28 September 2010
Elak kehancuran
UM - 28/9/10
pengarang@utusan.com.my
| |
| NAJIB Tun Razak menyampaikan ucapan sulung pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-65 di New York, malam tadi. – AFP |
NEW YORK 27 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sudah tiba masanya semua negara dan agama kembali kepada kesederhanaan dalam mendokong agenda keamanan sekali gus menghapuskan ekstremis dalam kerangka membina dunia yang lebih aman, selamat dan adil.
Ketika menekankan perkara itu yang dirujuk beliau sebagai Gerakan Global Ke Arah Kesederhanaan pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Ke-65 hari ini, Perdana Menteri berkata, langkah itu akan menyelamatkan masyarakat antarabangsa daripada terjerumus ke dalam jurang kehancuran dan kedurjanaan.
“Saya ulangi komitmen Malaysia ke arah itu. Kami amat yakin semua negara tanpa mengira kecil atau besar, kaya atau miskin, kuat atau lemah, mempunyai tanggungjawab bersama ke arah mewujudkan dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan sulung pada UNGA di Ibu Pejabat PBB di sini.
Katanya, cabaran utama yang dihadapi masyarakat antarabangsa sekarang ialah perlunya menghadapi semua itu secara bersama bagi memastikan keadilan, kesaksamaan dan keamanan yang berterusan.
Tambah beliau, keamanan itu pula bukan sahaja untuk masa ini tetapi sepanjang masa, dan ia boleh dicapai jika semua pihak bersedia untuk saling memahami dan menghormati yang boleh dilakukan menerusi dialog dan perbincangan bersama.
Ketika usaha memupuk keamanan dan keharmonian antarabangsa, Najib menyuarakan kebimbangan dengan peningkatan arah aliran di sesetengah bahagian dunia yang menyemarakkan fenomena Islamophobia kerana ia memisahkan antara dunia Islam dengan Barat.
“Isu sebenar bukannya antara orang Islam dan bukan Islam tetapi antara kesederhanaan dan ekstremis membabitkan semua agama sama ada Islam, Kristian ataupun Yahudi.
/hwa: utusan.com.my/
Hanya pemimpin bersungguh pertahan hak Melayu perlu dicalonkan - Hilmi
UM - 28/9/10
IPOH 27 Sept. - Gagasan Melayu Perak (GMP) mahu calon-calon yang dipilih oleh UMNO pada pilihan raya umum akan datang terdiri daripada mereka yang benar-benar dapat mempertahankan hak orang Melayu.
Presiden GMP, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian serius kerana kesilapan membuat percaturan hanya akan menyebabkan UMNO gagal mendapat sokongan masyarakat Melayu.
"UMNO perlu sedar bahawa tindakan mereka menjauhi orang Melayu menerusi kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemimpin yang dilihat 'liberal' hanya akan menghilangkan undi mereka.
"GMP mahu pucuk pimpinan parti terutama di peringkat negeri mengutamakan calon yang dapat mempertahankan hak orang Melayu, bukan sebaliknya jika mereka mahu memenangi semula hati orang Melayu yang sehingga kini terus dilukai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menyentuh tohmahan kononnya Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu kembali menjadi Perdana Menteri, Mohd. Hilmi berkata, kenyataan yang dibuat oleh negarawan itu telah menjawab dakwaan liar tersebut.
Malah katanya, apa yang diperjuangkan oleh negarawan itu sewajarnya dilihat sebagai semangat cintakan bangsa dan bukan atas kepentingan diri sendiri, sebagaimana dilakukan oleh pihak yang membangkitkan perkara tersebut.
"Dr. Mahathir bukan seorang yang gila kuasa untuk menjadi Perdana Menteri semula. Beliau tahu keadaan ketika ini memerlukan beliau bersuara.
"Sebagai pemimpin yang telah mentadbir negara selama 22 tahun, berpengalaman luas tentang 'sepak terajang' politik, beliau berasa bertanggungjawab menyatakan apa yang tersurat dan tersirat," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Hilmi kesal dengan sikap segelintir pemimpin Melayu yang sengaja memberi harapan palsu kepada parti-parti politik Cina demi kelangsungan dan agenda politik peribadi mereka.
"Selagi ada harapan palsu kononnya mereka juga boleh berkuasa, selagi itu parti-parti politik Cina akan berusaha tidak henti-henti untuk mencapainya sedangkan Melayu masih lagi merupakan kaum majoriti di negara ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Pas Kelantan beri tumpuan persiapan pilihan raya kecil DUN Galas
UM - 28/9/10
KOTA BHARU 27 Sept. - Pas Kelantan sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berikutan kematian wakil rakyat parti itu, Chek Hashim Sulaima di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur, petang ini.
Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum mengeluarkan sebarang arahan kepada jentera parti di peringkat bawah bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.
Pada masa sama, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang telah berkorban menjaganya sepanjang dirawat akibat penyakit tersebut.
"Persiapan Pas seperti biasa, kita orang Islam bersiap sedia 24 jam, selama-selamanya. Tidak mesti siap untuk pilihan raya tetapi siap sedia lawan nafsu dan godaan syaitan.
"Kita sentiasa bersiap, mati tidak ada amaran, anak dalam perut pun mati. Kita tidak keluar arahan lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Chek Hashim, 47, yang menghidap barah paru-paru disahkan meninggal dunia petang ini selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sejak lima hari lalu. Allahyarham menjalani rawatan tradisional sejak 14 September lalu di sekitar Kuala Lumpur.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, beliau menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.
Pada pilihan raya umum 2004, Allahyarham tewas kepada Mohamad Saufi dengan majoriti 1,729 undi.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar berkata, kehilangan Chek Hashim amat dirasai kerana Allahyarham amat aktif dalam pelbagai kerja sukarela.
/hwa: utusan.com.my/
'Laungan demokrasi strategi jadikan PKR parti keluarga'
UM - 28/9/10
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Laungan amalan demokrasi di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan permainan politik bagi menutup strategi menjadikan parti tersebut milik keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Mesyuarat Agung PKR bulan depan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, laungan demokrasi dalam PKR cuma untuk mengelirukan rakyat dan menipu ahli kerana pucuk pimpinan parti itu telah menentukan calon mana yang akan menang terutamanya ahli keluarga dan kroni Anwar.
Jelasnya, pencalonan anak Anwar, Nurul Izzah sebagai Naib Presiden dengan sokongan terbuka kepada Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Timbalan Presiden juga cuma satu strategi untuk menunjukkan kemenangannya kelak bukan kerana pengaruh bapanya.
"Anwar menggunakan pengikut-pengikutnya untuk memastikan kroni dan ahli keluarganya menang supaya mudah untuk dia buat apa yang dikehendaki dalam parti kelak.
"Cara ini pernah digunakan Anwar semasa di dalam UMNO dahulu dan bila sudah keluar UMNO dia masih mengamalkan gaya memimpin yang sama," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertanian berkata demikian pada sidang akhbar di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di sini hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Timbalan Menteri Pertanian, Chua Tee Yong; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan dan ketua jabatan agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Rohana Jalil, Shiela OIAM dan beberapa artis baru.
Penguasaan keluarga Anwar selaku Penasihat PKR dijangka lengkap dengan pengekalan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail sebagai Presiden dan jika anak emasnya, Azmin Ali dan Nurul Izzah memenangi jawatan Timbalan dan Naib Presiden parti.
Mengulas kekecohan mesyuarat cabang PKR akibat calon-calon yang mendapat 'restu' Anwar dan Azmin tidak dipilih, Noh menegaskan ahli parti itu sendiri telah nampak dan sedar dengan apa yang sedang berlaku di kalangan pucuk pimpinan PKR.
/hwa: utusan.com.my/
Tahap kepimpinan masih lemah
UM - 28/9/10
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Kekecohan yang berlaku semasa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunjukkan 'tahap' kepimpinan yang ada dalam parti itu masih lemah.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. P. Sivamurugan berkata, kejadian seperti membaling kerusi dan mengoyak kertas undi memberi petanda tidak sihat dan ia tidak seharusnya berlaku.
"Mereka mengabaikan etika dan proses pemilihan yang betul. Ini menunjukkan wujudnya budaya berpuak dalam parti yang kemudiannya mencetuskan perpecahan.
"Tindakan itu juga mungkin berpunca daripada provokasi yang dicetuskan oleh sesetengah pihak dan kegagalan mereka mengawal emosi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kekecohan semasa mesyuarat cabang PKR semalam di Subang, Kapar dan Klang seperti yang dilaporkan sebuah portal berita dalam talian, FreeMalaysiaToday (FMT).
Sivamurugan berkata, kejadian itu juga akan menjadi tarikan kepada mereka yang berada dalam parti pimpinan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu termasuklah pengundi atas pagar yang akan membuat keputusan dalam Pilihan Raya Umum nanti.
Sementara itu, Pengerusi Program Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk pula menyifatkan kekecohan tersebut menunjukkan berlaku persaingan yang kuat dalam pemilihan parti itu.
"PKR kini berada dalam keadaan di mana ahli-ahlinya bersaing sengit untuk merebut jawatan dalam pemilihan.
"Ketiadaan pengalaman kerana ini kali pertama mereka membuat pemilihan cabang juga merupakan faktor kekecohan apabila ahlinya diberi peluang untuk memilih," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
PKR tidak mampu sembunyi masalah yang dihadapi - Zambry
UM - 28/9/10
IPOH 27 Sept. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir secara sinis menyifatkan kekecohan pada mesyuarat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di seluruh negara menggambarkan parti tersebut ''sangat baik, sangat sempurna dan mempunyai nilai-nilai prinsip demokrasi hebat."
Beliau berkata, PKR kini jelas tidak mampu lagi menyembunyikan masalah dihadapi dengan apa yang berlaku.
''Apa yang berlaku adalah satu gambaran mereka yang sangat baik, mereka yang sangat sempurna, mereka yang kononnya mempunyai nilai-nilai prinsip demokrasi paling hebat sehinggakan kerusi dan kertas-kertas undi bertebaran.
''Saya ucap tahniahlah kepada mereka," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) di sini hari ini.
Beliau ditanya tentang kekecohan pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR di seluruh negara yang didakwa berpunca daripada calon-calon mendapat 'restu' Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pencabar jawatan Timbalan Presiden, Azmin Ali tidak dipilih ahli.
Bekas Setiausaha Sulit Kanan Anwar, Anuar Shaari berkata, ia membuktikan bahawa parti itu langsung tidak bertunjangkan kepada kepentingan ahli akar umbi sebaliknya berpaksikan kepada agenda peribadi pemimpin tertentu sahaja.
/hwa: utusan.com.my/
Jenapala dedah lagi kepincangan parti
UM - 28/9/10
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendedahkan beberapa lagi kepincangan dalam parti itu menjelang pengundian peringkat cabang bagi memilih pimpinan pusat, Oktober ini.
Menurut P.S. Jenapala yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, apa yang mengecewakan, segala kepincangan serta penipuan yang berlaku itu seolah-olah dibiarkan oleh pimpinan tertinggi termasuk penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dakwa beliau, dalam kes membabitkan Cabang Jeli, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Zaid Ibrahim sememangnya telah memenangi pencalonan cabang itu menerusi kiraan pertama dan kiraan kedua pengundian.
''Tetapi, agak menghairankan apabila Azmin Ali pula yang menerima pencalonan cabang itu untuk bertanding jawatan timbalan presiden selepas dikatakan berlaku pengundian sulit.
''Begitu juga di Pensiangan, Sabah apabila seorang calon yang diisytiharkan muflis dibenarkan bertanding melawan calon yang dilihat penyokong kuat Zaid sebagai ketua cabang berkenaan.
''Ini menguatkan lagi dakwaan bahawa mereka yang bersekutu dengan Azmin telah menggunakan kesemua kuasa yang ada untuk dibenarkan bertanding,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jenapala sebelum ini mendedahkan penipuan yang dilakukan pihak tertentu bagi merebut jawatan timbalan presiden apabila dua cabang iaitu Batu Gajah dan Bruas di Perak yang mencalonkannya untuk bertanding jawatan nombor dua tertinggi parti itu diarah menarik balik pencalonan.
Ini kerana beliau dikatakan bukan calon pilihan pihak tertentu.
Tambah Jenapala yang menyertai PKR sejak parti itu ditubuhkan pada 1998, dalam kes berlainan, beliau telah dimaklumkan bahawa Anwar pernah menghubungi beberapa calon agar membatalkan niat untuk bertanding menentang Azmin.
''Anwar juga pernah secara terang-terangan mengatakan bahawa Zaid akan kalah dalam sebuah majlis parti baru-baru ini,'' katanya.
Beliau berkata, segala kepincangan yang berlaku dalam parti adalah berpunca daripada kelemahan kepimpinan Anwar dan Azmin.
''Sejak 1998 lagi, kita sudah melalui dan melakukan macam-macam untuk parti. Tetapi, Anwar kini seakan-akan tidak berminat untuk menyelamatkan parti,'' katanya yang setakat ini baru menerima satu pencalonan dari Cabang Kalabakan, Sabah.
Dalam perkembangan lain, Jenapala menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin Nasution Ismail jika Setiausaha Agung PKR itu gagal mengemukakan bukti atas dakwaannya yang beliau tidak lagi menjadi ahli PKR setelah dipecat pada Februari 2009.
''Saya sendiri sudah menghantar surat kepadanya agar beliau dapat kemukakan dokumen bahawa saya telah dipecat.
''Sehingga kini, saya tidak mendapat jawapannya. Kalau saya dipecat kerana mengkritik kepimpinan parti secara kasar, mengapa nama saya tidak disebut dalam laporan Lembaga Disiplin ketika Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada 31 Januari 2009?''
Dalam mesyuarat Biro Politik pada 25 Februari 2009 pula, kata beliau, namanya juga tidak tersenarai sebagai ahli yang dirujuk ke Lembaga Disiplin.
''Saya pun tidak pernah menerima apa-apa surat berhubung pemecatan,'' jelasnya.
/hwa: utusan.com.my/
Pemimpin perlu mengawasi ahli - Khalid
UM - 28/9/10
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta menasihatkan ahlinya supaya tidak bersikap kebudak-budakan ketika mesyuarat cabang parti itu berlangsung sehingga tercetusnya pergaduhan sesama mereka.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, seharusnya pemimpin tertinggi PKR mengawasi ahli-ahlinya agar proses demokrasi itu berjalan tanpa insiden yang memalukan.
Beliau mengeluarkan nasihat itu selepas polis menerima dua laporan berhubung pergaduhan yang berlaku ketika proses pemilihan Ketua Cabang Kota Raja.
"Mengikut laporan, ahli-ahli cabang itu telah bergaduh dengan menggunakan kayu, bertumbuk serta membaling kerusi sehingga menyebabkan keadaan dewan berselerak.
"Kejadian berlaku ketika proses pemilihan parti itu merupakan insiden yang memalukan. Buat apa mereka (ahli PKR) bergaduh seperti budak-budak sedangkan semuanya orang dewasa.
"Bertindaklah seperti orang dewasa yang memahami proses demokrasi. Pemimpin tertinggi parti sepatutnya menasihatkan ahlinya tentang itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan kekecohan berlaku ketika pemilihan Ketua Cabang Kota Raja yang menyaksikan perebutan tiga penjuru antara ketuanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. A. Xavier Jayakumar dengan S. Kottappan dan M. Telaiamblam.
Khalid menambah, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan akan membuat tangkapan jika perlu.
Dalam pada itu, Khalid menafikan dakwaan blog Xavier yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas, bahawa polis telah mengiringi 18 peti undi Cabang Kota Raja ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya berikutan kekecohan yang berlaku.
Beliau berkata, polis tidak mencampuri urusan pemilihan parti itu kerana anggota yang bertugas tidak dibenarkan memasuki kawasan pemilihan.
"Kita (polis) hanya memantau dari luar kawasan sahaja supaya kejadian yang berlaku di dalam kawasan pemilihan tidak diheret ke luar.
"Kita menjaga agar ia tidak mengganggu ketenteraman orang awam yang tidak terlibat," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my/
Jangan ikut rentak pembangkang
UM - 28/9/10
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak patut terikut-ikut dengan permainan politik pembangkang yang menggesa kerajaan menghukum seorang pengetua dan seorang guru atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seputeh, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, keputusan mengenai hukuman ke atas kedua-dua penjawat awam itu akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Justeru katanya, parti komponen BN seperti MCA dan MIC perlu menghormati kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang meminta semua pihak menunggu hasil siasatan Lembaga Siasatan.
''Semua pihak harus menunggu keputusan JPA dan jangan cuba mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Semua parti komponen harus menerima keputusan yang akan dibuat.
"Kita jangan terikut-ikut rentak pembangkang yang sering kali tidak akan menerima keputusan sekiranya ia tidak menyebelahi mereka,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan 'memberi masa' selama dua minggu buat Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan mengambil tindakan ke atas pengetua dan guru tersebut.
Menurut Mohd. Razlan, banyak juga isu kaum Cina dan India yang membabitkan pemimpin pembangkang melakukan kesilapan, tetapi apabila mereka memohon maaf ia diterima.
''Apabila memohon maaf kita boleh menerima dan tidak pula membuat demonstrasi atau desakan bertubi-tubi," katanya.
Mohd. Razlan menambah, Pemuda UMNO sentiasa memberi sokongan penuh kepada pengetua dan guru berkenaan memandangkan mereka berdua telah memohon maaf secara terbuka kepada umum.
''Anda tidak perlu gentar dengan ugutan daripada mana-mana pihak kerana Pemuda UMNO ada di belakang anda,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Guna hasil judi tidak wajar
UM - 28/9/10
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 27 Sept. – Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan di negeri itu sama ada untuk masyarakat bukan Islam dan Islam adalah tidak wajar.
Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (gambar) berkata, walaupun miskin, golongan tersebut mempunyai maruah dan seharusnya bantuan untuk membasmi kemiskinan itu diperoleh daripada sumber yang halal.
“Jangan kita menjadikan sumber kewangan daripada aktiviti judi sebagai amalan untuk membantu masyarakat miskin kerana dibimbangi ia menimbulkan suasana kebanggaan di kalangan syarikat judi kelak.
“Kita tidak mahu suatu hari nanti, masyarakat pun ‘terdidik’ dengan pandangan bahawa judi pun halal kerana sudah terbiasa mendapat bantuan daripada sumber judi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pengakuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa kerajaan negeri memang menerima derma daripada syarikat judi lumba kuda bagi tujuan membasmi kemiskinan di negeri itu.
Bagaimanapun, Guan Eng tetap dengan pendirian menafikan bahawa bantuan wang ihsan RM100 yang diberikan kepada warga emas Islam di negeri tersebut juga diperolehi daripada punca yang sama.
Mengenai kenyataannya dalam sebuah akhbar tabloid bahawa bantuan daripada sumber judi yang diterima rakyat miskin sebagai tidak haram, Mohd. Asri menjelaskan, beliau tidak mahu golongan berkenaan gusar.
Katanya, memang benar rakyat yang menerima bantuan tersebut tidak berdosa kerana yang menanggung dosa berkenaan adalah kerajaan negeri dan dalam konteks Pulau Pinang, exconya yang beragama Islam.
“Rakyat tidak mengetahui daripada sumber mana sumbangan itu diperoleh jadi mereka tidak berdosa, pihak yang berdosa adalah kerajaan negeri kerana mereka mengetahui daripada mana duit tersebut diperoleh,” jelasnya.
Ditanya dalam aspek manakah hasil judi boleh dimanfaatkan oleh kerajaan, beliau berkata, sumber daripada cukai judi boleh digunakan untuk tujuan pembangunan fizikal.
Menurutnya, bagi negara berbilang agama seperti Malaysia, aktiviti judi hanya boleh dibenarkan dalam jumlah kecil dan terkawal kerana aktiviti tersebut tidak berdosa ke atas penganut bukan Islam.
“Jangan pula kita terlalu ghairah untuk mendapat hasil daripada aktiviti judi.
“Judi tetap haram kepada umat Islam tetapi dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia, ia dibolehkan secara bersyarat,” katanya.
/hwa: utusan.com.my/
35 peguam terlibat jenayah ditahan
UM - 28/9/10
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 27 Sept. – Seramai 35 peguam telah ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, setakat ini kerana terlibat dalam kegiatan jenayah di seluruh negara termasuk dua beradik yang menjadi suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki baru-baru ini.
Peguam dua beradik terbabit disiasat kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan tanah yang didakwa ingin dibeli oleh Sosilawati di Pulau Pinang.
Timbalan Pengarah 1, JSJK, Bukit Aman, Datuk Nooryah Md. Anvar berkata, kesemua peguam yang ditahan terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah seperti kes penipuan, pecah amanah, pemalsuan dokumen bagi geran tanah dan afidavit.
Beliau berkata, terbaru, polis menahan seorang peguam berusia 50-an di rumahnya di Sunway, Subang Jaya, dekat sini, hari ini setelah dipercayai cuba memalsukan geran tanah di ibu negara bernilai kira-kira RM15 juta kepada syarikatnya.
“Suspek ditahan kira-kira pukul 8 pagi untuk siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Nooryah bagaimanapun enggan mengulas lanjut secara terperinci mengenai tangkapan tersebut, latar belakang peguam terlibat dan modus operandi digunakan.
Mengenai 35 peguam yang diberkas setakat ini, beliau berkata, tangkapan tertinggi dilakukan di Selangor iaitu 10 orang, diikuti lapan orang di Johor serta masing-masing empat orang di Kuala Lumpur dan Kedah.
Beliau berkata, Perak dan Negeri Sembilan pula masing-masing mencatatkan tiga tangkapan manakala dua orang di Pulang Pinang dan seorang di Melaka.
“Dalam tempoh sama, kita telah membuka dan menyiasat 290 kes jenayah membabitkan golongan peguam termasuk kes Sosilawati yang masih dalam siasatan,” katanya.
Menurut Nooryah, penglibatan peguam dalam kes-kes jenayah amat dikesali kerana mereka merupakan golongan profesional yang dipercayai oleh masyarakat.
“Sebagai golongan profesional, peguam diberi amanah oleh pelanggan. Pelanggan meletakkan harapan tinggi kepada mereka namun dimusnahkan apabila mereka melakukan penipuan dalam kes penjualan tanah dan pembiayaan rumah, pecah amanah serta pemalsuan afidavit,” ujarnya.
/hwa: utusan.com.my/
Penyeludup senjata api diberkas
UM - 28/9/10
| |
| Ghazali Mohd. Amin (kiri) menunjukkan pistol jenis Glock yang dirampas daripada seorang lelaki di Changlun, kelmarin. |
Ketua Polis Negeri, Datuk Ghazali Md. Amin berkata, lelaki berusia lewat 20-an yang juga peniaga pasar malam di Kedah, ditahan hasil risikan pihaknya sejak seminggu lalu.
Katanya, ketika ditahan, suspek memandu kereta Proton Waja, di lampu isyarat pekan tersebut pukul 5.30 petang.
Menurutnya, senjata api yang dirampas adalah jenis Glock 26 Austria, iaitu antara model terbaru di pasaran, manakala peluru pula bersaiz 9 milimeter.
"Kita menemui senjata api itu yang dipercayai untuk diberikan kepada pihak-pihak tertentu di dalam kereta tersebut.
"Suspek dipercayai terlibat dalam kes-kes jenayah melibatkan senjata api di negara jiran khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi itu dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri yang diketuai oleh Deputi Supritendan Teoh Phaik Leng.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati suspek yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak, tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Suspek berasal dari Alor Setar, Kedah, telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Kedah, untuk siasatan lanjut," katanya.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan.
Tambahnya, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 8a Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
/hwa: utusan.com.my/
27 September 2010
Mustaffa tetap rebut Timbalan Presiden PKR
BH - 2010/09/27
Mustaffa yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, berkata kekalahan itu tidak akan mematahkan semangatnya, malah beliau akan membuat pengumuman untuk bertanding jawatan tertinggi itu secara rasmi pada awal bulan depan.
“Itu hanya kekalahan di peringkat cabang dan saya percaya tidak akan memberi kesan kepada undi untuk saya bertanding jawatan timbalan presiden.
“Malah, saya juga akan membuat laporan membabitkan masalah yang timbul ketika perjalanan mesyuarat itu, semalam (kelmarin),” katanya kepada Berita Harian.
Mustaffa yang juga Pemangku Ketua Cabang Pasir Salak sejak 2007 tewas kepada bekas ketua cabang itu, Osman Abdul Rahman. Beliau bagaimanapun dicalonkan untuk bertanding timbalan presiden oleh cabang berkenaan, sementara Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.
Mustaffa antara empat calon yang sudah melepasi tahap kelayakan bertanding jawatan nombor dua itu, selain seorang lagi Naib Presiden, Mohamed Azmin Ali.
/hwa: bharian.com.my/
Hina agama akan cetus sensitiviti, merebak kepada pertembungan bangsa: Jamil Khir
Bernama - 2010/09/27
Beliau berkata, tidak kira sama ada pihak terbabit adalah paderi atau individu lain, tindakan itu boleh mencetuskan pertembungan antara agama yang seterusnya merebak kepada pertembungan bangsa.
“Saya masih belum melihat klip video itu. Tetapi sedang meneliti isu ini. Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan dan menunggu sama ada terdapat laporan dibuat,” katanya pada sidang media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri 2010 anjuran JAKIM di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa klip dalam laman web perkongsian video, YouTube yang menunjukkan seorang paderi menghina Islam dalam ceramahnya.
Menurut laporan akhbar hari ini, Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen berkata, paderi yang dikenali Benjamin Stephen, menghina Islam ketika berceramah di sebuah gereja di Kuching, Sarawak.
Jamil Khir berkata, pihaknya akan bertindak apabila ada individu yang tampil membuat laporan berhubung isu terbabit.
Beliau berkata, di sebalik amalan Malaysia memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menganut ajaran agama lain, perlu diingat setiap individu ditegah daripada menimbulkan rasa terhina penganut agama tertentu.
Ia katanya, apabila ada pihak mula rasa terhina, sensitiviti agama akan tercetus sehingga merebak kepada masalah pertembungan bangsa.
/hwa: bharian.com.my/
SPR: Pilihan raya kecil untuk DUN Galas
Bernama -2010/09/27
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan sebaik sahaja menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Kelantan mengenai kekosongan kerusi tersebut.
"Apabila SPR terima notis rasmi, baru kita akan adakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Galas. Pilihan raya kecil perlu diadakan kerana ia belum sampai tempoh tiga tahun daripada tarikh pilihan raya umum yang lalu.
"Pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku selepas Mei tahun depan," katanya.
Che Hashim, 46, yang dimasukkan ke Hospital Al-Islam di sini sejak dua hari lepas meninggal dunia 4.30 petang tadi.
Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim (PAS) berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi. Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN, Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi.
Galas adalah DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh.
Sementara itu, di RANTAU PANJANG, Speaker DUN Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, berkata beliau akan menulis surat kepada SPR sebaik menerima sijil kematian Allahyarham.
"Sebagaimana biasa laporan bertulis akan dibuat secepat mungkin sebaik menerima laporan kematian dari pihak keluarga atau pihak berwajib.
"Kita tunggu sijil kematian Allahyarham sebelum menulis surat kepada SPR bagi menyatakan kekosongan DUN Galas," katanya.
/hwa: bharian.com.my/
Kanser usus: ADUN Galas Hashim Sulaima meninggal dunia
UM - 27/09/2010 5:59pm
Beliau sebelum ini dilaporkan mengidap kanser usus.
Difahamkan, jenazah beliau akan dibawa ke Gua Musang, Kelantan untuk dikebumikan.
/hwa: utusan.com.my/
Ahmad Maslan dakwa peneroka dihasut saman Felda
Bernama - 27/09/2010 2:44pm
Beliau mendakwa, isu peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan yang memenangi kes terhadap Felda baru-baru ini telah dijadikan kes rujukan oleh pihak tertentu untuk menghasut peneroka-peneroka Felda lain untuk mengambil tindakan yang sama.
"Saya nak maklumkan berhubung kes saman (peneroka ) Felda Kemahang 3 itu bukan satu kes rujukan kerana kali ini, Felda akan lebih bersedia dalam menghadapi kes-kes saman,” katanya.
Dalam kes tersebut, 354 peneroka Felda Kemahang menerima RM11 juta daripada Felda kerana manipulasi gred buah kelapa sawit.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 26 Ogos lepas yang menolak permohonan Felda yang dibuat oleh panel lain pada 19 Januari lalu yang menafikan kebenaran rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Pada 13 Januari 2008, Mahkamah Tinggi itu telah memerintahkan supaya Felda membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka apabila peguam agensi tersebut gagal hadir di mahkamah semasa saman berkenaan didengar.
Mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas menerima keterangan tiga saksi.
Ahmad berkata, agensi itu memikul amanah besar untuk membina dan membantu para peneroka.
"Kita mempunyai pakar daripada jawatankuasa teknikal kemajuan rancangan sehingga jawatankuasa perunding peneroka di peringkat Wilayah dan Ibu Pejabat untuk meneliti isu perahan dan gred buah kelapa sawit ini,” katanya.
/hwa: utusan.com.my/


