25 Julai 2010

Di mana silap pelopor ESQ?

MM(Rencana) - 25/07/10

Hari ini, kebanyakan ilmu dan alat sains teknologi dikuasai oleh Yahudi, adakah kita perlu menolak rekaan dan ciptaan Yahudi, hanya kerana kita benci kepada Yahudi? Masa kita banyak terbuang bercakaran sesama sendiri, sedangkan orang lain sibuk berfikir dan mencipta sesuatu bagi tujuan menggapai bintang.

Inilah sikap yang membelenggu umat Islam. Justeru, saya sememangnya tidak ada masa untuk membalas kecaman picisan yang dilakukan. Lagipun membahaskan isu remeh-temeh tidak membangunkan minda. Sama juga isu pertemuan antara Mufti Perak dengan pemimpin Pas yang dikatakan pernah berlaku sebelum ini. Kenapa kita perlu membuang masa membahaskan isu ini? Tidakkah kita boleh menarik nafas lega dan berkata Alhamdulillah, sekurang-kurangnya masih ada insan yang berhati mulia, mengambil inisiatif untuk menyatupadukan umat Islam. Kenapa pula ada golongan yang mahukan seperti ini dipecat sebagaimana yang disarankan oleh sesetengah pemimpin fanatik Pas?

Apakah mereka yang berhati mulia ini telah melakukan dosa atau maksiat kerana bertemu dengan Mufti Perak? Tidakkah ia merupakan kerja-kerja para anbia yang perlu diteruskan? Inilah dilema yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Mereka lebih rela bekerjasama dan berkawan dengan orang yang jelas menentang Islam daripada mereka yang masih ada hati kepada Islam. Janganlah terlalu bersangka buruk dengan umat Islam. Mereka tetap saudara kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk selamatkan mereka.

Apakah MCA, DAP dan Gerakan tidak pernah bertemu untuk membincangkan masa depan mereka? Jawapannya, mereka kerap kali berjumpa melalui platform Pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO. NGO-NGO mereka boleh dikatakan saban hari dan saban minggu bertemu dan bermesyuarat untuk menuntut hak dan memperkasakan jati diri mereka.

Kenapa kita tidak boleh bertindak seperti mereka? Ingatlah, perpecahan kita sudah sampai ke tahap yang amat parah. Umat Islam berpecah dalam semua bidang dan kategori.

Kita selalu bercakap dan berhujah dengan membawa ayat-ayat al-Quran yang berbunyi, "hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali Allah, jangan kamu berpecah-belah,". Hari ini kita begitu tergamak mengecam mufti terbabit hanya kerana niat sucinya untuk melihat umat Islam bersatu.

Saya tidak pernah melihat dan mendengar orang bukan Islam mengecam ketua agama mereka seperti sami dan paderi, kecuali jika mereka melakukan perkara yang tidak baik. Mereka juga tidak pernah bergaduh atau berkelahi di dalam rumah ibadat mereka seperti mana kita berantakan dalam masjid dan surau hanya kerana mahu merebut kuasa dan jawatan. Akhirnya, masjid surau tidak bergerak, tidak diimarahkan. Kita rela melihat masjid surau 'mati' begitu sahaja daripada dikuasai oleh 'orang lain'.

Keagamaan

Cuba kita bandingkan dengan institusi keagamaan orang lain, begitu meriah sepanjang masa. Setiap tahun wajah bangunan mereka berubah. Apa yang saya lihat mereka amat menghormati institusi agama. Apa kata agamawan mereka, itulah yang diikuti tanpa dikecam atau dihina. Hari ini, kita sudah sampai ke tahap, bukan hanya mengecam, tetapi menghina dan sanggup merendah-rendahkan mereka. Apa yang kita dapat?

Misalnya, jika Mufti Wilayah Persekutuan berkeras dengan keputusannya mengenai program ESQ yang sedang hangat diperkatakan hari ini, hormatilah hak mufti.

Jangan dipaksa mereka untuk mengubah warta tersebut melalui pengaruh kuasa politik dan sebagainya. Ia hanya akan menghancurkan tahap kebebasan sesebuah badan berkuasa agama di dalam negara kita. Cukuplah kita berpecah dalam segala bidang, jangan ditambah pula dengan soal bidang kuasa setiap negeri. Negara kita cukup unik, dibanding negara lain, kita mempunyai 14 mufti setiap negeri. Jika mufti pun berpecah, bersorak gembiralah lagi ultra kiasu, kerana umat Islam berpecah bukan hanya ke akar umbi, malah terbawa kepada kepada kepada agamawan yang amat dihormati oleh masyarakat.

Sekadar memetik pandangan beberapa sahabat yang mengatakan, pihak ESQ pula tidak boleh mendabik dada dengan mengemukakan bukti sokongan ulama Indonesia dan senarai panjang mereka. Jika mereka ingin terus bertapak kukuh, mereka perlu memberi respons yang baik dan ilmiah kepada kontroversi itu, bukan hanya sekadar menyatakan "kami ada penasihat syariah", "kami ada senarai ulama Indonesia yang menyokong", "ulama Singapura" dan sebagainya.

Bagi menyelamatkan keadaan, saya yakin penasihat syariah ESQ sedang bekerja kuat untuk menulis bahan ilmiah ini dengan bijak. Buatlah kajian dan siasatan secara rapi. Janganlah membuang masa membincangkan perkara yang agak 'remeh'. Saya yakin kita masih boleh membezakan mana dia yang betul, mana dia yang salah.

Jangan sampai yang salah dikatakan betul, yang betul dikatakan salah. Jika ini yang berlaku, perpecahan kita sudah ibarat barah, menunggu masa untuk hancur dan saat kematiannya.

Penggunaan

Pada masa sama, penggunaan ESQ perlu dibuat dengan berhati-hati dan dibahaskan secara akademik. Kita tidak boleh bertindak membabi-buta dan terlalu taksub dengan ESQ. Kerana dalam Islam kita ada Q (Quotient) lain yang lebih mantap seperti Quranic Quotient (QQ) atau Tawhidic Quotient (TQ). Sudah tentu QQ dan TQ lebih jelas maknanya daripada ESQ.

Emotional Spiritual Quotient(ESQ) dipelopori oleh pasangan Yahudi yang bernama Danah Zohar (2000), berlatarbelakangkan pendidikan fizik, falsafah, teologi dan psikologi, dan suaminya, Ian Marshal, seorang psikiatrik. Pasangan yang telah memeluk agama Buddha ketika mereka berada di Nepal, membincangkan panjang lebar mengenai ESQ yang dikaitkan secara langsung dengan agama Buddha.

Mereka cuba menjawab persoalan yang berkait rapat berhubung nilai dan makna dalam kehidupan. Pada mereka, Spiritual Quotient (SQ) mampu membawa manusia pada tahap yang lebih baik berbanding kecerdasan Intelligence Quotient (IQ) dan Emotional Quotient (EQ). SQ juga mampu memecahkan kebuntuan makna dan nilai perlakuan manusia kepada suatu penjelasan yang lebih luas dan holistik.

Persoalan yang ingin dijawab melalui SQ adalah bagaimana, apa, kepada dan kenapa? Zohar turut mengkritik cara hidup orang Barat yang keterlaluan sehingga menjadikan hidup tidak ada hala tuju. Zohar mahukan penghayatan ESQ agar kehidupan menjadi lebih bermakna. Ini berdasarkan kepada cara hidup Barat yang sering berada dalam dilema 'tidak pernah puas'. Malah ada yang keliru dan bingung dengan kehidupan sehingga sanggup memilih kematian sebagai penyelesaian, sedangkan mereka mempunyai IQ yang tinggi, mempunyai aset yang melimpah ruah.

Justeru, menurut Zohar lagi, IQ yang hebat tidak cukup, tanpa disertai dengan EQ dan SQ.

Zohar juga berpendapat bahawa SQ tidak semestinya mempunyai hubungkait dengan agama. Seorang atheis juga boleh mempunyai kekuatan spiritual. Mereka lebih mempercayai naluri dan jiwa mereka sendiri. Keyakinan pada nilai-nilai spiritual bergantung kepada apa sahaja kita dipercayai. Bagi mereka, agama merupakan suatu aturan atau sistem yang dibebankan secara luaran. SQ tidak ada hubungan dengan budaya mahupun nilai. SQ mampu mencipta agama tetapi agama itu tidak bergantung kepada SQ.

Di sinilah silapnya ESQ yang dibawa oleh Danah Zohar dan bahayanya ke atas umat Islam. Jika kita perhatikan di dalam penulisan tersebut, mengapa golongan Atheis dan Humanis ini mempunyai nilai spiritual yang tinggi, sedangkan mereka langsung tidak mempercayai konsep ketuhanan? Jika benar mereka mempunyai nilai spiritual yang tinggi, apa perspektif mereka terhadap agama? Inilah persoalan yang belum terjawab.

Begitu juga dalam konteks UMNO dan Pas. Banyak masa dihabiskan untuk membincangkan perkara yang tidak sepatutnya dibincangkan. Sedangkan orang lain sibuk memperkasakan anak bangsa dengan mendesak dan menuntut hak mereka. Kita pula lain ceritanya.

hwa: utusan.com.my

Cerita Guan Eng

MM(Rencana) - 25/07/10

Sokongan ramai pengundi Melayu kepada pakatan pembangkang di Pulau Pinang yang diperolehi daripada pengaruh Pas terutamanya pada pilihan raya umum lalu, ternyata tidak diterjemahkan sewajarnya oleh DAP.

Malah Ketua Menteri, Lim Guan Eng sedikit demi sedikit mengkhianati suara pengundi terutama Melayu dan India. Banyak gerai penjaja Melayu dirobohkan. Penempatan Melayu juga menjadi sasaran. Kampung Buah Pala yang merupakan penempatan popular kaum India turut lenyap.

Perarakan Maulidur Rasul untuk umat Islam pernah dibatalkan. Sekatan terhadap media juga semakin ketara di Pulau Pinang termasuk ke atas akhbar terbitan Kumpulan Utusan. Kebebasan media dan keterbukaan yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya umum, hanya palsu. Bukan setakat itu, Utusan Malaysia dilabelkan sebagai penjahat oleh Guan Eng hanya kerana tidak membawa aspirasi DAP (yang cenderung untuk merungkai Perlembagaan negara). Rasanya belum pernah ada mana-mana pemimpin di dunia melabelkan akhbar sebagai penjahat kecuali beliau. Bagi ramai pengamal media di negeri itu, Guan Eng tidak boleh dikritik. Beliau mudah melatah dan bertindak balas.

Awang juga masih ingat bagaimana Setiausaha Agung DAP itu pernah mendakwa Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati dibunuh sedangkan siasatan dan inkues hanya baru bermula. Kenyataan tersebut berbaur hasutan dan bercanggah dengan prinsip undang-undang.

Terbaru, beliau menghina dan memperlekehkan penjawat awam iaitu Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Nik Ali Mat Yunus secara terbuka berhubung isu curi pasir.

Nik Ali turut mendakwa beliau dilemparkan kata-kata kesat oleh Guan Eng kerana kononnya tidak menyediakan tempat duduk kepada beliau pada satu majlis rasmi di Bukit Bendera pada Oktober 2009. Bagaimanapun berdasarkan gambar yang disiarkan oleh media kelmarin, jelas menunjukkan Guan Eng duduk di kerusi kenamaan pada majlis tersebut. Banyak pihak terkejut dengan sikap Guan Eng termasuk Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan. ‘‘Sebagai ketua kerajaan, Guan Eng sepatutnya malu dengan tindak-tanduknya,” kata beliau.

Awang hairan mengapa beliau perlu mengambil pendekatan konfrantasi terhadap pegawai awam. Persoalan yang berlegar apakah Guan Eng bersikap rasis dan mungkinkah beliau akan mengambil tindakan yang sama jika pegawai awam itu adalah seorang Cina?

Itu belum lagi menyentuh isu cubaan untuk merobohkan bangunan tambahan sekolah TUDM. Mujurlah majlis daerah bertimbang rasa bagi membolehkan perbincangan diadakan.

Banyak lagi kritikan terhadap beliau. Misalnya orang ramai masih bercakap isu sistem tender terbuka yang dijanjikan telus tetapi ternyata tidak. Ada pendedahan oleh seorang pemimpin pembangkang sebelum ini bahawa Guan Eng sendiri mempengerusikan lembaga tender. Beliau juga pernah mencetuskan bantahan ramai apabila mahu mengadakan pilihan raya bagi Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, yang kita tahu apa motifnya.

Lalu Awang teringat komen seorang tokoh, lagi banyak media arus perdana mendedahkan kelemahan kerajaan Pulau Pinang, ia akan menguntungkan politik Guan Eng. Analisis beliau, lagi Guan Eng ditekan lagi kuat sokongan kaum Cina kepada beliau.

Awang tidak mahu bercongak tentang politik. Yang tidak betul mesti disanggah. Jika ada yang baik sebagaimana gaya kepimpinan Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak, ia wajar dihargai tanpa mengira sama ada ia pimpinan pembangkang. Pertimbangan Awang adalah rakyat. Ada juga yang berpendapat, biarkan sahaja Guan Eng bermaharajalela kerana lagi banyak kesilapannya, lagi menguntungkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang. Sekali lagi pertimbangan Awang adalah rakyat, yang tidak seharusnya menjadi korban. Rakyat bukan bahan eksperimen politik.

Apa pula rumusan terhadap kepimpinan Guan Eng setakat ini? Awang menyertai sentimen orang ramai dan pelbagai pihak bahawa beliau seorang diktator dan makin angkuh. Sikap rasisnya pula menebal. Juga kian jelas ialah kegelojohan beliau untuk menjadikan Pulau Pinang bagaikan pemerintahan republik dan seolah-olah negeri itu beliau yang punya. Sebenarnya Guan Eng belum cukup masak untuk diangkat menjadi Ketua Menteri. Ramai tahu, beliau naik cepat dalam pendakian politik kerana statusnya sebagai anak pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang. Ada beberapa lagi pemimpin muda DAP yang berbakat dan berkebolehan tetapi semuanya terpinggir kerana Kit Siang mahukan anaknya menjadi pengganti beliau. Anak bapaklah katakan. Kronisme memang hebat dalam DAP berbanding parti lain. Awang ingin mencadangkan penubuhan sebuah panel penasihat bagi membantu Guan Eng agar tidak terus menjadi liabiliti kepada pakatan pembangkang. Orang yang paling sesuai mengetuai panel itu ialah Kit Siang sendiri. Tolonglah ajar anak anda.

/hwa: utusan.com.my

Muhyiddin sifatkan pembangkang seperti burung kakaktua

MM - 25/07/10

KUALA LUMPUR 24 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perlakuan pembangkang yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak tahu mentadbir apabila berkuasa sebagai tidak ubah seperti burung kakaktua yang pandai menyanyi tetapi tidak memahami maksud yang diucapkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini seperti mana dalam isu pasir apabila kerajaan negeri Selangor ternyata tidak dapat menyelesaikannya sedangkan mereka ini pada masa sama hebat mengkritik kerajaan Pusat dalam isu yang lain.

"Kalau isu pasir dan air pun tidak dapat diselesaikan, sedang sebelum ini begitu hebat berkokok mengkritik dan memfitnah kerajaan. Mereka ini (pembangkang) samalah seperti burung kakaktua.

"Sesebuah kerajaan sepatutnya berusaha menyelesaikan masalah rakyat tetapi di Selangor dan Pulau Pinang sebaliknya yang berlaku.

"Pembangkang semakin menambah masalah kepada rakyat dengan membenarkan kegiatan curi pasir berleluasa, merobohkan rumah penduduk selain gagal menyelesaikan isu air," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Juara Rakyat Barisan Nasional (BN) peringkat Parlimen Wangsa Maju, di Pasar Besar Gombak, di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, hanya kerajaan BN sahaja yang mampu mentadbir dan menyelesaikan segala masalah rakyat kerana parti itu bukan sahaja mempunyai pengalaman tetapi pada masa yang sama merupakan sebuah parti yang mendengar denyut nadi rakyat.

"Pembangkang cuba menafikan hakikat yang diakui oleh seluruh dunia tetapi pakatan tersebut lupa, nikmat yang mereka perolehi sekarang ini pun adalah atas jasa kematangan pemimpin BN menguruskan negara ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri sehubungan itu menyeru kepada seluruh rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan janji dan pembohongan pembangkang kerana senario politik dan ekonomi yang berlaku di negeri pimpinan pakatan pembangkang sudah membuktikan segalanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Muhyiddin turut meluluskan peruntukan RM5 juta bagi menceriakan semula 10 unit rumah pangsa di Taman Melati, Gombak, yang sudah usang.

Katanya, peruntukan itu bagi membolehkan atap rumah yang bocor diganti serta bangunan rumah yang usang dicat semula.

/hwa: utusan.com.my

Hassan Ali akui temui Harussani

MM - 25/07/2010

KUALA LUMPUR 24 Julai - Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali hari ini mengesahkan beliau ada menemui Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kira-kira dua bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau menafikan ia bertujuan membincangkan penyatuan antara UMNO dan Pas sebaliknya persiapan bagi menghadiri Mesyuarat Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Pertemuan itu dilakukan atas kedudukan saya sebagai Exco yang bertanggungjawab Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu dan ia dilakukan secara terbuka bukannya sulit seperti yang didakwa.

"Ia dilakukan bagi meraih kebaikan bersama demi kemajuan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini memandangkan Harussani memiliki ilmu dan pengalaman yang begitu luas dalam hal ehwal agama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hassan mengulas khabar angin yang mendakwa beliau antara pemimpin Pas yang didakwa mengadakan pertemuan dengan Harussani mengenai usaha perpaduan antara kedua-dua parti itu.

Sebelum ini, Harussani mengesahkan ada pemimpin Pas menemuinya mendapatkan pandangan bagi merealisasikan usaha menyatukan orang Melayu dan mengukuhkan ikatan Islam antara UMNO dan Pas.

Menurut Hassan, Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menyekat Exconya daripada mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak tanpa mengira agama dan fahaman politik jika ia bertujuan meningkatkan keupayaan, kemampuan, prestasi dan nilai profesional.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, beliau tidak pernah diberi mandat oleh Pas untuk membincangkan isu perpaduan dengan UMNO.

"Oleh itu tidak ada agenda khusus bagi membincangkan isu itu (perpaduan). Malah pertemuan tersebut juga tidak menatijahkan apa-apa tindakan susulan dan tiada sebarang pertemuan susulan selepas itu," jelasnya.

/hwa: utusan.com.my

22 Julai 2010

Jangan kenakan syarat – Khairy

UM - 22/07/10

KUALA LUMPUR 21 Julai – “Jangan kenakan sebarang syarat jika hendak mewujudkan pelan damai.” Demikian tegas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika diminta mengulas mengenai pelan damai antara UMNO dan Pas yang diutarakan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan semalam.

Jelas Khairy, Nasrudin sebenarnya menggariskan satu syarat secara tidak langsung kepada UMNO dalam usaha untuk mewujudkan pelan damai berkenaan.

“Kalau kita baca dan teliti kenyataan beliau secara keseluruhan, Nasrudin tidak menyatakan kesediaan Pas untuk menyertai kerajaan sebaliknya beliau meminta UMNO supaya menyertai pakatan pembangkang.

“Sehubungan itu, saya tidak bersetuju dengan rancangan pelan damai tersebut kerana Pas dilihat tidak ikhlas dan meletakkan syarat yang tidak sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nasrudin sebelum ini mencadangkan agar satu pelan damai atas nama Islam diwujudkan di antara UMNO dan Pas supaya persengketaan yang panjang antara kedua-dua parti tersebut berjaya ditamatkan.

Sementara itu, bekas Exco Pemuda UMNO, Datuk Firdaus Ismail berkata, beliau menyambut baik hasrat untuk mewujudkan pelan damai tersebut.

“Sekiranya pelan damai itu dilaksanakan, saya yakin perpaduan Melayu dan Islam akan menjadi lebih kukuh lagi.

“Sudah sekian lama kita nantikan pelan damai seumpama ini,” katanya.

Menurut Firdaus, Pas di dalam pakatan pembangkang tidak memainkan peranan yang menampakkan mereka sebagai pejuang yang mahu menegakkan bangsa dan agama.

Namun sebaliknya, UMNO lebih dominan ke arah itu untuk membela nasib bangsa dan agama dalam Barisan Nasional.

“UMNO tiada sebarang halangan untuk melaksanakan pelan damai itu, namun pihak Pas harus ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menjayakannya.

“Jika pelan damai ini menjadi kenyataan, saya yakin kaum Melayu dan agama Islam tidak akan mudah untuk dieksploitasikan,” katanya.

/hwa: utusan.com.my

Saya akan lawan mereka - ADUN Malim Nawar

UM - 22/07/10

KAMPAR 21 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Singh tidak akan membenarkan pelbagai tuduhan termasuk tindakan mahkamah oleh bekas rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang memusnahkan masa depan dan karier politiknya.

Tegas Keshvinder, beliau akan mencabar apa jua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dan tidak sesekali tewas tanpa melawan.

''Beberapa hari lalu, saya terima notis saman daripada peguam ADUN Titi Serong, Dr. Khalil Idham Lim Abdullah kerana tuduhan membuat fitnah.

''Mereka mahu membawa perkara itu ke mahkamah dan saya akan minta peguam-peguam saya melihat perkara itu dan melawan mereka," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Khalil Idham daripada Pas dikatakan mahu menyaman Keshvinder jika bekas wakil rakyat daripada DAP itu gagal meminta maaf dan membayar RM500,000 kerana didakwa memfitnah beliau dalam satu temu bual media.

ADUN Malim Nawar itu dilaporkan berkata, Khalil Idham secara peribadi telah meminjamkan wang sebanyak RM3,500 kepadanya walaupun beliau tidak memintanya.

Keshvinder turut menafikan tuduhan DAP bahawa beliau terlibat dalam isu kehilangan wang tunai RM45,000 dalam pejabat guamannya sehingga terpaksa keluar parti.

''Ia tidak benar sama sekali dan saya tidak tahu dari mana mereka dapat cerita ini. Tiada pencuri di dalam pejabat itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan tiada penduduk dalam DUN Malim Nawar bertindak memulaukannya selepas beliau keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Katanya, penduduk di kawasan itu masih datang berjumpa dan membawa masalah mereka kepadanya seperti biasa.

''Jika mereka benci saya, mereka tidak akan datang dan jumpa saya.

''Sebenarnya, banyak masalah yang dihadapi di kawasan ini berjaya diselesaikan sejak saya menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN)," katanya.

/hwa: utusan.com.my

Pas usah terlalu terkongkong

UM - 22/07/10

KUALA LUMPUR 21 Julai – Pas digesa supaya tidak terlalu terkongkong dengan sejarah permusuhan lama antara parti itu dengan UMNO sehingga menggagalkan usaha perpaduan yang dituntut oleh seluruh masyarakat Melayu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Pas harus terbuka kerana semua pihak termasuk mufti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu telah menyuarakan gesaan agar kedua-dua parti itu duduk semeja.

“Buat apa kita bersikap sombong dan bongkak, seolah-olah berpolitik seperti mahu menongkat langit. Sedangkan masyarakat menjerit meminta kita bersatu atas landasan yang sama.

“Kita tidak boleh terlalu memberatkan ‘luka politik’ lama yang memisahkan UMNO dan Pas. Ini bukan soal siapa lebih terluka dan siapa yang lebih memerlukan siapa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan yang mahu kedua-dua parti itu mempunyai satu pelan damai atas nama Islam supaya persengketaan yang panjang dapat ditamatkan.

Menurut Nasrudin, hasrat itu wajar disegerakan kerana UMNO dan Pas tidak mempunyai banyak masa lagi untuk menyelesaikan masalah yang telah dihadapi oleh dua parti berkenaan sejak berdekad-dekad lalu.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, beliau menghargai pendirian Nasrudin yang lebih terbuka demi melihat harapan baru kepada politik Malaysia kerana jelas beliau minda strategik politik orang Melayu dan umat Islam mestilah digerakkan ke arah yang betul dan tepat.

Mengenai perpaduan, beliau menegaskan, ia tidak bermakna penyatuan antara UMNO dan Pas sebaliknya lebih kepada kerjasama dan perbincangan demi kepentingan orang Melayu.

“Pendekatan ini bukannya boleh merugikan sesiapa dan tiada siapa yang rugi pun. Malah, rakyat lebih yakin jika suasana politik yang menjadi hambatan sekian lama dapat dipadamkan.

“Kita jangan terlalu sangat ‘terkongkong’ dengan luka politik tahun 1978. Rata-rata pimpinan UMNO dan Pas sekarang tidak pun merasai sendiri suasana pada ketika itu. Suasananya lain. Asas politiknya pun berbeza,” jelasnya.

hwa: utusan.com.my

Ahli UMNO kini 3.2 juta

UM - 22/07/10

KUALA LUMPUR 21 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO masih merupakan parti terbesar bagi orang Melayu di negara ini apabila jumlah terkini ahli berdaftar selepas proses pemutihan dijalankan menjangkau 3.2 juta orang.

Sehubungan itu Perdana Menteri menolak sebarang dakwaan yang menyatakan bahawa orang Melayu 'meluat' dan enggan menyertai UMNO kerana jumlah itu membuktikan sokongan orang Melayu terhadap parti tersebut masih padu.

Malah beliau dimaklumkan jumlah keahlian semakin meningkat dari semasa ke semasa berikutan program penambahan ahli baru yang giat dijalankan ketika ini.

"Siapa kata? Tidak betul. Saya tidak dapat terima ada pihak kata meluat kepada UMNO. Tidak betul. Kita parti terbesar bagi orang Melayu. Ahli kita ramai. Selepas pemutihan jumlahnya ialah 3,186,850. Mereka ini sayang kepada UMNO.

"Proses pemutihan melibatkan proses mengeluarkan nama mereka yang telah meninggal dunia. Ahli yang tidak berjaya dikesan pun nama mereka turut dikeluarkan. Jadi jumlah ini jumlah yang sahih,'' katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib-Naib Presiden dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menjawab satu soalan lain, Najib berkata, perjalanan mesyuarat seluruh perwakilan Bahagian UMNO berjalan lancar walaupun terdapat dua bahagian menghadapi masalah iaitu Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Petani, Kedah.

"Janganlah buat tanggapan yang keterlaluan. Ini bukan perkara luar biasa dan boleh dikatakan setiap tahun ada masalah seperti ini. Setakat satu dua bahagian bermasalah bukan satu isu yang meruncing,'' katanya lagi.

Sementara itu beliau berkata, mesyuarat MT hari ini turut memutuskan untuk merujuk bekas Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohamad Zain Ismail ke Lembaga Disiplin parti bagi dipertimbangkan apa jua keputusan serta tindakan yang wajar diambil.

"Turut dirujuk, Ghazali Ismail bersama Ketua Pergerakan Puteri, Norhayati Mamat. Ini berikutan tindakan mereka mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian yang tidak sah pada 26 Jun lalu.

"MT juga bersetuju pentadbiran UMNO Bahagian Rantau Panjang diambil alih oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan sehingga keadaan kembali pulih,'' katanya.

Ujar Najib, bagi Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani yang turut berlaku kekecohan, MT mengambil keputusan untuk meletakkan pentadbiran bahagian itu di bawah urusan Badan Perhubungan UMNO Kedah.

"Tujuan kita mengambil keputusan ini adalah untuk meredakan keadaan. Setelah pulih kita akan serah balik kepada mereka,'' katanya.

Selain itu, Najib berkata, MT juga memutuskan untuk mengesahkan pelantikan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Putrajaya, Husna Abdul Rahman sebagai Pemangku Ketua Puteri bahagian itu.

Beliau berkata, Husna menggantikan bekas ketuanya, Hamizah Abdullah Zawawi yang didapati tidak menghadiri program parti selama setahun.

"Saya juga mengambil maklum masalah yang berlaku pada UMNO Bahagian Setiu.

"Mengenai UMNO Bahagian Kelana Jaya, ia berjalan seperti biasa selepas Ketuanya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Yahya Bujang,'' ujarnya.

/hwa: utusan.com.my

Tuanku Ismail Petra dukacita sikap MB

UM - 22/07/10


SULTAN Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang selesai menjalani rawatan susulan di Singapura diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/AZRAN FITRI RAHIM


KOTA BHARU 21 Julai – Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan sikap Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, barisan Exco serta pegawai tertinggi kerajaan negeri kerana tidak menyambut keberangkatan pulang baginda daripada menjalani rawatan susulan di Singapura hari ini.

Rasa dukacita Tuanku Ismail itu dinyatakan oleh anakanda baginda, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra dalam satu kenyataan yang difakskan kepada media lewat petang ini.

Tengku Muhammad Fakhry berkata, ia merupakan satu tindakan biadab yang ditunjukkan oleh pembesar negeri ini ketika baginda berangkat pulang.

Beliau bagaimanapun berkata, Tuanku Ismail menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Kelantan yang sentiasa mendoakan kesihatan baginda supaya segera sembuh dan selamat kembali daripada menjalani rawatan tersebut.

“Keadaan kesihatan Tuanku berada pada tahap yang amat baik dan berdasarkan laporan terkini pemeriksaan doktor-doktor pakar di Singapura, Tuanku mempunyai keupayaan minda dan fizikal yang baik dan boleh membuat apa-apa keputusan dengan sendiri.

“Di sini, Tuanku ingin menzahirkan rasa dukacita dan kekecewaan baginda dengan ketidakhadiran menteri besar, exco-exco negeri Kelantan termasuk juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias; Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri untuk menyambut keberangkatan pulang baginda.

“Tindakan ini adalah satu tindakan yang amat biadab dan diharapkan tidak berulang lagi,” katanya.

Tuanku Ismail selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira pukul 1.20 petang ini selepas menerima rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura sejak 15 Julai lalu.

Baginda diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan anakanda baginda iaitu Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Tengku Muhammad Fakhry.

Turut berada di lapangan terbang bagi menyambut kepulangan Tuanku Ismail ialah kekanda baginda, Tengku Salwani, Tengku Merjan, Tengku Rozan dan kerabat baginda yang lain kecuali Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Bagaimanapun tidak kelihatan pembesar negeri termasuk Nik Abdul Aziz dan barisan exco kerajaan negeri menyambut kepulangan baginda.

Sebelum ini, krisis Istana Kelantan mencetuskan polemik yang berpanjangan termasuk tindakan pihak berkuasa yang menggunakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) untuk membawa baginda ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) ketika dalam perjalanan dari Istana Mahkota menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebelum berangkat ke Hospital Mount Elizabeth pada 4 Mei lalu.

Pada masa yang sama, banyak pihak menuding jari kepada Nik Abdul Aziz kerana gagal melaksanakan tugas memberikan nasihat kepada institusi diraja tersebut untuk menyelesaikan kemelut itu sehingga ia berlarutan.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas bagaimanapun menjawab ‘senyap adalah nasihat’, disebabkan itu beliau mengambil sikap mendiamkan diri kerana menganggap isu tersebut hanya melibatkan masalah kekeluargaan.

/hwa: utusan.com.my

21 Julai 2010

Sikap Guan Eng memalukan

UM - 21/07/10

KEPALA BATAS 20 Julai – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Azhar Ibrahim menyifatkan kenyataan biadab Ketua Menteri, Lim Guan Eng termasuk memberi gelaran berunsur penghinaan terhadap Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus sebagai perbuatan yang amat memalukan.

Beliau berkata, kenyataan melampau Guan Eng termasuk menggelar Nik Ali sebagai ‘lidah biawak’ mencerminkan sikap Setiausaha Agung DAP itu yang suka mencari publisiti murahan sehingga sanggup bertelagah dengan pegawai kerajaan.

‘‘Saya tidak tahu bagaimana seorang Ketua Menteri boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu dan bergaduh dengan penjawat awam, sepatutnya dia (Guan Eng) berbaik-baik untuk sama-sama membangunkan Pulau Pinang.

‘‘Tapi apa yang berlaku seolah-olah dia sengaja nak cari gaduh, main politik untuk cari publisiti murahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Lebihkan Makan Buah- Buahan Tempatan di Sekolah Kebangsaan Kuala Muda, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Wilayah Utara, Ariffin Awang dan Pengarah FAMA negeri, Anuar Mohamad.

Laporan akhbar hari ini menyiarkan kekecewaan Nik Ali ekoran kenyataan Guan Eng yang menyifatkan beliau sebagai pegawai yang tidak kompeten, tidak profesional, pengecut dan patut diberhentikan berhubung isu curi pasir di tapak projek Politeknik Balik Pulau.

Sambil menyifatkan Guan Eng sebagai biadab dan melampau, Nik Ali menegaskan, beliau sudah lama bersabar dengan sikap Ketua Menteri yang sering mengeluarkan kenyataan liar terhadapnya termasuk menggelarnya sebagai ‘lidah biawak’.

Perang dingin antara kedua-dua individu itu mula tercetus apabila Guan Eng mendakwa Nik Ali tidak menyediakan tempat duduk semasa majlis pelancaran projek Keretapi Bukit Bendera diikuti dengan isu perobohan pintu gerbang Taman Botani dan terbaru, isu curi pasir.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga berkata, Guan Eng tiada hak untuk menilai prestasi kerja pegawai kerajaan sebaliknya wajar mencermin diri sendiri terlebih dahulu sebelum menilai keupayaan orang lain.

‘‘Guan Eng tiada hak nak kata pegawai kerajaan itu kompeten atau tidak kerana SDO bukan di bawah pentadbirannya dan itu bukan kerja dia.

‘‘Sepatutnya kerja dia tumpu usaha membangunkan negeri ini, cerminlah diri sendiri adakah sudah berjaya bangunkan Pulau Pinang,” ujarnya.

/hwa: utusan.com.my

Paya Indah Wetlands tidak dipromosi?

UM - 21/07/10

KUALA LUMPUR 20 Julai – Kementerian Pelancongan mungkin tidak akan mempromosikan Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands, Dengkil sebagai produk pelancongan jika keadaan di kawasan tersebut terus terjejas ekoran aktiviti perlombongan pasir.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, kementerian hanya akan berusaha mempromosikan tempat-tempat yang kaya dengan sumber asli dan unik kerana ia mampu menarik minat pelancong luar dan dalam negara.

Menurutnya, negara mempunyai banyak tempat pelancongan yang menarik sehingga mendapat sambutan amat menggalakkan daripada para pelancong.

“Oleh itu, jika ada kegiatan menjejaskan tapak itu atau projek pembangunan di situ menyebabkan burung tak mahu datang, binatang dah lari dan tak ada benda nak tengok, siapa nak datang?

“Kita hanya akan mempromosikan produk yang kita rasa sangat istimewa. Tetapi, jika daya tarikan tiada lagi, kita juga tidak akan promosikan lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Karnival Jualan Mega Malaysia 2010 di sini hari ini.

Isu perlombongan pasir itu menjadi perhatian apabila pada mulanya ia dikatakan dilakukan secara haram selain menyebabkan pencemaran dan menjejaskan kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan, kegiatan melombong pasir berhampiran Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands itu dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

Beliau turut memberitahu bahawa kegiatan itu mempunyai permit yang sah dan lokasi sebenarnya terletak di Kampung Olak Lempit.

Dalam pada itu, tambah Yen Yen, kerajaan Selangor tidak patut memburukkan keadaan kawasan itu kerana ia akan memberi kesan buruk kepada sektor pelancongan dan habitat hidupan liar serta alam sekitar.

“Kegiatan melombong pasir di beberapa tempat di Selangor juga mendapat perhatian serius apabila kegiatan itu semakin tidak terkawal baru-baru ini.

“Hampir 20 hektar tanah iaitu kira-kira 50 meter dari Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands di Dengkil diceroboh sehingga mengancam sistem ekologi taman berkenaan,” katanya.

/hwa: utusan.com.my

KSSB alat tutup amalan kronisme

UM - 21/07/10

KUALA SELANGOR 20 Julai - Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar tidak menolak kemungkinan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) dijadikan sebagai alat untuk menutup amalan kronisme serta pilih kasih dalam industri perlombongan pasir di negeri ini.

Beliau berkata, ini disebabkan banyak perkara yang boleh dipertikaikan daripada operasi syarikat tersebut sama ada dari segi jumlah pendapatan sebenar aktiviti itu sehinggalah kepada pemberian tender perlombongan pasir.

Malah, Noh mendakwa, KSSB mungkin dijadikan proksi kepada parti tertentu dalam pakatan pembangkang apabila syarikat itu didapati memberikan keistimewaan dalam pembelian pasir kepada sebuah syarikat kontraktor.

''Jika Barisan Nasional (BN) membuat perkara ini (beri keistimewaan) kepada syarikat kontraktor, mereka (pakatan pembangkang) sudah tentu akan menuduh BN amalkan kronisme, pilih kasih dan sebagainya.

''Namun, apabila (kerajaan negeri) berbuat demikian, mereka memberikan alasan bahawa tindakan mereka itu merupakan sebahagian daripada proses perniagaan dan menafikan ia ada kaitan dengan amalan penyelewengan, kronisme dan pilih kasih,

''Kita tidak menolak kemungkinan KSSB dijadikan topeng untuk mengaburi mata rakyat bagi menutup amalan penyelewengan, kronisme dan pilih kasih dalam industri pasir di negeri ini," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan para nelayan dan petani di Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) di Kampung Sungai Yu, di sini hari ini.

Tambah Noh, sebelum ini beliau telah mendedahkan mengenai kewujudan sebuah syarikat kontraktor yang menerima keistimewaan apabila diberi diskaun sebanyak RM4 bagi setiap pembelian satu tan pasir.

Sedangkan, katanya, syarikat lain hanya ditawarkan diskaun sebanyak 50 sen untuk pembelian setiap tan bahan itu.

Tegas beliau, sekiranya kerajaan negeri mengatakan mereka telus dan adil, kenapa hanya syarikat terbabit diberikan keistimewaan dan bukannya syarikat kontraktor lain.

''Atas dasar apa keistimewaan itu diberikan kepada syarikat kontraktor berkenaan. Apa kaitannya dengan KSSB dan kerajaan negeri," tegasnya.

/hwa: utusan.com.my

UMNO serah bukti dakwaan salah laku

UM - 21/07/10


Pemuda UMNO Selangor berhimpun di hadapan bangunan yang menempatkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor untuk menyerahkan bukti tambahan penyelewengan pasir di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 20 Julai - Pemuda UMNO Selangor menyerahkan bukti tambahan salah laku yang didakwa melibatkan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) berhubung kegiatan melombong dan menjual pasir di negeri ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Tindakan itu sebagai langkah yang diputuskan oleh Sekretariat Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE) semalam.

Dokumen setebal 1.27 sentimeter yang diserahkan di pejabat SPRM Selangor itu bagi membantu agensi berkenaan melakukan penyiasatan terhadap penyelewengan dalam KSSB.

Bercakap kepada pemberita selepas penyerahan dokumen tersebut, Exco Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, apa yang dilakukan itu adalah sebagai amaran awal.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri perlu memandang serius aduan tersebut.

"Jika kerajaan negeri terus berdiam diri dan tidak mahu menjalankan siasatan rapi lebih banyak pendedahan akan dilakukan oleh Pemuda UMNO bagi memastikan kegiatan mencuri pasir itu dihentikan," katanya.

Beliau berkata, Pemuda UMNO mendesak supaya kerajaan negeri melakukan siasatan terhadap semua pihak yang terlibat tanpa mengira siapa.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selangor, Safarizul Mustafa berkata, bukti yang diserahkan adalah dalam bentuk royalti, resit dan doket setelah laporan pertama dibuat kepada agensi itu kira-kira dua bulan lalu.

/hwa: utusan.com.my

19 Julai 2010

Henti menghina

BH - 2010/07/19

Oleh Veena Rusli
veena@bharian.com.my
Kerjasama kukuhkan perpaduan Melayu, umat Islam perlu keikhlasan: Najib

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak berkata, PAS perlu lebih ikhlas dan menghentikan penghinaan terhadap UMNO menerusi siri ceramah dan ucapan pemimpinnya jika benar-benar berminat bekerjasama ke arah mengukuhkan perpaduan Melayu serta umat Islam.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO berkata, sikap berdolak-dalik PAS dalam hal itu, termasuk mengenakan pelbagai prasyarat sebelum ini dengan sendirinya menimbulkan persoalan mengenai kejujuran pemimpinnya untuk berbincang secara rasional.

“Jika betul kita ingin berbincang mengenai perpaduan, jangan ada apa-apa prasyarat dan jangan terus menghina UMNO dalam ucapan mereka. Jangan lagi mengutuk antara satu sama lain. Pendirian UMNO dalam hal ini tidak pernah berubah, tetapi nampaknya PAS mempunyai banyak pertimbangan lain. Dia nak kaitkan perbincangan kita dengan isu royalti minyak dan sebagainya, sedangkan kita sudah jelaskan ini bukan soal royalti minyak.

“Ia adalah wang ehsan yang berada dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan mengikut peruntukan Perlembagaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis bersama pemimpin masyarakat Cina Sabah, di Pacific Sutera Harbour, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Datuk Sari Nuar.

Najib juga berkata, soal kejujuran sebenar dalam agenda menyatukan orang Melayu dan umat Islam berada pada tangan PAS selaku parti pembangkang.

“Kita biarkan mereka membuat keputusan mengenai cadangan asal. Kita tak nak asyik ulang isu ini... kita nak tengok sikap dan pendirian PAS. Bagi saya, terpulanglah kepada PAS untuk menetapkan pendirian,” katanya.

Kelmarin, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, mengesahkan ada menemui pemimpin UMNO dan PAS bagi membincangkan kerjasama kedua-dua parti berhubung perpaduan Melayu dan umat Islam.

Perkembangan itu adalah rentetan kesediaan UMNO bersemuka dengan PAS demi membincangkan isu perpaduan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sedia mengadakan perbincangan, termasuk secara tidak rasmi bagi mendapatkan titik persamaan dan persefahaman.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat pula sebelum ini menyatakan kesediaan bersemuka dengan Muhyiddin secara empat mata pada bila-bila masa untuk membincangkan pelbagai perkara asalkan tidak membabitkan rundingan UMNO-PAS.
/hwa: bhrian.com.my

Ulama prihatin perpaduan Melayu

BH - 2010/07/19

Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my
NGO boleh berfungsi sebagai fasilitator realisasi pertemuan UMNO-PAS

KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO menyambut baik kesediaan ulama atau mana-mana pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap perpaduan Melayu dan umat Islam untuk membantu merealisasikan perbincangan kerjasama UMNO-PAS.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, ia bukan bermakna UMNO lebih beriya-iya untuk menjayakan perbincangan berkenaan berbanding PAS, sebaliknya lebih mengutamakan perpaduan Melayu dan umat Islam.

Muhyiddin yang menyambut baik kesediaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menjadi perantara pertemuan pemimpin UMNO dan PAS, berkata NGO juga boleh berfungsi sebagai pemudah cara atau fasilitator bagi merealisasikan pertemuan berkenaan.

Beliau sedar kebimbangan pelbagai pihak mengenai perpecahan Melayu dan umat Islam yang mahukan tindakan konkrit bagi membolehkan pemimpin kedua-dua parti berbincang demi perpaduan.

“Saya menghargai kalau ada pihak bersedia menjadi perantara untuk memudahkan usaha ini, malah NGO juga boleh membantu proses ini. Saya sedar banyak pihak menyatakan kebimbangan masalah yang dihadapi (perpaduan Melayu dan umat Islam). Mereka mahu sesuatu yang konkrit dilakukan untuk menentukan kedudukan kita tidak tergugat pada pilihan raya umum akan datang.

“Mufti atau bekas mufti dan pemimpin Melayu, Bumiputera dan Islam boleh membantu mewujudkan persefahaman. Kita harus mengalu-alukannya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Sepanggar, di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO Sepanggar, Jumat Idris; Ketua Wanita, Datuk Jainab Ahmad dan Ketua Pemuda, Mohd Joh Wit.

Muhyiddin mengulas kenyataan Harussani kelmarin yang mengesahkan pemimpin UMNO dan PAS ada menemuinya bagi membincangkan kerjasama kedua-dua parti berhubung perpaduan Melayu dan umat Islam, tetapi tidak menyatakan identiti mereka.

Muhyiddin bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Harussani bahawa Melayu mungkin tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan dijajah jika terus berpecah kerana bimbang ia akan disalah tafsir.

“Kalau saya ulas, ada yang salah tafsir. Kita tidak perlu terlalu banyak debat dalam media,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap, Muhyiddin meminta pemimpin dan ahli UMNO peringkat akar umbi mengikis pendapat kononnya UMNO tahu mengenai semua aspek berbanding anggota masyarakat lain.

Beliau menegaskan, pemikiran masyarakat sekarang sudah berubah berikutan kemampuan memperoleh maklumat dari pelbagai sumber, terutama internet.

Katanya, anggota masyarakat bijak membuat penilaian dan perbandingan yang sekali gus menuntut pemimpin dan ahli UMNO memperkukuh usaha membantu menyelesaikan masalah rakyat.
/hwa: bharian.com.my

18 Julai 2010

Melayu hilang kuasa pada PRU-13?

MM - 18/07/10


HARUSSANI Zakaria (kanan) bersama Hilmi Ismail ketika sidang akhbar pada Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Ipoh, semalam.


IPOH 17 Julai - Orang Melayu akan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika UMNO dan Pas terus berdegil untuk tidak bersatu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan kebimbangan tersebut berkata, kedegilan kedua-dua parti Melayu terbabit untuk meletakkan keutamaan agama di tempat sepatutnya hanya akan memberi kesan buruk kepada masa depan orang Melayu sendiri.

''Kalau kita terus berpecah-belah, kita akan terima kekalahan (pada PRU-13), itu sahaja. Dan akan berlaku satu bentuk penjajahan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Dewan Bankuet Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Hadir sama dalam perhimpunan sehari anjuran Gagasan Melayu Perak (GMP) itu ialah presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Harussani menegaskan, pemimpin Melayu perlu sedar bahawa mereka memikul tanggungjawab memastikan kepentingan orang Melayu terjamin.

''Adakah agama yang mengajar kita suruh berdegil? Sedangkan degil itu adalah sifat keji dalam Islam. Kalau itu sifat keji, kenapa tidak dibuang daripada diri kerana ia tidak akan menguntungkan diri.

''Kalau dia pemimpin, dia tidak akan menguntungkan rakyat. (Sedangkan) bila jadi ketua, amanah untuk menjaga ummah itu kewajipan dia. Kalau dia berdegil, amanah tiada pada dia, rakyat akan hancur," ujar beliau.

Ditanya apakah masih ada harapan untuk orang Melayu khususnya membabitkan UMNO dan Pas bangkit dan bersatu semula jawabnya:

''Insya-Allah disebabkan kedua-dua puak (parti) ini mempunyai keinginan hendak bersatu.

''Ada pemimpin Pas datang berjumpa saya, begitu juga pemimpin UMNO. Mereka minta pandangan bagaimana untuk disatukan (kedua-dua parti)."

Mengulas lanjut kata Harussani, penyatuan masih tidak dapat dilakukan sehingga hari ini kerana kedua-dua pihak telah meletakkan faktor keutamaan di tempat yang salah.

''Saya percaya tujuan orang Pas memperjuangkan Islam ikhlas tapi meletakkan (keutamaan) di tempat yang salah. Mereka taksub sebab tidak faham. Orang UMNO serupa juga.

''Kalau kedua-dua parti memahami faktor keutamaan itu, apa yang perlu diutamakan? Keutamaan adalah agama dahulu dan agama tidak menyuruh kita membenci sesama umat Islam bahkan kasih-mengasihi sesama kita," katanya.

Dalam perkembangan sama, Harussani berkata, langkah GMP menganjurkan perhimpunan seumpama itu dapat membantu menyatupadukan orang Melayu.

Sementara itu, Mohd. Hilmi menegaskan, perlunya satu perhimpunan Melayu membabitkan semua lapisan masyarakat termasuk raja-raja dan pemimpin parti politik sendiri untuk melahirkan semangat Melayu dalam menyata dan memperjuangkan hak mereka seperti termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

''Cara ini dapat menginsafkan pemimpin-pemimpin Pas dan UMNO yang masih berdegil dan tidak memikirkan tentang masa depan orang Melayu," katanya.

/hwa: utusan.com.my

Sokong Isteri-Isteri


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan), timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman ketawa melihat aksi pasukan Bakisa (Sabah) dan Baiduri (Perak) pada perlawanan akhir badminton sempena program tahunan isteri-isteri wakil rakyat Barisan Nasional di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah, 17 Julai. - Utusan/GHAZALI BASRI

Kenyataan Nik Aziz tidak konsisten, sudah diduga

MM - 18/07/10

JELEBU 17 Julai - Keengganan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berbincang dengan UMNO ke arah permuafakatan orang Melayu sememangnya sudah diduga, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (gambar) .

Bagi beliau, perkara tersebut menjelaskan tentang sikap pemimpin itu yang tidak pernah konsisten dalam kata-katanya termasuk dalam perjuangan partinya.

"Kita sudah kenal Pas khususnya Nik Aziz, bila pihak lain kata nak runding, beliau kata tak boleh bincang, sekejap boleh bincang, sekejap tidak. Jadi kalau lihat tidak ada konsistensi dari segi perjuangan dan hala tuju parti ini,"katanya yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu di Dewan Budaya Simpang Pertang di sini hari ini.

Mohd. Shafie mengulas kenyataan Nik Aziz hari ini yang bersetuju berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selagi perbincangan itu tidak menjurus kepada perpaduan di antara Pas dan UMNO.

Sebaliknya Nik Aziz mahu pertemuan tersebut memberi fokus terhadap rundingan pemberian royalti minyak kepada negeri itu.

Mohd. Shafie pada masa sama menafikan bahawa UMNO terdesak untuk bersatu dengan Pas, sebaliknya menekankan bahawa perbincangan tersebut ke arah penyatuan bangsa.

''Tidak bererti apabila kita berkata ada cadangan untuk penyatuan UMNO-Pas bermakna ada kelemahan dalam UMNO, cuma memikirkan betapa perlunya penyatuan agama itu yang ingin kita daulatkan,'' jelasnya.

/hwa: utusan.com.my

Hisham: Pas tidak ikhlas martabatkan Islam

MM - 18/07/10

KUALA LUMPUR 17 Julai - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berdolak-dalik dan tidak konsisten pendiriannya menggambarkan yang parti itu tidak ikhlas memperjuang dan memartabatkan kepentingan Islam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Pas kini dilihat tersasar daripada perjuangan asal apabila lebih cenderung menjayakan agenda peribadi seorang pemimpin sahaja iaitu Nik Abdul Aziz.

Beliau yakin sebahagian besar penyokong Pas mengimpikan sebuah parti yang menampilkan agenda lebih besar demi kepentingan agama dan bangsa, tidak sekadar jumud kepada kehendak Menteri Besar Kelantan itu semata-mata.

"Saya tahu penyokong Pas tidak bersetuju parti itu digerakkan atas kemahuan dan kehendak seorang pemimpin sahaja.

"Ada had dan batasan untuk kita berpolitik, sekiranya Pas betul-betul ikhlas memperjuangkan Islam, jangan berdolak-dalik dalam membuat pendirian.

"Banyak luahan yang diterima daripada penyokong Pas sendiri menyatakan kepimpinan parti mereka banyak tidak sehaluan dan tidak sekata jika dibandingkan dengan kepimpinan sebelum ini," katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seputeh di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang bersetuju untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin asalkan perbincangan itu tidak menjurus kepada perpaduan antara Pas dan UMNO.

Nik Abdul Aziz sebaliknya mahu pertemuan tersebut memberi fokus terhadap rundingan pemberian royalti minyak yang dimohon oleh Kelantan.

Mursyidul Am Pas itu berpendapat agenda perpaduan antara kedua-dua parti telah lama berkubur dan menganggap UMNO adalah parti yang jelas menolak Islam.

Ditanya mengenai gesaan ramai pihak termasuk golongan ulama di negara ini yang komited bahawa kedua-dua parti perlu bersatu untuk menegakkan Islam, Hishammuddin berkata, UMNO tidak meletakkan harapan perbincangan lanjut mengenai agenda perpaduan ini dengan hanya seorang pemimpin dalam Pas.

"Kita (UMNO) perlu melihat perkara ini secara menyeluruh termasuk dalam kalangan penyokong dan pemimpin Pas lain yang ikhlas mahu melihat perkara ini berjaya," katanya.

Malah katanya, UMNO sendiri belum membincangkannya secara mendalam sama ada melalui peringkat pengurusan parti atau biro politik.

"Jika betul-betul hendak duduk berbincang pasal kepentingan nasib Islam dan bangsa, mestilah ada titik persefahaman penuh jujur yang boleh membawa kepada satu usaha membina. Tiada sebabnya kita hendak berjumpa hanya untuk berbalah," katanya.

/hwa: utusan.com.my

PM minta PAS henti hina UMNO, jangan letak prasyarat

BM - 2010/07/18

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan PAS supaya berhenti menghina UMNO dalam ceramah dan kenyataannya jika serius dalam hasrat berbincang semeja demi perpaduan orang Melayu.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO berkata, UMNO sentiasa bersedia menggerakkan usaha ke arah perpaduan demi masa depan orang Melayu tetapi ia tidak sewajarnya dilingkungi pelbagai prasyarat seperti dikenakan PAS sebelum ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bersama pemimpin Cina Sabah di Pasific Sutera Harbour, di sini, sebentar tadi.
/hwa: bharian.com.my