28 Mei 2012

Amaran awal kepada orang Melayu - Syed Ali

KUALA LUMPUR 26 Mei - Pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri merupakan amaran awal kepada orang Melayu tentang hak dan kepentingan mereka di negara ini bakal tergadai pada masa hadapan.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, kenyataan itu juga boleh dilihat sebagai petanda sudah ada strategi pihak tertentu yang mahu melenyapkan fungsi dan kedudukan raja-raja Melayu.
“Sekarang DAP mahu bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, lambat-laun kedudukan raja Melayu dan Islam sebagai agama rasmi negara juga akan dipadamkan dalam Perlembagaan.
“Kenyataan Karpal itu juga merupakan provokasi DAP dalam meraih sokongan pengundi Cina menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi," katanya dalam entri terbaru laman blog umnocheras.blogspot.com.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kenyataan Karpal bahawa beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri selagi beliau hidup.
Tegas Syed Ali, keadaan itu akan berlaku apabila orang Melayu berpecah belah, umat Islam dilaga-lagakan oleh Pas yang saban hari menjaja kepalsuan perjuangan Islam manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula berlegar-legar mencari peluang merusuh di jalanan.
Beliau juga berkata, impian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri juga awal-awal lagi sudah ditolak oleh sekutu rapatnya DAP dan ia membuktikan Ketua Pembangkang itu sememangnya diperakui tidak layak.
/hwa: utusan.com.my | 27/5/12

'Sikap penakut Abdul Hadi amat memalukan, tidak ada maruah'

KUALA LUMPUR 26 Mei - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jelas seorang yang pengecut apabila tidak berani menyanggah hasrat Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu memastikan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berkuasa.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Abdul Hadi hanya berani berhadapan dengan UMNO dan sesama orang Melayu tetapi bukan dengan DAP dalam mempertahankan pendirian Pas.
"Sikap penakut Abdul Hadi ini amat memalukan dan tidak ada maruah," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang enggan menyanggah hasrat Karpal itu selain menganggap ia hanya pandangan peribadi pemimpin DAP itu.
Ibrahim berkata, sikap Abdul Hadi itu jelas hanya untuk mencapai kepentingan politiknya kerana sudah terbukti sebelum ini, pemimpin Pas itu sanggup dipergunakan oleh DAP ekoran pendirian tidak tetap beliau dalam isu lain.
Katanya, ia termasuk pendirian Abdul Hadi yang sering berubah-ubah apabila Karpal bersuara mengenai ketegasan DAP bermati-matian menolak cadangan Pas iaitu mahu mewujudkan negara Islam sebelum ini.
Beliau berkata, pendirian tidak tetap Abdul Hadi itu wajar dipersoalkan oleh ahli Pas dan orang Melayu.
"Jika beliau sendiri boleh duduk bersama orang yang mempertikaikan cadangan mewujudkan negara Islam, malah mahu bukan Melayu sendiri jadi Perdana Menteri, bagaimana orang Melayu dan umat Islam di negara ini boleh percaya kepada Abdul Hadi?
"Kalau Islam dan hak Melayu pun dia tidak boleh bela, adakah wajar kita percaya kepadanya lagi?" katanya.
/hwa: utusan.com.my | 27/5/12

Kata-kata hina oleh Anwar punca kekecohan

Mohd. Sazali (kiri) dan Ibrahim Thamby Chik menunjukkan gambar seorang penyokong UMNO, Mohd. Saifol Bukhari yang tercedera ketika menghadiri ceramah di Pantai Permai, Kuala Lumpur, semalam.
***** 
KUALA LUMPUR 26 Mei - Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai mendakwa kata-kata penghinaan yang dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berceramah merupakan punca berlaku kekecohan di pekarangan Pangsapuri Pantai Permai, malam semalam.
Ketuanya, Datuk Mohamad Sazali Kamilan berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikatakan sengaja mencetuskan provokasi dengan melemparkan kata-kata nista supaya mereka yang menghadiri ceramah ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali bertindak balas.
Beliau berkata, sungguhpun begitu, pihaknya tidak segera bertindak sehinggalah tiba-tiba berlaku tindakan membaling beberapa objek keras oleh pihak yang tidak dapat dipastikan.
"Akibatnya seorang ahli Pemuda UMNO cedera di kepala. Saya tidak mahu menuduh siapa yang memulakan kekecohan ini dan siapa yang membaling. Mustahil orang UMNO baling kepada orang UMNO sendiri.
"Ketika itu mangsa sedang duduk mendengar ceramah (Ummi Hafilda). Mangsa kemudian dikejarkan ke klinik berhampiran oleh jawatankuasa penganjur dan dimaklumkan mangsa menerima enam jahitan," katanya di Rumah Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ibrahim Thamby Chik.
Beliau mengulas kekecohan ketika berlangsungnya sesi ceramah Anwar dan Ummi Hafilda yang diadakan bersebelahan di pekarangan pangsapuri berkenaan.
Akibatnya, dua lelaki yang hadir untuk mendengar sesi ceramah iaitu masing-masing seorang penyokong pembangkang dan seorang lagi penyokong kerajaan cedera di kepala selepas terkena balingan batu daripada kedua-dua belah pihak.
Ceramah Anwar dianjurkan oleh PKR Lembah Pantai manakala ceramah Ummi Hafilda dianjurkan oleh Majlis Permuafakatan Muslim.
Mohamad Sazali berkata, selain menghina, Anwar terus melakukan provokasi melalui maki-hamun sehingga keluar perkataan 'Pemuda UMNO sial' dan 'Pemuda UMNO celaka'.
Sementara itu, Di PUTRAJAYA, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang ditemui ketika menghadiri pertandingan pasukan sorak sempena sambutan Hari Belia Negara hari ini berkata beliau memandang serius tuduhan tersebut.
Katanya, tuduhan sedang disiasat kerana tidak mudah mengenalpasti individu yang memulakan kekecohan kerana adanya provokasi.
/hwa: utusan.com.my | 27/5/12

'Jadikan hari esok lebih baik'

Najib Tun Razak (kiri) berucap di hadapan para belia ketika Himpunan Jutaan Belia 2012 di Putrajaya, semalam. - BERNAMA 
*****
PUTRAJAYA 26 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mahu suara belia Malaysia yang disifatkan sebagai keramat dan penentu masa depan negara 'dilaungkan' secara penuh beradab, berhemah mulia, tertib dan mengikut undang-undang.
Berucap di hadapan puluhan ribu belia dari seluruh pelosok tanah air yang berhimpun di sini, Perdana Menteri berkata, hanya belia yang bergerak seiring dengan tuntutan-tuntutan tersebut boleh menjamin masa depan negara.
"Saya nak tunjuk imej himpunan kita ini, bagaimana kita duduk dalam keadaan aman, tak ada ketakutan, tak ramai pun anggota polis.
"Polis pun agak lega, polis pun tak rasa cemas, orang ramai pun tak rasa cemas, inilah gambaran belia yang boleh menjamin hari esok lebih baik dari hari ini," katanya berucap melancarkan Himpunan Jutaan Belia sempena Hari Belia Negara 2012.
Menurut Perdana Menteri, belia yang melakar imej liar, yang menendang anggota polis, terbaring atas jalan bukan gambaran belia yang boleh menjamin masa depan negara.
Begitu juga, katanya, gambaran belia yang sedang melonjak-lonjak atas kereta polis bukan gambaran belia yang bersopan santun yang boleh rakyat bergantung harap untuk masa depan.
"Gambaran belia yang membaling batu dan menyerang anggota keselamatan bukan belia Malaysia yang boleh jadi contoh.
"Yang boleh jadi contoh adalah saudara saudari yang berhimpun di himpunan belia di sini. Majoriti adalah belia macam saudara saudari, jangan biarkan segelintir belia hijack agenda dan imej negara kita," kata Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Najib mahu belia-belia yang menyertai perhimpunan hari ini supaya tidak membiarkan golongan yang tidak bertanggungjawab itu merebut kuasa di negara ini dan memastikan Putrajaya kekal milik mereka.
Katanya, wajib bagi golongan belia mempertahankan Putrajaya kerana apa yang dilaksanakan sekarang adalah berdasarkan prinsip demokrasi berparlimen sambil mengingatkan bahawa rusuhan jalanan, membaling batu, menendang anggota polis bukan demokrasi tetapi demo crazy.
"Belia bukan demo crazy tetapi mereka menghormati dan menyanjung amalan prinsip berparlimen, belia ada kuasa untuk menggunakan kuasa itu dengan penuh kematangan, menggunakan kuasa dengan penuh bijaksana," katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan para belia supaya tidak termakan hasutan, tidak terpedaya dengan fitnah, ucapan-ucapan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menghasut.
"Kita harus tahu memilih antara intan dan permata, siapa yang boleh menjamin hari esok lebih baik dari hari ini," katanya.
Najib mengulangi keyakinannya bahawa suara belia yang berhimpun di Putrajaya adalah alunan gelombang semangat yang tahu memilih kerajaan yang benar-benar boleh menjamin masa depan rakyat.
"Hari esok lebih baik dari hari ini dan saya dah rakan-rakan anggota Kabinet yang berhimpun atas pentas, kami tak ada pilihan melainkan atas bahu kami.
"Kami melihat muka saudara-saudara muka belia hari ini, saudara pewaris, apa yang kita lakukan agenda tak lain tak bukan nak serah sebuah negara Malaysia yang lebih baik dari hari ini.
"Sebuah negara yang lebih berjaya dari hari ini, sebuah negara yang lebih hebat dari hari ini, kejayaan daripada segala sudut, bila jadi negara maju," katanya.
Perdana Menteri juga mahu belia Malaysia bersatu padu untuk melonjakkan negara menjadi lebih hebat dan berjaya.
/hwa: utusan.com.my | 27/5/12

Penghasilan benih kerapu berkualiti

Telur ikan yang telah disenyawakan diletakkan dalam sebuah tangki khas. 
*****
TEKNOLOGI hibrid sebenarnya telah lama kita ketahui malah ramai di kalangan masyarakat awam turut menyokong penyelidikan dan pengembangan dalam teknologi ini.
Bermula daripada produk pertanian seperti padi hibrid sehingga kepada kenderaan yang juga dilengkapi teknologi tersebut.
Kini, produk akuakultur juga tidak ketinggalan melalui proses teknologi hibrid.
Terbaru adalah penghasilan kerapu hibrid hasil kacukan induk kerapu harimau (epinephelus fuscoguttatus) dan kerapu kertang (epinephelus lanceolatus).
Kerapu harimau, kerapu kertang dan kerapu hibrid hasil kacukan kedua-dua spesies tersebut merupakan antara yang paling banyak di ternak di Malaysia.
Ia berikutan faktor harganya yang mahal di samping memenuhi kriteria pemilihan spesies untuk akuakultur seperti tahan lasak, tahan penyakit dan benih yang mudah diperolehi.
Kerapu harimau merupakan spesies bersaiz sederhana yang lebih mudah dibiakkan tetapi agak lambat membesar.
Manakala kerapu kertang merupakan yang paling cepat membesar namun sukar untuk dibiakkan berikutan kegagalan induk betina mengeluarkan telur secara semulajadi atau aruhan.
Justeru, kacukan kedua-dua spesies tersebut berjaya menyelesaikan masalah berkenaan kerana benih kerapu hibrid mewarisi ciri-ciri perantaraan yang baik daripada kedua-dua induk asal.
Antaranya, lebih tahan penyakit, cepat membesar dan morfologi yang menarik di samping harga yang tinggi dipasaran.
Ciri-ciri tersebut menyebabkan kerapu hibrid menjadi pilihan penternakan marin tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Harga pasaran ikan kerapu hibrid pernah melonjak sehingga RM70 sekilogram (kg). Namun kini harganya agak menurun pada kadar RM40 hingga RM50 per kg di sebabkan faktor penawaran atau bekalan yang semakin meningkat.
Menurut Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, ikan kerapu menyumbang kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan hasil pengeluaran akuakultur ikan marin negara.
"Ia mendapat permintaan tinggi dalam bentuk ikan hidup di pasaran luar negara khususnya Hong Kong dan China.
"Malah, hasil pengeluaran akuakultur ikan marin negara kini mencecah 35,000 tan metrik setahun," katanya ketika berucap merasmikan Promosi Teknologi Akuakultur Ikan Kerapu di Pusat Teknologi Pembenihan Akuakultur Marin (FRI) Tanjung Demong, Jabatan Perikanan, Besut, Terengganu baru-baru ini.
Jelas Ahamad Sabki, ternakan ikan kerapu secara komersial dalam sangkar di kawasan laut terlindung bermula sejak 1973.
Antara spesies terawal dan paling digemari pada ketika itu adalah kerapu hijau (epinephelus suillus). Namun bekalan benih ikan tersebut amat terhad dan bermusim serta hanya diperolehi dari sumber semulajadi.
Bermula 1990an, bilangan spesies kerapu yang diternak semakin bertambah menggunakan benih liar dan benih yang diimport dari Taiwan dan Indonesia.
Ia termasuk kerapu merah (epinephelus bleekeri), kerapu tikus (cromeleptis altivelis) dan kerapu sunoh (plectropomus leopardus).
Kini, teknologi pembenihan kerapu hibrid berjaya dikembangkan oleh beberapa pengusaha tempatan termasuk pengusaha pusat pembenihan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang mendapat bimbingan secara terus daripada FRI Tanjung Demong.
Harga semasa telur kerapu hibrid yang dihasilkan mencecah RM6,000 hingga RM10,000 bagi sejuta biji dan harga benih yang bersaiz 7.5 sentimeter (sm) di antara RM8 hingga RM10 per ekor.
Kerapu kertang dipilih sebagai spesies kacukan kerana ia mempunyai ciri-ciri fenotip yang baik seperti cepat membesar dan tahan kepada perubahan persekitaran.
Ciri-ciri tersebut dapat mengurangkan risiko semasa peringkat ternakan.
Kerapu hibrid boleh mencapai saiz pasaran satu kg hingga 1.2 kg dalam masa yang singkat iaitu 10 hingga 12 bulan berbanding kerapu harimau sehingga 15 bulan bermula dari peringkat telur.
Proses atau kaedah pembiakan dibuat secara in vitro, di mana mani dan telur disenyawakan di luar badan dengan bantuan suntikan hormon.
Apabila induk kerapu harimau betina telah sedia untuk mengeluarkan telur, lurutan dibuat pada bahagian abdomen secara perlahan bagi mengeluarkan telur-telur ke dalam bekas yang kering dan bersih.
Manis kerapu kertang akan dicampurkan dengan telur kerapu harimau dan di kacau sehingga sebati. Selepas beberapa minit, telur yang tersenyawa dimasukkan ke dalam tangki yang diisi air laut untuk proses perkembangan telur berlaku.
Penetasan telur berlaku di antara 16 hingga 18 jam selepas telur disenyawakan dan dianggarkan 300,000 hingga 500,000 biji telur diperolehi bagi setiap sekilogram induk betina.
Telur-telur yang disenyawakan akan dipindahkan ke dalam tangki pembenihan untuk jangka masa 30 hingga 40 hari sehingga selesai peringkat metamorfosis sebelum dituai.
Perubahan persekitaran dan faktor kualiti telur boleh menyebabkan kematian (mortaliti) yang tinggi pada peringkat sebelum metamorfosis.
Benih perlu dikelaskan dari masa ke semasa bagi mengurangkan kanibalisme (tabiat makan sesama sendiri) terutamanya pada saiz 2.5 sm hingga 7.5 sm.
Pada umur 100 hari selepas ditetaskan kerapu hibrid mencapai saiz 10-12 sm dan sedia untuk dipindah ke dalam sangkar atau kolam penternakan seterusnya di pelihara sehingga mencapai saiz matang untuk di jual.
/hwa: utusan.com.my | 27/5/12

27 Mei 2012

Himpunan Jutaan Belia

Himpunan Jutaan Belia: PUTRAJAYA, 26 May -- Pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi sekitar Lembah Klang bergambar bersama logo 1Malaysia, 1Barisan Nasional dan 1 UMNO ketika mengunjungi Himpunan Jutaan Belia 2012 di sini hari ini.Himpunan Jutaan Belia yang bermula pada 23 May akan berakhir pada 27 Mei 2012 yang di rasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. --fotoBERNAMA (2012) HAKCIPTA TERPELIHARA

Himpunan Jutaan Belia

  Himpunan Jutaan Belia: PUTRAJAYA, 26 May -- Sebahagian daripada para belia bersama sepanduk yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis perasmian Himpunan Jutaan Belia sempena Hari Belia Negara di Putrajaya di sini hari ini.--fotoBERNAMA (2012) HAKCIPTA TERPELIHARA

26 Mei 2012

Himpunan Jutaan Belia 2012

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menurunkan tandatangan pada plak Himpunan Jutaan Belia 2012 ketika melancarkan majlis itu sempena Hari Belia Negara tahun ini di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
May 26, 2012 10:48 pm

Menang dulu baru cakap soal siapa MB Kedah: Mukhriz


KUALA NERANG: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir meminta supaya khabar angin yang beliau akan menjadi Menteri Besar Kedah jika Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dihentikan kerana ia terlalu awal untuk dikatakan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, BN perlu menang dulu dalam PRU-13 dan selepas itu baru boleh bercakap siapa yang akan menjadi Menteri Besar (MB).

"Tak guna kita cakap mengenai jawatan MB sekiranya BN belum lagi menang dan pilihan raya pun belum diadakan lagi," katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya Peringkat Negeri Kedah 2012 di sini, hari ini.

Khabar angin mengatakan bahawa Mukhriz akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-13 dan jika BN menang beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, untuk menang bukan seorang saja yang perlu menang tetapi memerlukan majoriti dalam kerusi DUN untuk mendirikan kerajaan di peringkat negeri.

Katanya, beliau bukanlah orang yang suka berebut jawatan serta tanggungjawab yang berat tetapi bersedia menerima apa saja keputusan pimpinan tertinggi.

"Saya ni stail orang lama...tolak menolak. Bagi orang lain pi (naik) dulu la. Saya sanggup bantu di sebalik tabir. Tak kiralah apa pun tempat yang diletak oleh Perdana Menteri, yang itu saya terima.

"Jadi saya tak berharap sangat kerana orang yang berharap mudah kecewa. Jadi saya tak mau kecewa dan tak berharap. Tapi kalau dapat (jawatan) saya ingat boleh terasa beratnya tanggungjawab yang akan dipikul," katanya.

Mukhriz berkata, soal sama ada calon Menteri Besar adalah dari golongan muda atau sebaliknya tidak perlu timbul kerana kajian mendapati kriteria yang paling penting untuk memilih pemimpin adalah soal mudah didekati.

"Contohnya kita tonjolkan seorang pemimpin muda tapi dia tak mudah didekati walaupun untuk masyarakat muda, jadi dia akan ditolak dalam pilihan raya kelak.

"Selain itu calon itu perlulah mampu selesai masalah kerana jika orang lama pun tapi mudah didekati dan mampu menyelesaikan masalah, dia pun mungkin akan dipilih," katanya.

Beliau berkata, apa yang penting sekarang ini ialah BN perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengalahkan parti lawan dan menawan semula Kedah.

"Dalam soal MB ni, tak perlu ditimbulkan kerana saya takut juga ada pihak yang menimbulkan agenda tersendiri, saja nak lagakan kita.

"Baru-baru ini pun ayah saya (bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri pesan kepada kita supaya jangan cantas mencantas sesama kita. Jadi, bila dah timbul perkara-perkara seperti ini seolah-olah kemenangan itu dah ada dalam tangan kita. Itu belum tentu lagi... kena berusaha lebih banyak," katanya. - BERNAMA.

/hwa: bharian.com.my | 26/5/12

Bakat Besar

TUNJUK BAKAT... Mohd Nurdhafie Mohd Zaki, 4, tidak melepaskan peluang mencuba permainan kasut roda sempena berlangsungnya Karnival Himpunan Jutaan Belia 2012 di Persiaran Perdana, Putrajaya, hari ini. Sebanyak 500 acara dalam 35 segmen diadakan sepanjang sambutan Hari Belia Nasional itu dengan pelbagai kemudahan disediakan termasuk pengangkutan awam percuma bagi membawa pengunjung ke seluruh lokasi acara. - Foto BERNAMA
May 26, 2012 1:59 pm

Bahaya pemikiran Irshad Manji terhadap umat Islam Malaysia

Buku yang diharamkan di Malaysia. 
*****
KONTROVERSI buku Allah, Kebebasan dan Cinta sejak seminggu lalu masih belum berakhir manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menelitinya setelah pelbagai pihak mendesak diharamkan atas alasan boleh memesongkan akidah umat Islam.
Meskipun buku itu berjaya dilancarkan pada Sabtu lalu dan penulisnya terus mengambil penerbangan ke New York pada malamnya, kehadiran Irshad Manji bekas pelarian dari Uganda dan kini menetap di Kanada terus dikecam atas dua faktor, iaitu keberaniannya membuat pilihan sebagai seorang muslim lesbian dan kejanggalan pemikirannya yang mengajar prinsip kebebasan, rasionaliti dengan keberanian merempuh sempadan moral ataupun meruntuhkan sempadan kerasulan Nabi Muhammad SAW serta sunnah baginda.
Kedatangannya di negara ini sudah pasti membawa kesan negatif terhadap masyarakat. Ia akan menyemarakkan lagi perkembangan LGBT yang menjadi beban berat kepada pihak berkuasa bagi meleraikan penyakit sosial ini.
Irshad dikatakan memasuki Malaysia pada 13 Mei lalu, iaitu ketika UMNO sedang meraikan ulang tahun ke-66 penubuhan dan pada 14 Mei 2012, satu acara dijangka berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, tetapi terpaksa dibatalkan.
Pada Jumaat (18 Mei 2012) satu acara dirancang ketika umat Islam menunaikan fardu Jumaat di Universiti Monash Kampus Sunway, bagi mengelak dihadiri pemprotes, dan pada petangnya Irshad hadir di Kedai Buku Borders, Mid Valley turut diarahkan batal oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan KDN.
Bagaimanapun, pada 19 Mei 2012, buku yang diterbitkan oleh ZI Publications berjaya dilancarkan dalam majlis ringkas di Dewan Perniagaan China Selangor dan Kuala Lumpur, yang dihadiri 70 orang termasuk pewaris syarikat penerbitan itu, Ezra Zaid. Buku itu sudah berada di pasaran beberapa hari sebelum dilancarkan.
Syarikat yang menerbitkan buku tersebut, sebelumnya pernah menerbitkan buku-buku yang mempunyai aliran pemikiran liberal dan pluralisme agama yang ditulis oleh orang Islam sendiri. Pada 2009, menterjemahkan buku tulisan Ed Hussain ke dalam bahasa Melayu dengan tajuk, Saya Seorang Pejuang manakala tahun lalu, menterjemahkan buku tulisan Reza Arsalan dan menerbitkannya dengan memakai tajuk Tiada Tuhan Melainkan Allah.
Buku Ed Hussain, seorang imigran dari Bangladesh yang kemudiannya menetap di Timur London menceritakan tentang penglibatannya sebagai aktivis Islam, termasuk Pertubuhan Hizbut Tahir. Dikutuknya organisasi itu dengan cara yang amat disukai Barat, dan pergerakan Islam dilihat sebagai zalim, melampau dan ganas. Buku itu laris di pasaran, kerana ia berjaya melengkapkan sangkaan Barat terhadap Islam.
Zainuddin Sardar menilai buku itu tidak ubah seperti penulisan perhubungan awam untuk Parti Buruh, kerana kemudiannya, setelah meninggalkan Hizbut Tahir, Ed Hussain bekerja dengan parti pimpinan John Major dan melanjutkan pendidikan ke peringkat doktor falsafah.
Buku Reza Arsalan, yang juga merupakan buku terlaris menurut rekod New York Times pada 2009, menggunakan perspektif sejarah yang digumuli oleh masyarakat Islam sebagai menilai tahap kesyumulan Islam.
Irshad, 43 tahun yang dilahirkan di Uganda dalam keluarga campuran - ayahnya berasal dari Gujerat, India manakala ibu pula dari Mesir sejak kecil lagi suka bertanya dengan soalan-soalan mencabar, termasuk mempersoalkan kepentingan nabi-nabi dalam kehidupan masyarakat beragama.
Lantaran sikapnya, dia dibuang daripada sekolah agama. Pendidikan agama hanya diteruskan secara tidak rasmi menerusi pembacaan dan pertemuan dengan beberapa orang 'tutor' yang boleh berbahasa Arab.
Bagaimanapun, dari sudut pendidikan sekular, Irshad merupakan seorang pelajar cemerlang dan dianugerahkan medal Governor-General oleh Universiti British Columbia sebagai pelajar terbaik dalam bidang kemanusiaan. Pengkhususan beliau ialah sejarah pemikiran, dan kerana itulah beliau diterima tokoh pemikir yang berpengaruh untuk hidup dalam kebebasan moral dan berintegriti, atas keyakinannya bahawa 'tidak lagi perlu takut untuk mempersoalkan kelompok kita sendiri'.
Buku beliau sebelumnya The Trouble With Islam Today (2002) dan diterjemahkan ke bahasa Indonesia menggunakan tajuk, Beriman Tanpa Rasa Takut (2008) diharamkan penjualannya di Malaysia, bagaimanapun, masih boleh dibaca menerusi Internet. Dalam edisi terjemahan itu, Irshad menyerang keputusan para ulama kerana pendekatan yang mereka ambil lebih banyak bersifat mengongkong dan tidak menyuburkan faham kebebasan serta rasionaliti.
Dalam buku pertama, Irshad menulis: ''Sebagai seorang pedagang buta huruf, Muhammad bergantung pada pencatat untuk mencatat kata-kata yang didengarnya dari Allah. Kadang-kadang Nabi sendiri mengalami penderitaan luar biasa untuk menguraikan apa yang ia dengar. Itulah bagaimana "ayat-ayat syaitan" - ayat-ayat yang memuja berhala - dilaporkan pernah diterima oleh Muhammad dan dicatat sebagai ayat autentik untuk al-Quran. Nabi kemudian mencoret ayat-ayat tersebut, menyalahkan tipu daya syaitan sebagai penyebab kesalahan catatan itu. Namun, kenyataan bahawa para filosof muslim selama berabad-abad telah mengisahkan cerita ini sungguh telah memperlihatkan keraguan yang sudah lama ada terhadap kesempurnaan al- Quran." (hal. 96-97).
Dalam buku kedua, Allah, Kebebasan dan Cinta, Irshad melanjutkan pendapatnya dengan menyatakan: ''Dakwah Nabi membawa aib kepada masyarakatnya ... Sebagai pembelot extraordinaire, Muhammad telah menghancurkan reputasi sukunya sendiri, Quraisy… Merasakan keresahan sebilangan kecil pengikutnya yang baru memeluk Islam dan penentangan yang semakin memuncak: baginda "mencairkan" mesejnya… sebagai permulaan, Muhammad melentur nama Tuhan, 'Rabb' yang dipakai pada awalnya diganti dengan Allah iaitu yang dipakai oleh pagan Quraisy… Setelah terjadi peristiwa "ayat-ayat syaitan". Nabi tersalah menilai beberapa ayat sebagai wahyu Tuhan dan lalu menyampaikannya kepada sahabat baginda…. Muhammad kemudian menarik balik ayat-ayat itu, dan menyalahkan syaitan atas kesalahan yang dilakukannya." (hal.121-122).
Cebisan petikan tersebut sudah jelas membuktikan Irshad sebenarnya membawa semula doktrin Salman Rushdie pada 1988 menerusi novel kontroversinya, Satanic Verses (Ayat- Ayat Syaitan).
Hal yang sama ingin dilakukan oleh Irshad apabila tidak yakin dengan peribadi Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah dan menanggap apa yang diteladani oleh baginda dipengaruhi oleh syaitan.
Bagaimanapun, disebabkan masih 'ada lagi sisa Islam dalam dirinya', Irshad hanya boleh menerima al-Quran sebagai pedoman walaupun menyangkal kepentingan hadis dan peranan ulama dalam memelihara kesyumulan Islam.
Irshad yang terkurung dalam kepompong ilmiah Barat, akan terus membawa nada sinis dan mengkhianati Islam dan kerana itulah ke seluruh dinding cermin apartmennya perlu dipasangkan kaca kalis peluru. Dan, ketika buku Allah, Kebebasan dan Cinta dilancarkan di Belanda, pekikan dan ancaman bunuh ditujukan, kerana beliau sebenarnya melanjutkan neo-orientalisme dari dalam Islam sendiri.
Ia tidak lebih dari sebuah buku perhubungan awam yang bersifat peribadi, dan asas untuk membenarkan dirinya sebagai seorang daripada tiga wanita muslim yang berpengaruh, yang bakal mencetuskan pembaharuan dalam masyarakat Islam. Tidak keterlaluan, Irshad sebenarnya sedang menempa jalan kehancuran, atas pilihannya sendiri.
/hwa: utusan.com.my | 25/5/12

Malapetaka jika Anwar jadi PM

KUALA LUMPUR 24 Mei - Negara akan dilanda malapetaka sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi Perdana Menteri.
Ahli Majlis Syura Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Hamidzun Khairudin berkata, ini kerana pembangkang bercita-cita menjadikan negara ini sebagai sebuah republik.
Bagaimanapun, ujarnya, hasrat pembangkang itu hanya dapat dicapai dengan melakukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Kemungkinan besar perkara-perkara yang berkaitan institusi diraja dan hak-hak istimewa Melayu serta bumiputera akan dipinda.
“Sekiranya pindaan itu diluluskan, negara ini akhirnya akan dikuasai oleh golongan cauvinis yang diketuai DAP," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan seorang penulis Barat, Jonathan Smith bahawa Anwar adalah pemimpin tanpa wajah yang boleh berubah mengikut arus, persekitaran serta rasa hati demi kepentingan peribadi.
Hamidzun menambah, masa depan negara akan menjadi kucar-kacir apabila golongan majoriti terpaksa tunduk kepada kehendak puak minoriti.
Kata beliau, senario berkenaan bukan sesuatu yang mustahil kerana Anwar dikenali sebagai seorang individu yang bersifat oportunis.
“Kita dapat melihat bagaimana Anwar mempergunakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan UMNO untuk melonjakkan kerjaya politiknya.
“Kini, Anwar sedang melakukan perkara serupa terhadap Pas sehingga mengakibatkan kerosakan dalam parti itu," ujarnya.
Bagaimanapun, Hamidzun memberitahu, Anwar sedang berdepan kesukaran mencapai cita-citanya itu setelah rakyat dapat melihat tembelang sebenarnya semasa perhimpunan haram Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
/hwa: utusan.com.my | 25/5/12

Kit Siang salahkan Utusan Malaysia berhubung kenyataan Pengerusi DAP

KUALA LUMPUR 24 Mei - Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan Pengerusi DAP, Karpal Singh ada menyebut 'selagi hidup beliau akan terus berjuang untuk memastikan bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri' seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Seperti biasa, Kit Siang menyalahkan akhbar itu berhubung laporan tersebut dengan berkata, apabila DAP muncul di laporan muka hadapan ia berita buruk dan menimbulkan masalah politik kerana ketiadaan etika serta kejujuran dalam penulisan berita.
"Saya bercakap dengan Karpal melalui telefon pada waktu rehat mahkamah. Karpal memberitahu beliau hanya menyebut Perlembagaan membenarkan semua rakyat Malaysia layak menjadi Perdana Menteri tetapi menafikan menyebut selagi hidup.
"Kapal memberitahu, laporan Utusan Malaysia yang menyebut selagi hidup beliau akan terus berju ang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri adalah tidak benar," katanya dalam laman sosial Twitternya hari ini.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Karpal itu meskipun pembangkang ketika ini bersetuju Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon paling layak memegang jawatan tersebut.
Menurut tokoh veteran DAP itu, beliau secara peribadi menganggap tidak ada undang-undang yang boleh menghalang jawatan itu disandang bukan Melayu kerana tidak termaktub dalam Perlembagaan bahawa hanya orang Melayu dibenarkan menjadi Perdana Menteri.
"Selagi saya hidup, saya akan berjuang untuk melihat seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.
"Saya tidak pasti sama ada hasrat untuk melihat bukan Melayu menjadi Perdana Menteri termakbul dalam era saya, namun saya tetap akan memperjuangkan impian ini," katanya.
Pada masa sama, Karpal juga mengakui beliau tersasul menamakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai calon Perdana Menteri bagi mewakili pembangkang selepas perkara tersebut didedahkan beberapa akhbar berbahasa Inggeris.
/hwa: utusan.com.my | 25/5/12

Haram sokong Irshad Manji

Nooh Gadut 
*****
LABIS 24 Mei - Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, adalah haram hukumnya menyokong perjuangan Irshad Manji yang mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian dan sesiapa yang berbuat demikian harus segera bertaubat.
Oleh itu, katanya, tindakan pihak berkuasa menyekat pengedaran buku berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta tulisan Irshad yang mendukung gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) perlu disokong kerana jika dibiarkan ia akan merosakkan akidah umat Islam negara ini.
"Adalah jelas bahawa Irshad Manji adalah seorang yang memperjuangkan gaya hidup lesbian dan gay yang bertentangan dengan hukum agama Islam, namun masih terdapat golongan tertentu masih memberikan kerjasama kepadanya semasa dia datang ke negara ini.
"Saya menyeru umat Islam negara ini menolak sekeras-kerasnya bukan sahaja kedatangannya ke sini, malah fahaman serta buku tulisannya kerana boleh merosakkan akidah kita dan haram hukumnya kita menyokong sebarang tindakannya yang jelas menghina Islam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia bagi mengulas kedatangan penulis kontroversi dari Kanada, Irshad Manji dan pelancaran bukunya yang mempunyai unsur penghinaan terhadap Islam di Kuala Lumpur baru-baru ini, selepas menyampaikan ceramah di Forum Perdana Ehwal Islam sempena Festival Labis di Dataran Labis, di sini semalam.
Sebelum ini Irshad pernah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia melalui buku tulisannya berjudul The Trouble With Islam Today yang disifatkan mempunyai idealisme sama seperti buku tulisan Salman Rushdie, The Satanic Verse yang diharamkan di Malaysia.
Nooh pada masa sama turut meminta pihak berkuasa agar bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang cuba membawa masuk individu yang mendukung ideologi liberalisme, pluralisme dan budaya LGBT ke negara ini.
"Jika kemasukan individu seperti ini ke negara kita tidak dibendung, saya bimbang mereka akan berjaya menyebarkan pengaruh negatif di kalangan masyarakat kita secara halus dan ini akan membawa kita kepada kehancuran bukan sahaja di dunia malah di akhirat," katanya lagi.
/hwa: utusan.com.my | 25/5/12

Lebih 100 peguam bantu peniaga tuntut ganti rugi dari Ambiga

KUALA LUMPUR 25 Mei - Lebih 100 orang peguam sukarela menawarkan perkhidmatan mereka untuk membantu membuat tuntutan ganti rugi bagi para peniaga di sekitar Kuala Lumpur yang terjejas perniagaan mereka semasa perhimpunan Bersih 1,2 dan 3.
Anggota Peguam Sukarela (Sukaguam), Zahrin Ishak berkata pihaknya sedia membantu kos guaman secara percuma bagi menuntut kerugian para peniaga daripada Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga.
"Kami akan menyiasat terlebih dahulu tuntutan yang peniaga inginkan daripada penganjur perhimpunan sebelum memfail tuntutan itu di mahkamah.
"Peniaga-peniaga yang boleh membuat tuntutan ganti rugi ini bukan sahaja terhad di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, malahan di sekitar Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Zahrin berkata, Sukaguam terdiri daripada peguam-peguam yang bertindak secara sukarela tanpa sebarang bayaran untuk membantu peniaga membuat tuntutan ganti rugi mereka.
"Kami jalankan ia tanpa sebarang agenda tertentu tetapi tanggungjawab sosial kami untuk membantu peniaga menuntut kembali hak atau kerugian yang mereka alami.
Dalam sidang akhbar yang sama, Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur, Datuk Jamal Md. Yunus berkata, untuk memudahkan peniaga membuat tuntutan mereka, sebuah sekretariat ditubuhkan di Restoran Ikan Bakar Sekinchan cawangan Gombak.
"Sekretariat ini dibuka setiap hari bermula Isnin depan, para peniaga boleh memfail tuntutan kerugian mereka dengan berjumpa terus peguam-peguam sukarela terlibat dari pukul 10 pagi hingga 4 petang," katanya.
Pada 15 Mei lalu, kerajaan Malaysia memfail saman terhadap Pengerusi bersama Bersih Datuk S. Ambiga dan sembilan yang lain untuk menuntut ganti rugi khas RM122,000 atas dakwaan gagal mengawal perhimpunan haram pada 28 April. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 25/5/12

25 Mei 2012

Karpal tidak yakin dengan kepimpinan Penasihat PKR

Mohd. Shafie Apdal menekan butang sebagai simbolik perasmian Maktab Rendah Sains Mara Betong, Sarawak, semalam. 
*****
BETONG 24 Mei - Pengerusi DAP, Karpal Singh mungkin tidak yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyuarakan hasrat untuk melihat seorang calon bukan Melayu menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang berkuasa.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dengan reputasinya yang dianggap pemimpin bermasalah, Anwar mungkin bukan pilihan utama DAP untuk memegang jawatan tersebut.
"Pakatan pembangkang agak bercelaru, ada pemimpinnya yang mahukan Anwar, ada yang tidak mahu dan sekarang Karpal pula yang bercakap begitu. Perkara muzakarah pun tak jadi kerana ada yang setuju dan ada yang tidak setuju.
"Jadi, sebenarnya ada dua perkara, pakatan pembangkang memang tidak sepakat dan Karpal Singh mungkin menolak Anwar kerana dia tidak yakin dengan Ketua Pembangkang itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan Karpal bahawa beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri selagi beliau hidup.
Menurutnya, meskipun ketika ini pakatan pembangkang bersetuju bahawa Anwar calon paling layak memegang jawatan nombor satu negara, beliau secara peribadi menganggap tidak ada undang-undang yang boleh menghalang jawatan itu disandang oleh calon bukan Melayu.
Karpal juga mendakwa tersasul menyebut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai bakal Perdana Menteri, bukannya Anwar dalam satu majlis di pasar Air Itam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Pas dan PKR perlu sedar kenyataan Karpal sedikit sebanyak memberi gambaran tentang matlamat serta agenda sebenar DAP yang tidak sehaluan dengan mereka.
/hwa: utusan.com.my | 25/5/12

Dewan Ulama Pas menentang

Harun Taib
*****
KUALA TERENGGANU 24 Mei - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib hari ini menegaskan bahawa beliau menentang sebarang usaha untuk melonjakkan kalangan bukan Melayu atau bukan Islam menerajui negara ini.
Beliau berkata, Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tentunya akan terus memastikan ia tidak akan berlaku.
Katanya, hanya orang Islam yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri untuk mentadbir negara ini pada masa akan datang.
Beliau mengakui cubaan ke arah itu timbul kerana dalam Perlembagaan tidak menyatakan jawatan Perdana Menteri hanya khusus kepada pemimpin Melayu.
“Saya tak setuju dan bantah kalau orang bukan Melayu atau bukan Islam menjadi Perdana Menteri, malah Pas sendiri, sebagai sebuah parti Islam hanya mahukan orang Islam yang jadi pemimpin (Perdana Menteri).
“Biarlah dia (Karpal Singh) dengan impiannya (mahu orang bukan Melayu jadi Perdana Menteri). Saya bukan menentangnya (Karpal) tapi saya tidak bersetuju dengan Perlembagaan yang ada.
“Ini kerana, dalam Perlembagaan negara, ia tidak sebut hanya orang Melayu boleh jadi Perdana Menteri. Di sinilah yang menjadi masalahnya dan saya memang tidak bersetuju," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Harun diminta mengulas ketegasan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa beliau akan terus berjuang bagi memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.
Karpal berkata, meskipun ketika ini pakatan pembangkang bersetuju bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon paling layak sebagai Perdana Menteri, beliau secara peribadi menganggap tidak ada undang-undang yang boleh menghalang jawatan itu disandang calon bukan Melayu.
Harun seterusnya berpendapat, impian Karpal untuk melihat calon bukan Melayu menjadi Perdana Menteri kelak tidak akan tercapai kerana beliau yakin orang Melayu tidak akan dapat menerima seorang Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu atau bukan Islam.
“Impian beliau (Karpal) mungkin tercapai jikalau orang-orang Melayu mengundi beliau atau calon-calon lain yang bukan Melayu. Namun saya yakin orang Melayu tak akan undi mereka," ujarnya.
Ditanya pula mengenai percanggahan pendapat antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu muzakarah, Harun berkata, apa sahaja yang boleh membawa kebaikan kepada umat Islam, beliau akan sokong.
“Saya serah kepada keputusan kepimpinan parti (Pas) sama ada muzakarah diteruskan atau sebaliknya, saya sokong apa saja keputusan parti," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 25/5/12

24 Mei 2012

'Karpal Singh orang tua' - Nik Aziz

KOTA BHARU 23 Mei - "Karpal Singh orang tua,".
Demikian reaksi ringkas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila ditanya mengenai kenyataan Pengerusi DAP itu yang dikatakan mahu individu bukan Melayu iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjadi Perdana Menteri.
Nik Abdul Aziz yang ditemui di kediamannya di Pulau Melaka dekat sini hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut kenyataan Karpal tersebut.
Semalam, pelbagai pihak mencabar pemimpin tertinggi Pas termasuk Nik Abdul Aziz untuk membuat kenyataan sama ada bersetuju atau tidak dengan Karpal yang dikatakan mahu individu bukan Melayu iaitu Guan Eng menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Cabaran tersebut dilontarkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melihat insiden kononnya Karpal hampir tersasul menyebut Guan Eng sebagai Perdana Menteri pada satu majlis di pasar Air Itam, Pulau Pinang sebagai bukan disengajakan.
Sebaliknya, NGO-NGO terbabit melihat pihak berkenaan sudah memasang niat untuk memastikan perkara itu berlaku jika pembangkang menang pada pilihan raya umum nanti.
Dalam insiden berkenaan yang dilaporkan oleh The Star, Karpal menjelaskan bahawa tiada salahnya dengan konsep bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.
/hwa: utusan.com.my | 24/5/12

Debat PM-Anwar tidak perlu - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR 23 Mei - Tidak perlu debat di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kredibiliti ketua pembangkang itu yang sering dipersoalkan dalam kelicikannya mengada-adakan cerita dan gemar berbohong.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tidak seperti pakatan pembangkang, BN bukanlah parti yang bercakap bohong dan tidak menepati janji-janjinya kepada rakyat.
"Tidak perlulah moderator debat semalam (pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Mazlee Malik) mengajukan cadangan supaya Perdana Menteri berdebat dengan Anwar kerana semua maklum bahawa geng-geng pembangkang ini, apatah lagi Anwar akan sengaja (dalam debat itu nanti) nak cetuskan suatu keadaan untuk mendapatkan 'mileage' politik.
"Lagi pun ada perkara-perkara lain yang lebih penting dari politik dengan Perdana Menteri sendiri ketika ini bekerja keras nak pastikan nasib rakyat terus terbela.
"Kita nak pastikan janji kita ditunaikan untuk rakyat sebab kalau tengok di Selangor sendiri yang diperintah oleh kerajaan negeri PKR banyak sungguh janji masih belum ditunaikan.
''Tambah lagi sistem politik kita berbeza dengan di Eropah dan Amerika Syarikat... di sini tidak ada presidential election (pilihan raya Presiden)," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas cabaran yang dilontarkan Dr. Mazlee, pengendali debat bertajuk Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi yang berlangsung di Kompleks Karangkraf kelmarin supaya Najib berdebat dengan Anwar mengenai isu-isu politik tanah air.
Debat anjuran akhbar Sinar Harian berkenaan melibatkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli.
/hwa: utusan.com.my | 24/5/12

Guan Eng ugut saman wartawan jika siar isu tidak digemarinya

PULAU PINANG 23 Mei - Ketua Menteri, Lim Guan Eng dibidas kerana cuba mengugut media dengan tindakan saman sekiranya mereka menyiarkan sesuatu isu yang tidak disukainya.
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan mendakwa tindakan sedemikian menunjukkan Setiausaha Agung DAP itu seorang hipokrit.
"Ketua Menteri baru-baru ini memakai baju hitam dan reben kuning sebagai sokongan kepada Hari Kebebasan Media pada 3 Mei lalu.
"Sekarang dia pula ugut mahu saman media yang siarkan isu tidak digemarinya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tindakan Guan Eng mengugut media itu disiarkan di dalam laman web YouTube.
Dalam rakaman itu, Guan Eng mendakwa mahu menyaman mana-mana akhbar sekiranya mengeluarkan berita mengenai isu yang dikatakan tidak digemarinya.
Guan Eng dipercayai bertindak demikian apabila disoal mengenai kesahihan cerita mengenai skandalnya dengan seorang guru wanita sekolah Cina seperti yang disiarkan di dalam laman web berbahasa Inggeris http://stopthelies.my sejak dua hari lalu.
Sementara itu, Cheng Guan memberitahu, Guan Eng tidak sepatutnya bersikap sedemikian terhadap wartawan, sebaliknya boleh memilih untuk tidak mengulas.
"Beliau boleh menjawab 'tidak' sahaja atau enggan cakap langsung, tetapi kenapa mahu ugut media dengan saman," katanya.
"Saya akan berterus-terang dengan soalan yang ditanya oleh media kerana tidak bimbang reputasi terjejas sekiranya tidak membuat sesuatu yang salah," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 24/5/12