9 Mac 2010

PKR amal politik tidak bertamadun

UM - 09/03/10
KUALA LUMPUR 8 Mac - Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin mendedahkan terdapat beberapa pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengamalkan taktik politik tidak bertamadun untuk membolot semua jawatan dalam parti dan kerajaan.
Beliau memberitahu, individu-individu ini yang boleh dikatakan 'firaun-firaun kecil' menjalankan gerakan untuk menjatuhkan rakan- rakan dalam PKR bagi membolehkan mereka mendapat jawatan yang amat diidam-idamkan.
"Sepatutnya selepas Pilihan Raya Umum 2008, rakyat telah menentukan wakil mereka, maka kita tumpukan kepada kerja untuk membela rakyat, malangnya apa yang berlaku dalam PKR ialah pemimpin-pemimpin ini mula menjalankan gerakan mengaibkan rakan di dalam parti.
"Seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bahawa terdapat 'firaun-firaun kecil' yang ingin menjatuhkan beliau, perkara ini telah berlaku kepada saya terlebih dahulu kerana mereka idamkan jawatan yang dipegang pada masa itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pada program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam ini.
Fairus memberitahu, tindakan beliau melepaskan jawatan dalam PKR dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti kerana diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menstabilkan parti kerana gerakan yang dilakukan oleh 'firaun-firaun kecil' itu.
Tegasnya, sebagai seorang ahli yang taat kepada perjuangan parti, beliau telah bertindak melepaskan kedua-dua jawatan kerana tidak mahu parti bergolak.
"Itu adalah prinsip yang saya pegang, taat setia kepada prinsip perjuangan parti, yang penting ialah parti bukan pemimpin seperti saya, selama setahun (saya) memerhatikan dari luar apa yang berlaku di dalam PKR," katanya.
Fairus yang terlibat dalam PKR sejak awal penubuhan parti itu pada tahun 1998 menegaskan bahawa beliau keluar dari parti dan memasuki UMNO kerana prinsip-prinsip perjuangan parti pembangkang itu telah berubah terutama dalam memperjuangkan bangsa dan agama.
"Apa yang berlaku dalam PKR baru setahun jagung memerintah tetapi ketamakan politik amat luas sampai ke tahap bawahan sehinggakan perjuangan tersasar yang menyebabkan saya kecewa.
"Perjuangan memartabatkan bangsa dan agama, raja-raja Melayu yang telah disepakati dulu kini hancur di PKR, sebab itulah saya memilih wadah baru untuk berjuang di dalam UMNO atas prinsip untuk memperjuangkan bangsa serta agama," katanya.
Beliau menafikan terdapat tawaran berjuta-juta ringgit atau pelbagai lagi imbuhan daripada UMNO kalau menyertai parti itu tetapi apa yang ditawarkan ialah untuk terus berjuang memartabatkan bangsa serta negara.
Fairus juga merasa kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin PKR yang menyerang peribadi bekas pemimpin-pemimpin yang keluar dari parti tersebut.
"Inilah PKR yang cukup rendah martabat moralnya, politik yang mencemarkan maruah dan merupakan amalan politik kasar yang begitu hina," katanya.
/hwa-utusan.

120 ahli PKR keluar parti sertai UMNO

ROBERT APIN (depan kanan) dan 120 bekas ahli PKR menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Abdul Rahim Ismail di Kampung Kopimpinan, Papar, Sabah, semalam.
*****

UM - 09/03/10
PAPAR 8 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri kembali goyah apabila dua Ahli Jawatankuasa PKR Bahagian Papar berserta 120 ahlinya mengisytihar keluar parti dan menyertai UMNO.
Ahli-ahli yang berketurunan Kadazandusun dan Murut itu menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail di Kampung Kopimpinan dekat sini hari ini.
Menurut mereka, keputusan itu dibuat setelah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti tersebut selain tidak rela lagi diperalatkan pemimpin-pemimpin PKR yang tamak kuasa.
Bekas Ahli Jawatankuasa PKR Papar, Camillus Ginibun berkata, keputusan itu dibuat kerana kesal dengan kepimpinan parti tersebut yang menjadi alat pihak luar untuk menghancurkan negara ini.
Katanya, perbuatan tersebut amat dikesali selain melihat masyarakat yang semakin berpecah belah dan huru hara akibat dasar-dasar PKR.
Selain itu, beliau yang juga Penyelaras Pilihan Raya Umum ke-12 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis berkata, konsep 1Malaysia juga menjadi dorongan utama mereka memasuki UMNO.
"Konsep ini telah memberi kesedaran kepada kami yang sebelum ini terpedaya dengan kata-kata dan janji manis pemimpin PKR sama ada di peringkat negeri dan pusat.
"Konsep 1Malaysia membuatkan kami bangga kerana tidak ada kaum termasuk Kadazandusun dan Murut yang akan terpinggir daripada arus pembangunan," katanya di sini hari ini.
November lalu, PKR Sabah menerima tamparan hebat apabila Setiausaha Pergerakan Pemuda PKR negeri, Faizal Julaili dan Setiausaha PKR bahagian Papar, Awang Mumin Awang Marali mengisytihar keluar parti itu dan menyertai UMNO.
Keputusan itu turut diikuti hampir 200 ahli PKR cawangan Kampung Benoni dan Kampung Buang Sayang, dekat sini, akibat hilang kepercayaan terhadap parti itu.
Camillus berkata, perjuangannya bersama PKR sebelum ini hanya sia-sia dan tidak berhasil kerana hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mampu membela nasib rakyat.
Seorang lagi ahli jawatankuasa itu, Robert Apin berkata, tujuan kemasukan beramai-ramai ahli PKR ke UMNO bukan untuk mencari kedudukan tetapi mencari 'rumah yang teguh berlindung'.
Beliau yang pernah menjawat jawatan Pengarah Logistik PKR pada pilihan raya umum lalu berkata, mereka sebenarnya mempunyai banyak pilihan untuk menyertai parti komponen BN Sabah tetapi merasakan UMNO lebih sesuai.
"Harapan kami semoga lebih ramai lagi ahli-ahli PKR sedar dan menyertai BN dalam masa terdekat. Ini kerana kerajaan BN sahaja mampu membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar,'' katanya.
/hwa-utusan.

Cakap-cakap...

BH - 09/03/10
PERSOALAN Lim Kit Siang 'menolak' untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang di Parlimen menunjukkan penasihat DAP tidak yakin dengan kemampuannya untuk memimpin pakatan pembangkang. Sebagai ahli politik veteran, Lim sudah dapat menjangkakan bahawa Pas tidak akan mematuhi arahannya. Ini menunjukkan kejatuhan pembangkang kian jelas.
Mamat - mustahil DAP dan Pas tidur satu selimut.
/hwa-b.harian.

PKR guna Yusof Qaradawi 'lariskan' ceramah

UM(Rencana) - 09/03/10
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusan.com.my
KAEDAH pemasaran terbaik ialah kemampuan memanipulasikan strategi pengiklanan sehingga mampu menggamit minat melampau daripada kumpulan sasar.
Mungkinkah strategi itu yang digunakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meramaikan penonton dalam majlis anjuran mereka?
PKR melalui laman blog rasmi Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu anwaribrahimblog.com, menguar-uarkan bahawa ulama tersohor dunia, Prof. Dr. Yusof Qaradawi akan membuat perisytiharan khas berhubung kes liwat yang sedang dihadapinya di mahkamah.
Majlis itu diadakan malam semalam di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur bersempena ulang tahun kedua kemenangan pakatan pembangkang Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya umum yang lalu.
Pengumumannya adalah jelas, program itu dimulakan dengan majlis makan malam dan diikuti pengisian ceramah perdana yang disampaikan wakil-wakil pakatan pembangkang seperti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Anwar sendiri.
Menurut iklan itu, acara kemuncaknya ialah perisytiharan khas oleh Yusof berhubung kes 'fitnah 2' terhadap Ketua Pembangkang itu.
Apabila dijual nama ulama tersohor itu, sudah pasti orang ramai dengan penuh semangat akan hadir untuk mendengar sendiri amanat yang bakal disampaikan oleh tokoh itu.
Bagaimanapun, tunggu punya tunggu, kelibat Yusof tidak kelihatan, apa yang muncul ialah berkotak-kotak cakera padat video (VCD) memaparkan wajah ulama itu dan Anwar, kedua-duanya berwajah ceria.
Tajuknya ialah Fatwa mutakhir Dr. Yusof Al Qaradawi berhubung konspirasi II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diterbitkan oleh Women's Institute of Research Development and Advancement (WIRDA).
Nampaknya, kehadiran kira-kira 500 orang ramai ke majlis itu membuktikan bahawa usaha PKR memanipulasi kaedah pemasaran itu boleh dianggap berjaya walaupun mungkin jumlah sebenar penonton impiannya agak tersasar.
Tindakan terbaru Anwar tersebut jelas mengesahkan pandangan pemerhati politik bahawa penasihat parti yang hilang majoriti di Parlimen itu semakin terdesak, sehingga sekali lagi tampil membawa pihak luar bagi menyokong kes mahkamahnya.
Malam tadi, Anwar dengan penuh bersemangat, mendakwa, Yusof telah meminta beliau menyampaikan amanat fatwa itu kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sambil mendakwa beliau tidak mempunyai apa-apa agenda dengan VCD tersebut melainkan untuk menyebarkan amanat ulama tersohor itu, Anwar kemudiannya dengan penuh penghayatan menceritakan perbualan beliau dengan Yusof.
"Anwar kena ingat ini ialah mengenai isu hukum akhlak yang amat penting, ini merupakan fitnah kedua, ini bukan soal parti tetapi soal akidah. Kamu (Anwar) bertanggungjawab untuk menyebarkannya.
"Perbanyakkan dan edar, siapa yang terlibat termasuk Najib (Perdana Menteri), secara langsung atau tidak adalah hukumnya munafik.
"Siapa yang bertanggungjawab menyebarkannya pula jatuh hukumnya fasik, iaitu tidak boleh dipakai kesaksian mereka sampai bila-bila," katanya dalam ceramah perdana itu.
Cakera padat video dalam bahasa Arab itu disertakan dengan terjemahan dan ia diedarkan secara percuma kepada semua yang hadir pada program berkenaan.
Tambah Anwar, Yusof juga mengingatkan beliau supaya fatwa itu disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ramai di kalangan mereka masih tidak sedar dan memahaminya.
"Saya tiada kepentingan dalam penyebaran VCD ini, saya sedikit pun tidak tergugat langsung dengan kes ini, kerana saya tahu tidak bersalah," katanya.
Terdahulu semasa Azmin menyampaikan ucapan, berlaku kekecohan kecil apabila ceramah yang mulanya diadakan di pekarangan Kelab Sultan Sulaiman itu diarah supaya diadakan di dalam dewan memandangkan pihak penganjur tidak mendapat permit.
Kehadiran Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah menghangatkan lagi suasana walaupun sebelum itu keadaan sedikit sejuk apabila hujan renyai-renyai turun sebelum majlis itu berlangsung.
/hwa-utusan.

PKR hampir ulangi sejarah kegagalan parti serpihan

BH - 09/03/10
IMLAN ADABI
Kemelut dalaman, isu moral, agenda perjuangan Anwar semakin gugat keyakinan rakyatDATUK Seri Anwar Ibrahim terpaksa mengakui secara terbuka Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dilanda masalah, selepas merayakan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum, 8 Mac 2008.
Jika dua tahun lalu beliau dengan lantang menyuarakan projek 16 September untuk menawan Putrajaya, kini Ketua Umum PKR itu mengakui keadaan sudah berubah dan parti serpihan Umno itu berdepan pelbagai kemelut dalaman yang boleh menggugat keyakinan rakyat.
"Ini masalah kita, ada pengajaran juga... sekarang ini Keadilan (PKR) menghadapi masalah sedikit, tetapi pengajaran yang baik," katanya ketika menyampaikan ceramah politik di Pulau Gadong, Melaka, minggu lalu. B
eliau terpaksa berkata demikian kerana tiga anggota Parlimennya "Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas. Pada 2009, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan seorang DAP meninggalkan parti masing-masing menyebabkan pakatan pembangkang hilang kuasa di Perak.
Sabtu lalu pula, PKR bertindak memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin kerana dikatakan melanggar dasar parti. Beberapa lagi Ahli Parlimen dan Adun dijangka bertindak keluar parti dengan pelbagai alasan. Tindakan mereka tidak memeranjatkan kerana sebagai pertubuhan siasah yang baru, PKR belum mantap, sama ada dari segi ideologi, pengurusan kepartian dan kekuatan mental ahli berbanding apa dimiliki Umno, Pas dan DAP yang menjadi tunjang sistem berparti di negara ini.
Kemelut yang berlaku dalam PKR juga adalah ulangan dalam sejarah parti serpihan yang wujud di negara ini. PKR, seperti juga Parti Negara dan Semangat 46 adalah parti serpihan Umno, yang wujud selepas pemimpinnya tidak sebulu dengan pemimpin parti asalnya. Parti Negara ditubuhkan beberapa bulan sebelum pilihan raya pertama negara pada 1955 oleh Datuk Onn Jaafar kerana bercanggah pendapat dalam isu menuntut kemerdekaan dari Britain. Parti Negara gagal mendapat perhatian rakyat kerana Umno yang diterajui Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj berjaya menyatupadukan - gabungan Umno, MCA dan MIC yang mewakili penduduk pelbagai kaum. Semangat 46 pula ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai reaksi pengharaman Umno pada 1988.
Matlamat perjuangannya untuk memulihkan Umno asal dibatalkan kewujudannya selepas pertandingan jawatan Presiden Umno antara Tengku Razaleigh dan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987. PKR ditubuhkan pada 1999 ekoran hukuman penjara terhadap Anwar yang dikaitkan dengan isu salah laku dan moral. PKR tidak mempunyai agenda besar selain perjuangan untuk membela nasib Anwar yang dikatakan teraniaya.
Justeru, dengan lantang, PKR muncul bersama slogan menuntut keadilan, membanteras gejala rasuah, menentang salah guna kuasa dan pencabulan sistem kehakiman negara. PKR juga dengan bangga mendabik dada sebagai jaguh pelbagai kaum. Keahliannya dibuka kepada semua kaum.
Dasar parti pula dikaitkan dengan hak sama rata tanpa batasan agama dan bangsa. Perjuangan PKR yang diyakini suci berjaya menarik perhatian ramai pada 2008 ketika Umno diterajui pimpinan lemah ketika itu. Isu kaum, demokrasi, hak sama rata ekonomi menyebabkan timbul cadangan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang dikatakan menguntungkan segelintir pembesar Melayu.
Anwar dan rakan mereka dalam pakatan pembangkang membuktikan suara pembangkang semakin jelas apabila menafikan kerusi dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Mereka juga menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak (kini Perak dikuasai semula BN).
Bagaimanapun PKR tetap sebuah parti serpihan yang sukar untuk meneruskan perjuangannya. Pelbagai masalah dalaman berlaku secara ketara. Isu moral bukan rahsia umum. Pemilihan calon pada pilihan raya umum lalu menimbulkan pertikaian. Jika Umno, Pas dan DAP memilih calon terbaik yang diyakini kesetiaan kepada parti, PKR pula memilih orang yang bukan sepatutnya.
Justeru, tidak menghairankan apabila barisan wakil rakyat PKR boleh dipertikai kewibawaannya. Ada bekas posmen, pesara tentera, juru gambar dan "tauke demonstrasi" terpilih ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Latar belakang politik mereka amat meragukan. Sejarah parti serpihan berulang di atas paksi sama.
Serpihan Pas seperti Berjasa dan Hamim hanya wujud seketika di atas pentas politik tanah air. Berjasa ditubuhkan oleh Datuk Muhammad Nasir dan Datuk Wan Hashim Ahmad ekoran krisis politik di Kelantan pada 1977.
Hamim pula muncul selepas bekas Presiden Pas, Tan Sri Asri Muda tidak sebulu dengan ahli parti pimpinannya dan menubuhkan pertubuhan siasah baru. Kedua-dua parti itu hanya muncul tiga kali pilihan raya umum dan kemudian lenyap ditelan waktu. DAP juga tidak terkecuali menerbitkan parti serpihan sendiri iaitu Socialist Democratic Party (SDP) pimpinan bekas Ahli Parlimen Menglembu, Fan Yew Teng.
Krisis dalaman parti itu tiga dekad lalu tidak menggugat pimpinan Lim Kit Siang dan DAP. Yang lebur adalah parti serpihannya.
Begitu juga di Sabah apabila Berjaya yang ditubuhkan oleh Datuk Haris Salleh hanya muncul seketika untuk menggantikan Usno. Kini kedua-duanya lenyap dan Umno bertapak kukuh di Negeri di Bawah Bayu itu. Hampir semua parti serpihan berkubur tanpa pusara.
PKR juga bakal mengulangi drama yang sama jika sindrom melompat parti gagal dibendung. Dalam hal ini, Anwar bukan sekadar memerlukan kemahiran berpidato, juga kemahiran untuk meyakinkan ahli mengenai perjuangan parti. Parti yang tanpa sokongan ibarat kopi O tanpa gula.
Ia akan pahit dan terus menjadi igauan dalam sejarah politik tanah air. Apakah Anwar juga bakal tercatat dalam sejarah sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri yang terus kempunan menuju cita-cita siasahnya? Apakah sejarah Parti Negara, Semangat 46, SDP, Berjasa, Hamim dan Berjaya bakal berulang sekali lagi?
/hwa-b.harian.

Pemecatan Anwar daripada Kabinet sah - Mahkamah Persekutuan

UM - 08/03/2010 10:27am
PUTRAJAYA 8 Mac - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengisytiharkan bahawa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan dalam Kabinet 11 tahun lalu sah disisi undang-undang setelah rayuannya ditolak.
/hwa-utusan.

Nik Aziz tidak faham peranan mufti - Jamil Khir

UM - 08/03/2010 3:53pm
ROMPIN 8 Mac - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan sebagai mengamal fahaman politik sempit apabila menggelarkan seseorang mufti itu ejen parti politik jika mencampuri aspek kepimpinan negeri.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan, tanggapan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz itu menunjukkan Mursyidul Am Pas tersebut tidak memahami fungsi dan peranan mufti yang sebenar.
/hwa0-utusan.

Pemecatan Zulkifli bukti PKR tolak perjuangan Islam

UM - 08/03/2010
KUALA LUMPUR 7 Mac - Pergerakan Puteri UMNO menyifatkan pemecatan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah bukti parti itu secara terang-terangan menolak perjuangan Islam.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin juga percaya keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR itu akan membuka ruang yang lebih besar kepada lebih ramai pemimpin PKR meninggalkan parti tersebut.
Menurutnya, tindakan pemecatan Zulkifli menunjukkan bukti yang parti tersebut hanya memperjuangkan kepentingan pemimpin tertinggi mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Isu-isu berkepentingan rakyat yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan negara tidak mendapat tempat dalam agenda mereka,'' katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.
Rosnah berkata, keputusan pemecatan itu juga langsung tidak memberi peluang kepada Zulkifli untuk membela diri yang menunjukkan tiada ruang rundingan dan perbincangan antara pihak yang menjatuhkan hukuman dan pihak yang dihukum.
Menurut beliau, perkembangan terbaru ini juga menunjukkan seolah-olah perjuangan Zulikifli untuk mempertahan dan memperjuangkan Islam sama sekali bertentangan dengan perjuangan barisan kepimpinan PKR.
Katanya, apa yang berlaku semakin menunjukkan perjuangan barisan kepimpinan PKR hanya mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.
Tambah beliau, konsep ketelusan dan bersedia ditegur serta menerima pandangan rakyat ternyata perbuatan 'cakap tidak serupa bikin' apabila mereka memutuskan pemecatan Zulkifli.
''Barisan kepimpinan PKR hanya menghormati pandangan dan menjaga hati DAP, manakala Pas yang kononnya memperjuangkan Islam sanggup bersekongkol dengan Anwar menghalalkan yang haram,'' katanya.
Menurutnya, DAP hanya menyokong kuat Anwar untuk memastikan matlamat menegakkan perjuangan 'Malaysian Malaysia' tercapai.
/hwa-utusan.

UMNO Kulim-Bandar Baharu 'hulur tangan' kepada Zulkifli

ARKIB : UM - 08/03/2010
ALOR SETAR 7 Mac - Pemecatan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membuktikan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengamalkan demokrasi sebenar sebagaimana dilaungkan oleh pemimpin parti berkenaan.
Ketua UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, sebaliknya ia melambangkan sikap sebenar pemimpin PKR yang tidak boleh menerima kritikan walaupun ia untuk kebaikan parti itu dan negara.
"Pemimpin PKR hanya mengamalkan demokrasi terpilih, mereka hanya menjaja istilah demokrasi apabila perkara berkenaan menguntungkan pemimpin mereka tetapi sekiranya sesuatu perkara itu tidak memberi faedah kepada perjuangan mereka, ia ditolak begitu sahaja," katanya.
Aziz mengulas mengenai pemecatan Zulkifli daripada PKR oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan semalam dan majlis tersebut turut mendesak agar Ahli Parlimen itu mengosongkan kerusi Parlimennya.
Kelmarin, Zulkifli bertindak tegas meninggalkan sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR berhubung isu kalimah Allah kerana tidak berpuas hati dengan komposisi ahli panelnya yang turut dibarisi aktivis Kristian.
Abdul Aziz menjelaskan, orang ramai kini sudah boleh menilai perjuangan sebenar PKR dengan senario terbaru yang berlaku di dalam parti berkenaan.
Katanya, UMNO Kulim-Bandar Baharu lebih bersikap terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan Zulkifli yang merupakan Ahli Parlimen Bebas dalam usaha membangunkan kawasan berkenaan.
"Demi kepentingan rakyat, kita akan menghulurkan tangan menjalinkan kerjasama, kita boleh berunding bentuk bantuan yang beliau perlukan dalam perjuangannya," katanya.
Abdul Aziz merupakan calon Barisan Nasional (BN) yang ditewaskan oleh Zulkifli bagi kerusi Kulim-Bandar Baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
/hwa-utusan.

3 Mac 2010

Salah guna kuasa

UM - 03/03/10
Oleh SOPI SAMAILEdan MUHAMAD ZAID ADNAN
pengarang@utusan.com.my
KUCHING 2 Mac – Kuasa yang diberikan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menamatkan kontrak syarikat yang melaksanakan projek di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada bila-bila masa tanpa sebarang alasan, boleh dianggap sebagai salah guna kuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebarang kontrak tidak boleh ditamatkan melainkan kontraktor atau pemborong projek itu melanggar syarat-syarat utama tender kerana merupakan perjanjian antara pihak berkenaan dan kerajaan.
‘‘Kalau beliau (Guan Eng) gunakan kuasanya untuk menamatkan kontrak sewenang-wenangnya atau ikut suka hati beliau, itu boleh dianggap salah guna kuasa.
‘‘Sekiranya kerajaan negeri bertindak untuk menamatkan kontrak syarikat kontraktor tanpa sebarang sebab munasabah maka pihak berkenaan boleh menuntut ganti rugi daripada kerajaan kerana secara tidak langsung ia telah mengakibatkan kerugian kepada syarikat tersebut,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Ke-12 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di sini hari ini.
Semalam Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia cawangan Pulau Pinang, Datuk Mohamed Fadzill Hassan berkata, klausa baru dalam borang tender projek di bawah PDC yang memberi kuasa kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi PDC menamatkan kontrak pada bila-bila masa tanpa sebarang alasan boleh menyumbang kepada rasuah dan kronisme.
Dalam perkembangan lain, Najib memberitahu, setiap negeri perlu menerima kenyataan sekiranya tidak ada sekolah di negeri terbabit tersenarai dalam 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Beliau berkata, pemilihan sekolah itu dinilai dengan cara yang tegas dan berdasarkan faktor-faktor tertentu.
‘‘Bukan sahaja di Sarawak malah Pahang juga tidak mempunyai SBT dan kita harus menerima kenyataan itu,” jelas Perdana Menteri.
/hwa-utusan.

Keluar PKR

AHLI Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, selepas mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat pada sidang media di PNB Darby Park, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sairien Nafis.

'Henti serang peribadi saya'

UM - 03/03/10
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my MOHAMMAD Fairus Khairuddin (kiri) menerima sijil keahlian UMNO daripada Ab. Raof Yusoh, sambil diperhatikan oleh Ketua Pemuda UMNO Gombak, Megat Zulkarnain Umardin di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 2 Mac - Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini memberi amaran kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti pembangkang lain supaya berhenti daripada menyerang peribadinya.
Katanya, mereka harus sedar beliau sebelum ini merupakan seorang Timbalan Ketua Menteri dan pemimpin parti yang tentunya mengetahui banyak rahsia terutama dalam kerajaan Pulau Pinang serta PKR sendiri.
Justeru bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu mengingatkan, beliau sedia mendedahkan setiap kepincangan dan kelemahan di peringkat kerajaan Pulau Pinang atau PKR jika perbuatan mengaibkan dirinya itu tidak dihentikan segera.
"Jangan jolok sarang tebuan. Jangan cuba bermain api dengan saya. Mereka aibkan saya dengan pelbagai kenyataan yang tidak benar. Kepada mereka, saya ingatkan jangan sangka saya gentar dan takut.
"Ia sedikitpun tidak menjejaskan saya. Politik yang mereka amalkan adalah politik budak-budak yang langsung tidak melambangkan amalan politik yang lebih matang. Ingat, saya mengetahui banyak rahsia kerajaan Pulau Pinang dan PKR," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima sijil keahlian UMNO daripada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Raof Yusoh di Menara Datuk Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau mengulas pelbagai kenyataan oleh pucuk pimpinan PKR di media termasuk di beberapa laman blog mengenai tindakannya keluar PKR dan menyertai UMNO.
Antara pemimpin pembangkang yang mengeluarkan kenyataan ialah Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali yang mendakwa Mohammad Fairus merupakan liabiliti bagi PKR.
Syed Husin melalui laman web rasmi parti, www.keadilanrakyat.org di bawah tajuk Syukur Fairus Keluar Keadilan turut mendedahkan beberapa salah laku Mohammad Fairus.
Bagaimanapun Mohammad Fairus berkata, buat masa ini beliau tidak terdesak untuk menggunakan pendekatan mengaibkan orang lain kerana perbuatan itu bukannya jenis politik yang sihat serta ia tidak digalakkan di dalam Islam.
"Islam mengajar kita menutup aib saudara kita sendiri dan sebab itu saya amat hairan bagaimana tergamak pemimpin PKR bersikap demikian. Kita berpolitik untuk membela rakyat, menjaga rakyat dan bukannya mengaibkan orang lain.
"Saya sendiri tidak tergamak untuk melakukan perbuatan ini walaupun saya tahu banyak perkara tentang mereka. Saya amat berharap supaya mereka insaf," katanya.
Dalam pada itu Mohammad Fairus berkata, tindakan beberapa pemimpin PKR mempersoalkan kesetiaannya kepada parti tidak sepatutnya timbul.
Ujarnya, atas dasar kesetiaan beliau akur dengan arahan pucuk pimpinan meletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri dan ADUN Penanti.
"Apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta saya meletakkan jawatan, saya akur dan tidak membantah," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, adalah tidak adil apabila ada pihak menuduhnya gagal memberikan komitmen ketika menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Menteri.
"Pada masa itu saya baru setahun dilantik dan saya akui pada peringkat awal pelantikan, saya boleh dikatakan masih hijau dalam politik.
"Namun dalam tempoh itu saya belajar untuk menjadi seorang ahli politik yang matang.
"Alhamdulillah saya berjaya dan sedaya upaya cuba menjadi pemimpin yang baik untuk rakyat tetapi sebelum sempat meneruskan usaha membantu rakyat, saya diminta meletak jawatan," katanya.
/hwa-utusan.

Konflik PKR bukan kayu ukur kekuatan UMNO – Khairy

UM - 03/03/10
KUALA LUMPUR 2 Mac – Ahli-ahli UMNO diingatkan supaya tidak leka dan mengandaikan kononnya parti terbesar orang Melayu itu semakin kuat ekoran tindakan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar dari parti itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan, keadaan yang berlaku dalam PKR itu tidak ada kena mengena dengan UMNO.
Katanya, ia cuma boleh memberi gambaran bahawa parti yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu semakin ditolak oleh rakyat.
Apa yang penting, kata beliau, UMNO perlu muncul sebagai sebuah parti terbaik dalam konteks membela, menjaga dan memelihara kebajikan rakyat.
“Jangan sesekali kita andaikan UMNO menjadi kuat berikutan keluarnya beberapa pemimpin PKR sejak akhir-akhir ini. Tindakan pemimpin-pemimpin terbabit tidak ada kena mengena dengan kita.
“Keadaan itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur terhadap kekuatan UMNO dan mesej ini perlu disampaikan kepada semua pihak di dalam UMNO,’’ katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda UMNO di Menara Datuk Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan keluar PKR oleh beberapa pemimpin parti itu antaranya bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim; Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim; bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng.
Khairy sebelum ini pernah memberi reaksi bahawa dilema, kecelaruan dan konflik dalaman pakatan pembangkang hendaklah dijadikan iktibar oleh BN supaya tidak leka dan seronok dengan keadaan berkenaan.
Dalam pada itu Khairy berkata, konflik yang berlaku dalam PKR ketika ini adalah berpunca daripada hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan khususnya Anwar.
/hwa-utusan.

Tindakan Tee Beng berani - UMNO

UM - 03/03/10
PULAU PINANG 2 Mac - Badan Perhubungan UMNO negeri menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai berani.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, langkah tersebut juga jelas menunjukkan ketegasan dan prinsip Tee Beng untuk tidak berkompromi dengan perjuangan PKR yang semakin tersasar.
Jelasnya lagi, pada pilihan raya umum lalu, Tee Beng menang di Nibong Tebal atas tiket PKR, maka adalah wajar tindakan 'angkat kaki' itu jika merasakan parti berkenaan tidak lagi berjuang demi rakyat.
''Kita juga percaya, pengikut dia (Tee Beng) juga menyokong tindakannya dan kita berharap lebih ramai lagi ahli pakatan pembangkang yang berani macam Tee Beng," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Tee Beng mengumumkan keluar dari PKR dan meletakan semua jawatan dalam parti serta memilih menjadi wakil rakyat Bebas berkuat kuasa serta-merta kerana kecewa dengan kerenah kepimpinan tertinggi parti itu.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan keputusan Tee Beng untuk menjadi wakil rakyat Bebas sekali gus memudahkan kerjasama antara mereka.
Zainal Abidin yang tewas kepada Tee Beng pada pilihan raya umum lalu turut menasihatkannya supaya tidak mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat walaupun telah menjadi wakil rakyat bebas.
''Kita bersedia menjalinkan kerjasama dengan dia, mungkin sebelum ini agak sukar direalisasikan, namun status wakil rakyat bebas yang dipegang diharap mampu membuka lebih banyak ruang bagi tujuan itu," ujarnya.
/hwa-utusan.

Syed Husin ada dendam peribadi - Salehuddin

UM - 03/03/10
KUALA LUMPUR 2 Mac - Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim menempelak Dr. Syed Husin Ali kerana mahu meneruskan dendam peribadi yang bersifat kebudak-budakan terhadapnya.
Beliau menegaskan, perkara itu amat melucukan kerana sebagai seorang yang bergelar Timbalan Presiden, Syed Husin sepatutnya membantu parti sewaktu pemimpinnya terbelenggu dengan masalah peribadi.
Katanya, sikap itu dengan sendirinya mencerminkan kecetekan pemikiran politik yang melanda pemimpin PKR.
"Saya harap Syed Husin yang tinggi kaliber, sekurang-kurangnya menaikkan standard beliau daripada standard kebudak-budakan demi rakyat yang dahaga perubahan.
"Tetapi saya faham, buluh tua tidak boleh dilentur lagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan keras itu reaksi balas kepada kenyataan akhbar Syed Husin bertajuk Apa Hal Salehuddin Hashim? yang antara lain memaklumkan bahawa bekas Setiausaha Agung PKR itu menerima gaji RM9,000 sebulan walaupun ramai yang menganggap khidmatnya adalah percuma.
Selain itu, Syed Husin mendakwa kemarahan Salehuddin memuncak apabila 'permohonannya' untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) Selangor iaitu Kumpulan Perangsang dengan gaji lebih RM50,000 sebulan ditolak sebelum beliau meletakkan jawatan.
Mengenai gaji RM9,000 sebulan sebagai Setiausaha Agung PKR, Salehuddin menjelaskan ia adalah kecil berbanding masa yang dicurahkan dan gaji terakhirnya sebelum bersara.
Jelas beliau, jumlah itu juga adalah lebih rendah daripada bayaran yang dibuat PKR kepada pelbagai individu di dalam dan luar parti untuk 'menggembira dan mendiamkan' mereka tanpa perlu berbuat apa-apa.
Tambahan pula, katanya, sebelum itu beliau telah empat tahun berkhidmat sebagai Setiausaha Pengelola dan Ketua Staf kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sepenuh masa selama empat tahun tanpa bayaran.
Berhubung isu jawatan dalam Kumpulan Perangsang, Salehuddin mengakui kecewa dengan insiden itu namun tidak mahu mengulas lanjut kerana ia akan memalukan Anwar.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa Anwar sendiri tidak tahu-menahu tentang kenyataan akhbar yang dibuat oleh Syed Husin.
Sehubungan itu Salehuddin mengingatkan Syed Husin supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan yang melalut kerana beliau mempunyai rekod penghantaran e-mel sulit kepada Anwar berhubung isu jawatan tersebut.
"Anwar sendiri mengarahkan saya untuk mengambil tugas dan tanggungjawab tersebut bagi memenuhi aspirasi parti walaupun saya agak keberatan.
"Saya menjawab saya hanya akan mengambil tugas tersebut jika saya dibayar RM1 sebulan," tegasnya.
/hwa-utusan.

PKR 'hamba' DAP - PCM

UM - 03/03/10
PULAU PINANG 2 Mac - Parti Cinta Malaysia (PCM) menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tepat memandangkan parti tersebut selama ini merupakan 'hamba' kepada DAP.
Naib Presiden PCM, Huan Cheng Guan berkata, tiada guna Tee Beng berada di dalam PKR kerana pengorbanan dan khidmat yang dicurahkannya hanya untuk kepentingan DAP.
"Keputusan Tee Beng untuk menarik diri dari PKR adalah tepat.
"Selama ini kita nampak bahawa PKR seperti seorang hamba kepada tuannya, iaitu DAP," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengulas mengenai tindakan Tee Beng keluar PKR berkuat kuasa semalam kerana kecewa dengan kerenah kepimpinan tertinggi parti itu.
/hwa-utusan.

Lagi Ahli Parlimen PKR keluar parti jadi Bebas

UM - 03/03/2010 12:17pm
KUALA LUMPUR 3 Mac - Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri hari ini umum keluar PKR kerana kecewa pakatan pembangkang mengkritik institusi raja dan kehakiman dan tidak puas hati sikap PKR menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Beliau juga meletak semua jawatan dalam parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.
/hwa-utusan.

PKR hilang kepercayaan

UM - 03/03/10
Oleh SOPI SAMAILE dan MUHAMAD ZAID ADNAN
Najib Tun Razak, Rosmah Mansor, Abdul Taib Mahmud dan para pemimpin lain mengibarkan bendera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan Barisan Nasional pada majlis perasmian Perhimpunan Agung PBB Ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, semalam. - bernama
******
KUCHING 2 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan parti itu menunjukkan ahli dan pemimpinnya semakin hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan PKR.
Menurut Perdana Menteri, keadaan itu merupakan asas yang menunjukkan keretakan dalam PKR bukan perkara baru, sebaliknya sudah lama berlaku.
''Jadi, itu merupakan asas pokok untuk mereka membuat keputusan meninggalkan PKR," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai langkah beberapa pemimpin PKR keluar parti tersebut sejak kebelakangan ini.
Terbaru ia melibatkan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin, Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohammed Hashim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng.
Mengenai keinginan Mohammad Fairus untuk menyertai UMNO, Najib memberitahu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti itu merasakan sudah dikhianati oleh pucuk pimpinan PKR.
Katanya, Mohamad Fairus mengatakan yang dirinya difitnah serta dianiaya hingga merasakan sudah tiba masanya untuk bertindak menyertai UMNO.
Terdahulu dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung PBB, Najib turut menyifatkan PKR sebagai parti yang 'menyendeng' dengan menabur pelbagai janji termasuk bintang serta bulan tetapi satu demi satu wakil rakyatnya mula hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti berkenaan.
''Ada orang berbisik sesuatu kepada saya bahawa PKR itu adalah 'Parti Kian Rebah' dan kita tidak perlu orang yang tidak terbukti sebagai pembangkang," ujarnya.
/hwa-utusan.

1 Mac 2010

Mara berubah dengan semangat “AL-MARARI"

BERNAMA - 01/03/2010 4:16pm
KUALA LUMPUR 1 Mac — Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang genap 44 tahun hari ini, akan bergerak dengan semangat baru yang dikenali sebagai “Al-Marari” untuk menjadi lebih cemerlang, kompetitif dan global.
Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, “Al-Marari” adalah semangat perjuangan dan pemikiran baru Mara yang bakal membawa organisasi itu menjadi sebuah organisasi bertaraf global.
"Bukan hanya bertaraf global, tetapi juga cemerlang dan kompetitif di peringkat global, satu semangat dan pemikiran baru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis bacaan Yassin dan tahlil sempena ulang tahun Mara yang ke-44.
Beliau berkata, Mara juga akan bermula dengan semangat “Azharvard compatible" iaitu gabungan antara Azhar dan Havard bagi memastikan pelajar yang menamatkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mampu ke Universiti Al-Azhar dan Universiti Havard.
Ditanya mengenai sasaran Mara pada ulang tahun penubuhannya yang ke-50 nanti, beliau berkata: “Enam tahun akan datang kita akan pergi global sepenuhnya, sekarang ni kita masih lagi mengasah semangat dan bakat”.
/hwa-utusan.

Fairus Sertai UMNO

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meneliti borang keahlian UMNO yang diserahkan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin (kiri) pada majlis perjumpaan Kepimpinan Tertinggi Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, di Kuala Lumpur, 28 Feb. - Utusan