30 Mac 2010

Choo Keong selar Little Napoleon PKR

UM - 30/03/10
KUALA LUMPUR 29 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang bercelaru walaupun secara konsisten dinafikan. Ironinya, bukan pihak lain yang menghuru-harakan mereka tetapi kalangan mereka sendiri yang berbuat demikian.
Terbaru, Wee Choo Keong (PKR- Wangsa Maju) secara terbuka di Dewan Rakyat hari ini menyatakan perasaan dukacitanya dengan perbuatan Little Napoleon di kalangan pembangkang yang cukup pintar iaitu melempar batu dan cekap pula menyembunyikan tangan.
Segelintir mereka itu, katanya, sanggup melakukan apa sahaja termasuk membuat pelbagai fitnah dan penipuan seperti menipu gambar dengan menggunakan teknik super imposed dan diterbitkan dalam Internet untuk mengaibkan tokoh politik negara.
"Tindakan fitnah ini telah diakui oleh Little Napoleon, tetapi tiada tindakan diambil terhadap dia. Sebaliknya tindakan disiplin diambil terhadap pemimpin lain atas perkara remeh-temeh.
"Jika mereka dibenar melakukan perkara sedemikian atas alasan kepentingan politik, tiada lagi perkara di dunia ini yang akan menghentikan mereka daripada menghancurkan negara ini," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Choo Keong, beliau juga amat kesal dengan tingkah laku Little Napoleon terhadap isu-isu yang dibangkitkan terhadap peristiwa 16 September atau perkara lain sama ada dalam atau luar Parlimen, yang langsung tidak dijawab oleh mereka.
Sebaliknya, kata beliau, jawapan Little Napoleon adalah merupakan serangan peribadi sahaja dengan harapan segalanya akan kembali pulih seperti biasa dan masyarakat sekali lagi diperbodohkan oleh mereka.
"Little Napoleon, nasihat saya adalah, jika kamu tidak mempunyai jawapan terhadap segala isu adalah lebih baik bersembunyi sahaja kerana Silence is Golden (Diam amat bernilai).
"Saya juga berharap Little Napoleon tersebut jangan memaksa saya untuk membongkarkan politics of deceit (politik penipuan), politics of expediencies (politik kewajaran) mereka dan politik cakap tidak serupa bikin atau politik bermusim," katanya.
Choo Keong berharap Little Napoleon menghentikan kegiatan politik kotor dan fitnah-memfitnah mereka melalui Internet atau medium lain untuk satu matlamat politik sempit yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kepentingan rakyat.
"Jika kegiatan ini berterusan maka parti kita akan hancur, perjuangan akan jadi sia-sia sahaja dan dua sistem parti akan menjadi bayangan dan impian semata-mata," katanya.
/hwa.utusan.com.my

Sidang DUN Perak berjalan lancar

Bernama - 30/03/2010 10:27am
IPOH 30 Mac - Mesyuarat pertama penggal ketiga persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berjalan lancar dengan istiadat pembukaan berlangsung di pekarangan bangunan Perak Darul Ridzwan pagi ini.
Istiadat bermula pada kira-kira pukul 9.35 pagi dengan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormat Pasukan Gerak Am (PGA).
Sebelum itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Speaker Datuk R. Ganesan serta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional, Bebas dan parti pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Pas mula tiba pada pukul 8.50 pagi dan menunggu di tempat masing-masing.
Kesemua 28 ADUN pembangkang tiba secara berkumpulan terlebih dahulu, diikuti Ganesan pada pukul 9.15 pagi dan Dr. Zambry 10 minit kemudian.
Suasana sekitar kawasan berkenaan berjalan seperti biasa meskipun dikawal ketat oleh polis yang mengadakan beberapa sekatan jalan masuk menuju kawasan berkenaan.
/hwa-utusan.com.my

28 Mac 2010

Senarai pimpinan baru MCA

Bernama - 2010/03/28
KUALA LUMPUR: Berikut ialah senarai pimpinan baru MCA selepas pemilihan parti hari ini:
PRESIDEN
1. Datuk Seri Dr Chua Soi Lek - 901 undi
TIMBALAN PRESIDEN
1. Datuk Seri Liow Tiong Lai - 1,171 undi
NAIB PRESIDEN
1. Datuk Seri Ng Yen Yen (1,528 undi)
2. Datuk Donald Lim Siang Chai (1,469)
3. Datuk Chor Chee Heung (1,202)
4. Gan Ping Sieu (1,202)
ANGGOTA JAWATANKUASA PUSAT (CC)
1. Datuk Lee Chee Leong (1,430 undi)
2. Dr Hou Kok Chung (1,312)
3. Senator Heng Seai Kie (1,267)
4. Datuk Wee Jeck Seng (1,175)
5. Toh Chin Yaw (1,142)
6. Tee Siew Kiong (1,141)
7. Datuk Gan Tian Loo (1,117)
8. Datuk Seri Tan Chai Ho (1,114)
9. Datuk Seri Ong Ka Chuan (1,104)
10. Lee Wei Kiat (1,100)
11. Loh Seng Kok (1,086)
12. Hoh Khai Mun (1,077)
13. Datuk Liew Yuen Keong (1,059)
14. Tan Cheng Liang (1,054)
15. Koh Nai Kwong (1,040)
16. Dr Por Choo Chor (1,037)
17. Tan Ken Ten (999)
18. Kong Sing Chu (981)
19. Datuk Chong Itt Chew (975)
20. Yoo Wei How (974)
21. Tan Ah Eng (969)
22. Wong Koon Mun (953)
23. Datuk Ti Lian Ker (929)
24. Teh Kim Poo (864)
25. Chuah Poh Khiang (851)
/hwa-bharian.com.my

Nik Aziz subahat cubaan jatuhkan kerajaan: Dr M

Oleh Mohd Azis Ngah dan Khairul Azran Hussin
bminggu@bharian.com.my 2010/03/28

Tindakan selar Zahrain bukti Mursyidul Am Pas sokong Anwar

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai bersubahat dalam isu cubaan menjatuhkan kerajaan melalui rampasan kuasa 16 September 2008 kerana melarang sebarang pendedahan mengenainya dibuat kepada umum.

Bekas Perdana Menteri berkata, pendirian Mursyidul Am Pas itu dilihat jelas melalui tindakannya menyelar Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang juga bekas rakan baik Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membongkar rancangan jahat berkenaan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Katanya, tindakan Nik Aziz itu menggambarkan beliau sebenarnya tahu mengenai rancangan berkenaan dan menyokong tindakan Anwar dalam usaha menawan Putrajaya.

“Nik Aziz kata Zahrain tak patut dedahkan perbuatan jahat yang dilakukan... itu tidak baik, itu subahat dan jahat, sedangkan kita tahu semua itu (rancangan)... kira macam subahatlah.

“Beliau sokong supaya jangan dedahkan perihal (rancangan) Anwar. Itulah (sebab) dia subahat dengan Anwar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa Kali Pertama 2010 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

Kira-kira 10,000 ahli Perkasa dari seluruh negara menghadiri perhimpunan itu. Hadir sama, badan bukan kerajaan (NGO) itu, Datuk Ibrahim Ali.

Dr Mahathir mengulas mengenai budaya berbohong dan fitnah yang kini dikatakan semakin menular dalam Pakatan Rakyat.

Zahrain yang menjadi wakil rakyat Bebas selepas keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat pendedahan dengan mendakwa Anwar berbohong kononnya Yang di-Pertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera merestui rancangan pembangkang mengambil alih kuasa pada 16 September 2008.

Mengulas pandangan serong sesetengah pihak berhubung pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah syariah, Dr Mahathir berkata, perkara itu patut dikaji semula.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menyifatkan tempoh tahun pertama Datuk Seri Najib Razak memerintah sebagai Perdana Menteri jauh lebih baik daripada pemimpin sebelum ini dan bersifat lebih liberal dalam tindakannya.

“Dia ada idea dan harapan saya beliau dapat melaksanakan dengan lebih baik. Saya juga tidak lagi dilarang untuk berucap di mana-mana, sesiapa saja boleh jemput,” katanya berseloroh.
/hwa-bharian.com.my

Zahrain hantar notis tuntutan kepada Guan Eng

ARKIB : UM - 26/03/2010
KUALA LUMPUR 25 Mac - Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (gambar) akan menghantar notis tuntutan terhadap Lim Guan Eng esok berhubung dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang itu bahawa beliau terlibat dalam urusan tender projek Bukit Jambul Golf Resort.
Beliau berkata, notis tersebut yang merupakan langkah pertama dalam tindakan undang-undang akan dihantar peguamnya, Hanif Khatri Abdullah ke pejabat Guan Eng di Pulau Pinang esok dan Setiausaha Agung DAP itu perlu menjawabnya dalam masa tujuh hari.
"Peguam saya beritahu bahawa saya ada kes. Jadi saya sudah minta peguam saya menyerahkan notis tuntutan kepada Guan Eng dan selepas itu kita tengok apa maklum balas," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum ini Guan Eng telah membuat kenyataan bahawa Zahrain keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana gagal mendapatkan kelulusan tender bernilai RM40 juta untuk mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort di Pulau Pinang menerusi sebuah syarikat RM2.
Zahrain berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sama sekiranya terdapat mana-mana pihak yang terus-menerus membuat fitnah terhadapnya.
"Perbuatan ini perlu dihentikan jika tidak ia akan menjadi budaya yang kotor. Sekarang ini pun ia seperti sudah menjadi lumrah yang akan merosakkan negara," katanya.
Menurut Zahrain, beliau akan terus membersihkan namanya daripada tuduhan fitnah yang tidak berasas itu.
/hwa-utusan.

Polis siasat pendedahan Zulkifli Noordin

ARKIB : UM - 26/03/2010
KUALA LUMPUR 25 Mac - Polis akan siasat pendedahan mengejut yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin semalam mengenai ganjaran lumayan yang ditawarkan pihak tertentu untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) berkata, ini kerana pendedahan Zulkifli itu merupakan maklumat baru kepada polis dan orang ramai, justeru, ia perlu disiasat kesahihannya.
"Sudah tentu apabila ada maklumat baru yang diperoleh polis, maka siasatan akan dijalankan sama ada ia benar atau sebaliknya.
"Polis akan mengenal pasti jika ada mana-mana pihak atau individu yang boleh tampil mengesahkan maklumat yang didedahkan itu," katanya pada sidang akhbar selepas sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Semalam pada sidang Dewan Rakyat, Zulkifli ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong mendakwa, beliau diberi tugasan oleh pihak tertentu yang bagaimanapun tidak didedahkan identitinya, untuk memfitnah Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Antaranya, beliau diminta untuk mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isteri selain membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Kejutan berterusan di Parlimen apabila wakil rakyat Bebas itu membuat satu lagi pendedahan bahawa dia juga diminta mengaitkan anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung satu kes pembunuhan pada tahun 2004.
Pendedahan Zulkifli telah menggemparkan arena politik negara kerana ia hadir hanya seminggu selepas bekas rakan partinya iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memecahkan tembelang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008.
/hwa-utusan.

Anwar melenting diajukan soalan

ARKIB : UM - 26/03/2010
KUALA LUMPUR 25 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melenting apabila ditanya tentang dakwaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tentang usaha mengaitkan Perdana Menteri dengan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Malah ketua pembangkang itu menuduh wartawan yang bertanyakan soalan tersebut telah dibayar oleh pihak tertentu.
Anwar yang dikerumuni wartawan sebaik sahaja keluar dari Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, beliau tidak perlu menjawab soalan itu sebaliknya menegaskan dakwaan tersebut sepatutnya dijawab sendiri oleh Zulkifli.
"Kenapa awak nak tanya saya? Lebih baik awak tanya Zulkifli sendiri berhubung dakwaan itu, dia tidak sebut nama saya semasa membahaskan ucapannya di Parlimen semalam.
"Berapa banyak dakwaan dia pun saya tak tahu. Anda sebagai wartawan sepatutnya bertanya kepada Zulkifli bukan bertanya kepada saya.
"Pertanyaan ini tidak mematuhi etika kewartawanan. Siapa yang membayar anda untuk menanyakan soalan ini?" katanya ketika ditemui selepas sebutan kes liwatnya terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Semalam, Zulkifli semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat membuat pendedahan yang beliau pernah diberi tawaran supaya mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya.
Tanpa mendedahkan pihak terlibat, Zulkifli berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isterinya selain diminta membuat surat akuan bersumpah Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Sementara itu, pada Rabu minggu lalu, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) juga menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila 'memecahkan tembelang' Anwar berhubung rancangan mengambil alih kerajaan Pusat pada 16 September 2008.
/hwa-utusan.

Pendedahan Zulkifli: Ezam tawar bantu polis siasat

ARKIB : UM - 27/03/2010
KULIM 27 Mac – Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor menawarkan diri untuk membantu polis menyiasat pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berhubung tawaran ganjaran lumayan pihak tertentu bagi memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Mohamad Ezam berkata, beliau sedia dipanggil oleh pihak polis pada bila-bila masa bagi tujuan itu.
“Pendedahan ini suatu dakwaan serius tapi tidak memeranjatkan kerana semasa saya masih bersama PKR isu untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu telahpun berlaku,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Mohamad Ezam berkata, beliau pernah meminta pihak yang berkenaan agar mengemukakan bukti dan fakta berhubung isu itu, namun diberikan arahan yang berbunyi: “kamu bedallah dulu”.
"Saya masih ingat lagi kata-katanya (pihak berkenaan) itu,” katanya.
/hwa-Bernama.

15 Mac 2010

Taraf Ketua Pembangkang jadi perhatian

Oleh Kamal Ahmad
BH - 2010/03/15
Sidang Dewan Rakyat hari ini perlihat pemimpin pembangkang berdepan wakil BebasMESYUARAT pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 dijadual dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada jam 10 pagi hari ini.
Upacara dalam Dewan Rakyat kemudian selesai selepas baginda menyampaikan titah perasmian dan esok wakil rakyat akan mula membahaskan titah ucapan itu. Suasana hari ini kemudian tertumpu di luar dewan khususnya di lobi Parlimen. Di ruang rehat Ahli Parlimen, menyaksikan mereka minum teh tarik bersama selain ruang di kantin awam yang pasti riuh. Hari ini tiada perbahasan dan tiada pertanyaan untuk dijawab secara lisan oleh menteri atau timbalannya.
Pastinya, esok akan menyaksikan ‘perbahasan dan perbalahan’ sengit membabitkan beberapa wakil rakyat. Pembangkang akan membangkitkan sentimen panas untuk mengheret perbahasan kepada persoalan mengenai Model Ekonomi Baru (MEB) yang pasti dikaitkan dengan Majlis Perundingan Melayu (MPM). Kes kehilangan dua enjin jet pejuang yang kini ada di Uruguay pula akan mencabar Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pendidikan serta ekonomi seperti Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2009 (GST) yang akan dibaca untuk kali pertama pasti akan dikupas mengikut persepsi pembangkang yang sedaya upaya mengeksploitasi untuk mendapat ruang dalam liputan media massa. Sejumlah 75 pertanyaan untuk dijawab lisan akan dikemukakan esok. Sebahagiannya soalan wakil rakyat parti pembangkang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi wakil rakyat kedua mengemukakan pertanyaan bagi dijawab secara lisan dan mungkin hilang status sebagai Ketua Pembangkang. Beliau terpaksa melepaskan jawatan itu jika Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau anaknya, Lim Guan Eng menuntut jawatan berkenaan dengan alasan paling mudah iaitu DAP kini mempunyai kerusi terbanyak (28 kerusi) berbanding PKR (27) dan Pas (23).
Jika DAP tidak menuntut jawatan itu, maka ini mengesahkan Kit Siang atau Guan Eng tidak berupaya memimpin pembangkang di Dewan Rakyat. Persepsi lain mengenai keengganan DAP menuntut jawatan itu ialah ‘faktor Anwar’ dalam mengekalkan kesepakatan parti pembangkang yang boleh terlerai atau berkecai bila-bila masa.
Ringkasnya, DAP dan Pas memperalat serta menunggang Anwar untuk membolehkan sebahagian pengundi kekal menyokong kedua-dua parti itu. Anwar pula memperalat DAP dan Pas untuk merealisasikan impian duduk di kerusi Perdana Menteri tanpa mengira apa syarat sekalipun.
Jika Anwar kekal sebagai Ketua Pembangkang bermakna DAP dan Pas sebenarnya taat untuk tunduk di bawah ‘jajahan dan takluk’ ahli Parlimen Permatang Pauh itu. Di mana maruah DAP jika kekal di bawah telunjuk Anwar sedangkan kini tiba pula masanya Anwar di bawah telunjuk mereka? Seperti dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, baru-baru ini, Anwar boleh terus menjadi Ketua Pembangkang selagi beliau mendapat sokongan majoriti wakil pembangkang.
Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, masing-masing menyatakan mereka tidak akan berebut jawatan itu. Namun, jawatan itu tetap bakal menjadi perhatian apabila dewan bersidang hari ini dan ‘menampakkan belang sebenar’ mulai esok.
Tumpuan mulai esok juga pastinya kemunculan empat ahli Bebas baru (menjadikan jumlahnya tujuh) iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) masing-masing keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak lagi sehaluan dengan kepemimpinan tertinggi, manakala Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) pula dipecat parti itu.
Kehadiran ahli Bebas terutama empat bekas pemimpin PKR itu menyulitkan serangan pembangkang khususnya Anwar terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN). Ia akan mewujudkan satu bentuk ‘check and balance’ yang baru. Sikap, pendirian dan kecenderungan wakil rakyat Bebas khasnya bekas pemimpin PKR itu akan menjadi perhatian sama ada mereka mungkin lebih condong memihak kepada BN dan dalam aspek atau skop bagaimana mereka akan membela pembangkang.
Ketika Zahrain mengenali Anwar lebih 30 tahun, manakala Zulkifli menjadi sebahagian tulang belakang dan saraf Anwar sejak 12 tahun lalu, hakikat ini merencatkan tindak-tanduk Anwar di Dewan Rakyat sekali gus melemahkan sebahagian lagi sendi PKR yang kini cuma menanti hari untuk lumpuh.
Merujuk kepada Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul esok, Zulkifli mencadangkan 21 usul daripada 48 usul yang dicadangkan kepada Dewan Rakyat khususnya membabitkan pindaan Perlembagaan bagi menjelaskan lagi status agama Islam dan perundangan syariah di negara ini.
Beliau turut mencadangkan diwujudkan jawatan Mufti Negara dengan kuasa serta tanggungjawab dan menjawab hanya kepada Yang di-Pertuan Agong.
/hwa-bharian.

50 ahli PKR pulau mesyuarat dipengerusikan MB

UM - 15/03/10
KUALA SELANGOR 14 Mac - Kira-kira 50 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor bertindak meninggalkan mesyuarat agung tahunan bahagian itu kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Sungai Buloh, Jeram di sini petang ini.
Mereka keluar beramai-ramai ketika sesi soal jawab dengan ahli jawatan kuasa (AJK) yang diketuai Ketua Bahagian PKR Kuala Selangor yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang berjalan.
Antara perkara yang tidak memuaskan hati mereka ialah cara ahli-ahli dipanggil datang ke mesyuarat agung dan isi kandungan minit mesyuarat yang diedarkan kepada semua yang hadir kerana didakwa tidak mengikut tertib dan melanggar perlembagaan parti.
Salah seorang ahli PKR yang keluar mesyuarat, Mazli Saring, 42, ketika ditemui berkata, ahli-ahli tidak diberitahu mengenai mesyuarat seperti yang sepatutnya iaitu dalam tempoh 14 hari sebelum mesyuarat berlangsung.
Kata beliau, cara pemberitahuan juga tidak melalui surat tetapi hanya iklan kecil di akhbar kira-kira lima hari sebelum mesyuarat berlangsung.
Ujarnya, minit mesyuarat juga boleh dipertikaikan kesahihannya kerana tiada notis pemberitahuan mesyuarat dan penyata tahunan yang dibentang juga tidak mengikut peraturan.
"Bila saya bangun mengutarakan masalah ini, mereka mencelah seolah-olah tidak mahu saya terus bercakap dan kemudian memberikan jawapan yang memang tidak selari dengan soalan saya.
"Mikrofon untuk ahli bercakap juga dipegang oleh 'orang' AJK dan bila mahu bercakap kena minta daripada mereka dan bila mereka nak suruh saya berhenti mereka terus ambil walaupun saya belum habis bercakap.
"Oleh itu saya dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk keluar kerana perbuatan itu seolah-olah mahu menyekat ahli-ahli daripada terus bersuara," katanya.
Seorang lagi ahli, Khalid Wahab, 40, berkata, beliau tidak berpuas hati kerana sebelum mesyuarat diadakan, terdapat cubaan mengehadkan kehadiran ahli-ahli ke mesyuarat agung kerana mewajibkan cawangan menghantar 10 orang sahaja menghadiri mesyuarat.
"Saya ada bukti kerana di cawangan Puncak Alam kami mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyuruh menghantar 10 orang sahaja. SMS itu dihantar kepada mereka yang menyokong AJK," katanya sambil menunjukkan SMS tersebut kepada wartawan.
Sementara seorang lagi ahli, Ibrahim Mahidin yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Kuala Selangor pula berkata, sikap Abdul Khalid yang tidak mengambil tindakan terhadap 'orang kanannya' dalam AJK walaupun individu itu didapati muflis juga amat mengecewakan.
Jelasnya, Abdul Khalid menunjukkan ketegasan sebelum ini apabila memecat seorang AJK iaitu Azmi Mohamad kerana muflis.
''Tetapi bila orang yang rapat dengannya menghadapi masalah, beliau boleh tutup mata dan benarkan orang itu memegang jawatan walaupun tahu ia menyalahi perlembagaan parti.
''Inilah sikap pemimpin nombor satu Selangor," kata beliau.
Mesyuarat agung kali ini yang berjalan selama dua jam bermula pukul 2.30 petang juga menyaksikan tiada sesi pemilihan AJK baru bahagian dibuat kerana memberikan ruang kepada proses perlembagaan baru PKR dan pemilihan hanya akan dilakukan penghujung tahun ini.
Menurut Abdul Khalid, seramai 300 lebih ahli menghadiri mesyuarat hari ini yang mewakili 4,800 ahli PKR di bahagian Kuala Selangor.
/hwa-utusan.

Tuanku Mizan sifatkan MEB sebagai berpandangan jauh

BERNAMA - 15/03/2010 12:39pm
KUALA LUMPUR 15 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah bahawa langkah kerajaan memperkenalkan model ekonomi baru (MEB) untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju adalah satu langkah berpandangan jauh.
Seri Paduka bertitah, model tersebut memberi penekanan kepada inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi.
"Beta menyeru semua pihak supaya bersama-sama menjayakan matlamat tersebut demi negara tercinta,” titah baginda semasa merasmikan Penggal Ketiga Parlimen ke-12 di sini hari ini.
Baginda bertitah, tumpuan akan terus diberi kepada bidang-bidang yang negara mempunyai kelebihan, berpotensi dan rantaian nilai tambah yang tinggi serta dapat menjana pulangan yang lebih besar.
"Ini termasuk sektor perkhidmatan terutama kewangan, pelancongan, pendidikan, kesihatan dan perdagangan.
“Pada masa yang sama, sektor-sektor lain seperti pembuatan, pertanian dan komoditi akan terus diberi keutamaan,” titah baginda.
/hwa-utusan.

Agong tegur Ahli Parlimen gagal pamer tingkah laku terpuji

UM - 15/03/2010 11:53am
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
KUALA LUMPUR 15 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin hari ini menegur Ahli-Ahli Parlimen (MP) kerana mempamerkan tingkah laku dan tutur kata yang tidak mencerminkan keperibadian sebagai wakil rakyat.
Titah baginda, segala perbuatan dan tindakan wakil rakyat sentiasa diperhatikan oleh rakyat, maka Ahli-Ahli Parlimen hendaklah berhujah dengan bernas dan tidak membangkitkan perkara remeh-temeh yang boleh menjejaskan maruah sendiri dan kemuliaan dewan.
"Sejak dua penggal berturut-turut sebelum ini, Beta telah mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya menunjukkan sifat dan perilaku terpuji dan dalam dewan yang mulia ini.
"Beta dukacita masih terdapat Ahli-Ahli Yang Berhormat mempamerkan tingkah laku dan tutur kata yang tidak mencerminkan keperibadian sebagai wakil rakyat," titah baginda.
Seri Paduka bertitah demikian ketika merasmikan sidang Penggal Ketiga Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.
/hwa-utusan.

11 Mac 2010

Anwar gelar ahli lompat parti 'katak'

UM (Rencana) - 11/03/10
SEREMBAN 10 Mac - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan mereka yang keluar daripada parti itu sebagai 'katak' dan bukan manusia.
Sambil menegaskan tindakan parti itu adalah benar dan tepat dalam isu pemecatan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, beliau menegaskan tidak akan tunduk kepada mereka.
"Sebab itu apabila ditanya mengapa kita pilih untuk memecat ahli-ahli Parlimen walaupun jumlah kita semakin menurun, kita (katakan) masih pecat sebab kita mesti berani mengambil keputusan yang tepat dan benar dan tidak tunduk kepada mereka.
''Orang kena tahu, kita masuk (PKR) berjuang kerana prinsip, bukan kerana dapat projek dan wang atau jawatan. Jadi bila tak dapat (projek), lompat parti, itu kerja katak bukan kerja manusia," katanya.
Anwar berkata demikian dalam ceramahnya di kawasan Perindustrian Oakland dekat sini malam tadi.
Terdahulu Ketua Pembangkang itu sekali lagi menggunakan pentas ceramah untuk melemparkan tuduhan kepada pemimpin negara.
Beliau menggunakan tempoh sejam itu mengkritik dasar kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menggunakan perkataan kesat seperti 'bahlul', 'poodah', 'kepala bxxxx kau' dan 'kepala oxxx kau'.
Anwar turut mengulangi keputusan pakatan pembangkang yang mahu beliau terus kekal sebagai Ketua Pembangkang sungguhpun PKR bukan lagi pemegang kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

/hwa-utusan.

Jika pilihan raya diadakan sekarang PKR akan kalah teruk – Zulkifli Noordin

UM (Rencana) - 11/03/10
KUALA LUMPUR 10 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu muhasabah diri dan mengelak daripada menyalahkan pihak lain sebagai dalang dalam setiap krisis dalaman yang dihadapinya.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, pimpinan parti itu tidak perlu terlalu cepat melatah dengan menuduh UMNO kononnya telah menawarkan sejumlah ganjaran kepada ahli-ahli Parlimen PKR yang bertindak keluar parti.
“Adalah lebih baik PKR dan pakatan pembangkang melihat muka masing-masing di cermin, bermuhasabahlah daripada menyalahkan orang lain di atas kekurangan dan kelemahan sendiri,” katanya dalam program NST Live Chat secara maya selama kira-kira dua jam hari ini.
Zulkifli berkata, masalah kronik yang melanda PKR segalanya berpunca daripada peranan firaun kecil yang disifatkan sebagai anai-anai yang merosakkan keteguhan parti secara perlahan-lahan.
Beliau berkata, sekiranya tiada langkah drastik dilakukan dan ‘firaun kecil’ dibiarkan terus menguasai parti, PKR tidak perlu menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 untuk hancur.
“Malah jika diadakan PRU sekarang, saya pasti PKR akan kalah teruk, mereka sedang menggali kubur sendiri dengan cita-cita besar menuju ke Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti bakal beralih arah ke Penjara Sungai Buloh!” katanya.
Mengulas mengenai tindakan beliau menarik diri daripada mewakili Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam permohonan qazaf, Zulkifli berkata, ia merupakan tindakan profesional yang langsung tiada kaitan dengan kepentingan peribadi.
“Seorang peguam perlu memiliki hubungan baik penuh profesional dan kepercayaan dengan pelanggan bagi membolehkan pembelaan dilakukan secara penuh jujur,” katanya.
/hwa-utusan.

Melayu dipersenda lagi

BH - 2010/03/11
Oleh Rejal Arbee

Penubuhan MBM bela bangsa, Islam dipersoal bukan Bumiputera USAHA untuk memperlekehkan Melayu masih berterusan. Terakhir dua penulisan, satu dalam sebuah akhbar berbahasa Mandarin, Sin Chew Jit Poh dan sebuah lagi di portal Malaysia Today.
Penulisan pertama oleh Timbalan Ketua Pengarang akhbar berbahasa Cina itu, Tay Ting Yan dengan nada yang amat meloyakan memperlekehkan perjumpaan 76 NGO Melayu termasuk GPMS, Mubarak dan Perkasa yang menubuhkan Majlis Perunding Melayu (MBM) dan menganggap mereka masih bermimpi dan berkhayal kerana mahu perjuangkan hak Melayu yang telahpun mendapat pelbagai keistimewaan.
Malah katanya, kalau pada 1946 dulu apabila Melayu bergabung untuk menentang penubuhan Malayan Union oleh penjajah British yang dianggap boleh menghakis kedudukan Melayu dan Raja-Rajanya serta kedudukan agama Islam, ia boleh difahami.
Tetapi kini, ketika penjajah telah lama ‘berambus’ dengan Perikatan/Barisan Nasional (BN) tidak pernah hilang kuasa memerintah lebih 40 tahun dengan orang Melayu sudah pun berkuasa, berkedudukan, berpengalaman dan menjadi bangsa yang bermartabat, apa lagi yang mereka mahu? Penubuhan MBM diandaikannya seperti orang kulit putih Amerika menubuhkan suatu organisasi untuk mempertahankan kedudukan mereka terhadap hak rakyat minoritinya seperti Red Indian ataupun NGO di China mempertahankan hak kaum Cina Han (puak majoriti) supaya tidak dianiaya oleh kaum minoriti seperti orang Tibet atau orang Uighur di Sinkiang.
Dia mendakwa apa yang berlaku di kedua-dua negeri itu ialah orang Amerika sendiri (puak majoriti) yang menubuhkan NGO untuk pertahankan hak Red Indian manakala di negeri China, sebilangan orang Cina sebagai kaum majoriti yang sedar telah pertahankan hak-hak rakyat minoritinya orang Tibet atau orang Uighur.
Tay juga bertanya apa perlunya suatu pertubuhan kaum majoriti yang telahpun menikmati segala keistimewaan untuk menjuarai hak yang sudahpun wujud? Beliau mengandaikan usaha itu sebagai usaha sia-sia (Quixotic) semata-mata untuk memenuhi kerakusan dan impian diri sendiri.
Tetapi sebenarnya dia telah membutakan dirinya terhadap beberapa perkara akhir-akhir ini hingga membawa kepada tertubuhnya MBM sebagai suatu gabungan NGO Melayu yang prihatin terhadap pelbagai tekanan ke atas hak dan keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini serta kedudukan dan kedaulatan Kesultanan Melayu.
MBM sendiri telah menjelaskan bahawa ia hanyalah untuk menjadi sebuah medium mengumpulkan NGO Melayu bagi menangani tekanan yang dihadapi orang Melayu, agama Islam, Kesultanan Melayu termasuk juga keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Satu lagi tulisan oleh seorang yang menamakan dirinya Michael Chick di portal Malaysia Today menyebut bahawa nama Tanah Melayu tidak pernah wujud di mana-mana sebelum kedatangan British menjajah Semenanjung. Malah orang Arab menamakan Semenanjung ini sebagai ‘Barr Chin’ (Tanah Cina) seperti dalam peta Arab.
Apa niatnya kalau bukan hendak perkecilkan Melayu seolah-olah Melayu tidak wujud waktu itu dan Melayu juga pendatang. Walaupun nama Semenanjung mengikut peta Arab lama itu adalah Barr Chin tetapi sejarah jelas menunjukkan ia tidak pula didiami oleh orang Cina tetapi orang Melayu.
Kiranya kawasan ini didiami orang Cina kenapa pula kerajaan lama terdiri dari kerajaan Hindu, seperti Langkasuka, Sriwijaya dan Champa bukannya kerajaan yang dipengaruhi atau di kuasai Cina? Bahasa yang digunakan di kawasan selatan dari Segenting Kra hingga ke Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi adalah Bahasa Melayu walau pun berpuak dan bersuku baik Aceh, Minang, Bugis, Banjar dan sebagainya.
Budaya mereka juga budaya Melayu mulanya dipengaruhi Hindu dan selepas Kesultanan Melayu wujud di pengaruhi Islam. Sekali pun nama Semenanjung Tanah Melayu suatu yang baru tetapi hakikatnya kawasan ini adalah sebahagian daripada gagasan yang dikenali sebagai Nusantara atau Alam Melayu yang merangkumi Semenanjung serta kepulauan Indonesia dan Filipina.
Kawasan ini memang diakui telah didiami orang Melayu sejak berzaman dan mereka ini juga berpindah randah antara kawasan kepulauan dan Semenanjung.Ketika penjajahan Inggeris ramai rakyat Cina dibawa masuk ke mari untuk mengusahakan lombong bijih sebagaimana juga orang India di bawa dari Tamil Nadu untuk bekerja di ladang getah mereka.
Mereka ini berterusan mengamalkan cara hidup dan budaya sendiri malah bertutur bahasa ibunda mereka. Maka itu tidaklah berlaku penyerapan untuk menjadi sebagai sebahagian daripada rakyat majoriti iaitu Melayu. Dan apabila negara mencapai kemerdekaan warga negara ini yang berketurunan Cina dan India diiktiraf demikian.
Malah hingga sekarang ini pun selepas merdeka lebih daripada 52 tahun masih ada di antara mereka ini yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik. Maka tidak menghairankan ada guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina mempersoalkan kenapa mereka perlu menyediakan laporan untuk Jabatan Pelajaran juga dalam bahasa Melayu selain dari Mandarin.
Ada pula yang berpendapat sepatutnya pegawai pelajaran perlu faham bahasa Mandarin. Inilah dia rakyat negara ini yang tidak sedikit pun mahu menghormati bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Mereka sepatutnya tidak dibenarkan menggunakan bahasa Mandarin dalam laporan kepada Jabatan Pelajaran.
Seorang sarjana, Prof Lim Swee Tin dari Universiti Putra Malaysia pernah menulis bahawa tohmahan Melayu pendatang adalah suatu pemesongan fakta sebab jelas telah wujud Kerajaan Melaka yang didiami dan dikuasai Melayu. Orang Melayu bukan saja gemilang di Melaka, malahan bertebaran di seluruh Nusantara. Dengan yang demikian, tanpa diragukan merekalah penduduk asalnya.
Pendatang katanya tidak menubuhkan kerajaan. Beliau juga menjelaskan bahawa Melayu harus difahami bukan dalam konteks ras atau kaum. Melayu itu juga bukan lagi satu etnik. Melayu sudah mencakupi satu entiti budaya. Konsep Melayu ialah konsep budaya dan entiti budaya itu.
Ia tidak bergantung pada kapasiti ras, etnik atau kaum lagi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
/hwa-bharian.

9 Mac 2010

Tidak mampu jalankan tugas

SEMALAM genaplah dua tahun, tiga buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008 berada dalam genggaman pakatan pembangkang.Kedah diketuai oleh Pas, Pulau Pinang (DAP) dan Selangor (PKR). Jika sebelum ini apabila genap setahun memerintah, mereka menganggap tidak wajar kepimpinan mereka dinilai kerana dianggap masih baru tetapi bagaimana setelah dua tahun?Apakah segala yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya lalu sudah ditunaikan? Atau ia sekadar janji kosong bagi meraih undi dan kekuasaan?
*****
UM (Rencana) - 09/03/10
Laporan Khas kali ini yang disediakan oleh ZAINUL AZHAR ASHAARI, NOR SEDEK ISMAIL, ZABRY MOHAMAD, ABDUL MUIN SAPIDIN,NAZARUDIN SHAHARI, ABDUL YAZID ALIAS, NURUL HUDA HASSAN, MOHD. RAFIE AZIMI dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA meninjau perkembangan pemerintahan di ketiga-tiga negeri.
KUALA LUMPUR 8 Mac - Tempoh dua tahun yang diberi kepada pakatan pembangkang bagi mentadbir beberapa negeri membuktikan pakatan rapuh itu tidak bersedia menjalankan tugas selaku kerajaan.
Sebaliknya pemimpin kerajaan campuran DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas di beberapa negeri dilihat lupa menjalankan tugas sebagai parti pemerintah apabila fokus utama mereka adalah terus mengkritik Barisan Nasional (BN).
Semua mereka juga yakin rakyat di negeri dikuasai pembangkang akan kembali menyokong BN apatah lagi dengan transformasi kepada kerajaan dan parti yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, beliau percaya kemenangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu didorong rasa tidak puas hati rakyat yang kemudiannya berjaya dimanipulasi pembangkang.
Namun, katanya, rakyat mula sedar pakatan itu mula pincang sehinggakan kerajaan campuran di beberapa buah negeri gagal menunaikan janji untuk bersikap adil dan menjaga kebajikan semua rakyat.
"Jadi ini peluang terbaik untuk BN menarik semula sokongan rakyat. BN perlu berusaha keras untuk kembali menjadi nadi kepada kemakmuran dan kemajuan rakyat agar sokongan terhadap kita akan terus kukuh.
"Kita mempunyai pemimpin yang kuat dan rapat dengan rakyat. Tidak pernah saya lihat Perdana Menteri yang begitu dekat dengan rakyat seperti Najib selepas era pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra," katanya.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng berkata, kerajaan pakatan pembangkang jelas tidak mempunyai perancangan konkrit untuk membangunkan negeri yang dikuasai terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor.
Menurutnya, kerajaan di negeri-negeri itu lebih gemar menyerang Kerajaan Pusat dengan menabur fitnah di samping menyalahkan kerajaan negeri terdahulu di atas apa jua masalah bagi menutup kelemahan sendiri.
Jelasnya, tindakan kerajaan negeri terlibat yang lebih gemar bertindak sebagai pembangkang bukanlah kerana mereka keliru, sebaliknya sengaja dilakukan untuk mengelirukan rakyat.
"Mereka tidak menjalankan tugas selaku parti pemerintah sebaliknya terus mengkritik parti lain seolah-olah mereka itu pembangkang. Itu dilakukan semata-mata kerana mereka tidak mampu menjalankan tugas untuk rakyat.
"Kalau perintah negeri pun tidak mampu, bagaimana mahu mentadbir Pusat? Saya yakin sokongan kepada mereka akan terus luntur dan mereka tidak akan diberi peluang sekali lagi pada pilihan raya umum akan datang," ujarnya.
Pandangan Foon Meng disokong Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn, yang menyifatkan kelangsungan pakatan pembangkang hari ini bukanlah kerana kekuatan dimiliki mereka sebaliknya kerana fitnah serta serangan yang dilakukan ke atas BN.
"Kekuatan mereka juga hanya bergantung kepada personaliti pemimpin tertentu seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia jelas hanya bersifat oportunis dan tidak akan bertahan lama.
"Di Pulau Pinang pun, Ketua Menteri, Lim Guan Eng asyik memuji diri sendiri dan memutar belit kononnya Pulau Pinang hari ini lebih baik berbanding dahulu.
"Hakikatnya, prestasi kerajaan Pulau Pinang hari ini adalah lebih teruk terutama dari sudut ekonomi. PKR pula berpecah teruk di negeri itu. Jadi bagaimana boleh dikatakan mereka mentadbir negeri dengan baik?" soalnya sinis.
Bagi Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas, perumpamaan paling mudah untuk menggambarkan pemerintahan pembangkang di beberapa buah negeri adalah 'ibarat kera mendapat bunga'.
"Mereka tidak bersedia untuk memerintah. Kebanyakan dilakukan mereka mempunyai agenda tersirat dan mencemar nama negara di mata dunia, tiada langsung yang membanggakan.
"Rakyat yang meletak harapan kepada mereka terbukti silap. Adalah lebih baik kita bersatu di bawah payung BN daripada memberi mandat kepada parti yang tidak berminat langsung untuk memerintah negara," katanya.
/hwa-utusan.

Tokoh ulama sokong Harussani

BERNAMA - 09/03/10
TUMPAT 8 Mac - Tokoh ulama terkenal Kelantan, Abdullah Saamah, mahu umat Islam melihat kenyataan oleh pemimpin agama, termasuk mufti yang dilantik kerajaan, dalam konteks yang lebih luas dan bukan melihat dari sudut politik sahaja.
Abdullah, yang juga pengetua sekolah pondok, Madrasah Al-Najmiah Tebing, Pengkalan Kubor di sini, berkata, menjadi tanggungjawab seseorang ulama menyampaikan ajarannya berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang ada walaupun ia dilihat lebih condong kepada parti pemerintah.
Menurutnya, anggapan pihak tertentu kononnya ulama yang menyokong kerajaan sebagai ejen sesebuah parti politik adalah tidak wajar dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenarnya.
Beliau menyokong kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilihatnya lebih menjurus ke arah perpaduan umat Islam walaupun tidak disenangi parti pembangkang.
"Saya menyokong pandangan Mufti Perak itu kerana dia bercakap berasaskan kepada kebenaran mengikut ajaran Islam dan bukannya berpihak kepada sesebuah parti politik," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam yang menyifatkan Harussani sebagai ejen UMNO kerana Mufti Perak itu mempersoalkan keengganan Pas menerima cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dan Barisan Nasional di Perak selepas pilihan raya umum pada Mac 2008.
Menurut Abdullah, mereka yang menganggap Harussani sebagai ejen UMNO lebih condong kepada politik kepartian.
Beliau berkata, mereka yang melihat sesuatu perkara daripada aspek politik sempit akan hanya menerima pandangan puak mereka sahaja.
/hwa-utusan.

Mufti Perak jadi ejen perpaduan, perdamaian umat Melayu

UM - 09/03/10
IPOH 8 Mac - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih layak digelar ejen perpecahan berbanding tindakan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mahu menyatupadukan umat Islam menerusi cadangan pembentukan kerajaan campuran di Perak.
Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, Menteri Besar Kelantan itu sepatutnya muhasabah peranan yang dimainkan dirinya untuk perpaduan umat Islam daripada menghina Mufti Perak.
"Nik Abdul Aziz memperlekehkan Harussani sebab beliau tidak dapat membezakan peranan mufti sebagai penasihat dalam urusan agama dan bukannya ejen UMNO.
"Mufti memainkan peranan menyatupadukan umat Islam tanpa mengira fahaman politik tetapi berdasarkan kenyataan Nik Abdul Aziz dan para pemimpin Pas yang menolak perpaduan, merekalah ejen perpecahan umat Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut Hamdi berkata, sebagai seorang yang digelar tok guru oleh penyokong Pas, Nik Abdul Aziz sewajarnya menerima kenyataan Mufti Perak sebagai satu teguran dan bukannya bersikap melenting.
Katanya, janganlah hanya kerana digelar ulama dan tok guru, Nik Abdul Aziz mengatakan orang lain sering melakukan kesilapan dan tidak pula melihat kesilapan diri sendiri.
"Kita tidak pernah melenting semasa Mufti Perak tegur UMNO.
"Semasa Mufti Perak tegur UMNO, orang Pas kata Harussani penyokong Pas tetapi apabila mereka pula ditegur, mereka tuduh Mufti Perak ejen UMNO," katanya.
Sebelum ini, Harussani mendedahkan keangkuhan Pas Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan tertinggi parti.
"Apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara Pas dan Barisan Nasional (BN), Pesuruhjaya Pas Perak (ketika itu), Ahmad Awang terus berkata, kita tidak akan bersekongkol dengan orang Islam (UMNO) yang zalim, lebih baik berkawan dengan kafir (DAP)," kata Harussani.
Sementara itu, Penasihat Hal Ehwal Agama Kepada Menteri Besar Perak, Datuk Mohd. Najmuddin Elias Al-Hafiz menafikan Harussani adalah ejen UMNO seperti yang didakwa Menteri Besar Kelantan itu.
''Tuduhan itu agak melampau, mufti bukan orang UMNO dan tidak bergiat dalam UMNO pun. Sebagai mufti, beliau ditugaskan untuk menyatupadukan umat Islam.
''Apabila Harussani melihat perpecahan di Perak, beliau mengambil jalan tengah untuk mendamaikan kedua-dua pihak iaitu melibatkan dua parti Melayu terbesar - UMNO dan Pas.
''Ini bermakna, beliau bukan ejen UMNO tetapi ejen perpaduan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Najmuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau berkata, beliau hairan mengapa sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam sanggup menolak usaha itu.
''Kita hairan apabila kepimpinan tertinggi Pas pada dasarnya telah bersetuju untuk mewujudkan kerajaan perpaduan di Perak tetapi ditentang oleh beberapa pemimpinnya.
''Islam sendiri kata umat Islam bersaudara, jadi menjadi tanggungjawab orang beriman untuk menggalakkan perpaduan. Ini kerana kekuatan orang Islam terletak pada perpaduan," katanya.
/hwa-utusan.

MB Kelantan tidak faham peranan mufti

UM - 09/03/10
ROMPIN 8 Mac - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengamalkan fahaman politik sempit dan tidak memahami fungsi serta peranan sebenar mufti sehingga sanggup menggelar mereka sebagai ejen parti politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan, tugas seseorang mufti adalah melaksanakan segala titah sultan atau raja yang berkaitan dengan soal keagamaan termasuk kepimpinan sesebuah negeri.
"Mufti ialah orang yang dilantik oleh sultan atau raja. Apa-apa titah yang berkaitan negeri dan keagamaan, tentulah ia sesuatu yang dijunjung oleh mufti.
"Jadi tidak boleh jika mufti bercakap mengenai kepimpinan negeri, lalu kita mengatakan mufti itu ejen parti politik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang menggelarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai ejen UMNO apabila ulama itu didakwanya masuk campur dalam usaha membentuk kerajaan campuran di negeri itu.
Nik Abdul Aziz berkata, peranan Harussani selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) terutama dalam soal pembentukan kerajaan campuran di Perak telah merendahkan martabatnya sebagai mufti malah ulama itu tidak layak lagi memakai gelaran tersebut.
Jamil Khir menegaskan, peranan mufti di sesebuah negeri bukan sekadar mengeluarkan fatwa semata-mata, bahkan tugasnya turut menyentuh soal kepimpinan berdasarkan apa yang dititahkan oleh pemerintah kepadanya.
"Hal-hal yang berkaitan soal keagamaan dan titah tuanku adalah tanggungjawab mufti.
"Islam juga merupakan agama yang menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan meliputi politik," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Nik Abdul Aziz berhenti menggelar Harussani sebagai ejen UMNO kerana ulama itu menjalankan tanggungjawab seperti dititahkan oleh Sultan Perak kepadanya.
"Kalau mufti bercakap politik, ulama itu tidak boleh digelar sebagai ejen parti politik. Ini persepsi yang merendahkan kedudukan mufti," tegasnya.
/hwa-utusan.

Guan Eng malu besar?

UM - 09/03/10
PULAU PINANG 8 Mac - Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendapat malu besar apabila golongan warga emas menyifatkan pemberian RM100 kepada mereka seperti diumum kerajaan negeri baru-baru ini sebagai satu unsur rasuah.
Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong yang mendedahkan mengenai kejadian itu berkata, saat-saat memalukan itu berlaku pada satu majlis makan malam yang dihadiri Guan Eng di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di sini kelmarin.
Menurutnya, pada malam itu, Ketua Menteri dalam ucapannya bertanya kepada para hadirin yang rata-ratanya terdiri daripada golongan warga emas sama ada pemberian wang itu adalah rasuah.
"Beliau bertanya soalan itu sebanyak tiga kali dan setiap kali perkara itu diajukan, kumpulan warga emas yang hadir bertindak bangun lalu berkata: "Ya, itu adalah rasuah."
"Kejadian itu merupakan satu tamparan hebat dan saat-saat itu juga merupakan waktu yang sangat memalukan kepada kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Bagaimanapun, dakwanya Guan Eng yang kononnya tidak mendengar jawapan yang diberikan itu berkata, langkah kerajaan negeri berbuat demikian adalah kerana mahu berkongsi kekayaan dengan rakyat.
Ekoran insiden itu, Tong Keong mencadangkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sama ada 'niat baik' kerajaan negeri itu merupakan amalan rasuah atau sebaliknya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Gerakan menyambut baik langkah kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban golongan warga emas dengan pemberian wang tersebut.
Namun, katanya, polisi yang diguna pakai serta niat kerajaan pakatan pembangkang di negeri ini perlu ikhlas sekali gus manfaat yang diberikan itu dapat dinikmati bersama dan bukan dibuat kerana politik.
/hwa-utusan.

Wakil rakyat sendiri pun tak puas hati apatah lagi rakyat

UM - 09/03/10
KUALA LUMPUR 8 Mac - Setelah dua tahun diberi peluang memerintah di beberapa buah negeri, pakatan pembangkang seharusnya sedar betapa tugas itu tidak semudah yang disangka.
Kesukaran itu terbukti apabila kerajaan pakatan pembangkang tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak seperti dicanang sebelum ini termasuk kalangan wakil rakyat mereka sendiri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tidak dinafikan, adalah sesuatu yang mudah untuk pakatan pembangkang menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) terhadap setiap perkara yang tidak elok dari kaca mata mereka.
"Namun, tidak sampai beberapa ketika memerintah, mereka sendiri yang mengalami perpecahan dan keretakan. Itu menunjukkan mereka tidak mampu menjalankan tugas tersebut.
"Sedangkan wakil rakyat mereka sendiri tidak puas hati, bayangkanlah pula apa perasaan rakyat. Justeru saya mengharapkan agar BN terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat kerana pembangkang jelas tidak dapat menjalankan tugas mereka," katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula menyifatkan pentadbiran pembangkang di beberapa buah negeri terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang sebagai bercelaru.
Menurutnya, sepanjang dua tahun memerintah, pakatan itu jelas gagal mencari kata sepakat dalam beberapa isu berkaitan agama dan ketelusan sehingga gagal memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi negeri.
"Saya beranggapan masalah itu berpunca daripada kurang pengalaman di kalangan pakatan pembangkang selain kegagalan mereka untuk mencapai kata muafakat dalam satu-satu isu.
"Dua tahun cukup lama untuk rakyat menilai kemampuan pakatan itu. Pakatan pembangkang tiada dasar konsisten untuk mentadbir negeri dan itu jelas menunjukkan bahawa mereka tidak layak untuk mentadbir negeri," katanya.
Diminta mengulas trend wakil rakyat daripada parti pembangkang yang cenderung untuk keluar parti kebelakangan ini, Khairy menjelaskan, ia memberi petunjuk betapa keyakinan terhadap kepimpinan pakatan itu kian terhakis sedikit demi sedikit.
"Tetapi sebagaimana biasa, pemimpin-pemimpin pembangkang akan mengatakan semua itu kerja UMNO. Kononnya, UMNO mempengaruhi wakil-wakil rakyat itu dan menyediakan wang untuk membeli mereka.
"Saya ingin jelaskan bahawa semua itu tidak ada kena mengena dengan UMNO. Kita tidak mengamalkan dasar membeli wakil rakyat mereka dan tindakan keluar parti itu dilakukan secara sukarela kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan pembangkang.
"Lagipun, dalam ramai-ramai yang keluar kebelakangan ini, cuma bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang menyertai UMNO. Ia membuktikan kita tidak mempengaruhi apatah lagi membeli mereka," tegasnya.
/hwa-utusan.

PKR amal politik tidak bertamadun

UM - 09/03/10
KUALA LUMPUR 8 Mac - Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin mendedahkan terdapat beberapa pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengamalkan taktik politik tidak bertamadun untuk membolot semua jawatan dalam parti dan kerajaan.
Beliau memberitahu, individu-individu ini yang boleh dikatakan 'firaun-firaun kecil' menjalankan gerakan untuk menjatuhkan rakan- rakan dalam PKR bagi membolehkan mereka mendapat jawatan yang amat diidam-idamkan.
"Sepatutnya selepas Pilihan Raya Umum 2008, rakyat telah menentukan wakil mereka, maka kita tumpukan kepada kerja untuk membela rakyat, malangnya apa yang berlaku dalam PKR ialah pemimpin-pemimpin ini mula menjalankan gerakan mengaibkan rakan di dalam parti.
"Seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bahawa terdapat 'firaun-firaun kecil' yang ingin menjatuhkan beliau, perkara ini telah berlaku kepada saya terlebih dahulu kerana mereka idamkan jawatan yang dipegang pada masa itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pada program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam ini.
Fairus memberitahu, tindakan beliau melepaskan jawatan dalam PKR dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti kerana diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menstabilkan parti kerana gerakan yang dilakukan oleh 'firaun-firaun kecil' itu.
Tegasnya, sebagai seorang ahli yang taat kepada perjuangan parti, beliau telah bertindak melepaskan kedua-dua jawatan kerana tidak mahu parti bergolak.
"Itu adalah prinsip yang saya pegang, taat setia kepada prinsip perjuangan parti, yang penting ialah parti bukan pemimpin seperti saya, selama setahun (saya) memerhatikan dari luar apa yang berlaku di dalam PKR," katanya.
Fairus yang terlibat dalam PKR sejak awal penubuhan parti itu pada tahun 1998 menegaskan bahawa beliau keluar dari parti dan memasuki UMNO kerana prinsip-prinsip perjuangan parti pembangkang itu telah berubah terutama dalam memperjuangkan bangsa dan agama.
"Apa yang berlaku dalam PKR baru setahun jagung memerintah tetapi ketamakan politik amat luas sampai ke tahap bawahan sehinggakan perjuangan tersasar yang menyebabkan saya kecewa.
"Perjuangan memartabatkan bangsa dan agama, raja-raja Melayu yang telah disepakati dulu kini hancur di PKR, sebab itulah saya memilih wadah baru untuk berjuang di dalam UMNO atas prinsip untuk memperjuangkan bangsa serta agama," katanya.
Beliau menafikan terdapat tawaran berjuta-juta ringgit atau pelbagai lagi imbuhan daripada UMNO kalau menyertai parti itu tetapi apa yang ditawarkan ialah untuk terus berjuang memartabatkan bangsa serta negara.
Fairus juga merasa kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin PKR yang menyerang peribadi bekas pemimpin-pemimpin yang keluar dari parti tersebut.
"Inilah PKR yang cukup rendah martabat moralnya, politik yang mencemarkan maruah dan merupakan amalan politik kasar yang begitu hina," katanya.
/hwa-utusan.

120 ahli PKR keluar parti sertai UMNO

ROBERT APIN (depan kanan) dan 120 bekas ahli PKR menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Abdul Rahim Ismail di Kampung Kopimpinan, Papar, Sabah, semalam.
*****

UM - 09/03/10
PAPAR 8 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri kembali goyah apabila dua Ahli Jawatankuasa PKR Bahagian Papar berserta 120 ahlinya mengisytihar keluar parti dan menyertai UMNO.
Ahli-ahli yang berketurunan Kadazandusun dan Murut itu menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail di Kampung Kopimpinan dekat sini hari ini.
Menurut mereka, keputusan itu dibuat setelah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti tersebut selain tidak rela lagi diperalatkan pemimpin-pemimpin PKR yang tamak kuasa.
Bekas Ahli Jawatankuasa PKR Papar, Camillus Ginibun berkata, keputusan itu dibuat kerana kesal dengan kepimpinan parti tersebut yang menjadi alat pihak luar untuk menghancurkan negara ini.
Katanya, perbuatan tersebut amat dikesali selain melihat masyarakat yang semakin berpecah belah dan huru hara akibat dasar-dasar PKR.
Selain itu, beliau yang juga Penyelaras Pilihan Raya Umum ke-12 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis berkata, konsep 1Malaysia juga menjadi dorongan utama mereka memasuki UMNO.
"Konsep ini telah memberi kesedaran kepada kami yang sebelum ini terpedaya dengan kata-kata dan janji manis pemimpin PKR sama ada di peringkat negeri dan pusat.
"Konsep 1Malaysia membuatkan kami bangga kerana tidak ada kaum termasuk Kadazandusun dan Murut yang akan terpinggir daripada arus pembangunan," katanya di sini hari ini.
November lalu, PKR Sabah menerima tamparan hebat apabila Setiausaha Pergerakan Pemuda PKR negeri, Faizal Julaili dan Setiausaha PKR bahagian Papar, Awang Mumin Awang Marali mengisytihar keluar parti itu dan menyertai UMNO.
Keputusan itu turut diikuti hampir 200 ahli PKR cawangan Kampung Benoni dan Kampung Buang Sayang, dekat sini, akibat hilang kepercayaan terhadap parti itu.
Camillus berkata, perjuangannya bersama PKR sebelum ini hanya sia-sia dan tidak berhasil kerana hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mampu membela nasib rakyat.
Seorang lagi ahli jawatankuasa itu, Robert Apin berkata, tujuan kemasukan beramai-ramai ahli PKR ke UMNO bukan untuk mencari kedudukan tetapi mencari 'rumah yang teguh berlindung'.
Beliau yang pernah menjawat jawatan Pengarah Logistik PKR pada pilihan raya umum lalu berkata, mereka sebenarnya mempunyai banyak pilihan untuk menyertai parti komponen BN Sabah tetapi merasakan UMNO lebih sesuai.
"Harapan kami semoga lebih ramai lagi ahli-ahli PKR sedar dan menyertai BN dalam masa terdekat. Ini kerana kerajaan BN sahaja mampu membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar,'' katanya.
/hwa-utusan.

Cakap-cakap...

BH - 09/03/10
PERSOALAN Lim Kit Siang 'menolak' untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang di Parlimen menunjukkan penasihat DAP tidak yakin dengan kemampuannya untuk memimpin pakatan pembangkang. Sebagai ahli politik veteran, Lim sudah dapat menjangkakan bahawa Pas tidak akan mematuhi arahannya. Ini menunjukkan kejatuhan pembangkang kian jelas.
Mamat - mustahil DAP dan Pas tidur satu selimut.
/hwa-b.harian.

PKR guna Yusof Qaradawi 'lariskan' ceramah

UM(Rencana) - 09/03/10
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusan.com.my
KAEDAH pemasaran terbaik ialah kemampuan memanipulasikan strategi pengiklanan sehingga mampu menggamit minat melampau daripada kumpulan sasar.
Mungkinkah strategi itu yang digunakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meramaikan penonton dalam majlis anjuran mereka?
PKR melalui laman blog rasmi Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu anwaribrahimblog.com, menguar-uarkan bahawa ulama tersohor dunia, Prof. Dr. Yusof Qaradawi akan membuat perisytiharan khas berhubung kes liwat yang sedang dihadapinya di mahkamah.
Majlis itu diadakan malam semalam di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur bersempena ulang tahun kedua kemenangan pakatan pembangkang Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya umum yang lalu.
Pengumumannya adalah jelas, program itu dimulakan dengan majlis makan malam dan diikuti pengisian ceramah perdana yang disampaikan wakil-wakil pakatan pembangkang seperti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Anwar sendiri.
Menurut iklan itu, acara kemuncaknya ialah perisytiharan khas oleh Yusof berhubung kes 'fitnah 2' terhadap Ketua Pembangkang itu.
Apabila dijual nama ulama tersohor itu, sudah pasti orang ramai dengan penuh semangat akan hadir untuk mendengar sendiri amanat yang bakal disampaikan oleh tokoh itu.
Bagaimanapun, tunggu punya tunggu, kelibat Yusof tidak kelihatan, apa yang muncul ialah berkotak-kotak cakera padat video (VCD) memaparkan wajah ulama itu dan Anwar, kedua-duanya berwajah ceria.
Tajuknya ialah Fatwa mutakhir Dr. Yusof Al Qaradawi berhubung konspirasi II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diterbitkan oleh Women's Institute of Research Development and Advancement (WIRDA).
Nampaknya, kehadiran kira-kira 500 orang ramai ke majlis itu membuktikan bahawa usaha PKR memanipulasi kaedah pemasaran itu boleh dianggap berjaya walaupun mungkin jumlah sebenar penonton impiannya agak tersasar.
Tindakan terbaru Anwar tersebut jelas mengesahkan pandangan pemerhati politik bahawa penasihat parti yang hilang majoriti di Parlimen itu semakin terdesak, sehingga sekali lagi tampil membawa pihak luar bagi menyokong kes mahkamahnya.
Malam tadi, Anwar dengan penuh bersemangat, mendakwa, Yusof telah meminta beliau menyampaikan amanat fatwa itu kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sambil mendakwa beliau tidak mempunyai apa-apa agenda dengan VCD tersebut melainkan untuk menyebarkan amanat ulama tersohor itu, Anwar kemudiannya dengan penuh penghayatan menceritakan perbualan beliau dengan Yusof.
"Anwar kena ingat ini ialah mengenai isu hukum akhlak yang amat penting, ini merupakan fitnah kedua, ini bukan soal parti tetapi soal akidah. Kamu (Anwar) bertanggungjawab untuk menyebarkannya.
"Perbanyakkan dan edar, siapa yang terlibat termasuk Najib (Perdana Menteri), secara langsung atau tidak adalah hukumnya munafik.
"Siapa yang bertanggungjawab menyebarkannya pula jatuh hukumnya fasik, iaitu tidak boleh dipakai kesaksian mereka sampai bila-bila," katanya dalam ceramah perdana itu.
Cakera padat video dalam bahasa Arab itu disertakan dengan terjemahan dan ia diedarkan secara percuma kepada semua yang hadir pada program berkenaan.
Tambah Anwar, Yusof juga mengingatkan beliau supaya fatwa itu disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ramai di kalangan mereka masih tidak sedar dan memahaminya.
"Saya tiada kepentingan dalam penyebaran VCD ini, saya sedikit pun tidak tergugat langsung dengan kes ini, kerana saya tahu tidak bersalah," katanya.
Terdahulu semasa Azmin menyampaikan ucapan, berlaku kekecohan kecil apabila ceramah yang mulanya diadakan di pekarangan Kelab Sultan Sulaiman itu diarah supaya diadakan di dalam dewan memandangkan pihak penganjur tidak mendapat permit.
Kehadiran Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah menghangatkan lagi suasana walaupun sebelum itu keadaan sedikit sejuk apabila hujan renyai-renyai turun sebelum majlis itu berlangsung.
/hwa-utusan.

PKR hampir ulangi sejarah kegagalan parti serpihan

BH - 09/03/10
IMLAN ADABI
Kemelut dalaman, isu moral, agenda perjuangan Anwar semakin gugat keyakinan rakyatDATUK Seri Anwar Ibrahim terpaksa mengakui secara terbuka Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dilanda masalah, selepas merayakan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum, 8 Mac 2008.
Jika dua tahun lalu beliau dengan lantang menyuarakan projek 16 September untuk menawan Putrajaya, kini Ketua Umum PKR itu mengakui keadaan sudah berubah dan parti serpihan Umno itu berdepan pelbagai kemelut dalaman yang boleh menggugat keyakinan rakyat.
"Ini masalah kita, ada pengajaran juga... sekarang ini Keadilan (PKR) menghadapi masalah sedikit, tetapi pengajaran yang baik," katanya ketika menyampaikan ceramah politik di Pulau Gadong, Melaka, minggu lalu. B
eliau terpaksa berkata demikian kerana tiga anggota Parlimennya "Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas. Pada 2009, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan seorang DAP meninggalkan parti masing-masing menyebabkan pakatan pembangkang hilang kuasa di Perak.
Sabtu lalu pula, PKR bertindak memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin kerana dikatakan melanggar dasar parti. Beberapa lagi Ahli Parlimen dan Adun dijangka bertindak keluar parti dengan pelbagai alasan. Tindakan mereka tidak memeranjatkan kerana sebagai pertubuhan siasah yang baru, PKR belum mantap, sama ada dari segi ideologi, pengurusan kepartian dan kekuatan mental ahli berbanding apa dimiliki Umno, Pas dan DAP yang menjadi tunjang sistem berparti di negara ini.
Kemelut yang berlaku dalam PKR juga adalah ulangan dalam sejarah parti serpihan yang wujud di negara ini. PKR, seperti juga Parti Negara dan Semangat 46 adalah parti serpihan Umno, yang wujud selepas pemimpinnya tidak sebulu dengan pemimpin parti asalnya. Parti Negara ditubuhkan beberapa bulan sebelum pilihan raya pertama negara pada 1955 oleh Datuk Onn Jaafar kerana bercanggah pendapat dalam isu menuntut kemerdekaan dari Britain. Parti Negara gagal mendapat perhatian rakyat kerana Umno yang diterajui Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj berjaya menyatupadukan - gabungan Umno, MCA dan MIC yang mewakili penduduk pelbagai kaum. Semangat 46 pula ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai reaksi pengharaman Umno pada 1988.
Matlamat perjuangannya untuk memulihkan Umno asal dibatalkan kewujudannya selepas pertandingan jawatan Presiden Umno antara Tengku Razaleigh dan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987. PKR ditubuhkan pada 1999 ekoran hukuman penjara terhadap Anwar yang dikaitkan dengan isu salah laku dan moral. PKR tidak mempunyai agenda besar selain perjuangan untuk membela nasib Anwar yang dikatakan teraniaya.
Justeru, dengan lantang, PKR muncul bersama slogan menuntut keadilan, membanteras gejala rasuah, menentang salah guna kuasa dan pencabulan sistem kehakiman negara. PKR juga dengan bangga mendabik dada sebagai jaguh pelbagai kaum. Keahliannya dibuka kepada semua kaum.
Dasar parti pula dikaitkan dengan hak sama rata tanpa batasan agama dan bangsa. Perjuangan PKR yang diyakini suci berjaya menarik perhatian ramai pada 2008 ketika Umno diterajui pimpinan lemah ketika itu. Isu kaum, demokrasi, hak sama rata ekonomi menyebabkan timbul cadangan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang dikatakan menguntungkan segelintir pembesar Melayu.
Anwar dan rakan mereka dalam pakatan pembangkang membuktikan suara pembangkang semakin jelas apabila menafikan kerusi dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Mereka juga menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak (kini Perak dikuasai semula BN).
Bagaimanapun PKR tetap sebuah parti serpihan yang sukar untuk meneruskan perjuangannya. Pelbagai masalah dalaman berlaku secara ketara. Isu moral bukan rahsia umum. Pemilihan calon pada pilihan raya umum lalu menimbulkan pertikaian. Jika Umno, Pas dan DAP memilih calon terbaik yang diyakini kesetiaan kepada parti, PKR pula memilih orang yang bukan sepatutnya.
Justeru, tidak menghairankan apabila barisan wakil rakyat PKR boleh dipertikai kewibawaannya. Ada bekas posmen, pesara tentera, juru gambar dan "tauke demonstrasi" terpilih ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Latar belakang politik mereka amat meragukan. Sejarah parti serpihan berulang di atas paksi sama.
Serpihan Pas seperti Berjasa dan Hamim hanya wujud seketika di atas pentas politik tanah air. Berjasa ditubuhkan oleh Datuk Muhammad Nasir dan Datuk Wan Hashim Ahmad ekoran krisis politik di Kelantan pada 1977.
Hamim pula muncul selepas bekas Presiden Pas, Tan Sri Asri Muda tidak sebulu dengan ahli parti pimpinannya dan menubuhkan pertubuhan siasah baru. Kedua-dua parti itu hanya muncul tiga kali pilihan raya umum dan kemudian lenyap ditelan waktu. DAP juga tidak terkecuali menerbitkan parti serpihan sendiri iaitu Socialist Democratic Party (SDP) pimpinan bekas Ahli Parlimen Menglembu, Fan Yew Teng.
Krisis dalaman parti itu tiga dekad lalu tidak menggugat pimpinan Lim Kit Siang dan DAP. Yang lebur adalah parti serpihannya.
Begitu juga di Sabah apabila Berjaya yang ditubuhkan oleh Datuk Haris Salleh hanya muncul seketika untuk menggantikan Usno. Kini kedua-duanya lenyap dan Umno bertapak kukuh di Negeri di Bawah Bayu itu. Hampir semua parti serpihan berkubur tanpa pusara.
PKR juga bakal mengulangi drama yang sama jika sindrom melompat parti gagal dibendung. Dalam hal ini, Anwar bukan sekadar memerlukan kemahiran berpidato, juga kemahiran untuk meyakinkan ahli mengenai perjuangan parti. Parti yang tanpa sokongan ibarat kopi O tanpa gula.
Ia akan pahit dan terus menjadi igauan dalam sejarah politik tanah air. Apakah Anwar juga bakal tercatat dalam sejarah sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri yang terus kempunan menuju cita-cita siasahnya? Apakah sejarah Parti Negara, Semangat 46, SDP, Berjasa, Hamim dan Berjaya bakal berulang sekali lagi?
/hwa-b.harian.

Pemecatan Anwar daripada Kabinet sah - Mahkamah Persekutuan

UM - 08/03/2010 10:27am
PUTRAJAYA 8 Mac - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengisytiharkan bahawa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan dalam Kabinet 11 tahun lalu sah disisi undang-undang setelah rayuannya ditolak.
/hwa-utusan.

Nik Aziz tidak faham peranan mufti - Jamil Khir

UM - 08/03/2010 3:53pm
ROMPIN 8 Mac - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan sebagai mengamal fahaman politik sempit apabila menggelarkan seseorang mufti itu ejen parti politik jika mencampuri aspek kepimpinan negeri.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan, tanggapan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz itu menunjukkan Mursyidul Am Pas tersebut tidak memahami fungsi dan peranan mufti yang sebenar.
/hwa0-utusan.

Pemecatan Zulkifli bukti PKR tolak perjuangan Islam

UM - 08/03/2010
KUALA LUMPUR 7 Mac - Pergerakan Puteri UMNO menyifatkan pemecatan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah bukti parti itu secara terang-terangan menolak perjuangan Islam.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin juga percaya keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR itu akan membuka ruang yang lebih besar kepada lebih ramai pemimpin PKR meninggalkan parti tersebut.
Menurutnya, tindakan pemecatan Zulkifli menunjukkan bukti yang parti tersebut hanya memperjuangkan kepentingan pemimpin tertinggi mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Isu-isu berkepentingan rakyat yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan negara tidak mendapat tempat dalam agenda mereka,'' katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.
Rosnah berkata, keputusan pemecatan itu juga langsung tidak memberi peluang kepada Zulkifli untuk membela diri yang menunjukkan tiada ruang rundingan dan perbincangan antara pihak yang menjatuhkan hukuman dan pihak yang dihukum.
Menurut beliau, perkembangan terbaru ini juga menunjukkan seolah-olah perjuangan Zulikifli untuk mempertahan dan memperjuangkan Islam sama sekali bertentangan dengan perjuangan barisan kepimpinan PKR.
Katanya, apa yang berlaku semakin menunjukkan perjuangan barisan kepimpinan PKR hanya mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.
Tambah beliau, konsep ketelusan dan bersedia ditegur serta menerima pandangan rakyat ternyata perbuatan 'cakap tidak serupa bikin' apabila mereka memutuskan pemecatan Zulkifli.
''Barisan kepimpinan PKR hanya menghormati pandangan dan menjaga hati DAP, manakala Pas yang kononnya memperjuangkan Islam sanggup bersekongkol dengan Anwar menghalalkan yang haram,'' katanya.
Menurutnya, DAP hanya menyokong kuat Anwar untuk memastikan matlamat menegakkan perjuangan 'Malaysian Malaysia' tercapai.
/hwa-utusan.

UMNO Kulim-Bandar Baharu 'hulur tangan' kepada Zulkifli

ARKIB : UM - 08/03/2010
ALOR SETAR 7 Mac - Pemecatan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membuktikan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengamalkan demokrasi sebenar sebagaimana dilaungkan oleh pemimpin parti berkenaan.
Ketua UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, sebaliknya ia melambangkan sikap sebenar pemimpin PKR yang tidak boleh menerima kritikan walaupun ia untuk kebaikan parti itu dan negara.
"Pemimpin PKR hanya mengamalkan demokrasi terpilih, mereka hanya menjaja istilah demokrasi apabila perkara berkenaan menguntungkan pemimpin mereka tetapi sekiranya sesuatu perkara itu tidak memberi faedah kepada perjuangan mereka, ia ditolak begitu sahaja," katanya.
Aziz mengulas mengenai pemecatan Zulkifli daripada PKR oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan semalam dan majlis tersebut turut mendesak agar Ahli Parlimen itu mengosongkan kerusi Parlimennya.
Kelmarin, Zulkifli bertindak tegas meninggalkan sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR berhubung isu kalimah Allah kerana tidak berpuas hati dengan komposisi ahli panelnya yang turut dibarisi aktivis Kristian.
Abdul Aziz menjelaskan, orang ramai kini sudah boleh menilai perjuangan sebenar PKR dengan senario terbaru yang berlaku di dalam parti berkenaan.
Katanya, UMNO Kulim-Bandar Baharu lebih bersikap terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan Zulkifli yang merupakan Ahli Parlimen Bebas dalam usaha membangunkan kawasan berkenaan.
"Demi kepentingan rakyat, kita akan menghulurkan tangan menjalinkan kerjasama, kita boleh berunding bentuk bantuan yang beliau perlukan dalam perjuangannya," katanya.
Abdul Aziz merupakan calon Barisan Nasional (BN) yang ditewaskan oleh Zulkifli bagi kerusi Kulim-Bandar Baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
/hwa-utusan.

3 Mac 2010

Salah guna kuasa

UM - 03/03/10
Oleh SOPI SAMAILEdan MUHAMAD ZAID ADNAN
pengarang@utusan.com.my
KUCHING 2 Mac – Kuasa yang diberikan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menamatkan kontrak syarikat yang melaksanakan projek di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada bila-bila masa tanpa sebarang alasan, boleh dianggap sebagai salah guna kuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebarang kontrak tidak boleh ditamatkan melainkan kontraktor atau pemborong projek itu melanggar syarat-syarat utama tender kerana merupakan perjanjian antara pihak berkenaan dan kerajaan.
‘‘Kalau beliau (Guan Eng) gunakan kuasanya untuk menamatkan kontrak sewenang-wenangnya atau ikut suka hati beliau, itu boleh dianggap salah guna kuasa.
‘‘Sekiranya kerajaan negeri bertindak untuk menamatkan kontrak syarikat kontraktor tanpa sebarang sebab munasabah maka pihak berkenaan boleh menuntut ganti rugi daripada kerajaan kerana secara tidak langsung ia telah mengakibatkan kerugian kepada syarikat tersebut,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Ke-12 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di sini hari ini.
Semalam Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia cawangan Pulau Pinang, Datuk Mohamed Fadzill Hassan berkata, klausa baru dalam borang tender projek di bawah PDC yang memberi kuasa kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi PDC menamatkan kontrak pada bila-bila masa tanpa sebarang alasan boleh menyumbang kepada rasuah dan kronisme.
Dalam perkembangan lain, Najib memberitahu, setiap negeri perlu menerima kenyataan sekiranya tidak ada sekolah di negeri terbabit tersenarai dalam 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Beliau berkata, pemilihan sekolah itu dinilai dengan cara yang tegas dan berdasarkan faktor-faktor tertentu.
‘‘Bukan sahaja di Sarawak malah Pahang juga tidak mempunyai SBT dan kita harus menerima kenyataan itu,” jelas Perdana Menteri.
/hwa-utusan.

Keluar PKR

AHLI Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, selepas mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat pada sidang media di PNB Darby Park, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sairien Nafis.

'Henti serang peribadi saya'

UM - 03/03/10
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my MOHAMMAD Fairus Khairuddin (kiri) menerima sijil keahlian UMNO daripada Ab. Raof Yusoh, sambil diperhatikan oleh Ketua Pemuda UMNO Gombak, Megat Zulkarnain Umardin di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 2 Mac - Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini memberi amaran kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti pembangkang lain supaya berhenti daripada menyerang peribadinya.
Katanya, mereka harus sedar beliau sebelum ini merupakan seorang Timbalan Ketua Menteri dan pemimpin parti yang tentunya mengetahui banyak rahsia terutama dalam kerajaan Pulau Pinang serta PKR sendiri.
Justeru bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu mengingatkan, beliau sedia mendedahkan setiap kepincangan dan kelemahan di peringkat kerajaan Pulau Pinang atau PKR jika perbuatan mengaibkan dirinya itu tidak dihentikan segera.
"Jangan jolok sarang tebuan. Jangan cuba bermain api dengan saya. Mereka aibkan saya dengan pelbagai kenyataan yang tidak benar. Kepada mereka, saya ingatkan jangan sangka saya gentar dan takut.
"Ia sedikitpun tidak menjejaskan saya. Politik yang mereka amalkan adalah politik budak-budak yang langsung tidak melambangkan amalan politik yang lebih matang. Ingat, saya mengetahui banyak rahsia kerajaan Pulau Pinang dan PKR," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima sijil keahlian UMNO daripada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Raof Yusoh di Menara Datuk Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau mengulas pelbagai kenyataan oleh pucuk pimpinan PKR di media termasuk di beberapa laman blog mengenai tindakannya keluar PKR dan menyertai UMNO.
Antara pemimpin pembangkang yang mengeluarkan kenyataan ialah Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali yang mendakwa Mohammad Fairus merupakan liabiliti bagi PKR.
Syed Husin melalui laman web rasmi parti, www.keadilanrakyat.org di bawah tajuk Syukur Fairus Keluar Keadilan turut mendedahkan beberapa salah laku Mohammad Fairus.
Bagaimanapun Mohammad Fairus berkata, buat masa ini beliau tidak terdesak untuk menggunakan pendekatan mengaibkan orang lain kerana perbuatan itu bukannya jenis politik yang sihat serta ia tidak digalakkan di dalam Islam.
"Islam mengajar kita menutup aib saudara kita sendiri dan sebab itu saya amat hairan bagaimana tergamak pemimpin PKR bersikap demikian. Kita berpolitik untuk membela rakyat, menjaga rakyat dan bukannya mengaibkan orang lain.
"Saya sendiri tidak tergamak untuk melakukan perbuatan ini walaupun saya tahu banyak perkara tentang mereka. Saya amat berharap supaya mereka insaf," katanya.
Dalam pada itu Mohammad Fairus berkata, tindakan beberapa pemimpin PKR mempersoalkan kesetiaannya kepada parti tidak sepatutnya timbul.
Ujarnya, atas dasar kesetiaan beliau akur dengan arahan pucuk pimpinan meletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri dan ADUN Penanti.
"Apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta saya meletakkan jawatan, saya akur dan tidak membantah," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, adalah tidak adil apabila ada pihak menuduhnya gagal memberikan komitmen ketika menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Menteri.
"Pada masa itu saya baru setahun dilantik dan saya akui pada peringkat awal pelantikan, saya boleh dikatakan masih hijau dalam politik.
"Namun dalam tempoh itu saya belajar untuk menjadi seorang ahli politik yang matang.
"Alhamdulillah saya berjaya dan sedaya upaya cuba menjadi pemimpin yang baik untuk rakyat tetapi sebelum sempat meneruskan usaha membantu rakyat, saya diminta meletak jawatan," katanya.
/hwa-utusan.

Konflik PKR bukan kayu ukur kekuatan UMNO – Khairy

UM - 03/03/10
KUALA LUMPUR 2 Mac – Ahli-ahli UMNO diingatkan supaya tidak leka dan mengandaikan kononnya parti terbesar orang Melayu itu semakin kuat ekoran tindakan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar dari parti itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan, keadaan yang berlaku dalam PKR itu tidak ada kena mengena dengan UMNO.
Katanya, ia cuma boleh memberi gambaran bahawa parti yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu semakin ditolak oleh rakyat.
Apa yang penting, kata beliau, UMNO perlu muncul sebagai sebuah parti terbaik dalam konteks membela, menjaga dan memelihara kebajikan rakyat.
“Jangan sesekali kita andaikan UMNO menjadi kuat berikutan keluarnya beberapa pemimpin PKR sejak akhir-akhir ini. Tindakan pemimpin-pemimpin terbabit tidak ada kena mengena dengan kita.
“Keadaan itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur terhadap kekuatan UMNO dan mesej ini perlu disampaikan kepada semua pihak di dalam UMNO,’’ katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda UMNO di Menara Datuk Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan keluar PKR oleh beberapa pemimpin parti itu antaranya bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim; Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim; bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng.
Khairy sebelum ini pernah memberi reaksi bahawa dilema, kecelaruan dan konflik dalaman pakatan pembangkang hendaklah dijadikan iktibar oleh BN supaya tidak leka dan seronok dengan keadaan berkenaan.
Dalam pada itu Khairy berkata, konflik yang berlaku dalam PKR ketika ini adalah berpunca daripada hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan khususnya Anwar.
/hwa-utusan.

Tindakan Tee Beng berani - UMNO

UM - 03/03/10
PULAU PINANG 2 Mac - Badan Perhubungan UMNO negeri menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai berani.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, langkah tersebut juga jelas menunjukkan ketegasan dan prinsip Tee Beng untuk tidak berkompromi dengan perjuangan PKR yang semakin tersasar.
Jelasnya lagi, pada pilihan raya umum lalu, Tee Beng menang di Nibong Tebal atas tiket PKR, maka adalah wajar tindakan 'angkat kaki' itu jika merasakan parti berkenaan tidak lagi berjuang demi rakyat.
''Kita juga percaya, pengikut dia (Tee Beng) juga menyokong tindakannya dan kita berharap lebih ramai lagi ahli pakatan pembangkang yang berani macam Tee Beng," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Tee Beng mengumumkan keluar dari PKR dan meletakan semua jawatan dalam parti serta memilih menjadi wakil rakyat Bebas berkuat kuasa serta-merta kerana kecewa dengan kerenah kepimpinan tertinggi parti itu.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan keputusan Tee Beng untuk menjadi wakil rakyat Bebas sekali gus memudahkan kerjasama antara mereka.
Zainal Abidin yang tewas kepada Tee Beng pada pilihan raya umum lalu turut menasihatkannya supaya tidak mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat walaupun telah menjadi wakil rakyat bebas.
''Kita bersedia menjalinkan kerjasama dengan dia, mungkin sebelum ini agak sukar direalisasikan, namun status wakil rakyat bebas yang dipegang diharap mampu membuka lebih banyak ruang bagi tujuan itu," ujarnya.
/hwa-utusan.

Syed Husin ada dendam peribadi - Salehuddin

UM - 03/03/10
KUALA LUMPUR 2 Mac - Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim menempelak Dr. Syed Husin Ali kerana mahu meneruskan dendam peribadi yang bersifat kebudak-budakan terhadapnya.
Beliau menegaskan, perkara itu amat melucukan kerana sebagai seorang yang bergelar Timbalan Presiden, Syed Husin sepatutnya membantu parti sewaktu pemimpinnya terbelenggu dengan masalah peribadi.
Katanya, sikap itu dengan sendirinya mencerminkan kecetekan pemikiran politik yang melanda pemimpin PKR.
"Saya harap Syed Husin yang tinggi kaliber, sekurang-kurangnya menaikkan standard beliau daripada standard kebudak-budakan demi rakyat yang dahaga perubahan.
"Tetapi saya faham, buluh tua tidak boleh dilentur lagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan keras itu reaksi balas kepada kenyataan akhbar Syed Husin bertajuk Apa Hal Salehuddin Hashim? yang antara lain memaklumkan bahawa bekas Setiausaha Agung PKR itu menerima gaji RM9,000 sebulan walaupun ramai yang menganggap khidmatnya adalah percuma.
Selain itu, Syed Husin mendakwa kemarahan Salehuddin memuncak apabila 'permohonannya' untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) Selangor iaitu Kumpulan Perangsang dengan gaji lebih RM50,000 sebulan ditolak sebelum beliau meletakkan jawatan.
Mengenai gaji RM9,000 sebulan sebagai Setiausaha Agung PKR, Salehuddin menjelaskan ia adalah kecil berbanding masa yang dicurahkan dan gaji terakhirnya sebelum bersara.
Jelas beliau, jumlah itu juga adalah lebih rendah daripada bayaran yang dibuat PKR kepada pelbagai individu di dalam dan luar parti untuk 'menggembira dan mendiamkan' mereka tanpa perlu berbuat apa-apa.
Tambahan pula, katanya, sebelum itu beliau telah empat tahun berkhidmat sebagai Setiausaha Pengelola dan Ketua Staf kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sepenuh masa selama empat tahun tanpa bayaran.
Berhubung isu jawatan dalam Kumpulan Perangsang, Salehuddin mengakui kecewa dengan insiden itu namun tidak mahu mengulas lanjut kerana ia akan memalukan Anwar.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa Anwar sendiri tidak tahu-menahu tentang kenyataan akhbar yang dibuat oleh Syed Husin.
Sehubungan itu Salehuddin mengingatkan Syed Husin supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan yang melalut kerana beliau mempunyai rekod penghantaran e-mel sulit kepada Anwar berhubung isu jawatan tersebut.
"Anwar sendiri mengarahkan saya untuk mengambil tugas dan tanggungjawab tersebut bagi memenuhi aspirasi parti walaupun saya agak keberatan.
"Saya menjawab saya hanya akan mengambil tugas tersebut jika saya dibayar RM1 sebulan," tegasnya.
/hwa-utusan.

PKR 'hamba' DAP - PCM

UM - 03/03/10
PULAU PINANG 2 Mac - Parti Cinta Malaysia (PCM) menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tepat memandangkan parti tersebut selama ini merupakan 'hamba' kepada DAP.
Naib Presiden PCM, Huan Cheng Guan berkata, tiada guna Tee Beng berada di dalam PKR kerana pengorbanan dan khidmat yang dicurahkannya hanya untuk kepentingan DAP.
"Keputusan Tee Beng untuk menarik diri dari PKR adalah tepat.
"Selama ini kita nampak bahawa PKR seperti seorang hamba kepada tuannya, iaitu DAP," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengulas mengenai tindakan Tee Beng keluar PKR berkuat kuasa semalam kerana kecewa dengan kerenah kepimpinan tertinggi parti itu.
/hwa-utusan.

Lagi Ahli Parlimen PKR keluar parti jadi Bebas

UM - 03/03/2010 12:17pm
KUALA LUMPUR 3 Mac - Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri hari ini umum keluar PKR kerana kecewa pakatan pembangkang mengkritik institusi raja dan kehakiman dan tidak puas hati sikap PKR menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Beliau juga meletak semua jawatan dalam parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.
/hwa-utusan.

PKR hilang kepercayaan

UM - 03/03/10
Oleh SOPI SAMAILE dan MUHAMAD ZAID ADNAN
Najib Tun Razak, Rosmah Mansor, Abdul Taib Mahmud dan para pemimpin lain mengibarkan bendera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan Barisan Nasional pada majlis perasmian Perhimpunan Agung PBB Ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, semalam. - bernama
******
KUCHING 2 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan parti itu menunjukkan ahli dan pemimpinnya semakin hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan PKR.
Menurut Perdana Menteri, keadaan itu merupakan asas yang menunjukkan keretakan dalam PKR bukan perkara baru, sebaliknya sudah lama berlaku.
''Jadi, itu merupakan asas pokok untuk mereka membuat keputusan meninggalkan PKR," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai langkah beberapa pemimpin PKR keluar parti tersebut sejak kebelakangan ini.
Terbaru ia melibatkan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin, Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohammed Hashim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng.
Mengenai keinginan Mohammad Fairus untuk menyertai UMNO, Najib memberitahu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti itu merasakan sudah dikhianati oleh pucuk pimpinan PKR.
Katanya, Mohamad Fairus mengatakan yang dirinya difitnah serta dianiaya hingga merasakan sudah tiba masanya untuk bertindak menyertai UMNO.
Terdahulu dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung PBB, Najib turut menyifatkan PKR sebagai parti yang 'menyendeng' dengan menabur pelbagai janji termasuk bintang serta bulan tetapi satu demi satu wakil rakyatnya mula hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti berkenaan.
''Ada orang berbisik sesuatu kepada saya bahawa PKR itu adalah 'Parti Kian Rebah' dan kita tidak perlu orang yang tidak terbukti sebagai pembangkang," ujarnya.
/hwa-utusan.

1 Mac 2010

Mara berubah dengan semangat “AL-MARARI"

BERNAMA - 01/03/2010 4:16pm
KUALA LUMPUR 1 Mac — Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang genap 44 tahun hari ini, akan bergerak dengan semangat baru yang dikenali sebagai “Al-Marari” untuk menjadi lebih cemerlang, kompetitif dan global.
Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, “Al-Marari” adalah semangat perjuangan dan pemikiran baru Mara yang bakal membawa organisasi itu menjadi sebuah organisasi bertaraf global.
"Bukan hanya bertaraf global, tetapi juga cemerlang dan kompetitif di peringkat global, satu semangat dan pemikiran baru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis bacaan Yassin dan tahlil sempena ulang tahun Mara yang ke-44.
Beliau berkata, Mara juga akan bermula dengan semangat “Azharvard compatible" iaitu gabungan antara Azhar dan Havard bagi memastikan pelajar yang menamatkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mampu ke Universiti Al-Azhar dan Universiti Havard.
Ditanya mengenai sasaran Mara pada ulang tahun penubuhannya yang ke-50 nanti, beliau berkata: “Enam tahun akan datang kita akan pergi global sepenuhnya, sekarang ni kita masih lagi mengasah semangat dan bakat”.
/hwa-utusan.

Fairus Sertai UMNO

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meneliti borang keahlian UMNO yang diserahkan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin (kiri) pada majlis perjumpaan Kepimpinan Tertinggi Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, di Kuala Lumpur, 28 Feb. - Utusan

Fairus keluar PKR sertai UMNO

UM - 01/03/10
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
pengarang@utusan.com.my
Najib Tun Razak bersalaman dengan Mohammad Fairus Khairuddin ketika menghadiri majlis Perjumpaan Kepimpinan Tertinggi PSSGM di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 28 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima satu lagi tamparan apabila bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin mengumumkan keluar parti itu dan menyertai UMNO.
Beliau membuat pengumuman itu sewaktu berucap di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis perjumpaan kepimpinan tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) di sini malam ini.
Menurut Mohammad Fairus, keputusan itu dibuat kerana beliau sudah hilang kepercayaan terhadap PKR dan perasaan itu semakin memuncak berikutan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
Katanya, sebelum membuat pengumuman pada malam ini, beliau telah melakukan solat sunat istikharah selama tiga bulan bagi mencari kepastian.
Menurutnya, ini kerana melalui proses itu beliau telah berjaya mendapat petunjuk jelas mengenai keperluannya meninggalkan PKR.
"Dengan lafaz 'bismillahirrahmanirrahim,' saya dengan ini atas dasar mempertahankan prinsip memperjuangkan agama, bangsa, tanah air serta kepentingan rakyat Malaysia, saya mengumumkan penyertaan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Dengan sendirinya (saya) keluar PKR atas dasar hilang kepercayaan terhadap parti tersebut. Insya-Allah saya berdoa agar diberi kekuatan serta bimbingan dalam urusan perjuangan menggunakan wadah baru ini," katanya.
Mohammad Fairus memberitahu, keputusan itu juga didorong oleh dua prinsip peribadinya yang tidak akan dikompromi selama-lamanya.
Katanya, prinsip itu ialah sentiasa membela kedaulatan dan ketinggian Islam serta kedaulatan bangsa yang tidak akan sesekali diperkotak-katikkan.
Tegasnya, beliau juga telah membuktikan kata-katanya dengan melepaskan semua perkara yang berkaitan kepentingan dirinya.
Pada April tahun lalu, Fairus yang merupakan ADUN Penanti meletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri dan juga mengosongkan kerusinya.
Sementara itu, Najib berkata, keputusan Mohammad Fairus menyertai UMNO adalah sesuatu yang bersejarah kepada parti itu.
Perdana Menteri berkata, ini memandangkan beliau pernah menyandang jawatan penting dalam pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau yakin penyertaan Mohammad Fairus ke dalam UMNO akan membolehkannya memberi sumbangan besar kepada perjuangan parti bagi membela bangsa dan agama.
"Saya atas nama Presiden UMNO menyatakan kami terima anak muda ini dengan senang hati kerana saya tahu saudara Mohammad Fairus ambil keputusan ini atas dasar prinsip dan bukannya bagi mendapatkan jawatan dan ganjaran," katanya.
Menurut Najib, beliau telah meneliti ucapan Mohammad Fairus pada malam itu dan mendapati ia sangat bernas, mantap dan bersemangat.
"Saya amati ucapannya dan saya dapati dia sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR yang didapatinya tidak lagi mempertahankan soal-soal prinsip yang dipegang olehnya.
"Ini melibatkan soal martabat dan maruah bangsa serta agama Islam. Oleh itu, anak muda ini pada hari ini, saya isytiharkan bahawa dia kini sama-sama berada dalam kalangan parti UMNO," katanya.
Malam ini, Najib dianugerahkan Anugerah Sandang Mahkota Agung Seri Pelangi Sakti PSSGM kerana sokongannya kepada pertubuhan silat itu.
/hwa-utusan.

Tan Tee Beng, ADUN Nibong Tebal PKR keluar parti

UM - 01/03/2010 11:57am
NIBONG TEBAL 1 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nibong Tebal dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Tee Beng hari ini mengambil keputusan keluar parti.
/hwa-Utusan