Nasharudin Mat Isa (dua dari kanan)
bersama Najib Tun Razak dan Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza,
Ismail Haniyeh serta rombongan mengaminkan doa ketika melawat lokasi
kereta Ahmad Al-Jabari yang dibom Israel di Bandar Gaza, Selasa lalu. -
BERNAMA
*****
Lawatan Kemanusiaan Datuk Seri Najib Tun
Razak ke Gaza pada Selasa lalu telah mencatatkan sejarah sebagai Perdana
Menteri Malaysia yang pertama menjejak kaki di bumi Palestin.
Salah seorang yang anggota rombongan dalam lawatan tersebut ialah
Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia, NASHARUDIN MAT ISA. Dalam pertemuan
dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR di Kaherah, Mesir, pada
Khamis lalu, Nasharudin mengupas kejayaan lawatan berkenaan.
UTUSAN: Pada pandangan Yang Berhormat (YB), apakah hasil lawatan kemanusiaan Perdana Menteri ke Gaza?
NASHARUDIN: Saya mengikuti laporan media-media berbahasa Arab
berhubung lawatan Perdana Menteri itu, ternyata mereka memberikan
liputan yang cukup positif. Apa yang menarik satu tag line yang
digunakan oleh semua media ini ialah ia lawatan pertama seorang pemimpin
Islam yang bukan dalam kalangan negara Arab.
Mereka memuji keberanian Perdana Menteri untuk memasuki zon perang
bukan sahaja bagi melihat sendiri penderitaan rakyat Palestin di Gaza
tetapi juga menyampaikan sumbangan-sumbangan yang dilihat cukup
signifikan bagi golongan itu.
Pada pendapat saya, lawatan berkenaan telah memberikan imej yang
cukup baik kepada Malaysia dan di Kaherah sendiri, apabila kita sebut
sahaja nama Malaysia mereka memberikan penghargaan cukup tinggi.
Ini memandangkan Malaysia sentiasa dilihat sebagai model kepada Islam
berbentuk praktikal dalam dunia moden sekarang. Walaupun ada banyak
ruang yang boleh kita baiki dalam negara sendiri tetapi dalam konteks
Islam dan pembangunan, Islam dan kesederhanaan dan praktikal Islam,
Malaysia dilihat sebagai model.
Saya sebagai seorang Muslim dan rakyat Malaysia berbangga dengan
pengiktirafan ini, walaupun dalam masa yang sama banyak pembaharuan yang
mesti dan wajib kita lakukan.
Tetapi pergerakan Fatah tidak selesa dengan lawatan berkenaan?
Saya hairan dengan pendirian Fatah itu kerana Gaza adalah sebahagian
daripada Palestin tetapi hal-hal berkaitan dengan diplomatik saya serah
kepada kerajaan untuk menanganinya.
Bagaimanapun bagi saya, adalah menjadi hak Fatah untuk berasa tidak
puas hati tetapi Malaysia adalah sebuah negara berdaulat, mempunyai
integriti dan hak untuk menentukan hubungan antarabangsa.
Selain itu sebagai sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat,
Malaysia berhak untuk mengambil posisi dalam isu-isu tertentu, kita
tidak perlu terikat dengan tekanan, rasa kecil hati dan sebagainya, ini
urusan kita. Dalam urusan dalaman Palestin biarlah mereka selesaikan
sesama mereka.
Bagaimanakah YB melihat perkembangan mutakhir di Gaza?
Walaupun sebuah semenanjung kecil tetapi satu perkara hebat yang ada
pada diri mereka ialah jati diri rakyat Palestin di situ untuk melawan
arus tekanan khususnya dari Israel.
Walaupun menghadapi pelbagai kesulitan dan kekurangan untuk
membangunkan kawasan mereka, namun semangat dan jiwa untuk bangun lawan
dan mengekalkan jati diri cukup tinggi.
Oleh itu, kita melihat ada potensi untuk melihat Palestin menjadi
sebuah negara yang merdeka. Bagaimanapun apa yang perlu diberi penekanan
seperti terkandung dalam ucapan-ucapan Perdana Menteri di Gaza ialah
keperluan untuk menjayakan Pelan Perdamaian yang sedang dilakukan oleh
Fatah dan Hamas.
Dan sudah tentulah gerakan politik penting dalam konteks ini untuk
Palestin dapat terus membangun. Ia kerana suasana dan realiti politik
mereka tidak sama dengan kita. Politik mereka berdepan dengan musuh yang
sedemikian rupa, mereka menghadapi tekanan dari luar, mereka berdepan
dengan sekatan dan pelbagai lagi kesulitan.
Bagaimanapun di Gaza, kita lihat di sebalik tekanan itu, mereka
bukanlah satu bangsa yang hanya sekadar menagih simpati atau meminta
sedekah, tetapi mereka adalah bangsa yang berjuang melawan arus tersebut
dan sudah tentulah kita yang agak selesa di negara kita dan negara
Islam lain sepatutnya memberikan bantuan semaksimum yang boleh untuk
membantu mereka.
Sememangnya Malaysia ingin melihat Pelan Perdamaian melibatkan Fatah
dan Hamas berjaya, tetapi dalam masa yang sama kita lihat Fatah
mempunyai sikap iri hati, sebagai contoh bantahan mereka terhadap
lawatan Perdana Menteri ke Gaza, apa komen YB?
Pelan Perdamaian itu bukanlah satu perkara yang mudah hendak
dilaksanakan, ia sudah diuar-uarkan sekian lama, namun dalam tempoh
setahun kebelakangan ini, baru nampak ia bergerak lebih aktif. Sudah
tentulah ini akan mengambil masa sebab kedua-dua adalah entiti politik
yang besar.
Fatah yang mendominasi sebelah Tebing Barat sudah lama dalam persada
politik Palestin manakala Hamas mempunyai populariti tinggi bukan
sahaja di Gaza atau Palestin secara keseluruhannya tetapi sebuah gerakan
yang dilihat mendominasikan politik Asia Barat ketika ini.
Maknanya, kedua-dua pihak ini yang memiliki kehebatan masing-masing
harus duduk berbincang. Baru-baru ini, mereka sudah berbuat demikian di
sini (Kaherah) dan saya percaya ia akan mendatangkan hasil.
Bagaimanapun sudah tentulah perkara yang sebesar ini tidak boleh
diselesaikan dalam bentuk singkat dan ringkas. Insya-Allah kita
mendoakan agar Pelan Perdamaian ini berjaya demi rakyat Palestin,
keamanan di Asia Barat dan demi kemerdekaan Palestin.
Pilihan raya umum Israel yang berlangsung pada Selasa lalu dibimbangi
akan menyebabkan wujudnya dasar lebih tegas terhadap Palestin, apakah
ia akan berlaku?
Saya berpendapat pilihan raya berkenaan tidak akan memberi banyak
kesan kepada Palestin. Ini memandangkan agenda pemerintah Israel
mempunyai kaitan dengan agenda rejim Zionis iaitu mewujudkan apa yang
dipanggil Tanah yang dijanjikan, umat terpilih dan matlamat menjadikan
Al-Quds sebagai ibu kota mereka.
Justeru agenda mereka ini adalah agenda yang besar, oleh itu dalam
soal perkembangan politik sama ada berganti atau tidak sesuatu rejim
dalam memerintah Israel, ia ibarat pertukaran pemandu sahaja.
Tetapi kenderaan atau matlamat dan agenda masih sama, oleh itu
apabila ada hadis Rasulullah SAW menyebut, tidak akan berlaku kiamat
melainkan berlaku peperangan antara Islam dan Yahudi, maka kita perlu
mengambil kira pertembungan antara Palestin dan Israel.
Bagi saya, Palestin tidak boleh rukuk dan sujud dengan tekanan
Israel. Saya percaya Hamas memiliki kelebihan menentang rejim tersebut
dan ia akan menjadi bertambah kuat apabila mereka bergabung dengan
pergerakan Fatah.
Dalam usaha menggabungkan kekuatan kedua-dua pergerakan itu, Perdana
Menteri mahu mereka berpegang kepada konsep Satu Ummah, apa komen YB?
Apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri itu bukanlah satu konsep
baru tetapi konsep yang sudah dinyatakan di dalam al-Quran iaitu kamu
adalah umat yang satu.
Jadi bagi menggerakkan konsep Satu Ummah ini, saya berpendapat
Malaysia boleh memainkan peranan dan tawaran Perdana Menteri bahawa
Malaysia bersedia memberikan sumbangan bagi menjadikan Pelan Perdamaian
melibatkan kedua-dua pergerakan itu cukup ikhlas dan bermakna. Kita
sudah berjaya di selatan Filipina dan saya tahu Malaysia juga telah
berjaya dalam beberapa usaha dalam isu-isu melibatkan umat Islam
khasnya.
Oleh itu, apabila Najib menyebut konsep Satu Ummah di Gaza, saya
berharap apa yang dilontarkan oleh Perdana Menteri itu dapat diambil
oleh Hamas dan Fatah untuk bergerak ke depan. Ia kerana isu Palestin
adalah isu yang bukan hanya sekadar percaturan politik tetapi melibatkan
agama, akidah dan kiblat umat Islam (Masjid Al-Aqsa) yang pertama.