3 Julai 2012

Usir tiga diplomat Singapura - PPPMM

JOHOR BAHRU 1 Julai - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa kerajaan mengusir tiga diplomat Singapura yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu serta mengharamkan mereka memasuki semula negara ini.
Presidennya, A. Rahman Mahadi berkata, tindakan ketiga-tiga diplomat terbabit jelas tidak menghormati negara ini selain boleh mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.
"Singapura sepatutnya lebih matang terhadap sensitiviti rakyat dan negaar ini serta tidak sesekali campur tangan dalam urusan negara asing.
"Mereka tidak sepatutnya mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan dan kemudian memberi alasan sebagainya. Justeru, kami mahu ketiga-tiga diplomat ini diusir dan diharamkan masuk ke negara ini," katanya kepada pemberita pada program Melayu Kembalilah Bersatu di Hotel TS, Masai di sini hari ini.
A. Rahman berkata, Singapura harus meminta maaf daripada kerajaan dan rakyat negara ini dan berharap kejadian serupa tidak berulang pada masa depan.
Mengenai program anjuran pihaknya itu, beliau berkata, ia bertujuan membincangkan isu-isu berkaitan orang Melayu yang dilihat semakin berpecah belah mengikut fahaman politik masing-masing.
Menurutnya, program tersebut diharap dapat mengenal pasti punca perpecahan itu dan mencari jalan untuk menyatupadukan semula orang Melayu di negara ini.
/hwa: utusan.com.my | 2/7/12

Mandat rakyat 2008 berbaki 10 bulan, menghampiri tempoh lima tahun

TIGA, empat atau lima. Itulah angka yang turut menjadi bualan ketika ini. Adakah sesuatu pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan setelah genap lima tahun selepas sesebuah kerajaan mendapat mandat rakyat?
Atau perlukah ia kekal seperti sekarang iaitu diadakan pada bila-bila masa menjelang genap lima tahun mandat yang diberikan rakyat kepada sesebuah kerajaan? Mungkin selepas tiga atau empat tahun. Isu ini tiba-tiba muncul selepas banyak ramalan atau telahan pelbagai pihak mengenai tarikh PRU Ke-13 meleset dan ramai yang ‘membuang’ masa mencongak bilakah tarikh keramat itu akan datang.
Dalam keadaan tertentu, PRU perlu diadakan walaupun tempoh pembubaran sebenarnya masih jauh. Mungkin ketika kedudukan sesebuah kerajaan dalam keadaan goyah, tidak cukup stabil untuk memerintah dengan baik.
Bagaimanapun jika diselak sejarah PRU yang lalu, tempoh paling awal pembubaran Dewan Rakyat tidak sampai dua tahun, sekitar 17 bulan sahaja. Maknanya PRU diadakan setelah mandat sesuatu penggal Parlimen melepasi usia tiga tahun. Kini setelah Jun berakhir, tidak ada sebarang petanda PRU. Kini timbul pula ramalan yang dikaitkan dengan pembubaran pada bulan September. Maka tercetuslah isu jika PRU berlangsung pada bulan September atau Oktober, Pas mahu anggota partinya menangguhkan pemergian mereka ke Mekah. Pas mahu kerajaan menangguhkan PRU pada musim haji. Seolah-olah pada musim haji, hanya orang Pas yang ke Mekah, tidak ada orang UMNO atau Barisan Nasional (BN). Timbul juga ura-ura, PRU hanya akan berlangsung ketika ia benar-benar menghampiri berakhirnya ‘idah’ menjelang 28 April 2013. Mungkin jika tidak diadakan tahun ini, ia dijangka berlangsung pada Mac 2013. Kita selak kembali dua kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak sebelum ini mengenai pilihan raya yang ada kaitan dengan ‘angka’ atau tempoh mandat ini.
Pertama, pada 22 Jun selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PRU hendak diadakan selepas tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi. Ketika ini tiada apa-apa yang menyekat kerajaan untuk mengadakan PRU lebih awal kerana Perlembagaan membenarkan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen tetapi tidak lewat dari tempoh lima tahun.
Kedua, pada 29 Jun, selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Beliau berkata, tidak timbul soal BN kurang yakin menghadapi PRU berikutan dakwaan pembangkang yang beliau sengaja melambatkan tarikh itu. Katanya BN telah diberi mandat oleh rakyat untuk tempoh lima tahun bagi memperlihatkan kemampuan memimpin dan mentadbir negara serta membawa kemajuan untuk membela untung nasib rakyat. Kalau PRU terlalu awal, bererti memendekkan tempoh yang rakyat telah berikan.
Maka teka-teki mengenai tarikh PRU ini tentunya bukan disebabkan Najib belum mendapat ilham atau bukan juga BN tidak yakin. Di sebalik faktor yang diberikan oleh Najib, sudah tentu BN mahu memenuhi hasrat pembangkang yang memerintah beberapa negeri yang sebelum ini menegaskan tidak akan mengadakan PRU lebih awal. Ada negeri di bawah pakatan 3P (PKR-Pas-DAP) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Parlimen dibubarkan lebih awal. BN juga tentunya mahu mencipta keputusan 14-0 iaitu menang di semua negeri termasuk mendapat mandat rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang (serta Sarawak yang sudah mengadakan PRU DUN).
Najib juga tentunya mengambil kira wang rakyat yang akan digunakan setelah ada hasrat pakatan 3P tidak akan membubarkan beberapa negeri yang dimenangi pada PRU lalu.
Jika diselak kembali kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 November tahun lalu, kira-kira RM40 juta akan dibazirkan jika kerajaan PKR Selangor berkeras mahu mengadakan pilihan raya berasingan. Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, walaupun hak kerajaan negeri membubarkan DUN tetapi banyak perkara perlu dilihat termasuk kepentingan rakyat, pembaziran wang dan tenaga kerja yang bertambah apabila PRU berasingan diadakan.
Justeru, Najib turut mengambil kira untuk menyelamatkan wang rakyat daripada mengalir kepada tujuan yang sepatutnya boleh dielakkan.
Dengan melewatkan PRU sehingga menghampiri tempoh akhir, ia juga membantu kerajaan negeri di bawah pakatan 3P berpeluang menunaikan janji yang belum ditepati selepas menabur janji pada kempen atau manifesto PRU lalu. Menjelang pembubaran Dewan Rakyat atau DUN, biar sedikit atau sekadar ada tetapi apa yang penting bagi mereka ialah menunaikan janji. Sama ada ia sesuatu yang menyeluruh atau sekadar memenuhi kehendak kroni/penyokong tegar mereka, eloklah pengundi yang menentukan pada PRU akan datang.
Mungkin jika sebelum ini kata-kata jika hari ini menang pilihan raya, esok juga ‘itu dan ini’ dilakukan akan bertukar kepada jika esok pilihan raya hari ini juga janji 2008 dilaksanakan. Tidak mustahil, semua janji akan ditunaikan pada saat-saat akhir walaupun risikonya amat besar.
Dengan memasuki Julai, bulan yang akan bermulanya puasa Ramadan kemudian Hari Raya Aidilfitri, kita sebenarnya semakin menghampiri usia lima tahun penggal Dewan Rakyat dan DUN selepas PRU lalu. Kebanyakan usia penggal DUN sudah pun genap empat tahun pada bulan April lalu manakala Terengganu, Kedah, Pahang dan Selangor mencapai tempoh itu pada Mei lalu. Maka tidak ada sebab bagi kerajaan negeri di bawah pakatan 3P mahu mengadakan PRU DUN secara berasingan.
Dan menyelak kembali tempoh mandat pentadbiran kerajaan sebelum ini, ternyata tidak ada yang benar-benar mencukupi lima tahun. Paling hampir pun pada 1969 apabila PRU diadakan kira-kira dua bulan sebelum tempohnya berakhir. Pada 1974, 1978 dan 1982, PRU diadakan kira-kira 17 bulan lebih awal daripada tempoh mandat berakhir.
Pada 1999, mandat yang diperoleh pada 1995 sepatutnya berakhir pada 6 Jun 2000 tetapi Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 November 1999, kira-kira enam bulan lebih awal. Begitu juga pada 2004, mandat selepas PRU Ke-10 yang diadakan pada 29 November 1999 sepatutnya berakhir 20 Disember 2004 tetapi dibubarkan pada 4 Mac 2004 untuk membolehkan PRU Ke-11 diadakan. Manakala mandat yang diperoleh pada PRU Ke-11 sepatutnya berakhir pada 16 Mei 2009 tetapi PRU diadakan 8 Mac 2008 selepas dibubarkan pada 13 Februari 2008.
Begitulah bagaimana mandat sesuatu PRU berakhir, tanpa mencapai tempoh lima tahun tetapi melepasi tiga tahun iaitu tempoh yang tidak membenarkan sebarang pilihan raya kecil diadakan bagi mengisi kekosongan.
/hwa: utusan.com.my | 2/7/12

Pas mahu bertanding 80 kerusi

MARANG 1 Julai - Pas berhasrat menjadi tulang belakang kepada pemerintahan negara jika pakatan pembangkang menguasai Kerajaan Pusat dalam pilihan raya umum akan datang.
Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan, jumlah kerusi yang akan ditandingi parti tersebut mungkin meningkat sehingga 80 berbanding 66 kerusi dalam pilihan raya umum lalu.
Katanya, Pas akan memikul tanggungjawab itu sebagaimana UMNO menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) dalam mencorak hala tuju negara dengan kedudukannya sebagai parti paling kuat.
Beliau menarik perhatian, jika DAP bertanding 40 hingga 60 kerusi Parlimen, malah jika menang 50 kerusi sekali pun, parti itu tidak dapat memerintah negara bersendirian.
"Pakatan Rakyat telah menerima kita (Pas) sebagai parti yang paling kuat serta mempunyai jentera ramai malah kita juga sanggup pikul tanggungjawab untuk bertanding di kawasan yang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak mahu bertanding.
"Jadi, jika mereka (DAP) menang sekali pun mereka tidak boleh memerintah sendiri kerana kita adalah tulang belakang rakyat dan tulang belakang itu adalah orang Melayu kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana sempena Himpunan Hijau Pas ke Putrajaya Ganti UMNO Peringkat Negeri Terengganu di Padang Mengkuang, Bukit Payung di sini malam tadi.
Pada pilihan raya umum ke-12, Pas bertanding di 66 kerusi Parlimen dan menang 23 daripadanya, lebih kecil berbanding DAP dan PKR masing-masing bertanding di 47 dan 97 kerusi di mana DAP menang di 28 kawasan dan PKR pula 31.
"Kita telah berdebat 20 tahun dengan bukan Islam, akhirnya DAP terima keputusan, sekiranya kita memerintah mereka akan terima semua syarat kita tetapkan seperti (kedudukan) agama Islam, bahasa Melayu dan hak orang Melayu," ujar Abdul Hadi.
Sementara itu, ketika ditanya oleh pemberita sekiranya Pas memperoleh kemenangan terbesar kelak, apakah ia masih ingin melantik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Abdul Hadi berkata:
"Belum ada keputusan lagi siapa...nanti selepas menang baru kita putuskan.
Sebelum ini, Pas pernah menyatakan persetujuan sebulat suara dengan parti komponen pembangkang lain untuk melantik ketua pembangkang itu sebagai Perdana Menteri.
/hwa: utusan.com.my | 2/7/12

Suaram syarikat swasta, bukan NGO

AZWANDDIN Hamzah (kiri) dan Tengku Amalluddin Sani Raja Ahmad Sufian menunjukkan dokumen awam SSM mengenai sebuah syarikat, Suara Inisiatif Sdn. Bhd. yang dipercayai Suaram pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/KAMIL MASLIH
*****
KUALA LUMPUR 1 Julai - Suara Rakyat Malaysia (Suaram) perlu menjelaskan kedudukan sebenar pertubuhan itu kerana semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati ia merupakan syarikat swasta yang mempunyai pendapatan lebih RM900,000 pada tempoh 2009 dan 2010.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, menerusi semakan dokumen awam SSM, Suaram adalah sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama Suara Inisiatif Sdn. Bhd. dengan modal berbayar RM2 dan bukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, JMM difahamkan pemegang saham dan pengarah syarikat ini adalah Yeoh Seng Guan dan Kua Kia Soong dengan tarikh pelantikan kedua mereka sebagai pengarah adalah pada 7 Jun 2004.
“JMM juga difahamkan bahawa jumlah pendapatan syarikat ini adalah RM497,137 pada tahun 2009 dan RM411,226 pada tahun 2010.
“JMM mahu tahu sama ada pendapatan syarikat ini dari dalam atau luar serta apakah identiti penyumbang, motif serta niat sebenar mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung JMM, Tengku Amalluddin Sani Raja Ahmad Sufian.
Sehubungan itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa serta Naib Presiden PKR, Tian Chua diminta membuat pengesahan dan memberi penjelasan kepada umum mengenai sumber sebenar pendapatan syarikat itu.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut yang dilakukan pihaknya turut mendapati Suaram tidak berdaftar di dalam Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai NGO.
Berdasarkan semakan lanjut kepada dokumen awam SSM, Suara Inisiatif adalah sebuah organisasi yang tidak bermotifkan keuntungan dengan aktiviti utamanya adalah menganjurkan kempen mengenai hak asasi kemanusiaan serta aktiviti-aktiviti berkaitan.
“Selama ini mereka cenderung kepada sesuatu pihak, saya tidak mahu tuduh tetapi mereka perlu perjelaskan sumber sebenar pendapatan mereka, lagipun mereka yang selama ini memperkatakan mengenai ketelusan.
“Mereka berlagak seperti sebuah NGO tetapi sebenarnya adalah sebuah syarikat swasta. Sumber pendapatan kira-kira RM900,000 itu adalah satu jumlah besar yang perlu diperjelaskan sama ada dari dalam atau luar negara," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim pernah mendesak Suaram mendedahkan sumber kewangan dan penaja pertubuhan itu kerana dilihat berterusan memainkan isu penyelewengan dalam pembelian dua kapal selam negara Scorpene sehingga membawa kes tersebut di sebuah tribunal di Perancis.
/hwa: utusan.com.my | 2/7/12

Tolak Pas demi selamatkan Islam

TUMPAT 1 Julai - Datuk Dr. Hasan Ali menyeru ahli dan penyokong tegar Pas menolak parti itu demi menyelamatkan Islam, Melayu dan institusi raja-raja yang disifatkan beliau menuju kehancuran angkara tindak-tanduk pakatan pembangkang.
Dalam siri jelajah ke-149 di padang Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini, malam tadi, Hasan menganggap beliau tertipu dengan parti itu yang kini tidak lagi memperjuangkan negara Islam dan kepimpinan ulama.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden Pas berkata, dua prinsip utama perjuangan Pas itulah yang mendorong beliau menyertai parti tersebut suatu ketika dulu meskipun sebelum itu telah berkhidmat lama dengan kerajaan.
"Saya percaya dua sebab inilah yang mendorong kita semua masuk Pas. Saya sendiri mempunyai banyak pilihan tetapi saya memilih Pas kerana terpesona dengan perjuangan negara Islam dan kepimpinan ulama yang mereka laung-laungkan.
"Tetapi saya berasa sangat tertipu kerana kedua-dua perjuangan ini sudah tidak lagi diutamakan kerana matlamat pemimpin-pemimpin Pas sekarang adalah Putrajaya," katanya di hadapan lebih 3,000 orang yang hadir di ceramah berkenaan.
Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.
Hasan berkata, Pas tidak lagi memperjuangkan negara Islam apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas Ke-57 tahun lalu menegaskan parti itu akan menegakkan negara berkebajikan di Malaysia.
Beliau yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati) berkata, prinsip perjuangan parti itu berubah setelah 70 peratus daripada barisan kepemimpinannya dikuasai oleh pemimpin sekular yang beliau sifatkan sebagai parasit.
"Pemimpin-pemimpin sekular ini fokus utama mereka adalah Putrajaya. Ketika saya menentang arak dan judi di Selangor dulu, DAP menentang habis-habisan kerana Putrajaya begitu juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Lebih teruk apabila seorang pemimpin Pas datang ke rumah saya menyuruh supaya jangan terlalu bertegas soal arak dan judi itu kerana fokus utama sekarang adalah menawan Putrajaya dulu.
"Saya tidak boleh terima perkara itu kerana perjuangan saya, yang mungkar akan tetap mungkar. Dan disebabkan oleh perjuangan menegakkan Islam inilah saya akhirnya dipecat oleh Pas," tegasnya.
/hwa: utusan.com.my | 2/7/12

Pendedahan Tee Yong serius, mengejutkan

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pendedahan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong berhubung skandal penyelewengan RM1 bilion melibatkan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor adalah serius kerana ia melibatkan kepentingan awam.
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, ia merupakan satu lagi ‘tamparan’ terhadap pentadbiran PKR negeri itu selepas dibelenggu dakwaan perolehan peruntukan RM300 juta di bawah geran Selangorku Sayang daripada sumber meragukan.
‘‘Dakwaan berhubung geran itu pun masih tiada penjelasan yang menyakinkan. Individu yang menjawab dakwaan itu pula adalah Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.
‘‘Kalau begitu, lebih baik suruh sahaja Faekah menjadi Menteri Besar Selangor,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Tee Yong yang mendedahkan mengenai skandal penyelewengan RM1 bilion oleh Kerajaan PKR Selangor.
Bagaimanapun beliau masih belum mendedahkan sepenuhnya dakwaan skandal berkenaan.
Melalui akaun Twitter miliknya, Tee Yong hanya mendakwa sedemikian:
‘‘Kerajaan pembangkang (Kerajaan PKR Selangor) mendakwa telus, mahu melakukan yang terbaik untuk rakyat dan rakyat adalah ketua. Tetapi isu RM1 bilion itu menunjukkan semuanya adalah cakap-cakap kosong.’’
/hwa: utusan.com.my | 2/7/12

2 Julai 2012

Floria Putrajaya 2012

RAJA Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun,semalam berkenan merasmikan Floria Putrajaya 2012 di Persisiran Tasik, Presint 2, di Putrajaya, semalam. Baginda meluangkan masa lebih sejam melawat tapak festival yang mempamerkan 400,000 pokok dan bunga pelbagai spesies tempatan dan luar negara. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Jul 1, 2012 5:20 am

Perhimpunan Bulan JPM

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan ucapan di Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Putra, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pagi ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Jul 2, 2012 11:34 am

Hadi: Pas tanding 80 kerusi

MARANG 1 Julai - Pas berhasrat menjadi tulang belakang kepada pemerintahan negara jika pakatan pembangkang menguasai kerajaan Pusat dalam pilihan raya umum akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi parti tersebut mungkin meningkat sehingga 80 berbanding 66 kerusi dalam pilihan raya umum lalu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana sempena Himpunan Hijau Pas ke Putrajaya Ganti UMNO Peringkat Negeri Terengganu di Padang Mengkuang, Bukit Payung di sini malam tadi.
Pada pilihan raya umum ke-12, Pas bertanding di 66 kerusi Parlimen dan menang 23 daripadanya, lebih kecil berbanding DAP dan PKR masing-masing bertanding di 47 dan 97 kerusi di mana DAP menang di 28 kawasan dan PKR pula 31 kerusi. - UTUSAN
/hwa: utusan.com.my | 1/7/12

Saifuddin gagal jawab isu libatkan pembangkang

KUALA LUMPUR 30 Jun - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail perlu menjawab beberapa isu berkaitan para pemimpin pembangkang sebelum meminta penjelasan daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, Saifudin mesti menerangkan mengapa PKR masih belum mengeluarkan kenyataan dan bukti bagi menyangkal dakwaan Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan bahawa Anwar dan isteri Azmin Ali, Shamsidar Taharin mempunyai hubungan sulit.
Menurut beliau, PKR juga masih belum membuat keputusan sama ada seorang biseksual layak menjadi Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.
"Kita juga ingin tahu mengapa Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail enggan mengadakan sidang akhbar bersama Shamsidar.
"Selain itu, sehingga hari ini, Saifuddin masih gagal memberi penjelasan berkaitan surat sokongan beliau dalam skandal pasir di Selangor," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Saifuddin meminta Awang Adek menjelaskan dakwaan beliau mempunyai hubungan dengan pemilik syarikat yang menerima kontrak mencetak 100 juta keping wang kertas RM2 semasa menjadi Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Sehubungan itu, Anuar memberitahu, Saifuddin tidak layak mempersoalkan Awang Adek dalam isu yang direka oleh PKR memandangkan beliau sendiri gagal menjawab isu-isu membabitkan parti tersebut.
/hwa: utusan.com.my | 1/7/12

Najib mampu buat keputusan

TAIPING 30 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin Datuk Seri Najib Tun Razak mampu membuat keputusan tepat sama ada mahu mengadakan pilihan raya lebih awal atau memanfaatkan sepenuhnya mandat lima tahun untuk memantapkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Menurut beliau, dari satu segi, keputusan untuk menghabiskan baki tempoh pemerintahan lima tahun mampu memberi keyakinan lebih tinggi mengenai kemampuan serta keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat.
"Tetapi kemungkinan pula kalau bagi masa yang panjang, desakan atau tuntutan termasuk yang bukan-bukan kepada kerajaan akan bertambah, mereka akan ugut kerajaan kalau tidak bagi (maka) mereka tidak sokong.
"Itu pun kita kena tengok. Tetapi saya rasa Najib akan memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kemampuan kerajaan yang dipimpinnya," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) ke-51 di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Naib Yang Dipertua Perkim, Datuk Seri Shahidan Kassim; Pemangku Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Muhammad Rais Abdul Karim serta para pemimpin gabungan pertubuhan itu.
Akhbar hari ini memetik kenyataan Najib bahawa keputusan beliau masih berteka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak bermakna kerajaan tidak yakin untuk menang, sebaliknya ia demi menghormati mandat yang diberi rakyat.
Perdana Menteri berkata, walaupun mendapat sokongan padu, BN mahu menggunakan baki mandat yang ada untuk berkhidmat dan terus membela rakyat melalui pelbagai program yang telah dan bakal diadakan.
Ditanya persepsi mengenai pelbagai bantuan serta inisiatif kerajaan termasuk pemberian wang ringgit yang dilihat sebagai 'suapan' politik, Dr. Mahathir berkata, adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan sedemikian.
"Anda boleh anggap itu sebagai satu sebab tetapi kita tahu kos hidup semakin meningkat, soalnya bagaimana kerajaan hendak bantu golongan yang terlibat. Misalnya jika hendak hapuskan tol, orang miskin tidak merasainya kerana mereka mungkin tiada kenderaan pun.
"Begitu juga jika hendak subsidikan sepenuhnya petrol, maka orang kaya juga menikmatinya. Tapi kalau kita boleh beri wang untuk golongan ini ringankan kos hidup misalnya tanggung yuran sekolah anak, beli buku dan sebagainya, maka itu penjelasan yang boleh diterima," ujarnya.
Dr. Mahathir menambah, jika di bandar ia mungkin berbeza, tapi jika orang miskin di kampung-kampung diberi RM500, ia sangat besar ertinya bagi mereka dan beliau tidak fikir itu satu suapan.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Dr. Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim menggesa semua pihak termasuk badan berkuasa agama supaya menjayakan proses dakwah secara berhemah, bukannya dengan kekerasan.
/hwa: utusan.com.my | 1/7/12

Ummi Hafilda tekad `gempur' Permatang Pauh

PERMATANG PAUH 1 Julai - Ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali berhasrat `menggempur' ke seluruh kawasan Parlimen Permatang Pauh bagi menceritakan kepada rakyat mengenai perilaku sebenar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, beliau berazam menerangkan kepada penduduk di situ yang selama ini mungkin tidak tahu 'rahsia' wakil rakyat mereka itu.
"Kita akan terangkan kebenaran. Kita akan pastikan kalau Anwar menjadi calon, kita kalahkan sampai hangus wang pertaruhannya di sini," katanya ketika berceramah di Taman Janggus di sini malam tadi.
/hwa: utusan.com.my | 1/7/12

Mesti berani serang penyangak politik



SYED Ali Alhabshee (kanan) bersalaman dengan seorang perwakilan Pemuda UMNO pada majlis perasmian serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Cheras di Cheras, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 30 Jun - Pemimpin UMNO diminta lebih berani bersuara untuk menyerang penyangak-penyangak politik yang mengkhianati dan menggadai masa depan orang Melayu di negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, serangan hendaklah ditumpukan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang kerana mereka sanggup memperalatkan agama semata-mata untuk mendapatkan kuasa.
Bagaimanapun, menurut beliau, usaha itu sukar dilakukan sekiranya sebahagian besar pemimpin UMNO, termasuk ahli-ahli Majlis Tertinggi parti lebih gemar memilih jalan selamat dengan berdiam diri.
"Selalunya kita lihat muka-muka yang sama seperti Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip yang lantang bersuara menghentam pembangkang.
"Mana perginya pemimpin-pemimpin UMNO? Mungkin mereka takut disaman, tetapi pembangkang tiada sebab untuk berbuat demikian kalau kita bercakap atas dasar kebenaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Cheras di Pusat Rekreasi Cheras di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Syukor dan pemimpin-pemimpin kanan UMNO bahagian berkenaan iaitu Naib Ketua, Datuk Md. Nasir Ghani; Ketua Wanita, Datuk Faridah Abu Hassan; Ketua Pemuda, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah dan Ketua Puteri, Sarina Shariff.
Menurut Syed Ali, pemimpin-pemimpin UMNO sekurang-kurangnya perlu bertindak segera menjawab dan memperbetulkan segala tohmahan serta fitnah yang dilontarkan oleh pembangkang.
"Saya amat bimbang sekiranya keadaan ini dibiarkan berpanjangan kerana lambat-laun, rakyat boleh terpedaya dengan fitnah pihak pembangkang," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan meminta jentera Pemuda dan Puteri UMNO, khususnya di Bahagian Cheras mewujudkan skuad siber bagi menyerang pembangkang di Internet.
Jelas beliau, skuad tersebut juga seharusnya bergerak secara aktif untuk menjawab segala tohmahan pembangkang serta mengumpul pandangan orang ramai berhubung isu-isu yang diutarakan menerusi blog dan media sosial.
/hwa: utusan.com.my | 1/7/12

Kerajaan Pusat bantu kerajaan Pas Kelantan RM5.3 bilion

KULIM 1 Julai - Kerajaan negeri Kelantan menerima bantuan berjumlah RM5.3 bilion daripada kerajaan persekutuan dalam tempoh dua tahun sejak Rancangan Malaysia ke-10 dilancarkan pada tahun 2010.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam tempoh sama kerajaan negeri Kelantan hanya menyumbang hasil pendapatan berjumlah RM300 juta kepada kerajaan persekutuan.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Kulim/Bandar Baharu di sini, hari ini, Ahmad Zahid berkata bantuan tersebut disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri dan agensi-agensi kerajaan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan bantuan kepada rakyat miskin di Kelantan.
Fakta bantuan kewangan ini diperoleh dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan dibentangkan di Parlimen Mei lepas, kata Ahmad Zahid.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat berfikir secara rasional dan menilai dengan adil kerajaan Barisan Nasional yang menepati janji berbeza dengan pakatan pembangkang ibarat "saudagar janji." 
/hwa: utusan.com.my | 1/7/12

1 Julai 2012

PM Dijemput Hadiri Gegaran Euro 2012 Bersama Rakyat 1Malaysia Di I-City

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijemput menghadiri 'pesta menyaksikan siaran langsung' perlawanan akhir Euro 2012 yang dikenali sebagai 'Gegaran Euro 2012 Bersama Rakyat 1Malaysia' di I-City, Shah Alam pada Isnin pagi.

Pengerusi Eksekutif I-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong berkata Najib, seorang peminat sukan bola sepak, dijangka tiba pada 1.30 pagi sebelum perlawanan antara pasukan Itali dan Sepanyol bermula pukul 2.45 pagi.

Lim berkata satu skrin gergasi LED berukuran 40 kaki (12.2 meter) kali 16 kaki (4.88 meter), dikatakan sebagai terbesar di Malaysia, didirikan khusus untuk pesta itu di I-City, sebuah taman tema dan teknologi yang dibangunkan syarikat tersebut.

Beliau berkata pesta itu akan bermula pada Ahad petang dengan konsert mini dan aktiviti lain.

/hwa: bernama.com.my | 1/7/12

Pakaian Rasmi untuk sambutan Hari Kibarkan Jalur Gemilang

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak memilih pakaian rasmi untuk sambutan Hari Kibarkan Jalur Gemilang pada 17 Julai, Hari Kemerdekaan ke-56 pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut sama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto BERNAMA
Jun 30, 2012 3:33 am

Logo Baru BH

PENGARANG Urusan Kumpulan NSTP, Abdul Jalil Hamid (kiri), Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid (tiga dari kiri) dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali menandatangani dinding yang memaparkan logo baru BH, malam tadi. - Foto Mustaffa Kamal
Jul 1, 2012 5:16 am

Guna tempoh mandat untuk yakinkan rakyat

TAIPING 30 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menggunakan tempoh mandat yang ada untuk memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kebolehan serta keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya terhadap rakyat.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan Najib yang menghormati mandat lima tahun diberi rakyat untuk mentadbir negara sebelum mengadakan pilihan raya umum adalah sesuatu yang lebih baik.
"Tetapi ada kemungkinan pula, jika kerajaan beri masa yang panjang (sebelum mengadakan pilihan raya umum), desakan dan tuntutan yang bukan-bukan terhadap kerajaan akan bertambah dan mereka akan mengugut kerajaan, jika tidak bagi ini, mereka tidak akan sokong," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kebangsaan kali ke-51 di sini hari ini.
Semalam, Najib berkata tidak timbul soal BN kurang yakin menghadapi pilihan raya umum akan datang berikutan dakwaan pembangkang yang beliau sengaja melambatkan tarikh pilihan raya.
Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN itu menegaskan, BN diberi mandat oleh rakyat untuk tempoh lima tahun bagi memperlihatkan kemampuan memimpin dan mentadbir negara serta membawa kemajuan dan membela untung nasib rakyat. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 30/6/12

Rombakan Pemuda UMNO bukan kerana perpecahan

PASIR GUDANG 30 Jun - Pergerakan Pemuda UMNO akan merombak kepemimpinan peringkat negeri dalam masa terdekat sebagai usaha untuk memantapkan lagi jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata, rombakan itu bukan perkara luar biasa malah sudah dilakukan di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Sabah.
"Bagi negeri lain termasuk Johor, saya masih pantau sama ada perlu atau tidak rombakan pemimpin negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang di kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Bandar Seri Alam, dekat sini, hari ini.
Khairy menafikan rombakan itu dilakukan berikutan wujud perpecahan di kalangan ahli pergerakan itu atau kepimpinan negeri yang tidak diterima peringkat akar umbi.
Beliau berkata demikian sebagai menolak desas-desus mengenai Ketua Pemuda Johor, Mohd Fadzil Muskon yang dikatakan tidak diterima oleh segelintir Ketua Pemuda bahagian. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 30/6/12

Apabila PKR Selangor bersengketa

Faekah Husin 
*****
UMUM sudah sedia maklum mengenai pergolakan dalaman kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor menerusi laporan media massa, lebih-lebih lagi apabila munculnya tulisan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali menerusi laman sosial Twitter yang menggesa agar Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin dipecat.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan politik tempatan, tulisan Azmin itu menerusi kempen 'Kami sayang PKR' dalam laman sosial berkenaan dilihat seolah-olah bukan merujuk kepada Faekah semata-mata, sebaliknya ia lebih menjurus kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memandangkan Menteri Besar itu sendiri adalah bos kepada Faekah.
Mungkin ada benarnya dakwaan pelbagai pihak mengenai hubungan di antara Azmin dengan Abdul Khalid yang dikatakan tidak sebulu dalam banyak perkara sama ada melibatkan pentadbiran negeri hinggalah kepada kepimpinan peringkat parti mereka sendiri.
Keadaan sedemikian mungkin boleh diteliti menerusi isu pelantikan Setiausaha Politik Menteri Besar sebelum ini apabila Azmin dikatakan tidak berpuas hati dengan Abdul Khalid melantik Faekah yang juga bekas Setiausaha Politik Presiden PKR, Datin Seri Wan Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu bagi menggantikan Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang dikatakan merupakan orang kepercayaan Azmin.
Ekoran pelantikan itu, berdasarkan laporan sebuah portal berita propembangkang pada Jun 2010, Azmin meletakkan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dipercayai sebagai protes terhadap Menteri Besar berhubung pelantikan Faekah itu.
Malah, kalau dibaca laporan portal berita itu, ia turut memetik kenyataan sumber yang rapat dengan Azmin bahawa tindakan Timbalan Presiden PKR itu meletak jawatan dalam pengurusan PKNS bertujuan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap cara Abdul khalid mengendalikan pentadbiran negeri.
Malah, sumber itu turut mengatakan Abdul khalid juga turut mengecewakan beberapa pemimpin PKR yang membuat keputusan tanpa mengadakan perbincangan dengan pimpinan parti itu termasuklah isu pelantikan Faekah.
Selain itu, Azmin pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 13 Julai 2010, Azmin pernah mengkritik pentadbiran Abdul Khalid apabila didakwa masih gagal mengamalkan tadbir urus kewangan secara berhemah berikutan anggaran perbelanjaan kerajaan negeri meningkat hampir RM200 juta pada tahun berkenaan.
Namun, kritikan Azmin terhadap kepimpinan Abdul Khalid tidak terhenti setakat itu, pada Sidang DUN Selangor, Mac lalu Azmin seolah-olah secara tidak langsung mengkritik pentadbiran Menteri Besar itu dari segi pengurusan kewangan dengan mempersoalkan perbelanjaan pengubahsuaian pejabat Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali ketika menjawat jawatan sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri.
Dalam sidang DUN itu, Azmin mendakwa perbelanjaan untuk pengubahsuaian pejabat Hasan sebelum ini berjumlah RM300,000 itu kononnya sebagai satu pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan negeri.
Ekoran kritikan Azmin itu, Abdul Khalid ketika menggulung perbahasan pada sidang dewan berkenaan pada 27 Mac lalu mempertahankan perbelanjaan kerja-kerja pengubahsuaian pejabat Hasan ketika menjadi Exco kerajaan negeri sebelum ini dengan menyatakan ia dibuat dan luluskan mengikut tatacara kewangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Apa yang dinyatakan itu sebenarnya sebahagian daripada peristiwa yang berlaku membabitkan Azmin dan Abdul Khalid yang mungkin menunjukkan hubungan sebenar dua pemimpin PKR Selangor ini dan ia bukanlah rahsia yang boleh disorok lagi.
Itu tidak lagi termasuk tindakan Abdul Khalid yang dikatakan seolah-olah lepas tangan dalam isu penyebaran imej lucah yang didakwa mirip pemimpin pembangkang menerusi Internet apabila Menteri Besar itu langsung enggan membuat sebarang pendirian atau ulasan mengenainya. Ekoran pendirian Abdul Khalid dalam isu itu, ia telah mengundang rasa tidak puas hati Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin terhadap Abdul Khalid.
Umum mengetahui bahawa Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu dianggap penyokong tegar Azmin. Malah, Zuraida sendiri sebelum ini dilaporkan pernah menyifatkan Faekah sebagai 'celupar' dan tidak mengenang budi kerana mempersoalkan Azmin yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat.
Paling terbaru, peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Ekonomi Selangor seperti yang dinyatakan menerusi Twitter beliau, setakat ini dilihat kemuncak kepada pergeseran antara Azmin-Abdul Khalid.
Walaupun Rafizi yang juga Pengarah Strategik PKR itu menyatakan alasan peletakan jawatan itu untuk berehat, namun laporan menerusi laman-laman blog terus mengaitkan tindakannya itu secara tidak langsung sebagai reaksi protes terhadap pentadbiran Abdul Khalid.
Mungkin ada benarnya juga apa yang dikaitkan oleh laman-laman blog berkenaan memandangkan Razifi dikatakan merupakan penyokong kuat Azmin. Malah, Rafizi juga pada 13 Jun lalu diperkenalkan oleh pakatan pembangkang sebagai calon kawasan Parlimen Pandan untuk pilihan raya umum akan datang. Dikatakan pencalonan Rafizi itu telah mendapat perkenan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, timbul persoalan berikutan tindakan Rafizi meletakkan jawatan itu adakah kerana 'arahan' pimpinan tertinggi parti yang diwakilinya atau atas kerelaan sendiri. Jika alasan bahawa beliau tidak pernah kekal lebih daripada dua tahun dalam satu-satu jawatan yang disandangnya, ia adalah alasan yang sukar diterima akal. Mungkin itu prinsip yang dipegang oleh Rafizi, tetapi adakah prinsip tidak pernah kekal dalam satu-satu jawatan lebih daripada dua tahun itu akan diteruskan sekiranya beliau menjadi seorang wakil rakyat.
Namun, di sebalik pergolakan dalam PKR Selangor yang berlaku, timbul persoalan membabitkan pendirian sekutu mereka, DAP dan Pas dalam isu berkenaan. Setakat ini, tiada sebarang ulasan, kenyataan, termasuk perbincangan dibuat kedua-dua parti itu sama ada di peringkat pusat mahupun peringkat negeri untuk menyelesaikan masalah itu.
Sebaliknya, DAP dan Pas negeri ini bersikap 'tunggu dan lihat' perkembangan yang berlaku dalam PKR Selangor itu. Mungkin DAP dan Pas melihat isu yang melanda sekutu mereka itu sebagai masalah 'rumah tangga PKR' yang tidak ada kena-mengena dengan mereka.
Namun, ada juga berpandangan DAP dan Pas sepatutnya membiarkan sahaja PKR dengan masalah yang melanda parti itu tetapi pada masa sama mereka mencari ruang dan peluang untuk mengukuhkan kedudukan politik masing-masing di negeri ini.
Jika benar keadaan sedemikian, wajarlah DAP dan Pas mengambil sikap sedemikian kerana pergolakan dalam PKR Selangor itu dilihat seakan-akan 'petanda awal' ketidakmampuan parti itu untuk menjadi tunjang dalam pakatan pembangkang.
Sekiranya situasi sedemikian benar-benar berlaku, soal siapa yang akan menjadi tunjang kepada pakatan pembangkang dilihat akan menjadi pertikaian di antara PKR, DAP dan Pas. Jika mengambil kira Pas untuk menjadi tunjang pakatan pembangkang di Selangor, parti itu sendiri dilihat tidak mampu memperjuangkan serta menangani isu-isu membabitkan kedudukan agama Islam di negeri ini.
Lihat sajalah bagaimana nasib Hasan yang dipecat daripada Pas pada awal tahun ini apabila bekas Pesuruhjaya Pas negeri itu bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan terhadap sebuah gereja di Damansara tahun lalu yang disyaki memurtadkan beberapa orang Islam.
Tindakan terhadap Hasan itu turut dibuat apabila beliau mempertikaikan perubahan perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan termasuklah tidak menyokong perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 pada Januari lalu sehingga Azmin menggesa kepimpinan Pas mengambil tindakan terhadap ADUN Gombak Setia itu.
Ekoran pemecatan Hasan itu, jawatan Exco Hal Ehwal Agama Islam yang sebelum ini disandang oleh ADUN Pas diambil alih oleh Abdul Khalid. Malah, Pas kalau diikutkan komposisi kerusi DUN pada hari ini, parti itu hanya mewakili tujuh kerusi sahaja berbanding DAP yang menguasai 13 kerusi DUN.
Akhirnya, jika PKR dan Pas tidak mampu menjadi tunjang pakatan pembangkang di Selangor, siapakah yang layak menjadi tunjang kepada pakatan pembangkang kalau tidak DAP?
/hwa: utusan.com.my | 29/6/12

Beban besar menanti Mursi

Mohammed Mursi mengimamkan sembahyang di salah sebuah masjid di Kaherah, Mesir. - AFP 
*****
PADA Januari 2011, Dataran Tahrir di Kaherah, bermandi darah apabila ratusan ribu rakyat negara itu berkumpul dalam revolusi menjatuhkan pemerintahan autoritarian 30 tahun Presiden Hosni Mubarak.
Peristiwa itu mencetuskan huru-hara dan kacau-bilau di Mesir yang menyaksikan 900 orang terkorban diikuti dengan perletakan jawatan Mubarak sebagai presiden.
Ahad lalu, Dataran Tahrir sekali menjadi tumpuan ratusan ribu penduduk Mesir. Tetapi kali ini bagi meraikan pelantikan Mohammed Mursi sebagai Presiden - Presiden pertama dalam sejarah Mesir yang dipilih melalui pilihan raya bebas. Malah yang pertama dari kalangan orang awam dan pendokong Islam.
Ketika Mubarak yang kini koma dihantar kembali ke penjara, Mursi yang pernah menjadi tahanan ketika Mesir di bawah pimpinan bekas presiden itu melangkah ke Istana Presiden sambil mencongak barisan Kabinetnya setelah mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya presiden yang berakhir Januari lalu.
Mursi, 60, seorang jurutera bergelar profesor yang pernah belajar di California, Amerika Syarikat (AS) dan pernah dipenjarakan kerana pegangan politiknya oleh polis rahsia Mubarak, Ahad lalu berkata: "Hari ini saya adalah presiden kepada seluruh rakyat Mesir."
Ungkapan itu dilihat sebagai detik perubahan dalam sejarah politik Mesir yang selama ini di bawah kuasa tentera.
Malah pelantikan Mursi dikatakan akan menjadikan Mesir lebih Islam daripada sebelum ini dengan majoriti ahli parlimen dan barisan Kabinet yang bakal dilantik katanya akan terdiri daripada para penghafal al-Quran dan hadis serta ulama.
Tetapi mampukah Mursi merealisasikan apa yang diimpikan oleh Ikhwan Muslimin yang diwakilinya?
Di sebalik kejayaan itu, beban yang menanti Mursi bukan sedikit.
Dia perlu mengimbangi antara tuntutan rakyat di jalanan yang mengangkatnya ke Istana Presiden dengan pengaruh tentera yang masih tidak dapat dipisahkan daripada politik Mesir.
Tentera yang sudah 60 tahun menguasai politik negara itu tidak mungkin menyerahkan kuasa dengan mudah. Malah kerajaan sementara setelah Mubarak digulingkan yang disokong tentera telah meminda perlembagaan bagi mengurangkan kuasa presiden.
Malah sebelum Mursi memberikan ucapan pertamanya sebagai Presiden, pemimpin tentera yang memimpin kerajaan sementara telah mempengaruhi para hakim membubarkan parlimen yang Ikhwan Muslimin menangi dengan keputusan majoriti pada tahun lalu.
Dengan kuasa yang semakin kurang, cabaran hebat tentunya menanti Mursi dalam menjayakan agendanya kepada rakyat.
Pelantikan Mursi itu juga diharapkan tanda berakhirnya kemelut politik Mesir selama 16 bulan.
Kemelut itu bukan sahaja menyaksikan kejatuhan Mubarak, tetapi turut menyaksikan ketidakstabilan selain ekonomi Mesir merudum.
Dalam tempoh 16 bulan itu, bukan sahaja politik Mesir runtuh, infrastrukturnya juga rosak, ekonomi hampir musnah, sistem pendidikan kucar-kacir dan sistem kesihatan awam boleh dikatakan tidak wujud.
Sebab itu, cabaran yang dipikul oleh Mursi bukan sekadar memulihkan kestabilan politik selepas Mubarak ditumbangkan, tetapi turut memulihkan negara itu secara keseluruhannya terutama dalam menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.
Pendokong revolusi yang menjatuhkan Mubarak terutama golongan muda tentunya mahukan lebih daripada sekadar pemimpin baru.
Mereka tentunya mahukan pemimpin yang alim dan mendokong Islam, tetapi pada masa sama mahukan hak sebagai rakyat dipenuhi terutama dalam isu pengangguran dan kemiskinan.
Dengan sektor pelancongan Mesir terjejas teruk ekoran suasana dalaman tidak stabil selepas era kejatuhan Mubarak, ramai rakyatnya yang bergantung kepada pelancong asing kini hilang pekerjaan.
Peranan utama Mursi kini selain membentuk barisan Kabinet yang mantap ialah memulihkan keyakinan pelabur dan pelancong asing supaya kembali ke Mesir dan kembali menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyatnya.
Bagi rakyat Mesir, mereka menaruh harapan bukan sahaja untuk Mursi membawa pembaharuan kepada sistem pemerintahan dan pentadbiran, tetapi juga menyediakan kehidupan yang lebih baik.
Persoalannya sekarang, adakah rakyat Mesir di bawah pimpinan Mursi akan menerima faedah yang lebih baik berbanding selama 30 tahun dipimpin oleh Mubarak?
Itu yang perlu dibuktikan oleh Mursi bahawa tindakan rakyat negara itu memilih Ikhwan Muslimin adalah tepat.
Bagaimana pula dengan hubungan antarabangsa terutama yang membabitkan persahabatan dengan Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu rapat Israel?
Sedangkan, Mursi bukan sahaja anti-Israel, tetapi turut pro-Iran dan Hamas di Palestin yang mana ia sudah tentu tidak disenangi oleh AS yang berusaha keras untuk meminggirkan Iran dari kelompok negara-negara teluk.
Sebab itu pelantikan Mursi diikuti dengan teliti oleh seluruh masyarakat dunia terutama AS dan Kesatuan Eropah kerana dia dari golongan pendokong Islam.
Bagaimanapun dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden, Mursi menjanjikan satu kebangkitan Islam yang sederhana.
Bagi masyarakat barat, kecenderungan politik antarabangsa Mursi yang anti-Israel dan pro-Iran serta pro-Hamas amat membimbangkan.
Apabila Mursi diisytihar sebagai pemenang dalam pemilihan Presiden Mesir, Iran merupakan antara negara pertama yang mengutuskan ucapan tahniah.
Malah Iran menyifatkan kemenangan itu sebagai keindahan dalam demokrasi yang menandakan kebangkitan Islam.
Perkembangan itu sudah tentu menggusarkan barat yang merupakan sekutu utama Mesir sejak sekian lama.
Tetapi, bagi para pemerhati, Mursi perlu memberikan tumpuan kepada isu domestik terlebih dahulu.
Masalah dalaman yang membabitkan isu keselamatan, kemiskinan, penyediaan peluang pekerjaan, pendidikan dan kesihatan merupakan perkara utama yang menuntut penyelesaian segera.
Tanpa kestabilan dalaman, Mursi tidak mampu menggerakkan kerajaannya. Jika itu berlaku, sudah tentu dia akan gagal melakukan pembaharuan seperti yang dituntut rakyat. Akibat daripada kegagalan itu tentunya buruk. Antara kemungkinannya ialah rampasan kuasa oleh pihak tentera.
Mursi perlu segera mengembali kestabilan negara itu yang sejak 16 bulan lalu terumbang-ambing. Apabila sudah stabil, barulah dia boleh memacu Mesir ke peringkat lebih tinggi dan menjadikan negara itu sebagai sebuah negara Islam yang dihormati dan bukan sekadar boneka kuasa besar dunia terutama AS.
/hwa: utusan.com.my | 29/6/12

Moral daripada kemenangan Ikhwan Muslimin

RAKYAT Mesir menyambut kemenangan Dr. Mohammed Morsi Isa al-Ayyat dari Ikhwan Muslimin dengan sorakan tetapi Israel mengumpul curiga manakala Amerika Syarikat (AS) menanti dengan waspada. Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya Presiden mengumumkan keputusan itu pada petang Ahad lalu, salah seorang menteri Israel memberikan amaran, rejim zionis "bersedia berperang".
Presiden Barrack Obama mengutuskan ucapan tahniah tetapi tidak memberi banyak ulasan mengenai pelbagai kemungkinan dan kebimbangan yang mungkin berlaku, kerana Morsi sudah pun membuat kenyataan akan menyemak semula Perjanjian Kem David yang ditandatangani Jimmy Carter dan Anwar Sadat pada 1979. Akibat perjanjian itu, Sadat pada 1981 terbunuh manakala kumpulan Ikhwan Muslimin dituduh merancang pembunuhan tersebut.
Kemenangan Ikhwan Muslimin turut dilihat Israel sebagai halangan besar untuk mencaturkan geopolitik di Asia Barat setelah dilihat hampir berjaya apabila kekuatan Muammar Gaddafi berjaya dilumpuhkan, manakala Syria sedang dicanangkan untuk dikenakan tindakan ketenteraan oleh NATO dan kedudukan Bashar al-Assad semakin sukar untuk bertahan.
Ikhwan Muslimin pernah terlibat dalam peperangan dengan Israel bagi membantu Palestin mempertahankan leluhurnya, dan pada 5 Jun lalu, menandakan ulang tahun ke-45 perang besar-besaran yang disertai oleh sebahagian besar negara Arab, yang dikenali sebagai Perang 22 Hari pada 1947.
Dalam kenyataan awalnya, Morsi yang berlatar belakangkan pengalaman profesional sebagai jurutera belum menyatakan sebarang kemungkinan membalas dendam sebaliknya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab untuk memulihkan situasi politik Mesir agar kembali tenang dan aman secepat mungkin.
Buat permulaannya, Morsi akan berhadapan cabaran untuk memilih barisan Kabinetnya. Ini bermakna, Morsi perlu mempertimbangkan kemungkinan membawa masuk beberapa pemimpin parti lawan kerana jarak perbezaan pengaruh adalah kurang dua peratus (51.7 - 48.0 > 2.3 peratus). Populariti pembangkang yang bersifat sekular masih besar, dan tentunya Morsi memerlukan keseimbangan yang berkesan berdasarkan pengalaman bahawa parti yang berasaskan Islam hayatnya tidaklah boleh bertahan lama.
Berdasarkan sejarah, tahap keyakinan rakyat kepada parti Islam tidaklah begitu lama. Kerajaan-kerajaan Islam dicabar hebat oleh pengaruh sekularisme yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk manakala kuasa-kuasa luar atau asing sentiasa mencari jalan untuk mensabotajkan kemantapan sistem politik Islam. Misalnya, parti Refah di Turki, FIS di Algeria, Taliban di Afghanistan, Liga Awami di Pakistan dan kepimpinan Gus Dur yang berasaskan ideologi Nahdatul Ulama di Indonesia.
Kemenangan Ikhwan Muslimin turut mempengaruhi pemikiran politik pemimpin pembangkang terutamanya Pas di Malaysia. Pas melihat kemenangan itu memberikan keuntungan moral yang besar dan mampu dieksploitasikan sebagai kekuatan baru untuk meraih sokongan pengundi-pengundi yang beragama Islam.
Dalam beberapa reaksi awal, pemimpin Pas sudah memulakan gendang membangkitkan emosi pengundi dengan melancarkan serangan bahawa sistem pemerintahan sekular yang sedang berkuasa di Malaysia perlu ditamatkan sebagaimana dilakukan rakyat Mesir.
Oleh kerana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bakal berlangsung, kemenangan Ikhwan Muslimin dijadikan modal kempen yang dikupas dalam perspektif, kerajaan sekular telah menafikan hak rakyat untuk menggunakan wang royalti minyak kerana disekat, menganaktirikan negeri-negeri pembangkang dengan tidak membenarkan negeri yang bukan dikuasai BN melaksanakan projek pembangunan dan sebaliknya diselia oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan, tidak memperuntukkan wang secukupnya untuk pembangunan sekolah-sekolah agama seliaan kerajaan negeri, dan sebagainya.
Semua isu itu sengaja diketengahkan parti pembangkang untuk memperlihatkan parti itu sahajalah yang benar-benar berjuang atas landskap keadilan dan prinsip Islam. Dalam masa sama, parti-parti pembangkang pernah mengeksploitasikan kebangkitan rakyat, kemenangan calon prodemokrasi di Myanmar dan kemenangan parti-parti berhaluan kiri (sosialis) di Perancis dan Parti Buruh di Britain menunjukkan arah yang sama bakal berlaku dalam garis penentu landskap politik Malaysia pada PRU-13.
Bagaimanapun, minggu lepas Perdana Menteri sudah mengingatkan rakyat agar tidak mempercayai budaya politik pembangkang yang sentiasa mengamalkan tiga doktrin negatif: bila berjanji, sukar menunaikannya; bila bermasalah, sentiasa menuding jari; dan bila terperangkap, memberikan helah.
Pakatan pembangkang hanya menumpang projek-projek yang dibina Kerajaan Persekutuan, maka di situlah sebenarnya ukuran. Apakah kemenangan Ikhwan Muslimin di Mesir benar-benar boleh menghapuskan kebangkrapan moral yang sedang melanda pemimpin pembangkang? Jawabnya, halangan dan penderitaan yang dilalui oleh Ikhwanul Muslimin sejak ditubuhkan pada 1928 tidak ada satu pun boleh disamakan dengan kesenangan dan nikmat yang diterima oleh pembangkang.
Pembangkang di Malaysia tidak pernah dinafikan kemenangan mereka. Pemimpin pembangkang di Malaysia tidak pernah disekat untuk melaksanakan aktiviti politiknya walaupun di luar musim kempen pilihan raya. Cuma kerana gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat, pemimpin pembangkang mengalami gangguan psikologi dan gangguan itulah sebenarnya yang sedang ditutup dengan mengecam dan menuding jari ke arah orang lain.
Seharusnya pemimpin pembangkang dapat mencontohi kecekalan perjuangan pemimpin Ikhwan Muslimin. Mereka tetap teguh mempertahankan idealisme politiknya, bukan seperti mereka kerana ingin mendapat keuntungan dalam jangka pendek sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan menerima dengan mudah anwarisme.
Inilah asas yang begitu kejap tertanam sejak dipasakkan oleh Hasan al-Banna. Hasil penelitian saya mengenai kekentalan Ikhwan Muslimin berjuang mengekang pengaruh budaya Barat menerusi kolonialisme, imperialisme dan neoimperialisme begitu ketara, dan itulah menyebabkan pertubuhan itu kental dan berpengaruh meskipun ditekan, dihalang dan cuba dilemahkan. (baca, Hakikat Pemikiran Politik Hasan al-Banna: Meluruskan Salah Faham Terhadap Peranan & Aktiviti Hasan Al-Banna, 2012).
Setelah berjuang lebih lapan dekad sejak mula ditubuhkan, idealisme itu tetap utuh dan semangat pejuangnya tetap kental, maka kemenangan dalam pilihan raya yang diadakan pada Mei lalu benar-benar merupakan kemenangan bermaruah, kemenangan besar bagi Islam. 
/hwa: utusan.com.my | 29/6/12

Sri Gading bidas Guan Eng

KUALA LUMPUR 28 Jun - Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz (gambar) membidas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kerana memesongkan fakta berhubung kenyataan beliau untuk 'menggantung' Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga.
Mohamad berkata, tuduhan terancang DAP yang mengelirukan rakyat itu merupakan niat jahat parti cauvinis Cina itu untuk membangkitkan isu perkauman, agama dan gender.
"Kenyataan asal saya di Dewan Rakyat kelmarin jelas merupakan satu pertanyaan dengan beranggapan bahawa jika benar Ambiga telah melakukan penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, (pihak berwajib perlu mengambil tindakan).
"Saya bercakap dalam konteks keselamatan negara yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dengan berpegang kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.
"Ia menyuarakan hak setiap rakyat yang cintakan negara berdaulat dan terhindar daripada campur tangan asing serta unsur pengkhianatan oleh mereka yang mengaku sebagai warganegara," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Kelmarin, Mohamad menyebut 'Apakah Ambiga tidak boleh kita anggap penderhaka kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong' bukan 'menggantung Ambiga sampai mati' seperti yang didakwa Guan Eng semalam.
Meskipun begitu, Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan tetap mahu 'menegakkan benang basah' dengan menyifatkannya sebagai menghasut dan bersifat ekstremis serta mengancam nyawa Ambiga.
Jelas Mohamad, sekiranya Ambiga atau sesiapa sahaja didapati melakukan pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara, individu terbabit mestilah dikenakan hukuman mengikut lunas undang-undang yang sedia termaktub.
Katanya, beliau menyerahkan kepada pihak Peguam Negara yang kini masih lagi menjalankan siasatan atas kejadian tersebut.
"Sebenarnya, DAP yang mahukan Ambiga digantung memandangkan kenyataan saya bersifat soalan dan tidak sesekali mendesak agar Ambiga digantung.
"DAP meniup api perkauman dengan mengheret kaum India dalam isu ini sedangkan sepanjang perbahasan saya tidak sebut sepatah pun mengaitkan kaum India. DAP juga jahat dengan mengaitkan agama Hindu hanya kerana saya seorang Melayu dan beragama Islam," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan Guan Eng itu membuktikan bahawa DAP sudah ketandusan isu apabila turut sama mengaitkan isu keselamatan negara dengan isu gender yang langsung tiada kaitan.
"DAP melalui Guan Eng sebenarnya cuba menjadi hero kaum India dengan menjadikan isu ini sebagai modal politik sempit mereka. Ahli Parlimen Bagan cuba menutup kelemahan beliau dalam menangani masalah penduduk Kampung Buah Pala," kata beliau.
Sementara itu, Guan Eng ketika ditemui selepas itu dilihat tergamam seketika selepas ditanya pemberita berhubung balasan Mohamad tersebut, namun tetap mempertahankan pendiriannya bahawa Ahli Parlimen Sri Gading itu telah melakukan hasutan.
"Pada saya, dia tetap menyatakan sesuatu yang menghasut serta perkauman terhadap Ambiga. Kenapa sasarkan kepadanya seorang? Ramai lagi pemimpin Bersih pelbagai kaum yang ada," tambahnya.
/hwa: utusan.com.my | 29/6/12

TEKUN Nasional dilahirkan hasil perjuangan UMNO

SHAH ALAM 28 Jun - Tindakan parti pembangkang yang menuduh pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional lebih cenderung disalur kepada ahli-ahli UMNO dibidas kerana memperlihatkan betapa mereka tidak tahu tentang sejarah penubuhan dana tersebut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, penubuhan TEKUN Nasional mempunyai kaitan rapat dengan UMNO kerana institusi tersebut dilahirkan daripada usaha dan idea para pemimpin parti itu.
Beliau berkata, atas sebab itu mana-mana usahawan yang ingin memohon pinjaman TEKUN Nasional perlu ke pejabat UMNO Bahagian untuk mendapatkan borang dan menyerahkannya di situ juga.
''Pemimpin DAP seperti Ahli Parlimen dari Ipoh Barat, M. Kulasegaran berkata TEKUN Nasional lebih cenderung memberi pinjaman kepada penyokong UMNO.
''Di sini saya beritahu memang tugas UMNO untuk selia duit TEKUN Nasional kerana kalau beri kepada DAP sudah lama lingkup.
''Sememangnya TEKUN Nasional diwujudkan untuk membantu orang Melayu bukan setakat ahli UMNO, bahkan kerajaan turut memperuntukkan untuk orang India manakala bagi masyarakat Cina di bawah sebuah yayasan yang juga melibatkan kaum wanitanya," kata beliau.
Noh berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Perjumpaan Usahawan TEKUN Nasional Selangor di sini semalam.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hashim Abdullah dan Pengarah Urusan TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan.
Noh yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor berkata, TEKUN Nasional telah mengagihkan sebanyak RM2.2 bilion kepada 215,608 usahawan sejak ia diperkenalkan pada tahun 1998 sehingga kini.
''Di atas dasar itu, saya berharap peminjam TEKUN Nasional di Selangor agar terus menyokong perjuangan Barisan Nasional (BN) yang telah banyak membantu usahawan-usahawan kecil sejak 14 tahun lalu," katanya.
Pada majlis sama, Noh turut menyampaikan 10 Anugerah Usahawan Cemerlang TEKUN Nasional dari Parlimen Shah Alam, Kota Raja, Klang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan dan Subang.
Beliau turut menyampaikan cek pinjaman TEKUN Nasional sebanyak RM3.4 juta kepada seramai 246 usahawan dari seluruh negeri ini dan pinjaman RM142,000 bagi diagih kepada 21 orang ahli Persatuan Ibu Tunggal Hulu Selangor.
/hwa: utusan.com.my | 29/6/12

Manfaat kemajuan industri penjagaan kesihatan negara

HARI ini saham-saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) secara rasmi didagangkan di Bursa Malaysia. Pada Julai depan ini, tiba pula giliran penyenarairan Integrated Healthcare Holdings Bhd. (IHH), sayap penjagaan kesihatan Khazanah Nasional Berhad.
Penyenaraian ini akan memantapkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pakar perubatan tempatan dan antarabangsa.
Dwi penyenaraian IHH di Bursa Malaysia dan Singapura secara serentak amat dinanti-nantikan oleh golongan pelabur kedua-dua negara.
Dari perspektif pelaburan, tawaran awam awal (IPO) IHH adalah tawaran awam permulaan kedua terbesar di Malaysia selepas FGV dan keempat terbesar di Singapura.
IHH menerusi syarikat yang dikuasainya mengendalikan 83 hospital dengan bilangan katil berjumlah 12,316 bakal mengaut dana sebanyak RM6.9 bilion melalui IPO, yang akan digunakan untuk modal operasi.
Ini sekali gus menyaksikan Malaysia, melalui Khazanah menjadi pengendali pusat kesihatan kedua terbesar dunia di belakang Hospital Corporation of Amerika dengan 163 hospital.
Usaha Malaysia membangunkan dan memperkukuh industri perkhidmatan penjagaan kesihatan negara dijangka menaikkan taraf tenaga kerja dan perkhidmatan yang ditawarkan kumpulan penyedia perkhidmatan kesihatan tersebut, sama ada di rantau ini mahupun di peringkat antarabangsa.
Tinjauan awal melaporkan bahawa Khazanah akan memperoleh keuntungan tidak ternyata sebanyak RM4.9 bilion daripada pengapungan IHH. Jumlah ini jauh lebih tinggi daripada harga yang dibayar semasa pembelian Parkway tahun lepas.
Kecairan yang diterima ini akan memudahkan perkembangan IHH di rantau ini, yang mana permintaan sektor perkhidmatan kesihatan pesat berkembang, terutamanya untuk tujuan pelancongan kesihatan, sama ada dalam atau luar negara.
Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) menganggarkan industri penjagaan kesihatan mampu menjana pendapatan RM9.67 bilion dengan 5,300 peluang pekerjaan menjelang 2020.
Makmal NKEA juga menyarankan tambahan 1,900 katil bagi menampung keperluan yang dijangka meningkat. Bagi memastikan sasaran itu tercapai, Kementerian Pelancongan melaksanakan pelbagai langkah untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan penjagaan kesihatan seperti yang dilakukan oleh Thailand dan Singapura.
Industri penjagaan kesihatan adalah antara program transformasi yang dimulakan kerajaan hampir tiga tahun lalu, yang kini mula membuahkan hasil, sekali gus meletakkan negara di ambang landasan pertumbuhan yang baru.
Perkembangan ini memperlihatkan langkah transformasi yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, kini mula memperlihatkan hasilnya iaitu mentransformasikan Malaysia antara penggiat utama dalam sektor penjagaan kesihatan dunia.
Penyenaraian IHH ini bermaksud Khazanah tidak sahaja memperkenalkan penyenaraian kedua terbesar di Malaysia tahun ini tetapi turut menyiapkan tapak untuk memajukan kebolehan negara dalam sektor perkhidmatan pelancongan kesihatan.
Pelancongan kesihatan kini dilihat sebagai satu industri lumayan. Di Asia Tenggara sahaja, rakyat Indonesia dan Vietnam masing- masing membelanjakan RM1 bilion setahun untuk tujuan kesihatan di luar negara.
Apabila mengambil kira dua gergasi ekonomi Asia - China dan India, permintaan mereka untuk perkhidmatan kesihatan di luar negara mengalami peningkatan mendadak mengikut peningkatan taraf ekonomi mereka.
Ini kerana peningkatan taraf hidup dan populasi mereka yang semakin menua telah mendorong kehendak pasaran kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi.
Dalam masa terdekat, sebanyak 1,100 katil akan ditambah di Malaysia, angka yang terbesar di rantau ini. Ini akan menambah pegangan pasaran Malaysia dalam industri pelancongan kesihatan.
Penambahan bilangan katil wajar diiringi pengumpulan bakat dan kemahiran. Tenaga kerja adalah aset yang tamat berharga buat IHH. Tenaga-tenaga mahir, sama ada doktor, jururawat dan staf kesihatan yang lain adalah gedung bakat dan maklumat yang kini di bawah pegangan Khazanah, dan secara tidak langsung Malaysia memiliki aset itu.
Kehadiran bakat-bakat ini mengurangkan pergantungan Malaysia kepada tenaga asing untuk keperluan kesihatan. Malah melalui kewujudan pemindahan teknologi dalam bidang kesihatan akan menambah baik tahap kemahiran tenaga kerja tempatan.
Kebolehan dan kemahiran baru bidang perubatan dapat diperkenalkan kepada warga tempatan, terutama bumiputera, dan peluang pekerjaan di serata dunia tersedia melalui rangkaian luas hospital dan klinik di bawah pengendalian IHH.
Pemerkasaan tenaga mahir ini akan mendatangkan kesan baik kepada industri pendidikan tinggi kesihatan, yang juga merupakan sebahagian perniagaan IHH.
Institusi-institusi pendidikan mereka seperti IMU akan memudahkan pekerja-pekerja dalam bidang kesihatan di Malaysia dan Singapura mendaftarkan diri mereka dalam program-program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) seperti yang diwajibkan pihak berkuasa.
Masa hadapan pelajar-pelajar institusi ini juga bertambah cerah kerana perkembangan IHH menyediakan lebih banyak peluang kerja untuk mereka.
Langkah ini juga dapat mengurangkan masalah yang melanda pendidikan tinggi dalam bidang kesihatan seperti kekurangan hospital untuk pelatih menjalani amali dan juga peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
Secara tidak langsung perkembangan IHH membawa banyak manfaat kepada industri kesihatan Malaysia secara menyeluruh. Ia bukan sahaja memberi kesan positif kepada ekonomi negara, ia juga memberi ruang untuk ramai lagi rakyat Malaysia berkecimpung dalam bidang ini, dan mampu memikat kembali tenaga pakar Malaysia yang keluar merantau untuk kembali berkhidmat di tanah air.
Potensi dan keuntungan yang dapat diraih daripada penyenaraian IHH bukan sekadar dana, tetapi juga peluang pekerjaan, pendidikan, dan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara berkemahiran tinggi dalam bidang perkhidmatan kesihatan.
/hwa: utusan.com.my | 28/6/12

Scorpene: Pembohongan Suaram

Kapal selam Scorpene, KD Tunku Abdul Rahman. 
*****
BAGAI nak rak dan 'tercabut dunia' dibuat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan pakatan pembangkang yang terus memainkan isu rasuah dan penyelewengan dalam pembelian kapal selam Scorpene.
Kalau dikira, dalam akhbar pakatan pembangkang khususnya 'Suara Keadilan' PKR hampir setiap minggu keluarannya memainkan isu Scorpene. Seakan-akan semacam betul.
Dalam 'permainan licik' mereka ini, Suaram dan pakatan pembangkang telah pergi 'agak jauh' iaitu dengan menggunakan nama mahkamah di Perancis bagi menguatkan hujah mereka. Kononnya kes ini sedang disiasat dan 'terdapat penemuan dokumen komunikasi dan transaksi yang menunjukkan wujudnya permintaan rasuah secara terang-terangan'.
Malah, lebih teruk lagi pembohongan Suaram ialah kononnya juga Perdana Menteri akan disapina dan diheret ke mahkamah Perancis. Mereka mengaitkan pula urus niaga dan rasuah tersebut dengan pembunuhan seorang model Mongolia.
Realitinya, memang benar ada aduan rasuah mengenai pembelian kapal selam Scorpene dari DCNS oleh Malaysia yang dibuat oleh Suaram kepada mahkamah Perancis. Tidak seperti di Malaysia, yang mana pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertanggungjawab menyiasat sesuatu aduan rasuah, lain pula di Perancis apabila pihak mahkamah yang menyiasatnya di bawah arahan hakim.
Selama siasatan dibuat iaitu dalam masa dua hingga tiga tahun, mengikut anggaran hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire yang bertanggungjawab bagi kes ini, pihak yang terlibat tidak dibenarkan membuat sebarang komen atau boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah. Sekiranya siasatan mendapati hakim memerlukan keterangan daripada mana-mana pihak di Malaysia, maka hanya polis Malaysia yang boleh mendapatkan keterangan daripada pihak yang berkenaan dengan kehadiran pegawai kehakiman dari Perancis.
Oleh itu, tidak timbul soal sapina ke atas Perdana Menteri atau sesiapa sahaja dari Malaysia untuk hadir di mahkamah Perancis. Sekiranya, hakim mendapati terdapat keperluan untuk membawa kes ke perbicaraan, maka beliau perlu mengemukakan permohonan kepada mahkamah yang lebih tinggi kerana hanya mahkamah tersebut yang dapat menentukan sama ada kes tersebut boleh dibicarakan atau tidak.
"Kerajaan Malaysia difahamkan tiada perbicaraan berlangsung di Perancis berhubung isu kapal selam Scorpene. Justeru, tidak timbul soal kerajaan akan memohon menjadi pemerhati," jelas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada ucapan penangguhan menjawab soalan daripada seorang wakil pembangkang di Parlimen malam kelmarin.
Pertanyaan daripada Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) itu berbunyi: "Sama ada kerajaan Malaysia akan memohon untuk menjadi wakil pemerhati di Mahkamah 'Tribunal de Grande Istance' Perancis untuk mendapatkan akses kepada kertas pembuktian yang dirujuk oleh Suaram dalam 'kes Scorpene' tersebut.
Mengimbas fakta mengenai pembelian Scorpene, kontrak perolehan dua buah kapal selam baru berkenaan telah ditandatangani pada 5 Jun 2002 oleh kerajaan Malaysia dengan syarikat DCNS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) selaku pembekal kapal selam dan Perimekar Sdn. Bhd. sebagai Project Services Provider. Nilai kontrak ini ialah 1.084 bilion Euro.
Skop kontrak terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
a) Bahagian Pertama: Antara kerajaan Malaysia dengan DCNS dan NAVANTIA merangkumi perolehan dua buah kapal selam jenis Scorpene, pakej Integrated Logistic Support (ILS) dan latihan untuk warga kapal selam Scorpene. Nilai bahagian ini ialah 969.15 juta Euro.
b) Bahagian kedua: Antara Kerajaan Malaysia dengan Perimekar Sdn. Bhd. merangkumi perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek dan pelatih-pelatih kapal selam di Perancis dan Sepanyol. Nilai bahagian ini ialah 114.96 juta Euro.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, Kementerian Pertahanan tidak pernah membuat sebarang bayaran komisen sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana syarikat dalam perolehan Kapal Selam Scorpene.
"Perolehan kapal selam tersebut telah dibuat secara runding terus selaras dengan tatacara perolehan kerajaan dengan syarikat pembuat iaitu Perancis dan Sepanyol yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing. Kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai bahawa dua buah kapal selam Scorpene dibeli dari Syarikat Thales International adalah tidak benar.
"Kementerian Pertahanan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dakwaan penjualan dokumen yang dikatakan rahsia oleh Syarikat Terasasi (Hong Kong) kepada Syarikat Thint Asia (Thales International) yang didakwa bernilai 36 juta Euro. Kementerian juga tidak mempunyai maklumat dakwaan bayaran berkala daripada Thint Asia kepada Syarikat Terasasi (Hong Kong)," kata Ahmad Zahid lagi.
Menjawab desakan pakatan pembangkang supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat proses pembelian Scorpene jika terdapat unsur rasuah dan penjualan rahsia sulit negara, Ahmad Zahid menjelaskan:
"Kerajaan berpendapat tidak perlu menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat pembelian kapal selam itu memandangkan pembelian kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dibuat mengikut Tatacara Pelaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.
"Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan ATM. Selain itu, rujukan juga dibuat kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut.
"Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan," katanya.
Dalam hal ini, Ahmad Zahid menjelaskan, kerajaan Malaysia juga tidak perlu menyokong usul reformasi Parlimen agar sistem Jawatankuasa Tetap termasuk untuk pertahanan diwujudkan demi menjamin segala urusan penting kerajaan bebas daripada rasuah dan pengkhianatan.
"Kerajaan berpendapat tidak perlu untuk menubuhkan Jawatankuasa Tetap Parlimen untuk Pertahanan. Ini adalah kerana sebarang rancangan pembelian kelengkapan tentera adalah dinyatakan dalam anggaran belanjawan pembangunan yang mana dibahas dan diluluskan oleh Parlimen," kata beliau.
Kata Ahmad Zahid lagi: "Proses perolehan aset juga adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan kerajaan seperti Arahan Perbendaharaan dan Tatacara Prosedur Kewangan, manakala setiap perbelanjaan adalah tertakluk kepada pemeriksaan dan teguran Jabatan Audit Negara.
"Kerajaan juga berpandangan proses perolehan yang melibatkan kelengkapan pertahanan yang strategik tidak wajar dibincangkan secara terbuka."
Kebenaran dalam isu Scorpene sudah dinyatakan kerajaan. Namun, ia pasti tidak diterima oleh pembangkang di negara ini. Malah, akan diputarbelitkan lagi oleh Suaram dan pakatan pembangkang.
Apatah lagi Suaram bukanlah asing di mata rakyat - menjadi alat dan ejen pembangkang di negara ini. Ada kalanya apabila penipuan itu terlalu besar, ia akan menjadi raksasa yang memakan diri.
/hwa: utusan.com.my | 28/6/12

LGBT: Pemimpin Pas perlu tegas

KUALA LUMPUR 27 Jun - Pemimpin tertinggi Pas perlu tampil menyatakan pendirian berhubung penyebaran budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Pas sepatutnya menolak mana-mana individu yang menyokong budaya LGBT termasuk Datuk S. Ambiga kerana ia jelas bertentangan dengan Islam.
"Kita tidak boleh menerima pendirian Pas yang menyatakan sokongan terhadap Ambiga atas kapasiti perjuangan Bersih sedangkan Ambiga juga menyokong budaya LGBT.
"Sikap pemimpin Pas yang hanya memilih isu tertentu ini dilihat tidak tegas dalam memperjuangkan Islam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Pas bersama-sama menyokong pendirian tegas kerajaan dalam menolak budaya LGBT daripada bertapak di negara ini jika benar parti itu memperjuangkan akidah Islam seperti didakwa.
Ahmad Zahid juga menuntut Pas menjelaskan pendiriannya berhubung ideologi pluralisme dan liberalisme yang diketahui diperjuangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun bertentangan dengan Islam.
Menurut Ibrahim, Pas tidak sepatutnya bersekongkol dengan Ambiga dan dilihat tunduk kepada pemimpin itu sedangkan mengetahui Ambiga sebelum ini mengguris hati umat Islam apabila terlibat dalam Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang menuntut kesamarataan antara orang Islam dan bukan Islam di negara ini.
Dalam isu tuntutan Bersih pula, katanya, Pas boleh menggunakan saluran yang lebih baik dalam menyuarakan bantahan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai parti politik yang matang dan bukannya turut mengadakan demonstrasi jalanan.
"Sehingga hari ini juga, hanya ahli Pas yang memberi kenyataan mengenai LGBT sedangkan pemimpin tertinggi tidak berani bersuara barangkali kerana mahu menjaga hati Ambiga," katanya.
Ibrahim menambah, tindak- tanduk pemimpin Pas itu seolah-olah menolak perjuangan Islam yang dipegang sejak penubuhan parti tersebut kerana leka memperjuangkan kepentingan politik sendiri.
"Inilah perkara yang menyedihkan, Islam bukan lagi perkara serius dalam kepimpinan Pas," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 28/6/12

Faekah nafi dana Geran Selangorku RM300 juta dari sumber meragukan

SHAH ALAM 27 Jun - Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin menafikan dakwaan peruntukan RM300 juta di bawah Geran Selangorku diperoleh daripada sumber yang meragukan.
Sebaliknya, beliau menyatakan ia adalah daripada sumbangan anak-anak syarikat kerajaan negeri, selain keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) menerusi pengambilalihan hutang-hutang lapuk syarikat Talam Corporation (Talam) dan penstrukturan semula projek Canal City.
''Menteri Besar telah menerangkan secara terperinci mengenai perkara ini di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada November 2011.
''Malah, MBI dan Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB) juga telah mengadakan pameran pada sidang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed semalam yang menganggap tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan mendedahkan sumber Geran Selangorku berjumlah RM300 juta merupakan contoh paling sesuai menggambarkan betapa Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu mengamalkan politik kotor.
Katanya, sehingga kini Abdul Khalid masih berdolak-dalik dalam mendedahkan sumber sebenar wang RM300 juta yang disalurkan di bawah geran berkenaan.
Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang itu berkata, kerajaan negeri tidak menjelaskan data terperinci sumber kewangan geran berkenaan, selain mempersoalkan kelulusan peruntukan yang dikatakan tidak melibatkan pegawai kewangan negeri tetapi melalui beberapa individu dalam MBI termasuk Faekah sendiri.
Faekah dalam kenyataan tersebut menyalahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) khususnya daripada BN kononnya kurang faham tentang proses pengambilalihan hutang Talam dan penstrukturan Canal City.
Beliau menyatakan geran tersebut diuruskan oleh Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Datin Paduka Alinah Ahmad.
Katanya, jawatankuasa ini dianggotai Ketua Pentadbir MBI, Rohany Talib, selain jurutera dan jurunilai dari Jabatan Kerja Raya, Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri, akauntan dan jurutera bebas yang dilantik oleh Menteri Besar.
''Dakwaan Mohd. Zin bahawa Menteri Besar mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan peruntukan adalah tidak benar.
''Menteri Besar tidak campur tangan dalam menentukan pemberian peruntukan dan projek kerana tender terbuka diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah," ujarnya.
Faekah memberitahu, menerusi Geran Selangorku, kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 362 projek berupa pembangunan kecil dan sederhana seperti membaiki longkang, menurap jalan dan membina jejantas seluruh negeri ini termasuk di kawasan yang diwakili oleh BN.
''Kita mempunyai maklumat terperinci mengenai projek-projek ini dan telah pun memberi laporan perkembangan kepada media.
''Semua data, butiran projek serta tatacara Geran Selangorku dilaksanakan secara terbuka untuk semakan di Pejabat MBI," katanya. 
/hwa: utusan.com.my | 28/6/12