DALAM Facebook, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai hasil
pertemuannya dengan Anwar Ibrahim berbangkit kenyataan Anwar mengenai
Israel dalam The Wall Street Journal (WSJ) dan kata dua Majlis Syura Pas terhadap Anwar iaitu menarik balik kenyataan berkenaan atau menyaman WSJ, Nik Aziz menjawab terserahlah kepada Anwar untuk menerima pendirian Pas.
Kata Nik Aziz lagi, Pas sentiasa konsisten, parti itu tidak akan
mengiktiraf negara haram Israel sebaliknya terus memberi sokongan kepada
perjuangan rakyat Palestin. Kenyataan ini adalah kenyataan berani dan
ia adalah isu prinsip. Kenyataan Anwar di media selepas bertemu dengan
Nik Aziz tetap dengan pendiriannya dan tidak akan meminta maaf kepada WSJ.
Dua kenyataan yang mempunyai maksud yang berbeza ini amat menarik
undianalisis. Nik Aziz tidak akan membuat kenyataan yang membelakangkan
hasrat Majlis Syura kerana ia suatu amanah. Majlis Syura sudah tentu
membincangkannya secara panjang lebar.
Menariknya dalam isu ini Anwar tidak dipanggil terlebih dahulu
memperjelaskan keadaan tetapi Majlis Syura membuat keputusan sendiri dan
selepas pertemuan Anwar dengan Nik Aziz, nampaknya Nik Aziz menyebutkan
Pas tidak akan mengiktiraf negara haram Israel.
Analisis pertama ialah isu Israel dan Palestin adalah isu fundamental
dan menjadi perkara dasar dalam perjuangan Pas. Apakah PKR dan DAP
mempunyai pendirian yang sama atau berbeza dengan Pas. Kenyataan Nik
Aziz mewakili Majlis Syura tegas dengan isu negara Israel dan kedudukan
umat Palestin sedangkan Anwar sebaliknya.
Keinginan Anwar untuk mempertahankan kedaulatan negara Israel
ternyata bercanggah dengan pendirian Nik Aziz walaupun Anwar cuba
memberi justifikasi bahawa Israel perlu patuh kepada beberapa syarat.
Ini bukan pendirian Anwar seorang tetapi sudah dibincang lama oleh
pihak-pihak di Amerika Syarikat (AS) dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB). Isunya siapakah mereka di Amerika itu dan siapa pula di
belakang PBB. Tidak mungkinkah mereka mempunyai muslihat tertentu kerana
pendirian Anwar itu bukan pendirian terpencil.
Kedua, kenyataan Nik Aziz adalah pendirian Pas yang fundamental.
Bagaimana dalam konteks pakatan pembangkang, pendirian Anwar dan
pendirian Pas boleh diharmonikan sedangkan kedua-dua kenyataan itu
adalah saling bercanggah dan tidak ada titik temu. Benarlah seperti kata
dua Majlis Syura, tarik balik atau saman WSJ.
Tentunya Majlis Syura kena bersidang lagi supaya pendirian jelas Pas
dapat dibuat. Kalau tidak ia mencabar kredibiliti Pas. Bayangkan takdir
berlaku persidangan kedua membincangkan isu ini dijangka Majlis Syura
tidak akan berganjak dengan pendirian seperti yang disebutkan oleh Nik
Aziz.
Oleh itu, siapa harus tunduk kepada siapa. Penulis percaya bahawa
Anwar tidak akan tunduk kepada pendirian Pas kerana mengenali Anwar
memang wataknya sedemikian. Pas juga tidak akan tunduk dengan helah
Anwar kerana ia adalah isu prinsip. Isu tolak ansur tidak berbangkit.
Sekiranya Pas akur dengan Anwar bermakna satu lagi prinsip perjuangan
Pas akan hilang. Seperti juga Negara Berkebajikan, adalah suatu cara
melunakkan orientasi perjuangan supaya wujud persamaan antara Pas dan
PKR dan Pas dengan DAP. Meski begitu Abdul Hadi Awang mengatakan
Perlembagaan Pas tetap tidak mengubah arah tuju kepada binaan negara
Islam.
DAP menerusi Karpal Singh tetap tidak menerima agenda negara Islam.
Pas dengan maksud tersiratnya tetap mahukan negara Islam. Bila itu
terjadi wujud isu fundamental antara perlembagaan Pas yang
memperuntukkan negara Islam dan DAP dengan matlamat negara sosialis
demokratiknya.
Oleh itu kesamaan dari segi prinsip yang fundamental antara pendirian
Anwar dengan kenyataan di WSJnya dan pendirian Majlis Syura Pas yang
tidak mahu berganjak tidak wujud. Jika ia tidak wujud bagaimana dasar
negara dapat dibentuk sekiranya pakatan pembangkang diberi kuasa
mentadbir negara?
Hal yang sama bagi Pas, perlembagaannya masih terdapat agenda
membangun negara Islam sedangkan DAP amat menentang. Tidakkah itu
menyukarkan pembentukan sebuah kerajaan kerana Pas mahu negara Islam
kerana ia terdapat dalam perlembagaannya sedangkan DAP mahukan negara
yang sebaliknya.
Kalau Pas ingin menegakkan negara Islam sudah tentu pelaksanaan
syariah dalam sistem adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Karpal
Singh pernah menyebut "langkah mayat saya dulu" sekiranya negara Islam
hendak dijadikan landasan bernegara bagi Malaysia. Maksud negara Islam
tidak sama dengan Negara Berkebajikan.
Dalam negara Islam memang terdapat faktor kebajikan tetapi dalam
Negara Berkebajikan belum tentu ada asas syariah yang mendasari sistem.
Sekiranya Pas menggugurkan perjuangan negara Islam dan pelaksanaan
Syariah Islamiah dalam manifestonya orang ramai akan berpendapat Pas
sudah lari dari garis besar haluan perjuangan. Sekiranya DAP tunduk
dengan kemahuan Pas orang Cina akan meninggalkan DAP.
Sekiranya Pas Kelantan mempunyai manifesto lain iaitu menegakkan
negara Islam, sekali gus melaksanakan hudud apakah DAP dan Anwar
bersetuju? Kalau pelaksanaan negara Islam dan hudud hanya berlaku di
Kelantan saja tetapi tidak di Persekutuan apa maknanya sebuah kerajaan
yang mempunyai dasar berbeza-beza.
Justeru pendirian Anwar di WSJ tidak sekadar suatu lintasan kenyataan
yang terputus langsung dengan pihak lain. Keputusan Majlis Syura' sudah
tentu memahami hakikat ini. Sebab itu Nik Aziz bertegas dengan
pendirian mengharamkan negara Israel.
Pada hemat penulis ketegasan Nik Aziz yang mewakili Majlis Syura
tidak memberi makna sekiranya tiada tindakan susulan. Perbezaan yang ada
adalah amat dasar. Ia tidak hanya suatu pendapat yang boleh dikompromi
dengan mudah. Tetapi mempertahankan keselamatan Israel adalah isu pokok.
Telah sekian lama rakyat Palestin menderita. Anwar tahu tidak mungkin
Israel memulangkan semula Baitulmaqdis kepada Palestin. Lebih tidak
mungkin kawasan yang ditawannya dan dijadikan penempatan mustahil untuk
dikembalikan semula kepada orang Palestin.
Kewujudan Israel adalah sesuatu yang disengajakan. Amerika bimbang
dengan kedudukan Iran dan senjata nuklearnya. Amerika juga bimbang
dengan kebangkitan negara-negara Arab (Arab Spring) meski ada analisis ia adalah perancangan Amerika juga
Apa pun tafsiran, AS tetap menjaga keselamatan Israel kerana
mengukuhkannya adalah mengukuhkan keselamatan AS. Oleh itu kenyataan
Anwar untuk mengukuhkan keselamatan Israel amat melegakan AS dan kuasa
Yahudi tetapi mengguris hati umat Islam dan yang menyokong perjuangan
Palestin termasuk Pas.
/hwa: utusan.com.my | 28/2/12