19 Januari 2011

Keputusan ADUN BN Khamis ini

UM - 19/1/11

SHAH ALAM 18 Jan. - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di negeri ini akan mengadakan mesyuarat pada Khamis ini bagi menentukan pendirian sama ada mereka akan menyertai sidang DUN yang dijadualkan pada 24 Januari ini atau sebaliknya.

Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman berkata, semua ADUN BN telah menerima notis menghadiri sidang tersebut yang antara lain bagi melakukan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor berkaitan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan dua lagi jawatan pegawai tertinggi negeri.

''Saya dimaklumkan bahawa Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) telah mengeluarkan pengisytiharan memperkenankan sidang itu diadakan.

''Jadi kita akan berbincang dahulu sama ada hadir pada sidang DUN itu atau tidak, kita akan buat keputusan pada 20 Januari ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohamad Satim berkata, semua ADUN BN akan bertindak memboikot sidang DUN tersebut kerana menggangap pindaan itu sebenarnya bertujuan mengembalikan kuasa Menteri Besar dan bukannya kuasa sultan dalam membuat pelantikan SUK.

Esok, draf pindaan perlembagaan negeri itu dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang maklumat adakah semua ADUN akan diberikan peluang meneliti draf tersebut.

Cadangan pindaan undang-undang tubuh negeri dikemukakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK yang didakwa tidak dibuat melalui persetujuan dan pengetahuannya.

Meskipun mengakui pelantikan SUK itu adalah sah dan diperkenankan oleh Sultan Selangor, kerajaan negeri masih berkeras mahu mengadakan sidang DUN bagi melakukan pindaan perlembagaan negeri.

Menteri Besar juga menangguhkan majlis angkat sumpah simpan rahsia bagi Mohammed Khusrin hingga menyebabkan SUK itu tidak dapat memenuhi haknya di sisi undang-undang untuk menyertai mesyuarat Exco kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Pindaan itu antara lainnya dikatakan bagi mengembalikan semula kuasa sultan dan menteri besar dalam membuat pelantikan tiga pegawai eksekutif tertinggi negeri iaitu SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Isu pertikaian pelantikan SUK mula timbul apabila sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar pada 27 Disember lalu memaklumkan pelantikan Mohammed Khusrin belum muktamad kerana Abdul Khalid tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK berkuat kuasa 1 Januari lalu oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

/hwa: utusan.com.my/

Semakin dekat, semakin rancak pula - SPR

UM - 19/1/11

SETAKAT petang semalam, sejumlah enam set borang pencalonan untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor telah terjual.

Namun setiap satu set berharga RM20 itu tidak bermakna apa-apa kerana berdasarkan pengalaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ia satu kebiasaan sahaja.

"Dan biasanya ia tidak menggambarkan bilangan calon yang bertanding," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagi Abd. Aziz, DUN Tenang saat ini menjelang hari penamaan calon Sabtu (22 Januari ini) nampak tidak 'bergelora'. Meskipun timbul cakap-cakap parti-parti yang bakal bertanding telah mula berkempen namun SPR sendiri tidak mendapat laporan rasmi mengenainya.

"Ya, setakat ini DUN Tenang agak tenang, tapi semakin dekat (hari penamaan calon), semakin rancak pula persediaan semua yang terlibat termasuk dari SPR sendiri," katanya.

Mengulas dakwaan Pengarah Operasi Pas bagi pilihan raya kecil N.05 Tenang, Dzulkefly Ahmad yang menyifatkan tindakan SPR memindahkan tiga pusat mengundi ke tempat lain sebagai tidak profesional termasuk kononnya SPR memihak kepada Barisan Nasional (BN), Abd. Aziz memberitahu:

"Ketiga-tiga pusat itu sebelum ini berada di dalam DUN Bekok dan kini kita kembalikan ke DUN Tenang.

"SPR tidak ada motif politik dalam perkara ini, saya dimaklumkan kebanyakan pengundi terbabit tinggal di seberang jalan dan dengan pemindahan ini maka akan memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab mengundi.

"Kebiasaannya, setelah proses ini dibuat ia mampu meningkatkan peratusan keluar mengundi. SPR bukannya mahu menukar fikiran pengundi untuk memilih parti tertentu," katanya.

Dzulkefly mendakwa, kesemua pusat mengundi berkenaan iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Labis, Bandar Labis Timur dan SJK Tamil Labis adalah kawasan pengundi Cina yang mengundi Pas pada pilihan raya umum 2008. Pas, dakwanya, meraih kemenangan di kesemua peti undi tersebut.

Pengundi yang sebelum ini mengundi di pusat saluran SJKC Bandar Labis Tengah dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin Jalan Kampung Tenang, pengundi di UPU Bandar Labis yang sebelum ini membuang undi di SMK Sri Labis dipindahkan ke Dewan Bola Keranjang JKKK Labis Jalan Segamat manakala pengundi UPU Bandar Labis Timur yang sebelum ini mengundi di SJK Tamil Labis pula dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.

Bagi Abd. Aziz, pemindahan itu tidak akan mendatangkan masalah kepada pengundi, asalkan mereka membuat semakan di mana mereka akan membuang undi.

"Jangan tunggu sehingga hari pengundian 30 Januari nanti, sekaranglah mereka membuat semakan menerusi SMS atau dengan bantuan parti-parti politik," katanya.

DUN Tenang, hanyalah separuh daripada bandar Labis dan keseluruhan pekan kecil ini dipanggil Tenang. Jaraknya lebih kurang 10 kilometer di antara Tenang dan Labis. Bandar paling hampir adalah Segamat, kira-kira sejauh 18km ke Tenang dan 28km ke Labis.

Pengundi Melayu di sini kebanyakannya terlibat dalam aktiviti pertanian, misalnya kelapa sawit atau getah. Penduduk Cina pula rata-ratanya pekebun atau peniaga, dengan keadaan ekonomi yang agak baik.

Terdapat tiga kawasan Felda di Tenang, iaitu Felda Tenang, Cehmpal Barat dan Chemplak - kesemua ini adalah kawasan kubu BN

Di Felda Tenang yang terdiri daripada 98.5% Melayu, sokongan BN masih teguh. Pada PRU 2008, Pas hanya meraih sokongan 20.4% undi dan DAP cuma memperoleh 10.2% undi. Malah di kawasan Cehmpal Barat dan Chemplak, Pas memperoleh 18.6% dan 18.7% undi masing-masing.

Seandainya dilihat pada kawasan yang terdiri daripada lebih 90% Melayu seperti Kampung Rendong, Pekan Ayer Panas dan Sawah Bharu, undi yang diperoleh Pas hanya berada antara 18% dengan 32%.

Apa yang menarik, komuniti India memperlihatkan dua pola pengundian yang berbeza dalam PRU 2008. BN memperoleh 67.9% undi di Ladang Bukit Dato yang terdiri daripada 46.6% pengundi India. Tetapi di Ladang Labis Utara yang terdiri daripada 71.7% India, kedua-dua pihak memperoleh 50% sokongan.

Namun MIC baru-baru ini meletakkan kepercayaan penuh bahawa sebahagian besar pengundi India akan berpihak kepada parti pemerintah.

/hwa: utusan.com.my/

Setiap peraturan, undang-undang syariah wajib dipatuhi - Pemuda Pas

UM - 19/1/11

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Dewan Pemuda Pas Pusat mahu setiap undang-undang serta peraturan khususnya enakmen jenayah syariah yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri wajib dipatuhi oleh semua pihak.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, sekiranya perkara itu tidak dihiraukan terutama di kalangan pemimpin dikhuatiri peraturan atau undang-undang itu akhirnya dipersendakan oleh rakyat.

Pada masa sama, beliau berkata, Pemuda Pas juga mahu setiap peraturan yang memberi kebaikan kepada umat Islam seperti pengharaman orang Islam bekerja di premis menjual arak diperluaskan ke semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

''Alhamdulillah, setakat ini hanya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang menguatkuasakan peraturan ini. Pemuda Pas meminta ia diperluaskan ke semua PBT kerana jelas ia melindungi umat Islam daripada terjerumus daripada melakukan perbuatan haram.

''Mengenai kepatuhan kepada setiap undang-undang, perkara ini perlu jelas kerana kita tidak mahu wujud percanggahan antara pemimpin. Sekiranya itu yang berlaku, mereka perlu duduk semeja untuk selesaikan setiap isu berbangkit,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat cuba melindungi Exconya, Ronnie Liu apabila menyatakan bahawa tiada sebarang arahan menarik balik syarat larangan terhadap orang Islam bekerja di premis yang menyajikan arak.

Abdul Khalid juga menjelaskan, sebenarnya arahan tersebut bukan satu bentuk larangan sebaliknya hanya tatacara atau syarat baru yang dihantar MPSJ kepada premis hiburan ketika mahu memperbaharui lesen dan ia tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan.

Nasrudin dalam kenyataannya semalam menyifatkan tindakan Ronnie yang mengarahkan agar larangan ke atas orang Islam untuk bekerja di premis menjual arak ditarik balik sebagai menyinggung perasaan umat Islam.

/hwa: utusan.com.my/

Nyawa politik Anwar dalam tangan Pengerusi DAP

UM - 19/1/11

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menjadi 'pelacur politik' dan membiarkan dirinya didagangkan oleh DAP kerana 'nyawa politik' beliau berada dalam tangan Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari (gambar) berkata, DAP menjadikan kes liwat Anwar sebagai strategi utama untuk mengawal bekas Timbalan Perdana Menteri itu kerana seperti didakwa Karpal, beliau memiliki bukti mengenai aktiviti liwat ketua pembangkang itu.

Menurutnya, sebab itu tidak menghairankan mengapa Karpal sanggup membuat 'pusingan U' dan bersikap lidah bercabang dalam isu pendedahannya pada 1997 di Dewan Rakyat dan Hotel Federal berhubung bukti aktiviti seks songsang Anwar.

"Selagi Karpal menjadi peguam bela dalam kes liwat, selagi itulah Anwar dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terpaksa akur dan tunduk kepada DAP sehingga terpaksa menjadi 'pelacur politik' dengan membiarkan diri mereka didagangkan DAP.

"Karpal menggunakan kes liwat sebagai alat untuk mencari keuntungan politik bagi DAP dan ini menjelaskan keadaan mengapa selama ini PKR menjadi 'pak turut' dalam pakatan pembangkang," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Karpal yang cuba berdolak-dalik dalam isu pendedahan pada 1997 bahawa beliau mempunyai bukti kukuh mengenai perbuatan Anwar meliwat bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar dengan cuba meletakkan kesalahan kepada kerajaan.

Kelmarin Karpal mengakui beliau ada membuat desakan agar kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Anwar atas dakwaan meliwat Azizan tetapi menjelaskan perkara itu ditolak oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dikatakan bersifat politik.

Pengerusi DAP itu juga menambah, beliau hanya membantu Anwar selepas diminta oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998 iaitu selepas dipecat dari Kabinet dan juga UMNO sebelum dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat Azizan.

Mengulas lanjut mengenai perbuatan lidah bercabang Karpal dan tindakan Anwar yang sentiasa 'putar alam' dalam isu tersebut, Anuar berkata, PKR dan DAP telah merosakkan amalan demokrasi di Malaysia kerana mempraktikkan cara politik yang tidak sihat.

"Apakah motif sebenar mereka? Bagi saya Anwar menggunakan politik cara ini sebagai alat untuk melepaskan diri daripada kes liwat manakala Karpal pula demi mencari keuntungan politik untuk DAP walaupun negara terpaksa diporak-perandakan," jelasnya.

/hwa: utusan.com.my/

Calon BN disenangi, mampu selesai masalah rakyat - PM

UM - 19/1/11


Kira-kira 10,000 warga Felda mendengar ucapan Najib Tun Razak pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di SK LKTP Felda Chemplak, Labis semalam.

LABIS 18 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, calon yang akan dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang merupakan seseorang yang disenangi dan mampu menyelesaikan masalah rakyat.

Menurut Perdana Menteri, nama calon tersebut akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

"Kita pilih orang yang amat disenangi dan mudah mendapat sokongan masyarakat di sini, itu kriteria penting sebab orang itu akan menjadi bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan untuk menjadi wakil rakyat yang dekat di hati rakyat, perlu tahu masalah rakyat, mudah dihubungi dan boleh ambil tindakan bagi menyelesaikan masalah rakyat dan membantu mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Jamuan Tengah Hari dan merasmikan Dewan Semai Bakti dan Gelanggang Futsal Felda Tenang di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengarah Jentera BN bagi PRK DUN Tenang dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad.

Najib yang juga Pengerusi BN berharap calon BN dapat memenangi PRK DUN Tenang dengan selesa dan yakin jentera parti yang diketuai Abdul Ghani mampu menangani cabaran dengan jayanya.

"Kita berazam untuk meneruskan rekod kita, sebab akhir-akhir ini kita amat berjaya dalam beberapa pilihan raya kecil dan berharap dapat teruskan sebagai momentum transformasi politik tanah air," katanya.

PRK DUN Tenang diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan dalam darah dan penyakit kencing manis pada 17 Disember lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Sulaiman berjaya mempertahankan kerusi berkenaan menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Ahad lalu, Pas mengumumkan calonnya, Normala Sudirman, 38, bagi mewakili pakatan pembangkang pada PRK DUN Tenang pada 30 Januari ini.

Mengulas sasaran DAP yang mahu undi majoriti kemenangan BN dikurangkan pada PRK tersebut, Najib memberitahu, perkara itu merupakan helah politik pembangkang untuk mengurangkan sokongan rakyat kepada kerajaan BN yang selama ini membela nasib masyarakat.

"Setiap undi itu penting, soalnya bukannya kurangkan undi majoriti tetapi meminta parti yang boleh bagi khidmat bakti secara berkesan dan bukan janji kosong dan boleh bertindak dengan baik untuk masyarakat," katanya.

Mengenai dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengatakan beliau mengamalkan kuasa veto dalam BN, Najib menempelak pemimpin pembangkang itu dan menegaskan pentadbiran yang dilaksanakannya adalah menerusi konsep persefahaman dalam BN.

"Kita ada persefahaman dalam BN, dia jangan campur urusan kita. Kita tahu urusan kita, dia tentukan urusan dia, dia punya parti, famili parti, biarlah, parti kita ada konsensus di kalangan parti komponen BN, jangan campur politik BN," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Terharu keprihatinan Rais

Bernama - 19/1/11


Wakil daripada 35 ahli PKR Masyarakat Orang Asli Segamat Kecil menyerahkan borang masuk semula sebagai ahli UMNO kepada Rais Yatim di Perkampungan Orang Asli Segamat Kecil di Labis, semalam. – Gambar ihsan KPKK

LABIS 18 Jan. – Penduduk miskin dan sakit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang hari ini tersentuh dengan keprihatinan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim terhadap nasib dan kebajikan mereka.

Mereka begitu gembira dan terharu dengan kesudian Rais berkunjung ke rumah mereka untuk mendengar masalah mereka dan mencatatkan keperluan yang mereka inginkan daripada kerajaan.

Seorang peneroka felda, Ahmad Mohd Amin, 76, yang menggunakan kerusi roda sejak sembilan tahun lepas melahirkan rasa gembira dengan kunjungan Rais yang diiringi tujuh sukarelwan felda itu.

“Saya gembira betul dengan kehadirannya dan tengok mukanya pun sudah cukup,” kata bekas konstabel polis itu yang menjadi peneroka sejak 1965 kepada pemberita.

Ahmad yang kini tinggal berdua dengan isterinya, Salamiah Abdullah, 59, di rumah itu turut berterima kasih kepada Rais dan tujuh sukarelawan berkenaan yang berjanji akan membaiki tandas di rumahnya.

Pada lawatan itu, sukarelawan berkenaan juga berjanji akan membantu membaiki beberapa buah rumah peneroka lain dalam tempoh seminggu ini.

Ko Ah Ba, 59, dari Kampung Baru Cina Labis bersyukur kerana Rais berjanji akan membantunya mendapatkan bantuan tambahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk anaknya Kah Ron, 17, yang menghidap Sindrom Down.

“Kah Ron hanya menerima bantuan bulanan sebanyak RM50 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan itu tidak mencukupi memandangkan dia perlu memakai lampin pakai buang,” katanya dan menurutnya dia memerlukan sekurang-kurangnya RM300 sebulan bagi menampung keperluan anaknya itu.

Pada kunjungan itu, Ah Ba berbual dengan Rais dalam dialek Hakka ekoran menteri berkenaan fasih dalam dialek itu.

“Kami dari kementerian hari ini menyampaikan bantuan ihsan kepada golongan daif dan sakit tenat serta bantuan persekolahan atas semangat kebajikan 1Malaysia.

“Kita lakukan ini bagi mengisi tuntutan kasih sayang, keharmonian dan nilai asas kemanusiaan” kata Rais kepada pemberita.

Sementara itu, semasa melawat ke Kampung Orang Asli Segamat Kecil di sini, Rais yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menerima borang permohonan untuk menganggotai UMNO daripada 35 penduduk kampung itu yang sebelum ini merupakan anggota PKR.

“Saya terharu dengan sokongan yang diberikan masyarakat ini dan akan menyerahkan borang-borang ini kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman secepat mungkin,” katanya.

Kampung Orang Asli Segamat Kecil merupakan perkampungan Orang Asli Jakun dan mempunyai 583 orang penduduk dari 137 keluarga yang diketuai Tok Batin, Ariffin Noh.

Katanya, kementerian turut meluluskan permintaan penduduk kampung itu bagi mendapatkan beberapa peralatan muzik bagi mempromosi aktiviti kesenian dan kebudayaan mereka.

Pada lawatan ke Sekolah Kebangsaan Segamat kecil, Rais menyampaikan 10 buah netbook dan 63 beg sekolah kepada pelajar sekolah itu. – BERNAMA

/hwa: utusan.com.my/

105 Pembaharuan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap sambil memegang risalah “105 Pembaharuan oleh Perdana Menteri" di Kampung Felda Chemplak dekat Labis, hari ini. - Foto Sairien Nafis. Jan 18, 2011 2:52 pm

Mesra Peneroka

NAJIB Tun Razak bersama Abdul Ghani Othman dan Isa Samad menikmati juadah nasi ambeng di Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Makan Tengah Hari Bersama Penduduk Kawasan DUN Tenang di Felda Tenang, Labis. 18 Jan. 2010. - Utusan/BAAZLAN

Kita sudah lama Merdeka...

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menyaksikan Ng Kian Nam (tengah) memohon maaf secara terbuka kepada Pengerusi Masjid Ikhlasiah, Ikram Mohd. Yusuf berkenaan isu laungan azan di Lembah Pantai, Bangsar. 17 Jan. 2011. - Utusan/NOORADZRENE MOHD. NOR

12 Januari 2011

Kain rentang hina raja

UM -12/1/11


Khairul Anuar Ahmad Zainudin (tengah) bersama P. Saravenan (kiri) dan Mat Irwan Mat Ismail (kanan) menunjukkan laporan polis menafikan pihak mereka mengantung kain rentang menghasut orang ramai membenci institusi beraja di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 11 Jan. - Para penduduk di sini terkejut dengan tindakan pihak tertentu menggantungkan kain rentang menghina dan menghasut rakyat agar membenci institusi beraja di negeri ini.

Kain rentang yang turut tertera lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP dengan salah satunya memaparkan gambar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei digantung di sekitar kawasan Shah Alam.

Utusan Malaysia mendapati dua kain rentang sedemikian dilihat tergantung di kawasan Seksyen 11 di sini kira-kira pukul 8 pagi ini.

Bagaimanapun, kain rentang itu didapati telah diturunkan oleh anggota parti terbabit dengan kerjasama kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lama kemudian.

Satu kain rentang digantung dilihat tertera gambar Shuhaimi yang tertera dengan ungkapan;

"Dalam sejarah telah terbukti, apabila rakyat bangkit menentang raja, biarpun beribu tahun kebangkitan itu berlangsung akhirnya kebenaran akan menghenyak ketidakadilan. Rakyat akan menang dalam peperangan menentang ketidakadilan! Didoakan agar ia tidak berlaku di Selangor,".

Selain itu, satu lagi kain rentang digantung tertera ungkapan berbunyi; "Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah" selain tertera logo parti Pas, DAP dan PKR serta Biro Penerangan PKR Selangor.

Kedua-dua ungkapan itu dipercayai dipetik daripada laman blog ADUN tersebut dalam kritikan dan penentangannya terhadap pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang telah diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus ketika dihubungi menyifatkan tindakan menggantung kain rentang itu sebagai keterlaluan kerana ia seolah-olah mengajak rakyat untuk tidak menghormati institusi beraja di negeri ini.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan kain rentang itu digantung susulan rasa tidak puas hati terhadap perkenan Sultan Selangor melantik Mohammed Khusrin sebagai SUK sebelum ini.

''Sultan Selangor menerusi titahnya pada 6 Januari menyatakan pelantikan Mohammed Khusrin dibuat mengikut peraturan serta Perlembagaan Negeri dan Persekutuan.

''Malah Sultan Selangor turut menyatakan bahawa baginda tidak menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik dalam menjalankan tugasnya selaku ketua negeri termasuk pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK.

"Jadi kenapa perlu ada tindakan menggantung kain rentang seperti ini? Ini satu tindakan yang sudah cukup melampau dan tindakan tegas harus dikenakan ke atas mereka yang terbabit," katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dari Pas dalam sidang akhbarnya di sini menafikan pihaknya menggantung kain rentang yang didakwa menolak campur tangan Sultan Selangor dalam pentadbiran negeri.

Menurut Khalid, beliau menafikan kain rentang berkenaan termasuk yang turut digantung di Seksyen 9 dan 13 dikeluarkan oleh Pas, PKR dan DAP negeri ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan Ketua AMK Puchong, P. Saravenan dan Ketua AMK Klang, Mat Irwan Mat Ismail membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berhubung perkara itu kira-kira pukul 2 petang ini.

Mereka mendakwa tidak pernah mengeluarkan arahan mencetak dan menggantungkan kain rentang tersebut sebelum ia dikesan awal pagi ini.

/hwa: utusan.com.my/

Enggan sertai politik bengkel diroboh?

UM - 12/1/11


ANGGOTA penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang meroboh sebuah bengkel membaiki motosikal yang didakwa tidak mendapat kelulusan MPPP di Jalan Jelutong, semalam.

PULAU PINANG 11 Jan. - Gara-gara menolak pelawaan menyertai parti pembangkang beberapa bulan lalu, seorang pemuda terpaksa menanggung kerugian apabila bengkel motosikal miliknya di Jalan Jelutong di sini dirobohkan kerana dipercayai melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Itu dakwaan Mohd. Yaacob Mohd. Noor, 22, yang kerugian kira-kira RM150,000 akibat tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

"Saya pernah didatangi oleh seorang pemimpin parti politik, yang meminta saya membawa pekerja-pekerja dan rakan lain bagi menyertai parti itu.

"Malah saya juga ditawarkan jawatan sekiranya berjaya berbuat demikian.

"Namun, saya menolak dengan baik kerana tidak berminat untuk menceburi bidang politik," katanya.

Beliau ditemui selepas operasi perobohan bengkelnya oleh kakitangan MPPP di sini hari ini.

Kerja-kerja perobohan tersebut bermula pukul 10.05 pagi dan selesai sejam kemudian.

Mohd. Yaacob mendakwa, dia dipelawa menyertai parti politik sebanyak tiga kali oleh pemimpin berkenaan.

"Kali terakhir, saya jumpa pemimpin itu adalah Disember lalu.

"Dia kata 'takpa' pada pertemuan akhir itu seolah-olah memberi amaran," katanya.

Difahamkan, Mohd. Yaacob tidak pernah menghantar pelan bangunan kepada MPPP selain mendirikan bengkel di atas tanah milik orang lain.

Bagaimanapun, dia mendakwa mendapat kebenaran bertulis daripada tuan tanah untuk mendirikan bengkel di situ.

Malah, Mohd. Yaacob mempersoalkan tindakan MPPP tersebut kerana dia mempunyai lesen berniaga yang sah.

Sebelum ini, jelasnya, dia ada menerima surat amaran daripada MPPP tetapi ia berkaitan sekatan dalam parit.

Bertindak daripada amaran itu, dia membersihkan parit tersebut dan kawasan berkenaan tidak pernah berlaku banjir dalam tempoh dua tahun bengkelnya beroperasi.

"Lagi pun kedai saya tidak menghalang lalu lintas seperti mana premis-premis makanan di bandar, tetapi tindakan tetap juga diambil.

"Saya akan membuat laporan polis dan ingin mengucapkan 'terima kasih' kepada kerajaan DAP Pulau Pinang atas apa yang berlaku hari ini," katanya kesal.

/hwa: utusan.com.my/

Bazir sumber kewangan negara

Bernama - 12/1/11

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Ahli-ahli ekonomi tidak bersetuju dengan cadangan Pelan 100 Hari pembangkang, dengan menyatakan ia akan membawa kesan serius ke atas ekonomi Malaysia, membazirkan sumber-sumber kewangan berharga dan tidak dapat dielak akan menjerumuskan negara ke dalam krisis kewangan seperti Greek sekiranya dilaksanakan.

Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng berkata, walaupun pelan itu kelihatan menumpukan kepada menambah baik tadbir urus dan pembaharuan institusi, langkah-langkah ekonomi yang dicadangkan itu adalah sedikit demi sedikit.

"Ia tidak mempunyai kejelasan, kekuatan dan ciri-ciri menyeluruh Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan," katanya di sini, hari ini.

Menurut pakatan pembangkang, antara cadangan dan jumlah yang boleh dijimatkan ialah subsidi bahan api bagi golongan berpendapatan rendah yang menelan kos RM4 bilion setiap tahun, subsidi petroleum cair pada kos setahun RM4 bilion dan penyusunan semula sistem tol di bawah PLUS Expressways Bhd., yang dijangka membabitkan kos RM23 bilion.

Juga dilaporkan bahawa RM19 bilion yang diperlukan bagi menjayakan pelan tersebut akan didapatkan daripada subsidi yang diberikan kepada penjana kuasa bebas oleh Petroliam Nasional Bhd.

Pelan pembaharuan itu diumumkan di konvensyen kebangsaan Pakatan di Pulau Pinang, Disember lepas.

Yeah berkata, cabaran bukan dalam menangani isu-isu terpilih tetapi melaksanakan keseluruhan pengurusan kewangan dan makroekonomi yang berhemat.

Beliau berkata, kerajaan yang efektif perlu membuat tolak ansur yang perlu antara kesusahan jangka pendek dan kesenangan jangka panjang manakala sebaliknya dalam sesetengah kes meraih keuntungan jangka pendek menanggung kesusahan jangka panjang.

"Jika sistem subsidi negara tidak disusun semula tetapi dinaikkan lagi ditambah dengan pengambilalihan lebih banyak aset yang diswastakan tanpa bimbang tentang kewangan kerajaan, perbelanjaan kerajaan yang tidak terkawal akan kelaknya membawa kepada tragedi Greek," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengkritik cadangan pelan itu semalam sebagai janji-janji kosong dan memberi amaran Malaysia akan menjadi seperti Greek dalam masa dua tahun, sekiranya pelan itu dilaksanakan.

Menjelas selanjutnya, Yeah berkata, cadangan seperti menghapuskan sistem tol secara asasnya memindahkan beban kewangan yang besar kepada Khazanah National Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dijangka menggugat keupayaan KWSP untuk menjana dividen mencukupi kepada simpanan persaraan pencarumnya.

"Kesudahannya, masalah akan berakhir di tangan kerajaan dan selepas itu dilepaskan kepada pembayar cukai dalam bentuk cukai yang tinggi," katanya.

Bagi cadangan meningkatkan pembayaran royalti minyak, beliau berkata, ia memerlukan pengurangan yang sama dalam perbelanjaan persekutuan atau meningkatkan pendapatan daripada sumber-sumber lain, yang mana kerajaan perlu mengambil jalan keluar dengan membuat pinjaman yang tinggi.

"Pembayaran tunai sekali kepada kakitangan kerajaan boleh meningkatkan moral buat sementara waktu tetapi melibatkan pengorbanan sekiranya ia mengurangkan peruntukan bagi aktiviti lebih produktif lain seperti program penjagaan kesihatan, kemudahan luar bandar dan pembasmian kemiskinan," katanya semasa mengulas mengenai cadangan elaun mengajar RM500 setiap bulan kepada guru.

Datuk Salleh Majid, bekas presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (sekarang dikenali sebagai Bursa Malaysia) berkata, sesiapa sahaja boleh berjanji tetapi untuk melaksanakannya bukan mudah kerana harga barangan seperti harga minyak mentah dan komoditi selalunya di luar kawalan kerajaan dan sumber kewangannya terhad. - Bernama

/hwa: utusan.com.my/

Ummi saman Anwar, Wan Azizah, Karpal, Pas RM700 juta

UM - 12/1/11




KUALA LUMPUR 11 Jan. – Ummi Hafilda Ali (gambar) akan memfailkan saman berjumlah RM700 juta terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; peguam Karpal Singh dan Pas, Khamis ini.

Menurut Ummi Hafilda, saman terhadap Anwar berjumlah RM300 juta dibuat atas dakwaan salah guna kuasa selaku Timbalan Perdana Menteri pada 1997 yang mengarahkan dia ditangkap dan didera bagi mendapatkan pengakuan palsu.

Beliau memberitahu, saman ke atas Karpal pula berjumlah RM200 juta kerana melanggar kepercayaannya selaku anak guam selepas beliau dan bekas pemandu Anwar, Azizan Abu Bakar bertemu Karpal pada tahun yang sama untuk mendedahkan perilaku buruk Anwar.

“Beliau (Karpal) gembira dengan pendedahan itu dan mendesak di Parlimen agar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil tindakan. Tetapi apabila tindakan diambil, beliau pusing 360 darjah untuk membela Anwar pula sehingga saya menjadi mangsa keadaan.

“Saya ambil tindakan saman ini setelah hilang sabar dengan Anwar dan konco-konconya yang kian angkuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ummi Hafilda menambah, saman RM100 juta pula dibuatnya terhadap Dr. Wan Azizah kerana Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tahu apa yang berlaku tetapi tidak mahu mendedahkan kebenaran menyebabkan dia difitnah terlibat dengan konspirasi yang menjatuhkan imejnya.

Katanya, Pas pula disaman RM100 juta kerana mereka pernah menghantar Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu bertemunya juga pada 1997 untuk mendapatkan cerita sebenar.

“Apabila sudah tahu segalanya, beliau merupakan orang pertama menggelar Anwar sebagai peliwat di Parlimen. Alih-alih, setelah segalanya terbongkar, Pas dan Mohamad Sabu sokong Anwar pula,” tegasnya.

Ditanya mengapa baru sekarang tindakan saman itu dibuat, beliau memberitahu, selama ini masih terdapat pertimbangan dalam dirinya berhubung penglibatan darah daging sendiri, Azmin Ali dengan PKR.

“Emak saya juga menasihatkan supaya bersabar dan menyerahkan kepada Tuhan selain sentiasa mendoakan agar Azmin bertaubat.

“Tetapi setelah Azmin dan PKR kian melampau termasuk mahu menghapuskan ketuanan Melayu, saya rasa cukuplah. Apa hendak jadi, jadilah. Saya mengisytiharkan mereka sebagai musuh dan perlu ditentang habis-habisan,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

1 Januari 2011

LIMPAHAN cahaya bunga api menerangi bandar raya Kuala Lumpur ketika sambutan ambang tahun baru 2011 di sekitar Kuala Lumpur, 1 Jan. Orang ramai mengambil peluang meraikan malam ambang tahun baru dengan menyaksikan pertunjukan bunga api dan persembahan artis tempatan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur. - Utusan/ABDUL RAZAK LATIF

Selamat Tahun Baru 2011

SEBAHAGIAN daripada ribuan warga kota yang membanjiri Dataran Merdeka bagi menantikan detik-detik tahun baru 2011, pada majlis sambutan Ambang 2011, di Kuala Lumpur, 31 Dis. - Utusan/ISMAIL KAMADIN

'Corak masa depan lebih baik'

Bernama - 1/1/11


NAJIB TUN RAZAK Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru seluruh masyarakat Malaysia untuk menunaikan tanggungjawab bagi mencorakkan masa depan yang lebih baik demi generasi akan datang, serta meletakkan negara di kedudukan yang sepatutnya.

Najib dalam perutusan Tahun Baru 2011 berkata, tanpa sokongan dan kerjasama rakyat, segala yang dirancang dan mahu dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan menemui kejayaan.

"Janganlah kita hanya berpuas hati dan hanya berpeluk tubuh menjadi pengkritik di tepian. Marilah kita corakkan masa depan generasi hari muka kepada yang lebih baik daripada hari ini.

"Kuasa membentuk adalah di tangan rakyat. Tunaikanlah tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya," katanya.

Najib juga mengingatkan generasi kini supaya tidak memperdagang atau mempertaruhkan nasib generasi akan datang dengan membuat keputusan yang salah.

"Ini bukanlah masa untuk bereksperimen tetapi waktu untuk memperbaharui kepercayaan dan mengukuhkan keyakinan kepada apa yang telah terbukti berkesan," katanya.

Kata Najib, dalam menguruskan negara, terutamanya ehwal ekonomi, kerajaan sentiasa mengamalkan sikap penuh kebertanggungjawaban.

"Sebagai kerajaan yang begitu prihatin dalam meresapi nadi dan naluri rakyat, kita tidak akan sekali-kali membelakangkan kepentingan orang ramai dengan menjanjikan sesuatu atau mengambil sebarang keputusan yang pada mata kasarnya popular namun hakikatnya bersifat amat menjejaskan kemudian hari terhadap kepentingan semua," katanya.

Perdana Menteri berkata, sememangnya mana-mana kerajaan yang menggubal atau menjanjikan dasar-dasar sekadar bersifat popular tetapi tidak bertanggungjawab mungkin akan mendapat pengiktirafan atau sanjungan jangka pendek tetapi untuk tempoh masa panjang, rakyat yang sebenarnya akan menderita.

"Mengambil iktibar daripada kekhilafan-kekhilafan sekeliling, sepanjang 2010, kita telah merancang asas-asas yang kukuh bagi menentukan keseluruhan potensi dan sumber negara mampu dirangsang serta diaturgerakkan ke arah tercapainya wawasan kebangsaan," katanya.

Antara yang diperkenalkan termasuk pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) bersama enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan 12 NKEAnya, sebagai teras kepada Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia ke-10 dan Bajet 2011 - yang merupakan peta laluan komprehensif untuk mengangkat taraf dan mutu hidup lebih tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Sejak sekian lama, kerajaan yang diberi mandat telah mentadbir dan berusaha dengan ikhlas untuk memberikan yang terbaik kepada keperluan rakyat serta kemajuan negara.

"Sayangnya terdapat pihak-pihak yang menangguk di air keruh dengan sewenang-sewenangnya menuduh bahawa kerajaan hanya berminat terhadap projek-projek tertentu terutamanya yang berbentuk mega. Sesungguhnya lemparan kata-kata itu tidak benar sama sekali," tegasnya.

Sinis menepis kritikan beberapa pihak, khususnya pembangkang, mengenai pembinaan beberapa projek seperti pembinaan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Menara Berkembar Petronas dan Jabatan Pulau Pinang, Najib berkata, pihak yang sama kini tersipu-sipu malu dan terkesima untuk mengakui kesilapan mereka kerana terbukti projek-projek yang dilaksanakan kerajaan itu telah memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

"Persoalannya jika pendapat mereka terbukti salah dalam perkara yang sebegitu besar, bagaimanakah mungkin rakyat boleh mempercayai lagi sebarang janji mereka?

"Apatah lagi baru-baru ini janji 100 hari mereka yang hanya akan menambahkan lagi perbelanjaan tanpa mengambil kira realiti pendapatan serta punca kewangan negara," soal Perdana Menteri.

Berharap rakyat Malaysia mampu melihat dan menilai "yang mana kaca, yang mana permata", Najib menegaskan bahawa kerajaan sejak dahulu telah memberi perhatian kepada matlamat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Ini kerana katanya lonjakan kekayaan negara akan membolehkan peningkatan untuk perbelanjaan dan terlaksananya keadilan sosial.

"Ia berkadar terus, ertinya, semakin meningkat pendapatan kerajaan, maka semakin meningkat perbelanjaan untuk kesejahteraan rakyat," katanya yang menyeru seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk menyahut seruan untuk menuju ke puncak kejayaan. - BERNAMA.

/hwa: utusan.com.my/

Sumbang terbaik buat tanah air - Muhyiddin

Bernama - 1/1/11

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa rakyat Malaysia agar terus mengamalkan perpaduan, sikap hormat- menghormati sesama sendiri dan mengukuhkan kerjasama bersesuaian dengan semangat 1Malaysia.

"Kita harus berbangga kerana keistimewaan Malaysia yang berupaya mengekalkan serta mengukuhkan kemerdekaan dan keharmonian di kalangan penduduk pelbagai agama, bangsa dan budaya.

"Sementelahan kita melangkah ke dekad baru 2011, saya berharap kita akan terus menjaga keamanan yang kita nikmati selama ini. Saya percaya semua rakyat Malaysia tahu bahawa kestabilan politik negara ini telah memungkinkan kita merasai kemewahan dan kekayaan di bumi bertuah ini.

Oleh itu, kekalkanlah ia," katanya dalam perutusan Tahun Baru 2011 di sini.

Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program untuk kemajuan negara.

"Teruskanlah usaha agar impian kita untuk mencapai taraf negara maju pada 2020 menjadi nyata. Marilah kita bersama-sama menuju 2011 dengan tekad menyumbang yang terbaik untuk tanah air kita, Malaysia," katanya. - BERNAMA

/hwa: utusan.com.my/

Pembangkang main isu perkauman untuk raih undi

UM - 1/1/11

LABIS 31 Dis. - MCA menjangkakan pakatan pembangkang akan memainkan isu perkauman bagi memecah undi dan meraih sokongan masyarakat Cina dan India pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari depan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek percaya perkara tersebut akan ditimbulkan DAP terutama isu pendidikan iaitu kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengambil berat mengenai masyarakat Cina dan India.

Menurutnya, walaupun DUN Tenang dianggap kubu Barisan Nasional (BN) dan MCA, pihaknya tidak menganggap sokongan undi akan diperoleh secara automatik dan usaha berterusan akan dilakukan bagi mendapatkan sokongan masyarakat.

"Kita akan adakan sesi ceramah dan lawatan dari rumah ke rumah serta majlis perjumpaan, bukannya secara besar-besaran tetapi di kawasan yang ditetapkan.

"Kita mahu supaya mesej dapat sampai kepada pengundi secara berkesan tanpa perlu diheboh-hebohkan," katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Labis yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong serta Timbalan Pengerusi MCA Johor, Tan Kok Hong.

Menurut Soi Lek yang juga Pengerusi MCA negeri, jentera parti bagi pilihan raya kecil itu sudah digerakkan beberapa hari lalu dengan Tee Yong dilantik sebagai ketua dan Kok Hong sebagai ketua penyelaras.

Katanya, dalam tempoh lima bulan lalu, MCA Johor berjaya mendaftarkan kira-kira 15,000 pengundi baru dan antara 500 hingga 600 pengundi berkenaan adalah dari kawasan DUN Tenang.

Berhubung desas-desus ada pihak mahu menghadiahkan plat kenderaan 'MCA 1' kepadanya, Soi Lek memberitahu, beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu dan tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak mengenainya.

/hwa: utusan.com.my/

Pembangkang main isu perkauman untuk raih undi

UM - 1/1/11

LABIS 31 Dis. - MCA menjangkakan pakatan pembangkang akan memainkan isu perkauman bagi memecah undi dan meraih sokongan masyarakat Cina dan India pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari depan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek percaya perkara tersebut akan ditimbulkan DAP terutama isu pendidikan iaitu kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengambil berat mengenai masyarakat Cina dan India.

Menurutnya, walaupun DUN Tenang dianggap kubu Barisan Nasional (BN) dan MCA, pihaknya tidak menganggap sokongan undi akan diperoleh secara automatik dan usaha berterusan akan dilakukan bagi mendapatkan sokongan masyarakat.

"Kita akan adakan sesi ceramah dan lawatan dari rumah ke rumah serta majlis perjumpaan, bukannya secara besar-besaran tetapi di kawasan yang ditetapkan.

"Kita mahu supaya mesej dapat sampai kepada pengundi secara berkesan tanpa perlu diheboh-hebohkan," katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Labis yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong serta Timbalan Pengerusi MCA Johor, Tan Kok Hong.

Menurut Soi Lek yang juga Pengerusi MCA negeri, jentera parti bagi pilihan raya kecil itu sudah digerakkan beberapa hari lalu dengan Tee Yong dilantik sebagai ketua dan Kok Hong sebagai ketua penyelaras.

Katanya, dalam tempoh lima bulan lalu, MCA Johor berjaya mendaftarkan kira-kira 15,000 pengundi baru dan antara 500 hingga 600 pengundi berkenaan adalah dari kawasan DUN Tenang.

Berhubung desas-desus ada pihak mahu menghadiahkan plat kenderaan 'MCA 1' kepadanya, Soi Lek memberitahu, beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu dan tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak mengenainya.

/hwa: utusan.com.my/

Berkempen di Tenang, Pas langgar larangan SPR

UM - 1/1/11


NUR Jazlan Mohamed (duduk, dua dari kanan) pada pelancaran Bilik Biocas Terapi Taman Dewan Jaya, Tampoi, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 31 Dis. - Pas sudah mula berkempen di Tenang meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri melarang sebarang parti politik untuk berbuat demikian sehingga tarikh penamaan calon pada 22 Januari ini.

Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, parti pembangkang itu berbuat demikian kerana bimbang kawasan Tenang merupakan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Pas sudah mula turun berkempen kerana pengaruh parti pembangkang sudah semakin 'surut' selepas berlakunya tsunami politik pada 2008 yang momentumnya sudah tidak ada lagi.

"Mereka sekarang semakin kurang yakin walaupun pembangkang sendiri pernah menyatakan negara dilanda tsunami politik," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Bilik Biocas Terapi Taman Dewan Jaya, di sini, hari ini.

Rabu lalu, SPR Johor mengingatkan mana-mana parti politik supaya tidak berkempen sebelum tarikh penamaan calon dan tindakan akan dikenakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Menurut SPR, kempen hanya dibenarkan selepas hari penamaan calon sehingga pukul 12 tengah malam 29 Januari ini.

Hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pula ditetapkan 30 Januari ini dan pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Pejabat Majlis Daerah Labis.

PRK DUN Tenang diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis pada 17 Disember lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang dengan menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Nur Jazlan berkata, UMNO percaya dapat mempertahankan kerusi DUN Tenang kerana penduduk di daerah tersebut yakin dengan kepimpinan kerajaan sedia ada.

Beliau bagaimanapun menegaskan, walaupun UMNO bakal menang di kawasan itu tetapi BN tidak seharusnya leka atau selesa dengan keadaan tersebut.

/hwa: utusan.com.my/

Guna logo DAP: Abdul Khalid dicabar bertindak

UM - 1/1/11

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini dicabar supaya mengambil tindakan tegas terhadap sebuah restoran di Petaling Jaya dekat sini kerana menggunakan logo DAP pada papan tandanya.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukur Idrus berkata, sebagai sebuah kerajaan yang dikatakan telus dan adil, Abdul Khalid perlu mengarahkan papan tanda berkenaan diturunkan segera kerana jelas ia bermotifkan politik.

Beliau berkata, adalah tidak adil sekiranya Abdul Khalid membiarkan papan tanda tersebut tanpa sebarang tindakan tetapi dalam masa sama melarang penggunaan logo 1Malaysia di semua papan tanda, papan iklan, bunting dan kain rentang.

''Adakah ini yang dikatakan kerajaan yang adil? Penggunaan logo 1Malaysia tidak dibenarkan tetapi perbuatan sebuah restoran menggunakan lambang roket DAP dibenarkan pula. Mana lebih politik? 1Malaysia atau papan tanda roket (DAP).

''Oleh itu, saya cabar Abdul Khalid supaya turunkan segera papan tanda di restoran ini sekiranya kerajaan Selangor benar-benar bersikap adil,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam satu kejadian sebelum ini Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) telah mengarahkan sebuah premis serbaneka 24 jam di Banting menanggalkan logo 1Malaysia pada papan tanda perniagaannya.

Tindakan itu diambil ekoran penguatkuasaan larangan penggunaan logo 1Malaysia di papan iklan dan kain rentang yang telah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor.

Utusan Malaysia difahamkan penggunaan logo DAP di papan tanda restoran tersebut diluluskan oleh pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Ogos 2009.

Mengulas isu sama Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Megat Zulkarnain Omardin 'pelik' dengan pendirian kerajaan Selangor terhadap penggunaan logo 1Malaysia.

Beliau berkata, gagasan 1Malaysia seperti mana yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan untuk perpaduan dan bukannya disebabkan politik.

''Saya cukup tidak faham dengan kerajaan PKR Selangor. Mengapa mereka 'gerun' sangat dengan logo 1Malaysia namun pada masa sama membiarkan sebuah restoran di Petaling Jaya menggunakan logo DAP,'' katanya lagi.

Beliau berkata, rumusannya amat mudah iaitu PKR sebenarnya teramat takut dengan kuasa DAP.

''Di Selangor bukan PKR yang tadbir negeri tetapi DAP. Abdul Khalid itu hanya sebagai boneka sahaja dan saya percaya restoran ini tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun didesak beberapa kali,'' katanya lagi.

/hwa: utusan.com.my/

Pembangkang biadab, terus pertikai kuasa Sultan Selangor

UM - 1/1/11

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Seorang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak biadab apabila mempertikai kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi dengan mendakwa ia seperti tindakan 'beraja di mata, bersultan di hati'.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei juga dilihat mahu mengheret Sultan Sharafuddin ke dalam kancah politik apabila mendakwa, isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru sebagai tindakan pilih kasih institusi beraja terhadap pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

Sambil mempersoalkan pelantikan Mohammed Khusrin itu, Shuhaimi mendakwa, jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya ia kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Sultan Sharafuddin mesti bertindak mengikut nasihat majlis tersebut, bukannya berkecuali.

"Saya dapati pelantikan SUK sebagaimana diperuntukkan oleh Fasal 52 (1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959, hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan. Fasal tersebut tidak menyatakan perlunya untuk mendapat perkenan Sultan Selangor.

"Rakyat akan menolak sebarang tindakan 'beraja di mata, bersultan di hati' oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja," katanya dalam blognya http://srimuda.blogspot.com, hari ini.

Shuhaimi merupakan pemimpin pembangkang terbaru mempertikai Kuasa Budi Bicara Sultan Sharafuddin dalam isu pelantikan Mohammed Khusrin selepas Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad terlebih dahulu mempersoal pelantikan berkenaan.

Dalam pada itu, Shuhaimi seperti cuba memberi amaran kepada institusi beraja Selangor supaya tidak berterusan bertindak membelakangkan konvensyen Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana.

"Dalam sejarah telah terbukti, apabila rakyat bangkit menentang raja, biarpun beribu tahun kebangkitan itu berlangsung, akhirnya kebenaran akan menghenyak ketidakadilan. Rakyat akan menang dalam peperangan menentang ketidakadilan," katanya.

Sementera itu, wakil rakyat PKR itu juga seolah-olah cuba menyamakan ketegasan Sultan Sharafuddin yang tidak berganjak dengan keputusannya walaupun mendapat pelbagai kecaman daripada pihak pembangkang yang tidak berpuas hati dalam isu tersebut sebagai ego.

"Saya meneliti kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang menyatakan baginda seorang yang tegas dan tidak berganjak dari keputusan yang telah dibuat tetapi bagaimana sekiranya keputusan yang dibuat atau cara keputusan itu dibuat adalah salah?

"Adakah baginda masih tidak akan berganjak? Harapan saya supaya ketegasan tidak dikelirukan dengan ego," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

PM: Teruskan sokongan

UM - 31/12/10


SKUAD bola sepak negara menerima sambutan ‘wira negara’ sejurus tiba di KLIA, Sepang dari Jakarta, semalam.

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Pelbagai pihak menyatakan rasa bangga ekoran kejayaan skuad bola sepak kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF mengalahkan Indonesia kelmarin.

Ekoran kejayaan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat terus menyokong skuad bola sepak negara kerana pemain telah mempamerkan disiplin, kerja berpasukan dan kegigihan, sehingga muncul juara kejohanan tersebut.

Di Indonesia pula, media negara itu menasihati skuad mereka agar mengambil pengajaran daripada kejayaan Malaysia, dengan tajuk muka depan akhbar Kompas menyiarkan laporan Jangan Malu Untuk Belajar.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menghargai kejayaan tersebut juga memaklumkan bahawa pemain negara akan menerima ganjaran khas, yang akan diumumkan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah apabila baginda kembali dari luar negara, Isnin ini.

Pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal pula menyarankan anugerah khas diberikan kepada jurulatih K. Rajagobal atas jasanya menerajui skuad Harimau Malaya sehingga berjaya menjulang Piala Suzuki AFF yang diidamkan selama 14 tahun.

/hwa: utusan.com.my/

Gobalakrishnan diminta tarik balik

UM - 31/12/10

PETALING JAYA 30 Dis. - Beberapa pemimpin India Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini berhimpun di ibu pejabat parti itu di sini bagi menjawab segala dakwaan yang dilontarkan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan terhadap kepimpinan parti.

Mereka terdiri daripada Naib Presiden PKR yang baru, N. Surendran; Exco Selangor, Dr. Xavier Jeyakumar dan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam.

Menurut mereka, dakwaan Gobalakrishnan adalah tidak berasas termasuk tuduhannya bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminggirkan masyarakat India dan mengarahkan penutupan Kuil Sivan di Bukit Gasing di sini.

Surendran yang nyata kecewa dengan dakwaan berkenaan secara keras menuntut Gobalakrishnan agar menarik balik kenyataan tersebut serta-merta.

Menurutnya, jika Gobalakrishnan gagal berbuat demikian, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

"Dakwaan itu dipandang serius oleh kepimpinan parti dan ia adalah kenyataan yang tidak adil dan tidak benar sama sekali.

"Selain itu, kita juga menuntut beliau menarik balik kenyataan berkenaan yang berupa dakwaan salah terhadap Xavier berhubung isu kontrak komputer yang dihebahkan secara meluas di media baru-baru ini," katanya.

Jelas Surendran, pihaknya berharap agar Gobalakrishnan dapat menarik balik kenyataannya jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Sementara itu, Manikavasagam yang menjawab tuduhan berhubung penutupan Kuil Sivan berkata, Anwar tidak pernah mengarahkan agar kuil tersebut ditutup.

Ujar beliau, ia diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) atas faktor keselamatan berikutan berlakunya tanah runtuh di cerun berdekatan.

"Saya kecewa dengan kenyataan yang mengatakan Anwar mengarahkan kuil itu ditutup. Jika berlaku runtuhan dan terjadinya bencana, sudah tentu orang ramai akan menuding jari kepada kerajaan negeri.

"Jika beliau (Anwar) arah tutup, sudah tentu saya orang pertama yang akan bising. Sebenarnya, kita amat menitikberatkan keselamatan orang ramai," katanya.

Perkara itu turut disokong Xavier yang menyatakan bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani isu tersebut.

Mengenai pelantikan Surendran selaku Naib Presiden PKR, Manikavasagam secara berseloroh menyatakan bahawa beliau dan beberapa pemimpin India dalam parti tidak berhadapan dengan sebarang masalah kerana ia adalah keputusan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

"Saya yang bawa beliau masuk ke dalam PKR pada 2002. Apabila beliau dilantik sebagai Naib Presiden, saya terima dengan hati terbuka termasuk Xavier," tegasnya.

"Ini keputusan parti dan kita kena akur. Kita akan bekerja bersama dengan Surendran," tegasnya.

/hwa: utusan.com.my/

Henti perbuatan cemar kesucian rumah ibadat - Pak Lah

UM - 31/12/10

KEPALA BATAS 30 Dis. - Semua pihak diingatkan supaya menghentikan perbuatan menyentuh sensitiviti agama terutama membabitkan rumah-rumah ibadat kerana ia boleh mengundang polemik yang menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, walaupun rumah ibadat seperti masjid sepatutnya menjadi pusat kegiatan masyarakat, tidak bermakna ia boleh dilakukan dengan sesuka hati sehingga mengundang reaksi negatif.

Merujuk polemik membabitkan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang didakwa masuk ke pekarangan sebuah masjid dengan memakai baju ketat melakukan senamrobik baru-baru ini, Abdullah yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata, kontroversi itu sepatutnya boleh dielakkan.

''Apa juga hal-hal yang menyentuh soal agama termasuk kegiatan-kegiatan di rumah-rumah ibadat, kita perlu ada kefahaman dan bersikap ambil berat perkara-perkara yang boleh mengundang keadaan yang tidak baik.

''Kita mesti lebih sensitif dan sepatutnya tahu sama ada perbuatan itu akan mengundang reaksi-reaksi yang tidak baik atau sebaliknya, tolong berfikir dahulu sebelum membuat sesuatu," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada 328 pelajar di kawasan itu hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Hilmi Abdul Rashid dan Ketua Pemuda UMNO bahagian tersebut, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan mengenai polemik terbaru membabitkan Nie Ching yang didakwa masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor dengan memakai baju ketat melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid tersebut.

Nie Ching dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching memberitahu, acara senamrobik tersebut adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

Wakil rakyat DAP itu pernah mencetuskan kontroversi ekoran tindakannya masuk ke ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral untuk menyampaikan 'tazkirah' dan menyampaikan sumbangan moreh kepada surau tersebut.

Abdullah yang kesal dengan perkembangan itu berkata, apa juga aktiviti yang ingin dijalankan di kawasan masjid perlu dilakukan secara tertib bukannya secara sesuka hati.

''Jangan kita anggap ini sebagai satu kebiasaan, nak jalankan aktiviti sekali pun, fikirlah apa akan jadi dan jangan ikut suka hati kita saja. Kalau kita fikir secara mendalam mengenai apa yang kita cakap dan buat, isu-isu ini tidak akan timbul," tegasnya.

/hwa: utusan.com.my/

Ahli Parlimen Serdang gagal fahami sensitiviti Islam

UM - 31/12/10

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini dibidas kerana masih gagal memahami sensitiviti masyarakat Islam apabila sekali lagi mengundang kontroversi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebagai seorang pemimpin kepada sebilangan besar masyarakat Islam maka Nie Ching tidak sepatutnya berpakaian ketat ketika melakukan senamrobik di pekarangan masjid.

Katanya, Nie Ching perlu peka dengan sensitiviti umat Islam supaya menjadi seorang pemimpin yang boleh dicontohi oleh masyarakat.

''Tidak salah acara senamrobik dalam program Maal Hijrah itu tetapi cara berpakaian Nie Ching itu yang tidak sesuai dan tambahan pula pekarangan masjid masih lagi suci kepada umat Islam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Nie Ching daripada DAP yang memakai baju ketat ketika melakukan senamrobik di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong.

Malah Nie Ching dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching menyebut acara senamrobik itu adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

Jamil Khir berkata, perbuatan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan oleh Nie Ching kerana beliau bukannya orang biasa tetapi pemimpin masyarakat.

''Setiap pemimpin yang bukan beragama Islam mesti jelas mengenai sensitiviti umat Islam di negara ini,'' katanya.

Jamil Khir berkata, Nie Ching patut bersedia dengan pakaian menutup aurat kerana program yang beliau akan terlibat itu berkaitan sambutan tahun baru untuk umat Islam.

/hwa: utusan.com.my/

Tindakan melangkaui politik

UM - 31/12/10

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching melakukan senamrobik bersama jemaah masjid termasuk jemaah lelaki sempena Karnival Maal Hijrah di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong baru-baru ini adalah isu keselamatan negara.

Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, ia satu bentuk provokasi menimbulkan reaksi negatif terhadap Nie Ching, parti yang diwakilinya serta umat Islam yang menganjurkan acara tersebut secara sedar.

"Tindakan tersebut walaupun pastinya dilakukan dengan kerelaan jawatankuasa dan jemaah masjid namun ia merupakan tindakan yang melangkaui politik.

"Isu ini melibatkan keselamatan negara yang mesti ditangani segera mengikut undang-undang yang tegas dan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk senamrobik DAP cabar keselamatan negara dalam blognya http://kuda-kepang.blogspot.com/ hari ini.

Kata Ruhanie, tulisan ini tidak mencerminkan ekstremisme Islam namun sebaliknya mencerminkan kebimbangan terhadap tindak balas negatif yang boleh tercetus akibat tindakan tersebut.

Tambah beliau, ini jika wujud segelintir umat Islam yang hilang sabar dan terlalu marah terhadap perbuatan yang mengetepikan prinsip-prinsip asas sensitiviti keagamaan.

"Pihak berkuasa perlu segera menjadikan tindakan seperti ini satu agenda keselamatan dan bertindak membanteras perbuatan tersebut daripada berulang," ujarnya.

Menurutnya, tidak ada gunanya peristiwa tersebut dijadikan polemik kepartian kerana isu keselamatan negara di sesebuah negara majmuk seperti Malaysia mesti dibanteras menerusi ketegasan undang-undang.

/hwa: utusan.com.my/

Nie Ching cuba mencabar kesabaran umat Islam - Mat Yasir

UM - 31/12/10

SHAH ALAM 30 Dis. - Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (MGPSS) menyifatkan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching cuba mencabar kesabaran umat Islam apabila sekali lagi tidak menghormati adab ketika memasuki kawasan masjid.

Pengerusinya, Datuk Mat Yasir Ikhsan (gambar) berkata, tindakan Nie Ching daripada DAP itu sebenarnya tidak harus diulangi kerana sebelum ini Ahli Parlimen berkenaan pernah diberikan amaran dan peringatan agar menjaga etika serta adab memasuki masjid dan surau.

Katanya, tindakan wakil rakyat itu memakai pakaian tidak sopan ketika melakukan senamrobik di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong adalah jelas tidak menghormati sensitiviti serta rumah ibadat uma Islam itu.

"Kita berpendapat bahawa ahli Parlimen ini begitu berani mencabar sensitiviti umat Islam dengan berpakaian sedemikian ketika memasuki pekarangan masjid.

"Sepatutnya beliau sudah faham akan perkara ini kerana pernah diberikan peringatan apabila berpakaian tidak sopan ketika memasuki ruang solat di Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ogos lalu.

"Sebagai seorang wakil rakyat di Parlimen Serdang, Nie Ching harus faham bahawa beliau bukan hanya mewakili bukan Islam, tetapi juga orang Islam di kawasannya. Beliau harus tahu menjaga sensitiviti umat Islam dan adab berada di kawasan masjid dan surau," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nie Ching didakwa masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya dengan memakai baju ketat melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid tersebut sempena program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

Pada masa yang sama, Mat Yasir tidak menolak kemungkinan tindakan Nie Ching itu mungkin mempunyai agenda tertentu yang mahu menarik sokongan orang Melayu dan umat Islam di kawasan tersebut dengan menggunakan tempat ibadat berkenaan sebagai antara strategi politik mereka.

Malah katanya, strategi sedemikian juga mungkin dilakukan untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap masalah dalaman yang dihadapi oleh pakatan pembangkang termasuk pentadbiran negeri ini yang dilihat tidak mempunyai hala tuju.

"Maka kita selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat mengharapkan seluruh orang Melayu termasuk mereka yang berada di dalam UMNO, Pas dan PKR supaya melihat tindakan Nie Ching ini dan bermuhasabah diri," katanya.

"Apakah kita (orang Melayu) yang beragama Islam ini mahu membiarkan pelanggaran terhadap sensitiviti kita dan agama kita berleluasa. Soal ahli Parlimen ini tahu atau tidak akan adab bukan isunya kerana beliau telah diberikan peringatan dan amaran sebelum ini.

"Nampaknya, tindakan yang dilakukan oleh Nie Ching seolah-olah tidak ada lagi sikap toleransi apatah lagi menghormati adab dan agama kita," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tindakan saman Dr. Mahathir perbuatan bodoh

UM - 31/12/10

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyaman Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat komen berkaitan kegiatan liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, hanya bertujuan 'menggertak' bekas Perdana Menteri berkenaan.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, Anwar sebenarnya tersilap memilih orang untuk disaman kerana Dr. Mahathir yang telah berjaya memimpin Malaysia selama 22 tahun, bukan boleh digertak.

''Kalau Dr. Mahathir boleh digertak, Malaysia sudah pasti tidak maju seperti hari ini dan kepada Anwar bolehlah dia meneruskan tindakan saman ini yang merupakan satu perbuatan yang bodoh.

''Tindakan saman ini akan membolehkan lebih banyak pembohongan Anwar dapat didedahkan di dalam mahkamah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Anwar menghantar notis tuntutan pada Khamis lalu meminta Dr. Mahathir dan Utusan Malaysia menarik balik komen-komen yang didakwanya bersifat fitnah susulan pendedahan WikiLeaks berkaitan kegiatan liwatnya dan memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 14 hari jika tidak mahu disaman.

Laporan Utusan Malaysia memetik Dr. Mahathir sebagai berkata, beliau yakin Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengetahui mengenai pembabitan Anwar dalam aktiviti liwat itu tetapi ada parti politik yang buat tidak tahu.

WikiLeaks sebelum ini mendedahkan bahawa agensi perisikan Singapura mengesahkan bahawa Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat berdasarkan bukti daripada risikan teknikal yang dipercayai melalui kaedah memintas talian komunikasi negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Zahid menggesa Anwar supaya meminta penjelasan daripada peguam bela kesayangannya, Karpal Singh mengenai siapakah sumber yang memberitahu pihak Singapura mengenai kegiatan liwat itu.

''Semua orang tahu hubungan akrab antara DAP dan PAP yang memerintah Singapura. Pada 1997, Pengerusi DAP ini telah menyatakan beliau tahu perbuatan liwat berkenaan dan saya tidak menolak ada pemimpin parti ini yang membocorkan perkara berkenaan kepada rakan mereka di republik itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan kehairanan kerana Karpal yang kononnya dianggap sangat berprinsip sanggup menjadi peguam bela Anwar dalam kes liwatnya.

''Saya yakin ini dilakukan kerana DAP percaya mereka boleh memperkudakan Anwar bagi mencapai cita-cita politik parti berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Zahid turut mendesak pemimpin Pas supaya membaca kembali hansard (penyata rasmi) Dewan Rakyat pada 1997 yang mencatatkan kenyataan Karpal bahawa beliau mempunyai bukti dalam bentuk dokumen akuan bersumpah beberapa orang yang mendakwa diliwat oleh Anwar yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

''Mereka harus tahu pendirian Karpal yang jelas sekali berbeza sekarang berbanding pada 1997 dan saya harap mereka tidak sama-sama menjadi munafik," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Pas bimbang pembaharuan UMNO

Bernama - 31/12/10

KODIANG 30 Dis. - Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, pemimpin Pas melihat pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah disebabkan pengaruh ayahnya adalah kerana parti itu tiada isu dan bimbang dengan pembaharuan yang sedang berlaku dalam UMNO.

Beliau berkata, pelantikannya bukanlah isu sebenar tetapi pemimpin-pemimpin Pas lebih suka menyentuh isu peribadi.

"Saya tidak perlu hirau komen-komen mereka kerana yang lebih penting ialah perubahan dalam UMNO disenangi rakyat," kata Mukhriz semasa diminta mengulas kenyataan anggota Exco kerajaan Pas Kedah, Abdul Ghani Ahmad semalam, yang menganggap pelantikannya kerana beliau adalah anak Tun Dr. Mahathir, manakala Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar pula menyifatkan Mukhriz masih mentah.

Pengumuman pelantikan Mukhriz itu serta pelantikan Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah sebagai pengerusi baru UMNO Kedah berkuat kuasa 1 Januari ini, dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Isnin lepas.

Mukhriz, yang merupakan Anggota Parlimen Jerlun, ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan pendidikan peribadi kepada 1,500 murid Tahun Satu sekolah-sekolah dalam kawasan itu berkata, bahawa untuk mengaitkan beliau dengan bapanya adalah 'satu penghormatan'.

"Sekurang-kurangnya mereka mengiktiraf kerja baik bapa saya selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Sekarang saya pula menikmati kerja baik bapa saya yang mana saya jadikan dorongan untuk memenuhi impian beliau meletakkan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020," katanya.

Mukhriz berkata, wakil-wakil rakyat pembangkang sewajarnya membandingkan kerja atau hasil yang dicapai oleh parti mereka dan bukannya membandingkan beliau dengan bapanya.

"Mereka nampaknya lebih suka membuat kenyataan untuk mengaburkan pandangan rakyat sahaja kerana sedar terdapat perbezaan ketara pencapaian mereka dengan kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Mengenai perancangannya sebagai timbalan pengerusi yang baru, Mukhriz beliau akan memberi tumpuan untuk menarik golongan muda dan pengundi atas pagar supaya kembali menyokong UMNO dan BN.

"Formulanya mudah saja... kita buat kerja baik dan mereka iktiraf. Tugasnya ialah selesaikan masalah rakyat satu persatu dan berusaha tingkatkan taraf hidup mereka.

"Jika ini terlaksana, diharap hati mereka terbuka untuk menyokong kita pada pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya. - BERNAMA.

/hwa: utusan.com.my/

Perbuatan dianggap tidak bersopan

UM - 31/12/10

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching melakukan senamrobik di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya dekat sini dianggap tidak menghormati adab dan sopan di kawasan rumah Allah.

Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, aktiviti yang disertai peserta lelaki dan perempuan yang tidak diasingkan itu bukan sahaja tidak bersopan malah telah melanggar syariat Islam.

Menurutnya, sebagai bukan Islam, Nie Ching sepatutnya tidak berpakaian ketat kerana senamrobik itu diadakan di kawasan masjid.

"Aktiviti senamrobik yang tidak mengasingkan antara lelaki dan wanita itu seolah-olah menjadikan kawasan masjid sebagai "disko" yang mana peserta bebas berpakaian ketat dan menari mengikut muzik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nakhaie mengulas kejadian terbaru Nie Ching berada di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor dengan berpakaian ketat melakukan senamrobik bersama jemaah masjid itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu menerusi laman blognya, acara senamrobik itu adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

Nakhaie menambah, walaupun senamrobik itu dianggap riadah namun lelaki dan wanita perlu diasingkan dengan berpakaian sopan memandangkan acara itu diadakan di pekarangan masjid.

Ditanya apakah keadaan seumpama itu tidak dilarang oleh jawatankuasa masjid itu, Nakhaie berkata, jika mereka sudah menjadi fanatik kepada parti pembangkang, perbuatan 'zalim' atau maksiat juga dibolehkan.

"Keadaan ini seperti 'asabiah' yang bermaksud walaupun membuat kezaliman atau kesalahan tetapi masih disokong kerana kecenderungan kepada satu-satu pihak," ujarnya.

Nabi Muhammad SAW katanya, tidak menerima orang yang mengamalkan asabiah sebagai umatnya kerana sikap tersebut dilarang dalam Islam.

Sebaliknya kata beliau, sesuatu aktiviti yang disokong atas dasar kekitaan untuk perpaduan dan tidak melanggar hukum Islam tidak boleh dikaitkan dengan 'asabiah'.

/hwa: utusan.com.my/