Dr. Rais Yatim (kiri) memberi
kata-kata semangat kepada peserta persembahan padang selepas menyaksikan
raptai Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.
- BERNAMA
*****
JUMAAT ini, Malaysia akan menyambut Hari
Kemerdekaan yang ke-55. Ia adalah acara sambutan negara, yang bermakna
sesiapa sahaja boleh menyertainya tanpa dibataskan oleh agama yang
dianuti, kaum dan fahaman politik. Bagaimanapun, agak ‘luar biasa’ pada
tahun ini, tidak pernah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya, ada pihak
yang mempertikaikan tema dan logo kemerdekaan. Pertikaian ini agak pelik
dan lucu. Tetapi bagaikan sudah menjadi trend di negara ini, apa sahaja
isu yang ada, mahu dicari ruang untuk dipolitikkan.
‘‘Ini sudah masuk kali kelapan tahun saya mengatur program untuk hari
merdeka. Saya setuju, tahun ini agak lain. Saya tidak terkejut,
pembangkang mahu berkuasa," kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di pejabatnya di Bangunan Sultan
Abdul Samad, Kuala Lumpur, semalam.
Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, FAUZIAH AROF, NURUL ANUAR
KARI dan jurugambar, Mohd. Syazwan Moh Halmi bersama beliau mengenai
sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan ke-55 yang acara induknya akan
diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Dataran Merdeka, Kuala
Lumpur.
UTUSAN: Adakah isu tema dan logo Hari Kemerdekaan Ke-55 yang
dipolitikkan oleh pembangkang boleh menjejaskan mood rakyat untuk
sambutan kali ini?
RAIS: Saya tak fikir ia akan merosakkan mood sambutan. Rakyat sudah
matang. Tiap-tiap tahun ada tema dan tentu ada juga yang tidak setuju.
Tetapi daripada tinjauan kami, majoriti rakyat menerima tema ‘Janji
Ditepati’.
Logo juga begitu, logo pertama itu cuma yang awal dan kemudian ada 12 lagi logo yang digilirkan setiap hari.
Oleh kerana pembangkang menjadikan ini bahan retorik mereka, maka
mereka ingat boleh memendapkan semangat orang ramai. Sebenarnya tidak,
majoritinya sekarang termasuk golongan pertengahan datang juga, terus
sampaikan ucapan.
Saya kira ia tidak menjejaskan sambutan. Jika usaha menjejaskan
sambutan Merdeka, itu niat tak baik. Tetapi kalau usaha mahu tambah
baik, kita sambut dengan baik.
Bila logo dan tema ‘Janji Ditepati’ mula-mula digunakan, ada pihak
tidak berpuas hati, kata tak cantik dan sebagainya. Dahulu tidak pernah
berlaku, tapi sejak media sosial bersemarak, masing-masing punya
pandangan tersendiri, tak apalah.
Komitmen dan janji ditepati dimaklumkan kepada rakyat, sebab itu kita
teruskan juga. Acara Merdeka pada 31 Ogos ini diadakan di dua tempat, 8
pagi di Dataran Merdeka sementara itu pukul 8 malam di Stadium Bukit
Jalil.
Ada yang mempertikaikan kenapa logo pada tahun ini tidak
dipertandingkan seperti tahun-tahun sebelumnya. Apa penjelasan Datuk
Seri?
Lain musim lain cara, takkan tiap-tiap tahun sama. Tahun ini bukan
satu logo sahaja, ada banyak. Cuma logo 1Malaysia wujud dalam semua logo
itu. Mereka bangkitkan sebab tema ‘Janji Ditepati’ dan logo 1Malaysia
yang dirasakan begitu menonjol, hilangkan glamour pembangkang.
Maka, ada kata lagu yang itu yang ini pun tidak boleh dinyanyikan,
sedangkan lagu itu dibuat khas sebuah kumpulan yang berdedikasi dalam
melodi dan liriknya.
Sebenarnya, mereka tidak bersetuju dengan ‘Janji Ditepati’ kerana dah
tersudut (terhimpit), mereka tiada apa nak tawar (kepada rakyat).
Mereka cuma jadi kaki caci, sebesar-besar, sebaik-baik tukang, cuma
tukang caci. Dalam keadaan sebegitu, sindrom ini tidak memihak banyak
kepada mereka.
Bagaimana dengan pembangkang yang mahu menyambut Hari Kemerdekaan negara secara berasingan, mahu tema dan logo sendiri?
Kalau nak buat di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan atau Selangor,
terpulanglah kepada mereka sebab dikawal pihak sebelah sana. Jadi kita
tidak berkecil hati tapi janganlah pula pecah belahkan masyarakat dengan
pembohongan, kita akan tentang dan keluarkan yang benar.
Gara-gara pembangkang yang kali ini mereka ingat sudah mempunyai
‘tenaga’ pula, bagi saya menjawab mudah saja. Kita ini satu Malaysia,
hanya satu negara, apa pun pendirian politik, sebaik-baiknya bersatulah
untuk merdeka ini.
Tidak salah jika hendak sambut atau laksana aktiviti serta program
dengan cara mereka sendiri mahupun nyanyikan lagu berlainan asalkan
bersama-sama pupuk semangat merdeka tanpa mengutuk atau mengkritik pihak
lain dengan sifat-sifat perkauman.
Jangan perkecil agama orang, jangan berbelah bagi dalam soal
kesetiaan kepada raja dan undang-undang, ikut tata susila kita. Semua
pihak perlu ikut dan pegang prinsip Rukun Negara, pembangkang atau
sebaliknya.
Apa kelainan dalam sambutan Hari Kemerdekaan kali ini?
Penonjolan transformasi kerajaan iaitu semua bidang dalam Bidang
Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) untuk jelaskan apa itu dikatakan
janji ditepati. Rukun Negara, setiap tahun kita mesti tegaskan kerana ia
tiang seri kenegaraan kita.
Sama ada perarakan ini akan mencerminkan kekitaan pelbagai kaum di
negara ini, ya memang ia akan mencerminkan dengan anggaran sekitar
20,000 hingga 30,000 orang pelbagai kaum akan menggamatkan Dataran
Merdeka dan mungkin lebih 80,000 di Stadium Bukit Jalil.
Mulai pukul 8.15 malam pada Hari Merdeka, saya akan mulakan Twit
Merdeka yang dijangka menarik lebih satu juta Twit dalam masa setengah
jam dan dijangka mencapai rekod Twit tertinggi di negara ini.
Ini khusus untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
berinteraksi dengan rakyat terutama sekali untuk mereka Twit rasa cinta
kepada negara.
Orang ramai boleh Twit apa saja kepada Perdana Menteri di mana beliau akan menjawab soalan Twit rakyat dalam tiga segmen.
Untuk apa Twit ini? Bagi menunjukkan rakyat mengambil berat akan
sambutan kemerdekaan negara kita. Surat mungkin sukar untuk dihantar,
gunakan telefon bimbit untuk Twit terutamanya di kalangan golongan muda.
Ada yang kata perhimpunan ‘Janji Bersih’ akan menguasai acara
sambutan Hari Kemerdekaan kali ini dengan kumpulan- kumpulan yang
memakai baju warna kuning. Apa komen Datuk Seri?
Kuning ke, merah ke, pada hari itu kita tak kisah, semua rakyat boleh hadir, siapa sampai dulu dia dapat.
Kita tidak tetapkan tempat ini untuk orang Barisan Nasional (BN),
yang itu atau yang ini. Kalau orang Parti Keadilan Rakyat (PKR) hendak
datang sekalipun, kecil tapak tangan nyiru kita tadahkan tapi jangan
buat jahat. Jangan buat tiupan trompet, jangan guna bahasa kesat, datang
ke situ sebagai warga yang cintakan perpaduan, apa parti pun.
Kita minta datanglah sama-sama, hendak pakai baju kuning pun
pakailah. Dalam perarakan pun ada yang baju kuning. Warna kuning bukan
PKR, Pas atau DAP punya, kuning warna kita, boleh pakai bila-bila.
Tengoklah nanti keadaan di Dataran Merdeka dan Stadium Nasional Bukit
Jalil macam mana. Tetapi satu yang benar, ini kali pertama dalam 10
tahun saya pengerusikan jawatankuasa program merdeka, pembangkang
gunakan lunas hari kebangsaan dalam arena politik mereka.
Ini menunjukkan mereka benar-benar telah tersudut, tiada isu lain,
jadi gunakan ini. Mudah saja, tolong tunjuk komitmen dan hasil faedah
mereka dan kita bandingkan yang mana rakyat akan terima
Pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang mendakwa tiada tempat untuk
mereka di stadium nanti. Tempat duduk hanya untuk pemimpin BN sahaja.
Betulkah?
Tak betul langsung, siapa datang diberi tempat. Acara yang
dianjurkan bukan hanya untuk orang BN, sesiapa pun boleh hadir sama.
Kalau Kit Siang datang awal, boleh duduk di depan dengan Perdana Menteri
sekalipun. Kalau Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahupun Datuk Seri Anwar
Ibrahim datang pun, kita boleh sediakan tempat duduk khas di stadium.
Memang terbaik jika mereka bertiga datang malam itu, kita bukan nak
burukkan atau tengking sesiapa, ini demi masa depan negara kita. Sebelah
pagi juga kita sudah jemput mereka bertiga secara rasminya ke Dataran
Merdeka, jangan kata kita tidak jemput pula. Kita alu-alukan semua.
Jika negeri-negeri bawah mereka nak buat program sendiri, memang
patut buat dan dialu-alukan buat di negeri masing-masing ala negeri dia,
tiada salah. Kelantan tahun lepas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat buat
doa selamat, bagus sekali.
Kalau tak setuju dengan tajuk kita pun tak apalah, boleh buat tajuk
apa pun asalkan merdeka kita berjaya, nak bersama masa depan. Jangan
katakan tidak kepada mereka, malahan jawatankuasa saya sudah bantu semua
negeri dengan peruntukan RM150,000 untuk sambutan tahun ini. Kita sudah
agihkan peruntukan tersebut, terpulang mereka hendak guna ikut cara
masing-masing.
Di negara-negara lain, parti pembangkang mereka boleh merayakan Hari
Kemerdekaan dengan parti pemerintah tetapi di Malaysia pada kali ini,
tidak pula, mereka ingin buat berasingan. Kenapa ini berlaku di negara
kecil ini?
Apa yang saya lihat, kini terlalu banyak politiking. Di negara kita,
sepanjang masa hendak berpolitik. Ini perlu dikurangkan. Jika Hari Raya
apa salahnya kita minum teh bersama-sama, itu pun tak dapat.
Memang sebaik-baiknya sambutan merdeka disambut bersama tapi kalau
tidak mahu terpulanglah, hendak buat macam mana ini negara demokrasi.
Tapi, harap semua ketua parti politik dapat hadir pada acara sambutan
sebelah pagi itu, malam ikutlah dia nak buat macam mana. Tiada masalah
asalkan ada satu lunas untuk bersama pada satu ketika.
Banyak cara untuk kita sambut merdeka, tetapi jangan jatuhkan satu
sama lain pada hari tersebut atau lemahkan semangat merdeka. Sebelum
negara ini merdeka dahulu, tokoh-tokoh kemerdekaan negara juga mempunyai
perbezaan pendapat tetapi bila sambut merdeka mereka tetap bersatu, ini
negara kita.
Ini tahun kelapan saya aturkan program sambutan Merdeka. Tetapi saya
setuju ini agak lain sikit, memang lain tapi tidaklah terkejut bila
mereka bertindak begitu.
Ada dalam pemikiran masing-masing, pembangkang ingin nak berkuasa,
jadi jangan kecil hati bila berkuasa nanti orang akan buat macam itu
juga, macam roda terus berjalan.
/hwa: utusan.com.my | 29/8/12