakatan pembangkang sudah selesai? Benarkah Pas tidak 'serabut perut' apabila cita-cita parti itu untuk bertanding 80 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang tidak akan tercapai?
Ini memandangkan daripada 222 kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan dalam pilihan raya nanti, DAP dikatakan akan bertanding 90 kerusi dan ada pula yang mengatakan 89 kerusi tetapi yang pasti parti itu akan dominan.
Pas pula yang selama ini sentiasa sahaja patuh kepada kehendak DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya dibenarkan bertanding antara 66 hingga 67 kerusi.
Apakah Pas tidak 'serabut perut' dengan situasi ini kerana jika jumlah pembahagian kerusi ini benar, jelaslah DAP akan menjadi tonggak utama sekaligus memusnahkan impian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk melihat parti itu menjadi tulang belakang pemerintahan jika pembangkang memerintah.
Apakah Pas tidak 'serabut perut' untuk memikirkan bagaimana seolah-olah ada pakatan antara DAP dan PKR dalam isu ini. Kalau kedua-dua parti itu menghormati Pas sudah tentulah, mereka akan memberi peluang kepada Pas bertanding lebih banyak kerusi.
Tetapi ini tidak berlaku, sebaliknya DAP dibenarkan oleh PKR untuk dominan dan sekali gus menunjukkan apa pun keputusan pilihan raya nanti yang akan untung adalah DAP, manakala Pas hanya menjadi alat.
Oleh itu, apakah kepimpinan Pas tidak akan 'serabut perut' untuk meyakinkan penyokong-penyokong mereka bekerja bermati-matian dalam pilihan raya tetapi yang akan untung ialah DAP dan PKR?
l Apa arah tuju perjuangan Pas - Berbanding dengan UMNO di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang tidak pernah mengubah dasar perjuangan demi memburu kuasa politik, Pas jauh berbeza. Sampai ke hari ini, Pas masih dilihat gagal untuk memberikan keyakinan dan pemahaman kepada penyokong-penyokong tegarnya kenapa parti itu berubah daripada perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan.
Semua orang tahu Pas terpaksa mengubah landasan perjuangannya semata-mata kerana bimbang dengan tentangan DAP yang dalam kenyataan terbaru terus menolak sebarang usaha melaksanakan hukum hudud apatah lagi negara Islam.
Tambahan pula yang dominan dalam pakatan pembangkang ialah DAP yang disokong kuat oleh PKR. Ia bermakna jika Pas terus bersama pakatan berkenaan maka perjuangan Islamnya sudah berakhir dan matlamat negara berkebajikan hanyalah retorik kerana apa pun yang hendak dilakukan oleh Pas perlu mendapat restu kedua-dua parti tersebut.
l Masalah di negeri pakatan pembangkang - Terdapat empat negeri yang berada di bawah pakatan pembangkang iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan. Apakah negeri-negeri berkenaan berada dalam keadaan aman tanpa sebarang kemelut? Apakah di Pulau Pinang, pemerintahan DAP tidak 'serabut perut' apabila berhadapan dengan pelbagai protes termasuklah yang terbaru isu pembangunan di Kampung Genting, Balik Pulau.
Apakah di Kelantan, kerajaan Pas tidak 'serabut perut' apabila masih gagal menangani masalah air dan isu dinar emas yang semakin 'panas' serta kegagalan melaksanakan pelbagai janji yang dibuat semasa pilihan raya.
Tidakkah Pas negeri itu tidak 'serabut perut' apabila satu demi satu janji yang dibuat semasa pilihan raya termasuk pelaksanaan beberapa projek pembangunan bernilai berbilion ringgit yang akhirnya sekadar terpacak dengan papan tanda sahaja?
Bagaimana pula di Selangor, apakah kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak 'serabut perut' apabila berhadapan dengan dakwaan oleh MCA mengenai isu Talam Corporation? Apakah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak 'serabut perut' apabila beliau turut berhadapan dengan tekanan dari dalam parti sendiri untuk memecat setiausaha politiknya?
Begitu juga di Kedah, tidakkah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak 'serabut perut' apabila satu demi satu masalah berlaku di negeri berkenaan termasuklah yang terbaru bantahan oleh kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin).
Dalam situasi ini, cuba kaji pula apakah di negeri-negeri diperintah oleh BN ada apa-apa masalah besar seperti mana dihadapi oleh negeri-negeri pakatan pembangkang? Oleh itu siapa sebenarnya 'serabut perut'.
l Kepimpinan Najib - Turut menjadi faktor yang akan memungkinkan pemimpin-pemimpin pembangkang 'serabut perut' ialah bagaimana mereka hendak menahan arus penerimaan rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri.
Keikhlasan Najib yang muncul dengan gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan benar-benar memberi impak positif untuk sokongan politik kepada BN. Ia ditambah pula dengan program Janji Ditepati yang ternyata membela nasib seluruh lapisan rakyat.
Keadaan ini berbeza dengan pembangkang yang muncul dengan agenda politik melalui slogan Bersama Rakyat Menuju Putrajaya. Langkah itu jelas menunjukkan matlamat pembangkang hanya mahu menawan Putrajaya dan merebut kuasa politik, tiada agenda yang jelas bagaimana hendak membantu rakyat.
Penulis hanya memaparkan beberapa sahaja faktor yang memungkinkan kita bertanya siapa sebenarnya yang 'serabut perut'.
Mungkin benar wujud kesedaran dan gelombang perubahan di kalangan rakyat tetapi ia bukannya memihak kepada pakatan pembangkang tetapi BN kerana rakyat semakin memahami siapa sebenar sentiasa 'serabut perut' dengan masalah demi masalah.
/hwa: utusan.com.my | 10/7/12 

Mahathir persoal tindakan Kit Siang

Dr. Mahathir Mohamad bersama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Azah Aziz ketika hadir majlis pengebumian tokoh budayawan itu di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 9 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoal tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berterusan mengisytiharkan 'niat' untuk melawan legasi yang digelarnya sebagai 'Mahathirisme'.
Jelas Dr.Mahathir, beliau sendiri tidak memahami erti 'Mahathirisme' tetapi ia jelas merupakan sesuatu yang menakutkan dalam pemikiran Kit Siang.
''Saya tertanya-tanya mengapa Kit Siang begitu takut kepada saya? Ketakutan beliau yang terbaru adalah tentang apa yang beliau sebut sebagai 'Mahathirisme'. Jadi beliau telah mengisytiharkan niatnya untuk melawan 'Mahathirisme'.
''Sebenarnya 'Mahathirisme' mati selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pentadbiran daripada saya pada 2003. Beliau mengubah UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan begitu banyak sehingga tidak lagi menyerupai institusi yang saya tahu. Saya juga terpaksa 'meletakkan jawatan' daripada UMNO,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri terbaru di blognya, http://chedet.cc hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu mengulas kenyataan Kit Siang menerusi blognya, http://blog.limkitsiang.com yang mahu menentang 'Mahathirisme'.
Dr. Mahathir berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah individu yang rapat dengan beliau dan memiliki pasukan penasihat serta polisi-polisi tersendiri.
''Ya saya aktif berkempen untuk UMNO dan BN. Ini adalah kerana ia masa untuk saya 'bayar' balik kepada UMNO dan BN. Saya menjadi Perdana Menteri kerana UMNO dan BN sokong saya. Saya terhutang budi. Rasa terhutang budi itu ditunjukkan dengan cara membantu UMNO dan BN diterima rakyat dan menang.
''Sudah tentu dalam menyokong UMNO dan BN, saya juga akan membantu anak saya, Datuk Mukhriz Mahathir. Apabila saya menjadi Perdana Menteri dahulu, saya tidak membenarkan anak-anak saya aktif dalam politik,'' tegasnya.
Ujarnya, jika Najib memilih Mukhriz sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang, beliau akan turut membantu berkempen untuk Mukhriz termasuk calon-calon BN atau UMNO lain.
''Kit Siang juga membantu anaknya, Lim Guan Eng sehingga menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Justeru, saya tidak ambil kisah sama ada beliau mahu memusnahkan 'Mahathirisme' atau tidak. Ia hanya tindakan sia-sia kerana 'Mahathirisme' adalah khayalan beliau semata-mata,'' tambahnya.
/hwa: utusan.com.my | 10/7/12

Anwar perlu pulangkan RM3 bilion

KUALA LUMPUR 9 Julai - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta supaya memulangkan RM3 bilion dalam bentuk akaun induk sebelum bersara daripada politik sekiranya pakatan tersebut gagal membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim berkata, rakyat sudah pasti tidak mahu Anwar bersara tanpa memulangkan wang tersebut kepada pihak berwajib.
"Duit itu amat berguna dan boleh digunakan untuk membantu ramai orang miskin dan anak-anak yatim. Tolong pulangkan semula duit rakyat itu sebelum bersara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Isu akaun induk bernilai RM3 bilion yang dikawal Anwar diperkatakan kembali selepas didedahkan oleh ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali baru-baru ini.
Berikutan itu, bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid pada 18 Jun lalu tampil mengesahkan bahawa akuan bersumpah yang dibuat beliau mengenai Anwar yang mengawal 20 akaun induk pada 13 tahun lalu adalah benar.
Anwar pula dalam laporan Financial Times baru-baru ini menyatakan kesediaan beliau untuk berundur daripada politik sekiranya pembangkang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Justeru, Ruslan yang juga bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Anwar supaya mengambil tindakan menyaman Ummi Hafilda serta Murad atau memulangkan wang tersebut bagi membersihkan dakwaan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta Anwar untuk mengisytiharkan punca pendapatan PKR sehingga boleh membiayai lawatan Penasihat PKR itu ke luar negara yang begitu kerap setiap tahun kerana ia melibatkan dana besar.
/hwa: utusan.com.my | 10/7/12

Penasihat PKR didakwa pernah 'hentam' Pas, DAP

ZAMIL Ibrahim menunjukkan cakera padat dan butiran perbualan berkaitan Anwar Ibrahim menghentam parti dalam pakatan pembangkang di Kota Damansara, semalam. 
*****
PETALING JAYA 9 Julai - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim akan mendedahkan rakaman Datuk Seri Anwar Ibrahim 'menghentam' rakan sekutunya dalam satu mesyuarat tertutup Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zon Utara di Pulau Pinang pada 9 Januari 2008.
Menurutnya, beliau akan mengambil tindakan itu jika Ketua Pembangkang tersebut gagal menjawab secara jujur mengenai rakaman berkenaan yang diterima dalam bentuk cakera padat (CD) daripada seorang Ketua Cabang PKR di Kedah.
Dakwanya, rakaman selama lima minit dan 20 saat menerusi telefon bimbit milik ketua cabang itu antara lain memaparkan kenyataan Anwar yang menghentam DAP selain menyifatkan Pas sebagai sebuah parti yang hanya disokong oleh golongan Melayu di kampung.
''Rakaman itu diberikan kepada saya oleh pemimpin PKR tersebut yang semakin hari semakin meluat dengan permainan wayang Anwar. Ia juga sebagai bukti suasana 'tikam belakang' antara pembangkang telah berlaku sejak 2008 lagi. Sekarang pun begitu juga.
''Saya cabar Anwar untuk mengesahkan apakah benar beliau pernah menghentam Pas dan DAP dalam mesyuarat itu? Saya minta Anwar menjawabnya secara jujur. Tetapi saya tahu Anwar tidak akan jawab,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Jaringan Melayu Malaysia (JMM) di Kota Damansara dekat sini hari ini.
Beliau mendakwa, rakaman tersebut juga menggambarkan watak sebenar Penasihat PKR itu yang tidak jujur dengan rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang.
''Saya juga bersedia untuk disaman oleh Anwar sebab saya ada maklumat lengkap mengenai perjalanan mesyuarat berkenaan,'' tegasnya.
Sementara itu katanya, beliau turut akan mendedahkan lapan CD mengandungi rakaman pengakuan lapan wakil rakyat PKR yang mahu keluar daripada parti itu.
Dakwanya, kebanyakan CD itu dirakam selepas peristiwa pembentukan 'Kerajaan 16 September' yang kononnya diusahakan Anwar pada 2008.
''Saya baru tonton dua CD. Bukan saya rakam tetapi teman-teman saya yang rakam. Kebanyakan wakil rakyat PKR mahu keluar parti kerana mereka dipaksa letak jawatan. Ada yang mahu menjadi bebas atau memasuki semula Barisan Nasional (BN). Janji keluar PKR,'' dakwanya.
Dalam perkembangan lain, Zamil mendesak bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid menjelaskan kepada rakyat sama ada beliau terlibat atau tidak dalam isu membawa keluar wang kertas dengan nota RM500 dan RM1,000 dalam nilai yang besar sekitar hujung 90-an.
''Jika terlibat, tolong jelaskan kepada rakyat siapa lagi yang terlibat serta mengarahkan beliau berbuat demikian. Saya difahamkan wang itu masih ada di luar negara dan disimpan di satu lokasi rahsia. Ada orang-orang tertentu di negara ini yang tahu tempat itu.
''Saya juga meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memberi ulasan sama ada beliau telah menghidu tindakan tersebut sehingga mengarahkan pengeluaran wang kertas dengan nota berkenaan dihentikan,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 10/7/12

DAP 'undang' bantahan rakan

KUALA TERENGGANU 9 Julai - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib (gambar) menyifatkan ia suatu tindakan mengejutkan jika benar DAP berhasrat untuk bertanding bagi 90 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Menurutnya, ia pasti mengundang bantahan kerana setahu beliau, kesemua parti dalam pakatan pembangkang iaitu DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum mengadakan perbincangan berhubung hasrat tersebut.
Beliau menegaskan, DAP sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan Pas dan PKR mengenainya sebelum membuat keputusan tentang kedudukan serta jumlah kerusi yang akan ditandingi.
Harun juga menggesa DAP mendapatkan persetujuan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang sebelum membuat sebarang keputusan dan bukan bertindak bersendirian.
"Sebenarnya saya belum tahu pasal ini (hasrat DAP tanding 90 kerusi parlimen). Ini pertama kali saya dengar. Mereka (DAP) kena tanya rakan parti lain dulu lah (Pas dan PKR). Kena tanya Anwar Ibrahim dulu lah sama ada setuju atau tidak.
"Saya tak dapat jelaskan perkara ini sebab kita belum bincang lagi. Yang penting, ia kena bincang dulu sesama parti lain dalam pakatan pembangkang.
"Yang pasti, ini bergantung kepada persetujuan Pas dan PKR dulu sebelum kita buat keputusan dan setakat ini, kita belum putus lagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Harun menyatakan demikian sebagai mengulas hasrat DAP untuk bertanding di 90 kawasan Parlimen pada PRU-13, seperti didedahkan sebuah blog propembangkang, suarapakatanrakyat.com.
Pendedahan blog tersebut turut mendapat sokongan daripada blog www.mykmu.net selain pisau.net.
Berdasarkan pendedahan itu, Pas pula akan bertanding 66 kerusi, jauh lebih rendah berbanding hasrat Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu parti itu bertanding di 80 kerusi dan jumlah itu senasib dengan PKR yang juga diperuntukkan 66 kerusi.
Harun berkata, sekiranya DAP tetap dengan keputusan untuk bertanding di 90 kawasan Parlimen, ia akan mengundang bantahan daripada rakan parti lain dalam pakatan pembangkang.
Sebaliknya, tegas beliau, DAP perlu akur dengan permintaan serta tuntutan daripada Pas atau PKR atas semangat 'setiakawan' dalam satu pakatan.
''Pakatan (pembangkang) bukan macam dalam BN. Kita belum ada keputusan muktamad lagi. Tapi kalau mereka (DAP) teruskan juga hasrat itu dan kita tak setuju, mereka kena akur (kehendak Pas dan PKR)," ujarnya.
Ditanya sama ada hasrat DAP itu membuktikan parti itu akan menjadi 'tulang belakang' dan dominan apabila pakatan pembangkang memerintah kelak, Harun bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
/hwa: utusan.com.my | 10/7/12

Guan Eng, Betty, Phaik Kheng perlu duduk semeja

PULAU PINANG 9 Julai - Tiga individu yang kini menjadi perhatian ramai iaitu Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew Gek Cheng serta Ng Phaik Kheng perlu mengadakan sidang akhbar bersama bagi menamatkan kontroversi melibatkan mereka.
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan berkata, tindakan sedemikian perlu bagi memberi penjelasan kepada umum tentang perkara sebenar.
Menurutnya, kontroversi tersebut tidak perlu berpanjangan kerana ia hanya akan merumitkan keadaan.
"Ini kerja mudah, cuma beritahu ya atau tidak.
"Beri penjelasan kerana jika tidak rakyat salah faham tentang perkara ini. Tidak guna memanjangkan isu ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sabtu lalu, Betty dan Guan Eng mengadakan sidang akhbar bersama bagi menafikan skandal suaminya dengan Phaik Kheng yang juga bekas kakitangan di Pejabat Ketua Menteri.
Bagaimanapun, hanya Betty yang memberi penjelasan dalam sidang akhbar berkenaan sementara Guan hanya berdiam diri.
Betty yang kelihatan tidak ceria turut menafikan beliau pernah menyerang Phaik Kheng dan menuduh ia merupakan konspirasi Barisan Nasional (BN).
Phaik Kheng pula sehingga kini masih mengambil sikap berdiam diri berhubung isu tersebut.
Cheng Guan menambah, mereka tidak perlu takut berbuat demikian sekiranya benar dakwaan yang dilemparkan terhadap ketiga-tiganya adalah palsu.
"Mereka tidak perlu takut. Kalau tidak buat kenapa perlu takut?" ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 10/7/12

'Anak saya rosak kerana pengaruh pembangkang'

REMBAU 9 Julai - ''Saya tidak pernah mengajar anak berlaku biadab kepada sultan, raja mahupun orang Melayu."
Itulah luahan seorang bapa, Kamarudin Mahmod, 58 yang kesal dengan pengaruh pembangkang sehingga anaknya, Setiausaha Media Solodariti Mahasiswa Melayu (SMM), Ahmad Shukri, 22 sanggup menghina Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan rakyat Johor.
''Parti pembangkang yang telah merosakkan masa hadapan anak Melayu, termasuk anak saya sendiri. Saya kesal dan tidak akan memaafkan mereka sampai hari akhirat.
''Anak saya ada potensi kerana kakak dan adiknya berjaya, tetapi pembangkang telah merosakkan masa hadapan anak saya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) membuat laporan polis ke atas Ahmad Shukri berikutan tulisannya dalam Facebook dan Twitter di www.facebook.com/ahmadshukri.kamarudin dan twitter.com/ shukri_rembau yang menghina Sultan Johor.
Sehubungan itu, Kamarudin yang merupakan pendidik dan isterinya, Rosidah Alias, 55 memohon maaf kepada Sultan Johor dan rakyat Johor di atas kebiadapan anaknya itu.
Katanya lagi, Ahmad Shukri mula berubah selepas memasuki sebuah kolej universiti di Selangor dan ia menjadi pemimpin pelajar di situ.
''Masa itulah anak saya sudah belajar melakukan demonstrasi, kononnya menegakkan kebenaran. Dia menghasut rakan-rakannya dan selalu hadir dalam seminar yang dianjurkan pembangkang," ujarnya.
Kamarudin yang kini menerima rawatan kemurungan, manakala isterinya menghidap sakit jantung meminta orang ramai mendoakan Ahmad Shukri berubah.
''Anak saya tidak sedar selama ini kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah banyak membantu pelajaran kami sekeluarga termasuklah saya dan isteri. Saya tidak akan menyokong pembangkang sebaliknya akan membalas budi baik kerajaan BN.
''Saya tidak pernah mengajar anak murid, mahupun anak sendiri untuk menderhaka kepada kerajaan, raja, sultan, rakyat, bapa mahupun emak," tegasnya.
Katanya lagi, difahamkan Ahmad Shukri kini berkhidmat dengan parti pembangkang di Selangor dan dijadikan 'kambing hitam' untuk melakukan kerja yang tidak bermanfaat itu.
''Hancur harapan saya dan isteri kerana pembangkang. Anak saya tidak habis belajar, sekarang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pun saya yang bayar," ujar Kamarudin.
/hwa: utusan.com.my | 10/7/12

10 Julai 2012

Pasangan amuk ada masalah mental

KUALA LUMPUR 10 Julai - Pasangan suspek dalam kejadian ceroboh dan amuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya semalam dipercayai mempunyai masalah mental ekoran ajaran sesat yang diikuti mereka.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kedua-dua suspek meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan yang tidak mengamalkan pemerintahan Islam. - UTUSAN.
/hwa: utusan.com.my | 10/7/12

Kartun bukan platform kutuk pemimpin

SHAH ALAM 10 Julai - Tokoh-tokoh kartunis veteran negara menasihatkan para seniman dan kartunis tidak mencampuradukkan perjuangan politik dalam karya kerana dibimbangi memberi mesej negatif kepada pembaca.
Jaafar Taib yang juga salah seorang pelopor majalah Gila-Gila berkata, kartun sepatutnya dijadikan wadah ilmu bukannya digunakan untuk mengutuk pemimpin.
“Kartunis sepatutnya berkarya untuk menyampaikan perkara-perkara yang positif. Bila ia digunakan kepada perkara negatif seperti menghina kerajaan dan pemimpin, ia ditakuti akan mengelirukan pemikiran pembaca terutamanya kanak-kanak," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama penerima Anugerah Khas Penggiat Kartun dan Penganjur Program Pameran Kartun dan Animasi 1Malaysia di sini malam tadi.
Majlis anjuran Konsortium Cartoonist At Work dan Kelab Putera 1Malaysia itu memberikan anugerah kepada 10 tokoh kartunis antaranya Datuk Dr. Mohd. Nor Khalid (Datuk Lat); Hassan Abd. Muthalib; Zainal Buang Hussin; Kamn Ismail; Prof. Dr. Muliyadi Mahamood; Tan Sri Lim Kok Wing; Reggie Lee; Margaret Chelatora dan Abdul Jamil Ahmad.
Jaafar mengulas kelantangan kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque dalam penghasilan karya yang mengutuk kerajaan serta tindakannya menolak anugerah yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Program Pameran Kartun dan Animasi 1Malaysia di Pasar Seni, Kuala Lumpur, 24 Jun lalu.
Sementara itu, pencetus revolusi kartun, Mior Sariman Mior Hassan atau lebih popular dengan nama Mishar berkata, golongan kartunis tidak sewajarnya mencemarkan industri tersebut dengan penghasilan karya yang menyinggung orang lain meskipun mereka bebas memilih parti politik masing-masing.
“Saya faham perjuangan politik Zunar, namun menggunakan kartun sebagai platform menyinggung hati orang lain terutamanya pemimpin adalah tidak elok.
"Lebih baik hasilkan karya yang boleh menjadi pemangkin kepada kemajuan negara," katanya. - UTUSAN
/hwa: utusan.com.my | 10/7/12

‘Imam Mahdi’ ditembak mati

Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my
2012/07/10

Putrajaya: Seorang lelaki yang mendakwa dirinya ‘Imam Mahdi’ mati ditembak polis selepas mengamuk sambil melibas pedang samurai di pekarangan Kompleks Pejabat Kerajaan Blok B1, Jabatan Perdana Menteri (JPM), petang semalam.

Suspek dikenali Khalil Afandi Abd Hamid, 47, dan seorang kenalan wanitanya, Muhdalina Ahmad, 28, mulanya ke Pondok Pengawal JPM sambil menghunus pedang sebelum dihalang anggota Polis Bantuan di situ, tetapi selepas tidak mengendahkan arahan menyerah diri, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan amaran.

Tembakan amaran

Dua daripada tembakan itu masing-masing mengenai bahagian tangan dan ari-ari suspek lelaki dan satu lagi mengenai paha kanan Muhdalina. Walaupun terkena tembakan, Khalil dikatakan mengacu pedang samurai ke leher salah seorang anggota Polis Bantuan sambil memaksa dibenarkan masuk ke pejabat kerajaan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek kemudian meluru masuk ke perkarangan Blok B1 sambil melibas pedang dan cuba menetak kenderaan serta orang ramai di situ.

Berikutan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah serta Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dikerah ke situ untuk mengawal keadaan, namun Khalil terus agresif dan bertindak lebih ganas menetak sebuah kereta HYUNDAI Accent dan PERODUA Kancil milik seorang anggota Polis Bantuan.

“Lelaki itu turut menetak cermin PROTON Waja polis walaupun anggota yang tiba memperkenalkan diri. Tidak lama kemudian, sebuah lagi MPV datang membantu dan cuba memujuk suspek, tetapi diserang dengan pedang samurai sehinggalah polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kedua-dua suspek,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dua suspek itu kemudian dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi Khalil disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan kira-kira jam 3 petang, manakala keadaan Muhdalina dilaporkan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata polis yang turut merampas sebilah keris kecil dan tiga pisau lipat daripada kedua-dua suspek, masih menyiasat motif kejadian itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Baru berkenalan

Katanya, Khalil dan Muhdalina yang masing-masing mempunyai seorang dan dua anak, tidak bekerja tetapi wanita itu dikatakan bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan dikatakan baru seminggu berkenalan menerusi laman blog.
 
/hwa: bharian.com.my | 10/7/12

9 Julai 2012

DAP tanding 90 kerusi?

KUALA LUMPUR 8 Julai - DAP bakal menjadi parti paling dominan dalam pakatan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila maklumat mesyuarat pembahagian kuota kerusi pembangkang mendedahkan, parti itu dikatakan akan bertanding di 90 kawasan Parlimen.
Maklumat mengenai perkara itu didedahkan oleh sebuah blog propembangkang, suarapakatanrakyat.com dan kemudian disokong dengan maklumat serupa oleh blog www.mykmu.net serta pisau.net.
Pas pula yang meninggalkan perjuangan negara Islam kekal bertanding 66 kerusi, jauh lebih rendah berbanding hasrat Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu parti itu bertanding di 80 kerusi.
Jumlah kerusi Pas itu sama dengan peruntukan kerusi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ‘diturunkan pangkat’ berbanding 97 kawasan Parlimen pada pilihan raya umum 2008 lalu, walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal diangkat sebagai Ketua Pembangkang.
Bagi DAP, ia penambahan 43 kerusi berbanding 2008 sekali gus, meletakkan parti itu dalam kedudukan terbaik dan selesa untuk melantik Perdana Menteri dari kalangan pemimpin parti mereka jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya, bukannya melantik Anwar.
“Berdasarkan dokumen tersebut, sah DAP akan bertanding di 90 kerusi Parlimen serta masing-masing 66 kerusi bagi PKR dan Pas. Ini satu kejutan terbesar kerana ia meletakkan DAP dalam kedudukan sangat selesa untuk melantik Perdana Menteri dari kalangan mereka.
“Ditambah pula dengan undi orang Melayu yang kini berpecah kepada tiga bahagian, DAP dengan mudah boleh menang di kawasan Parlimen yang mempunyai populasi separuh pengundi Melayu dan bukan Melayu," dakwa suarapakatanrakyat.com.
Pada pilihan raya 2008, DAP menang 28 daripada 47 kerusi yang ditandingi iaitu pencapaian sebanyak 59.57 peratus berbanding PKR yang hanya menang 31 kerusi daripada 97 kawasan Parlimen, manakala Pas pula paling sedikit iaitu 28 kerusi.
Sementara itu, mykmu.net pula berkata, jika pun pembangkang gagal menawan Putrajaya, DAP akan sentiasa berada tiga hingga empat langkah ke depan berbanding PKR dan Pas dalam menentukan hala tuju pakatan, sehingga parti itu layak digelar ‘abang besar’ selepas ini.
Lebih memburukkan keadaan dakwa blog itu lagi, daripada 66 kerusi yang diperuntukkan kepada PKR, sehingga kini hanya 24 kawasan sahaja yang sudah terisi dengan ‘calon pilihan’ dan keadaan berkenaan memberi kelebihan tambahan kepada DAP kerana rata-rata calon PKR bukan Melayu.
“Andai kata kuota pembahagian ini kekal dan dengan mengambil kira sokongan masyarakat Cina kepada DAP serta perpecahan undi Melayu, parti itu akan memenangi jumlah kerusi Parlimen lebih besar. Makanya, Pas kekal sebagai balaci dan PKR akan jadi pendokong kuat DAP.
“Ditambah dengan sokongan wakil rakyat PKR yang bukan Melayu, bakal Perdana Menteri bukan Anwar tetapi pemimpin DAP itu sendiri dan kalau pun Anwar dilantik demi untuk menjaga perasaan orang Melayu, ia sekadar boneka seperti mana di Perak sebelum ini," dakwa blog itu lagi.
/hwa: utusan.com.my | 8/7/12

Nak jadi PM mesti bermoral

NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai ketika melawat sekitar Pasar Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi dekat Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
*****
KUALA LUMPUR 8 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ialah ‘55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’.
Katanya, pemilihan tema itu bersesuaian dengan pendekatan 3K yang diamalkan sejak 55 tahun lalu yang menjadi bukti Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang menunaikan segala janji kepada rakyat sehingga meletakkan Malaysia muncul negara membangun paling maju di dunia.
Beliau berkata, 3K dimaksudkan ialah Keamanan dan Keselamatan, Kestabilan dan Keharmonian serta Kemakmuran dan Kemajuan yang kini dinikmati oleh segenap lapisan rakyat tanpa mengira agama, budaya mahupun warna kulit.
Sambil menyelar sikap pembangkang yang tidak malu mendabik dada mendakwa kononnya mereka membawa kemakmuran kepada negeri-negeri yang diperintah, Najib berkata, pendekatan 3K itu juga akan ditawarkan kepada rakyat Selangor dalam usaha menawan kembali negeri itu.
Katanya, pendekatan 3K akan menjadi penawar rakyat Selangor yang ditipu pakatan pembangkang diketuai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Selaku Pengerusi BN negeri, beliau berjanji akan membawa lebih banyak kemakmuran, kenikmatan serta kemajuan kepada Selangor.
Justeru, Perdana Menteri mengulangi janji beliau untuk memperkenalkan Kedai Buku 1Malaysia dan Kedai Kain 1Malaysia dalam masa terdekat, selepas pelbagai program yang mendahulukan rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diwujudkan sebelum ini.
“Janji ditepati bukan perkara sehari dua, ia dilaksanakan BN sepanjang 55 tahun. Slogan Janji Ditepati bukan perkataan semata-mata dan tiada keperluan untuk kita mempolitikkan (tawar janji-janji kosong) seperti pembangkang tetapi kami mahu membantu rakyat.
“Tengok sahaja Selangor, siapa yang membangunkan negeri ini? Jasa siapa? Siapa yang bangunkan Bangi ini? Siapa yang mendirikan institusi pengajian tinggi, tubuhkan pusat-pusat latihan? Bangi dahulu kawasan hutan tetapi hari ini muncul pusat pertumbuhan kerana jasa BN.
“Siapa bangunkan Shah Alam, Cyberjaya dan wujudkan Putrajaya? Siapa pula berjanji tetapi sekadar di bibir, mana janji-janji mereka sebelum pilihan raya 2008?" katanya semasa berucap merasmikan Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Selangor di Bangi.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar; Koordinator BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon serta beberapa menteri Kabinet lain.
Dalam pada itu, Najib mahu rakyat Selangor menuntut segala janji politik yang dibuat pakatan pembangkang di negeri itu seperti mengurangkan cukai pintu, tabung permulaan RM100 untuk bayi dan elaun khas kepada ibu tunggal yang sehingga kini hanya omong kosong.
Tegas beliau, bukan sahaja pakatan pembangkang di Selangor gagal menunaikan janji tetapi lebih teruk menipu rakyat.
Ini apabila nasib golongan ibu tunggal dan miskin yang kononnya mahu dibela, ditindas pula dengan menaik kadar sewa seperti yang berlaku di Seksyen Satu Bandar Baru Bangi.
“Pembangkang bukan sahaja tidak tunaikan janji untuk kurangkan cukai pintu sebanyak 20 peratus tetapi saya dimaklumkan semasa beramah mesra dengan penduduk di Seksyen Satu tadi, sewa bulanan premis untuk ibu tunggal dinaikkan dari RM125 sebulan (era BN) kepada RM250.
“Ini belum lagi janji-janji mereka dalam Buku Jingga yang jika dilaksanakan akan meranapkan ekonomi negara. Oleh sebab itu, hari ini kita pilih baju jingga untuk buktikan BN sebuah parti dan kerajaan yang menepati semua janji kepada rakyat berbanding apa yang ditawarkan di dalam Buku Jingga," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 8/7/12

8 Julai 2012

Menara Felda Bakal Beri Pulangan Kewangan, Sosial – Ahmad Maslan

 Menara Felda
KUALA LUMPUR 14 Julai. – Pembinaan Menara Felda merupakan pelaburan jangka panjang yang bakal memberi pulangan bukan sahaja dari aspek kewangan malah dari aspek sosial.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata menara yang dibina di Jalan Tun Razak berhadapan Menara Kembar Petronas (KLCC) itu telah mula membawa keuntungan kepada Felda walaupun belum siap sepenuhnya.
 
Ahmad Maslan
“Masa kita beli pada tahun 2008, kita beli dengan harga RM930 sekaki persegi. Sekarang dah meningkat kepada RM1,400 hingga RM1,500 sekaki persegi. Dari segi pelaburan, ia tepat kerana berada dalam segi tiga emas. Aset ini takkan turun harganya,” katanya dalam rancangan Hello Malaysia terbitan Bernama TV di sini.
Beliau berkata pembinaan menara itu akan turut membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda terutamanya anak-anak Felda.
“Generasi baru boleh kerja di situ. Kita nak anak peneroka uruskan Felda dari semasa ke semasa. Mereka boleh berada di situ, kerja di situ dan jadi lambang usaha kita membasmi kemiskinan,” katanya lagi ketika menjawab soalan seorang pemanggil tentang keperluan pembinaan menara tersebut. – Bernama/MediaUMNO.
/hwa: umno-online.com | 8/7/12

Jelajah Janji Ditepati, di Teras Jernang, Bangi.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat roti jala ketika melawat Pasar Awam pada program Jelajah Janji Ditepati, di Teras Jernang, Bangi. - Foto Rosdan Wahid
Jul 8, 2012 1:57 pm

Juara Anugerah Keceriaan Kampung FELDA 2012

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan replika cek untuk Juara Anugerah Keceriaan Kampung FELDA 2012 bernilai RM1,000,000 kepada Pengurus FELDA Nitar 2, Abdul Aziz Talib (kanan) dari Wilayah Segamat, Johor pada Majlis Hari Peneroka FELDA 2012 dan Perasmian Menara Felda di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Mokhsin Abidin
Jul 8, 2012 8:19 am

Ekspresi Remaja Bersama Perdana Menteri

PERDANA Menteri yang juga Presiden Agung Pengakap Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir pada Ekspresi Remaja Bersama Perdana Menteri di Stadium Negara di Kuala Lumpur, hari ini. Turut sama Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah (kanan). - Foto BERNAMA
Jul 7, 2012 6:32 pm

Turki berjaya dalam pembangunan khidmat sosial, wakaf

TIMBALAN Pengarah Hospital Universiti Fatih, Dr. Ahmed Ruhi memberi penerangan mengenai operasi hospital itu yang ditubuhkan melalui wakaf masyarakat kepada rombongan Yayasan Iqra' diketuai oleh Idris Jusoh di Istanbul, semalam. 
*****
ISTANBUL 6 Julai - Turki, yang kini antara ekonomi terbesar di Eropah selepas Jerman, berjaya dalam pembangunannya atas budaya khidmat sosial dan wakaf.
Setiausaha Agung Persatuan Dialog Turki-Malaysia, Kursat Ciftci berkata, semangat itu diturunkan sejak zaman Othmaniah kira-kira 700 tahun dulu serta menerusi pembawakan tradisi Sufi.
"Itulah yang kami terapkan sehingga sekarang. Golongan kami dari atas sampai bawah bergerak atas semangat Hizmet atau khidmat dan kesukarelawan.
"Asas itu diterapkan bermula dari kecil lagi. Kami diajar mengenai sikap tolong menolong, berakhlak tinggi dan memberi," katanya yang turut mengikuti rombongan Yayasan Iqra' Malaysia yang dalam lawatan sambil belajar mengenai institusi wakaf oleh Pergerakan Hizmet di sini hari ini.
Rombongan Yayasan Iqra' diketuai oleh ahli lembaga amanahnya, Datuk Seri Idris Jusoh. Turut hadir ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Hizmet ialah sebuah pergerakan sosial bukan politik yang terlibat mempromosi jalinan hubungan mesra antara masyarakat, ekonomi, kebudayaan dan agama.
Diasaskan sejak 1970-an oleh sarjana Islam terkemuka Turki, Fethullah Gulen, Hizmet kini dianggotai berjuta rakyat negara ini dalam kerja-kerja sosial.
Kini satu daripada tiga penduduk bandar raya Istanbul ini menganggotai Hizmet. Istanbul dihuni oleh 25 juta penduduk.
Anggota-anggota Hizmet turut mengasaskan beberapa buah yayasan longgar yang mewujudkan institusi madrasah, pendidikan sekular, kesihatan dan juga yayasan antara-budaya, kepercayaan dan persefahaman.
Yayasan Kewartawanan dan Penulis Turki, misalnya diasaskan secara sukarela melalui dana wakaf, untuk menjalinkan hubungan antara-etnik, antara-bangsa.
Puluhan siri forum telah dilaksanakan, termasuk hubungan etnik Kurdis-Turki; Palestin-Israel; serta pernah menganjurkan majlis berbuka puasa (iftar) antara Islam, Yahudi dan agama yang lain sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Kursat, inilah yang dilakukan di Turki dan berasaskan semangat inilah ia berjaya.
"Apa yang penting ia tiada kaitan dengan ideologi politik atau agama yang ekstrem, tapi berasaskan soal moraliti, tolong menolong dan hormat menghormati," katanya.
Sementara itu, Idris berkata, Yayasan Iqra' melalui konsep Wakaf Korporatnya cuba untuk mengasaskan semangat yang sama, tapi berasaskan acuan Malaysia.
"Itulah yang saya maksudkan dengan agenda sektor ketiga. Iaitu selepas sektor kerajaan dan swasta, sektor kesukarelawan dan wakaf merupakan sektor yang terpenting.
"Ia bukan saja membabitkan kemaslahatan ekonomi, tapi juga membabitkan soal sosial dan keharmonian hidup, terutamanya dalam konteks Malaysia," katanya.
Idris berkata, tujuan lawatan ini diadakan ialah untuk mempelajari bagaimana pergerakan Hizmet berjaya membangunkan rakyat menerusi semangat kesukarelaan dan wakaf.
Dalam masa 12 tahun, ahli-ahli Hizmet ini berjaya mewujudkan 1,000 buah sekolah di Turki, bekas tanah jajahan Soviet sehingga ke Amerika Syarikat. Pergerakan ini juga merancang membuka sebuah sekolah di Kuala Lumpur.
Sekolah-sekolah, kolej dan universiti ini telah melahirkan lulusan yang berjaya dan kemudian menyumbang semula kepada masyarakat.
Idris yang juga Pengerusi MARA ialah penggerak organisasi sukarela dikenali sebagai wakaf korporat.
Turut hadir dalam rombongan itu ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Halipah Esa, Pengurus Besar Hubungan Strategik, Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Datuk Nik Mohd. Amin Majid, bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Ahmad Farid Omar serta ahli-ahli perniagaan.
Hadir sama dalam lawatan sambil belajar itu ialah Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putra, Terengganu, Abdullah Abdul Rahman. MRSM ini adalah salah sebuah daripada tiga yang melahirkan pelajar tahfiz dan sains melalui konsep Ulul Albab atau insan beriman, berilmu dan berfikir.
/hwa: utusan.com.my | 07/07/12

NGO Melaka kecam sikap biadab lima ADUN DAP

MELAKA 6 Julai - Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mengecam tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP yang sengaja menimbulkan kekecohan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, kelmarin.
Mereka menyifatkan tindakan wakil rakyat terbabit sebagai biadab dan tidak menghormati Dewan apabila turut membawa masuk kain pemidang ke dalam Dewan.
Selain itu, mereka juga menganggap tindakan berkenaan bertujuan untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Gan Tian Loo.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Negeri Melaka, Datuk Ab. Karim Sulaiman berkata, tindakan kelima-lima ADUN itu melampau kerana tidak patuh dan menghormati peraturan Ddewan serta Speaker DUN, Datuk Othman Muhammad.
''Lebih memalukan apabila mereka membawa sepanduk di dalam Dewan. Tindakan mereka itu seolah-olah ingin menjadikan Dewan seperti pasar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini,.
Kelmarin, kelima-lima ADUN berkenaan menimbulkan kekecohan dalam DUN kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Tian Loo yang bertanyakan soalan kepada ADUN Kota Laksamana, Betty Chew Gek Cheng sama ada beliau mengenali seorang wanita bernama Ng Phaik Kheng Isnin lalu.
Bagi Pengerusi Gerakan Belia 4B Melaka, Mohd. Nizam Omar, sikap wakil rakyat DAP itu amat memeranjatkan dan mereka tidak sepatutnya bertindak biadab dengan menjadikan Dewan sebagai tempat membuat demonstrasi.
''Tindakan mereka secara tidak langsung telah mencemar undang-undang negara," ujarnya.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Melaka, Abd. Rahim Osman berkata, belum pernah berlaku pada sidang DUN wakil rakyat membuat demonstrasi sambil memaparkan kain rentang di dalam Dewan.
Menurutnya, tindakan itu memperlihatkan sikap biadab mereka yang langsung tidak menghormati Dewan.
''Kelima-lima ADUN DAP itu telah mencemarkan kemuliaan Dewan, mereka sepatutnya bersikap profesional," katanya.
Beliau menambah, tindakan Speaker DUN menggantung wakil rakyat pembangkang itu adalah wajar kerana mereka telah mencemar kemuliaan Dewan.
Bagi Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah, Zaidi Mohamad, ADUN DAP terbabit jelas tidak menghormati Dewan apabila membuat tindakan biadab tersebut.
''Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab wakil rakyat DAP yang langsung tidak berperaturan dan menjaga tertib di dalam Dewan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 07/07/12

Phaik Kheng enggan ulas isu Guan Eng

PULAU PINANG 6 Julai - Ng Phaik Kheng enggan mengulas isu yang mengaitkan beliau dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seperti mana dibangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Isnin lalu.
Phaik Kheng yang kini merupakan penyelia hal-ehwal di sebuah sekolah berkata, beliau agak sibuk kerana perlu mengendalikan persiapan sambutan ulang tahun sekolah berkenaan yang bermula hari ini hingga Ahad.
"Saya kini mahu fokus dalam urusan ulang tahun sekolah dan saya tidak mahu memberi apa-apa komen mengenai isu terbabit," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Ketika membangkitkan isu tersebut di DUN Melaka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Gan Tian Loo telah bertanya kepada ADUN Kota Laksamana yang juga isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng, sama ada mengenali Phaik Kheng atau tidak.
Tian Loo bertanya kepada Betty jika beliau mengenali Phaik Kheng sambil menunjukkan foto Guan Eng yang di dahinya tertampal plaster.
Persidangan menjadi kecoh apabila Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) bangun mencabar Tian Loo mengulangi soalan tersebut di luar dewan.
Tian Loo berkata, penduduk di Kota Laksamana berminat mengetahui status Phaik Kheng.
"Dalam Internet dan blog ada tulis ADUN Kota Laksamana ada pukul, sepak dan macam-macam terhadap dia. Ini kena jawab. Dulu Phaik Kheng kerja di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang tapi sekarang sudah ditukarkan ke pejabat Warisan Dunia Pulau Pinang," katanya.
Sementara itu akhbar berbahasa Cina, Guang Ming Daily dalam laporan muka depannya pada Rabu lalu menyiarkan gambar Betty dan Guan Eng yang di dahi beliau tertampal plaster.
Guan Eng mendakwa luka kecil di dahi tersebut berpunca daripada tindakan beliau menggaru dan menafikan Betty pernah mengasari beliau.
Betty pula sehingga hari ini belum mengulas mengenai pertanyaan Tian Loo sebaliknya hanya mencabar ADUN Duyong agar mengulanginya di luar Dewan.
/hwa: utusan.com.my | 07/07/12

Anwar suap berita pada media Indonesia

BAGAN DATOH 6 Julai - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa berita negatif mengenai Malaysia yang disiarkan media Indonesia telah disumbangkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempunyai kenalan di Indonesia termasuk dalam kalangan pengamal media yang membolehkannya menyalurkan berita negatif mengenai Malaysia.
"Selama ini gambaran yang diberikan kepada media Indonesia datang daripada Anwar. Berita-berita negatif (mengenai Malaysia) disumbangkan oleh Anwar, padahal apa yang (sebenarnya) berlaku (di Malaysia) tidak sebegitu keadaannya," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek jalan dari Kampung Sungai Dulang ke Kampung Sungai Ipil di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lawatannya bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Jakarta, Indonesia Selasa lalu.
Kata beliau, Anwar tidak sepatutnya memberikan gambaran negatif mengenai Malaysia kepada media Indonesia kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan di antara kedua-dua negara.
Ahmad Zahid berkata, pada lawatan itu rombongan pemimpin UMNO itu termasuk Muhyiddin turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ketua Umum Parti Golkar, Aburizal Bakrie.
Katanya, lawatan pemimpin Umno itu merupakan kunjungan balas kepada pemimpin parti Golkar yang pernah datang ke Malaysia sebelum ini.
Beliau berkata, setakat ini UMNO mempunyai hubungan erat dengan empat parti politik terbesar di Indonesia iaitu Parti Demokrat, Golkar, Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) dan Parti Keadilan Sosial Indonesia.
Mengenai projek jalan itu, Ahmad Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, kerajaan memperuntukkan RM13 juta bagi fasa pertama membaik pulih jalan sepanjang 10.3 kilometer itu yang akan bermula 1 Ogos ini dan dijangka siap pada Jun 2014.
Katanya, fasa kedua projek baik pulih jalan di kawasan ini dijangka dimulakan pada pertengahan tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2016. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 07/07/12

Presiden Rep. Czech terima kunjungan PM

TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah berkenan mengiringi Presiden Republik Czech, Vaclav Klaus bersama isteri Livia Klausova dalam upacara sambutan rasmi di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor. 
*****
KUALA LUMPUR 5 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Czech Vaclav Klaus serta isteri Livia Klausova di hotel penginapan beliau di sini.
Najib, tiba bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada pukul 10.30 pagi, meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu Klaus dan isteri.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas, selaku menteri pengiring.
Rosmah dan Klausova pula mengadakan pertemuan berasingan di hotel berkenaan.
Selesai pertemuan itu, Klaus dan rombangan bertolak ke The Ritz-Carlton di Jalan Imbi untuk menghadiri perbincangan meja bulat anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli).
Klaus tiba di sini semalam untuk lawatan negara selama lima hari ke Malaysia. Ini merupakan lawatan negara kali pertama Klaus sebagai Presiden Republik Czech bagi memenuhi jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Terdahulu, Klaus dan isteri turut menerima kunjungan hormat daripada Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di hotel itu selepas upacara sambutan negara di Dataran Parlimen di sebelah pagi.
Seri Paduka berdua meluangkan masa bersama Klaus dan isteri pada majlis santapan ringan selama setengah jam di hotel berkenaan.
Malam ini Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah akan meraikan Presiden Republik Czech itu pada majlis santapan negara di Istana Negara, Jalan Duta. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 06/-7/12

Anwar sumbang berita negatif mengenai Malaysia kepada media Indonesia

BAGAN DATOH 6 Julai - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa berita negatif mengenai Malaysia yang disiarkan media Indonesia, disumbangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempunyai kenalan di Indonesia termasuk dalam kalangan pengamal media yang membolehkannya menyalurkan berita negatif mengenai Malaysia. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 06/07/12

Najib bidas pembangkang ajar perkara tidak baik kepada rakyat

PEKAN 6 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihak pembangkang di negara ini dilihat suka mengajar perkara-perkara yang tidak baik kepada rakyat termasuk perkara yang bertentangan dengan agama.
Beliau berkata tiga perkara tidak baik yang begitu nyata diajarkan kepada rakyat ialah “hutang tak perlu dibayar", “budi tak perlu dikenang" dan
“janji tak perlu ditepati".
"Janji banyak dibuat (pembangkang) semasa pilihan raya (umum) lepas, tapi akhirnya (selepas mereka berkuasa di beberapa negeri) mereka tidak tepati pun," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan pakaian Hari Raya kepada 45 Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta penyerahan sumbangan 52 enjin bot untuk nelayan bagi kawasan Parlimen Pekan, di sini, hari ini. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 06/07/12

Budaya pembangkang menyalahkan media, dan Anwar bersara?

BUDAYA menyalahkan media yang tidak menyokong mereka, mengaitkan dengan nama-nama pemimpin kerajaan serta menyaman mereka yang mengajukan pertanyaan atau membangkitkan isu yang membelit pemimpin dan kepimpinan parti-parti pembangkang sudah sebati bagi parti 3P (Pas, PKR dan DAP).
Ia bukan perkara baru malah sudah menjadi amalan bagi Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menjawab isu-isu yang berkaitan dengan hal peribadinya ataupun parti. Lihatlah bagaimana beliau menjawab isu-isu video seks, jam Omega dan kawalan 20 akaun membabitkan RM3 bilion.
Sehingga kini tiada satu pun persoalan tentang tiga isu tersebut dijawab dengan tuntas melainkan memusingkan soalan tersebut dengan menyerang balik wartawan yang bertanya, atau paling tidak menyalahkan pihak UMNO dan media prokerajaan.
Itulah yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini terpalit dengan isu penyelewengan wang kerajaan negeri membabitkan RM1 bilion. Beliau mengambil sikap tidak menjawab persoalan tersebut sebaliknya mengugut MCA untuk diambil tindakan undang-undang kerana menimbulkan isu tersebut.
Abdul Khalid mempunyai jalan mudah untuk menangkis isu tersebut iaitu dengan mendedahkan secara terperinci transaksi berhubung pengambilalihan hutang Talam Corp. Berhad, tetapi malang beliau mengambil jalan sukar dengan bertindak mengancam untuk menyaman pihak yang mendedahkan maklumat tersebut.
Itulah yang digambarkan oleh blog Melayu Maju (siemens-melayumaju.blogspot.com) dan Bumiyang (bumiyang.blogspot.com).
“Apabila sudah didakwa di mahkamah, secara undang-undangnya perkara ini tidak boleh lagi dibincangkan secara terbuka kerana boleh didakwa menghina mahkamah atau mengganggu proses siasatan! Lepas tu, tangguhkan kes tersebut lama-lama sehingga rakyat lupa," kata Bumiyang.
Selangor Daily (www.selangordaily.com) pula melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan Abdul Khalid apabila beliau mengubah pendirian berhubung isu berkenaan. Sejurus MCA mendedahkan isu tersebut, beliau berjanji untuk memberi jawapan balas selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, Rabu lalu.
“Tidak sampai 24 jam keberanian Khalid bertukar menjadi pengecut. Apa sudah jadi dan kenapa takut sangat (nak menjawab isu tersebut)? Sudah tentu ada udang di sebalik batu."
Itu yang berlaku di Selangor. Di Melaka, wakil rakyat DAP membuat kecoh di Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga mereka digantung daripada menghadiri sidang selama enam bulan hanya kerana ADUN Kota Laksamana, Betty Chew Gek Cheng enggan menjawab soalan berhubung seorang wanita yang dikaitkan dengan suaminya, Lim Guan Eng.
Apa yang menghairankan blog MyKMU (www.mykmu.net), kenapa Betty begitu marah sekali dengan pertanyaan ADUN Duyong, Datuk Gan Tian Loo?
Katanya, soalan Tina Loo bukannya bersifat tuduhan tetapi hanya bertanya sama ada beliau kenal atau tidak dengan Ng Phaik Kheng, wanita yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut.
“Kenapa perlu marah-marah? Ada yang tidak kenakah dengan soalan itu? Atau Betty tidak faham dengan soalan yang dikemukakan? Tian Loo bertanya di dalam bahasa Melayu, takkanlah isteri Guan Eng tak faham?" tanya MyKMU.
Seperti kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, kekecohan yang dicetuskan oleh DAP itu sudah dirancang agar mereka digantung bagi mengelak Betty menjawab soalan berkenaan. Ia satu lagi strategi pembangkang mengelak daripada menjawab isu berkaitan mereka.
Apa yang menghairankan, apabila timbul isu yang berkaitan dengan kerajaan, pihak pembangkanglah paling lantang terpekik terlolong meminta isu berkenaan diberikan penjelasan dan apabila penjelasan diberikan, mereka berusaha pula untuk menolaknya.
Tetapi apabila terkena batang hidung sendiri, mereka berusaha pula untuk menutupnya dengan menyalahkan orang lain atau mengemukakan tindakan undang-udang.
Inilah budaya 3P tersebut menangani isu-isu yang membelenggu mereka.
ANWAR BUAT KENYATAAN BERSARA?
Heboh apabila Anwar membuat kenyataan untuk bersara daripada arena politik sekiranya pembangkang gagal merampas Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang tetapi ramai yang melihat ia strategi terbaru beliau untuk menagih simpati rakyat.
Kamarulzaman Kamdias (kkamdias.blogspot.com) melihat ia adalah “pakej rangsangan" terakhir Anwar dalam usaha meningkatkan sokongan rakyat kepada beliau dan pembangkang ketika Barisan Nasional (BN) dilihat semakin kukuh di hati rakyat.
“Pengumuman Pakej Rangsangan Simpati Undi Rakyat atau singkatannya Perasuk melalui pengumuman pelan persaraan oleh Anwar telah dibuat di London, di hadapan para promoter dan pelobi antarabangsa.
“Khabarnya pelancaran Perasuk ini akan disusuli dengan sambutan besar-besaran keberangkatan pulang beliau di KLIA sebagai menunjukkan tanda simpati dan desakan rakyat supaya Anwar terus memimpin dan berjuang," katanya.
Taktik sedemikian pernah digunakan oleh seorang pelakon wanita tanah air yang mengumumkan persaraannya daripada lakonan di media-media massa tetapi apabila tiba masanya, hasrat itu dibatalkan dengan alasan tidak dapat menolak tawaran berlakon yang diterima.
Kini pelakon tersebut semakin laris. Apakah taktik terbaru Anwar ini menjadi?
/hwa: utusan.com.my | 6/7/12