7 Ogos 2012

Seperti seseorang meludah ke langit

DALAM sesebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi, hak bercakap, hak bertindak, hak membuat sesuatu pendirian dan hak berhimpun sememangnya dijunjung dengan peruntukan perundangan negara yang melindungi hak-hak tersebut.
Namun demikian hak-hak itu bukan semata-mata dilindungi dan terikat kepada sesuatu undang-undang negara, sebaliknya terikat juga dengan tamadun yang melindungi sesuatu negara bangsa serta undang-undang itu sendiri.
Ahli masyarakat sesebuah negara bertamadun (ada yang suka menyebutnya sebagai masyarakat sivil dan ada pula yang menyebutnya masyarakat madani) banyak menguruskan diri mereka sendiri dan mengurangkan pergantungan kepada peraturan yang dikuatkuasakan oleh alat-alat negara.
Jika berlaku pertindihan kepentingan antara individu atau antara kumpulan dalam masyarakat mereka memilih untuk menyelesaikan sesama sendiri secara bertamadun. Apakah cara bertamadun itu?
Di sinilah letaknya adab atau etika hidup dalam sesebuah negara bertamadun. Setiap ahli bebas melakukan apa saja untuk menunaikan kepentingan mereka namun beberapa prinsip mereka pegang sebagai prinsip hidup peribadi dan prinsip hidup bermasyarakat.
Sambil setiap individu bebas mempunyai prinsip hidup tersendiri, ada pula prinsip yang dipersetujui bersama secara sejagat bagi menentukan kepentingan individu dan kepentingan orang ramai terpelihara.
Antara prinsip adab universal yang utama ialah prinsip tidak menyakiti atau mendatangkan kesakitan kepada orang lain. Individu bebas melakukan apa sahaja tetapi dia hendaklah dibataskan oleh adab tidak mendatangkan kesakitan.
Jika dia mendapati tindakannya bakal menyakiti orang lain maka dia hendaklah membatalkan hasratnya. Prinsip selanjutnya ialah prinsip tindakan membawa kebaikan.
Apabila individu hendak meluaskan ruang kepentingannya sehingga bertindih dengan ruang-ruang kepentingan orang lain, dia hendaklah memastikan pertindihan ruang itu (contohnya berkomunikasi dengan/atau memberi sesuatu kepada orang lain) bakal membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak, bukan sepihak sahaja.
Prinsip terpenting yang lain ialah prinsip keadilan. Ahli masyarakat bertamadun sangat menghormati keadilan. Keadilan bukan bererti sama rasa dan sama rata, sebaliknya ialah memberi layanan dan hak yang berbeza kepada individu yang berbeza bersesuaian dengan kedudukan dan kepentingan individu itu. Disebutkan bahawa keadilan ialah to treat equal equally and unequal unequally.
Namun, ahli-ahli adab berkata apabila berlaku konflik antara prinsip adab, maka orang beradab akan meletakkan prinsip tidak menyakiti orang lain pada kedudukan paling hadapan.
Kesakitan
Maksudnya, jika seseorang itu hendak membuat kebaikan atau menegakkan keadilan tetapi pada yang sama dia akan menyebabkan kesakitan kepada orang lain maka dia akan membatalkan hasratnya membuat kebaikan dan menegakkan keadilan yang bakal mendatangkan kesakitan itu.
Prinsip mendahulukan kepentingan tidak menyakiti orang lain ini menjadi penyemak sangat kuat kepada idea-idea menarik yang dijana oleh individu sesebuah masyarakat bertamadun yang boleh membawa mudarat dan bakal menghancurkan sesuatu tamadun itu sendiri.
Antara contoh kemasyarakatan yang pernah berlaku di rantau ini dan negara Malaysia sendiri ialah keinginan penganut fahaman komunis yang ingin menegakkan keadilan untuk rakyat miskin dan mengemukakan cara yang pada mereka baik melalui penyebaran ideologi tetapi kedua-dua idealisme itu dilaksanakan melalui cara yang menyakiti orang lain seperti melakukan kekerasan, pembunuhan dan sebagainya.
Sebarang tindakan menyakiti tentulah akan dibalas dengan tindakan menyakiti oleh pihak yang disakiti juga. Keadaan itu akan menyebabkan keseluruhan masyarakat itu mengalami kesakitan.
Dalam dunia intelektual pula, pernah terdengar bagaimana segolongan ahli ilmu atau ulama agama menggunakan kuasa pengaruh menyakiti segolongan lagi yang tidak sealiran dengan mereka sehingga buku-buku dan kitab dibakar oleh pihak berkuasa demi menegakkan apa yang baik kepada mereka dan atas nama menjaga keharmonian masyarakat beragama yang bunyinya sangat mulia.
Dalam konteks semasa dan dengan menggunakan panduan prinsip yang telah dihuraikan ini, jika ada seseorang atau sekumpulan pemimpin politik atau masyarakat yang menyerukan pembinaan masyarakat madani, orang awam boleh dengan segera mengesan sama ada pemimpin itu hidup sepenuhnya dengan prinsip masyarakat madani yang telah disebutkan di atas.
Masyarakat madani tidak boleh ditegakkan dengan cara yang menyakiti dan menimbulkan kesusahan kepada orang awam. Apa yang berlaku di Mesir, di Libya, di Iraq dan sekarang di Syria yang dipanggil Arab Spring belum tentu boleh dijadikan model yang baik menuju pembinaan masyarakat sivil.
Lihatlah bagaimana cara Nabi Muhammad SAW membawa prinsip manusia madani sebaik Nabi SAW dan para sahabat menawan Mekah. Tiada orang yang disakiti dan semua dendam dilupuskan.
Atas tanda-tanda ini masyarakat awam Malaysia sewajarnya dapat membuat keputusan segera bahawa seseorang itu bukanlah seorang pendukung kepercayaan pembinaan masyarakat madani yang tulen jika caranya menyakiti awam, sebaliknya dia menjadikan seruan itu hanya sebagai suatu slogan menjayakan sesuatu ideal atau ijtihad peribadi yang dia sahaja tahu maksudnya.
Faedahnya nanti akan hanya untuk dirinya sendiri, bukan untuk ahli masyarakat yang di ajaknya bersama. Di dalam facebook dan blog-blog tentu ramai yang terhibur dengan buah fikiran yang pelbagai dan luar biasa.
Namun kebebasan yang disediakan oleh karya teknologi itu tidak semestinya bergerak ke hadapan seiring dengan karya-karya alat tersebut. Isi kandungan bahan yang sangat menyakiti individu dan kumpulan masyarakat disebarkan melalui medium teknologi paling baru.
Ini menjadikan masyarakat hidup dalam dunia teknologi paling ke hadapan dan berterusan diperbaharui tetapi ada ahli masyarakatnya berpatah balik ke belakang dan hidup dalam masyarakat barbarik.
Bahan, perkataan dan istilah-istilah yang menyakiti dicipta, seolah-olah sama seperti manusia kuno zaman batu menyakiti haiwan makanan yang disembelih dengan ketulan batu berbanding pisau ciptaan termoden yang tajam untuk mengurangi kesakitan.
Merungut
Dalam hal di atas ada yang merungut dan menulis soal kenapa ada penulis yang menghina pemimpin yang berlatarbelakangkan ilmu agama yang tinggi sambil mereka juga tidak pula merekodkan jumlah keceluparan pemimpin itu untuk tempoh yang panjang tanpa reaksi dengan darjah keceluparan yang sama daripada lawannya.
Patutlah, bijaksana Melayu silam mencipta istilah seperti ‘meludah ke langit’ dan ‘menepuk air di dulang’. Patutlah juga, Tuhan melarang seseorang Islam mencerca tuhan orang bukan Islam kerana perbuatan mencerca tuhan orang lain itu akan menyebabkan Tuhan orang Islam mendapat cercaan sebagai balasannya.
Sambil saya membuat telaah mengenai masyarakat bertamadun dan masyarakat sivil ini saya mengikuti perkembangan persaingan antara Mitt Romney dan Barack Obama yang sedang rancak di Amerika Syarikat pada ketika ini.
Minggu lepas Romney membuat lawatan kerja bagi meluaskan hubungan diplomatiknya ke Eropah. Romney ialah pemimpin pembangkang calon Presiden Amerika Syarikat melawan Obama, Presiden yang sedang memegang jawatan yang bakal bertanding mempertahankan jawatan.
Semasa berada di Britain Romney disoal oleh pelbagai media mengenai banyak perkara termasuk pentadbiran Obama. Jawapan Romney amat menarik. Katanya dia tidak akan sekali-kali mengkritik dasar Obama semasa dia berkunjung ke luar negara. Katanya, “While I am on foreign soil, I’m very careful not to be critical of my own government‘s policies," (terjemahan: semasa saya berada di bumi bukan tanah tumpah darah saya, saya amat berhati-hati terhadap dasar-dasar kerajaan saya).
Cuba perhatikan betapa semasa berada di luar negara, Romney memberitahu orang yang tidak sebangsa dan senegara dengannya bahawa kerajaan Obama itu ialah kerajaan dia juga dengan merujuk ‘my own government‘s policy’.
Maksudnya dia menerima negaranya secara holistik - tanahnya, warganegaranya/bangsanya dan kerajaannya dalam satu pakej di bawah panji-panji ‘negara Amerika Syarikat’. Inilah contoh adab pemimpin bertamadun (baca dalam konteks ini sahaja).
Sambil melakukan telahan itu saya menyingkap juga beberapa kenyataan pemimpin Malaysia semasa berada di luar negara. Antaranya, Ketua Pembangkang Malaysia yang dipetik oleh Today‘s Zaman pada 1 Ogos semasa berucap di Turki menyatakan ‘Turkey is a democracy. Malaysia is not’. Kemudian di sambungnya lagi dengan menjenakakan negaranya sendiri: “I often joke that in Malaysia we have freedom of speech, but not after speech,".
Semasa membakar semangat warganegara Indonesia untuk benci kepada kerajaan Malaysia pula bertempat di Jentera School of Law, Jakarta secara implied beliau mengatakan kerajaan Malaysia melayan orang Indonesia di Malaysia seperti binatang, katanya ‘Do not send them home as if they were animals’.
Demikianlah perbezaan tanggapan terhadap adab di antara calon penentang Presiden Obama dengan calon penentang Najib di Malaysia. Warganegara Amerika Syarikat bakal memilih pemimpin mereka dan warganegara Malaysia juga bakal melakukan yang sama di Malaysia.
Kedua-dua pemimpin yang menentang penjawat semasa di dua negara ini menjunjung kebebasan bercakap tapi cara menggunakan kebebasan itu berbeza nampaknya.
/hwa: utusan.com.my | 5/8/12 

Hudud: Karpal tidak berganjak

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Perang terbuka antara Pas dan DAP berhubung isu hudud semakin parah apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh (gambar) menegaskan parti itu akan menentang habis-habisan sebarang cubaan melaksanakan hukum tersebut jika pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.
Malah di sebalik dakwaan pemimpin Pas kononnya DAP kini menerima baik hukum hudud, Karpal dengan lantang menegaskan DAP kekal dengan pendirian tidak akan sesekali mendokong hasrat Pas yang baru mengubah dasar perjuangan kepada negara berkebajikan untuk mewujudkan negara Islam.
Serentak dengan itu, beliau berkata, DAP tidak akan sesekali menawarkan diri berunding dengan Pas mengenai pelaksanaan hukum hudud tersebut.
“Pas harus sedar hudud tidak dimasukkan dalam Buku Jingga, iaitu perjanjian dasar bersama pakatan pembangkang. Saya juga boleh memberi jaminan ia tidak akan dimasukkan dalam manifesto pilihan raya pakatan pembangkang kerana DAP tidak akan membenarkan ia berlaku selaras dengan dasar parti kami.
“DAP tidak akan berganjak daripada pendirian ini sejak penubuhan parti iaitu tidak bersetuju dengan penubuhan negara Islam dan hukum hudud kerana ia tidak sesuai dengan negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia," katanya sebagaimana disiarkan dalam laporan Buletin Utama TV3, di sini malam ini.
Kontroversi pelaksanaan hukum hudud timbul semula berikutan dakwaan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan kononnya DAP kini memahami dan menerima pendirian parti itu mengenai negara Islam tetapi ia segera disanggah Karpal yang menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur mengenai pelaksanaan hukum tersebut.
/hwa: utusan.com.my | 5/8/12 

5 Ogos 2012

Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan Mohd Khairi Othman, 36, yang kudung tangan dan kaki ketika menyampaikan sumbangan zakat kepada anak yatim, fakir miskin, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas Parlimen Pekan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
Aug 4, 2012 3:33 pm

Hukum pemimpin pecah-belahkan perpaduan

BARISAN Nasional (BN) merupakan sebuah parti yang sudah matang dan tidak pernah gentar walaupun ia kehilangan Kedah , Pulau Pinang mahupun Selangor kepada pihak pembangkang.
Tahun 2008 memang tahun yang penuh kedukaan kepada BN, namun setelah Perdana Menteri Malaysia ke lima, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan pentadbiran negara ini kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kedukaan itu semakin terubat malahan BN semakin kukuh di hati rakyat terutama anak muda yang bakal mengundi pertama kali pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Sesungguhnya sokongan orang muda bakal menjadi penentu kemenangan BN dan bakal menyaksikan jatuhnya parti politik berasaskan individu, ekstremis agama dan kaum. Orang muda harus menolak parti sebegini yang bukan sahaja merosakkan keamanan negara malahan meruntuhkan institusi sosial dan ekonomi.
'Faktor Najib' dan nombor 11 yang menjadi nombor kegemaran beliau, bakal menyaksikan perubahan yang amat besar pasca PRU-13 nanti. Lupakan dahulu isu lompat-melompat dan isu AP oleh pihak pembangkang yang merupakan sudut kecil dalam pentadbiran negara yang mega di mata dunia antarabangsa. Malaysia lebih holistik daripada itu.
Masa depan Malaysia bukan di tangan Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun di tangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi di tangan pemimpin BN yang berjuang untuk semua bangsa, agama dan setiap individu sebagai Abang Long dalam parti komponen tertua di negara ini.
Mana-mana parti dan NGO yang melihat UMNO sebagai sudah lemah perlu melihat ke depan bukannya masih terbuai dengan senario 2008 yang merupakan masa lalu. Yang takkan berulang dan perlu dikenang lagi.
Jangan sesiapa secara biadap mengatakan UMNO sebagai tulang belakang orang melayu dan Islam di negara ini bukan lagi dianggap abang besar dan telah kehilangan banyak sokongan dari rakyat. Pokoknya BN selama ini berjuang bukan untuk generasi masa kini semata-mata tetapi generasi 100 tahun akan datang.
Parti UMNO menjadi Kerajaan bukan setakat merekrut pemimpin untuk menjadi pak turut dan 'Yes Man' kini zaman sudah berubah setiap suara adalah undi dan setiap undi adalah berharga.
Namun apabila generasi tua lebih berminat memporak-peranda politik sempit mereka kerana tamakkan kuasa dan marahkan nyamuk kelambu dibakar, maka orang muda harus menilai, inikah pemimpin yang mereka ingin angkat sebagai ketua mereka ke arah syurga mahupun masa depan yang gilang-gemilang.
Momentum kebangkitan orang muda yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai pewaris negara ini tidak boleh dipandang sepi. Cuma ada masanya golongan ini diperalatkan semahunya dengan janji dan ganjaran yang menyebabkan mereka melihat setiap apa yang kerajaan lakukan adalah propaganda politik.
Apa yang pelik apabila pinjaman pelajaran diberi ada antara mereka berkata itu memang kewajiban kerajaan, namun tidak pula pula golongan muda yang taksub kepada pembangkang ini mengucapkan rasa syukur kepada pemberian tersebut.
Malangnya sudah diberi pinjaman ada pula pembangkang yang sedap bercakap seakan berada di pentas debat untuk memberi pendidikan tinggi percuma kepada anak muda. Jika kita sibuk menyokong pemimpin yang sedap bercakap alamat negara ini akan jadi seperti Greece dan Sepanyol. Pandai main bola tetapi belum tentu pandai mengawal ekonomi.
Orang muda di negara ini sudah matang menilai sama ada dasar 1Malaysia bertujuan memecah-belah perpaduan atau menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat negara ini. Mereka perlu juga menilai bantuan duit kerajaan adalah gula-gula politik. Jika kerajaan hendak memberi gula-gula politik sudah pasti semua orang mendapat duit tersebut tetapi ia hanya diberi pada yang susah sahaja.
Justeru orang muda perlu memilih BN sebagai parti yang mampu menyambung legasi perjuangan bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan kestabilan negara dari kekacauan. Jika kita termakan janji pembangkang memang semua boleh diberi namun apabila diberi peluang memerintah di negeri Selangor sudah kelam-kabut dengan isu demi isu.
Masa depan negara di tangan pemimpin BN hari ini, terjamin dengan organisasi pentadbiran yang mantap, maka tugas orang muda adalah mengundi BN demi kesinambungan status quo sebagai rakyat yang bakal mewarisi kemajuan yang ada.
/hwa: utusan.com.my | 4/8/12 

Penduduk dikelirukan dengan projek istimewa?

KHOO Boo Soon menunjukkan dokumen kerajaan negeri Pulau Pinang semasa mengadakan sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang, semalam. 
*****
PULAU PINANG 3 Ogos - Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa mengelirukan rakyat apabila mengklasifikasi projek pembangunan di lereng bukit sebagai 'projek istimewa'.
Bekas Pemangku Pengarah Jabatan Perancangan Bandar, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Khoo Boo Soon berkata, definisi yang diberikan kerajaan negeri itu menyebabkan penduduk tidak memahami apa yang berlaku di kawasan tempat tinggal mereka.
Jelasnya, sesebuah pembangunan boleh diklasifikasi sebagai projek istimewa apabila ia melibatkan pembinaan infrastruktur awam seperti jalan raya dan pengangkutan atau membabitkan isu keselamatan negara.
Beliau berkata, meskipun status tanah ditukar kepada kediaman melalui Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 (RSNPP 2020) atau ia sememangnya zon kediaman dalam Pelan Dasar Perancangan dan Kawalan Pembangunan MPPP 1996, ia tidak boleh mendapat kelulusan pembangunan secara automatik.
"Ia masih perlu diperiksa dengan ketat oleh jabatan teknikal berkaitan sebelum kelulusan diberi dalam bentuk permit perancangan oleh MPPP.
"Sehubungan itu, projek istimewa tidak sepatutnya digunakan sebagai laluan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan kelulusan kepada projek pembangunan di lereng bukit walaupun ia melebihi ketinggian 76 meter dan kecerunan melebihi 25 darjah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Boo Soon pernah berkhidmat sebagai Perancang Bandar pada 1993 dan memegang tugas Pemangku Pengarah Jabatan Perancangan Bandar MPPP dari Januari hingga Mac 2010.
Bagaimanapun beliau bersara awal disebabkan masalah kesihatan.
Dalam pada itu, Boo Soon menegaskan, MPPP berhak menolak sebarang permohonan projek istimewa sekiranya mendapati ia tidak menepati syarat ditetapkan dalam RSNPP 2020.
Menurutnya, selain itu, MPPP diberikan kuasa di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 untuk mengambil tindakan sedemikian demi kebaikan penduduk Pulau Pinang.
"Kerajaan BN sebelum ini pernah menolak kelulusan sebuah projek yang dikendalikan pemaju di Jalan Sultan Ahmad Shah pada 2003 selepas mendapat bantahan orang ramai," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan negeri berkemungkinan disaman pemaju jika membatalkan projek pembangunan di lereng bukit, Boo Soon berkata, berdasarkan Kanun Tanah Negara dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 197, PBT tidak mudah disaman oleh pemaju.
Sehubungan itu, Boo Soo menggesa MPPP tidak menyembunyikan fakta sebenar tentang keadaan lereng bukit di negeri itu daripada orang ramai dan harus membatalkan semua projek istimewa yang dibantah penduduk.
/hwa: utusan.com.my | 4/8/12 

Pentadbiran berpaksi al-Quran

NAJIB Tun Razak bersama isteri, Rosmah Mansor menyampaikan duit raya kepada golongan miskin sempena majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid At-Taqwa, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. Turut sama Mohamad Hasan (tengah) dan isteri, Raja Salbiah Tengku Nujumudin (dua, kiri). - UTUSAN/ABD RAZAK AID 
*****
SEREMBAN 2 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan bahawa falsafah dan prinsip beliau mengurus tadbir negara ini adalah berpaksikan kepada al-Quran dan sunah.
Kata Perdana Menteri, falsafah yang dipraktikkan tersebut adalah lebih baik daripada teori Barat kerana ia berpaksikan kepada prinsip dan semangat berteraskan kepada agama.
''Kita mesti memperjuangkan berdasarkan agama dan syariah. Kita mesti jaga negara, akal, ilmu, keturunan, harta, keamanan dan kelima-lima tuntutan agama, yang mana menjadi landasan yang diperjuangkan oleh kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid At-Taqwa, Paroi dekat sini.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin serta beberapa menteri dan pemimpin negeri.
Kata Perdana Menteri lagi, rakyat jangan tertipu dengan pihak yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi sering gagal mengotakan janji.
''Perjuangan kita jelas kerana kita ada agenda dan pengisian. Bila kita lakukan sesuatu, kita fikir jauh ke hadapan dan bukan bersikap populis, janji itu dan ini, tetapi belum tentu janji itu boleh dibuat," ujar beliau.
Najib turut memberitahu, dalam agenda kewangan, pelaburan dan ekonomi sahaja jelas menunjukkan bahawa negara ini berada dalam prestasi yang amat baik berbanding negara lain.
''Ada negara di mana kadar pengangguran dalam kalangan orang mudanya sehingga 45 peratus. Di Sepanyol, mungkin mereka boleh menang dalam Kejohanan Bola Sepak Euro, meskipun kita kalah dalam bola sepak, tetapi kita boleh dikatakan jaguh dalam bidang pentadbiran ekonomi negara.
''Sebab itulah, bila kita menegakkan prinsip keadilan sosial, kita akan dapat melihat ekonomi negara kita melalui pertumbuhan yang baik dan rakyat pula mendapat pembelaan yang sebaik mungkin daripadanya," kata beliau.
Beliau menjelaskan, kejayaan yang dicapai negara ketika ini bukan diuji setahun dua, tetapi terbukti sejak mencapai kemerdekaan lagi.
''Setiap Perdana Menteri yang memimpin negara ini ada budi dan jasanya, saya hanya menyambung sahaja dan akan membawa negara ini ke mercu kejayaan berdasarkan kepada sokongan padu daripada rakyat," tegasnya.
Mengenai bajet yang akan dibentangkan pula, Najib berkata, akan ada lebih banyak faedah untuk dinikmati rakyat.
Pada majlis tersebut, Najib turut menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada fakir miskin, orang kurang upaya serta ibu tunggal dengan jumlah peruntukan sebanyak RM85,000.
Beliau juga meluangkan masa mendengar tazkirah Ramadan yang disampaikan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al Maliki selepas solat maghrib dan solat sunat tarawih.
/hwa: utusan.com.my | 3/8/12 

Guan Eng diminta jelaskan kemampuan bekas staf beliau tinggal di rumah mewah

SUNGAI PETANI 3 Ogos - Parti KITA hari ini meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjelaskan berhubung kemampuan seorang bekas kakitangan pejabat beliau memiliki sebuah rumah mewah di Jalan Chemor, Georgetown, Pulau Pinang.
Bendahari KITA negeri Kedah, H"ng Sau Ping ketika mendedahkan pemilikan rumah teres dua setengah tingkat bernilai RM1.8 juta oleh bekas kakitangan itu berkata ia tidak sepadan dengan pendapatannya sebagai staf pejabat Ketua Menteri.
"Saya ingin bertanya kepada Lim dan memberi beliau masa seminggu mulai hari ini agar dia atau isterinya memberi penjelasan atau saya akan meminta izin beliau untuk mendedahkannya.
"Kadar sewa di kawasan itu mencecah RM3,500 sebulan dan pasti dengan gaji yang diterima, pemiliknya tidak mampu tinggal di rumah ini kecuali dia ada hubungan istimewa dengan seseorang," kata H"ng kepada pemberita di pejabat KITA Sungai Petani di sini.
"Saya dapat maklumat ini dari sumber kuat bahawa lokasi rumah tersebut tidak jauh dengan kediaman Ketua Menteri Pulau Pinang dan bekas kakitangan itu juga masih bertugas dengan kerajaan negeri.
"Sebagai seorang rakyat, saya berhak mengetahui perkara sebenar dan menuntut Lim telus dalam perkara ini kerana beliau sering mencanangkan bahawa DAP mengamalkan sistem telus," katanya. - BERNAMA 
/hwa: utusan.com.my | 3/8/12 

Tuntutan Dong Zong Cina keterlaluan

PERSATUAN Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) sentiasa menuntut hak yang keterlaluan dan sukar dilakukan oleh kerajaan terutama menjelang pilihan raya umum.
Dong Zong terlalu kuat kerana media massa khususnya berbahasa Cina memainkan isu dan sentimen pendidikan kaum Cina untuk meraih populis dalam kempen pilihan raya malah menolak kebaikan dilakukan kerajaan. Mereka sedia maklum bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dulu berlaku adil kepada semua kaum untuk menikmati taraf pendidikan.
Meskipun pelbagai sekolah vernakular wujud dengan kurikulum, falsafah negara dan pedagogi, sistem, struktur organisasi dan kewangan diberi status urus tadbir sendiri tetapi desakan sama rata dari aspek sistem persekolahan, bahasa pengantar, sukatan pelajaran, kokurikulum, kemudahan prasarana, tenaga pengajar dan jenis sekolah menjadi idea dan hakikat mendesak pemerintah.
Bangsa ambilan ini menyedari hanya pendidikan dapat meraih empayar ekonomi dan pembangunan menyeluruh di negara ini. Pada ketika perpaduan Melayu di hujung tanduk angkara politik tidak matang, mereka pula mendapat manfaat hasil perpecahan dan persengketaan orang Melayu sendiri.
Sistem persekolahan hanya ada satu di kebanyakan negara di dunia malah tidak wujud Sekolah Jenis Kebangsaan Melayu atau penamaan taboo Melayu seperti Bukit Melayu, Restoran Melayu, Jalan Melayu, Bank Melayu, premis dan bangunan Melayu dan segala macam nama sinonim dengan kaum sendiri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran telah menjalankan pelbagai usaha dan memberi maklumat untuk menyakinkan masyarakat Tionghua bahawa kerajaan tetap membantu dan tidak pernah mengabaikan sekolah vernakular malah sekolah jenis Cina paling banyak mendapat limpahan manfaat kerajaan.
Gendang tuntutan dan asakan makin rancak selepas Dong Zong berjaya mendapat kelulusan pembinaan sekolah menengah Cina swasta, sekolah Menengah Chong Hwa di Kuantan, Pahang dan terbaru mendesak kerajaan meluluskan sekolah menengah Cina swasta cawangan Segamat.
Tambahan mereka menuntut Bahasa Mandarin menjadi pengantar dan bahasa nasional dalam masyarakat majmuk. Sedangkan masih ramai dalam kalangan masyarakatnya tidak mahir bertutur dan tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam majlis bersifat formal apalagi program anjuran pihak swasta dan perniagaan langsung tidak memperlihatkan jati diri warganegara ini.
Kaum-kaum lain juga ada hak membela kepentingan dan kebajikan masing-masing, biarpun masyarakat Melayu dilihat mengalah tetapi nilai tolak ansur dan kekitaan menjadi kepercayaan penganut agama Islam yang melarang umatnya berlaku zalim selagi orang bukan Islam masih taat pada pemerintah yang adil.
Kaum ambilan perlu rasional dan waras dalam menuntut hak dengan kembali membaca sejarah dan perlembagaan negara serta kontrak sosial bahawa kerajaan ada tanggungjawab terhadap kepentingan kaum lain baik di Sarawak dan Sabah mahupun Orang asli dan masyarakat pedalaman yang masih jauh ketinggalan dalam pendidikan.
Oleh itu, kerajaan tidak perlu gentar dengan tuntutan kaum ambilan ini kerana pengundi bijak menilai parti yang menepati janji dan menjaga keharmonian hidup masyarakat majmuk.
/hwa: utusan.com.my | 3/8/12 

Skandal "Talamgate" Selangor

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Tindakan Kerajaan negeri Selangor mengambil alih hutang Talam Corporation Berhad (Talam) bernilai RM392 juta melibatkan perjanjian meragukan mencecah sehingga RM1 bilion layak digelar sebagai 'Talamgate'.
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, gelaran itu tepat berikutan kegagalan Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi penjelasan mengenainya kepada rakyat.
"Sehingga kini, Abdul Khalid enggan mengulas perkara ini sebaliknya menyerahkan kepada pemimpin DAP.
"Jadi, kami menggesa Abdul Khalid menjawab isu ini sebagaimana janji-janjinya dalam kertas putih berhubung hutang Talam," katanya di sini hari ini.
Jelasnya, kontroversi Talamgate sudah berlarutan selama sebulan dan sudah tiba masanya pihak berkuasa menyiasat kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam isu tersebut.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) juga perlu mengambil tindakan segera kerana kebanyakan syarikat di Selangor bukan milik penuh kerajaan negeri.
Tambah beliau, syarikat-syarikat itu mempunyai pemegang saham minoriti yang perlu dilindungi kepentingan mereka selain layak mengetahui perkara sebenar berhubung isu tersebut.
/hwa: utusan.com.my | 3/8/12 

Semarakkan bulan merdeka

OGOS merupakan bulan yang penting dalam kalendar negara. Sambutan Hari Kemerdekaan disambut dalam bulan ini dan berkesinambungan ke September di mana kita memperingati Hari Malaysia pada 16 September.
Ia adalah detik apabila sekali lagi rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan keturunan memikirkan sejenak betapa pentingnya ‘Merdeka’ dan pengertiannya kepada semua rakyat Malaysia.
Kedatangan 31 Ogos tahun ini menandakan kita akan menyambut kelahiran negara untuk kali ke-55. Dalam meraikan perayaan bulan merdeka, rakyat Malaysia dapat menyemarakkan semula semangat patriotik mereka yang amat penting dalam pembinaan perpaduan untuk sebuah negara yang berbilang kaum seperti negara kita.
Menyemai kebanggaan pada bendera Jalur Gemilang penting dalam pembinaan negara. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan Jalur Gemilang kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara. Menganjurkan kempen ‘Cintakan Bendera Kita’ di sekolah-sekolah, di kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya.
Bagi generasi muda, Hari Kebangsaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang zaman penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang dicapai selama ini. Bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan sebelum ini menunjukkan walaupun kebanyakan anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.
Bagi mereka hari kemerdekaan hanya merupakan cuti am di mana mereka berpeluang bersantai. Oleh itu, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih menghargai erti sebenar hari kemerdekaan.
Tatkala rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa tidak lama lagi akan menyambut satu lagi ulang tahun kemerdekaan kita, izinkan saya menekankan sekali lagi tentang asas yang membawa kita bersama iaitu prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Rukun Negara digubal pada 1970 dan menetapkan untuk mencapai satu bentuk konsensus minimum dengan mengambil kira aspirasi nasional di kalangan pelbagai masyarakat di Malaysia tanpa mengira kedudukan geografi atau latar belakang etnik mereka.
Rukun Negara adalah panduan kita untuk pembinaan negara dan perlu dihormati oleh semua. Ia adalah satu wawasan bersama untuk perpaduan nasional. Prinsip-prinsip itu perlu sentiasa dipertahankan dan diamalkan supaya kita tidak mengambil mudah kestabilan, keamanan dan keharmonian yang kita kecapi setakat ini.
Ramai yang mengambil mudah isu perpaduan. Ia bukanlah satu perkembangan yang sihat dalam sebuah negara berbilang bangsa, pelbagai agama dan pelbagai budaya seperti Malaysia, usaha berterusan mesti dibuat oleh semua rakyat untuk mengukuhkan perpaduan.
TAN SRI LEE LAM THYE, Ahli Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia.

Pas tulang belakang atau 'makan tulang'

WALAUPUN pembahagian kerusi antara anggota-anggota pakatan pembangkang masih belum diputuskan secara rasmi namun Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengesahkan kelmarin bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding lebih banyak kerusi berbanding DAP dan Pas.
Kenyataan yang dibuat oleh Mustafa pada sidang akhbar di ibu pejabat Pas itu mengesahkan pandangan beberapa pihak sebelum ini yang menegaskan bahawa Pas tidak akan bertanding lebih banyak kerusi berbanding PKR.
Lebih daripada itu ia juga sekali gus menafikan hasrat Pas untuk menjadi dominan dalam pakatan pembangkang memandangkan kerusi yang bakal mereka tandingi jauh lebih rendah berbanding PKR.
Namun apa yang melucukan dalam kenyataannya, Mustafa berkata, Pas tetap akan menjadi tulang belakang kepada PR (Pakatan Rakyat). Persoalannya, bagaimanakah Pas hendak menjadi tulang belakang kepada pakatan pembangkang kalau kerusi yang ditandingi pun kurang daripada PKR.
Dan apakah Pas begitu yakin jumlah kerusi yang akan dimenangi oleh mereka dalam pilihan raya umum nanti lebih banyak daripada PKR.
Penulis bersetuju kalau kenyataan tulang belakang ini merujuk kepada pengundi dan penyokong Pas kerana tanpa sokongan mereka, PKR tidak akan ke mana. Malahan pengundi dan penyokong Pas lah yang berduyun-duyun menghadiri ceramah PKR, tanpa mereka sudah pasti ceramah berkenaan tidak seramai mana.
Selain itu ahli dan penyokong Pas juga mempunyai gerakan jentera pilihan raya yang jauh lebih hebat berbanding PKR.
Tetapi malangnya, Pas tidak mempertimbangkan kelebihan yang ada kepada mereka, sebaliknya lebih rela PKR menjadi dominan biar pun parti tersebut bergelumang dengan pelbagai masalah.
Tahniahlah kepada penyokong Pas kerana dalam pilihan raya umum nanti mereka akan bertungkus lumus bukannya untuk memastikan Pas menjadi tonggak pemerintahan jika pembangkang memerintah sebaliknya akan menjulang pemimpin parti lain sebagai ketua.
Pada sidang akhbar itu, Mustafa turut memberitahu, Pas juga dijangka mendapat tujuh kerusi Parlimen baru di Sarawak. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa Pas akan bertanding di kawasan yang rakan dalam pakatan tidak berani berbuat demikian.
Memanglah PKR dan DAP lebih bijak daripada Pas kerana mereka tidak mahu membazirkan tenaga dan masa dengan bertanding di kawasan yang boleh disifatkan masa hari penamaan calon pun sudah kalah.
Namun Pas mungkin hendak menunjukkan keberanian tidak bertempat apabila rela berbuat demikian.
Bagaimanapun pengumuman Mustafa mengenai penguasaan kerusi PKR dalam pilihan raya nanti sudah jelas membuktikan bahawa segala isu mengenai hukum hudud dan negara Islam yang kini begitu rancak diperkatakan oleh pemimpin Pas dan DAP hanyalah sandiwara politik Pas.
Kalau Pas tidak dominan dalam pakatan pembangkang, kalau Pas tidak memenangi kerusi lebih banyak daripada PKR dan DAP, apakah mungkin mereka mampu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam itu?
Pendirian DAP dalam perkara berkenaan sudah jelas manakala pendirian PKR pula semua orang boleh menjangkakan pihak mana yang akan disokong oleh parti tersebut.
Bukankah Angkatan Muda Keadilan (AMK) sudah menyanggah Pas dalam isu hukum hudud ini? Itu belum lagi mengambil kira bagaimana pemimpin PKR mahu semu anggota pakatan pembangkang berpegang kepada Buku Jingga yang di dalamnya langsung tidak menyebut soal hukum hudud dan negara Islam.
Apatah lagi sudah ada cakap-cakap bahawa PKR akan membuka laluan kepada DAP untuk bertanding di kerusi miliknya yang mempunyai majoriti pengundi Cina.
Semua ini menunjukkan bahawa Pas hakikatnya hanya alat dalam pakatan pembangkang untuk meraih undi rakyat dan jenteranya akan 'diperkudakan' untuk memastikan kemenangan calon PKR dan DAP.
Jika Pas tidak boleh menjadi tulang belakang maka tidak payahlah parti itu bercakap soal memperjuangkan Islam lagi kerana semua itu hanyalah retorik. Begitulah juga penceramah-penceramah bebas yang menyokong Pas janganlah begitu mendabik dada dalam ceramah-ceramah mereka mengatakan Pas parti Islam manakala UMNO adalah parti sekular dan sesat.
Kenyataan ini dibuat oleh seorang penceramah popular ketika mengulas penyertaan ulama muda dalam UMNO dan beliau menyifatkan ulama-ulama berkenaan bergelumang dengan najis apabila sertai UMNO.
Apa yang kita mahu tanya kepada penceramah berkenaan sejauh manakah beliau yakin bahawa Pas adalah parti Islam? Pas akan bertanding kerusi kurang daripada PKR dan DAP, dengan keadaan itu bolehkah ia memperjuangkan Islam?
Kalau beliau menganggap UMNO parti sekular, bagaimana pula dengan Pas yang berkawan dengan parti sekular? Perjuangan Pas sekarang adalah negara berkebajikan dan bukannya negara Islam, inilah faktanya.
Pas akan bertanding kerusi kurang daripada PKR dan akan menang kerusi lebih rendah daripada DAP, oleh itu tidak perlulah Pas hendak memperjuangkan apa-apa agenda parti itu. Sebaliknya mereka perlu menjadi 'pak turut' yang setia dengan mematuhi apa sahaja kehendak dan perancangan politik PKR dan DAP.
Tidak payah lagi berbangga dengan sejarah perjuangan Islam yang dipelopori oleh ulama-ulama ketika Pas ditubuhkan pada tahun 1951 kerana semua itu sudah ditinggalkan dan hanya sekadar catatan sejarah.
Ia memandangkan matlamat Pas sekarang hanyalah mahu merebut kuasa politik bersama PKR dan DAP. Daripada sebuah parti yang cukup digeruni suatu ketika dulu, Pas kini dilihat hanyalah sebuah parti yang tidak mempunyai apa-apa kekuatan.
Sebab itulah Pas bersedia membenarkan PKR terus dominan dalam pakatan pembangkang dan tidak berani menyanggah tindak tanduk DAP.
Kini berdasarkan kenyataan Mustafa penyokong-penyokong Pas mempunyai dua pilihan dalam pilihan raya umum nanti, pertama, mereka menyokong pakatan pembangkang atau memberi isyarat kepada kepimpinan Pas untuk 'kembali ke pangkal jalan'.
Ia kerana kalau mereka terus mahu menyokong pakatan tersebut yang akan untung bukan Pas tetapi PKR yang pemimpin-pemimpinnya sudah banyak menyusahkan pakatan dengan pelbagai isu dan DAP yang terang-terang menentang hukum hudud dan perjuangan negara Islam Pas.
Dalam keadaan ini penyokong Pas akan menjadi seperti lebai malang, menang sorak kampung tergadai.
Tetapi kalau mereka membuat pilihan kedua iaitu menghantar isyarat kepada kepimpinan Pas dengan tidak menyokong pakatan pembangkang, ia akan berupaya mengembalikan Pas sebagai sebuah parti Islam sebenar dengan ulama kembali menjadi tonggak penentu perjalanan politik Pas.
Apa pun sama-samalah kita tunggu pengumuman rasmi jumlah kerusi yang ditandingi oleh PKR,DAP dan Pas, namun isyarat awal sudah diterima Pas tidak akan jadi tulang belakang sebaliknya mungkin berada di posisi 'orang lain makan isi, dia makan tulang'.
/hwa: utusan.com.my | 2/8/12 

Tindakan pemecatan adalah peringatan kepada ahli BN

MELAKA 1 Ogos - Tindakan tegas memecat Datuk Seri Lajim Ukin wajar diambil sebagai peringatan kepada ahli Barisan Nasional (BN) terutama UMNO agar bersikap jujur dan setia terhadap parti.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pemecatan beliau sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkuatkuasa serta merta adalah satu keperluan.
''Saya ucap syabas kepada pucuk pimpinan yang mengambil tindakan tegas terhadap Lajim kerana kita perlu ahli parti yang setia lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
''Pada masa ini kita memerlukan hanya ahli yang jujur terhadap parti jika tidak jujur mereka harus dikenakan tindakan tegas," katanya.
Beliau kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penyewaan bas antara Panorama Melaka dan RapidKL di bilik mesyuarat Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Hang Tuah di sini hari ini.
Mohd. Ali diminta mengulas pengumuman pejabat Perdana Menteri bahawa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah berkenan membatalkan pelantikan Lajim sebagai timbalan menteri tersebut.
Menurutnya, keputusan Lajim meletak jawatan politik dalam UMNO dan BN Sabtu lalu, tidak sama sekali menjejaskan BN dan khususnya kedudukan UMNO di Sabah.
''Lebih baik beliau (Lajim) keluar BN lebih awal berbanding jika dia letak jawatan semasa hari pilihan raya umum hendak diadakan," ujarnya.
Ujarnya, pengunduran bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu sama sekali tidak menjejaskan peluang BN untuk mengekalkan penguasaan pada pilihan raya nanti.
/hwa: utusan.com.my | 2/8/12 

Air: Cukup-cukuplah Khalid!

CUBA kita renung-renungkan dan nilaikanlah dengan bijaksana. Apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengulas sahaja isu air di negeri itu, beliau mengelak untuk bercakap pasal loji air bersih. Atau air terawat.
Dan Abdul Khalid akan bercakap pula tentang air empangan. Ditunjuknya air empangan - banyak sekali. Melimpah ruah, katanya. Ya, 'memang betul'.
Apa yang diungkapkan Abdul Khalid adalah berkenaan air empangan - air sungai yang belum dirawat. Empangan dianggap simpanan stok air. Katakanlah Abdul Khalid bercakap soal padi.
Namun rakyat di Selangor termasuk Putrajaya dan Wilayah Persekutuan bukannya hendakkan padi, tapi beras. Dia bercakap pasal menanam padi di sawah, betullah. Kalau padi banyak sekalipun, tidak diproses menjadi beras, tidak guna juga.
Padi memang hak kerajaan negeri, tetapi ia perlu diproses, mesti ada kilang padi. Siapa bertanggungjawab ke atas kilang padi itu? Kerajaan negerilah.
Itu analogi yang dilontarkan oleh Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar kepada saya di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Putrajaya petang kelmarin.
Air adalah jelas di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan dua tugas bagi kerajaan negeri. Iaitu yang pertama menyediakan bekalan air bersih dan kedua, mengedarkan bekalan air bersih itu.
Sebab itu di bawah Seksyen 188 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 Akta 655 menyebut, kerajaan negeri Selangor sebagai pemilik aset air negeri itu diberikan kuasa oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk bertanggungjawab memastikan kesediaan bekalan air di negeri tersebut, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Maksudnya, tugas kerajaan negeri adalah menyediakan loji air bersih atau air terawat. Tugas Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di bawah Sekyen 191 ialah sebagai operator atau pengendali air untuk membekalkan dan mengagihkan air terawat.
Syabas bukannya berperanan untuk memastikan bekalan air terawat. Sebaliknya, kerajaan negeri di bawah Seksyen 188 kena menyediakan air terawat. Seksyen 191 tugas Syabas. Itu isunya kini.
"Sekarang, apa yang Menteri Besar Selangor tidak cakap adalah tanggungjawabnya untuk menyediakan air dalam loji. Itu sebab kita cabar menteri besar supaya mengeluarkan kenyataan apa sebenarnya air terawat dalam loji ini?
"Kita ada 34 loji, adakah air yang ada dalam 34 loji ini cukup untuk membekalkan kepada keseluruhan penduduk Selangor?
"(Analogi) 'Kilang padi' ini sekarang kita ada 34 tidak cukup. Orang hendak makan beras tapi kilang padi ini ada 4.5 juta kampit sedangkan rakyat mahu gunakan 4.3 juta kampit. Esok kalau pendatang asing datang, keperluan beras mungkin 4.8 juta kampit. Tidak cukuplah nanti.
"Itu sebabnya terdapat 129 kilang yang dilulus Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) tetapi tidak boleh 'take off' sebab Syabas tidak berani hendak bagi air kerana khuatir tidak cukup. Ini sekali gus menyebabkan 12,000 peluang pekerjaan hilang. Sekiranya mereka boleh beroperasi menjelang 2014 hingga 2015, kita boleh jana sejumlah 12,000 pekerjaan dan nilai pelaburan RM38 bilion.
"Pada masa sama sebanyak 70 peratus projek perumahan baru tidak boleh 'take off'. Surat memang ada, tapi tidak boleh beri Deliverance Order (DO) kerana air tiada. Syabas tidak boleh memberi komitmen salur air, jadi tidak boleh mulalah projek," katanya.
Pada masa ini, ekoran senario air yang tidak cukup, Kerajaan Pusat membina satu loji baru di Sungai Labu. Ia dilakukan Kerajaan Pusat dengan tidak membeli tanah kerajaan negeri namun membeli tanah Sime Darby serta membangunkan loji berkenaan dengan kos RM200 juta.
Loji dah siap tetapi kerana masih baru, ia hanya boleh menampung di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kerajaan Pusat buat loji , keluar modal dan bila sampai loji ini siap, diberikan kepada kerajaan negeri untuk uruskan, yang tidak keluar modal langsung.
"Sungai Labu ini diambil daripada sumber sedia ada untuk mengatasi masalah kekurangan air. Sekarang ia telah beroperasi. Ia dapat menampung di kawasan KLIA sahaja. Kalau Sungai Labu kita tidak buat, harapkan kerajaan negeri buat, akibatnya kawasan KLIA akan ada masalah air.
"Ini menunjukkan Kerajaan Pusat serius dalam menangani masalah air. Sebab itu, loji Langat 2 ini penting, isunya kini kerajaan negeri tidak bersetuju bina loji Langat 2, kenapa tidak setuju? Kalau loji ini tidak buat, masalah air ini tidak akan selesai," kata Noh lagi.
Langat 2 tidak boleh dibina selagi kerajaan negeri tidak keluarkan Perintah Pembangunan (Development Order) kepada kerajaan Pusat.
Kata beliau: "Itu sebabnya Menteri Besar cakap putar-putar, mula-mula mengatakan segala kelulusan mesti pergi kepadanya. Semalam saya baca suratk habar pula, dia kata dia tidak akan setuju.
"Tetapi Kerajaan Pusat buat keputusan yang kita akan tenderkan sebab ia (pakatan pembangkang) antaranya menuduh Langat 2 yang bernilai RM3.9 bilion untuk kroni UMNO, tapi kini kita cakap tender terbuka.
"Kerajaan negeri dijemput, tapi dia tidak mahu masuk (tender), itu hak mereka. Kemudian dia kata dia tidak setuju buat Langat 2 kerana takut harga air naik. Kelmarin dia kata pula, dia setuju Langat 2 dengan penstrukturan dikira sendiri. Dia sendiri tidak tahu pendiriannya sendiri," kata beliau.
Tetapi, kata Noh, isu yang Menteri Besar Selangor cakap adalah isu berasingan. Ia tidak boleh dikaitkan dengan Langat 2. Namun, bolehkah Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan jika mereka memerintah, harga air tidak naik? Mesti ada naik namun yang pentingnya kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat kena dengar kritikan rakyat. Apa juga tindakan jangan sampai menyusahkan rakyat.
Kerajaan Pusat waktu ini 10 kali fikir pasal rakyat. Langat 2 jadi kecoh tapi bina juga loji baru di Sungai Labu dan dapatlah menampung keperluan bekalan air penduduk di KLIA.
Kemudian, Abdul Khalid membangkitkan pula isu penstrukturan. Cuma, kalau penstrukturan dilakukan, air tiada, apa gunanya?
Untuk menjaga kepentingan rakyat, air diberi percuma disebabkan air ada. Tapi kalau esok air kering bagaimana? Mana datangnya nak jaga kebajikan rakyat? Ini semua politik.
Dan bila air tiada, dia (kerajaan negeri Selangor) hantar lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan tertentu ketika ini. Daripada mana dia dapat air? Bukankan tugas mereka memberi air? Kenapa sekarang baru pula prihatin?
/hwa: utuasan.com.my | 2/8/12 

'Masjid bukan pentas politik'

BEBERAPA wakil NGO menyerahkan memorandum kepada Mohd. Shahzihan Ahmad (tengah) di pekarangan pejabat JAIS, Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Siti Rohaizah Zainal 
*****
SHAH ALAM 1 Ogos - Seramai 50 orang berhimpun secara aman di pekarangan bangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini bagi mendesak pihak berkuasa agama itu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba membawa pengaruh politik ke dalam masjid-masjid di negeri ini.
Mereka terdiri daripada wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Jalur Tiga (Jati), Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor, Waris Malaya, Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) serta Gerakan Masyarakat Prihatin Selangor (GMPS).
Mereka yang mula berkumpul kira-kira pukul 10.30 pagi dan bersurai kira-kira sejam kemudian hadir dengan membawa pelbagai sepanduk yang antaranya tertulis perkataan 'Exco agama gagal', 'Bersihkan masjid daripada pengaruh politik' serta 'Tuanku Sultan payung rakyat'.
Memorandum yang ditandatangani oleh setiap wakil NGO berkenaan turut diserahkan dan ia diterima oleh Pemangku Timbalan Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad.
Presiden GAPS, Hamidzun Khairuddin berkata, masjid tidak seharusnya dijadikan pentas politik kerana ia sebenarnya berperanan untuk menyatukan umat Islam di negara ini.
"Dengan pengaruh politik seperti ini, ia dibimbangi akan memecah-belahkan komuniti di dalam kariah surau berkenaan. Untuk itu, sebagai agensi yang diberi kuasa untuk melaksanakan syiar Islam, JAIS perlu lebih serius membuat pemantauan bagi melaksanakan syiar Islam supaya masjid-masjid di negeri ini bebas daripada unsur politik," katanya kepada pemberita di sini.
Hadir sama Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahaya; Setiausaha Agung Jati, Norman Toha; Pesuruhjaya Tibai Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Indera Putra Ahmad dan bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri.
Hamidzun berkata, desakan mereka itu sejajar dengan ingatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang beberapa kali bertitah agar masjid dan surau di negeri ini tidak dijadikan sebagai tempat berpolitik.
Beliau berkata, semasa bertitah pada majlis berbuka puasa yang diadakan di Masjid Negeri pada 23 Julai lalu, baginda sekali lagi mengingatkan rakyat mengenai kepentingan perkara tersebut.
"Justeru, kami menggesa supaya JAIS mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba membawa pengaruh politik ke dalam masjid.
"Kami sendiri ada menerima beberapa aduan daripada sesetengah pihak tentang wujudnya usaha membawa pengaruh politik ke masjid termasuk menjemput ahli politik yang tidak bertauliah untuk menyampaikan tazkirah di masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 2/8/12 

Pemuda Pas akui DAP tak terima pelaksanaan hudud

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Dewan Pemuda Pas Pusat mengakui DAP tidak menerima pelaksanaan hukum hudud selepas beberapa kali perbincangan dibuat dan atas pendirian itu Pas tidak akan memaksa parti berkenaan menerima undang-undang Islam tersebut.
Bagaimanapun Ketuanya, Nasrudin Hasan menegaskan bahawa DAP tidak boleh menghalang Pas mendaulatkan syariat Islam di negara ini kerana ia merupakan asas perjuangan parti itu sepanjang zaman.
"Saya akui hudud bukan agenda pakatan pembangkang tetapi ia adalah sebahagian daripada Islam yang tetap diperjuangkan oleh Pas sepanjang zaman, insya-Allah.
"Selebihnya menjadi dakwah berterusan Pas untuk memahamkan masyarakat terhadap hukum syariat Islam. Saya doakan semoga (Pengerusi DAP) Karpal Singh diberikan hidayah oleh Allah SWT, sebagaimana doa saya buat yang lain juga," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sosial Facebook hari ini.
Karpal sebelum ini berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar ke-57 parti itu Jun tahun lepas secara umum menyatakan bahawa tidak ada disebut negara Islam dalam al-Quran tetapi negara kebajikan manakala hukum hudud tidak termasuk dalam kerangka Buku Jingga.
Dalam perkembangan berkaitan, Nasrudin mengakui ketika diadakan debat Sinar Harian baru-baru ini, beliau telah memetik kenyataan Karpal, "langkah mayat saya dulu" untuk menubuhkan negara Islam.
"Saya telah quote kenyataan Karpal ketika diadakan Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada tahun 2010 yang lalu bahawa petikan "langkah mayat saya dulu" untuk menubuhkan negara Islam sebagai ucapan yang disebut 20 tahun yang lalu telah dipetik di luar konteks.
"Malah Karpal sendiri menyebut perkara ini boleh dibincangkan," katanya.
Dalam pada itu Nasrudin berkata, hukum hudud adalah undang-undang jenayah syariah yang telah diwahyukan oleh Allah SWT dan sesiapa tidak boleh menafikan. Ia merupakan satu kewajipan yang mesti dilunaskan oleh sebuah pemerintahan Islam.
"Hudud adalah sebahagian daripada Islam yang diperjuangkan oleh Pas sejak awal penubuhannya. Ertinya perjuangan Pas bukan berpaksikan hudud semata-mata.
"Sebaliknya paksi perjuangan Pas ialah Islam dan hudud itu sebahagian daripadanya. Ditegaskan di sini bahawa Pas konsisten memperjuangkan Islam," ujarnya.
Pemerintahan Islam itu pula katanya adalah terbentuk daripada mandat Dewan Rakyat khasnya rakyat yang beragama Islam. Tanpa mandat tersebut pemerintahan Islam tidak akan dapat dibina dengan baik.
"(Oleh itu) jika Pas menang bersendirian melalui mandat majoriti rakyat yang diterjemah melalui peti undi, maka parti ini pastinya akan melaksanakan syariat Islam dalam semua aspek termasuk undang-undang jenayah syariah sebagai alternatif kepada kegagalan sistem dan undang-undang ciptaan manusia menangani gejala mungkar dan jenayah.
"Namun secara realitinya, iklim politik dan latar belakang masyarakat yang majmuk dalam negara kita sangat sukar untuk Pas menang dan membentuk sebuah pemerintahan secara bersendirian. Ini satu realiti yang diakui walaupun ia bukanlah suatu yang mustahil," katanya.
Atas asas itu juga Nasrudin berkata, UMNO perlu menyerahkan semua kerusinya kepada Pas atau paling tidak bersama menyertai parti itu.
"Dengan itu, jumlah kerusi Pas atau muslim akan melonjak maksimum kepada 130 kerusi Parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan Islam yang bersedia mendaulatkan syariat yang adil, saksama dan telus.
"Penegasan ini saya buat kerana untuk Pas menyertai UMNO bagi melaksanakan syariat Allah sukar menjadi kenyataan. Ini kerana Pas pernah dikhianati oleh UMNO sewaktu parti itu menyertai Kerajaan Campuran bersama UMNO," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 2/8/12 

2 Ogos 2012

Generasi dan Inovasi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan dan melancarkan penciptaan Genovasi di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, hari ini. Genovasi adalah gabungan antara Generasi dan Inovasi yang akan dipimpin oleh Unit Inovasi Khas (UNIK). - Foto BERNAMA
Aug 1, 2012 8:05 pm

ECER tarik pelaburan RM32.7b sehingga akhir Jun

Najib Tun Razak ketika mempengerusikan mesyuarat Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John (depan, kanan). - BERNAMA 
*****
KUALA LUMPUR 31 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menarik pelaburan lebih RM32.7 bilion sejak 2007 sehingga akhir Jun tahun ini, di mana RM12 bilion telah dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama 2012.
Perdana Menteri berkata, antara Januari dan Jun tahun ini, kelompok pelancongan ECER telah menarik jumlah pelaburan tertinggi iaitu kira-kira 55 peratus, diikuti oleh kelompok pembuatan (31 peratus), kelompok pertanian (8.0 peratus), kelompok pendidikan (5.0 peratus) dan sektor perkhidmatan (hampir 1.0 peratus).
"Kesemua projek ini dijangka dilaksanakan pada tahun ini," katanya di dalam dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat majlis kedua Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) tahun ini di sini hari ini.
"Daripada jumlah pelaburan RM32.7 bilion yang telah berjaya ditarik masuk ke ECER sejak 2007, kira-kira RM21.9 bilion telah pun diterima dan mewujudkan hampir 30,000 peluang pekerjaan di samping menyumbang RM7 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK)," Najib.
Beliau juga Pengerusi ECERDC.
Katanya lonjakan dalam pelaburan tersebut disokong oleh peningkatan infrastruktur yang dilaksanakan secara progresif di ECER serta usaha-usaha promosi pelaburan yang giat dijalankan oleh ECERDC dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata ECER kini berada pada kedudukan yang kukuh dan berupaya menarik kedatangan para pelabur yang berkualiti dari pelbagai jenis industri, termasuklah para pengiat industri bertaraf dunia dari sektor bioteknologi.
"Ini adalah bukti jelas bahawa usaha Kerajaan untuk menjadikan ECER sebuah wilayah maju menjelang tahun 2020 sudah mula membuahkan hasil.
"ECER kini sedang mengorak langkah ke arah merapatkan jurang pembangunan yang wujud antara wilayah pantai timur dan pantai barat dan ia telah berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah destinasi pelaburan yang unggul, dinamik dan kompetitif di peringkat global," kata Perdana Menteri.
Menurutnya, kesemua perkembangan itu sememangnya memberi kesan positif kepada ECER, terutamanya bagi penduduk Wilayah ini yang kini menikmati lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan yang dijana oleh kesemua pelaburan tersebut.
Antara pelaburan yang telah dicatatkan antara bulan Januari dan Jun tahun ini adalah pengumuman oleh Gevo Inc. dari Amerika Syarikat untuk membina sebuah loji bioisobutanol pertama di dunia yang menggunakan bahan mentah biojisim bernilai RM1.65 bilion di Taman BioPolimer Kertih (KBP), Terengganu.
Gevo akan mengikut jejak langkah CJ Arkema, sebuah syarikat usahasama antara CJ CheilJedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis, yang akan melabur RM2 bilion untuk membangunkan sebuah loji bio-metionina yang pertama di dunia di KBP.
Kini, ECERDC telah menyiapkan kerja-kerja infrastruktur di tapak kemudahan bio-metionina CJ Arkema di KBP dan pembinaan loji tersebut dijangka bermula pada suku ketiga 2012.
Pengumuman Gevo itu merupakan salah satu hasil susulan daripada pemeteraian dokumen kerjasama strategik antara Kerajaan Terengganu, ECERDC dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) untuk membangunkan kawasan seluas 1,000 hektar di KBP untuk pembinaan kompleks biopenapisan yang terbesar di Asia.
Kompleks biopenapisan yang terletak di KBP itu merupakan satu mercu tanda utama kerana ia merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang menggunakan bahan mentah selulosa untuk menghasilkan produk terbitan bio seperti karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja dan ramuan suapan aktif.
Kompleks biopenapisan ini dijangka menarik pelaburan RM7 bilion dan keseluruhan projek itu dijangka menjana PNK terkumpul RM20.4 bilion menjelang 2020 di samping membuka 2,500 peluang pekerjaan "hijau" di Malaysia.
Sebagai tambahan, Najib berkata Kelantan telah menerima satu rangsangan pembangunan utama dengan cadangan pelaksanaan projek Pelabuhan Bersepadu Tok Bali.
Projek itu akan dibangunkan oleh East Coast Terminal Sdn Bhd dengan pelaburan keseluruhan RM4.5 bilion, yang akan mentransformasi Tok Bali untuk menjadi hub logistik bagi industri sektor berasaskan ikan, pelancongan dan minyak dan gas, katanya. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 1/8/12 

Seperti retak hanya menunggu belah

ISU negara Islam dan hudud bagi Pas adalah isu hidup mati parti itu. Isu penentangan negara Islam dan hudud daripada DAP adalah isu hidup mati DAP. Kedua-dua isu itu adalah perkara dasar yang tidak boleh dikompromi.
Walaupun Buku Jingga tidak memperuntukkan Negara Islam dan hudud tetapi ia adalah strategi melunakkan hubungan dalam Pakatan walaupun Pas dan DAP tahu bahawa pada hakikatnya baik DAP dan Pas mempunyai dasar perjuangan yang tersendiri.
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam respons terbaru mengenai tempelak Karpal Singh tetap menyatakan bahawa sekiranya Pas menang, Negara Islam dan hudud akan tetap dilaksanakan. Bermakna isu negara berkebajikan tidak berbangkit dan ia tidak selari dengan semangat Buku Jingga.
Berbangkit dengan tempelak Karpal terhadap Nasruddin Hassan, Nasruddin sedang hilang sasaran untuk berdebat. Dengan gopoh dia mencabar sesiapa saja untuk berdebat. Hebat sangat bunyinya.
Isu yang berbangkit adalah tempelak Karpal terhadap kenyataan Nasruddin mengenai isu Negara Islam dan hudud. Logiknya cabaran berdebat itu harus ditujukan kepada Karpal. Mengapa orang lain dijadikan sasaran.
Sinar Harian boleh menjadi penganjur. Penyokong Pas dan DAP boleh hadir menyaksikan debat itu. Maka barulah diketahui hal sebenar kedudukan isu.
Nasruddin menyebut - "Tidak perlu menggelegak di luar gelanggang. Meraung di luar gelanggang merupakan yang kalah dan lemah". Garang bunyinya kenyataan ini.
Apakah bila Karpal menempelak tanda Karpal menggelegak di luar gelanggang. Gentar menghadapi Nasruddin. Saya tidak fikir begitu. Bawalah Karpal ke gelanggang debat, baru tahu siapa yang bakal kalah dan akan jadi lemah.
Ketua Pemuda tidak harus latah dengan tempelak. Semua orang tahu DAP sejak dulu sehingga kini tidak boleh menerima konsep Negara Islam dan hudud. Kalau tidak masakan Karpal Singh pernah menyatakan "Langkah mayat aku dulu" untuk melaksanakan Negara Islam dan hudud.
Pas menyebut ia masih dominan dalam Pakatan. Dominan maknanya menguasai. Dalam isu Negara Islam mengapakah Pas tunduk dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar yang terdahulu menyatakan konsep Negara Islam tidak ada dalam al-Quran. Kenyataan yang pelik lagi ajaib.
Pengkaji ideologi politik tidak pernah meletakkan konsep Negara Islam Pas dan konsep sosialis demokratik ala Malaysian Malaysia adalah serupa. Konsep dan semangatnya ibarat bumi dengan langit. Yang satu ada roh dan yang satu lagi amat sekular dan humanis.
Pas janganlah jadi seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Kalau Pas benar-benar dominan bertandinglah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sendiri-sendiri tanpa mengharap dukungan DAP yang anti negara Islam dan hudud untuk sampai ke Putrajaya. Ini barulah gentleman. Tapi Abdul Hadi pernah menyebut suatu ketika dulu Pas tidak akan boleh memerintah Malaysia melainkan dengan dukungan bersama orang bukan Islam. Tetapi bukankah orang bukan Islam dalam DAP yang anti Negara Islam dan hudud.
Bayangkan kalau ada keberanian Nasruddin berdebat dengan Karpal (penulis tidak fikir dia berani) orang yang paling cemas ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mengenali Karpal dan sikap gopoh Nasruddin, apa sahaja boleh berlaku.
Anwar tidak mahu menjelang PRU13, isu negara Islam dan Hudud berbangkit semula. Buku Jingga sepatutnya sudah mutlak menjadi pedoman semua warga Pakatan. Tetapi Nik Aziz dan Abdul Hadi tidak boleh berdiam diri. Kalau tidak penyokong Pas akan menjadi keliru dan celaru ke mana arah tuju perjuangan Pas sebenarnya.
Anwar akan jumpa Nik Aziz lagi supaya jangan lantang mengenai Negara Islam dan hudud atau menasihatkan Nasruddin janganlah berdebat dengan Karpal. Selama bila Nik Aziz dan Nasruddin boleh akur dengan bisikan Anwar.
Kalau Nik Aziz terus bertegas kerana itulah sumber pengaruh Pas dan Nasruddin mahu juga berdebat kerana mahu memperlihatkan rasa dominan yang tinggi, itulah tanda retak menunggu belah dalam Pakatan Rakyat.
Perjuangan Pas sepatutnya adalah perjuangan kebenaran. Lantaran terpaut dengan lambaian Putrajaya soal prinsip diketepikan.
Rasullullah SAW dalam memperjuangkan yang haq menolak tawaran kuasa dan pangkat. Inilah asas keberkatan yang diwarisi sehingga kini.
/hwa: utusan.com.my | 1/8/12 

Hasan setia bersama Pas jika dipimpin ulama, bersih parasit

KUALA LUMPUR 31 Julai - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali menegaskan, beliau akan terus setia bersama parti itu jika ia masih dipimpin oleh ulama dan bersih daripada golongan parasit yang merosakkan parti.
Beliau juga akan memberi sokongan jika Pas masih menjunjung perjuangan asalnya iaitu menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud tanpa perlu bersifat 'akur' dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ujarnya, kesetiaan terhadap parti tersebut pudar selepas pilihan raya umum lalu apabila berlaku perubahan mendadak terutama setelah Pas mula bersekongkol dengan DAP dan PKR.
"Sekiranya Pas masih dipimpin oleh kepimpinan ulama yang bersih daripada golongan parasit yang merosakkan parti, nescaya saya akan memberikan taat setia yang tidak berbelah-bahagi malah rela mati mempertahankannya," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hasan menjawab kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Mohd. Hatta Ramli dalam satu temuramah dengan portal berita Antarapos.com berhubung sebab pemecatannya daripada parti itu sebelum ini yang antara lain menyatakan bahawa Hasan dipecat kerana tidak lagi menyokong dasar parti.
Katanya, perubahan mendadak tersebut berlaku dengan pengaruh 'parasit' yang mempunyai bilangan majoriti dalam kepimpinan parti sehingga telah berjaya mengalih arah tuju Pas untuk disesuaikan dengan kehendak DAP dan PKR.
"Atas hasrat untuk ke Putrajaya juga, mereka sanggup mengetepikan perjuangan menegakkan negara Islam dan perlaksanaan hudud yang sejak lebih 60 tahun lalu diperjuangkan dengan air mata dan darah oleh pejuang-pejuang parti," katanya.
Hasan berkata, selama empat tahun berkhidmat sebagai Exco kerajaan negeri Selangor, beliau mendapati, ruang memperjuangkan Islam, Melayu serta institusi raja semakin menguncup dan perjuangannya untuk memartabatkan Islam di negeri itu bukan sahaja sering dipandang sepi, malah ditentang kepimpinan parti.
"Salahkah saya sebagai pimpinan dan ahli parti mempersoalkan hal-hal asasi yang berkaitan perjuangan parti? Salahkah saya membawa pengetahuan ahli-ahli Pas tentang wujudnya makhluk perosak yang saya namakan parasit dalam parti?
"Salahkah juga saya mengkritik tindakan makhluk perosak atau parasit yang sanggup mengikut telunjuk pimpinan DAP dan PKR atas hasrat menawan Putrajaya?," katanya.
"Kalau semua itu dikatakan salah, memang benar saya tidak menyokong dan mendokong dasar parti yang telah jauh menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya, malah rela pula bersekongkol dengan DAP dan PKR yang terang-terangan tidak pernah bersetuju dengan matlamat asal parti Islam itu," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/8/12 

Jangan buang masa kerajaan, parti - Musa

KOTA KINABALU 31 Julai - UMNO Sabah menyambut baik perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang membatalkan pelantikan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Musa Aman berkata, ia selaras dengan peruntukan undang-undang dan etika dalam parti dan kerajaan.
"Kalau kita tidak lagi percaya kepada pemimpin dan kerajaan, untuk apa kita pegang jawatan dalam kerajaan. Kalau kita pemimpin yang ada maruah dan prinsip sepatutnya awal-awal lagi kita letak jawatan.
"Tidak perlu menagih simpati untuk dipecat atau dibatalkan pelantikan jawatan hingga membuang masa pemimpin dan kerajaan melayan kerenah dan kepentingan peribadi kita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas perkenan Seri Paduka hari ini membatalkan pelantikan Lajim sebagai menteri berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Tegas Musa, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah langsung tidak terpesong daripada tugas utamanya membangunkan negeri dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa terbela.
"Kita ada banyak agenda dan kerja untuk rakyat, ini yang lebih penting untuk kita fokus," katanya.
KOTA KINABALU 31 Julai - UMNO Sabah menyambut baik perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang membatalkan pelantikan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Musa Aman berkata, ia selaras dengan peruntukan undang-undang dan etika dalam parti dan kerajaan.
"Kalau kita tidak lagi percaya kepada pemimpin dan kerajaan, untuk apa kita pegang jawatan dalam kerajaan. Kalau kita pemimpin yang ada maruah dan prinsip sepatutnya awal-awal lagi kita letak jawatan.
"Tidak perlu menagih simpati untuk dipecat atau dibatalkan pelantikan jawatan hingga membuang masa pemimpin dan kerajaan melayan kerenah dan kepentingan peribadi kita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas perkenan Seri Paduka hari ini membatalkan pelantikan Lajim sebagai menteri berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Tegas Musa, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah langsung tidak terpesong daripada tugas utamanya membangunkan negeri dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa terbela.
"Kita ada banyak agenda dan kerja untuk rakyat, ini yang lebih penting untuk kita fokus," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/8/12 

Pas teruskan impian laksana hudud

KOTA BHARU 31 Julai - Pas tidak pernah meninggalkan cita-citanya untuk melaksanakan hukum hudud meskipun perkara itu tidak termasuk dalam kerangka Buku Jingga.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas tetap memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud dan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menentang pelaksanaannya tidak menghalang cita-cita parti itu.
Malah beliau menyifatkan kenyataan Karpal yang sering mempertikaikan pelaksanaan hukum hudud bukan perkara pelik dan menyamakannya dengan tindakan MCA dalam Barisan Nasional (BN).
"Kita hormati pandangan beliau, tetapi pendirian kita, kita akan tetap teruskan cita-cita melaksanakan hudud mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Amar mengulas kenyataan Karpal yang menyifatkan sebarang cubaan Pas memperkenalkan hukum hudud di negara ini mencerminkan dengan buruk niat ikhlas di sebalik apa yang diputuskan di Muktamar Pas tahun lepas.
Karpal berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar ke-57 parti itu Jun tahun lalu secara umum menyatakan tidak ada disebut negara Islam dalam al-Quran tetapi negara berkebajikan dan hudud tidak termasuk dalam kerangka dasar bersama pembangkang iaitu Buku Jingga.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan berkata, pelaksanaan hukum hudud tidak akan dibuat sebaik sahaja pembangkang menang sebaliknya dilaksanakan selepas mendapat sokongan majoriti rakyat.
"Untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, tumpuan utama kita adalah menjatuhkan BN. Hudud tak ada dalam Buku Jingga dan memang tak bincang, tetapi tak bermakna Pas tinggal cita-citanya," katanya.
"Kita akan teruskan usaha memberikan penjelasan dan penerangan di kalangan rakyat. Setakat ini, penerimaan rakyat di Kelantan tidak ada masalah. Kita tak paksa, pelaksanaannya bergantung kepada penerimaan majoriti rakyat," katanya.
Sementara itu, Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, di sini enggan mengulas perkara tersebut dengan alasan tidak berapa sihat.
/hwa: utusan.com.my | 1/8/12 

Hati-hati janji politik - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 31 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dengan ahli politik yang sering menabur pelbagai janji, termasuk janji untuk membawa kesenangan dalam 'sekelip mata'.
Menurutnya, golongan itu akan cuba memesongkan fakta yang negara ini jauh lebih baik berbanding negara lain serta mengeksploitasi setiap kepayahan yang dilalui oleh rakyat.
"Mereka berjanji untuk memberikan kesenangan secara tiba-tiba, pendidikan percuma dan segala bentuk pemberian. Mereka juga janjikan kepada negeri-negeri pengeluar minyak untuk meningkatkan royalti daripada lima kepada 20 peratus.
"Jelas ini akan mengakibatkan Kerajaan Persekutuan kehilangan 15 peratus hasil daripada minyak dan itu adalah satu jumlah yang besar. Ini akan mengurangkan hasil kerajaan dan pada masa sama meningkatkan perbelanjaan kerajaan,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri terbaru di blognya, http://chedet.cc hari ini.
Mahathir berkata, janji-janji tersebut adalah menyamai apa yang dilakukan oleh kerajaan Greece yang akhirnya menjadikan negara itu bankrap.
Katanya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama juga pernah menabur pelbagai janji, tetapi sepanjang mentadbir AS, pemimpin itu gagal membawa apa jua perubahan.
"Dunia kini sedang melalui saat yang sangat dahsyat. Greece bankrap manakala kewangan Sepanyol, Portugal dan Itali semakin teruk. Britain juga akan menerima nasib sama. AS pula mendakwa ekonomi mereka sudah pulih. Saya tidak percaya ia adalah benar. Di sana (AS) masih terdapat banyak pengangguran.
"Di dunia lain pula, negara-negara Arab berdepan tentangan rakyat, perang saudara di Syria, pembunuhan etnik Rohingya di Myanmar, bencana alam, letusan gunung berapi, gempa bumi dan rakyat benua Afrika yang mati kebuluran,'' katanya.
Oleh itu, jelasnya, dalam berdepan dengan semua situasi berkenaan, rakyat Malaysia adalah rakyat yang bernasib baik.
"Kewangan dan ekonomi negara tidak seteruk negara luar. Walaupun kos sara hidup telah meningkat tetapi rakyat tidak kelaparan seperti yang dilalui rakyat di benua Afrika dan sesetengah Asia. Kerajaan (ketika ini) pemurah dan sentiasa bersedia untuk membantu.
"Eksport kita adalah tinggi dan sedang berkembang. Kadar pengangguran adalah rendah. Pertumbuhan ekonomi yang pesat iaitu pada kadar empat ke lima peratus dan ia jauh lebih baik berbanding Eropah atau AS atau negara-negara Asia Barat dan utara Afrika," tegasnya.
Atas dasar itu, katanya, rakyat perlu berhati-hati dengan apa jua janji sesetengah ahli politik yang kononnya mahu membawa perubahan di negara ini.
"Perubahan tidak sentiasa menjadi lebih baik. Perubahan boleh memburukkan lagi keadaan," jelasnya.
/hwa: utusan.com.my | 1/8/12 

Tujuh NGO desak JAIS siasat tazkirah politik

SHAH ALAM 1 Ogos - Tujuh badan bukan kerajaan (NGO) di Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memintanya menyisat tazkirah Ramadan berunsur politik di masjid dan surau di sekitar negeri ini.
Wakil kumpulan berkenaan, Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin, menyerahkan memorandum itu kepada Timbalan Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad di pejabat JAIS di Bangunan Sultan Idris Shah di sini.
Hamidzun memberitahu pemberita bahawa memorandum itu bertujuan memohon pihak JAIS memantau dan mengambil serius perkara itu bagi memastikan masjid dan surau terus bebas dari apa jua unsur politik seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor.
"Kami sangat menyanjung tinggi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Ketua Agama Islam Selangor. Baginda sudah banyak kali mengingatkan masjid dan surau di negeri ini supaya tidak menjadikannya sebagai tempat penganjuran ucapan politik," katanya.
Beliau diiringi kira-kira 50 orang anggota GAPS, Pertubuhan Pribumi Perkasa
(Perkasa) Selangor, Jati Selangor, Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS) dan Gerakan Prihatin Selangor.
Hamidzun berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai perkara itu daripada orang ramai yang mendakwa terdapat pemimpin politik dan Exco kerajaan Selangor memberi takzirah berunsur politik di masjid dan surau di Selangor.
Antara mereka ialah Dr Halimah Ali, Khalid Samad dan Dr Siti Mariah yang turut tidak mempunyai tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk menyampaikan tazkirah. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 1/8/12