9 Februari 2012

Dominasi Pas dalam pakatan pembangkang gagal

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Islam membenarkan persepakatan antara orang Islam dan orang bukan Islam dengan syarat pemimpin Islam mempunyai kuasa yang lebih dominan dalam sesebuah pentadbiran.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, tidak cukup sekadar menjadi seorang ketua, pemimpin Islam wajib memiliki keupayaan tersebut untuk memastikan pemerintahan tidak dikuasai oleh golongan bukan Islam.
Sehubungan itu, beliau berkata, dalam konteks tersebut, Pas sebagai sebuah parti memperjuangkan Islam dilihat gagal mendominasi pakatan pembangkang yang turut dianggotai DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Dalam keadaan sekarang Pas masih gagal mendominasi pemerintahan yang dikongsi bersama DAP sehingga terpaksa mengorbankan prinsip perjuangan asal parti itu.
“Tidak seperti UMNO yang berdiri sebagai parti induk dan mempunyai pengaruh terhadap parti-parti di bawahnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Fathul Bari berkata, walaupun Pas mungkin mendakwa perkongsian kuasa dengan DAP dan PKR dibuat secara berasingan tetapi pemimpin parti itu perlu sedar siapa sebenarnya yang menerajui pakatan pembangkang.
“Dalam hal ini pemimpin Islam perlu lebih tegas agar isu Islam dapat diselaraskan dengan betul. Pas tak boleh diam, sama juga dengan UMNO,” katanya.
Menurutnya, Islam meletakkan dominasi dalam pemerintahan yang dikongsi bersama golongan bukan Islam bagi memastikan kedudukan agama dan kepentingan umatnya diperjuangkan pada tempat paling atas.
“Dalam Surah Al-Maidah Allah SWT membenarkan persepakatan antara umat Islam dengan bukan Islam dalam perkara yang berkaitan kebajikan dan taqwa.
“Itu dengan syarat mesti ada dominasi Islam, kalau tak ada itu yang jadi masalah sehingga kena ikut telunjuk golongan yang buat keputusan berasaskan hawa nafsu,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 9/2/12

Penasihat PKR cuba ubah undang-undang – Tun M

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menukar undang-undang di Malaysia dengan undang-undang Barat kononnya untuk memperjuangkan kebebasan semula jadi manusia, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Anwar baru-baru ini telah menyatakan dalam wawancara dengan BBC di Mumbai, India, baru-baru ini bahawa undang-undang Malaysia lapok, ketinggalan zaman.
“Tentulah Anwar tahu bahawa lapok dan ketinggalan zaman, bagi orang Barat bermakna tidak seperti apa yang terdapat di Barat sekarang.
“Sejak revolusi Perancis, slogan Liberte, Egalite, Fraternite iaitu Kebebasan, Persamaan dan Persaudaraan menghantui fikiran Barat sehingga apa sahaja yang tidak menepati slogan ini mesti ditukar atau dihapus,” katanya dalam entri terkini blog beliau www.chedet.cc hari ini, yang bertajuk Lapok.
Dakwaan Anwar bahawa undang-undang Malaysia adalah jumud tentulah berkenaan larangan terhadap hubungan seks di luar nikah dan terdapat beberapa undang-undang yang tidak lapok berkenaan seks yang terdapat di Barat sekarang, katanya.
“Antaranya ialah keagungan konsep bebas dan persamaan serta kebebasan seks.
Jika lelaki sebelum atau selepas kahwin boleh adakan seks dengan mana-mana perempuan kenapa perempuan tidak boleh dengan mana-mana lelaki.
“Atas nama kebebasan dan persamaan maka masyarakat pun memberi hak ini kepada mereka. Maka siapa sahaja, lelaki atau perempuan boleh tidur dengan siapa sahaja bila-bila sahaja. Dengan ini institusi perkahwinan antara lelaki dengan perempuan dianggap tidak penting lagi,” kata Dr. Mahathir.
Lain-lain konsep kebebasan semula jadi manusia termasuklah menukar konsep institusi perkahwinan dan kekeluargaan dengan mentakrifkan pasangan yang bersekedudukan sebagai berkeluarga, boleh menukar pasangan tanpa penceraian dan siapa yang menjadi bapa kepada anak tidak penting, katanya. - BERNAMA.

/hwa: utusan.com.my | 9/2/12

Tidak layak jadi pemimpin Islam – Ikhwan Muslimin

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Wakil perikatan pimpinan Ikhwan Muslimin yang berpangkalan di London, Dr. Azzam Tamimi menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang tidak layak menjadi pemimpin Islam kerana menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel.
Pengarah Institut Pemikiran Politik Islam (IIPT) itu berkata, seorang pemimpin Islam tidak seharusnya menyatakan pendirian yang bertentangan dalam kepercayaan umat Islam berhubung isu Palestin.
“Anwar Ibrahim sebagai pendukung perjuangan Islam di Malaysia baru-baru ini dipetik melalui The Wall Street Journal telah memberi sokongan kepada usaha menjaga keselamatan negara Israel.
“Ini adalah tindakan seorang pemimpin Islam yang benar-benar tidak layak memimpin,” katanya melalui entri blognya www.azzamtamimi.blogspot.com.
Anwar baru-baru ini mencetuskan kontroversi berhubung kenyataannya melalui The Wall Street Journal yang dipetik sebagai berkata: “Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.”
Bagaimanapun, selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.
Azzam yang merupakan penganalisis isu Palestin dan Timur Tengah turut mengemukakan perkara asas yang perlu difahami berhubung isu Palestin-Israel iaitu.
* Palestin merupakan kawasan Arab Islam yang diserang kuasa Barat yang menubuhkan negara Zionis bagi menyelesaikan masalah Yahudi yang teruk di Eropah.
* Masalah di Palestin tidak berpunca daripada persengketaan antara penganut Islam dan Yahudi kerana kedua-dua komuniti hidup aman sejak berabad lamanya, sebaliknya masalah timbul apabila Zionis menghalau penduduk Palestin dan menubuhkan sebuah negara yang bermusuhan dengan rakyat Palestin.
* Zionis merupakan sebuah entiti rejim yang perkauman (apartheid) yang jelas memberi ancaman kepada manusia sejagat.
* Masyarakat Islam sedia bekerjasama dengan semua bangsa termasuk Amerika Syarikat dan Eropah, namun Islam tidak akan bertoleransi atau memberi pengiktirafan kepada apa yang tidak sah dalam usaha toleransi untuk keamanan.
* Perjanjian damai yang dipersetujui oleh beberapa negara Arab seperti Mesir dan Jordan dengan Zionis di Palestin tidak adil dan tidak sah kerana dilakukan secara tidak demokrasi tanpa mengikut kehendak rakyat. Rakyat negara terbabit seharusnya diberi hak menyatakan pendirian mengenai perjanjian tersebut.
* Masyarakat Islam tidak menerima pengepungan haram yang dikenakan ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza. Kami tidak mensesiakan sebarang usaha yang boleh mengakhiri pengepungan itu.

/hwa: utusan.com.my | 9/2/12

Tindakan Anwar tidak bijaksana

JAKARTA 8 Feb. - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan menyokong segala usaha melindungi Israel merupakan sikap politik yang tidak bijaksana.
Pandangan ini disuarakan Setiausaha Pertubuhan Muhammadiyah, Dr. Abdul Mu'ti yang berpendapat, tindakan Anwar itu saling tidak ubah seperti senjata makan tuan.
Menurut Abdul Mu'ti, seandainya Anwar berpendapat, kenyataan yang dikeluarkan beliau itu semata-mata untuk mendapat sokongan politik daripada Amerika Syarikat, ia merupakan kesilapan politik yang sangat serius.
"Kalau pernyataan itu dimaksudkan untuk mendapatkan dukungan politik daripada Amerika Syarikat, ia merupakan sikap politik yang tidak bijaksana.
"Setiap tokoh politik Islam yang berjuang untuk mendapatkan amanah daripada rakyat harus sentiasa berdasarkan pada prinsip-prinsip dasar ajaran agama Islam," kata Abdul Mu'ti dalam satu temu bual dengan beliau hari ini.
Muhammadiyah merupakan sebuah organisasi Islam yang besar di Indonesia yang mula diasaskan di negara itu pada tahun 1912.
Menurut Abdul Mu'ti, majoriti cendekiawan muslim di Indonesia tidak bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu seperti yang disiarkan dalam akhbar The Wall Street Journal pada hujung bulan lalu.
Abdul Mu'ti menjelaskan, kenyataan Anwar itu juga bukan hanya menyakiti umat Islam bahkan tidak sesuai dengan sikap dan pandangan masyarakat Muslim di seluruh dunia.
Beliau yang juga pensyarah di Institut Agama Islam Walisongo Semarang berkata, pertubuhan Muhammadiyah begitu konsisten membantah apa sahaja usaha untuk membina hubungan atau menyokong keselamatan negara Israel.
"Muhammadiyah pada masa ini bersetuju dengan pemerintah Indonesia yang tidak mahu membangun hubungan diplomatik secara langsung dengan Israel.
"Justeru, kenyataan Anwar Ibrahim kepada kami merupakan kenyataan peribadi yang saya yakin tidak mewakili aspirasi sebahagian besar daripada masyarakat di Malaysia dan juga tidak mencerminkan aspirasi sebahagian besar daripada masyarakat Muslim di pelbagai belahan dunia," tegas Abdul Mu'ti lagi.
Pada masa sama, Abdul Mu'ti juga berpendapat, beliau tidak melihat apa manfaat yang akan diperoleh oleh Anwar dalam kempen pilihan rayanya melalui kenyataan sensitif yang dikeluarkannya itu.
Sebaliknya, tindakan tidak bertanggungjawab itu, tegas Abdul Mu'ti hanya akan membuatkan beliau kehilangan sokongan politik daripada umat Islam di Malaysia dan Indonesia.
Menurut beliau juga, kenyataan mendokong kedaulatan negara Israel seperti yang diketahui umum dipandang tidak selari dengan ajaran Islam.
"Sebagai seorang pemimpin dan sebagai seorang intelektual Muslim, Anwar memang memiliki hubungan personal dengan para intelektual dan tokoh-tokoh penting di Indonesia.
"Tetapi menurut saya hubungan personal yang dimiliki beliau dan pemimpin di Indonesia ini tidak kemudian secara automatik menunjukkan bahawa sikap dan pandangan Anwar akan selalu sama dan seiring dengan pemikiran beliau,
"Secara peribadi mereka mungkin memiliki hubungan yang sangat baik, tetapi secara pemikiran dan strategi perjuangan saya fikir mereka mempunyai perbezaan-perbezaan yang berbeza dan sangat prinsip," sambung beliau lagi. - UTUSAN

/hwa: utusan.com.my | 9/2/12

7 Februari 2012

Menunggu Pas bersangka baik

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hasan Ali yang banyak mendedahkan mengenai kepincangan Pas yang tunduk kepada telunjuk rakan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).


KETIKA melepak menghirup nescafe tarik di restoran yang antara menunya sate kajang di Selayang, Ahad malam kelmarin, penulis diajukan pertanyaan yang barangkali sepatutnya dilayangkan sejak dahulu lagi.
Lebih-lebih lagi daripada seorang pengikut sebuah parti yang tegar dan taksub akan aliran kepemimpinannya yang diuar-uarkan pemimpin mereka sahaja yang mempraktikkan hidup sederhana, warak perilakunya dan paling dekat dengan rakyat.
Kalau nampak sahaja wakil rakyat kerajaan berkereta mewah, terus ditudingnya sebagai 'itulah parti yang disertainya banyak wang dan boleh kaya segera'.
Cuma pertanyaan tadi yang datangnya daripada seorang rakan penulis yang dikira agak tegar juga sokongannya kepada parti terbabit di restoran sate itu, sedikit sebanyak mencuit sanubari penulis.
"Ishhh, pemimpin itu baru berjawatan...di kawasan itu tapi yang terbakar tu tengok keretanya...," katanya sambil menyebut beberapa jenis kereta mewah milik ahli politik berkenaan yang ditimpa musibah baru-baru ini.
Pertanyaan sinikal itu dijawab penulis selamba. Apa salahnya pemimpin parti terbabit. Kalau dia seorang ahli perniagaan berjaya, ditambah lagi dengan kecenderungannya aktif berpolitik, maka tidak ada salahnya dia hendak menikmati keselesaan berkereta yang ada jenama.
Tetapi, jawapan penulis tadi meskipun sedikit sebanyak 'melegakan' rakan tadi namun akhirnya dia akur bahawa selama ini dia terlalu banyak prasangka terhadap ahli-ahli politik. Yang peliknya, semuanya daripada wakil-wakil rakyat kerajaan. Padahal kalau nak dikirakan kebanyakan pemimpin Pas pun berkereta Mercedes Benz, BMW dan Alphard. Cuma, jika Ferrari atau Maserati, itu sudah melampaulah.
Penulis masih teringat tentang kenyataan sinis yang keluar daripada mulut pengikut pembangkang apabila tingkat atas rumah empat tingkat milik Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Jalan Duta 5, Taman Duta di sini musnah dalam satu kebakaran yang berlaku awal pagi 8 Mei tahun lalu.
Banyak ungkapan yang tidak molek ditimbulkan oleh mereka dari kalangan pakatan pembangkang. Lebih-lebih lagi dalam facebook dan twitter. Tidak ada rasa belah kasihan langsung. Inilah antara tindak tanduk anasir yang sanggup memfitnah dan mengeluarkan kata-kata mengaibkan dengan mengaitkan setiap musibah sebagai satu pembalasan.
"Separuh daripada keimanan adalah kebersihan hati selain kebersihan rumah dan sekitar tetapi saya sedih apabila mendapat cubaan dari Allah SWT, ada pihak mengaitkan ia sebagai hukuman kerana melakukan rasuah. Astagfirullah, sedangkan rumah itu saya diami lebih dari 20 tahun yang mana sebelum terlibat dalam politik lagi. Malangnya, apabila saya ditimpa musibah mereka melemparkan fitnah," kata Tengku Adnan ketika ditemui penulis selepas kebakaran itu.
Tengku Adnan merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya sebelum menceburi bidang politik dan ketika ini.
Realitinya, tidak mudah untuk membuang prasangka jika ia sudah berakar umbi dan sebati dalam tubuh seseorang. Apa lagi jika wujud dendam kesumat.
Semasa seorang pemimpin wanita popular Pas meninggal dunia tahun lepas, ucapan takziah turut dimuatkan dalam umno-online. Tetapi nada sebaliknya di sebelah sana. Saban hari kerja Harakah, Rocket dan Suara Keadilan disertai portal-portal pro pembangkangnya 'membelasah' dan 'membantai' kerajaan. Tidak ada satu pun yang elok dan 'kena' pada mata mereka. Gejala itu berleluasa di kala ada antaranya tidak berlesen pun untuk menjual akhbar-akhbar terbitan mereka. Bayangkan kalau sudah ada permit, lagilah 'mengamuk sakan' mereka.
Sentimen terhadap negatifnya parti-parti pembangkang ke atas apa sahaja dilakukan kerajaan untuk kebaikan rakyat memang cukup menyedihkan. Barangkali kerana kerajaan bersikap 'gentleman' dan tidak ambil pusing terhadap mereka.
Namun, nampaknya mereka kian naik tocang pula ibarat 'ayam jantan tetapi ekor penuh bergelumang tahi'. Psywar (perang saraf) terutama daripada DAP, PKR dan apalagi daripada Pas terhadap apa sahaja program bermanfaatkan rakyat daripada BN jelas amat cukup menjengkelkan.
Yang ketara, pembangkang semakin menunjukkan rasa takut dan gentar mereka terhadap BN yang ditunjangi UMNO. Kini mereka melancarkan satu kempen yang disebut A.B.U. bagi singkatan kepada Asal Bukan UMNO atau Anything But UMNO. Betapa takutnya mereka terhadap UMNO atas soal berteraskan dendam mereka terhadap UMNO semata-mata dan bukanlah perjuangan demi rakyat.
Di bibir mereka, hanyalah untuk merampas Putrajaya, rampas dan rampas di kala BN sedang mengusahakan program-program berlabelkan 1Malaysia. Sebutlah apa sahaja, Menu, Kedai, Bantuan dan beberapa lagi yang di hujungnya 1Malaysia. Jika dahulu pandangan sinikal dari keluarga segelintir penyokong Pas, PKR dan DAP, kini ia disambut dengan raut wajah sedikit ceria.
Yang pasti, Pas yang ditubuhkan pada 1951 jika sekadar bertanding 60 hingga 70 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen pada PRU13 nanti, usahlah bermimpi untuk mengetuai pakatan pembangkang mereka. Dengan apa yang Pas lakukan di Selangor, Perak, Kedah dan apa lagi Kelantan yang sudah 20 tahun, tidak ternampakpun pembangunan untuk ummah, apa lagi Universiti Malaysia Kelantan (UKM) pun diusahakan oleh orang UMNO dari Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, maka tentunya orang Melayu sudah ternampak luas tembelang Pas.
Yang pasti juga, ketika penulis meninggalkan rakan tadi di restoran sate Selayang itu, sedikit perubahan ternampak di raut wajahnya. Penulis tidaklah berharap sangat.
Namun hakikatnya PRU13 adalah ujian sebenar kepada kredibiliti Barisan Nasional (BN) walaupun terdapat
tanda-tanda awal bahawa rakyat semakin yakin dengan parti itu selepas kerajaan dilihat komited menunaikan janji-janjinya dalam pilihan raya lalu.
Ketika pilihan raya itu nanti rakyat akan membuat penentuan akhir sama ada BN telah berjaya memenuhi harapan dan kehendak mereka atau sebaliknya.

/hwa: utusan.com.my | 7/2/12

Jaringan keselamatan sosial

Najib Tun Razak hadir pada majlis sambutan Chap Goh Meh anjuran lapan Persatuan Cina di Dewan Persatuan Hokkien Klang, Selangor, semalam. - BERNAMA

KLANG 6 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia melaksanakan dasar jaringan keselamatan sosial bagi membela masyarakat kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU) menerusi pelaksanaan bantuan serta kemudahan yang disediakan kepada golongan itu.
Sehubungan itu Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak mengamalkan dasar negara kebajikan atau welfare state memandangkan banyak negara yang melaksanakan dasar sedemikian kini terpaksa berhadapan dengan masalah ekonomi yang serius.
''Dasar jaringan keselamatan sosial dijalankan menerusi kerjasama pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta orang perseorangan itu adalah bagi memastikan golongan berkenaan tidak terpinggir daripada menikmati hasil kekayaan negara,'' katanya.
Beliau demikian demikian ketika berucap pada majlis sambutan Chap Goh Meh bersama kira-kira 1,500 masyarakat pelbagai kaum terdiri daripada OKU, anak-anak yatim dan warga emas di Dewan Hokkien Klang, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Najib yang dikenali di kalangan masyarakat Cina sebagai 'Ah Jib Gor' turut menyampaikan sumbangan angpau sebanyak RM100 kepada setiap golongan yang kurang berkemampuan.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar dan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai.
Najib berkata, melalui dasar jaringan keselamatan sosial, kerajaan dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, saksama dan seimbang dari segi berkongsi kekayaan negara.
Perdana Menteri berkata, dasar kerajaan yang menekankan kebajikan OKU, ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan tidak berkemampuan jelas dilihat melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau berkata, menerusi Karisma, kerajaan memperuntukan RM1.4 bilion untuk membela kebajikan golongan berkenaan selain peruntukan RM2.6 bilion bagi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi seluruh rakyat tidak mengira kaum yang mempunyai pendapatan isi rumah kasar kurang daripada RM3,000 sebulan.
''Kerajaan turut menyalurkan bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap murid sekolah rendah dan menengah. Sekarang kerajaan sedang menjalankan pemberian bantuan BR1M," kata beliau.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berkata, kerajaan juga mengalakkan syarikat-syarikat korporat dan GLC melaksanakan dasar jaringan keselamatan sosial melalui program tanggungjawab sosial (CSR) masing-masing.
Beliau berkata, usaha membela kebajikan golongan tidak berkemampuan juga dilaksanakan menerusi program-program melibatkan kerjasama sektor kerajaan dan swasta sebagaimana di Selangor, sebanyak 50 badan kebajikan dan amal menerima bantuan masing-masing sebanyak RM10,000 untuk tujuan itu.
Bagi memantapkan taraf OKU di negara ini, Perdana Menteri turut menyeru syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan agar menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan itu termasuk pekerjaan dan sebagainya.
Beliau memberikan contoh bagaimana kerajaan memberikan penghargaan kepada seorang pelajar OKU melalui Anugerah Perdana Sambutan Maulidur Rasul semalam kerana kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.
"Ini adalah contoh yang boleh dibanggakan apabila golongan OKU diberikan peluang yang sewajarnya," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 7/2/12

Anwar sakiti umat Islam - Hery

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi sokongan kepada sebarang usaha bagi melindungi keselamatan Israel disifatkan menyakiti dan mengabaikan aspirasi umat Islam seluruh dunia.
Sehubungan itu, Pengarah Pusat Kajian Timur Tengah dan Dunia Islam Universiti Muhammadiah, Jakarta, Hery Sucipto menganggap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat kenyataan yang sangat melulu dan melampau berhubung perkara berkenaan.
''Sokongan Anwar ini boleh menyakiti dan mengabaikan aspirasi umat Islam di seluruh dunia ketika dunia antarabangsa menyeru serta mendukung perjuangan rakyat Palestin melepaskan diri daripada penjajahan Israel,'' katanya.
Beliau dipetik berkata demikian dalam akhbar Rakyat Merdeka, Indonesia yang disiarkan hari ini.
Anwar mencetuskan kontroversi apabila dalam wawancara dengan The Wall Street Journal pada akhir bulan lalu menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel.
Kenyataan ketua pembangkang itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh antarabangsa yang memperjuangkan kemerdekaan Palestin.
Hery seterusnya secara terbuka menyifatkan tindakan Anwar itu bermotifkan politik bagi meraih simpati dan sokongan Amerika Syarikat (AS) serta negara-negara Barat.
Namun tegas beliau, langkah Anwar tersebut terlalu berisiko, khususnya bagi umat Islam di Malaysia mahupun antarabangsa.
''Rakyat boleh sahaja menilai Anwar mencari simpati untuk kepentingan politik jangka pendek, iaitu bagi meraih kejayaan dalam pilihan raya umum Malaysia tidak lama lagi,'' katanya.
Kata Hery, tindakan Anwar membuat kenyataan sedemikian dalam isu melibatkan Palestin dan Israel hanya akan menguntungkan kerajaan Zionis tersebut.
''Saya berharap Anwar akan lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan kepada media kerana tindakan boleh menyebabkan simpati rakyat kepada beliau boleh berubah sebaliknya,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 7/2/12

1 Februari 2012

Hasan dedah pemimpin parasit

HASAN Ali berucap pada 'Program Bicara Memurnikan Aqidah Ummah' yang turut dihadiri Hasan Basri Mohd. (kanan) dan Adib Ghazali (dua dari kanan) di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17, Shah Alam, malam semalam. – UTUSAN/Ahmad Fadzly Esa

SHAH ALAM 31 Jan. - Buat kali pertama, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mendedahkan pemimpin Pas yang selama ini dianggap ‘parasit’ dengan menamakan Timbalan Pesuruhjaya Pas III negeri, Khalid Samad sebagai individu terbabit.
Beliau yang dilucutkan jawatan Exco Hal Ehwal Islam negeri pada 13 Januari lalu mendakwa, Ahli Parlimen Shah Alam itu sering dilihat menyebarkan fahaman yang tidak menyebelahi Islam selain merupakan individu paling lantang menentang usahanya untuk melarang penjualan minuman keras di kedai-kedai runcit di kawasan penempatan majoriti orang Melayu.
Hasan berkata, Khalid juga beria-ia mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah premis yang dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) meskipun pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penganjuran satu majlis yang bermatlamat bagi menyelewengkan akidah umat Islam di negeri ini.
“Saya tidak hairan sekiranya usaha-usaha itu ditentang oleh pemimpin DAP mahu pun pemimpin bukan Islam dalam PKR, tetapi saya sangat hairan apabila ia ditentang hebat oleh Khalid Samad yang bertanding atas tiket Pas.
“Sebab itu saya hendak ingatkan pengundi di Shah Alam agar jangan beri satu undi pun kepada dia (Khalid) pada pilihan raya umum akan datang kerana dia adalah pengkhianat kepada akidah umat Islam,” katanya ketika berucap pada program Bicara Memurnikan Akidah Ummah di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17 di sini malam ini.
Program itu dihadiri lebih 1,000 orang termasuk bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohd. dan bekas Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datuk Aidit Ghazali.
Hasan berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan untuk mempertahankan Islam, Melayu dan institusi diraja di negara ini.
Kata beliau, pertubuhan yang akan dikenali sebagai Jati itu akan menggabungkan beberapa NGO lain yang turut mempunyai perjuangan sama selain individu yang berminat untuk menyertainya.
“Pertubuhan itu dijangka dilancarkan pada 21 Februari di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan sasaran penyertaan seramai 100,000 keahlian.
“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan jaringan ketiga iaitu sebagai pengimbang kepada parti pemerintah serta parti pembangkang dalam mempertahankan Islam, Melayu dan Raja Melayu (IMR) di negara ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hasan Basri berkata, penyebaran fahaman ‘Anwarism’ kini semakin merbahaya kerana ia jelas bersifat sekular dan liberal yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.
“Sebagai contoh, demi untuk kuasa dan mendapat sokongan negara Barat, Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sanggup mengiktiraf sebuah negara haram Israel yang sejak sekian lama melakukan kekejaman terhadap umat Islam di Palestin.
“Selain itu, atas nama hak asasi manusia, Anwar juga bersungguh-sungguh menganggap Seksyen 377B (Kanun Keseksaan) yang melarang seks gay dan lesbian sebagai lapuk serta tidak lagi relevan dan sebab itulah saya kata fahaman ‘Anwarisme’ ini merbahaya kepada umat Islam di negara ini,” tegasnya.
Aidit pula mengingatkan umat Islam di negara ini supaya taksub hanya kepada Allah dan bukannya kepada seseorang pemimpin mahu pun organisasi kerana ia adalah tuntutan Islam.
/hwa: utusan.com.my | 1/2/12

Melayu paling ramai tidak daftar mengundi

PULAU PINANG 31 Jan. - Orang Melayu dikesan paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun layak berbuat demikian.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, berdasarkan kajian pihaknya mendapati orang Melayu memandang remeh perkara itu dengan memberikan pelbagai alasan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan sebenar orang Melayu yang terbabit daripada jumlah terkini 3.7 juta orang yang layak mendaftar tetapi tidak berbuat demikian.
"Ada yang memberi alasan bahawa mereka terlalu sibuk dengan urusan harian sehingga tiada masa untuk mendaftar. Malah ada yang mengatakan tidak ada perubahan besar akan berlaku dengan hanya satu undi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat persediaan Pilihan Raya Umum Ke-13 kepada pegawai pengurus pilihan raya negeri di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar.
Sehubungan itu, Abdul Aziz menasihatkan golongan itu agar segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka menunaikan hak dan tanggungjawab pada pilihan raya umum nanti.
Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, hanya 50 responden memberikan maklum malas daripada 42,057 orang yang disenaraikan sebagai pengundi meragukan.
"Daripada 50 orang itu, 26 masih aktif manakala 24 lagi tidak dapat dipastikan status mereka," jelasnya.
Oleh itu, katanya, seramai 42,031 nama lagi akan digugurkan daripada senarai pemilih selepas tarikh semakan berakhir hari ini.
Sementara itu Abdul Aziz menjelaskan, cadangan untuk mengadakan proses pengundian awal bagi pengundi di luar negara tidak dapat dilakukan dan akan kekal dengan kaedah sedia ada iaitu undi pos.
"SPR ada meminta kerjasama Wisma Putra untuk melaksanakannya, namun mereka tidak dapat melakukannya kerana pelbagai faktor. Antaranya jumlah pengundi yang ramai selain kedudukan mereka yang berselerak," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/2/12

Ulama tidak lagi dominasi Pas

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Golongan ulama tidak lagi menjadi kumpulan paling berpengaruh dalam Pas sejak parti itu dikuasai pemimpin yang lebih mengutamakan misi menumbangkan kerajaan daripada agenda mempertahankan agama.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Muhammad Yusoff Hussein, keadaan itu amat mengecewakan kerana perjuangan asal Pas iaitu mempertahankan kesucian dan kepentingan Islam telah berubah selepas parti itu tidak lagi didominasi oleh ulama.
Hakikatnya, kata beliau, perjuangan Pas benar-benar telah berubah dan ia diburukkan lagi dengan sikap parti itu yang mengikut telunjuk DAP dan PKR walaupun terpaksa mengorbankan perjuangan asal parti berkenaan.
''Berdasarkan pengamatan saya, kumpulan ini yang dianggap parasit oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali. Kumpulan ini berjaya menyisihkan peranan ulama sehingga suara dan pengaruh mereka di dalam Pas menjadi begitu kecil.
''Secara peribadi saya begitu kecewa dengan apa yang berlaku kerana Pas yang ditubuhkan pada awal 50-an sehingga 90-an dipimpin oleh golongan ulama yang ikhlas mempertahan dan memperjuangkan Islam antaranya Ahmad Fuad Hassan, Zulkifli Mohamad dan Datuk Fadzil Noor,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas situasi terkini dalam Pas apabila parti itu dipercayai sedang berhadapan dengan konflik ekoran berlakunya pertembungan antara ulama dan golongan bukan ulama yang sebahagian besar terdiri daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara perkembangan terbaru ialah mengenai hasrat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menarik diri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Sebelum ini Pas turut dilanda satu kontroversi apabila Jawatankuasa Pusatnya tanpa mengikut prosedur telah membuat keputusan memecat keahlian Hasan kerana Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia itu dikatakan telah melakukan perbuatan melanggar perlembagaan parti.
Dalam perkembangan berkaitan Muhammad Yusoff berkata, hasrat Abdul Hadi menarik diri daripada bertanding PRU-13 boleh dikaitkan dengan konflik yang berlaku di dalam Pas.
''Realitinya, perjuangan Pas telah menyimpang daripada asal dan saya percaya ini adalah hasil gerakan kumpulan generasi muda yang begitu bersungguh-sungguh untuk berkuasa bersama dengan DAP dan PKR.
''Mereka tidak kira untuk bersahabat dengan sesiapa asalkan dapat menjadi pemerintah. Perjuangan mempertahankan Islam bukan lagi agenda utama Pas sebaliknya keutamaan mereka adalah untuk menumbangkan kerajaan sedia ada,'' katanya lagi.
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, Pas berubah sejak sebahagian besar ulama tewas di tangan golongan liberal dalam pemilihan parti itu pada tahun 2011.
Beliau berkata, ekoran perubahan itu tidak hairan perjuangan Pas telah beralih daripada perjuangan Islam kepada perjuangan untuk menjadi pemerintah.
''Sebab itu kita jangan hairan jika perjuangan akidah pun mereka tidak mahu sambut. Pas sekarang bukannya seperti Pas dahulu. Dahulu mereka juga menjaga kepentingan Islam kerana pada masa itu golongan ulama menguasai Pas.
''Namun sekarang tidak lagi. Selepas Pas dikuasai oleh golongan yang lebih liberal mereka nampaknya tidak ada masalah untuk bersekongkol dengan DAP dan PKR. Kepentingan politik melebihi daripada segala-galanya,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/2/12

'Budak suruhan UMNO'

SHAH ALAM 31 Jan. - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menganggap bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Hasan Ali tidak memahami maksud parasit sebenar apabila secara terang-terangan menamakan beliau sebagai pemimpin Pas yang dianggap 'parasit' dalam parti itu.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor yang pernah digugurkan daripada jawatan itu ketika Pas negeri diterajui oleh Hasan berkata, tuduhan tersebut tidak tepat kerana beliau adalah ahli dan pemimpin Pas yang berada dalam 'batang tubuh' parti sejak sekian lama sedangkan parasit adalah suatu benda asing yang hidup dengan cara menumpang pihak lain.
Sebaliknya kata beliau, pihak yang berada di luar Pas dan hanya boleh hidup dengan menumpang isu membabitkan parti itu sebenarnya adalah parasit.
"Parasit adalah jenis yang tinggal atas induk macam pokok asing tinggal atas pokok besar tetapi saya tidak boleh menjadi parasit kerana saya merupakan sebahagian daripada batang tubuh parti.
"Tidak seperti orang yang hidup dengan isu Pas tetapi dia adalah orang asing yang mana jika tidak ada isu Pas, dia tidak boleh hidup, dia menjadi popular atas isu Pas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Hasan yang menamakannya sebagai parasit dalam Pas ketika berceramah dalam program Bicara Memurnikan Akidah Ummah di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17 di sini malam semalam.
Hasan dipetik sebagai berkata, Ahli Parlimen Shah Alam itu sering kali dilihat menyebarkan fahaman yang tidak menyebelahi Islam selain merupakan individu paling lantang menentang usahanya untuk melarang penjualan minum keras di kedai-kedai runcit di kawasan penempatan majoriti orang Melayu.
Khalid juga didakwa adalah individu yang beria-ia mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah premis yang dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) meskipun pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penganjuran satu majlis yang bermatlamat bagi menyelewengkan akidah umat Islam di negeri ini.
Khalid yang sudah lebih 30 tahun berada dalam Pas berkata, Hasan sebenarnya sudah menjadi alat UMNO apabila membuat kenyataan supaya para pengundi di Parlimen Shah Alam agar tidak mengundinya lagi pada pilihan raya umum akan datang.
"Kalau tidak beri undi kepada Khalid Samad, kepada siapa lagi? Sudah tentu kepada UMNO. Ini bukti Hasan sudah menjadi budak suruhan UMNO," katanya.
Malah katanya, dakwaan itu jugalah yang menjadi punca mengapa Hasan tidak dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas negeri dan terpaksa dikeluarkan daripada parti meskipun sebenarnya beliau tidak mempunyai harapan dalam UMNO.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, isu penjualan arak yang dibangkitkan oleh Hasan sebenarnya merupakan cadangan anggota Pas Shah Alam sendiri yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBA).
"Ahli kita yang bawa usul supaya kedai-kedai serbaneka yang beroperasi di kawasan majoriti orang Melayu tidak menjual arak. Kita gunakan kaedah lembut, pujuk rayu, adakan penerangan secara 'bil hikmah' dan bukannya buat cara samseng dengan merampas arak berkenaan.
"Bukannya buat dengan sesuka hati kerana ada peraturannya mengikut akta dari Pusat bahawa kedai-kedai seumpama itu tidak perlu memohon lesen khas," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/2/12

31 Januari 2012

Zulkifli cabar saman WSJ jika salah lapor

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman The Wall Street Journal (WSJ) jika benar penerbitan itu silap melaporkan kenyataannya berhubung isu Israel.
Kata Zulkifli, Anwar tidak sepatutnya hanya berani menyaman media tempatan terutamanya Utusan Malaysia kononnya mendakwa kenyataan beliau sering disalah lapor.
''Kalau berani, kalau ada pendirian, silakan saman The Wall Street Journal. Tengok apa jadi nanti. Dan saya nasihatkan media Malaysia, eloklah hubungi editorial The Wall Street Journal. Beritahu mereka Anwar kata dia telah disalah lapor," katanya menerusi entri terbaru bertajuk Al-Yahud di blognya di http://zul4kulim.blogspot.com hari ini.
Entri itu merujuk kepada kontroversi kenyataan Anwar menerusi wawancara dengan WSJ pada 26 Januari lalu yang antara lain menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.
Kenyataan itu menimbulkan kemarahan banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pas sendiri menyebabkan Anwar menerusi blognya dua hari kemudian memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataannya.
Zulkifli dalam entri yang sama turut mendesak pemimpin Pas menyatakan pendirian berhubung kenyataan itu yang disifatkan beliau sangat penting kerana melibatkan soal maruah negara.
Katanya, pemimpin Pas perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada mereka berkongsi rasa dan pandangan dengan Anwar apatah lagi Penasihat PKR itu mahu ditabalkan sebagai pemimpin kepada pakatan pembangkang.
''Persoalan yang rakyat Malaysia dan umat Islam ingin tahu adalah, adakah pakatan DAP-PKR-Pas akan mengiktiraf rejim zionis Israel? Adakah pakatan DAP-PKR-Pas akan mengadakan hubungan diplomatik dengan rejim zionis Israel? Adakah pakatan DAP-PKR-Pas akan menghantar tentera Malaysia untuk melindungi keselamatan rejim zionis Israel?
''Ini penting kerana rakyat tidak diberitahu apa pendirian mereka jika menjadi kerajaan. Dalam manifesto tidak ada dan dalam Buku Jingga pun tidak ada. Jangan nanti rakyat diperdaya, merasa tertipu dan ditipu," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 31/1/12

Memalukan Malaysia, dunia Islam - Fairus

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menyokong semua tindakan bagi menjaga keselamatan Israel bukan sahaja memalukan Malaysia, malahan dunia Islam secara keseluruhan.
Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata, sebagai seorang Islam, seseorang individu itu perlu mengutamakan 'keselamatan' rakyat Palestin terlebih dahulu yang saban hari berhadapan dengan tindakan kejam rejim Zionis.
Katanya, walaupun Anwar menyebut keperluan Israel 'menghormati' aspirasi Palestin ketika dalam satu wawancara baru-baru ini, Ketua Pembangkang itu dilihat condong menyebelahi rejim Zionis apabila menjawab tentang prospek hubungan diplomatik Malaysia -Israel jika beliau menjadi Perdana Menteri nanti.
"Sebagai bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), kenyataan Anwar itu amat memalukan, tidak bertanggungjawab, hina dan keji. Semua negara Islam mengutuk tindakan Zionis yang hampir setiap hari melakukan penahanan sewenang-wenang terhadap rakyat Palestin.
"Daripada seorang yang konservatif sewaktu memimpin ABIM, Anwar kini dilihat semakin liberal dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan termasuk isu 'gay' semata-mata kerana ingin memenangi hati dunia Barat, seterusnya mengimpikan cita-cita menjadi Perdana Menteri Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah wawancara Anwar dengan WSJ Khamis lalu mengenai pendiriannya yang menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel.
Dalam wawancara itu, Anwar tidak menyatakan secara jelas sama ada berhasrat membuka hubungan diplomatik dengan Israel, apabila hanya memberitahu usaha berkenaan bergantung sama ada Israel akan menghormati aspirasi rakyat Palestin.
Mohammad Fairus menambah, ekoran kenyataan itu, tidak mustahil Anwar akan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel jika ditakdirkan menjadi Perdana Menteri pada masa depan.
"Ini semua kuasa Allah, rakyat kini dapat menilai sikap lidah bercabang dan putar-belit Anwar. Sepatutnya setiap umat Islam perlu menyatakan pendirian teguh bahawa Palestin harus menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat tanpa sebarang syarat," tegasnya.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari pula memberitahu, kenyataan terbaru Anwar itu membuktikan Penasihat PKR itu kini berusaha memulihkan imej beliau setelah pendiriannya yang berubah-ubah dalam isu Israel-Palestin diketahui dunia Barat.
"Anwar berdolak-dalih di sini bagi meredakan kemarahan penyokongnya. Seorang 'putar alam' seperti Anwar akan terus berbohong sedangkan segala butiran temuramahnya ada direkodkan.
"Anwar juga tidak dapat menahan dirinya daripada 'menjaga keselamatan Israel' setelah negara itu muncul sebagai destinasi pelancongan 'gay' terbaik bagi tahun 2011," tegasnya. 
/hwa: utusan.com.my | 31/1/12

Guris perasaan umat Islam seluruh dunia

SHAH ALAM 30 Jan. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan negara Israel kerana ia boleh menyentuh perasaan umat Islam di seluruh dunia.
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor menegaskan, pihaknya boleh menerima penjelasan yang diberikan oleh Anwar bahawa beliau menyokong agar tiadanya hubungan diplomatik dengan rejim Zionis ekoran kenyataan kontroversinya mengenai 'sokongan terhadap usaha memberikan perlindungan kepada keselamatan Israel'.
Namun, katanya, Anwar perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa The Wall Street Journal (WSJ) tidak memetik sepenuhnya kenyataan beliau itu.
''Kita nasihatkan beliau (Anwar) agar tidak mengulangi kenyataan sedemikian kerana ia memberikan impak besar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anwar dalam wawancaranya dengan WSJ pada Khamis lalu yang antara lain memetik; ''Saya sokong usaha untuk melindungi keselamatan Israel''.
Mohd. Roslan yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Tamadun dan Sejarah Islam Universiti Malaya berkata, apa yang diperkatakan oleh Anwar itu membabitkan isu antarabangsa dan ia perlu mengambil kira perjuangan rakyat Palestin yang lama tertindas oleh rejim Zionis.
''Semenjak Palestin dijajah pada 1917 hingga hari ini, rakyatnya hidup dalam sengsara, terbuang dan menjadi pelarian. Hak rakyat Palestin mesti terus dibela," katanya.
Justeru, beliau meminta agar tidak ada mana-mana pihak termasuk para pemimpin politik di negara ini menimbulkan sesuatu yang menyebabkan rakyat Palestin terus dihina.
''Umat Islam perlu membela rakyat Palestin. Kerajaan mesti mengelakkan diri daripada mengadakan hubungan dengan Israel dan agensinya selagi Israel tidak mengiktiraf negara Palestin.
''Kerajaan perlu desak Israel agar berundur dari tanah yang diceroboh dan mendesak mereka berundur ke sempadan," katanya yang juga lulusan Pengajian Islam Jurusalem.
/hwa: utusan.com.my | 31/1/12

Penasihat PKR khianati bangsa Palestin, umat Islam

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan terhadap usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap Palestin dan umat Islam keseluruhannya.
Penasihat Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF), Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana rejim Zionis telah melakukan pelbagai kekejaman terhadap penduduk Palestin sejak sekian lama.
Menurut beliau, bukan sahaja penduduk Palestin, sukarelawan dan aktivis kemanusiaan yang cuba menghulurkan bantuan di Palestin juga turut terkena 'tempias' kekejaman Israel apabila konvoi bantuan mereka diserang serta disekat untuk melaksanakan misi berkenaan.
''Jika pengganas termasuk negara pengganas menzalimi mangsanya, patutkah kita bersimpati dengan mereka (pengganas) atau bersimpati dengan mangsa?
''Setiap kali Zionis Israel membunuh rakyat Palestin, mereka menggunakan alasan mempertahankan keselamatan negara.
''Alasan yang sama juga digunakan apabila jentolak Israel merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin di Tebing Barat,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas wawancara Anwar dengan The Wall Street Journal Khamis lalu mengenai pendiriannya yang menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel.
Mukhriz berkata, Israel tidak seharusnya 'dibela' setelah ramainya penduduk di Gaza dibunuh, beratus-ratus resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilanggari, aktivis Flotila Kebebasan ditembak mati dan sukarelawan PGPF ditahan kerana membawa bekalan bantuan.
''Kini seorang yang bercita-cita tinggi menjadi Perdana Menteri pula menggunakan alasan yang sama dalam menyokong negara pengganas Israel.
''Anwar mengkhianati Palestin dan umat Islam sedunia. Malah, masyarakat dunia berbilang agama yang menuntut keadilan bagi Palestin juga turut terkejut dengan kenyataan Anwar yang sebelum ini menonjol dirinya sebagai pemimpin Islam,'' tambahnya.
/hwa: utusan.com.my | 31/1/12

30 Januari 2012

Kenapa tidak dakwa The Wall Street Journal silap?

PUTRAJAYA 29 Jan. - Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara dengan The Wall Street Journal jelas menunjukkan penerimaan dan sokongan beliau terhadap segala tindakan kejam yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin selama ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata, adalah jelas kenyataan tersebut bertujuan mendapatkan sokongan antarabangsa, khususnya masyarakat dan penyokong-penyokong negara Yahudi itu dalam usaha menghadapi pilihan raya.
Sebelum itu, beliau mengingatkan kembali tindakan Anwar di Dewan Rakyat pada Mac lalu yang menuduh konsep 1Malaysia ditiru daripada konsep rejim zionis di Israel. Tindakan ini telah menyebabkan kecaman daripada pemimpin-pemimpin Yahudi.
"Dengan kenyataan yang dibuat oleh beliau di The Wall Street Journal itu adalah jelas sekarang di mana letaknya prinsip dan pendirian Anwar Ibrahim mengenai isu Palestin dan saya yakin rakyat akan dapat membuat penilaian mereka sendiri.
"Kenyataan beliau yang menyokong penuh semua tindakan Israel bagi menjaga keselamatan negara itu adalah jelas, kecuali kalau beliau ingin mendakwa The Wall Street Journal melakukan kesilapan," katanya.
Sementara itu, Anifah menegaskan, kerajaan tidak pernah menyokong tindakan penindasan rakyat Palestin yang ditakrifkan Israel sebagai perlu bagi menjaga keselamatan negara tersebut.
"Malahan kita telah bersama-sama masyarakat antarabangsa mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang jelas melanggari perundangan antarabangsa.
"Kerajaan Malaysia berpendirian bahawa penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui perundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 30/1/12

Pembangkang fitnah BN tidak bantu rakyat - Noh

TANJONG KARANG 29 Jan. - Rakyat diingatkan agar tidak terjerat dengan tuduhan-tuduhan pakatan pembangkang, kononnya Barisan Nasional (BN) tidak pernah melakukan apa-apa untuk membantu meninggikan taraf hidup masyarakat semua kaum di negara ini.
Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, ingatan itu diberikan ekoran tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas ketika ini cuba mengelirukan rakyat dengan melemparkan tohmahan dan serangan terhadap program serta skim-skim bantuan kerajaan.
Beliau berkata, tindakan pakatan pembangkang itu hanya satu helah untuk memburuk-burukkan kerajaan pimpinan BN, selain menyemai politik kebencian dalam kalangan rakyat terhadap kepimpinan negara.
"Kita lihat menerusi laporan media propembangkang, mereka sering membuat tuduhan tertentu, seperti kerajaan tidak bantu rakyat, bantuan yang diberikan kepada rakyat hanya untuk pilihan raya dan sebagainya.
"Namun, hakikatnya sepanjang 55 tahun memerintah, kerajaan BN telah banyak menyalurkan bantuan sebagai satu usaha dan tanggungjawab kerajaan untuk membangunkan, meninggikan taraf hidup dan mengurangkan beban rakyat sehingga ke hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) Peringkat Negeri Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pakatan pembangkang hanya tahu bercakap dan membuat janji sahaja.
Sebaliknya, beliau berkata, apabila rakyat menikmati hasil daripada pengurusan kewangan dan pentadbiran negara di bawah BN menerusi program-program, bantuan yang disediakan, mereka bertindak mengelirukan rakyat.
Tambah Noh, usaha kerajaan pimpinan BN membantu rakyat di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dilihat apabila 100,000 keluarga seluruh negara daripada semua kaum dan berpendapatan rendah akan menikmati hasil daripada pendapatan pelaburan saham amanah di bawah Sara 1Malaysia.
Katanya, di bawah skim berkenaan, kerajaan menanggung RM100 juta kos faedah bagi pinjaman RM5,000 yang berikan kepada setiap mereka yang layak bagi tempoh lima tahun.
"Hasil daripada pinjaman pelaburan itu, mereka yang layak akan menerima pulangan RM13,000 dalam tempoh lima tahun. Mereka juga tidak perlu tanggung kadar faedah daripada pinjaman, inilah bukti kerajaan untuk membantu dan mendahulukan rakyat," jelasnya.
Pada masa yang sama, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang turut menyatakan, banyak lagi bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan seperti bantuan persekolahan RM100, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan sebagainya.
"Bantuan tersebut diberikan kepada semua kaum atas dasar prinsip Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Inilah pendirian pentadbiran di bawah BN yang melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat.
"Banyak lagi bantuan yang kerajaan berikan, tetapi rakyat tidak menyedarinya, seperti subsidi dan sebagainya. BN bukan seperti pembangkang yang bersifat seperti ayam yang 'telur sebiji, riuh sekampung'," katanya. 
/hwa: utusan.com.my | 30/1/12

Bukti Anwar lidah bercabang


PETIKAN kenyataan Anwar Ibrahim seperti disiarkan The Wall Street Journal, kelmarin.


KUALA LUMPUR 29 Jan. - Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya kenyataan beliau yang menyokong segala usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel, sengaja diputar-belit oleh media tempatan adalah satu lagi bukti sikap lidah bercabang Ketua Pembangkang itu.
Sambil mempersoalkan sejak bila hak rakyat Palestin dibela oleh Israel sehingga ketua pembangkang itu sanggup menyokong keselamatan negara Yahudi itu, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, tindakan Anwar bertujuan menyuci dosanya terhadap zionis.
"Ini bukti satu lagi sikap lidah bercabang. Sejak bila hak rakyat Palestin dibela Israel? Rakyat Palestin setiap hari dibunuh oleh Israel, apakah Anwar tidak tahu? Anwar sedar semua ini tetapi demi kepentingan politik beliau sanggup mengutamakan Yahudi demi menjaga hati zionis.
"Ini kerana Anwar mahu barat melihat beliau kawan kepada zionis dan golongan neo konservatif (kumpulan pro-Yahudi) selepas terlajak menghentam Apco Worldwide tempoh hari," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Kenyataan kontroversi Anwar itu terbongkar apabila akhbar The Wall Street Journal pada Khamis lalu mendedahkan sokongan Ketua Pembangkang tersebut kepada Israel apabila dipetik sebagai berkata: "Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel."
Bagaimanapun selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.
Sebaliknya, menurut Anwar, kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan jika syarat itu dipenuhi, maka, wajar hak rakyat Israel juga dihormati, selaras dengan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi.
Mengulas isu sama, bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, alasan yang diberi dalam menghalalkan sokongan ke atas Israel membuktikan Anwar buta sejarah kerana zionis tidak pernah mengiktiraf hak rakyat Palestin mahu pun orang Islam.
"Golongan Yahudi ini memang telah ditegaskan dalam al-Quran bahawa mereka akan sentiasa memerangi dan menindas orang Islam khususnya bangsa Palestin. Jadi di mana logik alasan yang diberikan Anwar untuk beliau menghalalkan sokongannya kepada Israel.
"Semua ini sebenarnya cerminan sikap beliau yang sejak dahulu pro-Yahudi. Sebab itu Anwar tergamak menyokong segala usaha demi keselamatan Israel ketika rakyat Palestin setiap hari dibunuh dengan kejam dan hak mereka sebagai manusia dinafikan," katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Zahid mencabar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar menyatakan sokongan ke atas Anwar dalam isu negara Israel dengan segera, kerana beliau adalah calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.
Menurut beliau, Pas perlu menyatakan pendirian dengan jelas berhubung sokongan Anwar ke atas keselamatan Israel itu kerana pendedahan mengenainya, dibuat oleh akhbar antarabangsa yang sangat dipercayai pihak pembangkang dan bukannya media tempatan.
/hwa: utusan.com.my | 30/1/12

18 Januari 2012

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)

TERIMA KASIH...Naning Ramain, 89, yang digendong oleh anaknya, Takbiro Naning dari Pulau Larapan, Semporna, Sabah pulang bersama baucar Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bernilai RM500 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Bersama Rakyat di Padang Semporna, hari ini. - Foto BERNAMA
Jan 17, 2012 4:47 pm

Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global 2012

17 JAN. 2012: Ada sesuatu yang melucukan sehingga mengundang ketawa Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah (tengah); Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika mereka menghadiri Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global 2012 di Kuala Lumpur. - Utusan/ASWAD YAHYA