3 Disember 2012

Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional

TEKS UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK sempena Perhimpunan Agung UMNO kali ke-63 tahun 2012 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 29 November 2012 (Khamis).
Alhamdulillah dibalut rasa tawaduk dan rasa rendah diri, sekali lagi kita berhimpun untuk menunaikan tanggungjawab lazim sebagai sebuah organisasi bagi mengadakan mesyuarat agung tahunan parti tercinta yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.
Sesungguhnya perhimpunan sebegini bukanlah semata-mata acara ritual dalam memenuhi tuntutan takwim organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam terbaik melaksanakan proses muhasabah dan islah demi memperbetulkan kelemahan, memperkejab jentera parti, membugarkan hala tuju pertubuhan, seterusnya memastikan kelangsungan jemaah.
Seperti semua maklum, ini merupakan perhimpunan agung terakhir sebelum Pilihan Raya Umum yang ke-13. Jadinya, Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan kalaupun tidak dibubar oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri, ia akan terusai juga dengan sendirinya, tanggal 28 April 2013.
Oleh itu, setiap seorang daripada kita, tidak kira saudara dan saudari yang berada di bawah, tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi ruang di atas, apatah lagi para pimpinan di sini, dan pastinya, sekian ramai ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang tidak bernama, walau yang tidak berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun yang tidak pernah menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya sedang berasakan betapa kencang tiupan ke medan juang.
Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa, jentera parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke peringkat kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan.
Kini, semboyan sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah, tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda. Dengan mendokong peranan masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat, demi memperbaharui mandat.
Serentak itu, saudara dan saudari, marilah kita mengangkat sebanyak-banyak doa, bahawa dengan izin Allah jua, apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, insya-Allah, kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah, untuk mengurus kepentingan negara, memakmur ekonomi dan mensejahtera rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.
Malah, lebih jauh dari itu, moga-moga dengan izin Yang Maha Berkuasa juga, kita kekal menjadi parti pemerintah yang akan menjulang darjat Malaysia, sebagai negara maju apabila menyinsingnya fajar 2020 kelak.
Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu. Beringatlah, Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008 merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik UMNO dan Barisan Nasional.
Sehubungan itu pada hemah saya, ombak serta rintangan yang membadai, selama bertahun-tahun ini, sewajarnya telah benar-benar menghimpunkan bibit-bibit kesedaran di sanubari semua.
Seharusnya lagi, bagi sebuah parti politik yang menunjang Kerajaan Persekutuan lebih separuh abad lalu, episod hitam itu sepatutnya memahatkan iktibar kepada kita semua. Malah ia merupakan isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan rakyat.
Apa yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha. Hanya sanya, melalui cara itu sajalah parti UMNO akan terus diperhati, sentiasa diperhitung dan selamanya dipeduli oleh rakyat.
Justeru, dalam tempoh kurang empat tahun semenjak saya dan rakan-rakan diamanahkan kepimpinan parti dan kerajaan, kita telah tidak jemu-jemu bekerja keras untuk memenuhi kehendak dan keperluan ramai.
Sekalipun dihadap dengan pelbagai kesulitan dan cabaran, kita cekal berusaha untuk memulihkan kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan sokongan rakyat kepada parti dan kerajaan.
Sesungguhnya juga, apa yang diupayakan beberapa waktu ini, mana mungkin dilakukan secara enteng atau semena-mena, sebaliknya ia telah melalui proses rundingan dan mendengar secara meluas. Bersesuaian prinsip bahawa, era kerajaan mengetahui segalanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.
Lantas, menghitung perjalanan kepimpinan ini, kita sebenarnya telah menempa keberhasilan yang sungguh membanggakan. Antaranya, kita berjaya melindungi Malaysia daripada krisis ekonomi global, meletakkannya kembali ke landasan pertumbuhan mapan serta mengeluarkan kita daripada perangkap negara berpendapatan sederhana. Di samping itu, kita memetakan pula secara teliti dan terperinci perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
REALITI BAHARU LANDSKAP POLITIK NEGARA
Sekiranya kemenangan kita impikan, seandainya kelangsungan kita dambakan, sebagai sebuah pertubuhan siasah, sebelum terus mengatur gerak, sejenak perlu menoleh ke belakang, supaya dapat mengetahui letak duduk sebenarnya keadaan parti kita. Adakah lebih baik daripada semalam? Cukupkah pula persediaan untuk menghadapi hari-hari mendatang?
Pastinya, dalam meniti garis-garis besar perjuangan, langkah-langkah konkrit ke hadapan mestilah penuh berhemah dan berhikmah, ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat, bukan dengan helah, menabur janji-janji kosong, tipu daya atau fatamorgana. Barulah segala ikhtiar mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi.
Berdiri atas kesedaran dan semangat itu, mari kita tinjau hakikat demografik Malaysia yang telah berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir tujuh puluh peratus tinggal di kawasan bandar. Empat puluh peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah.
Lapan puluh peratus pula, merupakan mereka yang berumur kurang 45 tahun manakala separuh daripada rakyat kita berusia di bawah 25.
Satu faktor penting lagi, transformasi pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak berlaku dalam tempoh sehari dua, tetapi telah berlangsung secara berdikit semenjak lebih lima dekad. Ia digerakkan oleh kejayaan dasar-dasar serta program hasil prakarsa Kerajaan Perikatan dan kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Barisan Nasional.
Hakikatnya, peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan telah merubah keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia. Cita rasa dan jangkaan mereka terutamanya golongan muda telah bertukar dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata pengundi kini sifatnya lebih bermaklumat serta kritikal.
Selain itu, fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih.
Angka ini, sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti ialah pengundi baru atau pengundi yang pertama kali.
CABARAN UMNO
Sepanjang berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi boleh berasa lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta kerajaan pada hari-hari kelmarin.
Mendakap cabaran kini, Pilihan Raya Umum Ke-13 menghadapkan kita dengan satu pilihan, iaitu sama ada kita sebagai individu dan secara kolektif mahukan kemenangan untuk parti atau sebaliknya.
Serentak itu, bercakap tentang sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, kerajaan dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik yang memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat. Ertinya, kemenangan majoriti daripada 222 kerusi yang dipertandingkan adalah penentu kesinambungan kerajaan Barisan Nasional.
Walau bagaimanapun, kemenangan dalam pilihan raya sebenarnya bergantung kepada banyak faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon yang dipertandingkan. Selain itu, realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon tempatan parti.
Kata orang, dulu lain, sekarang dah lain. Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu. Maknanya di sini, kejayaan calon dalam pilihan raya kontemporari ini bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak diwakili.
Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah sebetulnya para pengundi.
Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam, sebaliknya ia berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.
Kesimpulannya di sini, kemenangan dalam perjuangan pada analisis akhirnya adalah hasil usaha bersama-sama semua rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda dan tua, lelaki dan wanita, warga bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan putih, sektor awam, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat seramai. Ringkasnya, setiap daripada kita berperanan dan bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk Malaysia.
Atas segalanya, rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihan raya.
Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur akar, pasti tidak akan hilang bisanya.
Bersuluhkan jamung perjuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti cekal bekerja keras, kita mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa kitalah pilihan kepimpinan yang utama, bahawa kitalah yang mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada mereka dan anak-anak cucu mereka.
Apa yang dapat saya katakan, ikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat. Berpeganglah kepada kata-kata para ulama dan pujangga, bahawa yang baik akan akhirnya tertampak, yang buruk itu, hujungnya kelak, pasti terpandang jua.
Pada kesempatan ini, renungkanlah sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai iktibar parti. Kita telah membaca bagaimana dalam Perang Badar, tentera Islam yang serba kekurangan telah berjaya menewaskan musuh yang jauh lebih besar bilangan serta lebih lengkap peralatannya.
Manakala peristiwa Uhud, walaupun kekuatan tentera Islam dan musuh lebih setara, tentera Islam mengalami kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan semasa Uhud berpunca daripada kelemahan rantaian kawalan dan pemerintahan pasukan serta kelalaian mentaati arahan oleh para pemanah berbanding ketika pertempuran Badar.
Di sini, pengajaran yang dapat kita ambil daripada sepotong rentetan sirah tersebut, ialah tentang pentingnya disiplin organisasi dalam sesebuah parti. Implikasi apabila tiada kepatuhan dalam perjuangan berjemaah, kita akan menempa kegagalan, kita akan kecundang, kita akan tumpas dan tewas.
Hal disiplin berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan di medan perang.
Dalam sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihan raya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi secara di atas..., di atas kepentingan individu.
Lalu, mengambil sempena Ayat 83, Surah An-Nisa’, kedisiplinan berjemaah menuntut kita berlapang dada dan bersedia menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan, jika tidak dipersetujui, hendaklah menggunakan saluran organisasi yang sewajarnya bagi menyampaikan pendapat tersebut.
Termustahak, jika keputusan muktamad telah dibuat, terimalah dengan hati terbuka dan laksanakanlah dengan sebaik-baik mungkin. Benarlah seperti dimadahkan pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang memang kecil, namun sangat sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan patuh kepada arahan.
KEBERTERUSAN TRANSFORMATIF
Pada sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di Malaysia.
Semenjak lebih 50 tahun yang lalu, Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali-menali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan Transformatif.
Kita telah menyaksikan bagaimana Malaysia telah berubah daripada sebuah negara yang terjajah kepada sebuah negara merdeka, daripada sebuah negara berstatus negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.
Oleh itu, dengan Keberterusan Transformatif, rakyat boleh melihat sekalipun kepimpinan ini datang daripada parti yang sama, namun perubahan dan pembaharuan berlaku secara dinamik, berterusan, tertib dan teratur.
Ertinya, parti pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau rekayasa terkini bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa. Kita terus-terusan membuat pembaikan dan perubahan idea, dasar, program yang tuntas lagi menyeluruh. Pokoknya, kita pada tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada masanya.
Kita ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat.
Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal, menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri.
Sememangnya menjadi aspirasi setiap parti politik untuk memperoleh mandat daripada rakyat bagi membolehkannya membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke arah itu pelbagai janji dan komitmen ditawarkan.
Bagi parti yang sedang menerajui kerajaan, penilaian dilakukan oleh rakyat berdasarkan dua kayu ukur. Pertama, adakah janji-janji lepas telah ditunai dan dilunaskan? Manakala kayu ukur kedua, adakah janji-janji baru yang dibuat akan lebih membawa manfaat.
Manakala, bagi parti yang tidak pernah membentuk kerajaan, mereka perlu dinilai berasaskan janji yang sedang dibuat. Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak boleh dipegang dan dipercayai, maka lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi parti tersebut.
Berhubung hal demikian, Malaysia hari ini merupakan contoh sebuah negara membangun yang amat berjaya sama ada diukur dari segi keampuhan institusi negara mahupun kemajuan sosioekonomi.
Kejayaan ini bukannya sebuah fantasi yang dikhayalkan kerajaan Barisan Nasional sebaliknya satu kejayaan nyata yang dapat disaksikan dan dinikmati setiap rakyat Malaysia. Bahkan ia juga merupakan kejayaan yang diiktiraf oleh institusi dan masyarakat antarabangsa.
Jika dinilai dari kayu ukur global, Malaysia hari ini tercatat antara negara dagangan terbesar dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM1 trilion. Hari ini kita diiktiraf Institute for Management Development atau IMD dan The World Economic Forum atau WEF dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.
Hari ini juga kita diiktiraf Bank Dunia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurus niaga, sementara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNDP pula menilai status Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai “High Human Development Index".
Kendatipun begitu, kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap anak Malaysia terus mampu mengoptimumkan potensi, kita mahukan setiap anak Malaysia dapat merealisasikan impian, agar hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan.
Untuk itu, Dasar Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan semenjak saya dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan lebih tiga tahun yang lalu. Melalui dasar ini, kita telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan politik secara rapi bagi memastikan Wawasan 2020 akan tercapai.
Hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus di antara tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada AS$6,700 kepada AS$ 9,700.
Kemuncaknya nanti saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan per kapita sebanyak AS$15,000. Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi, iaitu AS$12,476, maka ia jelas menunjukkan walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun lagi, kita Malaysia sudah pun berada pada landasan yang betul untuk lebih awal mencapai taraf tersebut.
Kita maklum bahawa, pihak pembangkang dalam usahanya untuk menawan hati rakyat telah mengeluarkan Buku Jingga sebagai manifesto kenapa mereka perlu dipilih menjadi kerajaan menggantikan Barisan Nasional dengan tema “Ubah Sekarang" “Selamatkan Malaysia".
Dalam dokumen ini terkandung sejumlah 59 janji yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. 10 daripadanya, konon akan ditunai dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka.
Sebaliknya, semua itu hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita yang betul tentang kesan buruk jika janji-janji tidak munasabah itu dilaksanakan, tidak pula disampaikan kepada pengetahuan rakyat.
Jika disenarai, mereka mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan purata bulanan setiap isi rumah Malaysia pada kadar RM4,000, menghapuskan tol dan hutang PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru sebanyak RM500 sebulan dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri. Mana mungkin semua itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara.
Antaranya pada tahun pertama seandai dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan Pusat akan melonjak kepada hampir 30 peratus. Kedua, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus.
Dalam tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan ekonomi seperti negara Greece. Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam tangan kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa. Adakah itu yang kita inginkan?
Inilah... inilah tahap kualiti dan hal ketidakmampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun, ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap.
Beliaulah yang mengguna pakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF bagi menangani krisis ekonomi ketika itu. Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai oleh sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak khususnya masyarakat perniagaan.
Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fiilnya berubah pulak.
Kalau ikut pepatah dulu, orang menyebut, orang ini lidahnya bercabang. Jelasnya, tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen...dah.. dia menyokong pulak...hairan..hairan...
Dalam Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 tetapi realitinya Kerajaan Barisan Nasionallah yang berani mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan tiga pengisytiharan darurat serta membiarkan ordinan-ordinan yang digubal, lupus.
Tidak sekadar itu, kita juga telah meminda AUKU bagi membenarkan keahlian pelajar dalam parti politik, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi menghapuskan keperluan lesen tahunan, serta mengembalikan semula hak semakan kehakiman secara amnya kepada mahkamah.
Atas sebab-sebab yang demikian, rakyat Malaysia perlu menilai dan membuat keputusan sama ada mereka mahukan keberterusan transformatif ini oleh UMNO dan kerajaan Barisan Nasional atau akan terumbang-ambing dalam kata-kata muslihat serta mainan tanggapan tidak masuk akal oleh pembangkang.
UMNO TEGAR DALAM MEMPERJUANGKAN ISLAM
Sesungguhnya, UMNO sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam seperti mana termaktub dalam Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah.
Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain.
Soalnya, adakah sebuah parti yang menguruskan ehwal pentadbiran negara seperti UMNO dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista semahunya?
Walhal, UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa, selama berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang murni begitu meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayah.
Pada kedudukan ini, kita sebenarnya telah membuat sekian banyak dalam memastikan keberlangsungan Islam. Malaysia misalnya ialah antara negara Islam yang memiliki agensi khusus bagi pelaksanaan ibadah haji secara komprehensif.
Penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji telah membolehkan umat Islam yang dahulunya terpaksa menggadai harta benda, kini bukan sahaja menabung tetapi juga dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu secara sistematik.
Begitulah dalam bidang muamalah. Malaysia ialah satu-satunya negara Islam yang menawarkan khidmat perbankan dan kewangan Islam meluas. Dari sistem pajak gadai sehinggalah kepada pengeluaran sukuk. Dewasa ini, kita berasa bangga dan gembira kerana sebuah forum global telah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam terulung dunia.
Hakikatnya umat Islam di Malaysia bukan sahaja boleh membuka akaun simpanan di bank yang menggunakan kaedah tanpa riba tetapi juga boleh membuat pinjaman perumahan, kenderaan, pelajaran, membuat pelaburan di pasaran saham dan lain-lain transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah patuh syariah.
Melangkah dari situ, selain menjadi contoh sebuah negara Islam yang aman dan maju, Malaysia juga rancak menyumbang secara besar kepada kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti ramai maklum, kita telah menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera termasuk pasukan perubatan ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lebanon dan Afghanistan.
Malah, mutakhir ini Malaysia telah menjadi pendamai dan orang tengah meleraikan konflik yang telah berlarutan lebih empat puluh tahun di selatan Filipina, sehingga berjaya membuka lembaran baru kepada Bangsamoro.
Malaysia turut komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin. Kita telah dan akan sentiasa memperjuangkan hak sah mereka untuk bernegara sendiri di forum-forum serantau dan global. Kita menyeru agar masyarakat antarabangsa menghormati aspirasi ini melalui prinsip dua negara yang telah dipersetujui. Insya-Allah, Malaysia akan menjadi negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu kota negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.
Malaysia juga prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar. Kita menyeru agar keganasan yang dilakukan terhadap mereka ini, dihentikan serta merta dan penyelesaian yang adil akan dibuat.
Merujuk semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta isi kandungannya tidak seberapa.
Sebetulnya pun, pencapaian memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup ini berjaya dizahirkan dalam pada Malaysia merupakan sebuah negara berbilang etnik, budaya dan agama.
Kenapa dan mengapa? Tidak lain tidak bukan, kerana sejak merdeka, berpaksikan prinsip wasatiyyah, UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan penuh keikhlasan telah mampu mencapai tahap muafakat yang tinggi bersama-sama memajukan negara.
Berlandaskan semua itu, ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi, bahawa UMNO komited bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan.
Kita tidak rela untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. UMNO tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurniaan akidah.
Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi bahawa, kita menentang... menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisme mahupun liberalisme.
Komitmen UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1, menjamin kebebasan beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1, Islam ialah agama bagi Persekutuan.
Perkara 11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi “Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam".
Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud.
Kesan amanat pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam. Natijahnya, muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua imam, perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang UMNO.
Soalnya, adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.
Tambahan lagi, kita dapati, hari ini pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam UMNO itu, sudah tidak lagi memperjuangkan negara Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan Negara Berkebajikan. Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang penubuhan negara Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara sekular.
Kenapa matlamat perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat perjuangan mereka hari ini? Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti, pelaksanaan negara Islam ala Pas di antara parti itu dan DAP masih belum diselesaikan malah cuba untuk disembunyikan. Kalau isu pokok yang paling besar membezakan mereka masih belum diputuskan bagaimana halnya hendak membentuk kerajaan campuran.
Adakah nafsu untuk berkuasa mengatasi prinsip perjuangan? Adakah matlamat telah menghalalkan cara? Tidak mengapalah kalau tidak melibatkan orang lain, tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta seluruh rakyat Malaysia.
Berbicara tentang negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak kepada UMNO, hasil perjuangan kita dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dan seantero dunia, tetap menyinar, tetap murni dan akan tetap dipersadakan.
Terbaru, sekumpulan ulama antarabangsa telah memulakan usaha bebas untuk merangka dan mengukur negara-negara berdasarkan Indeks Syariah. Kita bersyukur kerana, kajian mereka di peringkat global mendapati Malaysia menduduki kedudukan lima teratas dalam pematuhan indeks berkenaan.
KITA ATAU MEREKA
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, pilihan kepada tuan-tuan dan puan-puan kini antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti dengan rancangan holistik tentang hala tuju masa depan negara atau parti pembangkang yang kelam-kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan.
Suka tidak suka, persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan paling penting bersabit masa depan mereka. Pilihan raya bukan satu uji kaji.
Lima tahun ialah jangka masa yang lama dalam pentadbiran sesebuah kerajaan. Pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara yang berjaya pun akan gagal dan tersungkur.
Kerana itu, menyisir waktu, UMNO bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional. Tidak seperti gabungan DAP, PKR dan Pas, yang tiada bertunjangkan ketulusan.
Contohnya, di Pulau Pinang yang diterajui DAP, parti Pas tidak menyertai kerajaan, di Kedah yang diterajui Pas, parti DAP tidak menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya, kerana mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
Selanjutnya marilah kita menyingkap tabir di sebalik dakwaan parti DAP, yang mendabik dada bahawa merekalah yang paling demokratik di negara ini. Namun begitu, sungguhkah bagai dicanang? Apakah cerita sebenar dalam DAP?
Semua orang mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan menantu. Walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang begitu berkuasa dalam DAP.
Anaknya pula merupakan Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Manakala menantunya, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Naib Pengerusi Seksyen Wanita DAP.
Begitulah juga kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia melibatkan suami, isteri dan anak. Si suami adalah Ketua Umum yang tidak dipilih. Isteri pula Presiden Parti manakala anak sulung Naib Presiden.
Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran demokrasi ala Parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan, semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0, dan-dan tu.... tempoh jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal kedua.
Inilah sebenarnya demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan pendapat, hukuman sudah dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang akan berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih pandangan dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka.
Seperkara lagi, hari ini, tinggal seorang... saja orang Melayu di kalangan 30 kepimpinan pusat DAP. Inikah yang dinamakan demokrasi? Inikah yang dinamakan tidak perkauman? Inikah dinamakan kepelbagaian seperti yang selalu dimomokkan? Cubalah rakyat Malaysia renung dalam-dalam dan fikir masak-masak.
Pucuk pangkalnya, UMNO akan terus memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di negara tercinta ini. Kaedah yang digunapakai oleh UMNO bagi mencapai matlamat ini berubah mengikut era yang ditempuhi.
Perjuangan UMNO semenjak merdeka demi memartabatkan bangsa Melayu bolehlah dibahagikan kepada beberapa Fasa. Pertama, melalui penubuhan agensi seperti Mara, Felda dan Felcra.
Ia juga diperkukuhkan dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA yang berkembang kepada Institut Teknologi Mara pada akhir 60-an dan kemudiannya menyaksikan institusi ini dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi Mara.
Fasa kedua menyaksikan penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan pelaksanaannya melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang merangkumi empat Rancangan Malaysia selama dua puluh tahun. Usaha berterusan dijalankan demi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
Ia menyaksikan penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun.
Usaha juga ditumpukan untuk mencipta masyarakat Perdagangan serta Perindustrian Bumiputera. Lantas kerajaan pimpinan UMNO telah menubuhkan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau syarikat milik kerajaan bagi membolehkan bangsa Melayu berkecimpung dalam dunia perniagaan.
Bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan Permodalan Nasional Berhad yang menguruskan skim pelaburan saham amanah seperti ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya, kejayaan terbesar fasa kedua ini ialah tumbuhnya institusi pendidikan menengah seperti Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran Sains, dan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam melalui program matrikulasi.
Secara nyata, perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui fasa pertama dan kedua ini telah memperlihatkan kejayaan yang monumental melalui penciptaan kelas menengah profesional Melayu yang besar di samping menangani permasalahan kemiskinan di kalangan bangsa kita.
Bertapak di atas fasa pertama dan kedua tersebut, kita kini merangka dasar serta program yang lebih terarah serta berfokus antaranya inisiatif penubuhan Model Ekonomi Baru, Teraju, Skim Jejak Jaya dan Pelaburan Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah, hasilnya, pemilikan ekuiti Bumiputera telah meningkat daripada 21.9 peratus pada tahun 2008 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010.
Sungguhpun begitu, dalam helaan nafas yang sama, memetik iktibar daripada Firman Allah SWT, Ayat 8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah leka daripada mempertahankan hak serta berlaku adil kepada semua kaum. Ia juga terpelihara oleh Perlembagaan Persekutuan yang digubal berasaskan ijmak Kebangsaan.
Sedang UMNO komited bagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera, kita juga penuh iltizam bagi memastikan bantuan dan pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu dinikmati golongan miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah daripada semua kaum di Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama dan tidak ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan.
Bahkan, UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional.
Pastinya, kita sering menginsafi bahawa, kemajmukan yang kita miliki inilah tiang seri yang mempaterikan kekuatan sebuah negara bangsa. Sememangnya lagi, sebagai organisasi siasah, kita mendukung tanggungjawab untuk terus mempersatukan rakyat melalui titik-titik persamaan, bukannya mendamak racun-racun perbezaan. Itulah jua teras falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka.
Tanyalah kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, di manakah kata-kata manis yang ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa pilihan raya 2008?
Beliau berjanji kononnya dalam masa dua minggu selepas memenangi pilihan raya, akan selesailah masalah penduduk di sana. Kini sudah hampir masuk empat tahun, bak kata orang Penang... “ilekkk...". Akhirnya...Barisan Nasional... juga yang selesaikan...
Selain itu, macam kata orang Tanjung jugak, boleh jadi caca marba.... seandainya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan. Tukang buat janji, Perdana Menteri mereka, tak kisahlah siapa yang akan dilantik sama ada Ketua Umum PKR atau Presiden Pas, tetapi... si Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP akan tetap “buat tak tau.... dan buat dek...jer..." atas janji itu. Mungkin inilah sebabnya Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menggelar bosnya sebagai Cocky, Arrogant dan Tokong.
Selanjutnya; “tanyalah kepada oghe Kelate, ...selesa doh ko masalah air?... Sedar tak sedar, dah lebih dua puluh tahun Pas memerintah, tak selesa-selesa jugak".
Tanyalah pulak kepada orang Kedah; “pasai Pas. ...depa janji apa kat hampa tahun 2008 hari tu? ...Cuba habaq mai.... tak ka macam-macam depa tabuq janji... kita tau sampai laa ni... macam-macam tak selesai... habuk pun tak dak".
Seterusnya, kita tanya pulak penduduk flat kos rendah dan pangsapuri yang memakai meter pukal di Selangor. Mana janji-janji indah nak bagi air percuma? Satu lagi isu, kita tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di Selangor, apa sudah jadi dengan elaun bulanan sebanyak seratus ringgit yang nak dibagi? Tak patut.
Berbeza dengan kita UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Buktinya, semenjak saya dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan Kerajaan, melalui pelbagai usaha dan ikhtiar, parti ini dan Kerajaan ini, bukan sekadar suka-suka membuat janji dan memberi harapan, namun kita juga pasti berusaha, merintis sejuta jalan untuk menunaikannya.
Misalnya, di bawah pelan jangka pendek, antaranya:
* Kita ada BR1M untuk rakyat berpendapatan rendah
* Kita ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa
* Kita ada bantuan RM100 untuk semua pelajar sekolah
* Kita ada skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi
Untuk jangka sederhana:
* Kita menyediakan Pusat Transformasi Luar Bandar
* Kita menyediakan Pusat Transformasi Bandar
* Kita ada KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan;
Bagi jangka panjang pula, kita dipayungi Dasar Transformasi Nasional melalui inisiatif Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi hinggalah kita mencapai status negara maju. Insya-Allah.
Pada sesetengah pihak, kita ingin ingatkan, kalau tidak pandai menari, janganlah lantai dikata jongkang-jongket. Hari ini, pelbagai institusi negara diserang dan dituduh sesuka hati secara melulu, dengan tujuan jahat untuk mengeliru dan menimbulkan syak di kalangan rakyat.
Misalnya, Suruhanjaya Pilihan Raya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur. Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab, seandainya mereka kalah dalam pilihan raya nanti, bukan faktor tidak mendapat sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPRlah yang akan disalahkan dan dianggap tidak adil serta tidak berwibawa.
Sebab itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan berkenaan hanya mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia.
Sebenarnya saudara dan saudari, tak perlulah kita libatkan orang asing untuk menunjuk ajar bagaimana menguruskan negara. Janganlah menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat bangsa dan tanahair.
Dah lebih separuh abad pun kita merdeka... tahulah kita selok-belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada pilihan raya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi.
Seperti yang saya kata, bukankah parti Pas sudah 22 tahun menerajui Kerajaan Kelantan? Bukankah juga parti Pas yang telah memenangi pilihan raya negeri pertama tahun 1959? Bukankah parti Pas sedang menerajui Kerajaan Kedah? Bukankah parti Pas pernah menerajui Kerajaan Terengganu dan Perak?
Tidakkah pula PKR sedang menerajui Kerajaan Selangor manakala DAP kini mengepalai Kerajaan Pulau Pinang?
Selain itu, barangkali ramai masih ingat, bahawa sebelum menyertai Barisan Nasional, parti PBS dan Gerakan merupakan parti Pembangkang, dan bukankah PBS telah memenangi pilihan raya Sabah tahun 1985 dan parti Gerakan telah memenangi pilihan raya Pulau Pinang tahun 1969.
Akhirnya, seperti terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan Nasional gagal memperoleh majoriti dua pertiga semasa Pilihan Raya Umum 2008?
Jadi, jika sungguhlah tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa dan tidak jujur, ini semua tidak mungkin berlaku. Ternyata, demokrasi tetap berfungsi, malar dan segar di Malaysia. Ternyata, pilihan raya di negara ini ialah proses yang bersih dan rakyat sudah matang serta bijaksana untuk memilih.
Pilihan Raya Umum Ke-13 ini bukanlah satu pilihan raya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat dan negara.
Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.
Hakikatnya, hasil kerja keras setiap generasi, kita telah membentuk Malaysia yang dikagumi rakan dan dihormati taulan. Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.
Pilihannya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian yang membara.
Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman.
Hendaklah kita selalu beringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa pengasas kita membina apa yang dinikmati hari ini. Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah.
Sebaliknya, saudara dan saudari, di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, kelam dan gulita, dibina atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan hancur, runtuh dan tenggelam.
Sudah barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri.
Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan.
Justeru, saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.
Walau apa pun rintangan yang melanda, biar apa pun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.
Kita akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangi hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik. Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk meyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan.
Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa, UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
Di sini... di sinilah kita dilahirkan, di sini... di sinilah tangis kita mula bergema. Di sini kita membina keluarga dan di sinilah kita melakar masa depan. Di sinilah juga, dengan izin Allah Yang Maha Berkuasa, kita akan bersemadi untuk selama-lamanya.
Penuhkanlah tanah bertuah ini dengan rakyat yang mencintai harumnya perdamaian. Makmurkanlah watan ini sehingga labanya melimpah ke kaki halaman.
Duhai putera puteri... duhai para pejuang bangsa, segeralah... segeralah semua menyembah bakti. Pertahankan... pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini... pertahankan.... pertahankanlah Putrajaya.
Fajar telah pun tiba, nan menyinsing membawa harapan, Tanah Malaysia...Tanah Malaysia...Permata Nilam.
Hidup UMNO...
Hidup Barisan...
Hidup Malaysia...
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Panji "Gelombang Merah" selubungi kekuatan, jasa UMNO

KUALA LUMPUR 30 Nov. Panji dan poster "Gelombang Merah" yang memenuhi segenap ruang Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, bukan sahaja
“meniupkan" semangat UMNO kepada perwakilan, tetapi juga pengunjung ke Perhimpunan Agung UMNO 2012.
Paparan gelombang merah itu yang membawa pelbagai mesej, mengingatkan kembali perwakilan dan pengunjung akan jasa dan sumbangan pemimpin UMNO dahulu dan sekarang dalam membangunkan negara.
Perwakilan dari Perak, Zaiton Shafri, 54, berkata beliau dapat merasai betapa gagah serta hebatnya UMNO, setiap kali melangkah masuk ke ruang legar PWTC.
"Perasaan inilah yang kita mahu bila nak hadapi pilihan raya umum ke-13 nanti...kita bersatu rasa kuat dan berani hadapi apa sahaja yang pembangkang nak bagi pada kita," katanya yang lebih 20 tahun menyertai UMNO.
Zaiton berkata poster Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap di hadapan ribuan anggota UMNO di Stadium Nasional Bukit Jalil, Mei lepas, ketika sambutan ulang tahun ke-66 parti, paling memikat hatinya kerana memaparkan kegagahan pemimpin nombor satu negara itu.
Pelajar universiti swasta, Muhammad Asrief Shafaad, 20 berkata PWTC kelihatan begitu meriah dengan paparan poster dan panji berwarna merah di sepanjang laluan masuk bangunan itu.
"'Bunting' yang ada gambar anggota UMNO berbaju merah berarak yang digantung menghiasi di dinding laluan masuk membuatkan kita rasa hendak berarak bersama mereka. Ini menaikkan semangat orang muda macam saya nak pergi perhimpunan ini.
"Ada juga gambar menunjukkan ramai orang muda bersama menyertai aktiviti UMNO ini seperti perarakan menaiki basikal dan motosikal ramai-ramai ini tunjukkan kekuatan sokongan orang muda pada UMNO," kata anak muda dari Petaling Jaya itu.
Seorang peniaga perhiasan rumah Abdul Zuhid Asmawi, 35, pula berkata poster pemimpin terdahulu bekerja membela nasib rakyat memberikan pengajaran kepada generasi muda tentang pengorbanan mereka bagi membolehkan rakyat hari ini mengecap kesenangan.
"Saya amat tertarik dengan poster Tun Razak (Tun Abdul Razak Hussein) yang diletakkan di kawasan eskalator kerana menunjukkan betapa gigihnya usaha beliau memajukan negara.
"Digabung dengan poster anaknya (Najib) yang turut bekerja segigih ayahnya nampak kesinambungan dan kegagahan usaha UMNO membela nasib rakyat di negara ini," katanya yang menganggotai UMNO lebih 10 tahun. - BERNAMA

UMNO dicadang wujudkan institut kepimpinan

KUALA LUMPUR 30 Nov. - UMNO dicadang mewujudkan satu institut untuk memperkasa generasi muda dari segi kepimpinan bagi melahirkan lebih ramai pelapis berwibawa untuk masa depan.
Wakil Kelab UMNO Luar Negara, Ariff Yasir Zulkaflli berkata, melalui kaedah ini UMNO boleh mengenal pasti bakat-bakat dan kebolehan generasi muda untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
"Ramai yang tidak menyedari bahawa di Amerika Syarikat, mereka mempunyai White House Intership bagi melatih generasi muda mereka. Ia patut dicontohi oleh UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ariff Yasir yang juga Pengerusi Kelab UMNO Tokyo berkata, cadangan tersebut merupakan salah satu daripada 11 resolusi yang diputuskan pada Konvensyen Mahasiswa Nasional baru-baru ini. - UTUSAN

Jangan gadai bangsa dan negara

Najib Tun Razak menaikkan bendera UMNO, Sang Saka Bangsa sambil diiringi nyanyian lagu parti Bersatu, Bersetia, Berkhidmat sebagai tanda bermulanya Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja, Datuk Ab. Rauf Yusoh. - UTUSAN/Noor Asrekuzairey Salim
****
KUALA LUMPUR 29 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan satu pilihan raya biasa kerana akan menjadi titik penentu kepada destini rakyat yang mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok.
Menegaskan perkara itu dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO hari ini, Perdana Menteri berkata, kerana itu sebarang uji kaji untuk menukar kerajaan tanpa dibuat penilaian yang betul, teliti dan kritikal ibarat mengamanahkan ‘tikus membaiki labu’ atau mempercayai ‘serigala menjaga biri-biri’.
Beliau turut menarik perhatian mengenai pendapat yang mengatakan tidak ada salah memberi peluang kepada pembangkang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat.
“Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji.
“Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita.
“Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama atau Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis," kata beliau dalam ucapan lebih sejam bertemakan Kepemimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan bahawa kejayaan calon dalam pilihan raya kontemporari itu akan bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak diwakili.
“Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu.
“Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi.
“Lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani kerana merekalah sebetulnya para pengundi," kata beliau.
Justeru, kata Najib, beliau selaku Presiden UMNO bersama Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh saf kepimpinan parti berikrar untuk terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, memartabat rumpun Melayu, menjadi benteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.
Kata beliau: “Walau apa pun rintangan yang melanda, biar apa pun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan.
“UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.
“Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia."

UMNO bukan parti sosialis - PM

Najib Tun Razak memeriksa perbarisan yang terdiri daripada ahli Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dalam Majlis Perbarisan dan Upacara menaikkan bendera UMNO di hadapan Menara UMNO di PWTC, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 29 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan, tindakan pihak tertentu menuduh UMNO sebagai parti nasionalis yang sekular amat tersasar.
Presiden UMNO itu menegaskan, parti tersebut sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam seperti mana termaktub dalam Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai agama Persekutuan.
Sambil merujuk kepada tindakan Pas mendoakan kehancuran UMNO, Najib mempertikaikan apakah sebuah parti seperti UMNO yang menguruskan ehwal pentadbiran negara dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista.
"UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa selama berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayat," katanya.
Najib menegaskan demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Perdana Menteri yang mengimbas sumbangan Malaysia dalam beberapa konflik melibatkan umat Islam di seluruh dunia menegaskan, janganlah sumbangan kepada Islam hanya diukur dengan tahap retorik dan kuat bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar isi kandungannya tidak seberapa.
Sehubungan itu, Najib menegaskan, UMNO komited bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan.
"Kita tidak rela untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam, UMNO tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurnian akidah.
"Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi bahawa kita menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisme mahupun liberalisme," tegasnya.
Najib juga mengingatkan Pas supaya cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat dengan melemparkan pelbagai tuduhan kepada UMNO.
"Kita dapati hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam UMNO itu sudah tidak lagi memperjuangkan negara Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan negara berkebajikan.
"Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang penubuhan negara Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara sekular," katanya.
Beliau berkata, tidak mengapa jika perbuatan berkenaan tidak melibatkan orang lain tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta seluruh rakyat Malaysia.

Punca peniaga Melayu gagal

Dr. Mahathir Mohamad diiringi Hamzah Zainuddin (kiri) dan Nurmala Abd. Rahim (kanan) pada Majlis Makan Tengah Hari di Pusat Maritim Putrajaya, semalam. 
*****
PUTRAJAYA 28 Nov. - Kelemahan dalam pengurusan tunai merupakan penghalang kepada usahawan bumiputera mencapai kejayaan lebih besar dalam bidang perniagaan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, usahawan bumiputera harus lebih mahir dalam pengurusan kewangan termasuk menggunakan sumber yang ada secara bijak untuk memajukan perniagaan masing-masing.
''Jika usahawan bumiputera mendapat pinjaman RM1 juta untuk tujuan perniagaan, mereka akan belanja separuh daripadanya untuk membeli kereta mewah atau barangan lain.
''Pinjaman tersebut bukan sahaja tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam perniagaan tetapi mereka juga perlu membayar faedah atas dana yang diperoleh," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bicara tengah hari sempena Perhimpunan Usahawan Bumiputera Industri Perkayuan di Pusat Maritim Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datin Paduka Nurmala Abd. Rahim.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, usahawan bumiputera juga didapati gagal menguasai beberapa perniagaan francais di negara ini kerana tidak menguruskan aliran tunai dengan berkesan.
''Peniaga Melayu berkenaan gagal kerana selepas mereka mendapat keuntungan, hasil itu tidak dilabur untuk beli stok atau memajukan perniagaan tetapi digunakan untuk tujuan lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan usahawan bumiputera melakukan usahasama dengan syarikat lain bagi menimba pengalaman dan ilmu yang diperlukan untuk memajukan diri.
''Selain perlu bekerja dengan rajin, usahawan bumiputera juga harus bekerja secara bijak dan untuk tujuan itu, kita perlu menimba ilmu melalui pelbagai kaedah termasuk membaca buku.
''Seterusnya kita mesti mengenal pasti apa yang kita mahu. Kita boleh mulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan selepas itu baru fikirkan cara untuk memajukannya," katanya.
Dr. Mahathir turut menggesa usahawan bumiputera supaya meneroka peluang dalam bidang yang berlainan bagi memastikan kejayaan dalam perniagaan.
''Jangan nampak orang lain berjaya dengan jual nasi lemak, semua orang pun pergi jual makanan yang sama dan akhirnya gagal," katanya.

Taubat, mohon keampunan Allah

Ali Mustafa Yaqub
*****
JAKARTA 28 Nov. - Orang Islam yang mengatakan orang Islam bebas memilih agama adalah sesat dan perlu bertaubat, kata Imam Besar Masjid Istiqlal di sini, Prof. Dr. Ali Mustafa Yaqub.
Beliau menasihatkan individu yang mengeluarkan kenyataan tersebut supaya memohon keampunan daripada Allah SWT dengan segera.
“Orang Islam yang mengucapkan ucapan ini, paling tidak kalau dia sudah mengakui kebenaran agama lain, dia paling tidak sudah sesat, songsang.
“Apa lagi kalau kata semua agama sama, siapa yang mahu masuk dan keluar Islam dipersilakan, boleh jadi kafir,’’ katanya ketika ditemui di sini.
Dr. Ali Mustafa, ulama masyhur Indonesia yang juga pakar hadis adalah imam besar di masjid Indonesia - masjid terbesar di Asia Tenggara.
Mengulas sepotong ayat al-Quran yang membawa maksud ‘tiada paksaan dalam agama’, Dr. Ali Mustafa menjelaskan, ia hanya ditujukan kepada orang bukan Islam kerana mereka tidak dipaksa memeluk Islam tetapi setelah memilih memeluk agama tersebut, mereka wajib mematuhi peraturan ditetapkan dalam agama syumul itu.
“Analoginya begini, ada orang mahu masuk rumah, mahu masuk dipersilakan, tak masuk pun dipersilakan, saya tak memaksa anda untuk masuk ke dalam rumah saya, tetapi kalau anda masuk ke rumah saya, anda mesti mengikuti aturan-aturan di rumah saya, seperti itu," katanya.
Beliau berkata, orang yang berfahaman liberal mungkin sukar untuk menerima kenyataan itu kerana usaha tersebut dikaitkan dengan kebebasan hak asasi manusia.
“Jawapan kepada persoalan itu ialah Islam tak menyuruh kamu untuk masuk Islam. Kamu mahu pilih menjadi kafir dipersilakan, itukan hak asasi kamu, tapi kalau sudah masuk (Islam), ikutilah aturan-aturan Islam.
“Kalau dah masuk Islam tapi masih mengikuti aturan yang bukan Islam, itukan kacau semuanya nanti," katanya.
Dr. Ali Mustafa berkata, meskipun umat Islam di Malaysia tidak seramai seperti di Indonesia yang pada masa ini merupakan masyarakat Islam terbesar di dunia, tetapi mereka tetap dengan keIslamannya terutama orang Melayu.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihatkan mana-mana individu agar memahami terlebih dahulu petikan ayat-ayat al-Quran sebelum membincangkannya dalam konteks masyarakat majmuk seperti di Malaysia. - Utusan

Petikan ucapan dasar Presiden UMNO

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Berikut petikan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini:
* “Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah, hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah sebetulnya para pengundi."
* “Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini beserta wawasan masa depan."
* “Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur akar, Pasti tidak akan hilang bisanya."
* “Hal disiplin berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan di medan perang."
* “Dalam sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihan raya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi secara di atas..., di atas kepentingan individu."
* “Pada sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di Malaysia."
* “Kita ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat."
* “Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji.
Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal, menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri."
* “Inilah...inilah tahap kualiti dan hal ketidakmampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun, ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana, semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap."
* “Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe"elnya berubah pulak."
* “Dalam Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 tetapi realitinya kerajaan Barisan Nasionallah yang berani mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan tiga pengisytiharan darurat serta membiarkan ordinan-ordinan yang digubal, lupus."
* “Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah."
* “Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain."
* “Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat.
Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia Pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud."
* “Pilihan kepada tuan-tuan dan puan-puan kini antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti dengan rancangan holistik tentang halatuju masa depan negara atau parti pembangkang yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan."
* “Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran demokrasi ala Parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan, semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0 dan tempoh jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal kedua."
* “Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka."
* “Pilihan raya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama atau didewasakan dengan kebencian yang membara."
* “Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri."
* “Justeru, saya selaku Presiden UMNO , bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam."

Najib seru pemimpin parti ikhlas membela rakyat

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru para pemimpin UMNO agar rajin berkhidmat untuk rakyat, berwibawa dan rendah diri bagi memastikan rakyat terus memberikan keyakinan kepada parti.
Presiden UMNO itu berkata, ini kerana rakyat pada hari ini sudah bijak membezakan antara pemimpin yang benar-benar empati kepada mereka atau yang hanya muncul pada setiap kali pilihan raya.
"Bersuluhkan jamung perjuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti cekal bekerja keras, kita mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa kitalah pilihan kepimpinan yang utama, bahawa kitalah yang mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada mereka dan anak-anak cucu mereka.
"Berikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat. Berpeganglah kepada kata-kata ulama dan pujangga bahawa yang baik akan akhirnya tertampak, yang buruk itu hujungnya kelak pasti terpandang jua," kata beliau.
Najib berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. -
Pada masa yang sama, beliau menggesa seluruh ahli agar berdisplin dalam berorganisasi kerana ia merupakan faktor tonggak bagi menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan.
"Disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihan raya. Intipatinya, disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi secara di atas... di atas kepentingan individu," kata beliau. - UTUSAN

Najib berikrar pertahan kesejahteraan rakyat

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berikrar bahawa beliau bersama-sama pimpinan UMNO akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menaikkan martabat orang Melayu.
Beliau juga berjanji akan terus mempertahan akidah umat Islam dan memelihara agama yang suci ini.
"Saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan rasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden bertemakan "Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional" pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini.
Beliau berkata UMNO juga tidak akan berundur daripada terus berbakti kepada rakyat Malaysia walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan.
"Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam," kata Najib.
Dalam ucapannya itu, perdana menteri turut memperlihatkan sikap rendah dirinya apabila meminta maaf bagi pihak kepimpinan parti dan kerajaan atas segala kesalahan yang dilakukan.
"Bumi mana tidak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah disandung atau tersalah.
"Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan 10 memohon maaf atas kekhilafan," katanya. - BERNAMA

Delegasi asing kagum dengan pencapaian UMNO

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Delegasi asing ke Perhimpunan Agung UMNO 2012 berkata rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana mempunyai UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara ini yang terbukti mampu membawa banyak kejayaan kepada negara ini.
Mereka mengambil maklum bahawa UMNO dan BN sentiasa komited terhadap proses pembinaan negara Malaysia, membolehkan negara melakar kejayaan memberangsangkan yang membawa pelbagai manfaat kepada rakyat.
Dalam reaksi kepada ucapan dasar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini, seorang wakil dari New Azerbaijan Party, Malahat Ibrahimgizi, berkata Malaysia tidak akan mencapai kestabilan politik dan sosial serta mengekalkan perpaduan tanpa pegangan teguh UMNO terhadap keadilan dan kesamarataan.
"Terbukti bahawa UMNO sememangnya parti yang komited ke arah pembinaan negara dan pengukuhan demokrasi," katanya.
Arthur Fong, dari People"s Action Party, Singapura, berkata UMNO memacu Malaysia sehingga menjadi apa yang disifatkannya sebagai "sebuah negara yang amat dihormati".
Penasihat Agensi Keamanan dan Pengukuhan dari Niger, Diarra Fatimata Ly, berkata ucapan Najib menunjukkan bahawa UMNO telah banyak berjasa kepada Malaysia, dan tiada sebab untuk menggantikan parti itu dengan entiti lain yang belum tentu kemampuannya.
Beliau memberi amaran bahawa Malaysia akan berdepan ketidaktentuan jika negara ini berada di tangan pentadbir yang tidak berpengalaman.
"Bagaimanapun, pemimpin yang mempunyai pengalaman mentadbir negara sehingga melakar banyak kejayaan, anda perlu meletak kepercayaan kepada mereka," katanya.
Sementara itu, wakil dari Lao People"s Revolutionary Party, Thongsy Inthaphonh berkata beliau kagum melihat anggota UMNO mengekalkan kesetiaan kepada parti sejajar dengan moto "Bersatu, Bersetia, Berkhidmat". - BERNAMA

UMNO tidak akan mencaci saudara seagama

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Datuk Seri Najib Razak bertegas bahawa UMNO tidak akan sekali-kali mencaci dan menista saudara seagama sepertimana yang dilakukan pembangkang, sebaliknya akan terus mempertahankan perpaduan umat.
Menurut Presiden UMNO, parti itu juga akan terus mempertahankan kesucian dan kemurnian akidah umat Islam di negara ini.
Justeru, kata Najib, UMNO menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisme dan liberalisme.
"Ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi bahawa UMNO komited untuk terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan," kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. - UTUSAN

Ucapan dasar jawab tohmahan pembangkang - Dr. M

KUALA LUMPUR 29 NOV. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjawab segala tohmahan yang dilemparkan pakatan pembangkang terhadap parti itu selama ini.
Bekas Presiden UMNO itu berkata, ucapan dasar yang disampaikan oleh Najib turut memperlihatkan semangat parti itu yang semakin kuat khususnya dalam menghadapi cabaran pilihan raya umum akan datang.
"Saya fikir ucapan itu adalah bernas, baik dan meliputi semua perkara. Ucapan itu juga turut menjawab segala tohmahan yang dibuat parti lawan selama ini.
"Malah, saya lihat semangat UMNO hari ini begitu kuat sekali. Malah, saya nampak UMNO boleh bahkan lebih kuat dalam perhimpunan ini daripada biasa," katanya.
Mahathir berkata demikian sebagai mengulas ucapan dasar Najib selaku Presiden UMNO sempena perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. - UTUSAN

Sayap UMNO sedia gempur

Shahrizat Abdul Jalil
*****
KUALA LUMPUR 28 Nov. - Tiga sayap UMNO hari ini dengan penuh bersemangat melaungkan keazaman untuk bertarung habis-habisan bagi memastikan kejayaan cemerlang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Tekad berkenaan dilafazkan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika menyampaikan ucapan dasar di perhimpunan agung sayap masing-masing di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Shahrizat ketika menyampaikan ucapan bertemakan, “Masa Depan UMNO: Beranjak Untuk Melonjak Ke Arah Kemenangan" berkata, beliau amat yakin seramai 230,000 jentera pergerakan itu bersiap sedia sepenuhnya untuk mempertahankan kemenangan BN.
Bagaimanapun beliau mengingatkan selepas pilihan raya umum lalu, landskap politik telah banyak berubah yang memerlukan mereka beranjak sesuai dengan perubahan itu bagi melonjak kemenangan.
‘‘Dalam pilihan raya umum akan datang, kemenangan yang kita harapkan tidak akan datang “bagai yang bulat bergolek dan yang pipih melayang.
‘‘Jika kita gagal menyelami dan memahami gelombang perubahan ini, pendekatan kita akan dilihat hambar dan gerak kerja kita tidak bermaya. Wawasan dan dasar UMNO kita akan dianggap lapuk dan gagasan kita disifatkan sebagai usang. Oleh itu adalah amat penting untuk kita memenuhi aspirasi dan memahami perubahan pemikiran orang-orang Melayu.
‘‘Percayalah! tanpa UMNO, agama dan bangsa orang Melayu akan tergadai. Siapa lagi yang hendak kita harapkan menjaga agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini?
‘‘Kita tidak ada pilihan kerana dalam senario politik hari ini, hanya UMNO sahajalah yang dapat mempertahan serta memartabatkan agama dan bangsa,’’ katanya.
Sementara itu dalam ucapan penuh bersemangat bertemakan ‘Antara dua masa depan’, Khairy pula mengingatkan Pemuda UMNO supaya bersedia kerana semboyan perang pilihan raya sudah bergema.
‘‘ Dalam berahi kita membongkar helah pembangkang, jangan sekali kita lupa. Di hadapan benteng bala tentera musuh kian mara. Langkah demi langkah, mereka seret bendera dan meriam kehancuran, yang bakal meranap harmoni yang telah lama kita bina.
‘‘Dengan seiras semangat juang, saya menyeru para perwakilan, mari kita tempur seteru kita di segenap ruang! Kita bahas mereka di Parlimen, kita patahkan hujah mereka di kedai kopi, kita dedah muslihat mereka di alam siber! Tak kira di kota atau di desa, kita tumpaskan pengkhianat bangsa. Kita tempur, kita gempur, lantas berkuburlah Pakatan durjana!,’’ tegasnya sambil disambut sorakan perwakilan.
Beliau menegaskan, masa depan bersama BN akan menjamin Perlembagaan kekal dijulang, raja dijunjung, Islam dimuliakan, kedaulatan negara dipertahankan dan bangsa Melayu diperkasakan.
‘‘Masa depan di bawah pakatan pembangkang akan melihat negara bakal muflis, maruah bangsa dipijak-pijak, kacau bilau di mana-mana, Islam yang tidak terbela, keruntuhan akhlak dan moral, silap haribulan kemerdekaan tergadai.
‘‘Di bawah muslihat pakatan, Persekutuan Malaysia akan jadi perpecahan Malaysia. Mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan ideologi dan undang-undang yang berbeza. Hudud versi Pas akan mengawal hidup di Pantai Timur sekali gus menakutkan orang bukan Islam dan konsep “Malaysian Malaysia" yang meminggirkan orang Melayu akan bermaharajalela di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
‘‘Di negeri-negeri PKR pula, tiada apa yang suci, semuanya halal, anything goes, asalkan Anwar kekal dijulang,’’ tegasnya.
Rosnah pula menegaskan, Puteri UMNO berikrar, akan menumpahkan segala kesetiaan, mengerah segala kudrat dan kekuatan serta berpadu merapatkan barisan demi memastikan BN menang dalam pilihan raya yang akan datang.
‘‘Puteri berikrar, biarpun perit kita akan bangun mempertahankan maruah parti, Puteri berikrar, biarpun jerih Puteri akan bangun mempertahankan jalan juang parti, Puteri berikrar biarpun sakit Puteri akan tetap mempertahankan parti pusaka ini sampai mati.
‘‘Puteri berjanji kita akan lawan mereka yang membakar parti dengan fitnah. Kita akan tentang mereka dalam parti yang suka mencucuk dan mencanang. Kita akan pertahankan parti dari dibunuh pengkhianat dan petualang,’’ tegasnya.
Beliau berkata, bagi mencapai hasrat berkenaan, mereka akan mengetepikan segala soal peribadi dan sikap yang boleh merosakkan parti.

Pengundi muda jadi penentu

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Jumlah pengundi muda seramai 5.9 juta orang dijangka menjadi faktor penentu kemenangan sesebuah parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, jumlah itu merupakan pecahan daripada keseluruhan 13.1 juta pengundi berdaftar di seluruh negara.
"Daripada jumlah itu, seramai 2.4 juta pengundi terdiri daripada mereka yang berumur lingkungan 21 hingga 29 tahun dan kali pertama mengundi. Mereka ini terdiri daripada kumpulan profesional dan separa profesional yang akan menjadi faktor penentu kemenangan.
"Jadi, amat penting untuk mendekati golongan ini melalui pelbagai pendekatan bagi mendapatkan sokongan sama ada secara bersemuka atau melalui media sosial,"katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, sekiranya pendekatan bersemuka tidak dapat digunakan sepenuhnya untuk mendekati kumpulan berkenaan, skuad media trooper UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus memainkan peranan dengan berkesan.
"Media trooper berperanan untuk menangkis serangan yang dilemparkan pembangkang dengan syarat ia harus berada dalam bilik yang sama walaupun bantal berbeza.
"Pada masa tersebut, tidak penting untuk melayan perbezaan pendapat sebaliknya kemenangan UMNO dan BN harus menjadi objektif utama," katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan calon yang akan mewakili BN pada PRU-13 diisi oleh calon orang muda, Ahmad Zahid menjelaskan perkara itu tidak mustahil berdasarkan taklimat yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
"Ia memberi bayangan bahawa generasi muda akan diberi peluang kali ini dan hakikat itu harus dilihat secara positif oleh mereka yang telah lama berkhidmat dalam parti.
"Kita harus memberi peluang kepada mereka untuk mewujudkan satu struktur pemimpin pelapis UMNO dan BN," katanya.

Anwar dan Israel

Di mana Anwar Ibrahim ketika umat Islam negara ini mengadakan demonstrasi secara aman bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza baru-baru ini?
ANWAR telah menyatakan dalam The Wall Street Journal yang berbunyi, "I support all efforts to protect the security of the state of Israel" ("Saya sokong semua usaha untuk melindungi keselamatan Negara Israel.")
Sejak Israel didirikan di atas wilayah milik orang Palestin, Israel menjelaskan dan mempertahankan segala tindakannya ke atas rakyat Palestin dan wilayah Palestin sebagai usaha untuk melindungi keselamatan Israel.
Antara tindakan Israel yang didakwa olehnya sebagai melindungi, mempertahan dan menyelamatkan Israel ialah:
* Membunuh beramai-ramai Arab Palestin seperti di Deir Yassin supaya Arab Palestin keluar dari wilayah yang dihadiah oleh British kepada Zionis untuk menjadi negara mereka.
* Tidak membenar orang Palestin yang dihalau keluar ini kembali ke wilayah yang dikuasai Israel.
* Menembak dan membunuh penyertaan intifada yang membaling batu, termasuk kanak-kanak.
* Memperluaskan wilayah Israel melalui serangan ketenteraan.
* Membina beratus settlement (penempatan) Yahudi di atas wilayah Palestin.
* Membekal pemastautin Yahudi dalam settlement ini dengan senjata untuk mempertahan settlement.
* Mengadakan beratus road block untuk menghalang perjalanan orang Palestin dalam kawasan orang Palestin.
* Melambatkan proses membenar rakyat Palestin berjalan sehingga yang sakit tidak sempat ke hospital dan yang mengandung melahirkan anak di road block. Anak kerap mati dan ibu berdarah sehingga meninggal dunia.
* Membedil kawasan Palestin tanpa sebab supaya Arab Palestin tinggalkan wilayah mereka dan Palestin, kemudian dimiliki sepenuhnya oleh Israel.
* Menembak roket untuk membunuh seorang pesakit di atas kerusi roda dan seorang pemimpin Hamas di Gaza.
* Mengepung kem pelarian Shatilla di Lebanon dan mengarah tentera selatan Lebanon yang terdiri daripada orang Kristian untuk membunuh 2,500 pelarian Palestin. Satu daripada pelarian Palestin yang terselamat menceritakan kepada Suruhanjaya Pengadilan Palestin yang diadakan di Kuala Lumpur pada 21 November 2012 bagaimana askar memasukkan semua ahli keluarganya ke dalam rumah, kemudian mengarah orang lelaki keluar dan berdiri menghadap dinding rumah dan mereka ditembak mati, termasuk bapanya dan suaminya. 28 ahli keluarganya ditembak mati sebegini.
* Menghancurkan kampung Jenin dengan serangan bersenjata dan jentolak untuk robohkan rumah dengan penduduk masih berada di dalam.
* Membedil dan menyerang Genting Gaza sehingga musnah hospital dan sekolah pada 2006. Seorang wanita Amerika yang menghalang jentolak daripada memusnahkan sebuah rumah, dilanggar dan digelek hingga mati wanita berkenaan. Mahkamah Israel mendapati askar yang memandu jentolak itu tidak bersalah.
* Menyekat kapal-kapal yang membawa ubat, makanan dan bahan binaan daripada menghampiri Gaza. Dua kapal milik Perdana Global Peace Foundation dan sebuah kapal Turki diserang di perairan antarabangsa. Sembilan orang pekerja amal Turki yang berada di atas kapal Mavi Marmara ditembak mati.
* Sekatan ke atas Gaza dikenakan sehingga sekarang walaupun ia haram dari segi undang-undang antarabangsa.
* Baru-baru ini Israel melancar roket untuk membunuh seorang ketua Hamas. Apabila Gaza melancar serangan balas dengan roket, Israel membalas dengan melancar roket dan bom ke atas Gaza. Seramai 160 orang terbunuh kerana tindakan Israel.
Semua ini dan keganasan lain lagi didakwa oleh Kerajaan Israel adalah untuk keselamatan (sekuriti) Israel.
Semua ini, mengikut Anwar Ibrahim disokong olehnya kerana semua ini adalah "efforts to protect the security of Israel" (usaha untuk melindungi keselamatan Israel).
Apa lagi bukti yang dikehendaki oleh ahli Parti Keadilan Rakyat dan Pas untuk tidak mempercayai yang Anwar Ibrahim adalah penyokong Israel.
Menyokong Anwar samalah dengan menyokong Israel. Orang ini berlagak sebagai pejuang Islam untuk sokongan penyokong Pas.
Tetapi untuk menjadi Perdana Menteri, menyertai UMNO dan mengutuk Pas. Kemudian apabila digugur oleh UMNO, menyokong Pas semula.
Orang yang mudah melompat dari parti ke parti, tidak sukar lompat dari Palestin ke Israel, dari Islam ke Yahudi.

Kelab Penyokong BN IPTA dilancar

Wakil pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengibarkan bendera Barisan Nasional (BN) dan Jalur Gemilang pada majlis pelancaran Kelab Penyokong BN IPTA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dilancarkan hari ini dalam mengukuhkan sokongan generasi muda terhadap BN.
Pelancaran yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 itu merupakan pendekatan terbaharu BN selaras dengan hasrat parti itu untuk mendekati golongan muda di negara ini termasuk dalam kalangan mahasiswa.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang merasmikan pelancaran kelab itu berkata, penubuhannya juga selari dengan perubahan positif dalam kalangan generasi muda yang ketika ini dilihat kembali menyokong BN.
"Pada 2008, tidak dinafikan ada generasi muda tidak memihak kepada kita. Ada di antara mereka juga dilihat meninggalkan kita.
"Namun hari ini, pengundi muda telah kembali kepada BN. Melihat penubuhan Kelab Penyokong BN IPTA hari ini, golongan muda khususnya dalam kalangan mahasiswa tampil menyatakan sokongan kepada UMNO dan BN," katanya.
Beliau berucap dalam majlis perasmian Kelab Penyokong BN IPTA dan Jamuan Makan Tengah Hari Perwakilan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi Kelab Penyokong BN IPTA, Syahril Jamaluddin.
Mengulas lanjut mengenai kelab tersebut, Khairy yang juga Ketua Pemuda memberitahu, penubuhan kelab itu tidak melibatkan persatuan atau pertubuhan dalam kampus sebaliknya merupakan kelab yang bergerak dan menjalankan aktiviti di luar kampus.
Jelasnya, kelab itu ditubuhkan selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum ini yang membenarkan mahasiswa berpolitik.
Sementara itu, Syahril berkata, pihaknya menyasarkan lebih 5,000 ahli di setiap IPTA dalam tempoh terdekat termasuk memperluaskan cawangan kelab tersebut mengikut lima zon di negara ini.
"Zon-zon yang terbabit ialah kawasan Utara, Selatan, Timur dan Tengah. Menerusi kelab ini, kita akan memberikan tumpuan kepada golongan mahasiswa memantapkan diri menerusi kursus kepimpinan, keyakinan diri serta khidmat masyarakat," katanya.
Menurut beliau, kelab itu juga akan digerakkan untuk membantu golongan muda menerusi program pendidikan dan sebagainya.

UMNO bijak kongsi kuasa

Sebahagian perwakilan mengaminkan doa pada perasmian serentak Persidangan Tahunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC, Kuala Lumpur malam tadi. 
*****
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kebijaksanaan perkongsian kuasa yang dilakukan oleh UMNO bersama-sama parti komponen Barisan Nasional (BN) telah memungkinkan Malaysia tidak mengalami krisis politik dan perkauman yang parah seperti yang dialami di negara-negara lain, walaupun mempunyai lebih banyak bangsa, kaum dan suku kaum.
Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebijaksanaan pemimpin BN terdahulu memilih acuan politik perkongsian kuasa yang berteraskan semangat persefahaman, pemuafakatan, setiakawan dan tolak ansur turut membolehkan negara ini kekal aman, makmur dan sejahtera.
''Sepanjang lima dekad pemerintahan BN, muafakat yang dicapai untuk memerintah negara secara bersama tidak pernah kita ingkari. Janji untuk bekerjasama dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai. Prinsip ini sentiasa kita pupuk dan disuburkan dan kini menjadi pasak kekuatan Barisan Nasional,'' katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak Persidangan Tahunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.
Dalam ucapan bertemakan, Bersama Melakar Kemenangan, Muhyiddin yang mengimbas serangan-serangan pembangkang terutamanya Pas dan DAP terhadap UMNO dan komponen BN menegaskan, kedua-dua parti tersebut berbuat demikian semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu kepada parti mereka.
''Pas menggunakan sentimen agama yang sempit untuk menghasut orang Melayu membenci UMNO dan menyokong mereka. DAP pula menggunakan sentimen perkauman yang melampau untuk menghasut orang bukan Melayu membenci MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain dalam BN, supaya orang bukan Melayu menyokong mereka.
''Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang jumud dan politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita,'' katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, hakikatnya, sejak lebih lima dekad yang lalu, parti yang membawa fahaman politik benci dan fitnah, yang membakar sentimen agama dan perkauman bukannya UMNO, MCA, MIC dan bukan juga parti-parti komponen BN yang lain.
Sebaliknya, tegas Timbalan Perdana Menteri, ia didalangi oleh Pas dan DAP, yang mengamalkan politik ultra perkauman dan membawa fahaman songsang mengenai agama yang memecah belahkan masyarakat kita.
''Pas dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama. Mereka masih sangat berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik. Setelah bertarung sesama sendiri, kini Pas dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan BN,'' katanya.
Hakikatnya, tegas Muhyiddin watak-watak dan pelakon utama semuanya mahu menguasai plot dan jalan cerita, serta menjadi teraju, sehingga ke hari ini Pas dan DAP sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara dan bercakaran kerana ideologi yang jelas berbeza.

Formula Malaysia kekal aman

Muhyiddin Yassin mengangkat tangan semasa sesi bergambar bersama delegasi dari luar negara selepas menutup Forum Antarabangsa UMNO 2012 sempena Perhimpunan Agung UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH 
*****
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Faktor kerjasama dan perkongsian kuasa semata-mata antara pemimpin- pemimpin daripada komuniti berbeza tidak mampu menjamin keamanan dan kestabilan sistem politik di sesebuah negara.
Sebaliknya Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, apa yang lebih penting setiap perkongsian kuasa hendaklah berasaskan kepada prinsip saling menghormati, persefahaman dan mengamalkan kesederhanaan dalam menangani sesuatu isu.
Beliau berkata, komitmen tidak berbelah bahagi juga perlu ditekankan dalam konteks memastikan keadilan sewajarnya diberikan kepada pihak-pihak terlibat.
"Walau apa pun faktanya sejak lima dekad lalu iaitu selepas negara mencapai kemerdekaan, Malaysia terus dikenali sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Ini adalah hasil konsep kesederhanaan yang diamalkan di Malaysia dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum.
"Ingin saya nyatakan usaha memperluaskan konsep kesederhanaan yang telah dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Pergerakan Kesederhanaan Global telah mendapat pengiktirafan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup Forum Antarabangsa UMNO kali ketiga sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi forum tersebut yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh kejayaan UMNO yang merupakan parti tunjang dalam Barisan Nasional (BN) mengekalkan keamanan dan kestabilan di negara ini.
Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama, toleransi dan perkongsian kuasa membabitkan parti- parti dalam BN termasuk usaha mengelakkan sebarang konflik.
Selain itu, tambah beliau, kejayaan tersebut juga adalah hasil kepatuhan terhadap prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Sehingga kini, kita berjaya mengelakkan sebarang konflik daripada berlaku. Kita mengambil pendekatan ini kerana mahu melindungi rakyat daripada sebarang ancaman keganasan dan kemusnahan," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menekankan kepentingan menangani konflik bagi mengelakkan krisis di peringkat serantau.