15 April 2010

Percaturan 'tiga anak Ibrahim'

UM - 15/04/2010
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
SEORANG pemimpin muda Pas ketika ditanya apakah akan berlaku jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, beliau menjawab, 'pembangkang sudah kalah di pusingan awal.'
Kenyataan itu dibuat kerana pemimpin muda tersebut amat memahami sentimen di dalam Pas yang sudah pasti tidak selesa apabila Zaid yang sebelum ini pernah menentang pelaksanaan hukum hudud perlu dibantu untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya berkenaan.
Untuk rekod, Zaid pernah menyaman kerajaan negeri Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 beberapa tahun lalu dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, Zaid menarik balik saman tersebut.
''Pas tidak terlibat dalam memilih calon kerana segala-galanya terletak di tangan PKR, mereka yang buat keputusan. Oleh itu, suka atau tidak suka, Pas hanya perlu menyokong sahaja," katanya dalam pertemuan dengan penulis di sebuah restoran di Kuala Lumpur kelmarin beberapa jam sebelum Zaid disahkan sebagai calon PKR.
Sememangnya pemilihan Zaid agak mengejutkan ramai pihak bukan sahaja di kalangan ahli pakatan pembangkang, malah di luar parti pun turut tertanya-tanya apa keistimewaan Zaid sehingga beliau mampu menjadi pilihan utama kepada pucuk pimpinan PKR berbanding dengan beberapa calon yang disebut-sebut sebelum ini.
Antara mereka ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Samsul Iskandar; bekas calon PKR pada pilihan raya umum 1999, Dr. Halili Rahmat dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamad.
Bagaimanapun, ternyata sekali Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan disokong oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mahu Zaid bertanding. Ia kerana menurut sumber, Anwar mahu 'menghantar semula' Zaid ke Parlimen.
Mengulas perkara ini, penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pilihan raya kecil itu adalah pilihan raya yang merupakan 'talian hayat' kepada pakatan pembangkang yang mana kemenangan mampu meningkatkan semula sokongan rakyat terhadap pembangkang yang dilihat kebelakangan ini sudah semakin suram.
''Oleh itu, perletakan Zaid sebagai calon dilihat sebagai satu usaha terdesak yang cuba untuk mengambil kesempatan terhadap keinginan rakyat yang sememangnya dari awal inginkan calon Melayu sebagai wakil Parlimen mereka," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, dari sudut strategik, sebenarnya PKR telah melakukan satu perjudian besar dan terlalu berisiko apabila meletakkan Zaid memandangkan beliau boleh dianggap sebagai calon yang disifatkan sebagai berprofil tinggi.
''Jika beliau mengalami kekalahan dalam pilihan raya ini, maka sudah pastilah arena beliau dalam politik pembangkang arus perdana juga akan terjejas. Kelibat beliau sebagai seorang yang disegani dan mendapat sokongan penuh para pemimpin PKR sudah pasti akan dinilai dan dipersoalkan semula oleh ahli terutamanya tentang kerelevanannya dalam pimpinan PKR pusat sendiri," katanya.
Berdasarkan pandangan Ahmad Masrizal ini, ia menyaksikan pertarungan pembangkang di Hulu Selangor lebih kepada percaturan 'tiga anak Ibrahim' iaitu Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim dan Zaid Ibrahim.
Ketiga-tiga mereka bertanggungjawab menyusun strategi untuk mempertahankan kerusi berkenaan yang sebelum ini dimenangi dengan majoriti tipis iaitu 198 undi. Di atas pentas Anwar akan menabur janji, di bilik gerakan Khalid menyusun strategi dan di lapangan Zaid menagih undi.
Penulis difahamkan, PKR tidak mahu mengikut rentak Barisan Nasional (BN) yang mengesahkan akan meletakkan calon dari MIC kerana begitu yakin bahawa undi orang Melayu akan memihak kepada mereka, biarpun siapa juga calon PKR.
Namun begitu satu fakta yang harus diperingatkan Zaid pernah mempersoalkan status orang Melayu sewaktu berucap dalam persidangan Law Asia 2008 apabila menyifatkan konsep ketuanan Melayu menyebabkan berlakunya pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar di negara ini.
Oleh itu, meletakkan Zaid sebagai calon bukanlah satu percaturan terbaik kecuali PKR merasakan kalau pun kalah, ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan atau maksudnya, tiada apa-apa yang merugikan. Ini kerana Zaid bukan orang Kuala Kubu Baharu tetapi orang Kota Bahru, Kelantan. Jadi, beliau masih boleh bertanding di Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang kalau tewas di Hulu Selangor.
Ini berbeza jika PKR meletakkan anak tempatan, kalau calon itu tewas sudah tentulah ia menjejaskan kredibiliti calon tersebut sekali gus menyulitkan PKR untuk mempertaruhkannya pada pilihan raya umum akan datang.
Pemilihan Zaid yang pernah bercuti selama enam bulan daripada aktiviti PKR pada Oktober lalu juga, sudah tentulah mewujudkan persoalan mengenai apa yang hendak dilakukan oleh Pas dalam membantu jentera pembangkang di Hulu Selangor. Ini kerana sanggupkah mereka memenangkan seorang individu yang suatu ketika dahulu pernah menentang apa yang hendak dilaksanakan oleh parti tersebut.
''Itulah masalahnya tetapi kita akan tetap bekerja keras kerana apa yang penting kita ingin memastikan jentera Pas menang, walaupun PKR mungkin kalah dalam pilihan raya ini," kata pemimpin muda parti itu.
Sememangnya, jentera Pas menjadi harapan PKR dan DAP untuk menggerakkan kempen. Penulis diberitahu awal-awal lagi, parti itu sudah menempah berpuluh-puluh buah rumah di kawasan Parlimen berkenaan untuk dijadikan pusat gerakan, itulah semangat parti yang memperjuangkan hukum hudud tersebut.
Malangnya jentera Pas yang akan bekerja siang dan malam untuk memastikan kemenangan seorang calon yang mungkin sebahagian besar ahli parti itu tidak begitu menyenanginya. Kalau mereka hendak mengharapkan jentera PKR atau DAP, ia pasti mengecewakan.
Oleh itu, pemimpin-pemimpin Pas perlu bersedia untuk memberi jawapan yang bernas jika ditanya mengenai hubungan parti itu dengan Zaid sebelum ini termasuklah sanggupkah mereka menambah seorang lagi Ahli Parlimen dalam pembangkang yang sudah pasti tidak akan 'selari' dengan dasar yang diperjuangkan oleh Pas.
Tetapi bak kata seorang pemimpin Pas kepada penulis, mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh Pas adalah lebih mudah berbanding kerusi PKR kerana di dalam PKR, terlalu banyak masalah.
Bagaimanapun, BN tidak boleh memandang remeh cabaran pembangkang dengan hanya berasaskan kepada pertimbangan bahawa calon PKR adalah orang luar atau merasakan Hulu Selangor adalah kubu kuat BN atau tidak digemari oleh Pas.
Tambahan pula difahamkan Anwar dan Khalid bertindak meletakkan Zaid setelah mereka dikatakan mendapat isyarat daripada sebahagian besar pengundi Cina di Hulu Selangor yang mahukan Zaid, selain ada sentimen kekecewaan di kalangan sesetengah orang Melayu yang mahukan UMNO bertanding.
Semua fakta ini seharusnya memberi peringatan kepada BN bahawa perjuangan di kawasan yang dikatakan kubu kuat mereka bukanlah semudah yang disangka biarpun BN berpeluang untuk merampas kembali kerusi tersebut.
/hwa-utusan.com.my

Zaid Ibrahim tanding Hulu Selangor

UM - 14/04/2010
HULU SELANGOR 13 April – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang pernah memperlekehkan konsep ketuanan Melayu diumumkan sebagai calon untuk menggalas cabaran parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.
Pencalonan Zaid yang dipecat daripada UMNO pada Disember 2008 diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis ceramah di Pusat Komuniti Serendah di sini malam ini.
Pengumuman itu sekali gus menutup peluang Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md. Akin dan Bendahari PKR Cabang Hulu Selangor, Dr. Halili Rahmat yang turut disebut-sebut mempunyai potensi sebagai calon.
Anwar sewaktu berucap berkata, Zaid dipilih kerana PKR mahu meletakkan calon yang sudah teruji dalam politik.
Katanya, Zaid mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana sanggup meletakkan jawatan sebagai menteri demi mempertahankan hak rakyat.
“Lepas jadi ahli parti, dia menjelajah ke seluruh negara dan dia ada beritahu saya jika dipilih sebagai calon, dia akan bekerja dan jika tidak dipilih, dia pun akan bekerja seperti biasa.
“Dia pun bukannya orang luar kerana telah bermastautin selama 30 tahun di Selangor,” katanya.
Sementara itu, Zaid dalam reaksi segera dalam majlis itu berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana memberi kepercayaan kepadanya walau pun baru menjadi ahli PKR.
Beliau melahirkan keyakinan kerana mampu menjadi suara rakyat Hulu Selangor dan Selangor.
“Saya terima dengan penuh keinsafan bahawa beban yang dipikul Anwar dan rakan-rakan amat berat.
Zaid dikenali ramai sebagai pemimpin kontroversi kerana pernah mempersoalkan status orang Melayu sewaktu berucap dalam Persidangan LawAsia 2008 apabila menyifatkan konsep ketuanan Melayu menyebabkan berlakunya pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar di negara ini.
Berikutan itu, Zaid dihujani kritikan termasuklah kenyataan keras bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendesaknya keluar daripada rumpun bangsa Melayu.
Sementara itu, sumber dalaman Pas memberitahu Utusan Malaysia bahawa pemilihan Zaid menimbulkan dilema kepada jentera pilihan raya Pas kerana beliau pernah menyaman kerajaan negeri Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 beberapa tahun lalu dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Zaid menarik balik saman tersebut selepas itu. Sumber itu berkata, Pas juga tidak dibawa berunding oleh PKR dalam soal pemilihan calon, sebaliknya membuat keputusan secara bersendirian.
“Sebenarnya kami berdepan dilema, lebih-lebih lagi Zaid adalah orang yang menyaman kerajaan Pas Kelantan dalam isu hudud, tapi apa boleh buat, PKR tidak berunding dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang,” katanya.
Tindakan Zaid pada masa itu dikecam oleh kepimpinan kerajaan Pas Kelantan termasuklah Exco kanan, Datuk Husam Musa yang menyifatkan sebelum ini tidak pernah ada orang Islam yang sanggup mencabar hukum Allah di mahkamah.
/hwa-utusan.com.my

200 keluar PKR Kulim sertai MIC

UM - 14/04/2010
KULIM 13 April - Setelah sekian lama berasa tertipu dengan janji manis Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekumpulan 200 penyokong parti pembangkang itu di kawasan Parlimen Kulim/Bandar Baharu bertindak menyertai MIC semalam.
Mereka menyerahkan borang keahlian MIC kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pada satu majlis di Taman Tunku Putra, hari ini.
G. Thanagaran yang mengetuai kumpulan itu berkata, rata-rata masyarakat India di kampung itu mengambil keputusan berkenaan kerana tidak yakin lagi dengan perjuangan PKR yang hanya pandai berjanji namun gagal menunaikannya.
Malah, dakwanya, para pemimpin PKR termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Lim Soo Nee tidak mempedulikan masalah yang dihadapi rakyat meskipun beberapa kali diadukan kepadanya.
"Yang Berhormat Lim (Soo Nee) tidak pernah menunjukkan muka kepada penduduk di kawasan ini walhal sebelum ini kami memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjadi wakil rakyat.
"Akibatnya banyak isu yang dihadapi kami tidak selesai. Jika dibiarkan berterusan, kami khuatir nasib tidak akan terbela. Sebab itulah, kami tak percaya lagi kepada PKR," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, bekas Ketua PKR cawangan Taman Tunku Putra, M. Verasamy berkata, pihaknya juga mengambil langkah meninggalkan PKR dan membubarkan cawangan itu selepas menyedari perjuangan PKR tidak berfungsi seperti yang digambarkan di peringkat awal kononnya untuk membela nasib rakyat.
Abdul Aziz pula berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyertaan penyokong pembangkang menyertai MIC dan mengembalikan kekuatan BN di Kedah.
/hwa-utusan.com.my

13 April 2010

Najib temui Obama

UM - 13/04/2010
OTHMAN MOHAMAD
BARACK Obama mengadakan perbincangan dua hala dengan Najib Tun Razak di Washington Convention Center sebelum mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington, Amerika Syarikat, semalam. – AFP

WASHINGTON 12 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Walter E. Washington Convention Center di sini, sebelum mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di tempat yang sama.
Pertemuan kira-kira setengah jam itu yang membuka lembaran baru dalam hubungan Kuala Lumpur-Washington turut disertai oleh Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dan tujuh lagi pegawai tinggi kerajaan.
Rais yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebelum ini memberitahu wartawan Malaysia, pertemuan hari ini akan menyentuh pelbagai perkara mengenai kepentingan bersama dan antarabangsa.
Ini termasuk soal perdagangan dan pelaburan, keselamatan antarabangsa dan rantau Asia Tenggara serta peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam konteks dunia Islam.
Najib juga mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden AS, Joseph Biden di kediaman rasminya di sini sebelum kembali semula ke Walter E. Washington Convention Center.
Sebelum ke sidang kemuncak dua hari itu, Perdana Menteri mengambil kesempatan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand, John Key yang turut menghadiri sidang kemuncak itu yang disertai oleh 47 pemimpin dunia.
Sidang kemuncak yang bertujuan menangani isu-isu berkaitan senjata nuklear bermula selepas itu dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Obama.
Najib akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara AS, Hilary Clinton pada majlis makan malam.
/hwa-utusan.com.my

Calon BN anak tempatan

UM - 13/04/10
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my
RAWANG 12 April - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ialah anak tempatan dari kawasan itu.
Katanya, kriteria calon berkenaan menepati apa yang dikehendaki rakyat termasuk bebas daripada sebarang skandal peribadi dan berkelulusan tinggi.
"Kita sedang mendengar dan mengumpul pandangan daripada semua pihak. Sudah ada input tentang apa yang dikehendaki pengundi di sini dan kita akan ambil kira apa yang rakyat mahukan.
"Macam kita ambil kira pandangan di Pilihan Raya Kecil Dewan UNdangan Negeri Bagan Pinang dulu. Semua pihak sudah menyatakan pandangan mereka dengan lantang dan kita ambil yang terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan geran permulaan prasekolah swasta di Tadika Wawasan Gemilang di Bandar Sungai Buaya di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, calon yang akan dipilih nanti adalah seorang yang diyakini akan dapat bekerjasama dengan pemimpin bawahan dan bersifat amanah untuk berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar telah mendapatkan segala maklum balas berhubung kehendak pengundi di Parlimen Hulu Selangor.
"Pada akhirnya keputusan siapa calon BN di sini akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
Sementara itu Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu ketika ditemui pada majlis tersebut enggan mengulas mengenai calon BN daripada parti itu yang akan bertanding nanti.
Katanya, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk memutuskan soal pemilihan calon yang bertanding di kawasan itu nanti.
/hwa-utusan.com.my

12 April 2010

Anak tempatan calon PRK Hulu Selangor - Muhyiddin

BERNAMA - 12/04/2010 1:43pm
RAWANG 12 April - Calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini adalah anak tempatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, senarai calon sudah hampir disenarai pendek tetapi enggan mengulas mengenai bilangan calon BN itu.
"Kita ada beribu tokoh di Hulu Selangor, hampir-hampir nak shortlist. Dalam tempoh tiga hari lagi, akan tahulah (calon) dari Hulu Selangor.
“Insya allah daripada orang tempatanlah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran permulaan prasekolah swasta Kementerian Pelajaran di Bandar Sungai Buaya di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN berkata, banyak faktor yang diambil kira dalam menentukan calon termasuk latar belakang, kelayakan dan boleh bekerjasama dengan pemimpin.
"Mana yang rakyat mahukan, yang difikirkan boleh menjalankan amanah sebagai wakil mereka, tidak ada skandal, latar belakang yang berkelayakan dan berkelulusan tinggi, yang boleh bekerjasama dengan pemimpin di bawah apa lagi melaksanakan program-program pembangunan sosio ekonomi,” katanya.
/hwa-utusan.com.my

11 April 2010

Tiada kompromi - Mohd. Shukri

MM - 11/04/10

Oleh KAMARUDIN HAMZAH
utusanterengganu@utusan.com.my
Idris Jusoh bersalaman dengan anggota polis pada Karnival Polis Diraja Malaysia Bersama Masyarakat di Besut, semalam. - mingguan/Kamarudin Hamzah
*****
BESUT 10 April - Polis Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai di negeri ini yang terbukti terlibat dalam masalah disiplin termasuk kes rasuah dan dadah.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, mana-mana anggota dan pegawai yang gagal menjaga imej polis akan berhadapan dengan tindakan tegas.
Katanya, tindakan itu bagi memastikan imej polis sentiasa terpelihara dan tidak dicemari dengan perbuatan negatif oleh segelintir anggotanya.
"Saya memandang serius dakwaan yang menyatakan terdapat segelintir anggota polis di negeri ini terbabit dengan kesalahan tatatertib termasuk penyalahgunaan kuasa," katanya.
Mohd. Shukri ditemui pada majlis Karnival Polis Diraja Malaysia bersama masyarakat Besut yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan beberapa akhbar tempatan hari ini yang melaporkan pembabitan beberapa anggota kes peras ugut dan pembabitan dengan dadah.
Ditanya mengenai laporan itu, beliau memberi jaminan akan menyiasatnya dengan adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Mengenai kes dadah membabitkan anggota polis negeri ini, beliau berkata, setakat ini, siasatan sedang dilakukan terhadap tujuh orang anggota iaitu tiga dari Pasukan Gerakan Marin, dan dua anggota masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Balai Polis Gong Badak. "Sampel air kencing kesemua anggota terbabit masih di peringkat saringan. Sekiranya mereka didapati positif, tindakan sewajarnya akan diambil," tegasnya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, Polis Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM1 juta untuk projek membaik pulih bangunan lama melibatkan balai-balai dan IPD di negeri ini.
/hwa-utusan.com.my

AS minta nasihat Malaysia

MM - 11/04/10
DR. Jamaludin Jarjis menunjukkan akhbar The Washington Times yang menyiarkan berita dan gambar mengenai Malaysia pada majlis taklimat kepada media sempena lawatan Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat di Kedutaan Malaysia di Washington, kelmarin. - BERNAMA
*****
WASHINGTON 10 April - Kunjungan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) kali ini, yang kedua selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri, dijangka membawa makna besar dalam konteks hubungan Malaysia-AS dan AS dengan dunia Islam.
Presiden Barack Obama difahamkan akan meminta nasihat Kuala Lumpur dalam usaha memperbaiki hubungan AS dengan negara-negara Islam seperti mana sikap keterbukaan terhadap dunia Islam yang dinyatakannya ketika berada di Universiti Al-Azhar, Mesir baru-baru ini.
Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis membayangkan perkara itu kepada wartawan Malaysia yang berada di sini bagi membuat liputan lawatan kerja Najib ke AS bermula hari ini sehingga 16 April. Kali pertama beliau melawat AS atas kapasiti Perdana Menteri ialah November lepas.
Perdana Menteri yang tiba tengah hari ini akan turut menyertai Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di sini pada Isnin dan Selasa ini, juga atas jemputan Obama.
"Perubahan agak mendadak... cara AS melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam maju dan contoh kepada negara Islam lain. Semestinya kerajaan menimbang 'mengkaji' hubungan dengan AS," jelasnya.
Jamaludin berkata, perkembangan tersebut amat jelas apabila Malaysia, yang bukan pun negara nuklear, diundang menyertai sidang kemuncak berkenaan. Sebanyak 44 pemimpin dunia dijemput mengikuti sidang kemuncak itu.
Malah, jelas beliau, Najib merupakan satu-satunya pemimpin dari ASEAN dan salah seorang daripada dua pemimpin Asia yang akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Obama.
Pertemuan Najib-Obama akan berlangsung sejurus sebelum Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear bermula. China adalah negara kedua di Asia yang akan mengadakan perbincangan dua hala dengan AS.
"Jemputan Obama kepada Perdana Menteri bagi menghadiri sidang kemuncak ini suatu kebanggaan kepada Malaysia kerana kita bukan sebuah negara nuklear; dan nampak ia satu anjakan bukan sahaja dalam hubungan dua hala Malaysia-AS malah hubungan AS dengan negara-negara Islam secara keseluruhan," jelas Jamaludin.
Obama hanya mengadakan perbincangan dua hala dengan sembilan sahaja daripada para pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak itu yang antara lain bertujuan memberi fokus kepada soal keselamatan bahan-bahan nuklear selain memastikan teknologi nuklear tidak jatuh ke tangan pengganas.
Selain Obama, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan pada majlis makan tengah hari pada Isnin dengan Naib Presiden AS, Joe Biden, bertemu Timbalan Setiausaha Negara, James Steinberg dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar AS yang juga anggota Kongress, Howard Berman.
Dalam konteks menangani ancaman dan keselamatan juga, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan dasar berkisar kepada pengalaman dan kejayaan Malaysia menangani ancaman komunis di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) di sini pada Rabu.
Dua tokoh yang sama-sama terlibat dalam menangani perkara itu iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Hashim Ali turut dijemput oleh CSIS.
Jamaludin juga berkata, Perdana Menteri akan mengambil peluang untuk memperjelaskan kerangka Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkannya akhir bulan lalu semasa mengadakan pertemuan dengan para pelabur dan ahli-ahli perniagaan di sini dan di New York, sebagai langkah menarik pelaburan, khususnya dari AS.
Antara mereka ialah Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick serta ketua-ketua pegawai eksekutif Coca-Cola, Intel, Motorola dan Conoco Phillips.
Sebagai langkah memajukan sektor pelancongan dan kebudayaan negara, Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan melancarkan Festival Wajah-Wajah 1Malaysia iaitu program anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
"Pelancongan kita amat kurang promosi di AS dan ia kesempatan terbaik untuk mempromosikan Malaysia," katanya.
/hwa-utusan.com.my

Memupuk Budaya Kerajinan

Oleh Wan Aziz Wan Idris
(Artikal ini ditulis sempena Forum Kerajian peringkat DUN Jertih dan antara 10 terbaik dan dibentangkan pada 9 April 2010 Jam 9.30 Malam di Dewan Majlis Daerah Besut, Jertih)
Pendahuluan
Aktikal ini dimulakan dengan dua baris seruan yang saban waktu dilaungkan di Masjid-masjid setiap kali masuknya waktu solat.
Hayya 'alas-salāt (Marilah mendirikan solat), Hayya 'alal-falāh (Marilah menuju kemenangan/kejayaan)
Disusuli maksud hadis mengenai kelebihan solat berjemaah.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (27 kali ganda)”. - Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Satu persoalan yang wajar dirungkai dan perlu ada satu analisis yang mendalam (Solat Analisis) oleh setiap Muslim terutama para sarjana hari ini. Gambaran awal ini secara ringkasnya, Islam amatlah menuntut umatnya bersikap rajin dan janji Allah s.w.t. ganjaran besar kepada umat-Nya.
Memupuk Budaya Kerajinan amatlah bertepatan dengan ciri-ciri muslim Ulul Albab yang di sebut dalam al-Qur’an. Ulul Albab, ialah mereka yang bersungguh-sungguh menggali ilmu pengetahuan. Menyelidik dan mengamati semua rahsia wahyu (al-Qur’an mahupun genjala-genjala alam), menangkap hukum-hukum yang tersirat di dalamnya, kemudian menerapkannya dalam masyarakat demi kebaikan bersama.
“Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi ulul albab” (Surah Ali Imran: 90)
Ulul albab juga ditafsirkan sebagai kelompok manusia yang menjadikan kisah silang sebagai pengajaran dan iktibar untuk memperbaiki diri dan meningkat taraf kehidupan supaya mereka mencapai kejayaan dengan petunjuk Ilahi.
Allah berfirman maksudnya:
“Demi sesungguhnya, kisah-kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Qur’an) bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengisahkan apa yang tersebut dalam kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Surah Yusof: 111)

Definisi
Memupuk sebagaimana dimaksudkan dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyebabkan menjadi maju atau berkembang. Manakala definisi Budaya pula diertikan kemajuan jasmani dan rohani serta juga kemajuan fikirannya melalui latihan dan pengalaman. Definisi Rajin ialah suka berkerja, belajar dan lain-lain, kerap melakukan sesuatu dengan tekun.
“Memupuk Budaya Kerajinan” secara ringkasnya membawa maksud – Maju dan berkembang dengan Mendidik berbudaya (beradab), menjadikan seseorang atau sesuatu berbudaya dan bersifat rajin serta tekun.
Bagi menulis faktor-faktor yang diperlukan dalam “Memupuk Budaya Kerajinan” ini beberapa rujukan di buat bagi menguatkan hujah-hujah mengapa kita WAJIB menjadikan amalan RAJIN sebagai budaya hidup seharian. Ini bertepatan dengan seruan azan dan maksud hadir di atas
Marilah mendirikan solat dan Marilah merebut kemenangan (kejayaan) serta solat berjemaah dijanjikan ganjaran oleh Allah s.w.t. berlipat-kali ganda. Ini membuktikan kerajinan amatlah dituntut dalam Islam dan kehidupan manusia. Islam mengajak umatnya rajin dalam segala pekerjaan yang baik, sama ada berbentuk keduniaan dan sebagai bekalan ke Akhirat.
Artikel ini ditulis sekadar berkongsi – yang baik dijadikan pelajaran, jika sebaliknya jadikanlah pengajaran.
“I cannot resist, but feel an urge to share this article to everyone whom I love here. It’s never too late.”
Kerana tulisan ini banyak merujuk kepada satu tesis bertajuk. Why the jews so smart? Oleh Hakim Maaruf bin Haji Abdul Kadir – Universiti Massachuset, USA.
Mengapa bangsa Yahudi bijak dan berjaya? Dalam erti kata lain mengapa kaum Yahudi rajin berusaha? Budaya kerajinan kaum ini wajar dicari.
Memang tidak dapat dinafikan ramai cendikiawan berbangsa Yahudi dari segala bidang, kejuruteraan, muzik, saintis, teknologi maklumat dan yang paling hebat ialah dalam bidang perniagaan, di mana ia memang paling berjaya. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi. Dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, rokok, politik, perfileman di Hollywood dan sebagainya.
Kenapa tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau olah manusia sendiri? Adakah bijak dan rajin boleh dijana, seperti kilang pengeluaran?
Antara faktor-faktor yang wajib ada dalam diri setiap insan yang akan menjadikan kerajinan sebagai budaya dalam kehidupan sehari-hari, antaranya ialah:-
1. Agama
2. Kesihatan/Permakanan
3. Pendidikan
4. Sukan/Riadah
5. Ganjaran

Faktor Agama
Sebagaimana ditulis pada awal artikel ini, Islam sebagai agama wahyu yang telah lengkap. Al-Quran dan Hadis yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.aw. sebagai pusaka yang amat bernilai buat umatnya tetapi sayang pusaka yang sarat dengan sumber kekayaan baik di dunia dan di akhirat telah diwarisi oleh musuh-musuh Islam pada hari ini.
Oleh sebab itu seruan yang sering dilaungkan dalam Azan tidak mampu menyedarkan umatnya untuk bekerja dan berusaha melipat-kali ganda. Solat berjemaah dijanjikan 27 kali ganda, masih ramai yang mengabaikannya. Solat bersendirian sudah tentu dibuat ala kadar sahaja. Jika ini menjadi tanda aras kerajinan, kita sebagai bangsa Melayu dan umat Islam, kayu ukur mana lagi yang ingin kita gunakan?
Ingat! Musuh Islam terutama kaum Yahudi amat takut apabila masjid-masjid dipenuhi oleh umat Islam terutamanya pada waktu Subuh untuk mengerjakan solat berjemaah.
Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksigen di kepala.
Ibadat solat dalam Islam juga terdapat perbuatan menunduk atau menggoyangkan kepala semasa berzikir. Ini dapat mensimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihatlah dalam ibadat solat, berapa kali dalam sehari umat Islam melakukan perbuatan menunduk kepala? Ibadat tawaf semasa mengerjakan haji. Lihat amalan orang-orang Jepun, mereka sering menunduk-nundukkan kepala dan adakah ianya sebagai adat semata-mata.

Faktor Kesihatan/Makanan
Memetik kata-kata seorang sahabat, “Hari ini anak mati lebih dahulu dari mak atau bapa”. Kata-kata ini ada kebenarannya kerana amalan makan generasi muda hari ini amat mementingkan makan yang lazat-lazat dari memilih makanan yang berkhasiat dalam menu seharian.
Amalan hidup seharian yang serba pantas dan padat menjadikan kebanyakan orang-orang Melayu khususnya malas dan kaku.
Merokok adalah amalan yang banyak menjejaskan kesihatan. Menurut saintis di Universiti Israel, Nakotin dalam rokok boleh merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genius. Ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yang cacat otak atau lembab. Suatu penemuan yang dahsyat ditemui oleh saintis yang mendalami bidang genesis dan DNA.
Para perokok diharapkan mengambil perhatian serius penemuan ini. Ironinya pemilik dan pengeluar rokok terbesar di dunia adalah milik siapa? Tekalah sendiri.
Seperkara lagi yang diperhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung ibu-ibu bangsa Yahudi gemar sekali memakan kacang badam dan kurma bersama susu. Tengah hari makan utama pula ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang. Daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan manakala kepala ikan mengandungi sejenis kimia yang tidak baik dan dapat merosakkan perkembangan dan penumbuhan otak anak di dalam kandungan.
Menjadi adat wanita orang Yahudi ketika hamil dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu-ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan. Satu catatan di sini ialah orang-orang yang menghafaz al-Quran juga digalakkan mengambil kismis, badam, korma dan susu untuk meningkatkan daya ingatan.
Menu dalam hidangan orang Yahudi ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan dihidangkan jika ada ikan. Menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama kacang badam.
Ramai orang-orang Jepun yang pandai dan rajin. Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ianya sebagai satu kebetulan? Fikir-fikirkanlah!
Satu perkara yang menjadi kebiasaan ialah mereka akan memakan buah-buahan dahulu sebelum menjamah hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang ke rumah orang Yahudi anda akan dihidangkan buah-buahan dahulu. Menurut mereka dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan, ini akan menyebabkan kita merasa mudah mengantuk dan lemah serta payah untuk memahami pelajaran di sekolah. (Perhatian - Ini merupakan sunnah Rasullullah s.a.w. supaya makan buah-buahan dahulu sebelum mengambil makanan yang berat).
Amalan memakan sekurang-kurang lima jenis sayuran dan buah-buahan dalam sehari jauh dari menjadi amalan orang Melayu. Kajian menunjukkan untuk badan kita kekal sihat kita perlu makan sekurang-kurangnya 5 jenis buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari. Adakah kita makan 5 jenis buah-buahan dan sayuran hari ini? Jika jawapannya tidak, bagaimana dengan semalam, minggu lalu dan bulan-bulan lalu?
Jika perkara ini berterusan, bermakna tubuh kita pasti kekurangan vitamin. Kekurangan vitamin bermakna sistem pertahanan badan kita akan menjadi lemah dan terdedah kepada perlbagai jenis penyakit.
Kajian mendapati warna pada buah berlainan menunjukkan vitamin yang berbeza yang ada pada buah tersebut. Vitamin yang paling hebat kebanyakannya berada pada kulit dan biji buah.

Faktor Pendidikan
Di Israel, setelah mengetahui yang setiap ibu sedang mengandung. Si ibu sering menyanyi dan bermain piano. Ibu dan bapa berkenaan akan membeli buku matematik dan menyelesaikan masalah matematik bersama-sama. Ibu yang mengandung akan sering membawa buku matematik dan bertanya kepada soalan matematik yang beliau tak dapat menyelesaikanya. Amalan ini adalah untuk anak dalam kandungan di mana ibu melatih otak anak yang dikandung semoga ia menjadi genius apabila dewasa kelak. Amalan ini diteruskan sehingga ibu itu bersalin.
Kanak-kanak Yahudi sungguh bijak dan rata-rata mereka dapat menguasai tiga (3) bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris. Sedari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka bermain musik dan memahami nota-notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak. Menurut saintis Yahudi gegaran musik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius musik terdiri dari kaum Yahudi.
Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak-anak Yahudi akan diajar metamatik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Satu perbandingan dengan anak-anak di California, ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh katakan 6 tahun kebelakang. Segala pelajaran akan dengan mudah di tangkap oleh anak-anak Yahudi. Bagaimana pula jika dibandingkan dengan kanak-kanak di Malaysia?
Di sekolah menengah (tinggi) pelajar-pelajar Yahudi di tekan dengan mata pelajaran sains dan mereka digalakkan mencipta produk dan kretiviti, segala projek mereka walaupun kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa bidang senjata, perubatan dan kejuruteraan. Idea itu akan dibawa ke lebih tinggi di Politeknik dan Universiti.
Satu lagi yang di beri keutamaan ialah fakulti perniagaan. Mereka begitu agresif dan seriusnya dalam bidang perniagaan. Di tahun akhir universiti, para graduan di jurusan perniagaan dikehendaki melakukan projek dan memperaktikkanya semasa di universiti dan penuntut jurusan ini hanya akan lulus jika kumpulan mereka (10 pelajar setiap kumpulan) dapat membuat keuntungan sebanyak $US1juta. Jangan terperanjat?
Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan di taja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai empayar perniagaan di seluruh dunia. Sebagai contoh, siapakah yang mencipta design seluar jean Levi’s terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.

Faktor Sukan
Selain dari pelajaran tadi sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yang diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari. Sukan-sukan ini, memanah dan menembak dapat melatih otak memfokus dalam sesuatu perkara di samping mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan pertahanan negara. (Ketiga-tiga sukan ini juga dianjurkan oleh Islam melalui hadith Rasullullah tetapi dilaksanakan oleh bangsa Yahudi yang tahu kebaikannya).
Sukan juga menjadikan seseorang itu sentiasa aktif dan hari ini sukan muncul sebagai industri menjanjikan masa depan yang cerah jika dilakukan dengan bersungguh. Sukan bolasepak, tenis, permotoran, golf, kuda dan sebagainya telah melahirkan bintang-bintang meraih pendapatan juta ringgit.

Faktor Ganjaran
Ganjaran sesuatu yang diberikan sebagai upah kerana jasa atau kerja-kerja yang dilakukan seseorang adalah faktor yang begitu penting bagi menentukan sifat rajin seseorang itu berterusan dan ianya akan mempengaruhi orang lain mengikut jejak langkahnya. Ganjaran tidak boleh dilihat sebagai bersifat kebendaan atau material, kalau dilihat syarikat-syarikat kecil atau besar mempunyai satu skim upah yang mengalakkan pekerjanya berusaha melonjakkan prestasi syarikatnya. Majikan pula sudah tentu mengadakan inisiatif-inisiatif seperti kenaikan pangkat, gaji, bonus dan sebagainya.
Dalam Islam itu sendiri kalau kita lihat, ganjaran pahala berbeza-beda meskipun pada amal ibadat yang sama. Contohnya, solat berjemaah diberi 27 kali ganjaran berbanding solat bersendirian. Ibadat di bulan Ramadhan, berlipat kali ganda pahala berbanding bulan-bulan lain, Ibadat di depan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Madinah sudah tentu berganda-ganda bebanding masjid-masjid biasa.
Dan berkerja dengan rajin serta ikhlas itu sebenarnya mendapat ganjaran pahala yang tidak kurangnya daripada Allah s.w.t.

Penutup
Meletakkan kerajinan dalam hidup sehari-hari merupakan tuntutan utama dalam Agama Islam dan semestinya menjadi agenda penting bagi bangsa Melayu sebagai ‘jidad’ untuk merebut dan menebus kembali apa yang dimiliki, yang kini menjadi sebahagian besar milik bangsa mendatang. Kerajinan semestinya menjadi satu budaya yang selama ini kita mewarisi sifat malas.
“Jadikanlah hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Amatlah malang andainya lusa itu lebih teruk dari hari-hari sebelumnya”.

Wallahul Musta’an.

Ahli CWC cadang Mugilan wakili BN

MM - 11/04/2010
KUALA LUMPUR 10 April - Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, K. P Samy percaya Timbalan Ketua Pemuda, V. Mugilan adalah calon terbaik bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.
Beliau berkata, berbanding Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang dicadangkan parti itu untuk mewakili BN, Mugilan yang merupakan anak tempatan Hulu Selangor dilihat lebih sesuai.
Katanya, selaku Pengerusi Pemuda MIC Hulu Selangor, Mugilan mempunyai sokongan padu akar umbi parti komponen BN di Parlimen itu khususnya UMNO di samping kepimpinannya di peringkat nasional juga terserlah selaku Timbalan Ketua Pemuda MIC.
''Mugilan, anak jati Ladang Kerling, Kuala Kubu Bharu mempunyai sokongan yang tidak berbelah bahagi dari akar umbi MIC dan parti komponen. Beliau juga seorang yang berpendidikan tinggi.
''Justeru kami berharap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil kira beberapa hal penting ini ketika menentukan calon bagi pilihan raya kecil itu nanti,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor akan diadakan pada 25 April nanti manakala penamaan calon adalah pada 17 April ini.
/hwa-utusan.com.my

Bila lagi Samy?

MM - 11/04/2010
TUMPUAN orang ramai kini kepada pilihan raya kecil Hulu Selangor yang akan berlangsung pada 25 April ini.
BN sudah pun mengumumkan bahawa calon MIC akan menjadi sandaran meskipun gelombang kuat mahukan calon UMNO yang dikatakan berpeluang besar merampas kerusi.
Pun begitu, Awang masih yakin BN boleh menang asalkan mengambil strategi yang betul terutama soal calon. Pilihlah calon terbaik. Seboleh-bolehnya pemimpin setempat, muka baru dan mempunyai imej yang baik.
Penentuan calon amat penting apatah lagi MIC berdepan dengan banyak isu. Pemulihan sokongan masyarakat India belum menyakinkan, yang ada kaitan juga dengan faktor Presiden MIC, S. Samy Vellu. Bila lagi beliau mahu berundur ?
Walaupun Samy Vellu pernah membayangkan sudah mempunyai pelan peralihan tetapi semuanya masih kabur seolah-olah beliau mahu terus memimpin MIC sehingga pilihan raya umum depan.
Pada Awang, isu Samy Vellu lebih menarik daripada pilihan raya kecil. Jika beliau mahu membantu kejayaan BN pada pilihan raya itu nanti maka lebih elok jika beliau mengumumkan pelan peralihan dalam masa terdekat.
Jika Samy Vellu sayangkan MIC dan BN, beliau perlu berundur. Usahlah berdolak-dalih lagi dengan pelbagai alasan. Lagi lama beliau menerajui MIC, lagi besar risiko BN. Buatlah apa pembaharuan dan perubahan sekali pun, ia tidak akan banyak membantu jika pemimpin yang dilihat masih menjadi liabiliti terus berada di koridor kuasa.
/hwa-utusan.com.my

7 April 2010

Anwar yang arah Zulkifli kait nama PM, isteri, anak Nazri: Zahrain

BH - 2010/04/07
KEPALA BATAS: Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, mendedahkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Zahrain turut mendedahkan bahawa Anwar juga mengarahkan Zulkifli untuk mengaitkan anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, yang dikenali sebagai Nadim, dengan kes pembunuhan pelajar undang-undang, Darren Kang di Restoran Uncle Don di Sri Hartamas pada 2004.
Ketika mendedahkan perkara itu, Zahrain berkata diberitahu perkara itu oleh Zulkifli yang sebelum ini enggan mendedahkan nama individu yang mengarahkannya untuk memburukkan nama Najib, Rosmah dan Nazri.
"Zuklifli yang menjadi peguam bela (Cif Inspektor) Azilah (Hadri) (tertuduh kes pembunuhan Altantuya), diminta mendapatkan pengakuan bersumpah bagi mengaitkan Perdana Menteri dan Rosmah dengan kes itu.
"Beliau juga diarahkan oleh Anwar untuk mengaitkan nama anak Nazri dalam kes pembunuhan (Darrren)," katanya dalam ceramah 'Ini Kisah Sebenar' di Paya Keladi, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina dan bekas Setiausaha Politik Anwar, Ezam Mohd Nor. Ceramah itu dianjurkan oleh Angkatan Belia Muda Kepala Batas (BEMUDA).
Zulkifli ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, baru-baru ini mendedahkan beliau pernah ditawarkan ganjaran yang disifatkannya boleh menggoyahkan iman untuk mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes pembunuhan Altantuya.
Zulkifli yang pada pertengahan tahun lalu menarik diri menjadi peguam bela kepada Azilah, dilapokan berkata beliau juga diminta mendapatkan pengakuan bersumpah bagi mengaitkan Najib dan Rosmah dengan kes itu.
Beliau turut mendedahkan pernah diminta untuk cuba mengaitkan Nadim, dengan kes pembunuhan Darren.
Pendedahan Zulkifli itu menggemparkan kerana ia dilakukan seminggu selepas bekas rakan partinya, Zahrain memecahkan tembelang Awnar berhubung rancangan mengambil alih Kerajaan Pusat pada 16 September 2008.
Berikutan itu, polis akan memanggil kedua-dua wakil rakyat bebas berkenaan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung pendedahan mereka.
Zahrain yang keluar PKR selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu, Mac lalu, berkata negara akan hancur jika Anwar dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memerintah Kerajaan Pusat.
"Anwar ini adalah seorang pemimpin yang sanggup melakukan apa saja bagi mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri termasuk menafikan hak Bumiputera. Guan Eng pula tidak layak kerana sikap diktator, cauvinis dan berfikiran seperti komunis.
"Saya menyeru supaya rakyat negara ini menolak mereka ini bagi mengelakkan negara mengalami kehancuran. Saya sendiri akan berusaha untuk pastikan Guan Eng keluar dari negeri ini," katanya.
Sementara itu, Reezal mencabar Guan Eng untuk berdebat secara terbuka dengan Zahrain bagi membincangkan isu berkaitan Melayu di satu forum bakal dianjurkan oleh BEMUDA di Kepala Batas, bulan depan.
/hwa-bharian.com.my

Forum Kerajinan

Pembentangan Forum Kerajinan dengan Tajuk: "Memupuk Budaya Kerajinan" Anjuran Penyelaras UMNO DUN Jertih. Pada 9 April 2010 (Jumaat) Jam 9.00 Malam di Dewan Majlis Daerah, Gong Kemuntong, Jertih.
Ahli panel terdiri daripada Prof Dato' Alias (NC, UDM), Kapt. Dato' Nawawi Awang dan Tuan Haji Idris Mamat.
10 cawangan yang terbaik akan membentangkan hasil kerja ialah UMNO Cawangan Kubang Bemban, Gong Pak Cheng, Lapan Kotak, Pak Da Malik, Alur Saji, Gerai, Gong Gucil, Tok Raja, Seberang Jertih dan Taman Pelagat.
Perasmian dilakukan oleh YB. Dato' Seri Idris Jusoh - ADUN Jertih.
Semua dijemput hadir beramai-ramai.

Anwar jangan jadi pengecut - Musa

UM - 07/04/10
KUALA LUMPUR 6 April – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak menjadi pengecut apabila hanya berani menuduh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Parlimen kononnya pasukan itu bekerjasama dengan perisik Israel.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Pembangkang tersebut mengemukakan bukti dengan segera agar siasatan dapat dijalankan.
“Jika membuat tuduhan (perisik Israel) tanpa sebarang bukti, saya anggap dia (Anwar) pengecut.
“Datang dan beritahu siapa sahkan dakwaan itu? Saya tidak pernah dengar dakwaan sedemikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Musa pada masa sama, turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa PDRM menjalin sebarang bentuk kerjasama keselamatan dengan rejim zionis berkenaan.
Musa diminta mengulas kenyataan Anwar yang ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat mendedahkan kewujudan perisik Israel yang bertugas di Bukit Aman.
Sambil mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaan tersebut, dakwa Anwar, perkara itu telah disahkan oleh cawangan khas Bukit Aman.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menamakan sebuah syarikat yang dikatakan berpangkalan di Israel yang telah mendapat projek berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi di Bukit Aman.
/hwa-utusan.com.my

6 April 2010

Polis akan keluar notis arahan hadir kepada Koo Ham

UM - 06/04/10

IPOH 5 April - Polis akan mengeluarkan notis arahan hadir kepada Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham jika beliau masih enggan memberi kerjasama dalam melengkapkan siasatan berhubung dakwaannya terhadap polis baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, notis itu akan dikeluarkan segera mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

"Pegawai penyiasat polis telah menghubungi Koo Ham dua hari lalu untuk memintanya hadir bagi melengkapkan siasatan, tetapi dia enggan keterangannya diambil," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Koo Ham pada satu sidang akhbar pada 30 Mac lalu mendakwa, ramai anggota serta pegawai polis hadir di Bangunan Perak Darul Ridzuan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berlangsung.

Beliau dipetik sebagai berkata; "Saya takut jika ada perbahasan dan ada mana-mana polis tidak suka kita, mereka akan tembak mati. Ini boleh berlaku kerana mungkin ada polis tidak suka dengan kita."

Malah dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini kelmarin, Koo Ham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan menegaskan, beliau tidak gentar disiasat polis berhubung kenyataannya yang dibuat selepas sidang DUN itu.

Dzuraidi berkata, notis tersebut biasanya memberi tempoh antara seminggu dan dua minggu bagi membolehkan Koo Ham hadir untuk melengkapkan siasatan itu.

"Jika dia masih enggan datang, waran tangkap boleh dikeluarkan terhadapnya," katanya.

Menurut beliau, buat masa ini, siasatan termasuk merakam percakapan saksi-saksi termasuk beberapa wartawan yang hadir pada sidang akhbar Koo Ham telah selesai diadakan.

/hwa-utusan.com.my

BN yakin peluang menang cerah di Hulu Selangor

UM - 06/-4/10

TELUK INTAN 5 April - Barisan Nasional (BN) yakin peluang untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor adalah cerah berdasarkan sambutan yang diterima daripada para pengundi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perpaduan yang terjalin antara parti komponen BN juga menambah peluang parti itu untuk merampas kembali kerusi yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lalu.

''Peluang untuk menang nampak cerah kerana ketika pilihan raya umum dulu, BN menghadapi pelbagai masalah tetapi sekarang ia telah dapat diselesaikan.

''Pengundi di kawasan berkenaan juga nampak sudah berpihak dan menyokong kembali BN," katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan menghafal al-Quran peringkat negeri Perak dan penganugerahan tauliah pegawai-pegawai masjid daerah Hilir Perak di sini hari ini.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan berangkat menyampaikan hadiah dan penganugerahan tauliah tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerusi Parlimen Hulu Selangor perlu dikekalkan kepada MIC kerana ia merupakan kawasan tradisi parti yang mewakili kaum India tersebut.

Beliau menasihati semua pihak agar tidak mempertikaikan calon yang akan diumumkan oleh pucuk pimpinan parti.

Ahmad Zahid menegaskan, pembangkang wajar mencerminkan diri mereka terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap para pemimpin BN.

''Dakwaan bahawa BN tidak mengotakan janji yang dibuat ketika pilihan raya sebelum ini adalah tohmahan semata-mata," katanya.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan, keadaan itu berlaku kerana rakyat dapat membezakan kehidupan mereka sewaktu di bawah pentadbiran BN dan pakatan pembangkang.

Beliau berharap, jentera parti dapat bekerja lebih kuat memastikan calon yang diketengahkan menang, seterusnya memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

/hwa-utusan.com.my

Zulkifli, Zahrain akan dipanggil

UM - 06/04/10

KUALA LUMPUR 5 April – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan pendedahan dua wakil rakyat itu di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya menunggu masa yang sesuai untuk memanggil kedua-duanya berikutan mereka pada masa ini terpaksa hadir ke Parlimen untuk persidangan.

“Siasatan mengenai pendedahan mereka di Dewan Rakyat baru-baru ini, masih lagi dijalankan.

“Kita faham, kedua-duanya sibuk untuk hadir ke Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di pejabat kementerian itu di Jalan Dato’ Onn di sini hari ini.

Pada 24 Mac lalu, Zulkifli pada sidang Dewan Rakyat ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong mendakwa, beliau diberi tugasan oleh pihak tertentu yang bagaimanapun tidak didedahkan identitinya, untuk memfitnah Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Antaranya, beliau diminta untuk mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isteri selain membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Kejutan berterusan di Parlimen apabila wakil rakyat Bebas itu membuat satu lagi pendedahan bahawa dia juga diminta mengaitkan anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung satu kes pembunuhan pada 2004.

Pendedahan Zulkifli menggemparkan arena politik negara kerana ia hadir hanya seminggu selepas bekas rakan partinya, Zahrain memecahkan tembelang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008.

/hwa-utusan.com.my

5 April 2010

Nik Aziz nafi 'janji derma' lulus balak

UM - 05/04/10

KOTA BHARU 4 April - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan dakwaan bahawa syarikat-syarikat tertentu kerap mendapat kelulusan permohonan balak ekoran "janji derma" kepada badan-badan yang mempunyai kaitan dengan parti dan pemimpin.

Beliau menegaskan, tidak akan menyokong sebarang amalan seperti itu sekiranya tahu apa yang berlaku di sebalik permohonan-permohonan yang dikemukakan.

"Tidak ada. Saya tak sokong kalau ada benda begitu dan benda ini tidak ada dalam pengetahuan saya," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang turut disertakan dengan dokumen-dokumen di dalam blog.

Beliau menyifatkan tulisan oleh blogger berhubung soal itu yang tersebar luas kini hanya dibuat sesuka hati dan tidak membawa kebaikan.

"Penulis blog ini tulis sesuka hati dia. Bukan beri ilmu kepada pembaca. Saya sangat dukacita, guna facebook, blog untuk sebar fahaman dia sendiri, tidak tambah ilmu kepada pembaca, ini saya dukacita," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas upacara pelepasan konvoi motosikal berkuasa besar sempena program Kelantan Bike Week di Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini hari ini.

Sebuah blog mendedahkan amalan yang didakwa berlaku sekian lama melalui permohonan atas nama pelbagai syarikat kerap mendapat kelulusan pembalakan dan tanah hutan simpan untuk perladangan.

Modus operandinya dikatakan dengan mendapatkan penaung yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa bagi membantu pemohon mendapatkan kelulusan dan sebagai imbuhan, pemohon akan memberi sejumlah wang kepada penaung.

Blogger itu yang sebelum ini dikatakan rapat dengan pimpinan negeri mendakwa beratus-ratus pucuk surat dengan format yang sama dikeluarkan oleh pelbagai pihak yang menjadi pemohon tanah balak kepada pihak berkuasa atau pimpinan negeri.

Sehubungan itu, dia menggesa Nik Abdul Aziz supaya bersikap telus dan mengeluarkan senarai penuh syarikat yang menerima projek kerajaan negeri dari 1990 hingga sekarang untuk penilaian rakyat.

Kerajaan negeri juga disaran mengubah status dokumen-dokumen dalam mesyuarat Exco yang berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi supaya rakyat dapat memahami keluasan projek dan untuk tujuan apa individu-individu tertentu diberikan projek.

/hwa-utusan.com.my

PM: 1Malaysia difitnah kerana pembangkang sedar kebaikannya

UM - 05/04/10

KUALA LUMPUR 4 April - Gagasan 1Malaysia tidak sama sekali diciplak daripada konsep One Israel seperti digembar-gemburkan oleh pembangkang, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, dakwaan pembangkang itu adalah fitnah semata-mata yang bertujuan merosak dan mencemarkan gagasan itu apabila dilihat semakin diterima oleh rakyat.

"Mereka (pembangkang) tak berani serang gagasan 1Malaysia. Mereka tidak dapat mempertikaikan, mereka cuba untuk merosakkan, mencemarnya, mencalarnya melalui kononnya ilham atau idea yang datang dari negara luar.

"Ini satu fitnah yang tidak benar, tidak berasas sama sekali," katanya merujuk kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata demikian dalam temu bual eksklusif yang disiarkan Bernama TV malam ini sempena ulang tahun pertama beliau memegang jawatan itu.

Wawancara khas bertajuk Setahun di Aras 5: Temu bual Khas Bersama Perdana Menteri dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Zulkefli Salleh dan Pengarang Ekonomi, Mikhail Raj Abdullah.

Mengulas lanjut, Najib berkata, idea gagasan 1Malaysia itu adalah cetusan percambahan fikiran beliau bersama beberapa kumpulan pemikir yang bertujuan mewujudkan wadah baru untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.

"Saya bincang dengan beberapa teman saya sebab saya kata amat penting bagi kita untuk membuat suatu usaha baru ke arah perpaduan nasional ini sebagai penyatuan.

"Jadi saya selalu menjemput pelbagai kumpulan untuk mengadakan percambahan fikiran dan apabila saya menggariskan perkara ini, bila kita lakukan brainstorming, percambahan fikiran, timbullah idea gagasan 1Malaysia ini," katanya.

Jelas Perdana Menteri, kemuncak kepada penghayatan gagasan 1Malaysia adalah apabila ia membawa keuntungan strategik kepada rakyat dan negara.

Menurutnya, gagasan 1Malaysia meletakkan kepentingan rakyat di atas segala kepentingan lain dan mengutamakan keberkesanan serta keberhasilan sesuatu program yang dirancang.

Najib berkata, kefahaman rakyat terhadap gagasan 1Malaysia semakin meningkat apabila banyak badan korporat menggunakan 1Malaysia sebagai simbol dalam logo mereka.

"Sebutan Salam 1Malaysia umpamanya menjadi kelaziman sekarang dan ada juga perkahwinan 1Malaysia. Jadi saya lihat ia sudah menjadi satu gerakan massa," katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui masih terdapat beberapa halangan kepada kejayaan 1Malaysia yang dicetuskan oleh kumpulan yang memikirkan kepentingan kelompok atau kaum masing-masing tanpa usaha ke arah penyatuan.

"Kita sebagai seorang individu mungkin ada juga perasaan prejudis, rasis dan sebagainya seperti ada peristiwa gereja dibakar dan kepala khinzir dicampak dalam pekarangan masjid dan sebagainya.

"Maknanya ada juga kefahaman yang ekstrem dalam masyarakat kita. Sebab ada kefahaman ekstrem itulah, bererti bahawa kita perlu kepada Gagasan 1Malaysia," katanya.

/hwa-utusan.com.my

3 April 2010

Hulu Selangor: Mengundi 25 April

UM - 03/04/10

PUTRAJAYA 2 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan Pilihan Raya Kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor akan diadakan pada 25 April ini manakala penamaan calon pula pada 17 April.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, tarikh mengundi bagi pengundi pos pula akan dilaksanakan dua hari sebelum tarikh pilihan raya kecil itu.

Menurutnya, pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang telah dikemaskinikan sehingga 26 Mac lalu.

"SPR telah menerima pemakluman secara rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat pada 29 Mac lalu berhubung kekosongan kerusi bahagian itu berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac.

"Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah mensyaratkan supaya kekosongan kerusi yang berlaku perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, sebanyak 48 pusat mengundi melibatkan 47 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai dengan 136 saluran mengundi akan digunakan pada pilihan raya itu.

Menurutnya, Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan juga pusat penjumlahan rasmi undi.

"Kawasan pilihan raya Parlimen itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

"Daripada jumlah tersebut, kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus," katanya.

Menurut beliau, SPR akan menggunakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi memastikan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor berjalan lancar.

"Saya akan mengumumkan mengenainya secara terperinci pada hari penamaan calon nanti dan SPR akan menguatkuasanya dengan bantuan pihak polis," katanya.

/hwa-utusan.com.my

PM ikrar terus maju, makmurkan negara

BERNAMA - 2010/04/03

HULU SELANGOR: Sempena ulang tahun pertama pentadbirannya hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berikrar untuk terus bekerja bersungguh-sungguh dan mendokong amanah rakyat supaya negara terus berjaya.

"Sempena ulang tahun yang pertama ini saya berikrar sekali lagi bersama-sama dengan rakan-rakan saya dalam pentadbiran saya bahawa kami akan bekerja bersungguh-sungguh supaya negara kita ini terus berjaya dan bukan sebaliknya," katanya ketika berucap melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda Sungai Tengi di sini.

Najib berkata, sepanjang setahun menjadi Perdana Menteri, beliau mengakui bukan mudah untuk mentadbir negara dan memimpin sebuah kerajaan kerana beliau menggalas tugas yang besar yang diberi rakyat.

"Negara Malaysia tidaklah semudahnya untuk ditadbir, saya amat merasai perkara ini apatah lagi setelah diberi kepercayaan untuk menjadi ketua kerajaan dan Perdana Menteri.

"Saya amat memahami dan saya dapat menghayati apa yang saya rasa bahawa tidak mudah untuk kita memimpin sebuah kerajaan Malaysia kita ini, selama tempoh setahun saya menggalas amanah ini saya dapat merasai betapa bebanan yang terpaksa saya pikul di atas bahu saya," katanya.

Najib berkata, menjadi ketua kerajaan juga membuatkan beliau insaf kerana perlu berhati-hati dalam membuat keputusan bagi memastikan ia boleh menguntungkan rakyat.

"Mungkin kalau dulu saya jadi menteri pun saya tak rasa sangat, naik setakuk lagi saya jadi timbalan pun saya bukan kuasa penentu...masih boleh bersandar pada Perdana Menteri.

"Tetapi bila dah jadi Perdana Menteri, saya amat insaf dan saya amat terasa bahawa apa-apa pun yang saya buat keputusan ianya merujuk kepada tanggungjawab saya untuk membuat keputusan yang tepat, keputusan yang boleh menguntungkan rakyat," katanya.

Selain itu, beliau terpaksa berkorban masa dengan keluarga disebabkan tugas dan tanggungjawabnya itu.

"Waktu siang saya semakin panjang, waktu malam saya semakin pendek. Isteri saya pun dah mengadu kat saya, dia kata saya ni dengar masalah orang lain tidak dengar masalah dia, itulah adat bila dah jadi pemimpin negara, saya terima ini semua sebab inilah kepercayaan rakyat berikan pada saya," katanya.

Menyentuh kaji selidik Merdeka Centre yang melaporkan sebanyak 68 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasinya selaku Perdana Menteri, Najib hanya tersenyum.

"Ada juga orang buat kaji selidik katanya tahap penerimaan saya sudah mencecah 68 peratus, katanyalah...saya tak tahulah apa ukuran kepercayaan ini tetapi saya dapat lihat pada wajah tuan-tuan dan puan-puan bila saya bersalaman pagi tadi, nampaknya air muka yang manis.

"Bila saya bersalaman saya dapat 'current' (arus) yang baik, yang positif bukan 'current' yang menyentakkan saya, itu mungkin satu ukuran," katanya disambut sorakan orang ramai.

Najib juga bersyukur sepanjang setahun tempoh pentadbirannya, kerajaan telah membawa banyak perubahan yang menguntungkan rakyat.

"Sesetengah perubahan itu kita dah nampak, sesetengah perubahan itu menunggu masa keberhasilannya, ibarat kita tanam pokok takkan hari ini kita hendak petik buah, ada juga sehari dua boleh nampak kejayaan, ada juga yang makan masa, tetapi saya amat teliti akan perkara ini," katanya.

Beliau juga akan memastikan segala janji BN kepada rakyat akan dilaksanakan kerana perjuangan parti adalah untuk membantu dan membela kepentingan rakyat.

Beliau juga membidas pembangkang yang hanya pandai menabur janji tapi susah untuk merealisasikannya.

"Janganlah janji tapi banyak tak buat, janji bagi ibu tunggal RM600 sebulan, tidak buat, soal pasir pun macam-macam isu sampai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) masuk, sebab apa, sebab bila jadi pembangkang mudah, jadi kerajaan baru tahu.

"Kita dah lama tahu mentadbir negara kita, BN tahu dan ada pengalaman memimpin negara kita," katanya.

/hwa-bharian.com.my

Tahun pertama menyeronokkan

BERNAMA - 03/04/10

KUALA LUMPUR 2 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tahun pertama beliau memegang jawatan merupakan satu "perjalanan yang menyeronokkan" dan beliau menemui makna yang mendalam dalam kehangatan senyuman rakyat biasa dan bersalaman dengan mereka.

Semasa 12 bulan kebelakangan ini, beliau telah memaksa dan mencabar diri sendiri untuk mencapai tahap yang boleh diteladani untuk menyampaikannya kepada rakyat walaupun beliau telah mengamanahkan kepada Kabinetnya untuk melaksanakanya dengan lebih berkesan, katanya dalam entri blognya 1Malaysia hari ini.

"Tidak dapat dielakkan, terima kasih kepada kesibukan, hari-hari saya semakin panjang dan malam-malam saya semakin pendek. Ia mungkin disebabkan tuntutan-tuntutan seperti ini yang saya temui makna yang besar dalam perkara-perkara yang kecil seperti kehangatan tulen senyuman dan berjabat salam dengan rakyat biasa Malaysia, yang kadang-kadang memberikan saya begitu banyak keseronokan seperti berjabat tangan dengan para pemimpin dunia," katanya.

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keenam pada 3 April tahun lepas.

Tahun lepas telah menyaksikan Perdana Menteri menjelajah seluruh negara dan mengadakan kunjungan mesra untuk bertemu dengan rakyat dan mendengar masalah dan pendapat-pendapat mereka.

Dalam blognya, Najib juga menceritakan kehidupannya di luar pejabat, buku-buku yang dibacanya dan latihannya dengan alat injakan.

"Saya pasti ramai antara anda setuju dengan saya bahawa adalah sangat penting untuk melalui hari-hari yang seimbang di antara kerja dan kehidupan peribadi. Bukan sahaja ia membenarkan kita untuk menghabiskan masa yang berkualiti dengan keluarga dan rakan-rakan, kehidupan yang seimbang dapat meningkatkan produktiviti, pemikiran dan membuat keputusan," katanya.

Senaman fizikal membawa ketenangan dan tenaga bagi memenuhi jadual hariannya dan membenarkan beliau untuk memberi fokus dengan lebih baik berhubung perkara-perkara penting dan mencapai waktu-waktu yang lebih produktif, katanya.

Perdana Menteri berkata beliau juga berlatih dengan alat injakan dua atau tiga kali seminggu untuk membantunya mengatasi jumlah perjalanan yang dibuat di dalam negara dan seberang laut.

"Dalam arena antarabangsa, kita mesti terus meletakkan Malaysia secara positif, Ini penting memandangkan kita merupakan sebuah ekonomi terbuka yang kecil yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa," katanya.

Najib juga mendedahkan bahawa beliau membaca beberapa buah buku pada satu-satu masa dengan yang terbaru ialah When China Rules The World oleh Martin Jacques dan Blink oleh Malcolm Gladwell.

Walaupun amat jarang pada masa ini, beliau cuba bermain di sekeliling atau golf atau menonton televisyen, katanya.

"Dengan melihat ke depan saya memepertimbang sasaran-sasaran penting yang telah kita tetapkan pada 2010, saya menerima bahawa bukan semuanya dapat berjalan lancar pada sepanjang masa dalam beberapa bulan ke depan.

"Bagaimanapun, saya percaya bahawa dengan berkongsi bebanan itu dan sama-sama menuju ke arah tujuan yang sama, kita boleh mencapai matlamat kita," katanya.

/hwa-utusan.com.my

Penduduk Hulu Selangor diminta beri sokongan

BERNAMA - 03/04/2010 4:03pm

HULU SELANGOR 3 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta penduduk Hulu Selangor khususnya masyarakat Felda untuk memberikan sokongan yang lebih kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen itu 25 April ini.

Pengerusi BN dan Presiden UMNO itu berkata, sokongan itu penting bagi menguatkan lagi kerajaan BN serta memperoleh kemenangan besar berbanding pilihan raya terdahulu.

"Jika kemenangan berpihak pada BN dan memperoleh sokongan yang kuat, kerajaan akan memacu kepada perubahan yang lebih besar,” katanya sambil menambah beliau sendiri komited untuk menunaikan segala amanah dan janji sebaik mungkin.

Najib berkata, kerajaan pusat tidak lupa menjaga kebajikan dan kesejahteraan penduduk di Selangor khususnya masyarakat Felda dengan menyalurkan pelbagai bantuan dan peruntukan.

"Untuk Felda macam-macam dah bagi, akan datang banyak lagi, tapi tolonglah sikit, 25 haribulan ini (hari pengundian) tolong, yayasan kita ada, kita bagi bantuan kalau bagi kepercayaan kepada BN kita semua akan menjurus kepada masa depan yang jauh lebih baik lagi,” katanya.

Mengenai calon pada pilihan raya kecil itu, Najib berkata tidak kira siapa jua yang akan dipilih, kerana yang penting adalah calon tersebut membawa simbol BN.

/hwa-utusan.com.my

Tempoh pembangkang kuasai Hulu Selangor sudah tamat: PM

BERNAMA - 2010/04/03

KUALA KUBU BARU: Sambil menyifatkan kemenangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Parlimen Hulu Selangor sebagai pinjaman, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini berkata tempoh itu sudah tamat.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, ini kerana kawasan itu adalah kawasan tradisi BN dan sudah tiba masanya ia dikembalikan semula kepada BN.

"Tempoh pinjaman sudah tamat...cukuplah kawasan ini di bawah pembangkang," katanya ketika berucap kepada jentera BN bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor di perkarangan Bangunan Umno Hulu Selangor di sini petang ini.

Dalam ucapannya selama 15 minit bermula 3 petang itu, Najib yang menyambut ulang tahun pertama sebagai Perdana Menteri hari ini berkata, kemenangan BN perlu sebagai tanda pulihnya keyakinan rakyat.

Beliau berkata, ia juga bagi mnembuktikan sentimen bahawa sokongan kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008 hanyalah sementara.

Katanya, kemenangan itu juga boleh menyumbang kepada sasaran majoriti dua pertiga kerusi Parlimen BN sebagai parti pemerintah.

Najib juga berseloroh bahawa kemenangan itu penting untuk beliau berhadapan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, yang akan ditemuinya dalam lawatan beliau ke negara itu tidak lama lagi.

"Saya nak jumpa Obama dengan kekuatan politik...saya nak kata: 'Mr President, Hulu Selangor is BN's constituent'...walaupun Obama mungkin tak tahu Hulu Selangor itu di mana," katanya sambil disambut dengan ketawa hadirin.

Najib juga mengiktiraf jentera pergerakan Wanita Umno yang disifatkan sebagai tulang belakang BN bagi memastikan kemenangan di Hulu Selangor.
/hwa-bharian.com.my

Rakyat Kelantan perlu sedia hadapi perubahan: TPM

BERNAMA - 2010/04/03

MACHANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata rakyat Kelantan perlu bersedia menghadapi perubahan baru dengan menerima Barisan Nasional (BN) bagi mempastikan kebajikan dan pembangunan untuk Kelantan sentiasa terjamin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin daripada parti politik Melayu iaitu Umno beliau cukup sedih dengan tahap pembangunan yang diusahakan kerajaan negeri pimpinan Pas.

Katanya, selama ini kerajaan negeri hanya bergantung harap kepada peruntukan Kerajaan Pusat yang mana dalam tempoh lima tahun sebanyak RM7.5 bilion disalurkan kepada Kelantan dalam Rancangan Malaysia ke-10.

Beliau berkata, rakyat Kelantan sememangnya terkenal dengan sifat kerajinan mereka dan mempunyai potensi untuk maju.

"Tetapi ia tidak mencukupi kerana kurangnya usaha kerajaan negeri. Kelantan ini ramai Melayu. Saya juga Melayu Islam. Kita tidak mahu rakyat Melayu terasing.

"Tanggungjawab kerajaan negeri (melaksanakan pembangunan) tetapi semuanya diserahkan kepada Kerajaan Pusat," katanya semasa merasmikan program Juara Rakyat dan pemberian pertama wang ihsan yang dihadiri 5,000 pengunjung, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Kerajaan Pusat berhasrat untuk membasmi golongan miskin tegar sehingga penghujung tahun ini dengan memberikan bantuan kepada golongan itu.

Namun, katanya, apa yang lebih dikesali, kerajaan negeri dilihat tidak mempunyai inisiatif untuk menjayakan hasrat Kerajaan Pusat dengan membantu 3,500 miskin tegar sebaliknya berharap kepada agensi pusat untuk menguruskan perkara itu.

"Ini komitmen pemimpin BN dan bukannya Pas. Dia tidak boleh abaikan kerana ini tanggungjawab kepada rakyat," katanya.

Muhyiddin turut mempersoalkan jumlah dana yang telah diperuntukkan kerajaan negeri untuk menjaga soal kebajikan dan pembangunan untuk rakyat sedangkan dalam tempoh sama sudah berbilion ringgit diperuntukkan Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, rakyat perlu sedar bahawa pembangunan kepada negeri adalah perkara yang dituntut oleh agama kerana ianya menjamin kekuatan rakyat itu dari aspek ekonomi yang sekaligus membolehkan rakyat berdikari, menunaikan ibadat dan menjaga keluarga.

Muhyiddin juga kesal tindakan Pas memprbesar-besarkan isu tuntutan royalti minyak Kelantan sedangkan kebajikan dan pembangunan untuk rakyat negeri itu terabai.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah merujuk isu royalti minyak itu dengan pakar undang-undang dalam Perlembagaan dan sememangnya Kelantan tidak mempunyai hak untuk mendapatkan royalti minyak itu kerana kawasan carigali berada lebih daripada tiga batu nautika daripada persisiran pantai Kelantan.

Namun, katanya, Kerajaan Pusat tetap memberikan wang ihsan sebagai ganti kepada bayaran royalti minyak kerana kerajaan mementingkan hal kebajikan rakyat negeri itu.

"Tidak kira apa nama sekalipun, wang ihsan atau royalti, ia adalah pitih (wang) rakyat perlukan bantuan dan kita hendak tolong. Jadi apa yang tok guru (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) cakap tidak mahu wang ihsan. Semua hendak wang ihsan. Ini soal nasib rakyat miskin, kita mesti tolong," katanya.

Katanya, pasti banyak lagi yang boleh diberikan kepada rakyat Kelantan jika mereka memilih untuk mendokong BN pada pilihan raya akan datang.
/hwa-bharian.com.my

PM mahu rakyat buat kesimpulan sendiri situasi politik pembangkang

BERNAMA - 2010/04/03

KUALA KUBU BARU: Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat membuat kesimpulan sendiri mengenai situasi politik pembangkang yang kini dilihat semakin sukar mendapat sokongan daripada anggota parti itu sendiri.

Perdana Menteri berkata pembangkang, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR), kini sering bertelagah sesama sendiri dan pelbagai pendedahan semakin banyak dibuat oleh bekas anggota parti itu, walaupun mereka dikatakan rapat dengan pemimpin parti pembangkang itu.

"Kalaulah orang rapat dengan kita satu demi satu dah hilang kepercayaan dan dah keluar parti, apa kesimpulannya? Kita bukan cakap pasal orang luar, ini orang rapat dengan kita. Apakah mesejnya, apa kesimpulannya?," katanya ketika berucap melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda Sungai Tengi dekat sini hari ini.

Najib berkata, antara anggota PKR yang keluar parti bukan calang-calang orang, bahkan golongan intelektual yang juga rapat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertahun-tahun lamanya.

"Saya boleh sebut satu persatu, Dr Chandra Muzaffar, bekas timbalan presiden Keadilan. Dia orang kurang upaya tapi dari segi minda dia hebat. Orang yang rapat dengan dia boleh kena pecat, yang turun naik mahkamah hari ini dah hilang kepercayaan kepada pemimpin.

"Setiausaha Agungnya sama-sama dengan dia di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), dah keluar, akhirnya sampai masa dia diketepikan, diperbodohkan, kepala yang jatuhkan BN suatu masa dulu dah tak percaya kepada PKR," katanya.

Najib merujuk Datuk Salehuddin Hasim yang menyertai PKR pada tahun 2004 sebagai setiausaha penganjur parti itu untuk tempoh empat tahun sebelum mengambil alih jawatan setiausaha agung parti itu daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mac 2008.

Salehuddin dilaporkan melepaskan jawatan itu pada 7 Januari 2010 untuk memberikan tumpuan kepada perniagaan konsultansi minyak dan gasnya.

Najib berkata, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, dipecat, dan bekas Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Nor, turut hilang kepercayaan terhadap parti, malah disuruh supaya memfitnah Najib.

"Ezam sanggup masuk penjara kerana Anwar. Anwar pernah suruh dia lawan saya di Pekan, dia tidak mahu tetapi Anwar suruh. Anwar suruh dia fitnah saya pasal kes (wanita Mongolia) Altantuya, tapi tiada bukti.

"Zulkifli pakai ketayap biasanya warak, dia jadi peguam Azilah dia tanya Azilah tapi dia kata Datuk Najib tak terbabit, kalau dia percaya saya terbabit dia takkan keluar (sebagai peguam kes itu).

"Ini mainan politik yang tidak menguntungkan rakyat, nak jadi Perdana Menteri tetapi tak sampai, sebab kerusi perdana menteri Allah yang tentukan. Kita rancang macam-macam pun akhirnya tidak kesampaian," katanya.

Mengenai rancangan pengambilahan kuasa pada 16 Septmber 2008, Najib berkata Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, menafikan bahawa baginda sudah menunggu di Istana untuk majlis angkat sumpah perdana menteri yang baru.

"Tarikh 16 September nak tubuhkan kerajaan, dia guna nama Agong. Saya tanya Tuanku tapi Tuanku menafikan, tentera juga sedia untuk sokong kerajaan baru, macam-macam bidaah dia buat," katanya.

Dua bekas Ahli Parlimen PKR yang kini menjadi wakil Bebas, iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, dan Zulkifli, pada persidangan Dewan Rakyat semasa membahas usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong pada baru-baru ini telah mendedahkan mengenai pembohongan Anwar itu.
/hwa-bernama.com

Najib rai genap setahun sebagai PM di Hulu Selangor

BERNAMA - 2010/04/03

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meraikan genapnya setahun beliau menjadi Perdana Menteri hari ini dengan mengadakan lawatan bertemu rakyat di Hulu Selangor.

Lawatan itu yang padat dengan pelbagai program, akan menyaksikan beliau bertemu dan beramah mesra dengan penduduk Hulu Selangor yang bakal melalui pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Jadual padat Najib dimulakan dengan melancarkan Yayasan Kelana Ehsan dan menghadiri perjumpaan bersama warga Felda di Dewan Serbaguna FELDA Sungai Tengi pada kira-kira 10 pagi.

Najib kemudian dijadualkan merasmikan majlis pecah tanah tapak perumahan generasi kedua Felda sebelum singgah ke satu majlis kenduri perkahwinan di Felda Soeharto.

Selepas itu, Najib akan menyertai penduduk tempatan menunaikan solat Zohor di Masjid Felda Gedangsa disusuli dengan majlis taklimat bersama jentera Barisan Nasional Hulu Selangor di Kuala Kubu Baharu.

Sebagaimana kelazimannya, beliau akan mengadakan tinjauan mesra di Kuala Kubu Baharu bersama-sama kaum Cina dan masyarakat Orang Asli diikuti dengan tinjauan mesra untuk bertemu dengan masyarakat India di Bukit Teratai.

Tradisi "turun padang", yang dipeloporinya pada hari kedua selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri tahun lalu, banyak bercirikan mesra rakyat dan dilakukan secara tidak formal.

Lawatan itu diadakan untuk beramah mesra dan berjumpa dengan rakyat biasa bagi mengetahui masalah mereka.

Pada 4 April 2009, beliau memulakan tinjauan mesra ke Petaling Street, kawasan yang sinonim dengan majoriti penjaja Cina, sebelum melawat kawasan perumahan Vista Angkasa di Bukit Kerinchi, Bangsar yang dihuni oleh majoriti kaum Melayu dan mengunjungi deretan kedai di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields yang digelar ‘Little India’.

Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.

Sempena setahun menyandang jawatan tertinggi negara, Perdana Menteri akan mengadakan majlis Tahlil di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya, petang ini.
/hwa-bernama.com

Hospital Besut perlu dinaik taraf pakar

UM - 03/04/10

BESUT 2 April - Sudah tiba masa bagi Hospital Besut di sini dinaik taraf menjadi hospital pakar bagi menampung keperluan kesihatan masyarakat ekoran kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kesihatan mengenai perkara itu.

Katanya, cadangan pembukaan sebuah kolej perubatan di Taman Ilmu nanti juga membolehkan Hospital Besut yang sudah mempunyai dewan pembedahan menjadi tempat sesuai bagi doktor pelatih menjalankan tugasan mereka.

"Jika segalanya berjalan lancar, Hospital Besut akan menjadi hospital ketiga yang dinaik taraf sebagai hospital pakar selepas Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu dan Hospital Kemaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program Jururawat Bersama Masyarakat peringkat daerah Besut dan Hari Terbuka Hospital Besut di Jerteh dekat sini semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohamad Omar dan Pengarah Hospital Besut, Dr. Haniah Yusof.

Beliau memberitahu, pesakit kronik yang memerlukan pembedahan kecemasan tidak perlu lagi dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM20 juta untuk meningkatkan taraf kesihatan dan kebajikan rakyat negeri ini.

Katanya, ia termasuk mewujudkan Tabung Penyakit Kronik membabitkan peruntukan RM10 juta bagi menyediakan bantuan rawatan dan pembelian peralatan kepada rakyat yang disahkan menghidap penyakit kronik antaranya seperti jantung, kanser dan buah pinggang.

"Sejumlah RM10 juta lagi diperuntukkan di bawah Tabung Insurans Perubatan dan kematian yang menyediakan bantuan kemudahan rawatan serta khairat kematian kepada rakyat.

"Tabung ini diseragamkan antara portfolio Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan bagi membolehkan rakyat menerima manfaat daripada perkhidmatan kesihatan dan perlindungan insurans serta khairat kematian," katanya.

/hwa-utusan.com.my

1 April 2010

Provokasi pembangkang gagal


Beberapa wakil pembangkang mencetuskan kekecohan sebaik sidang Dewan Undangan Negeri Perak bermula, semalam.

SEPERTI biasa, sidang DewanUndangan Negeri (DUN) Perak, di Ipoh semalam berlangsung dalam suasana kecoh berikutan tindakan kurang sopan wakil-wakil rakyat pembangkang.

Namun berbeza dengan dua sidang sebelum ini, kekecohan yang cuba dicetuskan oleh pembangkang kali ini ternyata gagal.

Gagal kerana mereka bukan sahaja tidak berjaya mengheret rakyat mengadakan demonstrasi untuk mempertikaikan kerajaan negeri sedia ada malah, sedikit pun tidak menggugat 'kekuatan' emosi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang bersidang.

Kekecewaan jelas tergambar di wajah mereka apabila provokasi-provokasi yang dilakukan hanya memakan diri sendiri.

Akhirnya, tanpa disuruh, dengan perlahan-lahan mengambil beg masing-masing, berjalan keluar Dewan secara beramai-ramai.

Sikap yang ditunjukkan oleh wakil rakyat pembangkang ini hakikatnya jelas hanya mempermainkan hasrat dan harapan rakyat.

Dalam hal ini DUN bukanlah tempat untuk menunjuk lagak atau lakonan hebat, sebaliknya tempat menentukan nasib rakyat.

Rakyat mengundi mereka dengan harapan setinggi gunung agar dapat bersama-sama membantu menggapai bintang-bintang di langit.

Malangnya semakin hari semakin jelas bahawa bintang-bintang yang diharap bukan sahaja kian menjauh malah bertambah kelam.

Dengan sikap dan perangai yang dipertontonkan sejak pembangkang kehilangan kuasa di Perak, apakah ada lagi harapan rakyat yang menggunung ini?

Tiada salahnya tugas pembangkang kerana itu adalah saluran terbaik untuk menjadi pengimbang kepada kerajaan sedia ada.

Malangnya, peranan murni pembangkang ini tidak difahami oleh kebanyakan wakil rakyat pembangkang itu sendiri.

Akhirnya, jadilah apa yang disaksikan semalam apabila pembangkang hanya tahu membangkang sehingga kewarasan berfikir dan matlamat asal menjadi wakil rakyat semakin terpinggir.

Sedarlah bahawa rakyat bukan bodoh sepanjang masa. Mereka juga bukan penonton yang setia. Jika sikap pembangkang berterusan begini, tiada apa lagi yang boleh diharapkan daripada mereka.

Maka, jangan salahkan sesiapa jika suatu masa nanti kewujudan pembangkang di negara ini hanyalah dilihat sebagai 'badut-badut' yang hakikatnya tidak mampu memperjuangkan apa-apa pun.

/hwa-utusan.com.my

Zambry dedah Anwar tawar jawatan MB

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Shamsul Kamal Amaruddin dan Mohd Feroz Abu Bakar

bhnews@bharian.com.my

BH - 2010/04/01

IPOH: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semalam mendedahkan beliau ditawarkan jawatan Menteri Besar Perak oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya melompat ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas pakatan pembangkang menang dengan majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Mac 2008.

Beliau berkata, Penasihat PKR itu menghubunginya bagi mengemukakan tawaran itu, selain menghantar beberapa ‘utusan’ ke rumahnya.

“Bagaimanapun, saya tidak melayannya kerana komitmen saya dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) masih teguh.

“Jangan anggap kemasukan saya dalam politik semata-mata mahu menjadi Menteri
Besar,” katanya ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih dan menjunjung titah perasmian Pemangku Raja Perak pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Terdahulu, pada sesi perbahasan, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu), berkata tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno diumpan PKR dengan dijanjikan jawatan Menteri Besar selepas pilihan raya umum itu.

Beliau yang ketika itu Pengerusi BN Perak berkata, ketiga-tiga Adun itu memberitahunya tawaran berkenaan serta menyatakan komitmen untuk terus bersama BN.

Tajol Rosli berkata, usaha mewujudkan kerajaan perpaduan Umno dan Pas di Perak beberapa hari selepas pilihan raya sebenarnya mendapat persetujuan Presiden Umno ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi dibantah beberapa pemimpin tertinggi Pas.

“Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, menawarkan diri secara sukarela menjadi orang perantara selepas saya beritahu jawatan Menteri Besar akan diberikan kepada Pas jika Umno dan Pas bergabung.

“Ini bagi menjawab tuduhan Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, yang menyatakan Harussani ejen Umno. Harussani sebenarnya ejen perpaduan ummah,” katanya.

Beliau berkata, Pas kemudian menggunakan isu berkenaan untuk menuntut jawatan Menteri Besar daripada DAP dan PKR sebagai syarat bergabung dengan pakatan pembangkang.

Sementara itu, Jamaluddin Mohd Radzi (Bebas-Behrang) pula berkata, beliau yang pernah menjadi ahli DAP pada 1986 dengan nombor keanggotaan 0027947, didatangi kepemimpinan DAP memintanya mengaktifkan keahlian dalam parti itu supaya dapat dicalonkan sebagai Menteri Besar Perak dua hari selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Beliau yang ketika itu Bendahari PKR Perak, menolak permintaan itu dan turut berbuat demikian ketika bersama dua Adun Melayu PKR dari Perak mengadakan pertemuan dengan Anwar bagi membincangkan isu berkenaan.
/hwa-bharian.com.my