27 Disember 2012

Balak: Karpal Singh terlepas pandang

IPOH 24 Dis. - Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mempertahankan penglibatannya dalam syarikat Upayapadu Plantation Sdn. Bhd. yang mendapat projek pembalakan di Kelantan walaupun Pengerusi parti itu, Karpal Singh menganggap ia sesuatu yang serius.
Koo Ham menegaskan, cadangan supaya beliau dipanggil memberi penjelasan kepada CEC juga tidak sepatutnya timbul memandangkan isu berkenaan sudah dijelaskan kepada jawatankuasa tersebut melalui e-mel dua hari lalu.
E-mel itu katanya, turut dihantar kepada semua ahli CEC termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Karpal sendiri.
"Karpal terlepas pandang kerana saya telah memberi penjelasan mengenai perkara itu melalui e-mel kepada seluruh ahli CEC termasuk beliau dua hari lalu. Mungkin beliau membuat kenyataan media (semalam) kerana belum membaca penjelasan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Karpal semalam dilaporkan berkata, Koo Ham akan dipanggil untuk memberi penjelasan kepada CEC mengenai penglibatan beliau dalam sebuah syarikat yang terlibat dalam projek pembalakan di Kelantan.
Blog pisau.net sebelum ini mendakwa dua pemimpin kanan DAP negeri ditawarkan tanah bernilai lebih RM30 juta di Gua Musang, Kelantan sebagai syarat menerima wakil Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak pada 2008.
Pemberian tanah itu didakwa dilakukan dengan menggunakan modus operandi menubuhkan syarikat Upayapadu Plantation Sdn. Bhd. yang kemudian dianugerahkan tanah tersebut sebelum hak milik syarikat berkenaan diambil alih oleh Koo Ham dan Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming serta kroni DAP.
Selepas berteka-teki dalam isu tersebut, Koo Ham dan Kor Ming dalam satu sidang akhbar baru-baru ini mengakui mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Pulangkan semula pingat

SHAH ALAM 24 Dis. - Dua wakil rakyat daripada DAP dicabar memulangkan semula darjah kebesaran yang dikurniakan kepada mereka sekiranya merasakan prinsip parti itu lebih tinggi berbanding penghormatan serta pengiktirafan terhadap kedudukan raja-raja Melayu di negara ini.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, dua wakil rakyat pembangkang itu harus mengambil tindakan tersebut jika mereka menuruti 'titah perintah' Pengerusi DAP, Karpal Singh yang melarang mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen daripada parti itu menerima sebarang darjah kebesaran yang membawa gelaran daripada raja-raja Melayu.
Dua wakil rakyat DAP terbabit ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim dari Selangor dan ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham dari Perak.
"Walaupun Pengerusi DAP menyatakan prinsip parti itu tidak bermaksud untuk menghina raja-raja Melayu, namun, kita merasakan kenyataan itu sebenarnya membawa maksud sebaliknya.
"Prinsip menolak pengurniaan darjah kebesaran yang diberikan raja-raja Melayu sama seperti tidak mengiktiraf kedudukan institusi berkenaan yang mana kewujudannya adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Karpal Singh semalam yang menempelak Koo Ham dan Chang Khim kerana menerima darjah kebesaran yang dikurniakan raja-raja Melayu yang membawa gelaran Datuk.
Karpal melahirkan rasa tidak puas hatinya itu kerana kedua-dua pemimpin DAP berkenaan melanggar prinsip yang dipegang parti tersebut sejak pertengahan 1990-an yang tidak akan menerima sebarang gelaran ketika masih aktif dalam politik.
Malah, Karpal menegaskan DAP akan mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli parti itu yang bertindak menerima penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran daripada mana-mana raja Melayu selepas ini.
Koo Ham yang juga Pengerusi DAP Perak menerima gelaran Datuk pada 2008, manakala Chang Khim yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menerima gelaran berkenaan pada 2010.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi mempersoalkan prinsip DAP yang mencetuskan pelbagai persoalan mengenai pendirian sebenar parti itu terhadap kedudukan, penghormatan dan pengiktirafan mereka terhadap institusi raja-raja Melayu.
Katanya, sebarang penganugerahan darjah kebesaran adalah satu pengiktirafan daripada institusi raja- raja Melayu kepada mereka yang layak tidak kira sama ada mereka terdiri daripada ahli parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pegawai kerajaan serta individu daripada sektor swasta atau korporat.
"Jika Pengerusi DAP mengatakan pemimpin parti itu tidak boleh menerima darjah kebesaran daripada raja-raja Melayu sebagai sebahagian daripada prinsip parti, kita lihat banyak lagi prinsip-prinsip parti itu telah dilanggar namun tidak pula dijadikan isu.
"Lihat saja mengenai kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP (Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim) yang sebelum ini mendedahkan parti itu melanggar prinsip perjuangan demokrasi, integriti dan ketelusan apabila berkuasa di beberapa negeri termasuklah di Selangor.
"Apakah prinsip DAP dalam soal penerimaan darjah kebesaran itu merupakan agenda parti itu untuk menjadikan Malaysia sebagai republik, ini yang perlu diperjelaskan oleh kepimpinan DAP," katanya.

Koo Ham pertahan tindakan terima gelaran Datuk

IPOH 24 Dis. - Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini mempertahankan tindakannya menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk' walaupun ia didakwa melanggar polisi parti DAP yang tidak membenarkan pemimpinnya menerima gelaran ketika masih dalam politik.
Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas menegaskan, beliau percaya sesuatu darjah kebesaran atau gelaran diperolehi menerusi 'cara seseorang itu menjalani kehidupannya'.
Katanya, isu tersebut telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti sebelum beliau menerima darjah kebesaran itu daripada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2008.
Beliau mengakui ketika perbincangan itu Pengerusi DAP, Karpal Singh menentang penganugerahan tersebut.
"Karpal menentang tetapi majoriti anggota CEC berpendapat bahawa saya patut menerima anugerah itu dan isu ini tidak sepatutnya mengalihkan tumpuan daripada tugas lebih penting untuk mentadbir Perak dengan baik (pada masa itu).
"Saya harap Karpal menerima keputusan majoriti anggota CEC dan terus maju ke depan. Isu ini tidak seharusnya menyebabkan perpecahan dalam kalangan pimpinan parti dan jika Karpal bertegas dengan pandangannya, beliau perlu membawa perkara ini ke CEC untuk penilaian semula," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Karpal yang menempelak dua pemimpin parti itu, Koo Ham dan Datuk Teng Chang Khim kerana menerima darjah kebesaran dikurniakan raja-raja Melayu yang membawa gelaran Datuk.
Karpal melahirkan rasa tidak puas hatinya itu kerana kedua-dua pemimpin DAP berkenaan melanggar prinsip yang dipegang parti tersebut sejak pertengahan 1990-an iaitu tidak akan menerima sebarang gelaran ketika masih aktif dalam politik.
Koo Ham bagaimanapun menegaskan, pemberian anugerah tersebut bukan kerana permintaannya, sebaliknya atas kehendak dan budi bicara Sultan Perak.
"Saya ingin menyatakan bahawa semasa saya menjadi Exco kanan kerajaan negeri, saya tidak pernah mencari untuk diberikan sebarang anugerah atau gelaran.
"Namun demikian, Sultan Perak atas kehendak baginda sendiri menganugerahkan gelaran Datuk. Ini adalah hak dan budi bicara baginda untuk menganugerahkannya," katanya.

Amanat: Abdul Hadi terus membisu

Abdul Hadi Awang
KUALA TERENGGANU 24 Dis. - Ketika pelbagai pihak termasuk beberapa orang bekas ahli Pas mendesak agar Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik amanatnya yang mengkafirkan UMNO pada tahun 1981, Presiden Pas itu masih lagi membisu.
Setelah hampir dua minggu, Abdul Hadi masih tidak memberikan sebarang reaksi tentang isu itu dan menurut sumber, ketika ini Presiden Pas itu berada di luar negara atas urusan tertentu dan tidak diketahui bila akan pulang ke tanah air.
"Tok Guru Haji Hadi kini berada di luar negara, kalau tak silap di rantau Afrika dan saya tak pasti bila beliau akan balik ke Malaysia, mungkin lama lagi baru balik," kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Ditanya mengenai Amanat Haji Hadi yang kewujudannya telah mencetuskan konflik serta persengketaan berpanjangan di kalangan umat Islam khususnya antara pengikut Pas dan ahli UMNO, sumber itu menyifatkannya ia 'isu lama'.
Sumber itu menyatakan demikian sebaik diminta mengulas pelbagai reaksi daripada bekas ahli Pas yang membongkar ketaksuban kepada Amanat Haji Hadi itu sehingga membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam khususnya antara ahli Pas dan UMNO.
Selain itu, pelbagai pihak turut tampil mendesak agar Presiden Pas itu menarik balik amanatnya itu demi kekuatan ummah dan perpaduan orang Melayu.
Bekas ahli Pas seumur hidup, Zainon Ismail mendedahkan mengenai puluhan ribu ahli dan pengikut Pas dikesan masih berpegang teguh kepada Amanat Haji Hadi yang sehingga kini menganggap orang UMNO kafir.
Malah, Zainon yang juga dikenali sebagai C.N. Al-Afghani menegaskan, beliau tidak akan mendiamkan diri dalam membongkar kepincangan politik Pas biarpun diugut kehilangan kawan.
Sebaliknya, beliau yang menghasilkan buku Kafirkah Aku? berikrar akan terus berjuang memastikan Abdul Hadi menarik balik Amanat Haji Hadi pada 1981 yang memberi gambaran bahawa UMNO kafir.
Zainon seterusnya berharap agar Abdul Hadi sedar mengenai kesan perpecahan akibat amanat itu cukup besar antaranya berlaku Peristiwa Memali, solat dua imam dan bercerai-berai.

MAIK keluar surat rasmi pada 1981

KOTA BHARU 24 Dis. - Teguran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terhadap Amanat Haji Hadi yang dibuat menerusi surat rasmi pada 1981, adalah fatwa yang masih terpakai sehingga sekarang.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar) berkata, teguran itu dibuat hasil mesyuarat Jemaah Ulama MAIK yang dipengerusikan oleh Mufti Kelantan yang kelapan, Allahyarham Datuk Mohd. Noor Ibrahim bagi membincangkan isu kafir mengkafir sesama Islam.
Katanya, Jabatan Mufti telah melakukan tanggungjawab mengeluarkan fatwa dan nasihat manakala sebarang pelanggaran terhadap keputusan itu bergantung kepada pihak berkuasa atau Mahkamah Syariah untuk mengambil tindakan.
“Orang sering bertanya apa tindakan Jabatan Mufti apabila timbul sesuatu isu, tetapi mereka tidak faham kami hanya boleh mengeluarkan fatwa.
“Pembahagian tugas sudah dibahagikan kepada tiga iaitu badan yang mengeluarkan fatwa, badan penguat kuasa dan badan kehakiman, jadi soalan seharusnya ditanya kepada bahagian penguatkuasaan.
“Misalnya mufti menyatakan haram orang lelaki sengaja meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut. Apakah mufti yang seharusnya pergi menangkap? Ini bukan kerja mufti tetapi kerja penguat kuasa dan seterusnya mahkamah untuk menjatuhkan hukuman.
“Kini terserah kepada pihak dan jabatan yang dipertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang untuk bertindak dan menjalankan tugas mereka," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung keputusan mesyuarat Jemaah Ulama MAIK yang dikeluarkan 31 tahun lalu yang membincangkan masalah agama yang mengelirukan masyarakat ekoran amanat itu.
Keputusan fatwa Jemaah Ulama yang bertarikh 15 Jamadil Akhir 1401 Hijrah itu telah dibahas berpandukan kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab tauhid ulama muktabar dan mereka sebulat suara memutuskan bahawa kesemua lapan perkara yang dibincangkan tidak benar serta bertentangan dengan ajaran Islam dan sangat mendatangkan bahaya terhadap akidah dan perpaduan umat Islam.
Lapan perkara tersebut adalah tidak sah jika sembahyang di belakang orang UMNO, haram dimakan daging sembelihan orang UMNO, terfasakh pernikahan antara orang UMNO dengan bukan UMNO dan tidak sah akad nikah oleh imam daripada UMNO.
Turut dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah akad nikah yang dibuat oleh imam UMNO perlu diperbaharui, mayat orang UMNO tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan Islam, jenazah orang UMNO tidak boleh disembahyangkan kerana murtad dan orang UMNO tidak boleh melakukan sembahyang jenazah terhadap orang bukan UMNO serta orang UMNO tidak perlu sembahyang atau menunaikan haji kerana amalan mereka tidak diterima Islam.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamaruddin Mohd. Zin ketika dihubungi enggan memberi kenyataan atas alasan belum lagi membaca laporan yang dibuat Utusan Malaysia.
Berikut nama-nama Jemaah Ulama yang bermesyuarat pada 1981.
Datuk Ismail Yusoff
Timbalan Mufti Kerajaan Kelantan.
Abd. Aziz Abu Bakar
Pondok Terusan,Pasir Tumbuh.
Abul Ghani Awang Chik
Pondok Kubang Bemban,
Pasir Mas.
Mohamad Yusoff
383 Jalan Atas Banggol.Kota Bahru.
Hassan bin Haji Ismail
Maahad Muhammadi,Kota Baru.
Abdullah Abd. Rahman
Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.
Hasbullah Mohd. Hassan
Imam Besar Masjid Muhammadi.
Hassan Idris
Penolong Pengarah Yayasan
Sekolah Agama Kelantan
(JASA) Lundang, Kota Bahru.

22 Disember 2012

Bantuan Pentadbiran Persatuan Imam dan Bilal Masjid

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan replika cek bantuan pentadbiran Persatuan Imam dan Bilal Masjid kepada Pengerusi Persatuan Imam dan Bilal Terengganu, Othman Muda sewaktu majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri sempena lawatan kerja sehari ke Kuala Terengganu, hari ini. - Foto BERNAMA
Dec 22, 2012 8:13 pm

Nik Aziz celupar: Muhyiddin

KUALA TERENGGANU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bermulut celupar dan suka membuat fatwa sendiri apabila mengatakan orang Melayu yang menyokong UMNO sebagai mungkar.

Muhyiddin berkata, kenyataan itu adalah rentetan fatwa songsang pemimpin PAS itu setiap kali menjelang pilihan raya.

"Itu satu lagi bukti Nik Aziz mengeluarkan faktwa yang tidak mengikut hukum bila dia sebut kumpulan orang yang mungkar ni kafir, orang UMNO ni Firaun dan macam-macam lagi zalim dan sebagainya," katanya selepas mengadakan perjumpaan khas bersama pegawai, pengurusan dan profesional negeri Terengganu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Aziz dua hari lalu yang menegaskan bahawa beliau tidak akan bersara daripada politik selagi ada orang Melayu yang menyokong parti UMNO yang beliau anggap mungkar.

Muhyiddin berkata, kenyataan sedemikian yang dikeluarkan pemimpin PAS itu bertujuan mempengaruhi pengundi supaya tidak menyokong calon UMNO dan BN pada pilihan raya umum nanti.

"Saya bimbang pasal (perkara ini) bukan baru, Nik Aziz selalu dia celupar, lepas cakap yang tidak ada bersandarkan hukum, dia buat fatwa sendiri, banyak tokoh-tokoh ulamak mempertikaikannya," katanya.

Muhyiddin berkata, apa yang dilakukan Nik Aziz hanya bertujuan memecahbelahkan umat Islam; "Inilah antara sebab masalah perpecahan di kalangan umat Islam kerana oleh fatwa-fatwa songsang oleh pemimpin PAS," katanya.

Mengulas hukum hudud, Muhyiddin berkata, kerajaan BN tidak pernah menolak hukum Islam.

"Sebagai orang Islam, kita tidak menolak hukum Islam, namun ada beberapa fasa yang boleh dipertimbangkan, pendirian Umno, mereka nak buat hudud PAS dan bukannya hudud Islam, kalau buat tak betul susah kerana ia membabitkan isu melibatkan orang bukan Islam, banyak benda kena ambil kira," katanya. - BERNAMA
 
/hwa: bharian.com.my | 22/12/12

21 Disember 2012

Rali kereta ASEAN-India

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama pemimpin India, ASEAN mengibarkan bendera ketika sambutan rasmi peserta Rali kereta ASEAN-India di depan bangunan Vigyan Bhawan, New Delhi, hari ini. - Foto REUTERS
Dec 21, 2012 5:00 pm

Serius perangi jenayah - Najib

NAJIB Tun Razak bersama Hishammuddin Tun Hussein diberi penerangan oleh Koperal Rosmin Angsor (kanan) mengenai motosikal Kawasaki yang diguna Unit Rondaan Bermotosikal (URB) pada majlis pelancaran URB di padang awam BK 5 Bandar Kinrara, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUALA LUMPUR 19 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan komited dan serius memerangi segala perbuatan jenayah sekali gus memenuhi tuntutan rakyat yang sentiasa mahukan negara ini berada dalam keadaan aman dan selamat.
Perdana Menteri berkata, atas asas itu juga kerajaan telah memperkenalkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam Bajet 2013 dan sedia menambahkan peruntukan untuk memperluaskannya jika didapati program itu mampu mengurangkan kadar jenayah yang bermula hari ini.
Malah, beliau berkata, penambahan peruntukan itu tidak perlu menunggu pengumuman Bajet 2014 sebaliknya bajet sedia ada akan ditingkatkan kerana penentangan terhadap perbuatan jenayah menjadi salah satu keutamaan kepada kerajaan.
"Saya berharap rakyat memberi peluang kepada URB melakukan tugasan mereka. Selepas enam bulan, kita akan menilai semula program ini bagi melihat keberkesanannya.
"Sekiranya berkesan kita akan perluaskan program ini tanpa perlu tunggu Bajet 2014. Kita tambah bajet sedia ada. Ini tanda komitmen serta seriusnya kerajaan menentang perbuatan jenayah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran URB di padang awam BK 5 Bandar Kinrara, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Peringkat permulaan, sebanyak 560 daripada 1,000 unit motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 telah disediakan bagi program URB di empat buah negeri iaitu di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor.
Najib berkata, URB akan dilaksanakan dengan kaedah 'buddy system' secara tiga syif selama 24 jam di kawasan-kawasan perumahan serta kawasan sibuk seperti kawasan perniagaan, taman rekreasi, perindustrian dan sekolah.
Beliau berkata, motosikal tersebut turut dilengkapi dengan lampu siren serta alat perhubungan bagi memudahkan tugasan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil sikap dan pendirian bahawa usaha mengurangkan kadar jenayah hendaklah dilipatgandakan.
"Selain mengumumkan pelaksanaan URB, kerajaan di dalam Bajet 2013 akan menambahkan lagi jumlah anggota polis sebanyak 4,000 orang, pemasangan sebanyak 496 kamera litar tertutup (CCTV) di 25 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kerajaan juga akan menambah sukarelawan polis sehingga 10,000 orang selain memberi peruntukan sebanyak RM10,000 kepada persatuan penduduk. Semuanya ini merupakan fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) dengan usaha memerangi jenayah adalah salah satu daripadanya," ujarnya.
Dalam pada itu, Najib berkata, usaha memerangi jenayah perlu mendapat sokongan daripada rakyat serta komuniti setempat supaya usaha memerangi jenayah lebih berkesan.
"Hakikatnya, hasil usaha kerajaan di bawah NKRA dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) kadar jenayah dapat dikurangkan pada tahap paling minimum," katanya.

Pihak berwajib perlu siasat amanat Hadi - Shafie

JITRA 20 Dis. - Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihak berwajib perlu menyiasat dengan lebih teliti amanat Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1981 yang membawa kepada perpecahan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata siasatan tersebut perlu dilakukan dengan segera agar tidak berlaku kekeliruan dan keraguan di kalangan orang Islam itu sendiri.
"Maklumlah bila ada kepentingan politik kadang-kadang agama diperalat oleh pihak tertentu dan kita tak ingin perkara ini berlaku hingga timbul kekeliruan dan perpecahan umat Islam," katanya kepada pemberita hari ini.
Mohd Shafie berkata disebabkan amanat tersebutlah menjadikan orang Pas yang taksub sanggup tidak mahu solat berimamkan orang UMNO, tidak mahu makan masakan yang dimasak oleh UMNO dan ada yang sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Himpunan Perdana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kedah dan Pelancaran Jom P Karnival Niaga Napoh dekat sini. - BERNAMA

Jual tanah kaut untung segera?

Mohamad Fatmi Che Salleh (enam dari kanan) bersama sebahagian daripada penerima Skim Bantuan Sewa Rumah di Kota Bharu, semalam. 
*****
KOTA BHARU 19 Dis. - Ketika masih ramai rakyat miskin di Kota Bharu belum memiliki rumah, kerajaan Pas Kelantan pula didakwa mengaut keuntungan segera apabila menjual beberapa kawasan tanah kerajaan di daerah itu untuk pembangunan kondominium yang harganya mencecah sekurang-kurangnya RM250,000 seunit.
Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh mendakwa, tanah yang telah dijual kepada pemaju swasta itu adalah di Kampung Limau Manis, Kampung Puteh di Jalan Kuala Krai, tapak Pasar Lama MPKB dan tapak Pasar Kubang Kerian.
Dakwa beliau, kesemua tanah itu telah dirancang bagi pembangunan kondominium yang bertentangan dengan hasrat rakyat Kota Bharu yang masih dahagakan ihsan kerajaan negeri untuk memiliki rumah mampu milik.
"Semua tanah ini telah dijual, sekiranya kerajaan negeri tidak tahu nak guna apa tanah itu kenapa tidak bina rumah mampu milik untuk rakyat.
"Di Gua Musang, Kerajaan Pusat ada membina 1,000 unit rumah mampu milik dengan kos ratusan juta ringgit tetapi ia hanya dijual pada harga kira-kira RM35,000 seunit kepada rakyat berbanding nilai seunit kondominium iaitu sekurang-kurang RM250,000," dakwanya.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika menyampaikan Skim Bantuan Sewa Rumah sebanyak RM1,488 seorang kepada 120 rakyat Parlimen Kota Bharu yang memerlukan bantuan.
Mohamad Fatmi mendakwa, beliau telah menerima aduan daripada hampir 100 keluarga di Kampung Limau manis berhampiran pejabat Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa mereka telah diusir oleh pemaju kerana tempat itu akan dibangunkan kondominium.
"Sama juga yang berlaku di Kampung Putih di Jalan Kuala Krai apabila tapak tanah bengkel Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di situ telah dijual dan dipasang pagar serta papan iklan mengenai pembinaan kondominium juga telah dipasang.
"Inikah perjuangan kebajikan yang Pas lakukan atau inikah MPKB Bandar Raya Islam. Jika Pas terus memerintah maka selepas ini kita bolehlah melihat slogan MPKB bandar raya kondominium," ujar beliau.
Sementara itu, Mohamad Fatmi yakin tidak lama lagi kerajaan Pas Kelantan akan mengedarkan borang kepada rakyat yang mahukan rumah mampu milik memandangkan pilihan raya umum tidak lama lagi.
Justeru, beliau menasihatkan rakyat Kelantan supaya tidak terpengaruh sebaliknya membuat penilaian terbaik mengenai perbezaan kemampu

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121220/po_01/Jual-tanah-kaut-untung-segera#ixzz2FhGkLCGd
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa, 21/12/12

396 ahli Pas Semerak keluar parti, sertai UMNO

PASIR PUTEH 20 Dis. - Seramai 396 anggota tegar Pas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak di sini, menyertai UMNO kerana menyedari mereka terpedaya dengan amanat "Haji Hadi" yang mengkafirkan UMNO.
Antara mereka termasuk bekas Ketua Keselamatan Peti Undi Kampung Lembah, Che Ngah Mat Hassan, 80, dan bekas Ketua Keselamatan DUN Semerak, Ahmad Abu Bakar, 90, yang menyertai Pas sejak 30 tahun lepas.
"Kami mula terpengaruh dengan amanat Haji Hadi yang disampaikan oleh penceramah Pas menerusi masjid dan kempen pilihan raya dalam tempoh 30 tahun lePas," kata Che Ngah yang juga bekas anggota Pemuda Pas Tahan Lasak pada satu majlis penerangan Amanat Haji Hadi di Kampung Lembah di sini, hari ini.
Che Ngah berkata sekarang beliau dan rakan-rakannya sedar amanat itu hanya retorik politik dan bukan ajaran Islam sebenar, sehingga Pas sanggup mengeluarkan hukum kononnya tidak sah jika bersolat berimamkan orang UMNO dan terpaksa menikah dua kali (dinikahkan semula) jika dinikahkan oleh imam UMNO.
Beliau berkata Pas juga gagal menyediakan infrastruktur yang sempurna kepada rakyat seperti masjid, jalan dan jambatan sebagaimana yang dijanjikan walaupun diberi peluang memerintah Kelantan selama kira-kira 22 tahun.
Rakannya, Ahmad Abu Bakar berkata beliau merasa kesal dan bersalah kerana turut terpengaruh dengan amanat itu antara lain orang UMNO yang meninggal dunia tidak boleh dikebumikan di kawasan perkuburan orang Pas sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam di kampung.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata kini semakin ramai anggota dan penyokong Pas ingin menyertai UMNO kerana mereka sudah sedar dengan tipu daya Pas.
"Perkembangan terbaru itu luar biasa dan hasrat UMNO untuk menawan empat DUN dan Parlimen Pasir Puteh yang kini dikuasai Pas semakin cerah pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
Baru-baru ini pelbagai pihak mendesak Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepimpinan parti itu menarik balik dengan segera amanat yang dikeluarkan presiden Pas itu pada 1981 bagi memastikan masyarakat Melayu kembali bersatu demi kebaikan semua pihak. - BERNAMA

Imam enggan urus jenazah

ALOR SETAR 19 Dis. - Seorang bekas pemimpin Pemuda Pas hari ini menceritakan pengalamannya menyaksikan perpecahan ketara umat Islam termasuk tindakan seorang imam di kariahnya menolak untuk menguruskan jenazah 'orang UMNO' akibat terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi.
Shahidi Said, 41, memberitahu, arwah bapanya pernah memanggil seorang 'tok guru' yang kuat menyokong Pas untuk menguruskan satu jenazah sebagai menghormati jawatan lelaki tersebut sebagai imam di dalam kariah mereka di Pendang pada penghujung 90-an.
Bagaimanapun, katanya, imam berkenaan tidak datang tanpa alasan.
"Tidak lama kemudian, saya yang masih ahli Pas ketika itu ke rumah imam tersebut dan berbual mengenai ketidakhadirannya untuk menguruskan jenazah berkenaan.
"Imam itu memberitahu saya bahawa dia tidak pergi untuk menguruskan jenazah 'orang UMNO' dengan alasan mereka menolak al-Quran dan hadis. Ini adalah akibat kesan daripada Amanat Haji Hadi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bekas Ketua Pemuda Pas di salah satu cawangan Pas di Pendang selama empat tahun bermula 1998 itu menceritakan pengalamannya ketika mengulas mengenai pendedahan bekas aktivis dan penyokong tegar Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N al-Afghani bahawa puluhan ribu pengikut parti tersebut masih berpegang kepada Amanat Haji Hadi.
Shahidi yang lebih mesra dipanggil sebagai ustaz berkata, selepas keluar daripada Pas dia tidak lagi dibenarkan menghadiri kuliah atau pengajian kitab yang dianjurkan oleh parti itu meskipun pada mulanya mereka mengatakan tidak kisah jika dia menyertai UMNO.
Menurutnya, akibat kesan Amanat Haji Hadi juga, kebanyakan mereka menganggap orang yang menyokong UMNO menempah pintu neraka dan tanggapan itu masih wujud hingga hari ini.
Tambah beliau, semasa menjadi ahli Pas sejak 1997 termasuk berada dalam Lajnah Kebajikan Pas kawasan Pendang, pemikirannya banyak dipengaruhi dengan kenyataan dan ucapan pemimpin-pemimpin parti itu.
"Namun selepas saya menyertai UMNO dan berada di dalam parti, baru saya nampak kebenaran kerana perjuanganya adalah benar iaitu demi agama, bangsa dan negara," katanya.
Berikutan itu, Shahidi menyeru penyokong Pas agar kembali kepada landasan perjuangan Islam sebenar dengan tidak terlalu taksub dengan parti itu kerana ia tidak menguntungkan Islam dan orang Melayu.
Katanya, penyokong UMNO dan Pas perlu bersatu atas nama Islam supaya nasib orang Melayu dan Islam terbela di negara ini.

Pak Da rasa berdosa pengaruhi orang ramai

BESUT 19 Dis. - Abdul Manaf Idris (gambar), 65, dari Kampung Tanah Merah di sini merupakan salah seorang yang pernah mempengaruhi orang ramai untuk menyakini Amanat Haji Hadi bagi memastikan penyokong Pas terus setia dan agar orang UMNO meninggalkan parti mereka.
Lebih dikenali sebagai Pak Da, beliau yang akhirnya merasa berdosa dengan segala onar yang tercetus dalam masyarakat bertitik-tolak dengan kefahaman mengenai amanat itu, berusaha memohon maaf atas keterlanjurannya dan akan bersama membantu menyedarkan masyarakat sehingga akhir hayatnya.
''Semua ini berpunca daripada amanat itu, biarpun Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin terus menafikannya tetapi beliau dan pemimpin Pas lain sehingga kini tidak pernah berusaha memperbetulkan gejala berterusan yang menyesatkan akidah ini, sedangkan perjuangan Pas dikatakan suatu dakwah," katanya yang merupakan bekas Penyelaras Pas bagi Dewan Undangan negeri Jabi bagi mengulas buku Kafirkah Aku tulisan C.N al-Afgani.
Menurut Abdul Manaf, beliau bersyukur kerana kemenangan Pas di Terengganu dalam pilihan raya umum 1999 banyak memberi kesedaran kepada penyokong parti itu di negeri ini memahami bahawa perjuangan Islam yang dilaung-laungkan hanya satu khayalan.
Beliau menyifatkan kesempatan yang diberikan kepada Pas suatu rahmat kerana pengalaman itu membuka ruang untuk beliau mula memikirkan secara rasional setelah sekian lama terpengaruh dengan siri ceramah para pemimpin yang berkisar soal Amanat Haji Hadi.
''Saya mula merasakan ucapan mereka tidak menepati keimanan yang tulen. Selama ini saya mengikut sahaja. Lalu saya keluar daripada parti itu tanpa dipengaruhi atau dibeli oleh UMNO setelah mula melihat tindak-tanduk sebenar Pas.
''Pas di bawah barisan alternatif bersama DAP, PSRM dan PKR mengeluarkan manifesto bersama dan saya tercari-cari di mana kalimah membentuk negara Islam. Tiada.
''Apabila Pas menang pula di Terengganu dengan hasil menjanjikan bahawa apabila menang sebelum ayam berkokok, hudud akan dilaksanakan namun kemudiannya, Abdul Hadi berkata hudud cuma 0.0001 peratus dalam al-Quran," ujarnya.
Namun, katanya, beliau semakin menyedari perjuangan Pas melencong apabila para pemimpin Pas yang lain terutama Mursyidulnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup membela segala tindak-tanduk bukan Islam yang menjejaskan masa depan Islam demi menjaga kedudukan Pas.

Ariffin 'sogok' DAP - Idris

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Dakwaan Naib Pengerusi baharu DAP, Dr. Ariffin S.M. Omar bahawa monopoli kaum Melayu sebagai punca rasuah berleluasa dalam perkhidmatan awam disifatkan cubaan meraih sokongan DAP untuk dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ir. Idris Haron berkata, kenyataan berbaur rasis oleh Ariffin itu merupakan tindakan tidak berasas serta berprasangka buruk terhadap perkhidmatan awam.
Ujarnya, tindakan Ariffin itu boleh mengundang persepsi negatif pelbagai pihak yang boleh membawa kepada kemusnahan hubungan baik antara kaum di negara ini.
"Tanggapan terhadap sesetengah kaum atau pihak sebagai pemberi atau punca rasuah dalam satu organisasi merupakan satu tuduhan liar yang bertujuan mendapatkan kepercayaan pucuk pimpinan DAP.
"Beliau seharusnya berfikir secara menyeluruh, langkah terbaik bagi menangani masalah ini daripada terus berleluasa berbanding menuduh sesetengah pihak terlibat dalam gejala rasuah," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ariffin yang mendakwa monopoli kaum Melayu sebagai punca rasuah berleluasa dalam perkhidmatan awam.
Tambah Idris, rasuah adalah penyakit masyarakat yang tiada kaitan dengan kaum, malah tiada agama di dunia ini menghalalkan amalan terkutuk itu.

20 Disember 2012

Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepemimpinan Keamanan-Peace Leadership)

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepemimpinan Keamanan-Peace Leadership) kepada Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono (kiri) sempena majlis Konvokesyen Khas Universiti Utara Malaysia di Istana Negara di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
Dec 19, 2012 1:08 pm

Malaysia-Indonesia sepakat

NAJIB Tun Razak mendengar Susilo Bambang Yudhoyono berkata sesuatu semasa melihat buah-buahan tempatan sebelum majlis Jamuan Makan Malam di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi. - BERNAMA 
*****
PUTRAJAYA 18 Dis. - Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menyemak semula yuran agensi yang menguruskan pengambilan pembantu rumah dari negara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan tersebut bagi membolehkan yuran agensi tersebut diletakkan pada kadar lebih munasabah.
Katanya, semakan semula kadar yuran tersebut juga akan menyaksikan perjanjian itu dilaksanakan sepenuhnya.
''Perjanjian Lombok yang ditandatangani telah dipatuhi tetapi ada sedikit kesulitan dari segi yuran agensi yang agak tinggi," katanya dalam sidang akhbar selepas Rundingan Tahunan Kali Ke-9 Antara Malaysia dan Indonesia di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam rundingan itu, Najib mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono diikuti dengan mesyuarat bersama kedua-dua delegasi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menyasarkan perdagangan dua hala mencecah AS$30 bilion menjelang 2015.
Katanya, walaupun sasaran ini agak tinggi tetapi mencerminkan kesungguhan kedua-dua pemerintah untuk mencapai dan menggerakkan kerjasama ekonomi.
Menurutnya, trend perdagangan dua hala pada tahun ini memperlihatkan peningkatan AS$1 bilion dalam tempoh 10 bulan pertama kepada AS$15.9 bilion berbanding AS$14.9 bilion pada tahun sebelumnya.
Selain Malaysia muncul sebagai pelabur keenam terbesar di republik itu, kata Najib, jumlah pelabur dari Indonesia juga semakin meningkat dengan ketara terutama dalam bidang perhotelan.
Selain itu, Perdana Menteri juga mahu meningkatkan pelaburan dalam bidang strategik seperti perbankan dan kewangan di Indonesia.
''Pencapaian ekonomi Indonesia begitu positif terutama dari segi domestik, ekonomi yang sangat besar begitu juga peluang untuk syarikat Malaysia di Indonesia, justeru dalam masa sama kita akan buka peluang kepada pelabur Indonesia di Malaysia," katanya.
Mengulas mengenai persempadanan maritim, katanya, Malaysia dan Indonesia mahu usaha digerakkan lebih intensif termasuk mengenal pasti formula penyelesaian yang difikirkan sesuai dan boleh diterima rakyat kedua-dua negara.
''Ini penting dan apa-apa persetujuan kalau tidak berlandaskan persetujuan rakyat tidak boleh dilangsungkan," katanya.
Selain itu, kedua-dua negara melihat kerjasama yang cukup baik dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan pelancongan untuk dikembangkan secara komprehensif.
Sementara itu, Susilo dalam kenyataan balasnya berterima kasih kepada Malaysia yang menunjukkan komitmen tinggi dalam meningkatkan hubungan dua hala.
Katanya, Indonesia bersetuju untuk menyediakan ruang dan peluang yang lebih luas kepada Malaysia untuk melabur ke Indonesia dalam jangka masa panjang.
"Saya yakin dengan kesepakatan daripada kerjasama ini akan terus tumbuh dengan kukuh dan dalam masa sama memperkuat hubungan ekonomi tanpa melupakan hubungan rakyat dengan rakyat yang perlu ditingkatkan," katanya.
Selain itu, katanya, kedua-dua pihak turut membincangkan keperluan penambahbaikan untuk tenaga kerja dari Indonesia ke Malaysia di masa hadapan.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana menyediakan kemudahan pendidikan kepada anak-anak tenaga kerja Indonesia terutama di Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan pelajaran yang sempurna.
"Ini salah satu komitmen kita untuk menguruskan tenaga dengan baik," katanya.
Dalam pada itu menyentuh perjanjian Lombok, beliau berkata, pihaknya bersedia untuk berunding mencari penyelesaian yang berkesan dalam isu tersebut.

Amanat Hadi bukan sekadar soal politik

Presiden Pas Abdul Hadi Awang berucap pada Muktamar Pas di Kota Bharu baru-baru ini. - UTUSAN/Rosni Masri 
*****
MUNGKIN sekali lagi Pas tidak akan memandang serius isu 'Amanat Haji Hadi' yang kembali diperkatakan selepas seorang bekas ahli seumur hidup, C.N Al-Afghani atau Zainon Ismail menghasilkan buku berjudul Kafirkah Aku? Apatah lagi mereka menganggap amanat itu adalah cerita lama kerana ia dilafazkan 31 tahun lalu.
Namun begitu satu perkara yang tidak harus dilupakan amanat tersebut bukan satu ucapan politik yang boleh dilupakan begitu sahaja, ia bukan sekadar berkaitan dengan usaha meraih sokongan dalam pilihan raya tetapi jauh daripada itu ia melibatkan soal isu agama dan akidah.
'Bencana' yang hadir akibat amanat itu, bukan soal bila ia dihasilkan tetapi apakah kesannya. Inilah persoalan yang seharusnya dipertimbangkan dengan serius oleh Pas jika benar mereka memperjuangkan Islam.
Ini memandangkan sehingga ke hari ini, sama ada Pas mahu mengakui atau tidak, kesan akibat amanat itu ia masih mewujudkan perpecahan yang cukup ketara dalam soal persaudaraan Islam melibatkan antara penyokong Pas dan UMNO.
Apatah lagi kita harus faham dalam amanat itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini merupakan Presiden Pas menyatakan, ''Saudara-saudari, percayalah kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang BN bukan kerana nama BN. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan Perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliah."
Ini bermaksud, biar pun amanat itu dilafazkan 31 tahun lalu namun apa yang diperkatakan dalam amanat berkenaan masih relevan jika mengikut tafsiran penyokong-penyokong tegar Pas memandangkan sehingga ke hari ini, UMNO dan BN tidak pernah mengubah apa-apa dalam Perlembagaan negara.
Oleh itu persoalannya jika Perlembagaan tersebut masih kekal, apakah kepimpinan Pas begitu yakin bahawa tidak ada dalam kalangan pengikutnya tidak lagi berpegang kepada amanat tersebut yang antara lain turut menyatakan, ''perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam…"
Bukankah kerana pegangan inilah yang menjadi Pas boleh bertahan sehingga ke hari ini - ramai yang menyokong Pas kerana mereka beranggapan perjuangan dalam Pas adalah suci dan murni kerana ia demi menegakkan Islam.
Selain itu, bagaimana pula dengan kejadian perpecahan ummah akibat perbezaan politik yang menyaksikan di Terengganu masih wujud 11 masjid masih solat berasingan, masih ada kubur orang Islam daripada Pas dan UMNO dipisahkan serta masih berlaku perceraian akibat fahaman politik berbeza.
Malahan kalau pemimpin-pemimpin Pas menganggap isu amanat itu bukan isu baru dan sudah basi, kenapakah mereka sanggup membiarkan berlakunya majlis mendoakan kehancuran UMNO dan BN? Kenapakah masih terjadi ada khatib yang membaca khutbah menuduh kerajaan BN zalim dan mendoakan kehancuran parti tersebut?
Kita juga tidak harus meminggirkan fakta bahawa sehingga ke hari ini, masih berlaku tafsiran bahawa sembelihan orang UMNO haram untuk dimakan sehingga seperti mana diceritakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, sebesen ayam sembelihan orang UMNO dibuang.
Oleh itu, dalam keterujaan Pas memburu kuasa bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, mereka tidak harus melihat isu amanat ini sengaja ditimbulkan menjelang pilihan raya. C.N Al-Afghani menulis buku itu dengan penuh ikhlas kerana kita percaya bukan beliau seorang sahaja masih dihantui oleh amanat tersebut tetapi juga masih terdapat ribuan lagi yang berpegang kepada amanat berkenaan.
Dalam memperkatakan soal ini, kita tidak mempertikaikan bahawa Abdul Hadi sendiri mungkin sudah tidak berpegang kepada amanat tersebut tetapi beliau perlu bertanggungjawab untuk membuat pengisytiharan terbuka menarik semula amanat itu dan sekali gus meminta ahli-ahli Pas supaya tidak lagi memandang serong kepada pemimpin dan ahli UMNO sebagai seorang Islam.
Abdul Hadi harus ada keberanian dalam soal ini kerana isu 'Amanat Haji Hadi' adalah satu isu besar yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Bayangkanlah dalam tempoh berkenaan berapa ramai umat Islam yang berbeza fahaman politik kerana menyokong UMNO atau Pas berbalah sesama sendiri? Berapa ramai yang bercerai-berai? Berapa banyak nyawa yang terkorban kerana percaya perjuangan menentang kerajaan BN adalah jihad?
Justeru ulama-ulama dalam Pas perlu berjiwa besar untuk menasihatkan Abdul Hadi untuk memenuhi gesaan para alim ulama termasuk mufti yang menyatakan wajib bagi Presiden Pas itu menarik balik amanat berkenaan.
Fahamilah, kelahiran buku Kafirkah Aku? bukan bermotif politik apatah lagi mahu menghalang Pas mencapai impian ke Putrajaya, tetapi demi untuk menyelamatkan umat Islam daripada terus berpecah belah kerana 'aku penyokong Pas, kau penyokong UMNO.'
Ia kerana seperti mana kata, C.N Al-Afghani dalam buku itu, ''…memang Pas telah lama tinggalkan isu kafir mengkafir ini, masalahnya sekarang doktrin terhadap ahli masih kukuh terpahat di dada kami."
Doktrin? Inilah persoalan yang dibimbangi kerana ketaksuban kepada perjuangan Pas apatah lagi dengan tiada sebarang usaha menarik balik amanat itu ia memungkinkan sesetengah ahli Pas di peringkat akar umbi masih mempercayai bahawa UMNO adalah musuh yang perlu diperangi biar pun mereka adalah terdiri daripada umat Islam yang melafazkan kalimah syahadah yang sama.
Mungkin Pas bimbang jika Abdul Hadi membuat pengisytiharan menarik balik amanat itu ia akan menunjukkan sememangnya amanat tersebut salah tetapi bukan soal pertimbangan politik yang harus diberikan keutamaan tetapi soal akidah dan kesejahteraan umat Islam di negara ini.
Tidak salah untuk Pas berusaha meraih undi umat Islam dengan terus menguar-uarkan bahawa mereka tetap akan menegakkan perjuangan Islam biar pun kita memahami penentangan kuat daripada sekutunya DAP, tetapi laksanakan dulu tanggungjawab sebagai pemimpin dan paling penting hamba Allah di alam fana ini dengan berusaha memperbetulkan sebarang kekhilafan yang selama ini menyebabkan selama berpuluh-puluh tahun pemimpin dan ahli-ahli UMNO dianggap oleh sesetengah penyokong Pas yang taksub bagaikan musuh kafir yang perlu diperangi habis-habisan.
Kita percaya Abdul Hadi sebagai seorang yang bertaraf ulama amat memahami yang mana harus diutamakan dan kita berdoa agar Allah memberi hidayah serta kekuatan kepada beliau untuk menyahut seruan C.N Al-Afghani iaitu, ''Datuk Seri harus tarik balik amanat tersebut dan isytihar secara terbuka bahawa UMNO tidak kafir di sisi Islam."
Abdul Hadi dan kepimpinan Pas perlu memahami bahawa dalam amalan demokrasi tidak salah berlumba-lumba untuk meraih sokongan rakyat tetapi biarlah ia dilakukan secara berhemah dan mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam, janganlah kerana ketaksuban dan keghairahan untuk merebut kuasa, perpaduan umat Islam menjadi pertaruhan!
Ia kerana jika umat Islam berpecah belah dan berbalah sesama sendiri apatah lagi kerana masih berpegang kepada sebuah amanat usang, percayalah pemimpin yang terlibat bukan sahaja perlu bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat di dunia tetapi yang paling penting menjawab di hadapan Allah di akhirat kelak.

DAP terbukti cauvinis - TPM

MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan petugas setibanya beliau untuk taklimat projek penempatan semula rumah penduduk yang terlibat dengan projek Rapid Pengerang di Kota Tinggi, Johor, semalam. - BERNAMA
*****
KOTA TINGGI 18 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar kenyataan Naib Pengerusi baharu DAP, Dr. Ariffin S.M. Omar yang mendakwa rasuah berpunca daripada monopoli kaum Melayu dalam perkhidmatan awam.
Sambil menyifatkan kenyataan Dr. Ariffin yang mengatakan orang Melayu sebagai paling korup adalah satu perbuatan tidak bijak dan sangat tidak bertanggungjawab sekali gus jelas menunjukkan parti itu cauvinis dan perkauman.
"Bila kita sebut (cauvinis dan perkauman), DAP tak mengaku tetapi kenyataan dia menuduh orang Melayu sebagai paling korup menunjukkan ternyata benar mereka bersikap demikian.
"Kesatuan perkhidmatan kerajaan dan lain-lain sudah tentu akan merasa kecewa. Tetapi sudah memang 'fiil' begitu, kalau parti itu cauvinis, datang dari mulut siapa pun di kalangan pemimpin mereka menjelmakan hakikat sebenar," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Ariffin mengenai monopoli kaum Melayu sebagai punca rasuah berleluasa dalam perkhidmatan awam yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, adalah tidak mengejutkan dakwaan itu dibuat oleh seorang Melayu yang datang dari DAP dan menunjukkan Ariffin tidak tahu kedudukannya di dalam parti itu.
Kata Muhyiddin, DAP bukan untuk orang Melayu kerana hakikat sebenar terserlah melalui proses pemilihan parti itu baru-baru ini sehingga penasihat parti itu, Lim Kit Siang sendiri mengakui kegagalan tersebut.
"Dia (Ariffin) sudah hilang identiti, jadi bila buka mulut sama sahaja dengan Kit Siang, Guan Eng dan serupa Karpal Singh. (Timbalan Pengerusi DAP Johor) Ahmad Ton pun serupa juga kerana tidak tahu arah tuju perjuangan.
"Mungkin Kit Siang rasa apologetik (mengenai kedudukan Melayu dalam DAP) tetapi sebenarnya mengakui parti itu tidak mengira kepentingan politik, bersikap perkauman dan tidak sesuai untuk orang Melayu memperjuang nasib bangsa mereka," katanya.
Justeru, Muhyiddin menegaskan orang Melayu dalam DAP patut sedar penglibatan mereka adalah sia-sia kerana tidak diberi pengiktirafan oleh parti tersebut.
Sementara itu di PUTRAJAYA, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, mesej jelas daripada keputusan CEC itu menunjukkan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP hanya retorik.
"Apa yang berlaku dalam parti itu sekarang ialah mereka tidak terjemahkan perkara yang dilaung-laungkan dalam ceramah dan sebagainya iaitu DAP untuk semua rakyat Malaysia.
"Mereka kata benda lain tetapi lakukan perkara sebaliknya, ini membuktikan DAP tidak menunjukkan hakikat sebenar," katanya mengulas keputusan pemilihan CEC DAP itu yang langsung tidak memilih calon dari Sabah dan Sarawak tetapi cuba tampil sebagai parti pelbagai kaum.
Menurut Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, parti yang dianggap demokratik itu juga gagal membuat pembaharuan dengan terus memilih ahli keluarga tertentu untuk mengisi jawatan tertinggi.
"Dia punya sistem kata demokratik tetapi tiada siapa di sana kecuali keluarga Kit Siang dan Karpal Singh sahaja, inilah realiti yang harus dilihat dalam pakatan pembangkang ini.
"Jangan kita terikut dengan cara mereka yang hanya berceramah dan berjanji macam-macam tapi realitinya tidak berlaku," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan dengan sikap cauvinis yang diterjemahkan DAP dalam pemilihan itu.
"Kalau UMNO, MCA dan MIC kita faham memang parti-parti ini khusus untuk kaum masing-masing tetapi DAP yang melibatkan banyak masyarakat tetapi bersikap demikian sukar difahami," katanya.

Dr. Rani cuba cetus provokasi

SHAH ALAM 18 Dis. - Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab apabila dilihat cuba mencetuskan provokasi dalam kalangan rakyat dengan memutar-belit titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kononnya baginda membenci UMNO.
Setiausaha Agung Jalur Tiga (Jati), Norman Toha berkata, tindakan Abdul Rani menerusi satu artikel yang disiarkan oleh harakahdaily.net itu tidak boleh dimaafkan kerana beliau dilihat telah mengaitkan Sultan Selangor dengan parti politik selain merendah-rendahkan kedudukan baginda.
Malah, kata beliau, Abdul Rani dalam kenyataannya itu dilihat seolah-olah mendakwa Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan pihak yang terbabit di istana kononnya pendokong kuat UMNO.
"Baginda adalah Ketua Agama Islam dan payung kepada seluruh rakyat di negeri ini. Justeru, dalam menyatakan nasihat melibatkan sesuatu perkara, baginda melihat dari semua sudut tanpa memihak mana-mana parti politik.
"Selain menerima nasihat daripada badan-badan di bawah kelolaan baginda, Sultan Selangor juga akan meminta pandangan pakar-pakar rujuk dalam bidang berkaitan.
"Saya melihat kenyataan Abdul Rani itu lebih berunsur provokatif dengan memberi gambaran kepada rakyat umum kononnya baginda adalah 'pak turut' kepada Pengerusi MAIS, Pengarah JAIS, SUK serta penasihat-penasihat baginda," katanya yang juga bekas Setiausaha Pas Selangor dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 12 Disember lalu, Abdul Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Meru dalam kenyataan yang disiarkan harakahdaily.net meminta semua pihak, khususnya UMNO supaya tidak cuba 'mempengaruhi' Sultan Selangor kerana akan menyebabkan baginda mendapat persepsi negatif.
Malah Abdul Rani turut meminta pihak yang menasihati sultan sama ada di istana, dalam MAIS, JAIS atau SUK supaya berhati-hati dan jangan sekali-kali mencemar kemuliaan baginda dengan agenda UMNO.
Abdul Rani turut menyatakan kononnya pernah berlaku krisis di Selangor apabila Pengerusi MAIS, Pengarah JAIS dan sebagainya, yang menasihati sultan dalam hal ehwal agama, secara terang-terangan menyokong UMNO dan melakukan tindakan yang bercanggah dengan kerajaan negeri.