29 Julai 2012

Mahasiswa mampu menilai

Najib Tun Razak, Seri Rosmah Mansor dan Mohamed Khaled Nordin bersama sebahagian pemimpin belia dan mahasiswa yang menghadiri majlis berbuka puasa di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi. 
*****
PUTRAJAYA 27 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak yakin mahasiswa di negara ini yang merupakan golongan intelek dapat menilai dan membezakan janji-janji yang tidak berpaksikan realiti yang banyak ditaburkan oleh sesetengah pihak.
Perdana Menteri berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu cenderung melontar pelbagai isu serta menabur janji-janji ketika mereka tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran.
"Adalah mudah untuk menabur janji semasa mereka tidak berkuasa tetapi apa yang lebih penting adalah apa yang telah dilakukan ketika kita ada kuasa.
"Saya percaya saudara-saudari yang mempunyai daya intelek dan pemikiran tajam sudah tentu tidak mudah menelan segala janji yang ditaburkan, kita harus persoalkan sejauh mana janji itu berpijak pada bumi yang nyata," katanya.
Beliau berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin belia dan mahasiswa serta warga institusi pengajian tinggi di Seri Perdana, di sini malam ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada majlis sama, Najib mengambil kesempatan memberi kata-kata semangat kepada pasukan Robocon dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bakal menyertai kejohanan robot antarabangsa di Hong Kong.
Selain itu, Najib turut menerima kad ucapan hari lahir daripada wakil-wakil pemimpin belia dan mahasiswa sempena sambutan hari jadi beliau pada Isnin lalu.
Menurut Najib, kerajaan mahu melakar masa depan yang jauh lebih baik dan indah kepada generasi muda tetapi lakaran itu mesti berasaskan kepada realiti.
Katanya, tanggungjawab beliau sebagai ketua kerajaan adalah melakukan yang terbaik supaya setiap insan termasuk mereka dari kawasan luar bandar boleh mencapai impian dan cita-cita masing-masing sekiranya sanggup bekerja keras.
"Sebab itulah kita cetuskan agenda transformasi yang akan membawa Malaysia ke masa depan yang jauh lebih baik berbanding hari ini," katanya.
Sementara itu, Najib berkata, seperti insan biasa yang lain, beliau mendapat kepuasan selepas memberi bantuan dan keriangan kepada golongan yang memerlukan.
"Kalau saya dapat membantu atau memberi sedikit keriangan kepada seorang anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), orang miskin atau ibu tunggal, saya akan dapat kepuasan sepanjang hari itu," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 28/7/12 

'Janji Ditepati' daripada perspektif rakyat

BELUM pernah rasanya persoalan tema Hari Kebangsaan menjadi polemik yang memecahbelahkan pemikiran rakyat. Entah apa tujuan dan objektif, sepertinya tidak ada sesuatu yang 'kena' dan molek tema tahun ini kepada sesetengah pihak. Sehinggakan tema Hari Kebangsaan mahu dijadikan gelincir pandangan yang sangat negatif dan merosakkan.
Penulis melihat penuh minat dengan pelbagai ungkapan sinikal, kejian, hinaan dan makian yang dikemukakan banyak pihak mengenai isu tema ini. Pernah satu ketika, media baru, terutamanya penggunaan platform 'twitter' dijadikan medan debat mengenai isu sama. Maka, bertempiaranlah anak muda kita, termasuk mereka yang berada di luar negara, memberikan takrifan sendiri mengenai isu ini.
Mereka yang selama ini tidak pernah minat dan ambil tahu tentang tema Hari Kebangsaan, tiba-tiba sahaja menjadi kalangan pengkaji bahasa, pakar media, ahli strategi politik yang menilai tema tersebut dalam pelbagai segi. Tak kurang juga yang menjadikannya bahan lawak jenaka untuk menghina pemimpin dan individu tertentu.
Daripada satu segi, tema '1Malaysia: 55 Tahun Merdeka - Janji Ditepati' memungkinkan suatu perkongsian pandangan yang sihat, asalkan ia tidak disulami dengan nada sinikal, kecaman dan dendam politik yang melampau.
Sejujurnya, minat generasi muda terhadap tema ini sangat luar biasa! Walaupun mereka punya pandangan berbeza, namun ia haruslah dilihat dalam konteks yang lebih luas. Pada pandangan penulis, frasa 'Janji Ditepati' ini bukanlah sesuatu yang eksklusif dan politikal. Buka sedikit minda, kita akan melihat maknanya yang lebih besar.
Janji Ditepati - ini mestilah juga dilihat melalui pandangan yang objektif dan tidak sarat dengan niat politik. Jika itu dapat menjadi rentak mula pandangan dan pemikiran, rasanya ia bukanlah satu terma yang jijik. Malahan, ungkapan 'janj' ini sudah sewajarnya menjadi sebahagian daripada kehidupan kita rakyat Malaysia.
Mungkin kita sudah lupa bahawa 'ikrar' Rukunegara juga adalah satu 'perjanjian rakyat kepada negara' yang perlu dijadikan landasan tindakan kita sebagai warga negara yang bertuah ini.
Berapa ramai generasi muda kita yang benar-benar dapat menghayati makna dan 'ikrar' kita kepada negara. Ikrar ini tahapnya lebih tinggi daripada janji. Definisi ikrar - istilah Arab; janji yang sungguh-sungguh, janji yang disertai dengan sumpah, pengakuan. Apakah kita masih ingat dengan bait-bait ayat 'ikrar' yang berikut:
Bahawasanya, negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak: mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Ideal kita bermasyarakat dan memelihara hubungan antara ‘rakyat dan kerajaan’ ini bukan perkara baru. Ia legasi politik yang berusia lebih 42 tahun. Entah mengapa hari ini kita menjadi ‘fobia’ dengan istilah janji. Atau kita sebenar-benarnya mahu mengambil ‘jalur politik’ dalam semua perkara?
Sudah tiba masanya jagoan-jagoan politik melonggarkan sedikit ketaksuban politik dan mula melihat Hari Kebangsaan dengan semangat cintakan negara yang tepat dan betul. Polemik politik tidak akan pernah berakhir. Namun, apakah kita sudah menjadi sedemikian terdesak untuk mempolitikkan perkara yang sepatutnya berada di landasan neutral dan dikongsi bersama?
Istilah ‘Janji Ditepati’ ini wajar juga dijadikan wadah untuk kita menilai kembali sejauh mana kita, sebagai rakyat, sudah memenuhi ‘aura rakyat’ dan menepati ikrar kita dalam mengisi niat rukun kita bernegara. Ini asasnya. Ini bukan soal hak mutlak dan prerogatif siapa. Ini soal kaedah kita dalam memberi makna. Niat untuk hidup dalam suasana ‘demokratik’ ini bukan cita baru. Ia sudah termeterai dalam ikrar kita sejak 1970 lagi!
Soalnya, sejauh mana demokratiknya kita kalau kita sendiri tidak tahu menghormati pandangan orang lain? Menganggap kita dan kumpulan kita sahaja betul dan wibawa? Hari Kebangsaan seharusnyalah menjadi landasan kita mengukur kembali 'ikrar, janji dan baiah' kita sebagai anak Malaysia yang sebenar. Wajar agaknya kita menilai kembali, sejauh mana kita sudah menjadi pemangkin kepada usaha membina perpaduan, mencipta masyarakat adil, memuliakan budaya dan membina masyarakat progresif. Ini semua 'ikrar dan janji' kita.
Semua usaha dan niat ini digabung jalinkan dengan lima prinsip yang sangat integral:-
* Kepercayaan kepada Tuhan
* Kesetiaan kepada Raja dan Negara
* Keluhuran Perlembagaan
* Kedaulatan Undang-Undang
* Kesopanan dan Kesusilaan
'Janji Ditepati' - seharusnya menjadi wadah untuk kita menilai fiil dan tingkah kita dalam mengisi tuntutan dan prinsip Rukunegara yang lima ini. Sebagai mana-mana manusia politik dan organisasi sekalipun, kita tidak seharusnya keluar daripada 'baiah' yang sangat asas ini. Rukun Negara bukannya sebuah legasi politik usang yang tidak relevan. Malahan, dengan asas yang sama, kita sudah banyak menjauhkan negara daripada tribulasi yang merosakkan.
Banyak masalah yang dapat kita murnikan jika rakyat terus memegang 'ikrar' dan 'janji' yang lima ini. Ia sangat asas. Namun begitu, malangnya, kita sudah mula untuk menduga sesetengah prinsip sebagai kaedah mendapat laba politik yang bersifat sementara. Masing-masing mahu membawa pandangan jumud dan sempit, sehingga adakalanya mahu menguji keabsahan prinsip yang sedemikian asas.
Apa mesej yang mahu kita sampaikan kepada generasi baru, sekiranya terma 'ikrar, janji dan baiah' ini juga mahu kita polemikkan? Eloklah agaknya, dalam tempoh meraikan Hari Pahlawan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia untuk kita mempunyai minda yang lebih terbuka dan tidak terlalu politikal sifatnya.
Molek untuk kita kurangkan gegak gempita pemikiran politik dengan sambutan Hari Kebangsaan yang neutral dan dimiliki semua. 'Janji Ditepati' ini bukan soal janji kerajaan kepada rakyat semata. Ia juga soal menepati janji dan ikrar kita, sebagai rakyat - terhadap negara. Apakah kita ini agaknya sudah menjadi kalangan mereka yang hanya mahu melihat 'sumbangan' kerajaan kepada kita; dan bukan sebaliknya.
Kita seharusnya menjadi generasi yang matang dan tidak melihat semua perkara dalam kacamata politik. Selama 13 tahun (1957-1970) kita 'merdeka' tanpa memegang sebarang ikrar dan janji. Politik kita berasaskan laissez-faire. Kontrak sosial kita bernegara hanya berasaskan 'faham kerjasama' yang longgar. Nyata, politik tidak akan menjadi semudah itu. Kita membayar harga yang tinggi untuk memahami bahawa sesungguhnya kita memerlukan 'ikrar dan janji' yang lebih mengikat. Lalu, apa salahnya jika kita menilai semangat 55 tahun merdeka dengan bermuhasabah tentang 'ikrar dan janj' yang wajar ditepati.
Namun penulis terpaksa mengakui bahawa logo Hari Kebangsaan kali ini perlu diperbaiki dan diperhalusi semula. Ia terlalu simplistik dan tidak membawa bersamanya semangat ‘maju dan makmur’ yang diinginkan. Rasanya kita punya ramai pereka muda yang jauh lebih dinamik, artistik dan berpandangan jauh! Ini bukan soal 'politik' tapi soal cita rasa dan rekaan yang sedap dipandang mata. Logo Hari Kebangsaan tidak boleh bersifat, 'janji ada'
/hwa: utusan.com.my | 28/7/12 

RM13b peluang niaga dijana

Najib Tun Razak mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. Turut sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (lima, kiri) dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa (kiri). - BERNAMA 
*****
PUTRAJAYA 26 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peluang perniagaan berjumlah kira-kira RM13 bilion telah dijana untuk manfaat Bumiputera menerusi inisiatif yang dilancarkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).
Perdana Menteri berkata, inisiatif yang dilancarkan Teraju, yang ditubuhkan Februari lepas, berpandukan kepada hala tuju transformasi ekonomi Bumiputera yang diumumkan kerajaan sebelum ini.
Antara inisiatif yang menyumbang kepada jumlah itu ialah melalui dasar untuk memberi peluang secara carve out kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang terlibat dalam projek Transit Pantas Massa (MRT) melalui MRT Corporation Sdn Bhd.
"Sehingga ini, 47 peratus daripada jumlah pakej, ditawarkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera, iaitu melebihi sasaran 43 peratus yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat ketiga Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) di sini, hari ini.
Najib berkata, mengikut unjuran ketika ini, jumlah keseluruhan pakej itu bernilai kira-kira RM9.3 bilion, yang menyaksikan jumlahnya melangkaui sasaran RM8.5 bilion.
Menurutnya, kerajaan berpuas hati dengan jumlah itu, bukan sahaja dari segi jumlah besar yang berjaya diagih, tetapi juga dari segi proses penentuan syarikat-syarikat berkenaan yang dibuat dengan cara yang begitu telus, berdasarkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang terbaik dari kalangan syarikat Bumiputera.
"Proses ini dilakukan berdasarkan kepada merit dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana syarikat melainkan berdasarkan kepada kriteria kemampuan dan kebolehan syarikat tersebut," katanya.
Sementara itu, Najib berkata mesyuarat MTAB hari ini juga meluluskan 20 buah lagi syarikat yang layak untuk program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras), yang merupakan satu lagi program perdana Teraju, menjadikan jumlahnya kini 150 buah.
"Melalui inisiatif ini, kita dapati bahawa jumlah modal berbayar ialah kira-kira RM1 bilion dan perolehan keseluruhan RM7.9 bilion. Ini bererti syarikat-syarikat Teras ini mempunyai potensi berkembang dan mampu bersaing untuk mendapatkan kerja-kerja dari sektor awam," katanya.
Perdana Menteri seterusnya mengumumkan keputusan mesyuarat melanjutkan tempoh Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di bawah kelolaan Prokhas untuk setahun lagi, di mana dana RM930 juta yang belum digunakan lagi oleh syarikat-syarikat Bumiputera akan diperuntukkan sehingga 31 Disember, 2013.
Walau pun skim jaminan itu pada mulanya hanya diperuntukan kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS), namun kini, katanya syarikat-syarikat Teras yang bukan PKS, malah lebih besar daripada itu juga, layak untuk menyertai skim tersebut.
"Saya dan anggota majlis yakin inisiatif yang diperkenalkan ini akan memberi peluang yang lebih meluas kepada syarikat-syarikat Bumiputera untuk capai kejayaan lebih besar pada masa akan datang," katanya. — BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 27/7/12 

Malaysia negara Islam yang boleh diharapkan

Muhyiddin Yassin bersalam dengan Dr. Obaidullah Obaid yang membuat kunjungan hormat di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. - BERNAMA 
*****
PUTRAJAYA 26 Julai - Kerajaan Afghanistan melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang boleh dicontohi dan diharapkan negara lain di dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesej itu disampaikan Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan, Prof. Dr. Obaidullah Obaid yang mewakili Presiden Hamid Karzai untuk lawatan lima hari ke Malaysia.
"Mereka memandang tinggi keupayaan Malaysia dan menyatakan kita sebuah negara Islam contoh yang bukan sahaja boleh diikuti tetapi juga boleh diharapkan untuk membantu umat Islam lain yang menghadapi masalah.
"Inilah keistimewaan Malaysia dan kita harus berbangga dengannya, suasana aman sebegini juga harus dikekalkan malah diperbaiki," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (2), di sini hari ini.
Sempena majlis itu, Muhyiddin turut berbuka puasa bersama warga sekolah dan menyampaikan sumbangan kepada 50 pelajar di sekitar Kajang dan Putrajaya.
Pada pagi ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menerima kunjungan hormat delegasi Obaidullah di Bangunan Perdana Putra, di sini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Obaidullah mengharapkan Malaysia akan memberi bantuan kepada negaranya yang sedang dalam proses pemulihan daripada perang.
Muhyiddin berkata, antara bantuan yang diperlukan Afghanistan adalah dalam bidang pendidikan, teknikal, latihan ketenteraan serta kepolisan.
"Mereka mahu Malaysia membantu proses pemulihan dan pembangunan yang diperlukan Afghanistan selepas negara itu melalui satu tempoh yang agak malang.
"Peperangan yang berlarutan telah mengorbankan ratusan ribu manusia di sana, hampir seluruh sistem sosial dan ekonomi negara itu musnah," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 27/7/12 

Arab Spring berbeza dengan kita

BEBERAPA hari lalu, seorang pelajar Malaysia dari Fakulti Pengajian Bahasa Arab dan Syariah Maahad Duali di Syria, Abdullah Mohd. Shauki yang dihubungi oleh rakan saya, Sofian Baharom memberitahu, ibadat solat tarawih di masjid-masjid sekitar Damsyik terpaksa dilakukan lapan rakaat sahaja kerana huru-hara yang mengancam makmumnya.
Jemaah lain merungut kerana mahukan rakaat yang lebih. Di sempadan Syria-Iraq pula beberapa hari lepas, pengawal sempadan Iraq hanya terdaya melihat seorang kolonel Syria sedang dipotong kedua-dua belah kaki dan tangannya oleh anggota pemberontak negara berkenaan manakala 12 tentera Syria turut ditembak mati.
Kita di Malaysia bernasib baik walaupun ada pihak tertentu dalam ucapan-ucapan mereka cuba mengaitkan besar kemungkinan Malaysia akan berlaku Arab Spring seperti yang terjadi di Asia Barat, tetapi ia sukar berlaku.
Apabila Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali yang dijatuhkan oleh rakyatnya pada Januari 2011, ada pihak di negara ini mengaitkan Malaysia akan menghadapi suasana yang sama. Rakyat kononnya kata mereka akan bangun dan menolak kerajaan demokrasi yang ada.
Arab Spring berterusan lagi dengan gugurnya Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada Februari 2011, diikuti jatuhnya Presiden Libya, Muammar Gaddafi pada Ogos 2011. Semuanya terjadi pada 2011. Dan pergolakan Arab Spring di Syria sedang berlangsung.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan, mengakui pihak tertentu terutama sekali pakatan pembangkang memang ingin mengaitkan Malaysia adalah sama suasananya seperti Arab Spring.
"Ertinya suatu perbandingan tentang musim luruh yang jatuh berturutan, daun-daun yang berturutan gugur satu persatu akibat dari sistem yang rapuh.
"Sedangkan di Malaysia tidak berlaku demikian sebab Arab Spring ini mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat tersendiri," kata beliau.
Apakah sifat Arab Spring? Apakah punca revolusi Arab yang berlaku sehingga menyebabkan terjadi penolakan rakyat terhadap para pemimpin mereka.
Fuad menilai isu ini daripada sudut berikut:
1. Semua pemimpin di Asia Barat yang dijatuhkan oleh rakyat mereka naik secara kudeta (rampasan kuasa). Baik Zin al-Abidine yang mengambil kuasa daripada Habib Bourguiba, juga sama dengan Gaddafi dan Mubarak. Latar belakang mereka semuanya daripada militari. Naik secara militari dan ditolak secara militar. Oleh kerana naik secara militar, sudah tentulah dia berkuasa secara autokratik dan kuku besi.
2. Para pemimpin yang digulingkan ini sifatnya naik secara militar dan memerintah dalam tempoh begitu lama. Zin al-Abidine memerintah selama 24 tahun, Mubarak (30 tahun) tetapi sebelum itu selama enam tahun sebagai Naib Presiden. Itu bermakna 36 tahun. Mereka mempunyai rekod hak asasi manusia yang buruk. Oleh kerana dia tentera, dia empunyai kecenderungan untuk menyekat kebangkitan ataupun pandangan Arab yang berbeza.
3. Malaysia, sebuah negara yang demokratik. Pemimpin yang naik dipilih oleh rakyat melalui satu sistem demokrasi pilihan raya. Ia sudah bersilih ganti sejak 55 tahun sehingga enam Perdana Menteri. Dan masing-masing Perdana Menteri silih berganti menyambung usaha sebelumnya dalam memajukan kepentingan rakyat. Sentiasa ada pembaharuan.
4. Sentiasa berlaku pembaharuan di Malaysia. Kalau dilihat pada kadar ketelusan (transparency) negara-negara yang terlibat dalam kebangkitan Arab Spring, kebanyakannya dari segi indeks ketelusan antarabangsa mendapat markah kurang daripada 4 berbanding dengan keseluruhan 10. Kebanyakan negara yang runtuh akibat Arab Spring adalah kurang daripada 4. Tunisia cuma 3.8 daripada kadar ketelusan. Maknanya, rasuah berlaku. Di Mesir pula, kadar ketelusan hanya 2.9 peratus, Syria (2.6), Iran 2.7 dan Libya 2.
Sedangkan Malaysia mencatat 4.3 kadar ketelusan dan Turki 4.2, sekali gus bermakna Malaysia lebih baik. Walaupun pemimpin pembangkang selalu membandingkan Malaysia dengan Turki dengan mengatakan Turki lebih baik dan sebagainya, tetapi indeks transprensi international menyatakan kadar ketelusan kita lebih baik berbanding Turki, baik daripada Indonesia, baik daripada Iran 2.7.
Namun, tidak usahlah dibandingkan negara ini dengan Qatar dan Brunei sebab di sana tidak boleh sesiapa persoalkan sebab mereka sistem beraja.
5. Kadar inflasi di kebanyakan negara yang menghadapi Arab Spring adalah tinggi. Apabila inflasi tinggi, harga barang menjadi mahal, jadi, rakyat memberontak. Contohnya, Mesir mencatat 8.6 peratus inflasi, sangat tinggi. Di Tunisia pula kadar inflasinya mencecah 5.4 peratus, Turki paling tinggi 8.7 dan Malaysia sekadar berpuas hati dengan hasil 1.7 peratus.
6. Walaupun ramai bisingkan harga sesuatu barang agak mahal, kita sebenarnya mempunyai kadar subsidi yang cukup tinggi berbanding negara lain.
7. Dari segi negara selamat, Malaysia menduduki tangga ke-19 di seluruh dunia daripada 153 negara yang dikatakan selamat daripada Global Peace Index. Maknanya dari segi itu, kita patut bersyukur oleh kerana berada dalam negara yang aman.
Daripada Global Peace Index, kadar jenayah menunjukkan tanda-tanda menurun. Contohnya, melalui NKRA kadar jenayah jalanan menurun dua peratus.
8. Kehidupan rakyat Malaysia jauh lebih baik berbanding rakyat negara lain. Pada era Presiden Suharto, pembangkang menjadi senyap dan tidak terbuka. Di Libya langsung tiada pembangkang, mereka diberi tekanan.
9. Perdana Menteri ketika ini menekankan soal maqasid syariah (matlamat mengikut aturan Islam) yang dicapai untuk kepentingan umat. Sebab itu, dalam maqasid syariah, antara perkara ditekankan ialah bagaimana seseorang itu harus menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Ini ditekankan untuk kebajikan rakyat.
Menurut Fuad, pembangkang di negara ini akan cuba menggunakan Arab Spring sebagai jalan mudah untuk menakut-nakutkan rakyat dan pemimpin.
"Mereka sudah cuba sistem demokrasi tetapi mereka gagal sejak 1955 lagi. Sebabnya, dasar mereka gagal diterima rakyat. Sebab itu mereka mengalun-alunkan Arab Spring. Bila gagal cara 'demokrasi', mereka menggunakan keganasan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 27/7/12 

Selangor berhadapan gelombang bantahan rakyat

SHAH ALAM 26 Julai - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan berhadapan dengan gelombang bantahan rakyat di negeri ini jika beliau masih mengutamakan agenda politik dan meneruskan hasrat mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).
Menurut Pesuruhjaya Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Indra Putra Ahmad, Abdul Khalid telah diperingatkan dan diberi penerangan tentang krisis air yang meruncing tersebut, namun kedegilan beliau menerima kenyataan hanya akan menjejaskan kebajikan rakyat.
“Tan Sri Abdul Khalid telah diingatkan berulang kali berhubung krisis air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang semakin meruncing dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) adalah jawapan kepada permasalahan tersebut.
“Cadangan mengambil alih Syabas dan mengabaikan Langat 2, menunjukkan beliau berdegil demi menjayakan agenda politik pakatan pembangkang dan langsung sekelumit pun tidak prihatin terhadap masalah air yang bakal menyebabkan Selangor menjadi negeri mundur," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini bahawa Menteri Besar Selangor itu tetap dengan keputusan kerajaan negeri untuk mengambil alih Syabas dan menolak Langat 2.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi berkata, Abdul Khalid perlu mengutamakan agenda membantu rakyat Selangor dan melupakan sejenak permainan politik yang tidak menguntungkan masyarakat.
“Isu bekalan air terawat adalah sesuatu yang bersifat teknikal. Penerangan serta perancangan mengatasi masalah air telah dimaklumkan kepada pihak kerajaan negeri.
“Menteri Besar perlu akur masalah air di Selangor adalah satu fakta, isu pengambilalihan Syabas hanya akan mewujudkan pertikaian baru antara kerajaan negeri dengan Syabas, ini bermakna masalah bekalan air akan berterusan kerana pembinaan Langat 2 dilengahkan," katanya.
Dalam hal tersebut, kata beliau, pihak yang rugi dan akan menjadi mangsa agenda politik sempit Abdul Khalid adalah rakyat di Lembah Klang.
/hwa: utusan.com.my | 27/7/12 

BN letak Islam di tahap tertinggi walaupun tidak guna label Islam - PM

IPOH 26 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, walaupun Barisan Nasional (BN) tidak menggunakan label Islam namun parti itu tidak akan mengabaikan amanah meletakkan perjuangan agama di tahap paling tinggi selari dengan matlamat menegakkan maqasid syariah.
Sambil menyelar golongan tertentu yang sanggup menyempitkan agama demi kepentingan politik, Perdana Menteri berkata, BN tetap mempertahankan asas-asas maqasid syariah termasuk dalam soal memelihara agama, akal dan keturunan.
"Itulah panduan induk kita sebagai sebuah parti. Kita berpandu kepada maqasid syariah yang berkehendakkan kita menjaga agama, soal ilmu, begitu juga akal, keturunan dan ekonomi.
"Semua ini kehendak Islam, Islam tidak mengajar kita menyempitkan agama, tetapi orang yang menyempitkan agama ialah puak-puak tertentu yang melakukannya kerana kepentingan politik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa yang dihadiri lebih 5,000 orang di kediaman Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Timbalan Pengerusi Gerakan, Datuk Chang Ko Youn.
Najib dalam ucapannya turut menekankan perjuangan agama perlu diletakkan melampaui kepentingan politik bagi memastikan perpaduan dan kesejagatan ummah dan masyarakat dapat dipertahankan.
"Kalau kita tidak meletakkan Islam pada tempat tertinggi dan utamakan politik daripada agama, maka apa yang orang lain buat walaupun baik, semua menjadi tidak betul.
"Sebab itu, pembangkang tuduh Felda bankrap, selepas itu nak halang pula penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd.. Ini semua angkara orang yang iri hati dengan apa yang kita buat, walaupun ia baik untuk rakyat," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 27/7/12 

Tepuk air dalam talam terkena muka sendiri

ISU air jangan dipolitikkan jika Kerajaan Negeri Selangor menganggap pihak Barisan Nasional (BN) cuba mempolitikkan isu Talam Corporation Berhad (Talam).
Air adalah keperluan asas utama untuk manusia terus menyambung hidup. Jika sehari kita tidak ada bekalan air di tengah bandar sanggupkah kita membeli berbotol-botol air mineral untuk dibuat minum, memasak dan mandi.
Apa akan jadi jika air dicatu setiap malam, bukankah ini akan mendatangkan masalah besar kepada keluarga yang melangsungkan kenduri kahwin mahupun majlis keramaian.
Oleh itu, janganlah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus berdolak-dalik dalam dua isu tersebut takut nanti tepuk air dalam talam terpercik ke muka sendiri.
Bukanlah rahsia lagi, Kerajaan Negeri Selangor mempunyai saham sebanyak 30 peratus dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Begitu juga dengan isu pembelian hutang Talam Corporation (Talam) sebanyak RM392 juta yang diketahui umum mendapat tentangan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri semasa cadangan tersebut dizahirkan oleh Abdul Khalid pada tahun 2009.
Semua perkara ini jika dikaitkan, akan menjelaskan kepada rakyat betapa Kerajaan Negeri Selangor cuba menekan mana-mana pihak dengan secara halus dan penuh dengan helah politik.
Rakyat Selangor dan Malaysia tahu, betapa Abdul Khalid begitu berpengalaman dalam bidang ekonomi kerana beliau pernah menjadi orang penting dalam Kumpulan Guthrie Bhd. (Guthrie).
Namun itu adalah sudut ekonomi yang melibatkan ilmu perdagangan dan perakaunan tahap tinggi. Dalam politik beliau perlu sedar bahawa jika perkara berkaitan ekonomi dipolitikkan ia bukan sahaja merosakkan sebuah negeri malahan sebuah negara. Jika perancangan jangka panjang dirosakkan maka semua pihak terpaksa menanggung akibatnya.
Tidakkah beliau terfikir sejenak bahawa masalah air di Lembah Klang telah dibincangkan di peringkat Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1970-an. Kemajuan ekonomi di tiga kawasan iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak awal tahun 1980-an ini bukan sahaja semakin rancak, malah keperluan insaniah juga perlu dititikberatkan. Bekalan air perlu cukup tanpa kompromi kerana tanpa air segala aktiviti sosial dan ekonomi akan terbantut.
Hari ini isu Talam memasuki fasa baru apabila pembelian hutang tersebut dilakukan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang mana ia dikatakan melibatkan wang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Perkara ini amat mengejutkan kerana PKNS selama ini dianggap sebagai sebuah entiti yang diwujudkan untuk membela rakyat Selangor dalam soal penyediaan rumah kos rendah dan sederhana.
Apabila PKNS membeli hutang kumpulan Talam ini jelas menidakkan hak rakyat Selangor untuk mendapat pembelaan kerajaan yang dikatakan Kerajaan Berkebajikan.
Bulan lepas sekumpulan rakyat Selangor keturunan India berdemonstrasi di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor menuntut janji pakatan pembangkang semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 untuk mendirikan rumah kos rendah untuk mereka. Namun sehingga kini sebatang paku pun masih tidak kelihatan di tapak yang dijanjikan.
Jika janji tersebut tidak dipenuhi tidak perlu kerajaan negeri sibuk hendak mengambil alih Syabas yang sedang elok ditadbir oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail. Selesai dulu kemelut dalam isu Talam yang jelas membuatkan kerajaan negeri dan kroninya kepanasan.
Syabas yang sedang kekurangan air untuk dibekalkan perlu dibantu dengan Arahan Pembangunan (DO) untuk Projek Loji Rawatan Air Langat 2 segera dikeluarkan.
Jangan terus bermain politik kotor takut tiada air yang cukup untuk ia dicuci. Rungkai dahulu kemelut dalam Talam sebelum menjadikan Syabas mangsa seterusnya.

Perihal tema merdeka dan cermin sisi komuter

TEMA sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 “Janji Ditepati" menjadi polemik selepas pihak pembangkang mendakwa terdapat unsur-unsur politik dengan tema tersebut. Bahkan ada pemimpin pembangkang mahukan rakyat memboikot sambutan tahun ini gara-gara tema tersebut.
Blog MyKMU (mykmu.net) menganggap sikap pihak pembangkang yang begitu trauma dengan “Janji Ditepati" seolah-olah bagi mereka tema tersebut boleh menyebabkan seseorang akan terpalit dosa atau jika tidak pun mungkin terjerumus murtad.
“Sedangkan tema sempena sambutan ke-55 tahun kemerdekaan tanah air itu jelas motifnya berunsur mendidik dan tulus murni maksud tersurat serta tersiratnya.
“Lagipun semua agama dan budaya pelbagai bangsa sudah cocok dengan amalan menepati janji (dan) pada masa yang sama mencemuh sikap tidak cakna seseorang pada janji yang diungkapkan. Jadi di mana salahnya tema ini?" kata blog ini.
Apa yang lebih pelik katanya, mereka yang marah-marah dengan tema tersebut beragama Islam sedangkan dalam Islam sekian lama amat menitikberatkan umatnya agar menepati janji supaya tidak tergolong dalam kalangan orang munafik.
Blog Badut Rakyat (badutrakyat.blogspot.com) pula berkata, nampaknya pembangkang begitu fobia dengan slogan “Janji Ditepati" sehingga mereka bersungguh-sungguh mahukan agar tema sambutan itu ditukar.
“Saya nak tanya juga, mungkinkah beliau cuba mencadangkan agar tema ditukar kepada “Janji Bukan Untuk Ditepati" supaya mengingatkan rakyat kepada pakatan haram (pembangkang)... Dengan memperbesarkan soal tema Hari Kemerdekaan, (Datuk) Mustafa Ali seolah-olah telah membuat deklarasi bahawa pakatan pembangkang adalah parti yang tidak menepati janji.
“Jika inilah masalahnya, maka yang perlu diubah bukanlah tema Hari Kemerdekaan, tetapi sikap dari pakatan haram itu sendiri. Siapa suruh tidak tepati janji? Takkanlah kerana pakatan haram tak mampu tepati janji maka BN pula yang salah dan tema Hari Kebangsaan perlu diubah?" katanya.
Sementara itu, blog Paneh Miang (paneh.blogspot.com) menyentuh soal logo sambutan tahun ini yang dikatakan berbeza jauh dengan logo-logo sambutan sebelum ini.
“Di bawah ini ialah logo Hari Kemerdekaan 2012 yang telah diluluskan oleh siapa pun tak tahu. Yang pasti si tukang buat logo dan si tukang lulus logo mungkin sama saja agaknya, ..." katanya.
Blog tersebut turut mengemukakan beberapa rekaan logo baru hasil cadangan segelintir rakyat Malaysia “yang prihatin terhadap tahap kreativiti kumpulan yang mencipta logo Hari Kemerdekaan 2012".
CERMIN SISI KOMUTER
Lidah rasmi PKR, Suara Keadilan dalam edisi ke-75 memaparkan isu tren komuter di Malaysia yang tidak mempunyai cermin sisi sebagai berita utama muka depannya.
Akhbar itu mendakwa ketiadaan cermin sisi itu mampu menjejaskan keselamatan penumpang yang naik turun kenderaan awam tersebut.
Susulan laporan tersebut, beberapa blog membidas laporan akhbar tersebut yang dianggap sudah kering modal untuk menghentam kerajaan sehinggakan isu cermin sisi komuter diperbesarkan.
Blog Darul Ehsan Today (darulehsantoday.blogspot.com) berkata, sesiapa yang pernah naik komuter pasti akan tahu bagaimana perjalanan di atas platform semasa tren sampai, masa penumpang masuk dan keluar, tren tiba dan berlepas semuanya cukup selamat.
“Tak pernah lagi aku dengar orang terbolos kakinya di celah platform atau orang tersepit di pintu komuter. (Bukankah) lebih selamat (jika) adanya pengawal di atas platform berbanding pemandu tren yang lihat cermin sisi untuk mengawasi penumpang keluar masuk tren.
“Apa pun inilah dia pembangkang, tak ada kerja lain puak-puak ni, asyik nak bangkang saja. Sekarang ni pembangkang nak tibai Najib dah tak lut jadi kenalah cari isu lain nak diputar-belitkan," katanya.
Blog Double-Y (yuseriyusoff.blogspot.com) berkata, itulah akhbar bertaraf sampah yang pernah wujud di negara ini sehinggakan ketiadaan cermin sisi komuter pun mahu dipersoalkan.
“Mempersoalkan ketiadaan cermin sisi kononnya pengendali tren sukar melihat penumpang, merupakan satu hujah bodoh dari akhbar paling bangang di Malaysia. Cuba beritahu negara mana yang komuter mereka menggunakan cermin sisi?" katanya.
Katanya, beliau tidak pernah nampak di mana-mana negara, tren komuter dipasang dengan cermin sisi hatta kereta api lama sekali pun.
/hwa: utusan.com.my | 27/7/12 

Bonus kakitangan awam

NAJIB Tun Razak beramah mesra bersama pelajar Ma'ahad Tahfiz Akademi Iqro' Al-Quran, Bandar Baru Ampang pada Majlis Iftar Perdana Menteri Bersama Rakyat Selangor sempena Ramadan di Taman Nirwana, Ampang, Selangor, semalam. Turut sama Penyelaras Parlimen Ampang, Datuk Ismail Kijo (kiri). - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF 
*****
KUALA LUMPUR 25 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.
Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.
Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.
"Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya.
Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara.
Sementara itu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini menghargai usaha dan keprihatinan Perdana Menteri yang telah mengumumkan bonus dan bayaran khas kepada penjawat awam dan pesara kerajaan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pemberian berkenaan dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dalam menghadapi musim perayaan akan datang.
"Saya amat berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pengumuman tersebut dan berharap setiap penerima menggunakan wang berkenaan secara bijak.
"Pemberian bonus ini menjadi suntikan semangat kepada setiap penjawat awam agar menjalankan tugas dengan lebih komited manakala bagi pesara pula terus menyokong program pembangunan negara,'' katanya ketika dihubungi di sini. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 26/7/12 

Peluang cerah BN menang PRU-13

Mohamed Mustafa Ishak (tiga dari kiri) Syed Arabi Aidid (kiri) Rohana Yusof, Zakri Abdul Hamid (tiga dari kanan), T. Selvakumar dan Fuad Mohd. Jali berbincang secara ringkas selepas Sesi Roundtable Discussion 'PRU13: Malaysia Pilih Siapa? di Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 25 Julai - Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 termasuk menawan semula Selangor dan Kedah yang dikuasai pembangkang.
Pengerusi Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Fuad Mohd. Jali berkata, kesimpulan itu dibuat menerusi hasil kajian terhadap 1,400 responden di sekitar Kedah dan Selangor pada Mac dan April lalu.
Menurut beliau, pengundi di Selangor lebih memihak kepada BN manakala sokongan pengundi di Kedah terbahagi sama rata antara BN dan pembangkang.
''Secara keseluruhannya, sebanyak 69.6 peratus responden menyatakan BN akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan 37.5 peratus yakin BN akan memperoleh majoriti dua pertiga dan 32.1 peratus berpandangan BN mendapat majoriti mudah.
''Di peringkat Parlimen pula, 57 peratus responden menyatakan akan memilih BN dan 54.1 peratus responden memilih BN di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajiannya dalam sesi bertajuk 'Prestasi dan Potensi BN di Empat Negeri: Siapa Jadi Pilihan?' pada Perbincangan Meja Bulat bertema 'PRU13: Malaysia Pilih Siapa?' anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara di sini hari ini.
Selain Fuad, ahli-ahli panel sesi tersebut ialah bekas Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Aidid dan Pengarah Koridor Utara UUM, Prof. Madya Dr. Rohana Yusof manakala Ketua Pengarang Berita The Star, T. Selvakumar bertindak sebagai moderator.
Selain itu, tambah Fuad, kajian sama mendapati 76 peratus rakyat berpandangan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah lebih baik berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kata beliau, secara purata 87.4 peratus daripada rakyat yang dikategorikan dalam kumpulan umur layak mengundi menyokong Najib dan Perdana Menteri juga mendapat sokongan daripada 75 peratus kaum Melayu, 69.6 peratus kaum Cina, 71 peratus kaum India, 85.5 peratus kaum Iban dan 84 peratus kaum bumiputera di Sarawak.
''Keyakinan yang tinggi terhadap kepimpinan Najib yang menerajui BN adalah berpunca daripada pelbagai transformasi bersifat populis dan praktikal yang berupaya menarik sokongan semua golongan.
''Antaranya pendekatan yang digunakan ialah media sosial seperti Facebook dan Twitter, konsep 1Malaysia, transformasi politik, petunjuk prestasi utama (KPI), Model Baru Ekonomi (MBE), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Rumah Pertamaku dan program pembangunan luar bandar," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, kata Fuad, kajian sama menunjukkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencatatkan prestasi tercorot dalam kalangan tokoh kepimpinan negeri.
Sementara itu, Rohana ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Perbandingan Prestasi dan Potensi BN Vs Pas di Negeri Kedah' memberitahu, kira-kira 54 peratus rakyat Kedah menolak kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Pas.
''Ini dapat ditafsirkan menerusi pandangan mereka yang menyatakan kegagalan kerajaan Pas Kedah menunaikan janji-janji yang dibuat pada PIlihan Raya Umum Ke-12. Mereka juga berpandangan Pas kecundang dengan konsep negara berkebajikan yang dijajanya," ujarnya.
Jelas beliau, kajian tersebut turut mendapati UMNO dan BN mempunyai kelebihan untuk merampas Kedah dari tangan Pas dan sekiranya senario itu berlaku, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menjadi pilihan rakyat sebagai Menteri Besar.
/hwa: utusan.com.my | 26/7/12 

Pemimpin UMNO perlu buang segera sifat warlord

KUALA LUMPUR 25 Julai - Pemimpin-pemimpin UMNO yang mempunyai sifat warlord wajar segera membuang sikap buruk itu sekiranya mereka mahu melihat parti terus diterima rakyat.
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, semua pihak harus sedar bahawa usaha untuk menonjolkan calon boleh menang tidak akan kesampaian sekiranya perkara tersebut tidak diberikan perhatian.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah memberi mesej yang cukup jelas berhubung isu tersebut iaitu hanya orang UMNO sahaja yang sedia berjuang dan berkorban untuk parti terbesar orang Melayu itu.
"Demi masa depan UMNO, sifat warlord perlu dibuang dengan segera. Dengan cara apa? Iaitu dengan cara kembali menjadi orang UMNO.
"Hanya orang UMNO yang sedia berjuang dan berkorban untuk parti," katanya ketika menjadi panel membincangkan sesi bertajuk Dari Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 ke PRU Ke-13: Barisan Nasional (BN) vs (Pakatan Rakyat) PR, Satu Penilaian pada Perbincangan Meja Bulat PRU-13: Malaysia Pilih Siapa? di sini hari ini.
Selain beliau, turut serta sebagai ahli panel ialah Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong dan Editor Politik The Sun, Zainon Ahmad.
Penolong Ketua Pengarang I, Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan berperanan sebagai moderator.
Dalam perkembangan berkaitan, Sivamurugan berkata, dalam usaha UMNO serta BN menampilkan calon boleh menang, pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk memperkenalkan calon dalam kalangan ahli biasa.
"Jika ini berlaku, mereka yang tidak terpilih termasuk golongan pemimpin perlu memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon berkenaan," ujarnya.
Sementara itu, Zainon ketika ditanya mengenai pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap politik negara, beliau tidak menafikan fakta tersebut.
Bagaimanapun beliau berkata, sejauh mana kekuatan pengaruh yang dimiliki oleh Anwar ketika ini masih boleh dipersoalkan.
Kok Seong ketika membincangkan isu sama mengakui kecenderungan kaum Cina menyokong Anwar lebih bersifat undi harapan selepas mereka mula menjauhkan diri daripada UMNO dan MCA.
Hakikatnya beliau berkata, kaum Cina ketika ini lebih berpihak kepada pakatan pembangkang berbanding kerajaan sejak PRU-12 lalu.
/hwa: utusan.com.my | 26/7/12 

Pas perlu akui bukan parti dominan

KUALA LUMPUR 25 Julai - Pas perlu membuat pengakuan bahawa mereka bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang kerana terbukti parti itu telah tunduk kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam banyak keputusan dan isu.
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, kini sudah jelas DAP lebih mendominasi pakatan pembangkang dalam pelbagai perkara termasuklah melibatkan isu penjualan arak serta murtad di Selangor manakala Pas hanya diam membisu.
"Pas mengaku dia dominan tetapi tunduk apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh menentang habis-habisan hukum hudud sehingga parti itu sanggup melupakan perjuangan mereka untuk itu.
"Justeru, pengakuan Pas sebagai parti dominan dalam pakatan pembangkang samalah seperti orang yang mengaku sebagai pemilik tanah tetapi geran nama orang lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan berhubung perkara itu ketika berdebat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jaya yang mengupas topik bertajuk Pilihan Raya Umum Ke-13: Orang Muda Pilih Siapa? baru-baru ini.
Tambah beliau, jika benar dominan, Pas perlu menunjukkan bukti dengan berani terutama dalam membuat keputusan walaupun ditentang oleh DAP dan PKR.
Tegasnya, Pas di Selangor sahaja sudah memberikan gambaran jelas bahawa parti itu hanya sebagai pengikut setia yang bersedia menurut perintah.
"Jika benar Pas dominan dalam pakatan pembangkang, mengapa jawatan Exco Agama tidak diberikan kepada parti itu tetapi sebaliknya dijaga oleh PKR.
"Lagi satu, kalau dominan, mengapa hukum hudud tidak dimasukkan ke dalam Buku Jingga yang menjadi 'kitab' perjuangan mereka?" ujarnya.
Katanya lagi, rakyat perlu menilai persoalan-persoalan itu dan hanya mereka yang tidak berfikir secara waras sahaja percaya Pas parti dominan.
/hwa: utusan.com.my | 26/7/12 

25 Julai 2012

Maha Chakri Sirindhorn lawat IKIM

PENGERUSI Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Abdullah Ahmad Badawi (dua dari kiri), menunjukkan buku-buku yang terdapat dalam perpustakaan IKIM kepada Puteri Raja Thailand, Maha Chakri Sirindhorn (kiri), ketika menerima kunjungan puteri itu di IKIM di Kuala Lumpur, hari ini. Puteri itu bersama delegasinya meluangkan masa kira-kira dua jam melawat IKIM. - Foto BERNAMA
Jul 24, 2012 6:52 pm

PM serah zakat Felda RM30.6j

NAJIB Tun Razak memotong kek hari lahirnya yang ke-59 sambil disaksikan oleh isterinya, Rosmah Mansor, Muhyiddin Yassin (dua kanan), Dr. Mahathir Mohamad (kanan) dan Ashman Najib (kiri) sempena majlis berbuka puasa serta pembayaran zakat Kumpulan Felda di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi. - BERNAMA 
*****
PUTRAJAYA 23 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan pembayaran zakat Kumpulan Felda berjumlah RM30.6 juta kepada 14 pusat zakat negeri.
Jumlah itu adalah untuk pembayaran zakat tahun 2011 oleh Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) sebanyak RM10 juta (pembayaran zakat interim bagi keuntungan separuh tahun kewangan), Felda Holdings Bhd. (RM15.6 juta) dan Koperasi Permodalan Felda (RM5 juta).
Najib menyerahkan zakat itu kepada negeri-negeri yang diwakili Menteri Besar, Ketua Menteri dan Majlis Agama Islam Negeri masing-masing pada majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, di sini.
Bayaran zakat kali kelapan itu adalah hasil daripada keuntungan operasi perniagaan Kumpulan Felda bagi tahun kewangan 2011.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada majlis itu Perdana Menteri turut memotong pulut kuning dan kek ulang tahun hari lahirnya yang ke-59.
Najib turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dari Rumah Ilham (Yayasan Anak-Anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr. Ismail), Rumah Anak-Anak Yatim dan Saudara Baru Shifa' dan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR). — BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 24/7/12 

Memahami pengertian konsep Maqasid Al Syariah

KENYATAAN Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi dalam sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan Bicara Tokoh di Kuala Terengganu baru-baru ini, membuka minda kita untuk melihat dengan lebih luas akan aspek pembangunan negara ummah dalam konteks Islam yang lebih luas.
Apatah lagi, dalam kenyataannya itu, Dr. Sulaiman yang Profesor Jurusan Akidah, Mahzab dan Firaq, Universiti Ummul Qira, Mekah itu turut memberi amaran akan bahaya anasir yang memecah belah perpaduan ummah, serta ancaman rusuhan jalanan dalam usaha menjatuhkan pemimpin Islam.
Kehadiran Dr. Sulaiman melengkapkan lagi perbincangan yang menyentuh mengenai Maqasid Al Syariah yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Malam Jasamu Dikenang, Allahyarham Ustaz Nik Mohamed Mohyideen Wan Musa di Kolej Islam Sultan Ahmad Shah, Klang baru-baru ini.
Kata Perdana Menteri, perjuangan Kerajaan Persekutuan sekarang adalah berteraskan kepada tuntutan Islam berdasarkan konsep Maqasid Al Syariah.
Maqasid Al Syariah yang khusus menyentuh mengenai perbincangan keutamaan dalam bersyariah ini, memberikan petunjuk yang jelas berhubung kaedah berfikir dan bertindak umat Islam terutama dalam kes-kes berkaitan dengan kemaslahatan umat; yakni, yang menyentuh secara langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat dan faedah umat Islam.
Sehari sebelum itu, program Bicara TV Al Hijrah turut membincangkan isu Maqasid Al Syariah dalam konteks Islam dalam pembangunan negara serta keupayaannya untuk dicontohi oleh masyarakat antarabangsa.
Menurut Profesor Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), mencerakinkan apa yang dimaksudkan Maqasid Syariah, dengan bahasa mudahnya adalah mengambil kebaikan dan meninggalkan kemudaratan.
"Asas utama Islam adalah keadilan dan ihsan. Allah menyeru kita untuk berbuat keadilan dan bersikap ihsan. Antara ulama terawal yang membincangkan Maqasid Syariah, Imam Al-Ghazali dalam kitabnya 'Al-Mustashfa'," katanya.
Imam Ghazali, jelas Dr. Asyraf, membincangkan lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri; yakni, agama, diri, akal, keturunan dan harta.
Hujah ini diperkuatkan dengan kenyataan Dr Ahmad Al-Raisunni, yang menyeru kepada perspektif lebih besar, dengan merujuk kepada prinsip asas Islam yang menekankan kepada manifestasi keadilan dan kebajikan.
Walaupun Maqasid Al Syariah diangkat dari pemikiran Islam, apakah kandungannya relevan untuk sebuah negara bangsa pelbagai etnik seperti Malaysia?
Isu ini diperjelas Datuk Fuad Hassan , Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dengan menyentuh mengenai Perlembagaan Fasal 3 (1).
"Fasa ini ada menyebut bahawa Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan. Semasa memorandum dihantar untuk perbincangan kemerdekaan dahulu, apakah muslihat tidak meletakkan Malaysia sebagai negara Islam ketika itu?"
Menurut Fuad, hal ini berlaku kerana pada ketika itu, tuntutan-tuntutan untuk mencapai kemerdekaan terdiri daripada gabungan antara kumpulan yang bukan Islam, mewakili kaum Cina, India dan Melayu sendiri.
Jadi katanya, bagi memudahkan tuntutan mencapai kemerdekaan dengan cepat, maka pada masa itu, dasar yang menyatakan Malaysia negara Islam ditukar kepada Islam sebagai agama rasmi.
Dalam Maqasid Syariat, diutamakan mendahulukan sesuatu yang baik bagi memastikan hasilnya membawa kebaikan kepada umat manusia secara keseluruhannya. Konteks rundingan kemerdekaan itu sendiri bertolak kepada kebijaksanaan pemimpin pada waktu itu yang melihat kepada mendahulukan yang lebih penting.
"Dalam konteks pembangunan negara, kayu ukurnya ialah rakyat. Apa yang penting tentunya konsep keharmonian, kebahagiaan dan kesenangan rakyat yang dijadikan asas utama kerajaan dalam melaksanakan sesuatu matlamat," kata Fuad.
Meluaskan lagi perbincangan Bicara malam itu, Dr. Asyraf menyentuh mengenai pendekatan wasatiyah yang turut didokong oleh Perdana Menteri.
Prinsip wasatiyah, katanya, mengimbangi pandangan ekstremisme beragama dalam pelbagai isu, dan amat diperlukan dalam persekitaran negara membangun.
"Konsep wasatiyah menyeru kita untuk membangunkan rakyat dan negara dengan meletakkan aspek keharmonian dan keamanan sebagai keutamaan," katanya.
Wasatiyah dalam konteks semasa juga, katanya, memfokuskan pembangunan ummah dalam konteks ekonomi, bagi menjamin kualiti hidup yang aman dan selesa.
Kesederhanaan dalam berwasatiyah, menjadikan kita melihat jauh ke hadapan terutama dalam mengukuhkan ekonomi rakyat berbanding fikiran-fikiran dengan ideologi sosial dan politik yang ekstrem.
Mengenai Malaysia sebagai negara Islam contoh pula, Fuad menjelaskan, negara ini menjadi contoh bukan dalam aspek tertentu sahaja, tapi boleh dilihat secara keseluruhannya.
"Ada negara yang maju kerana hasil petroleum tetapi kadar literasinya rendah, malah ada negara yang maju kerana sistem autokrasinya, tetapi menenggelami masalah kadar pengangguran yang tinggi serta kekerasan dalam hak asasi, tetapi Malaysia, jauh mendahului hingga ke tahap pertumbuhan ekonomi," jelasnya.
Selain itu, katanya, sikap umat Islam yang amat sederhana serta bertoleransi tinggi, menjadi resipi utama kemakmuran hari ini. Sumbangan kaum-kaum lain juga turut diakui.
Merujuk kepada semangat wasatiyah kerajaan, Dr. Asyraf turut menambah, kepimpinan hari ini tidak pernah menghalang pembangunan dan penyuburan fahaman Islam di kalangan masyarakat, melalui sokongan dana kepada pelbagai pertubuhan Islam.
"Kerajaan mewujudkan J-QAF dan KAFA, tujuannya serampang dua mata, bagi memastikan pelajar sekolah rendah memahami asas seperti jawi, Al-Quran dan Fardhu Ain," hurainya.
Bicara dihoskan Pakar Motivasi, Amin Idris dan disiarkan secara langsung dari Studio TV Al Hijrah, Kompleks Pusat Islam setiap Isnin, pukul 10 malam.
/hwa: utusan.com.my | 24/7/12 

Nasrudin pertahan DAP kompromi terima hudud

KUALA LUMPUR 23 Julai - Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan hari ini tetap mempertahankan fakta berhubung kesediaan Karpal Singh berkompromi untuk melaksanakan hukum hudud walaupun ia disanggah oleh Pengerusi DAP itu.
Bukan itu sahaja, malah Nasrudin turut mempertahankan fakta yang menyatakan bahawa Pas merupakan parti dominan dalam pakatan pembangkang.
Sehubungan itu beliau mencabar mana-mana pihak menganjurkan satu lagi perdebatan sekiranya mereka mendakwa dua fakta yang dikemukakannya itu ketika berdebat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya pada Khamis lalu sebagai satu pembohongan.
''Kedua-dua fakta ini saya kemukakan dalam debat. Sepatutnya kalau ia satu pembohongan maka ia perlu dipatahkan dalam debat tersebut. Jika mereka tidak berpuas hati aturkan satu lagi siri debat terbuka dan jemput kami.
''Kita selesaikan perkara ini dalam gelanggang. Bukan bising di luar gelanggang. Banyak tugas yang terpaksa saya fokus untuk membangunkan umat ini berbanding melayan kerenah UMNO yang sukar menerima realiti,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebenaran dua fakta tersebut ekoran kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Seputeh, Mohd. Razlan Mohd. Rafii yang mendakwa Nasrudin telah berbohong.
Mohd. Razlan berkata, tindakan Nasrudin memutarbelitkan fakta berhubung kompromi Karpal terhadap hukum hudud adalah serius dan menuntut penjelasan sewajarnya.
Beliau berkata, Pas bukan parti dominan, sebaliknya DAP lebih dominan berbanding parti itu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara itu Karpal dalam kenyataannya di sebuah akhbar berbahasa Inggeris kelmarin membidas Nasrudin dengan menegaskan yang beliau tidak pernah berkompromi dalam soal melaksanakan hukum hudud.
Karpal berkata, ia juga merupakan pendirian DAP secara keseluruhan dan pelaksanaan hukum hudud tidak pernah dirunding dalam sebarang bentuk perbincangan.
Dua fakta berkenaan telah dikemukakan oleh Nasrudin ketika beliau dan Fathul Bari berdebat dalam satu program perdebatan anjuran akhbar tempatan yang bertajuk; ''Pilihan Raya Umum Ke-13: Orang Muda Pilih Siapa?".
Mengulas lanjut Nasrudin berkata, mereka yang hanya tahu bising di luar gelanggang merupakan yang kalah dan lemah.
''Tidak perlu menggelegak di luar gelanggang. Meraung di luar gelanggang adalah sifat orang kalah dan lemah,'' katanya.
Menjawab satu soalan, Nasrudin berkata, beliau dan Dewan Pemuda Pas sedia berhadapan dengan mana-mana pihak sekiranya penganjuran satu lagi siri debat benar-benar diadakan.
''Dewan Pemuda Pas sedia dengan siapa jua dan kita akan tengok serta bersedia menghantar regu yang sesuai,'' katanya lagi.
/hwa: utusan.com.my | 24/7/12 

Burukkan usaha kerajaan tindakan terdesak pihak pembangkang



KUALA LUMPUR 23 Julai - Tindakan pakatan pembangkang yang sering memburuk-burukkan usaha kerajaan membantu rakyat jelas menunjukkan sifat terdesak mereka demi meraih sokongan politik.
Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berkata, dalam keadaan rakyat semakin bijak menilai dan menjiwai perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) melalui gagasan 1Malaysia, pembangkang terpaksa berbuat sesuatu termasuk menghalang usaha-usaha baik kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat.
Hakikatnya beliau berkata, Perdana Menteri serta kerajaan BN melalui gagasan 1Malaysia sentiasa mendahulukan kesejahteraan, kepentingan dan kemakmuran rakyat.
"Justeru saya berpandangan apabila mahu meningkatkan taraf hidup rakyat, tidak perlu kita layan isu-isu remeh-temeh yang cuba dibangkitkan oleh pihak pembangkang. Saya juga amat yakin rakyat kini lebih bijak memahami, mendalami dan menjiwai perjuangan BN dan Perdana Menteri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri berkata, walaupun pembangkang tidak menyokong kerajaan tetapi mereka tidak boleh menghalang usaha baik yang dilakukan demi kepentingan rakyat.
Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn ketika memberikan reaksinya pula berkata, sifat pembangkang di Malaysia sememangnya begitu kerana matlamat perjuangan mereka hanyalah politik semata-mata.
"Inilah strategi pihak pembangkang. Meskipun satu-satu projek itu baik untuk rakyat, mereka akan sedaya upaya memutar belitkan isu agar projek itu dilihat buruk.
"Terdapat dua contoh projek yang telah diputar belit oleh pembangkang. Pertama, pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Corporation dan kedua, penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV) di Bursa Malaysia," katanya.
Beliau berkata, walaupun berusaha memutar belit fakta isu Lynas dan FGV, jelas yang kedua-dua projek berkenaan itu banyak memberikan manfaat kepada rakyat.
"Inilah 'hebatnya' pembangkang. Mereka memang bijak untuk putar belit isu berbanding BN. Kita di sebelah sini tidak ada kemahiran tersebut. Mungkin disebabkan mereka terlalu lama menjadi pembangkang," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 24/7/12 

24 Julai 2012

Pelan Hala Tuju 2.0

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat pameran Pelan Hala Tuju 2.0 di Bahagian Permakanan Kementerian Kesihatan, di Kuala Lumpur, hari ini. Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Senator Datuk Seri Idris Jala (tiga dari kiri) dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (kiri). - Foto Mohd Yusni Ariffin
Jul 24, 2012 6:51 pm

Isu-isu Bekalan Air Selangor

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Peter Chin Fah Kui pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Bekalan Air Selangor di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Jul 23, 2012 2:31 pm