28 Mac 2011

GTP amat membanggakan



Najib Tun Razak ketika berucap pada majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2010 Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Stadium Putra Bikit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. - Bernama

KUALA LUMPUR 27 Mac - Pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) sejak setahun lalu membuahkan kejayaan amat membanggakan kerana ia dihasilkan melalui satu agenda bersifat berani, inovatif dan telus serta didukung oleh pasukan pentadbir yang bersungguh-sungguh mahu meningkatkan taraf hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehubungan itu berkata, kejayaan tersebut akan dijadikan iltizam kepada kerajaan untuk berusaha lebih gigih pada masa akan datang demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Beliau berkata, kejayaan itu juga amat berkait rapat dengan keputusan kerajaan menetapkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang selama ini menjadi tiang kepada GTP.

"Dalam setiap NKRA, kita sasarkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan cara menyentuh denyut nadi mereka. Kita insaf bahawa rakyat adalah segala-galanya bagi kerajaan. Mereka merupakan satu amanah.

"Seperkara lagi dalam era kini, kerajaan yang cekap adalah kerajaan yang tahu jangkaan rakyat. Sudah tentu rakyat mahu kualiti hidup mereka ditingkatkan selain tinggal dalam sebuah negara yang selesa dan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala serta barisan menteri dan timbalan menteri.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pada majlis malam ini beliau turut melancarkan Buku Laporan Tahunan GTP 2010.

Perdana Menteri turut menyentuh bagaimana kerajaan mengambil kira pandangan rakyat sebelum GTP dilaksanakan tahun lepas melalui satu proses tinjauan.

Hasilnya kata beliau, enam NKRA telah ditetapkan iaitu mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, memperbaiki pencapaian pelajar, meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah, meningkatkan infrastruktur luar bandar dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam bandar.

"Kita juga sedar era kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir. Oleh itu dengan rasa rendah diri kita perlukan maklum balas rakyat supaya kita tahu apa yang mereka mahukan," ujarnya.

Sementara itu beliau mengakui bukan mudah untuk kerajaan mengecap kejayaan itu kerana pelbagai cabaran serta dugaan terpaksa ditempuhi.

"Oleh itu dalam kita meraikan kejayaan tahun pertama GTP ini, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan kerana bersama-sama menggembleng tenaga menjayakan misi ini," ujarnya

Dalam pada itu dalam ucapannya, Najib turut memaklumkan kejayaan-kejayaan kerajaan menaikkan taraf hidup rakyat melalui enam NKRA yang merupakan tiang atau tunjang kepada GTP.

Antara pencapaian tersebut ialah:

1. Indeks jenayah turun 15 peratus, indeks jenayah jalanan turun 35 peratus,

2. Memerangi rasuah-penggubalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat selain tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah yang berjaya meningkatkan keyakinan rakyat.

3. 700,000 kanak-kanak memperoleh manfaat daripada lebih 1,500 kelas prasekolah.

4. Berjaya menurunkan 99.8 peratus golongan miskin tegar.

5. Mengubah kehidupan 2 juta rakyat dalam bidang meningkatkan infrastruktur luar bandar.

6. Peningkatan penumpang transit aliran ringan (LRT) yang kini berjumlah 2.43 juta orang dan peningkatan 192 peratus penumpang bas transit lebuh raya (BET).

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

Muhyiddin teruskan program GTP

KUALA LUMPUR 27 Mac - Teraju utama memimpin dan menyelia Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada masa akan datang sehingga tahun akhir pelaksanaannya pada 2012 diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2010 GTP di Stadium Putra Bukit Jalil di sini malam ini, Perdana Menteri berkata, Muhyiddin akan dibantu oleh kesemua enam menteri yang terlibat dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan di dalam GTP.

"Program GTP ini akan diselaraskan dan dipantau selia selepas ini oleh Muhyiddin dan beliau akan menyelaraskan semua tindakan yang akan diambil oleh menteri," katanya.

Najib berkata, kejayaan program GTP tidak akan terhenti pada tahun pertama pelaksanaannya sebaliknya ia akan menguatkan semangat kerajaan untuk terus bekerja.

Buku laporan setebal 268 muka surat itu boleh dimuat turun melalui laman web www.pemandu.gov.my.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Malaysia

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Razak berucap pada pelancaran Laporan Tahunan GTP 2010 pada Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, malam tadi.
/hwa: BH - Foto Effendy Rashid, Mar 28, 2011 2:31 am

Penduduk tagih bekalan air percuma dijanji pembangkang

KLANG: Meskipun sudah tiga tahun pembangkang memerintah negeri ini, masih ada penduduk tidak mendapat bekalan air percuma bagi 20 meter padu seperti dijanjikan menerusi manifesto Pilihan Raya Umum pada 2008.

Penghuni sebuah pangsapuri di Pandamaran di sini, yang kebanyakannya berpendapatan rendah, misalnya masih belum menikmati kemudahan itu ketika sebahagian besar penduduk termasuk pemilik rumah mewah menerima keistimewaan berkenaan.

Ini berikutan pangsapuri berkenaan menggunakan meter pukal, di mana penghuni tidak mempunyai akaun individu. Berikutan itu, pengurusan bangunan yang tentukan jumlah setiap penghuni perlu bayar berdasarkan caj keseluruhan yang dikenakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

Penghuni terbabit mendakwa pihak persatuan penduduk taman itu sudah banyak kali membuat permohonan kepada kerajaan negeri, tetapi gagal dan terpaksa membayar bil air kepada pengurusan pangsapuri pada harga tidak munasabah.

Kinana Asari, 39, berkata penghuni pangsapuri itu sudah lama menantikan bekalan air percuma, tetapi sehingga kini belum menjadi kenyataan.

Katanya, kelewatan kerajaan negeri menyelesaikan masalah mereka menyebabkan penghuni terpaksa berdepan caj tinggi berbanding caj biasa dikenakan SYABAS.

“Pihak pengurusan sewenang-wenangnya meletakkan caj bil air tanpa merujuk kepada meter. Jadi bil air tidak konsisten berikutan pangsapuri ini menggunakan meter pukal,” katanya.

/hwa: bharian.com.my | bh - 28/3/11

'Najib berjaya yakinkan rakyat'

Kepemimpinan Perdana Menteri beri mood lebih positif kepada BN: Daim

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berpendapat kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak yang berusaha membina kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) selepas prestasi buruk pada pilihan raya umum 2008 berjaya mengurangi keresahan di kalangan rakyat.

Katanya, usaha Najib itu juga berjaya menenangkan keadaan politik negara secara keseluruhan dan rakyat juga sudah matang serta bijak membuat penilaian politik.

Beliau berkata, keyakinan rakyat terhadap BN juga dilihat lebih terserlah apabila memenangi pilihan raya kecil Galas, Batu Sapi, Tenang, Kerdau dan Merlimau secara berturut-turut dalam tempoh empat bulan.

Sambil menyifatkan Perdana Menteri sangat jujur dan ikhlas berusaha untuk membantu meninggikan taraf hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan miskin, Daim berkata selagi rakyat bijak membezakan antara padi dengan sekam, beliau yakin BN akan terus memerintah.

“UMNO dan BN akan terus hidup. Saya tidak fikir BN boleh kalah lebih teruk daripada pilihan raya umum 2008. Situasi politik pada 2008 amat berbeza daripada situasi sekarang.

“Namun, realiti politik ini selalu berubah mengikut suasana, jika kita tidak waspada dan berhati-hati, suasana tenang boleh bertukar menjadi keruh dalam sekelip mata,” katanya dalam wawancara disiarkan Mingguan Malaysia, semalam.

Daim berkata, program seperti skim rumah pertama adalah antara komitmen kerajaan BN yang menyedari setiap rakyat berhak hidup dalam keadaan aman, selesa, bebas dan makmur serta memerlukan kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin UMNO dan BN perlu sentiasa peka terhadap tuntutan rakyat.

“Setiap wakil rakyat, setiap pemimpin BN, baik yang kecil atau besar harus sentiasa turun padang, jangan tunggu padang datang kepada kita. Semua mereka harus bekerja kerja untuk menghidupkan UMNO dan BN, bukannya mencari hidup daripadanya,” katanya mengambil contoh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam yang selalu turun padang dan bermesra dengan rakyat tidak kira majlis perkahwinan, kematian, kebakaran atau kemalangan. Kalau tidak dapat hadir beliau hantar wakil atau SMS.

Di samping itu, Daim menyarankan jentera UMNO dan BN perlu diperbaiki dan dimodenkan sesuai dengan perubahan sosial, teknologi maklumat dan ekonomi.

Sebagai contoh, katanya, Perdana Menteri menggunakan blog dan twitter untuk berinteraksi secara spontan dengan rakyat terutama golongan muda yang kini jauh lebih berpelajaran dan luas jaringan mereka.

“Mimpi, harapan dan aspirasi mereka tentu berbeza daripada yang dialami ibu bapa mereka. UMNO dan BN perlu memahami semua hal ini dengan jelas supaya dapat melaksanakan program yang boleh dihayati golongan ini.

“Program mesti berterusan, bukan menanti pilihan raya kecil baru sibuk turun padang. Takkan tak ada pilihan raya kecil, maka tak ada pembangunan... saya percaya bila Perdana Menteri dan Timbalan jumpa ketua cawangan UMNO, ia akan dapat menyelesaikan masalah rakyat dan UMNO akan bertambah kukuh.

“Sebelum pilihan raya (akan datang), semua masalah dalaman (parti) mesti diselesaikan. Kekuatan Perdana Menteri seorang belum boleh menentukan kemenangan BN. Calon dipilih juga mesti bersih dan diterima rakyat,” katanya yang yakin rakyat yang mengundi pembangkang pada 2008 kini inginkan perubahan.

/hwa: bharian.com.my | um - 28/3/11

Rakyat bangga Malaysia bergerak seiring negara maju

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) melalui penambahbaikan pelbagai sektor utama negara menerima maklum balas yang positif dikalangan rakyat, khusus dalam mempertingkatkan pelbagai sektor membantu negara menuju ke arah negara maju menjelang 2020.

Malah, orang ramai yang ditemui memuji dan mengalu-alukan program transformasi bagi memastikan masyarakat Malaysia terus berdaya maju dan mampu bergerak setanding negara maju lain di dunia.

Peniaga, J Ganesh, 34 dari Petaling Jaya, menyifatkan bidang pendidikan banyak menumpukan usaha pengukuhan dalam penguasaan bahasa sama ada baik bahasa Malaysia mahupun bahasa Inggeris.

"Usaha kerajaan memperkukuhkan penguasaan bahasa khususnya dalam Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dilihat berjaya meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang pada masa sama terus memartabatkan penggunaan bahasa Malaysia.

"Usaha baik itu perlu diteruskan kerana ia secara tidak langsung berupaya meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris yang akan memberikan banyak manfaat dalam menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik," katanya.

Kakitangan awam, Zamzida M Jamhari, 35 dari Port Dickson, bersetuju dengan penekanan kerajaan melalui penambahbaikan sektor pendidikan yang berupaya memacu negara menuju negara maju.

Katanya, usaha kerajaan menyasarkan sifar buta huruf dan angka bagi pelajar di seluruh negara menjelang 2012 selain pengukuhan kepada sistem pendidikan prasekolah banyak memberikan manfaat, khususnya di luar bandar bagi mengelak mereka daripada keciciran.

Penjawat awam, Afnan Abdullah, 33, menyifatkan kehadiran GTP tepat pada masanya yang menjadi agenda kerajaan yang bermakna dan melengkapi usaha kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Anak kelahiran Kota Bharu itu yakin usaha transformasi kerajaan ini mampu mengubah landskap sosio ekonomi dan budaya rakyat Malaysia dibawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

“GTP adalah program tersusun yang dilancarkan secara sistematik, mewakili enam bidang NKRA. Ia adalah usaha relevan yang bertepatan dengan suasana ketika ini dengan peningkatan jenayah dan ketidakcekapan sistem pengangkutan awam.

“Saya yakin GTP hadir pada masa yang tepat ketika rakyat menuntut perubahan ketara dalam pentadbiran kerajaan," katanya.

Eugene Teh, 36, dari Klang, berkata GTP dapat meyakinkan rakyat bahawa kerajaan benar-benar serius untuk membawa perubahan dalam sistem pengangkutan awam bandar, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mengurangkan kadar jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam pendidikan dan memperkasakan pembangunan infrastruktur luar bandar.

Katanya, usaha mentransformasikan agenda pembangunan negara wajar dicontohi sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memastikan rakyat dapat mendalami perubahan sistem pentadbiran negara secara lebih menyeluruh.

"Pelaksanaan GTP bertujuan mendapatkan hasil yang memberangsangkan untuk memastikan rakyat merasai manfaat daripada kemakmuran negara," katanya.

/hwa: bharian.com.my | bh - 28/3/11

Gua Musang kini pesat membangun - Tengku Razaleigh

GUA MUSANG, 27 Mac — Kerajaan Pusat sama sekali tidak pernah membelakangi kepentingan rakyat di Hulu Kelantan, sebaliknya tetap mengutamakan pembangunan untuk menjadikan bandar Gua Musang sebagai bandar termaju di Kelantan menjelang 2020.

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pembangunan itu dapat dilihat berikutan peranan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan dan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan yang berjaya mencorakkan keadaan itu.

"Bandar Gua Musang semakin menjadi tumpuan orang ramai yang berhijrah mencari peluang pekerjaan di pelbagai sektor.

"Daripada jumlah penduduk hanya antara 200 hingga 300 orang sekitar tahun 60an, kini meningkat kepada lebih 16,000 penduduk dan mungkin sedikit masa lagi bertambah lebih daripada itu," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan penyampaian Netbook 1Malaysia Peringkat Parlimen Gua Musang di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra Dua di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusof, ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Ab. Ghani dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Timur, Mohd. Shafie Harun.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 28/3/11

200 sami Hindu keluar PKR


SERAMAI 15 ahli Persatuan Sami-Sami Hindu Pulau Pinang berkumpul selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Baru, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 27 Mac - Tidak mahu bersubahat dengan rakaman video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang, kira-kira 200 ahli Persatuan Sami-Sami Hindu Pulau Pinang hari ini mengambil keputusan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut pengerusi persatuan berkenaan, S. Dhinabalan, mereka malu mempunyai pemimpin yang dikaitkan dengan perbuatan terkutuk tersebut, apatah lagi ia dianggap dosa besar dalam agama Hindu.

Katanya, isu berkenaan sudah tersebar ke seluruh dunia dan sewajarnya ahli-ahli persatuan tersebut yang mempunyai kedudukan tinggi dalam agama Hindu tidak dikaitkan dengan Penasihat PKR itu.

"Kami sering menghadiri majlis-majlis rasmi di luar negara dan ramai yang ditemui menanyakan mengenai dakwaan penglibatan pemimpin pembangkang itu dalam rakaman video seks tersebut apabila mengetahui kami dari Malaysia.

"Ini amat memalukan kami, lebih-lebih lagi perbuatan tersebut merupakan satu dosa besar, tidak boleh diterima sama sekali dalam agama Hindu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan polis bersama kira-kira 15 ahli persatuan tersebut di Balai Polis Bayan Baru, di sini hari ini.

Dalam laporan berkenaan, mereka mahukan suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat secara telus rakaman video seks itu.

Sementara itu, timbalan Dhinabalan, C. Shangkar memberitahu, tindakan mereka keluar dari PKR juga disebabkan kecewa dengan sikap pemimpin parti itu yang gagal menunaikan janji-janji kepada rakyat selepas tiga tahun mentadbir negeri.

Jelas beliau, kaum India di negeri ini seolah-olah dianak-tirikan berbanding kaum lain.

"Kami tidak diberi keutamaan dalam pelbagai aspek termasuk kebajikan dan kemudahan pembangunan, seperti tidak dihiraukan," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

Berebut kerusi bukti pembangkang gila kuasa

SAMARAHAN 27 Mac - Pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri kali ini yang saling bertindih antara parti pembangkang membuktikan mereka tidak sehaluan dan tujuan utama setiap parti adalah untuk berkuasa.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berikutan itu parti pembangkang bergaduh sesama sendiri berebut kerusi kerana gila kuasa dan bukannya mahu membela nasib rakyat.

"Keadaan ini berbeza dengan semangat yang ditunjukkan oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lebih sepakat dalam soal pembahagian kerusi," katanya ketika menghadiri Karnival Belia 1Malaysia, di sini hari ini.

Abdul Karim Rahman mengulas konflik yang melanda pihak pembangkang apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan DAP yang gagal mencapai persetujuan mengenai pembahagian kerusi.

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata, kesepakatan merupakan kunci utama kejayaan BN mentadbir negeri dengan cemerlang, sekali gus mendapat sokongan berterusan daripada rakyat.

Oleh itu katanya, usaha pembangkang untuk menawan negeri ini hanya sia-sia kerana selain tidak sehaluan dan kerjasama yang rapuh, ahlinya sendiri tidak lagi yakin dengan perjuangan parti.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

Tumpu dua pendekatan baru hadapi PRU-13

BACHOK 27 Mac - UMNO Kelantan akan menggunakan dua pendekatan baru bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) iaitu memperkasakan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan memberi tumpuan kepada masyarakat bukan Melayu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin (gambar) berkata, pendekatan itu selaras dengan model baru politik yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi tumpuan khusus dalam bidang tersebut.

"Sokongan kaum lain terutama Cina dan Siam di negeri ini amat penting kerana mereka boleh jadi 'penentu' kemenangan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan," katanya ketika merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan UMNO Bahagian Bachok, di sini malam tadi.

Lebih 400 ahli UMNO dari DUN Tawang, Perupuk dan Jelawat menyertai mesyuarat berkenaan yang diadakan di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, pada masa sama perpaduan di kalangan jentera UMNO perlu dimantapkan lagi iaitu dengan mengetepikan perselisihan yang boleh membawa keretakan.

"Di bawah dasar baru yang diperkenalkan oleh parti sekarang, sebarang perancangan mesti diputuskan dari akar umbi, bukan daripada pihak atasan sebagaimana menjadi amalan sebelum ini.

"Ia bertujuan mencapai objektif merakyatkan kerajaan dalam apa juga bentuk transformasi yang dilaksanakan supaya UMNO Kelantan sentiasa di hati rakyat," katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

Karpal digesa nyatakan pendirian isu video seks

KUALA LUMPUR 27 Mac - Pengerusi DAP, Karpal Singh digesa menyatakan pendiriannya berhubung pendedahan video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang dengan pelacur dari China baru-baru ini.

Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, rakyat mahu melihat sama ada Karpal yang merupakan peguam bela bagi kes liwat kedua melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melaungkan kebenaran atau hanya sekadar bersuara demi kepentingan politiknya.

Beliau berkata, pihaknya juga mendesak supaya bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang merupakan salah seorang trio Datuk T agar memberikan satu salinan video seks melibatkan pemimpin pembangkang itu kepada Karpal.

"Parti KITA Kedah meminta supaya Karpal menilai sendiri sejauh mana tahap moral rakan pemimpin pembangkangnya itu melalui isu video seks tersebut.

"Adakah Karpal akan bersikap seperti harimau Jelutong atau berdiam diri seperti tikus Jelutong dalam isu ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zamil turut mencabar Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap trio Datuk T sekiranya apa yang didakwa oleh kumpulan itu bahawa beliau meminta wang pelincir selepas menyaksikan video seks tersebut adalah tidak benar.

Selain Abdul Rahim, trio Datuk T yang terlibat dalam pendedahan video seks pemimpin pembangkang itu ialah ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuaib Lazim.

"Jika kenyataan Datuk T tidak betul maka Johari boleh saman di mahkamah. Selagi dia (Johari) tidak berbuat demikian maka kita anggap apa yang Datuk T katakan itu adalah benar," katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

Nalla sedia jumpa pemimpin Pas

JOHOR BAHRU 27 Mac – Bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakaruppan sedia berjumpa dengan pucuk pimpinan Pas bagi mendedahkan sendiri siapa sebenarnya Ketua Pembangkang itu.

Beliau berkata, kini tiba masanya untuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, mengetahui siapa Anwar.

“Pimpinan Pas boleh pilih tempat dan waktu, saya sedia bersemuka dengan mereka bagi menjelaskan siapa sebenarnya manusia bernama Anwar yang mereka (Pas) julang sebagai ketua.

“Sebaik-baiknya saya diberi peluang bertemu dengan pemimpin tersebut kerana mereka orang yang boleh membuat keputusan dalam parti,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) berkata, perjumpaan tersebut sangat penting bagi menyelamatkan rakyat terutamanya orang Melayu dan penyokong kuat Pas.

“Mereka harus sedar sifat-sifat sebenar Anwar yang tidak boleh kita julang sebagai pemimpin. Anwar tidak layak menjadi pemimpin.

“Penyokong Pas harus memilih orang yang benar-benar layak diangkat sebagai ketua mereka dan Anwar bukan pilihan tepat serta tidak layak untuk menjadi pemimpin,” dakwanya.

Menurutnya, banyak perihal Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang tidak diketahui dan ia perlu diperjelaskan kepada mereka.

“Jangan biarkan mereka terus mempercayai bahawa segala apa yang dibongkarkan mengenai Anwar adalah fitnah belaka, tidak perlu taksub kepada Anwar,” katanya.

Nallakaruppan berkata, beliau sedikit pun tidak terkejut dengan isu video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan tindakan Datuk T mendedahkan rakaman video seks melibatkan seorang didakwa pemimpin pembangkang dengan pelacur dari China.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

Ke mana Anwar?: Penjelasan PKR jadi 'senjata makan tuan'

KUALA LUMPUR 27 Mac - Tindakan terdesak Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadikan Facebook sebagai bukti alibi, kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berada di hotel ketika rakaman video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang berlaku, bertukar menjadi 'senjata makan tuan'.

Ini kerana PKR melalui Pengarah Strateginya, Mohd. Rafizi Ramli, mungkin tidak sedar terdapat perbezaan waktu antara laman sosial Facebook dengan Twitter sebelum 13 Mac lalu, akibat Waktu Musim Panas (DST) yang menyaksikan masa di Facebook sejam lebih awal berbanding Twitter.

Ini kerana Facebook bergantung kepada server (pelayan Internet) di Amerika Syarikat yang mempunyai perbezaan waktu (cepat sejam) akibat DST tetapi server Twitter tidak bergantung kepada Amerika sebaliknya, ia mengikut waktu sebenar sesebuah negara pengguna.

Perbezaan waktu tersebut hanya kembali sepadan di antara Twitter dan Facebook apabila Amerika Syarikat pada 13 Mac lalu, menambah sebanyak sejam waktu di negara tersebut bagi menyelaras semula perbezaan waktu siang yang lebih panjang ketika musim bunga dan musim panas.

Sebab itu, berlakunya perbezaan masa antara mesej Anwar di Twitter dengan Facebook untuk kandungan yang sama pada 21 Februari lalu, iaitu tarikh di mana rakaman video seks membabitkan seseorang yang didakwa sebagai pemimpin kanan pembangkang dirakamkan di sebuah bilik hotel.

Bagaimana mesej di kedua-dua laman sosial tersebut tetap mempunyai persamaan iaitu Anwar didapati 'hilang' lebih dua jam dari pukul 9.20 hingga 11.38 malam (Twitter) dan 8.20-10.40 malam (Facebook) tanpa sebarang penjelasan kukuh daripada Ketua Pembangkang itu sendiri.

Sedangkan, dalam tempoh itulah aksi seks yang mengaitkan seorang pemimpin pembangkang dengan wanita China dirakamkan (10.20-10.41 malam) dan dengan mengambil kira fenomena DST (perlu tambah sejam), waktu sebenar 'kehilangan' Anwar di Facebook adalah dari pukul 9.20 hingga 11.40 malam.

Menurut penulis blog Minda Intelek Melayu (MIM), Dr. Novandri Hasan Basri, akibat tindakan terdesak Mohd. Rafizi itu, semakin banyak rahsia ke mana Anwar 'menghilang' pada waktu aksi seks tersebut dirakamkan kini terbongkar sedikit demi sedikit.

"Sungguh memalukan sebagai Pengarah Strategi PKR, Mohd. Rafizi cuba mengelirukan rakyat dengan jam di Facebook tetapi hakikatnya, jam di Twitter adalah waktu semasa iaitu waktu ketika mesej ditweet. Jika Anwar tweet pukul 9.20 malam, ia bermaksud pukul 9.20 malam.

"Tetapi Mohd. Rafizi sendiri telah menyulitkan isu Anwar 'hilang'. Disebabkan kenyataan beliau mahu membuktikan kehadiran Anwar, MIM juga dapat tahu bahawa Anwar turut 'hilang' dalam Facebook lebih dua jam (8.20-10.40 malam)," katanya dalam blog http://novandri.blogspot.com.

Menurut Mohd. Rafizi, berdasarkan waktu di Facebook itu (belum ditambah sejam) adalah mustahil 'aktor' yang melakukan hubungan seks tersebut adalah Anwar sebagaimana didakwa oleh banyak pihak.

Namun semalam, Anwar ketika diajukan soalan ke mana beliau 'menghilang' dalam tempoh lebih dua jam itu langsung tidak mahu menjawab sebaliknya mempersoalkan mengapa mereka yang bertanggungjawab mendedahkan rakaman video tersebut tidak ditahan oleh pihak berkuasa.

Sedangkan sebelum ini, ketika menafikan dirinya ialah pemimpin pembangkang dimaksudkan, Anwar dengan tegas memberitahu, dia berada bersama keluarganya dan sedang mengemas kini laman sosial Twitter dan Facebook ketika aksi seks itu berlangsung.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

Pemikiran perlu beranjak – Daim


TUN DaimTokoh Korporat


UTUSAN MALAYSIA: Apa pandangan Tun tentang transformasi ekonomi yang kini dilaksanakan kerajaan?

DAIM: Malaysia memang perlu melakukan transformasi kerana jika tidak berubah kita akan ketinggalan. Tidak payah saya terangkan tentang persaingan hebat dari negara-negara lain di Asia Timur dan India dalam bidang eksport, teknologi, pelaburan dan tenaga pekerja. Kita tidak boleh hanya menjual eksport yang nilai tambahnya yang rendah kerana negara lain boleh menjual barang sama pada harga lebih murah lagi. Barang dan perkhidmatan dihasilkan mesti berkualiti. Jika berkualiti, pembeli sanggup membayar harga lebih tinggi. Dengan cara ini baharu kita boleh mencapai pendapatan tinggi, bukan dengan cara hanya menaikkan gaji tanpa peningkatan produktiviti. Malaysia perlukan transformasi yang serius.

Bagaimanakah langkah seterusnya?

Transformasi yang dilakukan kerajaan sekarang ini perlu dipertingkatkan dan kita mesti bersedia menjalankan perubahan dan pembaikan yang bermakna – bukan superficial. Lebih penting adalah transformasi dalaman. Kita sepatutnya mewujudkan ekonomi lebih cekap tetapi pada masa yang sama memberi taraf hidup yang baik kepada rakyat. Isu subsidi dan harga barang, peranan sektor swasta dalam menjana kegiatan ekonomi, peranan kerajaan, suasana pelaburan untuk menggalakkan, mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang baik, ketelusan dan polisi pekerja asing adalah antara isu-isu transformasi yang perlu diperincikan.

Apakah perkara lain yang dilihat masih terpinggir dalam proses transformasi ini ?

Transformasi adalah proses yang memerlukan wawasan, perancangan, komitmen dan implementasi yang cekap dan segera. Saya berpendapat transformasi patut dijalankan mengikut keutamaan kerana kapasiti, sumber dan keupayaan adalah terhad. Beberapa perkara yang patut diberi keutamaan ialah bagaimana untuk mencapai pendapatan tinggi dengan cara stabil tanpa menyebabkan inflasi tinggi. Ramai mengeluh gaji tidak naik sejak sekian lama. Ada juga yang dibayar gaji sangat tinggi tetapi tidak setimpal dengan kelayakan dan pengalaman.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

Wang tidak boleh beli segala-galanya


PEGAWAI Jabatan Pengangkutan Jalan melakukan operasi pemeriksaan cermin gelap kenderaan. - Gambar hiasan

BAGI sesetengah orang, wang berkuasa menyelesaikan banyak masalah malah boleh melancarkan urusan dan jaminan untuk mencapai sesuatu matlamat.

Namun ramai tidak menyedari kuasa wang jugalah menyebabkan ramai tersungkur dan musnah kerananya. Wang juga menyebabkan kita silap membuat pilihan sehingga menjejaskan reputasi dan masa depan.

Satu kisah benar yang dipaparkan Jejak Rasuah minggu ini memberi iktibar bahawa wang tidak boleh membeli segala-galanya.

Seorang pengurus syarikat swasta yang dikenali sebagai Lim juga termasuk dalam golongan yang mempercayai wang boleh membantunya daripada disaman dalam satu operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Operasi yang dijalankan di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala Melaka bertujuan untuk mengesan pengguna cermin gelap melebihi had dan tanpa surat kebenaran.

Lim yang memandu kereta Mercedes-Benz berwarna hitam tidak menyangka keretanya ditahan kerana menggunakan cermin tingkap terlalu gelap.

Dia bagaimanapun dengan angkuh mendakwa merupakan orang kenamaan (VIP) dan memperlekehkan tindakan seorang anggota penguat kuasa JPJ yang dikenali sebagai Daud.

Daud dengan tenang meminta Lim menunjukkan sebarang surat kebenaran untuk menggunakan cermin gelap namun lelaki itu gagal berbuat demikian.

Berikutan itu, Daud mengeluarkan buku notis untuk dicatat maklumat peribadi Lim dan kesalahan yang dilakukannya, tetapi tidak semena-mena Lim merayu agar dia tidak disaman.

Lim yang ketika itu dalam perjalanan ke satu mesyuarat untuk menandatangani satu tender penting, mula terfikir untuk memberi rasuah kepada penguat kuasa tersebut agar urusannya tidak tergendala.

Tiba-tiba Lim menghulurkan wang berjumlah RM400 kepada Daud tetapi anggota JPJ itu enggan menerimanya.

Tanpa Lim sedari, tindakannya itu sedang diperhatikan oleh seorang pegawai SPRM, dikenali sebagai Ismail yang berada tidak jauh daripada mereka.

Ismail memperkenalkan dirinya sebagai pegawai SPRM kepada Lim dan menahannya kerana telah cuba menyogok Daud ketika menjalankan tugas supaya tidak disaman atas kesalahan menggunakan cermin gelap pada kenderaannya.

/hwa: utusan.com.my | um - 28/3/11

27 Mac 2011

Rakan FB 1Malaysia

Rakan FB 1Malaysia mendengar ucapan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam majlis "Mari Berjumpa, Mari Berhubung" di Hotel Prime City, Kluang hari ini.
/hwa: umno-online.com | 26 Mac 2011 - Foto : MediaUMNO

Mari Berjumpa Mari Berhubung

Rakan Facebook dari Johor bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengangkat tangan simbol 1Malaysia dalam majlis 'Mari Berjumpa Mari Berhubung' di Hotel Prime City, Kluang hari ini.
/hwa: umno-online.com } 26 Mac 2011 - Foto : MediaUMNO

200 Sami Hindu keluar PKR

PULAU PINANG 27 Mac - Kira-kira 200 ahli Persatuan Sami-Sami Hindu Pulau Pinang hari ini mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak mahu dikaitkan dengan video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut pengerusi persatuan itu, S. Dhinabalan, perbuatan terkutuk tersebut amat memalukan dan tidak boleh diterima oleh semua agama termasuk Hindu.

/hwa: utusan.com.my | mm - 27/3/11

Pilihan raya bukan tempat buat ujian - ketua puteri UMNO

SIBUYAU 27 Mac - Penduduk Sarawak tidak seharusnya menjadikan pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini, sebagai tempat membuat uji kaji dengan memberi peluang kepada pembangkang untuk memenangi sesuatu kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya tersebut, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata. jangan mempertaruhkan masa depan negeri Sarawak hanya semata-mata mahu mencuba sesuatu yang baru dalam politik pembangkang yang sebenarnya telah terbukti gagal untuk membawa apa-apa perubahan kepada rakyat.

"Pilihan raya bukan tempat mahu buat ujian, ujian... saya sebagai anak Sabah telah merasai bagaimana peritnya 10 tahun berada di bawah pemerintahan pembangkang, kesannya amat perit sekali iaitu Sabah yang suatu ketika antara negeri termaju selepas itu jatuh," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di sini hari ini.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 27/3/11

Ketabahan masyarakat Jepun dikagumi dunia - Raja Nazrin

IPOH 27 Mac - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini bertitah dunia kini menyaksikan kehebatan masyarakat Jepun yang tabah berdepan malapetaka sehingga menjadi inspirasi kepada semua.

"Kini, dunia sekali lagi memandang ke timur, kali ini bukan untuk menyaksikan kepakaran pembangunan dan teknologinya, namun ke dalam hati sanubari rakyat Jepun.

"Ini termasuk kekuatan dan ketabahan serta tanggungjawab mereka terhadap masyarakat. Kini, ketika berdepan malapetaka yang dahsyat, Jepun masih menjadi inspirasi kepada dunia.

"Penduduknya membuktikan bahawa manusia mampu menguasai naluri asas kehidupan demi kebaikan bersama. Mereka mempamerkan kecekalan, ketenangan, maruah dan kemurahan hati yang menjadi nilai budaya mereka selama ini,” titah baginda.

/hwa: utusan.com.my | bernama - 27/3/11