8 Julai 2012

Antara ilustrasi dan realiti Pas di KelantanAntara ilustrasi dan realiti Pas di Kelantan

Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) merupakan projek Kerajaan Persekutuan bagi kemudahan rakyat Kelantan. - UTUSAN/Aizzul A.Majid
*****
“SATU sejarah lagi tercipta di Kelantan. Buat pertama kali projek membina lebuh raya dimulakan dengan inisiatif awal oleh derma orang ramai.
“Bukan sahaja syarikat korporat memberi sumbangan, malah orang kampung turut tampil menghulur sokongan, bagi membiayai projek Lebuh Raya Rakyat sejauh 73 kilometer, dari Kuala Krai ke Kota Bharu." Demikian laporan muka hadapan akhbar lidah rasmi Pas Harakah edisi keluaran 1-3 Jun lalu.
Dalam siaran advertorial di sebuah akhbar tabloid pula, kerajaan Pas Kelantan dengan penuh bangga menyatakan bagaimana negeri itu berjaya memecah benteng kongkongan dan halangan Kerajaan Pusat apabila berusaha sendiri membina lebuh raya.
Dalam siaran tersebut, turut dipaparkan dua ilustrasi lebuh raya berkenaan yang pastinya mengujakan banyak pihak khususnya ahli dan penyokong tegar Pas. Cukup hebat, tetapi harus diingat ia bukan realiti, sekadar ilustrasi.
Ternyata, selepas 22 tahun memerintah Kelantan, kerajaan Pas negeri tidak putus-putus menjanjikan pelbagai projek atas nama rakyat, namun banyak yang hanya indah dalam bentuk ilustrasi, tetapi kelam pada realitinya.
Lihat sahaja apa yang berlaku pada projek pembangunan Pusat Dagangan Kota Bharu (KBTC) yang cukup indah dan hebat dari sudut ilustrasi. Kompleks yang mengandungi bangunan pencakar langit dicadang dibina di tengah-tengah bandar Kota Bharu. Ia juga digambarkan menjadi mercu tanda baru di pusat bandar.
Namun, setelah siap, apa yang ada sehingga hari ini hanya kompleks beberapa tingkat mengandungi pasar raya Giant dan Parkson, sementara bangunan pencakar langit yang dijaja kepada rakyat, kekal indah dalam bentuk ilustrasi.
Sebelum ini pun, Utusan Malaysia pernah menyiarkan satu laporan khas memaparkan bagaimana kerajaan Pas Kelantan sejak 1990, gah melancar dan melakukan majlis pecah tanah pelbagai projek besar termasuk Lembah Sireh, yang rata-ratanya indah hanya pada sudut ilustrasi, bukan realiti.
Rakyat Kelantan boleh melihat sendiri antara realiti dan ilustrasi projek di Lembah Sireh yang dimulakan lebih 10 tahun lalu. Apa sudah jadi dengan projek dianggarkan berharga RM2 bilion itu?
Antara komponennya, projek perumahan, taman rekreasi, pusat peranginan, hotel, kemudahan marina dan pusat air, taman awam dan jambatan merentangi Sungai Kelantan.
Selain itu, rumah kedai komersial, pelbagai kemudahan sosial untuk penduduk tempatan, kompleks beli-belah antarabangsa, bangunan pejabat, pusat komersial, lingkaran jalan ke semua arah ke bandar Kota Bharu, water front, laluan pejalan kaki dan jeti awam.
Sudahkah rakyat Kelantan merasai keindahan ilustrasi projek Lembah Sireh itu? Atau mereka masih lagi dibuai mimpi indah, sama seperti kebanyakan pemimpin Pas Kelantan sewaktu pelancaran projek tersebut?
Sebenarnya, bukan ilustrasi tetapi realiti. Pas Kelantan terus gagal menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat Kelantan. Tidak hairanlah apabila semakin banyak suara-suara menyatakan sejarah sememangnya bakal tercipta lagi di Kelantan apabila kerajaan Pas sekali gagal bakal gagal melaksanakan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai berharga RM1.8 bilion dan dijadual siap dalam tempoh tiga tahun. Satu realiti atau sekadar ilusi dalam bentuk ilustrasi?
Pandangan sinikal banyak pihak itu timbul mengambil kira projek tersebut hanya diluluskan dalam mesyuarat Exco pada 4 Julai lalu, sedangkan majlis pecah tanah telah dilakukan pada 28 Mei 2012. Begitu juga dengan kempen mengutip derma atas nama wakaf daripada rakyat lebih awal dibuat.
Namun, itulah kehebatan kerajaan Pas Kelantan pimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang lebih banyak menawarkan projek-projek dalam bentuk ilustrasi kepada rakyat Kelantan.
Kehebatan itulah yang menyaksikan projek pembinaan jambatan Palekbang-Kota Bharu, Afta City dan bandar baru Pengkalan Kubor telah ‘tersergam indah’, namun hanya dalam bentuk ilustrasi, bukan realiti.
Begitu juga projek Bandar Baru Tunjong yang masih ‘terkial-kial’ hendak dimajukan. Mujurlah Kerajaan Pusat ‘campur tangan’ apabila membina banyak bangunan dan kompleks jabatan kerajaan serta agensinya di situ membabitkan pelaburan beratus-ratus juta ringgit. Maka, dapatlah bertukar wajah kawasan tersebut dalam bentuk realiti.
Ini belum mengambil kira ilusi indah rakyat Kelantan untuk menikmati bekalan air bersih yang pada realitinya lebih 22 tahun masih gagal disediakan oleh kerajaan Pas.
Impian menikmati bekalan air bersih itu berkemungkinan kekal dalam bentuk ilustrasi apabila kerajaan Pas Kelantan mengakui masih tidak mampu menyediakannya disebabkan memerlukan peruntukan melebihi RM2 bilion, jumlah yang tidak mampu ditampung oleh kerajaan negeri.
Ironinya, jika untuk membina lebuh raya, kerajaan Pas Kelantan sanggup melancarkan kutipan derma atas nama wakaf, namun tidak pula bagi pelaksanaan projek bekalan air bersih untuk rakyat.
Manakan tidak, berbanding lebuh raya, menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat Kelantan bukan keutamaan bagi kerajaan Pas sebagaimana ditegaskan oleh seorang Exco kerajaan sebelum ini.
Mungkin apa yang penting bagi kerajaan Pas Kelantan ialah rakyatnya perlu terus ditawarkan dengan projek-projek yang hanya indah dalam bentuk ilustrasi supaya rakyat terus dibuai ilusi indah sehingga alpa dengan kehidupan realiti mereka.
Renungilah firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 34: “Dan penuhilah janji, kerana janji itu pasti dituntut pertanggungjawapannya."
/hwa: utusan.com.my | 6/7/12

DAP cuba pecah-belah Melayu

PULAU PINANG 5 Julai - Surat daripada kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung cadangan pembinaan sebuah universiti awam di Kampung Genting, Balik Pulau di sini seolah-olah sengaja dihantar untuk memecah-belahkan orang Melayu di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad berkata, kesan negatif itu dapat dilihat apabila penduduk kampung mula bertelagah sesama sendiri.
Menurutnya, penyokong parti politik yang berbeza kini masing-masing cuba mempertahankan dan menyalahkan sama ada kerajaan Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.
"Saya nampak kesannya sudah ada di mana masyarakat Melayu di peringkat bawah mula bertelagah.
"Saya menyalahkan surat tersebut kerana ia berjaya memecah-belah orang Melayu di kampung terbabit," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Muhammad Farid mendakwa surat yang dihantar oleh kerajaan negeri kepada pemilik tanah berhubung cadangan pembinaan sebuah universiti awam di Kampung Genting di sini meragukan.
Surat yang dihantar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bertarikh 29 Jun lalu itu menyatakan tanah mereka akan diambil bagi memberi laluan kepada pembinaan universiti awam antarabangsa iaitu Asian Women Leadership University (AWLU).
Kandungan itu meragukan kerana dalam pertemuan Muhammad Farid dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat Balik Pulau awal tahun ini, Timbalan Perdana Menteri tidak pernah memaklumkan mengenai perkara tersebut.
Sementara itu, semakan yang dibuatnya dengan Kementerian Pengajian Tinggi pula mendapati tiada sebarang kelulusan pernah diberikan untuk membina universiti itu kecuali Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dalam perancangan.
/hwa: utusan.com.my | 6/7/12

Guan Eng disaran upah pengawal peribadi

PULAU PINANG 5 Julai - Ketua Menteri, Lim Guan Eng dinasihatkan mengupah lebih ramai pengawal peribadi untuk menjaga dirinya jika merasakan pihak polis gagal menjalankan tugas dengan berkesan.
Penyelaras Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Komtar, Loh Chye Teik berkata, Guan Eng juga boleh mengarahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh kawasan di negeri ini.
Katanya, berdasarkan 'ujian' yang dilakukan terhadap tindak balas polis dalam masa kecemasan, beliau mendapati keputusannya memuaskan.
"Hari ini saya mendapati polis sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan membantu penduduk.
"Berdasarkan ujian yang dilakukan tadi, saya berpuas hati dengan perkhidmatan polis dan membuktikan negeri ini selamat," katanya di sini hari ini.
Beliau dan Pengerusi MCA Bahagian Komtar, Lim Cheng Hee sebelum itu membuat panggilan kecemasan pada pukul 11.08 pagi menggunakan kios interaktif yang disediakan polis di Jalan Datuk Keramat.
Selepas menjelaskan menerusi interkom kepada anggota polis bertugas bahawa beliau memerlukan bantuan, dua anggota polis tiba di situ dalam tempoh tiga minit.
Timbalan Ketua Balai Jalan Patani, Inspektor M. Balacandran yang juga tiba di situ berkata, semua panggilan yang dibuat di kios interaktif berkenaan akan terus disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri (IPK) sebelum dimaklumkan kepada balai polis terdekat.
Jelasnya, ketika ini terdapat empat kios seumpama itu di negeri ini iaitu dua di Jalan Penang dan masing-masing satu di Pulau Tikus dan Persiaran Gurney yang telah beroperasi sejak Oktober tahun lepas.
Guan Eng sebelum ini mendakwa polis tidak melindunginya semasa Setiausaha Agung DAP itu dikasari oleh seorang penyokong sebuah kumpulan ketika melawat sebuah pasar di Teluk Bahang, Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, Guan Eng mendakwa seorang ahli sebuah kumpulan telah menyentuh bahunya namun berjaya ditahan oleh seorang wakil kerajaan negeri.
Kejadian berlaku apabila sekumpulan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat mengadakan perhimpunan aman bagi membantah kehadiran Guan Eng ke kawasan Teluk Bahang.
/hwa: utusan.com.my | 06/07/12

Tolak pemimpin biadab, jangan kompromi

KUALA LUMPUR 5 Julai - Rakyat diminta menilai dan menolak pemimpin yang mempunyai sikap biadap seperti lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang mengingkari dan menimbulkan kekecohan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semalam.
Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, sikap biadab yang ditunjukkan oleh ADUN berkenaan menggambarkan cara pemerintahan yang akan dilaksanakan jika mereka berkuasa.
"Saya fikir kelakuan yang ditunjukkan itu membuktikan mereka boleh menjadi lebih kasar selepas ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, senario politik pembangkang sekarang menunjukkan bahawa sikap biadab dan kasar adalah amalan harian mereka.
"Saya minta rakyat negara ini untuk menilai adakah mereka ini layak menjadi pemimpin kerana bukan sahaja telah merendahkan martabat kepada rakyat negara ini tetapi juga kepada dunia," katanya.
Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad semalam membuat keputusan menggantung selama enam bulan kehadiran Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana), Goh Leong San (Kesidang), Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh), Tey Kok Kiew (Banda Hilir) dan Lim Jak Wong (Bachang) dalam sidang DUN itu berkuat kuasa semalam.
Dalam sidang DUN itu semalam, Betty Chew telah menempelak Othman dengan berkata: Malu ke atas awak (Shame on you) Datuk Speaker," kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi oleh Othman berhubung isu melibatkan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Gan Tian Loo.
Sejurus selepas itu, dua ADUN DAP, Poay Tiong dan Jak Wong bangun sambil merentangkan kain pemidang tertulis perkataan dalam bahasa Cina dan Inggeris "Shame on you Gan Tian Loo".
Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, sikap biadab itu tidak boleh dikompromi kerana dibimbangi menjadi budaya dalam politik tanah air.
/hwa: utusan.com.my | 06/07/12

Anwar sedar pembangkang akan kalah

KUALA LUMPUR 5 Julai - Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau bersedia untuk 'bersara' daripada politik jika pembangkang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13, menunjukkan Ketua Pembangkang itu sedar pakatan tidak akan mampu mengalahkan Barisan Nasional (BN).
Justeru jelas Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip, 'tawaran' tersebut hanya bertujuan meraih simpati rakyat dan pada masa sama Ketua Pembangkang itu mahu menguji kesetiaan para pengikutnya.
Katanya, jika Anwar benar-benar ikhlas mahu bersara beliau tidak akan membuat kenyataan awal dalam akhbar Financial Times, sebaliknya bertindak seperti yang pernah dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat pengumuman mengejut.
"Beliau memang sedar sekarang ini sokongan padu rakyat memihak kepada BN selepas pelbagai transformasi dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Anwar gagal menyaingi kehebatan Najib maka sebab itu beliau membuat kenyataan begitu.
"Anwar mahu meraih simpati rakyat dan juga untuk menguji kesetiaan pengikutnya. Beliau sedar hanya dengan simpati rakyat akan memberi sedikit sokongan kepada pembangkang kerana dari segi idea, Najib lebih hebat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam wawancara dengan Financial Times, Selasa lalu, Anwar membayangkan beliau mungkin bersara daripada politik tanah air dan menjadi pensyarah sekiranya pembangkang tidak berjaya merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Muhammad Zahid berkata, tindakan Anwar membayangkan mahu bersara juga sebenarnya bagi mengalih isu penghakiman penuh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengesahkan berlaku penetrasi ke atas Mohd. Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat.
Jelasnya, Ketua Pembangkang itu ketika ini berada dalam keadaan amat tertekan kerana penghakiman penuh tersebut jelas membuktikan liwat ke atas Mohd. Saiful berlaku dan beliau sekarang adalah liabiliti kepada pembangkang, bukannya aset seperti didakwa," katanya.
"Tetapi jika itulah hasrat Anwar, saya menggesa seluruh rakyat menunaikan hasratnya kerana TIBAI menganggap kehadiran beliau yang penuh dengan isu moral dalam politik seperti melukut di tepi gantang, masuk tak tambah, keluar tak kurang tetapi lebih baik tiada," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 06/07/12

4 Julai 2012

DAP semakin 'cuak' tawaran BN

Hampir setiap muka surat Buletin Mutiara keluaran Mei 2012 memaparkan gambar Lim Guan Eng. 
*****
TIDAK mungkin tersalah cetak. Atau, kesilapan teknikal penerbitan.
Tetapi itulah yang berlaku sehinggakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didakwa banyak pihak sebagai 'gila publisiti'.
Ini apabila buletin keluaran kerajaan DAP Pulau Pinang, Buletin Mutiara edisi Mei lepas memuatkan sejumlah 51 gambar Ketua Menteri Pulau Pinang itu. Nampaknya jumlah gambar-gambar itu mengatasi pula muka surat buletin yang sekadar 28 helaian itu.
Nampaknya Guan Eng terpaksa 'menelan' kritikan yang dia lemparkan selama ini terhadap kepemimpinan Barisan Nasional (BN) yang dituduhnya sebagai 'gila kuasa' dan 'sentiasa mahu publisiti murahan'. Akhirnya, Buletin Mutiara mendedahkan segala-galanya - asyik mempromosi dirinya sendiri dalam buletin kerajaan negeri.
Buletin Mutiara yang diterbitkan setiap bulan dengan cetakan ratusan ribu naskhah oleh kerajaan DAP pulau itu kini menjadi perbualan hangat warga Pulau Pinang kerana hanya memuatkan gambar Guan Eng dalam setiap muka surat.
Sedangkan setiap bahan yang diterbitkan 'kalau boleh' haruslah menggambarkan pembangunan dan kemajuan di Pulau Pinang. Selitkanlah juga berita-berita berkaitan kebajikan penduduk. Namun hanya Guan Eng menjadi 'berita utamanya'.
Tidak salah mempromosi diri sendiri tetapi biarlah 'patut-patut'. Ketika ramai lagi pemimpin dalam pakatan pembangkang di Pulau Pinang itu - dari PKR dan Pas serta lain-lain pemimpin dalam DAP - dikatakan turut 'bekerja keras' untuk pembangunan negeri itu, takkanlah hanya 'seorang sahaja dapat nama'.
Apa pun penyiaran merata gambar-gambar Guan Eng dalam 'buletin' berkenaan bukanlah suatu yang menghairankan. Ini jika dilihat peranan 'buletin' berkenaan dalam menguar-uarkan propaganda DAP Pulau Pinang.
Baru-baru ini, buletin yang sama juga menyiarkan laporan yang disifatkan oleh rakyat Pulau Pinang suatu penipuan besar apabila mendakwa kerajaan DAP itu sudah membina 11,596 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejak 2008.
Laporan terbitan 1-15 April lalu itu bukan saja tanpa disokong bukti tetapi turut bercanggah dengan kenyataan Guan Eng selepas itu, yang menurut Ketua Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin sebagai menipu rakyat - dengan mendakwa kononnya kerajaan pakatan pembangkang memperjuangkan nasib orang miskin.
"Kenyataan buletin itu bahawa kerajaan pakatan pembangkang sudah membina 11,596 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah menerusi PDC sejak 2008 adalah cubaan mengelirukan rakyat dan gimik menjelang pilihan raya.
"Laporan itu bertentangan dengan kenyataan Guan Eng di Komtar pada 29 April (2012) yang mengakui kerajaan negeri hanya membina 1,194 unit rumah kos rendah dan 2,227 kos sederhana rendah, manakala selebihnya iaitu 2,612 rumah kos rendah dan 5,563 rumah kos sederhana rendah dibina pihak swasta.
"Jadi, kenyataan disiarkan Buletin Mutiara itu adalah penipuan paling hebat dalam sejarah DAP untuk mengelirukan rakyat Pulau Pinang dengan Guan Eng bertanggungjawab sepenuhnya," katanya.
Dan kalau dibelek-belek sebab kebimbangan kerajaan DAP Pulau Pinang sehinggakan gambar-gambar Guan Eng dimuat penuh dalam Buletin Mutiara, ia bukanlah sesuatu yang pelik.
Antaranya, kerana kebelakangan ini Setiausaha Agung DAP itu dikatakan agak 'cuak' dengan komitmen dan kerja keras BN negeri di bawah kepemimpinan mudanya, Teng Chang Yeow.
Pemimpin muda ini giat meredah pelosok negeri bertemu dan menyelesaikan masalah rakyat.
Apabila Chang Yeow berkata "I have a vision for developing Penang" dalam New Straits Times bertarikh 10 Jun 2012, pastinya kenyataan itu menjadi satu ancaman kepada Guan Eng dan para strategis DAP. Maknanya, Chang Yeow telah menawarkan satu lagi tawaran baru kepada rakyat Pulau Pinang sebagai counter offer kepada apa yang ditawarkan oleh kerajaan Guan Eng.
Inilah yang menggusarkan Guan Eng dan pemimpin DAP negeri. Sebagai kerajaan negeri, sepatutnya Guan Eng yang membuat 'tawaran' yang DAP mempunyai wawasan untuk membangunkan Pulau Pinang.
Dan yang lebih 'parah' didengari oleh Guan Eng daripada Chang Yeow ialah apabila Pengerusi BN Pulau Pinang itu menegaskan: "Tidak ada apa pun yang dibuat oleh kerajaan Pulau Pinang dalam empat tahun ini. Mereka tidak ada polisi atau blueprint untuk Pulau Pinang."
Dan tidak hairanlah sejak Chang Yeow dilantik memegang kerusi Pengerusi BN Pulau Pinang, beliau telah 'diserang' dengan strategi 'dicemarkan imej ' oleh pihak tertentu sehinggakan ada mengatakan 'Chang Yeow lebih 'ditakuti' berbanding 'Tsu Koon' (Tan Sri Koh Tsu Koon, bekas Pengerusi BN dan Ketua Menteri Pulau Pinang.)
Apa pun bukan sahaja 'kegawatan' Guan Eng dirasai di Pulau Pinang. Khabar keretakan hubungan antara Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Prof. Rama bukan lagi rahsia. Ini terutamanya dalam kalangan masyarakat India di Pulau Pinang.
Cuma tidak tahu siapa punya angkara apabila gambar Karpal dikatakan telah dipotong dari papan iklan sambutan 'Kumba Abishegam' di Pulau Pinang baru-baru ini.
Gambar Karpal dipercayai dirosakkan oleh pihak tertentu yang tidak menyenangi kehadiran Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu ke majlis keagamaan tersebut yang turut dihadiri oleh semua pemimpin DAP India yang lain.
Kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama. Tetapi sudah acap kali terjadi. Setiap papan iklan dan poster seringkali dipotong, dituang cat atau di koyakkan andainya imej dua pemimpin itu diletakkan serentak. Pada masa sama, masyarakat India di Pulau Pinang turut dikatakan 'makan hati' dengan Prof. Rama yang didakwa tidak dapat memenuhi janji-janji dengan kaum tersebut.
Ketika paparan gambar-gambar Guan Eng dalam Buletin Mutiara semakin 'galak', BN sebenarnya mempunyai tugas yang amat berat untuk mengembalikan mandat rakyat Pulau Pinang kepada parti itu.
Cabaran paling besar adalah untuk memperbetulkan imej dan persepsi rakyat terhadap kemampuan dan kebolehannya dalam mempertingkatkan kebajikan kepada rakyat secara umum.
Ini hasil daripada banyak insiden dan kejadian yang telah mencacatkan imej BN sebelum ini.
Begitupun semakin ramai rakyat Pulau Pinang sejak akhir-akhir ini kian yakin dengan BN. Ini dilihat daripada program transformasi kerajaan dan ekonomi yang dilancarkan oleh Perdana Menteri. Ia diyakini dapat memulihkan keyakinan rakyat kepada BN di Pulau Pinang. Ditambah lagi dengan kesungguhan BN Pulau Pinang kini yang bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu padu.
Satu pasukan yang tidak membezakan UMNO, Gerakan, MCA, MIC atau Parti Progresif Penduduk (PPP) dan lain-lain.
/hwa: utusan.com.my | 4/7/12

Tiada masalah teknikal untuk Lynas beroperasi: ASM

KUALA LUMPUR: Projek pemprosesan nadir bumi milik Syarikat Lynas Corporation Ltd di Gebeng, Pahang, tidak menunjukkan wujudnya masalah dari segi teknikal, kata Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia (ASM), Dr Ahmad Ibrahim.

Beliau berkata, tiada halangan mahupun sebab utama mengapa kerja pemprosesan nadir bumi tidak boleh dijalankan di negara ini kerana dari segi teknikal kilang Lynas akan menggunakan teknologi semasa. "Hasil kajian ASM mendapati tiada masalah dari segi teknikal untuk Lynas beroperasi kerana sumber yang akan diproses dari China dan Australia nanti adalah sumber yang sama yang diproses oleh kilang berusia hampir 50 tahun di Perancis.
"Bayangkan kilang yang hampir 50 tahun beroperasi di bandar pelancongan La Rochelle di Perancis itu masih utuh dan diakui selamat, inikan pula kilang di Gebeng itu yang menggunakan teknologi semasa," katanya selepas diwawancara dalam rancangan terbitan Radio 24 di Wisma BERNAMA.

La Rochelle milik Kumpulan France's Rhodia adalah pelopor dalam perniagaan nadir bumi bagi Perancis di mana ia adalah satu-satunya syarikat perindustrian bersepadu yang menjalankan operasi pembuatan dan bekalan bahan mentah seperti kilang nadir bumi di China.

Pada 25 Jun lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) membentangkan hasil laporannya di Dewan Rakyat dan mengesyorkan supaya Lesen Pengendalian Sementara (TOL) dikeluarkan bagi membolehkan kilang Lynas beroperasi.

Laporan itu turut mengesyorkan kilang berkenaan boleh memproses bahan mentah secara berperingkat dan terhad serta dikawal selia secara berterusan oleh agensi penguat kuasa. - BERNAMA.
/hwa: bharian.com.my | 4/7/12

Menteri Pelajaran ASEAN

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran bergambar kenangan bersama Menteri Pelajaran ASEAN sebelum majlis perasmian mesyuarat berkenaan di Yogyakarta, Indonesia, hari ini. - Foto BERNAMA
Jul 4, 2012 2:14 pm

Prospektus 'Integrated Healthcare Holdings Sdn Bhd' (IHH)

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak memegang buku yang mengandungi tawaran permulaan awam prospektus 'Integrated Healthcare Holdings Sdn Bhd' (IHH) selepas pelancaran buku itu di Kuala Lumpur, hari ini. Turut sama Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar (kanan). - Foto BERNAMA
Jul 3, 2012 2:22 pm

Perluas tasawur: PM

Penulis perlu kongsi ilmu bersama rakyat, elak kealpaan

Putrajaya: Kestabilan dan keamanan dinikmati Malaysia tatkala banyak negara, khususnya Islam bergolak politiknya, memberi kebebasan kepada penulis berfikir serta mengembangkan kegiatan intelektual dan ilmiah. Namun, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan kealpaan yang menyebabkan lenyapnya kegemilangan empayar Islam di Baghdad, Cordoba, Qairuwan, Bashrah dan Kufah yang penduduknya pernah mendalami serta mentelaah pelbagai seni pengajaran harus dijadikan iktibar.
Catat kehebatan sastera

“Jika biarkan fitnah atasi kebenaran, yang batil menggerhanakan yang hak, sangkaan atasi ilmu pengetahuan serta kepalsuan mengorbankan kebenaran, maka jangan hairan jika kita juga kelak hanya mampu menangisi apa yang kita hilang hari ini.

“Penulis tempatan perlu memperluaskan tasawur dengan menerokai dunia untuk menimba ilmu yang boleh dikongsi bersama rakyat selain mencatat kehebatan kesusasteraan dan perbukuan di luar sana.

“Kerajaan akan sentiasa memberikan ruang kepada penulis untuk berkarya dan membantu generasi muda, bagi memperkembangkan bakat mereka,” kata Perdana Menteri berucap pada majlis pelancaran 30 Judul Buku Karya Asli Terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di sini, semalam.
Beliau berkata, kerajaan amat menghargai peranan dimainkan penulis dalam perjalanan nasional ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Katanya, kemajuan dan pembangunan sesebuah negara tidak dapat diukur melalui pendapatan perkapita, kadar pertumbuhan ekonomi atau jumlah eksport semata-mata, sebaliknya ia juga harus diukur daripada hasil kreativiti dan inovasi masyarakatnya yang dicerminkan melalui hasil penulisan.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi ITBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Izham Yusoff.

Najib berkata, ITBM berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan menerbitkan 30 judul buku karya asli dalam pelbagai bidang, antaranya sastera, umum dan pendidikan sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkannya iaitu 10 judul sebulan bermula bulan lalu.

Antara judul buku yang diterbitkan ialah antalogi rencana karya Rahimidin Zahari dan Shamsudin Othman bertajuk Pengakuan Penyair, novel Perempuan Nan Bercinta karya Faisal Tehrani, Biar Puisi Menjadi Peluru iaitu kumpulan puisi karya Saifullizan Yahaya dan Memoir Seorang Juruhebah karya Zainal Abas. 
/hwa: bharian.com.my | 4/7/12

Impian Perdana Menteri, impian rakyat

KETIKA berucap merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Kadazandusun Murut di Tambunan, Sabah baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan empat impiannya untuk Malaysia.
Pertama, menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, selamat dan harmoni bagi membolehkan segala program dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. Kedua, untuk melakukan transformasi bandar dan luar bandar agar rakyat mendapat pendapatan tinggi dan negara dimartabatkan sebagai negara maju.
Yang ketiga, bagaimana Kerajaan Pusat dan negeri dapat mewujudkan peluang yang lebih supaya di bawah langit 1Malaysia semua rakyat mendapat peluang sebaik-baiknya untuk mencapai potensi maksimum sebagai individu manakala yang keempat adalah mewujudkan Malaysia yang lebih baik dan kuat bagi memastikan masa hadapan generasi muda akan terjamin.
Empat impian ini sepatutnya tidaklah terlalu sukar untuk menjadi kenyataan jika rakyat bersatu memainkan peranan bersama dan memahami erti yang tersurat dan tersirat di sebaliknya. Itu jugalah yang sepatutnya menjadi hasrat dan impian kita semua iaitu ingin melihat negara berdaulat ini menjadi kebanggaan dan tempat tumpah darah yang tiada tolok bandingnya.
Apabila ada pihak yang mengisytihar dan mengiktiraf bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan selamat, maka ia sepatutnya bukan hanya untuk dibanggakan tetapi dipertahankan serta sentiasa menjadi keutamaan dalam apa jua yang dilakukan.
Ini juga bermakna rakyat harus menolak apa jua tindakan yang dilakukan untuk mengganggu-gugat ketenteraman dan keharmonian yang ada. Apa juga percubaan oleh mana-mana pihak, termasuk melakukan provokasi untuk bergaduh sesama sendiri harus ditentang. Begitu juga demonstrasi jalanan yang mengganggu ketenteraman dan pembangunan ekonomi negara serta menimbulkan persepsi buruk terhadap kita.
Mereka yang cintakan kedamaian dan ingin menjulang kesejahteraan bersama, tidak akan berkompromi dengan usaha-usaha sedemikian, Tidak pedulilah ia dilakukan oleh sesiapa pun, atas landasan apa jua pun yang dianggap akan memulakan masalah yang menjadi duri dalam daging dan api dalam sekam.
Mereka seperti ini harus merasa malu apatah lagi jika memburuk-burukkan nama baik negara sendiri di negara asing dan hanya mencari segala yang buruk untuk diketengahkan.
Isu-isu perkauman, usaha untuk memusnahkan dan menghancurkan nilai-nilai moral yang dipersetujui bersama terutamanya yang telah sedia ditentukan oleh agama, kebebasan seks, jenayah dan apa jua yang seangkatan dengannya menjadi musuh untuk dihadapi bersama.
Kain-kain rentang yang mengandungi persoalan seperti mempertikaikan nasib sesuatu kaum tanpa fakta yang sah dan rasional tidak wajar dipaparkan secara terbuka. Menghasut kebencian, menggunakan isu seperti azan yang dianggap mengganggu ketenteraman awam dan menyekat aktiviti ekonomi yang dilakukan tanpa penyelesaian yang rasional seperti yang pernah berlaku tentunya antara perbuatan yang sangat tidak wajar.
Begitu juga menggunakan blog dan kebebasan dalam media sosial untuk melakukan kritikan terbuka sehingga menyinggung perasaan orang lain, tentunya amat tidak rasional dan boleh mengancam impian yang dibina.
Justeru kita harus lebih matang dalam menilai dan membuat pertimbangan dalam melihat kepada fakta yang dibentangkan oleh pihak yang sentiasa mencari kesalahan. Rakyat yang matang dan berilmu pengetahuan harus lebih realistik, melakukan pertimbangan yang melihat dari semua aspek hidup dan tidak mudah terpengaruh dengan kepentingan peribadi dan politik sesetengah pihak, walau pun atas nama agama apatah lagi apabila api kebencian ditanam dan kilang khabar-khabar angin menjadi sumber maklumat yang diterjemahkan sebagai fakta.
Dengan ilmu pengetahuan dan peluang belajar setinggi-tingginya sepatutnya membuka mata untuk kita berusaha secara bersama membantu dalam impian ini sebagai kenyataan. Kita harus menggembleng kekuatan ilmu dan pengalaman yang ada untuk mengatasi masalah yang banyak terdapat dalam masyarakat kita, daripada masalah jenayah yang kronik sehingga sanggup membakar mangsa sehinggalah kepada isu-isu penderaan, seksual, penyalahgunaan dadah, penyakit berbahaya dan sebagainya yang harus diselesaikan bersama oleh institusi-institusi sosial yang ada termasuk institusi agama.
Begitu juga dengan usaha untuk meningkatkan lebih kefahaman budaya dan toleransi sesama kita untuk saling menghormati dan mempertahankannya dalam apa keadaan jua pun perlu dibuat secara berterusan.
Jika keamanan, keharmonian, keselamatan masyarakat dan kedamaian dapat diwujudkan, yang lain-lainnya akan ikut serta dengan sendiri di samping semua pihak memainkan peranan masing-masing. Ini termasuklah gerak kerja pelbagai agensi dan pihak swasta dalam membangunkan peluang-peluang yang ada.
Bukan sahaja keseimbangan kaum dalam sektor awam, tetapi juga sektor swasta yang harus dilakukan dengan ikhlas dan peluang sama tanpa cuba meletakkan syarat-syarat yang awal-awal lagi sudah menyebabkan orang lain tersingkir.
Bagi generasi muda, pelbagai peluang telah diberi. Anak-anak muda yang kebanyakannya lahir dari generasi yang lebih senang berbanding dengan generasi lama yang hidup dalam kesukaran, sewajarnya tidak lagi merungut yang mereka diketepikan atau suara mereka tidak didengar. Terlalu banyak ruang dan kebebasan yang diberi untuk mereka bereksperimen dan mengambil kesempatan yang sewajarnya dalam membangunkan diri dan masa hadapan yang bermakna.
Mengkritik dan berbeza pendapat tidak salah dalam tertib dan budaya tinggi keilmuan malah amat penting untuk dilakukan penambahbaikan. Mereka yang dikritik perlu menerima secara terbuka dan bersedia untuk berubah apabila terbukti kesilapannya.
Namun terpengaruh dengan ajakan dan tohmahan tertentu, cepat terpaku dengan idealisme yang menjanjikan bulan dan bintang apatah lagi sukar berpijak di bumi nyata tentunya akan mengundang padah dan akan menyebabkan kita terus bertelingkah.
Budi bahasa, budi bicara dan akal budi menjadi teras dalam melakukan tindakan dalam menunaikan impian bersama. Rukun Negara menjadi landasan untuk memastikan keharmonian yang ada tidak diremehkan.
Impian Perdana Menteri perlu dihayati bersama oleh seluruh rakyat yang cintakan negara. Impian itu juga adalah hasrat bersama rakyat marhaen dan mereka yang berjuang sekian lama untuk menegakkan maruah satu bangsa, satu negara.
Tugas kita adalah terus berusaha gigih menunaikan amanah yang ada, bukan hanya mencari kesilapan dan menuding jari. Siapa pun kita, impian ini harus terus dipegang bersama demi negara yang dicintai ini. Biar payah, biar sesekali terluka, kita harus bangun bersama untuk menunai dan mempertahankan impian yang ada.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12

Malaysia bukan seperti politik Mesir

Presiden Mesir yang baharu, Mohammed Mursi melihat orang ramai yang berhimpun untuk mendengar ucapannya di Dataran Tahrir, Kaherah pada 29 Jun lalu. - REUTERS 
*****
KEMENANGAN Ikhwan Muslimin pada pilihan raya bebas yang pertama di Mesir tahun lalu dan baru-baru ini salah seorang pemimpinnya, Mohammed Mursi menang pula pilihan raya Presiden dan dilantik mengambil tempat Hosni Mubarak menyebabkan ramai yang teruja.
Teruja kerana buat pertama kali di Mesir, pemimpin dari aliran agama berjaya menduduki kerusi Presiden. Teruja kerana Ikhwan Muslimin yang terkenal sejak Perang Dunia Pertama dan terkenal kerana peranannya dalam revolusi Mesir pada 1952 akhirnya diiktiraf melalui pilihan raya.
Umat Islam di seluruh dunia tumpang gembira dengan kejayaan Ikhwan Muslimin. Di tangan Ikhwan Muslimin, Mesir diramal akan membuka laluan baru kepada perkembangan Islam di Asia Barat terutama yang membabitkan Israel, Palestin dan Iran.
Bahang kemenangan Ikhwan Muslimin dan pelantikan Mursi sebagai Presiden Mesir turut dirasai di Malaysia.
Tidak kurang juga yang menyamakan kebangkitan Ikhwan Muslimin dan kemenangan Mursi dengan perjuangan kumpulan tertentu untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.
Sudah ada yang mula melaungkan bahawa Malaysia perlu mencontohi apa yang berlaku di Mesir - menggantikan pemimpin dan kerajaan sedia ada.
Tetapi benarkah senario politik di Malaysia sama seperti apa yang berlaku di Mesir? Kenapa ada pihak yang begitu dangkal sampai gagal membezakan sejarah politik antara Mesir dengan Malaysia?
Dalam sejarah Mesir, Mursi merupakan orang awam pertama yang dilantik sebagai presiden. Malah pilihan raya yang menyaksikan kemenangan Mursi itu juga merupakan yang pertama kali diadakan secara bebas dan terbuka dalam tempoh 60 tahun.
Sedangkan dalam tempoh 60 tahun lalu, Mesir dikuasai oleh kerajaan tentera dan langsung tidak mempedulikan suara rakyat. Memang Mesir terkenal dengan ketamadunannya. Termasuk tamadun Islam selain memiliki tokoh-tokoh agama dan politik tersohor.
Ramai yang menyanjung akan ketokohan pemimpin-pemimpin pejuang seperti Hassan Al-Bana yang bertanggungjawab menghidupkan Ikhwan Muslimin.
Tetapi perlu diingat, Al-Bana juga yang mendokong revolusi 1952 dengan menyaksikan kejatuhan pemerintahan beraja dan digantikan pemerintahan autoritarian tentera. Al-Bana melalui Ikhwan Muslimin merupakan penggerak menjatuhkan pemerintahan Raja Farouk yang membawa kepada penubuhan kerajaan autoritarian pimpinan Gamal Abdel Nasser.
Tetapi selepas Nasser mendapat kuasa, Al-Bana dan Ikhwan Muslimin dilihat sebagai pengancam dan pengacau lalu diharamkan. Hasil revolusi yang turut didokong oleh Al-Bana itulah melahirkan pemimpin-pemimpin autoritarian yang menguasai Mesir selama 60 tahun.
Selepas Nasser meninggal pada 1970, tempatnya diambil oleh Anwar Sadat yang kemudiannya dibunuh dan digantikan oleh Hosni Mubarak.
Sejarah politik Mesir semuanya penuh dengan pertumpahan darah dan huru-hara. Peralihan pimpinannya tidak pernah aman. Sentiasa saja ada korban dan sentiasa kucar-kacir dan huru-hara.
Begitu juga dengan peralihan kuasa daripada Mubarak kepada Mursi sekarang ini. Ia berlaku selepas terjadinya huru-hara. Dalam revolusi rakyat di Dataran Tahrir yang bermula Januari tahun lalu, sekurang-kurangnya 900 nyawa melayang sebelum Mubarak bersetuju melepaskan kuasa bagi diadakan pilihan raya yang menyaksikan kemenangan Mursi.
Jadi, di mana persamaan pemerintahan autoritarian selama 60 tahun di Mesir dengan demokrasi berperlembagaan Malaysia yang tidak pernah gagal memilih kerajaan baharu setiap lima tahun?
Di Malaysia bukan sahaja pemimpin negara yang dipilih melalui proses pilihan raya, malah pemimpin parti politik juga di pilih oleh ahli. Hanya satu parti saja di negara ini yang pemimpinnya tertingginya tidak melalui proses pemilihan.
Jika di Mesir, ini merupakan kali pertama pilihan raya bebas diadakan, di Malaysia ia telah diadakan sejak dari tahun 1955 - ketika negara belum mencapai kemerdekaan.
Biarpun negara berhadapan dengan rusuhan kaum pada 1969, tetapi ia tidak pernah dijadikan alasan untuk membatalkan pilihan raya umum.
Di Malaysia parti-parti politik bebas tumbuh pada bila-bila dengan apa juga nama. Tidak ada satu pun yang diharamkan oleh kerajaan kecuali Parti Komunis Malaysia (PKM). Itupun disebabkan PKM memilih perjuangan bersenjata dan ideologinya menolak akan kewujudan Tuhan.
Berbanding dengan Mesir, Ikhwan Muslimin yang merupakan parti Islam terbesar di dunia Arab yang ditubuhkan pada 1928, ia sering berhadapan dengan tindakan-tindakan oleh kerajaan. Selepas perang Arab-Israel, ia diharamkan oleh kerajaan Mesir dengan anggotanya telah dipenjarakan.
Biarpun ia membantu Nasser dalam revolusi 1952, namun selepas itu Ikhwan Muslimin tetap diharamkan sehinggalah kebangkitan semulanya pada 2011.
Adakah parti-parti politik di Malaysia seperti Pas, DAP dan PKR menerima nasib yang sama dengan Ikhwan Muslimin? Sejak didaftarkan pada 1955, Pas tidak pernah dihalang atau disekat daripada bertanding dalam pilihan raya apatah lagi diharamkan.
Begitu juga dengan DAP, PKR dan parti-parti lain. Mereka bebas untuk merekrut ahli-ahli baru pada bila-bila masa selain tidak pernah dihalang berceramah termasuk menghentam dan membelasah kerajaan.
Keadaan itu tidak berlaku di Mesir. Malah ia belum tentu akan berlaku walaupun kini wakil Ikhwan Muslimin dilantik sebagai Presiden kerana pengaruh tentera masih menguasai politik negara itu.
Di Malaysia, pemimpin-pemimpin pembangkang tidak pernah gagal dan tidak pernah dihalang bertanding dalam setiap pilihan raya. Ada di kalangan pemimpin pembangkang di negara bertanding dalam pilihan raya sejak 1967 sampai sekarang.
Pemimpin DAP, Lim Kit Siang misalnya, sejak dari 1969 lagi sudah menjadi Ahli Parlimen. Hingga sekarang Kit Siang masih lagi Ahli Parlimen dan boleh dikatakan menang dalam setiap pilihan raya yang ditandinginya.
Kebebasan dan nikmat sebagai pembangkang di negara ini itu tidak pernah dirasai oleh pemimpin pembangkang di Mesir.
Cuma bezanya sehingga kini Pas, DAP dan PKR belum mampu untuk membentuk Kerajaan Pusat. Itu disebabkan mereka gagal mendapatkan mandat yang cukup dari rakyat berbanding BN. Bukan sebab mereka ditindas, dinafikan hak atau kerana Malaysia mengamalkan autoritarian.
Yang pasti, sejak pilihan raya bebas yang pertama pada 1955 hingga kini sudah 12 kali pilihan raya umum diadakan. Sedangkan di Mesir dalam tempoh 60 tahun baru sekali ia diadakan.
Walaupun pembangkang belum diberikan mandat oleh rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, tetapi beberapa negeri kini dikuasai mereka. Kemenangan mereka diiktiraf dan diperakui oleh sistem politik yang diamalkan di Malaysia.
Cuba lihat nasib Ikhwan Muslimin. Walaupun mereka menang pilihan raya parlimen tahun lalu, tetapi kerjaan sementara yang disokong oleh tentera selepas Mubarak meletakkan jawatan dengan sewenang-wenangnya mempengaruhi hakim supaya membubar Parlimen dan seterusnya menafikan kemenangan tersebut.
Jika Malaysia diperintah secara autoritarian seperti di Mesir, mungkinkah Pas boleh membentuk kerajaan selama lebih 20 tahun di Kelantan dan kemudian bersama kawan-kawan dalam pembangkang membentuk pula kerajaan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor?
Di Malaysia peluang untuk mana-mana parti politik membentuk kerajaan sentiasa ada. Tetapi, semuanya terletak di tangan rakyat. Di sebalik pelbagai dakwaan bahawa pilihan raya di negara ini tidak telus, ada penipuan, wujud pengundi hantu dan senarai daftar pemilih tidak bersih, tetapi Pas, DAP dan PKR boleh pula membentuk kerajaan di Selangor yang merupakan negeri terkaya di Malaysia selain menguasai Kedah dan Pulau Pinang serta mengekalkan kuasa di Kelantan.
Realitinya situasi politik di Malaysia tidak boleh disamakan dengan Mesir. Pembangkang di Malaysia menikmati pelbagai bentuk kebebasan dan keistimewaan sejak dari zaman awal negara mencapai kemerdekaan. Malaysia bukannya Mesir. Kebangkitan di Mesir kerana rakyatnya tertindas.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12

Motif sebenar 'tawaran' Pas

ADALAH sesuatu yang melucukan apabila Pas cuba menyeret UMNO dalam isu pahala apabila mengundi sesuatu parti.
Ia jelas apabila Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd.Amar Nik Abdullah mencabar UMNO membuat kenyataan mengundi parti itu atau Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan dikira sebagai amal soleh dan mendapat pahala sama seperti yang dinyatakan Pas kepada penyokongnya.
Sebagai orang kepercayaan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan disebut-sebut sebagai Menteri Besar Kelantan, Mohd.Amar mungkin ingin menunjukkan kewibawaan beliau membela 'bosnya' apabila menyatakan sesiapa yang menganggap kenyataan Nik Abdul Aziz 'Undi Pas dapat pahala' sebagai ajaran songsang adalah kerana UMNO kurang dalam ilmu agama.
Baguslah, sebagai seorang bertaraf ulama, Mohd.Amar begitu mudah menuduh pihak lain kurang agama semata-mata hanya membuat kenyataan yang tidak menyebelahi Pas.
Tetapi tidak apalah itu hujah beliau, maklumlah sebagai individu yang dilihat pemimpin masa depan Pas Kelantan, Mohd.Amar juga ingin menampilkan diri sebagai seorang yang mampu berlawan hujah dengan UMNO.
Namun begitu satu perkara yang diperingatkan ialah sejauh manakah Pas begitu yakin bahawa mengundi parti itu mendapat pahala. Sebagai hamba Allah kita tidak berhak untuk begitu yakin bahawa sesuatu kebaikan yang kita lakukan itu mendapat pahala, biarlah soal mendapat pahala atau tidak itu urusan Allah. Kita hanya berdoa agar segala perbuataan baik kita dicatatkan sebagai satu ibadat.
Tetapi Pas nampaknya awal-awal lagi sudah berani menyatakan siapa yang mengundi parti itu mendapat pahala. Persoalannya, apakah ia bermaksud orang yang tidak mengundi Pas tidak mendapat pahala? Bagaimana pula kalau kita mengundi sebuah parti yang kita tahu tidak berupaya melakukan apa-apa jika diberi tanggungjawab atau dalam kata mudahnya memberikan amanah kepada orang yang tidak selayaknya.
Sejarah politik negara sudah membuktikan sejauh manakah kemampuan Pas untuk melaksanakan pentadbiran apabila diberi amanah. Contohnya di Kelantan, tidak apalah kalau Pas hendak mendakwa ramai yang mendapat pahala kerana terus setia bersama parti itu tetapi persoalannya apakah perkembangan Islam di negeri itu lebih baik berbanding apa yang dilakukan oleh UMNO di peringkat pusat.
Tidak gugurkah pahala-pahala mereka yang mengundi Pas di Kelantan apabila kesudahannya mereka dilihat memilih pihak yang tidak berupaya mentadbir, bukankah Rasulullah SAW sudah mengingatkan kita agar menyerahkan amanah kepada orang yang selayaknya.
Oleh itu tidak payahlah Pas hendak begitu bangga dengan menguar-uarkan mengundi parti itu mendapat pahala hanya kerana semata-mata parti tersebut masih bermimpi mereka memperjuangkan Islam.
Pemimpin-pemimpin Pas yang terus bercakap dosa dan pahala ini mungkin masih dibuai mimpi indah bahawa mereka adalah gerakan Islam tetapi hakikatnya mereka tidak ubah seperti 'pak turut' sahaja dalam pakatan pembangkang yang turut dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Pas sudah lama menguburkan impian menubuhkan negara Islamnya dan kini menumpu pula kepada negara berkebajikan yang belum tentu akan dapat diterima sepenuhnya oleh rakan-rakan sekutunya.
Berbanding dengan Pas, UMNO jauh lebih baik dalam soal memperjuang dan memartabatkan Islam tetapi UMNO tidak pernah menguar-uarkan kepada umat Islam kalau undi parti itu mendapat pahala.
Sebaliknya apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO ialah terus melakukan tindakan bagi memartabatkan Islam di negara ini dan menggesa umat Islam supaya sentiasa berusaha mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Tetapi sesetengah ulama-ulama Pas hebat kerana berupaya menentukan bahawa kalau undi Pas dapat pahala.
Hakikatnya, dalam senario politik sekarang 'undi Pas dapat pahala' adalah modal terakhir Pas untuk menarik perhatian orang Melayu untuk mengundi parti itu. Bagi mereka yang taksub menyokong Pas, maka mereka akan percaya semua hujah itu tetapi bagi mereka yang mahu berfikir panjang 'tawaran' Pas itu hanyalah bermotif politik semata-mata.
Ia kerana ramai semakin memahami sejauh manakah keupayaan Pas untuk menegakkan Islam di negara ini.
Pas bukannya tidak diberi peluang untuk membuktikan kewibawaan mereka, rakyat sudah pun memberi peluang terutamanya di Kelantan dan terbaru di Kedah. Tetapi lihatlah apa yang berlaku di negeri-negeri berkenaan, apakah perkembangan Islam benar-benar berada di puncak atau sekadar menjadi slogan dan retorik politik semata-mata. Justeru Pas sepatutnya bermuhasabah dan tidak lagi mengula-gulakan isu pahala dalam meraih sokongan politik. Adalah lebih baik jika Pas menumpukan perhatian untuk memperkukuhkan parti itu sebagai gerakan Islam yang sebenarnya. Kajilah semula asas perjuangan parti itu, apakah perjuangan Pas sekarang sama seperti mana ia mula-mula ditubuhkan?
Dianggotai oleh ramai ulama, bercakap berdegar-degar soal Islam dan bijak berhujah menggunakan ayat al-Quran dan hadis bukanlah jaminan bahawa Islam akan mampu diperkembangkan oleh sesebuah organisasi. Apa yang lebih penting ialah tindakan dan inilah yang dilakukan oleh UMNO yang menjadi tunjang BN sejak dahulu lagi.
UMNO tidak pernah bercakap soal mengundi parti itu mendapat pahala tetapi sebaliknya UMNO melalui kepimpinannya mengatur pelbagai program dan tindakan bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.
Pas boleh sahaja menuduh pihak yang mempertikaikan 'tawaran pahala' mereka sebagai kelompok yang kurang agama tetapi agama Islam juga tidak suka kepada mereka berjanji tetapi tidak mengotakannya dan sanggup mengubah prinsip semata-mata demi memburu kuasa politik. Pas tidak boleh menafikan hakikat itu kerana inilah sikap Pas sejak berkawan dengan PKR dan DAP apatah lagi Pas sendiri tidak boleh memberi jaminan sejauh manakah perjuangan Islam mereka mampu ditegakkan apabila pakatan pembangkang memerintah negara ini.
Justeru adalah lebih baik jika Pas berhenti sahaja bercakap soal pahala ini kerana kita bimbang ia akhirnya hanya akan menguntung pihak lain kerana hakikatnya mengundi Pas belum tentu mampu memartabatkan Islam kerana Pas hanyalah 'pak turut' bukannya dominan dalam pakatan pembangkang.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12

Transformasi Najib bawa Malaysia muncul negara maju - Husni Hanadzlah

AHMAD Husni Hanadzlah (kanan) bersalam dengan Syed Ali Alhabshee selepas menyampaikan taklimat ekonomi dan politik semasa negara pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur, kelmarin. 
*****
KUALA LUMPUR 2 Julai - Hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 tidak akan kesampaian jika rakyat memilih pembangkang menerajui Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ini kerana untuk mencapai cita-cita tersebut dalam tempoh yang cuma berbaki lapan tahun lagi, negara memerlukan kestabilan politik dan kesinambungan dasar sedia ada.
Sambil menyifatkan tempoh lapan tahun itu sebagai 'tahun emas' beliau berkata, hanya dasar transformasi yang sudah dan bakal diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu membawa Malaysia ke arah tersebut.
"Selaku individu yang terlibat dalam Kementerian Kewangan, saya belajar berasaskan realiti dan tiada siapa kecuali Datuk Seri Najib boleh membawa Malaysia muncul negara maju menjelang 2020. Transformasi yang beliau perkenalkan cukup teliti dan menyeluruh.
"Dunia kagum dengan transformasi beliau kerana ketika Amerika Syarikat dan Eropah mengalami kemelesetan, beliau berjaya memacu Malaysia di landasan yang positif," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras di sini semalam.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.
Menariknya pada majlis perasmian itu, Ahmad Husni tidak memberikan ucapan sebagaimana amalan biasa sebaliknya beliau membentangkan taklimat lengkap menggunakan powerpoint kepada para perwakilan mengenai kedudukan ekonomi serta senario politik semasa.
Mengulas lanjut beliau berkata, tiada sebarang sebab untuk rakyat membuat eksperimen politik dengan memilih pembangkang kerana terbukti kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya memberi kesenangan, keharmonian serta kemajuan kepada negara.
Sambil memberi contoh bagaimana nasib yang menimpa Argentina apabila bekas Presiden, Juan Peron disingkirkan, beliau berkata, rakyat Argentina yang suatu ketika menikmati pendapatan per kapita AS$10,000 (RM31,636) sebulan akhirnya menjunam kepada hanya AS$2,000 (RM6,327) sebulan.
"Akhirnya apa terjadi? Barulah rakyat Argentina tersedar dan mahu Peron kembali menjadi Presiden sehingga lahirlah lagu Don't Cry For Me Argentina tetapi kita tidak mahu perkara sama berlaku di Malaysia. Jadikanlah ia sebagai iktibar untuk kita," katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji kecekapan kepimpinan UMNO Bahagian Cheras kerana berjaya muncul bahagian pertama yang memulakan mesyuarat perwakilan dan berharap, kecemerlangan tersebut dapat diperluaskan kepada rakyat di akar umbi.
Katanya, semua ahli UMNO Bahagian Cheras harus meletakkan diri mereka sebagai 'hero' dengan mengambil tanggungjawab untuk menyebar luas kepada seluruh rakyat mengenai usaha-usaha murni BN dalam membela bangsa, agama dan negara.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12

Exco belum lulus Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai

KOTA BHARU 2 Julai - Walaupun projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai masih belum diluluskan mesyuarat Exco, Kerajaan Pas Kelantan telah meminta rakyat negeri itu menghulurkan derma bagi membantu pembinaan projek tersebut.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa (gambar) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau mengakui ia akan dibawa dalam mesyuarat Exco pada 4 Julai ini dan kerja-kerja awal untuk membina lebuh raya tersebut bermula sebaik sahaja pelan yang diukur oleh juru ukur bertauliah diluluskan.
Menurutnya, sehingga kini hanya 30 kilometer daripada 78 kilometer jajaran untuk membina lebuh raya tersebut siap diukur dan akan dibawa ke dalam mesyuarat Exco Rabu ini.
"Hari ini mereka (juru ukur) masih bekerja di dalam hutan, 30 kilometer yang pertama telah siap diukur dalam tempoh dua minggu.
"Insya-Allah ia akan dibawa dalam mesyuarat Exco pada 4 Julai ini. Kalau Exco luluskan, ia akan berkuat kuasa serta-merta, insya-Allah kita boleh mulakan terus kerana empat mesin telah berada di sana sejak tarikh pelancaran.
"Kos yang ditanggung oleh kontraktor adalah RM100,000 setiap bulan, duit yang membazir tidak termasuk kos insurans dan pasukan keselamatan. Kalau Exco boleh izinkan, ia akan berkuat kuasa dan dilaksanakan serta-merta pada 4 Julai ini," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Hassan Mohamood (Pas- Tawang) yang bertanya bilakah kerja-kerja awal pembinaan lebuh raya tersebut akan dimulakan.
Pada 28 Mei lalu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meletakkan batu asas pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di Felcra Mek Nab, Berangan, Machang.
Pembinaannya dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, sekali gus bakal menyelesaikan masalah lalu lintas di negeri ini terutama pada musim perayaan.
Kerajaan Pas Kelantan meminta rakyat negeri itu tampil menghulurkan derma bagi membantu pembinaan lebuh raya yang menghubungkan bandar Kota Bharu dan Kuala Krai.
Sementara itu, Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, kerajaan Pas Kelantan yakin mampu membina fasa pertama lebuh raya tersebut yang melibatkan kos sebanyak RM800 juta melalui royalti daripada bijih besi.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 40,000 tan bijih besi telah dieksport melalui Pelabuhan Tok Bali dan dianggarkan jumlah keseluruhan bahan mineral itu di negeri itu mencecah lima juta tan setahun.
"Pengeksportan bijih besi melalui pelabuhan ini telah menjimatkan kos kontraktor. Sebelum ini kos untuk mengeksport bijih besi melalui pelabuhan di Kemaman dan Kuantan adalah sebanyak RM45 satu tan tetapi melalui Pelabuhan Tok Bali ia hanya RM25 satu tan.
"Jawatankuasa kami mencadangkan supaya royalti dikenakan RM10 minimum ke atas tiap-tiap tan yang dieksport. Kini dianggarkan terdapat satu juta tan pengeluaran bijih besi di negeri Kelantan setiap tahun dan dijangka meningkat sehingga lima juta tan.
"Hasil daripada bijih besi ini sudah cukup untuk menampung pembiayaan lebuh raya ini sebanyak RM800 juta sehingga 2015," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12

Sejarah penyelewengan terbesar negara?

KUALA LUMPUR 2 Julai - Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki RM3 bilion dengan mengawal 20 akaun induk semasa berkhidmat dengan kerajaan sekiranya terbukti benar disifatkan sebagai penyelewengan terbesar yang pernah berlaku dalam sejarah negara.
Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), SD Mohamad Johari Yasin berkata, penyelewengan melibatkan wang rakyat tersebut adalah sesuatu yang amat serius dan ia perlu dijawab segera oleh Ketua Pembangkang itu.
Malah beliau mengulangi gesaan pelbagai pihak agar Anwar memulangkan semula wang tersebut kepada rakyat.
“Persoalannya, kenapa sehingga sekarang Anwar tidak membersihkan namanya dengan menyaman bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid serta ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali yang telah membuat banyak pendedahan.
“Saya yakin, sekiranya semua dakwaan itu benar, ini adalah penyelewengan yang paling besar telah berlaku dalam sejarah negara dan ia merupakan ‘rompakan’ terhadap wang rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 1999, Abdul Murad membuat akuan bersumpah dengan mendakwa Anwar mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang bernilai lebih RM3 bilion.
Bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Datuk Abdul Razak Idris turut dilaporkan membuat pendedahan beliau telah diminta membuat akuan bersumpah membersihkan nama Anwar daripada dakwaan memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion tersebut atas permintaan Anwar yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
SD Mohamad menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis mengadakan siasatan terperinci isu tersebut.
Selain itu, katanya, turut perlu disiasat ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali serta isterinya, Shamsidar Taharin yang didakwa memperoleh kekayaan melampaui pendapatan.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12

Kecewa diperalat pembangkang

BALIK PULAU 2 Julai - Tiga warga emas mendakwa diperalatkan oleh pembangkang untuk meramaikan program lawatan Ketua Menteri, Lim Guan Eng ke Teluk Bahang di sini pada Sabtu lalu.
Ketiga-tiga wanita itu yang kesal kerana dipermain-mainkan sedemikian berkata, seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan mereka akan menerima sumbangan berupa wang tunai daripada kerajaan DAP Pulau Pinang jika hadir.
Mangsa, Norma Yusof, 63, berkata, dia kecewa kerana pemimpin pembangkang tersebut sanggup menipu penduduk kampung semata-mata mahu menunjukkan rakyat menyokong kerajaan DAP Pulau Pinang.
"Saya pergi majlis terbabit tetapi nama saya tidak dipanggil untuk menerima bantuan. Apabila saya pergi berjumpa dengan pemimpin PKR yang datang berjumpa saya Rabu lepas, dia cuba mengelak daripada menjawab pertanyaan saya.
"Saya tidak sangka mereka mempergunakan saya untuk meramaikan majlis terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Zainab Long, 74, memberitahu, dia sanggup berjalan kaki hampir satu kilometer untuk ke lokasi majlis dengan harapan akan menerima bantuan bagi meringan beban keluarganya.
Bagaimanapun, dia amat kecewa kerana sebaik tiba, hanya senaskhah risalah kerajaan negeri, iaitu Buletin Mutiara yang diberikan kepadanya.
Menurut Zainab, alasan yang diberikan penganjur adalah namanya tiada dalam senarai penerima bantuan.
"Sejak empat tahun pembangkang mentadbir, saya belum pernah berjumpa Ketua Menteri dan inilah kali pertama saya dapat melihat dia (Guan Eng) dari dekat.
"Namun, pertemuan pertama itu bukan menggembirakan sebaliknya merupakan titik hitam buat diri saya," tegasnya.
Zainab Boo Ibrahim, 74, pula melahirkan kesedihan kerana golongan susah sepertinya dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab sedemikian rupa.
"Saya kesal dan malu kerana dipermainkan begitu.
"Saya tahu saya miskin dan hidup dengan mengharapkan bantuan orang tetapi janganlah sampai peralatkan kami," katanya sebak.
Sementara itu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang, Mohd. Rizuad Mohd. Azudin memberi tempoh 48 jam kepada Guan Eng bagi membukitkan bahawa seorang ahli Perkasa menepuk bahu beliau seperti yang didakwanya.
"Jika dia (Guan Eng) gagal mengemukakan bukti serta mohon maaf dalam tempoh yang diberikan, saya akan memfailkan saman malu atas dakwaan yang dilemparkan beliau yang sengaja mahu memburukkan nama Perkasa," katanya.
Sabtu lalu, sekumpulan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat mengadakan perhimpunan aman bagi membantah kehadiran Guan Eng ke kawasan mereka di Teluk Bahang di sini.
Mereka berkumpul seawal pukul 7.30 pagi bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap corak pentadbiran Guan Eng yang dikatakan tidak telus dan menindas rakyat khususnya orang Melayu.
Kumpulan itu juga membawa kain rentang yang antaranya tertera perkataan-perkataan seperti 'Guan Eng Rasis' dan 'Guan Eng hanya pandai perkudakan semua bangsa'.
Bagaimanapun, perhimpunan aman itu bertukar menjadi kecoh gara-gara seorang lelaki dipercayai penyokong pembangkang yang turut serta dalam rombongan Ketua Menteri itu menyerang seorang ahli Perkasa.
Akibatnya, kedua-dua kumpulan itu bertegang leher hingga berlaku tolak-menolak di antara satu sama lain sehingga nyaris mencetuskan adegan tumbuk menumbuk.
Bagaimanapun, suasana tegang itu berjaya dilerai dan dikawal oleh polis.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12

Betty enggan ulas Phaik Kheng

MELAKA 2 Julai - Isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, Betty Chew Gek Cheng mengelak daripada mengulas isu seorang wanita, Ng Phaik Kheng yang dikaitkan dengan suaminya, Lim Guan Eng.
Ketika ditanya oleh wartawan selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana meminta mereka bertanya kepada ADUN Duyong, Datuk Gan Tian Loo yang menimbulkan persoalan berkenaan.
''Itu saya tak tahu kes, kalau nak tahu eloklah suruh YB (Yang Berhormat) yang gulung usul itu, bercakap dalam akhbar dan televisyen," ujarnya.
Perkara itu dibangkitkan oleh Tian Loo sewaktu menggulung perbahasan usul membantah perhimpunan Bersih 3.0, yang diadakan pada 28 April lalu.
Tian Loo bertanya kepada Betty jika beliau mengenali Phaik Kheng sambil menunjukkan foto Guan Eng yang di dahinya tertampal plaster.
Persidangan menjadi kecoh apabila Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) bangun mencabar Tian Loo mengulangi soalan tersebut di luar dewan.
Tian Loo berkata, penduduk di Kota Laksamana berminat mengetahui status Phaik Kheng.
''Dalam Internet dan blog ada tulis ADUN Kota Laksamana ada pukul, sepak dan macam-macam terhadap dia.
''Ini kena jawab. Dulu Phaik Kheng kerja di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang tapi sekarang sudah ditukarkan ke pejabat Warisan Dunia Pulau Pinang," katanya.
Soalan itu menimbulkan kemarahan Poay Tiong dan sekali lagi mencabar Tian Loo untuk mengulangi soalan tersebut di luar dewan.
Bagaimanapun, Tian Loo terus menyoal Betty dan bertanya sama ada ADUN Kota Laksamana itu mengenali Phaik Kheng.
Betty kemudiannya bangun menegaskan: ''Saya tak nak cakap di dewan yang mulia ini, kalau dia nak, suruh dia ulang di luar, cakap di akhbar saya pun boleh jawab tak payah cakap dalam dewan ini."
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12

Suaram didakwa diwujud untuk kelirukan rakyat

Ramlan Abu Bakar membuat pendedahan tentang agenda Suaram ketika mengunjungi pejabat Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 2 Julai - Kewujudan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dilihat semata-mata mahu mengelirukan rakyat berikutan peranannya yang cenderung sebagai alat dalam penyebaran fitnah ke atas kepimpinan negara.
Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar berkata, agenda tersembunyi 'pertubuhan' itu terbukti apabila mereka tergamak mempengaruhi ahli pakatan pembangkang yang lain untuk membuat laporan palsu kepada pihak polis.
"Ini merupakan pertama kali saya tampil mendedahkan permainan dan agenda tersembunyi Suaram.
"Selama 12 tahun berada dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), saya ibarat tali barut Suaram.
"Suaram tidak akan bertindak atas nama syarikat mereka, sebaliknya gunakan orang lain untuk mencapai sesuatu matlamat," katanya ketika ditemui di pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas gesaan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah supaya Suaram menjelaskan kedudukan sebenarnya kerana semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati ia adalah syarikat swasta yang mempunyai pendapatan lebih RM900,000 dalam tempoh 2009 dan 2010.
Ramlan mendakwa, Suaram telah mempengaruhinya untuk membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
"Laporan polis bertarikh 21 Oktober 2008 di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi dibuat atas nama Sekretariat Anak Muda Malaysia (SAMM).
"Antara terlibat membuat laporan pada masa itu ialah Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin; Aiman Athirah Al-Junid, Wan Mohd. Anies Wan Adham, Amin Iskandar dan saya.
"Seingat saya individu yang membuat laporan tidak dibekalkan dengan salinan laporan polis. Begitulah hebatnya rancangan Suaram untuk menjatuhkan kerajaan iaitu menerusi undang-undang dan penganjuran demonstrasi jalanan," dakwanya.
Menurut Ramlan, menerusi maklumat yang diperolehinya, sumber pendapatan terbesar syarikat itu adalah hasil pembiayaan salah seorang pemimpin pakatan pembangkang.
"Saya cabar pemimpin berkenaan buat pengesahan dan beri penjelasan sumbangan sebenar pendapatan syarikat," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12

3 Julai 2012

Kakitangan awam mesti cepat dan tepat

NAJIB Tun Razak menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (kanan), Tan Sri Koh Tsu Koon (dua dari kiri), Datuk Seri G. Palanivel (dua dari kanan) dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa. - BERNAMA 
*****
PUTRAJAYA 2 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kakitangan awam bertindak secara terancang, mengambil sikap bergerak dengan cepat, tepat dan berintegriti (CTI) supaya rakyat dapat merasai perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan.
Perdana Menteri berkata, sikap itu perlu disokong dengan produktiviti, kreativiti dan inovasi (PCI) agar kepuasan rakyat terus meningkat terhadap perkhidmatan kerajaan.
''Kalau kita ingat pada dua akronim ini, ia mencerminkan proses pembaharuan yang perlu dilakukan dalam perkhidmatan kerajaan iaitu mencari idea-idea baru lebih bernas dan tidak begitu konvensional kerana yang penting ialah keberhasilan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Menurutnya Najib, dalam pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara yang baru, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, beliau mahu perkhidmatan awam diterapkan dengan akronim-akronim yang dapat menggambarkan proses pembaharuan dalam kerajaan.
Beliau menarik perhatian tentang analogi Euro 2012 di mana Sepanyol menang tanpa ada penyerang namun enam pemain tengahnya masing-masing boleh menjaringkan gol.
Perdana Menteri menyifatkan kejayaan Sepanyol itu satu formasi yang tidak biasa dilakukan dan belum dicuba tetapi akhirnya menjadikan negara itu juara Eropah.
''Justeru sebagai sebuah kerajaan kita juga sentiasa mencari idea-idea yang ada kelainan.
''Salah satu daripada kejayaan mutakhir ini yang menepati CPI dan PCI ialah apabila kita mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Melaka yang menempatkan agensi-agensi kerajaan di bawah satu bumbung," katanya.
Perkhidmatan di bawah satu bumbung di UTC Melaka bermula pukul 8.30 pagi hingga 10 malam merupakan satu pembaharuan yang mungkin tidak ada negara lain di dunia berbuat demikian untuk memberi keselesaan kepada rakyat.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) kerana hasil usaha membangunkan projek e-Kasih untuk membasmi kemiskinan telah berjaya membantu kerajaan mendapat tempat pertama Anugerah Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi kategori Meningkatkan Pengurusan Ilmu Dalam Kerajaan.
''Walaupun ada pihak cuba menidakkan apa yang kita hendak lakukan dengan tujuan dan motif politik tetapi kita kena sentiasa yakin bahawa usaha dan niat yang baik boleh mencapai kejayaan demi kejayaan.
''Kita akan teruskan usaha walaupun ada rintangan dan usaha untuk menggagalkan tetapi kalau kita gigih, lambat laun kebenaran akan timbul jua," katanya.
Perdana Menteri turut menyimpulkan lonjakan saham Felda Global Venture (FGV) hampir 20 peratus adalah bukti usaha pihak tertentu yang cuba mengeksploitasikan penyenaraian saham FGV bermotif politik semata-mata untuk merampas Putrajaya.
Katanya, Barisan Nasional (BN) akan tetap mempertahankan Putrajaya kerana yakin dan percaya bahawa hasrat untuk memajukan negara akan mendapat rahmat Allah.
Beliau turut meminta kakitangan awam memberi sokongan kepada KSN baru dan bergerak sebagai satu pasukan berdasarkan kepada perkhidmatan yang cepat, tepat berintegriti selain memberi tumpuan kepada produktiviti, kredibiliti dan inovasi.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12

Najib umum dana RM1 bilion tingkat penyertaan syarikat Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan penubuhan Dana Strategik Pelaburan Domestik sebanyak RM1 bilion berkuat kuasa serta merta.
Dana itu akan diuruskan oleh MIDA untuk meningkatkan penyertaan syarikat milik rakyat Malaysia dalam rantaian bekalan global bagi industri yang disasarkan. Katanya, pakej bantuan akan diberi berdasarkan merit dengan objektif utama meningkatkan keupayaan teknologi pelabur tempatan.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan MIDA Sentral dan logo barunya di sini. 
/hwa: bharian.com.my | 3/7/12

Muhyiddin tiba di Jakarta untuk lawatan enam hari

JAKARTA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini hari ini untuk lawatan enam hari ke Indonesia dalam usaha meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Di ibu negara Indonesia hari ini, jadual lawatan beliau padat dengan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin kerajaan dan pemimpin tiga buah parti politik terbesar di republik itu. Pagi ini, beliau dijadual mengunjungi dan berbincang dengan Naib Presiden Indonesia Boediono mengenai pelbagai bidang kerjasama dan isu-isu dua hala yang sering mengganggu hubungan di peringkat rakyat kedua-dua negara.
Terbaru ialah kontroversi yang tercetus berikutan cadangan Malaysia untuk mengiktiraf tarian Tor-tor dan paluan Gordang Sambilan masyarakat Mandailing di Malaysia, sebagai salah satu cabang warisan negara.

Pengiktirafan itu, yang diperjuangkan oleh masyarakat Mandailing di Malaysia, mendapat bantahan daripada beberapa kumpulan masyarakat di Indonesia yang menafsirkannya sebagai usaha Malaysia untuk mengaku sebagai pemilik budaya masyarakat Mandailing yang berasal dari Sumatera Utara itu.

Kontroversi itu, yang dihangatkan oleh media tempatan, menyebabkan beberapa kumpulan masyarakat Indonesia berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, sehingga sekumpulan 50 anggota Pemuda Pancasila bertindak ganas dengan melempar batu dan merosakkan pintu pagar serta sebahagian bangunan Malaysia Hall di Menteng, Jakarta baru-baru ini.

Muhyiddin dan rombongan pemimpin UMNO kemudian akan bertemu dan berbincang dengan Ketua Umum Parti Golkar Aburizal Bakrie, yang pada Ahad dengan rasmi dinamakan sebagai calon presiden Indonesia dari parti Golkar dalam pilihan raya Presiden pada 2014.
Beliau dan delegasi UMNO juga akan bertemu dan berbincang secara berasingan dengan Ketua Umum Parti Demokrat Anas Urbaningrum dan Setiausaha Agung parti itu Edhie Baskoro Yudhoyono serta Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Megawati Soekarnoputeri dan suaminya yang juga Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) Taufik Kiemas.

Turut serta dalam rombongan UMNO ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pelajaran, kemudian akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asean serta mesyuarat lain yang berkaitan dengannya di Yogyakarta pada Rabu dan Khamis.

Beliau akan meneruskan lawatan ke Bali dan dijadual antara lainnya mengadakan pertemuan dengan Gabenor Bali I Made Mangku Pastika dan para pelajar Malaysia yang sedang menuntut di pulau dewata itu. - BERNAMA.
/hwa: bharian.com.my | 3/7/12

Lawatan ke Indonesia

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut Majlis Perwakilan Rakyat Indonesia (MPR), Melani Leimena Suharli (dua kanan) dan Ahmad Farhan Hamid (kanan) sejurus tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta, hari ini untuk lawatan enam hari ke Indonesia. - Foto BERNAMA
Jul 3, 2012 11:55 am

Pelancongan dianggar sumbang RM168b pada 2020


BAU 2 Julai - Sektor pelancongan dijangka menyumbang RM168 bilion kepada negara menjelang 2020 berdasarkan pembangunan produk baharu dan promosi intensif.
Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawot Mamit berkata, pada masa kini sektor itu menyumbang RM83 bilion.
"Industri pelancongan merupakan sumber ekonomi yang kedua terbesar negara ketika ini dan oleh sebab itu kita perlu meningkatkan usaha untuk membangunkan industri ini," katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka penutupan Pesta Gawai 2012 di sini malam tadi. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 2/7/12