10 Disember 2012

Anak muda antara 16 keluar Pas sertai UMNO

KUALA NERANG 5 Dis. - Sekumpulan anak muda adalah antara 16 anggota Pas Kampung Genting Palas dan Bendang Hilir di sini, yang bertindak keluar parti dan menyertai UMNO selePas kecewa dengan hala tuju Pas sekarang.
Mohd Shukri Che Dam, 23, berkata beliau menyertai Pas tiga tahun lePas, namun kecewa selePas mendapati perjuangan parti itu dipengaruhi pemimpin tertentu, bukan kehendak majoriti.
"Mereka (pemimpin pertengahan) takut sangat hendak kritik pemimpin atasan khususnya dalam soal pelaksanaan hukum hudud yang disanggah DAP.
"Kami golongan muda sangat kecewa dengan perkembangan ini dan sebab itu memilih UMNO yang lebih konsisten memperjuangkan Islam untuk meneruskan agenda memartabatkan agama dan bangsa Melayu," katanya yang ditemui ketika menyerahkan borang keanggotaan UMNO kepada Ketua UMNO Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid, di sini malam tadi.
Bagi Zakiah Arshad, 32, beliau kecewa kerana pemimpin Pas di kawasannya tidak mengendahkan kebajikan anggota, terutama yang memerlukan bantuan.
Beliau yang menyertai UMNO bersama ibunya, Zainab Ahmad, 58, berkata tidak ada seorang pun pemimpin Pas menziarahi bapanya Arshad Husin, 78, yang sedang sakit.
Zakiah juga berkata lima lagi adik beradiknya akan menyusul keluar parti itu dan menyertai UMNO.
Sementara itu, Mahdzir yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pedu, berkata walaupun bilangan anggota Pas yang menyertai UMNO tidak ramai, beliau yakin perkembangan itu mengukuhkan lagi UMNO dan Barisan Nasional khususnya di Padang Terap.
"Saya dapat tahu ramai lagi bakal keluar Pas untuk menyertai kita. Saya mengalu-alukan mereka kerana UMNO tidak sekali-kali menutup pintu atau menghalang sesiapa sahaja yang mahu berjuang bersama-sama kita," katanya.
Mahdzir berkata penyertaan ramai orang muda ke dalam UMNO menyerlahkan kesedaran generasi hari ini bahawa mereka memahami perjuangan parti itu.
Beliau turut berterima kasih kepada anggota Pas yang menyokong perjuangan UMNO. - BERNAMA

3 Disember 2012

Tabung Tangisan Gaza

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi sumbangan sempena pelancaran Tabung Tangisan Gaza pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Dec 3, 2012 10:20 am

UMNO sudah cukup bertenaga dan cergas - Najib

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO yang baru sahaja selesai menjayakan Perhimpunan Agung 2012 kini cukup bertenaga dan cergas sepenuhnya untuk berperang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Katanya, selain UMNO selaku parti tonggak, komponen Barisan Nasional (BN) yang lain juga sudah pulih dan cukup bertenaga untuk meraih semula sokongan rakyat bagi diterjemah dalam bentuk mandat lebih besar.

Kebangkitan...

SEBAIK sahaja dilanda tsunami dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, banyak pihak meramalkan UMNO akan lemah dan tenggelam dalam tempoh setahun dua selepas itu.
Tidak kurang yang menjangkakan berduyun-duyun ahli UMNO akan meninggalkan parti dengan menyertai parti pembangkang.
Bahkan ada segelintir pemimpin dan ketua bahagian UMNO sendiri seperti hilang punca dan tidak keruan. Mereka geleng kepala tanda tidak yakin UMNO akan bangkit biarpun beralih teraju.
Dengan kata lain, UMNO yang menerajui kerajaan perkongsian kuasa Barisan Nasional (BN) sejak merdeka dikhuatiri menyembah bumi sebelum pun PRU13.
Ternyata ramalan dan jangkaan seumpama itu meleset. UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya telah menampakkan kebangkitan pada ketika imej parti pembangkang terutama PKR dan PAS merudum teruk.
Awang bersyukur. Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO telah membuktikan beliau mampu membawa kebangkitan di sebalik banyak dugaan yang dihadapi.
Jatuh bangun sesebuah tamadun, negara mahupun organisasi politik banyak bergantung kepada faktor kepimpinan.
Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam menyaksikan satu lagi pencapaian dalam melonjakkan UMNO. Parti itu telah mencapai tahap moral yang terbaik sejak PRU 2008. Awang ucapkan tahniah kepada Najib, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kepimpinan UMNO atas kemantapan parti itu hari demi hari.
Perhimpunan kali ini juga ada aura tersendiri termasuk daripada orang muda. Yang paling mencuri perhatian wakil Kelab UMNO Luar Negara, Ariff Yasir. Bukan sahaja kerana rayuan perpaduan dan lagu Warisan nyanyiannya yang merentap perasaan perwakilan tetapi juga suara beliau adalah simbol harapan kepada masa depan UMNO.
Adalah boleh dirumuskan, permuafakatan dan keyakinan tinggi terserlah sepanjang perhimpunan itu. Ia merupakan mesej jelas bahawa UMNO dan BN akan melakukan impak pada PRU13 nanti.
Awang optimis. Biarpun UMNO akan berdepan dengan permasalahan dalaman seperti mereka yang merajuk dan sabotaj parti kerana tidak dipilih sebagai calon PRU13, ia mampu ditangani.
Hal tersebut telah diberi penekanan oleh Najib sejak awal lagi dan usaha menanganinya dijangka dapat mengurangkan mudarat kepada BN.
Cabaran lebih besar ialah mendapatkan undi

Doa dan hukuman

MUKTAMAR Agung Pas baru-baru ini dikejutkan dengan doa parti itu memohon agar Allah SWT menghancurkan UMNO.
Tindakan yang dilihat ekstrem itu meresahkan umat Islam dan menyerlahkan lagi betapa Pas telah terkeluar daripada landasan Islam sebenar.
Tanyalah ulama di seluruh dunia, pasti jawapannya sama. Mendoakan kemusnahan ke atas pihak dan orang Islam yang berbeza ideologi politik adalah tidak Islamik.
Awang bersyukur, UMNO tidak mengikut rentak dan perbuatan Pas. Tiada satu pun doa ala Pas sepanjang Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam.
Daripada doa Najib ketika penggulungan, doa timbalannya, Muhyiddin Yassin ketika perasmian Persidangan Wanita, Pemuda serta doa beberapa pembahas - adalah untuk kesejahteraan semua termasuk Pas.
Berkaitan isu doa juga, Awang teruja dengan perbahasan ulama muda dan wakil UMNO Perlis, Fathul Bari yang mengupas daripada perspektif Islam tentang doa Pas.
Beliau turut menayangkan video rakaman doa tersebut selain kenyataan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz yang mendakwa UMNO murtad.
Hujah-hujah menyanggah doa Pas itu disampaikan dengan bernas dan berhemah. Menampakkan UMNO sebagai parti orang Islam jauh lebih memahami Islam sebenar berbanding Pas.
Sudah tentu juga doa UMNO lebih terbimbing dan tertib. Tidaklah sampai terkeluar istilah K.O, K.O, K.O ...sebagaimana doa Pas, macam aksi ketika menonton tinju Siam.
Begitu juga dalam isu Pas memurtadkan UMNO, satu lagi perbuatan yang tidak islamik.
Lalu Awang tertarik dengan komen Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi tulisannya dalam Utusan Malaysia, Khamis lalu. ‘‘UMNO tidak akan hukum Pas kerana banyak salah guna Islam. Allah SWT yang akan hukum’’.

Mengetuk pintu kesedaran politik

Kuasa dan bencana mempunyai persamaan. Kedua-duanya menyatukan manusia. Orang biasanya berpadu tenaga kerana kuasa, dan mereka juga bersama-sama ketika terjadi malapetaka.
Manusia suka melalui masa-masa gembira dengan berkongsi kekuatan beramai-ramai, dan berusaha secara kolektif menggunakan kuasa untuk kesejahteraan. Manusia juga sering terdorong untuk merapatkan barisan, bagi menunjukkan sisa-sisa kudrat yang tinggal, pada saat-saat sedih dan duka.
UMNO, parti orang Melayu yang terlalu banyak jasa dan begitu lama mendominasi politik Malaysia melalui kerjasama dalam Perikatan dan kemudian Barisan Nasional (BN), menyatukan begitu ramai orang Melayu dan rakyat Malaysia kerana kuasa yang dipegangnya.
Sungguhpun ada kekhilafan - yang merupakan suatu hakikat yang tidak dapat dielakkan kerana UMNO dan BN didokong oleh berjuta-juta ahli politik yang pelbagai ragam, pandangan, kepentingan, kualiti dan keperibadian - pertubuhan politik itu pada umumnya menggunakan kuasanya dengan begitu bertanggungjawab.
Ia jelas terpancar daripada pencapaian Malaysia yang amat hebat sebagai sebuah negara moden yang bertunjangkan masyarakat pelbagai kaum, yang kalau di negara lain latar belakang tersebut menjadi resipi kepada malapetaka politik.
Dengan kuasa itulah, UMNO menjadi gerakan politik massa yang mengubah landskap masyarakat Malaysia ke arah suatu pencapaian yang tidak pernah kita dapat bayangkan.
Ditubuhkan 66 tahun lalu, UMNO menjanjikan tanah air kita suatu impian yang pragmatik dalam politik, sistem kerajaan, ekonomi dan lapangan-lapangan lain termasuk usaha membangunkan syiar Islam.
Tidak ramai orang Melayu sedar bahawa mereka kini hidup dalam masa depan yang UMNO cuba ciptakan sejak tahun 1946 dan masa depan yang dirintis melalui kerjasama politik dalam Perikatan sejak merdeka pada 1957 dan kemudian diteruskan oleh BN.
Keadaan semasa politik Malaysia sekarang - iaitu masa depan bagi masa yang telah dilalui - kini berdepan dengan cabaran yang luar biasa.
Pertarungan politik yang tidak habis-habis yang kita saksikan sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008 adalah antara episod cemas dalam politik Malaysia yang juga pernah dilalui dalam pergolakan tahun 1969, 1987 dan 1999, tetapi dalam setiap krisis itu UMNO dan BN berjaya bangkit dan pulih.
BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dalam PRU-12 dan hilang kuasa di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah selain gagal mencabar penguasaan Pas di Kelantan.
Dengan pengalaman itu dan pertarungan politik yang begitu lama, para pengundi di Malaysia kini memasuki minggu dan bulan terakhir sebelum Dewan Rakyat dibubarkan dan PRU-13 diadakan. Mandat Dewan Rakyat sekarang sepatutnya tamat pada 28 April 2013.
Sejak ucapan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 lagi, tidak lama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berpesan kepada semua orang Melayu supaya berpasak kepada UMNO dan bertetap kepada panji-panji BN.
Putrajaya, kota pentadbiran yang menjadi simbol kuasa, kata Najib, mesti dipertahankan. Orang Melayu hanya dapat mengharapkan UMNO membela nasib mereka. Rakyat Malaysia pula terpaksa menerima hakikat BN merupakan pilihan terbaik dalam politik negara ini.
Ketika beliau mengungkapkan kata-kata itu pada Oktober 2010, tarikh akhir pilihan raya patut diadakan tinggal 30 bulan lagi.
Masa berjalan begitu pantas. Kini dengan tarikh akhir pilihan raya harus diadakan tinggal kira-kira lima bulan lagi, mesej beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir semalam tetap sama: “Pertahankan… pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini… pertahankan… pertahankan Putrajaya."
Dalam tempoh lebih empat tahun lalu, UMNO dan BN telah melalui fasa krisis, kesedaran, pemulihan dan pembinaan semula kekuatan semula jadinya.
Menurut Najib dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan itu, tidak ada parti pembangkang dapat memberikan apa yang UMNO dan BN tawarkan, lebih-lebih lagi bagi orang Melayu.
Momentum
Beliau bersama rakan-rakan dalam pimpinan UMNO dan BN telah menyediakan gerak kerja ke arah pilihan raya. Ketika momentum pemulihan digerakkan dalam parti, dalam kerajaan beliau memperkenalkan dasar-dasar, antara yang paling imaginatif ialah Dasar Transformasi Nasional, dan pelbagai inisiatif yang gravitinya adalah kesejahteraan rakyat.
Dari segi pendekatan dan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan, Malaysia mengalami lonjakan yang hebat di bawah Najib yang pada hari ini baru mentadbir negara sebagai Perdana Menteri selama 1,339 hari.
Jika beliau diberikan tempoh yang lebih lama untuk mentadbir dan memperoleh mandat baharu yang besar dalam PRU-13, tidak mustahil Najib menjadi antara Perdana Menteri dan pemimpin Malaysia yang paling cemerlang dan mencipta satu tanda aras baharu kepada kepimpinan dan pentadbiran negara.
Dengan pengalamannya yang begitu lama dalam pentadbiran dan politik sejak berusia 23 tahun, Najib, kini berumur 59 tahun dengan 36 tahun daripada hayatnya berkecimpung dan berbakti dalam politik, tentulah beliau berupaya menawarkan sesuatu yang lebih hebat daripada kepimpinannya.
Para pengundi di Malaysia seramai 13.1 juta orang, yang 2.9 juta orang merupakan pengundi pertama kali, wajar memberikan Najib dan parti komponen BN yang dipimpinnya peluang tersebut pada PRU-13.
Bagaimanapun, seperti yang diakui oleh begitu banyak ahli politik dan penganalisis, populariti pemimpin tertinggi parti bukan menjadi satu-satunya faktor yang akan memenangkan UMNO dan BN.
Najib sendiri mengakui dalam ucapannya bahawa disiplin organisasi dalam UMNO dan BN juga menentukan kejayaan dalam pertembungan pada PRU-13. Sudah tentu beliau merujuk kepada kemungkinan sabotaj dalam parti oleh sesetengah pihak.
Sudah beberapa tahun idea mengenai pemilihan calon boleh menang diketengahkan dalam parti. Najib memahami sensitiviti isu itu dan jelas amat berhati-hati dengan reaksi barisan kepimpinan akar umbi UMNO. Beliau mahu mereka memahami dilema politik yang dihadapinya bahawa UMNO dan BN tidak boleh menurunkan calon-calon yang tidak boleh menang dalam PRU-13.
Dalam ucapan penggulungannya pada akhir Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam, beliau berterus terang mengenai pendiriannya dalam hal itu dan memuji wira-wira tidak didendang dalam UMNO iaitu berjuta-juta ahli lelaki dan wanita “yang tidak pernah menjadi wakil rakyat tetapi kasih, komited dan setia kepada UMNO."
Dua tahun lalu, dalam Perhimpunan Agung UMNO 2010, dibangkitkan tentang usaha-usaha untuk mendaftar pengundi baru yang menunjukkan UMNO dan BN tidak begitu aktif melakukannya. Sudah tentu dalam tempoh menjelang PRU-13 kekurangan tersebut telah dibetulkan.
Isu menguruskan persepsi, peranan media baru seperti blog, Facebook dan Twitter, kempen khas untuk kumpulan-kumpulan tertentu, dan strategi komprehensif untuk menarik para pengundi muda yang jumlahnya begitu besar sudah dibincangkan.
Isu-isu tempatan, manifesto untuk memenuhi harapan rakyat, pola pengundian yang umum dan spesifik, percaturan pembangkang, keunikan dan harapan yang berbeza bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang ditandingi serta keperibadian calon-calon juga dikenal pasti antara faktor-faktor dalam pilihan raya yang telah diperhalusi oleh pucuk pimpinan UMNO dan BN.
Akhirnya semua analisis mengenai persediaan pilihan raya akan terjurus kepada gambar besar dalam bingkai politik Malaysia, iaitu tidak ada parti boleh berkuasa tanpa sokongan segenap segmen pengundi.
Oleh kerana tunjang negara Malaysia adalah masyarakat berbilang kaum, maka kepelbagaian sokongan kaum dalam pilihan raya menjadi asas-asas terpenting kepada kemenangan mana-mana parti dalam pilihan raya.
Najib amat menyedari realiti politik itu. Kerana itulah dalam ucapan dasarnya pada Khamis lalu beliau mengajak ahli-ahli UMNO dan para penyokong BN untuk “menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangi hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik."
Gerbang harapan
Tegasnya: “Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk meyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan."
Beliau mengukuhkan hujah itu dalam penggulungannya semalam dengan melaungkan sumpah dan doa ahli-ahli UMNO untuk berjuang mendapatkan setiap undi kerana “kita berjuang bukan untuk diri sendiri, kita berjuang untuk anak-anak kita."
Pertaruhannya adalah sistem nilai, kepercayaan, pegangan agama Islam, nasib orang Melayu dan masa depan kehidupan rakyat Malaysia.
UMNO dan BN menyedari betapa kemenangan kecil dan besar dalam setiap kali pilihan raya umum pasca merdeka sejak tahun 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 akhirnya ditentukan oleh setiap undi daripada pengundi pelbagai kaum.
Para pengundi inilah, yang jumlahnya 13.1 juta orang di seluruh negara, perlu dipujuk dan didekati untuk membolehkan calon-calon BN mematahkan calon-calon parti pembangkang pada PRU-13 nanti. Terdapat 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi Dewan Undangan Negeri jadi rebutan.
Ini menjadikan jalinan strategik dengan rakan-rakan dalam komponen BN begitu mustahak untuk memahami gerak hati para pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina dan India. Tidak dapat tidak, UMNO memerlukan MCA, Gerakan, MIC, PPP, PBS dan lain-lain parti komponen BN segera melakukan pemulihan politik bagi menterjemahkan usaha-usaha mereka mendekati orang bukan Melayu ke dalam undi untuk menyokong BN.
Pesanan Najib yang penting diingat ialah: Setiap undi dikira; semua pintu hati diketuk; segala isu yang dekat di hati pengundi diselami.
Pendekatan itu memerlukan fokus, ketelitian dan satu pencapaian yang dapat diukur dan digandakan keberkesanannya.
Najib sudah tentu mengharapkan 13.1 juta pengundi yang akan menggunakan kuasa mereka pada PRU-13 membantunya dengan penuh kesedaran, memberi beliau suatu mandat baharu dalam bentuk kemenangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan menebus semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang UMNO dan BN kalah pada 2008.
Ahli-ahli UMNO dan penyokong BN yang mengikuti perjalanan politik Najib sejak muda serta bakat kepimpinannya sebagai pemimpin nasional tentulah tahu bahawa faktor trust (kepercayaan) menjadi sebahagian daripada tarikan keperibadiannya.
Seperti yang diperlihatkan dalam ucapannya yang jujur dan bersemangat pada Perhimpunan Agung UMNO, beliau ialah seorang pemimpin yang dapat kita sandarkan harapan, amanah dan tanggungjawab. Di bahunya terpikul perjuangan membela nasib bangsa, agama dan negara.
Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan kepimpinan UMNO dan BN amat mengharapkan mereka dapat membawa Malaysia keluar daripada konflik politik yang berlarutan sejak 2008, dan usaha itu bukan tugas mereka semata-mata tetapi juga menjadi sesuatu yang perlu disokong oleh seluruh rakyat.
Kita semua tahu bahawa Malaysia pasti menjadi sebuah negara yang lebih hebat tanpa pertarungan kuasa sia-sia itu yang sewajarnya ditinggalkan tidak lama lagi. Pengalaman perebutan kuasa yang memporakporandakan itu tidak sekali-kali dapat dilupakan kerana ia kekal sebagai salah satu episod hitam bangsa kita.

Dua pertiga pasti milik BN - PM

BARISAN kepimpinan UMNO meletakkan tangan pada dada sambil mengikut ikrar yang dilafazkan oleh Najib Tun Razak ketika membuat ucapan penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak percaya majoriti dua pertiga pasti menjadi milik Barisan Nasional (BN) jika semua ahli UMNO dan parti-parti komponennya sepakat menyokong calon pilihan raya yang dipilih pucuk pimpinan.
Menaruh keyakinan itu dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini, Presiden UMNO itu percaya pakatan pembangkang tidaklah sekuat mana, tetapi cuma yang dikhuatirkan beliau adalah persengketaan dalam isu pilihan calon.
Atas sebab itu di hadapan lebih 4,000 perwakilan hari ini, beliau mengutarakan soalan cepumas untuk difikirkan oleh ahli UMNO dan BN demi meraih kembali mandat memerintah daripada rakyat.
"Saya nak ambil lima kemungkinan, akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih parti, sokong (sahaja), tidak bekerja, sabotaj (disambut sorakan perwakilan) dan lompat parti.
"Ini survey penting, tanya diri sendiri. Sebab itu dalam perhimpunan ini, kita mesti kata dengan suara yang cukup hebat bahawa jawapan yang kita hendak kepada soalan cepumas itu tidak lain tidak bukan, iaitu kalau saya tidak dipilih sebagai calon, saya tetap akan sokong sepenuhnya calon UMNO dan Barisan.
"Kalau itu jawapannya, kalau itu yang sebenarnya dalam hati kita, insya-Allah, Pilihan Raya Umum ke-13 empunya kepada UMNO dan BN dengan kemenangan dua pertiga," kata beliau.
Najib berkata, beliau perlu mengingatkan meskipun perwakilan dalam Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini bergema menyokong calon pilihan parti, namun apakah semangat itu mampu dipertahankan sehingga tiba pilihan raya nanti.
"Sebab di kalangan kita kadang-kadang ni banyak batu ronsonnya, banyak tukang kipasnya, yang akan cong kita kalau tak kuat iman, kita daripada sokong sepenuhnya, dia turun kepada sokong ataupun daripada sokong, dia buat dek (tak tahu), tak kerja (bantu jentera) ataupun lebih parah daripada itu, dia sabotaj parti atau lompat parti," kata beliau.
Menurut Presiden UMNO itu, beliau memang menaruh kepercayaan tinggi bahawa kebanyakan perwakilan dalam dewan perhimpunan hari ini merupakan penyokong tegar parti.
Namun, kata beliau, dalam politik segalanya berkemungkinan.
"Jangan lupa ada juga bekas menteri, bekas timbalan menteri yang telah mengkhianati parti kita.
"Dia dah rasa nikmat jadi menteri, nikmat jadi timbalan menteri dan banyak lagi nikmat lain tetapi hari ini kerana gila jawatan kerana dirasuk oleh orang tertentu, hari ini menjadi orang yang menentang UMNO dan BN," kata beliau.
Najib turut menyifatkan sambutan Perhimpunan Agung UMNO kali ini cukup luar biasa.
"Jurucakap pun macam Tan Sri Muhyiddin sebut tadi pengisiannya cukup baik, nak cakap merapu kurang kali ini.
"Tidak ada reaksi yang negatif di kalangan mereka yang sedang memerhati perjalanan perhimpunan kita.
"Dan yang cukup teristimewa bukan sahaja di kalangan orang Melayu yang katanya gah perhimpunan ini menyebabkan mereka lihat bahawa UMNO semakin hari semakin pulih. Dan padanya UMNO semakin hari semakin layak untuk terus memimpin negara kita," kata beliau.

Bahaya undi pembangkang

PERWAKILAN Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pekan, Pahang terharu dan mengesat air mata ketika mendengar ucapan penggulungan oleh Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, pemberian undi kepada pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti akan membawa kerosakan akidah, perpecahan kaum dan penindasan ke atas kaum tertentu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan, rakyat perlu memahami bahawa hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja yang berjuang untuk negara ini dan kemajuan orang Melayu serta kaum lain.
"Yakin dan percayalah satu undi untuk PKR (Parti Keadilan Rakyat) bermaksud satu undi untuk kerosakan akidah dan kerosakan umat. Satu undi untuk Pas bermakna satu undi untuk perpecahan. Satu undi untuk DAP bermakna satu undi penindasan ke atas bangsa tercinta.
"Satu undi untuk UMNO dan BN adalah satu undi untuk keselamatan akidah orang Islam. Satu undi untuk BN, satu undi untuk perpaduan dan kekuatan umat. Satu undi untuk BN, satu undi pembelaan bangsa Malaysia," katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan demikian ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Najib berkata, inilah masanya untuk ahli-ahli UMNO berada dalam barisan yang bersatu bagi menentang fitnah daripada Pas, menentang pluralisme daripada PKR dan menentang perkauman daripada DAP.
"Adakah kita mahu anak-anak kita sesat akidahnya? Adakah kita mahu anak-anak kita sesat akidahnya? Adakah kita mahu anak-anak kita gelap masa depan? Adakah mahu negara ini porak peranda? Adakah kita sanggup memperjudi masa depan negara?
Kalau semua jawapan tidak, katakan "tidak" pada PKR, katakan "tidak" kepada Pas dan katakan "tidak" kepada DAP," katanya.
Beliau juga meminta, ahli-ahli UMNO supaya membayangkan segala kesyukuran, kedamaian dan kebahagiaan yang dikecapi dan dinikmati serta yang akan terus dirasai hasil pemerintahan UMNO dan BN berbanding jika pembangkang yang memerintah.
"Bayangkan juga segala kehancuran, kemusnahan, kerosakan, porak peranda dan kebangsatan jika pilih pembangkang. Demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia, demi bumi bertuah, demi anak cucu kita, mesti setia kepada perjuangan UMNO.
"Yakinlah hanya UMNO yang mampu mempertahan kesucian agama Islam. Hanya UMNO yang mampu membela nasib bangsa Melayu dan kaum-kaum lain. Katakan dalam jiwa kita, hidup dan mati hanya untuk Islam. Wajib pertahankan UMNO kerana UMNO pertahankan Islam," katanya.

Tolak Anwar, pembangkang

Mohd. Shafie Apdal menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, di PWTC, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Semua pengundi berdaftar yang kini berjumlah 13 juta orang wajib menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang kerana jelas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak layak menjadi seorang pemimpin.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, terlalu banyak petunjuk serta petanda yang diberikan oleh Allah SWT kepada rakyat negara ini sejak lebih sedekad lalu hingga ke saat ini bagi membuktikan keredaan-Nya yang tidak pernah berpihak kepada Anwar.
Beliau berkata, rakyat harus sedar Anwar pernah memangku jawatan Perdana Menteri selama tiga bulan ketika di dalam kerajaan dan seharusnya Ketua Pembangkang itu tiada masalah untuk menjadi Perdana Menteri tetapi itu tidak berlaku.
"Bukan Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Perdana Menteri tetapi Anwar. Anwar pernah memangku jawatan Perdana Menteri dan terlalu hampir untuk memegang jawatan tersebut tetapi atas kehendak Allah, Anwar gagal.
"Allah telah memberi banyak petunjuk kepada kita berhubung dengan Anwar. Oleh itu, saya meminta bukan sahaja kepada ahli UMNO dan penyokong BN tetapi juga kepada semua 13 juta pengundi berdaftar supaya mereka terus memberi mandat kepada Najib dan BN pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Mohd. Shafie berkata, mesejnya itu turut termasuk kepimpinan parti-parti pembangkang yang lain khususnya DAP dan Pas kerana jelas mereka tidak akan mampu mentadbir negara dan membela nasib rakyat.
"Rakyat tiada pilihan lain. Mereka perlu memberi mandat kepada BN pada pilihan raya akan datang demi agama, bangsa dan negara," ujarnya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan semua ahli dan pemimpin mengenai faktor calon boleh menang yang perlu dipertahankan bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.
"Calon-calon yang tidak terpilih pada pilihan raya umum akan datang, tidak bererti mereka disisihkan daripada parti sebaliknya itu merupakan satu pengorbanan demi masa depan generasi akan datang.
"Yakinlah pengorbanan yang mereka lakukan ini boleh membuatkan masa depan zuriat kita lebih cemerlang," ujarnya.

Sakit hati fitnah pembangkang

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini mendedahkan bahawa beliau ada kalanya merasa sakit hati dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang terutama apabila mengaitkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan rasuah dan kronisme.
Beliau berkata, ini kerana pentadbiran kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan segalanya dengan cara betul tetapi masih menerima pelbagai tuduhan dan fitnah daripada pembangkang.
"Kadang-kadang saya sebagai Menteri Kewangan rasa sakit hati apabila baca (tuduhan). Orang kata kita macam-macam sedangkan kita buat kerja dengan betul," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ahmad Husni yang juga Bendahari UMNO berkata, sebagai contoh, dalam pemberian tender, ia bukan diserahkan begitu sahaja tetapi perlu melalui dua proses penilaian dan semakan yang ketat di peringkat kementerian pelaksana serta Kementerian Kewangan.
"Begitu juga apabila syarikat kerajaan hendak diswastakan, ia dibuat melalui proses bidaan. Kita akan menilai semua pembida dan hanya pembida dengan tawaran terbaik akan dipilih. Bukannya dari mana bidaan itu dibuat," tegasnya.
Di sebalik pelbagai tuduhan terhadap kerajaan BN, beliau meminta rakyat mendapatkan fakta sebenar tentang bajet 2013 pembangkang agar mereka tidak tertipu.
"Kononnya bajet pembangkang defisit 3.5 peratus walhal banyak perbelanjaan yang dijanjikan tidak dimasukkan dan akhirnya apabila dimasukkan ia menjadi defisit 7.2 peratus dan hutang lebih 56 peratus berbanding nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar," ujarnya.

Klip video Pas tarik perhatian

Fathul Bari Mat Jahya membahaskan usul di Perhimpunan Agung UMNO 2012, semalam.
***** 
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Paparan dua video berhubung tindakan Pas mendoakan kehancuran UMNO dan menuduh parti utama orang Melayu itu murtad menarik perhatian perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012, di sini, hari ini.
Wakil UMNO Perlis, Fathul Bari Mat Jahya menggunakan pendekatan berkenaan bagi membalas tuduhan-tuduhan Pas ketika membahaskan usul pendidikan dan agama pada perhimpunan berkenaan.
Beliau yang memulakan perbahasan dengan memetik sepotong ayat al-Quran tentang fitnah sebagai ujian daripada Allah, meminta ahli-ahli UMNO bersikap bijaksana mendepani isu seperti itu kerana UMNO dan lebih tiga juta ahlinya bukan seperti digambarkan oleh Pas, malah tidak pernah memperlekehkan Islam.
"Fasal 3 Perlembagaan UMNO menegakkan, mempertahankan dan mengembangkan Islam, itulah yang kita lakukan zaman berzaman," katanya sambil diberikan tepukan gemuruh.
Dalam ucapan yang dipenuhi petikan ayat al-Quran, hadis dan kisah sahabat Rasulullah SAW, Fathul Bari berkata, pemimpin pembangkang seolah-olah lupa bahawa mereka juga adalah manusia, bukan malaikat yang tidak melakukan kesilapan dan kesalahan.
"Adakah mereka mendoakan kita ini malaikat, tidak, adakah mereka yang mendoakan kita ini para nabi, rasul, tidak, jadi muhasabah diri kita," katanya.
Merujuk peristiwa 'Biuma'unah', yang mana 70 sahabat Rasulullah SAW yang hafaz al-Quran dibunuh sehingga baginda melakukan Qunut Nazilah selama sebulan, namun berhenti setelah ditegur oleh Allah, Fathul Bari menjelaskan, pemimpin Pas perlu jelas dan mempunyai bukti kukuh bentuk kezaliman yang dilakukan terhadap mereka sebelum melakukan tindakan sama kepada UMNO dan pemimpin kerajaan.
Beliau turut menarik perhatian kisah dua sahabat Rasulullah SAW, Saad Ibni Waqas dan Said Ibni Said yang sangat berhati-hati dalam mendoakan kehancuran terhadap individu yang dikenali kerana memfitnah dan menzalimi mereka, bukannya bersikap semberono seperti pemimpin Pas yang mendoakan secara umum kehancuran terhadap UMNO.
Ini kerana katanya, Islam telah menggariskan beberapa pendekatan sekiranya seseorang itu hendak mendoakan kehancuran kepada pihak lain, namun menuntut mereka memberi kemaafan kerana ia lebih baik, sementara teguran kepada pemimpin pula mestilah dibuat secara lembut, bijaksana dan berhemah sebagaimana firman Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun ketika diutuskan bertemu Firaun.
"Kita (pembangkang) berkata, kita nak berhukum dengan hukum al-Quran, kita berkata kita nak berhukum dengan hukum sunah, praktikkan akhlak dan sikap ini. Jadi, saya hairan teman-teman saya nak berjuang, nak menegakkan Islam mengapa akhlak Islam ini tidak dipraktikkan," katanya.
Mengenai tuduhan Nik Abdul Aziz, Fathul Bari berkata, meskipun cuba bertindak bijak menggunakan pendekatan ilmu mantik dengan tidak menyebut secara khusus ahli UMNO murtad, namun umum mengetahui sebuah parti tidak akan tertubuh sekiranya tidak ada ahli.
Dalam konteks itu, beliau menarik perhatian sepotong hadis yang ditafsirkan oleh ulama bahawa Islam dibina di atas lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat, zakat, puasa dan haji yang kesemuanya telah dilaksanakan secara menyeluruh oleh kerajaan diterajui UMNO.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan UMNO melancarkan kempen 1Malaysia Tolak Fitnah bagi membanteras penyebaran budaya buruk tersebut yang kerap menjadikan pemimpin kerajaan sebagai sasaran.
Fathul Bari mengambil contoh ideologi kafir mengkafir yang dilakukan oleh pemimpin Pas terhadap UMNO, termasuk dakwaan kononnya UMNO menolak dan memperlekehkan Islam.
Beliau turut menarik perhatian perwakilan berhubung sepotong hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim mengenai seorang yang menuduh orang lain kufur dan fasik berkemungkinan menerima kembali tuduhannya itu sekiranya ia tidak benar.
"Kita kena jelaskan, berikan bukti, dalil, fakta, jangan bentuk persepsi yang salah dalam minda rakyat. Manfaatkan media alternatif, media arus perdana untuk kita menyebarkan perkataan yang benar.
Fathul Bari juga mengesyorkan supaya UMNO membawa politik kasih sayang, bukannya politik kebencian.
Beliau pada masa sama mengingatkan supaya hanya golongan pakar mengulas sesuatu isu bagi mengelak apa yang digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai golongan 'arruwaibidhoh' - iaitu seorang lelaki yang lekeh, tidak memiliki ilmu tetapi bercakap tentang urusan manusia.
Golongan itu katanya, merujuk kepada zaman iaitu pembohong dianggap bercakap benar, orang bercakap benar dianggap pendusta dan pengkhianat pula dikatakan seorang yang amanah.

Akta Bangkrap akan dikaji semula - Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan mengkaji semula Akta Bangkrap bagi meringankan beban rakyat yang muflis akibat beban hutang.
Perdana Menteri berkata, pihaknya akan meneliti kaedah pengisytiharan bangkrap serta mencari jalan bagi membebaskan mereka yang sudah diisytihar muflis.
"Bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan. Mana yang boleh dan munasabah kita cuba bebaskan," kata Presiden UMNO.
Najib berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Usul mengenai Akta Bangkrap itu dikemukakan oleh Pemuda UMNO pada perhimpunan tersebut yang menyebut lebih 120,000 orang kini menghadapi masalah muflis akibat beban hutang.
Di bawah Akta Bangkrap 1967, seseorang itu akan diisytihar muflis jika mereka menanggung hutang minimum RM30,000 dan mengaku tidak mampu membayar hutang tersebut.
Perdana Menteri turut menaikkan jumlah pinjaman maksimum Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) daripada RM50,000 kepada RM100,000 bagi menggalakkan lebih ramai wanita menjadi usahawan. - UTUSAN

Najib puji e-paper Utusan Malaysia

Najib Tun Razak melihat iPad akhbar digital Utusan Malaysia pada skrin sambil diperhatikan Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (depan, tiga dari kiri) semasa melancarkan e-paper sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Langkah proaktif Utusan Malaysia memperkenalkan akhbar digital (e-paper) sebagai salah satu produk baru mendapat pujian daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Perdana Menteri, pendekatan yang diambil Utusan Malaysia itu merupakan langkah tepat kerana pembaca sekarang banyak menggunakan gajet sebagai medium untuk mendapat akses kepada informasi.
"Saya kagum dengan langkah Utusan Malaysia. Ia satu usaha bagus serta wajar dipuji kerana kelebihan e-paper ia lebih interaktif dan mudah untuk diakses sesuai dengan perkembangan semasa dunia teknologi.
"Saya percaya usaha sebegini membolehkan Utusan menyampaikan dasar kerajaan secara lebih baik kepada rakyat," katanya semasa melancarkan e-paper di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.
Perdana Menteri diberi taklimat mengenai e-paper oleh Pengarang Kanan Media Baru, Gamal Nasir Mohd. Ali.
E-paper yang ditawarkan Utusan menampilkan lima nilai tambah iaitu multimedia interaktif, galeri foto dan video, carian pantas, capaian keluaran lepas serta sokongan pelbagai platform dengan harga langganan serendah RM20 sebulan.
Ia merupakan pakej harga langganan e-paper termurah di pasaran dengan pelanggan boleh melayari akses berita melalui web, android serta iPad.
Sempena majlis pelancaran itu, Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat pameran Kumpulan Utusan mengenai liputan perjuangan UMNO dan pemimpin negara bermula pemerintahan Tunku Abdul Rahman sehingga sekarang.

Najib lancar RapidKuantan

Najib Tun Razak melakukan pelepasan ketika melancarkan RapidKuantan di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam. Turut kelihatan, Muhyiddin Yassin dan Adnan Yaakob. 
*****
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Perkhidmatan bas RapidKuantan yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bakal menawarkan tambang percuma selama sebulan bermula Isnin ini.
Berucap pada majlis pelancaran itu di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Najib berkata, RapidKuantan adalah cukup istimewa yang membuktikan Janji Ditepati selain merupakan sebuah lagi produk 1Malaysia.
Beliau berkata, perkhidmatannya kelak bakal memberi manfaat kepada kira-kira setengah juta penduduk daerah Kuantan dan kawasan sekitarnya.
''Saya mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Syarikat Prasarana Berhad (Prasarana) kerana dalam tempoh dua bulan selepas diumumkan pada pembentangan Bajet 2013, perkhidmatan bas RapidKuantan berjaya direalisasikan dengan 32 buah bas.
''Insya-Allah kalau kita dapat mandat baru daripada rakyat, banyak lagi yang dapat kita lakukan,'' katanya.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam dan beberapa pemimpin UMNO Pahang.
Tambah Najib, perkhidmatan RapidKuantan akan turut dilancarkan di Kuantan pada Isnin ini oleh Adnan yang akan memandu sendiri bas tersebut di sekitar pusat bandar.
''Adnan ada lesen memandu yang disahkan oleh SPAD. Ini bukan olok-olok, beliau akan pandu bas ini pada hari Isnin sebagai tanda inilah bas yang kita janjikan untuk orang Kuantan.
''Dengan ini, insya-Allah kita dapat beri satu lagi perkhidmatan berkualiti kepada komuniti Kuantan,'' jelasnya.

UMNO perkasa agenda Islam

Orang ramai berdoa selepas solat Jumaat di luar dewan yang dikhaskan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/ MOHD AZIM ABD RAHMAN 
*****
Sejak akhir-akhir ini semakin kuat tohmahan oleh para pencacai parti pembangkang yang mendakwa bahawa UMNO parti sekular dan parti yang menolak Islam. Semacam sudah menjadi tradisi setiap kali menjelangnya pilihan raya, maka berkumandanglah isu-isu sebegini yang semacam tiada berkesudahan hingga melarat-larat ke peringkat doa menjahanamkan sesama Islam bahkan mempertikaikan akidah saudara seagama.
Istilah sekular atau sekularisme secara tuntas dapat difahami sebagai satu fahaman atau ideologi yang memisahkan agama daripada apa jua aspek kehidupan duniawi. Fahaman seumpama ini tentunya tidak secocok dengan Islam yang difahami sebagai ad-Deen atau satu cara hidup syumul yang tidak sesekali memisahkan agama daripada aspek-aspek keduniaan dan kenegaraan.
Persoalannya, apakah benar UMNO parti sekular bahkan menolak Islam sebagaimana yang didakwa oleh pihak pembangkang? Adakah selama 66 tahun UMNO ditubuhkan, Islam dipisahkan daripada sebarang dasar mahupun agenda pemerintahan? Atau apakah UMNO selaku parti teras kerajaan Barisan Nasional selama ini menentang sebarang usaha memartabatkan dan memperkasakan syiar Islam?
Apa yang pasti jika ditelusuri isu ini secara objektif dengan hati yang bersih menggunakan kacamata yang jernih, maka kita akan dapati bahawa UMNO tidak pernah mengesampingkan Islam dalam agenda perjuangannya. Bahkan agenda Islam dizahirkan dalam Perlembagaan UMNO Fasal 3.3 yang menyebutkan secara jelas bahawa asas dan matlamat perjuangan UMNO antara lainya ialah "Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama".
Malah penegasan mengenai komitmen UMNO terhadap agenda Islam ini terus disebut oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan dasar beliau sempena Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.
Sebagai rakyat Malaysia kita harus bersyukur kerana mempunyai sebuah kerajaan yang begitu akomodatif kepada ajaran Islam. Apa yang dimaksudkan penulis dengan nilai akomodatif ini ialah kesediaan kerajaan yang diterajui UMNO untuk turut terlibat aktif dalam meratakan kefahaman Islam sekali gus memartabatkan prinsip dan nilai-nilai Islam sama ada dalam perjuangan mahupun pemerintahan.
Sememangnya UMNO telah banyak menyumbang kepada peningkatan syiar Islam sama ada berbentuk fizikal seperti perundangan, pembangunan prasarana dan institusi keagamaan mahupun dalam konteks penerapan nilai-nilai Islam melalui pendidikan, sosial dan pembangunan ekonomi.
Sikap akomodatif UMNO ini jugalah yang memungkinkan berlakunya transformasi sosial masyarakat sehingga meningkatnya kesedaran dan keinginan untuk hidup beragama berpandukan nilai-nilai Islam yang luhur.
Kesedaran terhadap Islam juga tampak semakin mengakar dalam masyarakat kini khususnya generasi yang lahir pasca kemerdekaan dan melalui sistem pendidikan berorientasikan dasar penerapan nilai-nilai Islam yang diperkenalkan kerajaan. Natijahnya Islam tampak kian menyubur dalam masyarakat hinggakan pelbagai program agama bercambah dan berkembang bagaikan cendawan selepas hujan.
Sistem ekonomi Islam berasaskan syariah yang bebas daripada riba umpamanya, terus menjadi model negara-negara Islam mahupun bukan Islam seantero dunia. Malah mungkin ramai yang masih tidak menyedari bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai sistem dan infrastruktur kewangan Islam yang paling komprehensif bersifat menyeluruh.
Daripada institusi perbankan Islam, takaful, pasaran modal Islam yang menyantuni keperluan pelbagai kelompok masyarakat hinggalah kepada skim-skim pembiayaan mikro patuh syariah kepada golongan berpendapatan rendah dan usahawan-usahawan kecil. Ini adalah sebahagian daripada keseriusan kerajaan UMNO dalam mengembangkan syiar dan prinsip Islam dalam bidang muamalah hingga mendapat pengiktirafan dan dijadikan model negara-negara Islam lain.
Pengalaman penulis menjelajahi pelbagai negara seantero dunia yang ingin belajar daripada Malaysia dalam membangunkan sistem kewangan Islam berpandukan Syariah sentiasa dihujani dengan kenyataan kekaguman mereka terhadap Malaysia.
Malah agenda memartabatkan Islam ini amat dicemburui oleh banyak pemikir dan ulama antarabangsa yang sentiasa menjadi mangsa sikap keras kebanyakan kerajaan khususnya di Timur Tengah yang bukan setakat tidak akomodatif malah kadang kala menentang apa jua inisiatif individu yang ingin menyuburkan syiar Islam.
Keadaan cukup berbeza dalam konteks negara kita Malaysia. Kewujudan Pas sebagai sebuah parti berjenama Islam sudah cukup membuktikan keterbukaan dan sikap demokratik kerajaan.
Kerajaan Malaysia di bawah UMNO bukan sahaja memberikan kebebasan kepada pertubuhan-pertubuhan dakwah untuk berkembang subur malah turut berperanan aktif mengembangkan dan menginstitusikan agenda Islam.
Bagaimanapun, dewasa ini wujud kecenderungan segelintir untuk memperlekeh dan menidakkan usaha-usaha UMNO khususnya yang berkaitan dengan agenda memartabatkan syiar Islam. Apa sahaja program agama dan agenda Islam yang digagaskan mahupun yang telah dilaksanakan sering kali cuba diremeh dan diperkecilkan seolah-olah hanya bertujuan meraih undi dan sokongan murahan.
Sebenarnya kecenderungan meremehkan usaha dan tindakan orang lain khususnya dalam upaya memartabatkan Islam bertitik-tolak daripada sikap sesetengah pihak yang merasai bahawa Islam hanya milik mereka. Mereka lebih kudus dan suci daripada orang lain. Justeru merekalah yang lebih berhak memperjuang dan melaksanakan Islam di bumi Malaysia ini.
Perasaan angkuh, bongkak dan takabur inilah yang akhirnya membiakkan prasangka buruk hingga sanggup menafikan sumbangan orang lain. Golongan seperti ini seharusnya takut dengan amaran tegas Allah agar menjauhi tabiat sebegini sebagaimana firman-Nya dalam surah An-Najm ayat 32 yang bermaksud: Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah (Allah) yang paling mengetahui tentang orang-orang yang bertakwa.
Mengambil iktibar daripada ayat Allah ini seharusnya menyedarkan kita betapa pentingnya untuk kita benar-benar menghayati akhlak Islam sebenar. Sikap memperlekeh tahap keislaman orang lain seharusnya tidak wujud dalam sanubari seorang Mukmin kerana ia hanya akan menjerumus umat ke dalam kancah pertembungan emosi yang membinasakan.
Justeru, UMNO tidak perlu lagi mempedulikan apa orang kata. Yang penting pendokong perlu terus dipasakkan dengan kefahaman agar terus istiqamah memperkasakan Islam dalam agenda perjuangannya. Bagaimanapun perjuangan Islam tidak akan sempurna jika amalan dan pegangan peribadi dikesampingkan.
Kesedaran yang tinggi mahupun semangat menggunung semata-mata tidak cukup sekiranya pengamalan terhadap prinsip-prinsip asas yang mendasari ajaran Islam tidak benar-benar merata dan menyeluruh.
Memang masih banyak lagi ruang pembaikan yang boleh dilakukan UMNO bagi tujuan memperkasa Islam dalam parti dan pentadbiran negara. Ini termasuklah membersihkan parti daripada penyimpangan seperti rasuah, cah keting dan apa jua bentuk amalan yang ditegah Islam.
Apa yang paling penting kita harus mengerti bahawa program perlaksanaan syariat dalam konteks suasana kemalaysiaan yang serba rapuh (fragile) ini harus dilakukan secara hikmah dengan mengambil kira pelbagai pertimbangan yang cukup calculative. Akhirnya matlamat biar tercapai tanpa kegoncangan-kegoncangan yang tidak perlu. Bak kata pepatah 'ikan biar tertangkap, tetapi air jangan sampai keruh'.

Kenapa perlu menang majoriti 2/3?

SETAKAT ini belum ada analisis bebas yang mengatakan Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. Menang tetap menang. Persoalannya, menang dengan majoriti 2/3 atau menang dengan simple majority (majoriti mudah).
Keputusan Pilihan Raya Umum 2008 dianggap satu malapetaka. Tetapi Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan sebaliknya. Kerajaan simple majoriti boleh berfungsi lebih baik. Ia menjadi resipi melakukan muhasabah, UMNO bangkit semula, dan kini pembangkang pula yang defensif.
Ia umpama bermain bola sepak. Angka kadang-kadang tidak penting. Adakalanya pasukan dengan sembilan pemain mampu mengalahkan pasukan lengkap sebelas pemain. Sebabnya, sembilan pemain yang tinggal itu lebih berdisiplin, berkualiti, ofensif dan winnable.
Malaysia mendahului Hong Kong 1-0 dalam perlawanan persahabatan Piala Suzuki AFF. Tetapi Hong Kong berjaya menyamakan kedudukan 1-1, beberapa minit selepas mereka bermain dengan 10 pemain sahaja. Pokoknya, strategi, taktikal, kepimpinan dan semangat bermain satu pasukan amat penting.
Walaupun BN boleh memerintah tanpa majoriti 2/3, tetapi dalam konteks masyarakat yang berbilang kaum, kerajaan majoriti 2/3 amat penting. Apatah lagi di Malaysia, kita berdepan dengan pembangkang yang belum matang.
Mereka enggan mengiktiraf sesuatu yang baik. Pada mereka yang baik tetap tidak baik. Ada kalanya yang baik mereka cuba musnahkan.
Malaysia dan Amerika Syarikat sama-sama mengamalkan sistem politik demokrasi. Tetapi kematangan parti-parti politik yang berebut kuasa di Malaysia dan Amerika amat berbeza. Di Malaysia, parti pembangkang masih belum matang.
Pada pilihan raya Presiden Amerika tahun 2000, Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan dengan undi 5/4 mengekalkan keputusan 4/3 Mahkamah Agung Florida. Florida kekal dimenangi oleh Bush yang ditentang oleh Al Gore. Pembangkang di Amerika menerima dengan baik keputusan tersebut. Tidak ada kekecohan, dan tidak ada demonstrasi jalanan.
Ia berbeza dengan sikap pembangkang di Malaysia. Apabila Sultan Azlan Shah (bekas Ketua Hakim Negara) memutuskan mengikut Perlembagaan Negeri Perak, bahawa BN layak melantik Menteri Besar baru kerana ketiga-tiga ADUN pembangkang berpaling tadah menyokong BN, pembangkang bertindak liar dan tidak matang.
Mereka bermesyuarat di bawah pokok, ada penyokong berbaring secara biadab di jalan raya dan bekas Speaker V. Ganesan (pembangkang) terpaksa diangkat dan diusung keluar kerana enggan mengosongkan kerusi Speaker.
Di Parlimen, pembangkang kerap kali melakukan serangan hendap melalui undi 'belah bagi' (block voting) untuk menggagalkan sesuatu Rang Undang-Undang. Ini termasuk cubaan untuk menolak Bajet 2013 yang dibentang oleh Perdana Menteri. Mereka sering membawa usul remeh seperti mahu memotong gaji menteri sebanyak RM10.
Bayangkan, kalau Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) membawa usul potong elaun Parlimen Ketua Pembangkang, kerana suka bercakap bohong di Parlimen termasuk isu moralnya. Tetapi BN tidak melakukannya kerana BN adalah parti yang matang.
Pembangkang menggunakan undi 'belah bagi' hanya untuk memalukan kerajaan. Kita ada pengalaman pahit di mana Rang Undang-Undang diluluskan dengan majoriti satu undi sahaja. Begitulah sukarnya jika pembangkang tidak rasional dalam sebuah kerajaan bukan majoriti 2/3.
Justeru, BN perlu serius untuk kembali membentuk kerajaan majoriti 2/3. Jika tidak amat sukar kerajaan mahu melakukan perubahan. Sewajarnya Perhimpunan Agung UMNO 2012 menjadi platform menyuntik iltizam membahaskan idea-idea bernas bagaimana memenangi semula kerajaan majoriti 2/3.
Kita perlukan sentuhan emas untuk memenangi pengundi baru, pengundi wanita, pengundi muda dan 'undecided voters'. UMNO perlu lebih ofensif. Winnable candidate juga penting. Tetapi winnable candidate mestilah yang sebenar-benarnya 'a winnable candidate'.
Segala-galanya kini terletak di tangan pemain, iaitu ahli dan pemimpin semua peringkat UMNO itu sendiri. Ayuh berjuang melakar kemenangan.

UMNO terus gagah

KELAHIRAN parti politik UMNO 66 tahun lalu bukan di atas dulang emas, jauh sekali dikelilingi intan permata. 
*****
Sebaliknya, parti itu ditubuhkan melalui pengorbanan orang Melayu, jerih perih yang sukar ditakrifkan menerusi kata-kata dan perjuangan atas satu matlamat iaitu untuk menyatukan umat Melayu di bumi sendiri bagi menghalang agama, budaya dan tanah air tergadai dek kerakusan penjajah.
Kata orang, jika baik niatnya, maka baik jugalah hasilnya. Ternyata, perjuangan murni itu mendatangkan kejayaan yang bukan sedikit. Merdekanya negara, membangunnya Malaysia, segalanya ada kaitan dengan perjuangan UMNO dari zaman Datuk Onn Jaafar sehinggalah Presidennya hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam memperjuangkan semua itu, tiada siapa dapat menafikan peranan Perhimpunan Agung UMNO yang menjadi medan percambahan pendapat yang banyak mendatangkan faedah.
Perhimpunan yang berlangsung setiap tahun itu juga memainkan peranan cukup penting dalam mempengaruhi nasib negara melalui sistem pemilihan yang demokratik.
Selaku parti terbesar di Malaysia dengan lebih tiga juta ahli berdaftar, Perhimpunan Agung UMNO pada setiap tahun pastinya menjadi tumpuan. Tidak hanya kerana idea yang dilontarkan, malah kemeriahannya seakan satu temasya.
Di sebalik peralihan zaman demi zaman, tersimpan seribu satu kisah yang mungkin tidak begitu diketahui ramai. Wartawan S2, MOHD. RAFIE AZIMI, ABD. HALIM HADI dan ZAINAL AZHAR MOHAMED bersama jurugambar, ASWAD YAHYA, FAUZI BAHARUDDIN dan ZAINI HUSIN menyingkap kisah-kisah itu.

Di sebalik penciptaan lagu UMNO

Lagu keramat, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat ciptaan Johari Salleh terus dinyanyikan oleh para perwakilan dengan penuh bersemangat setiap kali Perhimpunan Agung UMNO. 
*****
SETIAP kali berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO, lagu keramat, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat akan sentiasa berkumandang di setiap penjuru Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dinyanyikan dengan penuh semangat oleh para perwakilan.
Mula diperdengarkan secara umum pada Perhimpunan Agung UMNO 1985 di PWTC, lagu itu merupakan hasil ciptaan sepenuhnya komposer terkenal yang juga bekas Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Johari Salleh.
Namun di sebalik semua itu, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa ilham untuk menghasilkan lagu itu datangnya daripada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Menurut Johari, segalanya bermula apabila Siti Hasmah yang lama dikenalinya sejak bertugas di RTM, menghubunginya melalui telefon kira-kira tiga minggu sebelum Perhimpunan Agung UMNO 1985.
"Saya masih ingat ayatnya. Dalam nada lembut dan ceria, beliau secara kiasan menyatakan bahawa MCA dan MIC sudah memiliki lagu rasmi tetapi UMNO masih belum ada.
"Tanpa berfikir panjang, saya katakan kepadanya usah bimbang. Saya akan uruskan segera dan anggaplah segalanya sudah selesai," katanya kepada S2.
Mencipta lagu itu jelasnya tidaklah sukar memandangkan beliau sememangnya memiliki studio sendiri. Menurutnya, lagu itu hanya memerlukan kira-kira dua jam untuk disiapkan.
"Untuk proses rakaman, saya menggunakan kakitangan syarikat saya sendiri iaitu, Josal Music Sdn. Bhd. Tidak hanya kakitangan Melayu, malah kakitangan Cina dan India turut menyanyikan lagu itu," katanya.
Selepas seminggu menerima panggilan daripada Siti Hasmah, Johari berkata, beliau menyerahkan salinan lagu itu kepada Setiausaha Agung UMNO ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid di bangunan Parlimen.
"Lantas lagu itu diperdengarkan kepada barisan kepimpinan UMNO termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Bankuasi, Bangunan Parlimen. Setelah dimainkan dua atau tiga kali, hanya dalam tempoh setengah jam, kesemua mereka mampu menyanyikan lagu itu dengan baik sambil melihat lirik lagu tersebut di tangan masing-masing.
"Semangatnya sukar digambarkan. Saya berbangga dengan lagu itu kerana Tun Mahathir turut menyebut nama saya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 1985 sebagai pencipta lagu UMNO. Apatah lagi sehingga kini, lagu itu terus dinyanyikan dan diambil semangatnya," ujarnya.

Sebarkan fakta ekonomi sebenar

MALAYSIA kini berada di tangga ke-12 dalam senarai kemudahan urus niaga; nombor 25 dalam indeks kompetitif, di tempat kesembilan sebagai destinasi pelancongan utama; pelindung pelaburan keempat terbaik; dan nombor satu untuk kemudahan kredit.
Ini bukan sahaja meletakkan negara mengatasi negara maju seperti Jepun, Jerman, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Sweden dan Itali malahan lebih baik daripada Thailand, China, Bahrain, Itali dan India.
Sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar lima peratus juga berjaya dilepasi pada kadar semasa 5.2 peratus, lebih baik daripada KDNK Singapura, AS mahupun Korea, di samping pengiktirafan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam ulung dunia.
Kadar pengangguran semasa pula cuma sekitar tiga peratus sahaja berbanding 9.7 peratus di AS, sementara pelaburan swasta meningkat 22 peratus dan Indeks komposit Bursa Malaysia pula mencecah 1,600 mata atas kepercayaan pelabur seluruh dunia.
Malaysia juga mempunyai hutang pada kadar 53.7 peratus berbanding KDNK tetapi jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan AS (73.6 peratus), Singapura (105.7 peratus) dan Jepun yang mencecah 219 peratus.
Defisit fiskal pula pada kadar 4.5 peratus sahaja, jauh lebih baik daripada India, Sepanyol, AS, UK dan Jepun, malahan kerajaan akan cuba merendahkan lagi kadar itu kepada tiga peratus kelak.
Walaupun masih banyak fitnah dan suara sumbang yang menuduh negara dalam keadaan begitu teruk kini, fakta-fakta tersebut membuktikan kedudukan ekonomi negara kukuh dan berjaya hasil usaha pentadbiran bijaksana para pemimpin sejak 55 tahun negara merdeka.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh dalam mengemukakan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 antara lain menetapkan sokongan para perwakilan terhadap program transformasi inklusif yang dilaksanakan secara saksama untuk semua kaum.
Sokongan turut dinyatakan terhadap falsafah pembangunan negara dan Model Baharu Ekonomi (MBE); Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang memberi kesan positif kepada ekonomi bumiputera; serta sokongan padu untuk pelbagai program rakyat di bawah jenama 1Malaysia.
Usul itu turut menyeru pengukuhan agenda bumiputera melalui pusat sehenti di peringkat nasional dan wilayah untuk syarikat bumiputera serta menggesa syarikat milik kerajaan (GLC) melaksanakan agenda pembangunan ekonomi bumiputera dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sahaja.
Tidak dilupakan, pendapatan tinggi dan peluang kerja untuk golongan muda dalam sektor awam mahupun swasta di samping memperkasakan skim pembiayaan mikro yang terbukti banyak membantu usahawan bumiputera.
Idris yang juga Pengerusi Mara menegaskan, Malaysia kini telah menjadi satu 'jenama' dan dunia memperakui ekonomi negara ditadbir dengan baik oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) selama ini.
"Kita telah mencipta nama tersendiri. Kerana negara ditadbir dengan baik, rakyat juga kini hidup sejahtera khususnya melihat kepada kemampuan rakyat berbelanja.
"Sekitar RM1 bilion dibelanjakan rakyat setiap tahun dalam mengerjakan umrah, anak-anak mampu dihantar belajar di luar negara, boleh beli kereta, bina rumah dan menjalankan ibadah korban sehinggakan boleh dihantar kepada penduduk Islam di negara lain," katanya.
Selain bantuan rakyat dalam aspek pendidikan, kesihatan, perumahan dan banyak lagi, beliau menjelaskan Perdana Menteri turut melancarkan Indeks Kesejahteraan baru-baru ini yang merangkumi aspek kehidupan seperti nilai-nilai murni, alam sekitar, perpaduan, tangani kemiskinan dan sebagainya.
Walaupun dunia telah mengakui kecekapan pentadbiran kerajaan, beliau berharap rakyat sendiri menyedari fakta tersebut melihat angka dan fakta sebenar kerana angka-angka tersebut tidak boleh menipu.
"Perbandingan melalui angka-angka itu jelas menunjukkan prestasi pentadbiran ekonomi negara, jadi tak guna terus menjaja kononnya negara kita teruk sangat.
"Kadar pertumbuhan, pengangguran, KDNK, semua tunjuk perkara sama, kita dalam keadaan baik dan mungkin lebih baik daripada sesetengah negara-negara utama lain," ujarnya.
Tambahnya, pegangan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara juga telah bertambah hasil pelbagai program oleh Teraju dan agensi kerajaan yang lain.
Namun, beliau mengingatkan rakyat agar memahami sebarang bentuk perancangan dan program akan mengambil masa untuk menampakkan hasil.
"Projek-projek besar yang digerakkan menunjukkan komitmen kerajaan terhadap agenda ekonomi bumiputera tidak boleh dipertikai lagi, tetapi semua itu memakan masa untuk menunjukkan hasil yang diharapkan.
"Bagaimanapun, agenda bumiputera juga tidak boleh berjalan tanpa pembangunan dalam ekonomi negara, kedua-duanya perlu selari dan kerana itu kita bukan sekadar menekankan ekonomi bumiputera sahaja," tegasnya.
Walaupun kerajaan menyatakan komitmen untuk terus membantu ekonomi bumiputera, Idris berharap usahawan bumiputera sendiri mempunyai komitmen untuk berjaya atau semuanya akan sia-sia.
Berkaitan peranan GLC, beliau berpendapat warga korporat tidak boleh disalahkan kerana dilihat kurang bersungguh-sungguh membantu agenda ekonomi bumiputera.
"Mungkin mereka tidak begitu nampak perkara itu sebagai fokus utama, tidak boleh salahkan mereka. Kita akan berjumpa dan cakap dengan mereka agar agenda ini boleh dijadikan antara objektif utama GLC kelak.
"Kerana itu saya sebut perkara ini dalam usul tadi (semalam) untuk lebihkan peranan GLC. Jika ekonomi bumiputera menjadi antara objektif utama, ditambah dengan program CSR lagi, semua akan lebih baik," jelasnya.
Beliau juga menyatakan keyakinan bumiputera mampu menjadi usahawan berjaya selagi ikhlas sepenuhnya menjadi usahawan tulen, berdisiplin, bersatu hati dan mengurangkan sikap-sikap negatif.
"Halangan itu di mana-mana pun ada. Janganlah mahu kerja senang sahaja, makan bahagian kecil dalam projek tetapi tidak mahu kerjakan projek itu sendiri, perlu ikhlas dan kerja kuat.
"Sudah jelas ramai usahawan bumiputera yang berjaya kerana mereka ini ada disiplin, kompetitif dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata," katanya.
Beliau turut menyelar pihak yang mengatakan ekonomi Malaysia tidak inklusif melihatkan begitu ramai 'taikun-taikun' bukan bumiputera yang mengungguli senarai individu terkaya negara.
"Kalau kita tidak inklusif, tak mungkin begitu ramai bilionair bukan bumiputera. Bila menyebut agenda ekonomi bumiputera, mungkin ada sikit-sikit isu perkauman dimainkan tetapi bukan bumiputera yang dinamik pasti bersedia berurus niaga dengan usahawan bumiputera.
"Mungkin kerana rakyat tidak diberikan makluman secukupnya sehinggakan ramai lagi yang mempercayai tuduhan dan penipuan kononnya pentadbiran ekonomi negara begitu teruk selama ini," ujarnya.
Idris turut mencadangkan lebih banyak usaha digerakkan dalam menunjukkan fakta sebenar kepada rakyat terutamanya dalam menyampaikan bukti ekonomi negara telah lama ditadbir dengan baik pemimpin BN.
"Kita kena tunjuk perkembangan jangka panjang, selain kejayaan, tunjukkan krisis pada 1970-an, 80-an, 90-an, 2000 dan krisis ekonomi terbaru semuanya melibatkan faktor luaran sedangkan ekonomi dalam negara tetap kukuh.
"Asasnya balik kepada pembangunan ekonomi, jika ada pertumbuhan, ada kerja dan ada duit. Dengan pembangunan lebih lima peratus setahun itulah kerajaan boleh gerakkan bermacam program untuk kesejahteraan rakyat dan kini semua itu telah diperakui dunia," jelasnya.

Resipi pakatan bawa kehancuran negara

SEBAHAGIAN perwakilan ketawa ketika mendengar perbahasan usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012, di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Amalan ekstremisme, liberalisme dan konsep kesamarataan yang diperjuangkan Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP merupakan resipi kehancuran buat negara ini.
Wakil UMNO Johor, Datuk Samsol Bari Jamali berkata, amalan ekstremisme agama bukan sahaja telah membawa perpecahan di antara penganut, malah, mewujudkan pertelingkahan serta konflik antara kaum.
Katanya, konsep kesamarataan ala DAP melalui slogan 'Malaysian Malaysia' pula menjurus kepada kezaliman apabila konsep itu tidak melihat keperluan kelompok masyarakat yang memerlukan pembelaan sehingga membibitkan isu perkauman.
"Sementara yang menganjurkan liberalisme pula sudah menjadikan semua hal kehidupan sehingga hal agama serta fitrah manusia ditakrif liberal. Puak ini sebenarnya tersepit antara dua ekstrem lantas mahu menjadikan semuanya liberal dan akhirnya menjurus ke arah anarki.
"Ketiga-tiga dalam komplot pembangkang yang tidak sehaluan ini menggunakan isu kaum dan agama sebagai umpan mencari populariti," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di PWTC di sini hari ini.

Doa Pas tidak ikut kaedah Islam - Fathul Bari

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Cara yang dipraktikkan Pas ketika mendoakan kehancuran UMNO adalah tidak mengikut kaedah Islam seperti yang dilakukan Nabi Muhammad SAW, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahya.
Beliau berkata dalam doa itu, Pas tidak menjelaskan secara spesifik bentuk kezaliman yang dimaksudkan, seolah-olah menuduh seluruh anggota UMNO berlaku zalim.
Ketika membahaskan usul agama dan pendidikan di Perhimpunan Agung UMNO 2012 hari ini, beliau menceritakan kisah Nabi Muhammad SAW yang mendoakan supaya Allah melaknat pihak yang menipu baginda semasa meminta nabi mengutuskan 70 pakar al-Quran untuk memenuhi beberapa kabilah, namun dibunuh di pertengahan jalan.
"Nabi doakan laknat ke atas mereka dalam setiap solat nabi selama sebulan, doa dalam qunut nazilah. Kemudian, Allah turunkan ayat menegur perbuatan nabi, dan nabi hentikan perbuatan itu.
"Doa nabi khusus kepada orang yang melakukan kezaliman itu, nabi sebut nama satu persatu. Persoalan sekarang doa yang dibaca Pas disebut perkataan umum, iaitu UMNO," katanya.
"Adakah kita semua di sini menzalimi mereka? Adakah kita semua di sini menghancurkan mereka? Adakah kita semua di sini rasuah?," katanya disambut laungan “tidak!" oleh perwakilan UMNO.
Fathul Bari berkata doa oleh Nik Razi Nik Mat, adik kepada Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini menggunakan kaedah yang salah dan tidak memenuhi kriteria doa orang yang dizalimi.
Mengikut kaedah Islam, doa itu perlu dirujuk kepada satu pihak secara spesifik bersama bukti, perlu diletak perkataan "sekiranya" jika tidak Pasti dan perlu ada pernyataan memaafkan kepada pihak yang dirujuk, katanya. - BERNAMA

PM beri tumpuan soal keselamatan

Najib Tun Razak bersama para perwakilan Kelab UMNO Luar Negara melihat akhbar Utusan Malaysia semasa mengadakan pertemuan di tingkat 5, Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Kerajaan akan memastikan tahap keselamatan rakyat Malaysia di luar negara terutama pelajar ditingkatkan terutama di beberapa negara bergolak di rantau Arab.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan pertemuan dengan 67 wakil Kelab UMNO Luar Negara di sini hari ini turut meminta pemimpin kelab berkenaan supaya memberi maklumat segera berhubung perkara itu kepada pihak kedutaan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negara Kelab UMNO Mesir, Habib Bakri Mamat berkata, perkara itu dibangkitkan beberapa wakil Kelab UMNO berikutan perkembangan semasa di Mesir dan Asia Barat yang masih tidak menentu.
''Kita gembira apabila permintaan kami mendapat perhatian serius Perdana Menteri dan pada masa sama beliau mengajak kami berfikir kesan pertukaran kerajaan yang bukanlah satu-satunya penyelesaian untuk melihat perubahan,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan tersebut yang berlangsung selama kira-kira 30 minit itu.
Yang hadir sama, Pengerusi Biro Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim.
Presiden Kelab UMNO Australia Barat, A. Al-Haqq Mohamad Mubin pula berkata, kesediaan Perdana Menteri untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan dalam pertemuan itu amat melegakan.
Katanya, ia membuktikan keprihatinan pemimpin nombor satu negara kepada pelajar di luar negara walaupun mempunyai pelbagai isu yang lebih kritikal di tanah air.
Presiden Kelab UMNO Auckland, Noor Liyana Nouxman berkata, Perdana Menteri turut menyampaikan pesanan supaya Kelab UMNO Luar Negara menjadi jentera untuk membantu UMNO dan kerajaan khususnya dalam menjayakan agenda transformasi.
Katanya, Perdana Menteri turut menyifatkan Kelab UMNO Luar Negara sebagai landasan terbaik untuk generasi muda menjayakan agenda berkenaan.
Sementara itu, wakil Kelab UMNO Queensland, Fatin Sajeeda Abdul Shukor yang kali pertama menghadiri Perhimpunan Agung UMNO mengakui teruja dapat menghadiri pertemuan bersama Perdana Menteri hari ini.

Pengerusi Tetap 'naik angin'

BADRUDDIN Amiruldin mengangkat tukul untuk menunjukkan kemarahan terhadap keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor yang mahu mengambil alih pasar pagi dan malam serta pasar tani semasa perbahasan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Suasana Dewan Merdeka di PWTC, di sini riuh apabila Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin tiba-tiba 'mengamuk' sambil mengangkat tukulnya.
Nyata isu terkini yang didedahkan pembahas dari Selangor, Datuk Ramli Norani mengenai keputusan kerajaan negeri yang ingin mengambil alih pasar pagi dan malam serta pasar tani membuatkan Badruddin 'panas' dan tidak senang duduk.
Masakan tidak, Badruddin adalah Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang bertanggungjawab menguruskan pasar tani di seluruh negara.
Ramli semasa mendedahkan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri itu berkata, keputusan tersebut dibuat kerana mereka menyedari ketiga-tiga pasar berkenaan menawarkan produk dan hasil kampung yang baik serta mendapat sambutan hangat daripada masyarakat termasuk golongan kaya.
"Saya nak beritahu di sini, kalau mereka nak ambil alih pasar tani, saya akan kerah semua rakan penjaja berkumpul di pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri)," katanya semasa membahaskan Usul Ekonomi Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, di sini hari ini.
Nada marah beliau menentang keputusan itu turut membangkitkan ketidakpuasan hati Badruddin yang tiba-tiba menjerit sambil mengangkat tukulnya dengan berkata:
"Kalau mereka berani ambil alih, saya akan bawa jentera pasar tani dari seluruh negara, kita kepung pejabat ibu negeri Selangor, itu janji saya."
Tindakan spontan Badruddin membuatkan perwakilan yang lain turut riuh kerana tidak berpuas hati apabila mengetahui keputusan berkenaan.
Ramli yang kemudian meneruskan perbahasannya setelah memberi laluan kepada Pengerusi Tetap melampiaskan amarahnya turut meminta supaya jumlah maksimum pinjaman makro kepada peniaga kecil dan peniaga dinaikkan dari RM50,000 kepada RM100,000.
"Naikkanlah pinjaman itu supaya sedaplah sikit kita berniaga. Ia juga untuk menaikkan ekonomi dan taraf hidup orang Melayu," katanya.

Tolak calon ada ‘kad kuning’

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Ahli UMNO yang mempunyai rekod tidak baik serta boleh mengundang persepsi negatif dalam kalangan rakyat tidak harus dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang melabelkan golongan itu sebagai mereka yang mempunyai ‘kad kuning’ berkata, golongan itu boleh menjadi liabiliti kepada parti.
“Saya akui setiap calon pilihan raya yang diketengahkan perlulah kuat bekerja dan merendah diri, tetapi saya harap Presiden UMNO turut memberi perhatian kepada ahli yang ada ‘kad kuning’, jangan ketengahkan golongan ini.
“Calon mestilah bersih daripada sebarang kontroversi atau skandal, barulah rakyat akan sokong. Pengundi sekarang khususnya orang muda bermaklumat, mereka tahu banyak perkara," katanya ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO menggesa ahli-ahli parti yang hadir dalam persidangan itu supaya tidak bersemangat di dalam dewan sahaja, sebaliknya semangat itu perlu diterjemahkan kepada gerak kerja yang bersungguh-sungguh sehingga ke setiap kampung di seluruh negara.
“Tidak guna menjerit bersemangat, tunjuk kehebatan di dalam dewan sahaja. Buktikan semangat itu dengan bekerja sehingga ke peringkat akar umbi," jelasnya.
Beliau juga berterima kasih dengan ketegasan pemimpin negara menolak fahaman liberalisme dan pluralisme kerana ia selari dengan tuntutan agama Islam.