25 Jun 2012

Anwar cari wanita misteri

Ummi Hafilda Ali menunjukkan bukti terbaru isu Anwar Ibrahim didakwa memiliki akaun luar biasa berjumlah RM3 bilion di Kuala Lumpur, kelmarin.
*****
KUALA LUMPUR 22 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercayai berusaha mengesan wanita misteri yang dikaitkan dengan bukti baru bagi menyokong tuduhan beliau memiliki akaun luar biasa berjumlah RM3 bilion sejak mereka terputus hubungan beberapa tahun lalu.
Ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali (gambar) berkata, Anwar mempunyai hubungan rapat dengan wanita terbabit dan banyak kisah di sebalik tabir berlaku antara mereka berdua.
Menurut beliau, wanita berkenaan hidup diselubungi kemewahan semasa masih rapat dengan Anwar, namun, beliau sentiasa dalam ketakutan selepas hubungan itu berakhir.
‘‘Saya difahamkan Anwar mahu menuntut semula semua harta yang telah diberikannya kepada wanita misteri itu.
‘‘Ekoran tidak tahan dengan pelbagai ancaman serta ugutan yang diterima, wanita terbabit kemudiannya melarikan diri ke luar negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ummi Hafilda mengulas tentang pendedahannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung identiti seorang wanita misteri yang memiliki atau mempunyai kaitan dengan 62 hartanah mewah berupa kondominium dan banglo, kebanyakannya di Pulau Pinang.
Pendedahan itu dibuat semasa disiasat kira-kira lima jam oleh SPRM di ibu negara semalam bagi mengemukakan bukti baru berkaitan tuduhan Anwar mengawal 20 akaun induk oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid.
Menurut Ummi Hafilda, beliau difahamkan pihak berkuasa akan menjalankan siasatan bagi mengesahkan identiti pemilik semua hartanah terbabit.
‘‘Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan semua maklumat seperti sejak bila dan bagaimana saya mengenali wanita tersebut secara terperinci kepada media kerana masih belum mendapat lampu hijau daripada SPRM," jelasnya.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Pas kian terpesong daripada perjuangan asal

KUALA LUMPUR 22 Jun - Siri jelajah bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali kali ke-141 semalam, membuktikan beliau komited memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai ancaman terhadap masa depan mereka, Islam dan institusi raja jika pakatan pembangkang berkuasa.
Dalam ceramah Bicara Memperkasakan Ummah bertajuk Islam, Melayu dan Raja Menuju Kehancuran di padang Klinik Kesihatan Beranang, bekas Exco kerajaan negeri Selangor itu menyeru rakyat agar menolak pakatan pembangkang, khususnya Pas yang semakin ‘hanyut’ daripada perjuangan sebenar kerana gilakan kuasa.
Tegas Hasan, sejak zaman Ahmad Fuad Hassan hingga Datuk Fadzil Mohd. Noor sebagai Presiden Pas, parti itu sentiasa komited memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam, tetapi sejak bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perjuangan itu ditukar kepada negara berkebajikan.
“Pemecatan saya tanpa sebarang pertuduhan menjadi bukti jelas Pas telah berubah dan tunduk kepada DAP walaupun saya hanya mahu melaksanakan tugas sebagai Exco agama dalam memastikan akidah umat Islam di Selangor terjaga.
“Jika usaha saya menyelamatkan akidah umat Islam hanya ditentang oleh DAP dan PKR mungkin itu perkara biasa, tetapi amat malang apabila turut mendapat tentangan keras daripada parasit dalam Pas. Ini yang mengecewakan saya," katanya.
Program itu turut menarik penyokong-penyokong Pas untuk hadir mendengar sendiri ceramah bekas Naib Presiden Pas itu.
Hasan turut menyatakan mengenai permintaan isterinya agar tidak membangkitkan isu peribadi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali semasa berceramah.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Faekah mengaku hantar surat

SHAH ALAM 22 Jun - Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin mengaku menghantar surat agar sebuah firma guaman yang mempunyai hubungan keluarga dengannya ‘dipertimbangkan’ menjadi panel peguam di syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Bagaimanapun beliau mendakwa, surat itu dihantar bersama beberapa surat firma guaman lain yang turut berminat menjadi panel guaman di PNSB dan syarikat milik kerajaan negeri lain.
“Kesemua surat permohonan daripada firma guaman itu dihantar kepada pejabat Menteri Besar dan saya telah hantar surat kepada PNSB untuk memanjangkan permohonan tersebut termasuklah surat daripada firma guaman anak saudara saya.
“Itu adalah amalan biasa apabila ada syarikat yang menghantar permohonan kepada Menteri Besar untuk mendapat peluang perniagaan di syarikat milik kerajaan negeri dan kita panjangkan kepada syarikat tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai serangan yang dibuat terhadapnya oleh pihak yang bertelagah dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Berdasarkan blog sel13.com semalam, Faekah yang selama ini dilihat sentiasa membayangi Abdul Khalid didakwa terlibat menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi sebuah syarikat milik kerajaan negeri bagi memberi peluang perniagaan kepada sebuah firma guaman yang dikatakan ada hubungan keluarga dengannya.
Blog tersebut turut menyertakan dua salinan surat iaitu yang pertama didakwa dihantar firma guaman tersebut kepada Faekah dan yang kedua didakwa merupakan surat Faekah sendiri kepada syarikat milik kerajaan negeri tersebut.
Dalam pada itu, Faekah menolak dakwaan beliau menggunakan pengaruhnya agar firma guaman berkenaan mendapat peluang perniagaan di PNSB.
Katanya, ini kerana selepas menghantar surat tersebut pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada PNSB untuk membuat penilaian dan keputusan.
“Selepas hantar surat itu saya tidak membuat sebarang susulan kerana kalau mahu saya boleh menghubungi syarikat tersebut atau Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Omar untuk minta tolong.
“Saya tidak buat begitu dan jika firma guaman itu menjadi panel di PNSB pun, bukan kerana saya," katanya.
Tambah Faekah, walau apa pun tafsiran yang dibuat beliau tidak merasakan tindakannya menghantar surat kepada PNSB itu adalah salah.
“Saya bersedia untuk disiasat dan saya juga cadangkan supaya maklumat yang tepat diperoleh daripada PNSB mengenai isu yang berbangkit termasuk adakah firma anak saudara saya itu mendapat sebarang perniagaan daripada PNSB setakat ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Perebutan Geran Selangorku RM300j punca krisis

KUALA LUMPUR 22 Jun - Krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor dipercayai berpunca ekoran perebutan dua kumpulan dalam parti itu terhadap Geran Selangorku berjumlah RM300 juta di bawah Perbadanan Menteri Besar (MBI) negeri berkenaan.
Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, pertelingkahan antara kem Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali bukan lagi rahsia umum, malah semakin memuncak.
"Saya tidak akan terkejut sekiranya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada bulan Julai ini bakal berlaku kejutan yang lebih besar melibatkan parti-parti dalam pakatan yang tidak berpuas hati dengan Menteri Besar.
"Tempoh sudah semakin singkat dan wang juga harus dihabiskan dalam waktu yang singkat. Mereka tidak akan menghiraukan prosedur kewangan kerana hendak sapu wang dalam Geran Selangorku sampai licin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, krisis dalaman PKR di Selangor semakin panas apabila Pengarah Strategik PKR Pusat, Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi negeri.
Tindakan Rafizi terjadi hanya dua hari selepas Abdul Khalid mengeluarkan kenyataan mempertahankan Setiausaha Politik, Faekah Husin yang dikatakan menghadapi tekanan meletakkan jawatan daripada penyokong Azmin.
Sebelum ini, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga bekas Exco kerajaan negeri itu, Datuk Dr. Hasan Ali pernah mempersoalkan dana RM300 juta di bawah geran Selangorku semasa sidang DUN bulan Mac lalu.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Nik Aziz anggap setaraf Syeikh Mahmoud

KOTA BHARU 22 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan ilmu yang dimiliki bekas Timbalan Syeikhul Universiti Al-Azhar, Mesir, Syeikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour dengan ulama Melayu seperti beliau adalah sama.
Beliau berkata, ini disebabkan kebanyakan ulama di negara ini menuntut ilmu yang sama di universiti tertua di dunia itu.
"Saya nak sebut, kami semua ini adalah pelajar Al-Azhar, Utusan Malaysia kena reti, bahawa dia nak melaga, antara tok guru (ulama Al-Azhar) dengan kami (anak murid). Dia (Utusan Malaysia) kena reti juga Syeikhul Azhar ilmunya, al-Quran dan hadis. Kami juga ada ilmu al-Quran dan hadis.
"Jangan buat perangai, nak melaga antara murid dan tok guru, kami juga anak murid Al-Azhar, kena reti orang Melayu alim juga, bukan Arab saja," katanya selepas menyampaikan kuliah mingguan di Jalan Dato' Pati, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Syeikh Mahmoud Abdel Ghany bahawa umat Islam wajib menunaikan ibadat haji dan perlu mengutamakan Rukun Islam kelima itu jika berkemampuan.
Syeikh Mahmoud Abdel Ghany turut meminta umat Islam tidak perlu menangguhkan pelaksanaan ibadat haji semata-mata untuk menyertai pilihan raya umum sekiranya dijalankan serentak pada musim itu.
Kenyataan tersebut bertentangan dengan Nik Abdul Aziz yang bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta ahli Pas yang terlibat dengan pilihan raya umum menangguhkan hasrat menunaikan ibadat haji bagi memberi tumpuan kepada pilihan raya.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pihaknya boleh membawa ulama terkenal, Dr. Yusuf Qardawi bagi menjelaskan sokongannya terhadap demonstrasi jalanan.
"Apa kata kalau kami bawa Dr. Yusuf Qardawi ke Malaysia, Qardawi lawan Timbalan Syeikhul Universiti Al-Azhar, sebab demonstrasi disokong kuat Qardawi.
"Saya bukan tidak setuju dengan kenyataan Syeikh Mahmoud Abdel Ghany, kenyataan macam itu macam nak melaga, nak adu domba antara kami pelajar Al-Azhar dengan Syeikhul Azhar," katanya. 
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Rafizi dicabar dedah penyelewengan

BATU PAHAT 22 Jun - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mencabar Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli supaya mendedahkan penyelewengan yang berlaku di Selangor jika dia benar-benar ahli politik bermaruah.
Ia berikutan tindakan Rafizi meletakkan jawatannya sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor semalam.
Mohd. Puad berkata, walaupun Rafizi cuba menafikan ia akibat krisis dalaman PKR tetapi hakikatnya pemimpin itu tidak berpuas hati dengan kewujudan 'warlord' dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Menurutnya, pemimpin itu juga tidak berpuas hati dengan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin yang dikatakan mempunyai pengaruh luar biasa atas keputusan kerajaan negeri termasuk dalam pengendalian geran RM300 juta untuk program Selangorku.
"Kalau Rafizi sanggup membuat pelbagai tuduhan kononnya mendedahkan isu seperti fidlot dan sebagainya atas dasar menegakkan kebenaran dan menentang penyelewengan, maka tidak cukup hanya meletak jawatan dalam isu ini.
"Saya yakin dia mempunyai cukup maklumat. Dia kena dedahkan penyelewengan kalau mahu menjadi ahli politik yang bermaruah dan jika tidak, apa yang dia cakap selama ini adalah pembohongan sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek Bangunan Rumah Burung Walet Parlimen Batu Pahat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang melaporkan Rafizi menerusi laman sosial Twitternya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor semalam, sekali gus menunjukkan berlaku pergolakan dalam PKR Selangor.
Bagaimanapun, Rafizi cuba menafikan tindakannya itu ada kaitan dengan krisis dalaman PKR Selangor sebaliknya menjelaskan mahu berehat dan letih membuat dua kerja iaitu untuk kerajaan negeri dan parti selain mahu memberi tumpuan beribadah menjelang Ramadan.
Mohd. Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, pergolakan dalaman PKR Selangor menunjukkan kelemahan pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan membuktikan kerajaan negeri itu lebih mementingkan politik 'warlord'.
Menurutnya, krisis terbaru di Selangor dan pergolakan dalaman parti pembangkang yang mentadbir negeri dikuasai mereka itu menunjukkan ada hikmah di sebalik tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Jelasnya, rakyat dapat melihat dan membuat perbandingan antara kepincangan yang berlaku di negeri dikuasai pembangkang dengan kejayaan Barisan Nasional (BN) melakukan transformasi di negeri yang ditadbir parti itu.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Kemelut PKR Selangor bukti perpecahan serius - PM

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kewujudan kem Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kem Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Azmin Ali membuktikan parti tersebut kini berdepan dengan masalah perpecahan yang serius.
Malah keretakan dalaman PKR Selangor juga semakin kronik sehingga memaksa Rafizi Ramli meletak jawatan secara mengejut selaku Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi negeri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perbalahan antara kedua-dua kem tersebut semakin serius dan wajar menjadi ingatan kepada rakyat Selangor agar membuat pilihan tepat dalam memilih sesebuah kerajaan.
"Saya percaya rakyat dan orang ramai boleh membuat pertimbangan berdasarkan apa yang berlaku sebab yang penting dalam menentukan sesebuah kerajaan, bukan sahaja soal kelangsungan pentadbiran tetapi parti yang dipilih juga mesti stabil dan kukuh.
"Apa yang jelas mutakhir ini perpecahan dalam PKR Selangor begitu serius, kalau tidak takkan ada orang (Rafizi) letak jawatan secara tiba-tiba," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.
Ditanya apakah kemelut tersebut bakal menguntungkan UMNO dan memudahkan Barisan Nasional (BN) merampas semula Selangor, Najib yang juga Pengerusi BN negeri berkata, usaha untuk menawan negeri terkaya di Malaysia itu dibuat berdasarkan kerja keras dan kekuatan sendiri.
Dalam pada itu, mengenai kesediaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk menjadi orang tengah bagi mencadang kepada kerajaan agar pilihan raya umum dibuat hanya selepas lima tahun, Perdana Menteri berkata, semua pihak bebas menyuarakan pandangan.
Menurut beliau, tidak ada apa-apa peruntukan yang menyekat kerajaan pemerintah daripada melaksanakan pilihan raya umum lebih awal atau hanya berbuat demikian apabila sampai tempoh lima tahun.
"Terpulang kepada pertimbangan dan mengikut Perlembagaan yang menjadi acuan sistem kita. Perlembagaan negara membenarkan Perdana Menteri untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen mengikut budi bicara selagi tempoh itu tidak melebihi lima tahun," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Kemelut PKR Selangor bukti perpecahan serius - PM

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kewujudan kem Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kem Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Azmin Ali membuktikan parti tersebut kini berdepan dengan masalah perpecahan yang serius.
Malah keretakan dalaman PKR Selangor juga semakin kronik sehingga memaksa Rafizi Ramli meletak jawatan secara mengejut selaku Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi negeri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perbalahan antara kedua-dua kem tersebut semakin serius dan wajar menjadi ingatan kepada rakyat Selangor agar membuat pilihan tepat dalam memilih sesebuah kerajaan.
"Saya percaya rakyat dan orang ramai boleh membuat pertimbangan berdasarkan apa yang berlaku sebab yang penting dalam menentukan sesebuah kerajaan, bukan sahaja soal kelangsungan pentadbiran tetapi parti yang dipilih juga mesti stabil dan kukuh.
"Apa yang jelas mutakhir ini perpecahan dalam PKR Selangor begitu serius, kalau tidak takkan ada orang (Rafizi) letak jawatan secara tiba-tiba," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.
Ditanya apakah kemelut tersebut bakal menguntungkan UMNO dan memudahkan Barisan Nasional (BN) merampas semula Selangor, Najib yang juga Pengerusi BN negeri berkata, usaha untuk menawan negeri terkaya di Malaysia itu dibuat berdasarkan kerja keras dan kekuatan sendiri.
Dalam pada itu, mengenai kesediaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk menjadi orang tengah bagi mencadang kepada kerajaan agar pilihan raya umum dibuat hanya selepas lima tahun, Perdana Menteri berkata, semua pihak bebas menyuarakan pandangan.
Menurut beliau, tidak ada apa-apa peruntukan yang menyekat kerajaan pemerintah daripada melaksanakan pilihan raya umum lebih awal atau hanya berbuat demikian apabila sampai tempoh lima tahun.
"Terpulang kepada pertimbangan dan mengikut Perlembagaan yang menjadi acuan sistem kita. Perlembagaan negara membenarkan Perdana Menteri untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen mengikut budi bicara selagi tempoh itu tidak melebihi lima tahun," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Pendekatan baru hadapi realiti

UTUSAN: Boleh komen pelantikan sebagai KSN yang baru?
ALI HAMSA: Saya rasa terharu dan ucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan di atas kepercayaan yang diberikan untuk memegang jawatan baru ini.
Apakah perkara pertama dilakukan sebaik-baik memulakan tugas baru ini?
Semua amalan yang baik akan diteruskan. Ada banyak amalan baik sedia ada memberi sumbangan kepada perkhidmatan awam contohnya dari segi pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dan projek-projek kerajaan secara keseluruhannya yang telah berjalan dengan lancar.
Langkah berikutnya untuk menjadikan amalan baik ini terus cemerlang dan berkesan?
Pelbagai usaha-usaha baru akan diambil lagi untuk meneruskan kecemerlangan ini dengan meningkatkan lagi produktiviti perkhidmatan awam, kaedah penyampaian (delivery mechanism) yang teratur dan baik untuk merealisasikan hasrat kerajaan secara keseluruhan.
Boleh Datuk Seri jelaskan lebih lanjut mengenai kaedah penyampaian awam itu?
Sektor awam perlu melihat pemberian perkhidmatan awam kepada rakyat ini kerana sasaran kita supaya semua rakyat menikmati segala kemudahan yang disediakan kerajaan.
Penjawat awam juga rakyat jadi kita perlu buat kerja ke tahap yang terbaik untuk rakyat iaitu kepada diri sendiri di mana kita perlu meletakkan persoalan, apakah jenis perkhidmatan yang sepatutnya kita terima daripada pemberi perkhidmatan. Jadi apabila kita meletakkan diri sebagai rakyat maka kita dapat tingkatkan lagi sumbangan yang diberikan.
Bagaimanakah Datuk Seri melihat peranan penjawat awam pada masa sekarang?
Secara keseluruhannya penjawat awam yang jumlahnya lebih kurang 1.4 juta di seluruh negara telah menunjukkan prestasi yang baik serta memuaskan dan sememangnya mereka ini telah memainkan peranan yang penting dan kritikal dalam pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.
Melalui kepimpinan terdahulu, sektor ini telah berjaya melakukan kerja-kerja dengan baik.
Di kesempatan ini saya hendak ucapkan tahniah kepada bekas KSN, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan kerana beliau telah berjaya menjalankan tugas dengan cemerlang khususnya memimpin perkhidmatan awam.
Apakah antara pendekatan baru yang akan diambil oleh Datuk Seri sebagai ketua yang baru kepada seluruh penjawat awam?
Satu perkara penting bagi saya sebagai KSN ialah mewujudkan hubungan baik dan rapat dengan semua peringkat penjawat awam iaitu daripada pengurusan tertinggi hingga ke kakitangan bawahan.
Saya akan adakan banyak aktiviti untuk merapatkan hubungan silaturrahim di kalangan penjawat awam dan di antaranya kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mewakili penjawat awam untuk perbincangan dan mencari jalan terbaik.
Datuk Seri merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri iaitu sebuah jabatan kerajaan yang ditubuhkan untuk bekerjasama lebih erat dengan sektor swasta. Jadi adakah konsep ini akan diterapkan dalam sektor awam?
Ya, kerjasama awam dan swasta dilihat faktor penting untuk meningkatkan sumbangan pada ekonomi negara dan juga pelaburan jadi konsep seperti ini boleh digunakan dalam sektor awam iaitu bekerjasama rapat antara penjawat awam dengan rakyat- sama ada rakyat itu syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau rakyat secara keseluruhan.
Akhir sekali apakah harapan Datuk Seri kepada semua penjawat awam?
Sebagai penjawat awam tugas kita ialah menjalankan segala amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan. Setiap kekurangan perlu diperbaiki dan dalam masa sama sektor awam juga perlu berubah mengikut peredaran zaman iaitu dengan membawa beberapa pendekatan baru bagi menghadapi realiti dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam.
/hwa: utusan.com.my | 22/6/12

UTC nadi transformasi masyarakat bandar

Maimon Jaafar menunjukkan tanda bagus selepas keluar dari Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang terletak di Jalan Hang Tuah, Melaka untuk menguruskan pembayaran bil. 
*****
ESOK, Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang pertama diwujudkan di negara ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Hang Tuah, Melaka.
Majlis perasmian gilang gemilang itu dijangka dihadiri lebih 100,000 rakyat dari 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bakal membanjiri sekitar kawasan perkarangan UTC termasuk sebahagian jalan raya di Jalan Hang Tuah.
Wujudnya UTC Melaka akan memberi faedah kepada ribuan penduduk bandar untuk membuat sebarang urusan dengan kementerian, pelbagai agensi kerajaan negeri dan swasta yang diletakkan di dalam satu bangunan.
Ia cukup mudah kerana orang ramai tidak lagi perlu bersusah payah pergi dari satu tempat ke tempat lain untuk membuat urusan dengan pelbagai sektor perkhidmatan.
Dalam satu bangunan, semua urusan itu boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat selain ia turut menjimatkan masa berbanding sebelum ini yang mengambil masa dua atau tiga hari untuk diselesaikan.
Sejak UTC ini beroperasi 12 Jun lalu, tidak ramai masyarakat yang menyedari akan kemudahan yang terdapat di sini.
Malah tinjauan Utusan Malaysia tiga hari selepas ia beroperasi, mendapati orang ramai yang pertama kali menjejakkan kaki di situ terkejut melihat pelbagai kemudahan yang disediakan di situ.
Bayangkan, anda boleh membuat tiga urusan di dalam satu bangunan dan hanya mengambil masa tidak sampai sehari.
Sebagai contoh, selepas memperbaharui cukai jalan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di aras dua, anda boleh membuat kad pengenalan baru di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terdapat di aras yang sama sebelum membayar cukai tanah di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang terdapat di aras lima.
Beberapa perkhidmatan lain yang terdapat di sini seperti Tabung Haji, Telekom Malaysia, Pos Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Biro Pengaduan Awam, Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Klinik 1Malaysia dan sebagainya.
UTC Melaka merupakan pelengkap kepada Program Transformasi Komuniti (CTP) bagi memastikan segala perkhidmatan, inisiatif dan program kerajaan dapat memberi manfaat secara maksimum kepada rakyat.
Wujudnya UTC Melaka sama seperti Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, di Gopeng, Perak Februari lalu.
RTC yang diilhamkan Perdana Menteri merupakan satu pendekatan yang lebih lengkap untuk memastikan masyarakat luar bandar akan dapat dibantu.
Menerusi program itu, penduduk luar bandar yang berada sekitar kawasan 100 kilometer daripada lingkungan RTC bukan sahaja dapat memanfaatkan kemudahan dan latihan yang disediakan di pusat itu malah mereka berpeluang untuk menambah pendapatan masing-masing.
Begitu juga wujudnya UTC Melaka yang pertama di negara turut diilhamkan oleh Najib bertujuan menyelesaikan segala kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat bandar.
Cukup jelas sama ada RTC atau UTC ia menunjukkan usaha kerajaan bagi memastikan kualiti hidup yang tinggi di kawasan bandar dan luar bandar dipermudahkan selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
UTC merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru (National Blue Ocean Strategy, NBOS) yang diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat melalui kerjasama strategik di antara kementerian, jabatan dan swasta.
Di bawah program NBOS 6, UTC Melaka menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan sektor swasta yang ditempatkan di dalam satu pusat atau bangunan.
Kesemua inisiatif ini adalah bagi memastikan komuniti bandar mendapat perkhidmatan dan berurusan dengan efisien, cepat, selesa dan mudah di dalam satu bangunan.
UTC Melaka menggunakan bangunan sembilan tingkat yang sedia ada dulunya adalah Wisma Persekutuan sebelum diambil-alih oleh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
Bangunan tersergam indah itu telah diubah-suai melibatkan kos sebanyak RM28.3 juta bagi menempatkan 70 kementerian, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuka kaunter di bawah 10 kluster perkhidmatan.
Perkhidmatan yang disediakan di sini adalah perkhidmatan kerajaan, kesihatan, keselamatan, pendidikan, latihan, pekerjaan, perkhidmatan kewangan, pembangunan perniagaan, keusahawanan, NGO, utiliti, kebajikan, pembangunan masyarakat dan pembangunan belia.
Selain itu, ia turut menyediakan perkhidmatan mini perpustakaan, pusat tuisyen, siber kafe, pusat kecergasan dan studio muzik untuk golongan muda.
Melaka telah dipilih sebagai projek perintis dan lokasi pertama program UTC diwujudkan melalui Kementerian Kewangan sebagai peneraju utama. Selepas ini beberapa UTC akan diwujudkan di setiap negeri secara berperingkat-peringkat.
/hwa: utusan.com.my | 22/6/12

Nama parti tidak penting sebaliknya kemampuan tunai janji

DALAM Islam satu perkara yang cukup dititik beratkan ialah menunaikan janji. Sebab itulah Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra, ayat 34 yang bermaksud:
"...Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya."
Menunaikan janji begitu penting dalam Islam sehingga mereka yang memungkirinya dianggap sebagai munafik seperti maksud hadis ini: Tiga perkara, sesiapa yang memilikinya ia dianggap munafik iaitu orang yang apabila ia bercerita ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila diamanahkan (sesuatu ) ia khianat.
Selain itu Allah juga berfirman dalam surah Al-Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud;
"Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."
Oleh itu janji tidak harus dilafazkan begitu sahaja tanpa ada iltizam untuk menunaikannya dengan bersungguh-sungguh apatah lagi jika ia dilakukan oleh mereka yang bertaraf pemimpin.
Dalam konteks politik negara sekarang, kita melihat bagaimana sesebuah parti begitu mudah melafazkan janji itu dan janji ini kepada rakyat. Mereka berjanji macam-macam ibarat mahu memetik bintang dan bulan di langit bagi meraih sokongan rakyat.
Tetapi kesudahannya apabila kuasa diberikan oleh sebahagian rakyat yang terpengaruh dengan janji-janji manis tersebut, akhirnya rakyat berkenaan mula menyedari betapa mereka menjadi antara golongan yang terpedaya.
Sebab itulah, kenyataan Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Bayt, Jordan Syeikh Dr.Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool yang mengingatkan rakyat negara ini supaya memilih parti yang mampu melaksanakan setiap manifesto dijanjikan tidak harus dipandang remeh.
Mungkin bagi penyokong-penyokong parti pembangkang terutamanya Pas yang turut dipimpin oleh sebahagian ulama, kenyataan itu berbaur politik memandangkan ia diucapkan ketika Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin yang dianjurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), baru-baru ini.
Tetapi pokok pangkalnya ialah kita harus mengkaji kebenaran di sebalik saranan itu dan bukannya melihat ia daripada sudut politik semata-mata.
Ini kerana janji yang dilafazkan di hadapan rakyat bukan sekadar persoalan kehidupan di dunia malahan ia akan dipertanggungjawab di akhirat kelak.
Mungkin di dunia, boleh sahaja antara kita berhujah, "…dia tidak setuju dia punya fasal…" Persoalannya apakah hujah yang hendak kita ketengahkan itu berlandaskan kepada seruan Islam yang sebenar-benarnya atau demi kepentingan politik?
Sejarah politik negara sudah membuktikan bagaimana Pas yang suatu ketika begitu bersemangat memperjuangkan Islam tidak berdaya melaksanakan banyak janji yang dibuat semasa pilihan raya.
Lihat sahaja apa yang berlaku di Kedah dan Kelantan terlalu banyak janji yang sekadar menjadi hiasan dalam buku atau risalah manifesto pilihan raya.
Sememangnya rakyat tidak berdaya berkata apa-apa lagi kerana keputusan sudah dibuat, tambahan pula sebahagian mereka mengundi Pas kerana merasakan parti itu akan memperjuangkan Islam seperti mana yang sering mereka laung-laungkan.
Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, Pas bukan sahaja tidak berdaya menunaikan janji malahan kesepakatan yang dicapai bersama sekutunya juga tidak mampu dilaksanakan.
Bagi umat Islam di negara ini, dalam kita berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dianggap bakal menjadi penentu kepada nasib agama, bangsa dan negara kita maka berfikirlah dengan matang.
Janganlah mudah terpengaruh dengan hujah-hujah berbentuk Islamik tetapi apabila diberi amanah pihak berkenaan gagal menunaikan janji yang dibuat malahan memberi seribu alasan kenapa ia tidak dapat dilaksanakan termasuklah menyalahkan lawan politik mereka.
Kita harus faham, sebagai umat Islam sudah tentulah kita mahu syiar Islam terus diperteguh dan diperkukuhkan di negara ini dalam apa juga bidang tetapi ia bukan boleh dilakukan melalui slogan, janji kosong atau retorik semata-mata.
Sebaliknya, selain komitmen yang jitu serta keikhlasan, kita juga perlu mengkaji sejarah politik negara pihak mana yang lebih dilihat berjaya melaksanakan amanah berkenaan.
Menuduh orang lain memperjuangkan nasionalis dan menolak Islam memang mudah, mengatakan mengundi parti kita akan memperolehi pahala memang senang dan menguar-uarkan bahawa kita perjuang Islam memang boleh dilakukan.
Tetapi apakah benar orang yang berkata demikian jauh lebih baik daripada orang yang 'diumpatkan' itu? Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Janganlah kamu sekelian dengki-mendengki, janganlah benci-membenci, janganlah menambah harga terhadap barang yang hendak dibeli oleh saudaramu, janganlah musuh-memusuhi, jangan umpat-mengumpat sesetengah kamu dengan sesetengah yang lain, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara."
Sememangnya kadang kala kita berasa bosan dan menganggap begitu angkuh sekali sesetengah pemimpin Pas yang secara bulat-bulat menolak hujah ulama-ulama terkemuka dalam sesuatu isu yang boleh dikaitkan dengan parti tersebut.
Namun kita juga harus memahami begitulah sikap Pas yang semakin termakan dengan janji-janji politik merebut kekuasaan bersama-sama dengan PKR dan DAP.
Walaupun hujah para ulama berkenaan dilakukan demi kesejahteraan umat Islam di negara ini secara keseluruhannya tetapi ia begitu sukar untuk diterima oleh Pas.
Ada sahaja hujah yang akan dikeluarkan termasuklah mempertahankan pendirian mereka mengenai keperluan menangguh ibadat haji semata-mata bagi menghadapi pilihan raya.
Semua ini sebenarnya hanya akan merugikan umat Islam kerana kita akan terus berpecah-belah kerana hujah-hujah berlandaskan agama demi kepentingan politik yang dilemparkan oleh ulama-ulama tertentu.
Oleh itu adalah wajar, umat Islam yang akan menentukan kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang berfikir dengan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan.
Tidak salah untuk terus menyokong usaha menegak dan memperkembangkan Islam tetapi pilihlah mereka yang benar-benar layak serta berupaya untuk berbuat demikian.
Ini kerana seperti mana yang dikatakan oleh Syeikh Dr. Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool, nama bagi parti tidak penting sebaliknya kemampuan melaksanakan janji-janji kepada rakyat, berkhidmat untuk rakyat seharusnya menjadi sandaran sebagai parti pilihan.
Dalam soal ini, dengan fikiran yang jernih dan lapang serta mengingati Allah SWT sebanyak-banyak kajilah perjalanan perkembangan Islam di negara ini, apakah ia terus terperuk atau semakin cemerlang sehingga memungkinkan Malaysia bukan sahaja menjadi negara Islam contoh tetapi juga umat Islamnya semakin maju dalam pelbagai bidang.
Ingatlah, para pemimpin yang tidak berhujah berlandaskan kepada ajaran Islam sebenar sebaliknya hanya memikirkan kepentingan politik semata-mata mampu membawa 'bencana' kepada umat Islam di negara ini. Semoga Allah SWT memberi kita petunjuk!
/hwa: utusan.com.my | 22/6/12

Penyokong Azmin lepaskan 'peluru' ke kem Abdul Khalid?

KUALA LUMPUR 21 Jun - Ketika banyak pihak terarah kepada peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor pihak yang bertelagah dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mula melepaskan 'peluru' sulit terhadap orang kepercayaannya, Faekah Husin.
Ia memaksa Abdul Khalid berdepan serangan dua serangkai yang didakwa dilakukan oleh penyokong Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali.
Ini memandangkan Rafizi sebaik sahaja melepaskan jawatan tersebut bertindak 'memanaskannya' di Twitter dan pada masa sama, 'peluru' sulit mula disasarkan kepada Faekah selaku Setiausaha Politik Menteri Besar.
Sebuah blog, sel13.com mendakwa, Faekah yang selama ini dilihat sentiasa membayangi Abdul Khalid didakwa terlibat menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi sebuah syarikat milik kerajaan negeri memberi peluang peniagaan kepada sebuah firma guaman yang dikatakan ada hubungan keluarga dengannya.
Bagi mengukuhkan lagi hujahnya, blog berkenaan turut menyiarkan dua salinan surat iaitu pertama yang didakwa daripada firma guaman tersebut yang dihantar kepada Faekah bagi memohon sokongan beliau agar firma itu dilantik sebagai panel peguam kepada syarikat milik kerajaan negeri Selangor itu.
Salinan kedua pula didakwa merupakan surat Faekah sendiri yang menggunakan kepala surat Pejabat Menteri Besar Selangor dan dihantar kepada syarikat milik kerajaan negeri berkenaan agar memberi 'peluang' kepada firma guaman itu selepas kerajaan PKR Selangor menerima permohonan firma guaman terbabit untuk menjadi panel peguam.
Blog itu mendakwa, surat permohonan bertarikh 27 Jun 2011 kepada Faekah dibuat salah seorang peguam yang menjadi rakan kongsi firma berkenaan.
Selain itu, blog berkenaan turut mendakwa, semakan mereka mendapati peguam tersebut mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Faekah.
Hubungan dingin antara kem Abdul Khalid dan penyokong Azmin sudah lama menjadi buah mulut dan pada 13 Jun lalu krisis berkenaan mula meledak secara terbuka selepas Ahli Parlimen Gombak itu menggesa Faekah dipecat dan berita mengenai desakan beliau disiarkan sebuah portal berita propembangkang.
Dalam pada itu, blog sel13.com berkata, tindakan Faekah yang didakwa menggunakan kepala surat berkenaan bertentangan dengan arahan Abdul Khalid pada 2010 agar semua anggota pentadbirannya mengelak daripada mengeluarkan sebarang surat sokongan berunsur perniagaan kepada mana-mana pihak.
Seterusnya, blog tersebut mengaitkan tindakan Faekah itu dengan perbuatan bekas Pegawai Khas Abdul Khalid, Mohd. Yahya Sahri yang melakukan kesalahan sama bagi tujuan mengutip derma daripada syarikat swasta untuk menjayakan sambutan 100 hari pemerintahan PKR di Selangor.
"Pada masa itu, Abdul Khalid menggantung tugas Mohd. Yahya kerana kesalahan seperti Faekah.
Kini, bukti terbentang depan mata, kita tunggu sama ada Abdul Khalid akan bertindak tegas atau sebaliknya terhadap Faekah," dakwa blog tersebut lagi.
/hwa: utusan.com.my | 22/6/12

23 Jun 2012

Usah lagi terpesona janji 'bulan bintang' pembangkang

Muhyiddin Yassin berucap di hadapan ribuan rakyat pada Majlis Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dataran Raub, Pahang, semalam. 
*****
RAUB 21 Jun - Kesilapan rakyat di beberapa negeri memilih pembangkang pada pilihan raya umum lalu kerana terpesona janji-janji bulan, bintang dan matahari tidak harus diulangi termasuk pengundi di kawasan lain.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hakikatnya janji-janji tersebut tidak pun dapat ditunaikan dan hal itu sekarang dibangkitkan sendiri oleh rakyat di negeri terbabit.
"Sekarang apabila nak pilihan raya, kita berhadapan puak-puak yang menjanjikan bulan dan bintang. Sokong pakatan pembangkang bila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, semua percuma.
"Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tak payah bayar. Itu antaranya. Tapi bila saya turun padang ke Selangor, tanya mereka apakah janji sebelum ini telah ditunaikan, jawapannya tidak.
"Sampai ada rakyat Selangor genggam tangan saya kuat-kuat sambil kata dah tak tahan, nak undi Barisan Nasional (BN) balik, Alhamdulillah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dataran Raub, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan Ahli Parlimen Raub, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, rakyat di negeri dikuasai pembangkang termasuk Selangor kini berdepan masalah kerana kerajaan negeri yang dipilih mereka tidak mempunyai konsep perjuangan berteraskan rakyat.
Katanya, mereka janji pelbagai tapi tidak dapat dilaksanakan dan ini sama sekali berbeza dengan BN yang terbukti membela rakyat sejak 55 tahun dulu.
"Alhamdulillah, sebab itu, kebelakangan ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri, sokongan rakyat berbilang kaum kembali kepada BN.
"Malah bila ada yang kata orang Cina tak sokong kita, saya kira itu tak betul. Saya baru-baru ini ke Pulau Pinang, kawasan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng, kehadiran masyarakat Cina cukup ramai, ini menunjukkan kesedaran telah berlaku," jelasnya.
Sementara itu, ujar Muhyiddin, mandat untuk BN penting untuk membolehkan kesinambungan program transformasi yang dijalankan kerajaan.
Menurut beliau, beberapa program besar seperti mengurangkan kadar jenayah memerlukan tempoh antara tiga hingga lima tahun lagi bagi membolehkan kesannya dirasai sepenuhnya.
"Hanya sokongan dengan BN saja kita boleh teruskan usaha-usaha ini yang dalam masa dua tahun ini pun kita sudah mula nampak kejayaannya," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 22/6/12

PKR Selangor bergolak

SHAH ALAM 21 Jun - Krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor yang mula panas sejak pertengahan bulan ini bagaikan sampai kemuncaknya.
Ini apabila Pengarah Strategik PKR Pusat, Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor seperti yang ditulis dalam laman sosial, Twitternya hari ini.
Walaupun memberi alasan langkah itu bertujuan untuk berehat namun blog-blog mengaitkan ia secara tidak langsung sebagai reaksi protes terhadap pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah lama berkrisis dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Tindakan Rafizi terjadi hanya dua hari selepas Abdul Khalid mengeluarkan kenyataan mempertahankan Faekah yang dikatakan menghadapi tekanan meletakkan jawatan daripada penyokong Azmin.
Melalui laman Twitternya, Rafizi menyatakan, beliau telah menghantar notis peletakan jawatan tersebut dan menyerahkan sebarang pertanyaan mengenai ekonomi negeri dan lain-lain kepada kerajaan negeri.
“Letak jawatan proses biasa. Perlu sedikit rehat, letih buat dua kerja di kerajaan negeri dan parti. Ramadan dah dekat, tumpu ibadah," katanya ketika menjelaskan mengapa beliau melepaskan jawatan secara mengejut.
Dalam pada itu, Rafizi yang dilihat antara penyokong kuat Azmin cuba menafikan tindakan drastik beliau tersebut mempunyai kaitan dengan krisis dalaman yang sedang melanda PKR Selangor.
Alasan Rafizi, beliau tidak pernah kekal lebih daripada dua tahun dalam satu-satu jawatan yang disandangnya dan ia tiada kaitan langsung dengan dimensi politik di Selangor.
Pada 2010, Azmin juga membuat keputusan serupa apabila meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dipercayai sebagai protes terhadap pelantikan Faekah.
Ketika itu, tindakan tersebut dilihat sebagai protes terhadap pelantikan Faekah sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia yang dikatakan menyebelahi kem Azmin.
Kelmarin, Abdul Khalid dalam cubaan mempertahan orang kanannya itu menyifatkan Faekah telah melakukan kerja dengan baik dan komited sekali gus, menepis dakwaan kononnya setiausaha politiknya itu cuba mengawal menteri besar.
Sejak dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar, hasil sokongan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 2010, Faekah menjadi sasaran tuduhan bahawa beliau terlalu berkuasa dan mempunyai pengaruh luar biasa di atas keputusan-keputusan kerajaan negeri.
Beliau didakwa penghalang kepada program-program yang ingin dilaksanakan oleh parti di Selangor sehingga wakil rakyat PKR bimbang ia menjejaskan peluang parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Difahamkan, usaha kepimpinan PKR untuk menasihatkan agar Abdul Khalid membataskan tindakan Faekah daripada campur tangan urusan parti tidak berjaya.
Abdul Khalid turut melantik Faekah menyertai sebuah jawatankuasa mengendalikan geran RM300 juta untuk program Selangorku.
Faekah sebelum ini dikatakan menjadi sasaran beberapa pemimpin PKR negeri yang tidak berpuas hati dengan beliau.
Termasuklah desakan yang pernah dibuat oleh Azmin supaya Faekah dipecat, manakala Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin pernah menyifatkan Setiausaha Politik Menteri Besar itu sebagai ‘celupar’ dan tidak mengenang budi mempersoalkan tentang kewibawaan Azmin yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR.
/hwa: utusan.com.my | 22/6/12

20 Jun 2012

Oxford sokong Waqaf Korporat

Universiti Oxford mengiktiraf konsep Waqaf Korporat yang disediakan oleh Waqaf An Nur Corporation seperti khidmat perubatan di klinik wakaf an nur. - Gambar hiasan 
*****
Waqaf Korporat semakin mendapat perhatian masyarakat. Baru-baru ini Pengerusi Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Tun Musa Hitam mengumumkan satu Persidangan WIEF akan diadakan di Johor Bahru pada Disember 2012.
Beliau menyatakan persidangan tersebut akan turut memberi tumpuan kepada wakaf sebagai institusi yang boleh meningkatkan ekonomi umat Islam selain daripada perbankan dan kewangan Islam yang telah diterima pakai di seluruh dunia, terutama atas inisiatif Malaysia.
Bangsa Melayu dan umat Islam selama ini menyedari pentingnya wakaf sebagai satu amal ibadah yang turut membawa impak besar, terutama dalam membela nasib golongan miskin. Menerusi wakaf orang yang berada dan berharta dapat meningkatkan amal ibadah dengan mengorbankan sebahagian harta kekayaan untuk disumbang kepada kebajikan golongan yang memerlukan.
Amalan berwakaf mendapat sambutan di kalangan masyarakat, antara lain untuk menepati Hadis Rasulullah SAW yang menyatakan setelah mati anak Adam, tidak ada yang boleh menolongnya melainkan tiga perkara: iaitu ilmu yang dimanfaatkan, doa anak yang soleh dan sedakah jariah yang membawa manfaat berterusan, termasuk wakaf.
Kini masyarakat diperkenalkan pula kepada institusi Wakaf Korporat, iaitu satu inovasi besar kepada wakaf bertujuan memperbaharui peranan bisnes dan organisasi korporat. Matlamat akhir Waqaf Korporat, selain membolehkan badan korporat berjaya menghimpun harta kekayaan mengikut kaedah bisnes sama seperti badan korporat lain, Waqaf Korporat yang dimiliki umat Islam juga dapat digunakan untuk merapatkan jurang kaya-miskin yang semakin melebar, bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia. Jurang ekonomi dan sosial adalah antara punca utama berlakunya konflik di dunia hari ini, khasnya di kalangan umat dan negara Islam.
Waqaf Korporat juga satu kaedah membasmi kelemahan sistem ekonomi kapitalis Barat yang mengakibatkan ketidakadilan melampau dalam agihan harta kekayaan dan sumber ekonomi. Selain itu, Waqaf Korporat berkewajipan menjayakan program fi sabilillah dan program kebajikan. Pengalaman Waqaf Korporat di Malaysia membuktikan amalan ini berupaya melakukan semua itu, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam, malah untuk semua warganegara pelbagai bangsa dan agama.
Contoh terbaik Waqaf Korporat di Malaysia ialah Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp) yang ditubuhkan oleh Johor Corporation (JCorp). Pada Ogos 2006 JCorp mewakafkan sebahagian saham PLC miliknya bernilai RM200 juta kepada WANCorp.
Pada akhir 2011, nilai keseluruhan aset wakaf milik WANCorp meningkat kepada RM538.5 juta. Bayangkan jika terdapat sepuluh organisasi Waqaf Korporat seumpama WANCorp di seluruh negara - saya yakin masalah kemerosotan dan kelemahan ekonomi Melayu serta masalah ketidakadilan sosial, insya-Allah dapat kita atasi bersama!
WANCorp juga sangat aktif mengendalikan program amal kebajikan. Rangkaian Klinik Waqaf An Nur terkenal dengan program kebajikan yang mengenakan bayaran hanya RM5 untuk khidmat doktor serta ubat-ubatan. Seramai lebih 800,000 pesakit telah mendapat manfaat daripada program anjuran wakaf daripada rangkaian 17 klinik di seluruh negara sejauh ini.
Paling menarik perhatian, sekalipun klinik wakaf ini ditempatkan di masjid-masjid, lebih 50,000 pesakit miskin bukan Muslim turut mengunjunginya untuk mendapatkan rawatan perubatan murah.
Antara projek kebajikan lain yang membawa impak besar ialah Waqaf Dana Niaga untuk membantu masyarakat berpendapatan rendah mendapat peluang niaga kecil-kecilan dengan pinjaman modal tanpa faedah qardul hasan. Sejauh ini ramai usahawan baharu telah dilahirkan termasuk suri rumah dan ibu tunggal, sekali gus mengurangkan masalah sosial dan tekanan hidup masyarakat khasnya di bandar-bandar.
Pengalaman WANCorp dan manfaat yang dibawanya jelas membuktikan kehebatan Waqaf Korporat dan potensi jangka panjangnya dalam pembangunan ekonomi negara, khasnya dalam meningkatkan tahap pencapaian ekonomi bangsa Melayu dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum.
Kini kehebatan WANCorp dan potensi besar konsep Waqaf Korporat turut mendapat perhatian dan pengiktirafan antarabangsa, khasnya Universiti Oxford di Britain.
Dalam satu kajian melalui Said Business School yang diterbitkan pada Disember 2010, Universiti Oxford mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara Islam terulung dalam memperkenal pembaharuan institusi ekonomi Islam, khasnya dalam bidang kewangan dan perbankan Islam. Universiti Oxford berpendapat, kini Malaysia sekali lagi mendahului dengan inisiatif terbaharu, melalui usaha gigihnya memperkenalkan institusi Waqaf Korporat.
Dalam penerbitan bertajuk "Satu kajian ke atas Strategi Korporat Waqaf Johor Corporation di Malaysia" (A Study on Johor Corporation's Corporate Waqf Strategy in Malaysia) Universiti Oxford dengan tegas menyatakan: "… Malaysia telah membuktikan ia adalah pengibar bendera dalam kewangan Islam dan pembangunan serta perundangan model bisnes Islam… Didapati Waqaf Korporat adalah satu kaedah inovasi memodenkan dan menggunakan konsep wakaf tradisional untuk mencapai matlamat bisnes dan korporat."
Kajian ini menambah: "… kajian kes (Waqaf Korporat) JCorp mendapati Jihad Bisnes, Waqaf Korporat dan (pembangunan) usahawan sangat berkesan dan jauh melebihi apa yang mungkin boleh dicapai dengan menggunakan kaedah pembangunan ekonomi konvensional dan pendekatan pacuan dasar biasa (known policy-driven methods)."
Universiti Oxford bukan sahaja mengiktiraf keberkesanan Waqaf Korporat dalam mengembangkan keupayaan bisnes umat Islam malah setelah mengkaji program fi sabilillah dan kebajikan WANCorp, universiti ini berpendapat Waqaf Korporat juga sangat berkesan dalam menyampaikan manfaat kepada masyarakat yang memerlukan pembelaan menerusi program tanggungjawab sosial korporat.
Kajian Universiti Oxford menyimpulkan: "… apabila dibandingkan dengan seluruh amalan industri di Malaysia, didapati (Waqaf Korporat) berprestasi lebih baik dalam membawa impak daripada aktiviti yang dijayakan oleh badan korporat yang setaraf dengannya, khasnya berkaitan tanggungjawab sosial dan derma kebajikan korporat (corporate philanthropy)."
Kesimpulannya, tiba masanya Waqaf Korporat dijadikan institusi utama dalam strategi pembangunan ekonomi Malaysia dan semua negara Islam. Pembaharuan strategi ini sangat kritikal dalam usaha negara Islam memperbaiki kehidupan masyarakat masing-masing. Tanpa pembaharuan kita akan terus menjadi negara yang dihantui ketidakadilan dan kezaliman ekonomi.
Kita juga mudah dijangkiti kerosakan sosial dan konflik politik akibat menciplak kapitalisme Barat seperti yang nyata kelihatan berlaku di Barat setelah dirosakkan sistem kapitalis liar, buas dan rakus.
Sokongan dan pengiktirafan Universiti Oxford terhadap pembaharuan institusi wakaf menerusi Waqaf Korporat memberi umat Islam Malaysia satu peluang luar biasa. Menerusi Waqaf Korporat kita dapat menambah kepada impak yang telah dibawa oleh kewangan dan perbankan Islam untuk menegakkan keadilan dan mengislamkan kehidupan ekonomi umat.
Kejayaan Waqaf Korporat akan sekali lagi membuktikan sesungguhnya Malaysia mampu meneruskan inovasi ekonomi Islam untuk manfaat dan kebaikan umat Islam khasnya dan seluruh umat manusia amnya.
/hwa: utusan.com.my | 18/6/12

Gelombang Biru semakin bertebaran di seluruh Perak

TAIPING 17 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Gelombang Biru yang semakin bertebaran di seluruh Perak adalah manifestasi sokongan rakyat negeri ini terhadap Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kehadiran lebih 70,000 pengunjung berbilang kaum pada majlis pelancaran Janji Ditepati peringkat negeri Perak hari ini adalah antara petanda jelas bahawa rakyat negeri ini akan memilih BN dalam pilihan raya umum akan datang.
''Gelombang-gelombang biru telah meningkat, inilah manifestasi sokongan rakyat. Apabila pilihan raya sampai, orang Perak tiada pilihan lain selain menyokong BN untuk kita laksanakan agenda menepati janji," katanya ketika berucap melancarkan program tersebut di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kamunting di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Muhyiddin berkata, seperti di negeri-negeri lain, rakyat Perak memberi sokongan yang cukup besar kepada program berkenaan sekali gus mencerminkan keyakinan mereka terhadap kesungguhan Perdana Menteri dalam menunaikan janji-janji kerajaan kepada rakyat.
''Kehadiran saudara dan saudari juga menunjukkan betapa anda berasa dekat dengan kepimpinan kerajaan pada hari ini untuk membantu rakyat melayari bahtera hidup dalam keadaan yang lebih baik, lebih bahagia dan harmoni pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata, sepanjang 55 tahun menerajui tampuk pentadbiran negara, BN berjaya melunaskan janji-janjinya untuk membawa pelbagai perubahan sehingga menjadikan Malaysia yang satu ketika dahulu hanya sebuah negara pertanian, kini muncul negara membangun yang dicontohi dunia.
''Walaupun kita mempunyai kepelbagaian kaum dan resam agama yang berbeza-beza, namun atas dasar kerajaan, rakyat boleh hidup bersatu serta bekerjasama. Kita berjanji akan mengekalkan hubungan baik ini.
''Soal perpaduan tidak boleh dianggap sebagai perkara lumrah sebaliknya memerlukan keazaman, permuafakatan serta kerjasama bagi mengelakkan berlakunya krisis antara kaum," ujar beliau.
Sempena pelancaran program itu, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan Gerakan 1Malaysia Utamakan Keluarga (1Malaysia Family First- 1MFF) sempena sambutan Hari Bapa peringkat kebangsaan 2012 bertemakan Bapa Prihatin, Keluarga Terpimpin.
Gerakan 1MFF yang dikelola Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), bertujuan meletakkan perspektif keluarga dalam segala perancangan serta pembangunan sosioekonomi negara.
Muhyiddin turut menyempurnakan pemberian baucar saringan kesihatan LPPKN bernilai RM266,000 termasuk golongan bapa tunggal selain bantuan Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) kepada 10 penerima dan sembilan lagi untuk bantuan program 1Azam.
/hwa: utusan.com.my | 18/6/12

Nilai pemimpin dengan tanda aras betul

JAMIL Khir Baharom berjabat tangan dengan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Al-Bayt Jordan, Syeikh Dr. Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool sambil diperhatikan oleh pembentang-pembentang kertas kerja pada Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 17 Jun - Umat Islam mesti dididik menilai kerajaan dan pemimpin dengan tanda aras yang betul berdasarkan fakta, bukannya mengikut emosi serta sentimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, umat Islam perlu didedahkan dengan kerangka fiqh yang tepat bagi menyusun kesetiaan dan mengeratkan hubungan antara rakyat dengan kerajaan dalam satu model politik yang syarie.
"Ahlus Sunnah Wal-Jamaah mempunyai kaedah yang sangat jelas dan nyata dalam menilai keperluan mentaati pemimpin.
"Ajaran kita mewajibkan kita mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pemimpin selagi mana ianya tidak bertentang dengan dalil-dalil syarak," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC) di sini hari ini.
Menurut Jamil Khir, Islam membenarkan umatnya menyatakan rasa tidak setuju kepada pemimpin tetapi ia mesti disantuni dengan adab dan tidak memecah belahkan umat secara keseluruhannya.
"Perkara-perkara asas ini mestilah difahami dan dihayati dengan sebaik-baiknya. Sayangnya, di atas landasan dendam kesumat, umat Islam mengenepikan prinsip-prinsip asas. Menjadikan individu yang rendah moral sebagai pilihan kepada seorang pemimpin lain yang berjiwa besar," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa banyak negara-negara Islam yang sedang menghadapi dugaan dari segi politik dan ekonomi disamping masih ada lagi negara yang dihimpit kemiskinan.
"Atas nama demokrasi total, mereka masih berhempas-pulas dalam menentukan jalan hadapan kepada negara dan umat Islam di negara masing-masing. Semua ini realiti baru yang perlu ditangani oleh umat Islam dengan penuh bijaksana dan penuh hikmah," katanya.
Sementara itu, pada sidang akhbar kemudian, Jamil Khir memberitahu penubuhan Institut Wasatiyyah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam peringkat perincian dan dijangka dapat digerakkan dalam tahun ini.
"Kita tidak mahu masyarakat melihat tafsiran wasatiyyah hanya sebagai sederhana, ia juga membawa konsep terbaik dan terunggul dalam mencari keseimbangan antara dunia dan akhirat," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 18/6/12

Dr. Ali Hamsa dilantik Ketua Setiausaha Negara

KUALA LUMPUR 19 Jun - Ketua Pengarah, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ali Hamsa, 57, hari ini diumumkan sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baru berkuat kuasa mulai 24 Jun 2012.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau menggantikan Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 23 Jun ini.
Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Ali, kata kenyataan itu.
Ali yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1955, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Ekonomi serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Environmental Science & Economics dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat.
Beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 5 Jan 1981 sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.
Beliau mempunyai pengalaman kerja yang sangat luas di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dari 16 Dis 1997 hingga 21 April 2009.
Di jabatan itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Seksyen Pembahagian dan Timbalan Ketua Pengarah, Program National Transformation & Advancement sebelum menjawat tugas sebagai Ketua Pengarah, UKAS, JPM pada 22 April 2009.
"Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Mohd. Sidek di atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara khususnya dalam usaha-usaha mengukuhkan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara yang dirancang dilaksanakan dengan jayanya," kata kenyataan itu. - BERNAMA
/hwa: utusan.com.my | 19/6/12

19 Jun 2012

Penghormatan Terakhir

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertemu Putera Mahkota Salman Abdul Aziz (kiri) yang juga Menteri Pertahanan ketika memberi penghormatan terakhir kepada Putera Mahkota Nayef Abdul Aziz Al Saud di Jeddah, hari ini. Putera Nayef, 77, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, mangkat di sebuah hospital di Geneva, Switzerland, Sabtu lalu. - Foto BERNAMA
Jun 19, 2012 3:02 pm

Ke Arab Saudi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melambai tangan sebelum berlepas ke Arab Saudi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini untuk memberi penghormatan terakhir kepada Putera Mahkota Nayef bin Abdul Aziz Al Saud yang mangkat dua hari lalu. - Foto BERNAMA
Jun 18, 2012 2:48 pm