3 Oktober 2010

PKR Sarawak turut kecoh

MM - 3/10/10

KUCHING 2 Okt. - Kekecohan dalam pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Semenanjung dan Sabah turut dirasai di negeri ini setelah timbul dakwaan ahli DAP turut mengundi dalam proses pengundian bahagian Sri Aman minggu lalu.

Dalam pemilihan itu, Jimmy Donald berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Pengerusi PKR cabang Sri Aman selepas memperolehi 84 undi dengan menewaskan pesaingnya, Ibi Uding yang mendapat 76 undi dan seorang lagi calon mendapat 10 undi.

Namun, kekecohan timbul setelah ahli jawatankuasa PKR mendakwa ada yang tidak kena dengan pemilihan itu setelah terdapat lapan pengundi dikesan mempunyai keahlian DAP dan turut serta dalam pemilihan tersebut.

Uding yang juga Ketua Wanita PKR negeri berkata, beliau mempertikaikan kebenaran mereka yang bukan ahli PKR untuk mengundi dalam pemilihan tersebut kerana ia boleh menjejaskan imej parti.

Menurutnya, lapan ahli DAP itu dipercayai mengundi untuk Jimmy dan dibawa oleh Leon Jinat Donald seorang ahli DAP Sri Aman dan juga anak kepada Jimmy.

"Saya mahu PKR pusat menyiasat perkara ini dan sekiranya terbukti benar, saya berharap satu pemilihan semula akan diadakan bagi menjaga imej parti sebagai sebuah parti contoh kepada masyarakat," katanya.

Uding yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi PKR cabang Sri Aman memberitahu, keputusannya untuk bertanding adalah atas galakan PKR pusat yang mahu melihat lebih ramai wanita memegang jawatan penting dalam parti.

Namun katanya, beliau tetap akan menerima keputusan PKR pusat sekiranya mereka tidak mahu mengadakan pemilihan semula.

Sementara itu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan akan menyiasatnya.

Katanya, keputusan sama ada untuk mengadakan pemilihan semula atau sebaliknya bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa PKR pusat.

/hwa: utusan.com.my/

Proses kira undi dicemari insiden gaduh

MM - 3/10/10


PEMILIHAN peringkat pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sabak Bernam, Selangor, semalam lengang walaupun 1,000 ahli didakwa hadir mesyuarat agong pada sebelah pagi. - mingguan/Mohd. Shaharani Saibi

SABAK BERNAM 2 Okt. - Proses mengira undi bagi pemilihan Ketua dan Ahli Jawatankuasa Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabak Bernam yang berlangsung di Dewan Tun Razak, di sini, malam ini kecoh apabila berlaku insiden bertumbuk dan membaling kerusi.

Kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu bermula dengan tindakan sekumpulan lapan lelaki membuat bising di luar dewan sambil menendang pintu masuk utama.

Setelah itu, mereka kemudian menyerbu masuk ke dalam dewan sebelum bertindak menimbulkan kekecohan dengan membaling kerusi.

Difahamkan tindakan kumpulan tersebut kerana tidak puas hati dengan proses pengiraan undi yang dikatakan wujud penipuan.

Timbalan Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Abu Talib Bujang yang berada di dalam dewan itu cuba menghalang tindakan kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, tindakannya itu menyebabkan tercetusnya insiden tolak-menolak dan pergaduhan.

Malah anaknya, Mohd. Fazli yang turut berada di dalam dewan turut cedera di kepala apabila terkena objek keras yang dipercayai serpihan kerusi yang pecah.

Dia seterusnya dihantar ke Hospital Ampuan Jemaah di sini untuk rawatan lanjut.

Ekoran kejadian tersebut, mereka yang berada di dalam dewan telah meluru keluar apabila melihat keadaan yang tidak terkawal itu.

Namun kehadiran anggota polis dan sebuah kereta peronda 10 minit kemudiannya berjaya meredakan keadaan.

Sementara itu, jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Shahrani Saidi yang berada di pintu masuk dewan untuk merakam insiden tersebut telah dikejar oleh ahli PKR yang menuntut supaya diserahkan kamera yang dibawa kepada mereka.

Pergelutan kecil berlaku menyebabkan flash kamera milik jurugambar tersebut terjatuh dan pecah. Shahrani kemudian membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Wartawan akhbar Sinar Harian, Emelda Pasola turut membuat laporan polis kerana trauma akibat digertak dalam kejadian tersebut.

Dalam pada itu menurut isteri Abu Talib, Siti Zubaidah Idris, kejadian itu berlaku dengan pantas dan di luar jangkaan sama sekali.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana keadaan anak dan suaminya yang turut cedera dalam insiden tersebut tidak mengalami kecederaan serius.

Sehingga berita ini ditulis pada pukul 9.15 malam, masih ramai ahli parti yang menunggu di luar dewan kerana tidak mendapat kepastian mengenai sama ada keputusan akan diumumkan atau tidak pada malam ini.

Namun media difahamkan pengumuman keputusan pengundian bagi peringkat cabang tersebut ditangguhkan.

Menurut seorang ahli Cabang PKR Sabak Bernam yang enggan dikenali, mesyuarat agung tahunan cabang itu ditangguhkan dan pengundian dibatalkan.

"Insiden yang berlaku ini akan dimaklumkan kepada pihak ibu pejabat dalam masa terdekat,'' katanya.

Cabang Sabak Bernam menyaksikan penyandang Ketuanya, Dr. Badrulamin Bahron ditentang oleh Abdul Aziz Idris dan Abdul Kadir Abdul Rashid.

Abu Talib sendiri bertanding untuk mengekalkan jawatannya dengan mendapat tentangan daripada Anuar Simin yang juga Pengerusi Tetap cabang berkenaan dan seorang lagi, Muhamad Husin Taib.

/hwa: utusan.com.my/

2 Oktober 2010

TERUJA...

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Negeri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tengah), menyertai kumpulan Dikir Barat Besut menyanyikan lagu Dikir Besut ketika menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Raja di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Bernama - Oct 2, 2010 2:39 pm

SENIKATA DIKIR BESUT

Beruntung benar menjadi ore Besut
Ada Pusat Minda Fikiran tidak kusut
Budak-budak baik fiil perangai meme good
jadi ore hebat dari awal pah ko sut

Ada Sekolah IMTIAZ sekolah meme hebat
Generasi pintar generasi Ulul Albab
Ilmu dunia serta ilmu akhirat
Supaya menjadi pembimbing masyarakat

Lirik: YB Datuk Seri Idris Jusoh (Irama Jom-Jom Inai)

Najib dedah faktor kejayaan

UM - 2/10/10


Najib Tun Razak menekankan tentang kesungguhannya untuk melaksanakan Gagasan 1Malaysia dan agenda ekonomi negara pada program Bicara Bersama Perdana Menteri di Forum Kepimpinan ASEAN 100 di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 1 Okt. - Percaya dan yakin pada diri sendiri merupakan antara faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu berhadapan dengan situasi mencabar sepanjang 35 tahun berada di dalam dunia politik dan pentadbiran kerajaan.

Kata Perdana Menteri, walaupun beliau pernah berasa kecewa dengan beberapa situasi yang berlaku termasuk ketika Pilihan Raya Umum 1999, ia sesekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjaya di dalam hidup.

"Saya percaya jika kita yakin pada diri sendiri kita seharusnya mampu mengatasi kejatuhan atau kekalahan kita. Amat bagus untuk kalah pada mulanya kerana kita akan belajar. Apa yang penting kita berupaya untuk pulih semula.

"Saya sendiri mengalaminya pada 1999 apabila majoriti undi pada pilihan raya umum ketika itu begitu teruk. Saya sendiri tidak faham kenapa ia jadi begitu.

"Ia bukan sebab peribadi, namun saya percaya saya boleh bangkit semula dan pada 2004 saya berjaya mendapat majoriti paling tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tentang jatuh bangunnya dalam dunia politik dan pentadbiran kerajaan pada Bicara Bersama Perdana Menteri di Forum Kepimpinan ASEAN 100 di sini hari ini.

Najib berkata, ketika berhadapan dengan situasi sedemikian, adalah penting baginya untuk perlu sentiasa membuat keputusan yang tepat.

"Sebagai contoh dalam dunia politik, satu perkara yang akan membantu kita jatuh dengan cepat adalah berada di tempat atau kem yang salah," katanya.

Menurut Najib, sebagai seorang pemimpin negara, beliau akan terus komited untuk melaksanakan perubahan demi kebaikan setiap rakyat di negara ini.

"Saya anggap peluang untuk memimpin bukan sebagai satu kedudukan paling tinggi di negara ini, tetapi ia adalah peluang untuk membawa perubahan yang memberi kesan terbaik kepada rakyat.

"Ini adalah keputusan yang saya buat semasa mula-mula menyertai dunia politik selepas bapa saya (Allahyarham Tun Abdul Razak) meninggal dunia. Pada satu tahap kita perlu membuat keputusan tentang hala tuju hidup kita dan saya telah lakukannya," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Galas jadi medan tebus kekalahan BN

UM - 2/10/10

KUANTAN 1 Okt. - Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dilihat sebagai medan untuk Barisan Nasional (BN) menebus kekalahan di Manek Urai tahun lalu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, BN dilihat mampu merebut kerusi DUN berkenaan daripada Pas berdasarkan rekod kekalahan tipis pada pilihan raya kecil Manek Urai Julai tahun lalu.

''Dengan persiapan rapi termasuk kerjasama semua parti komponen bersama-sama UMNO, saya yakin BN mampu mencapai kemenangan sekali gus merampas kembali kerusi itu daripada Pas.

''Saya berkata demikian kerana berdasarkan rekod kita di Manek Urai, BN tewas dengan 65 undi sahaja. Oleh itu, kita berazam menjadikan Galas sebagai medan bagi menebus kekalahan tersebut," katanya kepada pemberita di majlis pemimpin bersama penduduk di Felda Sungai Panching Selatan di sini hari ini.

Pada 14 Julai tahun lalu, calon Pas, Mohd. Fauzi Abdullah, 50, memenangi kerusi DUN Manek Urai apabila mengalahkan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dengan majoriti 65 undi.

Kerusi DUN Galas pula kosong selepas penyandangnya, Che Hashim Sulaima, 46, meninggal dunia pada Isnin lepas akibat barah usus.

Kerusi tersebut dimenangi calon Pas itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dua tahun lalu selepas menewaskan penyandang daripada BN, Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Menurut Ahmad, beliau melihat pilihan raya kecil Galas mampu memberi kemenangan kepada BN berdasarkan empat faktor iaitu melibatkan pelbagai kaum termasuk Orang Asli yang melambangkan sentimen rakyat mahukan satu kerajaan pemerintah.

''Faktor kedua pula, Galas begitu penting kerana penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar baru yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Seterusnya, saya melihat pemilihan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan raya BN bagi pilihan raya kecil itu sebagai tepat kerana beliau cukup sinonim di kawasan tersebut," katanya.

Jelasnya, Tengku Razaleigh juga tidak pernah kalah sepanjang bertanding atas tiket BN mahupun Semangat 46.

Tambahnya, faktor terakhir adalah penduduk di Galas dilihat tidak mahu atau serik berada di bawah Pas kerana parti itu gagal memberikan sebarang pembangunan di kawasan berkenaan.

''Penduduk Galas sudah jemu dengan janji-janji manis yang ditaburkan Pas setiap kali mereka berceramah.

''BN akan dapat memenangi kerusi di kawasan berkenaan asalkan semua parti termasuk MCA, MIC dan Gerakan sentiasa memberikan kerjasama yang padu bagi menggerakkan jentera pilihan raya," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Barisan Nasional pilih calon terbaik di Galas - PM

UM - 2/10/10

PUTRAJAYA 1 Okt. - Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon terbaik untuk mengemudi cabaran parti itu pada pilihan kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setakat ini beliau tidak mahu membayangkan individu tertentu tetapi masih menunggu senarai calon yang sesuai.

''Yang semua telah tahu kita sudah putuskan melantik Tengku Razaleigh Hamzah (Ketua UMNO Bahagian Gua Musang) sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan BN di Galas, yang bersedia dan komited untuk bekerja keras dalam memastikan BN menang.

''Justeru, saya masih menunggu senarai cadangan calon yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat pameran Pertandingan Reka Bentuk Hospital Kerajaan di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Semalam, Pemuda UMNO Kelantan mencadangkan Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebagai calon BN bagi kerusi pilihan raya kecil Galas.

Menurut ketuanya, Anuar Safian, pihaknya yakin kewibawaan dan kepimpinan Tengku Razaleigh di Gua Musang satu kelebihan bagi BN merampas kembali kerusi berkenaan daripada Pas.

Dalam pada itu, Najib ketika ditanya saranan Pas supaya BN tidak meletakkan calon di Galas berkata, BN perlu bertanding selaras dengan amalan demokrasi yang sihat di negara ini.

''Ini kerana kekosongan di Galas disebabkan berlaku kematian (penyandangnya dari Pas, Allahyarham Chek Hashim Sulaima).

''Hanya sekali kita sengaja tidak bertanding (iaitu di Penanti, Pulau Pinang) kerana kita rasa ia membazir dari segi kewangan.

''Jadi, kalau BN bertanding, ia membolehkan pengundi di Galas membuat pilihan sama ada hendak memilih BN atau Pas," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai tindakan pakatan pembangkang yang terus menggerakkan momentum 'Menuju Putrajaya' (menguasai kerajaan pada pilihan raya umum akan datang), Najib berkata, pembangkang boleh mencetuskan apa sahaja momentum termasuk '16 September' yang gagal beberapa tahun lepas.

''Yang penting BN perlu bekerja lebih keras dalam usaha mendapat keyakinan rakyat," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Aksesori seks dijual secara terbuka di Kota Bharu

UM - 2/10/10


SEORANG peniaga menjual ubat dan peralatan seks kepada orang ramai di Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 1 Okt. - Pada setiap pagi Jumaat, Jalan Dato' Pati dan jalan serta lorong sekitarnya dekat sini, akan menjadi tumpuan warga bandar termasuk penduduk dari daerah berhampiran.

Lazimnya, orang ramai datang untuk mendengar kuliah mingguan yang disampaikan oleh Menteri Besar yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abduk Aziz Nik Mat di pejabat Pas negeri yang terletak di sini.

Kedudukan jalan tersebut di tengah-tengah bandar dan berhampiran pula dengan stesen bas dan kereta sewa memudahkannya untuk diakses oleh orang ramai termasuk yang menggunakan kenderaan sendiri.

Kehadiran begitu ramai pengunjung menjadikan Jalan Dato' Pati sesak ibarat Jalan Petaling atau Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur.

Kedatangan begitu ramai pengunjung turut menjadikan kawasan tersebut tumpuan di kalangan peniaga kecil untuk memasarkan pelbagai barangan sama ada keperluan harian, hasil pertanian, buku, majalah, kain baju, tudung dan banyak lagi.

Maka tidak hairanlah kawasan tersebut tiba-tiba berubah wajah pada setiap pagi Jumaat dengan pelbagai ragam peniaga dan pengunjung.

Bagaimanapun, di sebalik semua itu, sama ada disedari atau tidak, kawasan tersebut sebenarnya turut menjadi tumpuan penjual 'ubat kuat' yang turut memasarkan pelbagai jenis, saiz serta bentuk 'aksesori seks' secara terbuka.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu hari ini mendapati, tidak kurang enam penjual yang menjual pelbagai jenis 'ubat kuat' dan aksesori seks.

Kebanyakan penjual terbabit meletakkan ubat dan aksesori seks tersebut di atas meja tanpa perlu berselindung takut diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Namun, ada juga yang bertindak menutup dengan kertas putih gambar-gambar lucah yang terdapat pada pelekat atau kotak ubat yang dijual, tetapi ia hanya melibatkan yang dipamerkan sahaja.

Terdapat juga penjual yang cuba menyembunyikan kegiatan mereka di sebalik penjualan barangan lain kerana bimbang dikesan pihak berkuasa atau tidak mahu ia dilihat kaum wanita yang turut membanjiri kawasan berkenaan.

"Tutup sikit, nanti anak dan isteri kita tengok," kata seorang peniaga ketika seorang pembeli terdiri daripada seorang lelaki warga emas cuba tawar-menawar ubat kuat yang dijualnya.

Lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an itu cuba tawar-menawar sekotak ubat kuat berharga RM60 yang di dalamnya turut mengandungi beberapa keping gambar lucah.

Di sudut lain pula, terdapat seorang penjual yang begitu asyik meyakinkan pengunjung mengenai keistimewaan ubat seks yang dijualnya berharga antara RM5 hingga RM60, bergantung kepada jenis dan kekuatan ubat berkenaan.

Selain menjual ubat, lelaki terbabit turut menjual pelbagai jenis aksesori seks untuk lelaki dan wanita.

Turut menarik perhatian pengunjung ialah kehadiran seorang peniaga yang menjual 'minyak kuat' dengan turut mempamerkan beberapa ekor lintah gergasi.

Penjualan ubat dan aksesori seks tersebut yang dibuat secara terbuka bukan sahaja menarik golongan lelaki pelbagai peringkat umur yang ingin 'menjadi kuat', tetapi juga golongan kanak-kanak dan remaja yang hadir ke kawasan tersebut bersama-sama ibu bapa mereka.

Apa yang membimbangkan ialah, kebanyakan ubat-ubat tersebut dibawa masuk dari luar negara berdasarkan tulisan yang tertera pada kotak ubat berkenaan dan tidak mempunyai cop atau tanda kebenaran daripada Kementerian Kesihatan.

Justeru, dibimbangi pengambilan ubat tersebut tanpa kawalan dan aturan yang betul boleh mengundang mudarat kepada orang ramai.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman, 40-an berkata, pihak berkuasa sewajarnya memantau penjualan ubat dan barangan tersebut kerana dikhuatiri boleh memberi implikasi tidak baik kepada masyarakat khusus remaja.

"Adalah tidak wajar penjualan ubat-ubat dan aksesori seumpama itu dibuat secara terbuka.

"Kita bimbang sekiranya pengambilan ubat dan penggunaan aksesori tersebut dibuat secara tidak terkawal, ia boleh mendatangkan kemudaratan," katanya ketika ditemui, di sini semalam.

/hwa: utusan.com.my/

Tasik Kenyir kawasan bebas cukai 2012

UM - 2/10/10

KUALA TERENGGANU 1 Okt. - Tasik Kenyir yang selama ini bagaikan 'tasik tidur' bakal berubah wajah sebagai kawasan bebas cukai menjelang tahun 2012.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengesahkan perkara itu berkata, ia akan menjadi pemangkin yang cukup kuat bagi melonjakkan industri pelancongan Terengganu.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima surat daripada Kementerian Kewangan yang secara rasmi meluluskan permohonan kerajaan negeri menjadikan tasik itu sebagai kawasan bebas cukai.

Beliau memberitahu, surat tersebut diterima pada 21 September lalu sebagai reaksi kepada permohonan kerajaan negeri sejak empat bulan lalu.

Ahmad menjelaskan, bagi tujuan itu, kawasan berkenaan akan dibangunkan dengan kompleks bebas cukai, rumah kedai, premis kediaman, taman tema air selain pelbagai jenis taman flora dan fauna yang membabitkan perbelanjaan lebih RM100 juta.

"Tasik Kenyir akan mempunyai pelbagai tarikan lain termasuk santuari kelah, taman rama-rama, pusat membeli-belah, kemudahan kereta kabel dan sebagainya.

"Saya bersyukur kerana Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Kewangan meluluskan secara rasmi Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai mengikut Seksyen 3 Akta Bebas Cukai 1990," katanya kepada pemberita semalam.

Menurut Ahmad, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kawasan itu memerlukan tempoh masa selama satu setengah tahun dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang 2012.

Beliau menjelaskan, akhir bulan ini, kerajaan negeri akan mula mengeluarkan tender bagi menyambung bekalan elektrik di Pulau Bayas di tasik berkenaan yang membabitkan kos kira-kira RM33 juta.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri telah menyiapkan reka bentuk hotel-hotel dan chalet bertaraf tiga hingga bintang yang bakal dibina di tasik berkenaan.

"Bagaimanapun kita akan memuktamadkan perkara ini (hotel dan chalet) sama ada kita setuju dengan reka bentuk yang dibina ini selain berkaitan tender dan sebagainya," katanya.

Katanya, kemudahan penginapan itu perlu disediakan lebih awal bagi menampung pengaliran masuk pengunjung yang dijangka berlaku secara mendadak kelak.

/hwa: utusan.com.my/

UMNO KB sokong Ku Li calon Galas

Bernama - 02/10/2010 4:55pm

KOTA BHARU 2 Okt. - UMNO Bahagian Kota Bharu menyokong cadangan supaya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan.

Ketuanya, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata, pemimpin veteran UMNO itu diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri sekiranya dipilih bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti.

Beliau berharap Tengku Razaleigh yang telah dipilih sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Galas memikirkan perkara itu semasak-masaknya sekiranya dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu.

"Beliau tokoh politik yang disegani oleh rakyat," kata Mohd. Fatmi yang juga setiausaha politik perdana menteri.

Semalam, cadangan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian supaya Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon Galas turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata, BN bersedia menimbangkan cadangan itu. - Bernama

/hwa: utusan.com.my/

Pilih Ku Li calon BN di Galas tidak wajar -Nik Aziz

Bernama - 02/10/2010 4:48pm

KOTA BHARU 2 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan untuk menamakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sebagai tidak wajar.

Menteri Besar Kelantan itu menyifatkan cadangan itu juga sebagai merendahkan darjat Tengku Razaleigh yang tidak layak sama sekali bagi seorang pemimpin veteran itu bertanding di peringkat DUN.

"Saya boleh sebut ini dah melampau. Ku Li (Tengku Razaleigh) bukan taraf dia (bertanding di DUN), dia menteri dah. Dia dah ke Parlimen dan turun ke DUN ini ada benda tak betul.

"Tak jaga lidah betul (cadangan pilih Tengku Razaleigh), jagalah lidah sikit. Ku Li ni berketurunan raja dan (pernah) jadi Menteri Kewangan; tiba-tiba nak letak di DUN. Ini tak betul. Ada masalah lain le ni...," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-13 Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata demikian ketika mengulas cadangan untuk memilih Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas berikutan ketokohan pemimpin itu.

Cadangan untuk memilih Tengku Razaleigh itu juga mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata, BN bersedia untuk mencalonkan pemimpin itu kerana ia paling sesuai dan tepat berdasarkan kepada pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

/hwa: utusan.com.my/

70 lagi warga emas pulangkan wang ehsan

Bernama - 02/10/2010 5:37pm

GEORGETOWN 2 Okt. - Seramai 70 lagi warga emas dari Bayan Baru di sini telah memutuskan untuk memulangkan semula wang ehsan RM100 yang diterima dari kerajaan negeri selepas curiga dengan sumber wang yang mungkin datang dari kegiatan perjudian.

Habsah Said, 81, dari Permatang Damar Laut berkata, beliau kecewa dan terkejut apabila mendapat tahu bahawa program menghargai warga emas anjuran kerajaan negeri itu diperoleh daripada kegiatan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

"Bagi orang islam, kami tidak dibenarkan menerima wang daripada sumber yang dilarang dan ia dianggap sebagai "duit haram" yang mana kami buat keputusan untuk memulangkannya semula," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar yang diadakan oleh Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Abdul Rahim Saibu di sini, hari ini.

Katanya, beliau menerima wang itu sebelum ini kerana berpendapat ia sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi menghargai golongan warga emas.

Seorang lagi warga emas Zainab Abu Bakar, 67, dari Kampung Melayu berkata, beliau memutuskan untuk memulangkan wang itu kepada kerajaan negeri secara sukarela.

Pada 25 Oktober lepas, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dipetik sebagai berkata,beliau menerima menerima sepucuk surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri dan dialamatkan kepada seorang pegawai kelab itu yang memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menerima RM500,000 baki daripada sumbangan daripada kelab itu.

Pengundi Pulau Pinang yang berumur 60 tahun ke atas yang telah mendaftar dalam program itu layak mendapat bantuan RM100 setahun manakala waris mereka akan menerima RM1,000 selepas kematian mereka. - Bernama

/hwa: utusan.com.my/

1 Oktober 2010

Bekas pemimpin PKR dedah pengakuan Reformis

UM - 1/10/10


NG LUM YONG Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Bekas seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendedahkan mengenai pengakuan Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar yang telah diberi tugas oleh Naib Presiden PKR, Azmin Ali untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ng Lum Yong yang merupakan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendakwa, pengakuan tersebut terdapat di dalam rakaman perbualan telefon antara Ramlan dengan seorang yang sehingga kini masih belum dikenali.

Beliau mendakwa, rakaman perbualan telefon itu diterimanya dalam bentuk cakera padat di rumahnya 10 hari yang lalu.

''Sejak itu saya mendengar rakaman perbualan ini boleh dikatakan pada setiap hari. Saya mahu mengenal pasti identiti mereka dan akhirnya saya dapat mengecam salah seorang mereka ini ialah Ramlan Abu Bakar, ketua gerakan reformis.

''Saya tidak kata dakwaan mereka ini benar tetapi saya percaya rakaman audio ini telah tersebar ke seluruh negara. Selain disebarkan dalam bentuk cakera padat orang ramai dapat mengaksesnya melalui blog suaraampangpoint.blogspot,'' dakwanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Wartawan yang hadir pada sidang akhbar tersebut turut diberi peluang mendengar perbualan antara Ramlan dan seorang individu yang memakan masa selama 10 minit.

Antara kandungan perbualan itu ialah mengenai habuan yang dijanjikan dalam bentuk tapak perniagaan pasar malam (uptown) kepada penggerak reformis bagi menjayakan demonstrasi bogel di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada tahun 2009.

Demonstrasi itu sebagai bantahan terhadap kerajaan negeri yang menaikkan sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) daripada RM124 kepada RM250 sebulan tetapi ia akhirnya dibatalkan

Ekoran daripada rakaman perbualan telefon tersebut Lum Yong menggesa pucuk pimpinan parti segera menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara tersebut.

''Tan Sri Khalid dan Azmin merupakan dua sahabat saya dan saya fikir nama mereka perlu dibersihkan sekiranya dakwaan yang dibuat melalui perbualan itu tidak benar,'' katanya.

Beliau berkata, di peringkat ini pucuk pimpinan tidak boleh membiarkan rakaman itu tersebar luas kerana kemungkinan rakyat akan menerima bulat-bulat setiap kandungan perbualan berkenaan.

''Pucuk pimpinan khususnya Presiden, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail perlu mengambil tindakan menubuhkan jawatankuasa berkenaan supaya setiap dakwaan yang dibuat boleh ditentukan sama ada benar atau tidak melalui satu siasatan terperinci," katanya.

''Seperti mana kes peguam Datuk V.K. Lingam, pengedaran cakera padat ini boleh dijadikan asas penubuhan jawatankuasa siasatan,'' katanya.

Beliau berkata, setiap pihak yang dipanggil untuk memberi keterangan dikehendaki memberikan kerjasama sewajarnya termasuk Menteri Besar Selangor dan Azmin.

Menjawab satu soalan beliau menegaskan pendedahan yang dibuatnya ini dilakukan secara sukarela dan bukannya diupah atau dibayar oleh pihak tertentu.

''Saya merupakan salah seorang pengasas parti ini dan apa yang saya lakukan ini adalah semata-mata tanda sayang saya terhadap parti. Saya tidak mahu parti rosak disebabkan perkara-perkara seperti ini.

''Saya lakukan secara sukarela dan bukannya saya menerima bayaran tertentu. Saya mahu tegaskan di sini saya tidak dibayar. Saya adakan sidang akhbar ini semata-mata mahu selamatkan PKR,'' katanya lagi.

Dalam pada itu ketika ditanya sekiranya PKR tidak melayan permintaannya itu Lum Yong berkata, ia merupakan sesuatu yang amat mengecewakan.

''PKR juga tidak sepatutnya menjadi parti keluarga sebaliknya ia harus menjadi parti untuk rakyat. Amalan seperti ini langsung tidak sihat dan ia perlu dihentikan segera,'' katanya lagi.

/hwa: utusan.com.my/

Samy Vellu umum letak jawatan Januari depan

UM - 1/10/10

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Teka-teki yang berlanjutan dalam pelan peralihan kuasa MIC akhirnya terjawab apabila Datuk Seri S. Samy Vellu mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan pada Januari depan.

Menurutnya, langkah itu adalah bagi memberi peluang kepada timbalannya, Datuk G. Palanivel untuk membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti selaku Presiden MIC.

''Saya akan umumkan tarikh peletakan jawatan tidak lama lagi. Selepas meletak jawatan, saya tidak akan mencampuri urusan dalaman parti dan hanya akan menjadi ahli biasa MIC," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di sini hari ini.

Samy Vellu, 74, adalah pemimpin paling lama pernah memegang jawatan tersebut apabila menjadi Presiden MIC selama 31 tahun.

Beliau dijangka meletak jawatan selepas menghadiri perhimpunan kesembilan Pravasi Bharatiya Divas di New Dehli, India, Januari depan.

Tambah Samy Vellu, peletakan jawatan beliau tidak ada kena mengena dengan desakan beberapa pihak baru-baru ini.

''Saya telah pun membuat keputusan ini beberapa tahun lalu, tetapi mereka (Gerakan Anti Samy Vellu) mula menggesa saya selepas pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada April lalu," katanya.

Ketika ditanya mengenai pengumumannya sebelum ini iaitu hanya akan menyerahkan jawatannya selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada tahun 2012, Samy Vellu berkata, beliau tidak patut berbuat demikian kerana pemimpin baru harus bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

''Palanivel memerlukan masa untuk melatih diri bagi menghadapi cabaran dan saingan ketika pilihan raya umum akan datang. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menyerahkan jawatan dalam masa terdekat ini.

''Saya berharap kepimpinan Palanivel akan menarik lebih ramai masyarakat India untuk menyokong MIC dan Barisan Nasional (BN)," jelasnya.

Katanya, pada masa ini beliau sedang berusaha untuk mengukuhkan hubungan persahabatan di antara India dan Malaysia dalam sektor ekonomi.

''Selepas meletak jawatan, saya mungkin akan membantu negara ini bagi meningkatkan sumber ekonomi dengan mengukuhkan lagi persahabatan kedua-dua negara," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Pas lebih pentingkan dendam politik berbanding kemajuan rakyat

UM - 1/10/10

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Kerajaan Pas Kelantan diselar kerana lebih mementingkan dendam politik berbanding memajukan masyarakat apabila masih belum meluluskan geran tanah kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) biar pun kerajaan Pusat sudah menjelaskan bayaran premium sebanyak RM24.3 juta pada 2006.

Sambil meluahkan kekecewaannya, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sikap kerajaan Pas Kelantan itu menyebabkan usaha kerajaan Pusat untuk membantu 4,000 penduduk miskin tegar di kawasan Parlimen Gua Musang tidak dapat dilaksanakan.

"Inilah sikap sebenar kerajaan Pas Kelantan, kita hendak buat projek agropolitan yang boleh memberi manfaat kepada 4,000 penduduk miskin tegar di kawasan Gua Musang pun mereka tidak mahu beri kerjasama, tetapi wang premium sebanyak RM24.3 juta yang dibayar empat tahun lalu diambil.

"Apa jenis mainan politik ini, tak kan kerajaan Pusat melalui Kesedar mahu melaksanakan projek pembangunan untuk kebaikan rakyat pun tidak boleh dibantu, ini janji 2006 lagi, duit dah dapat tapi geran tidak mahu beri," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis rumah terbuka kementerian itu di Bangi dekat sini hari ini.

Menurut Mohd. Shafie, mengikut perancangan strategik kerajaan Pusat, daripada 6,000 hektar tersebut, 2,000 hektar akan dibangunkan dengan projek agropolitan yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada 1,000 penduduk, manakala bakinya akan digunakan untuk tanaman semula kelapa sawit.

Kepada soalan, apakah alasan kerajaan Pas Kelantan yang sehingga kini enggan mengeluarkan geran tanah di kawasan itu kepada Kesedar, Mohd. Shafie berkata, pertanyaan tersebut patut diajukan kepada kerajaan negeri Kelantan.

Ini kerana dakwanya, tiada sebarang alasan diberi sehingga kini.

"Kita tidak tahu apa alasan Kerajaan Pas Kelantan dan bagi saya, sepatutnya tiada alasan untuk kerajaan negeri menolak pembangunan ini kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat tetapi pada masa yang sama, turut menyumbang kepada kemajuan kawasan Gua Musang," katanya.

Mengulas isu berasingan, beliau berkata, pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas adalah bersandarkan kepada kebolehan, ketokohan dan pengalaman luas tokoh UMNO tersebut.

Katanya, Tengku Razaleigh adalah tokoh yang selayaknya untuk mengepalai cabaran BN pada pilihan raya kecil tersebut kerana beliau bukan sahaja disanjung di Gua Musang dan Kelantan tetapi turut dihormati di peringkat nasional.

"Kita yakin dengan kebolehan beliau. Tengku Razaleigh dengan pengalaman luas yang dimilikinya mampu memperkuatkan sokongan rakyat kepada UMNO dan yang lebih penting, kita percaya ketokohannya boleh membantu BN bukan sahaja menawan kembali DUN Galas tetapi menang dengan majoriti besar," ujarnya.

Mengenai saranan Pas Kelantan supaya UMNO tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu atas alasan perpaduan Melayu, Mohd. Shafie berkata, saranan tersebut hanyalah muslihat politik Pas memandangkan sebelum ini, mereka jugalah yang menentang perpaduan antara UMNO dan Pas walaupun mendapat gesaan pelbagai pihak.

Tambahnya, perpaduan Melayu tiada kaitan dengan pilihan raya kecil DUN Galas kerana UMNO sejak dari dahulu lagi sentiasa terbuka dan bersedia untuk mempercepatkan hasrat murni tersebut tetapi jelasnya, pihak yang mengagalkan usaha tersebut adalah Pas sendiri terutamanya, Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Bagaimana kita hendak pegang kata-kata mereka mengenai perpaduan, Pas sekejap kata ya, sekejap kata tidak. Pada saya, Pas hanya menggunakan perpaduan Melayu untuk menarik simpati pengundi di Galas dan mereka tidak ikhlas pun," dakwanya.

/hwa: utusan.com.my/

Pas akui Galas satu cabaran besar

UM - 1/10/10

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mengakui parti itu menghadapi cabaran besar dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada pilihan raya kecil akan datang.

Justeru katanya, Pas kini perlu menghitung segala aspek dalam pertandingan itu dengan bijaksana seperti mengambil kira kekuatan dan kelemahan sendiri serta kelebihan yang ada pada Barisan Nasional (BN).

"Jadi semua faktor mesti diambil kira, yang penting parti kita mesti mengambil kira semua strategi, kekuatan musuh, ini sikap lebih baik daripada (sikap) terlalu yakin.

"Bagi saya, cabaran besar itu bermaksud kita kena hitung semua aspek teknikal, fizikal kita dan komitmen dalam mempertahankan kemenangan kita di Galas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron hari ini di Kota Bharu mengakui parti itu 'sedikit gusar' dalam usaha mempertahankan kerusi DUN Galas ekoran pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya BN.

Kata Abdul Fatah, ini kerana ketokohan Tengku Razaleigh akan memberi impak yang besar sehingga berupaya membawa kemenangan kepada BN.

Namun berbeza dengan Abdul Fatah, Salahuddin menjelaskan, pelantikan Tengku Razaleigh bukan merupakan ancaman kepada Pas memandangkan parti tersebut pernah bekerjasama dengan pemimpin UMNO itu ketika memperjuangkan beberapa isu termasuk tuntutan royalti petroleum buat Kelantan.

Dalam perkembangan sama, Salahuddin turut mempersoalkan strategi UMNO dan BN kali ini yang didakwanya lari daripada tradisi apabila Timbalan Perdana Menteri tidak dilantik sebagai pengarah jentera pilihan raya kecil.

Beliau menambah, pengarah jentera pilihan raya Pas untuk Galas akan diumumkan oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada satu mesyuarat di Gombak Ahad ini.

Katanya, antara agenda utama Pas pada mesyuarat itu nanti sudah tentu berkisar kepada strategi dan perkembangan parti bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

Kerusi DUN Galas kosong selepas penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, dari Pas meninggal dunia akibat barah paru-paru Isnin lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.

/hwa: utusan.com.my/

Pelantikan Tengku Razaleigh tepat - Mukhriz

UM - 1/10/10

SEREMBAN 30 Sept. - Pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas merupakan satu pilihan yang tepat.

Ahli Parlimen Jerlun yang juga Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, tokoh politik itu mampu menggalas tugas tersebut dengan baik kerana beliau mempunyai pengaruh yang sangat kuat di kalangan penduduk di Galas, Kelantan.

"Pelantikan itu tepat sekali, maklumlah Gua Musang itu adalah tempatnya dan beliau mempunyai pengaruh besar di kawasan itu.

"Melihat kepada pengaruh itu, kita yakin pilihan raya kecil ini dapat memberi keputusan yang memihak kepada BN," katanya selepas merasmikan Kilang Bateri Otomotif Astra Manufacturing Sdn. Bhd. di Mantin dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pihaknya akan berusaha untuk menjelaskan sebaik mungkin isu royalti minyak yang mungkin dimainkan oleh parti lawan terutama Pas untuk mengelirukan rakyat.

"Isu royalti minyak kerap kali diterangkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Namun, pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas ini kita akan terus menjelaskan sebaik mungkin keadaan sebenarnya kerana yang kita lihat kerajaan Pas di Kelantan kerap memutarbelitkan fakta dan mengelirukan rakyat yang akhirnya menjadi isu politik.

''Kita akan berusaha menjelaskan sebaik mungkin isu ini supaya rakyat tidak lagi keliru," katanya.

Ketika ditanya tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan mengajak ahli UMNO menyertai Pas atas nama perpaduan, Mukhriz menganggap ia bersifat politik semata-mata.

"Bagi saya UMNO lebih ke hadapan dalam soal inginkan perpaduan. Apabila kenyataan yang sama dikeluarkan sewaktu dekat Pilihan Raya Kecil DUN Galas, jadi kita terpaksa melihatnya dengan sedikit ragu-ragu," katanya.

Sementara itu Pemuda UMNO Kelantan mencadangkan supaya Tengku Razaleigh Hamzah dicalonkan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, pihaknya percaya Tengku Razaleigh (Ku Li) yang juga Ketua UMNO bahagian adalah tokoh yang sesuai dengan keadaan politik semasa untuk memulihkan DUN Galas dan keyakinan rakyat kawasan itu kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, mengambil kira keupayaan Ku Li menjadi Ahli Parlimen Gua Musang selama lebih 30 tahun, cadangan itu wajar difikirkan oleh pucuk pimpinan parti demi masa depan rakyat Gua Musang dan Kelantan amnya.

"Sudah tiba masanya Ku Li diberi peranan yang lebih termasuk menjadi Ahli Parlimen dan DUN sekali gus dengan keupayaan beliau sebagai orang lama di samping boleh memainkan peranan yang lebih di Dewan Undangan Negeri Kelantan," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau pada masa yang sama berharap agar pengundi di kawasan itu membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya kecil itu nanti.

"Walaupun ini cuma satu kerusi dalam DUN Kelantan, tetapi maknanya besar. Kerajaan sekarang telah membuktikan bahawa kita mampu untuk menggubal dasar dan mengatur strategi yang benar-benar memberi manfaat dan faedah kepada rakyat khususnya dalam soal memulihkan ekonomi negara.

"Jadi, melihat akan kejayaan kerajaan sekarang saya harap sokongan daripada rakyat dapat diterjemahkan dalam bentuk undi pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Rancang jatuhkan MB Selangor

UM - 1/10/10

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar mendakwa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali pernah menawarkan habuan kepada Reformis untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Ramlan, antara tindakan Reformis yang ada kaitan dengan agenda tersebut ialah demonstrasi bogel di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada 2009 serta aduan rasuah melibatkan Abdul Khalid kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, semua tindakan itu bertujuan menjatuhkan Abdul Khalid sekali gus memberi laluan kepada Azmin untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baru.

"Memang tidak dinafikan agenda perjuangan Reformis berasaskan rakyat, tetapi Azmin seorang yang amat bijak dalam konteks memanipulasi keadaan. Beliau gunakan kesempatan itu untuk mencalar imej Menteri Besar.

"Sebagai ahli politik, Azmin merupakan seorang yang bercita-cita besar dan antara matlamatnya adalah untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Saya dan rakan-rakan dalam Reformis menjadi alat untuk mencapai matlamat itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan bekas seorang pemimpin kanan PKR hari ini berhubung tugas yang diberikan oleh Naib Presiden PKR itu untuk menjatuhkan Abdul Khalid.

Ng Lum Yong yang merupakan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR berkata, pengakuan tersebut terdapat dalam rakaman perbualan telefon antara Ramlan dengan seorang yang sehingga kini masih belum dikenali.

Menurut Lum Yong, melalui perbualan telefon tersebut kumpulan Reformis yang diketuai Ramlan telah ditawarkan habuan berbentuk tapak perniagaan pasar malam (uptown) daripada Azmin.

Sebelum ini, iaitu pada Februari tahun lalu, Ramlan pernah membuat kenyataan bahawa beliau tidak rela dipergunakan buat kali kedua oleh pemimpin PKR itu untuk mencapai agenda politik peribadi kerana mereka tidak pernah menghargai peranan yang dimainkan Reformis selama ini.

Ramlan berkata, atas nama prinsip perjuangan beliau tidak mahu menerima habuan yang ditawarkan oleh Azmin.

"Saya lebih rela hidup miskin daripada kaya hasil makan habuan orang politik seperti Azmin. Saya tidak mahu hidup senang atas penderitaan orang lain," katanya.

Ramlan sedar Azmin akan menafikan kenyataannya bahawa Reformis menjadi alat untuk menjatuhkan Abdul Khalid.

"Saya tidak hairan Azmin akan menafikan kenyataan saya ini, tetapi beliau harus ingat saya ada bukti dan paling penting Allah mengetahui setiap yang berlaku. Mereka boleh tipu 27 juta rakyat Malaysia tetapi mereka lupa Allah tahu segala-galanya," katanya.

"Saya juga berani berhadapan dengan Azmin sekiranya itu yang beliau mahukan. Saya sedikitpun tidak berasa gentar. Dengan polis pun saya boleh hadapi setiap kali berdemonstrasi, inikan pula Azmin. Insya-Allah saya tidak akan gentar," katanya.

Beliau turut mendedahkan mengenai Azmin yang merupakan individu paling banyak mengetahui rahsia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Azmin sebenarnya bukan anak emas tetapi Anwar yang sangat takut kepadanya kerana Azmin banyak mengetahui rahsia Anwar. Bagi menutup mulut Azmin, Anwar ikut sahaja apa yang Azmin mahukan," katanya.

/hwa: utusan.com.my/