Oleh Nurul Anuar Kari
TAKTIK ganas dan menggunakan kekerasan yang semakin mencemari kempen
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nampaknya semakin melarat sehinggakan
dikesan semakin parah di alam siber.
Walaupun selama ini telah banyak fitnah dan penipuan disebarkan
melalui fakta-fakta palsu mahupun tuduhan tidak berasas melalui blog
mahupun laman sosial, gerakan memfitnah khususnya terhadap calon-calon
Barisan Nasional (BN) semakin rancak menjelang hari-hari terakhir
berkempen.
Turut tidak terlepas menjadi mangsa buli siber adalah penyokong BN,
jentera parti mahupun individu yang mengakui lebih cenderung memilih
calon BN pada 5 Mei ini di laman-laman sosial.
Terbaharu, seorang nyonya yang menyatakan sokongan secara terbuka
kepada BN di sebuah laman web dilaporkan menerima ugutan daripada
pihak-pihak tertentu yang mengancam mahu mencederakannya serta merogol
anaknya kerana pengakuan berani itu, sementara seorang artis terkenal
turut menjadi mangsa pembuli siber.
Seperti juga serangan fizikal ke atas penyokong dan jentera parti
mahupun mensabotaj acara calon dan pemimpin BN, taktik menyerang dan
mengugut untuk mencederakan pengguna Internet yang menyokong kerajaan
dilihat sebagai langkah akhir perang psikologi menjelang hari mengundi.
Nyata sekali semuanya perbuatan terdesak pihak terbabit di saat-saat
akhir PRU-13, tetapi kumpulan pembuli siber itu seolah-olah sudah
sampai seru untuk beralih daripada usaha memancing undi atas pagar
kepada rancangan menyekat sebanyak mungkin undi penyokong dan ahli BN.
Penyokong BN yang umumnya dilihat lebih berlindung dan menyorokkan
ideologi mereka sejak PRU 2008, kini semakin rancak bangkit menyatakan
pendirian dan sokongan.
Namun, mampukah taktik ugutan pembuli siber menakutkan rakyat
daripada keluar mengundi dan seterusnya merencatkan kebangkitan semula
BN di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)?
Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri
Zaini Mohd. Said menjelaskan tindakan ugut dan fitnah pihak terbabit di
Internet merupakan taktik perang psikologi biasa tetapi mediumnya sahaja
berbeza.
Sama ada secara fizikal di luar mahupun di Internet, semuanya perang
psikologi tetapi tindakan mengugut untuk mendatangkan kecederaan tetap
satu kesalahan jenayah walau apa sekali cara digunakan.
Penggunaan Internet mungkin lebih berkesan kerana laman sosial
seperti Facebook boleh menyebarkan sesuatu pandangan, kenyataan dan
maklumat dengan cepat, ramai yang mengikutinya dan ia boleh berkembang
dengan sendiri," katanya.
Tambahnya, penyebaran berita palsu mahupun ancaman akan sampai kepada
lebih ramai orang melalui laman sosial di Internet berbanding secara
terus.
Beliau bimbang jika ancaman yang diutarakan oleh pihak tertentu akan
menghasut pihak yang berpandangan serupa dengannya untuk turut membuat
ugutan kepada penyokong mahupun ahli parti lawan.
Tekanan ancaman itu amat kuat, mereka yang sama fahaman seperti
mangsa juga akan terasa, mungkin laman peribadi Facebook mereka akan
dipenuhi sumpah seranah pihak terbabit.
Golongan atas pagar mungkin menerima kesannya (takut mengundi)
tetapi mereka yang tekad untuk memilih BN tiada masalah. Impak sokongan
terhadap BN mungkin tidak mendalam tetapi pengundi mungkin akan risau
sedikit soal keselamatan mereka," ujarnya.
Beliau bagaimanapun menasihatkan mereka yang menjadi mangsa pembuli
siber agar mengabaikan sahaja fitnah dan ugutan mereka itu ataupun
membuat laporan polis jika bimbang boleh mendatangkan mudarat kepada
diri atau keluarga.
Zaini berpendapat tindakan fitnah dan ugut merupakan satu petanda
pihak terbabit kurang atau semakin hilang keyakinan dan umumnya sudah
nampak mereka tidak boleh menang.
Kalau yakin (menang) tidak perlu ugut atau ancam, dia sudah rasa
goncang maka akan gunakan apa juga cara pada minit akhir pertandingan
sama ada pujuk rayu, penerangan, menakutkan mahupun ancaman.
Pada saya, dia akan gunakan apa sahaja cara dalam masa terakhir ini
lebih-lebih lagi terhadap penyokong BN. Jika dapat kurangkan walau satu
undi kepada BN pun sudah cukup," dakwanya.
Menurutnya lagi, perbuatan itu mungkin akan memberi kesan tetapi
tahapnya bergantung kepada isu yang dimainkan dan cara penyampaian pihak
terbabit kerana persepsi rakyat boleh diubah jika apa disampaikan itu
ada kebolehpercayaan.
Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim pula
menganggap perbuatan mengugut pengguna Internet sebagai satu tindakan
radikal kumpulan ekstremis.
Ini bukan lagi perang psikologi, pihak tersebut sudah berubah
daripada seorang pengikut kepada penyokong tegar dan seterusnya menjadi
seorang penganut ekstremis yang berubah radikal untuk mencetuskan
revolusi.
Daripada perbuatan caci-mencaci kepada keganasan fizikal dan dalam
keadaan ekstrem mungkin seksual seperti mana kes menunjukkan kemaluan
pada PRU lalu," jelasnya.
Beliau menyatakan, apa yang dikhuatiri kini adalah objektif sebenar
perbuatan itu bukannya untuk mendapat kuasa secara sah tetapi untuk
menggerakkan puak radikal dan pelampau serta mencetuskan satu revolusi
di negara ini.
Kenapa tidak secara terus berperang dengan pemerintah? Mereka guna
cara cetuskan ketakutan dan hasut rakyat bangkit menentang kerajaan.
Kemudian, dia datang sebagai penyelamat keadaan. Jika serang
secara terus, dia akan dianggap ekstremis, komunis dan sebagainya,"
katanya.
Beliau menjelaskan, jika dahulu revolusi menggunakan senjata, kini
cuma perlu gunakan Internet supaya ketenteraman awam terganggu.
Kamal Affandi menyatakan dari Perang Dunia Pertama sehingga Perang
Vietnam, semuanya berpunca daripada pertentangan ideologi politik di
mana satu pihak mahu mendapat kuasa melalui saluran sah sementara satu
lagi melalui justifikasi.
Justifikasinya bahawa dia layak berkuasa, tidak mahu pengundian
kerana tahu dia akan kalah. Penganut fahaman radikal ini macam Hitler
atau Stalin, secara rambang sesiapa pun boleh kena, bukan pihak lawan
sahaja, anologi mudah seperti pengebom berani mati.
Ketua akan korbankan pengikut yang taat, siapa yang cedera tak
penting asalkan ketua itu hidup, bodoh tak? Oleh itu, orang yang diasuh
atau dilatih (fitnah dan ugut dalam PRU-13) itu, sedarlah diri sendiri
juga akan dikorbankan kelak," tegasnya.