2 September 2012

Sambutan kemerdekaan meriah

TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah bersama Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir (barisan depan) Muhyiddin Yassin (tiga kiri), Dr. Mahathir Mohamad (kiri), Hishammuddin Hussein (dua kanan) dan Dr. Rais Yatim (dua kiri). - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH 
*****
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Perbarisan sempena Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat nasional di Dataran Merdeka di sini hari ini disambut meriah dengan penyertaan kira-kira 14,000 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya generasi muda yang menunjukkan kemakmuran dan kesejahteraan perpaduan negara.
Ribuan rakyat Malaysia termasuk pelancong mula membanjiri Dataran Merdeka seawal 6.30 pagi selain jutaan lagi menonton menerusi siaran langsung di beberapa rangkaian televisyen, bukti semangat patriotik masih tertanam di jiwa masing-masing.
Dengan tema 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati, perhimpunan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah tepat pukul 8 pagi yang disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Yang di-Pertuan Agong kemudian menerima tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan barisan anggota Kabinet.
Pada masa sama, tujuh buah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bendera ketiga-tiga cabang pasukan keselamatan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.
Tuanku Abdul Halim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat I RAMD, diikuti dengan laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali sebelum upacara menaikkan Jalur Gemilang sambil diiringi lagu Negaraku serta 14 das tembakan meriam.
Acara sambutan bermula dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh 55 peserta yang mewakili pelajar dan guru, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan badan berkanun serta orang kurang upaya (OKU).
Ia disusuli dengan laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diikuti laungan 'Janji Ditepati' sebanyak tiga kali.
Acara diteruskan dengan persembahan segmen pertama mengenai Rukun Negara oleh para pelajar melalui teknik penyampaian bicara berirama yang penuh warna-warni.
Bagi sambutan kali ini, perbarisan kontinjen agensi kerajaan mencipta sejarah apabila diketuai Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dengan diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Kontinjen badan beruniform generasi muda di bawah segmen Pemimpin Masa Hadapan mencuri perhatian hadirin yang hadir apabila tampil dengan persembahan tarian IM4U yang sangat menghiburkan.
Perarakan tersebut turut disertai oleh kontinjen pengangkutan awam bandar terdiri daripada empat kereta peronda Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), 55 buah teksi dan dua bas RapidKL yang menjadi simbolik kepada transformasi pengangkutan awam negara.
Bagi segmen keempat iaitu Gegar Merdeka, ia memperlihatkan kontinjen pasukan keselamatan negara yang turut dianggotai oleh anggota wanita serta disertai oleh kontinjen perwira veteran dengan menaiki kenderaan-kenderaan antik yang pernah digunakan oleh pemimpin negara dalam menuntut kemerdekaan dan diikuti pertunjukkan formasi udara oleh pasukan keselamatan.
Perarakan sambutan kali ini diakhiri dengan segmen kelima iaitu Bangga Menjadi Rakyat Malaysia yang dimulakan dengan persembahan oleh generasi muda melalui pergerakan cergas dan bertenaga dengan diiringi lagu Drumline dan medley lagu-lagu patriotik Nadi Rakyat, IM4U, Janji Ditepati, Tanggal 31, 1Malaysia dan Jalur Gemilang.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12

Kekal bersatu, pertahan kemerdekaan

Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah Cabaran Perniagaan Luar Bandar kepada pengusaha telur masin, Nur Amalina Abdullah sempena Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. 
*****
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat kekal bersatu bagi mempertahankan kemerdekaan dan mengukuhkan lagi kekayaan, kemakmuran serta kekuatan negara.
Perdana Menteri berkata, kesemua perkara itu boleh dicapai melalui kerjasama tidak berbelah bahagi rakyat yang kini hidup dalam fasa ketiga merdeka, iaitu membawa makna kepada kemerdekaan.
Katanya, rakyat perlu bersama-sama dengan kerajaan dalam menghadapi cabaran global alaf baru serta membantu Malaysia mencapai status negara maju seperti dirancang.
Beliau mengingatkan, perkongsian di antara rakyat dan kerajaan bukan hanya melibatkan janji kerajaan kepada masyarakat, malahan menuntut janji serta komitmen masyarakat terhadap negara.
"Kalau kita dakap janji ini, maka negara akan melonjak ke hadapan dengan lebih maju dan ingatlah sesungguhnya kemerdekaan hanya membuka pintu kepada setiap pertiwi sekali sahaja.
"Mari kita berganding, berjuang di setiap penjuru dan setiap ketika dengan lebih rapat lagi daripada seteru dan pembangkang yang hendak memporakperandakan negara," katanya ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.
Najib menambah, rakyat perlu setia bersama pimpinan negara untuk melaksanakan agenda transformasi kerajaan ke arah kejayaan, keunggulan dan kehebatan.
Beliau berkata, pimpinan kerajaan sekarang sejak kemerdekaan 55 tahun lalu telah terbukti berjaya mengubah landskap sosioekonomi negara ke arah yang jauh lebih baik.
Sebagai contoh, menurutnya, kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah mencatatkan kejayaan perkembangan ekonomi sebanyak 5.4 peratus pada suku kedua tahun ini yang disifatkan sebagai menongkah arus oleh akhbar antarabangsa, International Times.
Selain itu, katanya, nilai Bursa Malaysia yang meningkat sebanyak 116 peratus sepanjang tiga tahun bermula 2009 sehingga 2011 dan kedudukan Malaysia dalam tawaran awam permulaan (IPO) di tempat ketiga dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan China membuktikan kemakmuran negara.
"Kejayaan negara merangkumi setiap lapisan masyarakat sama ada Melayu, Cina dan India sehinggakan kaum minoriti seperti Bidayuh, iaitu Pandelela Rinong turut mendapat manfaat apabila berjaya mendapatkan pingat gangsa pada Sukan Olimpik London baru-baru ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12

Kapal TLDM bawa bantuan

ABDUL Azeez Abdul Rahim (kanan) dan Abdul Rahman Palil (kiri) melihat barangan keperluan hasil sumbangan orang ramai dalam misi menghantar bantuan ke Rohingya di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor, semalam. 
*****
PELABUHAN KLANG 31 Ogos - Kain kapan adalah antara barangan sumbangan rakyat negara ini yang akan dibawa Kelab Putera 1Malaysia ke Myanmar bagi membantu etnik Rohingya yang ditindas di negara itu.
Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pada Misi Bantuan Kemanusiaan Tabung Rohingya itu pihaknya mengambil inisiatif untuk turut menyumbangkan kain kapan selepas mendapat maklumat etnik berkenaan tidak mempunyai kelengkapan tersebut secukupnya.
Menurutnya, disebabkan kekurangan kain kapan juga etnik Rohingya selama ini hanya membalut jenazah menggunakan tikar sebelum ia dikebumikan.
"Sebab itulah kami mengambil inisiatif menyumbangkan kain kapan untuk 15,000 orang dan diharapkan ia sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan mereka.
"Daripada jumlah itu, 12,000 adalah untuk orang dewasa manakala 3,000 lagi untuk kanak-kanak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pelabuhan Utara, di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil.
Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata, jumlah keseluruhan barangan yang dibawa pihaknya menggunakan kapal KD Sri Indera Sakti milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk etnik Rohingya itu adalah 480 tan melibatkan barangan keperluan seperti makanan, ubat-ubatan serta keperluan harian lain.
Tambahnya, kesemua sumbangan itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM9.67 juta dan ia adalah hasil sumbangan rakyat berbilang kaum di negara ini dalam tempoh hanya lapan hari.
"Kita juga bukan sahaja akan menyampaikan sumbangan ini kepada masyarakat beragama Islam, tetapi masyarakat bukan Islam yang hidup dalam serba kesukaran di Myanmar.
"Ini kerana, mereka yang menyumbang untuk penduduk di Myanmar terdiri daripada rakyat berbilang kaum di negara ini dan sebab itulah bantuan ini juga akan diberi kepada sesiapa sahaja termasuk mereka yang bukan beragama Islam tetapi memerlukan bantuan daripada kita," jelasnya.
Abdul Azeez berkata, pihaknya menerima 96 permohonan sukarelawan yang menyatakan kesediaan menyertai misi kali ini tetapi terpaksa mengehadkannya kepada hanya 38 orang atas sebab-sebab logistik.
Katanya, sukarelawan yang akan menyertai misi tersebut terdiri daripada doktor pakar, pengamal media serta artis popular seperti Datuk DJ Dave dan Datuk Malek Ridzuan.
"Setibanya di sana nanti, kami akan dibantu beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Myanmar yang telah menyatakan kesediaan membantu kami bagi menyampaikan sumbangan ini," ujarnya.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, kesemua sukarelawan itu akan menaiki KD Sri Indera Sakti untuk ke Pelabuhan Sittwe, Myanmar bagi menghantar sumbangan tersebut dan misi berkenaan secara keseluruhannya akan mengambil masa selama 11 hari.
Jelasnya, mengikut perancangan, misi itu sepatutnya berlepas hari ini tetapi atas sebab-sebab keselamatan mereka terpaksa mengubah laluan asal dan kini sedang menunggu kebenaran dari Wisma Putra untuk berlepas.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12

Pemuda UMNO hantar hadiah untuk Siti Norzana

MUHD. Khairun Aseh (tengah) bersama Nordi Adi (kanan) menunjukkan gambar Siti Norzana yang kini berada di Lampung, Indonesia, semalam. Turut memerhati tiga anak Nordi, Nurul Safiza Fitri (dua dari kiri), Muhammad Nurhan dan Nurmasyita Amiera (kanan) 
*****
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Ulang tahun ke-12 Siti Norzana Nordi yang terkandas di Lampung, Indonesia hari ini akibat masalah keluarga, pastinya menjadi yang paling istimewa dan tidak dapat dilupakan oleh kanak-kanak itu.
Ini kerana dalam usaha membawanya pulang ke tanah air selepas dia dilaporkan telah dijual kepada keluarga angkat di negara jiran, Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO tidak lupa untuk mengutuskan beberapa hadiah istimewa kepadanya.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, hadiah tersebut dibawa oleh wakil biro tersebut yang berlepas ke Lampung pagi ini untuk berbincang dengan keluarga angkat kanak-kanak itu.
"Kita harap hadiah berkenaan dapat menggembirakan Siti Norzana yang begitu berharap dapat pulang ke negara ini secepat mungkin untuk memulakan kehidupan barunya bersama ayah dan tiga lagi adiknya.
"Siti Norzana ada menghubungi ayahnya pada raya ketiga lalu dan dengan nada hiba, kanak-kanak itu menyampaikan hasrat untuk pulang dan tinggal bersama keluarganya di negara ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Siti Norzana merupakan seorang daripada empat beradik warganegara Malaysia yang terkandas di Lampung, Indonesia sejak dua tahun lalu selepas ibu tiri mereka menghilangkan diri.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12

Transformasi ekonomi bumiputera

SEMALAM negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-55. Sejak merdeka, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberikan impak kepada ekonomi bumiputera di negara ini. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1971 banyak mengangkat taraf hidup bumiputera di negara ini.
Kadar kemiskinan turun dari 64.8% pada 1970 kepada sekitar 5.3% pada tahun 2009; dan bilangan profesional bumiputera meningkat dari 5% kepada 45% (51,306 orang) daripada jumlah keseluruhan profesional dalam tempoh yang sama. Begitu juga peratusan bumiputera dalam pengurusan meningkat daripada 22% pada 1970 kepada 43% pada 2009; walaupun sebahagian besar mereka menjawat jawatan ini dalam sektor kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Sementara kita berbangga dengan pencapaian ini, masih ada isu dalam ekonomi bumiputera yang perlu diberikan perhatian. Antaranya ialah penglibatan bumiputera dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara.
SME Corp mentakrifkan PKS sebagai syarikat yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM25 juta atau pekerja sepenuh masa di bawah 150 orang. Menggunakan takrifan ini, sekitar 99.2% atau 548,267 buah syarikat dikategorikan sebagai PKS. Secara keseluruhannya, 79% PKS adalah dalam kategori mikro, iaitu mencatat jualan tahunan di bawah RM250,000 atau mempunyai lima orang pekerja dan ke bawah.
Bagaimanapun, hampir sembilan daripada 10 syarikat bumiputera berada dalam kategori mikro. Sekiranya dilihat secara keseluruhan, jumlah sebenar syarikat bumiputera (termasuk mikro) lebih kecil disebabkan daripada kesemua syarikat yang berdaftar di negara ini, hanya satu per empat saja dimiliki oleh bumiputera.
Implikasi yang ketara daripada senario ini adalah walaupun ada peningkatan daripada 2.4% daripada 1970 kepada 21.9% pada 2008 dan seterusnya 23.09% pada 2010, namun pemilikan ekuiti korporat bumiputera secara relatifnya masih rendah. Apabila kekayaan tidak berlegar di kalangan bumiputera, ia memberikan impak ekonomi dan sosial yang melebar.
Dalam sektor ekonomi, bumiputera tidak menguasai entiti perniagaan besar atau rantaian nilai dalam banyak sub-sektor ekonomi. Malah, penyertaan bumiputera dalam sub-sektor seperti halal (makanan dan bukan makanan) adalah terlalu rendah.
Sementara dalam sektor sosial ia memberikan kesan kepada peluang untuk bumiputera memegang jawatan kanan dalam sektor swasta, mobiliti sosial dan akses kepada pendidikan di luar sektor awam.
Cabaran bumiputera sekarang adalah persekitaran di mana kita beroperasi sudah berubah. Perubahan landskap sosio-politik dan peningkatan globalisasi memberikan kesan kepada pembangunan ekonomi bumiputera secara keseluruhannya. Ini bermaksud bumiputera tidak lagi boleh berfikir dan bertindak seperti sebelumnya. Maka, di sinilah letaknya keperluan kepada transformasi ekonomi bumiputera.
Sebagai satu inisiatif kepada anjakan paradigma ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan “Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera" pada 26 November lalu. Ia merupakan sebahagian program transformasi negara yang diperkenalkan Najib sejak memegang jawatan itu.
Dokumen hala tuju ini yang disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai satu “living document" menggariskan enam prinsip transformasi ekonomi iaitu mesra pasaran, berdasarkan keperluan, berdasarkan merit, telus, pro-pertumbuhan dan mampan. Sebarang inisiatif pembangunan ekonomi bumiputera harus dilakukan dengan mengambil kira prinsip-prinsip ini.
“Hala Tuju Transformasi Ekonomi bumiputera" juga mempunyai aspirasi untuk melihat perubahan kepada instrumen polisi dan rasionalisasi sistem penyampaian, mengukuhkan pendidikan dan kapasiti bumiputera, dan membangunkan perniagaan yang mempunyai skala yang mencukupi untuk menghadapi persaingan.
Ini bermaksud, kita perlu melakukan penilaian semula kepada program pembangunan ekonomi bumiputera dan koordinasi yang lebih baik antara agensi-agensi kerajaan, sekali gus mengelakkan pertindihan fungsi dan kumpulan sasar.
Berdasarkan analisis awal, sebahagian besar program pembangunan dan pembiayaan perniagaan bertumpu kepada keperluan dan peluang (necessity and opportunity driven); manakala yang dipandu oleh inovasi (innovation driven) masih kurang.
Sejak 2006, sejumlah 26.3% atau RM16.1 bilion untuk pembangunan PKS diperuntukan khusus untuk bumiputera. Untuk 2012, sejumlah RM5.7 bilion daripada jumlah keseluruhan RM19.9 bilion diperuntukan untuk syarikat dan usahawan bumiputera; menjadikannya jumlah paling tinggi dalam tempoh enam tahun. Persoalannya, apakah penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi meningkatkan impaknya kepada usahawan bumiputera?
Perdana Menteri juga menyebut mengenai pembinaan kapasiti dan ini juga merupakan asas yang penting dalam transformasi ekonomi bumiputera. Dengan perubahan landskap yang disebutkan terdahulu, bumiputera harus bersaing di pasaran terbuka dan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.
Penubuhan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) sebagai contoh, adalah merupakan satu inisiatif “Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera" bagi membina kapasiti bumiputera. Dalam tempoh kurang setahun sejak dilancarkan, ia menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar dari persekitaran mencabar di seluruh negara. Manakala program pembangunan profesional dalam bidang-bidang terpilih seperti akauntan baru dimulakan; sementara beberapa siri pembangunan skil tinggi akan dimulakan pada tahun depan.
Satu lagi aspek penting dalam hala tuju ini adalah membangunkan perniagaan berskala mencukupi dan menyediakan mereka untuk menghadapi persaingan. Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) yang dilaksanakan oleh Teraju bertujuan mengangkat syarikat-syarikat ini ke tahap yang lebih tinggi dan menyediakan mereka untuk persaingan terbuka.
Pelupusan aset syarikat berkaitan kerajaan kepada bumiputera yang sedang dilaksanakan melalui Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad adalah satu lagi inisiatif “quick win" untuk meningkatkan pemilikan ekuiti dan membangunkan perniagaan berskala besar.
Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan Perdana Menteri memutuskan untuk kedua-dua agensi ini melupuskan 10 aset bukan teras kepada syarikat bumiputera yang layak.
Apa yang disebutkan di sini hanyalah sebahagian inisiatif “Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera." Dalam tempoh satu setengah tahun, Teraju menyediakan peluang perniagaan dan pembiayaan untuk bumiputera melebihi RM13 bilion.
Pun begitu, agenda transformasi ekonomi bumiputera bukanlah dilaksanakan oleh Teraju atau mana-mana agensi secara terpinggir. Transformasi ini harus dilakukan merentasi sektor dan kementerian. Atas sifat itulah, transformasi ekonomi bumiputera harus menjadi agenda nasional!
PENULIS ialah Pengarah Kanan, Pengurusan Stakeholder, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Perdana Menteri.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12

Bukan sekadar penentu karier politik Nasharudin

MUNGKIN ramai penyokong Nasharudin Mat Isa menarik nafas lega apabila beberapa pemimpin terkenal dalam Pas bertaraf ulama tampil mempertahankan bekas Timbalan Presiden Pas itu.
Selain Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din turut berbuat demikian. Malahan Nasharudin juga mendapat sokongan daripada beberapa ulama Pas di negeri-negeri. Namun begitu ia tidak boleh dianggap kemenangan awal untuk Nasharudin, perjalanan beliau untuk mempertahankan diri masih panjang.
Nasharudin mungkin tidak akan menghadapi masalah untuk memberi penjelasan kepada Majlis Syura Ulama kerana beliau yakin berada di pihak yang benar. Pandangan beliau meminta Pas mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang seperti mana kata Haron Din bukan satu kesalahan.
Tetapi bagi kelompok Anwarinas yang meletakkan kepentingan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengatasi segala-galanya mereka tidak akan duduk diam.
Mereka pasti akan terus melakukan desakan, tekanan dan gerakan bagi memastikan Nasharudin dikenakan tindakan, mereka mahu menghumbankan Ahli Parlimen Bachok untuk berada ‘satu kelab’ dengan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.
Berbanding Hasan, Nasharudin jauh lebih bernasib baik kerana diberi peluang membela diri dan membuat penjelasan kepada Majlis Syura Ulama, tetapi Hasan tidak mendapat peluang berkenaan.
Hasan disingkirkan kerana kepimpinan Pas tidak mampu menahan gertakan dan desakan pemimpin-pemimpin PKR. Bagaimanapun, Nasharudin tidak dibiarkan bernafas dengan selesa, buat permulaan beliau diberikan isyarat bahawa kerusi Parlimen Bachok bukan lagi miliknya atas alasan beliau sudah ditolak oleh akar umbi. Tanggapan yang sama diberikan oleh Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang baru-baru ini apabila mengulas mengenai kedudukan Nasharudin.
Sebab itulah ramai yang melihat biar apa pun keputusan Majlis Syura Ulama pada 9 September ini menyebelahi Nasharudin namun percayalah Nasharudin bagaikan berada di atas pagar berduri biar pun disuapkan dengan jus yang manis.
Apatah lagi secara tiba-tiba kita mendengar kenyataan bahawa nasib Nasharudin akan ditentukan melalui mesyuarat agung Pas, maknanya keputusan Majlis Syura Ulama jika menyebelahi Nasharudin bukan penamat.
Bagi puak-puak Anwarinas, inilah peluang untuk mereka terus menggunakan pengaruh dan kekuatann untuk memastikan Nasharudin tidak akan mampu mengembangkan karier politiknya dalam Pas.
Ini kerana mereka memahami Nasharudin sudah dilihat pemimpin masa depan Pas oleh banyak pihak. Puak-puak Anwarinas atau liberal dalam parti itu sudah tentulah tidak mahu ia menjadi kenyataan.
Bagi mereka, era kepimpinan ulama dalam Pas sudah tidak relevan dengan perkembangan politik semasa, sekarang adalah masa untuk golongan bukan ulama menguasai Pas sepenuhnya.
Tetapi selagi ada Nasharudin impian mereka mungkin tidak akan tercapai, justeru mahu tidak mahu Nasharudin harus disingkirkan sama ada terkeluar terus daripada parti atau berada dalam parti namun sekadar ahli biasa sahaja.
Puak-puak Anwarinas amat memahami kekuatan mereka, sebab itulah kalau ada pemimpin di kalangan mereka bercakap soal yang dilihat bertentangan dengan parti, mereka hanya mendiamkan diri sahaja tetapi apabila ada golongan pro ulama menyatakan sesuatu biar pun benar maka mereka akan mencari fasal supaya individu berkenaan dikenakan tindakan.
Tugas mereka menjadi mudah kerana mereka rapat dengan pemimpin-pemimpin berpengaruh dalam parti dan keadaan itu kesudahannya menjadikan siapa juga yang tidak sehaluan dengan puak Anwarinas ini berada dalam bahaya.
Usaha menyingkirkan Nasharudin boleh dianggap misi terakhir puak-puak Anwarinas dalam menguasai Pas sepenuhnya. Sebab itulah sikap konsisten ulama-ulama Pas dalam mempertahankan Nasharudin amat penting.
Jika mereka tidak sepakat dalam soal berkenaan, percayalah Nasharudin tidak akan lama dalam Pas, ia memandangkan mainan politik puak-puak tersebut amat hebat. Mereka akan cuba mewujudkan tekanan demi tekanan bagi meletakkan kepimpinan kanan Pas berada dalam keadaan serba salah dan seterusnya mengikut telunjuk mereka untuk menyingkirkan Nasharudin.
Perkara ini tidak dinafikan oleh Hasan Ali yang sudah merasai betapa dahsyat mainan politik puak Anwarinas tersebut. Atas sebab itulah, golongan ulama di dalam Pas perlu berdiri teguh mempertahankan Nasharudin. Ramai yang berpendapat memang Nasharudin berhak dihukum kalau beliau benar-benar melakukan kesalahan.
Tetapi kenyataan beliau mengenai kedudukan Pas dalam pakatan bukannya satu kesalahan, sebagai bekas pemimpin nombor dua dan sayangkan perjuangkan Islam Pas, Nasharudin berhak memberi pandangannya bagi mengelak parti itu terus diperkotak-katikkan.
Sekurang-kurangnya keberanian Nasharudin memberi isyarat kepada pemimpin-pemimpin pembangkang lain bahawa tidak semua pemimpin Pas sanggup menjadi ‘pak turut’ semata-mata memburu kuasa ke Putrajaya.
Apa pun, kes Nasharudin ini semakin menampakkan dengan jelas pertembungan antara golongan ulama - satu kumpulan yang bertanggungjawab menubuhkan Pas dengan kumpulan Anwarinas yang semakin teruja memburu kuasa.
Sudah tentulah kita tidak akan mampu menduga siapa yang akan menang tetapi apa yang pasti seandainya kumpulan ulama tewas dan Nasharudin tersingkir, maka ia akan menjadi permulaan kepada perjalanan terakhir golongan ulama dalam perjuangan politik Pas.
Ia memandangkan Pas ketandusan pemimpin bertaraf ulama yang seusia dengan Nasharudin. Kalau ada pun mereka tidak begitu menonjol. Pengaruh dan kewibawaan mereka tidak sehebat Nasharudin yang dianggap ‘anak didik’ Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan beliau pernah menjadi Setiausaha Agung dan Timbalan Presiden Pas.
Inilah rekod perjalanan politik Nasharudin yang menggerunkan puak-puak Anwarinas dalam Pas, tambahan pula Nasharudin kental dengan prinsip perjuangan Islam yang sudah tentu amat tidak digemari oleh puak berkenaan demi menjaga hubungan dengan PKR dan DAP.
Mungkin sekali lagi kita akan mendengar pihak-pihak tertentu di dalam Pas akan menuduh bahawa media sengaja mewujudkan istilah Anwarinas ini. Namun perjalanan politik Pas sejak kebelakangan ini telah membuktikan bahawa jati diri Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam sudah terhakis.
Dan kalau benar puak berkenaan tidak wujud kenapakah Nasharudin hendak diadili semata-mata beliau mempertahankan martabat, maruah dan prinsip perjuangan Pas?
Kenapakah Dr. Hasan disingkirkan tanpa diberi peluang membela diri, hanya kerana beliau dilihat berusaha memartabatkan Islam?
Kesimpulannya, kes Nasharudin bukan sekadar penentuan nasib seorang pemimpin bertaraf ulama dalam Pas tetapi jauh daripada itu, ia bakal menentukan golongan manakah paling berkuasa di dalam Pas.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12

Kerajaan Kelantan terus berdolak-dalik laksana hudud

KOTA BHARU 31 Ogos - Pelaksanaan undang-undang syariah, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan atau hukum hudud di negeri ini kelihatan masih samar biarpun mendapat desakan banyak pihak supaya ia dikuatkuasakan sepenuhnya bagi mengatasi masalah sosial yang dikatakan semakin serius terutama membabitkan kes ragut.
Ia berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bahawa pelaksanaan undang-undang tersebut masih di peringkat dalaman Jawatankuasa Teknikal Hudud.
Untuk rekod, jawatankuasa tersebut ditubuhkan pada 4 Oktober 2011 oleh kerajaan Pas Kelantan untuk mengkaji pelaksanaan enakmen itu dan sehingga hari ini ia masih belum bermesyuarat.
Ahmad yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut berkata, pihaknya akan mengadakan sidang meja bulat terlebih dahulu bagi membincangkan semua perkara membabitkan pelaksanaan hukum Allah itu.
Pada masa sama, beliau berkata, belum sampai masanya kerajaan Pas Kelantan mendapatkan maklum balas daripada ketua jabatan yang dilantik untuk menyertai Jawatankuasa Teknikal Hudud biarpun surat telah dihantar kerana fokus diberikan untuk membincangkan topik pada sesi meja bulat nanti.
"Itu (gesaan supaya laksana hukum hudud secepat mungkin) saya tak nak komen sebab perkara ini dalam usaha semua pihak, sesiapa saja umat Islam mahu melihat perkara ini dilaksanakan secepat mungkin dan jawatankuasa hudud dalam perbincangan dalaman.
"Kita akan adakan meja bulat bincang topik dahulu, supaya dapat dilihat semua bidang dan kaitan, dalam keputusan Exco lepas kita sudah putuskan, saya kira secepat mungkin ia akan diadakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) supaya undang-undang syariah iaitu hukum hudud yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) kira-kira 20 tahun lalu dilaksanakan secepat mungkin bagi mengatasi jenayah termasuk ragut yang semakin membimbangkan masyarakat di negeri ini.
Langkah itu perlu bagi membolehkan pelaksanaan hukum tersebut tidak hanya dijadikan modal politik, sebaliknya benar-benar dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Cadangan tersebut dikemukakan ekoran kejadian seorang pembantu klinik, Rohairani Abdullah, 36, yang hampir putus pergelangan tangan akibat ditetak peragut di Jalan Sultanah Zainab kelmarin.
Sementara itu, Ahmad menafikan kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang menyifatkan kejadian ragut dan tetak yang menimpa seorang wanita di Kota Bharu, semalam adalah isyarat jelas gejala sosial di negeri ini semakin parah.
"Masalah gejala sosial, perkara ini berlaku kita tidak dapat katakan serius kerana laporan selama ini ada turun naik, mereka yang melakukan jenayah sentiasa memerhati peluang yang ada.
"Ia berpunca kerana tidak ada kefahaman hidup secara Islam dan beragama tidak kira di mana saja mereka berada sama ada di Kelantan dan di mana saja," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12 

Jemput sultan, amalan biasa kerajaan negeri BN

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan hadir pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 sambil diiringi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam. - BERNAMA 
*****
SHAH ALAM 31 Ogos - Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menjelaskan urusan memaklum dan menjemput Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan peringkat negeri merupakan amalan biasa dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.
Katanya, sebelum ini, sambutan ulang tahun kemerdekaan anjuran kerajaan negeri dimaklumkan kepada baginda termasuk dari sudut jemputan kerana ia satu formaliti.
"Namun, ia terpulang kepada budi bicara baginda sama ada hadir atau tidak pada majlis itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan tindakan kerajaan negeri membelakangkan peranan serta penghormatan Sultan Selangor apabila baginda langsung tidak dimaklum serta dijemput menghadiri Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55 Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Dataran Kemerdekaan, di sini malam tadi.
Bagaimanapun, kerajaan negeri menjemput Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu kehormat dan memberikan ucapan pada sambutan itu yang menggunakan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa: Terima Kasih Rakyat, Selangorku Terus Maju'.
Tema itu adalah bertentangan dengan tema sambutan kemerdekaan peringkat Persekutuan iaitu '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati'.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12

Tindakan biadab peserta Himpunan Janji Bersih

Sebahagian peserta Himpunan Janji Bersih mengibarkan bendera merah putih pada perhimpunan haram itu ketika sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam kelmarin.
*****
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Beberapa peserta Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka malam tadi bertindak kurang ajar apabila mengibarkan bendera yang mereka dakwa akan menggantikan Jalur Gemilang jika pembangkang berkuasa.
Tindakan biadab dan mencemarkan kedaulatan negara itu dilakukan ketika sambutan ambang merdeka sempena Hari Kemerdekaan Ke-55.
Bendera merah putih seakan bendera Singapura itu dikibarkan di khalayak ramai termasuk pengedaran risalah menukar Jalur Gemilang kepada bendera tersebut.
Risalah tersebut jelas mengajak rakyat untuk mengatakan ‘tidak’ kepada Jalur Gemilang dan menyokong bendera merah putih itu.
Perihal kebiadapan peserta himpunan itu mula disebarkan media sosial termasuk video peserta yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut blog http://parpukari.blogspot.com, tindakan mereka khususnya golongan muda jelas menggambarkan sikap tidak menghormati perjuangan generasi lama dengan mempermainkan Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
‘‘Tahukah kamu semua, rakyat negara lain hormat bendera sampaikan mereka tidak mahu bendera tersentuh bumi. Begitulah hormatnya rakyat negara lain kepada bendera mereka.
‘‘Kita pula, bendera dihina pun kita diamkan sahaja? Kalau negara lain, sudah tentu yang menghina bendera akan dikenakan tindakan berat,’’ katanya.
Selain itu, blog http://www.papagomo.com melahirkan rasa kecewa dengan perlakuan biadab, jahil serta tidak berakal peserta himpunan terbabit.
‘‘Apa salah dengan bendera yang digunakan oleh rakyat Malaysia sejak merdeka lalu? Di mana cacat celanya bendera kita yang kita gelar Jalur Gemilang itu? Apa dosa menggunakan bendera itu dalam negara Malaysia ini?,’’ soalnya.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12

Kerajaan Selangor biadab

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Pelbagai pihak hari ini mengecam tindakan Kerajaan Selangor sebagai biadab, kurang ajar dan tidak mengenang budi kerana mengetepikan Sultan Selangor dalam sambutan majlis kemerdekaan di peringkat negeri itu.
Mereka yang cukup marah dengan perbuatan tersebut menyifatkan tindakan itu sebagai satu penghinaan secara terang-terangan untuk menjahanamkan institusi raja-raja Melayu.
Berikutan itu, mereka menyeru rakyat Selangor supaya tidak lagi berdiam diri sebaliknya menentang perbuatan biadab dengan menghukum Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor pada pilihan raya umum nanti.
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, perbuatan itu cukup melampau kerana ia bukan kesilapan kali pertama dilakukan oleh kerajaan negeri.
"Tidak mungkin Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor keliru dengan majlis yang diadakan. Majlis kemerdekaan dan politik berbeza pengertiannya.
"Kalau nama pun sambutan kemerdekaan, mengapa pula Sultan Selangor dipinggirkan, sebaliknya memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Kerajaan PKR Selangor mengetepikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 peringkat negeri itu malam tadi.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang mengesahkan perkara itu berkata, baginda tidak dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan negeri itu mengenai sambutan berkenaan.
Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, perbuatan kerajaan negeri itu cukup melampau dan tidak boleh dimaafkan terutama oleh orang Melayu.
"Tindakan Abdul Khalid seolah-olah mahu menunjuk belang kerana keberanian mengetepikan Sultan Selangor dalam satu majlis yang cukup bermakna kepada negara.
"Beliau lupa agaknya tentang sejarah Malaysia, tanpa sultan sudah tentu negara tidak akan mencapai kemerdekaan 55 tahun dulu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Presiden Gerakan Reformasi Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar pula secara sinis mengucapkan 'syabas' kepada Kerajaan PKR Selangor kerana memiliki keberanian luar biasa untuk bersikap kurang ajar dan biadab terhadap Sultan Selangor.
Beliau berkata, tindakan itu jelas menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri itu sanggup menderhaka kepada pemerintah tertinggi negeri itu semata-mata untuk mencapai agenda politik mereka dan tidak perlu untuk mereka-reka alasan tertentu selepas ini.
"Perbuatan kerajaan Selangor itu bukan sesuatu yang mengejutkan, malah kami tidak berasa hairan kerana sebelum ini mereka 'mencipta sejarah'. Tindakan mereka yang mengetepikan peranan sultan sebagai 'payung negeri' memang cukup biadab, melangkaui pemikiran orang waras," katanya.
Presiden Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi turut berpendapat perbuatan kerajaan negeri itu sebagai satu penghinaan kepada Sultan Selangor, apatah lagi ia membabitkan penganjuran majlis rasmi.
Malah, katanya, tindakan itu seolah-olah memperlihatkan kecenderungan kerajaan negeri itu untuk menafikan kepentingan dan peranan Sultan Selangor dalam negeri tersebut.
Katanya, Abdul Khalid Ibrahim perlu membuat penjelasan penjelasan secara terbuka mengenai perkara itu kepada rakyat.
"Sama ada Menteri Besar wajar untuk memohon ampun kepada Sultan Selangor, biarlah beliau yang menjawabnya. Tidak perlu desakan untuk meminta maaf, lagipun ini bukan pertama kali tindakan mereka yang menghiris hati sultan dan rakyat," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 1/9/12

Najib berjanji terus kekalkan kestabilan, kemakmuran negara

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, kerajaan akan terus berusaha mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara untuk generasi muda selaras dengan slogan “Janji Ditepati." "Bila janji dibuat, kita tepati. Kita janji kestabilan, kita janji kemakmuran," kata Perdana Menteri semasa mengucapkan terima kasih kepada para peserta selepas sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 yang bertemakan “55 tahun Merdeka Janji Ditepati" di Dataran Merdeka di sini, hari ini. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12

13,000 peserta semarak sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Perbarisan sempena ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara peringkat nasional di Dataran Merdeka hari ini meriah dengan penyertaan 13,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya generasi muda, yang melambangkan perpaduan negara yang kukuh dan sejahtera.
Bertemakan "1Malaysia Janji Ditepati", perhimpunan perbarisan bermula sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu"adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tepat pada pukul 8 pagi dengan disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agong menerima tabik hormat sebelum lagu "Negaraku" dimainkan oleh Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja. - BERNAMA
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12

PKR belakangkan Sultan Selangor?

DUA anggota Angkatan Tentera Malaysia memeriksa peralatan pancaragam ketika keluar dari sebuah hotel selepas menarik diri daripada menyertai istiadat perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Selangor di Shah Alam, semalam. 
*****
SHAH ALAM 30 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri Selangor tercemar apabila Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membelakangkan peranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tidak seperti tradisi sebagaimana dilakukan termasuk tahun lalu, pada tahun ini Sultan Selangor langsung tidak dimaklumkan serta dijemput menghadiri majlis sambutan itu yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan di sini malam ini.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang mengesahkan perkara itu berkata, sehingga petang ini, baginda tidak dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan negeri mengenai sambutan berkenaan yang dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan Exconya.
Sebaliknya, beliau memberitahu, Sultan Sharafuddin hanya dijemput berangkat hadir pada majlis tahlil serta bacaan Yasin sempena kemerdekaan negara yang diadakan di Masjid Negeri di sini pada Jumaat ini.
"Sehingga saat ini, pihak Istana Selangor tidak menerima jemputan daripada kerajaan negeri untuk majlis itu. Baginda juga tidak pernah dimaklumkan mengenai sambutan tersebut.
"Sambutan itu adalah anjuran rasmi kerajaan negeri untuk rakyat Selangor. Maka, adalah wajar baginda dimaklumkan mengenainya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Majlis sambutan yang menggunakan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa: Terima Kasih Rakyat, Selangorku Terus Maju' itu turut dihadiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut diberi ruang untuk berucap.
Utusan Malaysia difahamkan sebelum ini, penganjuran majlis sambutan kemerdekaan peringkat negeri akan dimaklumkan kepada Sultan Selangor namun ia bergantung kepada keputusan baginda sama ada menghadirinya atau sebaliknya.
Dalam pada itu, difahamkan anggota ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan polis telah menarik diri daripada menyertai istiadat perbarisan sambutan itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Hotel Quality di sini petang ini mendapati anggota pasukan keselamatan berkenaan sedang giat mengemas kelengkapan mereka untuk meninggalkan hotel berkenaan.
Difahamkan tindakan itu dibuat kerana pihak penganjur telah membuat perubahan konsep sambutan di saat-saat akhir selain ia tidak disertai Sultan Sharafuddin.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12

Apa makna demokrasi kalau selalu ingkar janji

DETIK 12.00 malam tadi, bermulalah sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 negara kita - Malaysia. Sebelum tiba detik itu, pelbagai kumpulan masyarakat menantikan saat-saat kemunculan tarikh 31 Ogos itu dengan pelbagai acara sambutan.
Kali ini agak berbeza dengan sambutan tahun-tahun terdahulu kerana pihak penyokong anti kerajaan Barisan Nasional beriya-iya juga mengadakan majlis sambutan. Tetapi acara sambutan mereka agak berlainan daripada biasa.
Penganjur Himpunan Janji Demokrasi terus berdegil apabila mengadakan dua sambutan kemerdekaan di dua tempat berlainan dengan acara yang berbeza.
Mereka mengadakan perhimpunan di Jalan Sultan (dekat Jalan Petaling) dan di Dataran Merdeka - kedua-dua lokasi di tengah-tengah pusat Kuala Lumpur.
Mereka kata tiada banner, sebarang sticker (pelekat), atau ucapan pada perhimpunan itu, cuma Pak Samad (A. Samad Said) akan menyampaikan puisi sahaja. Tetapi bagaikan sudah dijangka, situasi berlainan yang berlaku.
Penganjur himpunan itu hanya boleh memberi jaminan perhimpunan itu diadakan dalam keadaan harmoni dan aman.
Sebenarnya pihak polis tidak memberikan kebenaran kepada pihak penganjur mengadakan sambutan menjelang Merdeka di lokasi berkenaan kerana gagal mematuhi syarat permohonan mengadakan perhimpunan aman. Jadi perhimpunan itu adalah haram.
Tetapi penganjur sudah mencanangkan dalam media baru bahawa mereka tetap boleh menganjurkan sambutan Janji Demokrasi di tepi pancutan air di Dataran Merdeka pada jam 10 hingga 12 malam tadi.
Sedangkan kawasan sekitar Dataran Merdeka ditutup pada malam tadi untuk persiapan upacara perarakan Hari Kemerdekaan Ke-55 yang akan berlangsung hari ini.
Sebab itu sambutan Ambang Kemerdekaan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Bayangkan keadaan orang ramai di Dataran Merdeka malam tadi yang biasanya menyambut Ambang Merdeka di situ.
Apa maksud penganjur dan peserta himpunan Janji Demokrasi ini yang kononnya mahu turut menyambut hari kemerdekaan, tetapi mereka mengenakan pakaian atau apa sahaja yang berwarna kuning.
Yang jelas hasrat mereka - walaupun tidak menggunakan nama ‘Bersih’ tetapi tuntutan mereka masih sama iaitu mengulangi gesaan agar kerajaan menunaikan tiga janji demokrasi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Mereka menuntut kerajaan melunaskan janji demokrasi antaranya mempertahankan keluhuran perlembagaan, mendukung hak sivil dan kebebasan bersuara; mansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan media; dan memberi jaminan pilihan raya yang bersih dan adil.
Walau himpunan haram itu dianjurkan oleh badan bukan kerajaan tetapi kita boleh nampak siapa dan parti mana di belakang penganjur Janji Demokrasi.
Demokrasi di negara kita sudah terbukti sejak Malaysia merdeka 55 tahun lalu. Sebanyak 12 kali PRU diadakan dan ada pasang surut sokongan pengundi yang memilih sistem demokrasi untuk menentukan siapa dan parti mana yang diberi mandat memerintah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Sepanjang tempoh 55 tahun itu juga, parti-parti seperti Pas, USNO, Berjaya, PBS, DAP dan PKR mendapat kepercayaan rakyat melalui demokrasi.
Tinggal lagi kini yang Pas, DAP dan PKR tidak mahu terima hakikat ialah kegagalan dan kelemahan mereka mentadbir negeri-negeri yang diterajui masing-masing.
Kalau pengurusan dan pentadbiran negeri kelam-kabut, banyak penyelewengan dan skandal serta isu-isu manisfesto PRU-12 yang tidak ditunaikan, mengapa salahkan pihak lain yang telah menjalankan proses demokrasi.
Lihat pemimpin-pemimpin Pas, DAP dan PKR yang tidak boleh dikritik - mana hak kebebasan bersuara dalam demokrasi?
Terbaharu, baru sekarang Menteri Besar Selangor berkata manifesto bekalan air percuma 20 meter padu pertama ‘bukan satu perjanjian’. Senang-senang pemimpin PKR itu cuci tangan.
Semakin jelas alasan dan pembohongan bagaikan menjadi mainan kata-kata dan ia bukan janji yang mesti ditepati oleh pemimpin pembangkang.
Fikirlah siapa yang memperbodohkan rakyat melalui ‘janji demokrasi’ dan siapa yang memegang kata-kata ‘janji ditepati’.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-55.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12

Menjulang citra Malaysia

Najib Tun Razak 
*****
Alhamdulillah, segala rasa syukur dipanjatkan kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, lantaran dengan rahmatnya jua, kita rakyat Malaysia berpeluang meraikan ulang tahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-55.
Sudah lebih lima puluh tahun, dengan berpayungkan piagam asas nasional, yakni Perlembagaan Persekutuan serta berpandukan ideologi kebangsaan Rukun Negara, Malaysia dan rakyatnya telah bertatih dan bertapak membangunkan sebuah negara bangsa.
Maka, berteraskan muafakat dan kerjasama daripada semua pihak, hari ini saya boleh melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa kemerdekaan yang telah dicapai lebih lima dekad yang lalu, hasil perjuangan bapa-bapa pengasas negara kita yang datang daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan latar belakang ini, akan terus utuh.
Begitulah, perpaduan nasional yang bertunjangkan kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional. Dari sudut kemakmuran nasional pula, ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik dijalankan kerajaan bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh semua.
Ternyata, kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik. Oleh kerana itu, di bawah payung Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan ekonomi melalui ETP (Program Transformasi Ekonomi) tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar.
Sesungguhnya, langkah berani pihak kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik bagi mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan lagi demokrasi di Malaysia, sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional.
Malaysia merupakan bukti dan manifestasi janji ditepati dan harapan yang dipenuhi. Bagi memahami kebenaran dari kenyataan di atas, setiap seorang daripada kita perlu kembali kepada susur galur sejarah. Hakikatnya pun, kita mencapai kemerdekaan di tengah-tengah pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dalam suasana di mana survival kita sebagai sebuah negara berbilang bukan sahaja daripada segi kaum, bahkan juga agama dan bahasa, pernah disangsikan oleh masyarakat dunia.
Terakam dalam kamar peristiwa, selama 55 tahun kita berjaya melangkau jangkaan serta telahan yang dibuat pelbagai pihak termasuk di kalangan warganegara sendiri. Terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambah baik, adalah meleset sama sekali.
Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan terancam. Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan ekonomi bersifat pelbagai.
Malah, dewasa ini, berkembang pula sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kelak. Insya-Allah.
Sepanjang detik yang berlari, kita telah menggantikan kebimbangan dengan harapan, kita telah mencipta sebuah negara di mana yang penting adalah kemahuan dan kesanggupan untuk bekerja keras. Juga, di mana, anak seorang petani, pekebun kecil, buruh dan nelayan berjaya menjadi usahawan serta profesional. Pucuk pangkalnya, kita telah mencipta sebuah negara sehingga anak-anak Malaysia boleh mendambakan masa depan yang lebih baik.
Semuanya ini, merupakan nikmat daripada perancangan penuh teliti dan pelaksanaan amat berkesan oleh pihak kerajaan yang telah diberi mandat mentadbir semenjak kemerdekaan diperoleh. Walau apa pun, kejayaan yang dikecapi bukan sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpeluk tubuh, sebaliknya ia harus menjadi mangkin menuju sinar yang lebih terang benderang pada hari muka.
Oleh itu, dua tahun yang lalu, kita melancarkan fasa pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Pelan Transformasi Kerajaan dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Tujuh NKRA bagi fasa pertama tersebut, akan tamat menjelang akhir tahun ini.
Sehubungan dengan itu, kerajaan akan melangkah ke hadapan dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa Ke-2 atau GTP-2 yang bakal melonjakkan lagi kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi.
GTP-2 juga akan menyaksikan penglibatan masyarakat yang lebih meluas sekali gus pembabitan yang lebih bermakna daripada pertubuhan bukan kerajaan yakni NGO dan sektor korporat.
Namun, segala usaha dan prakarsa yang dilakukan akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh semua segmen masyarakat.
Kesimpulannya, sekarang kita berada pada satu kala masa yang amat monumental bagi Malaysia. Di sana-sini, rakyat boleh melihat perubahan ketara bukan sahaja di peringkat individu hatta di peringkat keluarga dan komuniti.
Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya. Dari itu, saya ingin sama-sama berpesan, bahawa janganlah kita sampai mempunah binasa apa yang telah bersusah payah dipupuk dan dicipta. Janganlah sesekali pula, diporak-peranda harmoninya watan yang telah sekian lama terbina. Moga-moga Tuhan memberi perlindungan dan melimpahkan rahmat-Nya.
Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-55.
Dirgahayu Malaysiaku. Dirgahayu Malaysiaku.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12

Teloi dan kesan lawatan PM

AIDILFITRI bukan sahaja masa untuk meraikan kejayaan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga masa untuk bertemu saudara-mara, rakan-taulan dan sahabat handai. Kesempatan pada Aidilfitri selalunya digunakan untuk menziarah sama ada yang dekat mahupun jauh.
Apabila berziarah, terutama saudara-mara dan rakan-taulan yang sudah lama tidak bersua tentunya banyak kisah yang dikongsi. Daripada hal berkaitan keluarga hingga membawa kepada isu-isu masyarakat termasuk politik.
Kesempatan berhari raya di rumah seorang sepupu di Kampung Teloi Tua di Batu Lima, Sik, Kedah baru-baru ini turut menyajikan cerita tersendiri. Kampung ini yang terletak di tepi jalan utama antara Sik dengan Baling tidak ada apa yang istimewa.
Ia yang berjiran dengan Felda Teloi Timur, hanya sebuah kampung biasa yang kini sedikit sebanyak turut mendapat manfaat daripada pembangunan yang dirancang oleh kerajaan.
Aidilfitri di kampung itu juga sama dengan kampung-kampung lain di Kedah. Kemeriahannya sedikit terjejas oleh perbezaan politik yang menghakis semangat muafakat dan kejiranan di kalangan penduduknya.
Itu realiti politik di Kedah dengan penduduk di setiap kampung, mukim, daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pecah dua iaitu penyokong UMNO dan Pas.
Begitu juga di Kampung Teloi Tua yang terletak dalam Parlimen Sik. Penduduknya ada yang menyokong UMNO dan ramai juga yang pro-Pas.
Tetapi dalam pilihan raya umum lalu iaitu pada 2008, pengundi-pengundi di Sik yang seramai 40,538 orang termasuk penduduk Kampung Teloi Tua memilih calon Pas sebagai wakil mereka di Parlimen.
Calon Pas, Che Uda Cik Nik yang lebih dikenali sebagai Cikgu Uda menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Osman Desa dengan majoriti 481 undi.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11, Parlimen Sik dimenangi calon BN, Datuk Dr. Wan Azmi Wan Ariffin dengan majoriti 319 undi.
Sebelum itu pada PRU-10 ia dimenangi Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad yang menewaskan Allahyarham Tan Sri Abdul Hamid Othman.
Tetapi apa yang mahu dikongsi di sini bukan soal siapa menang atau masalah perpecahan di kalangan penduduk kampung atau tentang pengaruh Pas di Kedah. Tetapi tentang kesan besar apabila seorang pemimpin turun padang dan melihat dari dekat masalah rakyat.
Kunjungan ke rumah sepupu tersebut di Kampung Teloi Tua itu merupakan rutin yang dilakukan setiap kali Aidilfitri. Jika tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya, sepupu yang terkenal dengan panggilan Pak Lang Ji itu pasti akan menghentam kerajaan dan menghentam BN, tetapi kali ini berbeza.
Malah sikap sebahagian penduduk di Kampung Teloi Tua (jika tidak semua) terhadap kerajaan juga berbeza. Selepas dirisik dan diselidik, rupanya ia antara kesan daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke kawasan itu pada 29 Julai lalu.
Pak Lang Ji dengan bangga dan tanpa segan-silu bercerita mengenai pengalamannya dapat bersalaman dengan Perdana Menteri.
Lalu ditebak soalan, sudah dapat bersalam dengan Perdana Menteri masih marah juga? Pak Lang Ji sambil tersenyum simpul menjawab: "Tak marah lagi dah."
Malah dia suami isteri yang sebelum ini merupakan antara penyokong tegar Pas sudah berubah sikap terhadap BN. Itu kesannya lawatan Perdana Menteri ke Sik baru-baru ini.
Kesan yang bakal memberi petanda positif kepada BN di Parlimen Sik yang 92.93 peratus pengundinya ialah Melayu, 5.24 peratus Siam dan 1.84 peratus kaum- kaum lain.
Perubahan yang berlaku pada keluarga Pak Lang Ji selepas lawatan Najib itu mungkin dianggap kecil dan tidak signifikan pada sesetengah pemimpin.
Tetapi bagi kawasan seperti Sik yang kemenangan dan kekalahan dipisahkan oleh angka yang sangat kecil, perubahan sokongan seorang pengundi seperti Pak Lang Ji boleh membawa erti yang besar.
Usaha yang dirintis oleh Najib sama ada di Kedah mahupun di negeri-negeri lain itu perlu disusul dengan baik oleh pemimpin-pemimpin setempat.
Jangan biarkan angin perubahan yang baru bertiup dan hati yang mula terbuka kembali tertutup hanya kerana kegagalan pemimpin akar umbi meneruskan usaha yang telah dirintis oleh pucuk pimpinan.
Jangan biarkan apa yang dirintis dan diusahakan Perdana Menteri itu menjadi sia-sia disebabkan pemimpin akar umbi tidak prihatin dan malas turun padang.
Bagi rakyat bawahan seperti penduduk di Kampung Teloi Tua dan di daerah pedalaman seperti Sik yang majoritinya adalah penoreh getah, mereka tidak mengharapkan pemimpin makan dan tidur dengan mereka.
Cukuplah sesekali-sekala dapat bersua dan bersapa sambil bertanya akan masalah yang dihadapi.
Biarpun belum tentu masalah itu dapat diatasi, tetapi cukup jika pemimpin terbabit sudi memasang telinga mendengar apa yang diluahkan sambil menganggukkan kepala tanda faham.
Itu yang dilakukan oleh Najib. Kesannya penentang tegar BN seperti Pak Lang Ji lembut hati dan mula beralih arah.
Bagi rakyat, dapat bertemu, bersalaman dan berkata-kata biarpun hanya satu perkataan dengan pemimpin amat bermakna. Sebab itu, para pemimpin akar umbi perlu mendekati rakyat sepanjang masa.
Jangan hanya ketika lawatan Perdana Menteri mereka menonjolkan muka dengan harapan akan dipilih menjadi calon. Tetapi selepas itu terus menghilangkan diri mencari laba hingga rakyat lupa kewujudan mereka.
/hwa: utusan.com.my | 31//8/12

Menghayati perpaduan kaum sebagai erti kemerdekaan

KEMERDEKAAN sekiranya dicerakinkan seperti yang dikatakan Pendita Za'aba adalah memerdekakan jiwa dalam konteks hari ini. Kita bukan lagi dalam dunia kolonial secara fizikal atau mudah berasa gundah dan takut setiap kali mengambil atau menikmati khazanah negara kerana adanya kuasa luar yang menjajah kita.
Itulah hujah pembuka Bicara oleh Ketua Penyelidik Ekonomi Syariah Antarabangsa Kewangan Islam, Profesor Madya Dr. Asyraf Wajdi ketika disoal mengenai "Memahami Erti Merdeka dalam Konteks Masa Kini".
Merujuk pada kata-kata Za'aba, Dr. Asyraf turut mengingatkan, bahawa ancaman terhadap bangsa merdeka kini menjelma dalam bentuk penjajahan dalam bentuk fikiran dan budaya.
"Kita bukan lagi berjiwa merdeka sekiranya berjiwa perhambaan dan malangnya, walaupun sudah 50 tahun merdeka, kadang-kadang pemikiran kita masih terjajah," katanya.
Selain isu penjajahan minda, perkara utama yang menjadi cabaran terutama umat Islam di negara ini dalam konteks menjadi umat contoh, adalah cabaran untuk mengangkat martabat Islam sebagai agama yang syumul.
Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail, umat Islam di Malaysia selaku umat merdeka harus membuktikan kepada dunia, bahawa Islam bukan agama keganasan.
"Oleh itu, tanggungjawab memerdekakan negara dalam konteks agama adalah satu kewajipan dan tidak patut ada di kalangan kita membiarkan negara, agama Islam dan bangsa kita terus dijajah," katanya.
Shahlan dan Dr. Asyraf menjawab demikian ketika disoal Amin Idris, hos program Bicara terbitan TV Al Hijrah yang bersiaran secara langsung, baru-baru ini.
Merujuk pada kepentingan Islam sebagai asas kepada pembinaan jati diri bangsa merdeka, Dr. Asyraf mengingatkan pada kata-kata Saidina Umar Al Khattab yang berpesan, sebagai umat yang diberi kehormatan oleh Allah dengan Islam, maka sesiapa yang mencari selain daripada Islam, pasti akan menempah kehinaan Allah.
Shahlan pula merujuk pada Antropologi Islam terkenal, Ibu Khaldun yang menyebut: "Mana-mana bangsa yang pernah dijajah kuasa penakluk, akan mudah merasa kagum kepada apa sahaja yang dilakukan penjajah, hingga mereka sanggup memuji-muji kehebatan penjajah walaupun jelas merosakkan bangsa sendiri. Justeru katanya, generasi masa kini perlu peka dan memahami erti kemerdekaan secara lebih halus.
"Kita berdepan generasi baharu yang tidak pernah merasai tentang susah payah memerdekakan negara. Masalah jurang generasi juga harus kita tangani dengan betul supaya kita mampu melaksanakan konsep menghayati erti kemerdekaan dengan betul," jelasnya.
Shahlan turut mengingatkan generasi masa kini agar berwaspada kerana penjajahan moden kini tidak datang melalui serangan bersenjata, sebaliknya diserapkan melalui pelbagai ideologi pasca moden.
"Kita diserang dengan pemikiran pluralisme, liberalisme dan feminisme hingga anak muda hari ini keliru kerana ideologi ini menyerap akibat keadaan politik yang berpecah-belah," katanya.
Ditanya mengenai keutamaan dalam menghayati 55 tahun kemerdekaan negara, Dr. Asyraf menjelaskan, rakyat negara ini harus yakin untuk membina jati diri melalui acuan sendiri tanpa dipengaruhi telunjuk orang luar.
"Kita mesti melakukan perubahan dan pendekatan setiap zaman mengikut keutamaan waktu, dan kita harus ingat pada zaman Tun Abdul Razak, kita sudah bangkit menggunakan acuan kita sendiri melalui Dasar Afirmatif, walaupun pada waktu itu ia dipertikaikan banyak pihak," katanya.
Menurutnya, sejarah awal kemerdekaan wajar dijadikan iktibar. Isu konflik kaum pada 1969 membuktikan, dasar pecah dan perintah yang ditinggalkan penjajah menciptakan pelbagai jurang yang sensitif kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini terutama dalam isu ekonomi.
"Pada 1970, kadar kemiskinan tegar negara adalah 49.3 peratus manakala peratusan kemiskinan tegar mengikut kaum pula, bumiputera 65 peratus, Cina 26 peratus dan India 39 peratus. Jurang ini pencetus konflik kaum," katanya.
Jelas Dr. Aysraf lagi, isu ekonomi mencetuskan rasa tidak senang, tidak puas hati, dan prasangka perkauman. Namun akhirnya isu ini ditangani dengan kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
"Kini dari 49.3 peratus kemiskinan tegar pada 1970, DEB berjaya menurunkan angka itu pada kadar yang sangat rendah pada 2011, dengan angka kemiskinan tegar hanya berada di paras 3.5 peratus," katanya.
Selain isu mengawasi ancaman penjajahan moden serta memahami pencapaian sepanjang 55 tahun merdeka, Shahlan turut mengingatkan generasi masa kini untuk memahami dan menghayati Perlembagaan negara.
Katanya, Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan, justeru kedudukan itu perlu dihormati dan digunakan sebaik mungkin berdasarkan peruntukkan yang termaktub, dan rakyat harus sedar kini terdapat sekumpulan orang yang mahu membina Perlembagaan berdasarkan tafsiran mereka sendiri.
"Apabila Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan, ia menyumbang dan tidak menghalang kepada kemajuan negara yang beraspirasikan sistem pendidikan, sistem kewangan malah perundangan," katanya.
Dengan tegas Shahlan mengingatkan, dalam apa jua keadaan, kata kunci bagi mengisi dan mempertahankan kemerdekaan negara agar lebih terjamin pada masa akan datang, tentunya berpaksikan pada perpaduan rakyat.
"Kita tahu polemik perkauman tidak akan mendatangkan apa-apa, marilah kita bersatu padu dan bersedia untuk bermuzakarah untuk terus mengekalkan perpaduan ini kerana generasi hari ini mesti menghormati usaha generasi terdahulu yang sudah berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan negara," jelasnya.
/hwa: utusan.com.my | 311/8/12

PRU-13 penentu survival UMNO, BN

Najib Tun Razak bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Berkumpulan Enam Bahagian UMNO Selatan Kedah di Kompleks Rakan Muda Baling, Kedah, semalam. - BERNAMA 
*****
BALING 30 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang adalah penentu kepada kesinambungan hidup UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam arena politik negara.
Sehubungan itu, menurut beliau, mahu tidak mahu ahli UMNO dan BN perlu bersatu tenaga bagi membuktikan kepada rakyat hanya parti tersebut mampu menggalas tanggungjawab memimpin dan mentadbir negara dengan baik.
Malah katanya, ahli dan pemimpin parti juga harus belajar daripada pengalaman dan tidak mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum lalu yang menyebabkan beberapa negeri jatuh ke tangan pembangkang.
"Saya amat mengharapkan semangat untuk kita berjuang kali ini adalah habis-habisan. Marilah kita jadikan ia sebagai satu ikatan dan azimat kepada kita semua.
"Saya tidak mahu lagi mendengar politik adu domba antara kita, tidak mahu lagi mendengar politik sesama puak. Kita tidak mahu lagi dalam kamus kita, ada yang merajuk apatah lagi yang sanggup mengkhianati parti," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian Kedah Selatan di Kompleks Rakan Muda, Batu 42 di sini hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Menurut Najib, semua UMNO bahagian kini perlu memastikan pemimpin dan ahli-ahlinya kembali kepada perjuangan asal dengan meletakkan parti sebagai keutamaan.
"Kita sudah cakap berulang kali, sampai berbuih dan sudah habis reng (tenaga). Sekarang, sudah sampai masanya untuk kita kukuhkan ikrar. Marilah kita berjanji kepada parti bahawa akan memastikan kemenangan tercapai," katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pemimpin parti bertindak lebih matang dengan meletakkan agenda parti sebagai keutamaan berbanding kepentingan individu.
"Janganlah kita hanya bercakap di sana dan sini bahawa sudah bersatu tetapi bersyarat. Sepatutnya kalau sayang parti, tidak ada syaratnya. Siapa yang dipilih pucuk pimpinan, kita sokong," katanya.
Dalam pada itu, Najib secara berseloroh juga berkata, beliau dapat mengenali karakter seseorang pemimpin dengan menilai cara mereka bersalam dengannya.
"Bila saya salam dengan pemimpin itu, saya boleh baca. Apatah lagi saya bersalam dan genggam tangannya.
"Siapa yang mahu jadi calon, bila saya sebut calon boleh menang, semua rasa dia calonnya. Namun, hakikatnya semua kena terima, sesetengah daripada kita memang boleh menang, sesetengah tidak. Tetapi kalau kita sayang kepada parti, redalah, kalau dipilih, syukur, kalau tidak sila teruskan demi perjuangan parti," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengajak ahli UMNO berfikir dan bertindak secara matang serta dewasa.
Katanya, pemikiran sedemikian bersesuaian dengan taraf usia negara yang sudah mencapai kemerdekaan selama 55 tahun serta sinonim dengan usia UMNO sendiri yang kini mencecah 66 tahun.
"Bila kita menyebut angka 55 dan 66 tahun, bererti Malaysia ini merupakan sebuah negara yang sudah matang. Begitu juga dengan UMNO, pada takrif dan definisi tersebut bererti sepatutnya parti kita lebih matang dan dewasa kerana sudah 66 tahun," katanya.
Najib menambah, ciri-ciri kematangan itu juga boleh digunakan dalam membuat keputusan penting dalam hidup seperti memilih kerajaan atau pemimpin.
"Bila mencapai usia matang, sepatutnya membawa erti kita sudah mempunyai pengalaman hidup yang luas. Kita juga perlu mempunyai ilmu yang mendalam, cara berfikir yang masak dan bijak membuat pertimbangan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12 

Pembangkang tidak mampu tandingi Barisan Nasional

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pembangkang diyakini tidak mampu menandingi kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang berupaya mengotakan janji kepada rakyat setelah 55 tahun mentadbir negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, apa yang dilakukan pembangkang adalah menabur janji tetapi tidak melaksanakannya biarpun telah diberi mandat selama empat tahun memerintah di empat negeri.
Jelas beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, pembangkang perlu sedar pemerintahan mereka di negeri-negeri itu diperoleh setelah landasan dan asas kukuh dibina BN walaupun perkara tersebut tidak pernah diakui mereka.
"Apa yang pembangkang lakukan ialah tabur janji, memburuk-burukkan dan tidak langsung menyatakan kebaikan yang dilakukan kerajaan.
"Mana mungkin DAP dapat memerintah Pulau Pinang kalau landasan ke arah itu tidak begitu kukuh," kata Shafie kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penghayatan Hari Kemerdekaan ke-55 di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Timbalannya, Datuk Joseph Entulu; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad; Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Nursiah Arshad dan Datuk Yusoff Dohab; Setiausaha Bahagian Kanan Khidmat Pengurusan kementerian, Zaniah Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Juzilman Basir.
Mohd. Shafie berkata, ketaksuban ideologi politik pembangkang telah mengatasi kepentingan rakyat dan negara sehingga menafikan segala kebaikan yang dilaksanakan kerajaan.
"Sepatutnya kepentingan rakyat dan negara mengatasi ideologi politik atau agenda peribadi. Mereka perlu terima hakikat banyak janji yang kerajaan tunaikan selama 55 tahun, tetapi mereka tidak mahu mengakuinya kerana itu akan mengganggu-gugat pemerintahan mereka," katanya.
Mengulas mengenai pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini, beliau berkata, pembangunan luar bandar diharap turut diambil kira bagi memastikan prasarana di kawasan itu dapat ditingkatkan.
"Saya harap kita dapat melengkapkan agenda transformasi luar bandar termasuk pembangunan modal insan supaya kejayaan di kawasan itu dapat dilakukan dengan lebih baik," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12 

Pas manipulasi tulisan Tun Mahathir

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar tindakan Pas yang sengaja membuat tafsiran salah mengenai peribahasa Inggeris better the devil you know than the angel you don't yang digunakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai politik dangkal pembangkang, beliau berkata, pemimpin Pas sebenarnya memahami maksud sebenar peribahasa tersebut tetapi sengaja diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dalam pengertian yang salah demi untuk mengelirukan fikiran masyarakat.
"Saya amat kesal dan terkilan dengan sikap pembangkang yang sengaja membuat tafsiran salah. Barangkali Pas sudah ketandusan isu sehingga pepatah Inggeris yang digunakan Dr. Mahathir dimanipulasi sebagai agenda propaganda untuk memburukkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional.
"Tulisan Dr. Mahathir bukan bermaksud menyamakan syaitan dengan malaikat sebagaimana dimanipulasi pembangkang. Maksud peribahasa itu lebih baik kita berurusan dengan orang dikenali daripada bersekongkol dengan pihak tidak dikenali," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Minggu lalu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa kononnya kenyataan berkias bekas Perdana Menteri itu bertentangan dengan akidah Islam yang mewajibkan setiap muslim percaya dan beriman kepada malaikat.
Pada masa sama, pemimpin Pas menyifatkan syaitan yang dimaksudkan Dr. Mahathir itu adalah UMNO sambil mendakwa haram bagi orang ramai memberi sokongan kepada syaitan pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut Tengku Adnan, penggunaan peribahasa itu oleh Dr. Mahathir dalam tulisannya bukan bermaksud memberi pengertian secara khusus tetapi ia merupakan satu sindiran terhadap perilaku masyarakat agar mereka dapat membezakan antara kepimpinan BN dengan pakatan pembangkang.
"Tambahan pula, rekod BN sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab terbukti apabila rakyat merasai kesejahteraan dan keamanan di bawah pentadbiran BN sejak merdeka berbanding sikap pembangkang yang terserlah lebih cenderung ke arah negatif daripada melakukan kebaikan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12 

Pas Negeri Sembilan ambil sikap berkecuali

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pas Negeri Sembilan mengambil pendirian berkecuali berhubung polemik yang timbul ekoran gesaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa agar Pas mempertimbangkan semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang.
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata, pihaknya menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan terhadap isu tersebut pada mesyuarat yang akan diadakan pada 9 September ini.
''Kita berharap isu ini akan diselesaikan pada mesyuarat tersebut kerana ia telah lama berlarutan. Pas perlu lebih fokus kepada isu-isu lain yang lebih besar.
''Pas Negeri Sembilan juga akan menyuarakan pandangan pada mesyuarat itu namun saya tidak boleh dedahkan sekarang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang menegaskan gesaan yang dibuat oleh Nasharudin itu adalah wajar dan bukan kesalahan.
Sebelum ini, sokongan terbuka terhadap Nasharudin pernah disuarakan oleh barisan kepimpinan ulama termasuk Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib; Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Mahfodz Mohamed; Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Muhamad Zin Abdul Rahman serta pemimpin akar umbi.
/hwa: utusan.com.my | 31/8/12